Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Cadangan ambil alih lebuhraya RM6.2 bilion tanpa kelulusan kabinet? Perkara begini tak berlaku – Tun M

    Cadangan ambil alih lebuhraya RM6.2 bilion tanpa kelulusan kabinet? Perkara begini tak berlaku – Tun M

    Adakah benar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika pengumuman pengambilalihan empat lebuhraya dengan nilai RM6.2 bilion tempoh hari, dilakukan tanpa kelulusan kabinet? Itu tak betul, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

    “Tak berlaku perkara sebegitu. Kabinet telah dimaklumkan tentang perancangan kementerian kewangan ini dan kami tidak pula menyatakan bantahan. Tarikh pelaksanaannya akan ditentukan oleh kabinet,” ujar Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini, memetik laporan Malay Mail. Beliau juga menyangkal laporan sebelum ini yang menyatakan cadangan pengambilalihan itu kini ditangguhkan untuk dinilai semula.

    Semalam, akhbar Straits Times Singapura mendakwa cadangan tersebut telah ditangguhkan untuk menilai semula harga yang ditawarkan itu, dengan menyebut beberapa pihak dalam kerajaan pusat termasuk menteri kabinet, merasakan jumlah berkenaan terlalu tinggi.

    Laporan yang sama juga menyebut, sesetengah lagi pihak menyatakan, anggaran kutipan oleh Kementerian Kewangan, ditambah dengan kutipan caj kesesakan yang dicadangkan akan dikutip, mungkin tidak akan membolehkan pengambilalihan itu mendanai tindakan tersebut sendir (self-funded), seperti yang dibentangkan sebelum ini.

     
     
  • Pekin Auto pengedar baharu Volvo di Johor Bahru

    Pekin Auto pengedar baharu Volvo di Johor Bahru

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah membuka sebuah lagi pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) mereka di Johor Bahru bagi memudahkan lagi sama ada pemilik sedia ada atau mereka yang berminat untuk membeli Volvo baharu di bandaraya berkenaan.

    Pusat 3S Volvo baharu tersebut adalah milik Pekin Auto Sdn Bhd (Pekin Auto) dan ia terletak berhampiran Skudai. Sama seperti semua outlet sah VCM sedia ada, premis baharu ini turut menampilkan konsep global terkini jenama Scandinavia itu iaitu Volvo Retail Experience (VRE).

    “VRE melangkaui estetika yang diilhamkan oleh Scandinavia; ia adalah manifestasi nilai jenama kami dan keinginan kami untuk menjaga pelanggan kami sepanjang perjalanan mereka dengan Volvo Cars,” kata Nalin Jain, pengarah urusan Volvo Cars.

    Dengan pembukaan Pekin Auto di Johor Bahru ini, VCM kini mempunyai sejumlah 13 pengedar di seluruh negara dan dijangka ia akan bertambah di berberapa lokasi lagi dalam masa terdekat.

    Walaupun Pekin Auto sudah beroperasi, namun ia masih belum dirasmikan. Menurut VCM, lebih perincian berkenaan pengedar baharu ini akan diumumkan ketika pelancaran rasmi nanti.

    “Saya gembira bahawa jenama kami telah diterima baik dalam pasaran. Kami komited untuk memberikan pelanggan pilihan yang lebih luas dengan melantik syarikat yang diiktiraf dan profesional seperti Pekin Auto bagi mewakili jenama dalam perkara-perkara penting,” tambah Nain lagi.

     
     
  • HLYM akan lancarkan Y15ZR dan NVX155 versi Doxou hujung minggu ini waktu karnival Gen Blu di MAEPS?

    HLYM akan lancarkan Y15ZR dan NVX155 versi Doxou hujung minggu ini waktu karnival Gen Blu di MAEPS?

    Ahad ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan mengadakan satu acara Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang. Waktu itu pelbagai aktiviti akan dibuat seperti pameran motosikal, konsert, peraduan motosikal kustom, tunggang uji, pertunjukan aksi lagak ngeri dan tunggang uji motosikal. Namun yang paling ditunggu-tunggu adalah pelancaran model baru.

    Ramai yang tertanya apakah model baru tersebut dan sejujurnya, kami pun tidak menjangka ia adalah model serba baru yang hangat diperkatakan sekarang seperti NMax 155 facelift ataupun Y15ZR VVA kerana biasanya negara lain yang akan mendapat model seperti ini terlebih dahulu.

    Bagi Karnival Gen Blu ini, HLYM telah memberikan petunjuk model baru yang akan dilancarkan; ia membawa nama Doxou. Bagi yang mengikuti trend Yamaha di Asia Tenggara, anda pasti tahu Doxou adalah versi istimewa bagi Y15ZR dan NVX155 yang sudah pun dilancarkan di Vietnam awal tahun ini.

    Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan grafik warna utama biru matte yang diserikan lagi dengan warna seperti tembaga kemerahan. Lebih unik, rimnya juga berlainan warna iaitu biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan. Kemudiannya terdapat beberapa jalur dan tulisan Doxou itu sendiri pada badan motosikal. Selain daripada itu, bahagian mekanikal dua model ini masih lagi sama dengan Y15ZR dan NVX155 standard.

    Kami tahu, di Malaysia sebenarnya ada yang sudah menggunakan kit badan Doxou ini pada motosikal mereka, kerana unit asli daripada Vietnam, malah juga tiruan sudah boleh didapati dalam pasaran. Tetapi melalui pelancaran sendiri oleh HLYM ini, sekurang-kurangnya anda tidak perlu berbelanja lagi untuk membeli kit badan ini serta mengecat semula rim.

    Di Vietnam, Y15ZR Doxou dijual pada harga lebih 1 juta Dong (RM177) berbanding Y15ZR versi biasa manakala NVX155 Doxou dijual pada harga lebih 500,000 Dong (RM88) berbanding NVX155 ABS dengan spesifikasi sama (termasuk sistem kunci pintar), menjadi 47.99 juta Dong (RM8,487) untuk Y15ZR Doxou dan 52.74 juta Dong (RM9,327) untuk NVX155 Doxou. Di Malaysia, harga cadangan pengeluar HLYM untuk Y15ZR adalah RM8,168 manakala untuk NVX155 RM9,988 tidak termasuk insurans.

    GALERI: Yamaha Y15ZR dan NVX155 Doxou pasaran Vietnam

     
     
  • Mazda bakal umum keuntungan jatuh 70% – laporan

    Mazda bakal umum keuntungan jatuh 70% – laporan

    Nampaknya tahun ini merupakan tempoh yang agak sukar untuk pengeluar-pengeluar automotif Jepun. Minggu lalu Nissan mengumumkan keuntungannya jatuh 98.5%, dan kini Mazda pula dijangka akan mengumumkan perkara hampir sama.

    Menurut laporan Nikkei, Mazda akan mendedahkan prestasi untuk tempoh suku pertama fiskalnya hari ini, dan ia dijangka akan mengumumkan kejatuhan untung sebanyak 70% dalam operasi mereka untuk tempoh April hingga Jun 2019.

    Laporan berkenaan turut menyebut Mazda dijangka mengumumkan keuntungan operasinya sekitar 10 bilion yen (US$92 juta) untuk tempoh tersebut, atau hanya separuh dari jangkaan pasaran 19.7 bilion yen berdasarkan ramalan oleh QUICK Consensus.

    Jumlah jualan keseluruhan pula dijangka sekitar 850 bilion yen, atau jatuh 3%. Jualan global pula dijangka akan mencecah sekitar 350,000 unit, jatuh 10% berbanding tahun lalu. Laporan tersebut turut menyebut permintaan terhadap model sedan dan hatchback Mazda 3 turut jatuh dari yang dijangka.

    Mazda 3 generasi baharu telah direka bagi bersaing terus dengan jenama-jenama premium Eropah, membuatkan model utama jenama berkenaan dijual lebih mahal dari sebelum ini. Pasaran Amerika yang kini lebih berminat dengan SUV dan model-model lebih besar turut menyukarkan lagi keadaan Mazda.

    Namun tidak seperti Nissan, Mazda tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan memberhentikan pekerja atau mengecilkan jumlah produksi sebagai langkah menstruktur kembali operasi mereka.

     
     
  • Qatar tunjuk minat terhadap kereta nasional ketiga

    Qatar tunjuk minat terhadap kereta nasional ketiga

    Kerajaan masih belum umumkan syarikat mana yang akan bertanggungjawab terhadap Projek Kereta Nasional Ketiga (PKNK). Tetapi, kesediaan yang ditunjukkan oleh pihak berminat – termasuk negara-negara luar – terhadap projek ini khabarnya tetap ada. Awal bulan ini, UK memaklumkan mereka terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk projek berkenaan. Terbaru, Qatar juga menyuarakan minat yang sama.

    Menurut satu kenyataan media, Qatar sekali lagi mengulangi kesediaan negara itu untuk melabur di dalam projek berkenaan, terutama terhadap pembangunan enjin, komponen, kelengkapan teknologi atau promosi, lapor Utusan Malaysia.

    Ini bukan perkara baru. Disember tahun lalu, dilaporkan seorang individu dari Qatar telah meluahkan minatnya untuk melabur sehingga US$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk projek berkenaan, walaupun wakil kerajaan menafikan perkara itu.

    Setelah reda buat sementara waktu, perkembangan mengenai projek berkenaan kembali kedengaran. Pada Mac, Putrajaya dilaporkan sudah mempunyai senarai pendek dua syarikat yang dikatakan bakal mengetuai projek berkenaan. Awal minggu ini pula, identiti pembida berkenaan pula muncul, dan dilaporkan bahawa Alam Perkasa Consortium (APC) dan Elenvi Otomotif akan menubuhkan Malaysian International Motor Company (Mimco) yang akan membina kereta elektrik dan akan dijual bermula 2022.

     
     
  • Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT diperkenalkan – guna enjin 2,500 cc, kuasa naik lagi 11 peratus

    Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT diperkenalkan – guna enjin 2,500 cc, kuasa naik lagi 11 peratus

    Walaupun sudah mempunyai banyak model yang popular di kalangan pengguna, Triumph tidak melupakan power cruiser mereka iaitu Rocket, yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2004. Kini versi baru tahun 2019 bagi model itu diperkenalkan, dengan menggunakan nama Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, dan sedia memberi cabaran kepada model seperti Ducati Diavel dan X Diavel.

    Rocket sentiasa terkenal dengan penggunaan enjin yang besar, dan model baru ini masih kekal sebagai motosikal produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, iaitu 2,500 cc. Ini adalah enjin tiga silinder yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

    Jika ini masih tidak membuatkan anda gentar, ketahui juga bahawa bagi model baru ini kuasanya bertambah 11% menjadi 165 hp pada 6,000 rpm dan 221 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan shaft.

    Jika mahu diletakkan sebagai perbandingan dengan sebuah kereta, Toyota Camry 2.5V mempunyai tork yang hampir dengan Rocket 3 iaitu 235 Nm pada 4,100 rpm. Tetapi, Camry mempunyai berat 1,550 kg manakala Rocket 3 R dan Rocket 3 GT pula cuma mencatat masing-masing 291 kg dan 294 kg. Jadi, bayangkan sendiri bagaimana kuasa pecutan motosikal ini.

    Ada dua versi Rocket 3 yang diperkenalkan tahun ini iaitu Rocket 3 R dan Rocket 3 GT. Perbezaan utama dua versi ini adalah Rocket 3 R disediakan untuk mereka yang mahukan tunggangan sporty manakala Rocket 3 GT pula untuk mereka yang lebih santai dan mahu banyak menggunakannya bagi perjalanan jarak jauh.

    Anda boleh melihat perbezaannya pada bahagian seperti peletak kaki (jenis dan kedudukannya), penghadang angin hadapan, penyandar kecil untuk penumpang belakang, pemegang dan tinggi tempat duduk (773 mm untuk Rocket 3 R dan 750 mm untuk Rocket 3 GT).

    Kebanyakan kelengkapan lain pada motosikal ini adalah sama, termasuk suspensi yang terdiri daripada unit fork Showa 47 mm dengan larasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock Showa boleh laras sepenuhnya di belakang. Kuasa brek pula datang daripada angkup Brembo M4.30 Stylema empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, lengkap dengan Cornering ABS.

    Pada bahagian elektronik, Rocket 3 datang dengan empat pilihan mod tunggangan, Traction Control, panel instrumen TFT-LCD generasi kedua Triumph serta semua lampu jenis LED. Turut diberikan secara standard adalah Hill Hold Control, Cruise Control dan sistem tanpa kunci. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

    Rocket 3 R ditawarkan dalam warna Korosi Red dan Phantom Black manakala Rocket 3 GT pula ditawarkan dalam warna Silver Ice, Storm Grey dan Phantom Black.

     
     
  • Kerajaan tangguh ambil alih 4 lebuhraya RM6.2 bilion?

    Kerajaan tangguh ambil alih 4 lebuhraya RM6.2 bilion?

    Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuhraya bernilai RM6.2 bilion yang dinyatakan sebelum ini ditangguhkan sementara untuk penilaian semula terhadap harga yang ditawarkan, menurut sumber kerajaan. Straits Times (ST), melalui Malay Mail, melaporkan sebahagian daripada pegawai kerajaan pusat termasuk ahli kabinet merasakan jumlah itu berlebihan.

    Sesetengah pihak menyatakan, anggaran kutipan oleh Kementerian Kewangan, ditambah pula dengan kutipan caj kesesakan, mungkin tidak akan membolehkan pengambilalihan itu mendanai tindakan tersebut sendiri, seperti yang dibentangkan kini. “Semua perkara berkaitan (cadangan Gamuda) ditangguh sementara untuk penilaian semula,” akhbar ST memetik seorang menteri yang namanya tidak didedahkan.

    Menteri yang sama juga mengatakan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah memaklumkan rancangan berkenaan kepada umum dan membuat tawaran kepada pemegang konsesi tanpa mendapat persetujuan kabinet. Gamuda, yang kemudiannya bersetuju dengan tawaran tersebut juga merupakan pelopor bagi projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion – yang mana terdahulu Lim Guan Eng merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Kerajaan tangguh ambil alih 4 lebuhraya RM6.2 bilion?

    Kaitan itu menimpulkan kecurigaan dalam kalangan pengkritik yang merasakan kedua-duanya isu berkenaan saling berkait. Laporan berkenaan turut menyebut seorang pemimpin DAP yang tidak dinamakan turut mengesahkan “penentangan” yang berlaku secara dalaman itu. “Menteri Kewangan merasakan cadangan itu bernas, tetapi ia telah menjadi sebaliknya,” ujarnya.

    Jun lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah menawarkan pengambilalihan pengendalian terhadap empat lebuhraya di Lembah Klang dengan nilai RM6.2 bilion. Empat syarikat konsesi lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

    “Cadangan kos pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion akan dibiayai menerusi terbitan bon yang akan dibayar balik sepenuhnya dan dibayar daripada pungutan caj kesesakan. Ini berbanding kos pampasan RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut,” jelas Lim dalam satu kenyataan Jun lalu.

     
     
  • Schumi dah boleh tonton F1 di televisyen – Jean Todt

    Schumi dah boleh tonton F1 di televisyen – Jean Todt

    Sejak koma selepas cedera ketika bermain ski sekitar enam tahun lalu, peminat sentiasa tertanya-tanya bagaimana keadaan Juara F1 tujuh-kali, Micheal Schumacher kerana keluarganya sentiasa merahsiakan kondisi kesihatan beliau. Namun, bekas prinsipal Scuderia Ferrari yang berkhidmat sepanjang Schumacher dalam pasukan berkenaan, Jean Todt mendedahkan bahawa Schumi sudah sedar dan sudah boleh menonton F1 di televisyen, lapor Independent.co.uk.

    “Saya sentiasa berhati-hati dengan kenyataan sebegini, tetapi benar. Saya tonton perlumbaan bersama Micheal Schumacher di rumahnya di Switzerland,” kata Todt kepada Radio Monte Carlo minggu ini, menjelaskan bahawa dia dan Schumi menyaksikan siaran langsung Hockenheim GP hujung minggu lalu.

    Menurutnya lagi, pemulihan Schumi kini berada pada status “perkembangan yang baik”. “Micheal mendapat penjagaan dan rawatan terbaik di rumahnya. Dia tidak berputus asa dan terus melawan,” tambah Todt lagi.

    Walau bagaimanapun, Todt menzahirkan kesedihannya kerana hubungan mereka tidak lagi seperti dulu kerana masalah komunikasi yang dihadapi Schumi. “Keluarganya terus berjuang dan sudah tentu persahabatan kami tidak sama seperti dulu. Oleh kerana tiada lagi komunikasi yang sama seperti sebelum ini'” jelas Todt.

    Jean Todt enggan mengulas lanjut tentang keadaan kesihatan Schumacher kerana menghormati keluarga juara dunia berkenaan yang tidak mahu perkara ini dihebahkan.

    Schumi dah boleh tonton F1 di televisyen – Jean Todt

    Micheal Schumacher koma setelah kepalanya terhantuk batu setelah jatuh ketika bermain ski dengan anaknya, Mick Schumacher pada 29 Disember 2013 di Meribel resort. Dia kemudiannya dikejarkan ke Grenoble Hospital berdekatan Pergunungan Alps untuk mendapatkan rawatan kecemasan, dan kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Switzerland di Lausanne, dan selepas itu di bawa untuk di rawat di rumahnya di Geneva pada September 2014.

    Awal tahun ini, ketika sambutan hari jadinya yang ke-50, keluarga Schumi buat pertama kali mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan kesihatannya.

    “Anda boleh memastikan bahawa dia (Schumacher) dirawat oleh pihak yang terbaik dan kami lakukan seinsaniah yang mungkin untuk membantunya. Tolong fahami bahawa kami menuruti kehendak Micheal dan menyimpan perkara yang sensitif seperti kesihatan, ia adalah sentiasa, dalam privasi,” tulis kenyataan keluarganya yang disiarkan oleh Reuters.

    Micheal Schumacher mula tampil dalam Formula 1 pada musim 1991 dengan pasukan Jordan. Secara keseluruhan, beliau telah memandu dalam 308 perlumbaan, dengan menjuarai 91 Grand Prix, mendapat 68 kedudukan pole, serta bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali – dua kali berturut-turut dengan pasukan Benetton (1994-1995) dan empat kali dengan Ferrari (2000-2004).

    Schumacher mengumumkan persaraannya pada 2006, tetapi kembali semula memandu untuk Mercedes-Benz atas pujukan pakar strateginya, Ross Brawn pada tahun 2010. Beliau kemudian bersara sepenuhnya pada tahun 2012 dengan tambahan sedikit lagi rekod kemenangan.

     
     
  • AOS 2019: Toyota Corona TT132 – D.I.Y A sampai Z

    AOS 2019: Toyota Corona TT132 – D.I.Y A sampai Z

    Apa kereta lazim di Malaysia yang dipilih jika anda berminat untuk berjinak-jinak dengan kereta lama buatan Jepun? Untuk mereka dengan poket yang tebal, mungkin boleh memilih kereta-kereta lagenda dengan harga berbelas ribu ringgit walaupun kena tarik keluar dari semak seperti Toyota Celica generasi pertama, Mitsubishi GTO generasi pertama, atau Datsun Bluebird 510 SSS.

    Bagi mereka dengan bajet yang kecil pula, pelbagai Toyota kecil boleh dipilih seperti Starlet KP61 atau Corolla KE70 yang boleh berkongsi banyak komponen dari hero litar dan touge JDM era 80’an iaitu Corolla Levin/Sprinter Trueno AE86. Pernah dengar Toyota Corona? Jarang anak muda nak pakai kereta ini untuk dijadikan sesuatu yang hipster kerana ia hadir dalam pasaran pada era 70’an dan 80’an dahulu dengan posisi yang sama seperti Toyota Camry sekarang – tebal dengan imej untuk pakcik dan uncle.

    Jadi jika anda ke mana-mana acara yang melibatkan kereta lama, sangat sukar untuk kita lihat kehadiran Toyota Corona ini. Sama juga ketika berlangsungnya Art of Speed (AOS) 2019 hujung minggu lalu – hanya sebuah Corona yang tampil tunjuk muka, milik Mohd Fadzilee dari Ipoh.

    Sebenarnya, Fadzilee yang lebih mesra di sapa ‘Pali’ ini adalah kenalan saya sendiri dari forum Retro Syndicate lebih 10 tahun yang lalu. Sejak mengenalinya, dia hanya setia dengan Corona generasi keenam (kod casis TT132) keluaran 1979 miliknya ini, dan direstorasi secara berperingkat dari semasa ke semasa, secara sendiri di rumahnya, walaupun tiada langsung latar belakang sebagai seorang mekanik!

    AOS 2019: Toyota Corona TT132 – D.I.Y A sampai Z

    Kereta ini sebenarnya milik ayah Pali sejak dia di bangku sekolah rendah lagi, dan inilah pengangkutan sehariannya termasuk untuk pergi kesekolah. Tiba satu masa, kereta tersebut mahu dijual bagi mendapatkan kereta baharu, tetapi kerana harga yang terlalu murah ditawarkan oleh kedai kereta terpakai, Corona ini kekal duduk di rumah keluarga Pali sehingga tersadai.

    Pali yang sememangnya mempunyai hubungan sentimental dengan kereta ini akhirnya berusaha untuk menghidupkannya sendiri. Dia mula bergaul dengan komuniti peminat kereta lama, dan memperbaiki kereta berkenaan sedikit demi sedikit, sehingga membawa kereta tersebut berlumba di litar Batu Gajah, Perak.

    Walaupun kereta ini kurang digemari, Corona TT132 sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam keadaan standard. Dari kilang, ia sudahpun dijana oleh enjin 3T 1.8 liter dengan kepala silinder ‘hemi’, bersama kotak gear W50 sama seperti salah satu varian Toyota Celica generasi kedua. Malah kebanyakkan komponen-komponen suspensi seperti penyerap hentak dan bar anti-oleng boleh disalin terus dari Celica dan AE86 tanpa sebarang pengubahsuaian.

    Tahun 2011, saya dan rakan-rakan dikejutkan dengan berita Pali kemalangan di Cameron Highland. Dan selepas itu, dia agak senyap seketika, tetapi ia bukan pengakhiran sebaliknya kejadian tersebut dijadikan titik mula untuk episod baharu restorasi Corona TT132 ini.

    AOS 2019: Toyota Corona TT132 – D.I.Y A sampai Z

    Setelah bertanyakan berkenaan kos untuk merombak rawat sepenuhnya enjin kereta ini kepada bengkel, Pali berpendapat banyak kos yang dapat dikurangkan jika dilakukan sendiri. Jadi dia mula membeli kren untuk mengangkat enjin dan kelengkapan bengkel lain seperti torque wrench untuk melakukan tugas tersebut. Dia turut berjaya mendapat manual bengkel untuk panduannya sepanjang projek ini.

    Dalam masa yang sama, Pali mula membuang cat kereta ini dengan mengikisnya sendiri sehingga tinggal besi semata-mata. Kemudian badan kosong kereta tersebut dihantar ke bengkel membaiki badan kenderaan untuk memperbetulkan bahagian hadapan yang rosak semasa kemalangan dan membuang segala panel badan yang mula dijangkiti karat – Pali tidak membuat proses ini sendiri kerana peralatan yang perlu dibeli terlalu mahal.

    Setelah badan kereta ini pulang ke rumah, Pali terus menyembur cat primer sendiri bagi mengelakkan ia berkarat semula. Buat masa ini, dia tidak menyimen badan kereta tersebut dan memberikan cat akhir sebenar kerana ia mungkin akan memakan masa yang agak lama, dan dia perlukan kereta ini untuk bergerak kemana-mana. Namun Pali berpuas hati dengan mengetahui badan kereta tersebut bebas karat, walaupun rupanya tidak sempurna.

    Berbalik pada enjin, ia kini dalam keadaan seperti kereta baharu dengan kesemua gasket dan komponen lusuh dan haus lain telah ditukar. Pali mengecat kembali hampir keseluruhan komponen enjin tersebut supaya kelihatan seperti baharu, termasuk penutup kepala silinder yang diberikan cat hitam dengan kesan wrinkle.

    Pali membuat sedikit pengubahsuaian pada karburator asal bagi meningkatkan responnya. Coil untuk sistem pencucuhan turut ditukar menggunakan unit dari Bosch, manakala penutup distributor ditukar kepada komponen lutsinar yang menampakkan setiap agihan percikan api ketika enjin tersebut hidup.

    Ruang enjin Corona ini diberikan perhatian yang luar biasa oleh Pali. Cat primer pada bahagian ini diberikan lapisan clear yang berkilat. Kemudian wayar-wayar disorokkan dan bateri juga telah dialih ke but belakang. Anda nampak paip-paip dan receiver drier untuk sistem pendingin hawa yang sangat kemas pada ruang enjin ini? Ini bukan hasil kedai, tetapi Pali membina semula sistem tersebut sendiri di rumahnya.

    Satu lagi perkara rumit yang dilakukan oleh Pali adalah sistem pendawaian kereta ini. Wayar-wayar tersebut bukan sahaja disorokkan oleh Pali, malah dia telah membuat satu papan fius baharu kereta yang sangat kemas, disorokkan dalam glove box. Menurut Pali, dengan papan fius yang memusatkan kesemua sistem elektrikal kereta berkenaan, apa-apa yang tidak kena lebih mudah untuk diperiksanya sendiri.

    Jika kita hantar ke bengkel, kos untuk membuat semula sistem pendawaian ini bukanlah sesuatu yang murah kerana ia sangat rumit. Sekarang anda bayangkan pula bagaimana perkara ini dilakukan oleh seseorang yang tidak pernah belajar berkenaan automotif secara formal, dan ia hanya dilakukan di rumah.

    AOS 2019: Toyota Corona TT132 – D.I.Y A sampai Z

    Suspensi kereta ini turut mendapat sentuhan Pali sendiri. Pemasangan strut suspensi hadapan masih lagi asli Corona, tetapi penyerap hentak di dalamnya kini menggunakan unit boleh laras yang diambil dari AE86, kemudian dikahwinkan dengan spring yang boleh dilaras ketinggiannya.

    Di belakang pula, penyerap hentak asal telah digantikan dengan penyerap hentak boleh laras untuk Mitsubishi Lancer GT, digandingkan dengan spring diambil dari Volvo 240, dan dipotong bagi memberikan ketinggian yang sama dengan hadapan. Bagi melengkapkan rupa luaran Corona ini, Pali masih lagi mengekalkan muka, lampu belakang dan semua perapi-perapi krom asli Corona TT132. Untuk memberikan imej sebuah mesin lumba Jepun pula, sepasang cermin sisi ‘tanduk’ Corona JDM an juga spoiler dagu hadapan.

    Rim hadapan dan belakang Corona ini nampak macam sama bukan? Namun sebenarnya bahagian hadapannya diberikan rim replika Black Racing 15-inci dengan lebar 9 jj dan offset 0 dibalut tayar Achilles ATR Sport bersaiz 195/50R15, manakala di belakang pula adalah rim Atara Racing Pisang juga dengan diameter dan lebar sama tetapi dengan offset -13 bersama tayar Toyo Proxes TR1 dengan saiz sama.

    Proses restorasi Toyota Corona TT132 ini tidak berakhir di sini dan Pali akan meneruskannya mengikut kemampuannya. Dia sendiri berharap satu hari nanti kereta ini turut akan tampil dengan warna badan yang merelip. Orang ramai mungkin rasa kereta Corona Pali tidak seberapa, tetapi setelah diberitahu bahawa semua ini dilakukan sendiri dirumah, kebanyakkan mereka akan membeliakkan mata seolah-olah tidak percaya.

     
     
  • Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Rasanya ramai sudah tahu, hanya tunggu masa sahaja sebelum Kia memperkenalkan versi ubah suai ekstrem untuk kereta sports mereka, iaitu Stinger. Kini, masa itu telah tiba dan Kia mendedahkan Stinger GT420 – sebuah jentera litar yang dibangunkan bersama cabang kejuruteraan mereka di United Kingdom dan Eropah, dengan diketuai oleh bekas jurutera Ford, Tyrone Johnson.

    Asas yang digunakan adalah Stinger GT, yang dilengkapi dengan enjin petrol V6 3.3 liter twin turbo, dengan kemampuan 365 hp dan 510 Nm tork. Sudah tentu, kuasa daripada enjin asal ini ditingkatkan lagi sehingga menjadi 428 hp dan 560 Nm, hasil penggunaan palam pencucuh HKS M45il, penapis udara sports K&N dan sistem ekzos empat muncung serba ringan Milltek Sport tanpa catalytic converter.

    Untuk sistem penyejukan, transmisi automatiknya dipasang dengan penyejuk enam baris (menggantikan unit empat baris standard) manakala pengawal transmisi telah dikalibrasi semula untuk penukaran gear yang lebih cepat dalam mod Sport dan Sport+.

    Disebabkan ini adalah versi kegunaan litar, bahagian dalam juga dikosongkan untuk menjadikannya lebih ringan. Bermakna, tiada lagi barangan asal seperti tempat duduk, tali pinggang, sistem bunyi, pelindung bawah enjin dan badan, pengesan jarak, penyerap bonet dan but, serta motor cermin belakang, manakala cermin belakang pula dilekatkan terus kepada rangkanya. Bumbung suria pula diganti dengan panel besi dengan struktur honeycomb.

    Selepas dipasang dengan roll cage, tempat duduk lumba Sparco berserta tali pinggang khas, pemadam api dan bateri LiPo Lite Blox, kereta ini masih dapat mencatat berat kurang sebanyak 150 kg berbanding asal. Kemudiannya, ia juga dipasang dengan rim Leggera OZ Racing yang dibalut tayar Pirelli Trofeo R, angkup brek Brembo enam piston, cakera 380 mm, pad brek Endless serta crossmember hadapan yang diubah suai untuk meningkatkan sudut camber kepada -2.5 darjah.

    Pada roda belakang, brek standard Stinger GT masih lagi dikekalkan, tetapi semua roda diberikan penyalur udara sebagai sistem penyejuk. Penyerap hentak jenis adaptif asal Stinger GT kini diganti dengan penyerap biasa, dan dipadankan bersama spring Eibach Pro serta anti-roll bar 25 mm di hadapan dan 17 mm di belakang.

    Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Sistem keselamatan elektronik seperti ABS, kawalan cengkaman dan ESC pada kereta ini juga telah dilaras semula untuk kegunaan dalam litar, dan Kia memberitahu Stinger GT420 lebih mudah melakukan drift, terutamanya dalam mod Sport+ dengan kawalan cengkaman dan ESC ditutup sepenuhnya.

    Akhir sekali, untuk menjadikan penampilannya lebih garang, GT420 dipasang dengan splitter hadapan, diffuser belakang serta spoiler belakang daripada Air Design. Pelengkapnya adalah grafik dua tona merah dan putih.

     
     
  • JPJ umum syarikat korporat dan swasta kini boleh mohon untuk miliki nombor pendaftaran khas

    JPJ umum syarikat korporat dan swasta kini boleh mohon untuk miliki nombor pendaftaran khas

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka permohonan kepada syarikat korporat dan swasta untuk untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan mulai 26 Julai lalu.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid, setiap permohonan syarikat dikenakan bayaran sebanyak RM5 juta di mana pemohon yang berjaya akan diberikan nombor bermula dari angka 1 sehingga 1,000, manakala bayaran RM1 juta akan dikenakan bagi permohonan 1,000 nombor berikutnya bermula dengan nombor 1,001.

    “Contoh, sekiranya syarikat PETRONAS berminat untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan, nombor pendaftaran pada kenderaan akan bermula dengan PETRONAS diikuti nombor 1 sehingga nombor terakhir,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya lagi, syarikat pemohon juga dibenarkan menjual nombor pendaftaran yang diperoleh pada nilai yang ditetapkan masing-masing kepada pihak yang berminat untuk mereka menjana pendapatan tambahan. Di mana siri nombor khas itu dibenarkan dijual sepanjang masa sehingga angka terakhir.

    Shaharuddin berkata kebenaran itu diberikan susulan langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada universiti awam (UA) untuk mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan bagi menjana pendapatan universiti, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu lalu.

    Menurut Loke, kerajaan memberi kelonggaran kepada UA mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan di mana dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan universiti. Di mana bayaran sebanyak RM500,000 dikenakan bagi setiap permohonan nombor plat khas itu dan UA akan diberikan sebanyak 10,000 nombor bermula dari nombor 1 sehingga 9999, dengan tempoh tiga tahun diberikan untuk menjalankan penjualan nombor tersebut.

     
     
  • Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    Proton X70 kini menjadi tambahan model terbaru keluaran Proton yang mula dijual di Brunei. Dengan kerjasama pengedar di sana, PAD Motors, Brunei menjadi pasaran eksport pertama bagi X70, dengan melibatkan penawaran tiga varian di sana.

    Ia dijual pada harga B$32,500 (RM98,028) bagi varian Standard 2WD, sementera varian pertengahan Executive 2WD dijual pada harga B$36,000 (RM108,585). Varian paling lengkap, Premium 2WD pula ditawarkan pada harga B$39,000 (RM117,634). Semua ini termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta upah buruh percuma bagi lima kali servis.

    Semua varian menggunakan enjin 1.8 liter turbocas, empat-silinder, suntikan terus petrol dengan janaan kuasa 181 hp dan 285 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik enam-kelajuan ke roda hadapan.

    Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    X70 di Brunei turut menerima sistem Geely Smart Ecosystem (GKUI), dengan ciri skrin sentuh TFT LCD lapan-inci, sambungan Mirrorlink bagi telefon Android dan arahan suara untuk pengaktifan “Hi Proton.” Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada enam-beg udara, Isofix, ABS, EBD, Brake Assist, Auto Brake Hold, ESC, kawalan cengkaman, Hill Hold Assist dan kawalan menuruni curam.

    Tambahan ciri bagi barian Executive dan Premium adalah seperti ciri tinjauan sekeliling dan Advanced Driver Assist Systems (ADAS). Ini termasuk Automatic Emergency Brake (AEB), Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (IHBC). Dengan permulaan langkah eksport X70 ke Brunei ini, SUV berkenaan dijangka akan menembusi pasaran Indonesia pula.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G – dari RM83,888

    Apa sebab mengapa UMW Toyota terus pasang model Yaris ini di kilang barunya, di Bukit Raja? Ini model kedua pemasangan tempatan (CKD) di kilang berkenaan. Salah satu faktor mungkin, Toyota cukup yakin yang Yaris akan mendapat perhatian meluas dan diterima baik dalam pasaran tempatan.

    Penawaran harga Yaris pula memang lebih rendah daripada Vios. Dan, dalam segmen B hatchback, Yaris turut mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pesaing-pesaing yang ada. Jadi, apa kelainan yang dimaksudkan itu? Perkara-perkara ini yang kami gariskan dan tunjukkan dalam video ini. Tonton untuk tahu lebih lanjut.

    Secara ringkasnya, model Yaris adalah versi hatchback bagi versi sedannya, Toyota Vios. Sebab itu ia ditawarkan dengan pilihan varian yang sama iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G. Bagaimanapun, harga Yaris adalah sedikit lebih rendah berbanding Vios, jika dibandingkan dengan varian yang setara – menjadikannya pilihan yang lebih ringkas, tetapi dalam imej yang lebih muda dan sporty.

    ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G – dari RM83,888

    Yaris J dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, sementara versi pertengahan Yaris E dijual pada harga RM76,888. Manakala versi tertinggi, Yaris G yang kami tampilkan di dalam galeri ini pula pada harga RM83,888. Lima warna disediakan untuk semua varian Yaris iaitu Super White II, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan warna hero Citrus Mica Metallic.

    Ketiga-tiga varian ini turut menerima unit janakuasa yang sama dengan Vios iaitu enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, dan istimewa untuk varian E dan G ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic.

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula CR-V tahun 2018 – butang tuil gear perlu ditukar, libatkan 7,050 unit

    Honda Malaysia panggil semula CR-V tahun 2018 – butang tuil gear perlu ditukar, libatkan 7,050 unit

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan kempen kemaskini produk yang melibatkan 7,050 unit SUV segmen-C Honda CR-V model tahun 2018, untuk menukar butang pada tuil penukar gear (push knob button) sebagai langkah pencegahan. Walau bagaimanapun, model-model yang berada dalam bilik pameran tidak terlibat dengan panggilan semula ini dan HM menyatakan bahawa mereka akan terus telus dan mengetatkan kawalan untuk pelanggan mereka.

    Tuil penukar gear model yang terlibat mungkin akan menyebabkan pemilik sukar untuk menggerakkan tuil gear dari kedudukan ‘P’, dan panggilan semula ini adalah sebagai langkah mencegah untuk berlakunya simptom berkenaan. HM turut meminta maaf kepada kerana perlu ke pusat servis kerana kempen kemaskini produk tersebut.

    Tiada sebarang kos pemasangan mahupun kos buruh dikenakan kepada pelanggan, kerana kesemuanya akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Pemilik-pemilik yang terlibat akan dihubungi menerusi surat, lengkap dengan perincian kempen kemaskini produk berkenaan. Pelanggan yang telah menerima surat tersebut dinasihatkan untuk menghantar kereta mereka ke pusat servis terdekat untuk diperiksa.

    Tidak pasti sama ada CR-V terlibat atau tidak? Anda boleh hubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 atau periksa di laman rasmi mereka, www.honda.com.my.

     
     
  • Porsche 911 Carrera, Carrera Cabriolet 992 didedah

    Porsche 911 Carrera, Carrera Cabriolet 992 didedah

    Barisan model Porsche 911 992 telah ditambah lagi dengan pengenalan model asas Carrera, yang ditawarkan dalam bentuk badan coupe dan cabriolet. Buat masa sekarang, kedua-duanya ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang sahaja, manakala versi pacuan empat roda ‘Carrera 4’ akan menyusul kemudian.

    Sebagai sebuah model permulaan bagi 911, Carrera menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 385 PS (380 hp) dan 450 Nm tork – kurang 65 PS (64 hp) dan 80 Nm berbanding Carrera S. Walaubagaimanapun, jika dibandingkan dengan model generasi 991 sebelumnya, ia masih meningkatkan sebanyak 15 PS (15 hp). Kedua-duanya juga mendapat transmisi klac berkembar lapan kelajuan PDK secara standard, dengan Wet Mode atas sebab keselamatan.

    Pada aspek prestasi, 911 Carrera Coupe boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat, ataupun 4.0 saat apabila dipasang dengan Sport Chrono Package (pilihan tambahan). Model cabriolet pula mengambil masa 4.4 saat untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j, dan apabila dipasang dengan Sport Chrono Package, ia menjadi 4.2 saat.

    Pecutan model cabriolet sedikit lambat kerana bumbung boleh lipatnya mempunyai tambahan berat 70 kg, berbanding 1,505 kg pada model coupe. Selain daripada itu, model coupe juga mempunyai laju maksimum lebih tinggi iaitu 293 km/j berbanding cabriolet yang cuma 291 km/j.

    Sebagai perbandingan, model di atasnya iaitu Carrera S mengambil masa 3.7 saat (3.5 saat dengan pakej SC) untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j dan laju maksimum 308 km/j manakala Carrera S Cabriolet mencatat masa 3.9 saat (3.7 saat dengan pakej SC) dan laju 306 km/j.

    Secara visualnya, kebanyakan bahagian model asas ini sama sahaja seperti Carrera S, kecuali ia dipasang dengan rim yang lebih kecil. Roda hadapan menggunakan rim 19 inci yang dibalut dengan tayar 235/40 manakala di belakang menggunakan saiz 20 inci dengan tayar 295/35. Kuasa henti datang daripada angkup empat piston dan cakera 330 mm.

    Di dalam, anda akan menemui banyak ciri seperti Carrera S, termasuk skrin sesentuh 10.9 inci untuk sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dan panel paparan instrumen tujuh inci dengan penunjuk rpm analog yang terletak di bahagian tengah secara standard. Di Jerman, Porsche 911 Carrera Coupe dijual pada harga 104,655 euro (RM481,802), manakala 911 Carrera Cabriolet bermula pada harga 118,935 euro (RM547,543).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024