Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Toyota dan Subaru sepakat bangunkan platform BEV

    Toyota dan Subaru sepakat bangunkan platform BEV

    Toyota dan Subaru telah mengumumkan jalinan kerjasama untuk membangunkan platform bagi bateri kenderaan elektrik (BEV) bagi kenderaan pelbagai saiz, termasuk sedan segmen-C dan -D serta SUV.

    Sebahagian daripada perjanjian itu, SUV BEV segmen-C akan dijual di bawah jenama masing-masing, seperti kerjasama terdahulu yang melibatkan Toyota 86 dan Subaru BRZ. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, platform tersebut bakal menggunakan kepakaran Subaru dalam teknologi pacuan semua-roda dan kenderaan elektrifikasi pula oleh Toyota.

    Bagi kepakaran kenderaan elektrifikasi, Toyota akan berkongsikan teknologi plug-in hybrid dengan Subaru bagi model XV Hybrid, model PHEV pertama dari Subaru. Buat masa ini, Toyota hanya menawarkan kenderaan elektrik penuh menerusi model C-HR EV dan Izoa EV.

    Dengan pengkomersilan bagi BEV yang pasti memberikan beberapa cabaran tersendiri, terutamanya bagi Subaru, kerjasama sebegini pastinya mampu menyusun langkah yang lebih strategik untuk membantu masalah pembangunan, kos dan rantaian bekalan. Untuk tujuan tersebut, Subaru kini telah mengubah pembangunan BEV sedia ada untuk projek kerjasama baharu ini.

    Buat masa ini, tiada perincian untuk projek berkenaan, termasuk jumlah motor dan saiz bateri yang platform berkenaan mampu kendalikan. Walau bagaimana pun, kedua-dua syarikat memahami keperluan segera untuk CASE (ketersambungan kenderaan, autonomous atau bantuan pemanduan, perkongsian kenderaan atau mobiliti baharu, dan penjana kuasa elektrifikasi serta komponen) baharu.

     
     
  • Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Hari ke-11 tambah 13 kematian, Selangor catat kemalangan maut tertinggi

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri:  Hari ke-11 tambah 13 kematian, Selangor catat kemalangan maut tertinggi

    Polis DiRaya Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya menyebut hari ke-11 Op Selamat 15 bersempena musim perayaan Aidilfitri merekodkan penambahan 13 kematian akibat kemalangan jalan raya. Jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan sebanyak 189 kes sehingga semalam.

    Bernama melaporkan, jumlah kemalangan turut meningkat kepada 18,053 kes, berbanding hari sebelumnya sebanyak 16,470 kes.

    “Setakat semalam, Selangor merekodkan jumlah kematian terbanyak melibatkan lima kematian diikuti Johor dengan tiga kematian, sementara Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Kelantan serta Sarawak masing-masing mencatat satu kematian,” ujar Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad.

    Asmawati berkata Selangor masih menyumbang kepada jumlah kemalangan tertinggi dengan 4,715 kes, diikuti Johor (2,781), Kuala Lumpur (2,140) dan Perak 1,517 kes.

    “Pihak polis mengadakan sebanyak 3,226 operasi sementara 241,144 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

    Op Selamat 15 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 12 Jun ini, memberi tumpuan terhadap enam kesalahan utama melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • PLUS bagi potongan tol 20% sepanjang Raya pertama

    PLUS bagi potongan tol 20% sepanjang Raya pertama

    Kepada sesiapa yang akan menggunakan Lebuhraya PLUS sepanjang hari Raya pertama esok, ada berita baik untuk anda. PLUS akan berikan potongan harga bagi kadar tol sebanyak 20% bagi tempoh 24 jam bermula tengah malam ini – tertakluk kepada masa anda keluar dari lebuhraya, dan bukannya ketika memasuki lebuhraya berkenaan.

    “Potongan harga ini kami berikan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan sempena perjalanan balik kampung bagi Aidilfitri kali ini,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Diskaun 20% ini sah bagi semua kenderaan persendirian yang menggunakan rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), ELITE, LinKedua, Lebuhraya Butterwort-Kulim, LPT2 dan Jambatan Pulau Pinang.

    Bagaimanapun tiada diskaun bagi transaksi di Plaza Tol Tanjung Kupang (LinKedua). Tawaran ini juga tidak terpakai bagi mereka yang ketika ini sedang menikmati diskaun tol 20% untuk Jambatan Pulau Pinang. Selamat Hari Raya!

     
     
  • Audi A6 C8 3.0 TFSI tiba di Malaysia – RM589,900

    Audi A6 C8 3.0 TFSI tiba di Malaysia – RM589,900

    Selain dari A7 Sportback, Audi juga telah membawa sedan A6 bagi memberikan cabaran terus kepada BMW 5 Series dan Mercedes-Benz E-Class. Ia dijual dalam versi 3.0 liter V6 TFSI quattro, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM589,900. Sebagai perbandingan, model facelift A6 3.0 TFSI generasi C7 dijual pada harga RM484,900.

    Ia dijana enjin petrol V6 TFSI berkuasa 335 hp dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S Tronic, bersama sistem pacuan semua roda quattro Audi. Ini membolehkan A6 3.0 TFSI memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Model ini turut dilengkapi sistem hibrid ringkas 48-volt, terdiri dari bateri lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan oleh tali-sawat. Sistem ini membolehkan kereta berkenaan ‘berlayar’ dengan enjin dimatikan dalam kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

    Seperti A7, A6 ini turut menerima lampu hadapan dan belakang LED, bersama pakej penggayaan S Line yang terdiri dari liang kemasukan udara lebih agresif bersama kemasan sama di belakang. Ia juga dilengkapkan dengan rim aloi 20-inci dibaluti tayar 255/40R20.

    Pada bahagian dalaman, A6 turut berkongsi banyak ciri dengan A7. Pamandu menerima paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 12.3-inci dan juga paparan head-up. Manakala ditengah, skrin infotaimen bersaiz 10.1-inci diletakkan di atas untuk sistem MMI Navigation Plus, disambungkan ke sistem bunyi Bang & Olufusen.

    Manakala di bawah satu lagi skrin dengan saiz 8.6-inci diletakkan untuk kawalan lain seperti pendingin hawa, pad sesentuh untuk menaip dan sebagainya. Sedikit berbeza dengan A7, A6 diberikan kemasan upholsteri berwarna perang.

     
     
  • Skoda Mountiaq trak pikap konsep, asas dari Kodiaq

    Skoda Mountiaq trak pikap konsep, asas dari Kodiaq

    Jangan tak tahu, Skoda pun ada angan-angan untuk bangunkan trak pikap. Model konsep ini, Skoda Montiaq, diasaskan daripada sebuah lagi model jenama itu, SUV Kodiaq. Trak ini mempunyai dimensi 4,999 mm panjang, 2,005 mm lebar dan 1,710 mm tinggi.

    Jarak antara roda pula ialah 2,788 mm dan berat keseluruhan 2,450 kg. Jarak kelegaan tanah pula 290 mm, dengan rim 17-inci Rockstar II. Enjin menggunakan unit 2.0 liter TSI empat-silinder seperti Kodiaq, menghasilkan 190 PS dan 320 Nm tork. Ia digandingkan pula dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

    Rekaan projek khas ini dihasilkan oleh 35 orang tenaga perintis dalam Skoda (termasuk enam perempuan) dan disokong oleh tanaga pakar dari bahagian Rekaan, Pengeluaran dan Pembangunan Teknikal Skoda sendiri.

    Umumnya, Mountiaq masih mengekalkan banyak ciri rekaan dari Kodiaq, tetapi diberikan penampilan lebih rugged sesuai dengan imej trak pikap yang ingin dibawanya. Bampar depan misalnya, siap dengan bullbar tebal dan juga alat winch prestasi tinggi. Lampu tambahan juga banyak disediakan, terutama pada bahagian bampar, bumbung dan di ruang barangan belakang.

    Bahagian truck bed juga mempunyai banyak ruang simpanan kecil yang berasingan. Warna Sunset Orange yang digunakan juga merupakan warna khas. Bahagian dalam antara lain mempunyai ciri peti sejuk. Head unit dengan skrin sentuhnya disambung kepada satu set pembesar suara 320-watt yang dipacu oleh amplifier 2,000-watt dan sebuah lagi subwoofer 2,000-watt.

    Secara keseluruhannya, pasukan berkenaan mengambil masa selama lapan bulan dan lebih daripada 2,000 jam untuk membangunkan Skoda Mountiaq ini. Anda rasa, trak pikap ini nampak cukup menarik atau sebaliknya?

     
     
  • Brabus tunjukkan dua versi Mercedes-AMG G63 mereka – Black Ops 800 dan Shadow 800, unit terhad

    Brabus tunjukkan dua versi Mercedes-AMG G63 mereka – Black Ops 800 dan Shadow 800, unit terhad

    Mercedes-AMG G63 adalah sebuah kereta yang cukup gagah atas jalan, tapi Brabus merasakan mereka boleh membuat generasi baru Gelandewagen ini lebih ganas. Jadi, syarikat ubah suai dari Jerman ini memperkenalkan Brabus Shadow 800 dan Brabus Black Ops 800.

    Hanya 10 unit untuk setiap model ini akan dihasilkan dan enjin 4.0 liter twin-turbo padanya juga telah diusik oleh Brabus untuk menghasilkan 800 PS (789 hp) dan 1,000 Nm. Bezanya adalah banyak dengan model standard, kerana G63 apabila keluar dari kilang cuma boleh menghasilkan 585 PS (577 hp) and 850 Nm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.1 saat

    Turut menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah sistem ekzos stainless steel dengan muncungnya yang berwarna krom gelap keluar di bahagian tepi kenderaan. Ia juga datang dengan injap khas yang membolehkan pengguna memilih mod bunyi terkawal atau liar.

    Kedua-dua model yang dikeluarkan oleh Brabus ini sebenarnya menggunakan kit badan Brabus Widestar yang sama – menambah lebarnya 100 mm lagi – serta rim ‘Platinum Edition’ 23 inci, tetapi bezanya cuma pada skema warna, termasuk kemasan bahagian dalam.

    Melihat kepada Black Ops 800, badannya dicat warna hitam berkilat dengan kemasan merah, termasuk pada angkup brek. Kemudiannya, skup udara atas hud serta kemasan keliling lampu LED menggunakan gentian karbon yang berkilat. Masuk ke dalam, kulit yang digunakan adalah berwarna kelabu gelap, dan dipadankan bersama jahitan merah, sementara kemasan plastik diganti dengan gentian karbon.

    Shadow 800 pula datang dalam warna dua tona, dengan kelabu gunmetal yang utama dan hitam di beberapa bahagian lain. Kemasan gentian karbon pada model ini juga lebih banyak termasuk pada keliling gril, skup udara, lampu LED atas bumbung, tepi sayap bumbung belakang serta keseluruhan penutup tayar simpanan.

    Di bahagian dalamnya pula Shadow 800 menggunakan kulit warna ‘Light Shadow Grey’, dengan sentuhan kemasan hitam dan merah. Tiang a-pillar ditutup dengan kain Alcantara dan turut melihatkan banyak penggunaan gentian karbon pada bahagian lain. Kedua-dua model juga datang dengan lencana keluaran khas. Untuk harga, Black Ops 800 bermula dari 275,055 euro (RM1,292,985) manakala Shadow 800 dijual bermula pada 327,621 euro (RM1,540,088).

    Black Ops 800

    Brabus Shadow 800

     
     
  • Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

    Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

    Kecoh di laman sosial bahawa ada lagi insiden pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menumpahkan minyak di dua kawasan popular ketika musim perayaan ini iaitu di Terowong Menora dan Kilometer 75.7 Lebuhraya Karak. Namun menurut laporan Bernama, kedua-dua berita yang tular tersebut adalah insiden lama yang ditularkan kembali.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Zakaria Abd Rahman, hasil rondaan sepanjang Op Selamat 15 tidak menemukan sebarang kesan tumpahan minyak seperti di dalam gambar yang tular.

    “Saya juga telah membuat semakan dan tiada sebarang kenderaan seperti di dalam gambar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu,” katanya.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menafikan kejadian tumpahan minyak di sekitar laluan sebagaimana yang didakwa. Menurut jurucakap LLM, pihaknya tidak menerima sebarang insiden tumpahan minyak di kawasan berkenaan sepanjang dua hari lalu dan mengesahkan bahawa laluan itu selamat digunakan oleh pengguna jalan raya ketika ini. Menurutnya lagi, gambar yang tular itu dipercayai kejadian pada tahun 2017.

    Sementara itu di Karak, pemegang konsesi lebuhraya tersebut, Anih Berhad menerusi satu kenyataan media menafikan dakwaan berlaku kejadian yang sama di Kilometer 75.7 dan ia sebenarnya adalah insiden lama yang berlaku pada 6.28 petang, 3 Julai 2017.

    “Ia adalah kemalangan lama membabitkan tujuh kenderaan yang berlaku akibat kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya,” tulis kenyataan tersebut.

    Penularan mesej di Km75.7 itu merupakan insiden kedua yang membabitkan lebuh raya itu pada bulan ini, selepas insiden pertama kononnya berlaku tumpahan minyak antara Km46.2 hingga Km46.8 arah timur berhampiran Bukit Tinggi.

    Justeru, Anih Berhad meminta orang ramai untuk menghentikan penularan mesej terbabit kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan suasana panik, terutamanya semasa orang ramai rancak pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

     
     
  • Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Ternyata langkah Perodua dalam memperkenalkan Aruz di pasaran tepat pada masanya, apatah lagi tatkala SUV kian menjadi pilihan di negara ini. Sejak dilancarkan pada pertengahan Januari lalu, Perodua telah menghantar 52% daripada 25,000 tempahan yang diterima, iaitu sekitar 13,000 unit kini telah berada di jalan raya.

    “Kami telah berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua Aruz antara SUV yang terlaris di negara ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Dalam masa yang sama, Zainal turut memohon maaf kepada para pelanggan yang masih belum menerima kereta mereka untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. “Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya. Perodua sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” katanya.

    Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Menurut data jualan kenderaan yang direkodkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut kiraan dalaman. Ini membawa jumlah lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit – lonjakan 8.5% berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.

    “Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan kami yang telah membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan mengekalkan kualiti mereka untuk memenuhi permintaan tinggi bagi model-model Perodua, yang kesemuanya mengandungi lebih 90% komponen tempatan,” kata Dato’ Zainal.

    SUV tujuh tempat duduk ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X yang berharga RM72,900 dan 1.5 Advance (AV) yang berharga RM77,900 (harga tidak termasuk insurans). Kedua-dua varian ini masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.

     
     
  • Touch ‘n Go PayDirect akan beroperasi di lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS pula selepas ini

    Touch ‘n Go PayDirect  akan beroperasi di lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS pula selepas ini

    Ketika ini, ada 16 lebuhraya di Malaysia yang menyediakan sokongan untuk ciri Touch ‘n Go PayDirect, yang membolehkan membayar tol menggunakan eWallet mereka melalui kad TnG sedia ada.

    Selepas ini, perkhidmatan itu akan dilanjutkan pula kepada tol sistem tertutup seperti Lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 20 lebuhraya. Bagaimanapun, tiada jangka masa yang dinyatakan bagi pelaksanaan di lebuhraya-lebuhraya tersebut.

    Perkhidmatan PayDirect membolehkan pengguna menghubungkan tiga kad Touch ‘n Go kepada aplikasi eWallet mereka. Sebaik saja kad itu dihubungkan ke eWallet, caj tol akan dipotong secara automatik dari eWallet bila-bila masa kad yang dihubungkan itu digunakan di plaza tol (secara sentuhan biasa ataupun melalui SmarTAG), tanpa sebarang potongan kepada kad berkenaan.

    Sekiranya eWallet tidak mempunyai jumlah baki yang cukup, barulah caj akan dipotong daripada baki pada kad fizikal. Bagaimanapun, anda boleh mengekalkan jumlah baki dalam kad sekiranya anda mengaktifkan ciri “auto-reload” pada eWallet.

    Untuk menambah nilai eWallet, ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar menggunakan kad kredit atau debit, perbankan atas talian atau TNG Reload PIN tanpa dikenakan caj tambahan. Ramai yang dah pernah cuba sistem baru ini?

     
     
  • BMW Malaysia dan Childline Foundation anjur kempen ‘From Day One’ – advokasi kerusi kanak-kanak

    Menerusi program, ‘BMW Safety 360° Programme’ edisi kelima, BMW Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Childline Foundation – sebuah organisasi bukan bermotifkan untung yang bermatlamat untuk memberi kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan kanak-kanak, untuk melancarkan kempen ‘Dari Hari Pertama’ (‘From Day One’). Kempen tersebut berhasrat untuk menaungi kepentingan kerusi kereta kanak-kanak, terutamanya untuk kelahiran bayi baharu.

    Dengan sokongan Chicco Malaysia, BMW Malaysia akan menghadiahkan set kerusi kereta ini kepada enam bayi yang pertama dilahirkan pada Hari Bapa di Hospital Putrajaya. Ibu bapa bayi-bayi berkenaan juga akan mempelajari amalan yang betul berkaitan keselamatan kanak-kanak daripada konsultan keselamatan penumpang daripada Childline Foundation. Sesi perkongsian tersebut akan meliputi kriteria pemilihan kerusi kereta kanak-kanak yang wajar, kaedah pemasangan yang betul, serta kitaran hidup kerusi khas berkenaan.

    Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Sejak tahun 2015, BMW Safety 360° Programme telah beriltizam untuk menaungi nilai-nilai keselamatan bagi pemandu, penumpang serta pengguna jalan raya. Melalui kempen ‘From Day One’, kami berharap pihak ibu bapa menyedari betapa mustahaknya perlindungan seperti ini diberikan kepada bayi mereka sejurus mereka keluar dari hospital bersalin.”

    Klik untuk besarkan

    Sambungnya lagi, “Kami turut berharap untuk mendidik mereka tentang kaedah pemasangan dan penggunaan yang betul melibatkan kerusi kanak-kanak ini. Kepentingannya adalah sama seperti pemakaian tali pinggang keledar, agar tahap keselamatan setiap individu dapat dipelihara,” ujar Harald.

    Menerusi kempen tersebut, BMW Malaysia dan Childline Foundation juga akan berkongsi informasi penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka selamat sewaktu perjalanan balik kampung masing-masing.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kenderaan bakal diwajibkan pada tahun 2020. “Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia, tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

    BMW Malaysia dan Childline Foundation anjur kempen ‘From Day One’ – advokasi kerusi kanak-kanak

    Sebagai pengetahuan, untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

    Dan mereka juga perlu didudukkan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

    Malaysia merupakan salah satu negara yang menandatangani perjanjian World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations WP 29. Salah satu peraturan yang Malaysia bersetuju untuk menggunapakai adalah peraturan United Nations Regulation 44 atau UN R44 iaitu Uniform Provisons Concerning the Approval of Restraining Devices for Child Occupants of Power-Driven Vehicles atau Child Restraint System (CSR).

     
     
  • GALERI: Honda HR-V RS dengan dalaman hitam

    GALERI: Honda HR-V RS dengan dalaman hitam

    Semasa dilancarkan lima bulan lalu, Honda HR-V facelift datang dengan varian RS yang lebih sporty. Ia sebenarnya menggunakan varian Grade V sebagai asas dan dijadikan lebih bergaya. Bahagian dalam versi RS ini kemudiannya menggunakan warna Ivory.

    Sekarang, warna bahagian dalam telah diubah kepada hitam penuh, bermakna balutan kulit tempat duduk, konsol tengah, kemasan panel papan pemuka serta panel pintu yang sebelum ini berwarna Ivory semuanya kini berwarna hitam. Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan bagi varian ini.

    HR-V RS datang dengan gril sports di hadapan, hiasan pada lampu kabus, serta kemasan warna hitam pada bahagian seperti bawah bampar hadapan dan belakang, side sill serta cermin sisi. Pemegang pintu pula menggunakan warna krom manakala hiasan tepi nombor plet menggunakan warna krom gelap. Varian ini juga dilengkapi dengan rim 18 inci dua tona dengan tayar 225/50.

    Sama seperti varian petrol Grade E dan Grade V, HR-V RS dilengkapi dengan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC serta padanan kotak gear CVT, yang mampu menghasilkan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm tork pada 4,300 rpm. Unik baginya, ia dilengkapi dengan sistem stereng baru Variable Gear Ratio (VGR).

    Kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah termasuk lampu LED (dengan pelarasan automatik), lampu kabus LED, roda stereng kulit, skrin paparan sistem audio 7.0 inci serta tempat duduk pemandu larasan kuasa. Untuk ciri keselamatan terdapat Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan varian RS ini juga datang dengan kamera titik buta Honda LaneWatch.

    Honda HR-V RS dijual pada harga RM124,800 atas jalan tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.

     
     
  • Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Secara senyap, Audi Malaysia rupanya telah membawa model genarasi baharu A7 Sportsback ke pasaran tempatan. Kami telah ke Audi Glenmerie setelah menerima maklumat berkenaan, dan model ini disahkan di jual pada pasaran tempatan pada harga atas jalan tanpa insuran RM609,900.

    Jika dibandingkan dengan model facelift generasi sebelum ini yang juga diimport sepenuhnya (CBU), model terkini berkenaan nampaknya dijual dengan harga lebih rendah kerana versi yang dilancarkan pada tahun 2015 yang lalu dijual pada harga RM625,900.

    Model generasi kedua ini mula diperkenalkan pada peringkat global pada penghujung 2017. Ia masih lagi menerapkan bentuk badan Sportback sama seperti model sebelumnya, dengan saiz juga tidak jauh berbeza.

    Versi terkini ini hadir ke pasaran Malaysia dengan kemasan S Line yang lebih sporty dari model standard dan menerima lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, bersama set rim 20-inci dengan tayar UHP 255/40R20 Pirelli P-Zero.

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Perubahan terbesar untuk model baharu ini sebenarnya adalah pada bahagian dalaman. Ia diberikan kelengkapan kabin hampir sama seperti Audi A8 terbaharu menampilkan panel-panel kawalan digital sepenuhnya.

    Dua skrin diberikan pada bahagian tengah papan pemuka. Pada bahagian atas adalah skrin sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci (dengan tindak balas haptic) yang akan menghala ke pemandu serta direka agar “hilang” ketika enjin dimatikan.

    Manakala di bawah, skrin bersaiz 8.6-inci diberikan bagi mengawal sistem pendingin hawa, pemanas tempat duduk serta tetapan fungsi-fungsi lain seperti bantuan kekal lorong dan start/stop enjin. Ia juga bertindak sebagai pad sesentuh untuk menaip. Skrin yang sama turut terdapat pada SUV flagship Audi iaitu Q8.

    Model yang dipamerkan ini juga menerima pelbagai lagi kelengkapan lain seperti sistem bunyi Bang Olufsen, pendingin hawa empat-hala, paparan head-up, bumbung suria, dan juga papan pemuka dengan kemasan kulit. Pakej S line juga memberikan kemasan-kemasan gelap pada panel pintu A7 ini.

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Audi A7 Sportback TFSI dijana oleh enjin baharu 3.0 liter V6 turbo-berkembar menjana 340 hp dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S tronic dan juga sistem pacuan semua roda Audi Quattro. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Enjin ini juga sebenarnya turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) Audi, yang terdiri dari sistem elektrikal 48-volt, bateti lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan dengan tali sawat, memberikan kuasa pemulihan sehingga 12kW ke bateri ketika membrek.

    Dengan sistem MHEV ini, enjin akan dimatikan ketika kereta berkenaan ‘berlayar’ pada kelajuan 55 hingga 160 km/j, dan sistem start-stop enjin yang bermula pada 22 km/j. Secara keseluruhan, sistem ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 liter/100 km.

    Dalam pasaran, A7 Sportback ini akan berhadapan terus dengan Mercedes-Benz CLS, sebagai sedan empat pintu yang lebih sporty dari Audi A6 atau E-Class. Dari segi prestasi, CLS 450 mampu menghasilkan 362 hp/500 Nm dari enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris juga dengan sistem hibrid ringkas. Oleh itu, Mercedes berkenaan mampu untuk memecut dengan lebih cepat (0-100 km/j 4.8 saat) tetapi dijual lebih malah iaitu RM698,888.

     
     
  • Lamborghini kini taja pasukan MotoGP Pramac Ducati

    Lamborghini kini taja pasukan MotoGP Pramac Ducati

    Perlumbaan MotoGP yang berlangsung hujung minggu lalu di Mugello, Itali menjadi tempat pasukan Pramac Racing menunjukkan grafik baru jentera mereka setelah bertukar penaja utama dari Alma yang telah menarik diri kepada Lamborghini. Pramac juga sebelum ini memang pernah bekerjasama dengan Lamborghini.

    Penampilan jentera Desmosedici GP Ducati pasukan ini direka sendiri oleh pusat rekaan Lamborghini yang digelar sebagai Centro Stile Lamborghini, dengan warna utamanya adalah hitam dan kuning, sementara di tengahnya terdapat bintang tiga penjuru dengan jalur warna Itali.

    Kerjasama antara dua pasukan ini bukan setakat di dalam litar sahaja, malah turut pergi ke luar. Semasa minggu perlumbaan itu, pelumba serta pihak pengurusan pasukan berpeluang untuk memandu lima kenderaan Lamborghini di luar litar iaitu tiga model Urus, satu Huracan dan satu Aventador.

    Meskipun salah seorang pelumba pasukan ini iaitu Jack Miller kerap menunjukkan prestasi yang baik sejak kebelakangan ini, beliau bersama seorang lagi rakan sepasukan iaitu Francesco Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan di Mugello. Daripada kutipan mata keseluruhan, Miller kini di tempat keenam manakala Bagnaia di tempat ke-18.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    Antara cara mereka yang bertuah dapat melihat kereta yang belum dilancarkan di depan mata adalah semasa mereka melakukan penggambaran iklan di kawasan awam. Begitulah dengan jurugambar kami, yang berjaya menangkap Kia Seltos ini tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Nama crossover segmen B baru Kia ini dapat diketahui kerana lencananya terdedah, sedangkan sebenarnya jelas ia mempunyai rekaan yang sama dengan SP Signature yang muncul sebagai sebuah konsep awal tahun ini. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Seltos akan menjadi sebuah model global yang akan dipasarkan di seluruh dunia, kecuali Eropah kerana tempatnya sudah diisi oleh Stonic.

    Tidak banyak yang berubah daripada sebuah model konsep menjadi model produksi. Perincian bahagian depan masih sama, dengan lampu utama yang nipis – pada model konsep sedikit lebih besar – pergi kepada gril “tiger nose” serta lampu kabus LED yang duduk menegak di hujung bampar.

    SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    Turut dikekalkan adalah garis tingkap yang naik ke atas di bahagian belakang serta bumbung serba hitam yang seakan mengingatkan kenderaan ini kepada Volvo XC40. Seperti biasa, cermin sisi kereta konsep yang tidak praktikal telah diganti dengan unit yang lebih besar. Untuk rim, rekaannya masih sama, tapi kini berukuran satu inci lebih kecil iaitu 18 inci.

    Bahagian dalam masih belum dapat dilihat, tetapi lukisan yang didedahkan oleh pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini telah menunjukkan rekaan yang kontemporari dengan skrin infotainmen seakan terapung serta kemasan metalik pada corong pendingin hawa dan konsol tengah. Kia juga memberitahu Seltos akan mendapat sistem Sound Mood Lighting yang boleh bergetar mengikut muzik.

    Sama seperti Stonic, Seltos dijangka menggunakan asas yang sama seperti Rio dan mungkin ditawarkan dengan enjin yang sama, termasuk unit empat silinder petrol NA 1.25 dan 1.4 liter, tiga silinder turbo 1.0 liter petrol serta empat silinder diesel turbo 1.6 liter.

     
     
  • Filem Ford V Ferrari ditayang November ini – kisah benar permusuhan dua jenama dalam Le Mans 24 Jam

    Jika anda peminat filem-filem kisah benar dalam dunia perlumbaan seperti The World Fastest Indian dan juga Rush, ini satu lagi filem yang wajib anda tonton – Ford V Ferrari – yang akan ditayangkan pada bulan November tahun ini.

    Dibintangi oleh Christian Bale sebagai pemandu lagenda kelahiran British, Ken Miles dan juga Matt Damon sebagai lagenda sukan permotoran Amerika, Caroll Shelby, filem ini mengisahkan pertelingkahan antara dua jenama iaitu Ford dan Ferrari pada era 60’an, seterusnya melahirkan Ford GT40 yang dibina semata-mata mahu memalukan Ferrari dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam.

    Sinopsis ringkas – pada era berkenaan Enzo Ferrari berminat untuk menjual syarikatnya dan Ford Motor Company berminat untuk membeli. Walau bagaimanapun, Enzo menetapkan satu syarat bahawa divisi perlumbaan Ferrari mesti diletakkan di bawah selian beliau sepenuhnya.

    Ford bersetuju dan mula membuat pelbagai kertas kerja dan membuat penilaian aset-aset Ferrari, memerlukan mereka mengeluarkan dana berjuta dolar untuk kerja-kerja tersebut. Kemudian, Ford melarang Ferrari untuk berlumba pada kejohanan Indy 500 di Amerika, kerana Ford juga berlumba dalam perlumbaan tersebut dan mahu mengelak sebarang persaingan antara jenama di bawah satu bumbung.

    Enzo jelas marah dengan apa yang diumumkan Ford tersebut dan terus membatalkan segala urusniaga berkenaan penjualan syarikatnya itu. Insiden ini jelas membuatkan Ford bengang kerana mereka telah membelanjakan dana yang besar. Jadi, mereka mengambil keputusan bagi merosakkan reputasi Ferrari yang menjadi juara perlumbaan ketahanan Le Mans 24-Jam dari 1960 hingga 1965.

    Untuk itu, Ford dengan bantuan Caroll Shelby telah membina jentera perlumbaan khas untuk misi ini iaitu Ford GT40, dihasilkan dari kerangka Lola GT dengan enjin V8 Ford. Sejarah tercipta pada perlumbaan Le Mans 1966, di mana Ford telah menang dalam ‘perang’ tersebut – membelasah Ferrari dengan pukulan K.O dengan kemenangan 1-2-3. Takhta kejuaraan tersebut terus kekal milik Ford empat tahun berturut-turut hingga tahun 1969.

    Tak sabar nak tengok? Rileks, kita layan dulu trailer filem ini dalam video di atas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024