Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Kurang sebulan selepas Toyota Corolla Cross diperkenalkan di Thailand, SUV segmen C berkenaan kini dilancarkan pula untuk pasaran Indonesia. Hanya ada dua varian untuk pasaran di sana – satu petrol dan satu hibrid – dengan senarai kelengkapan yang sama antara keduanya.

    Harga bagi model petrolnya ialah 457.8 juta rupiah (RM131,200) dan 497.8 juta rupiah (RM142,700) bagi versi hibrid. Ini tidak jauh beza daripada harganya untuk pasaran Thailand; di sana ia dijual pada harga bermula 989,000 baht (RM133,000)

    Unit janaan kuasanya menggunakan enjin 1.8 liter. Bagi versi petrol, unit 2ZR-FE Dual VVT-i NA empat-silindernya menghasilkan sebanyak 140 PS pada 6,400 rpm dan 172 Nm pada 4,000 rpm, dan digandingkan dengan transmisi CVT.

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Versi hibrid pula menggunakan unit kitaran Atkinson pada unit 2ZR-FXE, menghasilkan sebanyak 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm. Ini disertai juga oleh motor elektrik yang menyediakan output 72 PS dan 163 Nm – menjadikan output keseluruhannya 122 PS.

    SUV kompak ini juga mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Dari segi dimensi, ia memiliki 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak antara roda pula ialah 2,640 mm. Ia dibangun menggunakan platform TNGA (GA-C) dan dibangunkan denan pendekatan “Corolla Meets SUV” – menggunakan kelangsungan nama dari model sedan popular Corolla.

    Ruang dalaman untuk penumpang dan barangan adalah luas. Rekaan dalaman pula banyak menggunakan elemen visual bersegi. Kemasan krom menghiasi garis melintang di sepanjang papan pemuka dan bersambung ke corong pendingin hawa, di tengah terletak sebuah skrin multimedia terapung yang jelas dan kawalan zon pendingin hawa digital yang ringkas.

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Kelengkapan standard termasuk lampu utama dan lampu kabus LED, rim aloi 18-inci dua tona, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin dua zon, bumbung berkuasa, skrin infotainmen boleh sentuh dan kamera undur.

    Versi hibrid menerima kemasan biru pada lampu utama, kerusi pemandu larasan enam-arah dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek serta kawalan kestabilan. Pakej Toyota Safety Sense yang ditawarkan untuk pasaran Thailand bagaimanapun tidak disertakan untuk pasaran Indonesia.

     
     
  • VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia telah pun mengesahkan model Arteon R-Line dan Passat R-Line bakal dilancarkan di negara ini pada 12 Ogos 2020. Kedua-dua model terbabit juga akan dipertontonkan dalam acara Volkswagen Tour, yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos ini di Pusat Membeli-Belah 1 Utama.

    Bagi Arteon R-Line yang pernah dikesan awal tahun ini di Rompin, Pahang, model pemasangan tempatan (CKD) ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TSI berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Kuasa akan disampaikan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion VW, bersama sistem differential lock elektronik XDS.

    Antara kelengkapan yang dijangka untuk model ini termasuklah roda Montevideo 19-inci, tailgate berkuasa, Active Info Display digital sepenuihnya, sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan kawalan pergerakan dan ketersambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit dan sistem bunyi dengan lapan-pembesar suara standard.

    VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    Bagi Passat R-Line pula, dijangka menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih bergaya, berkemungkinan turut menampilkan dua corong ekzos palsu. Logo R-Line turut ditampilkan, dengan padanan roda Verona 19-inci, iaitu satu-inci lebih besar berbanding unit Liverpool yang dipadankan pada 2.0 TSI Elegance.

    Tiada perincian mengenai penjana kuasanya, namun ia dijangkakan masih sama dengan Passat Elegance iaitu unit 2.0 liter empat-silinder TSI dengan 190 PS dan tork 320 Nm. Di mana ia adalah kurang 30 PS dan 30 Nm berbanding varian 2.0 Highline.

    Bagi memastikan harganya kompetitif, Passat R-Line ini mungkin tidak ditawarkan dengan sistem pacuan semua-roda Volkswagen 4Motion. Ia akan mengekalkan pacuan roda-hadapan, dan didatangkan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan klac-kering DQ318 secara standard. Tidak juga dinyatakan adakah ia akan ditawarkan dengan Dynamic Chassis Control (DCC) atau pun XDS electronic differential lock.

    Bagi ciri lain, dijangkakan ia akan menampilkan lampu utama LED IQ Light, lampu kabus LED, dan lampu belakang LED. Selain itu, ciri lain termasuklah roda stereng tiga-jejari balutan kulit dengan lencana R-Line, kluster instrumen digital yang dipertingkatkan serta sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan Wireless App Connect dan upholstery kulit.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kawalan suhu automatik tiga-zon, tiga port USB-C, dan sistem bunyi standard dengan lapan-speaker seperti mana Passat Elegance. Perincian lanjut mengenai kedua-dua model yang bakal dilancarkan ini akan didedahkan pada hari pelancarannya, termasuklah harga jualannya.

    GALERI: Volkswagen Arteon (spesifikasi Singapura)

     
     
  • Spoon hasilkan turbo besar bagi membolehkan Honda Civic 1.5L VTEC Turbo anda jana 275 PS dan 414 Nm!

    Spoon hasilkan turbo besar bagi membolehkan Honda Civic 1.5L VTEC Turbo anda jana 275 PS dan 414 Nm!

    Tahun lalu, penala Honda dari Jepun iaitu Spoon Sport mengumumkan bahawa kereta demo untuk Civic Hatchback FK7 1.5L VTEC turbo mereka menghasilkan kuasa 200 PS dengan hanya penggunaan kotak komputer Hondata FlashPro, tanpa mengusik mana-mana komponen lain termasuk pengecas turbo.

    Terbaharu, kereta demo berkenaan kini telah pun menghasilkan 275 PS dan tork maksima 414 Nm dengan pengunaan pengecas turbo baharu yang lebih besar. Pengecas turbo Spoon yang dihasilkan bersama Mitsubishi Heavy Industri (MHI) ini mempunyai diameter kipas turbin 40 mm (standard hanya 37 mm) dan kipas pemampat pula berdiameter 49 mm (standard hanya 46 mm).

    Menurut Spoon, bagi mendapatkan kuasa sedemikian, pengecas turbo tersebut perlu dipadankan sekali dengan kotak komputer Hondata Flashpro. Ia juga boleh dipasangkan terus pada enjin L15 turbo dan bermaksud bukan sahaja untuk model hatchback FK7, malah sesuai untuk model sedan FC1.

    Walaubagaimanapun, Spoon memberi amaran sistem klac standard untuk kotak gear manual enam-kelajuan tidak dapat bertahan dengan kuasa 102 PS lebih besar dari asal ini. Spoon juga tidak memberitahu sama ada ia sesuai atau tidak dengan kotak gear CVT untuk model transmisi automatik seperti Civic FC pasaran Malaysia. Pengecas turbo lebih besar ini juga tidak murah – di Jepun, ia dijual pada harga 250,000 yen atau sekitar RM10k.

     
     
  • Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Anda mungkin tahu, sebelum ini Hyundai mempunyai model liftback yang dinamakan sebagai Ioniq dan ditawarkan kepada pasaran dalam versi hibrid, plug-in hybrid serta elektrik penuh. Kini, pengeluar dari Korea itu membuat pengumuman akan mengambil nama Ioniq tersebut, dan digunakan sebagai satu jenama baru khas untuk barisan kereta elektrik.

    Ini bukanlah kali pertama Hyundai melakukan sesuatu seperti itu kerana sebelum ini mereka juga sudah mengambil nama Genesis dan digunakan sebagai satu jenama untuk cabang kenderaan mewah mereka. “Jenama Ioniq akan mengubah paradigma pengalaman pelanggan EV,” kata timbalan presiden eksekutif dan ketua pegawai pemasaran Hyundai Motor Company, Wonhong Cho.

    Selain memberitahu berkenaan cabang jenama baru itu, Hyundai juga mendedahkan tiga model akan datang yang bakal dibina atas platform Electric Global Modular Platform (E-GMP). Platform khas untuk kenderaan elektrik ini dikata mampu “memberikan kemampuan pengecasan pantas dan jarak gerak yang jauh,” sambil menyediakan “ruang tamu pintar” di bahagian dalam.

    Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Mengikut perancangan, model pertama yang akan menggunakan jenama baru Ioniq ini adalah Ioniq 5, sebuah crossover yang akan diperkenalkan pada tahun 2021 dengan rekaan seperti 45 Concept. Ia kemudiannya akan diikuti oleh sedan Ioniq 6 pada tahun 2022 (berasaskan daripada Prophecy Concept) dan SUV Ioniq 7 pada tahun 2024.

    Hyundai memberitahu, rekaan model Ioniq akan mempunyai tema sama iaitu “Nilai Abadi,” dengan turut diterapkan bersama rekaan inspirasi daripada model-model sebelum ini. Syarikat itu turut memberitahu nombor genap akan digunakan untuk model sedan manakala nombor ganjil untuk crossover dan SUV.

     
     
  • Jalan susur masuk Bangi-Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang ditutup mulai 10-18 Ogos – PLUS

    Jalan susur masuk Bangi-Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang ditutup mulai 10-18 Ogos – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan jalan susur masuk Bangi ke Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang di Lebuhraya Utara-Selatan, akan ditutup kepada semua kenderaan mulai hari ini, 10 hingga 18 Ogos 2020, bermula jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaran memotong pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Sehubungan dengan itu, pengguna lebuh raya dari arah Selatan/Bangi yang ingin menuju ke Kajang, dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan keluar dari lebuh raya menggunakan Plaza Tol Bangi atau Plaza Tol UPM.

    PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi semua papan tanda dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • 2 kampung di Kuala Sanglang, Perlis laksana TEMCO

    2 kampung di Kuala Sanglang, Perlis laksana TEMCO

    Kerajaan negeri Perlis melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Secara Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Sanglang, bermula 10 malam semalam (8 Ogos) hingga 4 September nanti, lapor Astro Awani.

    Perlaksanaan perintah TEMCO tersebut akan melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan juga Kampung Tanah Timbul, dan ia dilaksanakan selepas mendapat pandangan dan nasihat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 termasuk 10 kes baharu pada Jumaat.

    Kerajaan mengingatkan penduduk di kedua-dua kampung terbabit agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada. Sekatan jalan raya (SJR) turut akan dilaksanakan di laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO dan orang awam di luar kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti keluar masuk kecuali pihak yang terlibat dengan perkhidmatan perlu (essential services).

    Dalam perkembangan sama, penduduk di kawasan TEMCO turut disarankan untuk mematuhi arahan kuarantin wajib di rumah selepas selesai menjalani ujian saringan COVID-19.

    Sepanjang perintah TEMCO ini, hanya Ketua Isi Rumah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan barangan keperluan harian sepanjang tempoh kuarantin sementara menunggu keseluruhan ahli keluarga menerima arahan pelepasan (release order). Arahan pelepasan terbabit akan hanya diberikan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis selepas ujian saringan Covid-19 didapati negatif.

    Kerajaan negeri Perlis turut memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa menunjukkan komitmen dalam menyalurkan bantuan ke dua kawasan yang terlibat dalam meringankan bebanan penduduk.

     
     
  • Spoon Sport hasilkan pelitup muka, hanya RM28

    Spoon Sport hasilkan pelitup muka, hanya RM28

    Sebelum ini, pembuat tempat duduk perlumbaan dari Jepun iaitu Bride telah menghasilkan pelitup muka edisi terhad untuk mencegah penularan Covid-19 berharga RM132. Kini, penala untuk jenama Honda iaitu Spoon Sport turut menghasilkan produk yang sama.

    Menurut Spoon, pelitup muka yang “sesuai digunakan pada semua acara, perlumbaan dan perjumpaan” keluaran mereka ini dihasilkan dari material polyester yang sejuk ketika dipakai dan ia boleh dibasuh serta boleh digunakan berulang kali

    Tidak seperti produk yang dihasilkan secara edisi terhad oleh Bride, pelitup muka dari Spoon ini tidak dinyatakan akan dihasilkan dalam jumlah tertentu, dan ia dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu hanya 700 yen atau sekitar RM28.

    Pelitup muka ini boleh dibeli secara dalam talian di laman web rasmi mereka, namun malangnya Spoon turut menyatakan bahawa mereka tidak menyediakan khidmat penghantaran untuk pelanggan dari luar Jepun.

     
     
  • Shell Helix Power dan Helix Protect – minyak enjin sintetik penuh untuk dua keperluan yang berbeza

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd hari ini telah melancarkan secara rasmi dua jenis minyak enjin Shell Helix terbaru dalam pasaran, dikenali sebagai Shell Helix Power dan Shell Helix Protect. Kedua-duanya dihasilkan khusus untuk dua keadaan pemanduan berbeza dan diperkenalkan dalam satu majlis pelancaran maya di laman Facebook.

    Pertama di lebuh raya dan laluan sukar yang memerlukan kuasa dan daya pecutan yang lebih; atau kedua, dalam lalu lintas terhenti-henti di bandar yang menyebabkan tekanan tinggi pada enjin dan perlindungan lebih diperlukan.Kedua-dua minyak pelincir baru ini sesuai digunakan untuk kebanyakan jenis kereta di Malaysia dengan spesifikasi kelikatan minyak 0W, 5W ataupun 10W.

    Shell Helix Power dan Helix Protect – minyak enjin sintetik penuh untuk dua keperluan yang berbeza

    “Dengan Shell Helix Power dan Shell Helix Protect baru, matlamat kami ialah untuk mengembalikan proses pilihan minyak enjin kepada pemilik kereta. Sebagaimana yang tertera di label, satu produk menjanjikan lebih kuasa manakala produk yang satu lagi pula menawarkan lebih perlindungan. Anda hanya perlu memilih produk yang paling sesuai dengan cara pemanduan atau keperluan anda,” kata Pengurus Besar Shell Lubricants bagi Malaysia dan Singapura, Nyon Kam Yew.

    Shell Helix Power menggunakan rumusan khas dengan tumpuan kepada prestasi yang memaksimumkan kuasa enjin dan memberikan pecutan yang lebih pantas untuk pemanduan yang lebih lancar di lebuh raya, kawasan berbukit dan jalan-jalan terbuka. Harga runcit bagi pek 4 liter ialah RM280.

    Shell Helix Power dan Helix Protect – minyak enjin sintetik penuh untuk dua keperluan yang berbeza

    Sementara itu, rumusan Shell Helix Protect yang memberi tumpuan kepada perlindungan pula mampu membersihkan komponen enjin untuk memanjangkan lagi hayat enjin kereta yang sering berdepan keadaan trafik sesak di kawasan bandar. Harga runcit yang disyorkan bagi pek 4 liter ialah RM240.

    Kedua-dua produk ini merupakan minyak enjin sintetik sepenuhnya yang berkelikatan rendah, alirannya lebih pantas untuk menyaluti dan melindungi komponen penting semasa enjin dihidupkan. Ini dapat mengurangkan kehausan enjin yang disebabkan oleh permulaan sejuk, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan kadar pelepasan karbon dan kos penyenggaraan juga akan lebih rendah dengan perlindungan enjin yang lebih tinggi.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Ogos – semuanya turun harga!

    Harga minyak 8-14 Ogos – semuanya turun harga!

    Untuk minggu bertarikh 8 hingga 14 Ogos 2020, Kementerian Kewangan telah memaklumkan harga runcit untuk ketiga-tiga bahan api utama di pasaran tempatan dilaporkan turun.

    Di mana petrol turun sebanyak 5 sen seliter menjadikan RON95 yang pada minggu sebelum ini berharga RM1.68 seliter, kini harganya RM1.63 seliter. Manakala RON97 pula kini berharga RM1.93 seliter, berbanding RM1.98 seliter pada minggu sebelumnya.

    Begitu juga dengan diesel yang mengalami penurunan harga sebanyak 4 sen seliter. Ini bermakna, diesel Euro 2M berharga RM1.79 seliter dan Euro 5 pula akan dijual pada harga RM1.89 seliter.

    Kesemua harga baharu tersebut efektif mulai 12 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 14 Ogos 2020.

     
     
  • Shell Helix — pelincir sintetik penuh terbaru dihurai dalam pelancaran maya di Facebook, 6 petang ini

    Shell akan menghuraikan berkaitan minyak pelincir Helix Power dan Helix Protect yang baru saja diperkenalkan sebelum ini di dalam pelancara maya hari ini. Acara berkenaan, yang akan berlangsung jam 6 petang nanti, bakal menyaksikan pakar produk Shell memperincikan lagi kedua-dua pelincir berkenaan, menerangkan tentang perbezaan antara keduanya.

    Penawaran minyak enjin sintetik penuh itu disasarkan kepada pemandu dengan keperluan dan penggunaan yang berbeza. Helix Power merupakan jenis 0W-40 yang menampilkan ciri aditif yang memberi tumpuan kepada prestasi untuk memaksimumkan kuasa enjin dan memberikan pecutan lebih lancar di lebuhraya, ketika mendaki dan jalan biasa.

    Sementara itu, Helix Protect pula dengan formulasi kelikatan 0W-30 yang lebih mementingkan aditif bagi perlindungan enjin agar ia kekal bersih dan tahan lama, sesuai untuk kereta yang kerap digunakan dalam keadaan trafik sesak dalam bandar.

    Harga cadangan bagi Helix Power ialah RM280 bagi pek empat liter, sementara bagi Helix Protect ialah RM240, juga dalam pek empat liter. Menurut Shell, kedua-duanya memberi lebih manfaat kepada pengguna, memudahkan lagi proses pemilihan pelincir untuk kereta mereka mengikut kesesuaian penggunaan. Penerangan ketika pelancaran hari ini akan memberi peluang kepada anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini. Jangan terlepas untuk menontonnya.

     
     
  • Kempen Merdeka Volvo 2020 – tawaran berganda bagi tiga model sedan sepanjang Ogos dan September

    Kempen Merdeka Volvo 2020 – tawaran berganda bagi tiga model sedan sepanjang Ogos dan September

    Volvo Car Malaysia hari ini mengumumkan kempen Merdeka Volvo 2020 sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dan Hari Malaysia tahun ini. Kempen ini melibatkan tawaran istimewa bagi tiga model sedan daripada Volvo – Volvo S60 T8 R-Design, Volvo S90 T8 Inscription dan Volvo S90 T8 Special Edition.

    Ia bukan tentang tiga model itu sahaja; tawaran istimewa yang diberikan juga ada tiga, iaitu insurans percuma untuk tahun pertama, pakej Polestar percuma dan juga servis dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun (VSA5+) – semua ini diberikan sebagai tambahan kepada pengecualian cukai SST yang sedang berlangsung sehingga hujung tahun nanti.

    Selain daripada tiga tawaran istimewa tersebut, pembeli Volvo S90 Inscription Plus dan juga S90 T8 Special Edition turut akan menerima baucar bernilai RM15,000 untuk membeli aksesori bagi model Inscription Plus, sementara untuk kit penggayaan saguhati berserta pakej rim 20-inci dan tayar bernilai RM35,000 bagi versi edisi khas tersebut. Volvo Car Malaysia juga telah melanjutkan kempen tempahan atas taliannya hingga penghujung Ogos nanti. Kempen berkenaan menawarkan pakej Polestar percuma bagi semua kereta Volvo yang ditempah secara atas talian.

    Kempen Merdeka Volvo 2020 – tawaran berganda bagi tiga model sedan sepanjang Ogos dan September

    Bagi tiga kempen sempena Merdeka pula, masing-masing bernilai sebanyak RM11,000 bagi insurans percuma tahun pertama, RM5,250 bagi pakej Polestar dan RM9,200 bagi servis percuma lima tahun. Sebagai tambahan lain, pengguna kad kredit Maybank juga layak untuk menikmati pelan ansuran EzyPay 0% sehingga RM30,000, yang termasuk sekali 10 kali mata ganjaran Maybank TreatsPoints.

    Melalui kempen ini, Volvo Car Malaysia turut menawarkan kepada semua peluang untuk memiliki cenderamata eksklusif Volvo seperti jam tangan, cermin mata gelap dan banyak lagi pada harga terkumpul RM1,957 – tersedia ialah tawaran terkumpul bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak, dengan setiap daripadanya teridiri daripada barangan gaya hidup.

    Terakhir, melalui kerjasama dengan Thule Malaysia, pemilik Volvo yang menunjukkan kunci kereta mereka ketika membeli mana-mana bag Thule Crossover 2 akan dihadiahkan dengan Thule Subterra
    PowerShuttle Organiser bernilai RM119. Pemilik kenderaan Volvo juga akan menerima potongan harga 15% bagi semua barangan Thule sehingga hujung Disember 2020. Untuk sebarang keterangan lanjut berkaitan kempen Merdeka Volvo 2020, klik di sini.

     
     
  • Cadillac Lyriq crossover elektrik penuh dengan jarak gerak 480 km, pacuan roda belakang atau AWD

    Cadillac Lyriq crossover elektrik penuh dengan jarak gerak 480 km, pacuan roda belakang atau AWD

    Selepas pelancarannya tertangguh akibat pandemik Covid-19, Cadillac akhirnya mendedahkan crossover elektrik penuh terbaru mereka yang dipanggil sebagai Lyriq. Ia menggunakan platform modular khas kenderaan elektrik generasi ketiga syarikat itu, yang mana dapat menyediakan lebih ruang berbanding platform yang menggunakan enjin biasa.

    Platform ini memuatkan sistem pacuan modular serta bateri Ultium baru, yang kedudukannya menyumbang kepada titik graviti rendah dan pembahagian berat hampir 50:50 antara depan dan belakang. Menurut Cadillac, hasilnya “kenderaan ini menjadi lebih sporty, responsif dan boleh dibawa dengan bersemangat.”

    Bateri Ultium yang digunakan pada Lyriq mempunyai kapasiti 100 kWh dan boleh dicas menggunakan kuasa DC pada kadar 150 kW. Apabila penuh ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 480 km. Bateri Ultium ini terdiri daripada campuran NCMA (nickel-cobalt-manganese-aluminum), dan menurut General Motors, ia mempunyai kadar kobalt 70% lebih rendah berbanding bateri GM yang ada sekarang.

    Cadillac Lyriq crossover elektrik penuh dengan jarak gerak 480 km, pacuan roda belakang atau AWD

    Tetapan utama untuk Lyriq adalah pacuan roda belakang, tetapi ia juga boleh dipasang dengan pacuan semua roda bagi versi prestasi tinggi. Versi AWD menggunakan satu lagi motor penggerak pada gandar hadapan dan menurut Cadillac dapat meningkatkan dinamik serta prestasi kenderaan. Perincian prestasi walaubagaimanapun masih belum didedah.

    Apabila masuk ke dalam kenderaan, penumpang akan disambut dengan ‘aturan koreografi lampu’, dan pada masa sama tempat duduk, cermin dan pendingin hawa akan dilaras secara automatik. Skrin LED 33 inci pada papan pemuka akan memaparkan informasi kenderaan, kawalan infotainmen serta pandangan kamera. Menurut Cadillac, skrin ini dapat memaparkan kepadatan piksel paling tinggi bagi sebarang skrin dalam industri automotif sekarang.

    Skrin ini membolehkan pemandu melihat status bateri kenderaan, serta ramalan penggunaan kuasa dan cadangan waktu mengecas. Sistem head-up display baru pada kenderaan ini memaparkan informasi pada dua bahagian dengan bahagian yang lebih dekat untuk laju serta arah pergerakan sementara satu lagi bahagian untuk tanda navigasi serta amaran lain.

    Pelbagai ciri bantuan pemandu turut dipasang pada Lyriq, dengan antaranya adalah versi terbaru Super Cruise yang tidak memerlukan sebarang sentuhan, bersama fungsi penukaran lorong. Turut diberi adalah bantuan letak kenderaan, yang boleh diguna sama ada dengan pemandu di dalam atau di luar kenderaan.

    Lyriq juga akan menjadi model Cadillac pertama yang dipasang dengan sistem pembatalan bunyi bising jalan, menggunakan accelerometer serta mikrofon yang mensasarkan frekuensi bunyi bising yang perlu dikurangkan untuk menjadikan kabin lebih senyap. Ia akan menjadi sebahagian daripada sistem bunyi 19 pembesar suara AKG Studio yang akan dipasang pada Lyriq apabila ia masuk ke dalam pasaran.

     
     
  • Honda CBR600RR 2021 – video teaser disiar sebelum pelancaran pada bulan Ogos, lebih berteknologi

    Honda CBR600RR 2021 – video teaser disiar sebelum pelancaran pada bulan Ogos, lebih berteknologi

    Honda Japan sudah mula mengeluarkan teaser dalam bentuk video untuk model terbaru sportsbike CBR600RR, sebelum ia didedahkan secara rasmi pada bulan Ogos ini. Pencabar kepada Kawasaki ZX-6R dan Yamaha R6 ini akan tampil lebih berkemampuan supaya tidak ketinggalan di antara pesaingnya.

    Apa yang boleh dilihat daripada video ini cuma bahagian luar, tetapi media Jepun banyak menjangkakan model ini akan dilengkapi dengan teknologi lebih moden. Sebagai permulaan, pendikitnya sudah menggunakan sistem throttle by wire.

    Melalui pendikit ini, sudah tentu banyak lagi fungsi dapat dipasang, termasuklah pilihan mod tunggangan, kawalan cengkaman dan ABS beberapa tahap. Bukan setakat itu, ada juga yang menjangka ia akan dilengkapi dengan anti wheelie serta beberapa lagi ciri elektronik lain.

    Jangkaan ini diperkuatkan lagi apabila melihat video tersebut, waktu panel paparan TFT ditunjuk, bahagian mod tunggangan turut menunjukkan beberapa huruf iaitu P, T, W dan EB yang mungkin boleh diterjemahkan kepada Power, Traction, Wheelie dan Engine Braking.

    Pada bahagian penampilan, model baru ini dilihat mempunyai fairing yang lebih tajam dan lebar, berserta winglet kecil. Menjadikannya lebih menarik, model yang ditunjuk dalam video ini menggunakan skema warna Tricolore HRC.

     
     
  • Lexus ES 2020 di Jepun — bateri lithium-ion, ciri keselamatan dipertingkat, Apple CarPlay, Android Auto

    Lexus ES 2020 di Jepun — bateri lithium-ion, ciri keselamatan dipertingkat, Apple CarPlay, Android Auto

    Bersekali dengan C-HR yang dipertingkatkan serta Camry Black Edition, Toyota juga telah melakukan naik taraf terhadap sedan eksekutif keluaran sayap mewahnya, Lexus ES, dengan beberapa kemaskini untuk pasaran Jepun.

    Sebelum ini Lexus menjadi yang pertama memperkenalkan penggunaan kamera yang menggantikan cermin sisi, dan tahun ini sistem berkenaan diperkemaskan lagi. Paparan dalam keretanya kini menampilkan tiga garisan bagi menandakan jarak dari belakang kenderaan, antara lima hingga 30 meter. Kamera berkenaan juga kini ditawarkan sebagai pilihan bagi varian F Sport.

    Lain-lain, sistem pada penawaran tunggal ES 300h diberikan bateri lithium-ion baru bagi menggantikan unit nickel-metal hydride – perubahan yang sama bagi model Camry di Amerika. Penjimatan bahan api juga dipertingkat, dari 20.6 km seliter kepada 22.3 km seliter dengan kitaran WLTP.

    Lexus ES 2020 di Jepun — bateri lithium-ion, ciri keselamatan dipertingkat, Apple CarPlay, Android Auto

    Selebihnya, sistem janaan kekal seperti sebelumnya, dengan unit 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder kitaran Atkinson dengan 178 PS yang dipadankan dengan motor elektrik 120 PS/202 Nm – menjadikan output keseluruhan 204 PS.

    Perubahan lain melibatkan keselamatan dan infotainmen. Sistem infotainment Remote Touch kini ada sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan SmartDeviceLink, sementara pengecas Qi kini lebih besar untuk menampung saiz telefon yang juga semakin besar.

    Sama seperti C-HR, ES turut menerima ciri brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal ketika siang. Ciri AEB parkir depan dan belakang serta sistem peninjau titik buta juga kini standard.

     
     
  • Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

    Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

    Tahun lepas kita ada Hadri, anak jati Malaysia yang memandu Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno dari Malaysia ke litar ‘The Green Hell’ Nürburgring di Jerman, melalui jalan darat. Tak tahulah anda cakna atau tidak, baru-baru ini tular ada sebuah Proton Wira dengan skema warna Teksi Malaysia dilihat dipandu di litar yang menjadi destinasi impian peminat sukan permotoran dari seluruh dunia itu!

    Dengan rasa ingin tahu yang sangat kuat, kami cuba menyiasat siapa pemilik Wira yang nampak sangat ‘Malaysia’ ini, dan akhirnya dapat juga berhubung dengan mereka secara atas talian untuk mengetahui perkara sebenar. Memperkenalkan, adik-beradik kembar dari Belanda, Jochem dan Ruben Gravemade.

    Jochem dan Ruben sememangnya kaki kereta – Jochem mempunyai berberapa buah Honda, manakala Ruben pula memilik Subaru Impreza WRX GC8. Kedua-dua mereka ini mempunyai garaj sendiri untuk melakukan segala kerja pembaikan dan ubahsuai kereta masing-masing, dan menggelar diri mereka sebagai Dutch DIY Mechanic (DDM).

    Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

    Ok, kenapa tiba-tiba nak main Proton Wira? Untuk pengetahuan anda, pasangan kembar ini sebenarnya pernah membesar di Malaysia. Mereka pernah menetap di Ampang dari 1997 hingga 2001, dan dari 2009 hingga 2011 – tujuh tahun secara keseluruhan di sini.

    Seperti kebanyakkan warga asing yang pernah tinggal di sini, adik beradik Gravemade ini sudah jatuh cinta dengan Malaysia. Dan sebagai kaki kereta, Jochem dan Ruben juga berpendapat Malaysia sebenarnya mempunyai kereta buatan tempatan yang bagus.

    Jadi setelah pulang ke Belanda, mereka mempunyai misi untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia ada kereta yang baik iaitu Proton. Dan tempat paling bagus untuk tujuan tersebut adalah litar Nürburgring – litar yang menjadi tumpuan pemilik-pemilik kereta majoriti jenama dari seleruh dunia untuk menguji jentera dan kemahiran memandu masing-masing.

    Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

    Mereka menggelar projek ini sebagai “Project Proton” dengan memilih Wira sebagai bahan projek. Pasti anda beranggapan Proton Wira milik mereka ini dibeli dari UK bukan? Cuba anda perhatikan betul-betul, UK masih menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan sama seperti Malaysia, tetapi Wira milik mereka ini adalah dari versi pemanduan sebelah kiri.

    Proton Wira pertama yang mereka beli untuk projek ini adalah model pasaran Jerman, yang berjaya mereka bawa pulang pada 5 Julai 2019. Jochem memberitahu kami Proton memang ada menjual Wira pada pasaran Jerman pada lewat era 90’an tetapi dalam jumlah yang agak kecil.

    Dan untuk pengetahuan anda, dari tahun 1996 hingga tahun 2002, pemandu rali Jerman, Hermann Gassner memandu ‘Proton Wira Evo III’, Proton PERT Evo V dan Proton PERT Evo VI di bawah pasukan Proton Kathrein Rallye Team dalam kejohanan rali di negara berkenaan.

    Proton Wira pertama di Nürburgring – projek adik-beradik kembar dari Belanda dengan semangat M’sia!

    Kembali ke cerita Jochem, malangnya enjin 4G13 1.3 liter pada Wira pertama yang dibeli tersebut “rusak” (ya, Jochem yang cakap “rusak”, bukan kami terjemah). Mereka kemudiannya mencari enjin gantian, walau bagaimanapun satu lagi enjin 4G13 yang dibeli tersebut turut tidak boleh berfungsi dengan sempurna kerana masalah pendawaian.

    Namun, adik beradik itu agak bernasib baik kerana berjaya membeli sebuah lagi Wira, kali ini dari model Aeroback dan ia dari varian yang lebih berkuasa dengan enjin 1.5 liter 4G15, di beli dari seorang pemilik yang membeli kereta tersebut baru di bilik pameran.

    Jadi projek ini diteruskan dengan Wira Aeroback berkenaan, dan Wira pertama yang dibeli tadi dijadikan sebagai sumber alat ganti. Kerja-kerja restorasi dan ubahsuai untuk kereta kedua tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar, dan menurut Jochem lagi alat ganti untuk bahagian mekanikal tidak sukar untuk diperolehi kerana Wira banyak berkongsi komponen dengan Mitsubishi Lancer, Colt dan Galant di sana.

    Untuk menjadikan kereta ini lebih ikonik, adik beradik Gravemade ini mengecat semula badan Wira Aeroback tersebut dengan warna merah-putih seperti teksi di Kuala Lumpur. Malah pada pintu hadapan, lencana teksi Malaysia turut dipadankan dengan nama syarikat acah-acah “DDM Dutch Mechanics Sdn Bhd” serta tulisan “Teksi Ampang”. Malah pelekat McDonald’s VIP drive-thru pada cermin hadapan kereta ini juga adalah asli dari Malaysia, diberikan oleh rakan di sini.

    Bagi membolehkan kereta ini dipandu di Litar Nürburgring dengan lebih yakin, ia diberikan rim aloi OZ-Racing 16-inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes R1R. Suspensi diolah sedikit dengan penggunaan spring jenis sport, dan brek pula diberikan pad yang lebih baik. Kedua-dua tempat duduk asal hadapan turut diganti dengan tempat duduk bucket dari Sparco.

    Kereta ini akhirnya berjaya di bawa ke Nürburgring pada 5 Julai lalu, bukan sahaja untuk melengkapkan misi mereka, malah sempena ulangtahun pertama mereka berjaya membawa pulang Proton Wira pertama untuk projek ini. Mereka kemudian sekali lagi telah ke litar berkenaan pada Ogos lalu.

    Sebenarnya projek ini belum lagi lengkap sepenuhnya. Jochem menyatakan bahawa mereka mahu melengkapkan kereta ini 100% menjadi sebuah teksi Malaysia dengan penanda bumbung, dan juga meter teksi lengkap dengan pencetak resit! Kesemua peralatan tersebut juga telah mereka perolehi, diposkan ke sana oleh seorang pengikut mereka di Instagram dari Pulau Pinang, di mana kesemua komponen berkenaan adalah dari teksi milik pakciknya yang tidak lagi digunakan.

    Setelah kesemua ini siap dipasang, Jochem dan Ruben merancang untuk sekali lagi ke Nürburgring pada hujung Ogos atau awal September nanti – kali ini mereka turut akan ‘mengenakan tambang’ untuk penumpang yang mahu ikut untuk mengelilingi litar sepanjang 20.832 km tersebut berdasarkan meter teksi yang telah dipasang nanti.

    Kami sertakan sekali video-video dari akaun YouTube adik beradik DDM ini di bawah. Dan anda boleh ikuti perkembangan seterusnya perkembangan “Project Proton” tersebut menerusi akaun Youtube dan Instagram rasmi mereka.



     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025