Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Rasanya ramai sudah tahu, hanya tunggu masa sahaja sebelum Kia memperkenalkan versi ubah suai ekstrem untuk kereta sports mereka, iaitu Stinger. Kini, masa itu telah tiba dan Kia mendedahkan Stinger GT420 – sebuah jentera litar yang dibangunkan bersama cabang kejuruteraan mereka di United Kingdom dan Eropah, dengan diketuai oleh bekas jurutera Ford, Tyrone Johnson.

    Asas yang digunakan adalah Stinger GT, yang dilengkapi dengan enjin petrol V6 3.3 liter twin turbo, dengan kemampuan 365 hp dan 510 Nm tork. Sudah tentu, kuasa daripada enjin asal ini ditingkatkan lagi sehingga menjadi 428 hp dan 560 Nm, hasil penggunaan palam pencucuh HKS M45il, penapis udara sports K&N dan sistem ekzos empat muncung serba ringan Milltek Sport tanpa catalytic converter.

    Untuk sistem penyejukan, transmisi automatiknya dipasang dengan penyejuk enam baris (menggantikan unit empat baris standard) manakala pengawal transmisi telah dikalibrasi semula untuk penukaran gear yang lebih cepat dalam mod Sport dan Sport+.

    Disebabkan ini adalah versi kegunaan litar, bahagian dalam juga dikosongkan untuk menjadikannya lebih ringan. Bermakna, tiada lagi barangan asal seperti tempat duduk, tali pinggang, sistem bunyi, pelindung bawah enjin dan badan, pengesan jarak, penyerap bonet dan but, serta motor cermin belakang, manakala cermin belakang pula dilekatkan terus kepada rangkanya. Bumbung suria pula diganti dengan panel besi dengan struktur honeycomb.

    Selepas dipasang dengan roll cage, tempat duduk lumba Sparco berserta tali pinggang khas, pemadam api dan bateri LiPo Lite Blox, kereta ini masih dapat mencatat berat kurang sebanyak 150 kg berbanding asal. Kemudiannya, ia juga dipasang dengan rim Leggera OZ Racing yang dibalut tayar Pirelli Trofeo R, angkup brek Brembo enam piston, cakera 380 mm, pad brek Endless serta crossmember hadapan yang diubah suai untuk meningkatkan sudut camber kepada -2.5 darjah.

    Pada roda belakang, brek standard Stinger GT masih lagi dikekalkan, tetapi semua roda diberikan penyalur udara sebagai sistem penyejuk. Penyerap hentak jenis adaptif asal Stinger GT kini diganti dengan penyerap biasa, dan dipadankan bersama spring Eibach Pro serta anti-roll bar 25 mm di hadapan dan 17 mm di belakang.

    Kia Stinger GT420 – ubah suai untuk kegunaan litar

    Sistem keselamatan elektronik seperti ABS, kawalan cengkaman dan ESC pada kereta ini juga telah dilaras semula untuk kegunaan dalam litar, dan Kia memberitahu Stinger GT420 lebih mudah melakukan drift, terutamanya dalam mod Sport+ dengan kawalan cengkaman dan ESC ditutup sepenuhnya.

    Akhir sekali, untuk menjadikan penampilannya lebih garang, GT420 dipasang dengan splitter hadapan, diffuser belakang serta spoiler belakang daripada Air Design. Pelengkapnya adalah grafik dua tona merah dan putih.

     
     
  • JPJ umum syarikat korporat dan swasta kini boleh mohon untuk miliki nombor pendaftaran khas

    JPJ umum syarikat korporat dan swasta kini boleh mohon untuk miliki nombor pendaftaran khas

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka permohonan kepada syarikat korporat dan swasta untuk untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan mulai 26 Julai lalu.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid, setiap permohonan syarikat dikenakan bayaran sebanyak RM5 juta di mana pemohon yang berjaya akan diberikan nombor bermula dari angka 1 sehingga 1,000, manakala bayaran RM1 juta akan dikenakan bagi permohonan 1,000 nombor berikutnya bermula dengan nombor 1,001.

    “Contoh, sekiranya syarikat PETRONAS berminat untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan, nombor pendaftaran pada kenderaan akan bermula dengan PETRONAS diikuti nombor 1 sehingga nombor terakhir,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya lagi, syarikat pemohon juga dibenarkan menjual nombor pendaftaran yang diperoleh pada nilai yang ditetapkan masing-masing kepada pihak yang berminat untuk mereka menjana pendapatan tambahan. Di mana siri nombor khas itu dibenarkan dijual sepanjang masa sehingga angka terakhir.

    Shaharuddin berkata kebenaran itu diberikan susulan langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada universiti awam (UA) untuk mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan bagi menjana pendapatan universiti, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu lalu.

    Menurut Loke, kerajaan memberi kelonggaran kepada UA mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan di mana dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan universiti. Di mana bayaran sebanyak RM500,000 dikenakan bagi setiap permohonan nombor plat khas itu dan UA akan diberikan sebanyak 10,000 nombor bermula dari nombor 1 sehingga 9999, dengan tempoh tiga tahun diberikan untuk menjalankan penjualan nombor tersebut.

     
     
  • Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    Proton X70 kini menjadi tambahan model terbaru keluaran Proton yang mula dijual di Brunei. Dengan kerjasama pengedar di sana, PAD Motors, Brunei menjadi pasaran eksport pertama bagi X70, dengan melibatkan penawaran tiga varian di sana.

    Ia dijual pada harga B$32,500 (RM98,028) bagi varian Standard 2WD, sementera varian pertengahan Executive 2WD dijual pada harga B$36,000 (RM108,585). Varian paling lengkap, Premium 2WD pula ditawarkan pada harga B$39,000 (RM117,634). Semua ini termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta upah buruh percuma bagi lima kali servis.

    Semua varian menggunakan enjin 1.8 liter turbocas, empat-silinder, suntikan terus petrol dengan janaan kuasa 181 hp dan 285 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik enam-kelajuan ke roda hadapan.

    Proton X70 tembus ke pasaran Brunei – dari RM98,028

    X70 di Brunei turut menerima sistem Geely Smart Ecosystem (GKUI), dengan ciri skrin sentuh TFT LCD lapan-inci, sambungan Mirrorlink bagi telefon Android dan arahan suara untuk pengaktifan “Hi Proton.” Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada enam-beg udara, Isofix, ABS, EBD, Brake Assist, Auto Brake Hold, ESC, kawalan cengkaman, Hill Hold Assist dan kawalan menuruni curam.

    Tambahan ciri bagi barian Executive dan Premium adalah seperti ciri tinjauan sekeliling dan Advanced Driver Assist Systems (ADAS). Ini termasuk Automatic Emergency Brake (AEB), Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (IHBC). Dengan permulaan langkah eksport X70 ke Brunei ini, SUV berkenaan dijangka akan menembusi pasaran Indonesia pula.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G – dari RM83,888

    Apa sebab mengapa UMW Toyota terus pasang model Yaris ini di kilang barunya, di Bukit Raja? Ini model kedua pemasangan tempatan (CKD) di kilang berkenaan. Salah satu faktor mungkin, Toyota cukup yakin yang Yaris akan mendapat perhatian meluas dan diterima baik dalam pasaran tempatan.

    Penawaran harga Yaris pula memang lebih rendah daripada Vios. Dan, dalam segmen B hatchback, Yaris turut mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pesaing-pesaing yang ada. Jadi, apa kelainan yang dimaksudkan itu? Perkara-perkara ini yang kami gariskan dan tunjukkan dalam video ini. Tonton untuk tahu lebih lanjut.

    Secara ringkasnya, model Yaris adalah versi hatchback bagi versi sedannya, Toyota Vios. Sebab itu ia ditawarkan dengan pilihan varian yang sama iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G. Bagaimanapun, harga Yaris adalah sedikit lebih rendah berbanding Vios, jika dibandingkan dengan varian yang setara – menjadikannya pilihan yang lebih ringkas, tetapi dalam imej yang lebih muda dan sporty.

    ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G – dari RM83,888

    Yaris J dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, sementara versi pertengahan Yaris E dijual pada harga RM76,888. Manakala versi tertinggi, Yaris G yang kami tampilkan di dalam galeri ini pula pada harga RM83,888. Lima warna disediakan untuk semua varian Yaris iaitu Super White II, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan warna hero Citrus Mica Metallic.

    Ketiga-tiga varian ini turut menerima unit janakuasa yang sama dengan Vios iaitu enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, dan istimewa untuk varian E dan G ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic.

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula CR-V tahun 2018 – butang tuil gear perlu ditukar, libatkan 7,050 unit

    Honda Malaysia panggil semula CR-V tahun 2018 – butang tuil gear perlu ditukar, libatkan 7,050 unit

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan kempen kemaskini produk yang melibatkan 7,050 unit SUV segmen-C Honda CR-V model tahun 2018, untuk menukar butang pada tuil penukar gear (push knob button) sebagai langkah pencegahan. Walau bagaimanapun, model-model yang berada dalam bilik pameran tidak terlibat dengan panggilan semula ini dan HM menyatakan bahawa mereka akan terus telus dan mengetatkan kawalan untuk pelanggan mereka.

    Tuil penukar gear model yang terlibat mungkin akan menyebabkan pemilik sukar untuk menggerakkan tuil gear dari kedudukan ‘P’, dan panggilan semula ini adalah sebagai langkah mencegah untuk berlakunya simptom berkenaan. HM turut meminta maaf kepada kerana perlu ke pusat servis kerana kempen kemaskini produk tersebut.

    Tiada sebarang kos pemasangan mahupun kos buruh dikenakan kepada pelanggan, kerana kesemuanya akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Pemilik-pemilik yang terlibat akan dihubungi menerusi surat, lengkap dengan perincian kempen kemaskini produk berkenaan. Pelanggan yang telah menerima surat tersebut dinasihatkan untuk menghantar kereta mereka ke pusat servis terdekat untuk diperiksa.

    Tidak pasti sama ada CR-V terlibat atau tidak? Anda boleh hubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 atau periksa di laman rasmi mereka, www.honda.com.my.

     
     
  • Porsche 911 Carrera, Carrera Cabriolet 992 didedah

    Porsche 911 Carrera, Carrera Cabriolet 992 didedah

    Barisan model Porsche 911 992 telah ditambah lagi dengan pengenalan model asas Carrera, yang ditawarkan dalam bentuk badan coupe dan cabriolet. Buat masa sekarang, kedua-duanya ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang sahaja, manakala versi pacuan empat roda ‘Carrera 4’ akan menyusul kemudian.

    Sebagai sebuah model permulaan bagi 911, Carrera menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 385 PS (380 hp) dan 450 Nm tork – kurang 65 PS (64 hp) dan 80 Nm berbanding Carrera S. Walaubagaimanapun, jika dibandingkan dengan model generasi 991 sebelumnya, ia masih meningkatkan sebanyak 15 PS (15 hp). Kedua-duanya juga mendapat transmisi klac berkembar lapan kelajuan PDK secara standard, dengan Wet Mode atas sebab keselamatan.

    Pada aspek prestasi, 911 Carrera Coupe boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat, ataupun 4.0 saat apabila dipasang dengan Sport Chrono Package (pilihan tambahan). Model cabriolet pula mengambil masa 4.4 saat untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j, dan apabila dipasang dengan Sport Chrono Package, ia menjadi 4.2 saat.

    Pecutan model cabriolet sedikit lambat kerana bumbung boleh lipatnya mempunyai tambahan berat 70 kg, berbanding 1,505 kg pada model coupe. Selain daripada itu, model coupe juga mempunyai laju maksimum lebih tinggi iaitu 293 km/j berbanding cabriolet yang cuma 291 km/j.

    Sebagai perbandingan, model di atasnya iaitu Carrera S mengambil masa 3.7 saat (3.5 saat dengan pakej SC) untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j dan laju maksimum 308 km/j manakala Carrera S Cabriolet mencatat masa 3.9 saat (3.7 saat dengan pakej SC) dan laju 306 km/j.

    Secara visualnya, kebanyakan bahagian model asas ini sama sahaja seperti Carrera S, kecuali ia dipasang dengan rim yang lebih kecil. Roda hadapan menggunakan rim 19 inci yang dibalut dengan tayar 235/40 manakala di belakang menggunakan saiz 20 inci dengan tayar 295/35. Kuasa henti datang daripada angkup empat piston dan cakera 330 mm.

    Di dalam, anda akan menemui banyak ciri seperti Carrera S, termasuk skrin sesentuh 10.9 inci untuk sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dan panel paparan instrumen tujuh inci dengan penunjuk rpm analog yang terletak di bahagian tengah secara standard. Di Jerman, Porsche 911 Carrera Coupe dijual pada harga 104,655 euro (RM481,802), manakala 911 Carrera Cabriolet bermula pada harga 118,935 euro (RM547,543).

     
     
  • Trak pikap Tesla akan diperkenalkan tiga bulan lagi?

    Trak pikap Tesla akan diperkenalkan tiga bulan lagi?

    CEO Tesla Motors, Elon Musk sekali lagi telah menggunakan akaun Twitter beliau untuk mendedahkan perancangan masa hadapan syarikat itu. Kali ini, beliau memaklumkan, sebuah trak pikap elektrik sepenuhnya yang dibangunkan Tesla akan diperkenalkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi. “Kami semakin hampir, tetapi magis ada pada perincian terakhir. Mungkin 2-3 bulan lagi,” ujarnya menjawab satu pertanyaan dilaman itu.

    Musk juga menyatakan bahawa trak pikap berkenaan akan dijual bermula dari harga di bawah US$50,000 (RM208k), dan disifatkan bakal memintas kedudukan kenderaan terlaris segmen berkenaan ketika ini, Ford F-Series.

    “Ia akan kelihatan sangat futuristik, seperti kenderaan dalam sci-fi. Untuk itu, ia bukan untuk semua orang. Ia akan menjadi sebuah trak yang mempunyai kemampuan dan keupayaan melebihi trak lain. Matlamatnya ialah untuk menjadi trak yang lebih baik dari F-150 dari sudut fungsinya, dan dalam masa yang sama menjadi kereta sports yang lebih baik daripada standard [Porsche] 911,” jelasnya dalam satu podcast baru-baru ini.


    Trak pikap Tesla seperti dibayangkan oleh Theophilus Chin

    Untuk menyokong dakwaannya, Musk juga memaklumkan bahawa trak pikap berkenaan aan menggunakan sistem pacuan semua roda dengan motor-berkembar sebagai ciri standard, termasuk suspensi yang boleh dilaras dengan dinamik untuk bebanan dan “tork yang gila”. Ia turut akan menampilkan outlet kuasa heavy-duty, alatan kuasa 240-volt dan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 805 km atau lebih.

    Musk juga mengumumkan yang trak pikap berkenaan mempunyai kapasiti tunda sebanyak 136,078 kg, walaupun ketika ini perkara itu belum tentu dapat dicapai. Apa pun, nampaknya trak pikap Tesla yang pernah dibualkan sebelum ini akan menjadi kenyataan. Macam mana agaknya rupa trak ini nanti?

     
     
  • AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    Sepanjang lapan tahun diadakan, Art of Speed sentiasa membawakan hasil-hasil ‘seni kelajuan’ tidak kira kereta atau motosikal dari luar negara untuk tatapan rakyat Malaysia. Namun kita tidak pernah lagi lihat mana-mana hasil kerja dari Borneo di bawa ke semenanjung semata-mata untuk menyertai acara show & shine seperti ini bukan?

    April lalu ketika berlangsungnya Sabah Old School Gathering di Kota Kinabalu, scene kereta lama di Malaysia digemparkan dengan kemunculan sebuah Toyota Corolla generasi ketiga (KE30) yang begitu sempurna tahap restorasinya kepunyaan saudara Au Yong dari Tawau, Sabah.

    Tanpa sebarang keraguan, KE30 tersebut telah pun pilih sebagai Art Of Speed Malaysia Pick, membolehkan kereta ini di bawa ke Malaya untuk di pamerkan di Art Of Speed (AOS) 2019 yang berlangsung hujung minggu lalu, dengan kos logistik penghantaran kereta dari Sabah – KL – Sabah dibiayai sepenuhnya oleh pihak AOS.

    AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    Kalau anda lihat kereta ini, ia hanyalah model KE30 biasa yang sama dengan kebanyakkan model pasaran Malaysia yang boleh anda temui di atas jalan walaupun sudah berumur lebih 40-tahun. Ia bukan dari spesis Sprinter, malah tiada langsung aksesori OEM JDM seperti gril ‘senyum’ dan bonet hadapan diambil dari model hardtop KE35 atau TE37.

    Tetapi, setiap panel badan kereta ini telah direstorasi pada tahap begitu sempurna – semua garis-garis badan sangat tegak, dan pemasangan seperti pintu dan bonet dilakukan dengan gap seakan ia baru keluar dari kilang. Setelah badan kereta disimen dengan baik, badan KE30 disembur dengan warna Green Tea.

    Setiap perician luaran juga sangat diberi perhatian. Lampu seal beam hadapan telah ditukar dengan lampu mentol halogen, lampu isyarat hadapan menerima lensa jenis jernih, manakala lampu belakang mungkin telah digantikan dengan unit new old stock yang kelihatan baru. Gril hadapan KE30 masih kekal, begitu juga dengan bampar hadapan dan belakang tetapi kesemuanya telah ditembak dengan warna hitam.

    AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    Peralatan aftermarket yang boleh dilihat pada sebelah luar KE30 ini termasuk spoiler ‘sodok’ pada dagu hadapan, cermin sisi ‘tanduk’ bulat Napoleon GT, spoiler ekor itik bersaiz besar pada penutup but belakang serta overfender dengan serlahan skru pengikat pada setiap ruang roda.

    Bagi melengkapkan rupa sebuah kereta lumba Jepun, pemiliknya telah memadankan rim Enkei Mosport dengan diameter 13-inci, lebar 8jj dan offset -1. Ia kemudian dibalut dengan tayar Jinyu Extreme bersaiz 215/50R13 bagi membolehkan set roda berkenaan ‘duduk ngam-ngam’ di dalam ruang roda yang kini lebih lebar dari asal.

    Kami difahamkan, bagi merendahkan dan juga mendapatkan pengendalian kereta ini dengan lebih baik, set suspensi asal kereta ini telah digantikan dengan set boleh laras dari D2 yang pada asalnya dibuat untuk ‘cucu’ KE30 iaitu Toyota Corolla AE86.

    Pada bahagian kabin, anda boleh lihat dengan jelas tempat duduk belakangnya telah dicabut (tetapi kesemua bahagian yang terdedah ditutup dengan panel custom dan turut dibalut dengan upholsteri berwarna hitam) dan juga diberikan rollcage untuk bahagian belakang.

    Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk perlumbaan old school asli dari TRD, dan dipadankan dengan roda stereng kayu Nardi Classico. Manakala papan pemuka pula masih menggunakan unit asal dari KE30, tetapi direstorasi untuk kelihatan baru.

    ‘Perut’ kereta ini juga antara aspek yang boleh membuatkan mulut anda melopong. Seperti juga pada badan, firewall dan segenap ruang enjin KE30 tersebut kelihatan seperti baru keluar dari kilang, manakala segala wayar-wayar yang berselirat telah disembunyikan dengan baik membolehkan kita tenang melihat ruang berkenaan.

    AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    Ia kini tidak lagi dijana oleh enjin pushroad 8V 1.2 liter 3K karburator, tetapi digantikan dengan enjin yang menghasilkan kuasa sekitar 3-4 kali ganda dari asal iaitu enjin 1.6 liter Twin-Cam 20V 4A-GE “Black Top” dengan empat throttle body bebas yang biasanya boleh dijumpai dalam perut Corolla Levin/Sprinter Trueno AE111.

    Istimewanya enjin “Black Top” ini berbanding versi “Silver Top” sebelumnya, sistem four throttle yang diberikan tidak menggunakan air flow meter pada penuras angin, tetapi ia menampilkan sensor Manifold Absolute Pressure (MAP) pada manifold kemasukan – ini bukan sahaja dapat memberikan respon pendikit lebih tajam, malah membolehkan pemilik kereta ini memadankan corong/penapis udara bebas pada setiap mulut throttle, bagi menghasilkan bunyi enjin yang lebih ‘berkahak’.

    Menurut spesifikasi yang ditulis yang di letak di sebelah kereta ini, kotak komputer asal tidak lagi digunakan dan pengurusan sistem enjin tersebut kini diambilalih oleh ECU standalone Adaptronic e420 yang boleh ditala semula.

    AOS 2019: Toyota Corolla KE30 penuh jiwa dari Sabah

    Roda tenaga enjin tersebut diberikan sistem klac dari Ogura Racing, tetapi tidak dinyatakan kotak gear yang digunakan. Namun lazim untuk pengubahsuaian seperti ini, transmisi lima-kelajuan manual Toyota T50 dari AE86 dipilih kerana bellhousing kotak gear berkenaan boleh masuk terus ke enjin 4A-GE tersebut tanpa sebarang masalah.

    Ubahsuai lain yang turut diberikan adalah unit LSD diberikan pada gandar belakang, dan sistem brek tangan juga telah diubahsuai menggunakan sistem hidraulik bagi memudahkan tayar belakang dikunci, selalunya bagi tujuan membuat aksi hand brake turn atau memulakan drift.

    Sejak kali pertama terlihat gambar kereta ini, saya seperti mahu memberikan tabik hormat di hadapan pemiliknya. Au Yong telah membuktikan bahawa untuk menghasilkan sebuah projek yang sangat hebat, kita tidak perlukan kereta-kereta rare seperti Datsun Bluebird 510 SSS atau Toyota Celica Fastback TA27. Tetapi apa yang penting adalah ‘jiwa’ old school itu sendiri!

     
     
  • Tun Mahathir bayangkan supercar buatan Malaysia pula, dengan bantuan dan kerjasama syarikat asing

    Tun Mahathir bayangkan supercar buatan Malaysia pula, dengan bantuan dan kerjasama syarikat asing

    Projek kereta nasional ketiga terus ada perkembangan baru di sebalik tabir, dengan adanya pihak terkiini yang muncul untuk ikut serta. Tetapi, ada satu hal lagi yang lebih menarik yang turut sama sedang diintai – pembangunan kereta sport dan supercar di masa hadapan. Perkara ini tidak lain dan tidak bukan datang dari Tun Mahathir Mohamad sendiri, yang membayangkan Malaysia untuk mempunyai supercar sendiri bagi memperluas kemampuan industri automotif negara ini, lapor New Straits Times.

    Hal ini dinyatakan ketika lawatan rasmi beliau ke Turki baru-baru ini, dan menambah bahawa kerjasama teknikal boleh diberikan oleh pengeluar supercar Turki, Onuk. Ketika lawatan itu, Tun M ditunjukkan model Onuk Sazan dan Onuk S56/G, dan berkata syarikat itu juga turut menyuarakan kesanggupan mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi tujuan itu.

    Tun Mahathir bayangkan supercar buatan Malaysia pula, dengan bantuan dan kerjasama syarikat asing

    Tun M berkata, beliau telah lama sedar tentang keupayaan syarikat Turki itu, tetapi baru sekarang berpeluang melihat hasilnya di depan mata. “Saya sedar sejak dulu. Tetapi kemudian tiada susulan lanjut memandangkan ketika itu saya bukan lagi Perdana Menteri. Sekarang mereka bersedia untuk beri kerjasama, tidak hanya bagi jenis kenderaan supercar, tetapi untuk kenderaan lain juga,” ujarnya.

    Usahasama dengan Turki mungkin boleh berlangsung dua hala – laporan sama turut menyebut, dalam perbincangan antara kedua-dua pihak, Tun M menawarkan kepada Turki kepakaran Malaysia untuk membantu negara itu mengeluarkan kereta nasional mereka sendiri, berdasarkan pencapaian yang telah diraih melalui Proton dan Perodua di sini.

     
     
  • Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

    Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

    Audi adalah antara pengeluar yang mempunyai pilihan luas model SUV premium, dari Q2 yang paling kecil hinggalah Q8 yang besar dan mempunyai gaya seperti coupe. Walaupun begitu, mereka merasakan ia masih tidak cukup untuk memuaskan pelanggan, dan kini memperkenalkan pula model yang lebih kecil iaitu A1 CityCarver.

    Jika anda perasan, model ini tidak menggunakan nama model yang bermula dengan Q, dan masih lagi sebahagian daripada pilihan dalam barisan model A1 hatchback. Hanya gayanya sahaja diambil daripada model SUV, bermula dengan gril “singleframe” yang menggunakan jeriji honeycomb warna hitam matte.

    Untuk membezakan kereta ini dengan A1 Sportback biasa, Audi telah mengurangkan jumlah corong udara palsu pada hujung bonetnya daripada tiga menjadi cuma dua. Di hujung bampar juga terdapat bukaan udara (yang sebenarnya tertutup), manakala skid plate hadapan dan belakang dijadikan untuk kelihatan seperti stainless steel.

    Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

    Anda juga akan mendapat kemasan plastik warna hitam di keliling lengkuk roda serta bahagian tepi, spoiler bumbung daripada model S Line serta jarak dari tanah yang ditinggikan sehingga empat sentimeter. Daripada jumlah ini, 35 mm datang daripada suspensi yang ditinggikan, manakala selebihnya adalah disebabkan penggunaan rim 16 inci. Pembeli juga boleh mendapatkan warna bumbung kontras, sama ada hitam metalik atau kelabu metalik.

    Bahagian dalam masih lagi sama seperti A1 Sportback, dengan satu-satunya perubahan adalah pilihan warna untuk kemasan pada pembuka pintu dan tombol gear. Melalui pakej tambahan S Line pula, pembeli diberikan dengan roda stereng yang rata di bawah, serta pilihan kemasan kulit tiruan dan Alcantara.

    A1 CityCarver masih lagi menggunakan panel instrumen digital secara standard, manakala paparan Audi Virtual Cockpit Plus disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut disediakan dalam pilihan adalah sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.1 inci, peta HERE dengan Google Earth, informasi langsung trafik dan tempat letak kereta, WiFi hotspot, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Bang & Olufsen 560-watt.

    Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

    Pengendalian kenderaan ini juga boleh dijadikan lebih sporty melalui pakej tambahan Dynamic yang termasuk angkup brek warna merah, sistem pilihan mod pemanduan, penyerap adaptif serta actuator bunyi yang memberikan bunyi ekzos lebih garang. Audi masih belum mendedahkan perincian pilihan enjin, tapi ia mungkin sama sahaja seperti A1 Sportback.

    Model itu ditawarkan dengan enjin petrol yang termasuk unit tiga silinder 1.0 liter dan empat silinder 1.5 liter dan 2.0 liter, dengan kuasa antara 95 hp hingga 200 hp. Transmisi pula didatangkan dalam pilihan sama ada manual enam kelajuan atau klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan. Model 40 TFSI 200 hp cuma datang dengan transmisi DCT enam kelajuan. Tiada pacuan semua roda untuk model ini.

    A1 CityCarver akan dijual di Eropah bermula bulan hadapan dan untuk waktu yang terhad, Audi juga akan menawarkan varian Edition One yang mendapat warna luar sama ada kelabu atau oren, dan datang dengan rim 18 inci, kemasan bahagian dalam hitam berkilat, lampu jenis smoked, bumbung dan cermin sisi warna kontras dan lencana “Edition One”.

     
     
  • Sistem JPJeBid diteruskan ke Pulau Pinang pula dengan siri plat PPC, dilaksana bermula 2 Ogos ini

    Sistem JPJeBid diteruskan ke Pulau Pinang pula dengan siri plat PPC, dilaksana bermula 2 Ogos ini

    Sistem bidaan plat nombor kenderaan secara dalam talian, JPJeBid, makin diperluaskan, dengan Pulau Pinang menjadi lokasi keempat yang bakal melaksanakannya, selepas Putrajaya, Kuala Lumpur dan Kedah.

    “Bidaan secara dalam talian untuk plat Pulau Pinang ini akan bermula dengan plat siri PPC, dari 2 hingga 6 Ogos ini,” ujar Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shahruddin Khalid seperti yang dilaporkan oleh News Strait Times.

    Projek perintis sistem ini bermula pada dengan siri plat FC untuk Putrajaya, dengan format baharu ini turut diadaptasikan untuk kegunaan Kuala Lumpur dengan VDN pada Jun lalu. Kemudian ia diperkenalkan pula di Kedah dengan siri plat KET pada awal Julai 2019.

    Shaharuddin turut berkata sistem e-bidaan ini lebih memudahkan kerja jabatannya, dengan kini semuanya boleh dilakukan secara dalam talian dan sistem ini secara automatik akan memberikan plat yang dibida kepada pembida tertinggi.

    “Ia lebih menjimatkan masa dan lebih efisien. Sistem ini akan terus mengumumkan pembida yang berjaya sejurus tempoh pembidaan berakhir. Sebelum ini, kita mengambil masa sehingga dua minggu untuk membuat keputusan,” ujarnya.

    Tambah beliau lagi, setakat ini, sistem baharu tersebut telah memberikan keuntungan sebanyak RM9.6 juta kepada kementerian pengangkutan menerusi tujuh pusingan e-bida, lima di Kuala Lumpur, dan setiap satunya di Putrajaya dan Kedah. Prosedur untuk pendaftaran dan proses bidaan masih dikekalkan sejak ia diperkenalkan.

     
     
  • Proton sasar jadi nombor satu di M’sia tahun hadapan

    Proton sasar jadi nombor satu di M’sia tahun hadapan

    Pagi tadi Proton menamatkan cabaran pemasaran untuk SUV X70 yang diadakan di kalangan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi tempatan dengan acara penyampaian hadiah. Ketika majlis tersebut, CEO jenama automotif nasional berkenaan, Dr Li ChunRong sempat mendedahkan rancangannya untuk tahun 2020 iaitu merampas kedudukan nombor satu di Malaysia dari Perodua.

    “Sasaran kami adalah untuk menjadi pengeluar kereta nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN,” kata Dr. Li. “Ada orang yang tergelak tentang perkara ini, tetapi tengok pada hasil – tahun lalu kami nombor empat, dari April tahun ini kami nombor dua. Mungkin tahun hadapan kami boleh jadi nombor satu untuk satu bulan!”

    Proton mencatatkan jumlah jualan yang sangat memberangsangkan tahun ini. Untuk setengah tahun ini, Proton hanya kalah berberapa ratus unit untuk berada di kedudukan ketiga di belakang Honda.

    Sasaran berkenaan bukan sekadar angan-angan. Proton mensasarkan untuk menjual lebih dari 100,000 unit kenderaan tahun hadapan, terutamanya dengan pengenalan SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang akan digelar sebagai Proton X50 yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.

    Menurut Li, jumlah pertumbuhan jualan yang ditunjukkan pada separuh pertama tahun ini adalah bukti sasaran mereka itu benar-benar boleh dicapai. Jualan Proton meningkat 59.1% (atau 60.55% mengikut data jualan Persatuan Automotif Malaysia). Bukan hanya jualan semata-mata, Proton juga mensasarkan untuk berada di kedudukan pertama dalam Index Servis Pelanggan (CSI) dan Index Kepuasan Jualan (SSI) JD Power di Malaysia, menerusi jaringan pusat 3S dan 4S yang dirancang bertumbuh sehingga 150 buah.

     
     
  • Elenvi, MIER bakal bentang pelan pembangunan EV kepada PM – dana RM5 bilion tersedia, lancar Okt ini

    Elenvi, MIER bakal bentang pelan pembangunan EV kepada PM – dana RM5 bilion tersedia, lancar Okt ini

    Elenvi Otomotif Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dijangka bakal membentangkan pelan pembangunan kereta elektrik (EV) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lama lagi.

    Menurut Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih, pengeluaran kereta elektrik itu akan melibatkan kos kira-kira RM5 bilion akan dibiayai oleh pelabur tempatan menerusi Elenvi Otomotif, yang merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

    “Kami akan membentangkan pelan perniagaan, pelaburan dan kewangan (kereta elektrik) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dana (RM5 bilion) sudah ada, pelancarannya dijangka Oktober ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Elenvi, MIER bakal bentang pelan pembangunan EV kepada PM – dana RM5 bilion tersedia, lancar Okt ini

    Adakah EV ini akan menjadi kereta nasional ketiga negara?

    Beliau turut berkata, sama ada projek kereta elektrik itu akan menjadi kereta nasional ketiga rasmi, hanya kerajaan yang akan menentukannya. “Sekiranya kereta elektrik yang dikeluarkan oleh Elenvi Otomotif itu tidak menjadi kereta nasional ketiga yang rasmi, syarikat berkenaan akan tetap mengeluarkan kereta elektrik itu,” ujarnya lagi dalam sidang media selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MIER dan rakan kongsi strategiknya termasuk Elenvi Otomotif.

    Difahamkan, kos RM5 bilion itu turut membabitkan pembangunan kilang pengeluaran pintar kenderaan elektrik di Taman Perindustrian Enstek, Negeri Sembilan. Kereta elektrik itu akan direka dan dikeluarkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

    Kemudahan pengeluaran kereta elektrik itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar di Taman Perindustrian Enstek, yang mana ia akan mematuhi standard Industri 4.0 dengan penggunaan maksimum robotik dan kecerdasan buatan (AI) daripada peringkat reka bentuk sehingga jualan dan pemasaran. Fasiliti terbabit difahamkan akan dipacu modul fotovoltaik solar yang akan dipasang di atas bumbung seluas lapan juta kaki persegi.

     
     
  • GALERI: Yamaha Y15ZR, R15 modifikasi tayar gemuk

    GALERI: Yamaha Y15ZR, R15 modifikasi tayar gemuk

    Populariti Yamaha Y15ZR dalam kalangan peminat dan pengguna kapcai bukanlah sesuatu yang menghairankan. Mudah diakses, harga yang sanggup dibayar oleh ramai orang, mudah untuk mendapatkan alat ganti/komponen antara faktor yang melonjakkan namanya.

    Dan disebabkan itu, lahir juga kelompok yang melihat kapcai terbabit sebagai subjek pilihan untuk meluahkan daya kreativiti dalam modifikasi. Antaranya ialah versi Y15ZR Monster tayar gemuk ini. Tetapi, ia tidak berakhir hanya situ, kerana terdapat banyak lagi yang boleh dijelmakan dari kapcai terbabit.

    GALERI: Yamaha Y15ZR, R15 modifikasi tayar gemuk

    Beberapa contoh yang dipamerkan ketika Art of Speed 2019 ini boleh membuktikan perkara itu. Pelbagai ubahsuai dilakukan, dalam konteks ini kebanyakkannya menggunakan komponen kacukan daripada motosikal kuasa besar yang dipadankan untuk kegunaan kapcai berkenaan. Itu diserlahkan lagi dengan reka grafik unik pada penampilannya.

    Tak lupa juga ada sebuah Yamaha R15 yang mengambil semangat abang besarnya, R1M sebagai inspirasi. Sekiranya anda sedang mencari ilham untuk mengubahsuai motosikal, mungkin ada yang boleh diceduk dari barisan YSuku ini.

    Yamaha Y15ZR Mission Winnow

    Yamaha Y15R King Drag

    Yamaha Y15ZR Ducati Replica

    Yamaha Y15ZR BMW HP5 Replica

    Yamaha R15M GTB

     
     
  • AOS 2019: Mini Clubman 1275 GT kuasa Datsun!

    AOS 2019: Mini Clubman 1275 GT kuasa Datsun!

    Mini sememangnya mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang cukup banyak. Kereta berkenaan walaupun sangat kecil, ia digeruni oleh mesin-mesin yang lebih besar sama ada di litar atau dalam disiplin rali. Walaupun kuasanya tidaklah menggerunkan, tetapi dengan badannya yang ringan serta pengendalian seakan sebuah go-kart, Mini seringkali menakutkan lawannya yang lebih besar.

    Selain dari diubahsuai menggunakan enjin-enjin asal, Mini klasik ini sering dilihat diubahsuai dengan menggunakan enjin DOHC VTEC Honda dari siri B dan juga enjin superbike Suzuki Hayabusa seperti Mizuki yang kami paparkan sebelum ini. Tapi Mini Clubman 1978 1275GT ini hadir dengan ubahsuai yang agak lain dari biasa – nampak macam pakai enjin asal, tetapi ia kini sebenar bernafas dengan enjin A15 dari Datsun!

    Kereta ini adalah milik seorang yang agak dikenali dalam dunia perlumbaan Mini, Ammar Naris a.k.a Amm Minimonster dari Jasmie Auto. Ketika ditanya kenapa pakai enjin Datsun? Jawapan yang padu diberikan adalah ‘kerana tork’.

    AOS 2019: Mini Clubman 1275 GT kuasa Datsun!

    Enjin asal Mini dengan kapasiti 1,275 cc ini menjana sejumlah 94 Nm, dan sudah tentu enjin A15 1.5 liter yang senang kita jumpa di perut-perut Nissan Vannette C20 dan C22 ini menghasilkan tork yang lebih besar. Amm tidak terus menyumbat enjin ini kedalam Mini GT berkenaan, sebaliknya ia dibaraikan dahulu untuk mengerah lebih lagi kuasa.

    Mula-mula kepala silinder enjin A15 tersebut dilakukan proses port and polish, dan injap-injap asal ditukar kepada unit bersaiz lebih besar bagi membolehkan udara masuk dengan lebih efisien ke kebuk pembakaran. Untuk membolehkan injap terbuka dengan lebih lama, aci sesondol asal telah ditukar dengan komponen perlumbaan buatan Iskenderian dari Amerika Syarikat dengan durasi 320 darjah.

    Kesemua omboh asal juga telah digantikan dengan omboh dari ART yang bukan sahaja lebih kuat, malah mempunyai rekaan kepala yang boleh menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi.

    AOS 2019: Mini Clubman 1275 GT kuasa Datsun!

    Dengan keupayaan ‘menyedut’ yang lebih kuat, karburator Hitachi asal tidak lagi berupaya menghantar campuran udara dan bahan api yang secukupnya kepada kebuk pembakaran. Oleh itu, Amm memadankan sistem karburator perlumbaan berkembar jenis side draught Solex PHH44, yang disangkut pada manifold kemasukan yang dihasilkan oleh Tomei, Jepun.

    Kalau tengok pada ruang enjin, hampir keseluruhannya hanya dipenuhi oleh enjin bukan? Jadi di mana kotak gear? Ini yang membuatkan konfigurasi dari buah fikiran Amm ini istimewa – dia berjaya mendapatkan kotak gear manual lima-kelajuan dari Datsun Cherry/Stanza yang direka terletak bukan di sisi enjin, sebaliknya di posisikan di bawah enjin seperti kotak gear asli Mini. Amm turut memandankan plat klac 6-puck bagi membolehkan kuasa dari enjin dipindahkan ke kotak gear dengan lebih cepat.

    Untuk suspensi, Amm telah menggunakan penyerap hentak boleh laras keras-lembut dari Spax, dan ketinggian kereta ini juga kini boleh dilaras dengan sistem dari Minisport. Sistem brek pula dipertingkatkan dengan penggunaan angkup bersama cakera AP Racing di hadapan, dan dram lebih berkuasa dari Superfin di belakang.

    Amm menggunakan rim SSR FL II yang hanya berdiameter 10-inci pada Mini ini, tetapi menampilkan lebar 7-inci. Kesemua rim dengan ‘bibir Angelina Jolie’ tersebut dibalut dengan tayar perlumbaan Yokohama Advan A032R bersaiz 165/70R10.

    Amm masih mengekalkan rupa asal Mini Clubman ini, yang diolah bersama perisa kereta lumba sebenar. Muka Clubman masih lagi kekal namun bamparnya telah di cabut, dan kemudian sebuah spoiler ‘sodok’ diberikan pada dagu. Ia turut menerima sepasang klip pada bonet bagi mengelakkan penutup tersebut terbuka semasa berlumba, dan overfender diberikan pada setiap ruang roda bagi melindungi rim dan tayar yang lebih lebar dari biasa.

    Badan kereta ini menerima cat badan berwarna putih, bersama grafik merah-hijau klasik Castrol, dan juga nombor perlumbaan ’26’ diletakkan pada kedua-dua pintu serta penutup bonet hadapan. Imej kereta lumba lebih terserlah pada bahagian dalaman dengan pemadanan sepasang tempat duduk Bride Low Max lengkap bersama tali pinggang empat-poin Takata, roda stereng tiga-jejari Motolita dan juga rollcage penuh.

    Amm telah memadankan papan pemuka custom menempatkan instrumen utama Koso RX2N yang memaparkan bacaan seperti RPM enjin, kelajuan kereta dan juga shift light bagi membolehkan pemandu menukar gear dengan lebih tepat. Di bahagian tengah atas pula bertenggek meter Defi untuk memberikan bacaan suhu air dan minyak pilincir, manakala pada konsol tengah diletakkan meter tekanan pelincir jenis mekanikal dan satu lagi meter suhu air – kedua-duanya dari Smith.

    Ruang konsol tengah ini juga diletakkan satu kotak fius bagi memudahkan kerja-kerja pembaikkan dilakukan, bersama suis penghidup enjin, kill switch dan juga suis-suis lain yang kelihatan seperti suis pada pesawat pejuang.

    Ini bukan kali pertama Ammar mempamerkan hasil seninya di Art Of Speed. Tahun lalu dia telah ke acara yang sama dengan membawa satu lagi jentera litarnya iaitu Mini Clubman dengan enjin 2.0 liter B20 DOHC VTEC!

     
     
  • Tan Chong, SAIC bekerjasama teroka pasaran Vietnam

    Tan Chong, SAIC bekerjasama teroka pasaran Vietnam

    Tan Chong Motor Holdings telah menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) dengan pengeluar kenderaan dari China, SAIC Motor untuk meneroka kerjasama did alam pemasangan, jualan, mengimport dan mengedarkan kenderaan di pasaran Vietnam, lapor The Star.

    Bagaimanapun, tidak didedahkan dengan jenama mana di bawah kumpulan itu yang akan menjalinkan kerjasama dengan Tan Chong. Untuk rekod, SAIC menaungi jenama-jenama antaranya seperti Maxus, MG dan Roewe. Tan Chong dilaporkan berkata, cadangan projek berkenaan sekiranya berjaya menjadi kenyataan, akan membuka peluang kepada syarikat itu untuk memperluaskan jejaknya di dalam industri automotif Vietnam.

    Tan Chong memiliki kilang pemasangan automotif di Vietnam dan Myanmar, dan turut mengedarkan kenderaan penumpang dan komersial di Laos dan Kemboja. Syarikat itu bagaimanapun akan memberhentikan aktiviti berkaitan Nissan di Vietnam bermula September.

    Pada Disember tahun lalu, dilaporkan bahawa Nissan akan menamatkan perjanjian usaha sama dengan anak syarikat Tan Chong, ETCM (V) dengan syarikat ini kehilangan hak untuk mengimport dan mengedarkan kenderaan Nissan dan alat gantinya ke Vietnam bermula 10 September nanti.

    Syarikat itu juga memasang kenderaan Nissan di Myanmar. Pada 2016, dilaporkan ia akan memasang model Almera (dikenali sebagai Sunny di pasaran itu) di kilang sedia ada, tetapi dijangka untuk memlanjutkan pemasangan itu dengan beralih kepada kemudahan 50 ekar di Bago, yang terletak 80 km di timur-laut Yangon pada 2018.

     
     
  • Honda Malaysia lancar Kempen ‘Road to 900,000th Unit Milestone’ – peluang menangi 9 model Honda

    Honda Malaysia lancar Kempen ‘Road to 900,000th Unit Milestone’ – peluang menangi 9 model Honda

    Sempena dengan pengeluaran ke-900,000 unit yang disasarkan mampu dicapai pada suku ketiga 2019, Honda Malaysia baru saja melancarkan kempen ‘Road to 900,000th Unit Milestone’. Kempen ini bertujuan menghargai rakyat Malaysia yang terus menyokong Honda Malaysia sejak ia ditubuhkan. Sebanyak sembilan unit model Honda iaitu Jazz, City, BR-V, HR-V, City Hybrid, HR-V Hybrid, Civic, CR-V dan Accord akan ditawarkan untuk pemenang bertuah.

    Kempen ini bakal dimulakan pada 1 Ogos ini sehingga 22 September 2019, dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat menyertainya dengan mendaftarkan butiran diri menerusi kod QR atau pun melayari laman web khas kempen ini. Selain itu, pelanggan juga boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Honda yang berhampiran dan menyertai aktiviti yang dianjurkan untuk mendapatkan tiket tersebut.

    Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah mengambil gambar lencana model kereta Honda, memandu uji mana-mana model jenama ini dan juga menyelenggara kereta Honda di mana-mana pusat servis Honda bertauliah. Lagi banyak tiket yang diperoleh, lagi besar peluang untuk memenangi mana-mana model Honda yang ditawarkan.


    Menurut Pengarah Urusan dan CEO HM, Toichi Ishiyama, “Bagi meraikan pencapaian yang penuh bermakna ini, Honda Malaysia ingin berkongsi kegembiraan menerusi kempen’Road to 900,000th Unit Milestone’. Ini juga inisiatif daripada kami dalam mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan para pelanggan hingga mengekalkan jenama kami dalam kedudukan pertama bagi kereta bukan-nasional di Malaysia.”

    Untuk menyertai kempen ini, sila layari laman web khas ‘Road to 900,000th Unit Milestone’ atau pun laman Facebook Honda Malaysia.

    Sejak ditubuhkan pada 2002, Honda Malaysia telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang memberangsangkan. Antaranya berjaya mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) yang pertama, iaitu CR-V, pada 2003, dan selepas itu, disusuli semua modelnya lain. Selain itu, Honda Malaysia juga telah memperkenalkan Next Generation Advanced Technology untuk barisan modelnya, bermula dengan pengecas turbo, Sport Hybrid i-DCD dan Honda SENSING. Dan lebih menarik, Malaysia menjadi satu-satunya negara selain Jepun yang memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD selepas teknologi hibrid tiba di negara ini pada 2004.

     
     
  • MV Agusta jalin kerjasama dengan Loncin dari China

    MV Agusta jalin kerjasama dengan Loncin dari China

    Satu demi satu pengeluar motosikal terkenal menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari China. Terbaru adalah MV Agusta, yang menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat Loncin Motor Co. Ltd, dari China.

    Dalam perjanjian ini, kedua-dua syarikat akan bersama membangunkan barisan produk baru MV Agusta yang menggunakan enjin berkapasiti antara 350 hingga 500 cc tetapi rekaan dan kejuruteraan dijalankan sepenuhnya oleh MV Agusta sendiri.

    Hasil daripada kerjasama ini akan diletakkan dalam segmen motosikal premium, seperti model-model lain MV Agusta sebelum ini, dan identiti jenama itu akan dikekalkan. Ia juga adalah sebahagian daripada strategi syarikat Itali itu untuk mengembangkan portfolio mereka dan mencapai kejayaan lebih besar di peringkat global.

    MV Agusta jalin kerjasama dengan Loncin dari China

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MV Agusta, produk yang dibangunkan bersama dengan Loncin Motor ini akan diperkenalkan untuk pasaran seawal hujung tahun 2021. Melalui kerjasama ini juga MV Agusta akan membantu Loncin untuk membangunkan motosikal berkapasiti lebih tinggi mereka yang menggunakan jenama VOGE.

    “Kerjasama strategik ini adalah langkah yang penting untuk mencapai visi masa hadapan MV Agusta. Kami bersenang hati dengan peluang pembangunan ini, yang melihatkan kami mendekati sekutu dan produk yang betul, yang juga menjanjikan peminat kami di seluruh dunia untuk pilihan yang lebih luas, tetapi sentiasa mempunyai DNA MV Agusta,” kata CEO MV Agusta Motor SpA, Timur Sardarov.

     
     
  • GALERI: Art of Speed 2019 – pentas kreativiti kustom

    GALERI: Art of Speed 2019 – pentas kreativiti kustom

    Art of Speed 2019 (AOS) telah pun berlangsung minggu lalu. Bagi yang sempat berkunjung, pasti banyak hal yang menarik perhatian. Dan, seperti biasa, AOS menjadi pentas yang menghimpunkan para penggiat budaya kustom kreatif di Malaysia dan antarabangsa di bawah satu bumbung untuk berkongsi minat yang sama.

    Secara ringkasnya, banyak perkara boleh diperhatikan, serta meliputi minat-minat yang berbeza seputar hal-hal budaya kustom – dari kereta, motosikal, permainan, hobi dan tak lupa juga muzik dan aktiviti makan-minum lainnya. Antara yang menarik perhatian ialah pengenalan global bagi lima model terbaru Hot Wheels Japan Historic 3 (HJ3). Tidak lupa juga Hot Wheels edisi khas Petronas x AOS 2019.

    Selain itu, pelancaran model terbaru Harley-Davidson di Malaysia, FXDR 114 turut berlangsung Sabtu lalu. Ia merupakan penampilan sulung model berkenaan untuk pasaran Malaysia. Dan, seperti biasa, AOS menjadi tempat untuk mempamerkan minat, kesungguhan, kreativiti serta apa saja berkaitan buday automotif dengan sejarahnya tersendiri.

    GALERI: Art of Speed 2019 – pentas kreativiti kustom

    Sebahagi contoh, penampilan titik mula warisan Proton dalam perlumbaan diwakilkan oleh dua model lagenda, Wira 1.8 EXi DOHC C99 dan Satria GTi original. Bagi peminat motosikal, terlalu banyak model-model menarik yang ditunjukkan, dari pelbagai jenama dan jenis. Dua model yang pernah kami hidangkan, BMW x Heiwa R nineT Scrambler dan STG Nautilus merupakan antara yang dibawa masuk khusus untuk acara ini. Untuk peminat kapcai yang lebih meluas, kelompok Geng Tayar Besar (GTB) turut mempamerkan hasil kreativiti mereka.

    Tapi, jika anda tak sempat berkunjung ke AOS 2019, jangan susah hati. Selain laporan-laporan berkaitannya yang telah dan akan kami keluarkan, ini ada galeri gambar yang banyak sebagai sedutan atau gambaran tentang kemeriahan acara tersebut, kami sajikan untuk anda. Selamat membelek!

    Art of Speed 2019 – Dewan A

    Art of Speed 2019 – Dewan C

     
     
  • Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

    Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

    Rimba Raid sekarang sudah menjadi satu acara tahunan dan hujung minggu lalu ia berlangsung di Janda Baik, Pahang untuk musim 2019. Bagi yang tidak pernah mendengar tentang acara ini, ia adalah satu perlumbaan offroad bagi motosikal jenis adventure/dual purpose, dengan kali ini menarik penyertaan 150 pelumba dari 16 negara.

    Mereka dibahagikan kepada tiga kelas iaitu A, B dan C bergantung kepada jenis motosikal dan kapasiti enjinnya. Antara jentera yang digunakan dalam kelas A adalah seperti BMW R1200 GS, Africa Twin 1000, KTM Adventure 1290, Triumph Tiger 800 dan Yamaha Tenere 1200 manakala dalam kelas B terdapat model seperti KTM Enduro 690 serta Husqvarna 701, dan kelas C melibatkan saingan jentera seperti Honda CRF250L, Kawasaki KLX250, Benelli TRK 502 dan Kawasaki Versys 650.

    Tahun ini jarak perlumbaan adalah lebih pendek, iaitu tidak sampai 60 km, berbanding lebih 120 km pada tahun lepas. Walaupun begitu, ia tidak bermakna akan menjadi lebih mudah bagi pelumba dan semasa penerangan tentang laluannya, cabaran yang diberitahu sudah cukup untuk membuat peserta gentar.

    Memang benar, kerana daripada 150 peserta yang terlibat dalam perlumbaan, hanya 47 berjaya menamatkan keseluruhan laluan manakala yang lain sama ada menyerah kalah ataupun motosikal rosak. Acara ini menarik kerana memberi peluang kepada pemilik jentera adventure/dual purpose untuk berlumba dan merupakan antara yang terbesar dalam Asia.

    Kami sendiri masuk ke dalam laluan perlumbaan untuk membuat liputan menggunakan Kawasaki KLX150L, dan apa yang boleh dikatakan, cabaran yang tersedia bukanlah untuk calang-calang orang. Kelasakan jentera sudah tentu diuji, tetapi yang lebih penting adalah kemampuan pelumba itu sendiri, dari aspek fizikal, mental dan kecekapan pengendalian jentera.

    Separuh pertama laluan mungkin boleh dianggap ‘mudah’ kerana melibatkan jalan yang luas dan permukaan batu kerikil tetapi itu pun sudah ‘memakan’ beberapa peserta kerana turut melalui jalan yang berlumpur akibat hujan sedikit pada malam sebelumnya dan dakian bukit yang tinggi.

    Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

    Masuk ke bahagian kedua, tahap kesukarannya bertambah lagi satu kali ganda dengan lintasan sungai dan dakian bukit dengan permukaan yang terbelah kerana laluan air. Sampai ke tahap ini, kami melihat lebih ramai yang sangkut. Ada yang kepenatan, ada yang jentera mereka mengalami kerosakan seperti klac yang habis dan tidak boleh hidup akibat sudah tenggelam dalam air, dan ada yang sekadar membuat keputusan untuk menikmati keindahan alam serta bersantai.

    Untuk pengetahun anda, ada antara laluan dalam Rimba Raid 2019 ini hanya dibuka khas untuk acara kali ini sahaja selepas mendapat kelulusan daripada pihak yang berkuasa. Ia sama ada jalan yang sudah lama tidak dilalui ataupun dibuat khas sebagai penyambung antara satu laluan ke laluan yang lain. Jadi, keadaannya sangat cantik dan asli, dan peserta sentiasa diingatkan untuk tidak meninggalkan sebarang sampah. Malah, peraturan perlumbaan juga dibuat dengan memikirkan perkara itu seperti melarang penggunaan ‘tear off‘ pada goggle.

    Bahagian terakhir perlumbaan ini adalah yang paling susah. Pengasas Rimba Raid, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain memanggilnya sebagai ‘Green Hell’ dan memang benar, ia ‘memakan’ lebih banyak mangsa yang tidak cukup kental. Cuba anda bayangkan, kami yang menunggang motosikal kecil dan ringan juga sudah berfikir dua kali untuk melepasi cabaran itu, apatah lagi mereka yang membawa jentera dengan berat lebih 200 kg.

    Rimba Raid memilih pemenang berdasarkan catatan masa, dan setiap jentera peserta dipasang dengan unit transponder untuk merekodkan masa mereka di setiap pos pemeriksaan (checkpoint). Pada awalnya penganjur menjangkakan peserta paling pantas akan tiba di garisan penamat dalam masa dua jam setengah, tapi mereka sendiri diberikan kejutan.

    Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih mesra dipanggil sebagai Gabit yang berlumba dalam kelas A menggunakan jentera KTM Adventure 1050 melengkapkan keseluruhan perlumbaan dalam masa cuma 48 minit 40 saat, diikuti oleh Wong Chun Hing dengan catatan 50 minit 37 saat dan satu jam 19 minit 16 saat oleh Wong Chun Fah.

    Kelas B pula menyaksikan Shamsul Azhar Abu Hazim mencatat masa terpantas satu jam empat minit 31 saat, diikuti oleh Wan Nor Fahmy Wan Nashar di tempat kedua dan Iskandar Rabu di tempat ketiga dengan catatan masa masing-masing satu jam 12 minit 44 saat dan satu jam 36 minit 56 saat.

    Dalam kelas C, dua beradik Muhammad Hazlami Mustapha Kamal dan Muhammad Hazzim Mustapha Kamal mendominasi tempat teratas dengan catatan masa masing-masing 56 minit 55 saat dan 57 minit 28 saat manakala di tempat ketiga adalah Muhamat Hairy Muhamat Omar Zuki, dengan masa 59 minit 09 saat.

    Apa yang menariknya di sini, tempat tiga teratas dalam semua kelas dimenangi oleh pelumba tempatan sedangkan acara ini melibatkan penyertaan daripada 16 negara termasuk pelumba factory Rali Dakar dari Chile, Jeremias Israel (tidak menamatkan perlumbaan). Dari Thailand pula, 20 pelumba terbaik dipilih berdasarkan cabaran saringan yang dibuat oleh mereka di sana.

    Dari pandangan kami, Rimba Raid akan menjadi lebih besar dan terkenal di mata dunia, dan diharapkan pelumba tempatan dapat terus memberikan komitmen terbaik untuk memastikan gelaran juara kekal dalam tangan. Sekarang sahaja mereka sudah membuktikan mereka boleh bersaing sama taraf dengan pelumba antarabangsa.

    Selain daripada penganjur, kami juga mahu memberi pujian kepada para petugas terutamanya yang bersedia di laluan mencabar. Selepas pelumba-pelumba hebat lepas, mereka tidak henti-henti membantu peserta lain di dalam hutan bagi memastikan mereka dapat keluar. Menarik dan mengangkat motosikal adventure besar dalam suasana begini bukanlah kerja yang mudah.