Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Cyberjaya akan dijadikan tempat ujian ‘kereta terbang’

    Cyberjaya akan dijadikan tempat ujian ‘kereta terbang’

    Ada cadangan untuk menjadikan Cyberjaya kembali dijadikan tempat ujian bagi ciptaan teknologi terkini, termasuk kereta terbang, lapor New Straits Times. Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, ini akan memberikan ruang untuk sebarang ujian lapangan dan penilaian yang berkaitan.

    “Jika ada mana-mana pihak yang ingin membangunkan “kereta terbang”, kita kini mempunyai ruang dan lokasi untuk menjalankan ujian,” jelas beliau. Redzuan berkata, idea berkenaan diusulkan oleh Majlis Pembangunan Negara dan menerima sokongan daripada Perdana Menteri, Tun Mahathir.

    Ketika idea berkaitan “kereta terbang” ini mula muncul, ramai yang memandang serong terhadap projek ini, terutama di media sosial; ramai yang menyuarakan keraguan mereka terhadap hal ini. Redzuan ketika itu menjawab, rakyat Malaysia hanya ada dua pilihan, untuk bergerak maju ke depan ataupun ketinggalan.

    Cyberjaya akan dijadikan tempat ujian ‘kereta terbang’

    Ketika saya ke Jepun tahun lalu, saya tanyakan kepada seorang menteri mereka tentang apa yang akan mereka pamerkan ketika Osaka World Expo 2025. Mereka maklumkan, mereka sedang membuat sebuah pulau buatan manusia untuk mempamerkan teknologi yang ada. Satu daripadanya ialah berkaitan “Internet of Things”, bukan berkenaan kaji selidik sebaliknya tentang menjadikan teknologi lebih komersial,” jelas beliau.

    “Satu daripada teknologi berkenaan ialah “teksi terbang”, yang saya bayangkan akan membawa orang terbang dari Lapangan terbang Osaka ke pulau berkenaan. Ketika kita masih berdebat tentang “kereta terbang” dan menjadikannya sebuah jenaka, negara lain sedang bergerak ke hadapan dan melakukannya,” tambah beliau.

    Ketika ditanya apa perkembangan terkini prototaip “kereta terbang” kita, Redzuan memaklumkan projek berkenaan sudah 75% selesai. Bagaimanapun gambar kenderaan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum untuk menghormati permintaan rakan niaga dari Jepun yang terlibat dalam projek berkenaan, yang juga akan memperkenalkan sebuah air mobility vehicle (AMV). Prototaip berkenaan, Vector ketika ini sedang dibangunkan oleh syarikat Malaysia, Aerodyne Group dengan kerjasama rakan kongsi dari Jepun.

     
     
  • GALERI: Hyundai Elantra AD facelift 2019 – hanya varian 2.0L Executive, dijual pada harga RM109,888

    GALERI: Hyundai Elantra AD <em>facelift</em> 2019 – hanya varian 2.0L Executive, dijual pada harga RM109,888

    April lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah membawa versi facelift sedan segmen-C Hyundai Elantra AD 2019 secara rasmi ke Malaysia. Namun, untuk versi kemaskini ini, ia hanya hadir dengan satu varian tunggal iaitu 2.0L Executive, tanpa pilihan model paling berkuasa sebelum ini 1.6L Turbo GDI Sport.

    Kali ini, Elantra 2.0L Executive ini dijual dengan harga agak kompetitif iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM109,888 lengkap dengan waranti lima-tahun atau 300,000 km serta bantuan tepi jalan 24-jam. Ia didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Phantom Black, Fiery Red, Teal Blue, Fluid Metal dan Polar White,

    Seperti yang anda boleh lihat, walaupun model ini adalah versi facelift, ia hadir dengan muka dan bahagian belakang yang jauh berbeza dari model asal.

    GALERI: Hyundai Elantra AD <em>facelift</em> 2019 – hanya varian 2.0L Executive, dijual pada harga RM109,888

    Pada bahagian hadapan, lampu utamanya telah digantikan dengan unit baharu sepenuhnya yang berbentuk segi-tiga dengan sudut-sudut tajam. Bampar hadapan juga adalah rekaan baharu sepenuhnya juga menampilkan rekaan lebih bersegi serta kemasan liang udara sisi dan perumah lampu kabus lebih kecil.

    Di belakang, perumah nombor pendaftaran telah dialih dari penutup but ke bahagian bampar. Ini membolehkan bahagian tersebut direka lebih ringkas menampilkan lampu belakang baharu, menjadikan rupa yang lebih sporty. Apa yang menarik, kamera undur kini nampak lebih kemas dengan rekaan terbenam terus di bahagian atas, manakala untuk membuka but pula, suisnya direka tersorok dan hanya perlu menekan bahagian logo H di bawah kamera.

    Namun menerusi rekaan baharu ini telah menjadikan rekaan bampar lebih ‘sibuk’ dengan kemasan hitam yang besar yang turut menempatkan plat pendaftaran. Secara keseluruhan, rekaan baharu pada Elantra ini menyebabkan ia kini 70 mm lebih panjang dengan ukuran 4,620 mm, tetapi dimensi lain masih kekal dengan lebar 1,800 mm, tinggi 1,450 mm dan jarak roda 2,700 mm.

    GALERI: Hyundai Elantra AD <em>facelift</em> 2019 – hanya varian 2.0L Executive, dijual pada harga RM109,888

    Antara kelengkapan standard pada bahagian luar Elantra facelift ini adalah lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, rim aloi dua-tona 17-inci dibaluti tayar bersaiz 225/45 R17 serta pemegang pintu krom dengan Welcome Light.

    Masuk ke kabin, tiada perubahan besar ditonjolkan pada Elantra kemaskini ini. Perbezaan yang paling nyata adalah grafik pada paparan meter yang kini diberikan latar belakang bercorak chequered dan juga paparan TFT mono LCD 3.5-inci yang kini menampilkan illustrasi 3D. Paparan infotaimen juga kini lebih besar dengan pemadanan skrin 7-inci yang turut menyokong Android Auto dan Apple CarPlay serta boleh beroperasi dengan kawalan suara.

    Tiada lagi serlahan benang merah pada model 2019 ini, dan ia diberikan upholsteri kulit hitam sepenuhnya termasuk pada roda stereng dan juga kemasan sentuhan lembut pada papan pemuka. Hyundai juga memberikan kemasan berwarna perak merentangi papan pemuka serta corak gentian karbon diberikan pada bahagian atas kluster instrumen.

    Kelengkapan standard lain dalam kabin Elantra ini termasuk butang penghidup enjin, pendingin hawa manual dan tempat duduk hadapan larasan manual. Sistem keselamatan juga masih kekal dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Traction (TC), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC) dan Sistem Bantuan Brek (BAS).

    Bahagian mekanikal juga diambil terus dari model asal tanpa apa-apa perubahan. Elantra 2.0L Executive ini dijana oleh enjin 2.0 liter NA empat silinder Nu MPI berkuasa 152 PS pada 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada 4,000 rpm dan dipadankan bersama kotak gear automatik torque converter konvensional enam kelajuan.

    Cuma, model baharu ini menerima mod pemanduan Smart baharu, yang akan ‘membaca’ gaya pemanduan anda dan secara automatik akan menala semula karekter enjin dan kotak gear bagi disesuaikan sama ada dalam mod Eco, Normal atau Sport.

    GALERI: Hyundai Elantra AD <em>facelift</em> 2019 – hanya varian 2.0L Executive, dijual pada harga RM109,888

    Suspensi juga masih lagi kekal dengan Topang McPherson pada bahagian hadapan, dan torsion beam pada bahagian belakang – tiada model 1.6L Turbo juga bermaksud kini tiada lagi pilihan Elantra dengan suspensi multilink belakang yang boleh anda pilih di bilik pameran Hyundai.

    Secara keseluruhan juga, karekter pemanduan Hyundai Elantra facelift ini adalah sama dengan model yang dilancarkan pada tahun 2017. Bagaimana pemanduannya model berkenaan? Anda boleh baca laporan pandu uji kami pada PAUTAN INI.

     
     
  • Perodua Myvi generasi ketiga dilancarkan di Mauritius

    Perodua Myvi generasi ketiga dilancarkan di Mauritius

    Perodua memperhebatkan lagi langkah dalam mengeksport produknya ke negara luar, ini termasuklah Myvi generasi ketiga telah dilancarkan di Mauritius baru-baru ini. Ia ditawarkan dalam varian 1.3 G AT dan 1.5 H AT, dengan harga masing-masing 699,000 (RM81,300) dan 775,000 (RM90,140) Rupee Mauritius, atas jalan termasuk insurans.

    Malahan sempena dengan Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre pada hujung minggu yang lalu, pengedar tempatan yang dilantik untuk menjual model Perodua di sana, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, telah mempamerkan Myvi baharu ini. Malah ia turut berjaya menarik perhatian para pengunjung yang menantikan kehadiran kereta sehebat Myvi ini di pasaran berkenaan.

    “Perodua Myvi generasi ketiga ini telah diterima baik di Malaysia dan kami percaya rakyat Mauritius akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model ini. Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada 2019 – peningkatan sebanyak 50% berbanding 2,184 unit tahun lepas. Setakat tahun ini, kami telah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles.

    “Penampilan Myvi generasi ketiga di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir-tahun kami dan secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Mauritius adalah pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (di mana ia dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura. Ia merupakan antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama. Hampir 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996, termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva dan kini Alza, Axia dan Bezza.

     
     
  • Nissan Serena facelift C27 diperkenalkan – gril baharu yang besar, ciri pemanduan ProPilot dipertingkatkan

    Nissan Serena facelift C27 diperkenalkan – gril baharu yang besar, ciri pemanduan ProPilot dipertingkatkan

    Pertengahan bulan lalu, Nissan telah mempertontonkan Serena C27 facelift dan MPV generasi kelima yang lebih segar ini telah pun mula dijual di pasaran negara kelahirannya, Jepun. Selain menjalani perubahan kosmetik, beberapa semakan semula untuk ciri keselamatannya turut dilakukan. Bagi model standard, bahagian gril V-Motion krom yang menerima kepingan berkembar, diletakkan lingkaran hitam yang agak tebal. Malahan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih tajam juga menimbulkan aura sporty untuk model ini.

    Namun bagi Highway Star (satu-satunya varian yang kita dapat buat masa ini) diserlahkan dengan gril yang sedikit ditarik ke bawah hingga ke corong pengambilan udara tengah – dipenuhkan dengan kemasan krom dan Nissan mendakwa ia umpama permata yang menarik perhatian.

    Bentuk-L pada bahagian bucu bampar hadapan juga telah dibesarkan dan nampak lebih agresif, begitu juga dengan bahagian belakang. Roda aloi dwi-tona 16-inci dan lampu belakang LED telah direka semula, sekaligus membuatkan bahagian belakangnya nampak lebih lebar.

    Nissan Serena facelift C27 diperkenalkan – gril baharu yang besar, ciri pemanduan ProPilot dipertingkatkan

    Lampu utama terpisah juga telah direka semula untuk kesemua varian, yang kini didatangkan dengan jaluran krom berbanding warna badan – pada Highway Star, dikemaskan dengan krom yang agak besar. Model tertinggi ini turut menerima lampu utama LED Adaptif yang pertama, yang menampilkan 12 diod pada setiap sisi yang boleh dimatikan secara individu, sekaligus membuatkan lampu tinggi yang menyala tidak akan menyilaukan pengguna jalan yang lain.

    Model facelift ini turut ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Sunrise Orange dan Dark Metal Grey – kedua-duanya turut ditawarkan dengan skim warna pilihan luaran dengan dua tona iaitu Diamond Black di bahagian bumbung. Ciri baharu yang turut ditampilkan termasuklah roda aloi dua-tona 15-inci yang direkakan khas untuk model e-Power.

    Di dalamnya pula, tidak banyak perubahan yang dilakukan, melainkan kluster instrumen yang direka semula, dengan balutan tempat duduk kalis air yang kini ditawarkan sebagai pilihan. Untuk keselamatan, Serena menambah Intelligent Blind Spot Intervention, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Emergency Assist untuk Pedal Misapplication di dalam senarai kit standard, di samping ciri sedia ada termasuk Intelligent Emergency Braking dan Lane Departure Warning.

    Nissan Serena facelift C27 diperkenalkan – gril baharu yang besar, ciri pemanduan ProPilot dipertingkatkan

    Ciri pemanduan ProPilot semi-autonomous juga telah ditambahbaik, kini dipertingkatkan dengan kawalan kelajuan yang menyalurkan brek yang lebih lancar dalam beberapa situasi pemanduan. Malah ia juga boleh mengekalkan tahap kelajuan yang ditetapkan pemandu dengan lebih baik, di samping mengimbangi hamburan penjana kuasa.

    Pilihan penjana kuasa telah dikekalkan dan ini termasuklah enjin MR20DD 2.0 liter suntikan terus CVT-berkembar empat-silinder petrol dengan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm, dipadankan dengan Xtronic CVT dan motor elektrik 1.8 kW yang menambahkan lagi tork 50 Nm bagi hamburan pendikitan apabila diperlukan. Ia turut ditawarkan dengan pacuan roda-hadapan atau semua-roda.

    Sementara bagi model e-Power, ia dikuasakan oleh motor elektrik 136 PS/320 Nm dari Leaf generasi terdahulu, yang digandingkan dengan enjin 1.2 liter HR12DE tiga-silinder dengan output 79 PS/103 Nm. Bagi semua model e-Power, tiada port pengecasan untuk pemanduan elektrik tulen. Nissan mendakwa penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 26.2 km per liter mengikut kitaran JC08.

     
     
  • Volkswagen California 6.1 – campervan pelbagai guna

    Volkswagen California 6.1 – <em>campervan</em> pelbagai guna

    Volkswagen California 6.1 dijangka akan membuat penampilan sulung hujung bulan ini. Awal tahun ini, Volkswagen Transporter T6.1 telah diberikan kemaskini dan muncul dalam bentuk multivan. Model California ini pula merupakan versi campervan kenderaan terbabit.

    Tambahan kepada model ini berbanding penampilan terdahulu adalah ia turut dilengkapi kemudahan dapur dan juga tempat tidur serta konsol panel baru pada siling di depan. Ditampilkan dalam gambar ini ialah versi paling tinggi dikenali sebagai California Ocean 6.1. Wajah depannya antara lain dilengkapi kemasan krom sebagai lanjutan pada bahagian gril ke lampu nyalaan siang. Di bawahnya pula ialah bukaan ruang masukan udara yang lebih besar.

    Ia dilengkali set dapur kompak dengan kendalian satu butang, serta dua soket USB, pemegang aluminium untuk semua pintu. Katilnya pula didakwa lebih selesa. Meja kecil untuk berkhemah pula tersimpan kemas dalam pintu gelungsur kekal ada.

    Bahagian bumbungnya pula boleh dilanjutkan ke atas, disepadukan juga bersama tempat tidur di atas dengan fungsi pemalapan lampu, yang boleh dikawal melalui konsol pada siling berkenaan. Menu pada skrin sentuh termasuk Camping (mod), Cool Box, Light dan Set-up.

    Di sebalik semua ciri praktikaliti dan teknologi kediaman ini, jangan dilupa bahawa ini adalah sebuah kenderaan. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0 TDI sedia ada, serta sistem pacuan semua roda sebagai pilihan tambahan. Selain itu, suis untuk memilih stereng hidraulik atau stereng kuasa elektro-mekanikal juga tersedia.

    Kelengkapan dalamannya boleh dipilih untuk menerima sistem infotaimen Composite Audio dan Composition Colour (skrin sentuh 6.5-inci), tetapi pilihan lebih lengkap ialah Discover Media (skrin 8-inci) atau sistem tunjuk arah Discover Pro (9.2-inci) bagi Modular Infotainment Matrix (MIB3) generasi ketiga.

     
     
  • VIDEO: HKS Toyota Corolla Sport – lebih garang!

    Dah tengok video Toyota Corolla Sport yang ditala oleh TOM’S tempoh hari? Nah, hari ini mari kita tonton pula video Corolla hatchback generasi baharu dari satu lagi penala ‘otai’ dari Jepun iaitu HKS.

    Sama seperti TOM’S Corolla Sport, hatchback sentuhan HKS ini juga adalah dari versi Corolla Sport Hybrid, dijana enjin 2ZR-FXE 1.8 liter bersama sistem hibrid THS II. Namun, HKS tidak memadankan kit badan, tetapi hanya direndahkan dengan suspensi boleh laras Hipermax GT4 bersama set rim Advan Racing GT dan tayar Yokohama Advan Fleva.

    Kemudian, penapis udara asal ditukar dengan unit yang mempunyai aliran lebih telus HKS Super Air Filter. Paling menarik adalah sistem ekzos HKS Legamax Sport, dengan muffler dua tip keluar pada bahagian tengah bampar belakang yang bukan sahaja nampak lebih agresif, tetapi turut menghasilkan bunyi yang jauh lebih garang.

    Kesemua peralatan ini bukan hanya untuk model hibrid, malah turut boleh dipadankan untuk model varian paling asas JDM dengan enjin 8NR-FTS 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS/185 Nm.

    Selain dari komponen yang ditunjukkan dalam video, HKS turut menghasilkan peralatan prestasi tinggi lain untuk Corolla hatchback generasi baharu ini seperti pengawal boost turbo elektronik (untuk model 1.2L Turbo) HKS Power Editor dan HKS OB-Link yang boleh memaparkan maklumat-maklumat OBD ke peranti Android.

     
     
  • Spoon tala Civic 1.5L Turbo cecah 200 PS hanya guna komputer Hondata, dedah ekzos dan kelengkapan lain

    Spoon tala Civic 1.5L Turbo cecah 200 PS hanya guna komputer Hondata, dedah ekzos dan kelengkapan lain

    Penala yang terkenal jentera-jentera ‘perang’ Honda, Spoon mendedahkan mereka telah menala semula sebuah Honda Civic Hatchback FK7 1.5L VTEC Turbo (menggunakan enjin sama L15B7 dengan Civic FC sedan pasaran Malaysia) hanya dengan menggunakan kotak komputer (ECU) Hondata Flashpro.

    Menurut Spoon, dengan menggunakan ECU tersebut, enjin pada Civic berkenaan dengan mudah akan menghasilkan 30 ps kuasa tambahan dari kuasa asal 173 PS/220 Nm tanpa mengusik mana-mana komponen lain, dan memberikan rasa “seakan kuasa dari enjin V6 2.5 liter”.

    Dalam masa yang sama, Spoon turut mendedahkan berberapa komponen baharu yang boleh dipadankan terus kepada Honda Civic 1.5L VTEC Turbo hatchback dan sedan anda. Antaranya sistem ekzos N1 Spoon, yang akan menggantikan dua tip kiri dan kanan standard kepada dua muffler lebih besar diletakkan pada bahagian tengah seakan Civic Type-R FK8.

    Komponen lain yang turut diperkenalkan untuk model FK7 dan sedan FC ini termasuk radiator aluminium lebih besar, stiff plate untuk menguatkan lagi kerangka hadapan kereta, dan juga bonet hadapan gentian karbon yang mampu mengurangkan berat keseluruhan kereta.

    Sebelum ini Spoon turut telah mendedahkan sistem brek dengan angkup enam-omboh monoblok untuk Civic ini, dan juga memperkenalkan semula rim aloi forged lagenda mereka Spoon SW388.

     
     
  • Aksesori Volkswagen Sound & Style untuk pemilik Golf, Passat, Tiguan – soundbar hanya RM2,604

    Aksesori <em>Volkswagen Sound & Style</em> untuk pemilik Golf, Passat, Tiguan – <em>soundbar</em> hanya RM2,604

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah menawarkan Sound & Style untuk varian Golf, Passat dan Tiguan, sekaligus menambah beberapa lagi aksesori sebagai ciri standard. Ini bukan sahaja ditawarkan kepada pembeli baharu, bahkan untuk pemilik sedia ada varian berkenaan juga boleh membelinya secara berasingan.

    Ciri tambahan yang paling utama bagi aksesori ini ialah Helix 300W Soundbar, yang dipasang di ruang but dan dilengkapi dengan amplifier lima-saluran sendiri dan juga prosesor bunyi digital, yang ditawarkan pada harga RM2,604 untuk semua model. Selain itu, pemilik varian berkenaan juga boleh membeli VW Tint untuk tingkap kenderaan pada harga RM2,200 untuk Golf dan Passat serta RM2,450 untuk Tiguan.

    Untuk Passat, ia turut menawarkan pedal sport dan plat sill scuff sisi aluminium pada harga masing-masing RM486 dan RM504, sementara untuk Tiguan didatangkan dengan spoiler belakang hitam berharga RM1,387, kemasan tailgate krom dengan harga RM195.40 dan juga kemasan ekzos krom berkembar berharga RM250.

    Harga yang disenaraikan ini termasuk dengan kos buruh bagi pemasangan, dan turut diberikan pelindungan waranti selama dua-tahun bermula tarikh pemasangan.

    GALERI: Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line Sound & Style

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline Sound & Style

    GALERI: Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Sound & Style

     
     
  • Untung Honda jatuh 29.5% untuk suku pertama 2019

    Untung Honda jatuh 29.5% untuk suku pertama 2019

    Selepas Nissan dan Mazda dilaporkan mengalami penyusutan untung, terbaharu Honda juga dilihat sedang berhadapan situasi sama. Dalam pengumuman suku pertama tahun fiskalnya, Honda dilaporkan mengalami kemerosotan kadar untung berjumlah 29.5%.

    Honda merekodkan untung 172.3 bilion yen (RM6.7 bilion) dalam tempoh April hingga Jun, jatuh dari 244.3 bilion yen (RM9.5 bilion) yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

    Setelah itu, jenama berkenaan telah menurunkan jangkaan untungnya untuk tahun fiskal 2020 kepada 645 bilion yen (RM25.09 bilion) berbanding jangkaan awal yang dibuat berjumlah 665 bilion yen (RM25.8 bilion), tetapi menjangkakan untung operasi akan meningkat sebanyak 6% kepada 770 bilion yen (RM29.95 bilion) untuk tahun fiskal berkenaan.

    Kejatuhan kadar keuntungan tahun ini adalah disumbangkan oleh kelembapan jualan di Amerika Syarikat dan India. Honda hanya mencatatkan jualan sebanyak 407,000 unit untuk tiga bulan pertama tahun ini berbanding 425,000 unit kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu, lapor Reuters.

    Honda turut menurunkan lagi jangkaan jualan global mereka untuk Mac 2020 kepada 5.11 juta kenderaan, berbanding 5.16 juta unit sebelum ini. Tahun lalu, jenama tersebut mencatatkan jualan global sebanyak 5.323 juta unit.

    Pada Mei tahun ini, Honda telah mengumumkan bahawa mereka akan memotong kos produksi sebanyak 10% menjelang 2025 dan membuat penstrukturan semula variasi model mereka, dengan menyalurkan dana yang dijimatkan kearah usaha-usaha R&D.

     
     
  • Toyota Supra jana 420 hp hanya dengan talaan ECU!

    Toyota Supra jana 420 hp hanya dengan talaan ECU!

    Era 90’an, rata-rata peminat JDM tahu bahawa jentera-jentera seperti Toyota Supra dan Nissan Skyline GT-R menghasilkan 280 hp hanya atas kertas, dan kuasa sebenar model-model tersebut dapat ‘dibebaskan’ hanya dengan talaan semula dilakukan terhadap kotak komputer (ECU) enjin.

    Ini adalah kerana ‘gentlemen agreement‘ yang dipersetujui oleh semua pengeluar kenderaan di Jepun bagi mengelakkan mereka terjerumus ke arah ‘perang kuasa kuda’ yang mungkin akan menyebabkan mereka menghasilkan jentera-jentera yang boleh membahayakan pengguna. Tetapi sejak Jepun ketandusan model-model sport dan mereka mula menghasilkan model-model global, perjanjian tersebut tidak lagi digunakan dan sebab itulah anda boleh menerima sebuah Nissan GT-R R35 berkuasa 555 PS secara standard dari kilang.

    Namun dengan Supra generasi baharu, Toyota nampaknya seakan masih menyembunyikan sesuatu – sebelum ini ada yang telah menguji sebuah GR Supra A90 standard di atas mesin dyno dan ia mencatatkan 376 hp/512 Nm berbanding 335hp (340 PS)/500 Nm yang ditulis di dalam brosur. Dan yang terbaharu, penala dari British, Litchfield membuktikan kuasa jauh lebih banyak dapat dikerah hanya dengan menala semula ECU kereta sport tersebut.

    Toyota Supra jana 420 hp hanya dengan talaan ECU!

    Litchfield sebenarnya mahu menghasilkan kit lengkap pengubahsuaian Supra baharu ini, tetapi sebelum bermula mereka mahu tahu terlebih dahulu berapa kuasa yang boleh diekstrak tanpa mengusik sebarang peralatan dan komponen pada ruang enjin Supra berkenaan. Hasilnya, 420 hp dan tork maksima 597 Nm dapat dihasilkan dari enjin BMW B58 3.0 liter enam-silinder turbo tersebut! Menurut Litchfield, kuasa berkenaan dapat dikerah lebih banyak sekiranya sistem ekzos dari Milltek dan Akrapovic digunakan.

    Selain dari komponen untuk menghasilkan lebih kuasa kuda, Litchfield turut akan menghasilkan peralatan tingkat taraf lain untuk Supra seperti komponen suspensi dan set bushing bagi mempertingkatkan pengendalian dan respon stereng, serta kit luaran dari material gentian karbon.

    Toyota GR Supra A90 sah akan di bawa ke Malaysia dan bakal dilancarkan pada bulan September ini. Tiada sebarang petunjuk harga didedahkan oleh UMW Toyota, tetapi model yang sama telah dilancarkan dengan harga RM402k di Filipina dan RM600k di Indonesia. Sebelum ini juga ada pihak yang telah menguji bahawa dalam keadaan standard, Supra juga sebenarnya lebih pantas dari kembarnya dari Jerman iaitu BMW Z4 G29 M40i!

     
     
  • Yamaha Y15ZR dan NVX 155 versi Doxou tiba di Malaysia – harga dari RM8,868, diberi kit edisi terhad

    Yamaha Y15ZR dan NVX 155 versi Doxou tiba di Malaysia – harga dari RM8,868, diberi kit edisi terhad

    Hari ini semasa acara Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan satu versi baru untuk Y15ZR dan NVX 155 yang dikenali sebagai Doxou. Dua model ini boleh didapati bermula pertengahan bulan Ogos ini, dengan harga RM8,868 untuk Y15ZR Doxou, manakala untuk NVX 155 Doxou harganya masih belum disiarkan.

    Peminat dua motosikal ini tentu sudah kenal dengan versi Doxou kerana ia sudah dilancarkan sebelum ini di Vietnam dan juga Indonesia awal tahun lalu. Malah, di Malaysia sendiri ramai yang sudah menggunakan kit badan Doxou kerana ada penjual yang membawanya dari dua negara tersebut (kit tiruan juga sudah ada).

    Keistimewaan model Doxou adalah ia menggunakan grafik warna utama biru matte yang diserikan lagi dengan warna seperti tembaga kemerahan. Lebih unik, rimnya juga berlainan warna iaitu biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan. Kemudiannya terdapat beberapa jalur dan tulisan Doxou itu sendiri pada badan motosikal. Selain daripada itu, bahagian mekanikal dua model ini masih lagi sama dengan Y15ZR dan NVX155 standard.

    Selain daripada penampilan, tiada yang berubah bagi model Doxou ini, dengan Y15ZR dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc berkuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. NVX 155 pula menggunakan enjin 155 cc, silinder tunggal dengan janaan kuasa sebanyak 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpmyang dipadankan bersama kotak gear CVT.

    Selain motosikal itu sendiri, HLYM turut melancarkan barisan pakaian dan aksesori Doxou untuk jualan di pasaran Malaysia, sementara mereka yang membeli Y15ZR dan NVX 155 Doxou ini pula akan menerima set hadiah istimewa yang terdiri daripada fon kepala, rantai kunci serta sijil pemilikan khas. Jaminan datang untuk tempoh dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: Yamaha Y15ZR Doxou

    GALERI: Yamaha NVX 155 Doxou

     
     
  • Porsche perkenal program pembiayaan 360 Leasing

    Porsche perkenal program pembiayaan <em>360 Leasing</em>

    Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengedar rasmi jenama Porsche di Malaysia kini memperkenalkan program pembiayaan baru untuk kenderaannya, dikenali 360 Leasing. Melalui program ini, pelanggan boleh memandu pulang model kenderaan Porsche bagi tempoh tiga tahun atau 60,000 km (yang mana dahulu), tanpa perlu risau berkenaan nilai jualan semula.

    Bagi pelanggan yang menggunakan pembiayaan daripada program ini, mereka tidak hanya akan menikmati harga yang lebih kompetitif, tetapi turut akan menikmati pakej insurans komprehensif, termasuk dengan perlindungan cermin utama dan bencana alam, cukai jalan dan bentuan tepi jalan 24-jam Porsche Assist.

    Buat masa ini, program 360 Leasing hanya ditawarkan bagi model Cayenne terbaru dan juga Panamera, sementara pilihan sama untuk Macan bakal menyusul nanti. “Program ini merupakan inisiatif kami untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada pelanggan, tanpa mereka perlu terlalu risau berkaitan komitmen pembiayaan dan nilai jualan semula kenderaan terbabit,” ujar CEO SDAP, Christopher Hunter.

    Porsche perkenal program pembiayaan <em>360 Leasing</em>

    Program ini membolehkan memandu model-model berkenaan selama tiga-tahun dengan hanya 10% atau 25% jaminan deposit dikembalikan (masing-masing bagi pajakan syarikat atau individu). Pelanggan hanya perlu membayar sewaan pajak bulanan yang dikenakan sepanjang tiga tahun berkenaan yang memberikan penjimatan kewangan mereka berbanding dengan kos keseluruhan sekiranya memiliki kenderaan berkenaan.

    Di hujung tempoh pajakan itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf pajakan mereka kepada model Porsche yang lain, atau menaik taraf kenderaan terbaru dalam barisan model yang sama. Bagi pelanggan yang kemudiannya ingin melanjutkan tempoh pajakan atau terus memiliki kenderaan itu, mereka boleh berbuat demikian.

    360 Leasing juga didatangkan dengan pakej jaminan dan penyelenggaraan termasuk untuk servis, alat ganti dan kos buruh oleh Posrsche Service Centre.

     
     
  • GALERI: Volvo XC60 T8 dengan pilihan aksesori asli

    GALERI: Volvo XC60 T8 dengan pilihan aksesori asli

    Volvo XC60 T8 Twin Engine dalam keadaan standard pun dah sangat kacak bukan? Tapi kalau anda rasa ia tidak cukup sporty seiring dengan kuasa 407 hp/640 Nm yang dihasilkan, ini ada aksesori asli yang ditawarkan oleh Volvo Cars Malaysia (VCM) khas untuk SUV tersebut.

    Unit dalam gambar yang anda lihat ini adalah unit demo yang berada di bilik pameran Volvo di Bukit Bintang, dioperasikan oleh Sisma Auto. Diasaskan dari XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus, ia menerima barisan pilihan aksesori dari VCM berkenaan. Pada bahagian luaran, ia menerima pakej Exterior Styling yang terdiri dari skid plate hadapan dan belakang dan juga dua tip ekzos di belakang. Pakej ini akan menjadi milik anda dengan harga RM6,999.

    Bagi menampakkan rupa yang lebih agresif, anda boleh memilih rim aloi 10-jejari black diamond cut berdiameter 22-inci bersama tayar 265/35R22 bagi menggantikan rim 19-inci asal. Kalau rasa garang sangat, rim 20-inci turut ditawarkan dengan rekaan lima-jejari berkembar matte black diamond cut.

    Set-set rim ini dijual bersama pakej yang datang sekali dengan fender flare bagi mengembangkan lagi ruang roda XC60 tersebut. Harganya? RM26,888 untuk set 22-inci dan RM18,188 untuk set 20-inci.

    GALERI: Volvo XC60 T8 dengan pilihan aksesori asli

    Beralih ke ruang kargo belakang, anda akan disambut dengan panel aluminium bersama lampu disekelilingnya yang akan menerangkan bahagian ini dalam masa 20 minit jika anda membuka pintu tailgate belakang, memudahkan anda memasukkan barang pada kawasan gelap. Ia dijual pada harga RM2,217.

    VCM turut menawarkan scuff plate pada bendul pintu yang turut menyala ketika pintu dibuka pada harga RM673, tetapi tidak di padankan pada unit demo ini.

    Aksesori luar lain yang ditawarkan untuk XC60 ini termasuk load carrier berharga RM1,499 dan pemegang basikal aluminium berharga RM999. Pada bahagian dalaman pula anda boleh memilih aksesori seperti booster seat untuk kanak-kanak berharga RM 731, panel pelindung belakang berpoket untuk tempat duduk hadapan berharga RM282, alas kaki plastik berharga RM619 dan alas kaki tekstil kalis air berharga RM706.

    Pelbagai aksesori lagi ditawarkan untuk but belakang antaranya load liner plastik (RM1,419) untuk membawa barang kotor dan basah dan alas plastik kesat (RM869) bagi mengelakkan barang yang dibawa menggelungsur.

    Anda turut boleh memesan kunci kereta anda dengan balutan kulit, kemasan Blond dan Charcoal dengan harga RM620, serta juga kemasan putih berharga RM1,128. Bukan itu sahaja, jika anda mahu kunci dengan kemasan kayu juga ditawarkan dengan warna Dark Flame Birch dan Linear Walnut berharga RM1,128.

    Volvo XC60 juga hadir dengan kunci pendua yang digelar Red Key, membolehkan anda menetapkan kelajuan maksima, amaran had laju, bunyi audio dan juga cruise control adaptif sekiranya mahu meminjamkan kereta tersebut kepada keluarga atau kenalan.

     
     
  • Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Asyik naik je kan? Minggu ini ada berita sedikit okey untuk pengguna petrol RON97 kerana ia dilaporkan turun sedikit. Bermula tengah malam 3 Ogos 2019, RON 97 akan dijual pada harga RM2.54 seliter atau turun 2 sen berbanding RM2.56 seliter minggu lalu.

    RON 95 pula seperti biasa masih ditambat pada harga RM2.08 seliter tanpa perubahan kerana ia telah mencecah harga siling yang ditetapkan kerajaan.

    Untuk diesel, ia juga masih kekal RM2.18 seliter untuk Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28.

    Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Menurut pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, RON 95 sepatutnya dijual pada harga RM2.24 seliter minggu ini, dan diesel pula adalah RM2.33. Kerajaan menyatakan bahawa mereka telah menyerap kira-kira RM85.78 juta untuk subsidi bahan api untuk tempoh 3 hingga 9 Ogos 2019.

    Harga yang diumumkan ini akan kekal sehingga 9 Ogos, setelah harga baharu minggu berikutnya diumumkan.

     
     
  • Empat pemenang bertuah bawa balik Toyota Vios

    Empat pemenang bertuah bawa balik Toyota Vios

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan senarai pemenang bertuah bagi kempen As Never Before Bonanza yang berlangsung dari 1 Januari hingga 30 April 2019. Sepanjang tempoh berkenaan, pelanggan yang membeli dan mendaftarkan kenderaan Toyota mereka sebelum 30 April 2019 berpeluang untuk memenangi satu daripada hadiah utama sebuah Toyota Vios 1.5G.

    Empat pemenang bertuah yang membawa pulang Vios berkenaan ialah Pugalendran A/L Chelliah, Lee Yian Ling, Siti Aishah Binti Mohd Said dan Hasmynor Bin Ahmad yang dipilih melalui pembelian mereka dari cawangan-cawangan berbeza dari seluruh negara.

    Selain itu, pelanggan yang mencuba model kenderaan Toyota di bilik pameran juga berpeluang untuk memenangi hadiah pakej percutian bernilai dari RM5,000 hingga RM8,000 serta peranti elektronik seperti iPad, VIVO NEX serta Samsung Note 9. Mereka yang bertuah memenangi hadiah-hadiah ini pula terdiri daripada Ng Joon Ka, Kok Beng Hin dan Lukman Hakim Bin Kamarudin.

    “Kami sangat gembira dengan maklum balas yang diterima daripada orang ramai terhadap kempen As Never Before Bonanza yang berlangsung sepanjang empat bulan pertama tahun ini. Dengan model-model terkini di bilik pameran, ia merupakan peluang kepada pelanggan untuk memandu dan mengalami sendiri apa yang ditawarkan oleh kenderaan Toyota,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Orang ramai boleh mengetahui tentang promosi-promosi akan datang serta maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan lain di laman web toyota.com.my atau mengunjungi sendiri cawangan pengedar sah di seluruh negara.

     
     
  • Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    Ada yang dah tempah Perodua Aruz tapi masih belum dapat? Ini kenyataan yang baru kami terima dari Perodua – tempoh menunggu untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan telah berjaya dikurangkan antara 1 hingga 1.5 bulan (bergantung pada varian) berbanding 2 hingga 2.5 bulan sebelum ini kerana mereka kini telah meningkatkan pengeluarannya.

    Menurut CEO dan Presiden Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya dapat memperbaiki proses pengeluaran SUV tersebut membolehkan waktu menunggu untuk pelanggan yang menempahnya dipendekkan.

    “Kami akan terus menumpukan kepada kualiti dan penghantaran seperti mana keutamaan kami kepada pelanggan yang dihargai. Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan sehingga Aruz menjadi SUV yang paling popular di Malaysia – ini menjadi peristiwa penting buat kami,” katanya.

    Perodua menganggarkan pencapaian jualan Januari hingga Julai akan mencecah 140,900 unit untuk semua model, setara dengan 140,900 unit dari tempoh yang sama tahun lepas walaupun ketika itu jumlah jualan dipacu oleh “cuti cukai” selama tiga bulan. Dari keseluruhan jumlah jualan terkini 2019, Aruz dijual sebanyak 17,989 unit.

    Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    “Dari sudut perbandingan, bulan Jun, Julai dan Ogos tahun lalu menyaksikan “cuti cukai” yang terhasil daripada keputusan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST oleh kerajaan. Meskipun begitu, kami sangat beruntung kerana prestasi kami jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kesan semasa “cuti cukai”,” jelasnya lagi dan menambah sasaran jualannya sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini masih lagi kekal.

    Pada pertengahan bulan lalu, Perodua telah mengumumkan bahawa ia telah meningkatkan sasaran jualannya kepada 235,000 unit untuk 2019, peningkatan 4,000 daripada sasarannya 231,000 yang diumumkan pada Januari tahun ini. Peningkatan sasaran jualan ini adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk semua model semasanya.

    Serentak dengan itu, jumlah sasaran pengeluaran untuk 2019 turut telah ditingkatkan kepada 249,000 unit, penambahan 2.9% daripada sasaran sebelumnya iaitu sebanyak 242,000 unit.

    Buat masa sekarang, kedua-dua kilang pembuatan Perodua beroperasi pada kapasiti 97% – mencatatkan kestabilan operasi pada tahap optimum; naik sebanyak 96.2% berbanding tahun lalu bagi PMSB dan 94.6% bagi PGMSB, sementara kecacatan per unit (DPU) di kedua-dua kilang telah mencatatkan penurunan yang stabil.

     
     
  • Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Volvo Cars Malaysia (VCM) telah memberikan peningkatan kepada XC60, XC90 dan S90, dengan melengkapkan kesemua model ini dengan papan pemuka kulit, bersama jahitan kontras yang dipanggil sebagai Tailored Instrument Panel. Menurut syarikat ini, peningkatan tersebut sudah pun dimulakan pada bulan Mei lalu, dan diberikan tanpa sebarang perubahan harga.

    Walaubagaimanapun, Tailored Dashboard ini hanya boleh didapati bagi varian T8 Inscription dan T8 Inscription Plus untuk semua model yang disebutkan tadi. Ini bermakna, XC60 T5 AWD Momentum, XC90 T5 AWD Momentum dan S90 T5 Momentum tidak mendapat papan pemuka tersebut.

    Harga jualan untuk XC60 bermula pada RM298,888 tidak termasuk insurans, iaitu untuk varian T5 Momentum, manakala varian T8 Inscription dijual pada RM333,888 dan T8 Inscription Plus RM343,888. Model XC90 pula terdiri daripada T5 Momentum yang berharga RM373,888, T8 Inscription RM399,888 dan T8 Inscription Plus RM409,888.

    Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Akhir sekali, S90 yang juga mempunyai varian sama seperti dua SUV tadi dijual pada harga RM338,888 untuk T5 Momentum, RM366,888 untuk T8 Inscription dan RM386,888 untuk T8 Inscription Plus. Selain daripada perubahan papan pemuka Tailored Instrument Panel untuk varian T8, senarai kelengkapan untuk semua varian ini masih lagi sama.

    Semua model T5 dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter Drive-E, yang mampu menghasilkan kuasa 254 hp dan 350 Nm tork. Varian T8 Twin Engine pula menggunakan penjana plug-in hybrid, yang terdiri daripada enjin Drive-E 320 hp/400 Nm dan motor elektrik 87 hp/240 Nm yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang sekaligus menghasilkan pacuan empat roda. Semua enjin ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan Aisin.

     
     
  • Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    Renault di Malaysia masih lagi dianggap sebagai jenama lebih premium dari model-model buatan Asia kerana ia berasal dari Perancis – rata-rata konsumer masih gusar akan kos penyelenggaraannya. Skeptikal yang sama juga masih sama di Indonesia, tetapi dengan pengenalan SUV bajet tujuh-tempat duduk baharunya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019 tempoh hari iaitu Renault Triber, seakan membawa lembaran baharu jenama tersebut setelah lebih 1,000 unit ditempah sepanjang acara berkenaan berjalan.

    Menurut laporan Kompas, sepanjang 11 hari (18 hingga 28 Julai) GIIAS 2019 berlangsung, PT Maxindo Renault Indonesia (MRI) telah menerima 1,386 unit tempahan kereta baharu, di mana 1,033 unit daripadanya adalah Renault Triber. Walaupun harga rasmi SUV ini masih belum diumumkan, ia tidak menghalang orang ramai untuk menempahnya dengan bayaran deposit sebanyak Rp 3 juta (RM875).

    Pasaran Indonesia sememangnya meminati SUV/MPV tujuh tempat duduk, dan Triber akan berhadapan dengan lawan-lawan yang telahpun mendapat tempat di hati ‘sejuta umat’ negara berkenaan seperti model dalam segmen Low Cost Green Car (LCGC) tiga baris tempat duduk yang lain termasuk Toyota Calya, Daihatsu Sigra dan Datsun GO+).

    Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    MRI telah memberikan jangkaan bahawa model ini akan dijual pada pasaran Indonesia pada harga lingkungan sama seperti model-model segmen LCGC, jadi sudah tentu ia akan diletakkan lebih rendah dari model-model SUV/MPV tujuh-tempat duduk yang lebih besar seperti Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Honda Mobilio, Suzuki Ertiga, Mitsubishi Xpander dan Nissan Livina.

    Renault Triber membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di India bulan Jun lalu, menampilkan tiga baris tempat duduk seperti MPV tetapi dengan rekaan seperti SUV. Panjang keseluruhan model ini adalah 3,990 mm.

    Ia juga sebenarnya dibangunkan dan diproduksi di India, namun Renault masih mempunyai hasrat untuk menjualnya di negara lain. Triber diasaskan dari platform Alliance CMF-A dan mempunyai perincian rekaan unik yang termasuk garis tingkap yang menaik di tiang-C dan bumbung bertingkat untuk memberikan lebih ruang kepala kepada penumpang belakang.

    Triber menerima enjin tiga silinder 1.0 liter berkuasa 72 hp/96 Nm dan dipadankan dengan transmisi sama ada manual lima-kelajuan atau AMT lima-kelajuan. Kalau di Malaysia, sudah tentu soalan “boleh naik Genting ke ni?” akan berkumandang kan? Namun menurut Renault, Triber mempunyai berat bawah 1,000 kg dan perancangan untuk menggunakan enjin 1.0L turbo sudah dibuat di India.

    Antara kelengkapan yang diberikan untuk Triber varian tinggi adalah panel paparan informasi 3.5 inci dengan meter kelajuan digital, skrin sesentuh 8.0 inci dengan sambungan Apple CarPlay, corong pendingin hawa untuk semua baris tempat duduk, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin dan rim 15 inci. Pada bahagian keselamatan, terdapat brek ABS dan empat beg udara.

    Tempat duduk baris ketiga pada Triber boleh dicabut sepenuhnya untuk memberikan ruang simpanan 625 liter, sekaligus membuatkan ia juga boleh bersaing sebagai sebuah hatchback lima tempat duduk – tetapi sudah tentu dengan kedudukan yang lebih tinggi (182 mm dari tanah). Kalau di India, Renault memberitahu kos pemilikan Triber adalah kurang 20% berbanding hatchback segmen B di sana.

    Triber akan ditawarkan di Indonesia dalam dua varian iaitu RXE dan RXL, dengan transmisi manual ataupun AMT. Menurut Ketua Pegawai Operasi MRI Davy J Tuilan, Triber akan diimport sepenuhnya ke Indonesia dan pelanggan akan menerima kereta mereka dalam dua peringkat – model manual pada Disember tahun ini, manakala AMT pula pada April tahun hadapan.

     
     
  • Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    China sudah mempunyai banyak syarikat pengeluar kenderaan elektrik baru, dan sekarang muncul satu lagi yang dikenali sebagai Human Horizons. Walaubagaimanapun, syarikat baru ini dilihat lebih serius kerana telah mendedahkan model pertama mereka, HiPhi 1, dan dikatakan sudah sedia untuk pengeluaran. Menurut laporan Autocar, penghantaran kepada pelanggan dirancang berlaku pada tahun 2021.

    Mengikuti trend semasa, HiPhi 1 juga menggunakan bentuk SUV dengan menawarkan ruang luas serta tempat duduk untuk enam orang. Pintu tempat duduk belakangnya dibuka secara suicide, manakala di atas pula (bahagian belakang) terdapat panel bumbung yang boleh ditolak ke atas untuk memudahkan orang masuk ke baris ketiga. Human Horizons memanggilnya sebagai NT Doors, dan mereka juga mahu menyediakan mod “parade” yang membolehkan bumbung itu terbuka semasa kenderaan bergerak perlahan.

    Satu ciri menarik pada kenderaan ini adalah lampu utamanya dipasang dengan pemproses cahaya yang boleh diprogramkan untuk memancarkan corak pada permukaan jalan ataupun dinding. Contohnya, apabila kereta berhenti dan mahu memberikan petunjuk kepada pejalan kaki keadaan selamat untuk melintas, ia akan memancarkan corak belang di hadapan. Panel Intelligent Signal Display (ISD) di bawah lampu depan dan belakang juga boleh digunakan untuk menghantar mesej dan corak kepada penggguna jalan lain.

    Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    Bahagian dalam pula didominasi oleh beberapa skrin – satu untuk pemandu, satu untuk penumpang hadapan dan satu lagi diletakkan menegak di konsol tengah. Human Horizons memberitahu HiPhi 1 akan menjadi kereta pertama yang menampilkan rangkaian komunikasi kenderaan-ke-semua (V2X) 5G, serta Human Oriented Architecture (HOA) pertama di dunia yang didakwa boleh menyesuaikan kenderaan dengan pemandu menggunakan analisis data berkomputer atas talian.

    Menggunakan empat pengawal domain dan enam platform komputer, kereta ini boleh menjangka dan memahami kelakuan pengguna, sekaligus memberikan penyelesaian yang bersesuaian seperti pengurusan jarak perjalanan. HiPhi 1 juga akan dilancarkan dengan kemampuan autonomous Level 3.

    Perincian teknikal masih lagi belum disiarkan, tetapi Autocar melaporkan HiPhi 1 akan ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda. Model pacuan semua roda akan dikuasakan oleh dua motor elektrik 268 hp dan memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dengan jarak perjalanan 640 km hasil daripada penggunaan bateri 96 kWh.

     
     
  • BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    Kereta yang dibina menggunakan 95% bahan yang boleh kitar semula, BMW i3s kini sudah tiba di Malaysia. Dan, harganya juga telah diumumkan oleh BMW Malaysia, yang akan dijual pada RM278,800 (atas jalan, tanpa insurans) dan kini mula berada di bilik pameran sah BMW i.

    Model yang pertama kali ditunjukkan April lalu ini menggunakan janaan kuasa motor elektrik hybrid synchronous yang ditempatkan di belakang yang dipakejkan bersama elektronik kuasa bersepadu, unit pengecas serta fungsi generator untuk janaan semula tenaga melalui brek (sehingga 50 kW).

    Motor elektriknya menyediakan 181 hp (135 kW) dan 270 Nm tork, dengan bacaan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 160 km/j. Antara yang diperbaharui bagi aspek ini berbanding model i3 ialah kawalan motornya dan pembaharuan bahagian roller bearing yang digunakan, menjadikan penyaluran kuasa lebih baik.

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    BMW i3s juga dilengkapi dengan mod Sport khusus yang boleh dipilih melalui sistem Driving Experience Control. Mod berkenaan turut merangkumi program cengkaman yang mengizinkan sedikit situasi drift pada tayar ketika tahap cengkaman pada tahap yang rendah.

    Kereta ini menggunakan bateri lithium-ion yang terletak di bahagian lantai, dengan output 42.2 kWh (output) dengan kapasiti 120 Ah. Ini memberikan jarak perjalanan sekiar 260 km bagi satu cas penuh, atau 345 km jika mengikut ujian kitaran WLTP. Ini bateri dengan kapasiti yang paling tinggi diperkenalkan untuk barisan kenderaan BMW i3 setakat ini.

    Untuk mengecas, boleh dilakukan melalui kaedah AC atau DC. Bagi AC, ia menggunakan pengecas siap pasang dan sambungan Type 2. Bagi DC, pemilik perlu menggunakan sambungan Sistem Pengecas Gabungan, yang merupakan lanjutan kepada penyambung Type 2 dengan dua pin tambahan di bawah.

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    Dengan BMW i Wallbox Connect yang menyediakan 11 kW tiga-fasa, kuasa pengecas AC, proses mengecas dari kosong hingga 80% (sekitar jarak perjalanan 180 km), masa yang diperlukan ialah sekitar 3 jam enam minit. Jika ingin mengecas di tempat selain rumah anda, boleh gunakan rangkaian ChargEV di seluruh negara yang juga merupakan sebahagian daripada BMW ChargeNow yang termasuk di dalam program BMW 360° Electric. Bergantung lokasi, pengecas ChargeEV mempunyai output antara 3.7 kW, 7.0 kW atau 22 kW.

    BMW i3s ini turut ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun bagi servis ‘run flat tyre’, bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan. Tidak lupa juga, pelanggan akan menikmati aplikasi BMW Group Loyalty – BMW White Card serta servis dalam talian lainnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026