Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai Grand i10 Nios pasaran India – imej, video pertama serta perincian awalan kini didedahkan

    Hyundai Grand i10 Nios pasaran India – imej, video pertama serta perincian awalan kini didedahkan

    Baru sahaja Hyundai Eropah mendedahkan illustrasi Hyundai i10 generasi baharu sebagai teaser sebelum kemunculannya, namun di India hatchback kompak tersebut telah pun didedahkan dengan gambar rasmi pertama serta sedikit perincian awalan.

    Pasaran India menerima model yang digelar sebagai Hyundai Grand i10 Nios – ‘Grand’ bermaksud ia adalah dari versi dengan jarak roda lebih panjang dari model pasaran Eropah, dan ia hanya ekslusif untuk pasaran rantau Asia Selatan.

    Walaupun model sebenar yang muncul ini tidak segarang seperti dalam ilustrasi, tetapi ia masih menampilkan rupa yang sangat sporty, berbeza dengan model-model hatchback segmen-A lain.

    Pada bahagian muka, kereta comel ini tetap menerima perincian sama seperti abang besarnya iaitu Sonata – diberikan gril Cascading bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah, kemasan perumah lampu kabus berbentuk segi tiga bersama liang yang mengalirkan udara terus ke ruang roda hadapan, serta penutup bonet enjin yang direka lebih ‘berotot’.

    Garis badan ‘berotot’ turut diberikan pada setiap ruang roda, manakala tiang-C diberikan kemasan berwarna hitam dengan logo G-i10 bagi memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya terapung. Grand i10 Nios turut diberikan rel bumbung yang membuatkan ia sedikit kelihatan seperti sebuah SUV.

    Hyundai Grand i10 Nios pasaran India – imej, video pertama serta perincian awalan kini didedahkan

    Kabin i10 generasi baharu ini turut menerima rekaan seiring imej terkini Hyundai dengan papan pemuka yang direka lebih elemen melintang. Liang pendingin hawa tengah direka nipis, dan skrin infotaimen berada di atas, sementara suis kawalan berada di bawahnya. Namun untuk liang bahagian sisi, ia direka bulat.

    Menerusi gambar pertama yang didedahkan ini juga dapat dilihat bahawa Hyundai turut menawarkan bahagian kabin dengan tema dua tona gabungan warna kelabu dan putih pada papan pemuka dan panel dalaman pintu.

    Menurut Hyundai, i10 pasaran Eropah akan menerima sistem infotainmen dengan hubungan telefon pintar Blue Link serta menyokong Apple CarPlay dan Android auto.

    Ia turut akan hadir dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera undur, dan fungsi bantuan pemanduan seperti Brek Kecemasan Automatik, Amaran Tumpuan Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, dan juga lampu tinggi automatik – kesemua fungsi ini mungkin disemak semula untuk pasaran India.

    Hyundai i10 generasi baharu ini dijangka masih akan dijana oleh barisan enjin yang sama seperti sebelum ini, termasuk enjin petrol tiga-silinder 1.0 liter berkuasa 66 PS/94 Nm, dan unit lebih besar 1.25 liter empat-silinder berkuasa 87/120 Nm.

    Sebagai model untuk pasaran India, Grand i10 Nios turut berkemungkinan menerima enjin turbodiesel 1.1 liter tiga-silinder. Manakala khas untuk pasaran Eropah, model ini mungkin akan hadir dengan enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder berkuasa 100 PS/172 Nm sama seperti Kia Picanto.

     
     
  • Grab sangkal dakwaan gagal kembalikan lebihan komisen, ia sedang dilakukan mengikut fasa

    Grab sangkal dakwaan gagal kembalikan lebihan komisen, ia sedang dilakukan mengikut fasa

    Pengendali perkhidmatan e-hailing, Grab, menyangkal dakwaan bahawa mereka gagal membayar balik lebihan komisen dalam masa yang ditetapkan kepada para pemandunya.

    Menurut Grab, pihaknya akan memulangkan sebarang lebihan komisen yang dikenakan ke atas pemandu setelah beberapa orang daripada mereka mengadu syarikat itu mengambil lebih daripada 20% komisen, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan mulai 12 Julai tahun ini.

    Namun demikian, Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) berkata, menurut kenyataan syarikat menerusi aplikasi untuk pemandu pada 28 Julai, ia akan membayar balik lebihan komisen 5% kepada para pemandu Grab pada 5 Ogos.

    “Bagaimanapun, sudah lebih 48 jam dari tarikh itu dan para pemandu masih belum menerima sesen pun pemulangan semula lebihan komisen yang dijanjikan oleh Grab. Kami menggesa Kementerian Pengangkutan supaya melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera,” ujar presiden MeHDA, Daryl Chong, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Pada pertengahan Julai lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah memberi peringatan keras kepada semua pengendali perkhidmatan e-hailing supaya mematuhi peraturan komisen 20% itu. Bagaimanapun, syarikat itu masih terus mengenakan komisen 25% ke atas para pemandu ‘Terima-Manual’ dari 12 hingga 28 Julai.

     
     
  • Cabin Filter – penyelamat pendingin hawa anda

    Cabin Filter – penyelamat pendingin hawa anda

    Sekitar 15 ke 20 tahun lalu, jarang-jarang kereta dilengkapi dengan Cabin Filter atau penuras udara untuk bahagian kabin, diletakkan di atas motor penghembus (blower motor) sistem pendingin hawa kereta tersebut. Tetapi untuk kereta-kereta terkini, hampir semua model telah dilengkapi dengan komponen tambahan ini.

    Apa fungsi sebenar penuras udara ini? Adakah ia hanya helah pengeluar untuk menambah satu lagi komponen yang perlu ditukar ketika kereta berkenaan di servis?

    Tugas sebenar Cabin Filter ini adalah menapis dahulu udara yang disedut oleh motor penghembus sebelum ia melalui cooling coil dan kemudian menghembus udara nyaman yang sejuk ke muka anda. Dengan udara yang telah ditapis, anda bukan sahaja dapat menghirup udara lebih bersih, ia sebenarnya menyelamatkan cooling coil anda dari menjadi kotor.

    Cabin Filter – penyelamat pendingin hawa anda

    Apa kesan sekiranya cooling coil berkenaan kotor? Jika anda sudah lama memiliki kereta, anda tentu pernah membawa kereta ke bengkel pendingin hawa untuk menservis sistem berkenaan, dan kemudian mekanik menyarankan agar sistem tersebut dibuat ‘full service’ dan papan pemuka (dashboard) kereta anda perlu dibuka, melibatkan kos yang mahal.

    Untuk pengetahuan anda, tujuan utama papan pemuka berkenaan perlu dibuka adalah untuk mengeluarkan cooling coil tersebut. Cooling coil yang kotor akan menyebabkan suhu sejuk sukar untuk dipindahkan ke udara yang melaluinya, seterusnya menyebabkan sistem pendingin hawa anda mengambil masa yang sangat lama untuk menyejukkan kabin dan kurang sejuk dari biasa – justeru cooling coil berkenaan perlu dibersihkan.

    Nah, di sinilah Cabin Filter menjadi penyelamat poket anda – ia memang perlu ditukar pada tempoh masa tertentu, tetapi ia juga dapat mengelakkan cooling coil dan motor penghembus menjadi kotor dan mengelakkan anda perlu membuka papan pemuka untuk menservis komponen tersebut.

    Cabin Filter – penyelamat pendingin hawa anda

    Proses menukar Cabin Filter ini juga sangat mudah. Ia selalunya terletak di belakang glove box – hanya perlu membuka habis glove box, buka penutup slot, dan keluarkan penapis tersebut. Selalunya bengkel akan mengenakan kos buruh yang sangat rendah (kadang-kadang percuma) untuk menukar penapis ini.

    Untuk mereka yang mempunyai kereta yang telah dilengkapi dengan Cabin Filter ini, anda juga perlu berhati-hati. Jika ada pihak yang menyatakan sistem pendingin hawa anda perlu diservis sehingga melibatkan papan pemuka perlu dibuka walaupun kereta tersebut mempunyai Cabin Filter, ia mungkin hanya usaha untuk mengambil kesempatan – anda perlu tanya dengan lebih mendalam mengapa ia perlu dilakukan.

    Anda juga perlu berhati-hati dengan produk-produk yang kononnya boleh “membersihkan cooling coil hanya dengan semburan cecair” – buat apa nak sembur padahal komponen tersebut tidak kotor dan anda hanya perlu menukar Cabin Filter?

     
     
  • Hyundai dedah lukisan pertama i10 generasi baharu

    Hyundai dedah lukisan pertama i10 generasi baharu

    Hyundai i10 generasi kedua sudah berada dalam pasaran sejak enam tahun dulu lagi, dan sekarang sudah tiba masa untuk pengenalan model baru generasi ketiga. Ia dijangka diperkenalkan semasa pameran IAA di Frankfurt pada bulan September nanti dan Hyundai telah menunjukkan rupa awalnya melalui satu lukisan.

    Pengeluar dari Korea Selatan ini memberitahu bahawa i10 baru akan direka, dibangunkan dan dibina di Eropah. Kalau dibandingkan dengan i10 generasi sekarang (Malaysia tidak menerima model ini, dan model i10 yang masuk dalam pasaran adalah model generasi pertama), model generasi baru ini nampak lebih dinamik dan garang.

    Dalam lukisan ini memang i10 generasi baru nampak sporty, tapi Hyundai memberitahu bahawa kereta produksi mempunyai lebar, tinggi serta saiz rim yang berbeza demi mendapatkan “rupa bersemangat dan lincah” serta menonjol dalam segmennya.

    Hyundai dedah lukisan pertama i10 generasi baharu

    Perkara lain yang boleh dilihat dalam lukisan ini adalah penggunaan gril lebar dengan di dalamnya terdapat dua lampu kabus/DRL berbentuk bulat, bampar berlekuk yang mempunyai bukaan udara tiga segi di hujung serta garisan yang bersambung dari hujung bonet, lampu hingga ke tepi.

    Garisan lekuk sama dilihat berada pada bahagian belakang manakala bahagian pintu juga dilihat mempunyai lekuk ke dalam yang sekaligus membuatkan lengkung roda nampak lebih lebar. Selain daripada rekaan, Hyundai juga akan memberi perhatian kepada ciri keselamatan dan hubungan pada kereta ini.

    Mereka memberitahu i10 akan mempunyai antara pakej keselamatan yang paling lengkap dalam kelasnya dengan dilengkapi ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist (dengan pengesan jalan kaki), Driver Attention Warning dan Lane Keep Assist System diberi secara standard manakala High Beam Assist diletakkan dalam senarai pilihan tambahan.

     
     
  • GALERI: Proton Saga 2019 1.3 Standard AT – RM36k

    GALERI: Proton Saga 2019 1.3 Standard AT – RM36k

    Ketika pelancarannya, Proton Saga 2019 hanya ditunjukkan dalam varian paling lengkap, Saga 1.3 Premium AT pada harga RM39,800. Tetapi, ada dua lagi varian yang tidak dipamer sekali; 1.3L Standard MT (RM32,800) dan terakhir, varian pertengahan 1.3L Standard AT (RM35,800), seperti yang anda lihat di dalam galeri ini.

    Sebanyak lebih kurang RM4,000 perbezaan antara varian pertengahan dan yang paling tinggi. Apa perbezaan spesifikasi atau kelengkapan antara kedua-dua varian ini? Pertama, versi Standard AT ini tidak dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED.

    Rim pula lebih kecil, beralih daripada saiz 15 inci kepada saiz 14 inci, walaupun masih menggunakan rekaan baru yang sama untuk 2019. Selain itu, perumah cermin sisi serta pemegang pada pintu pula datang dengan warna hitam, bukan dalam warna badan yang sama. Bagaimanapun, pada bahagian tiang B adalah sebaliknya; ia mengenakan warna badan yang sama, sedangkan pada varian Premium ia dibiar dalam warna hitam.

    GALERI: Proton Saga 2019 1.3 Standard AT – RM36k

    Di dalam, tiada skrin sentuh tujuh-inci untuk sistem infotainmen yang sama seperti pada varian Premium. Ia diganti dengan radio yang lebih ringkas, walaupun masih dalam keadaan “terapung”, juga dengan sambungan Bluetooth. Bahagian stereng pula tiada lagi ciri butang multi-fungsi, dan jumlah speaker pula hanya tinggal dua daripada empat buah pada Premium. Paparan instrument cluster pula masih jenis yang sama.

    Dari segi keselamatan, tiada ciri kawalan kestabilan dan bantuan mula mendaki pada varian ini. Namun, ia lengkap dengan ciri ABS dan EBD, yang sebelum ini tiada pada model Standard. Dua beg udara dan cagak Isofix adalah ciri standard.

    GALERI: Proton Saga 2019 1.3 Standard AT – RM36k

    Tentang enjin, ia hanya ditawarkan dalam satu unit yang sama, 1.3 liter VVT empat-silinder petrol yang menghasilkan 95 PS pada 5,750 rpm dan 120 Nm pada 4,000 rpm. Transmisi Saga 2019 pula telah beralih kepada automatik 4AT dan bukan lagi CVT. Varian Standard MT menggunakan kotak gear lima-kelajuan Getrag yang sama seperti sebelum ini.

    Untuk maklumat lanjut tentang perbezaan spesifikasi antara varian bagi Proton Saga 2019 ini, layari CarBase.my.

     
     
  • TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

    TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

    Apabila disebut tentang motosikal jenis adventure, nama BMW GS sememangnya tidak asing lagi. Ramai yang memandang tinggi model ini, sehinggakan ada masanya mereka seakan tidak terfikir untuk membandingkannya dengan model keluaran jenama lain.

    Berada paling atas dalam barisan model GS sekarang adalah R 1250 GS, yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia Jun lalu dengan harga bermula RM116,500. Tapi, bukan semua orang mahu berbelanja sehingga lebih RM100k untuk sebuah motosikal dan pilihan seterusnya adalah GS yang menggunakan enjin 853 cc – jika mereka masih mahukan sebuah GS.

    Dalam barisan model GS pertengahan ini pula kemudiannya ada tiga pilihan iaitu F850 GS Adventure yang paling tinggi dengan harga RM88,500, F850 GS pada harga RM79,500 dan F750 GS pada harga RM71,500. Lebih mahal harganya, sudah tentu anda akan menerima lebih kelengkapan dan ciri, tapi kalau anda merasakan tidak perlu untuk memiliki pelbagai kelengkapan, model paling asas, F750 GS boleh diambil sebagai pilihan.

    Nama model itu memang menunjukkan nombor yang rendah (750 berbanding 850), tetapi anda harus tahu sebenarnya ia masih menggunakan asas yang sama, termasuklah enjin iaitu unit dua silinder selari 853 cc dengan empat injap bagi setiap silinder dan dua camshaft. Kalau dibandingkan pula dengan F800 GS sebelumnya, enjin ini juga melibatkan banyak pembaharuan yang membantu menjadikannya lebih baik.

    Cumanya kuasa enjin untuk F750 GS ini telah dikurangkan sedikit berbanding F850 GS menjadi 77 hp pada 7,500 rpm dan 83 Nm tork pada 6,000 rpm (F850 GS mampu menghasilkan 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm). Antara penyebab kepada jumlah kuasa yang lebih rendah ini adalah cam serta talaan elektronik yang berbeza.

    Baca seterusnya di sini

     
     
  • VW M’sia tawar servis selepas jualan Walnut Blasting Decarbonizer untuk enjin lebih bersih dan lancar

    VW M’sia tawar servis selepas jualan <em>Walnut Blasting Decarbonizer</em> untuk enjin lebih bersih dan lancar

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan satu servis selepas jualan yang baharu yang dipanggil sebagai Walnut Blasting Decarbonizer di semua pengedar sahnya. Ia kini ditambah dalam inisiatif pakej servis Volkswagen Cares.

    Semua kereta dengan enjin suntikan terus yang menggunakan bahan api akan menghasilkan deposit karbon akibat kesan proses pembakaran, ia kemudian menyebabkan prestasi enjin menjadi lembab. Selepas bertahun-tahun, ia akan membentuk jelaga yang keras di sekeliling injap pengambilan. Jelaga tersebut menimbulkan halangan di dalam enjin dan membuatkan enjin hilang kuasa, panas dan penggunaan bahan api lebih tinggi. Selain daripada lampu amaran Electronic Power Control dan enjin menyala, simptom lain ialah bunyi melahu yang kasar, pecutan tidak lancar, misfire dan bunyi ketukan (knocking).

    Menurut VPCM, Walnut Blasting Decarbonizer menggunakan kulit kayu walnut untuk menghilangkan karbon yang melekat di dalam enjin bagi menawarkan pemanduan lebih bersih dan lancar. Diperakui dan diluluskan oleh Volkswagen AG, langkah ini dilihat ekonomikal, efisien dan tidak menghakis kerana ia tidak menggunakan bahan kimia berbahaya.

    Perkhidmatan itu boleh didapati pada harga serendah RM515 dan dicadangkan sebagai satu langkah pencegahan bagi setiap 45,000km. Dan para pemilik kenderaan Volkswagen boleh mendapatkan servis ini daripada mana-mana pengedar sah.

     
     
  • Porsche Macan S tiba di Malaysia – harga dari RM625k

    Porsche Macan S tiba di Malaysia – harga dari RM625k

    Porsche Macan S menjadi tambahan terbaru kepada versi asas model berkenaan untuk pasaran Malaysia, kurang dua bulan selepas versi facelift terbarunya itu dilancarkan di sini. Varian terbaru ini dibuka pada harga bermula RM625,000, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

    Macan S dilengkapi enjin 3.0 liter turbocas V6 petrol yang menghasilkan 354 hp dan 480 Nm tork yang disalurkan melalui kotak gear automatik PDK klac berkembar. Angka prestasinya terdiri daripada pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dengan pakej Sport Chrono, manakal laju maksimum pula 254 km/j. Penggunaan bahan api didakwa pada kadar 8.9 liter bagi setiap 100 km.

    SUV ini turut dilengkapi sistem pacuan semua roda dengan Porsche Traction Management. Larasan suspensi udara melalui PASM menampilkan kawalan penyerap-hentak aktif, manakala Porsche Torque Vectoring Plus ada sebagai pilihan.

    Porsche Macan S tiba di Malaysia – harga dari RM625k

    Berbanding model sama sebelum ini, Porsche Macan S 2019 menggunakan cakera brek yang 10 mm lebih besar, dengan 360 mm diameter keseluruhan serta 2 mm lebih tebal. Sistem Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) ditawarkan sebagai pilihan untuk prestasi brek yang lebih baik. Dari sudut luaran, ia menerima kemaskini yang sama seperti versi asasnya; rekaan bampar depan dan belakang baru, rekaan lamupu LED empat-bucu serta ciri pilihan Porsche Dynamic Lighting System Plus untuk lampu utama.

    Di dalam, Macan S 2019 turut menerima Porsche Communication Management (PCM) baru yang menampilkan skrin sentuh 10.9-inci. Stereng pula menggunakan versi GT, yang termasuk sekali butang Sport Response dan mode dial sebagai sebahagian daripada pakej Sport Chrono.

    Harganya termasuk sekali pakej premium, yang datang dengan jaminan empat-tahun dan pakej penyelenggaraan. Untuk pasaran tempatan, Macan S dilengkapi juga dengan kerusi larasan 14-arah, pakej pencahayaan, Power Steering Plus, Park Assist termasuk kamera undur serta sistem audio Bose.

     
     
  • MSF & Proton R3 anjur program bangunkan sukan bermotor; MSF-R3 Mentor, Pencarian Pelumba Wanita

    MSF & Proton R3 anjur program bangunkan sukan bermotor; MSF-R3 Mentor, Pencarian Pelumba Wanita

    Malaysia Speed Festival (MSF) dan juga sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu Proton R3 bakal menganjurkan program pembangunan pelumbaan bagi menghasilkan bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan dalam sukan berkenaan. Jadi, program ini tidak dijalankan dalam perlumbaan pada peringkat lebih tinggi, sebaliknya akan diadakan dalam siri kejohanan MSF sendiri, di mana platform tersebut adalah lebih hampir dengan pelumba dan pasukan pada peringkat akar umbi.

    Dua program dirancang dijalankan serentak iaitu Program Mentor MSF-R3 dan juga Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3. Tiada sebarang bantuan kewangan akan diberikan kepada peserta yang terpilih, tetapi R3 akan menyalurkan perkara yang lebih berharga iaitu pengetahuan profesional berkenaan pembangunan pelumba dan perlumbaan dan juga aspek-aspek teknikal.

    Bagi Program Mentor MSF-R3, ia terbuka kepada pelumba-pelumba dan pasukan-pasukan yang bertanding dalam MSF Superturismo menggunakan kereta Proton seperti Saga dalam ketegori Saga Cup, Saga BLM dalam kategori Street 1600, Satria Neo dalam 1600 Ultimate, Gen2 dalam Proton 1800, Wira dalam Street 2000 dan sebagainya.

    Mereka yang terpilih akan berada di bawah pengawasan Proton R3 untuk tiga pusingan terakhir MSF 2019, dan diberikan tunjuk ajar berdasarkan pengalaman Proton R3 sendiri dalam sukan berkenaan, termasuk kelas teori pemanduan perlumbaan, disiplin dan pembangunan; melawat fasiliti R3 sambil menimba ilmu berkenaan penghasilan sebuah jentera lumba, persiapan, talaan dan penyelengaraan; latihan pemanduan; sesi go-kart untuk latihan ‘dogfight’ ketika perlumbaan; dan juga ruang tersendiri di garaj pit Proton R3 bersama bantuan oleh juruteknik R3 untuk tiga baki perlumbaan MSF Superturismo 2019.

    MSF & Proton R3 anjur program bangunkan sukan bermotor; MSF-R3 Mentor, Pencarian Pelumba Wanita

    Untuk Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 2019 pula, mereka tidak semestinya berlumba dengan kereta Proton, tetapi pelumba wanita tersebut hanya akan layak sekiranya mereka sedang berlumba dalam MSF buat masa sekarang. Mereka akan dipilih menerusi pertandingan yang akan dibuat di media sosial, dan kemudian akan ditapis dan perlu menjalani latihan.

    Pelumba wanita yang berjaya terpilih dalam pencarian ini turut akan menerima bimbingan yang sama seperti Program Mentor MSF-R3, dan bonus, mereka bakal berlatih dengan kereta lumba sebenar Proton R3 di Litar Antarabangsa Sepang. Tiga pemandu wanita terbaik akan diberikan tempat dalam pasukan R3 untuk perlumbaan Sepang 1,000 km (S1K) dengan memandu jentera lumba sebenar Proton Iriz R3!

    Bagi mereka yang berminat, cara untuk anda dipilih agak mudah; buat video atau ambil gambar atau buat satu hantaran di Facebook dan/atau Instagram untuk menerangkan mengapa anda perlu dipilih untuk menyertai kedua-dua program pembangunan berkenaan. Hantaran boleh dibuat seberapa banyak yang anda mahu tanpa sebarang had tetapi ia wajib mempunyai tanda pagar:

    Pencarian Pelumba Wanita: #msfR3ladyracers2019
    Program Mentor: #msfR3mentor2019
    Tambahan: #protonr3 #msfracing #msfsuperturismo #msfmerdekarace

    Anda juga perlu menukar tetapan privasi kepada Public bagi membolehkan hantaran tersebut dilihat oleh semua orang. Pertandingan di media sosial ini akan bermula sekarang sehingga 13 Ogos 2019; kesemua hantaran perlu dibuat sebelum 10 PM pada hari berkenaan. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh lawati laman sesawang rasmi MSF Racing pada PAUTAN INI.

     
     
  • Porsche buru pembekal alat ganti palsu dari China

    Porsche buru pembekal alat ganti palsu dari China

    Bagi mengelakkan pelanggan tertipu dengan membeli barangan palsu serta menjaga reputasi jenamanya, Porsche telah menubuhkan satu divisi yang digelar pasukan “Perlindungan Jenama” bagi memburu pembekal komponen-komponen tiruan berkenaan.

    Pasukan tersebut terdiri dari tiga orang peguam iaitu Andreas Kirchgäßner, Thomas Fischer dan Michaela Stoiber, beroperasi di tingkat dua, Kilang Porsche 1 yang terletak di Zuffenhausen, Jerman, dan ia terus-menerus mengesan pembekal dan pembuat produk-produk palsu yang menggunakan logo Porsche tersebut.

    Tahun lalu, pasukan ini telah merampas lebih dari 200,000 barangan yang bernilai 60 juta euro termasuk 33,000 alat ganti kenderaan yang bernilai lebih dari dua juta euro. Kebanyakkan barangan-barangan tersebut dijual secara atas talian seperti Amazon, Ebay dan Alibaba.

    Manakala barangan-barangan promosi palsu seperti topi baseball, baju-T dan cermin mata banyak dijumpai dijual secara terbuka di acara-acara seperti acara Retro Classic di Stuttgart, Jerman hingga ke Hong Kong Toys & Games Fair.

    “Kadang kala barangan tiruan ini sangat jelas. Produk-produk tersebut adalah jauh lebih murah dari biasa, dan mempunyai logo Porsche yang ditiru dengan teruk. Kami kadang kala turut terjumpa logo dengan haiwan berbeza ditengahnya. Contohnya, kambing biri-biri yang berdiri menggantikan kuda pada logo Porsche,” kata Michaela Stoiber.

    Porsche buru pembekal alat ganti palsu dari China

    Pasaran untuk alat ganti palsu juga dilihat kini sedang meningkat naik secara tetap, terutamanya untuk komponen yang kerap perlu ditukar dan boleh dijual dengan harga leboh tinggi jika dilekatkan dengan logo Porsche. Komponen tersebut termasuk penutup tengah rim, penapis udara, set rim, beg udara dan cakera brek.

    “Perkara ini yang akan mendatangkan bahaya. Alat ganti tersebut tidak diuji dan tidak diluluskan. Jelas kami mahu mengelakkan produk seperti ini dipadankan pada kereta kami,” kata Thomas Fischer pula.

    Dianggarkan 80% produk palsu ini adalah dari China terutamanya di bandar Shenzen. Ia dihasilkan oleh pelbagai sumber di negara berkenaan, dari bengkel-bengkel kecil terletak di belakang rumah, sehinggalah ke kilang-kilang dengan tenaga pakar yang menghasilkan produk palsu yang sukar dibezakan dengan produk asli.

    Menurut Fischer lagi, mereka berjaya mengesan produk-produk tersebut dengan bantuan pakar-pakar Porsche dari divisi lain seperti perolehan, selepas jualan, logistik dan Porsche Classic. Ia dikesan dengan membandingkannya dengan produk asli dan kadang kala pakej bungkusannya sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa ia adalah palsu.

    Porsche buru pembekal alat ganti palsu dari China

    “Sasaran kami adalah sentiasa mengesan kedudukan sumber. Setelah kami jumpai, kami akan menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mengambil tindakan selanjutnya di situ. Kerjasama ini selalunya berhasil,” jelas Michaela Stoiber.

    Usaha untuk menghalang jualan produk-produk tiruan ini di pasaran atas talian juga berjalan dengan lancar. Laman seperti Ebay dan Alibaba mempunyai sistem yang baik untuk mengesan produk sedemikian. Jika ia telah disahkan palsu, barangan tersebut akan diturunkan, dan penjual yang berulang kali dikesan membuat kesalahan sama akan diberikan notis bersama amaran untuk dikenakan tindakan pendakwaan.

    Dengan kaedah tersebut, jumlah barangan tiruan Porsche yang dijual secara atas talian dapat dikurangkan sehingga satu pertiga dalam tempoh berberapa tahun lalu. Walau baagimanapun, ketiga-tiga ahli pasukan tersebut percaya bahawa tugas mereka tidak akan berkurang kerana China sentiasa innovatif dalam perkara sebegini.

     
     
  • Proton X70 CKD ikut jadual untuk pelancaran tahun ini, komponen tempatan ditambah secara berperingkat

    Proton X70 CKD ikut jadual untuk pelancaran tahun ini, komponen tempatan ditambah secara berperingkat

    Semasa pembentangan strategi masa hadapan Proton semalam, CEO syarikat itu, Dr Li Chunrong turut berkongsi sedikit tentang rancangan pengeluaran dalam masa terdekat ini. Beliau memberitahu sekali lagi bahawa Proton berada dalam laluan yang betul untuk menyiapkan X70 versi pemasangan tempatan (CKD) dalam masa separuh kedua tahun ini. Beliau turut menambah, kilang di Tanjung Malim sudah pun mengeluarkan unit ujian pertama April lalu.

    Meskipun dengan adanya pengenalan model serba baru (dan beberapa model baru lain pada masa beberapa tahun akan datang), Li memberitahu syarikat cuma membina dua kilang baru untuk pemasangan badan, trim dan pemasangan akhir. Ini menurut beliau dapat mengurangkan kos, dan kami beranggapan proses pengeluaran lain seperti tempaan badan dan mengecat akan dilakukan di tempat yang sedia ada.

    Li turut memberitahu penggunaan bahan tempatan pada model CKD akan ditambah secara berperingkat untuk menepati komitmen Proton kepada vendor mereka – syarikat ini telah mengambil masa hampir 20 bulan untuk menyediakan X70 CKD. Proton juga berjanji untuk mengekalkan jumlah penggunaan bahan tempatan yang tinggi pada model sedia ada seperti Saga facelift yang baru dilancarkan semalam.

     
     
  • GALERI: Renault Megane RS 280 Cup EDC – harga rasmi untuk varian auto diumumkan, RM299,888

    GALERI: Renault Megane RS 280 Cup EDC – harga rasmi untuk varian auto diumumkan, RM299,888

    Renault Megane RS 280 Cup telah pun dipertontonkan pada April lalu, dengan hot hatch ini diperkenalkan bagi varian manual – kini, versi transmisi automatik Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan juga telah berada di bilik pameran dengan harga rasmianya juga telah disahkan.

    Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM299,888 tanpa insurans. Bagi versi manual pula RM20,000 lebih murah iaitu RM279,888. Walau bagaimana pun ada pertambahan kos untuk pilihan warna Pearl White (+RM1,000) dan Orange Tonic (+RM8,000) – seperti kenderaan yang dipaparkan – dan Liquid Yellow (warna signatur untuk RS).

    Varian EDC lebih kurang sama dengan versi manual, walau bagaimana pun, sedikit perbezaan untuk rekaan dalaman, dengan konsol tengah yang menampilkan bentangan berbeza. Jika versi manual ada tuil brek tangan mekanikal, namun EDC ditampilkan dengan unit suis elektronik. Ia juga memberikan lebihan ruang untuk tempat meletak cawan, dengan versi manual menerima dua tempat meletak cawan secara berasingan.

    Perubahan lain termasuklah tempat duduk hadapan – dengan versi manual dilengkapi tempat duduk bucket Recaro, dengan pilihan harga lain. Secara standard, RS 280 Cup untuk Malaysia, sama ada manual atau pun EDC, akan dilengkapi dengan tempat duduk sport RS.

    GALERI: Renault Megane RS 280 Cup EDC – harga rasmi untuk varian auto diumumkan, RM299,888

    Megane RS generasi ke-empat, yang digubah menjadi hatch lima-pintu, dilengkapi enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder. Penjana kuasa ini mampu meledakkan 280 PS pada 6,000 rpm dan tork 390 Nm dari 2,400 hingga 4,500 rpm, sedikit meningkat berbanding unit 2.0 liter pada Trophy-R generasi terdahulu dengan 275 PS/360 Nm. Angka prestasinya termasuk pecutan 0-100 km/j hanya 5.8 saat dan kelajuan maksimum capai 255 km/j (250 km/j untuk auto).

    Secara standard, Megane RS 280 menampilkan sistem stereng empat-roda 4Control yang pertama kali diperkenalkan pada Megane GT 1.6L 205 PS/280 Nm, yang dilancarkan di sini pada Februari 2018. Model spesifikasi Malaysia juga menggunakan casis Cup yang lebih memfokuskan pada pemanduan trek dengan Torsen limited-slip differential.

    Lima mod pemanduan ditawarkan dari sistem Multi-Sense – Comfort, Neutral, Sport, Race dan Perso. EDC turut didatangkan dengan Launch Control, yang boleh diaktifkan dalam mod Sport dan Race apabila klac dan turbo dihidupkan, membolehkan pergerakan dimulakan secara lebih optimum.

    Bagi rekaan luarannya, ia ditampilkan dengan bilah seperti F1 di hadapan, diffuser belakang yang lebih lebar, corong pengekstrak sisi dan lip spoiler yang lebar. Ia juga dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya RS Vision dan lampu nyalaan siang LED bentuk-C, brek Bremo, aloi Interlagos 19-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza S001 245/35.

    Di dalamnya pula didatangkan dengan kluster instrumen bersama skrin digital TFT 7.0-inci, yang boleh ditukar bentangannya dalam mod Comfort, Neutral dan Sport. Ia turut menampilkan sistem infotainmen R-Link 2, dengan skrin sesentuh kapasitif 8.7-inci berorientasi-menegak dan juga RS Monitor iaitu sistem telemetri ‘on-board’ yang memaparkan data ‘in real time’ pada skrin.

    Lain-lain elemen termasuklah pedal sport aluminium, serlahan merah untuk dalaman kelabu karbon. Kit keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ESC, ASR, ABS, EBD dan EBA.

    GALERI: Renault Megane RS 280 Cup EDC

     
     
  • Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

    Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

    Ketika majlis pelancaran Proton Saga 2019 malam tadi, CEO Proton, Dr Li Chunrong turut berkongsi banyak perkara lain tentang perancangan akan datang serta pencapaian yang telah dicapai oleh Proton bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Antaranya, kenderaan yang bakal dilancarkan dalam tahun-tahun mendatang – kita sudah tahu tentang SUV X50, begitu juga dengan pengganti Preve.

    Dan, untuk kembali merampas kedudukan No. 1 di Malaysia, ada dua perkara yang digariskan untuk dijadikan sasaran syarikat itu; pertama, peningkatan kualiti dan kedua, pengurangan kos. Dan kedua-dua hal ini memang sudah dapat dilihat dilakukan terhadap pengenalan empat model sedia ada Proton yang diberi kemaskini sepanjang 2019; Bermula dengan Persona dan Iriz, diikuti dengan Exora dan yang terbaru, Saga.

    Bagi aspek pengurangan kos, Li menyatakan; “Saya tahu, banyak pembekal yang kurang gembira dengan hal ini. Tetapi ia sangat penting untuk dilakukan sekarang. Nanti mereka akan dapat melibat, disebabkan sumbangan dan tolak ansur terhadap perkara ini, kita dapat menawarkan barisan produk yang lebih kompetitif kepada pelanggan di Malaysia. Namun, ini tidak cukup. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk meraih semula kepercayaan pelanggan.”

    Berkaitan kualiti pula, Li berkongsi carta audit produk global yang dibandingkan dengan dua lagi jenama global naungan syarikat itu, Geely dan Volvo, untuk membuktikan kesungguhan mereka meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan. Sebelum Geely menjadi rakan strategik, Proton mencatatkan demerit kualiti pada tahap 6,388 mata. Untuk makluman, lebih rendah angka ini maka lebih baik kualitinya.

    Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

    Namun, setakat Jun 2019, mata berkenaan telah jatuh ke angka 1,329; ini melibatkan penurunan sebanyak 5,059 mata. Tanda aras Geely bagi tahun 2019 pula ialah untuk mencapai tahap 1,100 mata. Sebagai perbandingan, pencapaian Volvo bagi audit yang sama setakat ini sudah berada pada tahap 850 mata.

    “Strategi berikutnya adalah penambahbaikan kualiti. Hal ini sangat sukar dan mencabar. Dengan bantuan Geely, Proton menunjukkan peningkatan yang sangat baik. 22 bulan lalu, markah demerit kami ialah 6,388. Kami habiskan masa 20 bulan setelah itu dan berjaya mencapai angka 1,329 hari ini,” sambung Li. Bagaimanapun, beliau juga sedar, berbanding Geely, Proton masih mempunyai banyak ruang untuk menambahbaik aspek berkenaan.

    Jika anda merupakan pemilik kenderaan Proton di “era” baru syarikat itu ketika ini, adakah anda dapat rasakan semua perubahan dan peningkatan ini? Jika melihat kepada barisan produk Proton yang ditawarkan kini, anda fikir terdapat banyak kelainan dari segi kualiti dan tanda harga?

     
     
  • Pengganti Proton Preve bakal muncul pada 2021?

    Pengganti Proton Preve bakal muncul pada 2021?

    Semalam ketika pelancaran Proton Saga facelift 2019, CEO Proton Dr. Li Chunrong turut mendedahkan strategi yang akan diambil oleh syarikatnya bagi kembali semula sebagai jenama automotif yang kukuh. Antara pendedahan yang paling menarik adalah bayangan model-model baharu Proton untuk empat tahun akan datang.

    Menurut Dr. Li, Proton akan mengotakan janjinya untuk memperkenalkan model baharu setiap tahun dalam usaha untuk mengekalkan momentum prestasi mereka. Jika sebelum ini tiada sebarang petunjuk, slide pembentangan Dr.Li malam tadi nampaknya telah mendedahkan sedikit bayangan apa model yang akan dilancarkan dari tahun hadapan hingga 2023.

    Seperti berita yang bertiup sebelum ini, tahun hadapan Proton bakal memperkenalkan SUV segmen-B diasaskan dari Geely Binyue, yang bakal berhadapan dengan saingan seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3 – ini nampaknya hampir boleh disahkan dengan kemunculan imej sebuah SUV yang ditutup menampilkan bentuk model yang bakal digelar “Proton X50” tersebut pada slide yang dibentang oleh Dr. Li.

    Dan yang paling menarik, Proton nampaknya akan memperkenalkan sebuah model sedan baharu pada tahun 2021 serta sebuah lagi pada 2022, dan setahun kemudian mereka akan sekali lagi melancarkan satu lagi SUV baharu.

    Pengganti Proton Preve bakal muncul pada 2021?

    Selepas pengenalan SUV Proton X70 tahun lalu, Proton terus mengemaskini rupa dan perincian model-modelnya menerusi pengenalan Persona, Iriz dan Saga facelift 2019 dan juga MPV tujuh-tempat duduk Exora RC. Namun tiada berita mereka akan membuat perkara yang sama terhadap sedan segmen-C mereka iaitu Proton Preve.

    Preve sudahpun berusia tujuh tahun dalam pasaran, diproduksi bermula dari 2012 dan menerima kemaskini terakhir menerusi Preve 2018. Jika diikut umur produksi, ia sememangnya sudah tiba masa ditukar dengan model generasi baharu. Jadi, mungkin boleh dijangka sedan baharu tersebut adalah model dalam segmen-C yang akan menggantikan Preve.

    Jika betul ia adalah pengganti Preve, masih lagi tidak dapat dipastikan sama ada Proton akan membangunkan sebuah model baharu mereka sendiri atau berdasarkan model-model dari Geely seperti X70 dan X50. Tetapi, Geely sememangnya mempunyai sebuah model yang berpotensi untuk tugas tersebut – sedan segmen-C Geely Binrui yang telah didedahkan Ogos tahun lalu.

    Binrui diasaskan dari platform BMA Geely, sama seperti Geely Binyue/Proton X50. Pada pasaran China, sedan tersebut menerima dua pilihan enjin petrol turbo.

    Pengganti Proton Preve bakal muncul pada 2021?

    Geely Binrui

    Pilihan pertama adalah enjin 1.0 liter tiga-silinder dengan sistem suntikan terus, berupaya menjana 134 hp dan tork maksima 180 Nm bermula 2,000 hingga 3,000 rpm. Manakala plihan kedua adalah enjin 1.4 liter dengan sistem suntikan elektronik yang mampu menghasilkan 131 hp dan tork maksima 215 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Penggunaan petrol pula adalah 4.9L/100 km untuk enjin 1.0L dan 5.7L/100 km untuk enjin 1.4L.

    Menurut Geely, platform BMA ini turut direka bagi membolehkan ia menerima enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus yang dihasilkan bersama Volvo – telah dibuktikan pada Binyue. Ia juga turut dihasilkan bagi disesuaikan dengan sistem pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3 dan juga fungsi-fungsi keselamatan aktif terkini.

    Oleh itu, Binrui diberikan dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan keselamatan seperti Cruise Control Adaptif, sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki, sistem Bantuan Kekal Laluan, Amaran Keluar Lorong, Sistem Panduan Pintar (sistem separa-autonomi) dan lampu tinggi automatik.

    Bagaimana pula MPV yang dikatakan model gantian Exora berasaskan MPV Geely Jiaji? Setakat yang kami tahu, Proton telahpun menerima lesen bagi memproduksi model tersebut dan memasarkannya ke pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan di rantau Asia Tenggara. Ia dikhabarkan akan turut akan dilancarkan pada tahun 2020, tetapi mungkin sasaran pelancarannya belum dimuktamadkan, ia tidak dibayangkan pada pembentangan kali ini.

    GALERI: Geely Binrui

     
     
  • Proton Saga facelift 2019 – perincian setiap varian

    Proton Saga <em>facelift</em> 2019 – perincian setiap varian

    Proton Saga facelift 2019 telahpun selamat dilancarkan sebentar tadi. Dan seperti yang diketahui, Saga kini ditawarkan dalam tiga varian berbeza berbanding empat pada model asal generasi ketiga yang dilancarkan pada tahun 2016. Versi asas Standard MT dan Standard AT serta versi tertinggi Premium AT masih lagi kekal, tetapi model pertengahan Executive AT sudahpun digugurkan.

    Jadi, apa beza antara setiap varian ini? Dalam artikel ini kami akan rungkai perincian setiap varian bagi memudahkan anda melihat perbezaan antara satu sama lain. Dijual dengan harga bermula RM32,800 hingga RM39,800, kesemua varian Saga baharu ini dijana oleh enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu 1.3L VVT berkuasa 94 hp pada takat 5,750 rpm tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Kotak gear lima kelajuan-manual dari model MT sebelum ini juga terus digunakan, tetapi untuk model AT, transmisi CVT tidak lagi dipakai tetapi digantikan dengan kotak gear automatik empat kelajuan torque converter konvensional yang diambil dari Hyundai. Cakera brek dan angkup brek juga kini lebih besar diambil terus dari Iriz dan Persona.

    Proton Saga <em>facelift</em> 2019 – perincian setiap varian

    Kesemua model Saga 2019 juga akan hadir dengan lampu hadapan reflektor halogen, dan lima pilihan warna iaitu Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Armour Silver, dan Rosewood Marron. Untuk keselamatan pula, tidak kira varian, semua Saga kini hadir lengkap dengan sistem brek ABS dan EBD serta dua beg udara.

    Pada bahagian dalaman, semua Saga menerima perlalatan standard seperti papan meter baharu sama seperti Exora RC bersama skrin pelbagai info monokrom. Semua varian juga akan menerima kunci baharu yang boleh dilipat, serta diberikan butang untuk membuka but belakang.

    Untuk model Standard MT dan AT akan hadir dengan :

    • Lampu utama reflektor halogen
    • Cermin sisi larasan elektrik, lipatan manual
    • Butang but belakang pada kunci kawalan jauh
    • Spoiler but belakang
    • Paparan meter baharu dengan skrin pelbagai info monokrom
    • Upholsteri fabrik
    • Tempat duduk hadapan boleh dinaikkan, larasan manual
    • Tempat duduk belakang boleh lipat
    • Unit audio 1DIN & Bluetooth
    • Tempat duduk fabrik
    • Dua pebesar suara
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 2 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Penderia parkir belakang
    • Rim besi dengan penutup plastik 14-inci dengan tayar 185/60R14

    Model Standard AT ditambah dengan:


  • Tiga port USB (1 Data, dua untuk mengecas)
  • Rim aloi 14-inci dengan tayar 185/60R14
  • Pelapik bumbung dengan fabrik Tricot yang lebih premium
  • Lampu kabin dengan mentol LED
  • Pemegang tangan atas dengan spring pulang semula, gerakan perlahan
  • Harga

    • 1.3 Standard 5MT – RM32,800
    • 1.3 Standard 4AT – RM35,800

    Proton Saga 1.3 Premium AT pula akan ditambah dengan:


    • Lampu nyalaan siang LED
    • Roda stereng dengan suis telefon dan audio
    • Lampu pada ruang but belakang
    • Skrin sesentuh infotainmen ‘terapung’ 7-inci dengan fungsi Android dan EasyConnect (hubungan ke telefon pintar Android)
    • Empat pembesar suara
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold Assist (HHA)
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim aloi 15-inci dua tona dengan tayar Silverstone Kruizer 185/55R15

    Harga

    • 1.3 Premium AT – RM39,800

    Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tidak termasuk insurans. Setiap belian Proton Saga 2019 ini didatangkan sekali dengan waranti lima-tahun atau 150,000 km, dan juga kos buruh percuma untuk tiga-kali servis.

    Proton Saga 2019 1.3L Premium AT

     
     
  • Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, transmisi 4AT Hyundai dan harga bermula RM32,800

    Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, transmisi 4AT Hyundai dan harga bermula RM32,800

    Selepas pengenalan Persona dan Iriz versi facelift 2019, bukanlah satu rahsia untuk menjangkakan model entry level Proton Saga pula akan diberikan kemaskini yang sama untuk tahun ini. Tambahan pula, sebelum ini, ia telah beberapa kali dilihat dalam pelekat samaran. Dan hari ini, semua teka-teki berkenaan Saga 2019 terjawab dengan pelancaran rasminya.

    Pada 2016, Proton Saga dalam generasi ketiga ini mula diperkenalkan untuk pasaran secara rasmi. Kini, hampir tiga tahun kemudian, ia menerima kemaskini yang pertama. Proton Saga 2019 terkini akan ditawarkan dalam tiga varian, iaitu Standard MT, Standard AT dan juga Premium AT – ini kurang satu varian berbanding penawaran terdahulu.

    Tentunya, ramai yang tertunggu-tunggu maklumat berkaitan harganya. Varian paling asas, Standard MT akan dijual pada harga RM32,800, diikuti Standard AT pada harga RM35,800. Manakala bagi varian paling lengkap pula, Premium AT, ia dijual pada harga RM39,800 – harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, transmisi 4AT Hyundai dan harga bermula RM32,800

    Jika diperhatikan, harga yang diumumkan ini sebenarnya berada sekitar RM1,000 hingga RM2,000 lebih murah berbanding sebelum ini, bergantung kepada varian. Sebaliknya, jika dilihat kepada pertambahan kelengkapan dan spesifikasi yang ada pula, nilai tambahan yang diberikan oleh Saga 2019 ini berada di sekitar RM2,000 hingga RM3,000, bergantung kepada varian. Ini beri banyak kelebihan kepada pemilik, tentunya.

    Sebagai sebuah model facelift, Saga 2019 ini mengekalkan bentuk keseluruhan yang sama seperti yang sebelum ini. Tetapi, banyak kemaskini dan pembaharuan yang dilakukan terhadap bukan saja penampilannya, tetapi juga pada kelengkapan serta prestasinya. Kita mulakan dengan perubahan reka bentuk terlebih dahulu.

    Bagi wajah depan, ia kini menggunakan gril “Infinite Weave”, sama seperti dua lagi “abang”nya Persona dan Iriz. Ini diserikan lagi dengan jalur kemasan krom di bawahnya. Bagaimanapun, rekaan lampu utama kekal sama. Cuma, bahagian bampar diberi rekaan baru yang lebih segar, bersekali untuk menempatkan lampu nyalaan siang LED di bahagian sisinya – bagi kereta segmen A, Saga menjadi yang pertama ada ciri berkenaan. Bahagian bawah bampar ini juga menempatkan bukaan udara yang melintang lebih panjang – menjadikan kereta kompak ini nampak lebar.

    Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, transmisi 4AT Hyundai dan harga bermula RM32,800

    Perkara yang agak mengubah penampilan imej Saga 2019 jika dilihat dari sisi pula ialah menggunaan rim dengan rekaan baru yang lebih segar. Walaupun ia masih kekal dengan saiz 15-inci yang sama, ia kini menggunakan rekaan jejari yang lebih sporty dengan gabungan dua-tona warna.

    Rekaan bahagian belakang pula disesuaikan mengikut kemaskini di depan. Lampu kekal menggunakan rekaan yang lama, tetapi bahagian spoiler dan nama Proton antara perubahan yang boleh dilihat. Paling ketara kemaskini yang dilakukan ialah pada bahagian bampar; ia rekaan baru dengan bucu sisinya turut menempatkan rekaan ala laluan udara seperti yang selalu kita lihat ada pada kenderaan Mercedes-Benz. Jalur kemasan krom di bawah juga menjadikannya tampil lebih premium.

    Sedikit mengenai sistem janaan kuasanya pula. Sejak pengenalan Saga generasi ketiga dahulu, ia hanya ditawarkan dengan enjin 1.3L VVT sahaja; tiada lagi penawaran dengan enjin 1.6L. Unit enjin berkenaan dikekalkan untuk versi terbaru ini, yang menghasilkan sebanyak 95 PS pada 5,750 rpm kuasa maksimum serta 120 Nm pada 4,000 rpm tork puncak.

    Cuma, ia tidak lagi digandingkan dengan sistem transmisi CVT seperti versi lama. Kotak gear berkenaan kini digantikan dengan transmisi automatik empat-kelajuan (4AT) dari Hyundai. Di China, Geely memang sudah menggunakan kotak gear ini untuk model-model syarikat itu. Ini sepatutnya akan memberikan respon pemanduan yang lebih baik. Selain itu, Saga 2019 juga menggunakan cakera brek depan dan brek dram di belakang dalam saiz yang lebih besar, yang diambil dari Iriz. Ini akan memberikan peningkatan dari sudut prestasi membreknya.

    Ruang dalamannya juga menampilkan banyak pembaharuan dan peningkatan, setidak-tidaknya bagi varian Premium AT. Perkara pertama yang akan menarik perhatian anda ketika masuk ke kabinnya ialah skrin apung yang akan menonjol kedudukannya. Kualitinya juga bukan sebarangan; skrin warna berdefinisi tinggi dan mudah dikendalikan. Tetapi, bagi Saga 2019, ia tidak hadir dengan ciri kawalan suara “Hi Proton!”.

    Bagaimanapun, jika anda menggunakan telefon pintar Android, boleh gunakan kabel untuk sambungkan telefon melalui ciri EasyConnection yang akan membolehkan telefon anda dipaparkan pada skrin sentuh berkenaan. Selain itu, ciri sambungan Bluetooth juga tersedia untuk kemudahan semua pengguna. Disebabkan skrin ini, kedudukan corong pendingin hawa juga diturunkan sedikit ke bawahnya; hadir sekali dengan perincian nama Proton yang nampak kemas.

    Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia – tiga varian, transmisi 4AT Hyundai dan harga bermula RM32,800

    Satu lagi perkara menarik ialah tempat duduknya. Walaupun hanya dibaluti oleh fabrik, ia bukan kain biasa yang nampak murah. Dalam warna kelabu pekat seperti yang ada pada varian Premium AT ini, permukaannya juga sangat lembut jika disentuh. Ini secara tak langsung memberikan keselesaan kepada semua ketika dalam perjalanan. Selain itu, lampu kabin yang terletak pada siling penumpang depan juga merupakan tambahan baru, dengan ciri lampu LED untuk lebih cerah.

    Bagi instrument cluster, ia juga menerima rekaan baru walaupun hanya menggunakan paparan monochrome, ia lebih mudah dilihat kerana saiz tulisan yang lebih besar dan kemas. Cuma sterengnya jika datang dengan balutan kulit terutama untuk varian Premium mungkin akan jadi lebih menarik. Kunci remote juga baru, datang sekali dengan butang untuk buka ruang but di belakang, tetapi tak ada ciri keyless entry atau butang Push Start.

    Bagi ciri keselamatan pula, kawalan kestabilan elektronik ada diberikan bagi varian Premium. Bagi dua lagi varian pula, ia datang dengan kelengkapan paling asas dua beg udara. ABS standard untuk semua varian. Pilihan warna yang ada pula ialah Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon (warna baru, sama seperti pada Persona) dan warna hero, Ruby Red seperti yang anda lihat ini. Apa pandangan anda tentang kemaskini yang dilakukan terhadap Saga 2019 ini? Macam mana pula penawaran harganya, cukup menarik?

    Proton Saga 2019 1.3L Premium AT

     
     
  • Nissan Versa – Almera pasaran Amerika Syarikat dijual pada harga bermula RM60k hingga RM76k, 1.6L 122 hp

    Nissan Versa – Almera pasaran Amerika Syarikat dijual pada harga bermula RM60k hingga RM76k, 1.6L 122 hp

    Setelah didedahkan buat pertama kali April lalu, Nissan Amerika Syarikat kini mengumumkan lebih perincian sedan empat-pintu Nissan Versa (atau dikenali sebagai Almera di Malaysia) untuk pasaran berkenaan. Dengan rupa dan teknologi yang jauh berbeza dari model generasi sebelumnya, Versa kini bukan lagi kereta paling mampu milik di negara berkenaan.

    Hadir dalam empat varian iaitu versi Versa S MT dijual pada harga USD 14,370 atau sekitar RM60k, hingga model paling sporty Versa SR berharga USD 18,240 atau sekitar RM76k. Kesemua model akan dijana oleh enjin petrol NA 1.6 liter empat-silinder berkuasa 122 hp/154 Nm.

    Versa S diberi pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau Xtronic CVT automatik, manakala versi pertengahan SV dan SR hanya digandingkan dengan transmisi CVT.

    Nissan Versa – Almera pasaran Amerika Syarikat dijual pada harga bermula RM60k hingga RM76k, 1.6L 122 hp

    Muka hadapan model generasi baharu ini kelihatan lebih lebar, dan ia sebenarnya hampir seiras dengan versi hatchbacknya iaitu Nissan March pasaran Eropah. Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Versa sedan ini menerima gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Lapan warna luaran ditawarkan untuk Versa di AS termasuk Electric Blue Metallic, Monarch Orange Metallic dan Scarlet Ember Tintcoat. Model generasi baharu ini turut menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    Bermula dari tiang-C, Versa sedan menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Nissan Versa – Almera pasaran Amerika Syarikat dijual pada harga bermula RM60k hingga RM76k, 1.6L 122 hp

    Model tertinggi SR dilengkapkan standard dengan set rim aloi bersaiz 17-inci dibaluti tayar 205/50R17, lampu hadapan LED, lampu kabus dan pelbagai lagi.

    Masuk ke kabin, Versa Sedan 2020 menerima papan pemuka lebih tersendiri berbanding March, dan ia direka dengan elemen lebih melintang dengan ‘sayap’ yang merentangi papan pemuka tersebut, bersama rekaan panel instrumen digital yang digelar ‘Gliding Wing‘. Roda stereng pelbagai fungsi rata di bawah turut diberikan bersama skrin infotaimen baharu pada bahagian tengah papan pemuka.

    Varian pertengahan SV dan tertinggi SR diberikan ciri-ciri lebih premium seperti sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin dan juga skrin infotaimen ‘terapung’ tujuh-inci yang menyokong Siri Eyes Free.

    Kedua-dua model ini juga hadir standard dengan sistem keselamatan bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 yang terdiri dari sistem seperti Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Brek Automatik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Titik Buta dan Lintasan Trafik Belakang serta Cruise Control Pintar.

    Nissan Versa Sedan akan mula dijual pada pasaran Amerika bermula musim panas tahun ini. Model generasi baharu ini juga hanya akan dipasarkan dalam versi sedan di negara berkenaan, tanpa ditemani model hatchback seperti model sebelum ini.

    Menurut laporan portal Thailand, headlightmag, Almera generasi baharu ini mungkin akan diperkenalkan di China (dikenali sebagai Sunny) selepas ini. Seterusnya pasaran Thailand menjelang suku keempat 2019, dan mungkin akan dijual menerusi undang-undang Kereta Eco Thailand fasa kedua – ini bermaksud negara berkenaan mungkin akan menerima enjin petrol NA 1.0 liter tiga-silinder seperti March, yang menjana 71 hp/95 Nm.

    Mei lalu, pengedar Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengesahkan bahawa Versa ini turut akan di bawa ke Malaysia bagi menggantikan Nissan Almera sedia ada. Namun perincian seperti spesifikasi dan juga tarikh pelancarannya masih lagi belum didedahkan.

     
     
  • Mimco Alif – bayangan model SUV elektrik Malaysia

    Mimco Alif – bayangan model SUV elektrik Malaysia

    Ini merupakan satu daripada cadangan bagi projek kereta nasional ketiga – dikenali sebagai Mimco Alif yang dihasilkan oleh Alam Perkasa Konsortium (APC). Alif merupakan nama modelnya, sementara Mimco membawa maksud Malaysian International Motor Company.

    Secara konsepnya, Mimco Alif ialah sebuah SUV elektrik saiz sederhana, dan dilaporkan rekaannya telah dihasilkan oleh pereka terkemuka, Giorgetto Giugiaro dan anaknya, Fabrizio (yang khabarnya turut merupakan sebahagian daripada konsortium berkenaan).

    Imej render ini adalah berdasarkan lakaran APC yang didedahkan The Edge bulan lalu, dan matlamatnya adalah untuk menjadikan lakaran itu sebuah kenyataan. Ini bermaksud, ia perlu mempunyai potongan badan yang realistik, serta mengurangkan sedikit saiz rodanya serta “otot” pada badan kenderaan.

    Mimco Alif – bayangan model SUV elektrik Malaysia

    Banyak perincian dari lakaran awal masih dikekalkan. Gril bentuk ‘M’ menjadi ciri khususnya (tanpa bukaan udara kerana ia EV), serta lampu belakang yang lebar dan LED sepenuhnya, sementara lampu hadapan diperkemaskan sedikit untuk membayangkannya sebagai kenderaan produksi sebenar. Logo Mimco dalam bulatan warna biru dan kepala burung ditengahnya disudahi dengan warna emas.

    Apa pandangan anda tentang versi kami ini terhadap Mimco Alif? Jika ia benar-benar menjadi kenyataan, ramai yang akan membelinya? Seperti diumumkan sebelum ini, ada rancangan yang sangat besar untuk model berkenaan. Ia dirancang untuk membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show pada Mac tahun hadapan, sebelum mula dijual pada 2022.

    Konsortium berkenaan merancang untuk menjual 60,000 unit Alif setahun, dengan 80% daripadanya untuk pasaran eksport termasuk ke Eropah dan Amerika Syarikat. Dengan pelaburan awal RM5 bilion, APC mensasarkan untuk meraih pendapatan tahunan sebanyak RM14 bilion. Boleh tercapai atau tidak, itu kena tunggu dan lihat.

     
     
  • Mazda MX-5 RF 2019 di M’sia – enjin 184 PS baharu, stereng teleskopik, CarPlay, Android Auto, RM260k

    Mazda MX-5 RF 2019 di M’sia – enjin 184 PS baharu, stereng teleskopik, CarPlay, Android Auto, RM260k

    Mazda MX-5 RF 2019 kini telah pun tiba di pasaran Malaysia. Hanya didatangkan dalam bentuk RF ‘targa top’, jentera roadster sport ini mengalami sedikit peningkatan dan pembaharuan.

    Bermula dengan bahagian enjin, ia masih dikekalkan dengan ‘jantung’ 2.0 liter naturally-aspirated SkyActiv-G empat-silinder petrol. Dilengkapi beberapa ciri yang direka semula seperti piston, connecting rod, crankshaft, throttle body dan intake valve, membuatkan enjin ini mampu meledak setinggi 700 rpm pada 7,500 rpm, dengan peningkatan kuasa sehingga 184 PS (meningkat dari 160 PS) pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm (meningkat dari 200 Nm) pada 4,000 rpm.

    Bukan itu sahaja, Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin, dengan membuang material dari struktur dalaman muffler dan juga melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi-tinggi. Seperti sebelum ini, ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan.

    Lain-lain peningkatan kecil termasuklah pelarasan bagi stereng teleskopik, kawalan kelajuan dan juga paparan pelbagai-info TFT LCD berwarna 4.6-inci. Malahan, MX-5 RF 2019 kini dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard menerusi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh-inci.

    Dengan semua peningkatan ini, harga yang diumumkan juga lebih tinggi hampir RM37,000 berbanding sebelum ini.MX-5 RF kini ditawarkan dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM259,154 untuk transmisi manual dan RM260,354 bagi automatik. Ini termasuk juga dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan juga pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km.

    Ciri standard termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci dengan kemasan hitam baharu, sensor undur, kemasukan tanpa kunci dengan pengunci ‘walk-away’, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin auto, cermin pandang belakang anti-silau, pendingin hawa auto, upholsteri kulit dan sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara (termasuk pembesar suara bahagian perehat kepala).

    Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan empat beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan amaran ketibaan lorong, tetapi tidak disertakan dengan brek kecemasan sendiri yang telah diperkenalkan di peringkat global untuk model 2019, begitu juga kamera undur.

     
     
  • NEC mula tunjuk, uji “kereta terbang” elektrik di Jepun

    NEC mula tunjuk, uji “kereta terbang” elektrik di Jepun

    Syarikat IT dan rangkaian Jepun, NEC telah mendedahkan sebuah prototaip “kereta terbang” elektrik, menjadikannya kenderaan ujian bagi pembangunan teknologi komunikasi dan kawalan yang kemudiannya akan boleh digunakan untuk kenderaan di udara kelak, lapor Kyodo News.

    Prototaip NEC itu melakukan penerbangan ujian jarak pendek di kilang syarikat yang terletak di Chiba, dalam ketinggian tiga meter dalam ruang bersangkar terkawal untuk tempoh beberapa minit. Unit air mobility vehicle (AMV) berkenaan mempunyai dimensi 3.9 meter panjang, 3.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi dilengkapi dengan empat kipas propelar serta mempunyai berat 148 kg.

    Tidak seperti kebanyakan syarikat yang ingin menghasilkan “kereta terbang”, NEC menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menjadi pembuat “kereta terbang”, sebaliknya memberi tumpuan terhadap teknologi padanya sahaja, untuk tujuan pengengkutan karga di masa hadapan. Sebagai contoh, prototaip berkenaan memanfaatkan perisian NEC untuk mengawal pernerbangan serta menentukan lokasinya.

    NEC mula tunjuk, uji “kereta terbang” elektrik di Jepun

    Syarikat itu juga memaklumkan rancangannya untuk menyediakan teknologi berkaitan kereta terbang kepada syarikat kejuruteraan Cartivator, di mana kedua-dua pihak terbabit telah menandatangani perjanjian penajaan tahun lalu. Cartivator turut disokong oleh lebih daripada 80 syarikat lain termasuk Toyota dan Panasonic, dan disasar untuk memulakan operasi kereta terbang dengan kapasiti dua orang pada 2023, untuk mengangkut orang di Osaka Expo 2025, sebelum menjalankan pengeluaran umum kenderaan terbabit pada 2026.

    Kerajaan Jepun turut menggalakkan pembangunan kereta terbang dengan kerjasama syarikat swasta dari bidang logistik dan automotif, dalam usaha untuk merapatkan jurang pesaing global yang lain. Mereka memsasarkan pembangunan kereta terbang elektrik dan menjalankan ujian penerbangan tahun ini sebelum memanfaatkan teknologi berkenaan di dalam penggunaan praktikal bermula 2023.

    NEC mula tunjuk, uji “kereta terbang” elektrik di Jepun

    Matlamatnya adalah untuk menjadikan teknologi ini satu kebiasaan pada tahun 2030, menjalankan pelbagai tugas pengangkutan dan kargo termasuk bagi tujuan pelancongan serta bantuan kecemasan ketika bencana. Apa pun, sangat penting bagi mereka untuk memastikan keselamatan penggunaannya, walaupun ketika ini peraturan dan standard yang ada masih samar-samar.

    Malaysia juga tidak ketinggalan di dalam pembangunan kereta terbang ini. Menurut menteri, prototaip Vector yang dibangunkan oleh Aerodyne Group akan siap dan diuji Oktober nanti, dan Cyberjaya khabarnya akan menjadi lapangan ujian bagi teknologi berkenaan. Adakah NEC ini syarikat yang sama disebut-sebut sebagai rakan niaga dari Jepun untuk menghasilkan teknologi kereta terbang itu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026