Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton Saga R3 Concept – wajar dijadikan kenyataan?

    Proton Saga R3 Concept – wajar dijadikan kenyataan?

    Proton Saga 2019 rasanya menarik perhatian ramai orang disebabkan harga rendah serta nilai penawaran berbaloi yang diberikan. Penampilannya kini juga lebih menarik dan sporty, walaupun hanya merupakan model ‘entry level’ dari segmen A dari Proton. Tetapi, pembaharuan yang dilakukan ini rasanya sangat kena dengan sejarah panjang penuh makna model berkenaan yang menjadi model pertama Proton sejak 1985 lagi.

    Tetapi, kalau Proton Saga 2019 sudah cukup menawan, apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjadikannya lebih memukau? Bagaimana jika kereta sedan kompak ini hadir dengan penampilan yang lebih agresif? Inilah perkara yang sama dibayangkan oleh Theophilus Chin, ketika membayangkan Proton Saga R3 Concept ini – lebih ranggi dan garang dengan imej sayap perlumbaan Proton.

    Antara yang dilakukan ialah menjadikan bahagian grilnya lebih ringkas dan kosong, tetapi dihiasi dengan lambang R3 kecil. Rekaan gril ini sebenarnya pernah digunakan oleh beliau ketika menampilkan rekaan bagi Saga homagE sebelum ini, sebuah Saga moden janaan elektrik yang dibayangkan.

    Proton Saga R3 Concept – wajar dijadikan kenyataan?

    Selain itu, jalur krom di bawah gril pula diubah menggunakan warna merah pada rekaan R3 ini, sementara lampu utama diberikan kesan smoked yang sedikit lebih gelap. Bahagian bampar pula diberi rekaan baru, dengan ruang udara tunggal yang besar. ‘Pagar’ honeycomb dihiasi warna hitam, mirip rekaan yang pernah dilihat pada model Mercedes-AMG C63. Muncung bawahnya juga lebih jelas dan garang berbanding Saga versi standard.

    Proton Saga R3 Concept ini pula nampak lebih tegap kedudukannya. Ini disebabkan penggunaan rim 16-inci yang ada, lebih besar seinci berbanding saiz standard Pada Saga 2019 Premium. Tambahan pula, ia menggunakan tayar dengan profil yang lebih nipis; ia juga lebih rendah, dengan penggunaan suspensi sport R3. Perhatikan lebih teliti, lengkung tayar juga sedikit lebih luas untuk dipadankan dengan bukaan kit sisi badan dengan kemasan warna hitam.

    Ini diperkemaskan lagi dengan penggunaan kaliper brek berwarna merah. Penggunaan kemasan warna gelap ini bolehlah kita bayangkan sebagai aksesori “Night Package” yang selalu disediakan oleh kebanyakan pengeluar.

    Proton Saga R3 Concept – wajar dijadikan kenyataan?

    Bahagian dalamannya turut disertakan dengan perincian warna merah, untuk menggambarkan semangat prestasi dan perlumbaan. Misalnya, pada bahagian tali pinggang keselamatan, bingkai pendingin hawa, jalur pada stereng, tapak tombol gear, kemasan bebenang merah pada papan pemuka dan juga bahagian bawah corong pendingan hawa.

    Bagi kerusi pula, ia ada mirip tempat duduk Iriz, tetapi dihadirkan dalam jalur dan benang warna merah. Dan, jika diperhatikan betul-betul tombol gearnya, Saga R3 Concept ini dibayang untuk dilengkapi dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Kalau ini menjadi kenyataan, mesti ramai yang tak senang duduk. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Teringin nak tengok Proton Saga R3 Concept jadi kenyataan?

     
     
  • Di sebalik kereta nasional baru – siapa DreamEdge?

    Di sebalik kereta nasional baru – siapa DreamEdge?

    Jumaat minggu lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking telah umumkan bahawa syarikat penyedia khidmat kejuruteraan digital Malaysia, DreamEdge dilantik sebagai syarikat pengendali kepada projek kereta nasional terbaru. Tapi, siapa sebenarnya di belakang DreamEdge? Dan, mengapa mereka dipilih?

    DreamEdge sebenarnya bukanlah sebuah syarikat baru. Diketuai oleh CEO Khairil Adri Adnan, DreamEdge ditubuhkan pada 2007; bermula dengan hanyak lima pekerja yang semuanya merupakan jurutera, kini syarikat itu menggajikan lebih daripada 150 orang.

    Sejak penubuhannya, DreamEdge terlibat di dalam industri, antaranya termasuk minyak & gas, pembinaan landasan, pembangunan kapal, kesihatan serta automatik. Mereka menyediakan perkhidmatan seperti pemodelan dan analisis menggunakan komputer, kejuruteraan serta pengilangan (CAD/CAE/CAM) sehinggalah kepada pembangunan dan rekaan produk, mencakupi bidang yang luas.

    Bagi industri automotif, syarikat ini pernah terlibat antaranya di dalam projek penting dalam pembangunan kenderaan baru, yang melibatkan penghasilan rekaan, pembangunan prototaip dan pembangunan sistem untuk pengeluaran umum.

    Di sebalik kereta nasional baru – siapa DreamEdge?

    Selain sektor automotif, mereka juga pernah terlibat di dalam kerja-kerja berkaitan pembinaan monorail dan MRT, begitu juga dengan rekaan dan pembangunan kapal laut; yang terakhir bersama dengan Boustead Heavy Industries.

    Pada 2013, syarikat ini terlibat sama dalam menghasilkan prototaip kenderaan perantara dengan lapan-tempat duduk, Zero-Emission Transport EV. Selain itu, beberapa model konsep pernah dihasilkan, seperti ZET Low Speed EV yang merupakan sebuah kenderaan elektrik empat-tempat duduk dan ZET tiga-roda.

    Syarikat sama turut dikenali melalui aktiviti oleh TuneD, yang pertama kali menampikan Proton Preve dengan kit badan tersendiri ketika KLIMS 2013. Pada Mei 2017, mereka memperkenalkan pula rangkaian bodykit aftermarket yang dihasilkan untuk tiga model Proton; Saga, Persona dan Preve.

    DreamEdge juga menjalin usahasama di negara Jepun, di mana mereka menyediakan kepakaran teknikal kepada beberapa syarikat pelanggan. Mereka juga pernah dikaitkan dengan Nissan.

    Di sebalik kereta nasional baru – siapa DreamEdge?

    Menurut Laporan Transformasi Ekonomi 2012, DreamEdge dilaporkan terlibat di dalam kerjasama strategik dengan Nissan dan Tokyo R&D Japan, sebuah syarikat perunding dan pembangunan perkhidmatan automotif, di dalam lapangan kaji selidik berkaitan sukan permotoran. Kerjasama dengan Tokyo R&D ini masih lagi tersenarai di dalam profil semasa syarikat.

    DreamEdge juga mempunyai beberapa kemudahan di seluruh negara; Pusat Rekaan Digital R&D mereka terlatak di ibupejabatnya di Cyberjaya, sementara Pusat Prototaip & Pengilangan Tambahan terletak di AutoVille Cyberjaya. Tidak ketinggalan ialah Pusat Teknologi & Inovasi yang terletak di premis SIRIM di Bukit Jalil, serta Pusat Rekaan Kejuruteraan Digital di Taiping. Sebuah pejabat R&D mereka juga terletak di Shibuya, Tokyo.

    Berkaitan pengumuman DreamEdge sebagai syarikat pengendali projek kereta nasional baru ini, perbincangan sudah bermula sejak enam bulan lalu. Dua lagi syarikat yang turut menzahirkan minat mereka terhadap projek ini ialah Alam Perkasa dan Elenvi.

    Menariknya, daripada sumber industri, kami dimaklumkan bahawa kedua-dua syarikat berkenaan tidak pernah menyampaikan perkara itu terus kepada MITI atau MARii, walaupun memaklumkan hal itu kepada umum melalui media.

     
     
  • Johann Zarco tamat kontrak dengan KTM lebih awal

    Johann Zarco tamat kontrak dengan KTM lebih awal

    Banyak berita daripada KTM yang dikeluarkan semasa pusingan perlumbaan MotoGP di Red Bull Ring, Austria yang merupakan litar ‘rumah’ mereka. Paling utama sudah tentu, pengeluar itu mengumumkan akan berada dalam perlumbaan MotoGP untuk lima tahun lagi, tapi ada yang lebih mengejutkan.

    Mereka juga mengumumkan kontrak bersama Johann Zarco akan ditamatkan lebih awal iaitu hanya sehingga hujung musim ini, sedangkan kontrak sebenar sepatutnya sehingga musim 2020 tamat. Keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama KTM dan juga Zarco. Walaubagaimanapun dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Zarco dalam Instagram, beliau seperti mengatakan ini adalah apa yang beliau mahukan.

    “Ini adalah satu keputusan yang sukar, saya ada peluang untuk melakukan kerja yang paling hebat di dunia dan saya mahu melakukannya sambil tersenyum, berlumba untuk podium! Sebagai seorang yang profesional, saya akan terus fokus sepanjang musim 2019 ini, memberikan yang terbaik dan cuba untuk memperbaiki kemahiran saya!” kata Zarco.

    Kedudukan Zarco untuk musim hadapan masih belum diketahui, tetapi dengan kenyataan sebegitu, kami menjangkakan mesti sudah ada pasukan yang mahu menggunakan khidmat beliau, namun belum dinyatakan secara rasmi. Untuk musim pertama menggunakan jentera KTM RC16, setakat ini Zarco cuma dapat mengutip 22 mata dan berada di tempat ke-17.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KTM pula tertulis bahawa Zarco cuba untuk menyesuaikan cara tunggangan beliau dengan KTM RC16 dan pasukan telah melakukan pengubah suaian tanpa henti pada jentera #5 tersebut untuk mengikut kemahuan dan keperluan beliau.

     
     
  • Hafizh Syahrin sudah keluar dari hospital berikutan kemalangan di Austria, kembali berlumba 25 Ogos

    Semasa pusingan MotoGP di litar Red Bull Ring Austria hujung minggu lalu, Hafizh Syahrin yang berlumba untuk pasukan KTM Tech3 memulakan perlumbaan di tempat ke-20. Walaubagaimanapun selepas beberapa pusingan beliau telah telah mengalami kemalangan.

    Bagaimana Hafizh jatuh tidak ditunjukkan dalam siaran, tetapi impaknya cukup kuat sehingga beliau mengalami gegaran di kepala. Selepas itu, beliau terus dikejarkan ke hospital tempatan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

    Lewat petang semalam, pasukan KTM Tech3 telah mengeluarkan satu tweet memberitahu Hafizh sudah pun keluar dari hospital dan beliau cuma menjalani satu pembedahan kecil untuk membersihkan luka di siku sebelah kanan. Tweet itu juga memberitahu Hafizh sedia untuk kembali pulih dan bersedia untuk perlumbaan seterusnya 25 Ogos nanti.

     
     
  • Kementerian pertimbang hadkan motosikal di lorong paling kiri jalanraya, had laju kapcai pada 70 km/j

    Kementerian pertimbang hadkan motosikal di lorong paling kiri jalanraya, had laju kapcai pada 70 km/j

    Sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah kecederaan dan kematian penunggang motosikal di jalan raya, Kementerian Kerja Raya menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk menghadkan penunggang motosikal kepada lorong paling kiri atau lorong perlahan sahaja ketika berada di atas jalan raya dan juga lebuhraya negara ini – terutama ketika waktu puncak.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian di dalam sebuah temubual bersama portal berita The Mole, seperti dilaporkan oleh Bernama. “Perangkaan mengenai kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada waktu puncak semasa ke tempat kerja atau pulang yang melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng telah mencapai tahap yang membimbangkan sejak empat tahun lepas,” katanya.

    “Sebarang cadangan supaya dasar itu dikuatkuasakan sepanjang masa tidak sesuai buat masa ini,” kata Baru sebagai mengulas cadangan oleh kumpulan pro-keselamatan jalan raya The Safety First Group. Menurut perangkaan, lebih 4,000 orang mati dalam kemalangan motosikal setiap tahun dan beribu-ribu lagi turut cedera.

    Kementerian pertimbang hadkan motosikal di lorong paling kiri jalanraya, had laju kapcai pada 70 km/j

    Menteri berkenaan bagaimanpun berkata pelaksanaan dasar yang dicadangkan itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pihak berkuasa perlu mendapatkan maklum balas terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang berkepentingan. Selain itu, The Safety First Group turut menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk ‘kapcai’ atau motosikal berkuasa rendah.

    “Buat masa ini, untuk mengenakan peraturan had laju sedemikian terutama bagi penunggang motosikal mungkin belum boleh lagi. Kita perlu menjalankan kajian mendalam memandangkan ini memerlukan pemerhatian yang teliti untuk satu tempoh yang panjang terutama dalam keadaan lalu lintas yang bercampur-campur di lebuh raya dan lebuh raya ekspres selain jalan-jalan di sekitar bandar, pekan kecil dan juga di kawasan luar bandar,” kata Baru.

     
     
  • Harga minyak 10-16 Ogos 2019 – RON 97 turun 5 sen

    Harga minyak 10-16 Ogos 2019 – RON 97 turun 5 sen

    Minggu lalu, harga bahan api RON 97 turun sebanyak dua sen. Untuk seminggu ke hadapan, ia akan turun lagi lima sen. Ini menjadikan harga terbaru petrol RON 97 untuk minggu hadapan ialan RM2.49 seliter.

    Bagi petrol RON 95 pula, ia seperti biasa masih ditambat pada harga RM2.08 seliter, tanpa perubahan kerana ia telah mencecah harga siling yang ditetapkan kerajaan. Untuk diesel, ia juga masih kekal RM2.18 seliter untuk Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28 seliter.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu, di mana harga runcit produk petrol RON95 berada pada paras RM2.24 seliter dan diesel pada RM2.33 seliter.

    Harga minyak 10-16 Ogos 2019 – RON 97 turun 5 sen

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan masing-masing dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 10 Ogos 2019 sehingga 16 Ogos 2019 adalah berjumlah RM59.28 juta.

     
     
  • GALERI: Ducati Scrambler 1100 Sport dan Special

    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Sport dan Special

    Semasa mula diperkenalkan dalam pasaran, Ducati Scrambler hanya datang dalam pilihan enjin 803 cc dan 400 cc. Untuk mendapatkan varian yang paling sporty juga, hanya kelengkapannya sahaja diubah, sementara enjin masih lagi 803 cc.

    Ducati merasakan ini tidak cukup, jadi mereka memperkenalkan pula Scrambler yang menggunakan enjin 1,079 cc sama seperti Monster EVO 1100. Ia adalah unit L-twin Desmodromic penyejukan udara, namun kuasanya dilaras menjadi 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan dengan klac hidraulik basah.

    Model ini dipanggil sebagai Scrambler 1100, dan datang dalam dua versi iaitu Special dan Sport. Semasa dilancarkan untuk pasaran Malaysia tahun lalu, harganya masing-masing adalah RM83,000 dan RM85,000. Beza paling utama antara antara keduanya adalah suspensi.

    Scrambler 1100 Special dilengkapi dengan fork Marzocchi 45 mm USD boleh laras sepenuhnya di hadapan, dan monoshock Kayaba di belakang, manakala Scrambler 1100 Sport pula diberi unit lebih berprestasi iaitu fork Ohlins 48 mm USD di hadapan dan monoshock Ohlins boleh laras di belakang. Brek adalah sama bagi semua varian iaitu unit berkembar cakera 320 mm dan angkup Brembo Monobloc M4.32 di hadapan, dan cakera 245 mm serta angkup satu piston di belakang.

    Ducati bukan sekadar menukar enjin Scrambler ini, tetapi hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru. Melihat kepada dimensinya, dibandingkan dengan Scrambler 800, Scrambler 1100 ini mempunyai jarak roda 69 mm lebih panjang (1,514 mm), tinggi tempat duduk 20 mm lebih tinggi (810 mm), 50 mm lebih lebar (895 mm) dan 20 kg lebih berat (206 kg). Tangki minyak juga 1.5 liter lebih besar (15 liter).

    Bahagian casis motosikal ini turut diubah, di mana kerangka Trellis padanya kini mempunyai jarak kecondongan fork yang berbeza dan lengan ayun aluminium, manakala untuk ergonomik, jarak antara peletak kaki, pemegang dan tempat duduk lebih lebar.

    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Special

    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Sport

     
     
  • Perodua Tweckbot beri pemeriksaan 50-poin percuma, diskaun alat ganti sempena Aidiladha dan Merdeka

    Perodua Tweckbot beri pemeriksaan 50-poin percuma, diskaun alat ganti sempena Aidiladha dan Merdeka

    Sempena dengan Hari Raya Aidiladha pada hujung minggu ini dan juga sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, Perodua Tweckbot kini kembali dengan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mudah alih percuma. Perkhidmatan ini khas buat pelanggan Perodua sebagai persediaan untuk pemanduan jauh pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi semasa musim perayaan.

    Semalam, Perodua Tweckbot telah menyertai majlis pelancaran Program ‘Kibarkan Jalur Gemilang’ anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, di mana pasukan ini berjaya memeriksa sejumlah 60 kenderaan pelanggan.

    Tweckbot seterusnya akan berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS Rawang arah utara pada 24-25 Ogos ini, bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang. Pelanggan yang memeriksa kenderaan Perodua mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar yang boleh digunakan untuk menebus diskaun 20% bagi pembelian alat ganti dan aksesori di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

    “Pemeriksaan Tweckbot 50-poin merangkumi enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik, dan akan memberikan ketenangan minda yang menyeluruh kepada pelanggan kami untuk memulakan perjalanan yang jauh.

    “Objektif Tweckbot adalah untuk menekankan kepentingan memeriksa kenderaan secara berkala, melakukan servis di pusat servis Perodua yang sah serta hanya menggunakan produk dan alat ganti tulen Perodua, semuanya demi keselamatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad. Setakat ini, Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan sejak pengenalannya pada 2011.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota GR Supra sudah mendarat di M’sia

    SPYSHOT: Toyota GR Supra sudah mendarat di M’sia

    dav

    Februari lalu, UMW Toyota Malaysia mengumumkan bahawa Toyota GR Supra A90 bakal di bawa ke pasaran Malaysia, dan ia disahkan akan dilancarkan pada September ini. Hari ini kami menerima satu set gambar dari pembaca, Mior Mohd Amin yang mengesahkan unit awalan tersebut sudah pun berada di Malaysia.

    Menurutnya, gambar tersebut diambil di Shah Alam, dari Padang Jawa menuju ke Seksyen 15 – mungkin dalam perjalan ke ibu pejabat UMW Toyota setelah turun dari Pelabuhan Klang. Ia adalah unit dengan warna hero Supra generasi baharu iaitu Prominence Red, dan menerusi sedikit bahagian rim yang terdedah, ia mungkin dari varian paling berkuasa dijana enjin 3.0 liter.

    SPYSHOT: Toyota GR Supra sudah mendarat di M’sia

    dav

    Toyota Supra generasi kelima ini sudahpun dilancarkan di Filipina dengan harga sekitar RM400k, dan kemudian dilancarkan pada di Indonesia pada bulan lalu dengan harga sekitar RM600k. Ia turut telah didedahkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019 pada Mac lalu, dan disahkan akan dilancarkan di Thailand tahun ini juga.

    Model dengan kuasa paling tinggi digerakkan dengan enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo sama seperti kembarnya BMW Z4 M40i, menghasilkan 340 hp/500 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, dan memacu hanya roda belakang. Gandingan tersebut membolehkan Supra ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    GALERI: Toyota Supra untuk pasaran Jepun

     
     
  • Industri automotif perlu juga fokus untuk pembuatan dan eksport alat ganti serta komponen – MITI

    Industri automotif perlu juga fokus untuk pembuatan dan eksport alat ganti serta komponen – MITI

    Kerajaan berkata industri automotif tempatan juga perlu memfokuskan sektor pembuatan dan eksport bagi alat ganti dan komponen kenderaan buatan Malaysia, bukan setakat mengeluar dan memperkenalkan model kenderaan baharu.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking, ini akan memastikan pengeluaran dan eksport bahagian-bahagian dan komponen kenderaan buatan Malaysia berkembang seiring dengan pengeluaran kenderaan berkualiti tinggi.

    “Pembuatan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan adalah sama pentingnya dengan kejayaan industri automotif, kerana ia mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan kerjaya bagi rakyat Malaysia dalam rantaian automotif bernilai tinggi. Ia pada dasarnya adalah elemen yang menentukan produk akhir,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, proses pembuatan yang pelbagai, kepelbagaian pengkhususan dan tahap kerumitan yang berbeza berbanding pemasangan kenderaan menjadikan bahagian-bahagian dan komponen sebagai sektor sasaran utama untuk merangsang kecekapan tempatan dalam sains, kejuruteraan dan penggunaan teknologi, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia.

    Industri automotif perlu juga fokus untuk pembuatan dan eksport alat ganti serta komponen – MITI

    Malah beliau turut menekankan tentang kepentingan pertumbuhan berterusan dan holistik dalam pengembangan kapasiti dan keupayaan pengeluar automotif Malaysia ketika pasaran global beralih kepada produk automotif dan mobiliti baharu serta model pemilikan.

    “Meskipun MITI berusaha keras untuk menangani kebimbangan dalam kalangan pihak tertentu industri tentang kesediaan kita untuk membangunkan produk berteknologi tinggi seperti teknologi autonomi, kita tidak menafikan gangguan seumpama itu akan kelaknya menyebabkan keupayaan kita menjadi lapuk pada masa depan.

    “Satu-satunya cara kehadapan adalah usaha sepenuhnya daripada industri, kerajaan dan sektor penyelidikan untuk mengikhtiarkan penyelesaian baharu bagi memastikan kita mencapai tahap pematuhan yang sewajarnya kepada permintaan pasaran global,” katanya.

    Sementara itu, Darell menggesa perniagaan untuk menyertai pelbagai program kerajaan bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam aktiviti huluan seperti reka bentuk produk dan proses bagi memastikan mereka mengoptimumkan nilai yang diperoleh daripada perdagangan dan eksport bahagian-bahagian dan komponen.

    Industri automotif perlu juga fokus untuk pembuatan dan eksport alat ganti serta komponen – MITI

    “Kerajaan telah meningkatkan kapasiti pembekal alat ganti dan komponen Malaysia, terutamanya dalam melaksanakan amalan Sistem Pengeluaran Lean (LPS) dalam kebanyakan barisan pengeluaran rantaian automotif tempatan, menerusi program kerajaan yang dirumuskan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii),” katanya.

    Beliau berkata perniagaan automotif juga kini mempunyai akses lebih meluas kepada latihan dan kemudahan yang memenuhi proses pembangunan automotif huluan seperti penggayaan, reka bentuk kejuruteraan, pengesahan reka bentuk, pengujian pelepasan gas serta alatan augmented reality, yang boleh diakses menerusi pusat kecemerlangan seperti Pusat Ujian Emisi Kebangsaan (NETC) dan Pusat Reka Bentuk MARii.

    Sektor alat ganti dan komponen Malaysia mencatatkan eksport berjumlah RM6.76 bilion dalam separuh pertama 2019, mencapai 52% daripada sasaran tahun penuhnya sebanyak RM13 bilion yang ditetapkan pada permulaan tahun. Ia mencatatkan pertumbuhan eksport menakjubkan dalam tempoh lima tahun lepas berkembang daripada RM4.7 bilion pada 2014 kepada RM12.1 bilion pada 2018.

     
     
  • Kereta nasional baru DreamEDGE – segmen B saiz plus, teknologi hibrid, dikilangkan di sini dan siap 2021

    Kereta nasional baru DreamEDGE – segmen B saiz <em>plus</em>, teknologi hibrid, dikilangkan di sini dan siap 2021

    Kini sudah rasmi bahawa DreamEDGE dilantik menjadi syarikat pengendali bagi projek kereta nasional terbaru (NNCP) yang akan dibangunkan nanti. Pertanyaan lebih menarik, apa yang akan dibangunkan dan bila ia akan diperkenalkan?

    Apa yang sempat dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, syarikat itu setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Tentang apa teknologi yang dimaksudkan itu, beliau tidak memberikan huraian lanjut.

    Garis masa bagi projek ini juga sudah ditetapkan. Selepas pengumuman ini, DreamEDGE akan meneruskan pula dengan membuat mock-up bagi keupayaan kejuruteraan bermula hujung Ogos ini. Kemudian, pada pertengahan September 2019, mereka akan memulakan pengambilan tenaga kerja tambahan untuk projek ini.

    Kemudian, enam bulan selepas itu, DreamEDGE sepatutnya mampu untuk menghasilkan model prototaip pertama kereta ini, dijadualkan pada Mac 2020 nanti. Kemudian, dalam tempoh setahun selepas itu, iaitu pada Mac 2021, model pertama kereta nasional terbaru ini akan dilancarkan.

    Kereta nasional baru DreamEDGE – segmen B saiz <em>plus</em>, teknologi hibrid, dikilangkan di sini dan siap 2021

    Diminta mengulas berkaitan tempoh waktu 18 bulan yang sepertinya agak singkat untuk mereka membangunkan sebuah model kenderaan, beliau optimis dengan jumlah masa yang ada itu. “Dengan bantuan dan sokongan kerajaan dan juga penyedia teknologi (Daihatsu Jepun), masa yang ada ini mencukupi,” jelas Khairil.

    Berkaitan keupayaan pengilangan pula, Khairil memaklumkan pihaknya akan menggunakan kemudahan sedia ada di Malaysia berdasarkan kontrak (contract manufacturing) untuk memasang dan mengeluarkan model ini nanti. Kemudahan mana yang akan digunakan bagaimanapun tidak dinyatakan.

    Sebagai rekod, di Malaysia kita mempunyai beberapa lokasi dan kemudahan pengilangan automotif, antaranya milik DRB-Hicom di Pekan, Pahang, kilang pemasangan Naza di Gurun, Kedah dan juga kemudahan Sime-Darby di Kulim – selain kilang-kilang dari jenama besar yang lain seperti Toyota, Honda, Proton dan Perodua.

     
     
  • MITI umum DreamEDGE jadi syarikat kereta nasional baru, dapat sokongan teknologi dari Daihatsu

    MITI umum DreamEDGE jadi syarikat kereta nasional baru, dapat sokongan teknologi dari Daihatsu

    Dalam perkembangan terbaru berkaitan projek kereta nasional terbaru (NNCP), kerajaan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking pagi ini mengumumkan bahawa pihak DreamEGDE telah dilantik sebagai syarikat pengendali atau “anchor company” yang akan bertanggungjawab ke atas projek berkenaan.

    Dengan pengumuman ini, dua syarikat lain yang sebelum ini turut menunjukkan minat terhadap projek berkenaan tidak terpilih sebagai syarikat utama. Yang dimaksudkan ialah dari Elenvi Otomotif Sdn Bhd dan sebuah lagi oleh Mimco yang sebelum ini telah menunjukkan rekaan awal bagi model SUV Alif.

    MITI umum DreamEDGE jadi syarikat kereta nasional baru, dapat sokongan teknologi dari Daihatsu

    Pengumuman kedua yang turut diberi penekanan dalam sidang media yang sama ialah Daihatsu Jepun dinamakan sebagai syarikat penyedia sokongan teknologi kepada projek berkenaan. Syarikat ini bagaimanapun tidak akan bertindak selaku rakan niaga atau rakan strategik kepada DreamEDGE. Menurut Darell, projek ini akan biayai sepenuhnya menggunakan dana swasta dan kerajaan tidak akan mengeluarkan wang sama sekali – melainkan memberikan sokongan dari sudut insentif dan struktur cukai.

    Kereta dan teknologi apa yang akan dibangunkan? Menurut CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, mereka sedang mempertimbang untuk menghasilkan sebuah kereta sedan segmen B plus, dengan menggunakan teknologi hibrid sebagai model pertama. Di dalam majlis yang sama, beliau turut menyebut bahawa model berkenaan akan dilancarkan pada bulan Mac 2021.

     
     
  • Mitsubishi duduki tangga teratas Kepuasan Servis Selepas Jualan 2019 bagi tahun kedua berturut-turut

    Mitsubishi duduki tangga teratas Kepuasan Servis Selepas Jualan 2019 bagi tahun kedua berturut-turut

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, telah berjaya menduduki tangga teratas bagi Kepuasan Servis Selepas Jualan mengikut Kaji Selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (Pasaran Massa) J.D. Power 2019. MMM berjaya memperoleh sejumlah 791 mata dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut jenama kenderaan dari Jepun ini menerima pengiktirafan yang sama.

    Manakala Toyota pula di tempat kedua dengan 788 mata, Mazda di kedudukan ketiga dengan markah 785 mata dan Honda di tempat ke-empat dengan sejumlah 768 mata.

    MMM kini memiliki 54 bilik pameran (48 daripadanya adalah pusat 3S) dan 55 pusat servis di seluruh Malaysia. Manakala di Malaysia Timur, MMM mempunyai 15 bilik pameran iaitu tujuh di Sarawak dan lapan di Sabah.

    Kaji Selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (Pasaran Massa) J.D. Power 2019 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,644 pemilik kenderaan, yang menerima kenderaan baharu mereka antara Februari 2016 dan Jun 2018 dan pernah membawa kenderaan mereka untuk diservis di pengedar atau pusat servis bertauliah pada bulan Februari 2018 hingga Jun 2019. Kaji selidik ini dilaksanakan dari Februari hingga Jun 2019.

    Selain itu, ia juga menyukat keseluruhan kepuasan servis dalam kalangan pemilik yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah dengan menilai prestasi pengedar berdasarkan lima faktor (mengikut urutan keutamaan), kualiti servis (25%), pengambilan kenderaan siap diservis (21%), inisiasi servis (20%), fasiliti servis (17%), dan penasihat servis (16%). Keseluruhan kepuasan bagi industri adalah pada purata 761 mata.

     
     
  • Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina, dilancarkan suku keempat tahun ini; harga sekitar RM96k-RM105k

    Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina, dilancarkan suku keempat tahun ini; harga sekitar RM96k-RM105k

    Ketika kita di Malaysia tertunggu-tunggu kehadiran Proton X50, iaitu SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue, pasaran Filipina nampaknya bakal menerima model tersebut lebih awal. Filipina yang menggunakan konfigurasi pemanduan sama dengan China iaitu di sebelah kiri (LHD) akan menerima SUV tersebut pada suku keempat tahun ini, dan akan dipasarkan dengan nama Geely Coolray, menurut laporan Wheels.ph.

    Model tersebut akan dibawa dari terus China dan diedarkan di Filipina oleh Sojitz Auto Philippines, bakal dijual pada harga sekitar 1.2 juta hingga 1.3 juta peso atau RM96k hingga RM105k.

    Coolray di Filipina akan dijana oleh enjin petrol turbo 1.5 liter tiga-silinder berkuasa 177 hp/255 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Pelanggan di Filipina turut akan ditawarkan dengan fungsi-fungsi seperti sistem parkir automatik dan juga kamera pemantau sekeliling 360 darjah.

    “Buat masa sekarang, kami telah mempunyai tujuh rakan perniagaan. Kesemua tujuh ini dijangka akan membuka outlet pengedar mereka pada suku terakhir tahun ini. Dalam masa yang sama, kami di Sojitz akan bertindak sebagai pengedar dan penjual,” kata pengurus bahagian servis pemasaran Sojitz Auto, Ryan Christopher Isana kepada Wheels.ph.

    Kita di Malaysia nampaknya perlu menunggu sekitar setahun lagi untuk menerima Proton X50 dan ini hampir disahkan menerusi pembentangan strategi Proton oleh CEOnya, Dr. Li Chunrong ketika perasmian Saga facelift 2019 awal minggu ini. Model tersebut bukan sahaja perlu “dijadikan sebuah Proton” menerusi perubahan rupa, malah kedudukan pemandu pada sebelah kiri juga perlu dialihkan ke kanan (RHD).

    GALERI: Geely Binyue pasaran China

    GALERI: Spyshot Proton X50 sedang diuji di Malaysia

     
     
  • Kerajaan akan umum keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar tidak lama lagi – menteri KPDNHEP

    Kerajaan akan umum keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar tidak lama lagi – menteri KPDNHEP

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan kerajaan akan mengumumkan keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam masa terdekat.

    Menurutnya lagi, satu kertas bersama telah dimuktamadkan oleh kementeriannya dan Kementerian Kewangan semalam untuk dibentangkan kepada jemaah menteri.

    “Dalam masa terdekat ini, ia akan dibentang kepada jemaah menteri untuk diberi lampu hijau jika jemaah menteri berpuas hati dan jika tidak berpuas hati akan ada pembetulan. Jika jemaah menteri berpuas hati, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Bulan lalu, media melaporkan rancangan asal untuk berikan subsidi ikut kapasiti enjin tidak akan diteruskan. Sebaliknya, ia akan digantikan dengan cara lain, iaitu pemberian terus wang tunai kepada kelompok berpendapatan rendah yang telah tersenarai di dalam skim bantuan sara hidup (BSH). Tambah laporan itu lagi, kerajaan akan menilai semula kaedah pengagihan itu setiap suku tahun. Walau bagaimana pun, perkara ini tidak dapat disahihkan sehinggalah keputusan berkenaannya diumumkan sendiri oleh kerajaan.

     
     
  • Vespa Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition dilancar untuk pasaran M’sia – dari RM12.5k

    Vespa Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition dilancar untuk pasaran M’sia – dari RM12.5k

    Naza Premira Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia telah melancarkan tiga model baru iaitu Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition dengan harga masing-masing RM16,400, RM17,400 dan RM12,500. Dua model awal yang disebutkan tadi mengganti Primavera 150 dan Sprint 150 yang berada dalam pasaran manakala S125 Carbon Edition disediakan sebagai pilihan varian bagi S125 sedia ada.

    Primavera S 150 dan Sprint S 150 menggunakan enjin yang sama iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat lejang 150 cc i-Get, yang dipadankan bersama transmisi automatik, mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Walaubagaimanapun mengikut pengalaman kami dalam tunggang uji sebelum ini, maklum balas keduanya adalah berbeza dengan Sprint 150 dirasa lebih bersemangat.

    Huruf S pada dua model ini memberitahu ia adalah versi yang lebih sporty, di mana Primavera S 150 menggunakan kemasan krom pada bucu panel badannya, rim 12 inci serta penutup hon berwarna kelabu serta pilihan warna Red Profondo, Black Vulcano dan White Innocenza.

    Ciri sporty yang sudah sedia ada pada model Sprint ditingkatkan lagi melalui Sprint S 150. Semuanya ada tiga pilihan warna iaitu Blue Vicace, Grey Materia dan Black Vulcano, dan ia diserikan lagi dengan perincian merah pada pelindung hon di hadapan, spring penyerap hentak depan serta pelekat di tepi badan dan rim 12 incinya. Lampu hadapan Sprint juga berbentuk heksagon, berbanding bulat pada Primavera.

    Pergi kepada S125, ia menggunakan enjin yang berbeza, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat strok 125 cc i-Get yang mampu menghasilkan 10.1 hp pada 7,600 rpm dan 10.2 Nm tork pada 6,000 rpm. Nama Carbon Edition pada model ini menandakan ia mempunyai kemasan seperti karbon iaitu pada panel hadapan serta jalur pelekat pada bahagian tepi badan dan rim 11 incinya. Pilihan warna yang disediakan adalah Black Vulcano dan White Innocenza.

    GALERI: Vespa Primavera S 150


    GALERI: Vespa S125 Carbon Edition


    GALERI: Vespa Sprint S 150


     
     
  • Produksi Honda Accord, Civic di Amerika dikurangkan kerana permintaan turun; jualan CR-V meningkat

    Produksi Honda Accord, Civic di Amerika dikurangkan kerana permintaan turun; jualan CR-V meningkat

    Atas permintaan yang berkurangan, Honda Amerika Syarikat telah mengurangkan produksi berberapa model sedannya yang dibuat di kilang Marysville, Ohio. The Detroit Bereau melaporkan bahawa pengurangan produksi tersebut adalah melibatkan Honda Accord, Acura ILX dan Acura TLX. Namun selepas itu Honda telah memberikan respon kepada Motor1.com bahawa pengurangan ini sebenarnya adalah ditumpukan kepada model Accord dan Civic, yang masing-masing dibuat di Marysville Auto Plant (MAP) dan Honda Manufacturing of Indiana (HMIN).

    Honda mengambil keputusan untuk menghentikan satu daripada dua syif yang memproduksi Accord di Marysville. Langkah ini nampaknya berlawanan apa yang Toyota lakukan – atas permintaan yang meningkat 6% terhadap Toyota Camry berikutan tawaran diskaun yang agresif diambil jenama tersebut, produksinya turut perlu ditingkatkan.

    “Secara asasnya, kami ingin mengelakkan dari persaingan membuang harga,” kata ketua pegawai operasi Honda, Seiji Kuraishi. Accord yang sebelum ini antara model popular di Amerika Syarikat dilihat merekodkan kejatuhan jualan sebanyak 3.1% pada Julai lalu, dan 5.9% secara keseluruhan mengikut tahun kalender semasa. Namun untuk model SUV, khususnya CR-V mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 2.5% bulan lalu, lapor laman akhbar tersebut lagi.

    Menurut jurucakap Honda Chris Abbruzzese, buat masa ini kedua-dua kilang MAP dan HMIN sememangnya memasang CR-V. Ini membolehkan Honda mengalihkan produksi CR-V lebih ke HMIN, dan tidak akan menjejaskan produksi model-model Acura.

    The Detroit Bureau turut menyatakan bahawa walaupun model-model Civic sedan, coupe dan hatchback menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini, permintaan kereta penumpang secara keseluruhan telah menjejaskan jumlah jualan Honda untuk tujuh bulan pertama tahun ini. Ini adalah antara faktor utama Honda mengumumkan keuntungan global mereka bagi suku kedua 2019 berjumlah 172.3 bilion yen, merosot berbanding 244.3 bilion yen dalam tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • GALERI: Yamaha YZF-R25 2019 di M’sia – RM19,988

    GALERI: Yamaha YZF-R25 2019 di M’sia – RM19,988

    Yamaha YZF-R25 2019 ini mula sekali dipertontonkan pada Januari lalu, sebelum dilancarkan dengan pengumuman harga rasmi RM19,988 pada bulan Mac 2019. Model baru ini membawakan penampilan yang lebih segar, mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip yang ada pada model R1.

    Ciri aerodinamik juga diperbaiki, membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j berbanding versi sebelumnya). Lampu depan dan belakang motosikal ini juga beralih menggunakan unit LED.

    Enjin yang digunakan tiada perubahan berbanding model sebelum ini, dan masih menggunakan unit dua-silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair, serta kotak gear enam-kelajuan yang sama dengan janaan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    GALERI: Yamaha YZF-R25 2019 di M’sia – RM19,988

    Peningkatan yang lebih ketara adalah pada bahagian suspensi; R25 baru ini menggunakan fork terbalik berwarna emas di hadapan, manakala di belakang jenis monoshock yang ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    Reka bentuk tangki dengan kapasiti 14 liter juga telah diubah. Semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal yang lebih memuaskan. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh, lengkap dengan lampu shift light.

    Untuk pasaran Malaysia, ia bagaimanapun tidak dilengkapi ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Jika anda sedang mempertimbangkan motosikal 250 cc, adakah R25 baru ini termasuk dalam senarai?

     
     
  • Insentif pemandu berhemah akan dimuktamadkan, ganjaran dalam bentuk rebat dan baucar – Loke

    Insentif pemandu berhemah akan dimuktamadkan, ganjaran dalam bentuk rebat dan baucar  – Loke

    Pada tahun 2016, kerajaan pimpinan Barisan Nasional ketika itu, pernah mencadangkan untuk memberikan insentif kepada pemandu berhemah iaitu yang tidak melanggar peraturan jalan raya. Walau bagaimana pun, usaha tersebut senyap begitu sahaja.

    Namun, November lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pula berkata, pemandu berhemah di negara ini bakal menerima ganjaran yang berupa rebat petrol dan tol mulai 2019. Dan beberapa bulan lalu, Kerajaan telah berbincang dengan pemain dalam industri insurans untuk memberikan kadar premium insurans yang lebih rendah kepada pemandu berhemah yang mempunyai rekod baik.

    Hari ini, Loke mengumumkan perkara tersebut bakal dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini. Menurut laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Loke berkata, pelan berkenaan sepatutnya diumumkan Februari lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal.

    Insentif pemandu berhemah akan dimuktamadkan, ganjaran dalam bentuk rebat dan baucar  – Loke

    “Sebelum ini memang ada hebahan mengenai usaha memperuntukkan ganjaran, tetapi bukan dalam bentuk insentif tunai oleh kerajaan kerana kita tidak boleh berbuat demikian. Bagaimanapun, kerajaan boleh menjalin kerjasama dengan sektor swasta, termasuk syarikat insurans supaya mereka memberikan penambahan insentif terhadap peningkatan kadar diskaun tanpa tuntutan (NCD) jika pencarum tiada rekod saman trafik.

    “Sepatutnya perkara ini diumumkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina Februari lalu, namun ketika itu kita berdepan masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya sambil menambah pelan yang mengutamakan pendekatan insentif, berbanding punitif itu dijangka berupaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik dengan rangkaian sektor swasta.

    Malahan, kementeriannya juga telah membangkitkan usaha pemberian insentif kepada pemandu berhemah dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

    Insentif pemandu berhemah akan dimuktamadkan, ganjaran dalam bentuk rebat dan baucar  – Loke

    Sambungnya lagi, “Kerajaan optimis pelan yang bakal menyaksikan penurunan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya saban tahun itu berupaya dilaksanakan kerana ia penyelesaian ‘menang-menang’. Jika diperhatikan, dari sisi model perniagaan syarikat insurans, mereka akan meraih manfaat dengan tidak perlu memperuntukkan bayaran tuntutan kepada pencarum jika tiada kes kemalangan hasil pemanduan berhemah.

    “Jadi, manfaat ini boleh disalurkan kembali menerusi pemberian insentif dengan meningkatkan kadar pemotongan NCD kepada pencarum dan itu hanya satu contoh membabitkan syarikat insurans. Saya tidak boleh memberikan banyak perincian berhubung perkara ini, namun apa yang boleh diperkatakan ialah pelbagai pihak kini tampil memberikan kerjasama terhadap usaha pemberian insentif kepada pemandu.”

    Jelasnya, insentif itu boleh dilakukan dalam bentuk baucar, rebat dan sebagainya menerusi kerjasama dengan syarikat petrol, telekomunikasi serta insurans.

     
     
  • Volkswagen tamatkan produksi Golf R Mk7.5 – laporan

    Volkswagen tamatkan produksi Golf R Mk7.5 – laporan

    Volkswagen telah mengesahkan bahawa produksi bagi model Golf R facelift generasi-ketujuh bakal ditamatkan. Perkara ini disahkan oleh pengeluar kenderaan Jerman itu kepada Motor Authority menjelang ketibaan Golf generasi kelapan tidak lama lagi.

    Menurut Volkswagen lagi, Golf Mk8 akan muncul secara rasminya pada Oktober ini, dan didatangkan dengan teknologi baharu termasuk kuasa kuda yang lebih menguja – dengan varian GTI akan menerima pengecas turbo elektrik dengan kuasa meningkat sehingga 290 hp, sementara varian R pula dengan 400 hp yang mampu memberi persaingan hebat terhadap Mercedes-AMG A45 dan Audi RS3.

    Model Golf R Mk7.5 mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 PS (turun dari 310 PS susulan penyertaan semula WLTP) dan tork 400 Nm, yang disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik dwi-klac DSG tujuh-kelajuan. Sebelum melakukan detune, unit pengecas turbo empat-silinder ini mampu menggerakkan hatchback AWD ini untuk pecutan dari 0-100 km/j dalam 4.6 saat.

    Penamatan produksi bagi Golf R ini juga adalah susulan pada langkah yang sama dilakukan terhadap varian Golf Sportwagen dan ALLtrack, bagi memberikan laluan kepada hatchback generasi akan datang yang bakal tiba. Produksi versi tiga-pintu bagi Golf GTI dan Golf R juga tidak diteruskan, manakala versi Mk8 akan terus menjadi model lima-pintu kelak.

    Seperti mana yang sedia maklum, Golf Mk8 akan dibangunkan dengan platform MQB yang dipertingkatkan dengan penjimatan berat sehingga 50kg, dan bakal menerima padanan sistem hibrid sederhana 48V untuk kedua-dua varian standard 1.5 TSI dan GTI. Manakala unit 2.0 liter turbodiesel pula menerima versi 12-voltan untuk sistem hibrid sederhana. Sementara itu, unit 1.6 liter diesel seperti sedia ada akan digantikan dengan penjana kuasa 1.5 liter baharu.

    GALERI: Volkswagen Golf R 2018, lima-pintu di Malaysia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026