Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton lancar pusat 3S terbaharu di Seremban – kini cecah 100 cawangan 3S/4S, terbanyak di Malaysia

    Proton lancar pusat 3S terbaharu di Seremban –  kini cecah 100 cawangan 3S/4S, terbanyak di Malaysia

    Proton kian melangkah lebih agresif termasuk memantapkan lagi bahagian perkhidmatan selepas jualan bagi memenuhi permintaan dan kehendak para pelanggannya. Terkini, sebuah pusat 3S telah dilancarkan dengan memilih Seremban sebagai lokasi.

    Dikendalikan oleh Ultra Gallant Sdn Bhd, cawangan baharu ini menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat-alat ganti untuk semua jenis kereta Proton. Dengan pelaburan kira-kira RM4 juta, cawangan ini juga mempunyai keluasan lebih daripada 20,000 kaki yang meliputi 1.15 ekar, menjadikannya salah satu pusat 3S Proton terbesar di Negeri Sembilan.

    Menampilkan bangunan baharu dengan warna Identiti Korporat Proton memberikan suasana yang segar serta turut dilengkapi kemudahan lain seperti WiFi percuma dan ruang kanak-kanak yang akan menambah keselesaan kepada pelanggan.

    Menurut Khoo Kim Hong, Pengarah Urusan Ultra Gallant Sdn Bhd, “Melabur dalam perniagaan Proton adalah keputusan yang tepat. Melalui pelancaran produk-produk baharu serta pertambahan pusat sehenti untuk memenuhi keperluan pelanggan, inisiatif yang diambil oleh Proton ini memberikan hasil yang memuaskan. Kami berharap dengan cawangan baharu ini kami dapat menyumbang ke arah misi Proton untuk terus memperoleh pegangan pasaran yang lebih besar”.

    Dengan pembukaan cawangan baharu ini di Seremban, Proton kekal mendahului dengan mempunyai cawangan 3S/4S terbanyak berbanding jenama automotif lain. Kini, Proton telah memiliki 100 cawangan yang telah dipertingkat beroperasi di seluruh negara.

    “Apa yang telah kami capai adalah hasil kerja keras, dedikasi dan komitmen oleh seluruh keluarga Proton iaitu dari pembekal, pengedar dan warga kerja di syarikat. Dari peringkat awal lagi, kami percaya bahawa untuk maju, kami memerlukan jumlah cawangan yang mencukupi, produk yang baik, teknologi yang hebat dalam kereta dan pekerja yang mampu untuk mencapai matlamat syarikat.

    “Malahan jualan syarikat telah melonjak naik dan kami berjaya menduduki semula tempat kedua sejak April tahun ini. Jumlah jualan bagi akhir bulan Julai mencecah 52,269 unit berbanding 35,561 dalam tempoh sama tahun lepas, bersamaan kenaikan sebanyak 47% bagi keseluruhan jualan tahun ke tahun,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Yamaha XSR 155 2019 dilancar di Thailand – RM12k

    Yamaha XSR 155 2019 dilancar di Thailand – RM12k

    Pasaran Thailand baru-baru ini ada menerima satu model motosikal baru yang tak kalah menarik, iaitu Yamaha XSR 155 2019. Motosikal naked sports dengan penggayaan retro itu dijual pada harga sekitar 91,500 Thai baht (RM12,364) di sana kini menjadi pilihan tambahan kepada model-model seperti Yamaha MT-15 atau YZF-R15.

    Ia menggunakan enjin 155 cc, silinder tunggal dengan sejukan cecair Yamaha VVA (Variable Valve Actuation), tetapi tiada angka janaan kuasa yang didedahkan buat masa ini untuk XSR 155. Bagaimanapun, jika melihat kepada R15 yang menggunakan enjin sama, janaannya ialah sekitar 19.3 hp dengan 15 Nm tork – kemungkinan motosikal ini juga sama.

    XSR 155 ini menggunakan sistem suntikan minyak EFI, sementara hantaran kuasa ke roda ialah melalui kotak gear enam-kelajuan. Kedudukan pelana ialah 810 mm, dan berat keseluruhan motosikal ini ialah 134 kg. Bahagian suspensi depan pula menggunakan jenis teleskopik manakala di belakang menggunakan jenis monoshock, boleh dilaras untuk pra-bebanan. Brek bahagian depan dan belakang menggunakan cakera tunggal dengan angkup hidraulik.

    Terdapat empat pilihan warna ditawarkan bagi model Yamaga XSR 155 2019 – Premium Grey, White/Red Sports Heritage, Black Elegance dan Green Wanderlust. Rim menggunakan saiz 17-inci, dan dibalut dengan tayar bersaiz 110/70 di depan dan 140/70 di belakang.

     
     
  • UMW Toyota naiktaraf sistem infotainmen untuk Fortuner dan Innova – skrin 9.0-inci, Apple CarPlay

    Bersama dengan pengenalan Hilux 2.8 Black Edition semalam, UMW Toyota turut mengumumkan sedikit naiktaraf untuk SUV Toyota Fortuner dan MPV Innova, dengan kedua-duanya menerima sistem infotainmen baharu. Varian Fortuner 2.7 SRZ dan 2.4 VRZ kini didatangkan dengan sistem infotainmen yang menampilkan paparan skrin sesentuh 9.0-inci dan sokongan Android Auto/Apple CarPlay.

    Tiada perubahan harga untuk Fortuner 2.7 SRZ AT dan 2.4 VRZ AT 4×4, tetapi untuk varian 2.4 AT 4×4 mengalami sedikit peningkatan harga, kini ditawarkan pada RM171,500 atas jalan tanpa insurans, naik RM2,000 berbanding sebelumnya pada RM169,500 apabila harga SST diumumkan pada September 2018.

    Barisan Fortuner juga telah dikurangkan daripada empat varian kini menjadi tiga sahaja, dengan Fortuner 2.4 VRZ AT 4×2 didapati tiada dalam senarai harga terkini.

    UMW Toyota naiktaraf sistem infotainmen untuk Fortuner dan Innova – skrin 9.0-inci, Apple CarPlay

    Varian Innova 2.0 X dan 2.0 G juga menerima sistem infotainmen yang sama seperti Fortuner, dengan penambahan skrin sesentuh 9.0-inci dan ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay. Barisan terkini Innova turut tidak menyenaraikan varian 2.0 E manual, hanya kekal dengan 2.0 E automatik selain dua varian yang dinaiktaraf itu.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan harga untuk Innova, masih terus menggunakan senarai harga SST yang sama seperti yang diumumkan tahun lalu.

     
     
  • GALERI: Nissan Serena J Impul – dari RM148k

    GALERI: Nissan Serena J Impul – dari RM148k

    Nissan Serena J Impul telah pun diperkenalkan di pasaran tempatan pada Disember lalu. Versi dua-tona ini dijual pada harga atas jalan RM149,888 tanpa insurans, tapi pelanggan boleh memilih versi satu-tona kemasan hitam bagi luarannya dengan harga kurang RM2,000 iaitu RM147,888.

    Peningkatan estetik yang dilakukan termasuk pada apron hadapan dengan kemasan krom untuk lampu kabus dan lip bawah, bersama kemasan krom untuk lip belakang, aloi Impul Millennium 18-inci dalam tona hitam (dengan tayar siri 225/40), serta tempat duduk warna mocha. Ciri pilihan termasuklah kotak penyejukan untuk dalam kereta (RM488) dan unit utama pemain DBD dengan fungsi navigasi (RM800).

    Senarai kit lain mirip dengan varian Premium Highway Star, dan termasuk lampu projektor LED automatik, pintu gelangsar berkuasa, paparan kluster instrumen tujuh-inci, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, unit utama 6.75-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, panel LCD belakang 10.1-inci, enam beg udara dan paparan pandangan sekeliling serta banyak lagi.

    GALERI: Nissan Serena J Impul – dari RM148k

    Serena J Impul masih kekal dijanakan oleh enjin petrol MR20DD 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder, yang mampu menghasilkan sehingga 150 PS dan tork 200 Nm. Ia dipadankan bersama Xtronic CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dengan dibantu oleh motor elektrik Eco 2.6 PS/48 Nm yang menggantikan motor penghidup.

    Harga yang ditawarkan adalah termasuk waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, dan aksesori Imoul didatangkan secara waranti berasingan selama tiga-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

     
     
  • GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

    GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

    Pada 13 Ogos lalu, MINI Malaysia telah melancarkan model MINI 60 Years Edition, yang dihadirkan dengan satu varian sahaja iaitu Cooper S 3 Door Hatchback. Ia adalah sempena dengan ulangtahun mereka yang ke-60 dan oleh itu, hanya 60 unit MINI 60 Years Edition sahaja yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Jadi, sesiapa yang berminat, kenalah pantas untuk mendapatkannya. Harganya bermula RM255,888 (lebih RM6,000 berbanding model standard Cooper S 3 Door), tanpa insurans.

    Apa yang menarik tentang MINI 60 Years Edition ini? Ia hadir dengan dua pilihan warna luaran iaitu British Racing Green– warna khas untuk model ini – bersama bumbung dan perumah cermin sisi berwarna Pepper White. Satu lagi pilihan warna ialah Melting Silver yang dipadankan bersama bumbung serta perumah cermin sisi dengan tona Jet Black.

    Selain itu, kalau dah nama pun edisi terhad, mesti ada lagi ciri unik yang ditampilkan. MINI 60 Years Edition ini turut didatangkan dengan jaluran berwarna hitam di atas bonet dengan pinstripe Aspen White dan British Oak, serta lencana ’60 tahun’ pada sirip udara di tepi. Bukan itu sahaja, lampu yang terdapat pada cermin sisi boleh memantulkan logo ’60 tahun’ kepada permukaan lantai.

    GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

    Bagi ciri lain, ia juga hadir dengan pakej 60 Years Chili yang merangkumi sistem LED untuk lampu utama, lampu kabus, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang. Selain itu, ia juga dipadankan dengan rim istimewa dua-tona 17-inci.

    Di dalamnya pula, ia menggunakan balutan kulit Dark Maroon dengan jahitan kontras berwarna hijau, serta beberapa lagi lencana dan tanda 60 tahun di bahagian lain seperti tepi tempat duduk, tepi pintu dan roda stereng.

    Ciri lain termasuklah skrin sesentuh 6.5-inci, kawalan pendingin hawa automatik, sambungan Apple CarPlay, kamera pandangan belakang, pengesan jarak depan dan belakang, kawalan kelajuan dengan fungsi membrek, Performance Control, Comfort Access serta pakej MINI Excitement yang termasuk lampu ambien pilihan 12 warna.

    Walau bagaimana pun, model edisi terhad ini masih kekal menggunakan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 192 hp dan tork 280 Nm serta dipadankan dengan transmisi DCT Steptronic tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat manakala laju maksimum pula adalah 235 km/j.

    Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya juga, mereka yang membeli model edisi khas ini dari sekarang hingga 31 Ogos 2019 akan menerima perlindungan di bawah program 60 Months MINI Service + Repair Inclusive.

    Ini memberikan pemilik servis berkala percuma selama 60 bulan atau 80,000 km (yang mana tiba dahulu) dan jaminan 60 bulan tanpa had batuan. Jika anda membeli selepas 31 Ogos, ia cuma datang dengan jaminan dan servis berkala percuma selama empat tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Proton X70 Merdeka Edition dilancarkan secara rasmi – hanya 62-unit dengan pelbagai aksesori, RM126,100

    Proton X70 Merdeka Edition dilancarkan secara rasmi – hanya 62-unit dengan pelbagai aksesori, RM126,100

    Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 pada hujung bulan ini, Proton telah menghasilkan satu model edisi terhad berasaskan SUV segmen-C nya, diberi nama Proton X70 Merdeka Edition. Dihasilkan hanya 62-unit, versi istimewa yang diasaskan dari varian tertinggi Premium 2WD dengan pelbagai ciri tersendiri ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM126,100, atau RM2,300 lebih mahal.

    Model ini hanya hadir dalam dua warna – 26 unit adalah berwarna Flame Red dan 36 unit lagi adalah berwarna Snow White. Dengan lebihan bayaran berkenaan, pembeli akan menerima X70 dengan panel dan semua tiang bumbung berwarna Quartz Black, karpet lantai kaki dan ruang kargo istimewa, emblem “62 Merdeka Edition” pada pintu tailgate belakang dan juga plat nombor siri individu dari 1 hingga 62, serta visor untuk kesemua pintu dan plat pelindung aluminium di atas bampar belakang – dua ciri akhir adalah dari katalog aksesori asli X70 sedia ada.

    Ciri lain adalah disadur terus model 2WD Premium, oleh itu ia masih diberikan rim aloi 19-inci, bumbung panoramik, tempat duduk kulit Nappa coklat, roda stereng balutan kulit Nappa, larasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan serta 9-pembesar suara lengkap dengan Power Amplifier dan subwoofer.

    Turut tidak ketinggalan adalah sistem infotainmen GKUI dengan fungsi arahan suara “Hi,Proton” yang menggunakan asas Android, dan datang sekali dengan kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi serta bermacam lagi.

    Unit janakuasanya juga tidak berubah, di mana ia masih digerakkan dengan enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik, hanya memacu roda hadapan. Tiga pilihan mod memandu boleh dipilih oleh pemandu iaitu Normal, Eco dan Sport.

    Begitu juga sistem keselamatan, X70 62 Merdeka Edition ini terus diberikan kelengkapan yang sama seperti Premium 2WD termasuk sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang terdiri dari Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC). Ia juga hadir standard dengan sistem ESC dan enam beg udara.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Ogos 2019 – tiada perubahan!

    Harga minyak 17-23 Ogos 2019 – tiada perubahan!

    Kementerian Kewangan telah mengesahkan tiada perubahan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel bagi minggu bertarikh 17 hingga 23 Ogos 2019.

    Setelah turun harga sebanyak lima sen pada minggu sebelum ini, kini petrol RON97 masih kekal pada harga RM2.49 seliter. Begitu juga dengan petrol RON95 yang turut kekal pada harga RM2.08 seliter. Untuk diesel pula, ia juga masih kekal RM2.18 seliter bagi Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 17-23 Ogos 2019 – tiada perubahan!

    Menurut Kementerian Kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.21 seliter masing-masing.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 17 sehingga 23 Ogos 2019 adalah berjumlah RM47.10 juta.

     
     
  • Toyota Hilux 2.8 Black Edition dilancarkan – RM140k

    Toyota Hilux 2.8 Black Edition dilancarkan – RM140k

    UMW Toyota telah mengumumkan varian baharu bagi Toyota Hilux – 2.8 Black Edition – yang menggantikan varian 2.8 L-Edition yang diperkenalkan sewaktu barisan Hilux generasi-kelapan dilancarkan di Malaysia tahun lalu.

    Seperti model sebelumnya, 2.8 Black Edition 4×4 ini turut ditampilkan dengan beberapa ciri unik – seperti mana namanya, dengan bahagian luarannya serba gelap. Perubahan paling ketara melibatkan roda 18-inci yang dibaluti tayar 265/65 – dengan rekaan yang dikekalkan, tetapi dalam kemasan hitam sepenuhnya.

    Lain-lain ciri yang turut menerima sentuhan hitam termasuklah perumah cermin sisi dan pemegang pembuka pintu, dan penggantian permukaan krom dengan bampar hadapan dan juga gril hadapan, yang turut hadir dengan rona hitam yang sama, tetapi di sekelilingnya kini ditampilkan dengan kelabu gelap berbanding kemasan berkilat seperti sebelum ini.

    Di dalamnya, kemasan hitam berkilat dibentangkan di sana sini, termasuk dengan kombinasi kulit upholstery yang membaluti tempat duduk – dengan lapan-cara larasan bagi bahagian pemandu – seperti varian L-Edition sebelum ini. Namun sistem multimedia telah dipertingkatkan – unit pemain DVD skrin sesentuh 6.1-inci pada varian sebelum ini telah digantikan dengan unit 6.75-inci, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain itu, ciri-ciri daripada 2.8 L-Edition masih digunakan, termasuklah lampu utama projektor LED dan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu automatik (dengan corong belakang), paparan pelbagai-info 4.2-inci, kawalan kelajuan, perakam video digital dan Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC).

    Penjana kuasanya tiada perubahan, masih mengekalkan enjin 2.8 liter 1GD-FTV dengan output 177 PS pada 3,400 rpm dan tork 450 Nm dari 1,600 hingga 2,400 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Toyota Hilux 2.8 Black Edition AT 4×4 ditawarkan pada harga atas jalan RM139,888 tanpa insurans, iaitu meningkat sebanyak RM1,888 berbanding 2.8 L-Edition yang dijual pada harga RM138,900 (harga selepas pelaksanaan SST) sewaktu diperkenalkan tahun lalu. Secara kebetulan pula, varian Hilux 2.8G telah digugurkan, justeru, Black Edition menjadi versi tunggal bagi 2.8 liter yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Mitsubishi Triton VGT Adventure X kini dengan “Flying Sports Bar” – ciri standard, tanpa bayaran tambahan

    Mitsubishi Triton VGT Adventure X kini dengan “Flying Sports Bar” – ciri standard, tanpa bayaran tambahan

    Mitsubishi Triton 2019 kini sudah dilengkapi dengan “Flying Sports Bar” – ia adalah aksesori standard dipadankan pada varian tertinggi VGT Adventure X, tanpa sebarang bayaran tambahan bermula pada pertengahan tahun ini.

    Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Sports Bar pada bed belakang yang digelar “flying” adalah kerana ia kelihatan seperti terapung dengan cagak sedikit tinggi, berbanding unit pada model lain yang lazimnya melekat secara keseluruhan pada sisi bed. Walaupun hadir dengan penambahan ini, Mitsubishi Triton VGT Adventure X masih kekal dijual pada harga RM135,200.

    Model facelift 2019 ini mula masuk ke pasaran Malaysia pada Januari tahun ini, hanya dua bulan selepas pendedahan globalnya di Thailand. Selain hadir dengan muka Dynamic Shield yang jauh lebih kacak, Triton untuk versi automatik turut hadir diberikan kotak gear baharu enam-kelajuan bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan sebelumnya.

    Ia juga dilengkapkan dengan sistem pacuan empat-roda Super Select 4WD II, bersama mod Off-Road dan Kawalan Menurun Bukit. Bukan itu sahaja, trak pikap ini juga tampil dengan lebih banyak ciri keselesaan seperti liang udara pendingin hawa dengan kawalan motor penghembus berasingan bersama port USB tambahan pada kabin belakang, dan juga lebih banyak lapisan sentuhan lembut pada bahagian dalaman.

    Kesemua varian Triton 2019 (kecuali versi Quest yang masih dengan muka lama) kini dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, dan juga menerima sistem 4X4.

    Ciri keselamatan trak pikap versi dipertingkat ini juga lebih moden dari pesaing-pesaing terdekatnya, dengan dilengkapi fungsi seperti Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga tujuh beg udara SRS – kesemua ini hanya untuk Adventure X dan model lain hanya diberikan dua beg udara di hadapan.

     
     
  • Puspakom Sedia Bantu! – hari bertemu pelanggan, salur maklumat elak ditipu, 19 Ogos-2 Okt 2019

    Puspakom Sedia Bantu! – hari bertemu pelanggan, salur maklumat elak ditipu, 19 Ogos-2 Okt 2019

    Bagi menggalakkan pelanggannya terus berurusan tanpa menggunakan orang tengah, seterusnya mengelakkan dari berlakunya gejala rasuah serta penipuan, Puspakom akan mengadakan hari bertemu pelanggan bertemakan “Puspakom Sedia Bantu!” di cawangan-cawangan terpilih di seluruh negara bermula 19 Ogos 2019 sehingga 2 Oktober 2019, dari pukul 9.00 pagi hingga 4 petang.

    Menerusi program tersebut, Puspakom mengalu-alukan segala pertanyaan berhubung hal-hal mengenai pemeriksaan kenderaan dan anda akan dibantu oleh pegawai-pegawai Puspakom sendiri. Ini akan membolehkan syarikat berkenaan mendekati dan membantu pelanggan orang ramai di samping mengelakkan kejadian pelanggan diperdaya oleh orang tengah yang tidak bertanggungjawab dengan memberi maklumat yang salah tentang pemeriksaan kenderaan di Puspakom terutama dari segi proses, syarat-syarat dan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

    “Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelanggan berhubung perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang ditawarkan oleh Puspakom supaya mereka boleh berurusan terus dengan Puspakom dan bukan melalui orang tengah. Sering kali, Puspakom menerima maklumbalas di mana pelanggan suka menggunakan orang tengah kerana mereka tidak faham tentang hal pemeriksaan kenderaan. Ini merupakan platform penting bagi Puspakom menyalurkan maklumat yang sebenarnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail.

    Puspakom Sedia Bantu! – hari bertemu pelanggan, salur maklumat elak ditipu, 19 Ogos-2 Okt 2019

    “Kami berharap pelanggan dapat memahami proses dan maklumat pemeriksaan sebenar yang ditawarkan oleh PUSPAKOM sebelum mereka memilih untuk menggunakan khidmat orang tengah. Ini kerana ada pelanggan yang menggunakan khidmat orang tengah telah dikenakan caj perkhidmatan yang tinggi malah ditipu dengan janji seperti “pasti lulus” yang telah ditabur kepada mereka. Bayaran pemeriksaan Puspakom adalah hanya di antara RM20 hingga RM90 sahaja bergantung kepada jenis pemeriksaan dan kenderaan. Ini secara tidak langsung dapat membantu pelanggan dalam menjimatkan kos serta menjawab segala persoalan dan kekeliruan di kalangan mereka,” tambahnya lagi

    Selain khidmat nasihat yang diberikan, pegawai-pegawai Puspakom juga boleh membantu para pelanggan dalam menguruskan proses pendaftaran dan penggunaan temujanji dalam talian MyPUSPAKOM serta perkhidmatan e-wallet yang diperkenalkan baru-baru ini ketika program ini berlangsung.

    Bukan itu sahaja, malah pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan antaranya pendaftaran MyPUSPAKOM dengan pengesahan serta-merta (sila bawa bersama borang pendaftaran perniagaan SSM dan surat wakil), khidmat nasihat bagi memahami proses dan standard pemeriksaan dan syarat-syarat lulus sesebuah kenderaan, memperbaharui cukai jalan, lesen memandu, semak saman kenderaan oleh perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pameran kenderaan komersial, penjagaan kenderaan dan keselamatan serta permainan Wheel of Fortune dan Mix & Match dengan pelbagai hadiah menarik.

     
     
  • Subaru Forester 2019 dipertontonkan di Malaysia

    Subaru Forester 2019 dipertontonkan di Malaysia

    Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, TC Subaru bakal melancarkan Subaru Forester 2019 tidak lama lagi, kami jangkakan pada minggu hadapan. Namun sebelum itu, hujung minggu ini SUV segmen-C tersebut dipertontonkan di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Berdasarkan risalah yang pernah dikongsikan sebelum ini, tiga varian akan ditawarkan – 2.0i-L, 2.0i-S dan 2.0i-S ES – yang kesemuanya dijanakan oleh enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu unit petrol FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus bahan api. Enjin boxer ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Paling menarik, Forester 2019 ini bakal ditampilkan dengan sistem bantuan pemanduan EyeSight untuk varian tertinggi 2.0i-S ES, menjadikan Forester sebagai model Subaru kedua di Malaysia yang menerima teknologi ini selepas Outback yang telah pun dilancarkan. Senarai untuk sistem ini termasuklah Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert.

    Subaru Forester 2019 dipertontonkan di Malaysia

    Malah varian tertinggi 2.0i-S ES juga menjadi satu-satunya varian yang menerima Bantuan Menukar Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Paparan Pandangan Tepi dan Pengesan Titik Buta.

    Untuk kit keselamatan standard bagi semua varian termasuk Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Penvektoran Tork Aktif, bantuan brek, ABS, EBD, penahan kenderaan auto, pengesan undur, isyarat berhenti kecemasan, cagak Isofix dan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu).

    Merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, kesemua varian hadir dengan active grille shutter dan lampu utama LED automatik, tetapi hanya varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES didatangkan dengan fungsi respon stereng dan pelarasan auto, serta lampu nyalaan siang LED. Kedua-dua varian ini juga menerima lampu kabus LED dan roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55, dengan pilihan asas 17-inci bersama tayar 225/60.

    Untuk dalamnya pula, kesemua varian didatangkan dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci, kawalan suhu dwi-zon, paparan kluster instrumen, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang push/start, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, akses kod PIN dan roda stereng pelbagai-fungsi.

    Subaru Forester 2019 dipertontonkan di Malaysia

    Ciri spesifik untuk varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES pula termasuklah pedal aluminium dan liftgate berkuasa. Manakala Special X-Mode iaitu versi yang dipertingkatkan dari X-Mode biasa ditampilkan dengan mod ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’, yang tidak lagi memerlukan suis manual untuk mematikan kawalan cengkaman.

    SUV ini yang dibangunkan dengan Subaru Global Platform baharu, mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu pertambahan 30 mm menjadi 2,670 mm, memberikan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang belakang. Ruang but secara maksimum boleh mencapai sehingga 2,155 liter dengan tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan (meningkat sehingga 40 liter) dan maksimum bagi bukaan tailgate lebih lebar sebanyak 135 mm.

    Buat masa ini, belum ada lagi harga rasmi, tetapi berdasarkan sumber yang kami peroleh mendedahkan harga anggarannya sekitar RM165k untuk model spesifkasi penuh. Untuk perincian penuh dan kepastian soal harga, kena tunggu hari pelancarannya kelak.

    GALERI: Subaru Forester 2.0-i S 2019 (varian pertengahan)

     
     
  • Program Mentor MSF-R3 dan Pencarian Pelumba Wanita R3 – nama peserta terpilih telah diumumkan

    Program Mentor MSF-R3 dan Pencarian Pelumba Wanita R3 – nama peserta terpilih telah diumumkan

    Minggu lalu, Malaysia Speed Festival (MSF) dan sayap sukan permotoran rasmi Proton iaitu Proton R3 telah membuka peluang untuk pelumba peringkat akar umbi di Malaysia untuk menyertai dua program pembangunan perlumbaan iaitu Program Mentor MSF-R3 dan Pencarian Pelumba Wanita R3. Penyertaan kedua-duanya telah pun ditutup pada pukul 10 malam 13 Ogos lalu, dan nama mereka yang terpilih kini telah pun diumumkan.

    “Pasukan Proton R3 sentiasa mahu dekat dan lebih terlibat dalam perlumbaan peringkat akar umbi dan kelab serta mahu menjadi sebahagian pembangunan untuk pengetahuan sukan bermotor tahap tertinggi dalam negara. Kami mempunyai pengetahuan yang sangat banyak bagi dikongsi bersama dengan pasukan lumba dan pelumba Malaysia, untuk meningkatkan tahap persaingan dan mempertingkatkan industri secara keseluruhan,” kata Prinsipal Pasukan Proton R3, Gary Lee.

    Sebagai satu-satunya ‘pasukan rasmi pengeluar’ yang aktif secara konsisten dalam industri sukan bermotor di Malaysia sejak penubuhannya 15-tahun lalu, Pasukan Proton R3 sememangnya bergerak dengan dengan tenaga kerja dari Malaysia dan beroperasi pada tahap yang sama seperti pasukan rasmi pengeluar lain di peringkat antarabangsa.

    Program Mentor MSF-R3 dan Pencarian Pelumba Wanita R3 – nama peserta terpilih telah diumumkan

    “MSF adalah sentiasa berkenaan pembangunan industri sukan permotoran Malaysia, dalam semua bentuk. MSF sangat teruja kerana boleh bekerjasama dengan Pasukan Proton R3, bagi menunjukkan operasi pasukan dan pembangunan terbaik di Malaysia, dan menyebarkan pengetahuan tertinggi Pasukan Proton R3 ke khalayak sukan permotoran awam,” kata Prinsipal siri perlumbaan MSF Adian Yein, yang juga sebenarnya antara ahli perintis Pasukan Proton R3 pada 2003 bersama Tengku Djan Ley dan Khaidi Kamaruddin.

    Pelumba/pasukan yang terpilih untuk Program Mentor MSF-R3 adalah Mohd Hafiz Saad #248, Nik Shahrul Fadli Nik Mansor #141, Alban Raymond De Sauza #16, Muhammad Faishal Bin Othman #180 dan Md. Shah Bin Hashim #387.

    Kesemua pemandu dan pasukan – yang kini berlumba dalam MSF dengan menggunakan kereta Proton – akan menerima sokongan dari ahli Pasukan Proton R3 untuk baki tiga lagi pusingan perlumbaan MSF SuperTurismo 2019. Tiada sebarang sokongan kewangan akan disalurkan tetapu Proton R3 akan membekalkan sokongan teknikal dan pengetahuan kepada pasukan sebelum dan ketika perlumbaan, secara spesifik bagaimana untuk memperbaiki catatan masa di litar dan prestasi perlumbaan.

    Program Mentor MSF-R3 dan Pencarian Pelumba Wanita R3 – nama peserta terpilih telah diumumkan

    Manakala untuk Pencarian Pelumba Wanita, mereka yang terpilih adalah Ng Aik Sha, Samanda Lee, Nurul Husna Nasharuddin, Nursharina Nor Ramlle, Dayangku Faratiwan Adnil Binti Awang Kusairi (Faye Kusairi), Rozana Binti Rahmat, Umi Nasirah Binti Sulaiman, Zaidah Mohd Ishak and Nor Azirah Binti Mohd Azhar.

    Kesemua pelumba wanita ini juga kini sedang berlumba dalam MSF. Dalam program ini, mereka akan dilatih dan dipilih sekali lagi – tiga pelumba akan dipilih pada akhir program bagi melayakkan mereka memandu jentera perlumbaan sebenar Proton Iriz R3 pada perlumbaan ketahanan Sepang 1000 KM (S1K) tahun ini.

    Bagi kedua-dua peserta program ini, mereka akan mulakan sesi kelas teori dan lawatan fasiliti Proton R3 di Proton Shah Alam pada hujung minggu ini.

     
     
  • Honda Civic Hatchback facelift 2020 didedahkan di Amerika Syarikat – harga bermula RM91k-RM121k

    Honda Civic Hatchback <em>facelift</em> 2020 didedahkan di Amerika Syarikat – harga bermula RM91k-RM121k

    Honda Civic generasi ke-10 hatchback versi facelift kini telah didedahkan di Amerika Syarikat. Model versi 2020 ini akan menyertai model sedan dan coupe yang turut telah dikemaskini pada pasaran berkenaan yang telah didedah lebih awal tahun lalu. Empat varian ditawarkan iaitu LX, Sport, EX, EX-L dan Sport Touring, dijual pada harga bermula US$21,650 (RM90,713) hingga US$28,850 (RM120,881).

    Kesemua model hatchback ini hanya hadir dengan enjin 1.5L empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 174 hp/220 Nm, tanpa pilihan enjin NA 1.8 liter. Model Sport dan Sport Touring ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya boleh didapati dalam versi CVT sahaja.

    Civic Hatchback facelift ini menampilkan rupa sedikit lebih garang dari versi sebelumnya, menerusi pemadanan kemasan bar tambahan dengan warna badan pada perumah lampu kabus pada bampar hadapan. Perumah tersebut juga kini tidak lagi diberikan elemen sarang lebah, tetapi ia direka dengan permukaan rata dan menempatkan satu liang udara kecil.

    Honda Civic Hatchback <em>facelift</em> 2020 didedahkan di Amerika Syarikat – harga bermula RM91k-RM121k

    Jika anda perhatikan, lampu hadapan Civic ini kini telah tampil sedikit lebih gelap bagi menaikkan imej garangnya, bersama ‘jendul’ pada gril “solid wing” yang telah diolah semula. Model paling tinggi Sport Touring akan diberikan lampu hadapan LED secara standard.

    Kemasan liang udara palsu pada bampar belakang juga telah diubah sama seperti yang dibuat pada bampar hadapan, dan turut diberikan kemasan bar tambahan dengan warna badan. Kesemua varian kini hadir dengan rim rekaan baharu kemasan kelabu gelap atau hitam.

    Pada bahagian dalaman, setiap varian dapat dibezakan dengan kemasan pada papan pemuka – varian Sport diberikan elemen geometrikal, LX dan EX diberikan elemen berwarna, manakala EX-L dan Sport Touring hadir dengan elemen brushed black. Kesemua varian kini diberikan penebat bunyi tambahan pada lantai, but belakang serta ruang roda hadapan dan belakang.

    Honda Civic Hatchback <em>facelift</em> 2020 didedahkan di Amerika Syarikat – harga bermula RM91k-RM121k

    Ciri lain yang turut diperkemas untuk versi facelift ini termasuk tempat duduk larasan elektrik lapan-hala untuk model EX (sebelum ini manual), dan juga balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear. Model Sport dan Sport Touring akan menerima sistem infotainmen Display Audio dengan skrin tujuh-inci dan hubungan Apple Carplay serta Android Auto, dan kini diberikan lapan-pembesar suara (sebelum ini empat).

    Varian yang sama turut diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, dan juga upholsteri baharu pada tempat duduk. Istimewa untuk Sport Touring, ia kini dilengkapi fungsi Homelink yang membolehkan anda menghubungkan peranti seperti alat kawalan jauh untuk membuka pintu garaj atau pagar rumah.

    Kesemua varian hadir standard dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, manakala model-model dengan sistem pendingin hawa dua-zon akan hadir dengan butang kawalan kelajuan motor penghembus fizikal. Konsol tengah pula diberikan pemegang cawan baharu, bersama brek parkir elektronik yang dikemaskini dengan lampu penunjuk.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

    PANDU UJI: Proton Saga 2019 – sebuah nota peribadi

    Ketika saya memulakan tulisan ini, konvoi untuk sesi pandu uji media kumpulan pertama baru sahaja selesai. Kami telah meluangkan masa kurang lebih dua hari untuk mencuba dan memandu Proton Saga 2019 dalam perjalanan dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam menuju Ipoh dan kembali semula keesokan harinya. Lapan buah kereta dari varian Premium AT disediakan untuk media dengan setiap satunya dinaiki dua orang, purata masa yang saya habiskan untuk memandu sendiri Saga terbaru ini ialah sekitar tiga ke empat jam.

    Masa selebihnya saya luangkan sebagai penumpang di tempat duduk depan dan juga belakang. Sudah tentu, ini bukanlah satu tempoh yang lama untuk memberi pandangan yang menyeluruh tentang kereta ini, tetapi ia sudah memadai untuk menerbitkan tanggapan pertama terhadapnya. Dan, tanggapan pertama tak boleh diperlecehkan, kerana ia sangat penting untuk menentukan perasaan atau kefahaman tentang Saga 2019.

    Sejak pertama kali melihat model ini terletak elok di satu ruang luas di dalam Pusat Rekaan Proton – ketika itu, sedikit lebih awal daripada media lain dan sebelum pelancaran rasmi – sukar untuk melihatnya sama seperti imej dan penampilan sebelum ini. Memang ia masih menggunakan reka bentuk kerangka yang sama sejak versi Saga BLM pada 2008 – apatah lagi platform yang dikenali dengan kod P1 yang digunakan itu juga diwarisi sejak model Savvy dahulu – tetapi ada pernyataan lain yang ingin disampaikan oleh Saga 2019.

    Ia ingin menjadi Saga yang baru; mewarisi sejarah panjang ketika model ini pertama kali dikeluarkan pada 1985, model terbarunya kini seolah-olah telah sampai pada tahap kematangan yang belum pernah dicapai oleh mana-mana versi Saga sebelum ini. Ia memang selalu menjadi model “entry-level” untuk Proton – juga dari diposisikan sebegai kereta dalam segmen B yang kemudiannya beralih kepada segmen A ketika ini – sukar untuk menafikan kematangan dan nilai yang diberikan oleh kereta ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

    Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

    Akhirnya, model generasi baharu hot-hatch Renault Megane RS 280 secara rasmi sudahpun dilancarkan untuk pasaran Malaysia – ia hadir dalam versi Cup iaitu varian dengan tahap hardcore dua tangga di bawah versi Trophy-R yang kini dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring. TC Euro Cars juga bukan hanya membawa model manual, anda turut boleh memilih Renault Megane RS 280 Cup ini dalam versi automatik.

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, model automatik yang dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan Efficient Dual Clutch (EDC) akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,888. Manakala untuk anda yang lebih mementingkan keseronokan memandu, model manual enam kelajuan dijual pada harga RM20,000 lebih murah iaitu 279,888.

    Perbezaan antara model manual dan automatik bukan hanya pada jumlah pedal dan juga bentuk tuil penukar gear. Model manual akan hadir dengan brek tangan manual yang membolehkan membuat hand brake turn yang lebih pantas dan bergaya pada pusingan-U. Manakala versi auto pula hadir dengan brek parkir elektronik, membolehkan ia hadir dengan ruang storan lebih besar di sebelahnya.

    Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

    Model Cup ini akan hadir standard dengan tempat duduk sport Renault RS. Tetapi istimewa untuk model manual, anda turut boleh memilih untuk memadankan tempat duduk ‘bucket’ Recaro dengan tambahan wang. Bagi anda yang belum mengetahui, Renault Megane RS generasi baharu ini hanya tampil dengan bentuk badan hatchback lima-pintu, berbanding tiga-pintu pada model-model sebelumnya.

    Hot-hatch ini dijana oleh enjin 1.8 liter empat silinder turbo. Walaupun berkapasiti lebih kecil dari model generasi sebelum ini yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo, enjin baharu untuk versi Cup ini menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 280 PS/390 Nm berbanding versi paling berkuasa RS 275 Trophy-R sebelumnya yang menjana 275 PS/360 Nm.

    Ini membolehkan Renault Megane RS 280 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat, manakala kelajuan maksimanya pula dicatatkan pada 255 km/j untuk versi manual dan 250 km/j untuk versi auto EDC.

    Renault Megane RS 280 Cup automatik (kiri) dan manual (kanan)

    Berbanding versi standard, model Cup ini menerima kelekngkapan yang lebih fokus kepada pemanduan litar seperti LSD jenis Torsen, dan juga suspensi yang diberikan bump stop mampatan hidraulik gaya rali bagi memberikan pengendalian lebih baik. Suspensi hadapan kereta ini juga telah direka semula dengan pemadanan sistem stereng dengan paksi bebas bagi memberikan pengendalian yang lebih jitu. Ia juga hadir standard dengan sistem stereng empat-roda 4Control bagi memberikan pergerakan lebih lincah di selekoh.

    Bagi memberhentikan kereta ini, ia dilengkapi dengan angkup brek Brembo berwarna merah, bersama cakera yang dibuat dari gabungan dua material – aluminium dan besi tuang – bersaiz 355 mm di hadapan, atau 15 mm lebih besar dari model generasi sebelum ini.

    Ia turut hadir dengan sistem Multi-Sense Renault yang memberikan lima mod pemanduan kepada pemandu iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan satu lagi yang boleh diolah digelar Perso. Model automatik akan hadir dengan fungsi launch control untuk membolehkan anda berlepas seperti lastik, dan Multi-Change Down bagi menurunkan berberapa gear dengan menekan dan menahan pedal penukar gear kiri.

    Perincian lain yang turut hadir pada kereta ini termasuk rim aloi “Interlagos” 19-inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza S001 bersaiz 245/35R19, lampu hadapan LED-penuh RS Vision bersama lampu nyalaan siang berbentuk-C, paparan instrumen digital TFT tujuh-inci, skrin sesentuh infotaimen R-Link 8.7-inci, sistem telemetri on-board RS Monitor, pedal sport aluminium dan juga kemasan kelabu karbon bersama serlahan merah pada kabin.

    Renault Megane RS 280 Cup generasi baharu boleh dipilih dalam empat pilihan warna iaitu Diamond Black, Pearl White (perlu tambahan RM1,000) dan warna hero Liquid Yellow atau Orange Tonic – kedua-duanya perlu tambahan RM8,000.

    GALERI: Renault Megane RS 280 Cup 2019 manual

    GALERI: Renault Megane RS 280 Cup 2019 EDC automatik

     
     
  • Kerajaan takkan selamatkan DreamEDGE jika gagal bangunkan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Kerajaan takkan selamatkan DreamEDGE jika gagal bangunkan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Biarpun DreamEDGE Sdn Bhd telah pun diberikan mandat untuk membangunkan projek kereta nasional ketiga, namun sekiranya syarikat tersebut gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut, kerajaan tidak akan menyelamatkannya. Itu yang ditegaskan oleh menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking.

    Menurutnya lagi, projek itu adalah inisiatif swasta, bukan oleh kerajaan. Selain itu, DreamEDGE telah memberikan jaminan bahawa ia tidak akan meminta pembiayaan daripada kerajaan.

    “Kami (kerajaan) hanya menyokong ekosistem dan ini adalah satu usaha yang baik yang boleh berjaya. Jika sekiranya gagal, ia adalah kegagalan pengurusan…kegagalan produk. Tetapi dalam hal ini, produk adalah jelas dan mereka dapat bekerjasama dengan teknologi Jepun dan yakin dengannya. Jadi mengapa kita perlu menyekatnya. (Walau bagaimana pun) Jika mereka meminta wang, kami tidak akan menyokongnya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Kerajaan takkan selamatkan DreamEDGE jika gagal bangunkan projek kereta nasional ketiga – MITI

    Apabila ditanya mengapa ia dinamakan projek kereta nasional sedangkan ia adalah inisiatif swasta, Darell menjelaskan bahawa di bawah cadangan Dasar Automotif Nasional baharu, kereta nasional kini ditakrifkan sebagai kereta yang dibina di Malaysia oleh syarikat Malaysia yang menggunakan 90% atau lebih tenaga kerja tempatan.

    “Kami (kerajaan) membangunkan negara sedikit demi sedikit. Kami sedang berusaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif swasta itu, peluang pekerjaan diwujudkan dan teknologi baharu di bangunkan. Di bawah pengawasan kami, kami tidak akan memberikan dengan mudah insentif seperti insentif cukai, melainkan syarikat-syarikat layak mendapatnya, sama ada ia milik tempatan atau antarabangsa,” katanya.

    Pada 9 Ogos lalu, MITI telah mengumumkan syarikat yang bakal bertanggungjawab dalam melaksanakan projek mega ini. Di mana projek ini akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana swasta dan kerajaan tidak akan mengeluarkan wang sama sekali – melainkan memberikan sokongan dari sudut insentif dan struktur cukai. CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, pula berkata, mereka sedang mempertimbang untuk menghasilkan sebuah kereta sedan segmen B plus, dengan menggunakan teknologi hibrid sebagai model pertama. Malah turut menyebut bahawa model berkenaan akan dilancarkan pada bulan Mac 2021.

     
     
  • VIDEO: Volvo S90 T5 Momentum – kenderaan Polis Diraja Malaysia untuk mengiring YDP Agong ke-16

    Sebelum ini pernah tular gambar sebuah sedan Volvo S90 yang diberikan grafik dan juga lampu strob polis – persoalannya, adakah ia salah sebuah kereta peronda untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai salah sebuah helang lebuhraya?

    Perkara ini telah dirungkai dan disahkan oleh laman Youtube kepolisan, Malaysian Black Platoon bahawa S90 tersebut adalah jentera khas yang digunakan sebagai kenderaan pengiring Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah.

    Laman berkenaan buat masa sekarang hanya menyiarkan video close-up bahagian luaran Volvo tersebut, dan menurut mereka video lebih lanjut akan disiarkan selepas ini. Model S90 yang dipilih sebagai kenderaan pengiring YDP Agong ini adalah dari varian T5 Momentum, yang dijual kepada orang awam dengan harga RM338,888, dan bukan dari versi paling berkuasa T8 Twin Engine Inscription.

    Model T5 ini dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm. Kuasa dari enjin hanya menjana roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik konvensional Aisin AW TG-81SC. Ini membolehkan sedan berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

     
     
  • Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Kami dah bandingkan kos servis mengikut jadual penyelenggaraan yang dikeluarkan oleh pengeluar masing-masing untuk Proton Saga 2019 dan saingan terusnya, Perodua Bezza. Jadi bagaimana pula kos servis untuk Saga baharu yang menggunakan transmisi 4AT ini berbanding model sebelumnya yang menggunakan CVT?

    Proton Saga facelift 2019 ini diberikan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional (4AT) yang dibekalkan oleh Hyundai (juga digunakan pada Kia Picanto) bagi menggantikan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain pada model asal. Perbandingan kos servis ini kami buat berdasarkan jadual penyelenggaraan yang dikeluarkan oleh Proton sendiri, untuk tempoh lima-tahun atau 100,000 km.

    Jadual trsebut kami ambil dari laman web rasmi Proton dan ia juga terdapat dalam aplikasi mudah alih MyProton, dan apa yang dipaparkan adalah berdasarkan apa yang disiarkan dalam laman web pengeluar pada waktu artikel ini ditulis, serta harga sebenar mungkin boleh berubah.

    Apa yang kami lihat dalam kedua-dua jadual, kos servis untuk kedua-dua model ini adalah hampir sama memandangkan kebanyakkan komponen mekanikal termasuk suspensi dan enjin 1.3L VVT adalah diambil terus dari versi sebelum ini. Perbezaan yang paling nyata adalah pada servis 60,000 km/36-bulan di mana minyak transmisi perlu ditukar.

    Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Klik untuk besarkan

    Minyak untuk transmisi automatik 4AT (ATF) nampaknya lebih mahal dengan harga RM216.80, berbanding lima liter minyak untuk CVT (CVTF) yang berharga RM165.03. Walau bagaimanapun, untuk CVT, penapis minyak dalam kotak gear tersebut juga perlu ditukar setiap kali minyak CVTF ditukar, dan penapis berkenaan sahaja berharga RM156.12.

    Secara keseluruhan kos servis untuk Proton Saga AT pada servis 60,000 km adalah RM626.70, atau RM105,17 lebih murah dari Saga CVT dengan jumlah keseluruhan RM731.87. Dalam tempoh lima-tahun/100,000 km, kos menservis Saga AT adalah RM3,002.42, atau sekitar RM100 lebih murah dari Saga CVT dengan jumlah RM3,107,59 dalam tempoh sama.

    Ingin diingatkan sekali lagi bahawa perbandingan ini hanyalah melibatkan servis penyelenggaraan mengikut jadual, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh yang lebih bergantung pada penggunaan individu seperti pad brek, penyerap hentak, bateri atau tayar.

    Harga untuk model baharu ini juga sebenarnya lebih murah dari model sebelum ini, di mana model Standard 1.3L AT 2019 dijual pada harga RM35,800, atau sekitar berberapa ratus ringgit lebih rendah dari model Executive CVT sebelumnya, manakala model Premium 1.3L AT 2019 dijual pada harga RM39,800, atau lebih kurang RM2,000 lebih murah berbanding Saga 1.3L Premium CVT sebelum ini.

     
     
  • McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Pada Disember 2018, McLaren telah mendedahkan model baharu bagi generasi kedua barisan Super Series mereka iaitu 720S Spider dan ini adalah versi convertible bagi 720S coupe yang diperkenalkan pada Mac tahun yang sama. Hari ini, McLaren Kuala Lumpur telah memperkenalkannya secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    720S Spider dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo M840T dan mampu menghamburkan kuasa sehingga 720 PS dan tork 770 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan SSG yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang, sama seperti versi coupe.

    Gandingan unit penjana kuasa ini mampu mendorong 720S Spider untuk dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 341 km/j. Walau bagaimana pun kelajuan maksimum itu hanya boleh dicapai dengan bumbung tertutup, dan jika terbuka, ia hanya mampu mencecah 325 km/j sahaja. Untuk pecutan 0-200 km/j, model Spider ini lebih lambat 0.1 saat iaitu 7.9 saat, berbanding versi coupe. Sama seperti coupe, Spider turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan – Comfort, Sport dan Track.

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Menurut McLaren, 720S Spider yang pernah dinobatkan sebagai 2019 World Performance Car of the Year mempunyai berat secara keseluruhan mencecah 1,332 kg iaitu 49 kg lebih berat berbanding versi coupe. Walau bagaimana pun masih 88 kg lebih ringan berbanding pencabar terdekatnya, Ferrari 488 Spider. Peningkatan berat ini adalah disebabkan ia menggunakan struktur gentian karbon Monocage II-S, yang turut mempunyai struktur penyokong tetap yang bertindak sebagai pelindung penumpang sekiranya jentera terbalik.

    Selain daripada itu, kekuatan struktur ini juga memberi makna ia tidak perlu sebarang pendakap lain walaupun bumbung dibuka. Kenaikan berat ini juga kebanyakannya datang daripada peralatan untuk melipat bumbung tersebut, dan menurut McLaren, ia boleh beroperasi dalam masa yang paling pantas dalam kelasnya, iaitu 11 saat untuk naik dan turun, dan boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

    Bagi aspek rekaannya, selain bumbungnya yang sememangnya jauh berbeza dengan model coupe, cermin belakangnya pula boleh diturunkan secara elektronik dan memiliki buttress baharu. Selain itu, spoiler belakang aktifnya boleh dinaik dan diturunkan dengan pemetaan yang berbeza bagi memberikan ciri aerodinamik yang lebih optimum.

    Pada bahagian hadapan, perumah lampunya, selain menempatkan lampu utama dan lampu siang LED, turut mempunyai laluan udara ke bahagian tepi kereta. Bahagian bawah di depannya juga mempunyai penapis udara anti-lift untuk menjadikan jentera lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Bagi 720S Spider ini, ia dipadankan dengan roda aloi baharu Lightweight 10-jejari yang dibaluti tayar Pirelli P ZERO, yang direka secara khas dengan kerjasama McLaren Technology Partner, untuk memberikan keseimbangan prestasi yang optimum, lebih mencengkam dan pemanduan yang lebih selesa dalam apa jua corak jalan.

    Untuk bahagian dalamannya, ia mengadaptasikan ciri yang ada pada versi coupe, ini termasuklah rekaan tanpa bingkai untuk menempatkan sistem Retractable Hard Top (RHT), yang memberikan akses yang lebih sofistikated bersama material yang lebih elegan untuk kemasannya. Sistem engsel pintu baharu dan posisi topang gas juga sama bagi kedua-dua versi coupe dan Spider.

    Selain itu, ia turut menampilkan Central Infotainment Screen resolusi tinggi 8.0-inci yang memaparkan data dan fungsi kenderaan. Ia turut turut memaparkan fungsi audio, media, navigasi, kawalan suhu dan lain-lain ciri, yang boleh dicapai dengan ‘hard key’ untuk kawalan yang lebih mudah.

    Untuk pasaran Malaysia, 720S Spider ini turut ditawarkan dengan tiga spesifikasi yang sama dengan Coupe, bersana kemasan Performance dan Luxury selain model standard. Dua warna baharu turut diperkenalkan iaitu Belize Blue dan Aztec Gold, selain Memphis Red dan Supernova Silver yang pertama kali dilancarkan menerusi pengenalan McLaren 12C. 720S Spider ini hanya ditawarkan secara terhad sebanyak tiga unit sahaja untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,218,000 (tanpa cukai dan pilihan lain).

     
     
  • Proton Saga 2019 – lebih 4,000 tempahan diterima selepas seminggu dilancarkan, purata 500 unit sehari!

    Proton Saga 2019 – lebih 4,000 tempahan diterima selepas seminggu dilancarkan, purata 500 unit sehari!

    Baru seminggu dilancarkan, Proton Saga facelift 2019 nampaknya tidak menunggu lama untuk menambat hati rakyat Malaysia – menurut pengarah pemasaran Proton, Cheng Seng Fook, model paling mampu milik dalam barisan model syarikatnya itu kini menerima lebih dari 4,000 tempahan sejak dilancarkan selasa minggu lalu.

    Cheng pada mulanya enggan mendedahkan angka terkini tempahan untuk model tersebut ketika sesi pandu uji media Proton Saga facelift 2019 semalam, tetapi setelah ditanya, beliau menjelaskan bahawa secara purata sekitar 500 unit telah ditempah setiap hari!

    Beliau juga mengakui bahawa angka tempahan tersebut adalah melebihi jumlah produksi Saga, tetapi menurutnya tempoh menunggu tidak akan menjadi isu. “Tidak semua tempahan akan diterjemahkan [kepada jualan], terutamanya untuk model entry-level,” katanya menjelaskan bahawa pembeli kereta pertama selalunya akan bermasalah dengan pinjaman bank.

    Proton Saga facelift 2019 bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar dengan pemadanan gril signature baharu infinite weave Proton, malah ia turut menerima kotak gear 4AT baharu dari Hyundai bagi menggantikan kotak gear CVT automatik sebelum ini, serta menerima ciri lebih premium seperti skrin ‘terapung’ serta pelapik bumbung dari material Tricot.

    Proton Saga 2019 1.3L Premium AT

    Proton Saga 2019 1.3L Standard AT

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026