Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Concept-i diperbaharui untuk Olimpik Tokyo

    Toyota Concept-i diperbaharui untuk Olimpik Tokyo

    Melalui model Concept-i yang didedahkan pada tahun 2017, Toyota sudah mula menunjukkan visi mereka untuk kenderaan masa hadapan yang mesra dan menyeronokkan. Kini, model tersebut diperbaharui, menjadikannya lebih dekat kepada realiti kerana akan digunakan sewaktu acara Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

    Daripada gambar yang didedahkan, bentuk asas kenderaan ini yang unik masih dikekalkan, tetapi ia sekarang mempunyai kemasan berwarna emas, keseluruhan tayar belakang yang ditutup dan cuma boleh dilihat melalui lubang-lubang kecil, rim yang lebih kecil, serta cermin sisi dan empat pintu yang terbuka seperti biasa.

    Bahagian dalam juga masih sama, dengan papan pemuka yang melengkung serta konsol tengah yang seakan terapung. Antara bahagian yang diubah untuk penggunaan dalam dunia sebenar adalah seperti tempat duduk lebih besar serta roda stereng berbentuk bulat. Panel instrumen menggunakan latar berwarna putih, dan ia akan dipantulkan ke cermin hadapan dengan sistem head-up display.

    Tiada perincian spesifikasi yang didedahkan setakat ini, tetapi Toyota telah mengesahkan bahawa Concept-i akan dikuasakan oleh elektrik daripada bateri dengan kemampuan autonomous Level 4 dan boleh berinteraksi dengan penumpang. Mereka juga mahu mengetengahkan ciri ini semasa ia digunakan untuk membawa penumpang di acara tersebut.

    Concept-i akan digunakan sebagai kenderaan operasi untuk acara penyerahan obor Olimpik dan kenderaan pengiring semasa acara maraton. Ia akan menyertai 3,700 lagi kenderaan lain yang mempunyai tugas rasmi waktu sukan tersebut, dan 90% daripadanya menggunakan kuasa elektrik seperti hibrid, plug-in hybrid, elektrik penuh atau hydrogen fuel cell.

    Antara contoh kenderaan lain Toyota yang terlibat adalah seperti Accessible People Mover (APM) untuk orang yang memerlukan khidmat mobiliti istimewa, e-Palette untuk pekerja dan atlet, serta alat bantuan bergerak yang boleh bersambung dengan kerusi roda. Selain daripada itu, Toyota juga akan membekalkan 500 buah model Mirai dan bas fuel cell Sora untuk acara tersebut.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Ogos 2019 – RON 97 naik dua sen

    Harga minyak 24-30 Ogos 2019 – RON 97 naik dua sen

    Harga petrol RON 97 bagi tempoh seminggu ke hadapan, dari 24-30 Ogos, akan dinaikkan sebanyak dua sen. Setelah harga tidak berubah minggu lalu, RON 97 akan dijual pada harga RM2.51 seliter bermula tengah malam ini.

    Bagi petrol RON 95 pula, ia seperti biasa masih ditambat pada harga RM2.08 seliter, tanpa perubahan. Untuk diesel, ia juga masih kekal RM2.18 seliter untuk Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 24-30 Ogos 2019 – RON 97 naik dua sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.21 seliter dan RM2.25 seliter. Ini melibatkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.19 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.21 seliter.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 24 Ogos 2019 sehingga 30 Ogos 2019 adalah berjumlah RM55.48 juta.

     
     
  • Opel Corsa-e Rally – kereta rali elektrik sepenuhnya pertama di dunia bakal buat penampilan di Frankfurt

    Opel Corsa-e Rally – kereta rali elektrik sepenuhnya pertama di dunia bakal buat penampilan di Frankfurt

    Opel telah mengumumkan bahawa mereka telah membina sebuah kereta rali elektrik sepenuhnya (EV) yang akan dibekalkan kepada pasukan yang berminat. Kereta tersebut dihasilkan dari model EV Opel Corsa-e generasi baharu, dan ia akan membuat penampilan sulungnya di Frankfurt International Motor Show 2019 bulan hadapan.

    Kereta rali Corsa-e tersebut akan menggunakan motor elektrik sama seperti Corsa-e produksi jalan raya biasa, menghasilkan 100 kW (136 hp) dan tork maksima 260 Nm. Ia menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 50 kWj yang boleh dicas cepat yang boleh mencapai 80% penuh dalam masa 30 minit.

    Kereta tersebut juga masih boleh di cas dengan cable menerusi wallbox atau pengecaj kelajuan tinggi, manakala paras kuasa dalam bateri boleh diperiksa menerusi aplikasi “myOpel”.

    Menurut Opel, Corsa-e Rally ini akan memberikan pemanduan dinamik dan seronok sama seperti model produksinya, dengan tambahan peralatan rali lain seperti suspensi rali boleh laras, roll cage bersepadu yang ringan, komputer trip rali dari Tripmaster, pelindung bawah badan untuk melindungi motor elektrik dan transmisi, pemadam api elektrik, dan juga sistem amaran keselamatan elektrik bervoltan tinggi yang baru sahaja dihasilkan.

    Opel Corsa-e Rally – kereta rali elektrik sepenuhnya pertama di dunia bakal buat penampilan di Frankfurt

    Kereta rali ini ditimbang dengan berat 1,400 kg, dan ia diukur sedikit lebih besar dari model jalan raya biasa. Ia 5 mm lebih lebar dan tinggi, manakala jarak rodanya ditarik 2 mm lebih panjang. Selain itu, ia turut menerima peralatan perlumbaan lain seperti paparan instrumen perlumbaan dengan sistem data-logger, brek tangan hidraulik jenis “fly-off”, serta brek dengan sistem pengurusan dan pemulihan tenaga.

    Tiada sistem pacuan semua roda pada Corsa-e ini dimana kuasa dari motor elektrik hanya memacu roda hadapan – Opel tidak mengumumkan kategori mana Corsa-e ini akan bertanding, tetapi mungkin ia akan menyertai mana-mana kelas produksi 2WD berdasarkan spesifikasi yang ditampilkan.

    Namun ia tetap menerima LSD jenis Torsen bagi mendapatkan lebih cengkaman pada kedua-dua roda hadapan. Corsa-E Rally ini juga diberikan set rim 17-inci dengan offset ET20, dan sistem lampu-lampu tambahan untuk SS pada kawasan gelap.

    Untuk pengetahuan anda, FIA kini sedang mengimplementasikan teknologi elektrik terhadap sukan rali. Bagi musim 2021 Kejuaraan Rallycross Dunia, FIA akan memperkenalkan kategori kereta elektrik sepenuhnya, manakala WRC akan mula beralih kepada unit janakusa hibrid seperti F1 pada tahun 2022.

     
     
  • Nissan GT-R bakal guna teknologi hibrid atau elektrik?

    Nissan GT-R bakal guna teknologi hibrid atau elektrik?

    For the 2020 GT-R NISMO, Nissan engineers set out to take race-proven technology and make it accessible and comfortable for drivers of all skill levels. Vehicle control and predictability were critical in achieving this; thus, they adopted the theme ìabsolute street and track performanceî when developing the car.

    Nissan GT-R sudah agak lama berada dalam pasaran, dan ramai yang tertunggu-tunggu pengenalan generasi barunya yang akan datang. Tetapi, menurut ketua produk khas di Nissan, Hiroshi Tamura, pasukannya sedang menunggu keputusan daripada lembaga pengarah untuk menentukan jenis sistem janaan yang akan digunakan, lapor Carsales.

    Dilemanya ialah sama ada untuk menghasilkan sebuah kereta hibrid-elektri dan petrol atau membawakan sebuah kereta elektrik sepenuhnya yang sangat berkuasa. Namun, keputusan masih belum buat. Mei lalu, Tamura menyatakan bahawa GT-R seterusnya akan menepati apa yang pelanggan mahukan. “Jika pelanggan mahukan sebuah EV, kenapa tidak? Generasi akan datang kereta sports adalah EV. Maksud saya, kenapa tidak kita menilai setiap penyelesaian terbaik untuk pelanggan?

    “Jika mereka betul-betul mahukan EV, saya akan memenuhi permintaan itu. Jika pelanggan mahukan enjin konvesional, saya perlu akur. Saya perlu memikirkan tentang pelanggan yang akan membeli kereta ini. Itu saja,” ujar beliau. Tidak kira apa pun keputusannya, Tamuran sudah mempunyai gambaran yang jelas bagaimana untuk menjayakan projek berkenaan.

    Nissan GT-R bakal guna teknologi hibrid atau elektrik?

    The 2020 Nissan GT-R 50th Anniversary Edition takes the nameplate to a level that was unimaginable when it was first introduced 50 years ago. To celebrate the half-century of the GT-R, engineers challenged themselves to find undiscovered performance potential while still making sure the car can be enjoyed by drivers at any level.

    Pada masa yang sama, Tamura juga percaya bahawa program GT-R R35 ketika ini boleh diteruskan untuk tempoh 20 tahun tanpa memerlukan perubahan drastik. Ketika ini, jentera berkenaan baru mencecah angka 12 tahun, dan beliau berhasrat untuk mengekalkan binaan badan kereta itu selama mana yang boleh.

    Memberi gambaran kepada perkara itu, katanya, GT-R sebelum ini tidak menjalani banyak perubahan dari sudut sistem janaannya sejak generasi R32, R33 dan R34 – sepanjang tempoh 14 tahun. Model R35 ketika ini pula baru sahaja diberi kemaskini pada 2017.

    Sementara itu, naib presiden rekaan Nissan peringkat global, Alfonso Albaisa tahun lalu sempat memberi petunjuk yang GT-R baru nanti akan menjadi sangat istimewa; sebuah kereta super sport terpantas di dunia. Beliau juga tidak menolak kebarangkalian GT-R akan dilengkapi teknologi elektrifikasi.

     
     
  • MyCar tidak setuju pelaksanaan teksi motosikal, mahu kerajaan sokong e-hailing tempatan sedia ada

    MyCar tidak setuju pelaksanaan teksi motosikal, mahu kerajaan sokong e-hailing tempatan sedia ada

    Pengendali khidmat perkongsian kenderaan (e-hailing) tempatan iaitu MyCar pagi tadi melakukan satu sidang media untuk menyatakan kedudukan mereka berkenaan isu teksi motosikal, yang telah diberikan ‘lampu hijau’ untuk beroperasi di Malaysia.

    Syarikat itu secara tegas membantah sebarang perkhidmatan teksi motosikal, tidak kira sama ada ia syarikat tempatan seperti Dego Ride atau luar negara seperti Go-Jek. Antara sebab yang dinyatakan adalah perkhidmatan ini kebanyakannya digunakan di negara dunia ketiga, sedangkan Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju.

    Kemudian, mereka juga menyatakan khidmat teksi motosikal tidak diperlukan kerana Malaysia mempunyai jaringan jalan raya yang baik dan ia cuma akan mengundang lebih banyak masalah seperti gejala sosial yang merosakkan dan tidak selamat kerana kadar kemalangan motosikal adalah tinggi.

    MyCar tidak setuju pelaksanaan teksi motosikal, mahu kerajaan sokong e-hailing tempatan sedia ada

    Sebaliknya, pengasas MyCar, Noah Maideen mencadangkan kerajaan supaya menyokong 37 pengendali e-hailing tempatan yang sedia ada sekarang untuk berinovasi dan bersaing secara sihat di kalangan penyedia khidmat ini. Menurut beliau lagi, syarikat e-hailing tempatan sudah bertungkus-lumus untuk menepati peraturan yang ditetapkan kerajaan, dan adalah tidak adil untuk membenarkan syarikat luar yang sudah beroperasi lebih lapan tahun diletakkan untuk bersaing dengan mereka yang cuma baru wujud setahun setengah.

    Dalam satu isu lain, MyCar mahu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya lebih tegas dalam pelaksanaan peraturan terhadap syarikat e-hailing yang telah ditetapkan. Mereka mendakwa terdapat syarikat dari luar yang masih lagi dibenarkan beroperasi sedangkan secara terang-terang mencabuli peraturan tersebut. Walaubagaimanapun, nama syarikat itu tidak didedahkan.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia rai ulangtahun ke-15 kilang produksi di Pekan – kini cecah 100k unit pengeluaran

    Mercedes-Benz Malaysia rai ulangtahun ke-15 kilang produksi di Pekan – kini cecah 100k unit pengeluaran

    2019 merupakan tahun ke-15 penubuhan kilang produksi Mercedes-Benz bagi unit pemasangan tempatan (CKD), di Pekan, Pahang. Malah sejak ditubuhkan pada 2004, sehingga kini, kilang produksi seluas 339,000 kaki persegi ini, telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 100,000 unit. Ia melibatkan pemasangan untuk lima model Mercedes-Benz dengan 13 varian, ini termasuklah barisan C-Class, E-Class, S-Class, GLC, GLC Coupe, Mercedes-AMG C 43 serta GLC 43. Model Mercedes-AMG C 43 4Matic menjadi unit yang ke 100,000 dihasilkan di kilang pemasangan di Pekan.

    Bukan setakat menumpukan kepada pengeluaran bagi pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini mengorak langkah lebih agresif dengan memulakan eksport ke Filipina untuk model C 180 Avantgarde Line dengan unit pemanduan sebelah kiri (LHD). Malahan ini merupakan model pertama LHD yang dipasang di kilang di Pekan untuk tujuan eksport ke Filipina.

    Dalam majlis ringkas sambutan ulangtahun ke-15 tersebut, Dr. Claus Weidner, presiden dan CEO MBM berkata, sejak penubuhan kilang di Pekan, MBM telah melabur sebanyak RM300 juta bagi membangunkan keseluruhan fasiliti pemasangan termasuk dengan kehadiran pelbagai teknologi termaju.

    “Sebagai peneraju jenama premium, Mercedes-Benz komited untuk merancakkan lagi landskap mobiliti di Malaysia. Kami mencapai piawaian kejuruteraan tertinggi dalam pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan, tanpa berkompromi soal keselamatan, teknologi, reka bentuk atau kualiti. Malahan, kejayaan pelancaran kenderaan yang ke-100,000 unit yang dipasang di Malaysia membuktikan kepercayaan dan permintaan rakyat Malaysia terhadap produk kami,” ujarnya.

    Mercedes-Benz Malaysia rai ulangtahun ke-15 kilang produksi di Pekan – kini cecah 100k unit pengeluaran

    Beliau turut menambah, MBM telah membangunkan satu lagi fasiliti pemasangan terbaharu bagi merancakkan lagi pengeluaran mereka dan ia dijangka bakal memulakan operasinya dalam tempoh dua minggu akan datang. Antara teknologi termaju yang bakal digunakan menerusi fasiliti terbaharu ini ialah E-Shuttle, di mana Malaysia menjadi negara pertama di Asean yang menggunakan teknologi ini. Di mana teknologi ini membolehkan badan kenderaan dipusingkan sehingga 360 darjah untuk pergerakan sistem yang lebih luas.

    Selain itu, fasiliti terbaharu ini juga menerapkan Marriage Concept untuk pemasangan badan kenderaan dan sistem penjana kuasa secara serentak. Dengan kaedah baharu ini, keseluruhan sistem penjana kuasa boleh dipasangkan ke dalam badan kenderaan dengan hanya satu proses, sekaligus meningkatkan kualiti.

    Malah ia turut diterapkan dengan dua lagi teknologi termoden iaitu High Voltage Vehicle Technology yang melibatkan pemasangan kenderaan hibrid serta Semi-Automatic Wheel Alignment, di mana Malaysia merupakan salah satu negara CKD yang terawal menggunakan mesin penjajaran roda separa-automatik ini.

    Tambah Claus Weidner lagi, bagi langkah yang seterusnya, MBM perlu menantikan pengumuman mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) 2019 yang bakal diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan.

     
     
  • Suzuki XL6 dilancarkan di India – versi Ertiga yang lebih bergaya, dilengkapi tempat duduk kapten

    Suzuki XL6  dilancarkan di India – versi Ertiga yang lebih bergaya, dilengkapi tempat duduk kapten

    Maruti Suzuki telah melancarkan model XL6 baharu di India. Dibina berdasarkan Suzuki Ertiga generasi kedua, XL6 memilih penggayaan ala-SUV, yang merupakan trend terkini bagi kebanyakan model MPV.

    Bagi menampakkan sedikit kelainan berbanding Ertiga standard, XL6 ini direka dengan rekaan yang lebih rugged. Ini termasuklah wajah yang lebih unik, didominasi dengan gril yang lebih menyerlah bersama palang krom yang tebal merentasi logo “S”. Kluster lampu utama LED juga berfungsi sebagai pencahayaan lampu nyalaan siang.

    Selain itu, rekaan bagi hud dan bampar juga nampak unik, yang disambungkan ke skid plate berwarna perak dengan lampu kabus yang dilingkari marterial plastik berona hitam. Lapisan yang sama juga kelihatan pada profil sisi bersama dengan gerbang roda. Roda aloi pelbagai-jejari 15-inci dan perumah cermin sisi berwarna hitam turut melengkap gaya. Lebih menampakkan sentuhan bergayanya dengan kehadiran rel bumbung dan juga kepingan kecil untuk kemasan pada A-pillar.

    Bahagian belakang XL6 ini pula lebih mirip dengan Ertiga, walau bagaimana pun kluster lampu belakang berbentuk-L pula bagai diinspirasi dari rekaan Volvo. Set lampu tersebut bukan sahaja disambungkan pada jaluran krom, bahkan ia diserikan dengan panel hitam yang menjadi perumah bagi logo Suzuki. Rekaan bampar belakang juga unik, dengan reflektor menegak di hujungnya.

    Jika luaran XL6 ini nampak rugged, sifat dalamannya pula memberikan sentuhan yang lebih sofistikated. Untuk kenderaan ini, ia turut dilengkapi dengan enam-tempat duduk, dan Suzuki pula telah menggantikan bangku pada tempat duduk ketiga di barisan kedua dengan dua tempat duduk kapten. Ia boleh disambung atau dipisahkan dengan hanya satu-sentuhan, bagi memberikan kemudahan akses untuk ke barisan ketiga.

    Bagi tema kabinnya, ia memilih rona hitam (berbanding beige untuk Ertiga di India) dengan upholsteri kulit bersama sentuhan “Premium Stone” dan serlahan perak. Ciri lain yang terdapat dalam ruang dalaman termasuklah pemegang cawan dengan pengudaraan, overhead console, soket aksesori untuk setiap barisan tempat duduk dan juga corong pendingin hawa di belakang.

    Suzuki XL6  dilancarkan di India – versi Ertiga yang lebih bergaya, dilengkapi tempat duduk kapten

    Selain itu, XL6 turut dilengkapi dengan infotainmen Maruti Suzuki SmartPlay Studio yang terdiri daripada skrin sesentuh 7.0-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa auto, kemasukan tanpa kunci dengan butang push/start dan kawalan kelajuan. Itu untuk varian Zeta. Manakala varian tertinggi Alpha pula menerima ciri tambahan termasuk lampu utama auto dan kamera undur. Kit keselamatan termasuklah ABS/EBD, dua beg udara dan ESP dengan bantuan mula mendaki untuk varian transmisi automatik.

    XL6 dijanakan oleh enjin yang sama dengan Ertiga iaitu unit K15 petrol 1.5 liter naturally-aspirated yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 hp/138 Nm, dengan teknologi hibrid sederhana Progressive Smart Hybrid bersama bateri lithium-ion. Pembeli boleh memilih sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau pun automatik empat-kelajuan.

    Suzuki XL6 ini ditawarkan pada harga bermula Rs 9.80 lakh (RM57,035) untuk Zeta MT hingga Rs 11.46 lakh (RM66,695) bagi Alpha AT di India.

    GALERI: Suzuki Ertiga generasi kedua di Indonesia

     
     
  • Proton Satria Neo Cusco N2 – kisah perwira rali Malaysia yang berjuang di Jepun dan Asia Pasifik

    Proton Satria Neo Cusco N2 – kisah perwira rali Malaysia yang berjuang di Jepun dan Asia Pasifik

    Pada tahun 2006, Proton memperkenalkan Satria Neo, iaitu hatchback yang menggantikan model generasi pertama Proton Satria yang berada dalam produksi dari tahun 1994 hingga 2005. Berbeza dengan Satria yang merupakan model rebadge dari Mitsubishi Mirage, Satria Neo merupakan produk yang dihasilkan sepenuhnya oleh jurutera Proton, bermula dari platform hingga enjin.

    Ada yang kata, Neo adalah model ‘over enginnered‘ dari Proton kerana menampilkan pengendalian yang sangat baik, tidak padan dengan harganya. Tapi apa yang pasti, hatchcback ini adalah model Proton yang meneruskan legasi sukan permotoran mereka dan ia mewarnai pelbagai perlumbaan tidak kira di litar atau di SS rali.

    Selepas dua tahun Satria Neo diperkenalkan, Mellors Elliot Motorsport (MEM, yang juga badan bertanggungjawab menyediakan Proton PERT Evo VI untuk Karamjit Singh sehingga berjaya bergelar juara WRC Group N pada tahun 2002) telah mendedahkan kereta rali Satria Neo S2000 yang dihasilkan untuk mana-mana rali dalam kategori FIA S2000 seperti dalam Kejohanan Rali Eropah dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC). Kategori S2000 ini juga turut dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) sebagai kelas satu anak tangga di bawah kategori WRCar.

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) 2011, satu kejutan telah dibuat oleh Proton kerana mereka telah menyertai acara budaya ubahsuai antara yang terbesar di dunia itu. Di TAS 2011, Proton bukan sahaja mempamerkan sebuah Satria Neo R3 Concept (yang kemudiannya dihasilkan dalam bentuk produksi), malah sebuah kereta rali Satria Neo turut diletakkan di sebelahnya.

    Kereta rali berkenaan sebenarnya adalah milik pengeluar peralatan prestasi tinggi khususnya untuk transmisi dan suspensi dari Jepun iaitu Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco. Berbanding Neo S2000 yang lebih dominan sebagai sebuah kereta rali prototaip (ia menggunakan enjin Renault yang hampir sama dengan Proton Waja yang bertanding dalam BTCC), jentera binaan Cusco ini lebih menyerlahkan kebolehan sebenar Satria Neo di bilik pameran kerana dihasilkan untuk kategori FIA Group N, atau lebih spesifik untuk kelas N2.

    Group N adalah kategori produksi yang bukan sahaja memerlukan pasukan yang bertanding mengekalkan geometri dan cagak asal sistem suspensi kereta mereka sama seperti model yang dijual dalam pasaran, ia turut mensyaratkan kereta tersebut perlu menggunakan enjin asal. Jadi boleh dikatakan enjin Campro S4PH 1.6L pada perut Satria Neo ini adalah sama dengan model standard, dan ia cuma ditala semula menerusi pemadanan kotak komputer perlumbaan.

    Sebenarnya, Satria Neo tersebut bukan diberi secara percuma kepada Cusco untuk dijadikan ‘tikus makmal’ oleh Proton. Sebaliknya Cusco menawarkan diri untuk menjadi pengedar Proton secara rasmi di Jepun, sekaligus menandakan Proton masuk ke pasaran negara matahari terbit tersebut secara rasmi. Ini bagi membolehkan mereka menggunakan Satria Neo sebagai jentera rali untuk bertanding di Jepun dan Asia Pasifik!

    Ini satu lagi bukti bahawa dakwaan ‘over engineered’ itu bukan syok sendiri, tetapi diakui oleh pasukan rali berpengalaman dari Jepun tersebut. Kalau ikut logik, boleh saja Cusco membeli model lain untuk asas jentera N2 ini seperti Honda Jazz atau Suzuki Swift yang terdapat di Jepun.

    Selain dari enjinnya yang masih standard, Satria Neo ini menerima kelengkapan-kelengkapan seperti kereta rali lain seperti rollcage penuh, pemadan api, komputer trip, tempat duduk perlumbaan Bride, tali pinggang keledar perlumbaan Takata, roda stereng tiga jejari Sabelt/Nardi, dan pelbagai lagi.

    Ia turut diberikan perlalatan prestasi dari Cusco seperti LSD dan komponen-komponen suspensi lain termasuk set penyerap hentak rali boleh laras sepenuhnya.

    Cusco memberikan kereta ini kepada tiga pelumba Cusco Junior Rally Team dari Jepun iaitu Hiroshi Yanagisawa, Yuya Sumiya dan Akira Bamba, digunakan dalam Kejohanan Rali Jepun dan APRC. Juara Kejohanan Rali Indonesia lapan-kali, Rifat Sungkar turut memandu kereta ini pada pusingan ke-8 Kejohanan Rali Jepun 2011, yang merupakan percubaan pertamanya memandu dalam rali di atas permukaan tar.

    Jentera rali Cusco Satria Neo Group N ini juga mencatatkan kenangan manis buat Karamjit Singh. Setelah menyepi dari APRC selepas penampilan terakhirnya pada 2005, Karam kembali ke kejohanan tersebut pada pusingan kedua musim 2011, iaitu di Rali Queensland yang berlangsung di Australia pada 13 hingga 15 Mei.

    Beliau terus memberikan impak besar pada kejohanan tersebut dengan menjadi juara kategori N2, meninggalkan Akira Bamba 4.5 minit di belakang, dalam masa yang sama menjadikan Satria Neo ini sebagai kereta rali 2WD terpantas sepanjang perlumbaan berkenaan. Karamjit turut meraih tempat ke-sembilan secara keseluruhan yang rata-rata di dominasi jentera jauh lebih berkuasa seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru WRX.

    Kereta ini terus membuat penampilan di rali-rali sekitar Jepun sehingga tahun 2013, dan menyepi selepas itu. Namun pada April lalu, salah satu daripadanya telah muncul di laman lelongan kereta terpakai di Jepun. Tak dapat dipastikan unit yang mana satu kerana nombor pendaftarannya telah ditanggalkan, dan bidaan dibuka pada harga sekitar RM17k.



    GALERI: Proton Satria Neo Cusco N2 di Tokyo Auto Salon 2011

    GALERI: Proton Satria Neo Cusco N2 ketika beraksi

    GALERI: Proton Satria Neo Cusco N2 yang muncul untuk di lelong pada April 2019

     
     
  • Subaru Forester 2019 kini di M’sia – tiga varian, sistem EyeSight untuk spesifikasi tertinggi, dari RM140k

    Subaru Forester 2019 kini di M’sia – tiga varian, sistem EyeSight untuk spesifikasi tertinggi, dari RM140k

    Generasi ke-lima Subaru Forester 2019 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV segmen-C ini ditawarkan dengan tiga varian – 2.0i-L, 2.0i-S dan 2.0i-S ES – yang dibina dalam Subaru Global Platform dengan casis yang direka semula untuk mengurangkan geseran serta bising jalan dan kawalan maksimum.

    Walau bagaimana pun, kesemua varian masih dijanakan oleh enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu unit petrol FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus bahan api. Enjin boxer ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dengan tujuh-kelajuan untuk mod manual dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Untuk varian tertinggi, 2.0i-S ES, ia menerima sistem bantuan pemanduan EyeSight, menjadikan Forester sebagai model Subaru kedua di Malaysia yang menerima teknologi ini selepas Outback yang telah pun dilancarkan. Senarai untuk sistem ini termasuklah Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert.

    Subaru Forester 2019 kini di M’sia – tiga varian, sistem EyeSight untuk spesifikasi tertinggi, dari RM140k

    Selain itu, varian tertinggi 2.0i-S ES juga menjadi satu-satunya varian yang menerima Bantuan Menukar Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Paparan Pandangan Tepi dan Pengesan Titik Buta.

    Walau bagaimana pun, untuk kesemua varian, ia didatangkan dengan kit keselamatan standard termasuk Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Penvektoran Tork Aktif, bantuan brek, ABS, EBD, penahan kenderaan auto, pengesan undur, isyarat berhenti kecemasan, cagak Isofix dan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu).

    Dibawa masuk sebagai unit CBU yang dipasang di Tan Chong Subaru Automotive (Thailand), kesemua varian dipadankan dengan active grille shutter dan lampu utama LED automatik, tetapi hanya varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES didatangkan dengan fungsi respon stereng dan pelarasan auto, serta lampu nyalaan siang LED. Kedua-dua varian ini juga menerima lampu kabus LED dan roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55. Manakala varian asas dipadankan dengan roda aloi 17-inci bersama tayar 225/60.

    Bagi ciri-ciri dalamannya, kesemua varian didatangkan dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci, kawalan suhu dwi-zon, paparan kluster instrumen, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang push/start, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, akses kod PIN dan roda stereng pelbagai-fungsi. Tempat duduk balutan kulit untuk dua varian tertinggi, manakala material fabrik untuk 2.0-i L.

    Subaru Forester 2019 kini di M’sia – tiga varian, sistem EyeSight untuk spesifikasi tertinggi, dari RM140k

    Ciri spesifik untuk varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES pula termasuklah pedal aluminium dan liftgate berkuasa. Manakala Special X-Mode iaitu versi yang dipertingkatkan dari X-Mode biasa ditampilkan dengan mod ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’, yang tidak lagi memerlukan suis manual untuk mematikan kawalan cengkaman. Manakala varian paling asas kekal dengan X-Mode.

    SUV ini turut mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu pertambahan 30 mm menjadi 2,670 mm, memberikan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang belakang. Ruang but secara maksimum boleh mencapai sehingga 2,155 liter dengan tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan (meningkat sehingga 40 liter) dan maksimum bagi bukaan tailgate lebih lebar sebanyak 135 mm.

    Ia didatangkan dengan tujuh pilihan warna luaran iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica.

    Bagi varian 2.0i-L ditawarkan pada harga RM139,788, manakala 2.0i-S berharga RM149,788 dan RM159,788 bagi varian tertinggi 2.0i-S EyeSight. Kesemuanya adalah harga atas jalan, tanpa insurans dan didatangkan dengan waranti komprehensif selama lima-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Untuk perincian dan spesifikasi penuh, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Subaru Forester 2.0-i ES 2019

    GALERI: Subaru Forester 2.0-i S 2019

     
     
  • Benelli TRK 251 kini tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Benelli TRK 251 kini tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Sebuah lagi model motosikal yang pernah dipertontonkan di Malaysia – selain Benelli Leoncino 250 – dan kini mula diperkenalkan secara rasmi oleh jenama pengeluar motosikal Itali itu ialah TRK 251. Ia sebuah penawaran yang lebih kecil kepada model TRK 502.

    Hadir dengan bentuk dan gaya yang sama, kapasiti enjinnya bagaimanapun lebih kecil. Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC 249 cc sejukan cecair, bersama padanan kotak gear enam-kelajuan dengan klac multi-plat basah dan sistem suntikan minyak. Unit ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 20 kW pada 10,500 rpm.

    Keistimewaan TRK 251 adalah ia disediakan dengan kelengkapan yang bersesuaian untuk tunggangan jenis jelajah, termasuk penghadang angin tinggi di hadapan, kedudukan penunggang tegak, tangki bahan api 18 liter, pengecas USB, lampu hadapan jenis projector LED, rim 17 inci, jarak kelegaan dari tanah 200 mm, fork hadapan terbalik 41 mm, monoshock di belakang (dengan jarak travel 51 mm),

    Benelli TRK 251 kini tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Model ini menggunakan sistem brek cakera apungan tunggal bersaiz 280 mm di depan dengan kaliper empat-omboh, sementara di belakang menggunakan cakera 240 mm dengan kaliper omboh-tunggal. Saiz tayar pula ialah 110/70 di depan dan 150/60 di belakang.

    Benelli TRK 251 ditawarkan dalam pilihan warna Rudy Red, Titanium Grey dan Jet Black. Ia boleh didapati dirangakain pengedar sah Benelli bermula hujung Ogos ini. Harga yang dikenakan pula bermula RM13,888 dan RM14,688 bagi edisi dengan ciri ABS.

     
     
  • Benelli Leoncino 250 tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Benelli Leoncino 250 tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Benelli kini memperkenalkan sebuah lagi model terbaru untuk pasaran Malaysia, Leoncino 250. Ia pernah dipertontonkan di sini tahun lalu, dan merupakan versi yang lebih kecil kerana sebelum ini telah diperkenalkan Leoncino 500.

    Model ini menggunakan bentuk naked, dengan lampu hadapan jenis LED, pemegang yang tinggi dan mudah dicapai, kerangka jenis trellis serta tempat duduk luas untuk dua orang. Ia juga didatangkan dengan kelengkapan moden seperti meter jenis digital, fork hadapan terbalik dengan diameter 41 mm, monoshock di belakang, tangki bahan api 12 liter dan rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Bagi sistem brek, ia menggunakan cakera bersaiz 280 mm dengan kaliper empat-omboh untuk bahagian depan, sementara di belakang pula menggunakan cakera saiz 240 mm dengan kaliper omboh tunggal. Versi dengan kelengkapan ABS turut ditawarkan bagi model ini.

    Benelli Leoncino 250 tiba di Malaysia – dari RM13,888

    Enjin yang digunakan pada Leoncino 250 ini ialah unit silinder tunggal empat-strok DOHC 249 cc yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan. Unit ini menampilkan ciri suntikan minyak elektronik dengan throttle body 37 mm, penghidup TLI, dual overhead camshaft dan mampu menghasilkan 26.8 hp pada 10,500 rpm dan 21 Nm tork pada 9,000 rpm. Enjin ini juga menggunakan piawaian emisi Euro 4.

    Benelli Leoncino 250 ditawarkan dalam pilihan warna Pearl Brown, Italian Red dan Titanium Grey, dan boleh didapati disemua pengedar sah Benelli bermula September 2019. Motosikal ini dijual pada harga RM13,888, manakala bagi versi ABS pula pada harga RM14,688.

     
     
  • Subsidi petrol bersasar diumumkan dua minggu lagi

    Subsidi petrol bersasar diumumkan dua minggu lagi

    Kaedah agihan subsidi bersasar bagi petrol RON 95 khabarnya akan diumumkan awal September nanti, menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau menjelaskan, pengumuman itu nanti akan dilakukan selepas skim berkenaan mendapat kelulusan kabinet, lapor New Straits Times.

    Semua perkara, termasuk kaedah pelaksanaannya, akan didedahkan dalam sidang media itu nanti, dijangka akan diadakan dalam masa kurang dari dua minggu, dengan andaian semuanya berjalan mengikut jadual,” ujar beliau.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan subsidi minyak selepas ini akan disasarkan kepada kelompok B40 (gaji kurang RM3,000 sebulan) dan mekanisma agihan skim berkenaan akan ditentukan bagi mengelak salah guna. Turut diumumkan ialah pemilik yang mempunyai beberapa kenderaan serta pemilik kereta mewah tidak layak untuk menerima subsidi.

    Skim ini akan menawarkan subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi 100 liter sebulan, bagi kereta dengan kapasiti 1,500 cc ke bawah. Bagi motosikal di bawah 125 cc pula, kadar subsidi juga sama, tetapi hanya bagi 40 liter sebulan. Ia sepatutnya dilaksanakan pada suku pertama tahun ini, tapi masih tertangguh.

     
     
  • VPCM umum perlantikan seorang lagi pengurus baru

    VPCM umum perlantikan seorang lagi pengurus baru

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan perlantikan Kurt Leitner sebagai Pengarah Urusan barunya. Beliau akan bekerjasama dengan seorang lagi Pengarah Urusan sedia ada, Erik Winter. Selain itu, Leitner turut akan menyandang jawatan Pengarah Urusan Volkswagen Group Singapura.

    Leitner menggantikan Florian Steiner yang berpindah ke Eropah untuk menggalas tanggungjawab baru selepas empat tahun bertugas di Malaysia. Leitner akan memberi tumpuan kepada aspek sumber manusia, teknologi maklumat dan kewangan, sementara Winter akan terus mengepalai julan, lepas jualan, rangkaian pengedar serta operasi pemasaran.

    Beliau memiliki pengalaman panjang dalam industri automotif, antaranya pernah bersama Porsche Holding Salzburg sejak 1988. Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Pengarah Urusan Porsche Romania selama empat tahun, Pengurus Besar Porsche Chile dan PGA Ellada, serta Ketua Pegawai Operasi Porsche Finance Group Romania.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-AMG C 63 S Coupe 2019 – dentuman V8 turbo berkembar 4.0 liter ala-Jerman!

    PANDU UJI: Mercedes-AMG C 63 S Coupe 2019 – dentuman V8 turbo berkembar 4.0 liter ala-Jerman!

    Secara jujur, saya kurang berminat dengan model-model coupe dua-pintu Mercedes-Benz terkini yang berasaskan model-model ‘limosine’ (panggilan Merc terhadap model-model empat pintu mereka) seperti C-Class dan E-Class. Entah, pada mata saya sendiri, bahagian but yang agak bulat pada model-model tersebut seakan macam tidak kena dengan muka signatur terkini jenama premium Jerman ini.

    Kena pula dengan model-model ‘asas’ seperti C200 Coupe atau E200 Coupe, lagilah saya semacam ‘tak boleh pergi’. Bukan apa, badan kereta tersebut direka dengan elemen mendebarkan, tapi pemanduannya tak cukup ‘umph’ sebagai kereta sport (lebih seakan kereta mewah) dan dirasakan tidak selari dengan praktikaliti yang berkurang dek kerana ketiadaan dua pintu untuk penumpang belakang.

    Tapi, rasa kurang senang saya dengan model-model Coupe ini lenyap sekiranya ia hadir dengan lencana asli Mercedes-AMG dari kilang, diberikan oleh fasiliti yang terletak di Affalterbach, Jerman. Lihat sahaja Mercedes-AMG C 63 S ini – bagi saya, ia sudah cukup sempurna, garang dan cukup untuk mata anda tertangkap sekiranya berselisih dengannya.

    Ini adalah model facelift 2019 yang baru sahaja tiba ke pasaran Malaysia pada awal Mei lalu, menampilkan pelbagai kelengkapan dikemaskini dari model asal yang telah berada dalam pasaran tempatan sejak 2016. Dari luar, paling menyerlah untuk membezakan model baharu ini dengan sebelumnya adalah pada gril hadapan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia mula eksport model C180 Avantgarde Line pemanduan sebelah kiri ke Filipina

    Mercedes-Benz Malaysia mula eksport model C180 Avantgarde Line pemanduan sebelah kiri ke Filipina

    fznor_soft

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengorak langkah lebih agresif dengan memulakan pasaran eksport untuk Filipina. Dengan menggunakan fasiliti kilang pemasangannya yang terletak di Pekan, Pahang, MBM memulakan fasa pertama penghantaran model C 180 Avantgarde Line, ke negara berkenaan pada bulan ini.

    Walau pun kilang Mercedes-Benz bagi unit pemasangan tempatan (CKD) di Pekan ini lebih menumpukan perhatian bagi unit pemanduan sebelah kanan (RHD), namun menariknya, untuk pasaran Filipina, ia memerlukan MBM mengeksport unit pemanduan sebelah kiri (LHD). Walau bagaimana pun, dengan penambahan fasiliti baharu di kilang ini yang dilengkapi dengan teknologi termaju, membolehkan MBM meneruskan hasrat untuk menerokai pasaran eksport.

    Menurut Dr. Claus Weidner, presiden dan CEO MBM, Filipina dipilih untuk menjadi pasaran eksport pertama bagi unit LHD dari MBM untuk ASEAN kerana negara berkenaan dilihat kini memiliki pasaran yang kian berkembang untuk segmen kereta premium. Malah MBM memang ada perancangan untuk meluaskan pasaran eksportnya ke negara lain, namun demikian masih belum memutuskan destinasinya. Ia juga bergantung pada beberapa faktor, termasuk aspek kelayakannya.

    Ketika ditanya mengapa C 180 Avantgarde Line yang dijadikan pilihan untuk dieksport ke Filipina, beliau menjawab, “Untuk pasaran eksport, kita perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan. Filipina bukanlah negara yang mempunyai piawaian yang sangat ketat, dan model C 180 sesuai dijadikan pilihan kerana spesifikasinya yang agak asas, dan hanya melibatkan satu varian sahaja untuk ke sana.

    Mercedes-Benz Malaysia mula eksport model C180 Avantgarde Line pemanduan sebelah kiri ke Filipina

    “Dengan usaha sebegini, kita mampu membantu melonjakkan lagi industri automotif di Malaysia. Dalam masa yang sama, juga membantu pengeluar komponen buatan tempatan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.”

    Berkaitan dengan jumlah unit C 180 yang dieksport ke Filipina, perkara ini tidak didedahkan oleh MBM. Walau bagaimana pun, menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran MBM, Michael Jopp, jumlahnya mungkin tidak sampai seribu unit.

    C 180 Avantgarde dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.6 liter turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan 250 Nm tork antara 1,200 dan 4,000 rpm. Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

    Antara ciri yang ditampilkan ialah kemasan luaran Avantgarde Line, roda aloi 5-twin spoke 17-inci, lampu utama High Performance LED, kulit ARTICO, kemasan aluminium untuk dalam, pencahayaan ambien, Bantuan Brek Aktif, paparan media 10.25-inci, kluster instrumen 12.3-inci serta ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    GALERI: Mercedes-Benz C 180 Avantgarde W205 spesifikasi Malaysia

     
     
  • Perodua Axia 2019 – beza spesifikasi antara varian

    Perodua Axia 2019 – beza spesifikasi antara varian

    Jadi, ceritanya, Perodua Axia 2019 versi facelift telah pun mula dibuka untuk tempahan. Ini bukan facelift biasa-biasa; ia menampilkan beberapa perkara penting pada Axia selepas kali terakhir diperkemas pada 2017 lalu.

    Antaranya, sekarang ini ada enam varian yang ditawarkan. Axia E merupakan satu-satunya varian yang menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan. Yang lain semua dilengkapi transmisi automatik empat-kelajuan. Dan, ada dua tambahan terpenting dan terbesar yang diberikan untuk Axia 2019 ini.

    Pertama, ialah penawaran VSC bagi varian GXtra dan ke atas. Sementara itu, bagi varian Advance yang paling tinggi, ia juga dilengkapi dengan ciri keselamatan ASA 2.0. Ini satu langkah besar yang diambil oleh Perodua untuk model hatchback kompak dalam segmen A ini.

    Selain itu, ada satu varian baru yang ditambah; menampilkan Axia dalam imej sebuah SUV, iaitu Axia Style. Kereta ini walaupun hanya diberi kosmetik untuk membezakannya dari varian lain, ia tetap 15 mm lebih tinggi. Tetapi, ia tidaklah datang dengan kemampuan off-road, sekadar untuk menyuntik kelainan sahaja.

    Untuk memudahkan anda mengetahui apa perbezaan setiap varian yang ada ini, sila rujuk pecahan perincian kelengkapan mengikut varian berikut:

    Perodua Axia 2019 – beza spesifikasi antara varian

      Peordua Axia E 2019 (RM24,090)

    • Enjin: 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder, 67 hp dan 91 Nm tork
    • Transmisi: Manual lima-kelajuan
    • Penggunaan minyak: 22.5 km/l
    • Rim: Keluli 14-inci
    • Perodua Axia G 2019 (RM33,490)

      Ditambah:

    • ABS dan EBD
    • Dua pembesar suara di depan
    • Cermin sisi elektrik (tanpa butang lipat cermin)
    • Rim aloi 14-inci
    • Penggunaan minyak: 21.6 km/l
    • Perodua Axia GXtra 2019 (RM34,990)

      Ditambah:

    • VSC dengan TRC
    • Cangkuk anti-ragut
    • Sensor undur
    • Ketinggian kerusi boleh laras
    • Cermin sisi elektrik (butang untuk lipat cermin)
    • Empat pembesar suara (dua di depan dan dua di belakang)
    • Perodua Axia SE 2019 (RM38,890)

      Ditambah:

    • Filem penapis haba
    • Sensor bampar depan
    • Sistem tanpa kunci dan butang Push Start
    • Gril depan kemasan krom
    • Skirting depan
    • Skirting sisi
    • Perodua Axia Style 2019 (RM38,890)

      Ditambah:

    • Bampar depan, belakang dan gril Style
    • Rim aloi 15-inci
    • Dikurangkan (berbanding SE/AV):

    • ASA 2.0
    • Filem penapis haba
    • Kamera undur
    • Skirting depan
    • Penggunaan minyak: 20.8 km/l
    • Perodua Axia AV 2019 (RM43,190)

      Ditambah:

    • ASA 2.0
    • Kamera undur
     
     
  • Bos Big Blue Taxi ancam untuk protes jika Go-jek ‘on’

    Bos Big Blue Taxi ancam untuk protes jika Go-jek ‘on’

    Sedikit perkembangan tentang ride-hailing motosikal yang dikhabarkan sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk dilaksanakan. Dalam satu sidang media di ibupejabat Big Blue Taxi Services baru-baru ini, pengasasnya, Shamsubahrin Ismail menyatakan ketidaksenangannya terhadap pengenalan Gojek di Malaysia, lapor FMT.

    Menurut beliau, daripada membawa masuk perkhidmatan ride-hailing motosikal ini, adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan perkhidmatan e-hailing dan pemandu teksi di negara ini. Itu lebih penting daripada menyokong Gojek, yang menurutnya merupakan langkah ke belakang.

    “Syed Saddiq merupakan menteri yang terpelajar, tetapi ketika ramai menteri lain sedang bercakap tentang kereta terbang dan kereta nasional terbaru, beliau mengajak anak muda untuk jadi mat despatch pula. Gojek sebegai kerjaya tidak akan menjamin masa depan yang lebih cerah, beliau kita perlukan sesuatu yang lebih bagus dari (cadangan) itu,” ujar Shamsubahrin.

    Bos Big Blue Taxi ancam untuk protes jika Go-jek ‘on’

    Beliau juga menjelaskan bahawa situasi di Malaysia sangat berlainan dari Indonesia. “Gojek boleh dilaksanakan di sana kerana kadar kemiskinan mereka sangat tinggi, bukan seperti di Malaysia. Juga, budaya mereka sangat berbeza dengan di sini. Di sana, perempuan boleh peluk penunggang macam tu sahaja, tapi macam mana di Malaysia? Adakah kita ingin lihat wanita kita peluk penunggang ke hulu ke hilir?” ujarnya.

    Dari sudut peluang pekerjaan, Shamsubahrin berkata kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan golongan belia untuk perkhidmatan ride-hailing motosikal sebagai sumber pendapatan. “Gojek, FoodPanda, GrabFood semuanya menawarkan kerja sambilan. Beliau sepatutnya diberi peluang pekerjaan yang lebih baik,” tambah beliau.

    Beliau juga memberi amaran bahawa pemandu-pemandu teksi, pemandu e-hailing dan bas akan terjejas sekiranya kerajaan meluluskan operasi Gojek. Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk menganjurkan protes jika kerajaan mengabaikan pandangan syarikat itu. “Saya akan ketuai protes itu sendiri, kami akan ke Putrajaya. Dan, kalau perlu, kami akan pergi ke depan rumah Syed Saddiq dan Anthony Loke juga,” kata beliau.

     
     
  • Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Perodua Axia yang kali terakhir menerima facelift pada 2017, kini bakal diberikan kemaskini terbaru untuk tahun 2019 dan kini mula dibuka untuk tempahan. Melalui peningkatan terbaru ini, Axia bukan sahaja menerima tambahan kelengkapan, sehinggalah kepada varian baru dengan inspirasi SUV serta harga yang dikemaskini.

    Antara kelainan kali ini, Axia tidak lagi akan diberikan wajah berlainan untuk membezakan variannya, seperti yang pernah kita lihat antara varian normal dengan varian SE dan Advance sebelum ini. Maksudnya, Axia 2019 kini hanya akan ada satu wajah sahaja, tetapi dengan perbezaan tingkat kemasan dan kelengkapan.

    Sebelum ini, Axia ditawarkan dalam empat varian; E, G, SE dan Advance. Varian G dan SE pula ditawarkan dalam kedua-dua pilihan transmisi manual atau automatik (E pula hanya MT, manakala Advance hanya AT). Bagi Axia 2019, ada pertambahan dua varian baru dan tiada lagi SE manual; ini menjadikan selain E, varian lain tidak lagi akan ditawarkan dengan transmisi manual. Selepas ini, Axia akan ada dalam varian E, G, GXtra (baru), Style (baru), SE dan Advance.

    Sama seperti sebelum ini, Axia 2019 akan menggunakan hanya satu pilihan enjin; unit 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder yang menghasilkan sebanyak 67 hp dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm. Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi MT, manakala bagi AT empat-kelajuan pula ialah 21.6 km/l. Tetapi, bagi varian Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l. Kenapa berbeza? Akan dijawab nanti.

    Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Dari segi kelengkapan, semua varian di atas E siap dengan ABS dan EBD, dan buat pertama kali bagi Axia, ada varian yang datang dengan ciri kawalan kestabilan VSC – ciri ini, berserta cangkuk keselamatan untuk bag, ditawarkan dari GXtra ke atas. Ada satu lagi tambahan penting; varian Advance juga akan dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0.

    Pertama kali ditawarkan pada Myvi dan kemudiannya Aruz, ia terdiri daripada Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama. ASA 2.0 pula pertama kali disediakan untuk Aruz, dengan sedikit kemaskini terhadap keberkesanan operasinya; sebagai contoh, PCW bertindak dalam julat kelajuan 4 km/j hingga 100 km/j (sebelum ini hingga 30 km/j sahaja).

    Sekiranya pemandu tidak bertindak, PCB akan mengambil alih untuk membrek kenderaan secara automatik (AEB) – brek dalam dua tahap, bermula dengan tekanan brek lemah dan kemudiannya brek kuat sekiranya risiko perlanggaran dikesan tinggi. PCB berfungsi antara 4 km/j hingga 80 km/j terhadap kenderaan dan 4 km/j hingga 50 km/j terhadap pejalan kaki – bertujuan untuk mengurangkan impak dari perlanggaran.

    FDA dan PMC pula sama seperti pada Myvi.FDA akan memaklumkan pemandu melalui bunyi sekiranya kenderaan depan telah mula bergerak dalam kesesakan trafik. PMC pula akan menghindari kemalangan sekiranya pemandu tersilap menekan pedal (antara pedal minyak dan brek) dalam situasi parkir. Beg udara pula ada dua, dan ASEAN NCAP bagi Axia kekal empat-bintang.

    Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Varian G menerima dua pembesar suara dan rim 14-inci aloi. GXtra pula mungkin varian yang paling berbaloi; selain VSC dan cangkuk keselamatan untuk beg, ia turut menerima sensor belakang, larasan ketinggian tempat duduk, cermin sisi kuasa elektrik dengan butang lipatan cermin serta dua lagi pembesar suara di belakang (empat kesemuanya).

    SE pula hadir dengan kemasan krom pada gril depan serta kit badan untuk menjadikannya lebih sporty. Lain-lain kelengkapan yang ditawarkan untuk varian SE ke atas termasuk filem penapis haba dan sistem tanpa kunci dan butang Push Start. Bagi varian Advance pula, ia menerima tambahan ASA 2.0 dan unit skrin sentuh dengan kamera undur.

    Dan terakhir, kejutan yang lebih besar daripada VSC/ASA; Axia Style sebenarnya menerima penampilan yang mengambil ilham dari SUV. Antara imej yang boleh dibayangkan ialah seperti Volkswagen CrossPolo, Hyundai i20 Active dan Honda WR-V. Semua model yang disebut ini merupakan hatchback segmen B yang menggunakan penampilan SUV – Axia Style mengikut jejak ini.

    Axia Style antara lain dipasangkan hiasan plastik pada bahagian bawah badannya, dengan seksyen cat warna perak dibahagian bawah bampar depan serta bampar belakang yang mengambil gaya seperti skid plate. Lain-lain tambahan ialah landasan bumbung dalam warna hitam sebagai hiasan. Muka depan Axia Style juga ada sedikit perbezaan melalui penggunaan pelekat dengan tekstur karbon. Selain itu, rekaan dot pada gril serta warna khas oren yang digunakan adalah khusus untuk varian ini.

    Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Kedudukan Axia Style juga 15 mm lebih tinggi daripada Axia biasa. Ini dicapai bukan dengan perubahan pada sistem suspensi melainkan penggunaan rim aloi 15-inci (lebih besar satu inci) dan tayar yang lebih tebal serta landasan pada bumbung. Semua perbezaan ini menyumbang kepada bacaan penggunaan minyak yang sedikit tinggi – 20.8 km/l berbanding 21.6 km/l bagi versi Axia yang lain.

    Di dalam, Axia Style tiada perbezaan melainkan fabrik denim yang digunakan untuk tempat duduk. Dari segi kelengkapan, ia mirip penawaran pada GXtra, dengan tambahan sistem tanpa kunci dan butang Push Start. Varian ini dijangka akan menyumbang 20% ke 25% daripada jualan keseluruhan Axia 2019.

    Harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi setiap varian adalah seperti berikut; Axia E (RM24,090), G (RM33,490), GXtra (RM34,990), Style (RM38,890), SE (RM38,890) dan Advance (RM43,190). Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana dahulu).

    Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan – tambahan varian Style terbaru, ciri VSC/ASA 2.0, bermula RM24k

    Perbezaan kelengkapan antara setiap varian bagi Perodua Axia 2019 adalah seperti berikut:

      Peordua Axia E 2019 (RM24,090)

    • Enjin: 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder, 67 hp dan 91 Nm tork
    • Transmisi: Manual lima-kelajuan
    • Penggunaan minyak: 22.5 km/l
    • Rim: Keluli 14-inci
    • Perodua Axia G 2019 (RM33,490)

      Ditambah:

    • ABS dan EBD
    • Dua pembesar suara di depan
    • Cermin sisi elektrik (tanpa butang lipat cermin)
    • Rim aloi 14-inci
    • Penggunaan minyak: 21.6 km/l
    • Perodua Axia GXtra 2019 (RM34,990)

      Ditambah:

    • VSC dengan TRC
    • Cangkuk anti-ragut
    • Sensor undur
    • Ketinggian kerusi boleh laras
    • Cermin sisi elektrik (butang untuk lipat cermin)
    • Empat pembesar suara (dua di depan dan dua di belakang)
    • Perodua Axia SE 2019 (RM38,890)

      Ditambah:

    • Filem penapis haba
    • Sensor bampar depan
    • Sistem tanpa kunci dan butang Push Start
    • Gril depan kemasan krom
    • Skirting depan
    • Skirting sisi
    • Perodua Axia Style 2019 (RM38,890)

      Ditambah:

    • Bampar depan, belakang dan gril Style
    • Rim aloi 15-inci
    • Dikurangkan (berbanding SE/AV):

    • ASA 2.0
    • Filem penapis haba
    • Kamera undur
    • Skirting depan
    • Penggunaan minyak: 20.8 km/l
    • Perodua Axia AV 2019 (RM43,190)

      Ditambah:

    • ASA 2.0
    • Kamera undur
     
     
  • Go-jek dapat ‘lampu hijau’ kabinet untuk dilaksanakan

    Go-jek dapat ‘lampu hijau’ kabinet untuk dilaksanakan

    Kabinet telah bersetuju secara prinsipnya untuk membenarkan perkhidmatan ride-hailing motosikal seperti Go-jek untuk beroperasi di negara ini. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ketika mesyuarat mingguan kabinet hari ini (21 Ogos), perkara itu dibincang dengan panjang lebar dan diberikan “lampu hijau”, lapor The Star.

    “Secara prinsipnya, kabinet bersetuju agak perkhidmatan seperti Go-jek dilaksanakan. Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan telah diminta untuk memperhalusi perkara ini, dan berbincang mengenai undang-undang yang perlu dipinda atau gubal untuk membolehkan perkhidmatan itu beroperasi di negara ini,” ujar beliau.

    Redzuan juga memaklumkan, ia mungkin akan mengambil masa “satu atau dua bulan” untuk membolehkan kedua-dua kementerian itu mencadangkan kaedah untuk membolehkan pelaksanaan perkhidmatan itu, sebelum kemudiannya diusulkan untuk mendapat kelulusan kabinet. Menurut beliau, adalah sangat penting untuk penyedia perkhidmatan ride-hailing motosikal ini dikawal selia secara sah di Malaysia.

    “Kita ingin pastikan, apa yang dilaksanakan untuk memberdayakan ekonomi golongan beliau adalah tidak bercanggah dengan undang-undang,” tambah Redzuan. Cadangan berkaitan perkara ini tercetus selepas perjumpaan antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pengasas Go-Jek, Nadiem Makarim bersama Perdana Menteri, Tun M. Go-Jek ialah sebuah syarikat ride-hailing motosikal Indonesia.

     
     
  • Toyota Supra – kit ubah suai manual berharga RM50k

    Toyota Supra – kit ubah suai manual berharga RM50k

    Setakat ini masih belum ada kata putus daripada Toyota untuk mengeluarkan Supra A90 dengan transmisi manual untuk pasaran awam. Ramai yang bertanyakan soalan berkenaan perkara ini, dan antara jawapan yang pernah diberi oleh ketua juruteranya iaitu Tetsuya Tada, beliau mahukan orang ramai mencuba dulu transmisi automatik sedia ada.

    Bagi yang tidak dapat bertahan lagi, dan betul-betul mahukannya, sekarang sudah ada pilihan. Sebuah syarikat ubah suai dari Texas, Amerika Syarikat, iaitu European Auto Group (EAG) telah memberitahu CarBuzz bahawa mereka akan menawarkan pakej penukaran transmisi manual yang keseluruhannya berharga sekitar US$12,000 (RM50,116) – termasuk kos barang dan upah.

    Menurut pemilik syarikat itu, Art Bartosik, tempahan sekarang sudah dibuka dengan bayaran awal US$6,000 (RM25,058), dan kerja ubah suai akan mengambil masa 45 hari untuk lengkap. Sudah tentu, kereta yang mahu digunakan perlu disediakan oleh pelanggan sendiri.

    Toyota Supra – kit ubah suai manual berharga RM50k

    Transmisi manual yang akan digunakan bagi menggantikan transmisi automatik ZF asal pada Supra A90 adalah unit asli OEM BMW, dan sepatutnya boleh padan dengan sempurna bersama enjin enam silinder 3.0 liter B58 padanya. Bartosik juga menyatakan kemahuan menggunakan tombol gear seperti model konsep GR HV Sports (seperti dalam gambar di atas), dengan penutup yang boleh diangkat dan mendedahkan butang mod Sport.

    Disebabkan terdapat kemungkinan besar jaminan asal kenderaan ini akan terbatal apabila melalui penukaran transmisi ini, EAG sedang berusaha untuk menyediakan pelanggan dengan jaminan empat tahun atau 50,000 batu (80,467 km).

    Sebagai makluman, pembantu ketua jurutera yang terlibat dengan pembangunan Supra, Masayuki Kai juga pernah memberitahu sebenarnya transmisi manual untuk Supra A90 sebenarnya sudah ada, tetapi untuk model pemanduan sebelah kanan. Namun, seperti yang dinyatakan tadi, mereka masih belum membuat keputusan untuk menawarkannya kepada pasaran awam.