Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJeBid catat kutipan RM15.6 juta sejak diperkenalkan April lalu – Johor mula buka bidaan untuk ‘JTR’

    JPJeBid catat kutipan RM15.6 juta sejak diperkenalkan April lalu – Johor mula buka bidaan untuk ‘JTR’

    Sejak diperkenalkan menerusi projek perintisnya April lalu, Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) telah berjaya mengutip sebanyak RM15.6 juta dengan Putrajaya mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM3.1 juta diikuti Wilayah Persekutuan sebanyak RM1.5 juta.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 57,165 pendaftaran JPJeBid direkodkan setakat ini dan bilangan pendaftaran itu dijangka bertambah dengan pelaksanaannya yang akan diperluas ke seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

    Projek perintis sistem ini bermula pada dengan siri plat FC untuk Putrajaya, dengan format baharu ini turut diadaptasikan untuk kegunaan Kuala Lumpur dengan VDN pada Jun lalu. Kemudian ia diperkenalkan pula di Kedah dengan siri plat KET pada awal Julai 2019. Selepas itu, ia turut dilaksanakan di Pulau Pinang yang dimulakan dengan siri pendaftaran PPC pada 2 Ogos lalu. Kemudian disusuli oleh Sabah, dan terkini JPJ Johor pula telah membuka bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu ‘JTR’ mulai hari ini. Manakala Sarawak pula akan melaksanakannya pada 24 September ini.

    Klik untuk besarkan

    Untuk Johor, Pengarah JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, pihaknya mensasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 juta untuk ‘JTR’ yang bidaannya dibuka hari ini selama lima hari.

    “Sasaran tersebut boleh dicapai menerusi penggunaan sistem JPJeBid itu yang pertama kali diperluaskan pelaksanaan di Johor bagi menggantikan sistem manual yang digunakan sebelum ini. Setiap individu boleh membida walaupun berada di luar Johor dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar di negara ini,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurutnya lagi, bagi yang pertama kali menggunakan sistem ini, mereka perlu mendaftar di dalam portal JPJeBid dan bagi orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman pula dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali di UTC.

    Manakala kaedah bayaran bidaan pula ialah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja. Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

     
     
  • Perodua Axia 2019 – risalah bocor, ada VSC, A.S.A 2.0!

    Perodua Axia 2019 – risalah bocor, ada VSC, A.S.A 2.0!

    Nampaknya Perodua pun ada taruhan terbaru untuk pasaran tempatan. Selepas beberapa perkembangan kebelakangan ini yang lebih tertumpu kepada Proton – terbaru dengan pelancaran Saga 2019 – akhirnya ada sesuatu daripada Perodua pula.

    Telah beredar di media sosial risalah terbaru Perodua Axia 2019 yang memberi petunjuk bahawa model kompak berkenaan bakal menerima beberapa peningkatan ciri serta kemaskini penampilan. Pertama sekali, Axia baru itu nanti akan dilengkapi ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSC). Dan, bukan itu saja – Axia juga akan menerima ciri Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) dengan pengesanan pejalan kaki!

    VSC akan ditawarkan bagi varian GXtra (varian pertengan terbaru) ke atas, manakala A.S.A 2.0 akan ditawarkan pada varian SE yang paling tinggi untuk model terbabit. Sama seperti sebelum ini, varian paling asas E hadir tanpa kelengkapan ABS; ciri ini hanya akan melengkapi varian G ke atas.

    Dari segi penampilan, apa yang dapat dilihat ketika ini ialah Axia akan menerima perubahan wajah yang agak ketara berbanding menjadi sebuah model baru sepenuhnya. Ini kerana, ia masih menggunakan bentuk luaran yang sama seperti model sedia ada, serta ruang barangan juga masih sama dengan kapasiti 260 liter.

    Sebelum ini, Perodua pernah menyatakan bahawa syarikat itu akan menawarkan ciri keselamatan seperti A.S.A bagi model serta varian yang lebih rendah untuk menjadikannya lebih mudah dicapai oleh orang kebanyakan. Melalui Axia 2019 ini perkara itu sudah dapat dilihat. Dan, walaupun tidak dinyatakan, penawaran beg udara dijangka kekal pada angka dua.

    Varian E kekal menjadi kereta paling murah yang boleh dibeli di Malaysia ketika ini. Bagaimanapaun, kelengkapannya kosong, tidak termasuk ciri yang dinyatakan di atas – termasuk tak ada unit radio atau pembesar suara. Ia juga satu-satunya varian dengan kotak gear manual lima-kelajuan, sementara varian G kini hanya ditawarkan dengan gear automatik empat-kelajuan.

    Varian G menerima tambahan dua pembesar suara rim 14-inci, tanpa ciri cangkuk keselamatan di tengah yang mula ditawarkan bagi varian GXtra, yang turut menerima sensor parkir depan dan belakang, perehat kepala boleh laras untuk pemandu, cermin sisi kuasa elektrik dan empat pembesar suara.

    Bagi varian SE, ia menerima gril krom, kit sisi badan, sistem tanpa kunci dan filem penapis haba. Sementara itu, varian Advance pula ada tambahan kamera undur (dan mungkin juga unit skrin sentuh). Model facelift ini juga menyaksikan pengenalan varian baru, Style, yang terletak antara GXtra dan SE. Ia menjadi satu-satunya varian yang tampil dengan rekaan bampar depan dan belakang yang unik (sama seperti SE dan Advance sebelum ini yang berbeza dari bampar standard), serta rim 15-inci aloi. Tiada ciri A.S.A 2.0 untuk yang ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq facelift terima 5-bintang dari Euco NCAP

    Hyundai Ioniq <em>facelift</em> terima 5-bintang dari Euco NCAP

    Hyundai telah mengumumkan barisan Ioniq facelift telah pun menerima penarafan penuh iaitu lima-bintdang daripada Euro NCAP menerusi ujian pelanggaran yang dijalankan. Barisan Ioniq baharu yang telah didedahkan Mei lalu, menampilkan banyak ciri keselamatan, termasuk ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu terkini Hyundai SmartSense.

    Walau bagaimana pun, Euro NCAP masih belum mendedahkan perincian penuh untuk ujian pelanggaran ini, tetapi dijangka keputusannya lebih baik jika dibandingkan dengan keputusan pada 2016. Untuk pengetahuan, Ioniq turut dinamakan sebagai kereta paling selamat dalam kategori ‘Kereta Keluarga Kecil’.

    Bagi ciri keselamatan standard, Ioniq facelift menerima Amaran Pelanggaran Hadapan dan Bantuan Mengelak dengan Pengesan Pejalan Kaki bersama Pengesan Penunggang Basikal, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi dan tujuh beg udara.

    Hyundai Ioniq <em>facelift</em> terima 5-bintang dari Euco NCAP

    Lain-lain ciri keselamatan termasuklah Bantuan Ikut Lorong, Amaran Pengehad Kelajuan Pintar, Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop&Go, Kepekaan Ketibaan Kenderaan, Amaran Pelanggaran Titik Buta dan Amaran Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Timbalan presiden produk dan pemasaran Hyundai Eropah, Andreas-Christoph Hofmann berkata, “Anugerah lima-bintang dari Euro NCAP ini menunjukkan strategi kami dalam menawarkan ciri keselamatan bagi kelas yang lebih kecil dan juga kombinasi antara pemanduan alternatif. Hyundai Ioniq baharu ini merupakan konsep kenderaan yang sangat moden yang memenuhi semua kehendak pelanggan.”

     
     
  • Kereta nasional baru akan babitkan Perodua – laporan

    Kereta nasional baru akan babitkan Perodua – laporan

    Dua minggu lalu, kerajaan melalui Kementerani Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengumumkan bahawa DreamEdge telah dilantik untuk mengendalikan projek kereta nasional baru, dan antara lain turut mendedahkan bahawa Daihatsu Jepun dinamakan sebagai syarikat penyedia sokongan teknologi kepada projek tersebut. Terbaharu, akhbar The Edge melaporkan bahawa projek ini juga mungkin akan melibatkan Perodua, iaitu sekutu Daihatsu di Malaysia.

    Menurut laporan tersebut, DreamEdge telah berhubung dengan Perodua untuk terlibat dengan projek ini sebagai pemasang kontrak kereta berkenaan. Namun turut ditulis bahawa Nissan dan Honda juga telah dihubungi oleh DreamEdge atas sebab yang sama.

    Satu lagi kemungkinan adalah Perodua akan membantu dalam proses merekabentuk model pertama projek ini. Menurut The Edge lagi, mereka telah cuba untuk menghubungi DreamEdge dan Perodua bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara ini, tetapi tiada sebarang respon diberikan dari kedua-dua pihak.

    Idea untuk memberikan kontrak bagi memasang kereta nasional baru ini kepada Perodua adalah agak logik bukan hanya kerana ia adalah wakil Daihatsu di Malaysia, malah Perodua mempunyai kapasiti lebihan untuk membina 70,000 unit kereta. Walau bagaimanapun sumber dari industri menyatakan bahawa DreamEdge dan Perodua perlu menyelaraskan semula kemungkinan konflik antara kedua belah pihak dari segi penawaran produk serta hak pemilikan yang berkaitan dengan bahagian kenderaan yang sedang dihasilkan oleh Perodua.

    Kereta nasional baru akan babitkan Perodua – laporan

    Dalam pengumuman minggu lalu, turut didedahkan bahawa model pertama projek kereta nasional baharu ini adalah sedan segmen-B dengan saiz lebih besar (sebelum ini ia disebut sebagai sedan segmen-C tetapi telah dibetulkan semula), yang tidak jauh dengan penawaran Perodua menerusi hatchback segmen-B Myvi. Kereta tersebut juga dinyatakan akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman biasa atau unit janakuasa hibrid petrol elektrik.

    DreamEdge turut mengumumkan bahawa mock-up untuk model tersebut akan didedahkan pada akhir bulan ini, manakala prototaip pertamanya akan membuat kemunculan pada Mac 2020. Model produksi kereta tersebut dijadualkan akan mula masuk ke pasaran pada Mac 2021.

    Minggu lalu, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada dana awam yang akan digunakan dalam projek kereta nasional baharu ini. Menurut Menteri MITI Datuk Darell Leiking, kerajaaan tidak akan menjalankan sebarang ‘bailout sekiranya DreamEdge gagal dalam projek ini.

     
     
  • Go-jek perlu dibentang ke Kabinet – Anthony Loke

    Go-jek perlu dibentang ke Kabinet – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan untuk membenarkan servis e-hailing menggunakan motosikal, Go-Jek untuk beroperasi di Malaysia masih lagi belum dimuktamadkan dan perlu dibentangkan pada kepada Kabinet terlebih dahulu, lapor The Star.

    “Tiada lagi keputusan akhir untuk membenarkan atau tidak membenarkan Gojek dan ia masih dalam peringkat konsep dan cadangannya akan dibawa ke Kabinet terlebih dahulu,” katanya dalam sesi sidang media selepas beliau mencuba KL Monorel yang baharu sahaja dipertingkat di Bukit Nanas sebenar tadi.

    Beliau mengesahkan bahawa Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menjemputnya untuk hadir ke mesyuarat bersama pengasas Go-Jek Nadiem Makarim dan juga Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed semalam (19 Ogos). Namun katanya Syed Saddiq perlu mencadangkan perkara ini kepada Kabinet sebelum apa-apa keputusan di buat.

    “Sudah tentu Menteri Belia mencadangkan dari sudut pandang belia bagu mewujudkan peluang pekerjaan. Kami melihatnya dari sudut keselamatan dan aspek operasi. Pandangannya (Syed Saddiq) perlu dipertimbangkan dan kami akan melihat cadangan tersebut dengan lebih serius,” tambah Loke.

    Hujung minggu lalu Syed Saddiq telah cuba mengumpulkan pendapat orang ramai sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan impak perkhidmatan ini kepada ekonomi menerusi ciapan pada akaun Twitter beliau. Undian tersebut telah ditutup dengan mengumpul sebanyak 56,427 maklum balas – 88% daripadanya memilih Setuju.

    Pada tahun 2017, perkhidmatan seumpama ini sebenarnya telah pun diperkenalkan di Malaysia menerusi aplikasi Dego Ride. Namun atas berberapa sebab terutamanya keselamatan, Dego Ride telah diharamkan oleh kerajaan terdahulu.

     
     
  • GPX Racing Legend 250 Twin dan Raptor 180 2019 diperkenal untuk pasaran Thailand – dari RM8,071

    GPX Racing Legend 250 Twin dan Raptor 180 2019 diperkenal untuk pasaran Thailand – dari RM8,071

    GPX Racing kini memperkenalkan model versi 2019 bagi GPX Racing Legend 250 Twin pada harga 79,500 Thai baht (RM10,784). Kalau ingin tahu lebih lanjut berkenaan jenama ini dan model-model yang dibawa masuk ke Malaysia, boleh rujuk laporan kami yang terdahulu tentang model Gentlemen 200 dan Demon 150 GR.

    Legend 250 menampilkan gaya motosikal retro naked sport dengan rekaan yang diwarisi dari dekad-dekad 70an dan 80an. Dengan enjin 234 cc parallel-twin sejukan cecair, tiada angka janaan kuasa yang didedahkan setakat ini. Kuasa disalurkan melalui kotak gear enam-kelajuan, dengan sistem suntikan minyak EFI.

    Kapasiti tangki minyak pula ialah 14.5 liter, manakala berat motosikal ini keseluruhannya 154 kg. Bahagian roda depan dilengkapi dua cakera brek dengan kaliper dua-omboh hidraulik. Brek belakang menggunakan cakera tunggal dengan kaliper omboh tunggal. Fork depan jenis teleskopik terbalik, sementara di belakang menggunakan penyerap hentak gas berkembar dari YSS dan boleh dilaras untuk pra-bebanan.

    GPX Racing Legend 250 Twin dan Raptor 180 2019 diperkenal untuk pasaran Thailand – dari RM8,071

    Ketinggian pelananya ialah 790 mm. Sistem lampu semua menggunakan jenis LED dan motosikal ini ditawarkan dalam tiga warna; merah, hitam berkilat dan hitam kesat. Sebuah lagi motosikal, GPX Racing Raptor 180 2019 juga diperkenalkan. Ia dilengkapi enjin sejukan udara 180.8 cc dengan silinder tunggal, dengan kuasa disalurkan melalui kotak gear enam-kelajuan juga.

    Dengan berat 135 kg, Raptor 180 mempunyai kapasiti tangki minyak 11.5 liter, dengan laju maksimum didakwa pada 110 km/j. Bahagian kokpit menggunakan pencahayaan LED semuanya. Tinggi pelana ialah 820 mm dengan fork terbalik di depan serta YSS monochock di belakang. Brek cakera tunggal diletakkan di depan dan belakang. Warna pula terdiri daripada empat pilihan; violet, merah, hitam dan putih. Nak tengok dua motosikal di masuk Malaysia?

     
     
  • Projek kereta terbang sudah 85% siap – Redzuan

    Projek kereta terbang sudah 85% siap – Redzuan

    Memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan projek membina kereta terbang pertama Malaysia, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata ia telah pun 85% siap.

    Menurutnya lagi, projek berkenaan sedang dibina oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, berikutan kuasa ekonomi itu mempunyai ekosistem sokongan untuk industri kereta terbang.

    “Saya akan ke Jepun pada September untuk menghadiri Persidangan Penerbangan dan saya berharap dapat melihat kereta (terbang) yang hampir siap yang kami akan bawa pulang ke tanah air pada akhir tahun ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Projek kereta terbang sudah 85% siap – Redzuan

    Vector – prototaip kereta terbang oleh syarikat Aerodyne Group

    Redzuan turut berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian yang terlibat dalam sektor penerbangan untuk mewujudkan ruang udara yang sesuai untuk kereta terbang di Malaysia, serupa dengan usaha dilakukan di beberapa negara lain, untuk melengkapi kemahiran usahawan tempatan bagi membangunkan kereta terbang.

    “Kereta terbang adalah inisiatif swasta. Kami tidak mengawal mereka (pelabur) mengenai apa yang mereka mahu lakukan, tetapi kami perlu mewujudkan industri (kereta terbang) di Malaysia,” katanya.

    Beliau turut menjawab berhubung persediaan kereta terbang pertama negara yang dikatakan akan dilancarkan pada akhir tahun in, “Ia akan bergantung pada ekosistem Malaysia untuk kereta terbang, khususnya dari segi ketersediaan untuk terbang pada waktu itu.”

     
     
  • Porsche Taycan lulus ujian pemanduan jarak jauh – 3,425 km dalam masa 24 jam, kelajuan purata 205 km/j!

    Porsche Taycan lulus ujian pemanduan jarak jauh – 3,425 km dalam masa 24 jam, kelajuan purata 205 km/j!

    Antara kegusaran untuk memiliki kereta elektrik sudah tentu ramai yang ragu-ragu berkenaan jarak perjalanan – untuk mengecas semula bateri kereta tersebut tidak sesingkat tempoh untuk memenuhkan semula tangki petrol. Namun bagi membuktikan masalah ini bakal berakhir pada masa hadapan, Porsche melakukan ujian perjalanan jauh untuk kereta sport elektrik terbaharunya yang akan membuat kemunculun sulung pada 4 September ini iaitu Porsche Tycan.

    Ujian ini dijalankan di litar berkelajuan tinggi, Nardo di Itali. Seramai enam pemandu uji menyertainya, dengan jarak 3,425 kilometer dihabiskan dalam masa 24-jam. Ia tidak dijalankan seperti makan angin, sebaliknya Porsche Taycan berkenaan dipandu pada kelajuan antara 195 km/j hingga 215 km/j!

    Sudah tentu dengan gaya pemanduan sedemikian akan mempercepatkan kehabisan kuasa dalam bateri. Namun ujian ini tetap berjalan lancar dengan sistem elektrikal 800-volt Porsche, bersama stesen pengecas 800-volt yang dibina oleh Porsche Engineering Group. Porsche Taycan merupakan kereta produksi pertama yang menerima teknologi ini, yang turut membantu kereta lumba 919 Hybrid berkuasa 900 hp memenangi perlumbaan Le Mans 24-Jam tiga kali berturut-turut.

    Selain itu, ujian ini turut dibuat sebagai salah satu ujian terhadap kualiti ketahanan dan juga dalam suhu tinggi. Menurut Porsche, sistem 800-volt ini membolehkan prestasi tinggi disalurkan secara konsisten, dalam masa yang sama dapat memendekkan tempoh mengecas semula serta mengurangkan berat serta ruang untuk sistem pendawaian.

    Ia juga menampilkan pengurusan suhu yang begitu sofistikated menerusi jaringan berberapa komputer terkini yang dapat mengendalikan suhu serta menyejukkan komponen-komponen bervoltan tinggi.

    Selepas berhenti untuk menukar pemandu dan mengecas semula bateri, Taycan ini akan memecut semula dari 0-200 km/j dalam masa sekitar 10 saat – ia berulang sebanyak 26 kali dalam ujian ini dengan beza antara yang paling cepat dan paling perlahan adalah 0.8 saat. Sistem 800-volt ini juga dapat mengelakkan dari terjadinya kehilangan tenaga kerana menghasilkan haba yang terlalu tinggi dan memastikan suhu paling optimum untuk mendapatkan proses mengecas paling berkesan setiap kali ia tiba di stesen pengecas.

    “Taycan telah mengusai ujian ketahanan ini tanpa sebarang masalah. Keputusan yang dicapai di Nardo menyerlahkan kelebihan teknologi 800-volt yang unik ini dan tahap kematangannya. Sebelum Taycan dilancarkan ke pasaran akhir tahun ini, kami akan lengkapkan ujian sejauh enam juta kilometer di seluruh dunia,” kata naib presiden barisan produk Taycan, Stefan Weckbach.

     
     
  • McLaren F1 LM 1994 dilelong, berharga US$19.805 juta

    McLaren F1 LM 1994 dilelong, berharga US$19.805 juta

    Dalam beberapa versi model kereta McLaren F1, ada yang betul-betul istimewa melebihi yang lain. Misalnya model McLaren F1 LM-Specification ini, yang baru-baru ini telah dilelong pada harga US$19,805,000 (RM82,816,588) dalam lelongan RM Sotheby’s ketika acara Monterey Car Week.

    Walaupun harga berkenaan kurang daripada jangkaan awal, model ini tetap menjadi model F1 paling mahal pernah dijual oleh acara lelongan itu. Apa yang menarik sangat tentang kereta ini? Selepas kemenangan jentera dalam perlumbaan Le Mans pada 1995, pengeluarnya telah membina lima buah kereta dikenali sebagai F1 LM sebagai memperingati kejayaan itu.

    Ia menampilkan kelengkapan downforce yang tinggi serta versi unit enjin 6.1 liter V12 dari BMW yang tidak dihadkan kuasanya, menjana 680 hp dan 705 Nm tork. Di penghujung pengeluaran model F1 ini pada 1997, McLaren telah menghasilkan sebanyak 106 buah model berkenaan, termasuk 64 unit versi penggunaan di jalanraya, 28 kereta lumba F1 GTR, lima unit contoh F1 LM dan dua F1 GT serta tujuh unit prototaip dan unit untuk pembangunannya.

    McLaren F1 LM 1994 dilelong, berharga US$19.805 juta

    Unit yang ditunjukkan ini pula, #018, adalah satu daripada dua unit asal F1 yang kemudiannya ditukarkan kepada spesifikasi LM. Ia sempat bertukar tangan beberapa kali, dengan pemilik terakhirnya menghantar semula unit ini kepada McLaren di Surrey untuk dinaik taraf kepada spesifikasi LM.

    Proses berkenaan memakan masa selama dua tahun, melibatkan kerja-kerja pemasangan high-downforce kit, penyejuk transmisi, dua radiator tambahan serta modifikasi sistem ekzos. Sistem pendingin hawa kereta ini juga dipertingkatkan, radio ditambah kepada pemain CD sedia ada, lampu utama menggunakan gas-discharge unit dan stereng digantikan kepada saiz 14-inci.

    Selain itu, enjinnya juga ditala mengikut spesifikasi LM, sementara penyerap hentak dan spring adalah dari unit perlumbaan dan ditala bagi kelembutan maksimum untuk lebih selesa. Rim pula ditukar kepada 18-inci dengan tayar Michelin Pilot Sport. Selepas daripada itu, ia sempat bertukar tangan kepada dua pemilik lagi.

     
     
  • Nissan Juke generasi kedua muncul lagi dalam teaser – bakal diperkenalkan secara rasmi pada 3 Sept ini

    Nissan Juke generasi kedua muncul lagi dalam <em>teaser</em> – bakal diperkenalkan secara rasmi pada 3 Sept ini

    Susulan dengan teaser awal yang didedahkan pada bulan lalu, kini Nissan mendedahkan lebih banyak teaser untuk Juke generasi kedua yang dikesan diuji di litar ujian Millbrook, United Kingdom.

    Walau pun masih dibaluti penyamaran, namun rekaan baharunya agak kelihatan, dan ternyata banyak perbezaan berbanding model terdahulu, malah lebih menarik perhatian.

    Untuk bahagian hadapannya, Juke menggunakan gril V-motion yang disambungkan dengan lampu hadapan yang direka lebih tirus. Rekaan lampu bertingkat ini juga diterapkan dengan lampu utamanya bagai terselindung di bawah penutup empat segi. Apron bawahnya pula lebih bersudut, dengan lampu kabus kecil bagai terselit pada sudut bampar.

    Manakala bahagian sisi kereta ini telah mengalami transformasi yang agak radikal, dengan gerbang roda yang kurang sedikit menonjol dan juga garisan karakter yang ditarik ke belakang. Satu aspek yang dibawa dari generasi pertama ialah bentuk tingkap sisi, begitu juga dengan posisi pemegang pintu belakang.

    Untuk bahagian belakangnya pula, rekaannya lebih bersudut, manakala seksyen bawahnya pula tidak begitu sarat seperti model terdahulu. Manakala lampu belakangnya pula, imej boomerang digantikan dengan susunan dua-kepingan yang bersifat lebih konvensional. Selain itu, bukaan tailgate yang lebih besar memudahkan penyimpanan barangan dalam ruang but belakang.

    Lain-lain perincian yang kelihatan pada Juke baharu ini ialah roda aloi 19-inci yang didatangkan secara standard, mengadaptasi teknologi ProPILOT dan juga ruang dalaman yang lebih luas.

    Juke baharu ini akan dibangunkan menggunakan platform CMF-G, yang turut digunakan oleh Renault Captur, dengan barisan enjin termasuklah pilihan diesel dan petrol pengecas turbo berkapasiti kecil, serta penjana kuasa 1.6 liter petrol-elektrik hibrid. Apa pun, perincian penuhnya hanya akan diketahui apabila ia diperkenalkan secara rasmi di peringkat global pada 3 September ini.

     
     
  • Jualan kereta baru merudum di Indonesia kerana pengguna dilihat lebih gemar beli kereta terpakai

    Jualan kereta baru merudum di Indonesia kerana pengguna dilihat lebih gemar beli kereta terpakai

    Nampaknya trend jualan kereta baharu yang merudum turut melanda Indonesia – menurut data dari Persatuan Pengeluar Automotif Indonesia (Gaikindo), jualan kereta baharu dinegara tersebut mencatatkan penurunan 11% untuk enam bulan pertama tahun ini dengan 499,573 unit, berbanding 561,680 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

    Jualan untuk tempoh Mei hingga Jun juga dilihat jatuh teruk dengan catatan 65,657 unit berbanding 93,837 unit dalam tempoh sama 2018, atau merudum 30%. Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud rakyat Indonesia kurang membeli kereta kerana laporan dalam Jakarta Post menyebut bahawa jualan untuk kereta terpakai di negara tersebut kini dilihat bertumbuh dengan cepat.

    “Jualan kereta terpakai boleh mencecah 300,000 unit sebulan, yang dilihat agak tinggi”, kata CEO portal jualan kereta terpakai BeliMobilGue, Johnny Widodo.

    Jakarta Post turut menyebut bahawa rakyat Indonesia membeli kereta terpakai bukan hanya kerana ia lebih murah, malah kereta-kereta tersebut sebenarnya masih lagi baru dan berusia sekitar tiga hingga tujuh-tahun dengan kondisi masih baik.

    Jualan kereta baru merudum di Indonesia kerana pengguna dilihat lebih gemar beli kereta terpakai

    Dengan arahan Gabenor Jakarta yang akan menguatkuasakan larangan kereta berumur 10 tahun keatas untuk masuk ke Bandaraya berkenaan menjelang 2025 nanti turut menyumbang kepada perkembangan ini.

    “Ramai yang menjual kereta mereka selepas [menggunakannnya] dalam masa tiga hingga tujuh-tahun,” kata Johnny. Selepas undang-undang larangan tersebut berkuatkuasa, dia menjangkakan lebih banyak kereta akan dijual dalam masa lebih awal. “Jualan kereta terpakai akan bertumbuh antara 10 hingga 30% menjelang tahun 2023,” tambahnya lagi.

    Johnny turut berkata bahawa dengan perlaksanaan undang-undang berkenaan, lebih ramai individu mungkin akan memiliki lebih dari satu kereta dan akan memangkin lagi jualan kereta terpakai. Dalam perspektif perniagaan pula, peluang untuk semua pihak adalah lebih terbuka kerana tiada pihak yang dominan dalam pasaran kereta terpakai Indonesia.

    Rekod dari Statistik Indonesia (BPS) menunjukkan bahawa kini sekitar 16 juta kereta yang berada diatas jalan seluruh negara tersebut pada 2017, dengan pasaran kereta baru dan terpakai kedua-duanya didominasi oleh model-model MPV. Ia adalah seiring dengan data Gaikindo yang menunjukkan bahawa 11 dari 15 model-model paling laris untuk separuh 2018 adalah MPV.

     
     
  • Mazda CX-4 baru mula muncul, seiras dengan CX-30

    Mazda CX-4 baru mula muncul, seiras dengan CX-30

    Mazda CX-4 facelift telahpun muncul tanpa sebarang pelekat samaran. Model yang khusus untuk pasaran China ini kini tampil mirip model CX-30, lengkap dengan falsafah rekaan Kodo yang diterapkan Mazda kebelakang ini.

    Wajah depannya serba baru, dengan utama LED yang direka semula serta gril kemasan krom. Bahagian bawah bampar juga menerima rekaan baru, hadir dengan lampu LED dan lip untuk prestasi lebih dinamik. Untuk saiz roda, CX-4 ditawarkan dengan pilihan 17 hingga 19-inci.

    Di belakang, perubahan paling besar ialah lampu LED baru yang digunakan. Ia menerapkan rekaan yang hampir sama seperti yang ada pada SUV CX-5. Bahagian bawah bampar pula baru, serta lampu kabus yang lebih tirus dengan kemasan krom.

    Selebihnya, tidak banyak perincian yang diketahui setakat ini. Kalau ditengok dengan lebih dekat, bawah cermin sisinya juga terdapat sistem kamera 360-darjah. Mungkin versi ini nanti akan menerima stereng baru tiga jejari Mazda, serta pilihan warna baru untuk balutan ruang dalaman.

    Tetapi, CX-4 ini bukanlah sama seperti CX-30; kedua-duanya walaupun diposisikan antara CX-3 dan CX-5 tetapi mempunyai saiz dimensi berbeza. CX-4 mempunyai dimensi 4,633 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,535 mm tinggi dan jarak antara roda 2,700 mm. Manakala CX-30 pula dengan ukuran 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi serta jarak antara roda 2,655 mm.

    Bagi enjin, CX-4 akan terus menggunakan unit 2.0 liter SkyActiv-G atau 2.5 SkyActiv-G empat-silinder petrol. Enjin 2.0L menghasilkan 158 hp dan 202 Nm dan digandingkan dengan kotak gear SkyActiv-MT enam-kelajuan atau SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik. Enjin 2.5L pula menghasilkan 192 hp dan 252 Nm dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Toyota Majesty – Granvia versi Thailand; van mewah berasaskan Hiace, seakan Vellfire, 10-tempat duduk

    Toyota Majesty – Granvia versi Thailand; van mewah berasaskan Hiace, seakan Vellfire, 10-tempat duduk

    Mei lalu, Toyota telah mendedahkan model Granvia di Australia iaitu van mewah dengan kelengkapan seakan MPV Alphard/Vellfire, diasaskan dari van Toyota Hiace generasi baharu. Kini, model yang sama telahpun ditawarkan pada pasaran Thailand dikenali dengan nama Toyota Majesty.

    Jika di Australia Granvia menggantikan Toyota Tarago (dikenali sebagai Estima di Malaysia), Majesty di Thai akan menggantikan Toyota Ventury iaitu Hiace versi Commuter dengan kelengkapan paling selesa. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Premium dan Grande, dijual pada harga bermula 1.709 juta baht (RM232k) hingga 2.199 juta baht (RM298k).

    ‘Kemewahan’ Majesty ini berbanding Hiace dapat dilihat bermula dari bahagian luaran dengan menampilkan lebih banyak kemasan krom terutama pada muka, sisi dan belakang, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang serta rim pelbagai jejari dengan kemasan dua-ton.

    Toyota Majesty – Granvia versi Thailand; van mewah berasaskan Hiace, seakan Vellfire, 10-tempat duduk

    Pada bahagian kabin belakang, Majesty diberikan captain seat ‘ottoman’ pada barisan kedua dengan jarak rel larasan yang panjang berkuasa elektrik seakan pada Vellfire dan Alphard. Namun berbanding MPV mewah tersebut, Majesty mempunyai kelebihan dimensi yang jauh lebih panjang, menampilkan empat baris tempat duduk dengan konfigurasi muatan untuk 10-orang.

    Bagi memudahkan penumpang masuk, kedua-dua sisi badan van ini diberikan pintu gelangsar berkuasa elektrik. Manakala untuk sistem hiburan, ia diberikan pemain DVD/CD dengan skrin sesentuh 7-inci, dihubungkan kepada 12- pembesar suara (hanya enam untuk Premium dan Standard).

    Kemasan-kemasan mewah terus diberi pada bahagian ini termasuk upholsteri kulit berwarna cerah dan juga panel-panel dengan elemen kayu. Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan tujuh-port USB dan sistem telematik T-Connect.

    Toyota Majesty dijana oleh hanya satu pilihan janakuasa iaitu enjin 2.8 liter turbo diesel sama seperi trak pikap Toyota Hilux berkuasa 164 hp/420 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan-automatik untuk memacu roda belakang.

    Casis Hiace yang lebih maju ini juga membolehkan sistem suspensi jenis 4-link diterapkan pada bahagian belakang bagi memberikan keselesaan yang jauh dari model terdahulu.

    Untuk keselamatan pula, Majesty diberikan sembilan-beg udara, termasuk beg tirai sepanjang kabin. Bukan sahaja kamera undur, model ini turut diberikan kamera pemantau sekeliling 360-darjah.

    Selain dari sistem ABS, VSC dan Traction Control, van mewah ini turut menerima pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem Amaran Pra-Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Dynamic Radar Cruise Control, dan Lampu Tinggi Automatik Dinamik. Cagak tempat duduk Isofix pula diberikan pada kabin belakang pada empat tempat duduk.

     
     
  • Audi A6 C8 3.0 TFSI quattro dilancarkan – dari RM590k

    Audi A6 C8 3.0 TFSI quattro dilancarkan – dari RM590k

    Audi A6 C8 terbaharu telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia, menawarkan varian 3.0 TFSI quattro, dengan harga dari RM589,900 atas jalan tanpa insurans (seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini).

    Ia dijana enjin petrol V6 TFSI berkuasa 335 hp dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S Tronic, bersama sistem pacuan semua roda quattro Audi. Ini membolehkan A6 3.0 TFSI memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Malah model ini turut dilengkapi sistem hibrid ringkas 48-volt, dengan bateri lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan oleh tali-sawat. Dengan adanya sistem ini, membolehkan kereta ini terus digerakkan walau enjin dimatikan, dalam kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

    Untuk ciri kelengkapannya, A6 ini turut menerima lampu hadapan dan belakang LED, bersama pakej penggayaan S Line yang terdiri dari liang kemasukan udara lebih agresif bersama kemasan sama di belakang. Ia juga dilengkapkan dengan rim aloi 20-inci dibaluti tayar 255/40R20.

    Pada bahagian dalaman, A6 turut berkongsi banyak ciri dengan A7. Antara cirinya termasuk paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 12.3-inci dan juga paparan head-up. Manakala di tengah, skrin infotaimen bersaiz 10.1-inci diletakkan di atas untuk sistem MMI Navigation Plus, disambungkan ke sistem bunyi Bang & Olufusen.

    Manakala di bawah satu lagi skrin dengan saiz 8.6-inci diletakkan untuk kawalan lain seperti pendingin hawa, pad sesentuh untuk menaip dan sebagainya. Sedikit berbeza dengan A7, A6 diberikan kemasan upholsteri berwarna perang.

    Pembeli boleh memilih 11 pilihan warna luaran termasuk tiga warna bebayang untuk kulit Valcona. Harga yang diumumkan itu termasuk dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had. Sila layari Carbase.my untuk perincian lanjut mengenai model ini.

    GALERI: Audi A6 C8 A6 3.0 TFSI quattro

     
     
  • Syed Saddiq kumpul pendapat adakah perkhidmatan teksi motosikal bagus untuk ekonomi Malaysia

    Syed Saddiq kumpul pendapat adakah perkhidmatan teksi motosikal bagus untuk ekonomi Malaysia

    Di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal (termasuk membawa penumpang) sudah menjadi kebiasaan dan digunakan oleh ramai orang. Sementara itu, di negara kita pula, khidmat ini cuma digunakan untuk penghantaran barang dan makanan.

    Melihat kepada perkara ini, menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman cuba mengumpulkan pendapat orang ramai sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan impak perkhidmatan ini kepada ekonomi. Contoh yang diambil adalah GoJek di Indonesia.

    “Anak muda Malaysia, saya perlukan suara anda. Untuk membantu golongan mat motor, adakah anda bersetuju dengan ekonomi GoJek (pengangkutan dua roda untuk orang, makanan dan perniagaan kecil)? Di Thailand atau Singapura, kurang setahun, ratusan ribu peluang pekerjaan baru tercipta,” tulis Saddiq dalam Twitter.

    Undian yang beliau lakukan dalam Twitter tersebut mengumpul sebanyak 56,427 maklum balas, dengan 88% daripadanya memilih Setuju. Undian itu cuma dilakukan dalam masa sehari dan baru sahaja tamat beberapa jam yang lalu.

    Untuk pengetahuan anda, selain penghantaran makanan dan barang menggunakan motosikal yang sedia ada sekarang (seperti GrabFood, Food Panda dan pelbagai lagi), sebelum ini juga ada khidmat teksi motosikal (membawa orang) iaitu Dego Ride di Malaysia.

    Walaubagaimanapun ia telah diharamkan oleh menteri pengangkutan pada waktu itu, Datuk Seri Liow Tiong Lain atas faktor keselamatan.

     
     
  • Toyota Sienta diperkemas tiba di Siam, dari RM103k

    Toyota Sienta diperkemas tiba di Siam, dari RM103k

    MPV kompak Toyota Sienta kini telah muncul dalam versi facelift terbaru untuk pasaran Thailand. Ia menerima sedikit perubahan ketika diperkenalkan untuk pasaran Jepun tahun lalu, tetapi untuk pasaran ASEAN, ada kelainan yang ditampilkan untuk membezakan antara keduanya.

    Sienta pertama kali muncul untuk pasaran ASEAN di Indonesia pada 2016, yang juga merupakan hab pemasangannya untuk rantau ini. Ia tiba di Malaysia tiga tahun lalu, dan kini sudah sampai masanya untuk di”segar”kan kembali.

    Rupa luaran yang khusus untuk Sienta masih lagi dikekalkan, dan perubahan yang diberikan sangat sedikit sebenarnya. Untuk tahu perbezaannya, lihat bahagian hidung MPV ini – ia tidak lagi bersambung dengan bahagian masukan udara di bawah, dengan pengenalan palang dalam warna badan. Gril pula ada kemasan “honey comb” serta tapak untuk logo Toyota warna krom.

    Lampu utama juga tiada perbezaan berbanding yang lama. Bahagian belakang juga hadir tanpa sebarang perubahan. Rim 16-inci yang ada juga digunakan semula. Cuma yang baru ialah warna Citrus Mica Metallic yang dilihat ini; ia gantikan warna hero oren sebelum ini.

    Toyota Sienta diperkemas tiba di Siam, dari RM103k

    Model JDM bagaimanapun menggunakan bahagian hidung depan satu bahagian, dan tiada kemasan krom pada tapak logo. Model pasaran Jepun juga menerima perumah lampu baru di depan dan belakang, sementara jalur hitam melintang tidak lagi bersambung pada bahagian ruang udara bawah.

    Di dalam, tiada pembaharuan diberikan kecuali pada tempat duduk; material fabrik yang digunakan dahulu diganti kulit dengan bebenang oren. Perehat tangan boleh lipat juga ditambah (untuk pemandu), dashcam depan dan belakang, sistem parkir 360-darjah, soket pengecas untuk penumpang belakang serta skrin sentuh 6.8-inci dan head unit dengan ciri T-Link.

    Untuk pasaran Siam, Sienta dijual dalam varian G dan V, dengan harga masing-masing 765,000 baht (RM103,434) dan 875,000 baht (RM118,307). Ini melibatkan peningkatan 15,000 baht (RM2,028) for the G dan 10,000 baht (RM1,352) setiap satu.

    Dari sudut keselamatan, Sienta untuk Thailand dilengkapi antaranya dengan ciri ABS, EBD, BA, VSC, bantuan mula mendaki, dan tiga beg udara. Enjin masih sama, 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i dengan janaan 108 hp/140 Nm dengan transisi CVT.

     
     
  • Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

    Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

    btrhdr

    Ingat lagi kisah Engku Mohammad Hadri yang merancang untuk ke litar “The Green Hell” Nürburgring dengan Toyota AE86 Sprinter Trueno miliknya menerusi jalan darat? Hari ini merupakan hari yang bersejarah buatnya kerana Retro Havoc Motorsport World Tour secara rasmi telah dilepaskan dari Ibu Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia, Putrajaya.

    Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan dalam perancangan ekspedisi ini atas faktor masa dan sudah tentu kewangan. Hadri tidak akan ditemani oleh kenderaan sokongan, di mana dia dan juga Sharifah Nur Sharmila (juru pandu arah), serta Abdul Rahman Halid (mekanik dan pemandu gantian) hanya akan menaiki Panda Trueno tersebut untuk ke Jerman.

    Kira-kira pukul 11 pagi tadi, Hadri secara rasminya telah dilepaskan oleh YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia di Putrajaya. Dia akan bergerak ke Kedah hari ini bersama konvoi berberapa buah lagi kereta klasik Retro Havoc, dan kemudian akan merentasi sempadan Malaysia-Thailand esok.

    Hadri, Toyota AE86 bertolak ke Nürburgring ikut jalan darat hari ini – ekspedisi dijangka tamat sekitar 3 bulan

    Selepas Thailand, Hadri akan bergerak menuju ke China, Mongolia, Latvia, Rusia dan akhir sekali di Jerman. Kemudian, Hadri bakal melakukan sesi catatan masa di Litar Nürburgring berkenaan dengan AE86 miliknya ini.

    Secara keseluruhan, Hadri dan Sprinter Trueno berkenaan akan menempuh perjalanan sejauh 25,000 kilometer, merentasi 25 buah negara. Sepanjang perjalanan, pasukan ini akan singgah ke 139 tempat, 77 daripadanya mereka akan bermalam di kawasan bandar, manakala 20 tempat lagi mereka akan singgah tidur di tapak perkemahan. Dijangkakan, ekspedisi ini akan tamat dalam masa 98 hari.

    Jika anda perhatikan, Toyota AE86 ini juga telah dibuat berberapa perubahan bagi menempuh perjalanan lebih dari tiga bulan, dan pelbagai bentuk muka bumi. Enjin 4A-GE pada perutnya masih lagi dalam keadaan sama, tetapi baru sahaja menerima rombak rawat bagi memastikan segala komponen dalaman berfungsi seperti baharu.

    ‘Pejabat’ Hadri kini dilengkapi dengan tempat duduk standard AE86 yang lebih selesa dari tempat duduk bucket perlumbaan Corbeau Sprint sebelum ini. Jenama suspensi perlumbaan boleh laras tempatan – F Tuned Racing – telah berbesar hati untuk memadankan set suspensi lengkap mereka pada kereta Hadri ini, dihasilkan khas untuk ekspedisi tersebut.

    Untuk perjalanan, suspensi berkenaan ditala dengan jarak kelegaan tanah yang agak tinggi. Ini bukan sahaja untuk memastikan keselesaan dan membolehkan kereta tersebut melalui laluan mencabar di jalan seperti laluan Trans Siberia nanti, ia juga di tala bagi membawa beban yang menurut Hadri mencecah lebih 500 kg. Satu rak bumbung tambahan juga dipadankan bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Untuk ekspedisi ini juga, Hadri menerima tajaan tayar dari Yokohama Malaysia. Untuk kegunaan jalan biasa, rim ‘pisang’ Black Racing tersebut akan dibaluti tayar Yokohama Advan Fleva. Manakala di Nürburgring nanti, Hadri akan menggunakan dua set tayar Yokohama Advan AD08 yang akan terus dihantar kesana dengan kurier, dan suspensi F Tuned Racing tadi akan di tala semula mengikut talaan yang telah pun diuji di Litar Sepang sebelum ini.

    Sepanjang perjalanannya nanti, Hadri bukan sahaja akan mempromosikan Retro Havoc dan juga budaya ubahsuai kenderaan di Malaysia. Malah kit-kit promosi untuk memperkenalkan pelancongan di Malaysia, termasuk pelancongan sukan seperti Kejohanan Moto GP dan juga pusingan terakhir FIA World TCR 2019 pada hujung tahun ini turut di bawa bersama.

    Dalam sesi sidang media pagi ini, Hadri turut mengumumkan bahawa pada penghujung ekspedisi ini, dia akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya – gadis dari Jerman yang kini menetap di sana – menerusi satu majlis ala-Melayu di negara tersebut. Sama-sama kita doakan kejayaan Hadri kali ini!

     
     
  • PLUS berusaha wujudkan lebuhraya tanpa palang tol

    PLUS berusaha wujudkan lebuhraya tanpa palang tol

    Selari dengan saranan kerajaan untuk mewujudkan lebuhraya dengan multi-lane free flow system atau sistem pelbagai lorong aliran bebas di negara ini, PLUS kini sedang berusaha untuk menuju ke arah lebuhraya tanpa operasi palang tol.

    Ketua Teknologi dan Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid menjelaskan, hal itu bagaimanapun tidak boleh dilakukan oleh PLUS secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama pihak berkuasa lain seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    “Ada banyak kekangan yang perlu diatasi dan untuk mewujudkan sistem berkenaan juga tidak semudah yang disangka. Antara kekangan utama adalah kesulitan untuk mengesan nombor plat kenderaan. Ini kerana, di Malaysia terdapat banyak format nombor plat. Justeru, kami perlu mengesahkan terlebih dahulu identiti sesebuah kenderaan itu.

    “Jika dibandingkan dengan negara Eropah, nombor plat kenderaan di sana dikeluarkan oleh kerajaan manakala di sini, pengguna boleh menempah format nombor plat yang diinginkan di kedai aksesori kenderaan,” jelas Shamsul.

    PLUS berusaha wujudkan lebuhraya tanpa palang tol

    Setakat ini, PLUS sudah menjalankan ujian percubaan pengecaman nombor plat di tiga lokasi iaitu Bandar Serenia, Southville dan Bandar Subang. “Ujian percubaan itu dibuat untuk menggabungkan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (Automatic Number-plat Recognition) dengan sistem tol. Tujuannya adalah untuk mengetahui identiti kenderaan dan cara pembayaran yang mahu dilakukan oleh pemandunya,” katanya. PLUS sudah mula menjalankan usaha berkenaan sejak dua tahun lalu.

    “Bagaimanapun, masih tiada jangka masa yang tepat bila aspirasi ini dapat dicapai. Kami ada juga berkongsi maklumat dengan pengendali tol di Singapura, tetapi keadaan di sini tidak sama dengan negara berkenaan. Singapura adalah sebuah pulau dan kenderaan di sana hanya berpusing di sekitar kawasan itu. Mungkin jika pengguna tidak membayar tol pada hari ini, mereka perlu membayarnya pada esok hari. Mereka tidak boleh lari daripada sistem di sana,” tambah beliau.

    “Namun di Malaysia, kenderaan masuk daripada pelbagai arah. Ada yang dari Thailand, ada yang dibawa menaiki kapal dari Sabah dan Sarawak. Potensi kenderaan untuk hilang tanpa membayar tol itu ada dan ia boleh menjejaskan kutipan tol dan pendapatan PLUS,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Tun M pandu sendiri Proton Saga facelift 2019

    VIDEO: Tun M pandu sendiri Proton Saga facelift 2019

    Di sebalik jadual beliau yang sentiasa padat, perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat mengambil masa untuk menguji sendiri Proton Saga facelift 2019 di sekitar Kuala Lumpur. Video berkaitan boleh ditonton di laman media sosial beliau termasuk Youtube.

    Dalam video tersebut, Dr Mahathir mulanya diberikan sedikit penerangan tentang Saga baru oleh pengarah kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon. Turut hadir pada sesi itu adalah pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar serta timbalan CEO Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

    Saga facelift 2019 dilancarkan untuk pasaran 6 Ogos lalu, dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard MT, Standard AT and Premium AT. Antara perubahan rekaan untuk model baru ini adalah termasuk gril “Infinite Weave”, bampar, serta lampu DRL LED baru. Rekaan rim dan tulisan Proton di belakang juga adalah baru.

    Di dalam, bahagian tengah papan pemuka direka semula dengan corong pendingin hawa direndahkan sedikit, bagi memuatkan skrin sesentuh 7.0 inci yang menggunakan sistem Android. Panel instrumen, fabrik yang digunakan untuk membalut tempat duduk serta tombol gear unit automatik juga adalah baru.

    Enjin Saga ini masih lagi menggunakan unit empat silinder 1.3 liter DOHC VVT yang mampu menghasilkan kuasa 95 PS pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm, tetapi bagi varian automatik, transmisinya telah ditukar kepada unit torque converter empat kelajuan daripada Hyundai (sebelum ini CVT).

    Kami telah memandu sendiri Saga facelift 2019 ini dan anda boleh membacanya di sini.

     
     
  • Bugatti Centodieci – hanya 10 unit, harga RM36.97 juta

    Bugatti Centodieci – hanya 10 unit, harga RM36.97 juta

    Pengeluar kenderaan dari Perancis, iaitu Bugatti sudah wujud lebih 100 tahun, dan dalam tempoh itu mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dan menyimpan pelbagai memori. Antara yang diambil penting adalah pengenalan model EB110 pada tahun 90-an yang melonjakkan kembali jenama mereka dalam pasaran.

    Bagi memberikan penghormatan kepada model itu, Bugatti telah memperkenalkan sebuah model baru yang dikenali sebagai Centodieci (bermaksud 110 dalam Bahasa Perancis). Angka ini bermakna bagi Bugatti pertamanya kerana model EB110 itu sendiri dan kemudiannya, ia juga diperkenalkan waktu hari lahir Ettore Bugatti yang ke-110.

    Menurut ketua pereka Bugatti, Achim Anscheidt, mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk membawa semula konsep rekaan EB110 pada Centodieci kerana kereta super sports tahun 90-an itu mempunyai bentuk yang leper, petak dan lebih banyak dua dimensi. Jadi, Centodieci dijadikan sebagai satu terjemahan moden bentuk dan teknologi EB110 pada waktunya.

    Kenderaan Bugatti juga sudah sinonim dengan kuasa. Untuk Centodieci ini mereka menggunakan enjin 8.0 liter W16 yang mampu menghasilkan 1,600 hp pada 7,000 rpm dan mampu membawa ia memecut 0-100 km/j dalam masa 2.4 saat, 0-200 km/j dalam 6.1 saat dan 0-300 km/j dalam masa 13.1 saat. Laju maksimum yang telah dihadkan secara elektronik adalah 380 km/j.

    Jika dibandingkan dengan Chiron, Centodieci ini juga adalah 20 kg lebih ringan, dan antara penyumbangnya adalah pengelap cermin serba ringan dan stabiliser yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini juga menjadikan nisbah kuasa kepada berat Centodieci lebih tinggi iaitu 1.13 kg bagi setiap hp.

    Centodieci hanya dikeluarkan sebanyak 10 unit dari kilang Bugatti di Molsheim, Perancis, namun kesemuanya telah pun habis dijual. Harga untuknya bermula 8 juta Euro termasuk VAT (RM36.97 juta) dan akan diserahkan kepada pembeli dalam masa dua tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026