Sejak tahun 2017, Audi telah muncul dengan kenderaan konsep masa hadapan yang menggunakan nama AI. Setakat ini sudah ada tiga model iaitu PB18, AIcon dan AI:ME, dan tidak lama lagi ia akan disertai pula oleh AI:TRAIL yang akan membuat penampilan pertama semasa Frankfurt Motor Show (IAA 2019) September nanti.
Tapi sebelum itu, Audi telah mengeluarkan satu gambar teaser untuk AI:TRAIL, yang merupakan kenderaan kuasa elektrik dan boleh dibawa ke atas jalan offroad. Dengan tujuan sebegitu, sudah tentu kenderaan ini duduk lebih tinggi daripada biasa.
Bukan itu sahaja, bahagian depan sudah hampir seperti sebuah buggy dengan penghadang lumpur yang tinggi dan minimal manakala untuk belakang ia lebih lebar. Walaubagaimanapun, kenderaan ini masih mempunyai kabin yang tertutup penuh dan tingkap luas, menjadikan pintunya lebih kecil.
Bahagian lain yang boleh dilihat pada kenderaan ini adalah rim enam cabang yang dibalut dengan tayar bertekstur khas, pembuka pintu yang lebih rendah (supaya senang dibuka memandangkan badannya terletak tinggi), tiada hud dan ruang enjin di hadapan dan sirip di atas bumbung.
Jika dibandingkan dengan model konsep AI yang lain, AI:TRAIL ini adalah berbeza kerana AI:ME lebih kepada sebuah kenderaan bandar, AIcon untuk perjalanan jarak jauh manakala PB18 pula adalah kenderaan lumba. Perincian lanjut spesifikasi AI:TRAIL hanya didedahkan semasa IAA 2019 nanti.
Mulai 8 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan pindaan terbaharu bagi peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan motor. Berdasarkan pindaan tersebut, ia akan membenarkan penggunaan lapisan cermin gelap yang mana VLT menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan boleh kurang daripada 70% cahaya tampak dengan syarat bahawa kenderaan itu dilengkapi dengan cermin sisi pandang belakang di kanan dan kiri (side mirrors). Walau bagaimana pun, VLT pada cermin hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu adalah masih kekal seperti sedia ada.
Walau bagaimana pun, kebenaran ini hanyalah untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, VLT tidak boleh kurang daripada 70%. Untuk pindaan terbabit, pelaksanaan bagi penguatkuasaannya akan dimulakan selepas tiga bulan ia diumumkan.
Bermakna, penguatkuasaannya telah pun dimulakan pada bulan ini. Justeru, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun memulakan penguatkuasaanya termasuklah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar ibu kota malam tadi.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata Operasi Pengarah JPJ WPKL Bil 3/2019 telah mengeluarkan sebanyak 416 notis atas pelbagai kesalahan trafik. Ini termasuklah 83 daripada notis yang dikeluarkan adalah berkenaan kesalahan cermin gelap.
“Terdapat ramai pengguna jalan raya yang masih tidak memahami peraturan penggunaan cermin gelap yang dikuatkuasakan pada Mei lepas. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam serta barangan, peratus ketelusan cahaya tidak boleh kurang daripada 70%,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Mengenai peraturan baharu tersebut, sebelum ini, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak dipanggil berbincang sama sebelum ia dikuatkuasakan. Menurut PDRM, faktor keselamatan pasukannya juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.
“Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baharu ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan. Malah ia juga menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar,” ujar Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.
Malahan sehingga kini, Kementerian Pengangkutan masih belum mengumumkan mekanisme penguatkuasaan untuk peraturan baharu ini selepas perbincangan dengan pihak JPJ dan polis dilakukan pada Mei lalu. Sudah tiga bulan berlalu, tapi apa pula keputusan untuk penguatkuasaanya?
Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan Cycle & Carriage Bintang Mutiara Damansara Autohaus yang diperbaharui. Fasiliti baharu dengan kos pelaburan sebanyak RM18 juta ini, telah memperkenalkan sentuhan sofistikated dan mewah untuk ruang pengedaran, digabungkan dengan elemen digital moden bagi sudut servis, jualan dan nasihat.
Semua elemen peruncitan telah ditambahbaik dan dimodenkan dengan penampilan baharu, bermula dengan ruang hadapan, jualan dan servis hinggalah ke penghantaran. Disokong oleh media, ruang jenama baharu yang ditampilkan ini membantu pelanggan dengan memberikan pengalaman yang lebih menarik secara maya dan realiti.
Konsep senibina yang ditunjukkan pada bilik pameran, yang menampilkan tona perak-putih, dengan pelbagai elemen Mercedes CI (Corporate Identity), termasuk menampilkan pelan lantai terbuka dengan siling yang tinggi banyak memberikan pandangan yang menarik di segenap ruang.
Fokus pada ruang bermakna keseluruhan ruang pameran digunakan secara eksklusif untuk orientasi perkhidmatan pelanggan, tanpa stesen kerja tetap di ruangan pameran. Pelbagai lokasi tempat duduk boleh dipilih secara fleksibel untuk sesi konsultasi individu mengikut keutamaan pelanggan.
“Kehadiran imej jenama baharu ini memang untuk mengubah bahagian peruncitan. Di Mercedes-Benz, kami ingin memberikan pengalaman bermakna buat para pelanggan. Malah kami percaya dengan pengenalan kepada jenama baharu ini membolehkan para pelanggan terus mempercayai jenama kami,” ujar presiden dan CEO MBM Claus Weidner.
Menurut CEO Cycle & Carriage Wilfrid Foo pula, syarikatnya berbangga menjadi yang pertama memperkenalkan penjenamaan baharu Mercedes-Benz di negara ini. Tambahnya, C&C Bintang telah mensasarkan untuk memperkenalkan identiti korporat peruncitan baharu ini untuk tiga lagi lokasi Autohaus – di Johor Bahru, Ipoh dan Alor Setar – menjelang hujung tahun ini, dengan jumlah pelaburan sehingga RM60 juta.
Selepas membuktikan apa yang Proton boleh tawarkan dalam pasaran menerusi SUV Proton X70, rakyat Malaysia tertunggu-tunggu janji Proton untuk membawa satu lagi SUV yang lebih kecil, berada dalam kelas segmen-B yang kini sedang dikuasai oleh Honda HR-V.
Pada September tahun lalu, Proton telah menerima lesen dari Geely yang mana jenama automotif Malaysia itu kini telah sah untuk menggunakan hak intelektual (IP) dan hak untuk memproduksi dan menjual tiga model Geely iaitu Geely Boyue yang telah dipasarkan sebagai Proton X70 (juga akan mula dipasang di Tanjung Malim tahun ini), dan juga dua lagi model pada pasaran China iaitu SUV Binyue dan MPV Jiaji. Jadi, Binyue hampir pasti akan dijelmakan sebagai Proton, dan ia didakwa akan digelar sebagai X50.
Adakah benar ia akan diberi nama Proton X50?
Sehingga kini, Proton masih belum mengumumkan nama rasmi untuk SUV tersebut, tetapi berberapa petanda bahawa nama “X50” bakal digunakan untuk model ini. Pertama, ketika menerangkan mengapa nama “X70” dipilih untuk SUV segmen-C mereka, Proton menjelaskan mereka akan menerapkan nama yang menggunakan konsep abjad angka (alphanumeric) untuk model-model mereka bagi memudahkan ia dijual pada pasaran eksport kelak, tanpa merubah nama yang lebih sesuai untuk pasaran selain dari Malaysia.
Dalam kes X70, abjad “X” bermaksud ia adalah SUV atau crossover, manakala “70” adalah merujuk kepada saiz atau kelas model tersebut. Sistem nama ini adalah seiras dengan sistem yang digunakan oleh Volvo untuk model mereka, misalnya XC untuk SUV/Crossover dan S untuk sedan. Jadi untuk SUV kompak baharu Proton ini, nombor X50 adalah yang paling mungkin kerana 5 adalah nombor ganjil sebelum 7.
Satu lagi yang menguatkan dakwaan X50 ini akan digunakan adalah kerana Proton telahpun memfailkan nama “Proton X50” berkenaan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan nombor permohonan 2018003484 pada 28 mac 2018, dan ia telah diluluskan pada 24 September 2018.
Model mana yang akan menjadi asas kepada Proton X50 ini?
Seperti yang disebutkan tadi, X50 akan dibina berasaskan Geely Binyue yang sudah pun masuk ke pasaran China pada Ogos 2018. Binyue yang akan dijelmakan sebagai X50 telah pun ditemui sedang diuji di Malaysia, seperti biasa mengenakan pelekat penyamaran.
Binyue dihasilkan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm. Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm.
Jika mengambil kira apa yang diterapkan pada Proton X70, kita mungkin boleh agak apa yang dibuat oleh Proton untuk dijelmakan sebagai X50 – sudah tentu ia akan diberikan gril Infinite Weave, iaitu elemen rekaan diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu yang kini turut diterapkan pada Iriz, Persona dan Saga facelift 2019. Bagaimana agaknya rupa X50 nanti? imej bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin ini mungkin akan membantu anda berimaginasi.
Di China, Binyue ditawarkan dalam dua jenis janakuasa sama ada gandingan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 134 hp/205 Nm dengan kotak gear manual enam kelajuan, atau padanan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo menjana 174 hp/255 Nm yang dibina bersama Volvo dan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan automatik.
Model Binyue dengan janaan hibrid plug-in turut ditawarkan pada pasaran China, yang menggabungkan enjin 1.5 liter tersebut dengan motor elektrik dan penambahan pek bateri. Secara keseluruhan, Binyue PHEV berkenaan dibekalkan dengan kuasa 255 hp/415 Nm, dengan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 60 km.
Tiada langsung perincian disahkan oleh Proton setakat ini, namun kami jangkakan X50 di Malaysia akan ditawarkan dalam versi petrol 1.5 liter turbo tanpa sistem hibrid. Jika benar pakej ini diberikan pada X50 kelak, ini bermakna ia adalah model pertama Proton yang akan dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik, sekiranya transmisi itu tidak ditawarkan pada X70 terlebih dahulu.
Untuk kelengkapan pula, Binyue pasaran China menampilkan fungsi pemanduan sendiri tahap 2 dengan ciri-ciri seperti cruise control adaptif dan bantuan parkir dan sistem brek kecemasan automatik (AEB). Ia juga ditawarkan dengan sistem infotainmen GKUI dan skrin sesentuh 10.25-inci serta paparan meter digital dengan skrin tujuh-inci.
Kami jangkakan juga hampir kesemua fungsi dan ciri dari Binyue akan diterima oleh Proton X50. Ini kerana X70 juga menerima hampir semua saduran teknologi dari Geely Binyue termasuk sistem “Hi, Proton” dan cruise control adaptif, tidak mustahil sistem parkir automatik turut akn diberikan pada X50.
Bila Proton X50 akan dilancarkan? Adakah ia akan hadir dalam versi CKD?
Juga tiada sebarang pengumuman rasmi dari Proton berkenaan perkara ini. Tetapi menurut AmInvestment, X50 akan dilancarkan pada Oktober 2020, dan ia akan dihasilkan secara pemasangan tempatan.
Tahun lalu, Proton telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi menaiktaraf fasiliti mereka di Tanjong Malim bagi menghasilkan X70 CKD, dijangka akan mula diproduksi pada September 2019. Namun tiada pengumuman adakah ia turut meliputi untuk pemasangan kenderaan dari platform BMA. Tetapi berkemungkinan besar, ia adalah sebahagian dari tingkat taraf tersebut.
Buat masa sekarang, X70 ada model yang diimport sepenuhnya dari China, dan versi CKD akan dilancar tahun ini. Berdasarkan jangkaan dari AmInvestment tadi, dipercayai X50 akan terus diperkenalkan sebagai model CKD tanpa unit awalan dari China seperti X70.
Berapa julat harga Proton X50 nanti?
Ini satu lagi persoalan yang agak popular, dan sudah tentu belum ada sebarang perincian dari Proton sendiri. Buat masa sekarang, abangnya X70 dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, jadi X50 ini berkemungkinan akan dijual lebih murah.
Pelbagai jangkaan yang tular di media sosial, tetapi semuanya lebih bersifat spekulasi. Namun bagi kami sendiri, anggaran yang dibuat adalah X50 akan dijual RM20,000 lebih murah dari X70 iaitu dari RM79,800 hingga RM103,800, dengan sedikit pertindihan antara X50 Premium dan X70 Standard.
Jika jangkaan ini betul, X50 pastinya akan memberikan ancaman terhadap model dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR. Melihat bagaimana X70 berhadapan dengan saingannya sekarang, tidak mustahil perkara sama terjadi pada X50 nanti.
Kami akan sentiasa mengemaskini artikel ini sekiranya menerima apa-apa lagi pendedahan, terutamanya dari Proton sendiri sehingga ia dilancarkan nanti. Jadi untuk mengetahui perkembangan terkini berkenaan Proton X50 ini, teruskan bersama kami.
Honda Civic Si Coupe dan Sedan dengan kemaskini tahun 2020 kini telah buat kemunculan dipasaran Amerika Syarikat. Antara lain, ia menerima perubahan dari segi penggayaan dan kelengkapan.
Aspek luaran, kedua-dua versi sedan dan coupe menerima wajah depan baru yang mirip dengan Civic Hatchback 2020 terkini yang baru saja didedahkan minggu lalu. Bahagian bawah bagi bamparnya kini menerima perubah lampu kabus yang baru dengan kemasan hitam berkilah dengan palang ikut warna badan, dengan panel hitam menggantikan hiasan honeycomb mesh sebelum ini.
Rekaan “wing” pada bahagian atas gril juga baru, terletak di tengah lampu utama LED serta lampu kabus baru. Di belakang, Si Sedang membawa perubahan sama yang ada di depan, termasuk hiasan bilah yang ada, sementara Si Coupe pula kekal seperti sebelum ini. Semua model Civic Si kini menggunakan rim 18-inci hitam kesat dengan rekaan baru.
Di dalam, kedua-dua versi kereta ini menerima tempat duduk sport baru, dengan kemasan perincian merah. Ciri Active Sound Control juga baru, yang menggunakan sistem audio untuk menggayakan lagi bunyi enjin ketika pemanduan lincah.
Selebihnya, ia menggunakan kemaskini terakhir yang diberikan bagi model tahun 2019, seperti sistem Display Audio dengan butang fizikal dan tombol bunyi, ruang cawan yang lebih luas dan brek parkir elektronik.
Tambahan terbaru yang penting untuk dinyatakan ialah pakej keselamatan Honda Sensing yang didatangkan standard. Ini merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Departure Warning (LDW).
Tiada perubahan yang dilakukan terhadap output janaan unit enjinnya. Ia menggunakan unit 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder yang sama dengan janaan 205 hp pada 5,700 rpm dan 260 Nm tork dari 2,100 rpm hingga 5,000 rpm. Civic Si, yang menjadi penawaran prestasi bagi model ini dan diposisikan di bawah versi Type R hanya menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan.
Satu perkara yang diberi penambah baikan ialah nisbah gear akhir yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih responsif, tetapi dengan penggunaan minyak yang lebih. Model tahun 2019 memberikan kadar penggunaan minyak 7.35 l/100 km (32 mpg), sementara model tahun 2020 ini pula memberikan 7.84 l/100 km (30 mpg). Kedua-dua model dijual pada harga bermula US$25,000.
Modenas hari ini melancarkan secara rasmi pusat 3S pertama untuk motosikal street mereka, yang dipanggil sebagai Modenas Power Store di Sunsuria Avenue, Kota Damansara, Selangor. Menurut siaran akhbar yang diberi, pusat ini akan menyediakan sokongan servis, jualan dan alat ganti untuk motosikal street, terutamanya model Pulsar dan Dominar.
Ini adalah Modenas Power Store pertama di rantau ASEAN, dan selain daripada jualan motosikal, orang ramai juga boleh menikmati pelbagai khidmat lain seperti baik pulih, servis dan ubah suai yang menggunakan alat ganti serta aksesori asli yang datang daripada seluruh ASEAN.
“Modenas Power Store bukan sahaja meningkatkan pengalaman pembelian pelanggan, tetapi juga memberikan mereka pengalaman pemilikan yang menyeluruh. Ini seterusnya membenarkan kami membina dan mengekalkan hubungan jangka masa panjang dengan pelanggan dalam negara,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
“Malaysia mempunyai pasaran motosikal yang unik dan sedang berkembang. Melalui kerjasama kami dengan Modenas, kami dapat membawa model motosikal kami yang berjaya ke Malaysia, dan membenarkan pembeli di sini menikmati motosikal berkualiti tinggi pada harga mampu milik,” kata presiden perniagaan antarabangsa Bajaj Auto Limited, Sameer Deshpande.
Sekarang ini, Modenas memasarkan tiga model hasil kerjasama dengan Bajaj iaitu Pulsar RS200, Pulsar NS200 dan Dominar D400 yang dijual pada harga masing-masing RM11,350, RM9,300 dan RM15,488 tidak termasuk insurans.
Awal bulan ini, beberapa pengedar Kia ada memuat naik di media sosial berkaitan kenaikan harga beberapa model jenama itu. Ia berikutan berlakunya perubahan dasar terhadap duti eksais. Senarai harga ini, yang telah pun disahkan oleh Naza Kia, adalah untuk varian-varian terpilih bagi model Picanto, Rio, Sorento dan Grand Carnival – bermula bulan Ogos.
Bagi model paling murah, Picanto GT Line, ia menyaksikan kenaikan harga sebanyak RM2,000 menjadi RM59,888. Sementara itu, harga bagi Rio 1.4 SX hanya naik RM1,000 menjadi RM79,888. Bagi varian paling tinggi Sorento 2.2 CRDi SX, ia kini dijual pada harga RM189,888 – naik sebanyak RM4,000.
Bagi Grand Carnival, varian paling asas KX kini RM4,000 lebih mahal menjadi RM159,888, sementara varian paling tinggi, SX menyaksikan kenaikan RM5,000 kepada RM189,888. Model-model serta varian lain tidak terkesan dengan peningkatan harga ini.
Ini menjadikan model-model tertentu Kia naik kembali kepada harga sebelum pemansuhan cukai GST tahun lalu. Pengecualian hanyalah bagi model Picanto GT Line, Sorento 2.2 CRDi SX (murah sedikit) dan Grand Carnival SX (mahal sedikit).
Peraduan bulanan Petronas Sprinta Bonanza anjuran Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB) yang masih berlangsung sehingga 30 September 2019 kini telah menemui pelanggan dan pemenang bertuah terbaru.
Norasyikin bin Mohd Salleh, seorang ibu kepada tiga orang anak, yang berasal dari Johor telah dipilih sebagai pemenang bagi edisi bulan Julai 2019. Beliau telah menyertai peraduan ini melalui pembelian pakej minyak pelincir dan T-shirt Sprinta dari khemah jualan Petronas di kejohanan PETRONAS Cub Prix di Pontian, Johor pada Julai lalu.
Jelas Norasyikin, suaminya memang sudah berhasrat untuk membeli motosikal model Yamaha Y15ZR dalam masa terdekat. Namun, tuah kemenangan ini telah membolehkan mereka untuk membatalkan niat tersebut. Beliau bersama keluarga hadir ke acara Petronas Cub Prix pusingan ke-enam di litar Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini untuk majlis penyampaian hadiah kemenangan motosikal berkenaan.
Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah. Setakat ini, seramai lima pemenang bertuah peraduan ini telah diumumkan, bermula sejak edisi Mac lalu. Mereka yang bertuah termasuk Sahrulnaim bin Sahrahan, Mohd Arif bin Mohmad Yasin, Muhamad Faez bin Aju, Ahmad Shafiq bin Ahmad Sharifudin dan terkini Norasyikin binti Mohd Salleh.
Masih terdapat dua buah Yamaga Y15ZR untuk dimenangi sehingga tamat tempoh peraduan pada 30 September nanti. Hadiah kedua (Yamaha R25) dan utama (Yamaha R6) pula bakal disampaikan di acara bersempena MotoGP November nanti oleh pelumba-pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT; Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.
BMW M4 Coupe F82 ini sebenarnya sudah dilancarkan di Malaysia tapi unit yang anda lihat ini dijadikan lebih menyerlah dengan warna Java Green Metallic yang diambil daripada katalog warna BMW Individual. Ia adalah satu-satunya contoh yang berada di Malaysia dan dijual pada harga RM772,800 tidak termasuk insurans.
Melihat kepada spesifikasi, model ini masih lagi menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter dengan pengecas turbo, dan mampu menghasilkan kuasa 431 hp dan 550 Nm tork. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan M, dengan sistem Drivelogic.
Hasilnya, kereta ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j (dihadkan secara elektronik). Barangan mekanikal lain yang diberikan adalah termasuk Active M Differential, Adaptive M Suspension, M Drive dengan pelbagai tetapan serta stereng kuasa M Servotronic.
Daripada aspek rekaan, M4 Java Green ini juga dipasang dengan kemasan High Gloss Shadow Line daripada BMW Individual, bumbung gentian karbon, rim M 19 inci dengan tayar 225/35 di hadapan dan 275/35 di belakang serta lapik bumbung anthracite, juga daripada katalog BMW Individual.
Kelengkapan standard lain kenderaan ini adalah termasuk head-up display khas untuk model M, tempat duduk M dengan pelarasan bahagian penyandar, 16 pembesar suara Harman Kardon dengan amplifier digital 699 watt, sistem navigasi BMW 8.8 inci dengan pengawal iDrive serta beberapa kemasan lain yang khas untuk model M.
Seperti biasa, BMW M4 didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan serta penyelenggaraan berkala percuma. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari CarBase.my untuk melihat spesifikasi serta membandingkan kereta ini dengan model lain.
Dua tahun lalu, sedan segmen-A Perodua Bezza masuk ke pasaran Sri Lanka buat pertama kali, dan hari ini jenama automotif nasional kedua itu mengumumkan bahawa model berkenaan telah berjaya dinamakan sebagai sedan bawah 1.0 liter paling laris di negara tersebut.
Menurut Perodua, sehingga kini sebanyak 1,500 unit Perodua Bezza telah dijual di Sri Lanka. Bukan setakat dalam kategori sedan, malah jika diletakkan dalam kelas keseluruhan kenderaan baharu bawah 1.0 liter termasuk hatchback, Bezza masih lagi juara di negara berkenaan.
Bezza ditawarkan hanya dalam satu varian tunggal di Sri Lanka, dijana enjin 1.0 liter digandingkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan, dijual pada harga Rs 3.69 juta (RM86,200). Pengedar tempatannya, Unimo Enterprises, kini telah menjual lebih 15,600 kenderaan Perodua sejak 1997.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises En Mahesh Gunathilake dan kakitangannya atas usaha mereka untuk mempromosikan jenama Perodua yang telah membawa kepada pencapaian ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Dato’ Zainal berkata Perodua akan terus memberi sokongan kepada para pengedarnya di luar Malaysia, selari dengan hasratnya untuk berkembang di rantau Asia-Pasifik.
“Kami bekerja rapat dengan Unimo dengan menyediakan latihan teknikal dan pengetahuan produk untuk kakitangan jualan dan servis mereka, supaya kami dapat memberi keyakinan penuh kepada pelanggan Sri Lanka yang kami hargai,” tambahnya lagi.
“Pelanggan kami menggemari Perodua Bezza dan Axia kerana kenderaan tersebut kompak, praktikal, berkualiti tinggi, boleh dipercayai, lasak serta cekap bahan api. Kedua-duanya juga mempunyai ruang dalaman yang cukup luas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises En Mahesh Gunathilake.
“Khususnya, Perodua Bezza telah memperkenalkan segmen sedan kompak dengan jayanya di Sri Lanka, pasaran yang telah lama meminati kenderaan hatchback. Pelanggan kami menggemari rekabentuknya, keselesaannya dan ruang bagasinya yang berisipadu 508 liter. Perodua Bezza boleh menempatkan lima orang dengan selesa dan juga membawa bagasi mereka, menjadikannya sangat sesuai untuk perjalanan seisi keluarga,” tambahnya.
Untuk 2019, Perodua mensasarkan untuk mengeksport sebanyak 3,270 kenderaan – 50% lebih daripada 2,184 unit yang dieksport tahun lepas. Sehingga kini, sebanyak 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar dengan Sri Lanka adalah pasaran eksport terbesarnya.
Rekaan ‘Aeroback’ sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa dari Proton – berbanding asas Lancer Fiore dan Lancer generasi keempat dihasilkan dalam bentuk sedan dan wagon, hanya Proton yang hadir dengan Saga dan Wira dalam bentuk badan Aeroback lima-pintu.
Namun selepas Gen2, tiada lagi model Aeroback dari Proton. Jadi bagaimanalah agaknya kalau Proton Saga generasi terkini dihasilkan dengan bentuk sedemikian? Tak payah pejam mata nak bayangkan, nah, pakar manipulasi automotif Theophilus Chin dah hasilkannya untuk anda.
Sama seperti model-model Aeroback sebelum ini, tiada perubahan diberikan pada bahagian muka dimana Theo masih mengekalkan rupa Proton Saga facelift 2019 yang baru saja dilancarkan awal bulan ini. Perubahan dimulakan pada bahagian tengah kereta berkenaan, dengan garis bumbung lebih landai hampir seperti Proton Gen2.
Dengan tiang-C yang lebih lebar, bahagian but dibuat lebih pendek dari sedan, dan ia sudah tentu direka dengan bukaan sekali dengan cermin belakang, membolehkan anda meletakkan barang lebih besar setelah tempat duduk belakang direbahkan.
Kluster lampu belakang utama pada bahagian sisi badan masih kelihatan sama, tetapi unit pada penutup but telah direka semula dengan lampu yang direka merentasi keseluruhan bahagian tersebut. Perkataan ‘PROTON’ pula telah alihkan ke atas, sekaligus merubah muka belakang kereta ini.
Theo turut menyuntik lebih elemen sporty pada Saga Aeroback ini dengan memadankan satu jalur hitam pada bahagian bawah sisi dan juga spoiler kecil pada penutup but belakang.
Pasti menarik sekiranya Proton menghasilkan model ini bukan? Dan ia mungkin boleh mengambil tempat Saga LMST yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai kereta keluarga, malah boleh dijadikan sebagai pengangkutan berniaga kecil-kecilan seperti membuka gerai di acara-acara carboot sale dan sebagainya.
Tetapi, sama juga dengan jenama lain, Proton di bawah Geely kini sudah tentu turut mengambil kira akan aspek skala ekonomi. Jika Saga Aeroback ini dihasilkan, jumlah jualannya dengan model sedan pasti terbahagi dua, dan menyebabkan kos untuk menghasilkannya tidak efektif.
Apa pendapat anda pula? Anda suka sedan atau Aeroback? Kongsikannya pada ruangan komen di bawah.
Pusingan ke-10 Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2019, Rali Jerman yang diadakan pada permukaan jalan tar telah berakhir semalam, menyaksikan pasukan kendalian bekas Juara Dunia empat kali, Tommi Makinnen iaitu Toyota Gazoo Racing World Rally Team menyapu bersih podium 1-2-3!
Cabaran pasukan tersebut diketuai oleh pemandu dari Estonia, Ott Tanak yang menghabiskan kesemua SS dalam masa 3 jam 15 minit 29.8 saat, meninggalkan rakan sepasukan Kris Meeke dari Britain 20.8 saat di belakang. Manakala pelumba Finland Jari-Matti Latvala tiba di garisan penamat di SS terakhir bersama Toyota Yaris WRC 36 saat di belakang berbanding pendahulu rali.
Tiga jentera Hyundai i20 Coupe WRC menghuni tiga tempat di belakang, dengan Thierry Neuville berada di tempat keempat, Dani Sordo di tempat kelima, dan Andreas Mikkelsen berada di tempat keenam. Juara Dunia enam-kali dari Perancis yang kini memandu untuk pasukan Citroën Total World Rally Team dengan jentera Citroën C3 WRC hanya berpuas hati di tempat ketujuh setelah berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk tayar pecah pada hari terakhir rali tersebut
Dengan keputusan ini, Ott Tanak semakin selesa pada kedudukan pertama carta pungutan mata untuk bergelar Juara Dunia dengan 205 mata, meninggalkan Thierry Neuville 35 mata di belakang. Sebastien Ogier pula kini berada di kedudukan ketiga dengan 165 mata. Manakala untuk kategori pengeluar, Hyundai masih di hadapan dengan 289 mata, mempunyai kelebihan hanya lapan mata berbanding Toyota di tempat kedua.
Musim 2019 hanya berbaki empat pusingan lagi dengan pusingan seterusnya adalah Rali Turki pada 12 hingga 15 September, diadakan pada laluan dengan permukaan batu kerikil. Jika Tanak atau Neuville berjaya bergelar Juara Dunia untuk musim ini, mereka secara tidak langsung akan menamatkan penguasaan ‘dua Sebastien dari Perancis’ sejak 2004 – Sebatien Loeb juara dari 2004 hingga 2012 (sembilan kali) dan Sebastien Ogier dari 2013 hingga 2018.
Desas-desus model Triumph 765 yang menggunakan fairing penuh akhirnya terjawab apabila pengeluar itu mendedahkan secara rasmi Triumph Daytona Moto2 765 Limited Edition. Ini adalah sebuah model keluaran terhad 765 unit untuk seluruh dunia, dan merupakan model yang paling dekat dengan jentera perlumbaan Moto2, tetapi boleh digunakan untuk jalan biasa.
Ia diserapkan dengan pelbagai kelebihan yang diperoleh oleh Triumph sebagai pembekal enjin untuk siri perlumbaan Moto2, dan enjin tiga silinder 765 cc yang digunakan mempunyai lebih kuasa berbanding Street Triple 765, iaitu 128 hp pada 12,250 rpm dan 80 Nm tork pada 9,750 rpm. Kotak gear menggunakan unit enam kelajuan, siap dengan quickshifter untuk naik dan turun gear.
Antara bahagian yang membantu peningkatan kuasa ini adalah termasuk injap titanium, piston yang diperkuat, pin gudgeon yang disalut dengan DLC mengikut spesifikasi MotoGP, profail cam baru, trumpet untuk bahagian intake, con rod, crank dan barrel yang diubah suai, serta nisbah mampatan yang lebih tinggi – dari 12.6:1 menjadi 12.9:1.
Sebagai sebuah model yang mendapat inspirasi daripada jentera lumba, Daytona 765 keluaran terhad ini cuma mempunyai tempat duduk untuk satu orang, dan menggunakan banyak panel badan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk keseluruhan fairing, panel belakang, penghadang lumpur depan dan belakang serta pelindung rantai.
Pada bahagian kokpit, model ini menggunakan panel instrumen TFT warna penuh yang sama seperti Street Triple 765, dan di bahagian atas top yoke terdapat catatan nombor keluaran. Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk brek Brembo Stylema di hadapan, suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya depan dan belakang, lima mod tunggangan serta pencatat masa pusingan.
Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd kini secara rasminya telah membuka Pusat 4S Proton terbesar yang pertama di Malaysia, bertempat di Kota Kinabalu, Sabah.
“Keputusan yang diambil untuk menjadi pengedar Proton tidak sukar kerana kami yakin potensi Proton di Sabah. Rangkaian model sedia ada sangat berdaya saing dan mempunyai teknologi yang canggih serta dilengkapi ciri-ciri yang mampu menarik minat generasi pembeli kereta baru,” ujar Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi, Thomas Chiu Kui Yin.
Pencapaian Proton yang semakin meningkat. Bermula dengan pelancaran Proton X70 pada 12 Disember 2018, Proton telah menambahbaik semua rangkaian modelnya dan telah berhasil meningkatkan jumlah pegangan pasaran secara berterusan. Pegangan pasaran keseluruhan Proton kini adalah pada 15% iaitu sebanyak 52,269 unit kereta telah dijual, pertumbuhan sebanyak 47% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dan disertai oleh Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, barisan Pengarah Fook Loi dan ahli pengurusan kanan Proton yang turut sama hadir.
Selain melancarkan Subaru Forester generasi kelima semalam, Motor Image turut memperkenalkan bilik pameran Subaru PJ yang dinaiktaraf bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna buat para pelanggannya.
Salah satu daripada naiktaraf utara ialah dengan adanya teknologi augmented reality (AR) dan virtual reality (VR), di mana ia memberikan pengalaman membeli-belah secara lebih interaktif. Dengan AR, pelanggan boleh melihat model Subaru dalam warna dan kemasan yang berbeza dengan menggunakan Apple iPad.
Sementara itu, dengan menggunakan VR headset yang ditempatkan di sebuah bilik khas, pelanggan boleh melihat model Subaru secara 360-darjah, termasuk ‘boleh memasuki’ kenderaan berkenaan. Jadi, ia membolehkan pelanggan menikmati pengalaman untuk model berkenaan secara maya, sekiranya ia tidak dipamerkan di bilik pameran tersebut.
Bukan itu sahaja, bilik pameran ini turut dilengkapi dengan ruang pemainan kanak-kanak, “Subaru Loves Children & Babies Forest” dan juga sudut aksesori rasmi dan produk cenderahati gaya hidup Subaru.
Selepas Subaru Outback dan Forester untuk pasaran Malaysia turut dilengkapi dengan EyeSight, pastinya ramai yang ingin mengetahui bila pula giliran XV? Dalam sesi temubual yang berlangsung selepas pelancaran Forester pagi tadi, Glenn Tan, pengarah urusan Tan Chong International memaklumkan crossover tersebut bakal menjadi model ketiga untuk dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan tersebut.
Walau bagaimana pun, Tan berkata, EyeSight hanya akan diperkenalkan menerusi XV facelift apabila ia dilancarkan di negara ini kelak, namun tidak memaklumkan bilakah ia bakal berlangsung. XV generasi kedua telah diperkenalkan di peringkat global di Geneva Motor Show 2017, dan kini telah diberikan peningkatan kitaran-pertengahan.
Model semasa XV merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), yang dilancarkan pada November 2017 tanpa kehadiran EyeSight, walau pun sistem tersebut telah pun ditawarkan untuk model berkenaan di pasaran negara lain termasuk Filipina.
Ketika berlangsungnya Singapore Motor Show pada tahun lalu, Tan mendedahkan XV yang dijual di Malaysia akan menerima EyeSight menjelang separuh pertama 2019, namun sehingga kini model facelift tersebut masih belum tiba di sini. Jadi, kenalah kita menantikan bilakah XV facelift yang dilengkapi EyeSight bakal diperkenalkan di pasaran kita.
Kereta dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm yang dipandu oleh pemandu Sweden, juga juara WTCC 2017, Thed Björk telah mencatatkan masa 7 minit 20.143 saat di Nürburgring, atau 25 saat lebih pantas dari pemegang rekod FWD sebelum ini iaitu Renault Megane RS Trophy-R, dan 4 saat lebih laju dari rekod kereta empat-pintu sebelum ini – Jaguar XE SV Project 8.
Rekod 7 minit 20.143 saat ini adalah rekod yang dicatatkan pada litar penuh 20.832 km selari dengan standard rasmi Nürburgring, dan bukan versi lebih pendek dengan jarak 20.600 km yang digunakan pengeluar lain, menurut Cyan Racing. Untuk rekod litar versi lebih pendek, kereta ini mencatatkan masa 7 minit 15.123 saat.
Peristiwa ini juga merekodkan sejarah buat Lynk & Co sebagai kereta China pertama membuat rekod di Nürburgring menggunakan kereta yang diasaskan dari model produksi massa. Secara purata, Björk telah memandu kereta tersebut pada kelajuan 170.4 km/j pada litar berjarak 21 km yang turut dikenali sebagai “The Green Hell” berkenaan.
“Kami terus membangunkan kereta ini dalam hujan lebat dan panas terik pada litar yang paling menggerunkan dalam dunia ini. Kereta tersebut sangat seronok untuk dipandu tidak kira dalam apa jua keadaan, di Nürburgring atau Autobahn. Rekod yang kami capai ini merupakan sesuatu yang saya letakkan sama tahap dengan gelaran juara dan serlahan tugas saya untuk memindahkan pembangunan dari kereta lumba kepada kereta jalan raya,” kata Thed Björk.
Dan untuk musim ini, Cyan Racing kembali bersama Lynk & Co, masih dipandu oleh Thed Björk. Projek model jalan raya ini adalah kesinambungan dari model-model dengan konsep sama sebelumnya iaitu Volvo C30 Polestar Concept berkuasa 450 hp dan Juga S60 Polestar Concept berkuasa 508 hp.
“Kami terus melangkaui sempadan dan sasaran yang telah kami tetapkan untuk 03 Cyan Concept, kereta yang berperanan untuk membangunkan platform bagi kereta serta peralatan berprestasi tinggi Lynk & Co pada masa hadapan. Sementara tujuan utama kami adalah untuk pembangunan, rekod yang kami pecahkan adalah bukti kukuh kepada potensi dan kebolehan platform Lynk & Co, serta falsafah kejuruteraan kami setelah berada lebih dari dua dekad dalam sukan permotoran dan kereta jalan raya berprestasi,” kata Henrik Fries, ketua R&D automotif Cyan Racing.
Namun, kereta ini masih lagi belum dijual dalam pasaran buat masa sekarang. Pembangunan 03 Cyan Concept ini akan diteruskan sepanjang 2019, dengan fokus pasukan tersebut selepas ini akan beralih ke ujian musim sejuk di utara Sweden sebagai salah satu ujian bagi menjadikannya sebuah kereta berprestasi tinggi yang boleh digunakan dalam semua keadaan jalan, semua musim dan semua situasi.
Selain dari rekod ini, Cyan Racing juga sebenarnya adalah pemegang rekod kereta pacuan roda hadapan terpantas sebelum ini menerusi jentera lumba sebenar Volvo S60 Cyan TC1 iaitu jentera sama dipandu Bjork ketika bergelar juara WTCC 2017 (Nordschleife + litar GP dengan masa 8:34.813), dan juga bekas pemegang rekod kereta empat pintu terpantas dengan kereta Volvo S60 Concept pada tahun 2016 dengan catatan masa 7:51.110 pada litar 20,832km.
190325 Cyan Racing PCP4 on the Nürburgring Nordschleife.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190313 Cyan Racing PCP4 around the Nürburgring.
190513 PCP4 Conceptcar, recordattempt at Nürburgring with Lynk & Co.
Melalui model Concept-i yang didedahkan pada tahun 2017, Toyota sudah mula menunjukkan visi mereka untuk kenderaan masa hadapan yang mesra dan menyeronokkan. Kini, model tersebut diperbaharui, menjadikannya lebih dekat kepada realiti kerana akan digunakan sewaktu acara Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.
Daripada gambar yang didedahkan, bentuk asas kenderaan ini yang unik masih dikekalkan, tetapi ia sekarang mempunyai kemasan berwarna emas, keseluruhan tayar belakang yang ditutup dan cuma boleh dilihat melalui lubang-lubang kecil, rim yang lebih kecil, serta cermin sisi dan empat pintu yang terbuka seperti biasa.
Bahagian dalam juga masih sama, dengan papan pemuka yang melengkung serta konsol tengah yang seakan terapung. Antara bahagian yang diubah untuk penggunaan dalam dunia sebenar adalah seperti tempat duduk lebih besar serta roda stereng berbentuk bulat. Panel instrumen menggunakan latar berwarna putih, dan ia akan dipantulkan ke cermin hadapan dengan sistem head-up display.
Tiada perincian spesifikasi yang didedahkan setakat ini, tetapi Toyota telah mengesahkan bahawa Concept-i akan dikuasakan oleh elektrik daripada bateri dengan kemampuan autonomous Level 4 dan boleh berinteraksi dengan penumpang. Mereka juga mahu mengetengahkan ciri ini semasa ia digunakan untuk membawa penumpang di acara tersebut.
Concept-i akan digunakan sebagai kenderaan operasi untuk acara penyerahan obor Olimpik dan kenderaan pengiring semasa acara maraton. Ia akan menyertai 3,700 lagi kenderaan lain yang mempunyai tugas rasmi waktu sukan tersebut, dan 90% daripadanya menggunakan kuasa elektrik seperti hibrid, plug-in hybrid, elektrik penuh atau hydrogen fuel cell.
Antara contoh kenderaan lain Toyota yang terlibat adalah seperti Accessible People Mover (APM) untuk orang yang memerlukan khidmat mobiliti istimewa, e-Palette untuk pekerja dan atlet, serta alat bantuan bergerak yang boleh bersambung dengan kerusi roda. Selain daripada itu, Toyota juga akan membekalkan 500 buah model Mirai dan bas fuel cell Sora untuk acara tersebut.
Harga petrol RON 97 bagi tempoh seminggu ke hadapan, dari 24-30 Ogos, akan dinaikkan sebanyak dua sen. Setelah harga tidak berubah minggu lalu, RON 97 akan dijual pada harga RM2.51 seliter bermula tengah malam ini.
Bagi petrol RON 95 pula, ia seperti biasa masih ditambat pada harga RM2.08 seliter, tanpa perubahan. Untuk diesel, ia juga masih kekal RM2.18 seliter untuk Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28 seliter.
Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.21 seliter dan RM2.25 seliter. Ini melibatkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.19 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.21 seliter.
Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 24 Ogos 2019 sehingga 30 Ogos 2019 adalah berjumlah RM55.48 juta.
Opel telah mengumumkan bahawa mereka telah membina sebuah kereta rali elektrik sepenuhnya (EV) yang akan dibekalkan kepada pasukan yang berminat. Kereta tersebut dihasilkan dari model EV Opel Corsa-e generasi baharu, dan ia akan membuat penampilan sulungnya di Frankfurt International Motor Show 2019 bulan hadapan.
Kereta rali Corsa-e tersebut akan menggunakan motor elektrik sama seperti Corsa-e produksi jalan raya biasa, menghasilkan 100 kW (136 hp) dan tork maksima 260 Nm. Ia menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 50 kWj yang boleh dicas cepat yang boleh mencapai 80% penuh dalam masa 30 minit.
Kereta tersebut juga masih boleh di cas dengan cable menerusi wallbox atau pengecaj kelajuan tinggi, manakala paras kuasa dalam bateri boleh diperiksa menerusi aplikasi “myOpel”.
Menurut Opel, Corsa-e Rally ini akan memberikan pemanduan dinamik dan seronok sama seperti model produksinya, dengan tambahan peralatan rali lain seperti suspensi rali boleh laras, roll cage bersepadu yang ringan, komputer trip rali dari Tripmaster, pelindung bawah badan untuk melindungi motor elektrik dan transmisi, pemadam api elektrik, dan juga sistem amaran keselamatan elektrik bervoltan tinggi yang baru sahaja dihasilkan.
Kereta rali ini ditimbang dengan berat 1,400 kg, dan ia diukur sedikit lebih besar dari model jalan raya biasa. Ia 5 mm lebih lebar dan tinggi, manakala jarak rodanya ditarik 2 mm lebih panjang. Selain itu, ia turut menerima peralatan perlumbaan lain seperti paparan instrumen perlumbaan dengan sistem data-logger, brek tangan hidraulik jenis “fly-off”, serta brek dengan sistem pengurusan dan pemulihan tenaga.
Tiada sistem pacuan semua roda pada Corsa-e ini dimana kuasa dari motor elektrik hanya memacu roda hadapan – Opel tidak mengumumkan kategori mana Corsa-e ini akan bertanding, tetapi mungkin ia akan menyertai mana-mana kelas produksi 2WD berdasarkan spesifikasi yang ditampilkan.
Namun ia tetap menerima LSD jenis Torsen bagi mendapatkan lebih cengkaman pada kedua-dua roda hadapan. Corsa-E Rally ini juga diberikan set rim 17-inci dengan offset ET20, dan sistem lampu-lampu tambahan untuk SS pada kawasan gelap.