Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mazda CX-5 2019 akan dilancarkan di Malaysia; varian 2.5L petrol turbo ditawarkan, tempahan dibuka esok

    Mazda CX-5 2019 akan dilancarkan di Malaysia; varian 2.5L petrol turbo ditawarkan, tempahan dibuka esok

    Tidak sampai dua tahun Mazda CX-5 generasi baharu sampai di Malaysia, versi tingkat taraf (dikenali sebagai model 2019) bakal menerjah pasaran Malaysia tidak lama lagi. Berita baik untuk mereka yang mahukan enjin petrol lebih berkuasa, Bermaz turut mengumumkan bahawa kali ini versi 2.5L petrol turbo turut ditawarkan, dan tempahan untuk versi baharu ini akan dibuka esok.

    Walau bagaimanapun, perincian lebih lanjut masih belum diumumkan. Pada pasaran Jepun, model petrol paling berkuasa tersebut dijana oleh enjin 2.5 liter turbo empat-silinder SkyActiv-G berkuasa 230 PS pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, bersama sistem pacuan semua roda.

    Untuk varian lain, model 2019 ini dijangka akan menerima tingkat taraf kecil – bagi model JDM, ia diberikan paparan meter digital seperti pada Mazda 3 baharu, suis kawalan pendingin hawa baharu, paparan head-up pada cermin hadapan, sokongan Apple Carplay/Android Auto dan pelbagai lagi.

    Model generasi kedua ini telahpun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2017, ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol NA SkyActiv-G iaitu dalam versi 2.0 liter dan 2.5 liter, serta satu pilihan enjin turbodiesel iaitu enjin 2.2 liter SkyActiv-D. Tahun lalu, ia menerima sedikit kemaskini dengan pemadanan sistem bukaan pintu tailgate belakang tanpa sentuh untuk varian-varian terpilih.

    Bermaz juga akan mempamerkan model baharu ini kepada orang ramai sebelum ia dilancarkan, bersama model-model lain dalam roadshow yang akan diadakan di Sunway Piramid bermula 4 hingga 9 September ini.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5L Turbo 2019 pasaran Jepun

     
     
  • K’jaan akan teliti kewajaran hentikan perbaharui cukai jalan di pejabat pos di Sabah, Sarawak dan Langkawi

    K’jaan akan teliti kewajaran hentikan perbaharui cukai jalan di pejabat pos di Sabah, Sarawak dan Langkawi

    Berkuatkuasa 1 September lalu, urusniaga memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan dengan enjin berkapasiti 2,000 cc dan ke atas di pejabat pos di seluruh Sabah (termasuk Labuan), Sarawak, dan Langkawi dihentikan. Arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini dikatakan bertujuan untuk membanteras tindakan segelintir pemandu yang sengaja cuba mengelak daripada membayar cukai jalan yang lebih tinggi.

    Walau bagaimana pun, Kementerian Pengangkutan mengesahkan bersedia untuk meneliti semula arahan terbabit dan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, pada minggu ini.

    “Ini cadangan JPJ bukan arahan Menteri Pengangkutan, saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” ujar Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    K’jaan akan teliti kewajaran hentikan perbaharui cukai jalan di pejabat pos di Sabah, Sarawak dan Langkawi

    Loke berkata, JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit. Tambahnya lagi, pada masa sama kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.

    “Ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri ini akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan,” sambungnya lagi.

    Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial minggu lepas. Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta dan menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

     
     
  • Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

    Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

    Selepas sah menerima homologasi penuh dari FIA Mac lalu, dan membuat kemunculan sekaligus bergelar juara Forest Rally Stage di Goodwood Festival of Speed buat kali ketiga berturut-turut pada Julai 2019, Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) sekali lagi menjuarai rali peringkat nasional British, kali ini di Woodpecker Stage Rally 2019 – pusingan ke-6 dalam siri rali BTRDA – hujung minggu lalu.

    Iriz R5 pasukan MEM tersebut masih dikendalikan oleh pemandu utamanya, Oliver Mellors dibantu juruarah Ian Windress. Tanpa sebarang masalah, Ollie Mellors dan Iriz R5 menamatkan 5 SS dalam rali yang diadakan di sekitar Ludlow, England berkenaan dalam masa 43 minit 34 saat, meninggalkan George Lepley yang memandu Mitsubishi Lancer Evo X di tempat kedua 20 saat di belakang.

    Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta WRC pula tertinggal 33 saat untuk berada di tempat ketiga, dan Ian Bainbridge yang memandu Skoda Fabia R5 ketinggalan 53 saat dan menamatkan rali ini di tangga keempat.

    Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

    Dalam lima SS Woodpecker Stage Rally ini, Ollie berjaya mencatatkan masa terpantas dalam empat SS. Walaupun terlanggar sesuatu pada SS kedua, Iriz R5 tersebut masih mencatatkan masa terpantas dengan kelebihan 16-saat.

    “Hari ini merupakan hari yang hebat, tiada langsung drama. Kereta ini sangat hebat, kami betul-betul menikmatinya,” kata Olie selepas disahkan sebagai juara.

    “Saya juga tujukan kemenangan ini untuk semua rakan kami di Malaysia, sempena Hari Merdeka pada 31 Ogos – hari kebangsaan Malaysia yang memperingati Deklarasi Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Ini adalah masa yang sangat tepat untuk kami memberikan kemenangan rali untuk Proton pada hari yang sangat istimewa untuk mereka,” kata Ollie lagi.

    Proton Iriz R5 Juara Woodpecker Stage Rally 2019

    Woodpecker Rally 2019 ini juga menyaksikan dua buah Iriz R5 berlumba serentak – satu lagi (juga dibina oleh MEM) dipandu oleh Theo Bengry dari pasukan Leominster Car Auctions. Bengry yang sebelum ini dominan dalam siri-siri Historic Rally, sedang mula membiasakan diri dengan jentera rali 4WD moden, namun hanya menamatkan rali ini di tempat ke-18.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S dinaiktaraf di Pulau Pinang

    Proton lancar pusat 3S dinaiktaraf di Pulau Pinang

    Proton telah melancarkan pusat 3s baharu yang terletak di Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Pusat 3S yang diubahsuai dan dinaiktaraf ini dikendalikan oleh Autobinee Oriental Sdn Bhd (Autobinee), dan ia merupakan cawangan 3S pertama di negeri tersebut yang mempamerkan identiti baharu Proton. Autobinee adalah antara pengedar terawal Proton dan telah beroperasi sejak 1989.

    Dirasmikan oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, pusat 3S yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1 juta ini berada di kawasan seluas 703 meter persegi serta dilengkapi empat ruang servis dan empat pengangkat.

    Menurut Yeap Teow Teong, Pengerusi Autobinee Oriental Sdn Bhd, “Penambahbaikan cawangan adalah penting kerana kami mengutamakan para pelanggan. Apabila mereka melangkah masuk ke bilik pameran atau ketika menghantar kereta mereka untuk diservis, kami mahu mereka berasa gembira dan seperti dialu-alukan. Cawangan ini juga menyediakan kemudahan seperti WiFi percuma, ruang minuman dan ruang menunggu serta tapak parkir yang banyak untuk keselesaan mereka”.

    Wilayah Utara adalah salah satu penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan jualan Proton. Dari Januari sehingga Julai tahun ini, wilayah ini telah mengutip jualan lebih daripada 9,800 kereta, peningkatan sebanyak 36% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi negeri Pulau Pinang sahaja, peningkatan lebih daripada 38% telah dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas. Hampir keseluruhan daripada jumlah ini disumbangkan oleh penjualan Saga, Persona dan X70.

    “Pasaran di bahagian wilayah utara adalah penting. Pulau Pinang khususnya, adalah negeri yang mempunyai pembeli yang mempunyai cita rasa tinggi. Untuk memenuhi jangkaan mereka, kami faham bahawa produk yang hebat perlu disokong oleh pengalaman pelanggan yang sama hebat. Inilah yang telah menjadi teras kepada strategi rangkaian kami dalam pelan rancangan pertumbuhan Syarikat,” kata Radzaif.

    Proton lancar pusat 3S dinaiktaraf di Pulau Pinang

    Penambahbaikan rangkaian cawangan dan peningkatan kualiti produk telah menyumbang kepada pertumbuhan yang sangat memberangsangkan pada tahun 2019. Sehingga kini, jenama ini telah menjual sebanyak 52,269 unit kereta, peningkatan 47% berbanding tempoh sama tahun lepas.

    “Kami telah mula melihat hasil dari usaha kami. Prestasi positif yang dapat dilihat tahun ini adalah gabungan hebat dari kepelbagaian produk, kawalan kos yang baik, peningkatan kualiti dan strategi baharu bagi rangkaian cawangan Syarikat. Usaha ini semua telah membawa Proton menduduki tempat kedua dari segi jualan kereta di Malaysia. Walau bagaimanapun, ini hanyalah permulaan kerana terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan dan kami komited untuk memastikan jenama ini terus meningkat naik,” ujar Radzaif lagi.

     
     
  • 10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Selamat Hari Merdeka! Dikesempatan ini, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengimbau kembali apa yang telah kita capai sepanjang 62 tahun ini – dari hal berkaitan automotif, tentunya. Sebagai sebuah negara, kemajmukan budaya antara kaum antara perkara yang perlu kita semai dan pertahankan, untuk meraikan kepelbagaian. Tetapi, pertanyaan lain yang tak kalah menarik untuk diajukan adalah ini; apakah sebenarnya kereta Malaysia?

    Bagi kami, kereta Malaysia perlulah “menyentuh” pengalaman dan perjalanan kita sebagai sebuah warga negara yang bebas, baik bagi yang tua atau muda. Tapi, adakah ia perlu dihadkan kepada kereta dari jenama tempatan sahaja? Bagaimana dengan kereta dari jenama luar yang telah bertapak lama sepanjang sejarah kewujudan Malaysia? Jadi, untuk itu, kami bawakan senarai sepuluh kereta atau kenderaan yang paling “Malaysia”.

    10. Perodua Kancil

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Ini mungkin sebuah kereta yang hampir semua daripada kita pernah pandu atau naiki. Kenapa? Jika anda mengambil lesen kereta dalam tempoh selepas ia diperkenalkan pada 1994, inilah model yang penting yang digunakan itu – dan masih digunakan hingga sekarang untuk tujuan itu. Kancil juga menjadi kereta yang paling murah pernah diperkenalkan di Malaysia (diwarisi seterusnya oleh Viva dan kemudiannya Axia ketika ini), membolehkan ramai orang mempunyai capaian terhadapnya. Disebabkan itu, Kancil sangat dekat di hati kita secara kolektif sebagai warga Malaysia.

    9. Datsun 120Y

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Ini agaknya kereta dari jenama Jepun tetapi mampu berkongsi status dengan Kancil sebagai kereta yang melekat dalam memori kebanyakan daripada kita. Ini juga model penting yang menjadi tunggak kepada kejayaan Nissan di Malaysia kemudiannya. Ia kemudiannya disusuli oleh model seperti 130Y/Nissan Sunny dan juga Nissan Vanette yang menjadi bertambah popular dalam kalangan pengguna ketika itu.

    8. Proton Gen 2

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Ini agaknya model Proton yang terawal menampilkan kandungan tempatan yang tertinggi dalam pembikinannya. Walaupun Waja kerap mendapat jolokan sebagai kereta Proton yang mendapat sentuhan terbanyak oleh orang Malaysia, ia sebenarnya masih diasaskan dari model Mitsubishi Carisma. Sebaliknya, Gen 2 merupakan sebuah kereta yang direka sendiri, dan dipasangkan dengan enjin empat-silinder yang juga dibangunkan sendiri oleh Proton – buat pertama kali ketika itu. Memang, terdapat banyak masalah dengan kereta itu, tetapi kita tak boleh menafikan jalan ceritanya yang satu ini.

    7. Toyota Alphard/Vellfire

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Ini dua kembar MPV yang merajalela di jalanraya Malaysia sejak beberapa lama dahulu. Toyota Alphard dan Vellfire yang besar ini menikmati penerimaan yang sangat meluas daripada khalayak di Malaysia. Sehinggakan, dalam versinya yang terbaru dalam pasaran ketika ini, UMW Toyota mengambil keputusan untuk membawa masuk model ini secara rasmi disebabkan popularitinya dalam kalangan grey importer di Malaysia yang seterusnya mendapat sambutan yang sangat luar biasa, terutama bagi mereka yang berkeluarga – dan yang nak hitamkan semua tingkap untuk jadikannya sebuah kereta dengan imej VIP.

    6. Volvo 240

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Mungkin ada yang tak tahu, Malaysia sudah mula memasang dan mengeluarkan kereta sebelum Proton ditubuhkan lagi. Pada 1967, sedekad selepas negara merdeka, Swedish Motor Assemblies membuka kilangnya di sini. Dan, model Volvo 240 inilah yang membawa jenama itu meledak popularitinya di Malaysia. Imej konvensional berkotak ini jugalah yang sekian lama menjadi rujukan dan dipinjam untuk menghasilkan kereta-kereta lain sehingga ke hari ini – terutama oleh model-model Volvo sendiri seperti 740, 850 dan S70 sehinggalah kepada kereta modennya yang lebih ranggi.

    5. Mitsubishi Pajero

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Dulu, SUV hanya dikenali kerana ketangkasan, ruang dan keupayaan pacuan off-road, sebelum beralih sebagai pilihan paling popular untuk keselesaan, ketika ini. Jadi, dalam banyak-banyak jentera 4×4 sebenar era 80an dan 90an, ia tidak sah kalau tak menyebut nama Mitsubishi Pajero. Sayangnya, ketika perjanjian antara Mitsubishi dan Proton termeterai, hanya kenderaan komersial pengeluar Jepun ini yang terjual dengan meluas di sini. Pajero antara yang paling terkesan dalam kepala, sehinggakan semua SUV selepas itu akan disebut “Pajero”, sama seperti status yang dinikmati oleh satu lagi model berikutnya di tangga ke-empat.

    4. Toyota Hilux

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Inilah kenderaan yang dimaksudkan; semua trak pikap yang hadir selepasnya tidak akan dapat lari daripada bayangan Toyota Hilux. Walaupun telah mengalami banyak evolusi rekaan, daripada bentuk petak dan garis bucu tajam kepada yang lebih lembut dan berlekuk seperti versi sekarang ini, ia tetap trak nombor satu di Malaysia dari segi imej. Dan, Hilux juga mungkin menjadi perintis terawal peralihan penggunaan trak pikap dari bertujuan untuk kerja-kerja kasar misalnya di tapak pembinaan kepada kenderaan untuk kegunaan harian. Oh, satu lagi; ada waktunya dahulu, Hilux juga menjadi kenderaan yang paling banyak dicuri!

    3. Toyota Vios

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Lagi satu kereta paling popular dalam kalangan warga Malaysia keluaran Toyota. Sebelum kehadirannya, kereta keluaran Honda dan Toyota dirasakan agak mahal bagi kebanyakan orang. Tetapi melalui Vios, Toyota mengubah tanggapan itu dengan menawarkanya sebagai pilihan yang mampu milik bagi sedan dalam segmen B. Katalah apa sahaja, Vios “dugong” atau Vios “teksi Siam”, ia akhirnya terpahat dalam imajinasi rakyat Malaysia dan akhirnya bertebaran di atas jalan raya kita sehinggalah ke hari ini – siap merancakkan semula kegilaan di Malaysia terhadap bodykit.

    2. Perodua Myvi

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Rasanya kereta ini tidak lagi memerlukan apa-apa pengenalan atau penjelasan. Sejak kelahirannya, Myvi telah berkembang menjadi ikon yang tersendiri dalam kalangan masyarakat, baik dari sisi yang positif mahupun negatif. Yang positif, ia menjadi kereta yang sangat mampu milik, dan dalam masa sama menawarkan keselesaan dan kualiti pada harganya. Yang negatifnya pula, ia kini menerima jolokan antara lain sebagai “Taliban” dan “kereta sport kebangsaan” – publisiti yang entahkan baik atau buruk, tetapi berhasil mengukuhkan nama Myvi dalam minta ramai orang.

    1. Proton Saga

    10 kereta paling “Malaysia” – kita raikan kemajmukan

    Tempat pertama ini rasanya memang tak boleh diberikan kepada model kereta lain; dosa besar kalau kami lakukan itu. Saga inilah kereta nasional pertama yang dipasang dan keluarkan oleh Malaysia, ketika itu dengan kerjasama Mitsubishi, pada tahun 1985. Nama Saga juga terus dikekalkan sehingga hari ini, dan berubah menjadi sebuah kereta bajet yang tetap ingin memberikan penawaran yang berkualiti pada harga yang mesra poket. Di dalam penampilannya yang terbaru, Saga 2019 kembali untuk berbakti kepada golongan kebanyakan – memberikan hak dengan penawaran yang berbaloi kepada rakyat Malaysia. Macam mana, anda setuju dengan senarai kami? Ada cadangan yang lain?

     
     
  • Perbaharui cukai jalan di pejabat pos dihentikan di Sabah, S’wak, Langkawi untuk kereta 2.0L ke atas

    Perbaharui cukai jalan di pejabat pos dihentikan di Sabah, S’wak, Langkawi untuk kereta 2.0L ke atas

    Pos Malaysia telah mengumumkan mulai 1 September 2019, tiada lagi urusan perbaharui cukai jalan dilakukan di pejabat pos di Sabah (termasuk Labuan), Sarawak dan juga Langkawi, bagi kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin 2,000 cc dan ke atas. Walau bagaimana pun, notis ini tidak melibatkan kenderaan dengan kapasiti enjin di bawah 2,000 cc. Arahan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Walau pun tidak menjelaskan secara terperinci, namun langkah JPJ ini dikatakan bertujuan untuk membanteras tindakan segelintir pemandu yang sengaja cuba mengelak daripada membayar cukai jalan yang lebih tinggi.

    Ini kerana cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan di Malaysia Timur adalah kurang berbanding dengan kenderaan di Semenanjung, dan terdapat banyak kes kenderaan yang didaftarkan (dan dipandu) di Semenanjung yang menggunakan cukai jalan yang dikeluarkan di Sabah/Sarawak tanpa memaklumkan kepada JPJ berkenaan perubahan lokasi.

    Walau pun menyedari ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 24 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan penalti akan dikenakan jika tertangkap, namun demikian, ia tidak menghalang seseorang itu untuk mendapatkan bantuan individu daripada Malaysia Timur untuk memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di Sabah/Sarawak.

    Pergantungan memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan berkapasiti enjin yang lebih tinggi menerusi pejabat pos di lokasi berkenaan bermakna pemilik kenderaan perlu melakukannya di pejabat JPJ sendiri atau pun di UTC, dan mungkin perlu membuktikan bahawa kenderaan tersebut sebenarnya berada di negeri terbabit dan bukan di tempat lain.

     
     
  • Harga minyak 31 Ogos hingga 6 Sept – RON 97 turun

    Harga minyak 31 Ogos hingga 6 Sept – RON 97 turun

    Seperti biasa pada hari Jumaat, harga bahan api untuk pasaran Malaysia akan dikemas kini. Untuk minggu seterusnya, RON 97 dijual lebih rendah berbanding minggu sebelum ini.

    Bermula esok, 31 Ogos, RON 97 akan dijual pada harga RM2.50 seliter (turun satu sen daripada RM2.51 minggu lepas). Sementara itu, petrol RON 95 pula terus dijual pada harga tetap RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan tidak kiralah harga pasaran semasanya.

    Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 31 Ogos hingga 6 Sept – RON 97 turun

    Menurut menteri kewangan, jika mengikut perkiraan Automatic Price Mechanism (APM), petrol RON 95 sepatutnya dijual pada harga RM2.20 seliter manakala diesel pada RM2.23 seliter tanpa kawalan harga. Dengan harga jualan yang telah ditetapkan, kerajaan akan menyerap kos subsidi sebanyak RM48.84 juta untuk tempoh 31 Ogos hingga 6 September.

    Harga terkini yang dikeluarkan ini akan diguna sehingga 6 September, sebelum harga baru diumumkan. Ini adalah kali ke-34 harga bahan api dikemas kini secara mingguan, dan diumumkan pada hari Jumaat. Harga yang diumum diguna untuk hari Sabtu hingga Jumaat minggu seterusnya.

     
     
  • Jaguar Land Rover bangunkan head-up display 3D

    Jaguar Land Rover bangunkan <em>head-up display</em> 3D

    Kebanyakan head-up display yang berada dalam pasaran sekarang menghasilkan paparan 2D, tetapi nampaknya Jaguar Land Rover (JLR) mahu menjadikannya lebih maju lagi dengan membangunkan sistem paparan 3D yang menggunakan augmented reality untuk memantulkan informasi terus kepada pandangan jalan di hadapan.

    Melalui sistem ini, pengeluar dari British ini mahu meningkatkan lagi waktu maklum balas pengeluaran informasi seperti amaran keluar dari laluan, pengesan bahaya dan penunjuk arah, sambil mengurangkan kesan gangguan pandangan dan membantu pemandu menilai keadaan pemanduan.

    Pada masa hadapan, teknologi ini juga mungkin boleh digunakan oleh penumpang untuk menonton filem 3D yang menggunakan teknologi pengesan kepala dan mata. Dengan sistem ini, mereka tidak perlu memakai sebarang cermin mata 3D dan dapat menikmatinya dengan lebih selesa.

    Jaguar Land Rover bangunkan <em>head-up display</em> 3D

    Sistem ini dianggap sangat berguna, terutamanya pada kenderaan autonomous, di mana beberapa penumpang boleh melihat media masing-masing seperti perincian perjalanan, tempat menarik ataupun tayangan filem – semuanya dioptimakan mengikut tempat mereka duduk.

    Sistem head-up display generasi seterusnya ini adalah sebahagian daripada perancangan masa hadapan “Smart Cabin” JLR, yang menggunakan pelbagai teknologi untuk menghasilkan ruang tersendiri bagi pemandu dan penumpang dalam kenderaan. Ia juga disasarkan untuk meningkatkan ciri keselamatan, hiburan serta kemudahan lain dalam kenderaan.

     
     
  • Volkswagen Fest 2019 berlangsung hujung minggu ini

    Volkswagen Fest 2019 berlangsung hujung minggu ini

    Jika anda belum ada apa-apa perancangan untuk hujung minggu ini, anda mungkin ingin berkunjung ke Volkswagen Fest 2019. Dianjurkan oleh Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM), acara tahunan ini kembali lagi bermula hari ini, 30 Ogos hingga 1 September 2019 bertempat di perkarangan tempat letak kereta Pusat Persidangan Setia City, 10 pagi hingga 10 malam.

    Antara perkara yang ada untuk semua pengunjung antaranya pra-tonton model terbaru jenama itu yang akan dilancarkan Oktober nanti, Volkswagen Arteon. Selain itu, program kereta terpakai Das WeltAuto yang baru saja dilancar menawarkan barisan kenderaan terpakai yang telah menerima penelitian dan pengesahan Volkswagen sendiri akan menanti semua. Ini, tentunya dengan tanda harga serta nilai pakej keluruhan yang menarik, yang tidak ada di mana-mana sebelum ini.

    Volkswagen Fest 2019 berlangsung hujung minggu ini

    Bagi yang berminat untuk memandu uji kenderaan Volkwagen, anda juga boleh berbuat demikian. Barisan model Volkswagen di Malaysia akan disediakan di tapak acara. Bagi mereka yang ingin meneruskan dengan tempahan dan pembelian, tawaran hebat dan rebat akan menanti pengunjung; semua tempahan yang dibuat di lokasi akan menerima baucar rebat Merdeka RM1,000.

    Antara tawaran istimewa yang disediakan misalnya bagi Passat Comfortline 1.8 TSI yang dijual pada harga RM114,888. Selain itu, pemeriksaan kenderaan juga ada disediakan. Bagi Tiguan dan Passat, ia turut ditawarkan dengan lanjutan tempoh dua tahun lagi ke atas program penyelenggaraan percuma tiga-tahun yang diberikan sebelum ini. Kenderaan Volkswagen boleh juga dibeli dengan kadar faedah serendah 1.88% setahun, layak untuk pembeli kereta baru sebelum 31 Disember 2019.

    Volkswagen Fest 2019 berlangsung hujung minggu ini

    Ringkasnya, pengunjung boleh memandu uji dan membeli kenderaan baru Volkswagen, menukar kereta lama mereka, mendapatkan pemeriksaan percuma serta permohonan pinjaman sekiranya perlu, semua ini tersedia di lokasi sepanjang Volkswagen Fest berlangsung. Selain itu, sudut food truck dan jualan makanan juga ada disediakan. Tak lupa juga kepada penggemar kereta klasik Volkswagen, banyak model-model olskool akan turut dipamerkan – tak lupa juga belon udara panas. Macam-macam perkara menarik ada di sana, menanti pengunjung.

     
     
  • Mitsubishi M’sia buka pusat 3S baharu di Setiawan

    Mitsubishi M’sia buka pusat 3S baharu di Setiawan

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), bekerjasama dengan pengedar yang sah, Lofty Ambition Sdn Bhd, bagi membuka pusat 3S baharu dengan memilih Setiawan, Perak, sebagai lokasi. Ini merupakan bilik pameran Mitsubishi yang ketiga yang dikendalikan oleh Lofty Ambition di negeri berkenaan, selain di Ipoh dan Taiping yang telah beroperasi sebelum ini.

    Malahan Pusat 3S Mitsubishi Setiawan ini menjadi bilik pameran pertama di bahagian utara yang ditampilkan dengan jenama korporat baharu yang diwakili tagline global ‘Drive Your Ambition’.

    “Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition merupakan rakan perniagaan sejak 2014. Dalam masa yang singkat, Lofty Ambition telah berkembang pesat dan memperkukuhkan jenama Mitsubishi di Perak. Malah pembukaan bilik pameran ketiga Mitsubishi di negeri ini membuktikan komitmen dan kerja keras Lofty Ambition terhadap jenama ini,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

    Terletak di No. 1, Jalan Medan Serdang 1, Medan Serdang, 32000 Sitiawan, Perak, pusat 3S ini turut menempatkan ruang menunggu bagi pelanggan dan juga bengkel yang lengkap dengan perkakasan berteknologi moden termasuklah Special Set Tools (SST) untuk menyelenggara kenderaan Mitsubishi.

    Buat masa ini, MMM telah mempunyai 52 bilik pameran dengan 47 daripadanya adalah pusat 3S dan 54 pusat servis di seluruh Malaysia. Untuk Malaysia Timur, MMM memiliki 15 bilik pameran dengan tujuh daripadanya berada di Sarawak dan lapan pula di Sabah.

     
     
  • Volkswagen Malaysia lancarkan program Das WeltAuto

    Volkswagen Malaysia lancarkan  program Das WeltAuto

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Das WeltAuto, sebuah program kenderaan terpakai global Volkswagen yang menawarkan kepada pelanggan nilai yang lebih menarik bagi pemilikan mana-mana barisan kenderaan Volkswagen.

    Melalui program ini, pelanggan tidak perlu bimbang kerana semua kenderaan yang disahkan oleh Das WeltAuto sudahpun melalui 133-poin pemeriksaan ketat dan menyeluruh, yang dijalankan serta disahkan oleh juruteknik berpengalaman Volkswagen sendiri.

    Selain itu, semua model dan jenama diterima untuk tujuan tukar beli (trade-in) dan pelanggan juga bakal menikmati lanjutan jaminan dan bantuan tepi jalan selama setahun. Sebagai tambahan, pelanggan boleh menikmati manfaat Volkswagen Care Plus untuk kenderaan Volkswagen yang berusia lima tahun ke atas.

    Volkswagen Malaysia lancarkan  program Das WeltAuto
     
    “Apa yang membuatkan Das WeltAuto berbeza daripada saluran jualan kereta terpakai yang lain ialah pelanggan boleh mengharapkan tahap perkhidmatan terbaik sama seperti pengalaman membeli sebuah kereta baru. Kakitangan berpengalaman kami akan memberi khidmat nasihat terbaik dan telus.

    “Sebagai sebahagian daripada janji Das WeltAuto, hanya alat ganti tulen akan digunakan pada kereta terpakai ini. Ia juga tidak pernah terlibat dalam kemalangan dan didatangkan lengkap dengan bukti penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen,” ujar Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.
     
    Sebagai permulaan, Das WeltAuto ditawarkan oleh empat pengedar Volkswagen; Volkswagen Puchong, Volkswagen Gombak, Volkswagen Alor Setar dan Volkswagen Juru. Pelanggan juga boleh melihat kenderaan yang ditawarkan di laman web Das WeltAuto. Ia sentiasa dikemas kini, lengkap dengan maklumat terperinci dan pilihan sama ada untuk pertanyaan atau menempah sesi pandu uji.

     
     
  • kiplePark perkenal sistem imbas plat nombor kereta untuk parkir – guna kaedah e-tiket, tanpa tunai

    kiplePark perkenal sistem imbas plat nombor kereta untuk parkir – guna kaedah e-tiket, tanpa tunai

    Selalu hilang tiket parkir? Hah! Lepas ni masalah anda mungkin dapat diatasi dengan adanya sistem e-tiket parkir yang semakin diperluaskan. Anak syarikat Green Packet Bhd, kiplePay Sdn Bhd memperkenalkan kiplePark teknologi pengiktirafan plat lesen (LPR) di Malaysia untuk parkir kenderaan. Teknologi baharu ini menggunakan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk mengimbas dan mengenal plat nombor kenderaan menerusi kamera dan portal pengurusan berpusat, dengan matlamat utama menyediakan pengalaman tanpa tunai, tanpa tiket dan pastinya lebih lancar.

    Sistem ini boleh dipasang pada fasiliti dalam atau luar bangunan serta akan disambungkan ke sistem parkir sedia ada, yang mampu merakamkan jutaan imej plat nombor. Syarikat ini berkata, sistem ini juga dapat mengesan fon plat yang bukan-standard dan juga plat yang telah patah, dengan kadar ketepatan melebihi 99%.

    Pengguna perlu mendaftarkan nombor pendaftaran kereta mereka menerusi aplikasi kiplePay (anda boleh mendaftar sehingga tiga nombor pendaftaram, tetapi setiap satu nombor terbabit hanya akan disambungkan kepada satu akaun pada satu masa), dengan menggunakan sepenuhnya kiplePay e-wallet. Sebaik sahaja memasuki ruang parkir, plat nombor kenderaan akan diimbas dan notifikasi serta e-tiket akan dipaparkan menerusi aplikasi.

    kiplePark perkenal sistem imbas plat nombor kereta untuk parkir – guna kaedah e-tiket, tanpa tunai

    Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk “mengunci” kereta di dalam tempat letak kereta, menghalangnya daripada meninggalkan kawasan terbabit sekiranya berlaku kecurian. Sistem ini juga akan menolak bayaran parkir menerusi e-wallet sejurus kenderaan meninggalkan tempat letak kereta, walau pun pengguna yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan boleh memasukkan nombor pendaftaran kenderaan mereka menerusi mesin autopay semasa membuat pembayaran. kiplePark berkata, pelanggan juga tidak perlu membayar surcaj untuk menggunakan sistem LPR ini.

    Edisijuta merupakan pengendali parkir pertama yang menggunakan sistem ini, yang buat masa ini beroperasi di Fahrenheit 88 dan Bukit Jalil City. kiplePark juga sedang mencuba dan menguji sistem ini di beberapa lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Kota Kinabalu.

    Kami pernah melihat sistem LPR yang hampir sama yang beroperasi di Sunway Pyramid pada hujung tahun lalu, tetapi sistem tersebut masih diuji pada masa itu.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Arteon spesifikasi di Malaysia

    GALERI: Volkswagen Arteon spesifikasi di Malaysia

    Julai lalu, Volkwagen Passenger Car Malaysia (VPCM) mula membuka pengambilan tempahan bagi model terbarunya untuk pasaran tempatan, Arteon. Ini selepas model sama dipertontonkan kepada umum di acara paultan.org Premium Auto Car Expo 2018 November tahun lalu.

    Volkswagen Arteon pertama kali membuat penampilan global pada 2017 di Geneva, dan dibangun menggunakan platform Modular Transverse Matrix (MQB). Hadir bagi menggantikan model CC sebelum ini, Arteon turut menerima pertambahan dari sudut dimensinya. Ia 4,862 mm panjang (+60 mm), 1,871 mm lebar (+16 mm), 1,427 mm tinggi (+6 mm), dan memiliki jarak antara roda 2,841 mm (+131 mm).

    Kelebihan pertambahan ukuran dimensi ini membolehkan ruang dalaman Arteon tersedia sangat luas; 1,016 mm ruang kaki, serta ruang kepala yang juga luas disebabkan rekaan bumbung yang panjang ke belakang. Ruang but belakang pula ialah 563 liter. Dengan tempat duduk dilipatkan, ia akan menjadi 1,557 liter.

    GALERI: Volkswagen Arteon spesifikasi di Malaysia

    Luaran, Arteon antara lain menggunakan unit lampu utama LED (dengan DRL LED) di depan sementara bahagian belakang menampilkan lampu LED dua bahagian; memberikan visual dan wajah yang begitu kemas dan nampak lebar untuk kereta “sedan coupe” ini. Dari depan, perhatikan jalur-jalur yang ketara dengan kemasan krom yang ada, menyuntik kelainan imej bagi kereta ini.

    Di dalam pula, arah tuju rekaan “jalur dan tajam” ini turut terlihat, misalnya pada rekaan serba baru untuk papan pemuka. Lihat bagaimana bahagian corong pendingin hawanya ditataletak; dalam satu jalur panjang dari kiri ke kanan, sedikit di bawah pada papan pemuka yang tampil ringkas dalam satu garisan bersih. Ciri elegan mungkin diwakili oleh jam analog di tengah, tetapi untuk paparan meter pemandu, ia adalah digital sepenuhnya.

    Untuk pasaran Malaysia, Arteon ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TSI yang menjana kuasa sebanyak 280 PS dan 350 Nm tork maksimum. Kuasanya disampaikan ke semua roda menerusi kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion dari Volkswagen, bersama sistem differential lock elektronik XDS.

    GALERI: Volkswagen Arteon spesifikasi di Malaysia

    Sistem Kawalan Casis Dinamik (DCC) turut disediakan bagi memberikan mod pemanduan Eco, Normal, Comfort, Sport dan Individual. Kelengkapan lain yang ada termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya Active Info Display, sistem infotainmen tertinggi Discover Pro dengan skrin 9.2-inci bersama kawalan gestur dan hubungan aplikasi tanpa wayar Apple Carplay, Android Auto dan Mirrorlink, serta kamera pandangan 360-darjah.

    Bagi kelengkapan keselamatannya, Arteon datang dengan enam beg udara sebagai standard, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA), sistem brek ABS dengan EBD dan BA serta cagak Isofix untuk kerusi kanak-kanak ditempat duduk belakang.

    Hadir dalam tingkat kemasan R-Line, Arteon menampilkan gaya standard dengan kit badan agresif dan disudahi dengan penggunaan rim 19-inci. Lapan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Manganese Grey, Deep Black, Reflex Silver, Romance Red, Urano Grey, Turmeric Yellow, Oryx White Pearl dan Pyrite Silver.

    Volkswagen Arteon dikeluarkan dari kilang pemasangan Volkswagen di Emden, Jerman dan dijual di Malaysia ketika ini dengan harga anggaran antara RM290k-RM310k. Harga rasmi akan diumumkan sebaik sahaja kereta ini dilancarkan tidak lama lagi.

    Volkswagen Arteon di Volkswagen Fest 2019

     
     
  • BMW X5 G05 xDrive45e iPerformance mula masuk pasaran – plug-in hybrid dengan kuasa 389 hp

    BMW X5 G05 xDrive45e iPerformance mula masuk pasaran – plug-in hybrid dengan kuasa 389 hp

    Selepas hampir satu tahun diperkenalkan buat kali pertama, BMW X5 G05 xDrive45e iPerformance kini sudah memasuki beberapa pasaran luar negara. Model plug-in hybrid terbaru ini sekarang menggunakan enjin petrol enam silinder dan bukannya empat silinder seperti model sebelumnya iaitu X5 F15 xDrive40e.

    Enjin ini mempunyai kapasiti 3.0 liter dengan pengecas turbo twin-scroll, mampu menghasilkan kuasa 286 PS (282 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan 450 Nm tork antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Kuasa elektrik pada enjin ini datang daripada motor yang disepadukan dalam transmisi automatik Steptronic lapan kelajuannya, dengan kuasa 113 PS (111 hp) dan 265 Nm tork.

    Secara keseluruhannya, kuasa yang mampu dihasilkan oleh model ini adalah 394 PS (389 hp) dan 600 Nm tork (hampir sama seperti 7 Series PHEV), sekaligus membenarkan X5 xDrive45e ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dan mencecah kelajuan maksimum 235 km/j. Kalau bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, ia boleh pergi ke kelajuan maksimum 135 km/j.

    Dalam ujian kitaran WLTP, SUV ini boleh bergerak dalam jarak antara 67 hingga 87 km dengan kuasa elektrik sahaja. Penggunaan bahan api terletak pada 1.2l/100 km, emisi CO2 serendah 27 g/km manakala penggunaan kuasa pula antara 28.3 dan 23.1 kWh bagi setiap km. Selain memberikan kuasa pacuan, motor elektrik pada kenderaan ini juga digunakan sebagai generator untuk menjana semula kuasa bagi bateri lithium ion 354 volt yang digunakan.

    Bateri ini mempunyai kapasiti kuasa kasar 24 kWh, dan terletak dalam kenderaan, antara tempat duduk dan ruang simpanan di belakang. Menurut BMW, bateri ini memerlukan masa enam jam 48 minit untuk dicas penuh menggunakan pengecas 3.7 kW dan sambungan Type 2.

    Disebabkan kedudukan baterinya, ruang barangan X5 xDrive45e terpaksa dikurangkan 150 liter. Selain daripada itu, model ini juga mempunyai tangki bahan api yang lebih kecil (69 liter) jika dibandingkan dengan X5 xDrive40i biasa (83 liter).

    Dalam keadaan standard, X5 xDrive45e datang dengan suspensi udara dan penyerap yang boleh dikawal secara elektronik, serta Active Steering. Pengesan pejalan kaki akustik juga berada dalam senarai kelengkapan standard, bersama fungsi pre-conditioning.

     
     
  • UMW Toyota anjur kempen servis khas terkini untuk tukar beg udara Takata – 41,000 unit kereta terlibat

    UMW Toyota anjur kempen servis khas terkini untuk tukar beg udara Takata – 41,000 unit kereta terlibat

    Toyota Vios 2005-2007

    Demi memastikan tahap keselamatan pemandu dan penumpang yang lebih terjamin, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), telah mengumumkan kempen servis khas untuk beberapa model Toyota yang dijual di negara ini. Ia adalah bagi penukaran beg udara buatan Takata yang dikesan bermasalah. Malahan syarikat ini telah melakukan beberapa siri kempen yang sama sejak tahun 2014.

    Menurut UMWT, untuk kali ini, model kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula dan sesi penukaran komponen terbabit adalah buatan dari tahun 2001 hingga 2013. Ia melibatkan sebanyak 41,000 unit kenderaan Toyota dan model yang terlibat Vios yang diproduksi dari Mei 2003 hingga Ogos 2007, dan September 2007-Julai 2013, Corolla Altis (Julai 2001-Julai 2007), Camry (Jun 2002-Dis 2005) dan Yaris (Jan 2006-Ogos 2007).

    Toyota Yaris 2006-2007 (kiri) & Camry 2002-2005 (kanan)

    Untuk kempen terbaharu ini, pengepam beg udara yang bermasalah itu akan digantikan dengan komponen pengepam beg udara yang telah ditambahbaik. UMWT akan memaklumkan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat dan servis khas ini tidak akan dikenakan sebarang kos kepada pemiliknya.

    Untuk informasi selanjutnya, pemilik kereta yang terlibat boleh menghubungi pusat servis Toyota yang diiktiraf atau pun menerusi talian di 1800-8-TOYOTA (869682). Selain itu, pemilik juga boleh menyemak status kereta masing-masing menerusi laman web rasmi www.toyota.com.my, selain menerusi Vehicle Identification Number (VIN) Checker.

    Nasihat ikhlas daripada kami, sekiranya anda mendapati kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik untuk kempen sebegini, jangan sesekali mengabaikannya demi keselamatan anda dan penumpang. Segeralah menghubungi pusat servis berdekatan untuk melakukan penukaran komponen yang lebih selamat.

     
     
  • Toyota Corolla Altis 2019 akan masuk ke pasaran Thailand 3 September ini, teaser sudah mula disiar

    Nampaknya tak lama lagi Toyota Corolla generasi ke-12 akan tiba ke pasaran Asia Tenggara – Toyota Thailand sudah pun menyiarkan video teaser untuk Corolla baharu berkenaan, yang akan dilancarkan secara rasmi di negara tersebut pada 3 September ini.

    Walau bagaimanapun, model pasaran ASEAN ini tidak menampilkan rupa yang sama seperti model yang muncul di Amerika dan China pada November tahun lalu, sebaliknya kita kekal menerima versi Corolla Altis.

    Namun, Altis generasi baharu ini masih lagi menggunakan asas yang sama seperti Corolla sedan pasaran lain, dihasilkan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA). Ia hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda Altis baharu ini masih kekal 2,700 mm.

    Dari segi penggayaan, Altis akan menampilkan rupa yang seiras dengan Corolla sedan pasaran Eropah. Perincian rasmi belum lagi diumumkan Toyota Thailand, namun laporan dari headlightmag sebelum ini menyatakan bahawa ia akan hadir dengan enam varian dan tiga pilihan enjin.

    Model asas 1.6 J dan 1.6 G akan dijana enjin 1ZR-FAE 1.6 liter NA Dual VVT-i berkuasa 132 hp dan tork maksima 159 Nm, digandingkan bersama pilihan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Varian 1.8 GR Sport pula akan ditawarkan dengan enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA Dual VVT-i berkuasa 140 hp/173 Nm, terdapat hanya dalam pilihan transmisi CVT auto.

    Tiga varian terakhir adalah versi yang menerima sistem hibrid, iaitu 1.8 HV Entry, 1.8 HV Mid and 1.8 HV High. Unit janakuasa hibrid tersebut akan menggandingkan enjin petrol empat silinder kitaran Atkinson 2ZR-FXE, motor elektrik dan kotak gear e-CVT, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp dan tork maksima 142 Nm.

    Namun dalam video teaser yang disiarkan ini, berberapa ciri nampak telah disahkan akan dilengkapkan pada Altis Thailand, antaranya cruise control adaptif, amaran lintasan trafik belakang, sistem pra-pelanggaran, paparan head-up, pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense, bantuan kesan lorong, pemantau titik buta, sistem telematik, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, dan pelbagai lagi.

    Harga juga masih belum di ketahui, tetapi berbalik pada laporan headlightmag tadi, Corolla Altis 2019 akan dijual pada harga bermula 700,000 baht (RM96,645) dan model tertinggi 1.8 HV pula berharga lebih dari satu juta baht (RM138,105).

     
     
  • Honda City SE 2019 – DVR, pengimbas tol, RM76k

    Honda City SE 2019 – DVR, pengimbas tol, RM76k

    Honda Malaysia kini memperkenalkan Honda City Special Editon (SE) untuk pasaran tempatan. Ditawarkan dalam warna Passion Red dan White Orchid Pearl, model SE ini menggunakan asas varian pertengahan E, tetapi dengan tambahan kelengkapan dan harga lebih rendah.

    City SE masing-masing dijual pada harga RM75,955 dan RM76,075 bagi warna merah dan putih berkenaan; merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Harga biasa City E ialah RM79,955. Antara kelengkapan yang ditambah ialah perakam video digital (DVR), pengimbas tol binaan dalam, visor pintu serta penyusun ruang barangan.

    Bagi DVR, ia merakan dalam masa nyata untuk bahagian depan dan belakang kenderaan. Pengimbas tol binaan dalam pula berfungsi seperti unit yang ada pada Perodua Myvi atau unit LokaTAG atau Smart Tag, tetapi datang siap dengan kereta anda dan bukan secara berasingan.

    Honda City dilengkapi enjin 1.5 liter i-VTEC dengan janaan 120 PS dan 145 Nm tork dan digandingkan dengan kotak gear CVT. Selain itu, terdapat juga Honda City Hybrid yang menggunakan sistem transmisi automatik klac-berkembar yang lebih sporty maklum balasnya.

     
     
  • Bas mini kembali meriahkan KL mulai Sept ini

    Bas mini kembali meriahkan KL mulai Sept ini

    Mungkin ini mampu menjadi berita gembira buat warga kota khususnya yang mempunyai banyak kenangan lebih 21 tahun dahulu, iaitu menjadikan bas mini wilayah sebagai antara pengangkutan utama. Rapid KL dalam kenyataannya baru-baru ini telah memaklumkan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di sekitar ibu kota selepas hampir 21 tahun ia ditamatkan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallih, perkhidmatan bas mini percubaan adalah dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi, mulai 1 September hingga 29 November 2019. Di mana bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

    “Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami. Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Bas mini kembali meriahkan KL mulai Sept ini

    Bas mini era 70-80an

    Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara. Bas ini sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.

    “Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” ujarnya lagi.

    Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada [email protected].

     
     
  • Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019

    Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019

    Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos ini, beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya bakal ditutup atau dilencongkan mulai jam 6 pagi sehinggalah acara selesai. Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad, jalan terbabit ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia.

    Tambahnya lagi, acara sambutan bermula jam 7.30 pagi dan dijangka berakhir jam 12 tengah hari. Sambutan akan dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan aset Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain dan dijangka 300,000 orang akan hadir.

    Justeru, orang ramai yang ingin sama-sama memeriahkan sambutan ini, dinasihati memarkir kenderaan masing-masing di lot parkir awam yang disediakan. Terdapat sebanyak 5,000 lot parkir awam disediakan bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan, selain bas ulang-alik yang disediakan di zon tertentu untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

    Lokasi mengambil penumpang zon A adalah di Putrajaya Sentral, My Farm dan Ayer 8 manakala zon B di parkir awam Presint 14, Kementerian Pendidikan, Taman Seri Empangan, Park and Ride Presint 14 serta parkir Kompleks E. Manakala lokasi menurunkan penumpang adalah di Kiblat Walk dan belakang Istana Kehakiman.

    Beliau turut menyarankan orang ramai supaya mematuhi arahan dan nasihat yang diberikan supaya sambutan Hari Kebangsaan berjalan lancar.

     
     
  • Porsche Macan Turbo – varian paling tinggi, 440 PS

    Porsche Macan Turbo – varian paling tinggi, 440 PS

    Porsche Macan facelift kini menerima satu varian baru yang terletak paling tinggi iaitu Macan Turbo. Meskipun menggunakan enjin yang berkapasiti lebih kecil berbanding Macan S, iaitu unit petrol V6 2.9 liter biturbo, Macan Turbo mampu menghasilkan kuasa lebih tinggi, iaitu 440 PS antara 5,700 rpm hingga 6,600 rpm, dan 550 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,600 rpm.

    Kuasa ini disampaikan kepada semua tayar melalui kotak gear PDK klac berkembar tujuh kelajuan serta sistem pacuan Porsche Traction Management, dan membolehkan Macan Turbo memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat apabila dipasang dengan pakej Sport Chrono. Laju maksimum pula adalah 270 km/j. Secara keseluruhannya, Macan Turbo ini mempunyai berat 1,945 kg, dan ia mampu memberikan penggunaan bahan api 9.8l/100 km, dengan lepasan karbon 224 g/km.

    Satu kelengkapan baru pada Macan Turbo ini adalah Porsche Surface Coated Brake (PSCB), seperti yang digunakan pada Cayenne E3. Ia terdiri daripada cakera yang disalut dengan tungsten-carbide, yang mampu mempercepatkan tindak balas brek, mengurangkan kelusuhan dan menghasilkan 90% kurang habuk berbanding cakera brek besi biasa. Angkupnya pula diwarnakan putih, dan pemilik masih boleh memilih pakej brek PCCB seramik.

    Porsche Macan Turbo – varian paling tinggi, 440 PS

    Dalam keadaan standard, Macan Turbo ini datang dengan suspensi biasa dengan penyerap yang boleh dilaras, tetapi pemilik masih boleh mendapatkan pilihan suspensi udara yang tingginya boleh dilaras dan mempunyai penyerap hidraulik baru. Pada bahagian rekaan, muka serta spoiler bumbung adalah khas untuk varian Turbo, sementara rim asal pula adalah unit 20 inci. Meningkatkan prestasinya, model ini dipasang dengan sistem ekzos sport serta empat muncung ekzos di belakang.

    Masuk ke bahagian dalam Macan Turbo ini masih menggunakan rekaan yang sama seperti model Macan yang lain, dengan fungsi infotainmen dikawal melalui skrin sesentuh 10.9 inci di tengah. Barangan lain yang diberi secara standard termasuk pembesar suara Bose 665 watt, tempat duduk sport larasan kuasa 18 arah serta lapik bumbung Alcantara.

    Selain daripada itu, Macan Turbo juga dilengkapi dengan pembantu kesesakan trafik dengan cruise control adaptif, di mana ia boleh bergerak ke hadapan dan membrek secara sendiri sehingga mencecah kelajuan 60 km/j, sekaligus mengurangkan keletihan pemandu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026