Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Vision EQS buat penampilan sulung – konsep elektrik, 470 hp/760 Nm, 700 km jarak jalan

    Mercedes-Benz Vision EQS buat penampilan sulung – konsep elektrik, 470 hp/760 Nm, 700 km jarak jalan

    Di Frankfurt hari ini, Mercedes-Benz memperkenalkan satu lagi model dari barisan kenderaan elektrik EQ mereka; kali ini dengan Mercedes-Benz Vision EQS, sebagai model flagship untuk sedan elektrik jenama itu.

    “S” dalam namanya membawa maksud model elektrik ini setaraf dengan S-Class, dan dibangun menggunakan platform modular bagi EV bersaiz medium dan besar, dengan gabungan besi, aluminium serta gentian karbon dalam binaannya. Rekaan yang unik dan profil “seketul” memberikan imej yang berbeza, ditambah dengan penggunaan roda saiz besar menjadikan kenderaan ini nampak begitu besar.

    Dari depan, pendekatan grafik yang digunakan pada model EQ yang lain sebelum ini dapat dilihat dengan jelas. Dengan gril yang “tertanam” di dalam kaca, ia bersambung dengan lampu utama Digital Light yang lengkap dengan lensa holografik berkembar. Gril ini dicahayakan oleh 188 unit LED individual, guna untuk berkomunukasi dengan pengguna jalan yang lain.

    Mercedes-Benz Vision EQS buat penampilan sulung – konsep elektrik, 470 hp/760 Nm, 700 km jarak jalan

    Dua tona warna digunakan untuk kereta ini; hitam untuk bahagian atas garis bahu dan perak untuk bahagian bawahnya. Ia dilingkari pula dengan jalinan lampu di sekeliling badan kereta. Lampu belakang sebenarnya terdiri daripada 229 nyalaan bentuk bintang bucu tiga, menyerupai hiasan grafik yang digunakan pada jentera F1 W10 EQ Power+ yang bersaing dalam F1 musim ini.

    Ruang dalamannya mengambil ilham dari sentuhan mewah pada kapal layar. Ia terdiri daripada empat tempat duduk saiz besar yang dibalut dengan gentian mikro Dinamica dan kulit buatan, terpisah antaranya oleh konsol tengah yang juga sangat besar. Rekaan papan pemuka serta kemasan panel hitam berkilat membuatkan seolah-olah semuanya dirangkumkan dengan kemas.

    Mercedes-Benz Vision EQS buat penampilan sulung – konsep elektrik, 470 hp/760 Nm, 700 km jarak jalan

    Skrin sentuh apungan menjadi elemen utama pada papan pemuka, yang dihubungkan sekali kepada Mercedes-Benz User Experience (MBUX); ini mungkin juga akan digunakan pada S-Class terbaru nanti.
    Stereng juga lain macam, dalam bentuk segi empat memanjang. Mercedes-Benz memaklumkan, kereta ini akan dilengkapi dengan fungsi pemanduan semi-autonomous tahap 3. Sistem sensor modularnya dikatakan boleh dinaiktaraf untuk membolehkan keupyaan pemanduan autonomous penuh di masa hadapan.

    Dari sudut kuasa, ia datang dari sepasang motor yang menyediakan sebanyak 350 kW (470 hp) dan 760 Nm tork kepada semua roda, membolehkan Vision EQS memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang 4.5 saat. Bateri lithium-ion besar diletakkan di bawah lantainya, memberikan jarak perjalanan sehingga 700 km dalam ujian kitaran WLTP. Ia boleh dicas sehingga 80% dalam masa hanya 20 minit menggunakan stesen pengecas pantas 350 kW.


     
     
  • Honda Civic facelift 2019 – tempahan kini dibuka, terima Honda Sensing, dilancar suku ke-4 tahun ini

    Honda Civic facelift 2019 – tempahan kini dibuka, terima Honda Sensing, dilancar suku ke-4 tahun ini

    Setelah tiga tahun dalam pasaran, Honda Civic generasi ke-10 nampaknya bakal diberikan versi facelift tidak lama lagi – Honda Malaysia (HM) kini sudan mengumumkan bahawa tempahan Civic yang disegarkan semula tersebut sudah pun dibuka.

    Serentak dengan itu, HM turut mengesahkan bahawa Civic 2019 bakal diberikan sistem penuh bantuan pemanduan Honda Sensing, yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic 2019 juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

    Untuk keselamatan, Civic masih dibekalkan dengan enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudun dan juga cagak Isofix tempot duduk kanak-kanak.

    Pada bahagian luaran, Civic 2019 disahkan akan menerima rupa seakan sama dengan Civic facelift pasaran Thai yang telahpun dilancarkan hujung tahun lalu. Ia diberikan kemasan baharu pada bampar hadapan tanpa kemasan liang Udara palsu, gril dengan kemasan hitam, kemasan baharu pada bampar belakang, spoiler lebih besar dan juga set rim 18-inci baharu.

    Tiada perubahan ditampilkan pada unit janakuasa, di mana ia masih dijana oleh dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

    Honda Malaysia masih lagi belum mengumumkan harga dan tarikh pelancaran Civic FC facelift 2019 ini. Tetapi apa yang pasti, ia akan menerjah pasaran Malaysia menjelang suku ke-empat tahun ini. Jadi bagi mereka yang berminat, jangan berlengah dan terus ke mana-mana 98 buah pusat jualan Honda di Malaysia dan buat tempahan anda.

     
     
  • Ferrari F8 Spider – enjin V8 turbo 3.9L, 720 PS, 770 Nm

    Ferrari F8 Spider – enjin V8 turbo 3.9L, 720 PS, 770 Nm

    Ferrari telah mendedahkan sepenuhnya F8 Spider, yang sebenarnya merupakan penyambung generasi bagi 488 Spider dan versi bumbung boleh buka bagi F8 Tributo. Pengeluar dari Itali ini memberitahu F8 Spider kurang ekstrem sedikit berbanding 488 Pista Spider (F8 Spider 20 kg lebih berat), tetapi lebih sporty berbanding 488 Spider.

    Kuasa yang memacu kenderaan ini datang daripada enjin V8 3.9 liter turbo, dengan kemampuan 720 PS pada 8,000 rpm dan 770 Nm tork pada 3,250 rpm. Semua kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi F1 klac berkembar tujuh kelajuan, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, 0-200 km/j dalam masa 8.2 saat dan laju maksimum 340 km/j.

    Dengan jumlah kuasa ini, F8 Spider mempunyai lebih 50 PS berbanding 488 Spider, hasil daripada laluan intake baru yang diambil terus daripada 488 Challenge. Intake ini diubah terus ke belakang, pada sisi spoiler, dan dilalukan terus kepada intake manifold. Rekaan baru ini dapat membantu peningkatan kuasa melalui laluan udara yang lebih baik, dan ia juga mendapat manfaat daripada tekanan dinamik yang dihasilkan oleh bentuk spoiler belakang baru.

    Enjin turbo pada model ini juga telah ditala semula untuk memberikan tiada kelambatan (lag), sekaligus dapat memecut terus pada sebarang gear atau kelajuan. Turut dimasukkan dalam pakej adalah Ferrari Dynamic Enhancer (FDE+, diaktifkan dalam Race mode) yang direka untuk menjadikan kereta ini lebih mudah dikawal pada hadnya. Adaptive Performance Launch diberikan secara standard, bersama Ferrari Variable Torque Management yang menyampaikan kuasa lebih lancar secara konsisten.

    Pada bahagian dalam enjin, terdapat con-rod, crankshaft serta flywheel titanium, yang mana menurut Ferrari, dapat membenarkan kuasa enjin meningkat secara cepat. Secara keseluruhannya 18 kg dapat dikurangkan pada enjin ini, memberikan kesan positif kepada kitaran inertia. Sistem ekzos serba ringan dengan penapis yang diambil daripada 488 Challenge juga mengurangkan lagi 9.7 kg, dan bentuknya diubah untuk menghasilkan bunyi unik.

    Pada bahagian rekaan badan, bentuk keseluruhannya masih lagi sama seperti F8 Tributo, kecuali bahagian bumbung. Bumbung ini boleh dibuka dan dipasang dalam masa 14 saat, dan boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 45 km/j. Mekanisme untuk membuka bumbung ini dibahagikan kepada dua bahagian dan terletak di atas enjin.

    Ferrari F8 Spider – enjin V8 turbo 3.9L, 720 PS, 770 Nm

    Satu lagi rekaan unik F8 Spider adalah penutup enjin, dengan ‘tulang belakang’ yang bermula daripada cermin belakang hingga ke spoiler. Selain daripada itu, F8 Spider dan F8 Tributo mempunyai rekaan yang sama, sehinggalah bentuk dan saiz rim.

    Begitu juga dengan bahagian kabin, di mana ia cuma boleh menempatkan dua orang, dan datang dengan panel penahan angin aluminium, kemasan gentian karbon serta skrin sesentuh tujuh inci di hadapan penumpang yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Setakat ini harganya masih belum didedahkan tetapi datang dengan program penyelenggaraan tujuh tahun secara percuma.

     
     
  • Volkswagen ID.3 – EV pacuan roda belakang, jarak gerak hingga 550 km, harga dari RM138k di Jerman

    Volkswagen ID.3 – EV pacuan roda belakang, jarak gerak hingga 550 km, harga dari RM138k di Jerman

    Volkswagen ID.3 sudah pun didedahkan buat pertama kalinya kepada dunia, sekaligus diangkat sebagai kenderaan elektrik (EV) penuh pertama Volkswagen yang disediakan untuk pasaran umum. Tempahan untuknya sudah pun dibuka, dan semasa pelancaran nanti ia akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu asas, Plus dan paling atas, Max.

    Kesemua varian ini menggunakan motor elektrik permanent magnet synchronous yang diletakkan pada gandar belakang, mampu menghasilkan hingga 204 PS dan 310 Nm tork, dengan kelajuan maksimum 160 km/j. Walaubagaimanapun, versi asas datang dengan bateri 45 kWh untuk perjalanan hingga 420 km, varian Plus 58 kWh dengan jarak 420 km dan varian Max mempunyai bateri 77 kWh untuk memberi jarak perjalanan hingga 550 km (mengikut kitaran WLTP).

    Menurut Volkswagen, bateri ID.3 yang diletakkan di bawah badan kenderaan membantu merendahkan pusat graviti, sekaligus memberikan kesan yang positif pada dinamik kenderaan, selain mempunyai pembahagian berat optimum antara bahagian depan dan belakang.

    Volkswagen ID.3 – EV pacuan roda belakang, jarak gerak hingga 550 km, harga dari RM138k di Jerman

    Selain daripada itu, Volkswagen juga memberitahu bahawa ID.3 menetapkan tahap yang baru bagi bahagian dalam kenderaan kompak, di mana jarak roda pada platform MEB khas untuk kenderaan elektrik yang digunakan padanya digunakan sebaik mungkin untuk bahagian dalam. Ukuran kenderaan ini adalah 4,261 mm panjang, 1,809 mm lebar, 1,552 mm tinggi dan jarak roda 2,765 mm. Berat pula adalah 1,719 kg.

    ID.3 juga menjadi model pertama yang menunjukkan rekaan khas untuk EV Volkswagen, dan akan diikuti oleh model EV lain jenama itu. Bahagian dalam pula mengetengahkan lebih banyak kawalan sesentuh, di mana hampir semua fungsi menggunakan panel sesentuh, kecuali butang lampu kecemasan dan tingkap. Di hadapan pemandu terdapat panel paparan 10 inci, manakala ID. Light pula menyediakan jalur LED untuk navigasi dan memberi amaran kepada pemandu untuk membrek sekiranya ada bahaya.

    Sistem bantuan pemandu lain yang berada pada kenderaan ini termasuk Park Distance Control yang boleh mengelakkan perlanggaran sewaktu meletakkan kenderaan dengan mengaktifkan brek kecemasan pada saat-saat akhir. Ia boleh berfungsi pada kelajuan antara 1.5 km/j hingga 10 km/j apabila mengundur dan 2.5 km/j hingga 10 km/j apabila ke hadapan.

    Roda stereng kenderaan ini juga mempunyai panel kawalan sesentuh dan disokong dengan arahan kawalan suara. Kelengkapan standard lain yang disediakan untuk model asas termasuk sistem navigasi, radio digital DAB+, tempat duduk dan stereng dengan fungsi pemanas, perehat tangan depan, rim 18 inci dan soket pengecas Type 2.

    Varian ID.3 Plus pula mendapat tambahan kamera undur, Adaptive Cruise Control, sistem tanpa kunci, dua soket USB-C pada konsol tengah, lampu suasana, lampu utama LED matrix, lampu tepi, belakang serta penunjuk arah matrix, dan rim 19 inci.

    Varian Max paling tinggi pula diberi dengan head-up display AR, sistem pembesar suara Beats lapan pembesar suara, bumbung panoramik boleh buka, rim 20 inci, Lane Keep Assist dengan Emergency Assist, sistem penukaran lorong, sambungan telefon dengan pengecas tanpa wayar serta tempat duduk Comfort.

    Harga Volkswagen ID.3 di Jerman bermula €30,000 (RM138,308), dan pembeli akan menerima elektrik percuma selama setahun daripada Volkswagen, sehingga 2,000 kWh yang boleh diguna pada stesen pengecas awam serta rangkaian penyedia pengecas pantas IONITY Pan-European.

     
     
  • Karnival MYPerodua Nation di Setia City 20-22 Sept ini

    Karnival MYPerodua Nation di Setia City 20-22 Sept ini

    Karnival MYPerodua Nation kembali lagi untuk 2019, dan tahun ini acara berkenaan akan berlangsung pada 20 hingga 22 September di Setia City Mall. Memasuki tahun ketiga, karnival tahunan ini bakal menampilkan semua perkara yang berkaitan dengan Perodua, dijangka bakal dikunjungi lebih kurang 25,000 pengunjung selama tiga hari penganjuran tersebut.

    “Setelah berlangsung dengan jayanya di Shah Alam pada 2017 dan Sungai Petani pada 2018, MYPerodua Nation 2019 menjanjikan hujung minggu yang lebih menarik dan menyeronokkan buat semua. Dengan tawaran menarik bagi kenderaan baharu, termasuk tawaran istimewa untuk e-hailing, pelajar dan graduan, serta tawaran selepas jualan bagi pakej dan kit badan GearUp, pelincir, alat ganti dan aksesori, inilah masa dan tempat yang terbaik untuk menjadi pelanggan Perodua,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Untuk kemudahan pelanggan, seluruh rangkaian produk dan perkhidmatan Perodua akan turut berada di sana, termasuklah Perodua Total Protect Plus, Kenderaan Pra-Milik Perodua (POV), aksesori dan koleksi GearUp, alat ganti, minyak tulen Perodua dan program kesetiaan pelanggan, UFirst. Panel-panel kewangan dan insuran juga akan berada di sana untuk memudahkan proses pembelian.

    Para pengunjung juga boleh membuat temu janji servis, memeriksa kenderaan mereka dengan Tweckbot secara percuma, memandu uji model-model terkini Perodua, merasai demonstrasi sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA), menerokai sejarah 26 tahun Perodua di ruang pameran Perodua Journey serta mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti untuk kanak-kanak pula seperti bungee trampolin, mewarna model tanah liat, perlumbaan realiti maya (VR) dan aktiviti drift basikal roda tiga.

    “MYPerodua Nation memberi kami peluang untuk mendekati para pelanggan yang dihargai supaya kami boleh memenuhi keperluan dan kehendak mereka dengan lebih mendalam. Kami amat berbesar hati untuk bertemu para pengunjung sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” sambung Zainal lagi.

    Buat masa ini, tiada pula maklumat lanjut mengenai Perodua Axia 2019 – yang telah pun mula dibuka tempahannya sejak 22 Ogos lalu – adakah ia bakal dipamerkan di sana mahu pun tidak. Tetapi pada penganjuran tahun 2017, Axia facelift telah ditampilkan buat pertama kalinya di MYPerodua Nation. Adakah ia bakal mengulangi sejarah yang sama?

     
     
  • Polis bakal ‘gegar’ pemilik Yamaha 15ZR aka Ysuku yang modifikasi motosikal tanpa ikut spesifikasi JPJ

    Polis bakal ‘gegar’ pemilik Yamaha 15ZR aka Ysuku yang modifikasi motosikal tanpa ikut spesifikasi JPJ

    Awas untuk pemilik Yamaha 15ZR atau popular dengan gelaran ‘Ysuku’! Sekiranya didapati anda melakukan modifikasi motosikal tanpa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kemungkinan besar jentera dua roda anda boleh disita oleh polis trafik sekiranya didapati ia melanggar undang-undang jalanraya.

    Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menyita motosikal terbabit jika didapati ia melanggar undang-undang jalan raya. Di mana tindakan tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Sebagai contoh, jika ‘Ysuku’ itu dijual dengan spesifikasi kelajuan 110 kilometer sejam (km/j), jangan ubah enjin untuk menunggangnya sehingga kelajuan lebih 140 km/j, ia melanggar undang-undang jalan raya. Polis juga bimbang motosikal itu tidak dapat menampung kelajuan baharu itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan maut.

    “Dalam hal ini, penunggang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna kenderaan lain. Kita akan pantau kes pengubahsuaian ini, polis dan JPJ akan mengadakan operasi sekatan jalan dari semasa ke semasa untuk mengesan kesalahan pengguna motosikal terbabit,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Sebelum ini, ada beberapa selebriti tempatan terkenal dilihat ‘berlumba-lumba’ menayang proses modifikasi motosikal Ysuku masing-masing menerusi laman sosial media terutamanya di Instagram. Malah ada juga yang mengatakan niat tidak sabar untuk ‘bertarung’ dan memperlihatkan kehebatan jentera masing-masing serta saling mencabar antara satu sama lain. Jadi, kita tunggulah selebriti mana yang bakal dalam senarai ‘wanted’ untuk kes ini.

     
     
  • Logo baharu imej korporat Volkswagen diperkenalkan – tanda jenama tersebut kini melangkah ke era baharu

    Logo baharu imej korporat Volkswagen diperkenalkan – tanda jenama tersebut kini melangkah ke era baharu

    Volkswagen kini sedang memasuki era baharu – mereka bakal menjadikan kereta-kereta elektrik sebagai produk-produk utama pada masa terdekat. Oleh itu, ketika berlangsungnya IAA Motor Show di Frankfurt, jenama tersebut memperkenalkan logo baharunya, serentak dengan pendedahan hatchback elektrik sepenuhnya, Volkswagen ID.3.

    “Rekaan jenama baharu menandakan permulaan era baharu Volkswagen. Dengan menghasilkan isi dan produk-produk baharu, jenama ini sedang mentransformasikan asasnya kearah masa hadapan dengan keseimbangan emisi neutral untuk semua orang. Sekarang masa yang tepat untuk menghasilkan identiti kehadiran jenama kami kepada dunia luar,” kata Jürgen Stackmann, ahli lembaga pengurusan VW yang bertanggungjawab terhadap jualan, pemasaran dan selepas-jualan.

    Menurut Volkswagen, dengan rekaan logo baharu ini, ia menghasilkan pengalaman jenama 360-darjah yang sama di seluruh dunia, yang lebih moden dan lebih asli. Logo baharu ini merubah logo 3D sebelumnya kepada illustrasi rata dua-dimesi yang lebih jelas dan ringkas.

    Logo baharu imej korporat Volkswagen diperkenalkan – tanda jenama tersebut kini melangkah ke era baharu

    Logo ini juga boleh digunakan dengan lebih fleksible di mana VW telah mendemonstrasikannya dengan menggunakan pelbagai tona biru bersama pelbagai warna latar belakang.

    Pertukaran logo ini seterusnya akan membabitkan kempen penjenamaan semula, dan ia akan menjadi kempen terbesar di dunia seumpamanya dengan melibatkan 171 pasaran di 154 negara, 10,000 fasiliti pengedar dan rakan servis di seluruh dunia, dan sekitar 70,000 logo baharu akan ditukar.

    Perubahan lengkap kesemua logo dan identiti korporat ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2020. Ia akan membabitkan divisi Volkswagen Passenger Cars dan juga Volkswagen Commercial Vehicle.

    Pertukaran ini juga akan diimplementasikan dengan pendekatan kos yang dioptimakan dan pemeliharaan sumber. Buat permulaan, ia akan dijalankan oleh pengedar di Eropah, diikuti China menjelang Oktober ini. Ia kemudian akan dijalankan secara berperingkat di Amerika Utara dan Selatan, dan juga di seluruh dunia bermula pada tahun 2020.

    Klaus Bischoff, ketua pereka Volkswagen memainkan peranan penting dalam pembinaan imej korporat baharu ini. “Dalam rekaan jenama baharu ini, kami telah menghasilkan platform komunikasi asli untuk persembahan e-mobiliti yang emosional. Kami mempersembahkan Volkswagen masa hadapan dengan motto ‘utamakan digital’ dan ‘tiada tapisan'” katanya.

    “Kami telah mencipta pengalaman jenama global baharu yang holistik pada semua saluran dan merentasi semua titik sentuh. Sebagai prinsipal utama, sasaran masa hadapan tidak akan menunjukkan dunia pemasaran yang sempurna. Dalam persembahan kami, kami mahu menjadi lebih manusia dan lebih bernyawa, bagi mengadaptasi perspektif pelanggan bagi menambah dan menceritakan kisah-kisah asli,” kata ketua pengarah pemasaran Jochen Sengpiehl.

    Apa yang menarik lagi, penghasilan logo dan imej korporat baharu ini tidak mengharapkan agensi luar semata-mata, dan ia sepenuhnya hasil dari pasukan yang dibentuk dari divisi Rekaan dan Pemasaran Volkswagen sendiri. Rekaan tersebut diimplementasikan dengan integrasi penuh dari semua jabatan dalam VW dalam masa sembilan bulan menggunakan “powerhouse concept” yang dibangunkan oleh Volkswagen khas untuk kegunaan ini. Secara keseluruhan 19 pasukan dalaman dan 17 agensi luar terlibat dalam projek tersebut.

    Selain dari logo, bahasa visual baharu VW juga akan tampi lebih menyerlah dan lebih berwarna warni. Fokus akan tertumpu pada masyarakat, dan VW “tidak akan menumpukan terhadap kesempurnaan dalam fotografi kenderaan.” Pada masa akan datang, objektif utama adalah untuk mempersembahkan situasi realistik yang boleh dikenali oleh pelanggan. Foto-foto yang dipaparkan adalah contoh penggunaan falsafah baharu berkenaan.

    Menurut VW lagi, pada masa hadapan logo berkenaan akan bercahaya pada kenderan, di lokasi-lokasi jenama dan juga di pengedar-pengedar. Bukan itu sahaja, ia juga akan menghasilkan “bunyi logo” buat pertama kali, menjadikan VW lebih unik dari jenama lain.

    Anda tentu biasa dengar “Volkswagen, Das Auto” pada iklan-iklan VW bukan? Suara yang ‘tegas’ berkenaan akan ditukar dari lelaki kepada wanita. Bukan setakat motto tersebut, malah segala ‘suara pemasaran’ selepas ini akan ditukar kepada suara wanita yang memberikan rasa yang lebih ceria, selesa dan yakin sebagai suara dari Volkswagen.

     
     
  • Renault City K-ZE – EV mampu milik, RM36k di China

    Renault City K-ZE – EV mampu milik, RM36k di China

    Sekarang ini sudah banyak pengeluar kenderaan yang menghasilkan model elektrik, tetapi kebanyakannya boleh dianggap satu penawaran yang lebih mewah dan mempunyai harga yang tinggi. Renault mahu mengubah perkara ini, dan telah melancarkan City K-ZE di China.

    Model ini pertama kali didedahkan waktu Shanghai Motor Show April lalu, dan sekarang dijual pada harga bermula 61,800 yuan, atau sekitar US$8,684 (RM36,234). Dengan harga sebegini, City K-ZE boleh meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di kalangan orang biasa.

    Ia dihasilkan bersama dengan Dongfeng Motor Group, dan pernah muncul sebagai model konsep di Paris Motor Show 2018. Penggerak City K-ZE adalah motor elektrik yang terletak di hadapan, mampu menghasilkan 44 hp (33kW), 125 Nm tork dan laju maksimum 105 km/j.

    Renault City K-ZE – EV mampu milik, RM36k di China

    Motor elektrik ini pula mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 26.8 kWh, dan menurut Renault, ia boleh membawa kepada perjalanan 271 km mengikut aturan NEDC – satu jarak yang lebih daripada mencukupi untuk perjalanan harian biasa. Penggunaan kuasa kenderaan ini adalah 10.8 kWh bagi setiap 100 km.

    City K-ZE boleh dicas dengan sumber AC dan DC. Jika menggunakan sumber AC, penyambung Type 2 dan output 6.6 kW, ia akan mengambil masa selama empat jam untuk penuh. Menggunakan pengecasan pantas DC dan penyambung GB/T pula, ia cuma akan mengambil masa setengah jam untuk mencecah tahap bateri 80%, daripada 30%.

    Mungkin ada yang mengatakan City K-ZE ini nampak seperti pernah dilihat. Ini kerana ia mempunyai asas yang sama dengan model Kwid, dan diubah suai untuk meletakkan penggerak elektrik. Antara yang berbeza jika dibandingkan dengan Kwid adalah gril, lampu hadapan serta beberapa bahagian kecil lain.

    Renault City K-ZE – EV mampu milik, RM36k di China

    Pada bahagian dalam, keadaannya sama sahaja seperti Kwid, kecuali panel instrumen separa digital serta tombol “pemilih gear”. Walaupun kereta ini mempunyai bateri lithium ion, ia masih menyediakan 300 liter ruang barangan di belakang, sama seperti Kwid biasa.

    Kelengkapan lain yang didatangkan pada City K-ZE adalah termasuk sistem infotainmen Easy Link dengan skrin sesentuh lapan inci, fungsi navigasi, muzik atas talian, dua pembesar suara, kamera undur, pengawal pendingin hawa manual, telemetri kenderaan melalui aplikasi telefon pintar, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta rim 14 inci.

    Di China, City K-ZE ditawarkan dalam tiga varian dengan varian seterusnya selepas varian asas dijual pada harga 66,800 yuan (US$9,389 atau RM39,189) dan diikuti varian paling tinggi berharga 71,800 yuan (US$10,091 atau RM42,121). Buat masa sekarang City K-ZE hanya dijual di China tetapi akan memasuki pasaran global pada masa hadapan termasuk India.

     
     
  • Schneider Electric Malaysia – stesen pengecasan EV kini dibuka di Genting Highlands Premium Outlets

    Schneider Electric Malaysia – stesen pengecasan EV kini dibuka di Genting Highlands Premium Outlets

    Infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia kini ditambah dengan pelancaran stesen berkenaan Schneider Electric Malaysia yang terletak di hab pengangkutan Awana SkyCentral, pusat membeli-belah Genting Highlands Premium Outlets.

    Stesen pengecasan ini menyediakan enam petak pengecasan, dengan kadar untuk 7.4 kW menerusi pusat soket Type 2. Schneider Electric Malaysia berkata, ia boleh menyalurkan kuasa bateri sehingga 40 km untuk pengecasan selama empat jam. Buat masa ini, fasiliti tersebut dalam persediaan fasa-tunggal, walau bagaimana pun, ia akan menyediakan tiga-fasa untuk menampung pengecasan 22 kW, ujar syarikat berkenaan.

    Schneider Electric Malaysia – stesen pengecasan EV kini dibuka di Genting Highlands Premium Outlets

    Terletak di Tingkat B1 antara tiang B5 dan C5, stesen pengecasan ini dibuka 24 jam 7 hari seminggu dan pastinya pengecasan adalah percuma untuk kemudahan orang awam. Walau bagaimana pun caj parkir adalah standard seperti yang ditetapkan di Genting Highlands Premium Outlets. Hab pengangkutan Awana SkyCentral merupakan Terminal Bas Awana, yang menghubungkan Resort World Genting dan sistem kereta kabel Awana SkyWay.

    “Kami dengan yakin dapat mengatakan bahawa ramai pelanggan kami memandu kenderaan bermotor premium yang mempunyai versi petrol-elektrik pada hari ini, dan ada keperluan untuk (kemudahan pengisian EV) di tempat letak kereta,” kata Naib Presiden Hotel Resorts World Genting Ganesan Subramaniam.

    “Kami dengan yakin mengatakan bahawa ramai pelanggan kami yang memandu kenderaan urban premium dengan versi petrol-elektrik, dan memerlukan fasiliti sebegini (stesen pengecasan untuk EV) di tempat parkir kereta,” ujar timbalan presiden Resorts World Genting Ganesan Subramaniam.

     
     
  • JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    Bermula April lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan telah melaksanakan sistem bidaan atas talian untuk nombor pendaftaran kenderaan yang dipanggil sebagai JPJeBid. Ia boleh digunakan oleh mana-mana individu dan syarikat yang berdaftar di Malaysia, dengan tujuan memberikan platform yang lebih menyenangkan dan telus.

    Satu demi satu siri pendaftaran nombor kenderaan mula menggunakan sistem ini, dan kami tertarik untuk mencubanya sendiri. Menerusi artikel ini, kami akan memberitahu pengalaman menggunakan sistem bidaan atas talian ini dari awal sehinggalah akhir.

    Sebelum kita pergi terus kepada sistem bidaan atas talian ini, anda perlu tahu ia adalah satu aplikasi berlainan dan bukannya fungsi yang terletak di dalam laman web JPJ sendiri. Oleh itu, anda perlu memuat turun aplikasi ini terlebih dahulu untuk digunakan pada peranti elektronik.

    JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    Sebelum bidaan

    Untuk menggunakan aplikasi JPJeBid ini terlebih dahulu anda perlu mempunyai akaun MySikap yang memberi akses kepada fungsi tambahan atas talian melalui laman web JPJ. Akaun ini boleh dibuat dengan mudah di pejabat cawangan JPJ melalui kaunter khas, dan pengalaman kami, ia mengambil masa tidak sampai lima minit pun.

    Setelah pendaftaran akaun ini dibuat, anda boleh melayari laman web khas MySikap untuk melengkapkan akaun dan membuat pelarasan yang berkaitan. Arahan yang diberi cukup mudah untuk difahami dan di dalamnya anda boleh melakukan pelbagai urusan seperti permohonan tukar milik kenderaan, pembaharuan lesen kenderaan, pembayaran saman dan pelbagai lagi.

    Memandangkan artikel ini akan memberi lebih tumpuan kepada aplikasi JPJeBid, kita tidak akan melihat lebih lanjut fungsi dalam web MySikap. Setelah anda mempunyai akses kepada laman MySikap, sekarang anda boleh memuat turun aplikasi JPJeBid, dan meneruskan pula pendaftaran akaun dalam aplikasi itu.

    JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    Semasa bidaan

    Dalam aplikasi JPJeBid ini, jangan terperanjat sekiranya anda masuk dan tidak dapat melihat atau melakukan sebarang bidaan. Ini kerana fungsinya cuma akan muncul apabila bidaan untuk siri nombor pendaftaran itu dibuka dan jika tidak, paparan utamanya akan menjadi kosong.

    Pada waktu kami mencuba aplikasi ini, siri yang dibuka untuk bidaan adalah untuk Pahang iaitu CEE dan Kelantan, iaitu DDP. Anda boleh klik pada siri yang dimahukan, dan mencari nombor yang diminati. Kami memilih CEE berserta nombor tiga angka (bukan berturut semua atau diapit).

    Setelah memilih nombor pendaftaran yang dimahukan, anda boleh melihat berapakah harga minimum serta kenaikan yang perlu dipatuhi waktu bidaan. Ia bergantung kepada kategori nombor yang dipilih sama ada Utama (minimum RM20,000), Menarik (minimum RM3,000), Popular (minimum RM800) atau Biasa (minimum RM300). Nombor yang kami pilih berada dalam kategori Biasa.

    Kami tahu bidaan boleh dilakukan dengan meletakkan RM300, tetapi kami telah memilih untuk meletakkan harga pertama pada RM320. Untuk memulakan bidaan pertama ini, dua bayaran perlu dibuat iaitu RM10 untuk caj perkhidmatan dan RM320 sebagai jumlah bidaan. Jadi, setakat ini RM340 sudah ditolak daripada kad kredit yang digunakan.

    Setelah bayaran itu sudah jelas, anda akan dapat melihat kedudukan bidaan (kami terus mendapat tempat pertama), bidaan yang ditetapkan sendiri serta tarikh bidaan tamat. Setiap satu siri nombor pendaftaran akan dibuka selama lima hari dan bidaan yang telah dibuat tidak boleh ditarik balik.

    Pada saat ini, kami sudah tertanya adakah aplikasi ini boleh dipercayai kerana selepas beberapa hari masih tiada aktiviti pada nombor yang kami bida sedangkan ia nampak menarik. Kemudian pada hari seterusnya, barulah keadaan menjadi sedikit menarik kerana seseorang telah menaikkan bidaan dan kedudukan kami berubah kepada tempat kedua.

    Walaupun bidaan ini tidak mempunyai sebarang had, kami telah meletakkan had sendiri dan tidak akan pergi lebih dari RM400 untuk nombor yang dimahukan ini. Kami mahu menaikkan bidaan, tetapi tidak dapat melihat berapakah jumlah bidaan yang telah ditetapkan oleh orang yang mengatasi kami ini.

    Jadi, kami telah membuat keputusan untuk meletakkan bidaan pada RM380, tetapi mahu menunggu hingga minit-minit akhir sebelum bidaan tamat. Kalau berjaya kami bersyukur, tapi kalau tidak pun, kami tidak kisah kerana bukanlah begitu mahukan nombor ini dan peluang lain masih ada.

    Jadi, sebelum waktu bidaan berakhir kami telah menaikkan bidaan melalui kepada RM380. Syukur, kedudukan kami kembali di tempat pertama dan peluang untuk memenangi nombor ini semakin cerah. Untuk meningkatkan bidaan, sekali lagi bayaran perlu dilakukan terus, dan kami cuma perlu menambah RM60 lagi. Tiada caj perkhidmatan RM10 dikenakan pada waktu ini.

    JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    Selepas

    Tiba jam 12 malam, iaitu waktu bidaan berakhir, kami tidak dapat tahu keputusan secara terus. Tiada apa yang boleh dibuat dalam aplikasi tersebut dan siri nombor pendaftaran CEE dan DDP terus hilang daripada pilihan. Apabila memeriksa status bidaan pula, ia menunjukkan “dalam proses bidaan”. Disebabkan kami sudah maklum keputusan hanya akan dikeluarkan dalam masa 24 jam, kami membuat keputusan untuk memeriksa kembali aplikasi ini pada waktu pagi.

    Apabila memeriksa semula aplikasi ini selepas hampir 12 jam daripada waktu bidaan berakhir, kami akhirnya dapat melihat status bidaan kami berjaya. Kemudiannya dalam emel pula kami menerima surat keputusan bidaan serta resit rasmi untuk bayaran nombor pendaftaran tersebut.

    Apa yang perlu dilakukan sekarang cuma membawa resit ini kepada JPJ untuk mendaftarkannya kepada kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada surat keputusan dikeluarkan. Sekiranya gagal, nombor tersebut akan ditarik balik dan bayaran yang telah dibuat akan menjadi hasil kerajaan. Jadi sekarang, terpaksalah kami mencari sebuah kenderaan baru untuk meletakkan nombor ini.

    JPJ eBid – Kami cuba sendiri sistem bidaan plet atas talian, masih ada ruang untuk penambah baikan

    Pada pendapat kami, aplikasi bidaan ini akan menjadi lebih lengkap sekiranya kita boleh tahu berapakah jumlah bidaan yang telah diletakkan oleh peserta. Sebagai contoh dalam situasi kami, disebabkan tidak tahu berapakah jumlah yang telah mengatasi jumlah bidaan kami, kami sekadar menaikkan jumlah secara rambang. Bagi nombor yang menjadi pilihan ramai, anda mungkin perlu melakukan bidaan serta bayaran beberapa kali untuk memastikan kedudukan anda kembali ke tempat teratas.

    Jadi, untuk mengatakan aplikasi ini telus, kami kurang bersetuju. Dari aspek untuk mengelakkan penggunaan ‘runner‘ mungkin ya, tapi antara peserta bidaan, ia masih kurang. Melalui aplikasi ini juga anda tidak akan berpeluang untuk memenangi nombor menarik pada harga yang murah kerana setiap satunya sudah diletakkan dalam kategori masing-masing bersama bidaan minimum.

    Sebagai contoh, ada nombor popular seperti berkembar atau diapit boleh didapati dengan harga lebih rendah, sekiranya tidak banyak bidaan, sedangkan sekarang bidaan minimumnya sudah diletakkan pada RM800. Apapun, kami masih bersetuju dengan mengatakan aplikasi ini memberikan satu platform yang lebih lancar untuk sistem bidaan nombor pendaftaran. Dari satu tempat sahaja, anda boleh membida untuk mana-mana siri nombor pendaftaran, sedangkan sebelum ini, untuk menghantar surat bidaan, anda perlu mengikut cawangannya.

     
     
  • Volvo Malaysia lancar pusat 3S baharu di Skudai

    Volvo Malaysia lancar pusat 3S baharu di Skudai

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Skudai, Johor. Operasi pusat 3S ini dikendalikan oleh Pekin Auto Sdn Bhd, yang bertindak sebagai rangkaian pengedaran dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan di Selatan tanahair.

    Pusat 3S Volvo Skudai ini turut menerapkan standard peruncitan Volvo Cars terkini iaitu Volvo Retail Experience (VRE). Malahan ia turut ditampilkan dengan bilik pameran berinspirasikan Scandinavian dengan menghimpunkan barisan model Volvo terkini serta turut dilengkapi pusat servis dengan lima petak penyelenggaraan.

    Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain berkata, “Jenama kami memberikan penekanan terhadap individu, keselamatan dan alam sekitar. Malah kami komited untuk memastikan pelanggan kami menerima pengalaman pemilikan yang terbaik.”

    Volvo Malaysia lancar pusat 3S baharu di Skudai

    “Kami berbangga dapat mewakili jenama Volvo Cars di Johor Bahru dan bersedia memenuhi permintaan pelanggan untuk perkhidmatan dan produk yang menarik,” ujar pengarah urusan Pekin Auto, Yo Kok Kong.

    Bilik pameran ini dibuka pada setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang, dan Ahad pula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Manakala pusat servis pula beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang, dan untuk Sabtu ia beroperasi sehingga jam 1 tengahari.

    Volvo Car Malaysia telah mencatatkan lonjakan jumlah jualan hasil pelan transformasi yang lebih kukuh. Malahan, untuk separuh pertama 2019, jenama ini telah mencatatkan lebih 60% peningkatan untuk jumlah tahun ke tahun.

     
     
  • Geely labur dalam syarikat ‘kereta terbang’ Volocopter

    Geely labur dalam syarikat ‘kereta terbang’ Volocopter

    Volocopter, sebuah pengeluar pengangkutan udara swasta German mengumumkan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 50 juta Euro (RM230 juta) bagi pusingan pertama kutipan dana Series C yang dilakukan. Jumlah itu datangnya daripada Zhejiang Geely Holding Group, yang pada tahun 2017 telah membeli sebuah lagi pengeluar syarikat “kereta terbang”, Terrafugia. Ketika ini, Volocopter telah berhasil mengumpul kapital sebanyak 85 juta Euro.

    Dana terbaru ini akan digunakan untuk melancarkan teksi udara VoloCity untuk kegunaan komersial dalam tempoh tiga tahun lagi. VoloCity ialah sebuah pengangkut udara elektrik dua-tempat duduk dengan berat 700 kg yang mampu mengangkut beban sehingga 200 kg. Ia juga menawarkan jarak perjalanan 35 km dan boleh terbang mencecah kelajuan 110 km/j. Pek bateri lithium-ion (yang menyediakan tenaga untuk 18 buah motor pada jentera ini; unit ini juga mempunyai 18 rotor) boleh ditukarkan dalam masa hanya lima minit.

    Sejak ditubuhkan pada 2011, Volocopter telah membangunkan tiga generasi kenderaan udara Volocopter, dua daripadanya diberi lesen untuk penerbangan dengan kendalian manusian dan juga tanpa kendalian manusia, dengan keseluruhan dana melibatkan 35 juta Euro (RM161 juta).

    CEO Volocopter, Florian Reuter menyatakan; “Pengangkutan urban perlu berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Dengan teksi udara Volocopter, kami mengunjur tahap yang lain bagi pengangkutan di udara. Pengumpulan dana ini pula membolehkan kami mempercepat pelaksanaan program Urban Air Mobility ini.”

    Geely labur dalam syarikat ‘kereta terbang’ Volocopter

    Sementara itu, Geely juga bersetuju untuk menjalin usaha sama dengan Volocopter untuk membawa Urban Air Mobility ke China. Pengerusi Geely Holding, Li Shufu memaklumkan; “Geely sedang dalam peralihan daripada menjadi sebuah pengeluar automotif kepada kumpulan teknologi pengengkutan, yang melabur di dalam dan membangunkan pelbagai teknologi generasi seterusnya yang berkaitan.”

    “Kerjasama terbaru kami dengan Daimler, berdasarkan usahasama kami di dalam perkhidmatan ride-hailing premium, serta kerjasama di dalam Volocopter menunjukkan keyakinan kami di dalam teksi udara Volocopter sebagai langkah seterusnya did alam pengembangan yang lebih meluas terhadap teknologi elektrifikasi dan perkhidmatan pengangkutan baru,” tambah beliau.

    Volocopter juga telah menjalankan beberapa demonstrasi awam terhadap kenderaan udara yang dibangunkannya. Ujian terbaru yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Helsinki membuktikan bahawa kenderaannya serasi dengan penyelesaian pengurusan trafik udara sedia ada. Syarikat ini juga akan menunjukkan prasarana mendarat bagi teksi udaranya, VoloPort di ITS WC, Singapura pada bulan hadapan.

     
     
  • Alpine kembali ke SS rali dengan A110 Rally R-GT

    Alpine kembali ke SS rali dengan A110 Rally R-GT

    Pada Mac 2017, jenama kereta sport ikonik Perancis iaitu Alpine telah muncul semula (kini milik Renault sepenuhnya), bermula dengan model A110 iaitu versi jelmaan semula model A110 klasik 1973. Seperti model asalnya yang bersinar dalam gelanggang rali, nampaknya Alpine A110 generasi baharu turut bakal di bawa ke kancah pertandingan yang sama.

    Jentera yang diberi nama Alpine A110 Rally ini boleh dibeli mana-mana individu atau pasukan persendirian untuk bertanding dalam kategori R-GT – dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) dan Kejohanan Rali Dunia (WRC) – bermula hujung tahun ini. Menurut Alpine, homologasi FIA untuk ketegori R-GT tersebut masih belum lengkap, tetapi akan diterima dalam masa terdekat.

    Para pembeli kereta ini nanti bakal bertarung dalam perlumbaan rali dengan saingan seperti Fiat 124 Abarth R-GT, Lotus Exige R-GT dan Porsche 911 GT3 dalam kategori R-GT yang diwujudkan oleh FIA khas untuk kereta-kereta GT bagi beradu kepantasan dalam Special Stage (SS) rali.

    Alpine kembali ke SS rali dengan A110 Rally R-GT

    Alpine A110 Rally ini dihasilkan Signatech berasaskan Alpine A110 Cup dan GT4, yang menampilkan casis dan aluminium yang ringan diambil dari model produksi biasa.

    Ia masih dijana oleh enjin 1.8 liter turbo empat silinder yang diletakkan di bahagian tengah, tetapi dengan talaan yang lebih sesuai untuk perlumbaan rali, serta menghasilkan kuasa lebih dari 300 PS berbanding jumlah asal 252 PS/320 Nm. Kotak gear asal pula digantikan dengan transmisi sequential enam-kelajuan, namun kuasa masih hanya dialirkan hanya ke roda belakang, dengan gandar yang lengkap bersama LSD.

    Kelengkapan rali lain yang dipadankan pada kereta ini termasuk sistem hidraulik tiga-hala, sistem brek dari Brembo bersama sistem brek ABS Motorsport dari Bosch, pedal penukar gear pada roda stereng, paparan instrumen bersepadu dan juga kelengkapan keselamatan yang menepati piawaian FIA sepeti rollcage penuh serta tempat duduk bucket dan tali pinggang keledar enam-poin perlumbaan dari Sabelt.

    Alpine kembali ke SS rali dengan A110 Rally R-GT

    Sesi shakedown kereta ini telah pun dilakukan di litar Lurcy-Lévis, terletak di Perancis, dan ia akan terus dibangunkan secara intensif di bawah seliaan juara rali 2WD Perancis Emmanuel Guigou dan juara rali junior Perancis 2015 Laurent Pellier.

    Kereta ini akan dijual pada harga jangkaan dari 150,000 euro atau sekitar RM691k (bergantung pada homologasi), dan pelanggan pertama dijangka akan menerima Alpine A110 Rally ini pada awal tahun 2020.

     
     
  • Harga minyak 7-13 September 2019 – tiada perubahan!

    Harga minyak 7-13 September 2019 – tiada perubahan!

    Untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Spetember 2019, Kementerian Kewangan memaklumkankan semua harga bagi petrol dan diesel adalah kekal seperti mana minggu sebelumnya.

    Ini bermakna petrol RON 97 akan dijual pada harga RM2.50 seliter. Sementara itu, petrol RON 95 pula terus dijual pada harga tetap RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan tidak kiralah harga pasaran semasanya.

    Harga minyak 7-13 September 2019 – tiada perubahan!

    Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Menurut menteri kewangan, jika mengikut perkiraan Automatic Price Mechanism (APM), petrol RON 95 sepatutnya dijual pada harga RM2.20 seliter manakala diesel pada RM2.26 seliter tanpa kawalan harga. Dengan harga jualan yang telah ditetapkan, kerajaan akan menyerap kos subsidi sebanyak RM52.61 juta untuk tempoh 7 hingga 13 September 2019.

     
     
  • Kastam sita 21 kereta mewah bernilai RM12.2j kerana seleweng dokumen pengimportan, langgar syarat MITI

    Kastam sita 21 kereta mewah bernilai RM12.2j kerana seleweng dokumen pengimportan, langgar syarat MITI

    Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) telah menyita 21 buah kereta mewah kerana didapati menyeleweng dokumen pengimportan. Ia melibatkan enam buah Lamborghini Huracan, tujuh Toyota Vellfire, empat Toyota Estima, dua Mercedes Benz CLS350 dan masing-masing satu model BMW 525i dan Toyota Alphard.

    Semua kereta berkenaan diimport dari United Kingdom dan Jepun. Ia disita oleh sepasukan anggota dan pegawai JKDM, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Zon Tengah dalam dua serbuan berasingan di dua buah syarikat pengimportan kenderaan di Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid, semua kereta berkenaan dianggarkan bernilai RM12.2 juta berdasarkan nilai semasa termasuk duti dan cukai. Pihaknya terpaksa menyita kenderaan berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu tidak mempunyai Lesen Import yang sah semasa pengimportannya.

    “Siasatan juga mendapati, dua syarikat berkenaan cuba menyeleweng dokumen dengan mengikrar tarikh pengilangan yang tidak benar atau usia kereta yang tidak benar. Hasil siasatan juga mendedahkan, kereta yang disita melanggar syarat Lesen Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITl),” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Sambungnya lagi, bagi kes serbuan pertama, pihaknya menyita lapan kereta mewah iaitu Toyota, Mercedes Benz dan BMW dengan anggaran nilai kereta sebanyak RM340,000 dan jumlah duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM644,000. Kesemua kereta berkenaan didapati disimpan dalam gudang berkenaan lebih dua tahun selain belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, sebanyak 13 kereta mewah disita termasuk enam Lamborghini dengan nilai anggaran kereta adalah RM3.8 juta dan duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM7.5 juta.

    “Berdasarkan nilai semasa, sebuah Lamborghini Huracan dipasarkan pada harga RM1.9 juta. Siasatan mendapati, tarikh keluaran Lamborghini adalah pada 2016 dan 2017 namun, syarikat berkenaan menyeleweng dokumen dengan memalsukan tarikh keluaran antara 2012 hingga 2014,” katanya.

    Kastam sita 21 kereta mewah bernilai RM12.2j kerana seleweng dokumen pengimportan, langgar syarat MITI

    Katanya, tindakan menyeleweng tarikh keluaran itu bagi mengelak cukai lebih tinggi dibayar kerana apabila usia kereta lebih lama, maka cukai yang perlu dibayar kepada kastam adalah lebih rendah. Pihaknya mendapati syarikat berkenaan pernah terbabit dalam kesalahan sama sebelum ini dan sudah beroperasi lebih lima tahun.

    Jelasnya lagi, jika disabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

    Bagi kesalahan kedua pula, Azimah berkata, denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana yang lebih tinggi dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

     
     
  • Toyota dedahkan platform TNGA-B – asas untuk model-model lebih kompak pada masa akan datang

    Toyota dedahkan platform TNGA-B – asas untuk model-model lebih kompak pada masa akan datang

    Toyota telah mendedahkan satu lagi variasi platform Toyota New Global Architecture (TNGA), kali ini digelar platform GA-B atau TNGA-B yang akan digunakan pada model-model lebih kompak. Platform baharu ini akan menyertai asas-asas TNGA lain dalam pasaran seperti GA-C (Prius dan Corolla generasi baharu, C-HR) dan juga GA-K (sedan Camry dan SUV RAV4).

    Seperti juga platform TNGA lain, platform GA-B ini turut menampilkan pelbagai variasi jarak roda, panjang dan lebar keseluruhan bagi membolehkan ia disesuaikan untuk pelbagai model dalam saiz dan bentuk badan berbeza yang bakal dihasilkan oleh pereka dan jurutera pada masa hadapan.

    Platform ini turut direka bagi memaksimakan ruang dalaman menerusi pakej yang dihasilkan secara pintar, memberikan kabin yang luas serta selesa. Dalam masa yang sama, pereka dapat menghasilkan rupa luaran yang rendah dan lebar, hasil dari karekteristik asli platform tersebut.

    Toyota dedahkan platform TNGA-B – asas untuk model-model lebih kompak pada masa akan datang

    Ini termasuk komponen-komponen yang tidak nampak bagi memberikan rekaan kenderaan yang lebih ringkas pada bahagian-bahagian utama, bahagian tegar pada badan atas dan pinggang pemandu yang diposisikan lebih rendah, bersama juntaian hadapan dan belakang yang pendek.

    Juga seperti TNGA GA-C dan GA-K, platform lebih kompak ini turut direka bagi “memberikan pemanduan yang yakin dan semula jadi,” menurut Toyota. Ia adalah hasil dari teknologi cantuman yang memberikan ketegaran badan bawah yang tinggi, dalam masa yang sama masih mengekalkan berat dan kos yang rendah.

    Untuk suspensi pula, sistem Topang McPherson di hadapan menampilkan penyerap hentak geseran rendah, digandingkan dengan pelbagai variasi jenis spring. Manakala pada bahagian belakang, ia boleh disesuaikan sama ada dengan konfigurasi torsion beam atau multilink, bergantung jenis dan karekter kenderaan yang akan dihasilkan.

    Toyota dedahkan platform TNGA-B – asas untuk model-model lebih kompak pada masa akan datang

    Platform ini turut memberikan posisi tempat duduk pemandu yang rendah dan hampir ke bahagian tengah yang akan membantu dalam aspek memberikan pusat graviti lebih baik. Menurut Toyota lagi, ini turut akan memberikan posisi pemanduan yang lebih meyakinkan di mana roda stereng dapat diletakkan lebih hampir dengan pemandu pada sudut paling optima.

    Namun buat masa sekarang Toyota masih belum mengumumkan model mana yang akan menggunakan platform GA-B ini. Tetapi boleh dijangka, ia pastinya akan digunakan pada model Yaris generasi seterusnya. Toyota juga mungkin akan menghasilkan crossover yang lebih kecil dari C-HR kerana platform ini turut mampu untuk menampung model sedemikian.

     
     
  • JPJeBid mula dilaksanakan di Pahang – Kutipan cecah RM1.02 juta menerusi bidaan nombor pendaftaran CEE

    JPJeBid mula dilaksanakan di Pahang – Kutipan cecah RM1.02 juta menerusi bidaan nombor pendaftaran CEE

    Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) baru saja mula dilaksanakan di Pahang, dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM1.02 juta menerusi bidaan nombor pendaftaran CEE yang bermula pada 30 Ogos hingga 3 Sept lalu. Nombor pendaftaran ‘CEE 7’ dan ‘CEE 9’ mencatatkan bidaan tertinggi dengan masing-masing bernilai RM58,000.

    “Ini adalah nilai kutipan bidaan tertinggi yang direkodkan setakat ini, dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding siri nombor pendaftaran CED hanya memperoleh RM895,940. Peningkatan kali ini mungkin disebabkan pengenalan sistem JPJe-BID, yang memudahkan urusan bidaan orang awam selain promosi meluas oleh pihak JPJ,” menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Mohammad Abdullah seperti disiarkan oleh Bernama.

    Mohammad menambah nombor pendaftaran CEE 96 mendapat bidaan tertinggi dengan 13 pembida diikuti CEE 11 (12 orang), CEE 33 (11 orang) manakala 9,575 nombor yang tidak dibida akan dibuka kepada umum. Di mana mereka yang berjaya membuat bidaan nombor pendaftaran dikehendaki mendaftarkan nombor tersebut pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan.

    “Jika mereka gagal berbuat demikian, maka surat keputusan bidaan akan dianggap sebagai luput, dengan bayaran yang dibuat tidak akan dikembalikan semula. Untuk orang awam yang berminat dengan nombor pendaftaran tidak dibida, mereka boleh berurusan di pejabat JPJ seluruh negeri, namun disarankan supaya mendaftar portal JPJ, Mysikap terlebih dahulu,” katanya.

    Mohammad berkata untuk JPJe-BID pertama Pahang, sebanyak 1,879 resit dijual yang membawa kutipan RM18,790 dan daripada jumlah itu, 904 pembida mencuba nasib mendapatkan nombor pendaftaran idaman mereka, dengan 424 berjaya memperolehnya.

     
     
  • Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

    Permainan video rasmi Kejohanan Rali Dunia (WRC) terbaharu, WRC 8 yang diterbitkan oleh Bigben Interactive dan dibangunkan oleh Kylotonn secara rasminya telah dilancarkan dalam pasaran global semalam. Apa yang menarik, jentera rali binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Proton Iriz R5 turut ditampilkan, dan ia membarisi senarai kereta-kereta rali ikonik sepanjang zaman!

    Antara kereta rali yang termasuk dalam senarai sama dalam permainan video ini adalah Lancia Stratos 1974, Ford Escort Mk11 RS1800 1974, Lancia 037 Group B 1983 dan Volkswagen Polo R WRC 2016. Tidak diketahui mengapa Proton Iriz R5 disenaraikan sebagai kereta rali ikonik sepanjang zaman dalam permainan video ini, kerana kereta ini masih belum membuat penampilan pertamanya dalam WRC walaupun telah menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini.

    Walau bagaimanapun, MEM sendiri sememangnya telah menghasilkan kereta-kereta rali Proton yang kompetitif sebelum ini; Proton Satria Neo S2000 yang bertanding dalam kejohanan Kejohanan Rali Antara Benua (IRC), WRC dalam kategori SWRC dan juga menjadi juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) 2001 dipandu oleh Alister McRae; Proton PERT Evo VI Group N yang dipandu Karamjit Singh untuk pusingan-pusingan di Eropah sehingga beliau berjaya dinobatkan sebagai Juara WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002.

    Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Sejak muncul buat kali pertama pada Goodwood Festival of Speed 2017, Iriz R5 ini telah menjuarai pelbagai rali nasional di Britain termasuk juara tiga tahun berturut-turut di Forest Stage Rally Goodwood FOS (2017-2019) dan terbaharu juara Woodpecker Stage Rally 2019 hujung minggu lalu.

    Ini juga bukan penampilan pertama Proton dalam permainan video rali sebegini. Sebelum ini jenama automotif nasional berkenaan turut pernah muncul dalam permainan video seperti International Rally Championship (1997) dengan Proton Wira 4WD (Proton PERT Evo II), WRC 4 (2004) dengan Proton PERT Evo VII dan WRC 4: FIA World Rally Championship (2012) dengan Proton Satria Neo S2000.

    Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

    Berbalik kepada permainan video terbaharu WRC 8 ini, ia dibintangi oleh empat kereta utama dari empat pasukan yang kini sedang merebut gelaran juara WRC iaitu Citroën Total C3 WRC, Hyundai Motorsport i20 N Coupe WRC, M-Sport Ford Fiesta WRC dan Toyota Gazoo Racing Yaris WRC – kesemuanya dalam livery perlumbaan untuk musim 2019.

    Pemain boleh memilih lebih dari 50 pemandu rali sebenar sebagai watak dalam permainan tersebut, termasuk tiga pemandu yang sedang merebut gelaran juara dunia 2019 iaitu juara dunia enam-kali Sebastien Ogier (Citroën), Thierry Neuville (Hyundai) dan pendahulu kejuaraan buat masa sekarang Ott Tanak (Toyota).

    Dalam permainan ini juga, laluan SS sepanjang lebih 400 km telah diterjemahkan dalam dunia maya yang diambil dari 14 pusingan WRC sebenar musim 2019, yang turut menampilkan lebih 100 SS lagenda WRC. Antara lokasi ikonik tersebut termasuk Colin’s Crest dari Vargåsen test di Sweden, kawasan berbukit batu El Condor di Argentina dan lompatan Ruuhimäki di Finland.

     
     
  • VPCM perkenalkan Pelan Insurans Volkswagen ‘VIP’

    VPCM perkenalkan Pelan Insurans Volkswagen ‘VIP’

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan program insurans baharu yang dipanggil Pelan Insurans Volkswagen atau Volkswagen Insurance Plan (VIP). Ia dikatakan dapat mempertingkatkan pengalaman pemilikan Volkswagen dengan menawarkan perlindungan komprehensif dengan kerumitan yang minimum.

    Sebagai pemegang polisi VIP, faedahnya termasuklah kelulusan tuntutan yang diutamakan, bantuan tepi jalan dengan servis menunda kecemasan 24-jam, dan juga jaminan bahawa kerja pembaikan yang dilakukan di pusat badan dan cat Volkswagen yang bertauliah, mengikut piawaian yang ditentukan oleh pengeluar termasuk hanya menggunakan alat ganti yang tulen sahaja.

    Di samping itu, tidak ada bayaran yang berlebihan, tiada kos tersembunyi dan nilai yang dipersetujui sehingga 10 tahun. Ia terbuka untuk semua model Volkswagen tanpa mengira usia kenderaan.

    VPCM perkenalkan Pelan Insurans Volkswagen ‘VIP’

    VIP ini boleh dibeli di mana-mana pusat pengedaran Volkswagen yang bertauliah, dengan mendaftar kereta baharu atau ketika cukai jalan diperbaharui. Allianz General Insurance dan Etiqa General Takaful merupakan rakan panel insurans yang terpilih. Allianz menawarkan insurans konvensional sementara Etiqa pula menawarkan kedua-dua insurans konvensional dan takaful.

    “Dengan VIP, semua pemilik Volkswagen tidak kira model, boleh menikmati servis yang berkualiti dan bantuan tepi jalan pada nilai yang terbaik di bawah pelan yang komprehensif eksklusif untuk mereka. Pelanggan kami adalah daripada segala apa yang kami lakukan dan perkhidmatan tambahan yang disediakan ini bagi memastikan keseluruhan proses ini diperkemaskan dan lebih mudah, membuatkan pengedar Volkswagen kami menjadi pusat sehenti yang diperlukan oleh pelanggan,” ujar Pengarah Urusan VPCM Erik Winter.

    Hujung minggu lalu, VPCM telah melancarkan Das WeltAuto di Malaysia, yang merupakan program kereta terpakai global Volkswageb yang menawarkan kereta terpakai yang diyakini menerusi sumber yang dipercayai.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Cerato 2019 sekali lagi dikesan di M’sia

    SPYSHOT: Kia Cerato 2019 sekali lagi dikesan di M’sia

    Kia Cerato 2019 sekali lagi dikesan di Malaysia, kali ini oleh pembaca Muhammad Hafiy Azim Abdul Aziz di Wangsa Maju, KL. Ini bukan penampilannya yang pertama kali – sedan segmen-C generasi ketiga ini di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada November lalu, sebelum team kami, Jonathan Lee, berjaya mengesan kelibatnya di Lebuhraya Persekutuan pada April lalu.

    Tidak seperti model ujian yang kami kesan sebelum ini, kali ini ia dibaluti penyamaran sepenuhnya, hanya lampu dan sedikit bahagian plastik sahaja yang terdedah. Seperti sebelum ini, ia juga menampilkan roda aloi 16-inci yang sama dengan tayar profil tinggi.

    Cerato baharu mempunyai rekaan lebih dinamik, yang diambil daripada model Stinger termasuklah lampu utama yang lebih kemas, gril ‘tiger nose‘ versi terbaharu, bonet lebih panjang dan bentuk keseluruhan lebih kepada sebuah fastback. Di dalam, rekannya diubah sepenuhnya untuk menjadi lebih kontemporari dan di tengah terdapat panel paparan besar untuk sistem infotainmen.

    Malah model 2019 ini juga lebih besar, dengan panjangnya kini bertambah 81 mm menjadi 4,640 mm, lebar bertambah 20 mm menjadi 1,800 mm dan tinggi bertambah 5 mm menjadi 1,440 mm. Dengan itu, ruang kaki dan simpanan di belakang juga bertambah besar, dipertingkatkan dari 482 ke 501 liter.

    Struktur model baharu ini pula menampilkan penggunaan komponen yang melalui proses hot-stamping, 54% besi berkekuatan tinggi serta 105 meter pelekat struktur (lima kali lebih banyak berbanding sebelum ini). Suspensi adalah unit MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

    Dijangkakan Cerato pasaran Malaysia didatangkan dengan enjin petrol 2.0 liter Nu serta padanan transmisi automatik enam-kelajuan sama seperti sebelumnya, dengan kemampuan 150 hp pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini adalah enjin sama yang digunakan bagi pasaran Australia, sementara pasaran lain mendapat enjin sama yang dipertingkat, bersama transmisi Intelligent Variable Transmission CVT.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026