Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ingress Swede Auto – pusat 3S terbaharu Volvo Cars Malaysia untuk pelanggan sekitar Mutiara Damansara

    Ingress Swede Auto – pusat 3S terbaharu Volvo Cars Malaysia untuk pelanggan sekitar Mutiara Damansara

    Baru sahaja Volvo Cars Malaysia (VCM) merasmikan pembukaan pusat 3S terbaharunya di Skudai, Johor Bahru hujung minggu ini, kini satu lagi pusat 3S baharu jenama Sweden tersebut secara rasmi dibuka – kali ini dioperasikan oleh Ingress Swede Auto, terletak di Mutiara Damansara.

    Pembukaan pusat 3S yang terletak berhampiran dengan pasaraya perabut Sweden, Ikea tersebut pagi tadi agak istimewa, kerana ia telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifudin Nasution bin Ismail. Turut hadir adalah Encik Nalin Jain, pengarah urusan Volvo Car Malaysia dan juga pengurus-pengurus senior Ingress Corporation Berhad iaitu CEO Kumpulan Datuk (Dr) Haji Rameli Musa dan presiden divisi pengedar automotif Encik Rabian Ab Rahman.

    Sehingga kini, VCM telah mempunyai 12 buah bilik pameran di seluruh Malaysia, dengan tiga lagi turut dirancang untuk dibuka tahun ini. Ia adalah selari dengan strategi transformasi syarikat tersebut dengan menumpukan untuk melebarkan lagi jaringan pengedarnya di seluruh negara.

    Ingress Swede Auto – pusat 3S terbaharu Volvo Cars Malaysia untuk pelanggan sekitar Mutiara Damansara

    “Dalam segmen premium, produk bukan satu-satunya faktor untuk pengguna membuat keputusan membeli. Apa yang sama penting adalah nilai, kualiti, dan akses kepada servis yang dapat mereka nikmati sepanjang perjalanan mereka dengan jenama tersebut,” kata Encik Nalin Jain.

    Encik Jain telah memainkan peranan penting dalam fasa kedua strategi transformasi VCM yang bukan sahaja melihat kepada aspek mengembangkan lagi kehadiran jenama dalam pasaran, malah turut memperbaiki semula aspek teknologi, proses-proses dan manusia.

    “Kami sedang berusaha untuk menyatukan teknologi dan proses yang akan menambah nilai kepada kehidupan pelanggan – seperti kereta kami, semuanya kami perlu tambahkan maksud kepada pengalaman pelanggan kami -itu caranya bagaimana kami boleh menarik perhatian mereka,” tambahnya lagi.

    “Berbekalkan pengalaman kami dalam sektor automotif premiun, kami yakin untuk memberikan pengalaman jenama yang diharapkan oleh Volvo Cars,” kata Encik Mohd Azeman Mohamed Akram Ab Rahman, prinsipal pengedar Ingress Swede Auto pula.

    Seperti juga fasiliti 3S VCM yang lain, pusat milik Ingress Swede ini turut menampilkan bilik pameran dan pusat servis yang diberikan konsep standard global Volvo Retail Experience (VRE), yang menzahirkan nilai serta warisan sejarah Scadinavia Volvo.

    Fasiliti tersebut mempamerkan kesemua model terkini Volvo untuk pasaran Malaysia iaitu XC90, S90, XC60 dan XC40, dibuka dari Isnin hingga Sabtu, bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. Hari Ahad pula ia dibuka dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, dan tutup pada hari cuti kelepasan am.

    Manakala pusat servisnya pula mempunyai enam ruang pembaikan, dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 5 petang, sementara hari Sabtu pula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. Operasi servis Ingress Swede Auto ini akan bercuti pada hari Ahad serta cuti kelepasan AM.

     
     
  • Mazda 6 2019 dinaik taraf dengan GVC Plus, Apple CarPlay, Android Auto – CBU Jepun, dari RM174k

    Mazda 6 2019 dinaik taraf dengan GVC Plus, Apple CarPlay, Android Auto – CBU Jepun, dari RM174k

    Mazda 6 facelift yang dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu kini diberikan naik taraf. Ia melibatkan bahagian dinamik pemanduan dan ciri kemudahan lain. Enjin pula masih lagi sama iaitu 2.0L NA 162 hp/213 Nm, 2.5L NA 192 hp/258 Nm dan 2.2l turbodiesel 188 hp/450 Nm, manakala bentuk badan pula terdiri daripada sedan dan wagon.

    Mazda 6 pasaran 2019 kini didatangkan dengan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), yang sebelum ini digunakan buat kali pertama pada CX-5 hujung tahun lalu. Sementara GVC mengawal tork enjin untuk pergerakan badan kenderaan yang lebih baik dan lancar, GVC Plus pula memberi tambahan kuasa brek kepada roda tertentu bergantung kepada keadaan, untuk memastikan kenderaan lebih stabil.

    Apabila mahu keluar daripada selekoh dan membetulkan stereng ke kedudukan tengah, GVC Plus akan mengenakan sedikit kuasa brek pada roda luar untuk menstabilkan kenderaan. Selain waktu pemanduan dinamik, GVC Plus juga dikatakan dapat membantu apabila mengelak secara tiba-tiba, dan memberikan rasa yang lebih memuaskan waktu menukar lorong atas lebuh raya atau atas permukaan licin.

    Mazda 6 2019 dinaik taraf dengan GVC Plus, Apple CarPlay, Android Auto – CBU Jepun, dari RM174k

    Selain daripada GVC Plus, Mazda 6 juga kini dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard, dan ia boleh diakses melalui panel paparan infotainmen Mazda Connect 8.0 inci di tengah. Bermakna, pemandu juga boleh menyambungkan aplikasi seperti Waze, Google Maps dan Spotify dari telefon mereka kepada sistem kenderaan ini.

    Sama seperti sebelum ini, Mazda 6 disediakan dalam empat varian yang diimport sepenuhnya (CBU) iaitu 2.0L Sedan, 2.5L Sedan, 2.5L Touring dan 2.2L Diesel Sedan, dengan harga masing-masing RM173,659, RM211,148, RM215,148 dan RM219,851 tidak termasuk insurans. Pilihan warna pula terdiri daripada Soul Red Crystal, Machine Gray, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Titanium Flash, Jet Black dan Snowflake White Pearl.

    Melihat kepada ciri keselamatan, semua varian Mazda 6 dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA), Auto Hold Function dan cagak Isofix.

    Mazda 6 2019 dinaik taraf dengan GVC Plus, Apple CarPlay, Android Auto – CBU Jepun, dari RM174k

    Walaubagaimanapun, varian 2.5L dan 2.2L kemudiannya ditambah lagi dengan ciri lain yang termasuk lampu LED Adaptive, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist System, Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS).

    Jika anda perasan juga, harga Mazda 6 ini waktu pelancaran adalah lebih rendah, iaitu antara RM156,190 hingga RM197,401, dan ini disebabkan waktu itu tiada cukai GST atau SST. Apabila SST dikuat kuasakan, harganya kemudian berubah kepada antara RM165,215 hingga RM211,426.

    GALERI: Mazda 6 facelift

     
     
  • Polestar 2 EV dipamer di Frankfurt – 408 hp, 660 Nm!

    Polestar 2 EV dipamer di Frankfurt – 408 hp, 660 Nm!

    Polestar 2 telah membuat penampilan sulungnya untuk peringkat global Februari lalu, dan kini sedang dipamerkan di Frankfurt. Ia merupakan model pengeluaran sebenar bagi Volvo 40.2 Concept pada 2016; ia bagaimanapun direka sepenuhnya untuk menjadi sebuah EV, dan bersaing dengan model seperti Tesla Model 3.

    Model paling lengkap ini dikuasakan oleh sepasang motor elektrik, setiap satunya menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 330 Nm tork, diletakkan pada setiap gandar untuk menjadikannya pacuan semua roda. Secara gabungan, sistem berkenaan menghasilkan sebanyak 300 kW (408 hp) dan 660 Nm. Ia sama kuasa dengan enjin T8 Twin Engine Volvo, tetapi dengan tambahan 20 Nm. Ini membolehkan Polestar memecut dari 0-100 km/j di bawah lima saat. Dengan bateri 78 kWh, Polestar mensasarkan jarak pergerakan 500 km mengikut kitaran WLTP.

    Polestar 2 EV dipamer di Frankfurt – 408 hp, 660 Nm!

    Ia dibina menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang sama dengan Volvo Xc40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03. 27 modul pek baterinya diletakkan di bawah lantai kereta, menyumbang kepada keteguhan model ini. NVH juga bertambah baik – kadar kebisingan jalan yang direkodkan ialah 3.7 dB lebih rendah berbanding casis konvensional.

    Di dalam, sebuah skrin sentuh menegak dengan saiz 11-inci tersedia, menggunakan sistem operasi berasaskan Andoroid yang dibangunkan bersama Google. Ia menampilkan ciri kawalan suara binaan dalaman Google Assistant, Google Maps (lengkap dengan maklumat sistem pengecas) dan Google Play Store.

    Polestar 2 EV dipamer di Frankfurt – 408 hp, 660 Nm!

    Polestar 2 menampilkan kemasan dalaman dengan pilihan termasuk fabrik dan material buatan Weave Tech yang kalis air dan kotoran. Bagi yang mahukan material kulit Nappa, ia turut ada ditawarkan. Kemasan lain seperti polykarbonat kesan 3D dan kayu hitam turut digunakan.

    Ketika pelancaran, model ini turut ditawarkan dengan kelengkapan pilihan seperti penyerap hentak Öhlins, brek Brembo dan rim aloi diperkukuh 20-inci, serta perincian warna emas dibeberapa bahagian. Bagi tempoh 12 bulan pertama, ia dijual pada harga bermula €39,900 (RM184,800), naik kepada €59,900 (RM277,400) bagi versi dilancarkan dan turut ditawarkan melalui program langganan. Pengeluarannya akan bermula di China pada Februari tahun depan.

     
     
  • Mazda CX-5 2019 – spesifikasi terperinci dan varian lengkap didedahkan, kini dibuka untuk tempahan

    Mazda CX-5 2019 – spesifikasi terperinci dan varian lengkap didedahkan, kini dibuka untuk tempahan

    Mazda Malaysia kini telah mendedahkan senarai spesifikasi penuh bagi model CX-5 2019 lebih awal dari tarikh pelancarannya. Pelanggan boleh memilih dari lima varian yang ditawarkan, dengan empat pilihan enjin yang berbeza. Bagaimanapun, buat masa ini masih belum ada pengesahan tentang harga yang akan dikenakan, tetapi mereka yang berminat sudah boleh membuat tempahan untuk SUV CKD ini.

    Varian yang ada termasuklah 2.0 GL 2WD, diikuti dengan 2.0 GLS 2WD, 2.5L GLS 2WD, 2.5L Turbo AWD dan yang terakhir 2.2D GLS 2WD. Dengan penawaran terbaru ini, hanya varian dengan enjin turbocas sahaja yang dilengkapi dengan sistem AWD, manakala varian 2.2D GLS AWD sebelum ini telah digugurkan.

    Bagi enjin, semua versi 2.0L menggunakan unit SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol dengan janaan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm. Sementara itu, varian 2.5 GLS 2WD menerima unit 2.5 liter dengan janaan 192 hp pada 6,000 rpm dan 258 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Mazda CX-5 2019 – spesifikasi terperinci dan varian lengkap didedahkan, kini dibuka untuk tempahan

    Varian 2.5L Turbo AWD pula walaupun menggunakan unit 2.5 liter, ia dilengkapi dengan pengecas turbo, yang menghasilkan sebanyak 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm pada 2,000 rpm. Satu-satunya penawaran enjin diesel ialah melalui unit SkyActiv-D 2.2 liter turbocas empat-silinder dengan angka output 188 hp pada 4,500 rpm dan 450 Nm tork pada 2,000 rpm.

    Semua enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan lengkap dengan sistem i-Stop. Ciri Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga dipasang standard untuk semua varian. Semua varian 2.0 akan menggunakan rim aloi 17-inci (saiz 225/65), manakala yang lain menggunakan rim 19-inci (saiz 225/55).

    Kelengkapan standard untuk semua varian termasuk lampu utama LED automatik dengan lampu belakang, lampu kabus dan DRL juga LED – kecuali pada varian 2.0 GL 2WD yang hadir dengan DRL mentol biasa. Varian paling rendah juga tiada ciri sistem tanpa kunci, tiada pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik dan tiada sensor parkir (empat di depan dan empat di belakang).

    Mazda CX-5 2019 – spesifikasi terperinci dan varian lengkap didedahkan, kini dibuka untuk tempahan

    Di dalam, kelengkapan yang ada termasuk butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa dua-zon, brek parkir elektrik dengan Brake Hold serta stereng multi-fungsi. Selain itu, sistem infotainmen Mazda Connect juga standard, dengan skrin sentuh tujuh-inci, Commander Control, enam pembesar suara dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain varian paling asas, semua model lengkap dengan tempat duduk larasan elektrik (10-hala untuk pemandu, dengan fungsi memori; enam-hala untuk penumpang), balutan kulit, serta kemasan kayu – varian 2.0 GL 2WD pula terima perincian gunmetal.

    Perbezaan lain antara varian ialah seperti pada bahagian kluster instrumen, dengan varian 2.0 menerima skrin LCD TFT 4.6-inci, sementara bagi varian 2.5 dan 2.2D pula menerima skrin tujuh-inci. Pilihan paling asas akan menerima kamera undur dan bukannya kamera 360-darjah seperti pada varian lain. Varian 2.5L Turbo dan 2.2D GLS 2WD sahaja yang datang dengan Active Driving Display.

    Mazda CX-5 2019 – spesifikasi terperinci dan varian lengkap didedahkan, kini dibuka untuk tempahan

    Kelengkapan keselamatan pula hampir sama bagi semua varian; antaranya termasuk enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA) dan Isofix. Bagaimanapun, bagi ciri keselamatan maju, ada beberapa perbezaan penawaran.

    Varian paling asas tidak dilengkapi dengan ciri canggih ini. Misalnya, varian 2.0 GLS 2WD dan 2.5 GLS 2WD datang dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Smart City Brake Support Forward (SCBS F) – bagaimanapun, hanya model 2.5L yang menerima Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support Reverse (SCBS R).

    Tambahan lain bagi varian 2.5L Turbo AWD dan 2.2D GLS AWD pula ialah Adaptive LED Headlights (ALH), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS); tiada ciri Mazda Radar Cruise Control (MRCC) ditawarkan. Ada lapan pilihan warna ditawarkan semua; Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Meteor Grey, Jet Black dan Arctic White. Harga akan diumumkan kemudian, dan CX-5 2019 ini diberikan tempoh jaminan lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma.

    Mazda CX-5 2019 2.5L Turbo AWD

     
     
  • Mercedes-Benz GLE 350de 4Matic dan X253 GLC 300e 4Matic V167 – guna bahan api serendah 1.1 l/100 km

    Mercedes-Benz GLE 350de 4Matic dan X253 GLC 300e 4Matic V167 – guna bahan api serendah 1.1 l/100 km

    Walaupun kereta konsep Vision EQS lebih banyak menarik perhatian di kawasan pameran Mercedes-Benz di Frankfurt Motor Show, pengeluar itu juga ada memperkenalkan beberapa model baru lain termasuk SUV GLC dan GLE versi plug-in hybrid ini.

    Bagi GLE 350 de 4Matic, ia menggunakan enjin diesel empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 194 PS (192 hp) dan 400 Nm tork, dan digabungkan dengan motor elektrik 100 kW (136 PS atau 134 hp)/440 Nm yang mendapat kuasa daripad abateri lithium ion 31.2 kWh. Selain sumber kuasa AC, ia juga boleh dicas dengan sumber DC (sambungan CCS2) untuk mendapatkan tempoh lebih cepat iaitu cuma 30 minit untuk pergi dari tahap bateri 10% ke 100%.

    Pada aspek prestasi, GLE 350 de 4Matic yang mempunyai kuasa keseluruhan 320 PS (320 hp) dan 700 Nm ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 6.8 saat dan mencecah laju maksimum 210 km/j, atau 160 km/j sekiranya menggunakan elektrik sahaja.

    Mercedes-Benz GLE 350de 4Matic dan X253 GLC 300e 4Matic V167 – guna bahan api serendah 1.1 l/100 km

    Lebih menarik, SUV plug-in hybrid besar ini mempunyai tahap penggunaan bahan api (disahkan oleh WLTP) 1.1 l/100 km dan pembebasan CO2 29 g/km. Apabila bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, jarak perjalanan yang boleh diberi adalah antara 90 hingga 99 km.

    Pergi pula kepada model GLC 300 e 4Matic yang lebih kecil, ia menggunakan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan 211 PS (208 hp) pada 5,500 rpm dan 350 Nm dari 1,200 hingga 4,000 rpm. Motor elektrik pada model ini juga lebih kecil iaitu 90 kW (122 PS or 121 hp)/440 Nm, tetapi mampu menghasilkan kuasa keseluruhan yang sama seperti GLE 350 de 4Matic.

    Dengan itu, GLC PHEV cuma mengambil masa 5.7 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dan boleh mencecah laju maksimum 230 km/j. Walaubagaimanapun, laju maksimum apabila bergerak menggunakan sumber elektrik sahaja adalah lebih rendah iaitu 130 km/j.

    Satu lagi bahagian yang berbeza adalah kecekapan bahan api, di mana GLC PHEV mencatat antara 2.5 dan 2.2 l/100 km mengikut peraturan WLTP, manakala pembebasan CO2 berada pada antara 57 dan 51 g/km. Bateri 13.5 kWh yang lebih kecil pada model ini juga cuma mampu memberikan jarak perjalan menggunakan elektrik sahaja lebih rendah, iaitu antara 39 hingga 43 km.

    Kedua-dua model menggunakan teknologi plug-in hybrid generasi ketiga Mercedes-Benz, dan dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic. Transmisi ini mempunyai torque converter yang disepadukan dengan pengunci klac, serta klac tambahan antara enjin dan motor elektrik.

    Pengecas 7.4 kW sambungan Type 2 digunakan untuk pengecasan AC kedua-dua model, dan Mercedes-Benz memberitahu bateri pada GLC 300 e 4Matic boleh sampai ke tahap penuh dalam masa cuma 1.5 jam dengan menggunakan wallbox yang mempunyai output kuasa berpadanan. Melalui soket kuasa domestik biasa, ia akan mengambil masa lima jam.

     
     
  • Honda Activa 125 BSVI dilancar di India – dari RM4k

    Honda Activa 125 BSVI dilancar di India – dari RM4k

    Pasaran India kini menerima sebuah skuter baru dari Honda iaitu Activa 125 BSVI. Ia dibawa sebagai pengganti kepada Activa 125 sebelum ini dan mempunyai pelbagai naik taraf untuk menjadikannya lebih moden. Kebanyakan naik taraf ini mungkin sudah diangga biasa bagi pasaran Asia Tenggara lain, tapi di India, ada di antaranya merupakan yang pertama dalam segmennya.

    Huruf BSVI yang digunakan sebenarnya adalah petanda bahawa enjin suntikan bahan api 124.9 cc eSP pada motosikal ini mematuhi tahap emisi Bharat Stage VI (sama tahap dengan Euro 6). Membantu lagi kecekapannya, enjin ini dilengkapi dengan sistem Idling Stop System (ISS) yang menggunakan starter ACG. Menurut Honda, Activa 125 baru ini 10% lebih jimat berbanding Activa karburator sebelum ini.

    Transmisi adalah jenis CVT, namun jumlah kuasa sebenar tidak didedahkan oleh Honda semasa pelancaran di sana. Kami menjangkakan ia terletak sekitar 9 hp dan 11 Nm tork. Satu lagi ciri baru untuk skuter India yang dibawa oleh model ini adalah suis tongkat yang tidak membenarkan enjin hidup apabila tongkat turun, berserta lampu amarannya.

    Bahagian meter motosikal ini didominasi oleh penunjuk kelajuan analog manakala maklumat lain seperti penggunaan bahan api, jarak perjalanan dan tahap bahan api dipaparkan pada panel LCD di bawahnya. Lampu hadapan model ini menggunakan sistem LED manakala di belakang bentuknya telah direka semula.

    Walaupun tidak dilengkapi dengan brek ABS, Activa 125 BSVI ini masih mempunyai Combi Brake System (CBS) yang mengaktifkan kedua-dua kuasa brek antara cakera di hadapan dan dram di belakang apabila brek ditarik kuat. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan 18 liter.

    Honda Activa 125 BSVI ditawarkan dalam tiga varian di India, dengan harga 67,490 Rupee (RM3,932) untuk Standard, 70,990 Rupee (RM4,134) untuk Alloy dan 74,490 Rupee (RM4,338) untuk Deluxe.

     
     
  • Toyota Corolla 2019 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi – nama Altis tidak lagi digunakan

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mula menayang teaser model Corolla generasi ke-12 menerusi laman Facebook rasmi Toyota Malaysia, dan menerusi gambar promosi yang ditayangkan itu, ternyata nama “Altis” tidak lagi digunakan. Walau bagaimana nama “Altis” tidak lagi digunakan, namun difahamkan untuk model serba baharu bagi pasaran Malaysia ini, ia masih mengekalkan lencana “Altis”. Kiranya, secara rasminya, model serba baharu ini hanya dikenali sebagai Toyota Corolla, dan tidak disebut ‘Corolla Altis’.

    Walau pun perubahan namanya bukanlah perkara yang besar, Corolla terkini ini lebih daripadanya. Bermakna, ia melibatkan perubahan dan peningkatan yang lebih signifikan untuk membolehkannya terus berdaya saing dalam industri automotif. Sedan segmen-C ini kini dibangunkan dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, malahan ia turut menampilkan rekaan serba baharu dan juga dimensi yang disemak semula.

    Kini ia berukuran 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, ini bermakna, ia 10 mm lebih panjang, lima mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah berbanding model semasa; namun jarak rodanya masih dikekalkan pada ukuran 2,700 mm.

    Sedan ini juga telah pun dilancarkan di Thailand lebih awal, dan masih menggunakan nama “Corolla Altis”. Di sana, imejnya sama dengan model Corolla di Eropah, dan menerusi teaser yang ditayangkan oleh UMWT ini, bagaikan kita bakal menerima model yang lebih kurang sama. Apa pun, belum diketahui penawaran enjin untuk spesifikasi model Malaysia. Kena tunggu perincian penuh daripada UMWT.

    Toyota Corolla Altis 2019 versi Thailand

    Di Thailand, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol naturally-aspirated empat-silinder – 1ZR-FBE 1.6 liter (125 PS dan 156 Nm) dan 2ZR-FBE 1.8 liter (140 PS dan 177 Nm); kedua-duanya dengan padanan transmisi CVT yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan.

    Ia turut menawarkan pilihan penjana kuasa hibrid dengan menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS, juga bersama transmisi e-CVT.

    Corolla Altis generasi ke-11 yang masih dijual di sini ditawarkan dengan enjin 2ZR-FE 1.8 liter (139 PS/173 NM) dan 3ZR-FR 2.0 liter NA empat-silinder (145 PS/187 Nm), kedua-duanya dengan CVT. Tiga varian ditawarkan untuk generasi ke-11 – 1.8E (RM120,000), 1.8G (RM123,000) dan 2.0V (RM138,000).

    Kita akan mengetahui lebih banyak informasi mengenai Corolla baharu ini apabila ia dilancarkan kelak. Tepat pada masanya setelah pesaing terdekatnya, Mazda 3 telah dilancarkan pada Julai lalu, dan Honda Malaysia juga bakal memperkenalkan Civic facelift tidak lama lagi.

    GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 (spesifikasi Thailand)

     
     
  • Volvo XC40 T5 Twin Engine dilancarkan di UK – 262 hp, 2.1 l/100 km, jarak EV 46 km; harga dari RM211k

    Volvo XC40 T5 Twin Engine dilancarkan di UK – 262 hp, 2.1 l/100 km, jarak EV 46 km; harga dari RM211k

    Volvo telah pun melancarkan XC40 T5 Twin Engine di United Kingdom, dengan harganya antara 40,905 dan 42,305 pounds British (RM211,344 dan RM218,505), dengan penghantaran pertamanya dijangka bermula Februari hadapan.

    Dengan pelancaran ini, kini kita sudah mengetahui spesifikasi penuh bagi SUV kompak plug-in hybrid, yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder pengecas turbo petrol dengan kuasa 180 hp pada 5,800 rpm dan tork 265 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

    Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang disepadukan bersama motor elektrik (82 hp dan 160 Nm), dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan. Output bagi sistem keseluruhan mampu mencecah sehingga 262 hp, dengan pecutan dari sifar ke 100 km/j mencecah 7.3 saat dan kelajuan maksimum sehingga 204 km/j.

    Volvo XC40 T5 Twin Engine dilancarkan di UK – 262 hp, 2.1 l/100 km, jarak EV 46 km; harga dari RM211k

    Mengikut peraturan WLTP, penggunaan bahan api dianggarkan serendah 2.1 l/100 km, dengan emisi CO2 pada 38 g/km dengan roda 19-inci. Sementara itu, jarak semua-elektrik sehingga 46 km, hasil padanan bateri lithium-ion 10.7 kWh yang diletakkan di terowong tengah kenderaan.

    Bateri tersebut boleh dicas menerusi sambungan Type 2 AC menggunakan soket rumah konvensional dengan kabel pengecasan, bersama masa pengecasan sekitar 3.5 dan enam jam.

    Volvo UK turut menawarkan kabel pengecasan pantas denga pengecas 3.7 kW AC onboard, jadi dengan wallbox fasa-tunggal atau tiga-fasa, ia hanya mengambil masa selama 2.5 jam untuk pengecasan penuh.

    GALERI: Volvo XC40 T5 Twin Engine PHEV

     
     
  • Honda PCX bakal dilengkapi empat injap dan VTEC?

    Honda PCX bakal dilengkapi empat injap dan VTEC?

    Sekarang ini sedang tersebar dalam internet lukisan paten yang dikatakan didaftar untuk sebuah skuter baru di Jepun. Melihat kepada gambar yang kami dapati daripada laman web Kojintekibikematome, selain daripada gambar enjin, juga terdapat gambar motosikal itu sendiri yang menyerupai model SH150i.

    Model ini tidak dijual di negara kita, tetapi ia mempunyai asas yang sama, termasuk enjin dengan PCX 150. Jadi, jika lukisan ini adalah benar, ia mungkin juga akan digunakan pada PCX generasi seterusnya. Peningkatan ini sememangnya perlu bagi memastikan ia dapat bersaing dengan Yamaha NMax.

    Dari aspek penampilan, memang PCX ada diberikan pembaharuan tetapi enjinnya masih lagi unit eSP yang lama berkapasiti 149 cc dengan dua injap dan SOHC. NMax pula sudah menggunakan enjin 155 cc dengan teknologi Variable Valve Actuation, dengan empat injap.

    Honda PCX bakal dilengkapi empat injap dan VTEC?

    Dalam lukisan paten ini, dapat dilihat enjin yang didaftar oleh Honda untuk skuter baru mereka sudah mempunyai empat injap iaitu dua untuk bahagian intake yang lebih kecil dan dua lagi yang lebih besar untuk bahagian ekzos. Kemudiannya apabila dilihat pada bahagian tepi, bahagian yang bernombor 69 biasanya adalah sebuah solenoid yang mengawal pemasaan injap.

    Jika betul, ini adalah satu sistem kawalan injap boleh ubah, yang menghasilkan satu sistem seperti VTEC yang sudah cukup popular bagi kenderaan Honda. Selain pada kereta, VTEC juga sebenarnya sudah digunakan pada beberapa model motosikal Honda seperti CB400.

    Melalui sistem kawalan injap boleh ubah seperti ini, kenderaan itu akan menikmati kelebihan optimum antara penjimatan bahan api dan kuasa, bergantung kepada tahap operasi kitaran enjin itu (rpm) dan cara pemilik memandu atau menunggangnya.

     
     
  • Honda e pengeluaran sebenar muncul di Frankfurt – dua janaan output, harga dari RM136k di Jerman

    Honda e pengeluaran sebenar muncul di Frankfurt – dua janaan output, harga dari RM136k di Jerman

    Honda e dalam penampilan unit pengeluaran sebenar kini telahpun ditunjukkan. Berikut antara gambar-gambar terawal model kereta kompak urban elektrik itu dari Pameran Permotoran Frankfurt 2019 yang dirakam oleh rakan sekerja kami yang berkunjung ke sana.

    Pertama kali dipertontonkan sebagai Honda e Prototype ketika di Pameran Permotoran Geneva tahun ini, EV berkenaan dikuasakan oleh bateri lithium-ion 35.5 kWh yang diletakkan di bawah lantai kereta ini, membekalkan sehingga 220 km jarak pergerakan untuk satu cas penuh.

    Honda e boleh dicas menggunakan pengecas AC melalui sambungan jenis Type 2, dan syarikat itu juga menawarkan Honda Power Charger dengan output 7.4 kW (pembekal kuasa fasa-tunggal) dan 22 kW (pembekal kuasa tiga-fasa) sebagai satu penyelesaian terminal mengecas di rumah. Dengan kapasiti kedua itu, tempoh mengecas 100% hanya memerlukan 4.1 jam sahaja.

    Honda e pengeluaran sebenar muncul di Frankfurt – dua janaan output, harga dari RM136k di Jerman

    Selain itu, EV ini juga boleh dicas baterinya dengan lebih pantas menggunakan sambungan CCS2 melalui jenis DC. Honda mendakwa, dengan cara ini, bateri hanya memerlukan 30 minit untuk pengecasan sehingga 80%.

    Turut dipertontonkan di Frankfurt ialah sistem peralihan tenaga bersepadu, Honda Power Manager Prototype, yang merupakan versi lebih kecil bagi stesen pengecas yang ada di kemudahan R&D Honda di sana. Beroperasi menggunakan aliran DC berserta pilihan sambungan CCS2 dan CHAdeMO, sistem itu menguruskan tenaga di antara gridm rumah dan juga kenderaan elektrik, membolehkan penggunaan dan simpanan tenaga yang lebih cekap dicapai.

    Bagi Honda e sendiri, ia menampilkan motor elektrik yang memacu roda belakang, dengan dua angka janaan kuasa – 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS) – disediakan; tork maksimum pada 315 Nm. Honda e boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa lapan saat.

    Ruang dalamannya pula mempertemukan material, warna dan teknologi canggih, misalnya papan pemuka yang dipasangkan dengan lima skrin paparan. Pemandu dan penumpang depan mempunyai capaian terus kepada dua skrin sentuh 12.3-inci utama, sementara tiga lagi skrin didedikasikan untuk kamera sisi (bersaiz enam-inci setiap satu) serta satu lagi skrin di bahagian kluster instrumen pemandu.

    Bagi harga pula, di Jerman, Honda e EV dijual pada harga bermula 29,470 Euro (RM136,108) bagi versi 100 kW, manakala versi 113 kW dijual pada harga 32,470 Euro (RM149,964). Serahan pertama bagi pembeli di sana pula dijangka dilakukan pada tahun hadapan.

     
     
  • Hyundai i30N Project C – edisi terhad lebih hardcore; banyak komponen karbon, suspensi ditala semula

    Hyundai i30N Project C – edisi terhad lebih hardcore; banyak komponen karbon, suspensi ditala semula

    Hyundai telah mendedahkan model edisi terhad untuk hot-hatch i30 N, digelar sebagai i30 N Project C ketika berlangsungnya acara IAA di Frankfurt. Model ini dihasilkan hanya 600 unit, terhad kepada pasaran Eropah, dan ia hadir dengan pelbagai peralatan yang lebih hardcore!

    ‘C’ pada nama kereta ini adalah merujuk kepada tiga perkara; Pertama adalah ‘Area C’ iaitu litar ujian berprestasi tinggi Hyundai dan juga tempat bermulanya Hyundai N, yang terletak di pusat R&D mereka di Namyang, Korea. Kedua, C bermaksud carbon, di mana model ini menerima pelbagai komponen yang diperbuat dari material ringan tersebut, pertama seumpamanya dari Hyundai.

    Maksud C yang ketiga pula adalah ‘Center of Gravity‘ atau CoG (pusat graviti), kerana Project C ini menampilkan CoG 8.8 mm lebih rendah dari i30 N biasa.

    Pada bahagian luar, Project C dibekalkan dengan pelbagai komponen badan – terdiri dari bonet hadapan, splitter hadapan, diffuser belakang dan sirip sisi – yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP), diperkemaskan dengan lapisan lakuer halus bagi menonjolkan corak sulaman karbon berkenaan.

    Hyundai i30N Project C – edisi terhad lebih hardcore; banyak komponen karbon, suspensi ditala semula

    Walaupun model ini tampil dengan muka yang lebih besar dan juga jarak kelegaan tanah yang lebih rendah (ia 6 mm lebih rendah dari model biasa), pekali geseran Project C ini kekal sama pada kadar 0.32, hasil dari rekaan semula dibuat pada kelengkapan aerodinamik.

    Menurut Hyundai, i30 Project C ini juga adalah 50 kg lebih ringan dari versi standard. Ini adalah hasil dengan penggunaan komponen CFRP tadi; bonet -7.2 kg, sirip sisi – 998 gram, splitter hadapan (+240 g dalam aspek aero), diffuser belakang -386 gram; serta peralatan lain seperti penggunaan rim OZ Racing 19-inci (-22 kg) dan tempat duduk bucket perlumbaan (dengan CFRP di perehat belakang) (-15kg).

    Hyundai juga telah menukar knuckle pada hab roda belakang dari komponen dari logam, kepada unit yang diperbuat daripada aloi, membolehkan 4.66 kg lagi ditolak dari berat asal.

    Kereta ini direndahkan menerusi spring yang lebih rendah, dan kemudian penyerap hentak asal telah ditala semula. Di belakang, satu bar (sama seperti peralatan dari Performance Package pada model biasa) dipasangkan pada ruang but, bagi meningkatkan lagi kadar ketegaran badan i30 N tersebut.

    Kesemua mod pemanduan pada Project C ini juga telah di tala semula, di mana mod Sport dan N memberikan respon yang lebih terus kepada pemandu, manakala mod N telah ditala untuk “mendapatkan ketangkasan dan lebih mudah diagak ketika dipandu pada permukaan jalan dengan kualiti seperti di litar oleh pemandu yang lebih berpengalaman”, menurut Hyundai.

    Pada bahagian dalaman, Project C menerima balutan Alcantara pada roda stereng, brek tangan dan but tuil penukar gear, manakala tombol gear telah diganti dengan unit yang diperbuat dari brushed aluminium billet dengan bentuk seakan kepala omboh enjin.

    Serlahan berwarna oren turut boleh dilihat pada bahagian seperti pada tali pinggang keledar, jahitan dan jalur pada tempat duduk, serta pada butang mod pemanduan dan butang N-mode pada roda stereng. Plat pengesahan bahawa ia adalah model edisi terhad bersama nombor produksi unik pula diletakkan pada papan pemuka sebelah penumpang.

    Walau bagaimanapun, Hyundai i30 N Project C ini masih mengekalkan enjin asal iaitu 2.0 liter empat-silinder Turbo dengan suntikan bahan api terus, menghasilkan 250 PS/353 Nm atau 275 PS sekiranya pembeli memilih untuk memadankan Performance Package. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan LSD elektronik, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

     
     
  • Honda Civic Type R sah kereta pengiring YDPA, hadiah dari Honda Malaysia sempena keputeraan baginda

    Honda Civic Type R sah kereta pengiring YDPA, hadiah dari Honda Malaysia sempena keputeraan baginda

    Jika sebelum ini ramai tertanya-tanya adakah Honda Civic Type R FK8 yang selalu dilihat mengiringi Yang di-Pertuan Agong adalah aset PDRM? Kini persoalan tersebut telah pun terjawab – hari ini, secara rasmi Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah menyerahkan sebuah Civic Type R FK8 tersebut kepada Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, YDP Agong XVI sebagai hadiah keputeraan baginda yang disambut pada Isnin lalu, 9 September 2019.

    Kereta tersebut akan digunakan oleh baginda untuk kegunaan harian, sebagai salah satu kenderaan pengiring. Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut menghadiahkan sebuah Honda Civic 1.5 VTEC Turbo Premium kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, yang juga akan digunakan sebagai kenderaan pengiring.

    “Di Honda, kami komited untuk menawarkan produk yang bernilai tinggi dan juga terkini dalam teknologi bagi memberikan kegembiraan kepada pelanggan. Civic Type R merupakan model yang telah dinobatkan sebagai ‘kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di dunia’ di litar lumba lagenda Nürburgring di Jerman ketika mula diperkenalkan pada 2017. Model ini bukan sahaja sesuai digunakan di litar, tetapi turut boleh dipandu sebagai kenderaan harian,” kata CEO Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama ketika berlangsungnya majlis penyerahan tersebut.

    “Bagi pihak Honda Malaysia, saya sangat berbesar hati untuk menyerahkan Civic Type R ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk kegunaan hariannya sebagai kereta pengiring. Turut diraikan, saya juga gembira untuk menyerahkan satu lagi model yang berevolusi dari Honda – Civic 1.5L VTEC Turbo Premium kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sebagai kereta pengiringnya,” tambah Ishiyama lagi.

    Unit yang diterima oleh Tuanku hari ini menampilkan livery Polis diRaja Malaysia yang berbeza dari unit pengiring sebelum ini. Civic Type R merupakan jentera dengan bekalan kuasa 310 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm dari enjin 2.0 liter VTEC Turbo, memacu roda hadapan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Selain dari hot-hatch berkenaan, Tuanku juga diketahui mempunyai sebuah lagi kereta pengiring Volvo S90 T5 Momentum, dengan enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm.

     
     
  • Indian Motorcycle perkenal model 2020 berenjin 1.9L

    Indian Motorcycle perkenal model 2020 berenjin 1.9L

    Hasil daripada maklum balas pengguna, Indian Motorcycle akan melancarkan beberapa model yang menggunakan buat pertama kalinya, enjin V-twin Thunder Stroke 116 yang mempunyai kapasiti 1,901 cc, dengan sistem penyejukan udara dan tork 168 Nm.

    Enjin ini akan digunakan secara standard pada model Springfield Dark Horse, Chieftain, Chieftain Dark Horse, Chieftain Limited, Chieftain Elite, Roadmaster dan Roadmaster Dark Horse, sementara enjin 1,819 cc Thunder Stroke 111 syarikat itu masih akan digunakan pada model Chief Dark Horse, Chief Vintage, Chieftain Classic dan Springfield.

    Satu lagi perkara yang menjadi perhatian pada model Indian 2020 adalah sistem infotainmen Ride Command dengan Connected Services. Operasi sistem ini akan dipaparkan pada skrin tujuh inci di bahagian kokpit dan datang dengan pemproses quad-core untuk paparan yang lebih baik dan fungsi baru seperti info trafik dan cuaca, navigasi dan paparan yang boleh diubah mengikut kegemaran.

    Bergantung kepada model, motosikal Indian tahun 2020 ini boleh datang dengan fairing hadapan, rim 17 atau 19 inci, beg barangan tepi yang mengikut bentuk badan, kotak barangan belakang, fender hadapan panjang, pemanas tangan serta penghadang angin boleh laras.

    Kemudiannya, Chieftain Elite yang merupakan model bagger paling premium Indian datang dengan sistem audio PowerBand yang 50% lebih kuat berbanding model biasa. Pilihan warna model 2020 ini juga ada pelbagai, berserta jalur pinstripe.

     
     
  • Land Rover Defender generasi baharu muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Selepas pelbagai teaser disiarkan, akhirnya Land Rover Defender 2020 didedahkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show 2019. Seperti juga versi asal, Defender generasi baharu ini hadir dalam dua bentuk – jarak roda panjang Defender 110 dan jarak roda pendek Defender 90. Namun ketika pelancaran ini, versi Defender 110 didedahkan terlebih dahulu, dan model Defender 90 akan membuat kemunculan kemudian.

    Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah Defender baharu ini masih menggunakan casis ladder frame bagi berhadapan terus dengan Mercedes-Benz G-Wagen? Menurut Land Rover, Defender 2020 tidak menggunakan casis tradisional tersebut, tetapi diasaskan dari platform D7x Jaguar Land Rover.

    Land Rover mengesahkan bahawa kerangkan monocoque aluminium sepenuhnya itu mempunyai ketegaran torsi 29,000 Nm untuk setiap darjah, atau tiga kali lebih keras dari kerangka ladder frame. Seperti juga model sebelumnya, Defender 110 hadir dengan lima pintu, manakala Defender 90 yang lebih sporty menampilkan rekaan hanya tiga pintu.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Defender versi moden ini tidaklah dihasilkan ‘sebijik’ seperti model klasik, tetapi ia masih mengekalkan elemen-elemen utama seperti bentuk yang berpetak, tayar gantian yang disangkut pada pintu tailgate belakang, manakala lampu hadapannya diberikan gelang LED nyalaan siang yang diinspirasikan dari lampu bulat pada model klasik.

    Land Rover turut menghasilkan pelbagai ciri tambahan yang mirip seperti Defender asli, antaranya bumbung dan kerangka tingkap sisi diwarnakan putih, kemasan-kemasan checkered plate pada bahagian seperti bahagian sisi penutup bonet depan dan sekeliling lampu belakang, tangga sisi untuk memanjat bumbung, storan tambahan pada tingkap sisi belakang, unit snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai dan pelbagai lagi.

    Versi 110 dihasilkan dengan dimensi 5,018 mm panjang (termasuk tayar gantian di belakang), 1,967 mm tinggi, 2,105 mm lebar, jarak roda 3,022 mm, manakala lebar trek roda hadapan dan belakang pula adalah masing-masing 1,704 mm dan 1,699 mm. Defender 110 ini juga boleh menyelam pada kedalaman 900 mm, dan ia direka dengan sudut approach, rampover serta berlepas masing-masing 38, 28 dan 40 darjah.

    Model lebih pendek Defender 90 pula ia direka dengan dimensi 4,583 panjang (juga bersama tayar gantian), 2,105 mm lebar dan jarak roda 2,587 mm. Model ini hadir dengan dua pilihan suspensi – sama ada menggunakan spring udara atau spring gegelung tradisional. Model yang diberikan spring udara mempunyai ketinggian 1,969 dan trek roda hadapan 1,706 mm, dan versi spring biasa pula mempunyai ketinggian 1,974 mm dan trek roda hadapan 1,704. Trek roda belakang pula adalah sama untuk kedua-dua versi suspensi iaitu 1,702 mm.

    Defender 90 yang diberikan spring udara mampu untuk menyelam pada kedalaman 900 mm, manakala versi spring gegelung pula hanya boleh meredah air pada kedalaman 850 mm. Sudut approach, rampover, dan berlepas untuk model shorty ini pula adalah masing-masing 38, 31 dan 40 darjah.

    Ketika pelancaran ini Defender 110 ditawarkan dengan dua enjin diesel dan dua enjin petrol. Untuk versi diesel, kedua-duanya adalah dalam bentuk 2.0 liter empat silinder turbo tetapi dihasilkan dalam dua talaan kuasa – model D200 menghasilkan 200 PS/430 Nm, manakala varian D240 menghasilkan 240 PS/430 Nm.

    Bagi model petrol, dua versi tersebut adalah P300 dan P400. Varian P300 diberikan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 300 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Manakala model paling berkuasa sebenarnya dilengkapi janakuasa hibrid ringkas, menggandingkan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris bagi menghasilkan kuasa 400 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 550 Nm bermula 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

    Kesemua unit janakuasa ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. Tidak lengkap sebuah Defender jika tidak diberikan sistem pacuan semua roda bukan? Ia dilengkapi dengan sistem ‘jantan’ menggandingkan transfer case dua-kelajuan, serta ciri opsyen locking differential pada bahagian tengah dan gandar belakang.

    Menurut Land Rover, model diesel D200 dan D240 menggunakan bahan api 7.6 l/100 km dan kadar emisi CO2 pula adalah 199 g/km. Kadar emisi CO2 model petrol P300 pula adalah 227 g/km, manakala versi P400 MHEV mempunyai penggunaan bahan api 9.6 L/100 km dan kadar emisi CO2 220 g/km; kesemua bacaan ini adalah kitaran gabungan NEDC.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Untuk suspensi pula, kedua-dua Defender 110 dan Defender 90 dibekalkan dengan suspensi jenis SLA (short-long arm atau dikenali juga sebagai double wishbone dengan ukuran lengan tidak sama) pada bahagian hadapan serta sistem multilink di belakang. Bagi model yang dibekalkan dengan sistem suspensi udara, ia bertindak balas berdasarkan situasi sehingga 500 kali setiap saat.

    Suspensi udara tersebut akan meninggikan lagi Defender ini sehingga 75 mm apabila anda memilih mod off-road, dan tambahan 70 mm lagi (145 mm keseluruhan) bila diperlukan. Ia juga dibekalkan dengan fungsi Elegent Arrival yang boleh merendahkan jentera ini sehingga 50 mm bagi melepasi mana-mana tempat dengan had bumbung lebih rendah.

    Defender 2020 ini turut dilengkapi dengan Terrain Response 2, memberikan enam mod pemanduan – Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand, Rock Crawl dan Wade – bagi mengawal aliran kuasa ke kesemua roda. Wade adalah mod terbaharu di mana dalam mod ini, ia akan membantu pemandu dengan memberikan respon pendikit lebih lembut, melaras HVAC bagi mengalirkan air, meninggikan badan kereta dalam larasan off-road serta mengunci setiap differential untuk meredah air sehingga kedalam 900 mm yang disebutkan tadi.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Jika anda rasa preset pada setiap enam mod dalam Terrain Response 2 tersebut tidak sesuai dengan situasi yang anda alami, anda turut boleh menghasilkan empat lagi mod custom yang boleh dibuat dan disimpan dengan menala semula respon pendikit dan kotak gear, steering serta traction control.

    Sistem Terrain Response 2 ini juga dibekalkan dengan mod Auto, dimana ia akan mengesan dan membuat penilaian, dan kemudian memilih sendiri mod yang sesuai untuk permukaan jalan yang sedang dilalui.

    Untuk kemampuan menerima beban pula, Defender 110 mempunyai kadar kapasiti menunda 3,500 kg (3,720 kg untuk pasaran Amerika Syarikat), manakala bumbungnya pula mampu menahan beban dinamik 168 kg; beban statik untuk bumbung adalah 300 kg.

    Perlukan winch? Anda tidak perlu untuk mencari jenama aftermarket kerana Defender turut hadir dengan winch opsyenal. Winch berkenaan adalah dari jenis elektrik dan boleh dioperasikan dengan kawalan jauh dalam jarak 45 m. Ia hadir dengan tali sintetik sepanjang 40 meter, dan mampu menghasilkan kuasa tarikan maksimum 4,536 kg.

    Jika Defender klasik lebih ringkas dan rugged, Defender 2020 ini pula diberikan kabin yang seiring dengan SUV-SUV mewah terkini. Defender 110 mempunyai kapasiti ruang 646 liter di belakang tempat duduk baris kedua hingga ke garis pinggang (464 liter untuk konfigurasi tempat duduk 5+2), 1,075 liter hingga ke garis bumbung (916 liter untuk 5+2), dan sehingga 2,380 liter hingga baris bumbung apabila tempat duduk baris kedua direbahkan (2,233 liter untuk 5+2); model 5+2 juga mempunyai kapasiti 231 liter sehingga garis bumbung sekiranya tempat duduk garis ketiga ditegakkan.

    Juga tidak seperti model klasik yang sangat mekanikal, Defender generasi baharu ini diberikan sistem elektronik terkini Land Rover dikenali sebagai Electronic Vehicle Architecture (EVA) 2.0. Menerusi sistem ini, ia menyokong kemaskini perisian over-the-air (SOTA), dan menyokong sistem infotainmen Pivi Pro baharu. Hab pusat mengawal 85 buah kotak komputer (ECU), dan ia sentiasa berhubung dengan jaringan 4G serta bersedia dengan pembangunan 5G – membolehkan sebarang kemaskini perisian dilakukan tanpa pemilik perlu ke pusat servis.

    Untuk sistem Pro Pivi pula, ia boleh dioperasikan menerusi skrin sesentuh utama bersaiz 10-inci. Skrin berkenaan boleh diolah sendiri oleh pengguna, dan menurut Land Rover jumlah cara kerja untuk mengoperasikan sistem tersebut adalah 50% kurang dari sistem sebelumnya. Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto dan boleh menghubungkan dua telefon pintar menerusi Bluetooth dalam satu masa.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Sistem navigasi pada Defender ini mampu untuk belajar sendiri dan ia bersifat dinamik bagi mengoptimakan laluan, dan suara navigasi pintar Smart Voice pada sistem tersebut akan diam sendiri setelah mengetahui pemandu telah biasa dengan kawasan yang dilalui. Peta juga akan sentiasa dikemaskini menerusi sistem SOTA. Pemandu pula menerima paparan interaktif 12.3-inci yang akan memberikan sama ada paparan instrumen tradisional atau paparan navigasi penuh 3D, atau kombinasi kedua-duanya.

    Selain itu, pemandu turut diberikan paparan head-up TFT berwarna penuh, manakala sekeliling kereta akan dipantau menerusi 3D Surround Camera yang akan memberikan visual pada skrin dalam mod Tow Sensing dan Wade Sensing.

    Satu lagi teknologi yang menakjubkan pada Defender ini adalah teknologi Clearsight Ground View. Menerusi teknologi ini, pemandu akan dapat melihat keadaan di bawah hadapan kereta seolah-olah padangan bonet hadapan telus ke bawah menerusi skrin, membolehkan pemandu mengetahui apa yang terjadi di bawah terutamanya ketika memandu pada kawasan off-road.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Teknologi Clearsight Rear View juga hadir pada Defender ini di mana ia akan memberikan pandangan belakang seolah-olah tiang-tiang bumbung serta tayar gantian di belakang dilenyapkan. Sistem bantuan pemanduan lain yang turut dilengkapkan termasuk brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pengenal tanda trafik, cruise control dan pengehad kelajuan, paparan keadaan pemandu dan juga penderia parkir hadapan dan belakang.

    Pelbagai konfigurasi sistem audio ditawarkan – versi asas diberikan enam-pembesar suara, manakala dan versi pertengahan dan tertinggi pula menerima sistem 10- dan 14-pembesar suara dari Meridian, bersama subwoofer dan amplifier berkuasa 700 W. Setiap baris tempat duduk diberikan dua soket kuasa 12V dan dua port USB, manakala pada bahagian kargo, satu lagi soket 12V diberikan, bersama satu soket domestik 230-volt membolehkan anda menggunakan peralatan elektrik rumah ketika di dalam hutan.

    Defender juga diberikan Activity Key selain dari kunci biasa. Activity Key tersebut adalah kunci yang berbentuk seperti jam tangan, membolehkan anda mengunci atau membuka kunci dengan hanya mengoncangkan tangan – memudahkan akses kepada kereta terutama ketika anda dalam keadaan kotor atau basah kerana melakukan aktiviti di kawasan luar bandar.

    Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

    Aksesori untuk Defender 2020 ini dibahagikan kepada empat pek iaitu Adventure, Country, Explorer dan Urban. Kesemuanya disediakan dalam semua enam varian iaitu model Asas Defender, S, SE, HSE, First Edition dan versi tertinggi Defender X. Model ini juga merupakan model pertama Land Rover yang hadir standard bersama filem pelindung satin, yang boleh dibuka bila-bila masa bagi memudahkan proses mengecat semula berbanding kemasan cat biasa.

    Menurut Land Rover, lapisan satin tersebut diasaskan dari bahan polyurethane, bebas solven dan tidak mengandungi sebatian organik yang tidak stabil. Lapisan berkenaan ditawarkan pada warna Indus Silver, Gondwana Stone dan Pangea Green. Dua warna terakhir tersebut hanya unik ditawarkan pada Defender, bersama pilihan warna lain terdiri dari Tasman Blue, Fuji White, Eiger Grey dan Santorini Black.

    Land Rover Defender 110 dijual pada harga bermula £45,240 (RM233,612) untuk pasaran UK, manakala Defender 90 pula dijangka akan dijual pada harga sekitar £40,000 (RM206,540). Seperti Defender klasik yang popular digunakan oleh badan seperti Polis, Jabatan Kesihatan dan juga Felda, model generasi baharu ini turut akan hadir dalam versi kenderaan komersial, bakal diperkenalkan ketika pendedahan Defender 90 kelak, dan dijangka akan dijual pada harga bermula £35,000 (RM180,723).

     
     
  • Naza Kia lancar pusat 3S baharu di Tampoi, JB

    Naza Kia lancar pusat 3S baharu di Tampoi, JB

    Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi bagi kenderaan Kia di Malaysia, telah melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Tampoi, Johor Bahru. Ia adalah hasil kerjasama dengan pengedar bertauliahnya, Supreme Priority Sdn Bhd. Dengan pelaburan sebanyak RM5 juta, pusat 3S ini mempunyai fasiliti untuk bahagian jualan, penyelenggaraan dan juga alat ganti.

    Dibangunkan atas kawasan seluas 18,000 kaki persegi, Pusat 3S Kia Tampoi ini boleh mempamerkan sehingga tujuh unit model kenderaan dalam satu masa serta mampu mengendalikan lebih 100 unit kenderaan sebulan untuk diselenggarakan dengan mempunyai dua petak penyelenggaraan.

    Ia turut menempatkan ruang menunggu untuk pelanggan, ruang permainan kanak-kanak, bilik mesyuarat, surau, petak membasuh kenderaan dan juga ruang parkir yang luas. Cawangan ini disasarkan untuk pelanggan Kia di sekitar Tampoi New Village, Skudai, Nusajaya dan Larkin.

    “Dengan Pusat 3S Kia Tampoi baharu ini, kini kami sudah mempunyai enam cawangan di sekitar Johor dan kami yakin dapat memenuhi permintaan dan keperluan para pelanggan dan juga bakal pelanggan di sekitar negeri ini. Johor merupakan pasaran yang signifikan untuk kami.

    “Malah kami juga mempunyai lebih banyak perancangan untuk mengembangkan lagi rangkaian kami. Kini kami sudah mempunyai 45 cawangan pengedaran di seluruh negara,” ujar R.Devaraju, Timbalan Ketua Pegawai Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings.

     
     
  • Hyundai i10 N Line janaan 1.0L T-GDi, 100 PS/172 Nm!

    Hyundai i10 N Line janaan 1.0L T-GDi, 100 PS/172 Nm!

    Tiga minggu lalu, Hyundai membuat pendedahan terhadap model kompak urban i10 generasi ketiga. Dan kini tiba giliran i10 N Line pula untuk muncul sebagai variasi terbaru bagi model berkenaan. Kelebihannya? Ia memiliki enjin yang lebih berkuasa dan penampilan dengan kit yang lebih ranggi.

    Ini menjadikan i30 sebagai tambahan terbaru dan yang keempat bagi model N Line yang diperkenalkan oleh jenama itu, selepas i30 N Line, i30 Fastback N Line dan Tucson N Line. Tarikan paling besar i10 N Line ini ialah penggunaan enjin 1.0 liter T-GDi tiga silinder yang mampu menghasilkan 100 PS dan 172 Nm. Ini angka yang lebih besar berbanding unit enjin 1.2 liter empat-silinder standard yang menghasilkan 84 PS dan 118 Nm tork sahaja.

    Hyundai i10 N Line janaan 1.0L T-GDi, 100 PS/172 Nm!

    Berdasarkan maklumat awal, kereta kompak urban ini mungkin ditawarkan dengan sistem transmisi manual lima kelajuan – model standard turut ditawarkan dengan kotak gear automatik. Hyundai i10 N Line dari sudut penampilan menerima rekaan bampar dan gril eksklusif dengan lampu siang LED, membolehkannya kekal membawa mirip i10 biasa. Rim bagaimanapun agak besar untuk sebuah kereta kompak, bersaiz 16-inci.

    Lain-lain perincian yang boleh dilihat seperti lencana N Line, logo i10 merah serta skid plate dan diffuser. Ia ditawarkan dalam pilihan enam warna, dengan padanan dua-tona bagi bahagian bumbung. Di dalam, stereng khas jenama N digunakan berserta penukar gear, serta perincian warna merah pada corong pendingin hawa dan pedal. Tempat duduk sport melengkapkan lagi aspirasi lumba untuk kereta kecil ini. Apa pandangan anda, menarik kereta kompak ini?

     
     
  • Audi RS7 Sportback – enjin V8 4.0L, 600 hp, 800 Nm

    Audi RS7 Sportback – enjin V8 4.0L, 600 hp, 800 Nm

    Selepas hampir dua tahun sejak ia dijumpai sedang diuji, Audi RS7 generasi kedua akhirnya didedahkan secara rasmi. Ini adalah kali pertama RS7 ditawarkan sebagai model lima tempat duduk badan lebar, dan datang dengan enjin lapan silinder dengan bantuan kuasa elektrik secara standard.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin V8 TFSI 4.0 liter, yang mampu menghasilkan 600 hp dan 800 Nm tork dari 2,050 rpm hingga 4,500 rpm. Hasil gabungan transmisi automatik lapan kelajuan dengan fungsi launch control, kenderaan ini boleh ememcut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 250 km/j. Melalui pakej Dynamic, ia boleh ditingkatkan kepada 280 km/j, manakala melalui pakej Dynamic Plus, ia boleh menjadi 305 km/j.

    Enjin pembakaran dalaman ini dibantu oleh sistem elektrikal 48 volt dengan belt alternator starter (BAS) untuk memberi sehingga 12 kW waktu memecut dan menyalurkan elektrik kepada bateri lithium ion. Pada kelajuan antara 55 km/j hingga 160 km/j, RS7 boleh sama ada menjana semula kuasa atau meluncur dengan enjin tertutup. Sistem hibrid ringkas ini memebenarkan fungsi start/stop pada kelajuan bawah 22 km/j dan menurut Audi, ia dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.8 liter bagi setiap 100 km dalam penggunaan dunia sebenar.

    Audi RS7 Sportback – enjin V8 4.0L, 600 hp, 800 Nm

    Satu lagi fungsi penjimatan bahan api adalah teknologi Cylinder On Demand (COD), yang dapat dapat mematikan silinder nombor dua, tiga, lima dan lapan dengan menghentikan penyampaian bahan api dan menutup injap intake serta ekzos sewaktu memandu dalam gear tinggi pada kelajuan rendah dan sederhana. Apabila pedal pendikit ditekan semula, silinder ini kembali berfungsi dalam masa beberapa milisaat dan tidak akan dapat dirasa oleh pemandu.

    Sistem pacuan semua roda Quattro datang secara standard, dan ditala dengan nisbah 40:60 antara roda hadapan dan belakang. Terdapat differential tengah mekanikal untuk mengoptimakan penyampaian tork, dan ia boleh pergi sehingga 70% kepada roda hadapan dan 85% kepada roda belakang. Pemilik juga diberikan pilihan untuk mendapatkan differential sport Quattro melalui pakej Dynamic dan Dynamic Plus, yang boleh meningkatkan lagi cengkaman, stabiliti serta dinamik kenderaan.

    Naik taraf mekanikal lain pada kenderaan ini termasuk suspensi udara adaptif RS dengan modul spring udara yang kini 50% lebih keras berbanding åsal. Terdapat tiga mod untuk kawalan tinggi automatik, yang boleh menaik dan menurunkan kenderaan sehingga 20 mm. Dalam keadaan biasa, RS7 sudah sedia duduk 20 mm lebih rendah berbanding A7 Sportback. Suspensi sport RS dengan Dynamic Ride Control disediakan sebagai pilihan tambahan, menawarkan lebih lincahan dengan penggunaan penyerap generasi baru dengan injap bersepadu. Tetapan five-link digunakan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, dengan linkage serta subframe aluminium.

    Audi RS7 Sportback – enjin V8 4.0L, 600 hp, 800 Nm

    Kuasa henti datang daripada cakera 420 mm berliang di hadapan, manakala belakang menggunakan cakera 370 mm. Angkupnya pula diwarnakan hitam dalam keadaan standard dan boleh ditukar kepada merah sekiranya mahu. Untuk prestasi yang lebih baik, pemilik boleh menaik taraf kepada unit brek seramik RS (dengan angkup warna biru, merah atau kelabu) dengan cakera 440 mm di hadapan. Tetapan ini mengurangkan berat sebanyak 34 kg.

    Stereng progresif juga datang secara standard pada kereta ini, tetapi pemilik juga boleh memilih Dynamic All-wheel Steering. Pada kelajuan rendah, roda belakang boleh membelok sehingga lima darjah ke arah bertentangan daripada roda hadapan, sekaligus mengurangkan radius pusingan dan meningkatkan kelincahannya. Pada kelajuan tinggi pula, roda belakang boleh membelok sehingga dua darjah pada arah yang sama dengan roda hadapan bagi memberikan lebih stabiliti.

    Untuk model ini, terdapat empat mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu Comfort, Auto, Dynamic dan Efficiency, manakala dua lagi mod tambahan RS1 dan RS2 boleh dilaras mengikut kemahuan pemandu dan dipilih melalui butang RS Mode di roda stereng. Setiap mod memberikan perubahan pada pengurusan enjin dan transmisi, stereng, suspensi, dinamik All-wheel Steering, differential, injap ekzos serta pendingin hawa.

    Pada bahagian rekaan, RS7 Sportback mendapat lengkuk roda yang menjadikannya nampak lebih lebar dan mencatat ukuran 1,950 mm pada bahagian fender depan – lebih 40 mm berbanding A7 biasa. Hanya bonet, bumbung, pintu hadapan dan pintu but sahaja yang diambil daripada A7 – panel lain dibuat khas untuk RS7, dan menjadikan panjangnya 5,009 mm.

    Di bahagian hadapan ia menggunakan gril Singleframe berwarna gelap dengan corak honeycomb tiga dimensi khas untuk model RS, bukaan udara yang besar serta sirip menegak serta kemasan gentian karbon yang menambahkan ciri agresif. Panel tepi pintu dengan kemasan hitam adalah unik untuk RS7 dan ia menggunakan rim 21 inci dengan tayar 275/35 secara standard. Jika itu tidak cukup menarik, anda boleh memilih rim 22 inci dengan tayar 285/30.

    Di bahagian belakang, lampu belakang LED masih sama seperti A7, siap sekali dengan spoiler bersepadu yang boleh naik sendiri pada kelajuan lebih 100 km/j. Sama seperti model RS lain, RS7 ini mendapat muncung ekzos bujur warna krom yang melekat pada bampar khas untuk model RS. Kalau mahu, pemilik juga boleh menukarnya kepada sistem ekzos sport RS dengan kemasan hitam.

    Audi RS7 Sportback – enjin V8 4.0L, 600 hp, 800 Nm

    Rekaan bahagian dalam yang khas untuk model RS juga melihatkan banyak penggunakan kemasan gentian karbon. Kokpit Audi Virtual menampilkan paparan RS dan memberikan maklumat seperti tekanan angin tayar, tork, tekanan boost, catatan masa pusingan (lap time) serta tekanan G. Turut disediakan adalah lampu penukar gear.

    Di hadapan pemandu terdapat stereng sport yang rata di bawah dan dibalut dengan kulit serta pedal penukar gear aluminium. Butang RS Mode terdapat di bahagian kanan stereng. Dalam keadaan asal tempat duduk dibalut dengan kulit Nappa warna hitam tetapi ia boleh ditukar dengan tempat duduk sport RS yang menggunakan kulit Valcona dengan corak honeycomb serta sulaman RS.

    Banyak lagi bahagian yang boleh diubah pada bahagian dalam kenderaan ini dan ia turut ditawarkan buat pertama kali dengan tetapan tiga tempat duduk di belakang. Ruang but adalah 535 liter, dan apabila tempat duduk dibaringkan, ia menjadi 1,390 liter. Pada bahagian bantuan pemandu, terdapat sistem Adaptive Cruise Assist, Intersection Assist, Lane Change Warning, Curb Warning dan kamera 360 darjah.

     
     
  • Audi A5, S5 2020 terima wajah dan teknologi baharu

    Audi A5, S5 2020 terima wajah dan teknologi baharu

    Genap tiga tahun yang lalu, Audi memperkenalkan generasi kedua bagi A5 Coupe dan Sportback, kemudian datang pula S5 dan RS5 yang diberikan penjana kuasa hibrid-sederhana yang dipertingkatkan pada awal tahun ini. Kini keseluruhan barisan tersebut telah pun diberi peningkatan, menampilkan wajah dan teknologi baharu.

    Bahagian hadapannya menerima gril bingkai-tunggal yang lebih lebar dan menyerlah, didatangkan sama ada dengan kepingan melintang atau pun ‘honeycomb’, bergantung pada model. Malah lampu utamanya juga disemak semula dengan grafik lampu nyalaan siang LED baharu, perumah lampu kabus yang lebih menyerlah disepadukan dengan corong udara, serta bilah tebal yang membentuk bahagian bawah bampar.

    Untuk bahagian sisinya pula, kelihatan sill baharu yang membuatkan kereta ini nampak lebih langsing, sementara di belakangnya pula menerima lampu LED dan diffuser baharu dengan corong ekzos trapeziodal yang lebih lebar. A5 didatangkan dengan 12 pilihan warna luaran, dan kesemua varian A5 juga menerima lampu utama LED secara standard. Lampu utama LED Matrix dengan lampu laser serta indikator isyarat ditawarkan secara pilihan.

    Di dalamnya, kabinnya juga menerima peningkatan untuk menyesuaikannya dengan perubahan pada Audi A4 2020. Ciri baharu termasuk kokpit maya HD sepenuhnya 12.3-inci dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ‘freestanding’ 10.1-inci bersama sistem operasi baharu. Fungsi carian MMI kini berasaskan input teks dan kawalan suara.

    Sistem navigasi MMI turut menambah fungsi navigasi baharu yang berkeupayaan untuk memberikan saranan laluan berdasarkan pemanduan sebelum ini. Audi connect infotainment service juga ditampilkan (boleh dinaiktaraf berdasarkan langganan tiga-bulan), menawarkan beberapa ciri berasaskan-web termasuk berita terkini, peta Google Earth dan Street View serta penerbangan, cuaca, trafik dan informasi harga bahan api. Paparan head-up ditawarkan secara pilihan.

    Untuk enjin, model A5 yang dipertingkatkan ini boleh didatangkan dengan enjin TFSI dan TDI, dengan output dari 163 PS hingga 347 PS. Semua enjin mematuhi piawaian emisi Eudo 6d-temp. Ketika pelancarannya, empat model A5 bakal menerima sistem elektrik hibrid-ringan 12-voltam, sementara S5 TDI pula dipadankan dengan sistem elektrik 48-voltan yang lebih berkuasa. Kedua-dua sistem MHEV ini dikatakan boleh memberikan penjimatan bahan api sehingga 0.4 liter untuk 100 km, dan menawarkan fungsi enjin yang lebih pantas dan lancar.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan atau automatik konvensional (tiptronic) lapan-kelajuan, sementara tiga lagi enjin yang lebih berkuasa bakal menerima pacuan semua-roda quattro secara standard. Untuk mendapatkan sistem AWD, ada kos tambahan yang ditetapkan untuk mana-mana model sederhana.

    Untuk pelancaran ini juga, Audi bakal memperkenalkan model edisi istimewa untuk semua model Sportback dan Coupe, yang dilengkapi dengan suspensi sport, kit luaran S line dengan kemasan hitam dan warna luaran khas seperti Quantum gray, Daytona gray dengan efek mutiara, dan hijau metalik. Untuk dalaman, pelanggan boleh memilih antara rekaan pilihan dan pakej S line.

     
     
  • Ferrari 812 GTS – bumbung boleh buka, V12 789 hp

    Ferrari 812 GTS – bumbung boleh buka, V12 789 hp

    Khabar angin yang tersebar sebelum ini nampaknya betul apabila Ferrari mendedahkan versi bumbung boleh buka bagi 812 Superfast, yang dikenali sebagai 812 GTS. Secara mekanikalnya, dua model ini menggunakan enjin sama iaitu unit V12 NA 6.5 liter, bersama padanan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan F1 DCT, mampu menghasilkan kuasa 800 PS (789 hp) pada 8,500 rpm dan 718 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Hasilnya, 812 GTS boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat, manakala 0-200 km/j dapat dicapai dalam masa 8.3 saat – 0.4 saat lebih perlahan berbanding 812 Superfast kerana mempunyai mekanisme bumbung boleh lipat seberat 75 kg. Laju maksimum 812 GTS dan 812 Superfast adalah sama, iaitu 340 km/j.

    Perubahan bentuk badan paling utama sudah tentu adalah di belakang, di mana tiada lagi cermin yang besar kerana perlu memuatkan mekanisme lipatan bumbung, dan dua bonjolan yang selari dengan tempat duduk bertindak sebagai pelindung sekiranya kereta terbalik. Ruang barang menjadi sedikit kecil.

    Bumbung 812 GTS ini boleh dibuka dan ditutup dalam masa 14 saat, dan ia boleh dilakukan pada kelajuan hingga 45 km/j. Pemilik juga boleh menaikkan cermin kecil di antara dua penyandar tempat duduk sekiranya tidak mahu terlalu banyak gangguan angin waktu bumbung dibuka.

    Menurut Ferrari, 812 GTS ini menandakan satu pengakhiran bagi mereka yang menunggu sebuah model V12 bumbung boleh buka, yang bukan keluaran edisi terhad. Model sebegitu cuma dikeluarkan kali terakhir pada tahun 1969 iaitu melalui model 365 GTS4 (atau Daytona Spider).

     
     
  • KTM perkenal kelas perniagaan bagi ETS2 bulan depan

    KTM perkenal kelas perniagaan bagi ETS2 bulan depan

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan tempat duduk kelas perniagaan bagi perkhidmatan Electric Train Service 2 (ETS2) bermula bulan hadapan. Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsuddin menjelaskan, gerabak kelas perniagaan itu merupakan satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka untuk penumpang yang mahukan lebih keselesaan ketika dalam perjalanan, lapor Bernama.

    “Ia akan melibatkan ruang tempat duduk yang lebih luas dan selesa dengan pelayan khas; ini berbeza daripada gerabak biasa. Penumpang kelas perniagaan juga akan disediakan dengan kelengkapan perjalanan lain seperti kit kembara, Video-on-Demand (VoD) dan slot USB,” menurut kenyataan rasmi beliau.

    Tiket bagi perkhidmatan ini akan mula dijual pada 8.30 pagi, 12 September 2019 bagi perjalanan yang bermula dari tarikh 11 Oktober 2019. Harga promosi sempena pengenalan perkhidmatan ini ditetapkan pada kadar rata RM50 bagi perjalanan sehala untuk penumpang dewasa dari KL Sentral ke Ipoh, Perak, manakala bagi perjalanan KL Sentral ke Padang Besar, Perlis pula ialah RM112. Tempoh perjalanan sah bagi tawaran ini ialah dari 11 Oktober hingga 30 Nov 2019.

    Sementara bagi penumpang warga emas, pesara kerajaan dan pasangan, orang kelainan upaya serta kanak-kanak berusia 4-12 tahun, mereka layak menerima potongan harga. Bayi tiga tahun ke bawah tidak akan dikenakan tambang.

    Beliau berkata, tahun lalu perkhidmatan ETS mencatatkan seramai 3.91 juta penumpang. “Setakat Julai tahun ini, 2.15 juta orang telah menaiki ETS, dengan purata 10,400 penumpang sehari. Pengenalan ETS2 ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi jumlah pengguna terhadap perkhidmatan ini,” tambah Rani.

    Maklumat lanjut tentang perkara ini boleh diperoleh dari laman web rasmi www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau hubungi pusat khidmat pelanggan 24-jam KTMB ditalian 03-22661200.