Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

    Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

    Isuzu Malaysia hari ini telah melancarkan secara rasmi barisan model trak pikap D-Max 2019 untuk pasaran tempatan. Menjadi tumpuan utama tentunya penawaran enjin baru, 1.9L Ddi BluePower yang menggantikan penawaran enjin 2.5L sebelum ini. Dengan pelancaran ini, Isuzu D-Max 2019 juga menjadi trak pikap yang pertama di sini yang menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Di dalam penawaran kali ini, dengan senarai harga tidak termasuk insurans bagi pendaftaran persendirian, pilihan varian adalah seperti berikut; versi Single Cab 4×4 1.9L (RM85,799), Single Cab 4×4 3.0L (RM92,838); lima varian bagi versi transmisi manual – 1.9L 4×2 MT Low Ride (RM80,149), 1.9L 4×2 MT Hi-Ride (RM86,699), 1.9L 4×4 MT Type B (RM96,699), 1.9L 4×4 MT-P (RM105,999) dan 3.0L 4×4 MT Type B (RM106,738).

    Bagi versi transmisi automatik pula, ia terdiri daripada empat varian; 1.9L 4×4 AT Type B (RM104,599), 1.9L 4×2 AT Hi-Ride (RM100,049), 1.9L 4×4 AT-P (RM115,799) dan yang terakhir 3.0L 4×4 AT-P (RM120,838). Kesimpulannya, semua sekali terdapat 11 varian berbeza yang ditawarkan kali ini, dan tiada lagi pilihan enjin 2.5L. Berbanding penawaran sebelum ini, harga baru yang diumumkan ini lebih rendah sebanyak RM1k-RM6k, bergantung kepada varian.

    Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

    Menjadi tumpuan utama sudah tentu penawaran enjin terbaru dengan kapasiti lebih kecil 1.9L Ddi BluePower. Isuzu menyifatkan enjin baru RZ4E-TC 1,898 cc berkenaan adalah lebih besar dengan angka 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm pada 1,800-2,600 rpm berbanding enjin 2.5 liter lama yang menghasilkan sebanyak 136 PS/320 Nm.

    Masih kekal dengan sistem suntikan jenis commonrail yang turut diperbaharui berserta empat-silinder dan pengecas turbo VGS, unit ini bagaimanapun kini 56 kg lebih ringan. Prestasi output secara keseluruhannya juga semakin meningkat; 10% lebih berkuasa serta mencatatkan peningkatan tork sebanyak 9%.

    Selain itu, Isuzu mendakwa unit ini akan memberikan penjimatan bahan api sebanyak 19% lebih baik (berdasarkan ujian di Thailand) berbanding unit sebelumnya. Ini sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan; Isuzu D-Max seolah-olah ingin menjadikan versi facelift terbarunya ini sangat cekap dari aspek penjimatan, termasuk bagi kos penggunaan serta kos pemilikannya. Ia juga 37% kurang geseran antara komponen dalaman enjin serta lebih senyap.

    Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

    Dari segi penampilan, terdapat beberapa perubahan yang diperkenalkan. Antaranya ialah rekaan gril krom-hitam baru yang lebih besar dan dilanjutkan ke bahagian lampu utama, lampu utama jenis projektor LED sepenuhnya, rim 17-inci rekaan baru yang sporty, pelekat hiasan baru, terutama bagi varian 1.9L, ciri cermin sisi lipatan automatik serta pilihan untuk mekanisme yang menjadikan pintu ruang barangan di belakang lebih “ringan” dengan tambahan kos RM650.

    Di dalam, antara kemaskini yang diberikan ialah rekaan tempat duduk dengan balutan campuran fabrik-kulit baru, panel lembut (soft touch) di beberapa bahagian, serta penggunaan kemasan hitam yang lebih dominan. Dari sudut keselamatan, terdapat dua bantuan terbaru yang disertakan untuk pemandu.

    Ciri yang dimaksudkan ialah kawalan menuruni curam (Hill Descent Control, HDC), yang menjadikan situasi menuruni bukit dengan permukaan licin lebih meyakinkan serta Vehicle Launch Assist Control yang meningkatkan tahap tork pada kedudukan curam 25% atau lebih untuk membantu kenderaan mula bergerak.

    Isuzu D-Max 2019 dilancarkan di Malaysia – 11 varian, pilihan enjin 1.9L Ddi BluePower, dari RM80k-RM121k

    Sempena pengenalannya, Isuzu Malaysia akan menganjurkan siri jelajah di semua cawangan pengedarnya di mana hadiah misteri menunggu pengunjung yang memandu uji Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, bermula dari 19 September 2019 hingga 31 Oktober 2019. Bagi pelanggan yang membeli dalam tempoh promosi ini, mereka juga akan menikmati jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh lapan tahun atau 80,000 km, tertakluk kepada terma dan syarat (atau enam-tahun/60,000 km bagi versi single cab). Bagaimanapun, selepas tempoh berkenaan, hanya jaminan standard lima-tahun dan dua-tahun servis percuma akan diberikan.

    Mereka juga akan menerima tiket penyertaan cabutan bertuah Blue Fever yang akan diadakan dipenghujung tempoh promosi berkenaan. Isuzu D-Max 2019 didatangkan dengan pilihan warna baru termasuk Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.

    Kami juga sudah memandu uji Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower di Phuket, Thailand sebelum ini untuk menilai sendiri tahap prestasi dan penawaran yang diberikan oleh enjin baru berkenaan. Anda boleh merujuk laporan pandu uji yang telah kami sediakan untuk maklumat lanjut berkaitan model ini.

     
     
  • Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

    Semalam tular satu video terbitan ML Studio yang menerangkan berkenaan apa maksud RON pada petrol dan juga apa kesan sekiranya kita menggunakan RON yang salah pada satu-satu enjin. Pada permulaan, nampak menyakinkan apa yang diterangkan dalam video berkenaan, tetapi saya mula tergelak pada pertengahan video.

    Pada minit ke 1.02, video tersebut mula menerangkan berkenaan ‘cc’ atau cubic capacity serta hubungannya dengan RON. Menurut individu dalam video tersebut, Mas Faiz Hakim, jika kita menggunakan petrol dengan RON tinggi pada enjin berkapasiti kecil, enjin berkenaan “terpaksa bekerja dua kali ganda untuk membakar minyak” dan “akan menyebabkan enjin menjadi penat” dan “akhirnya perlu dihantar untuk servis”.

    Faiz juga menerangkan bahawa jika kita menggunakan petrol dengan RON rendah kepada enjin berkapasiti tinggi seperti 2.0 liter atau 2.5 liter, “petrol akan terbakar dua kali ganda”, akan berlaku knocking seterusnya akan menyebabkan enjin mudah rosak. Faiz juga sempat membuka manual Perodua Axia pada akhir video dan menunjukkan ayat “use only unleaded fuel with it’s Research Octane Number 95 or higher” dan kemudian menambah “ambil 95 sahaja kerana itu yang direka khas untuk kereta jenis Axia.”

    Jadi, betul ke apa yang diterangkan oleh Faiz ini, terutamanya tentang enjin kapasiti kecil akan rosak jika kita gunakan petrol dengan RON lebih tinggi? Apa yang diterangkan oleh Faiz berkenaan RON, berkenaan petrol lebih cepat terbakar jika RON semakin rendah adalah benar. Tetapi untuk mengaitkannya dengan kapasiti enjin, itu yang kurang tepat.

    Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

    RON atau Research Octane Number ini berkaitan ketahanan petrol berkenaan daripada meletup sendiri tanpa percikan api dari palam pencucuh (spark plug) ketika ia diberikan mampatan (compression) yang kuat. Palam pencucuh akan memberikan percikan api pada masa yang tepat dan optimum mengikut kiraan darjah sebelum omboh sampai ke titik paling tinggi (top dead center atau TDC).

    Fenomena petrol meletup sendiri sebelum diberikan nyalaan api ini digelar knocking (mengeluarkan bunyi ketukan luar biasa dari kebuk pembakaran enjin), dan ia akan menyebabkan enjin menghasilkan haba yang lebih tinggi serta kuasa yang diekstrak secara tidak optimum.

    Knocking akan terhasil atas berberapa faktor, antaranya deposit karbon yang telah terhasil di dalam enjin yang sudah lama tidak dirombak rawat, menyebabkan ia menyala dan menyebabkan pembakaran campuran bahan api dan udara berlaku lebih awal dari yang sepatutnya. Satu lagi sebab mengapa knocking terjadi adalah kerana petrol dengan RON rendah digunakan pada enjin yang direka dengan kebuk pembakaran yang akan menghasilkan nisbah mampatan yang tinggi – ya, NISBAH MAMPATAN YANG TINGGI, tiada kena mengena dengan kapasiti enjin.

    Ini kerana enjin yang berkapasiti kecil tidak semestinya mempunyai nisbah mampatan yang rendah, dan enjin dengan kapasiti yang kecil bukan bermaksud ia menghasilkan kuasa yang lebih rendah dari enjin berkapasiti lebih besar. Anda perlu juga tahu bahawa enjin berkuasa rendah tidak semestinya mempunyai nisbah mampatan lebih rendah dari enjin berkuasa tinggi.

    Enjin bagaimana yang mempunyai nisbah mampatan tinggi ini? Kebiasaanya, enjin yang mempunyai nisbah mampatan tinggi adalah enjin berprestasi tinggi tanpa diberikan suapan induksi paksaan seperti pengecas turbo atau supercharger (Naturally Aspirated atau NA).

    Sebagai contoh, enjin S4PH 1.6L VVT berkuasa 107 hp/150 Nm pada Proton Persona 2019 mempunyai nisbah mampatan 10:1, berbanding enjin B16B 1.6 liter DOHC VTEC berkuasa 185 hp/163 Nm pada Honda Civic Type R EK9 mempunyai nisbah mampatan 10.8:1. Semakin tinggi nisbah mampatan, semakin banyak kuasa yang boleh kerah dari kebuk pembakaran, tetapi ia juga akan menyebabkan enjin tersebut lebih panas.

    Kebiasaanya, enjin dengan nisbah mampatan lebih tinggi akan hadir sekali dengan sistem penyejukan yang lebih efisien dan material binaan enjin yang lebih tahan, sebab itulah ia hanya boleh dijumpai pada kereta berprestasi tinggi dengan harga lebih mahal.

    Enjin turbo dan supercharger kebiasaanya juga mempunyai nisbah mampatan yang rendah – contohnya enjin 2.0 liter TSI Volkswagen Golf GTI berkuasa 227 hp/350 Nm yang mempunyai nisbah mampatan 9.6:1 – kerana kuasa tekanan positif atau boost yang diberikan bakal memendekkan jangka hayat enjin sekiranya ditala dengan nisbah mampatan tinggi.

    Apa yang akan terjadi sekiranya kereta dengan nisbah mampatan rendah menggunakan petrol dengan RON lebih tinggi? Seperti ujian sebenar yang kami lakukan kepada dua buah Proton Saga yang anda boleh baca pada PAUTAN INI, pembakarannya menjadi kurang efisien dan hanya menyebabkan ia membakar petrol lebih banyak, tanpa peningkatan kuasa yang signifikant.

    Enjin Perodua Axia akan rosak kalau pakai RON 97?

    Bagaimana pula jika anda menggunakan petrol dengan RON lebih rendah pada enjin dengan nisbah mampatan tinggi? Adakah ia akan merosakkan enjin seperti yang didakwa dalam video tersebut? Jangan gusar kerana enjin-enjin moden dengan sistem suntikan bahan api elektronik sekarang semuanya mempunyai ‘knock sensor‘.

    Sensor berkenaan akan mengesan kemungkinan berlakunya knocking jika anda menggunakan petrol dengan RON rendah dari sepatutnya. Selepas mengesan, nyalaan api pada palam pencucuh akan dilaras semula oleh kotak komputer enjin bagi mengelakkan berlakunya knocking, dan memastikan ia beroperasi secara selamat, tetapi sudah tentu kuasa yang dihasilkan juga kurang dari sepatutnya.

    Oh ya, Faiz juga perlu beri perhatian pada ayat dalam buku manual tu – “RON 95 or higher” bukan “RON 95 only“, bermaksud boleh saja Axia kalau nak pakai petrol RON 97 jika pemiliknya banyak duit lebih tak tahu nak buat apa. Dan, Axia belum keluar lagi model 1.3 liter ya, semua pakai enjin 1.0 liter, Tesla pula tak pakai petrol, dia pakai motor elektrik.

    Kalau rasa susah nak faham artikel di atas, jemput tengok video yang kami hasilkan ini.

     
     
  • KL Monorel: Dua set tren empat-gerabak baharu mula beroperasi – sasar bawa 70,000 penumpang sehari

    KL Monorel: Dua set tren empat-gerabak baharu mula beroperasi – sasar bawa 70,000 penumpang sehari

    Sempena dengan sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan operasi dua set tren monorel empat-gerabak untuk perkhidmatan KL Monorel. Sebelum ini, dua set tren terbabit dijangka siap pada November ini, namun ia telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) lebih awal.

    Kemasukan dua tren empat-gerabak itu meningkat jumlah tren yang digunakan untuk laluan Monorel kepada lima set tren empat-gerabak dan empat set tren dua-gerabak. Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk para pengguna dengan masa menunggu untuk waktu puncak diturunkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit.

    Mengikut kontrak baharu yang ditandatangani antara Prasarana dan Scomi Transit Project Sdn Bhd (STP) pada April lepas, kedua-dua pihak akan memantau prestasi kelima-lima set tren empat-gerabak selama enam bulan sebelum melaksanakan fasa kedua iaitu pembelian tujuh set tren empat-gerabak.

    Sekiranya berjalan lancar dalam tempoh enam bulan itu, tujuh tren baru itu perlu disediakan untuk Prasarana dalam tempoh 18 bulan. Apabila selesai sepenuhnya, Laluan Monorel akan beroperasi dengan dua belas (set tren empat-gerabak. Semua set tren dua-gerabak akan diberhentikan operasi ketika itu.

    Selepas penggantungan kelima-lima tren empat gerabak ini pada Januari tahun lepas, jumlah penumpang harian untuk Laluan Monorel adalah kira-kira 32,000 penumpang. Dengan lima set tren empat-gerabak ini, Prasarana yakin jumlah penumpang harian untuk Laluan Monorel akan mencapai 70,000 sehari.

    “Setiap pandangan dan cadangan yang dikongsikan oleh pengguna sentiasa diambil perhatian. Justeru, pihak kami dan Kementerian Pengangkutan sentiasa berganding bahu bersama-sama dalam usaha memastikan perkhidmatan laluan KL Monorel ini lebih berdaya saing dengan peningkatan mutu kecekapan operasi dan perkhidmatan,” ujar CEO Laluan Monorel, Mohd Ariffin Idris.

     
     
  • Harga jangkaan Mazda CX-5 2019 didedahkan – bermula RM135k, 2.5L turbo GLS bermula RM177k

    Harga jangkaan Mazda CX-5 2019 didedahkan – bermula RM135k, 2.5L turbo GLS bermula RM177k

    Minggu lalu, wakil rasmi Mazda di Malaysia, Bermaz telah mendedahkan perincian penuh spesifikasi dan varian untuk model kemaskini SUV Mazda CX-5 2019, dan kini harga jangkaan untuk kesemua model pula diumumkan sebelum pelancaran rasminya.

    Seperti yang telah disebutkan, kali ini CX-5 hadir dalam lima varian, di mana model asas 2.0 GL 2WD akan dijual pada harga jangkaan RM134,721 jika anda memilih warna solid atau RM138,500.20 untuk pilihan warna lain (kecuali warna premium yang perlu penambahan RM3,000 untuk semua varian).

    Model 2.0 GLS 2WD pula dijual pada harga RM154,753.20, manakala 2.5 GLS 2WD berharga RM166,470.40. Satu-satunya varian diesel iaitu 2.2D 2WD GLS bakal dijual pada harga RM170,294.80. Untuk model baharu ini, varian tertinggi adalah model 2.5 Turbo GLS AWD, menerima enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter Turbo berkuasa 228 hp/420 Nm dijual pada harga jangkaan RM176,899.40.

    Untuk pilihan warna, hanya Artic White hadir sebagai pilihan warna solid biasa, manakala Jet Black, Meteor Grey, Sonic Silver dan Deep Crystal Blue adalah warna metalic. Pilihan warna metalik premium pula terdiri dari Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake White Pearl.

    Untuk perincian penuh spesifikasi setiap varian, anda boleh baca laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI. Bermaz turut menawarkan pelbagai pilihan aksesori termasuk filem penapis haba keselamatan Skytint berharga RM1,900, plat bendul bercahaya berharga RM310, fungsi sistem navigasi pada sistem infotainmen standard berharga RM1,270 dan tempat duduk kulit (hanya untuk varian asas) berharga RM2,900.

    Mazda CX-5 2019 2.5L Turbo AWD

     
     
  • Yamaha YZF-R15 kini dalam warna baharu – RM11,988

    Yamaha YZF-R15 kini dalam warna baharu – RM11,988

    Selepas lebih satu tahun berada dalam pasaran Malaysia, kini model sports YZF-R15 diberikan pilihan warna serta grafik baru yang terdiri daripada Race Blu, Kuning Matte serta Hitam Matte. Harganya masih lagi sama iaitu RM11,988 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    YZF-R15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc, sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi pula adalah unit enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

    Walaupun cuma menggunakan enjin 155 cc, R15 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter dan berat keseluruhannya adalah 137 kg.

    Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai informasi seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran. Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.

    Model yang dijual di pasaran Malaysia adalah model spesifikasi tinggi, sama seperti Thailand dan Indonesia, dengan bahagian hadapannya menggunakan fork USD. Ada pasaran lain mendapat R15 yang lebih ringkas untuk mengurangkan harganya, dengan menggunakan fork teleskopik biasa berwarna hitam.

     
     
  • PANDU UJI: Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower – apa yang bagus sangat dengan enjin kecil terbaru ini?

    PANDU UJI: Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower – apa yang bagus sangat dengan enjin kecil terbaru ini?

    Isuzu Malaysia mengambil masa empat tahun untuk memperkenalkan pilihan enjin 1.9 liter Ddi BluePower pada D-Max. Enjin yang sama bagaimanapun telah mula diperkenalkan untuk pasaran Thailand sejak tahun 2015 lagi. Apa yang membuatkan enjin ini lambat sangat tiba di Malaysia?

    Penantian kita berakhir dengan pelancaran model Isuzu D-Max 2019, yang mengambil pembaharuan rekaan yang sama seperti yang kita lihat pada model D-Max facelift di Siam yang diperkenalkan pada 2017 lalu. Mengapa enjin 1.9L liter ini penting – sekurang-kurangnya bagi segmen pengguna dan peminat trak pikap di sini – adalah kerana ini pertama kali dalam pasaran sebuah trak pikap dilengkapi enjin berkapasiti sekecil ini. Kadar cukai jalan yang perlu dibayar di Semenanjung pula misalnya adalah kurang daripada RM400.

    Ia jadi lebih menarik kerana usaha ini dilakukan oleh Isuzu, sebuah jenama yang memang sudah lama dikenali dengan prestasi ketahanan serta penjimatan, khusus bagi enjin diesel yang digunakan oleh trak komersialnya. Jika ada yang terlupa, D-Max sendiri pada 2015 dahulu pernah melakukan perjalanan dari Bangkok, Thailand ke Singapura dengan hanya menggunakan satu tangki diesel sahaja.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Malaysia umum pemenang kedua ‘Road to 900k Milestone’ – final pada 28-29 September di Bukit Jalil

    Honda Malaysia umum pemenang kedua ‘Road to 900k Milestone’ – final pada 28-29 September di Bukit Jalil

    Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan pemenang kedua bagi kempen ‘Road to 900,000th Milestone’, yang bakal menyaksikan sembilan rakyat Malaysia yang memenangi sembilan model Honda. Lim Hong Ngee dari Setapak, KL, telah memenangi Honda HR-V baharu dan akan memandunya ke acara akhir yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini.

    Lim telah berkunjung ke pusat pengedar Sri Utama Auto untuk mencuba nasibnya. “Saya sangat teruja bila mana diumumkan bakal memenangi HR-V baharu, iaitu SUV Honda kedua saya. I gemarkan rekaan luarannya yang nampak sporty dan ruang dalam yang luas, malah sesuai untuk perjalanan seisi keluarga. Apa pun, saya memang gembira dan tak sabar untuk memandu pulang kereta Honda baharu saya,” ujarnya.

    Dengan dua kereta baharu telah pun dimenangi (yang pertama merupakan model Civic), masih ada lagi tujuh model Honda menanti pemenangnya, termasuk tiga daripadanya menerusi peraduan yang dianjurkan oleh Astro Radio, Tealive dan Unifi.

    Honda Malaysia umum pemenang kedua ‘Road to 900k Milestone’ – final pada 28-29 September di Bukit Jalil

    HM turut mengumumkan acara final untuk kempen ‘Road to 900,000th Milestone’ ini bakal berlangsung pada 28-29 September ini bertempat di ruang parkir terbuka Stadium Nasional Bukit Jalil. Masuk adalah percuma dan semua dijemput hadir. Acara ini akan menyediakan aneka makanan, permainan, aktiviti keluarga dan paling menarik sudah pasti tontonan umum untuk model Civic facelift 2019, yang telah pun dibuka tempahannya.

    “Kami menganjurkan acara final ini untuk meraikan pencapaian signifikan dengan semua rakyat Malaysia dengan menghadiahkan sembilan kereta Honda untuk pemenang bertuah. Bagi pihak Honda Malaysia, saya ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk meraikan acara bermakna ini dan menyertai pelbagai aktiviti dalam acara final ini, yang disasarkan untuk semua rakyat Malaysia, dari kanak-kanak hingga dewasa. Dalam acara ini juga, kami akan mempertontonkan Civic baharu kepada umum,” ujar Toichi Ishiyama, Pengarah Urusan dan CEO HM.

    Ada masa lagi untuk anda menyertai kempen ini, caranya cukup mudah. Daftarkan butiran diri menerusi kod QR atau pun melayari LAMAN WEB KHAS KEMPEN ini. Selain itu, anda juga boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Honda yang berhampiran dan menyertai aktiviti yang dianjurkan untuk mendapatkan tiket tersebut.

     
     
  • Honda Africa Twin 2020 akan muncul September ini

    Honda Africa Twin 2020 akan muncul September ini

    Julai lalu Honda Europe telah mengeluarkan satu teaser motosikal adventure baru. Tiada sebarang bentuk motosikal yang boleh dilihat, tetapi ia menggambarkan suasana di kawasan offroad yang mencabar. Kini, satu lagi video teaser susulan muncul, dengan menunjukkan muka hadapan motosikal tersebut.

    Tentunya ia adalah sebuah model Africa Twin, tetapi kita masih belum dapat tahu saiz atau kapasiti enjinnya. Ada khabar yang memberitahu Honda akan meningkatkan kapasiti enjin Africa Twin lebih tinggi daripada 998 cc, namun ada juga yang menjangkakan Africa Twin yang lebih ringan dengan kapasiti enjin bawah 900 cc.

    Apapun, motosikal yang ditampilkan dalam video ini dilihat menggunakan set lampu baru dengan jalur DRL LED berbentuk bulat di dalamnya, besi pelindung badan lengkap di bahagian tepi, penghadang angin hadapan tinggi serta lampu LED tambahan. Satu lagi yang menarik, pada penghujung video ini lambang Africa Twin itu dibahagikan kepada dua, memberi gambaran seolah akan ada dua versi baginya.

    Africa Twin yang berada dalam pasaran sekarang dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 998 cc SOHC, yang boleh didapati dengan kotak gear manual enam kelajuan ataupun automatik Dual Clutch Transmission (DCT). Antara kelengkapannya adalah seperti bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap (sebelum ini cuma tiga).

    Di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd menawarkan Africa Twin dalam empat versi iaitu Standard Manual, Standard DCT, Adventure Sports Manual dan Adventure Sports DCT. Harganya masing-masing adalah RM76,399, RM82,999, RM76,699 dan RM86,299 tidak termasuk insurans.

    GALERI: Honda Africa Twin Standard


    GALERI: Honda Africa Twin Adventure Sports

     
     
  • Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

    Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

    Awal bulan ini kita digemparkan dengan berita Bugatti Chiron yang mencatatkan kelajuan 490.484 km/j (304.773 bs/j), sekaligus mengiktiraf Bugatti sebagai pengeluar automotif pertama di dunia memecahkan tembok catatan kelajuan 300 bs/j. Chiron tersebut adalah versi ubahsuai yang tidak sama dengan Chiron standard, tetapi jika anda mahukan versi yang sama, jangan gusar kerana Bugatti akan membinanya sebanyak 30 unit untuk dijual bagi meraikan kejayaan mereka.

    Model edisi terhad tersebut digelar Bugatti Chiron Super Sport 300+, dan ia telah didedahkan kepada sekumpulan pelanggan Bugatti terpilih dalam satu majlis bagi meraikan ulangtahun ke-110 jenama kereta Perancis tersebut. Ia akan dijual pada hara 3.5 juta euro atau lebih dari RM16 juta, dan pelanggan pertama yang menempah akan menerima kereta tersebut pada pertengahan tahun 2021.

    “Selepas mencatatkan kelajuan menakjubkan lebih dari 300 bs/j, di mana kami adalah pengeluar pertama yang mencatatkannya, kami kini menawarkan Super Sport 300+ kepada pelanggan – model edisi khas yang sangat istimewa dan Bugatti paling laju pernah dihasilkan,” kata presiden Bugatti, Stephan Winkelmann.

    Bugatti Chiron Super Sport 300+ – model terhad sama seperti prototaip, hanya 30 unit, berharga RM16 juta

    “Tetapi Chiron Super Sport 300+ lebih dari sekadar siri kereta sport produksi terpantas di dunia. Ia adalah testimoni kepada teknikal Bugatti yang diperhalusi, hasil kerja yang hebat dan perhatian yang tinggi terhadap perincian,” tambahnya lagi.

    Model produksi berkenaan tampil dengan ciri dan rupa seiras versi prototaip yang membuat rekod berkenaan. Ia dijana enjin ‘Thor’ W16 8.0 liter empat pengecas turbo yang menghasilkan 1,600 PS atau 100 PS lebih berkuasa dari Chiron Sport, digandingkan dengan kotak gear standard klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Kuasa berkenaan dialirkan ke kesemua roda.

    Badan Super Sport 300+ ini juga berbeza dengan versi biasa terutamanya pada bahagian belakang. Ekor versi lebih hardcore ini dihasilkan lebih panjang, menampilkan penutup enjin khas, dan juga ekzos dengan konfigurasi pada tip berkembar dirombak semula, menampilkan susunan menegak, bagi membolehkan diffuser menerima rekaan yang menambah daya lekatan ke permukaan jalan yang lebih tinggi.

    Muka Chiron ini nampak hampir sama dengan model standard, tetapi sebenarnya ia diberikan liang udara lebih agresif bersama liang berbentuk bulat yang terletak pada bahagian atas perumah roda. Ia juga diserlahkan dengan badan gentian karbon, bersama jalur-jalur berwarna oren.

    Pada bahagian kabin, Chiron istimewa ini menampilkan kemasan-kemasan karbon hitam, bersama balutan-balutan kulit dan Alcantara berwarna Beluga Black, serta serlahan-serlahan Jet Orange seperti pada bahagian luarannya. Perkataan “Super Sport 300+” turut diletakkan pada tempat-tempat sepatutnya seperti pada bendul pintu bersama lampu-lampu LED.


     
     
  • KTM tamatkan kerjasama dengan Zarco, diganti Kalio

    KTM tamatkan kerjasama dengan Zarco, diganti Kalio

    Semasa baru menyertai kategori MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech 3, Johann Zarco menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan menaiki podium tiga kali dan berada di kedudukan nombor enam dalam carta keseluruhan pelumba apabila perlumbaan musim itu tamat.

    Sejak dari itu, beberapa pasukan lain turut menunjukkan minat terhadap pelumba dari Perancis ini dan akhirnya beliau membuat keputusan untuk berlumba bersama pasukan factory KTM. Namun, keadaan tidak menjadi mudah dan kekecewaan beliau terhadap jentera RC16 tidak dapat dibendung lagi. Nasib sama menimpa hampir kesemua pelumba KTM lain termasuk Hafizh Syahrin dalam pasukan KTM Tech 3.

    Walaupun kontrak ditandatangani untuk tempoh dua tahun, iaitu sehingga musim 2020 berakhir, bulan lalu Zarco dan KTM mengumumkan secara rasmi kerjasama mereka akan berakhir lebih awal. Kita menjangkakan sekurang-kurangnya hingga musim 2019 ini berakhir tapi nampaknya tidak.

    KTM tamatkan kerjasama dengan Zarco, diganti Kalio

    Dengan musim 2019 masih berbaki enam pusingan lagi, khidmat Zarco sebagai pelumba sudah ditamatkan dan beliau akan diganti oleh Mika Kallio. Walaubagaimanapun, menurut ketua KTM Motorsport, mereka masih belum membuat keputusan siapa pengganti Zarco untuk musim hadapan, dan pertukaran terus Zarco dan Kallio ini adalah kerana “penetapan semula kepentingan” pasukan.

    Zarco juga setakat ini masih belum mempunyai tempat sebagai pelumba musim hadapan, tetapi beliau ada memberi petunjuk sedang menghampiri jawatan sebagai pelumba ujian jentera MotoGP. Untuk pasukan mana, kita masih perlu menunggu jawapan rasmi beliau.

     
     
  • BMW 3 Series G20 CKD diperkenalkan di pasaran Malaysia – 330i, spesifikasi masih sama, RM289k

    BMW 3 Series G20 CKD diperkenalkan di pasaran Malaysia – 330i, spesifikasi masih sama, RM289k

    Enam bulan selepas melancarkan BMW 3 Series G20, BMW Group Malaysia telah mengumumkan untuk memperkenalkan versi pemasangan tempatan (CKD) pula. Sedan sport generasi ketujuh ini terus ditawarkan dengan varian 330i M Sport, dengan spesifikasi yang sama seperti mana ada pada unit import sepenuhnya (CBU).

    Senarai elemennya sama, namun harganya diturunkan sedikit, kini ia berharga RM288,800 atas jalan tanpa insurans – kurang RM40,000 berbanding sebelum ini. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had, dengan lima-tahun pakej penyelenggaraan percuma dan waranti dua-tahun untuk tayar.

    Untuk luarannya, ia ditampilkan dengan pakej M Sport, dengan lampu utama LED adaptif dan lampu kabus LED, serta roda aloi Style 790 M double-spoke Orbit Grey 18-inci, dengan tayar run-flat. Manakala di dalamnya pula, ia digandingkan dengan sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional, bersama skrin tengah 10.25-inci dan paparan instrumen digital-sepenuhnya 12.3-inci serta reverse-direction rev counter.

    BMW 3 Series G20 CKD diperkenalkan di pasaran Malaysia – 330i, spesifikasi masih sama, RM289k

    Selain itu, ia turut menampilkan BMW Operating System 7.0 baharu, di mana sistem ini boleh dikendalikan menerusi kawalan iDrive rotary, skrin sesentuh tengah atau pun kawalan suara Intelligent Personal Assistant. Untuk kabinnya, ia diberi pilihan sama ada kulit Hitam atau Cognac Vernasca, kemasan Tetragon Aluminium dan headlining hitam.

    Ciri standard termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup engin, pembuka bootlid bebas tangan, kawalan suhu tiga-zon, kawalan kelajuan, tempat duduk sport larasan berkuasa dengan tatapan memori untuk tempat duduk pemandu, tempat duduk belakang boleh dibaringkan secara nisbah 40:20:40, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan sistem bunyi HiFi Loudspeaker 205-watt dengan 10-pembesar suara. Ia turut ditawarkan dengan fungsi BMW Digital Key untuk beberapa model telefon pintar Samsung yang terpilih.

    Untuk bantuan pemandu, 330i terus menawarkan Bantuan Parkir, termasuk kamera undur dan juga sistem Bantuan Mengundur baharu yang akan membantu anda mengundur keluar dari laluan sempit dengan cara mengingat kembali laluan masuk anda. Walau bagaimana pun, tiada lagi bantuan pemanduan lain yang turut ditampilkan termasuklah brek kecemasan sendiri.

    BMW 3 Series G20 CKD diperkenalkan di pasaran Malaysia – 330i, spesifikasi masih sama, RM289k

    Di bawah bonetnya, ia menempatkan versi terkini enjin petrol B48 2.0 liter pengecas turbo, yang mampu menghamburkan 258 hp pada 5,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Dipadankan dengan transmisi ZF automatik lapan-kelajuan, yang mampu membantunya memecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 5.8 saat dan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 5.8 hingga 6.1 liter untuk setiap 100 km. Suspensi M Sport pasif masih menjadi pilihan dengan newfangled lift-related dampers.

    Dengan pengenalan model CKD ini, BMW ConnectedDrive Service turut ditawarkan. Fungsi individual termasuklah BMW Online, Remote Services, Concierge Services, Apple CarPlay dan Intelligent Personal Assistant serta Digital Key , kini didatangkan dengan tempoh ujian selama tiga-bulan, berbanding langganan percuma satu-/tiga tahun yang ditawarkan pada model CBU.

    Pilihan warna yang ditawarkan untuk versi CKD ini ialah Alpine White, Black Sapphire dan Mineral Grey. Warna Portimao Blue yang anda lihat pada model CBU ini akan ditawarkan mulai Januari, manakala Sunset Orange pula bermula Mac hadapan.

    GALERI: BMW 330i G20 CBU

     
     
  • Toyota Corolla 2019 masuk pasaran Jepun – tampilkan sedikit perbezaan, tiga pilihan enjin dan bentuk badan

    Toyota Corolla 2019 masuk pasaran Jepun – tampilkan sedikit perbezaan, tiga pilihan enjin dan bentuk badan

    Selepas beberapa pasaran lain, Jepun akhirnya menerima Toyota Corolla generasi ke-12 secara rasmi. Sama seperti Eropah, tiga bentuk badan ditawarkan iaitu Corolla (sedan), Corolla Touring (wagon; sebelum ini dikenali sebagai Corolla Axio dan Corolla Fielder), serta Corolla Sport (hatchback).

    Untuk pasaran domestik Toyota ini, kedua-dua Corolla dan Corolla Touring berkongsi muka depan yang sama seperti Levin yang dijual di China (kita pula mendapat muka seperti model Eropah), manakala Corolla Sport pula mempunyai muka yang sama seperti versi hatchback yang dijual di Eropah dan Amerika Syarikat.

    Menariknya, model Corolla pasaran Jepun ini menggunakan lencana hadapan yang tertulis “C” pada gril, dan bukannya lencana biasa Toyota. Walaupun begitu, lencana berlambang Toyota masih digunakan pada bahagian belakang serta rim.

    Bukan setakat itu, Corolla sedan dan wagon versi Jepun juga mempunyai dimensi yang berlainan berbanding model pasaran lain. Untuk Corolla, ukurannya adalah 4,495 mm panjang (-135 mm berbanding pasaran lain), 1,745 mm lebar (-35 mm), 1,435 mm tinggi (tiada perubahan) dan jarak roda 2,640 mm (-60 mm).

    Untuk Corolla Touring pula, kebanyakan ukurannya adalah sama seperti versi sedan, tetapi lebih tinggi menjadi 1,460 mm. Jika dibandingkan dengan model pasaran lain, wagon JDM 155 mm lebih pendek, 45 mm kurang lebar dan jarak roda lebih pendek 60 mm. Dimensi spesifik untuk hatchback JDM tidak didedah.

    Bagi enjin, pilihannya bermula dengan unit empat silinder petrol 1.8 liter NA 2ZR-FAE berkuasa 140 PS dan 170 Nm yang dipadankan bersama transmisi Super CVT-i, menyampaikan kuasa kepada roda hadapan. Enjin ini hanya ditawarkan untuk Corolla dan Corolla Touring.

    Toyota Corolla 2019 masuk pasaran Jepun – tampilkan sedikit perbezaan, tiga pilihan enjin dan bentuk badan

    Seterusnya adalah enjin empat silinder 1.2 liter turbo 8NR-FTS berkuasa 116 PS dan 185 Nm, yang boleh dipadankan dengan transmisi Super CVT-i atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan. Enjin ini boleh didapati untuk semua model dengan pacuan roda hadapan dan transmisi manual, tetapi hanya Corolla Sport sahaja yang ditawarkan dengan transmisi CVT pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda.

    Akhir sekali, Toyota turut menawarkan enjin empat silinder 1.8 liter 2ZR-FXE (98 PS dan 142 Nm) yang dibantu motor elektrik 53 PS/163 Nm dan bateri nickel-metal hydride. Enjin ini hanya dipadankan bersama transmisi e-CVT, dengan pacuan roda hadapan untuk semua bentuk badan, dan pacuan empat roda (E-Four) untuk Corolla dan Corolla Touring sahaja. Harga Corolla di Jepun adalah bermula dari 1.936 juta yen (RM74,844), hingga 2.998 juta yen (RM115,864).

     
     
  • JPJeBid diperluaskan di Perak pula – bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ALL’ mulai 19-23 Sept ini

    JPJeBid diperluaskan di Perak pula – bidaan nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ALL’ mulai 19-23 Sept ini

    Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) telah diperluaskan di Perak pula mulai 19 September ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berkenaan telah mengumumkan, bidaan tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ALL’ kepada orang awam akan dibuka mulai tarikh tersebut sehinggalah 23 September 2019.

    Menurut Pengarahnya Severinus Tukah, pihaknya mensasarkan bidaan keseluruhan bagi siri ‘ALL’ melebihi RM1 juta, berdasarkan sambutan pada siri nombor pendaftaran yang lepas yang dibida secara manual iaitu ‘AKU’ yang mengutip RM3.1 juta dan merupakan kutipan tertinggi bagi JPJ Perak setakat ini. Selain itu, nilai bidaan dan jualan bagi siri ‘ALA’ pula merekodkan RM1.6 juta, diikuti ‘ALE’ sebanyak RM1.1 juta.

    “Terdapat empat kategori harga tempahan yang ditawarkan kepada orang ramai iaitu nombor bernilai utama berharga minimum RM20,000, manakala bagi kategori nombor menarik bernilai minimum RM3,000. Selain itu, harga minimum RM800 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri kategori nombor popular dan harga minima RM300 bagi nombor biasa,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

    Severinus berkata bidaan selama lima hari itu dibuka bermula bermula 12 tengah malam pada Khamis ini sehingga 11.59 malam pada hari terakhir dan kaedah pembayaran JPJebid adalah menggunakan kad kredit serta kad debit tempatan sahaja. Orang ramai yang berminat membida nombor yang diminati dengan bayaran Fi Perkhidmatan sebanyak RM10 boleh mengakses sistem secara dalam talian menggunakan aplikasi JPJebid.

    JPJeBid telah pun dilancarkan sebagai sistem bidaan plat nombor kenderaan secara dalam talian bermula 15 April lalu, dengan projek perintisnya bermula dengan siri plat FC. Kemudian, ia telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak, Johor dan Pahang.

    Kami sendiri telah mencuba JPJeBid dan SILA BACA DI SINI untuk mengetahui pengalaman dan pendapat kami mengenai sistem tersebut.

     
     
  • ‘Myvi Tesla’ – projek baharu Roshen Maghhan

    Jika anda cakna dengan perkembangan di media sosial, anda mungkin kenal dengan Roshen Maghhan, pemuda dari Malaysia yang menghasilkan aplikasi penterjemah bahasa yang mampu menterjemahkan perbualan manusia secara ‘real time‘ – dibuat kerana dia sendiri menghadapi masalah rakan sekerja yang kerap berbual dalam bahasa mandarin.

    Sempena Hari Malaysia yang disambut semalam, 16 September 2019, Roshen sekali lagi mendedahkan projek terbaharu di akaun twitter peribadinya, kali ini dia mengubahsuai sebuah Perodua Myvi dengan menerapkan ciri seperti model-model keluaran Tesla, dan ia digelar sebagai ‘Project Myvi’.

    Ubahsuai tersebut bukanlah bermaksud Roshen menukar enjin petrol 1.5 liter 2NR-VE pada perut Myvi berkenaan kepada motor berkuasa elektrik, tetapi menghasilkan satu aplikasi yang membolehkan berberapa fungsi yang boleh dikawal hanya menggunakan telefon pintar dari luar kereta!

    Sehingga kini, Roshen berjaya menghasilkan empat fungsi yang boleh mengawal Myvinya menerusi telefon pintar iaitu menghidupkan dan mematikan enjin, menurunkan kesemua tingkap, memainkan muzik pada pemain audio, dan juga mengerakkan kereta tersebut ke hadapan.

    Secara asasnya, Roshen menggunakan sistem Arduino iaitu satu kit hardware dan software yang membolehkan anda menghasilkan sebuah kotak komputer yang boleh diprogramkan sendiri untuk projek tersebut. Menurut Roshen, aliran fungsi sistem tersebut adalah bermula dari arahan di aplikasi telefon pintar, kemudian ke pelayar laman sesawang, Powershell, Serial Monitor, Arduino, kemudian ke kereta.

    Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Roshen menggerakkan actuator akhir pada kereta berkenaan dari Arduino terus ke komponen tersebut, atau dia ada menggodam sistem multiplex pada Myvi itu. Untuk menggerakkan kereta menggunakan telefon pula, Roshen mungkin menggunakan satu actuator untuk menggerakkan tuil gear ke posisi ‘D’.

    Juga kelihatan satu rod yang mungkin digunakan Roshan untuk mengawal pedal brek bagi membolehkan kereta tersebut bergerak. Menurut Roshen lagi, dengan cara ini Myvi tersebut hanya boleh digerakkan dengan kelajuan 1 km/j untuk tujuan keselamatan, kerana ia tidak mempunyai penderia seperti Tesla yang mampu berhenti sendiri sekiranya terdapat halangan di hadapan.

    Apa pun, agak cool juga kan mempunyai Myvi yang dibekalkan dengan sedikit fungsi seakan Tesla seperti ini kan?

     
     
  • Kawasaki keluarkan teaser model Z supercharge

    Enjin motosikal yang dipasang dengan pendesak kuasa supercharger bukanlah benda baru, malah ia sudah wujud pada model produksi sejak tahun 80-an lagi. Dalam waktu yang terdekat ini, Kawasaki telah mempopularkannya semula dengan pengenalan Ninja H2 dan H2R.

    Model ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 998 cc, yang dibantu oleh unit supercharger keluaran Kawasaki sendiri, untuk menghasilkan kuasa sehingga 310 PS pada 14,000 rpm dan 165 Nm tork pada 12,500 rpm. Bagi sebuah motosikal, jumlah kuasa seperti ini boleh dikatakan agak tinggi.

    Namun terbaru, Kawasaki telah mengeluarkan satu video teaser dalam Youtube yang menunjukkan visual turbin supercharger berserta tanda Z yang dikaitkan rapat dengan barisan model naked mereka. Apa yang boleh diterjemahkan daripada video ini, Kawasaki akan memperkenalkan sebuah model naked yang menggunakan enjin yang dibantu dengan unit supercharger.

    Tiada tarikh yang dikeluarkan dalam video ini, tetapi kami menjangkakan ia bakal diperkenalkan sama ada semasa Tokyo Motor Show pada bulan Oktober ataupun EICMA di Itali pada bulan November. Bentuk motosikal itu juga masih belum diketahui.

    Walaubagaimanapun, daripada video ini, banyak spekulasi yang telah timbul. Antaranya adalah sebuah versi naked bagi H2, dengan enjin serta asas yang sama, dan sekiranya Kawasaki membuat keputusan untuk memperkenalkannya untuk model pertengahan, mungkin ia akan mempunyai bentuk klasik seperti Z900 RS. Apa pun bentuknya nanti, kami pasti ia akan mengujakan.

     
     
  • SPYSHOT: Perodua Axia Style 2019 – gaya ala SUV

    Kalau malam kelmarin, Perodua mengambil kesempatan menayang kelibat model Axia 2019 menerusi program televisyen Konsert Big Stage 2019 minggu ke-5 di saluran Astro Gempak, ini beberapa keping gambar Axia Style, yang dikatakan sebagai varian terbaharu bagi barisan Axia 2019, seperti yang dimuatnaik di laman Facebook The Ajerul.

    Foto-foto bahagian hadapan, belakang dan sisi varian Axia Style menggambarkan ia tampil dengan gaya yang lebih ranggi, ala SUV crossover pula. Ia ditampilkan dengan pilihan warna Sunrise Orange, memang cukup menampakkan keseluruhan imej luarannya yang ternyata lebih segar dan sporty.

    Bampar hadapannya kelihatan mempunyai ‘bukaan udara’ menegak yang lebih besar di penjuru dan sudut tersebut juga menempatkan lampu kabus. Malahan, kelihatan corak pada gril juga sedikit berbeza, dengan jalinan paten yang lebih rapat.

    SPYSHOT: Perodua Axia Style 2019 – gaya ala SUV

    Axia Style juga bakal ditampilkan dengan rim 15-inci bersama rekaan seperti diamond cut serta tayar yang lebih tebal. Malah ia turut menampilkan kemasan hitam pada lengkuk tayar dan bampar. Manakala bahagian bawah bampar hadapan pula terdapat kemasan seakan sebuah SUV. Difahamkan, varian Style ini akan ditawarkan pada harga jangkaan RM38,890.

    Selain Axia Style 2019, varian lain yang membarisi Axia 2019 termasuklah model spesifikasi tertinggi Axia AV 2019 (RM43,190), Axia SE 2019 (RM38,890), Axia GXtra 2019 (RM34,990), Perodua Axia G 2019 (RM33,490) dan Peordua Axia E 2019 (RM24,090). Anda boleh melihat senarai perbandingan varian bagi barisan Axia 2019 DI SINI.

    Kalau lihat menerusi sedikit sedutan video yang ditayangkan melalui Konsert Big Stage 2019, ciri lain bagi Axia 2019 yang didedahkan termasuklah tombol gear dengan kemasan krom, perubahan kecil pada grafik panel instrumen, skrin infotainmen sesentuh, butang kawalan audio pada roda stereng balutan kulit serta kamera belakang.

    Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Axia 2019 masih dikekalkan dengan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i yang menghasilkan kuasa 67 hp dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm. Hanya varian E boleh didapati dengan transmisi manual lima-kelajuan manakala varian lain semuanya datang dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi MT, manakala bagi AT empat-kelajuan pula ialah 21.6 km/l. Tetapi, bagi varian Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l.

    Manakala untuk aspek keselamatan pula, terdapat sedikit peningkatan, di mana varian GXtra ke atas akan dilengkapi dengan ciri kawalan kestabilan VSC manakala varian Advance pula akan ditambah dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang termasuk Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera yang dipasang pada cermin utama.

    Buat masa ini, Perodua masih berahsia bilakah Axia 2019 ini bakal dilancarkan, walau pun tempahannya telah pun mula dibuka sejak 22 Ogos lalu. Adakah Perodua akan mengambil kesempatan untuk melancarkannya di pentas penganjuran Karnival MYPerodua Nation 2019 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 September ini di kawasan lapang di hadapan Setia City Mall? Nantikan perkembangan selanjutnya bersama kami.

     
     
  • Perodua Axia 2019 muncul dalam rancangan hiburan

    Perodua Axia 2019 muncul dalam rancangan hiburan

    Bermula dengan satu risalah jualan yang tersebar, kemudiannya Perodua membuka tempahan untuk Axia facelift 2019. Model ini masih belum dilancarkan secara rasmi, malah rupa penuhnya juga belum ditunjukkan. Apa yang didedahkan cuma harga serta enam variannya.

    Namun dalam satu rancangan hiburan tempatan, video promosi pembukaannya telah menampilkan Axia 2019. Sukar untuk orang biasa mengesannya kerana terlalu banyak gangguan dalam video itu, tetapi anda boleh tahu dengan melihat Axia yang kini lebih menarik – ada dua varian dalam video ini iaitu AV (Glittering Silver) dan Style (Sunrise Orange).

    Hampir keseluruhan bahagian kenderaan ini ditunjuk, namun yang paling nampak berbeza adalah bampar hadapannya, yang kini mempunyai ‘bukaan udara’ menegak yang lebih besar di penjuru, dan turut menempatkan lampu kabus. Corak gril juga nampak berbeza dengan jalinan yang lebih rapat.

    AV adalah varian paling tinggi bagi Axia 2019 manakala Style adalah varian baru dengan gaya ala SUV. Bagi varian Style, kedudukannya lebih tinggi kerana menggunakan rim 15 inci (kelihatan seperti diamond cut), serta tayar yang lebih tebal, dan anda boleh saksikan ia mempunyai kemasan hitam pada lengkuk tayar serta bampar. Di bahagian bawah bampar hadapan pula terdapat kemasan seakan sebuah SUV.

    Kelengkapan lain Axia 2019 yang anda boleh saksikan dalam video ini adalah seperti tombol gear dengan kemasan krom, perubahan kecil pada grafik panel instrumen, skrin infotainmen sesentuh, butang kawalan audio pada roda stereng yang dibalut kulit serta kamera belakang.

    Melalui maklumat yang didedahkan sebelum ini, Axia 2019 masih lagi dikuasakan oleh enjin tiga-silinder 1KR-VE VVT-i 1.0 liter yang menghasilkan kuasa 67 hp dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm. Hanya varian E boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan manakala varian lain semuanya datang dengan transmisi automatik empat kelajuan. Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi MT, manakala bagi AT empat-kelajuan pula ialah 21.6 km/l. Tetapi, bagi varian Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l.

    Perodua Axia 2019 muncul dalam rancangan hiburan

    Bahagian keselamatan Axia 2019 ini menunjukkan peningkatan penting, di mana varian GXtra ke atas akan dilengkapi dengan ciri kawalan kestabilan VSC manakala varian Advance pula akan dilengkapi dengan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang termasuk Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Waktu pelancaran Axia 2019 ini masih belum diberitahu, tetapi kami boleh menjangka ia akan berlaku dalam waktu terdekat. Sementara itu, anda boleh melihat perincian penuh setiap varian Axia 2019 di sini, dan tempahan sudah dibuka dengan harga antara RM24,090 hingga RM43,190.

     
     
  • Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    Pemegang saham terbesar dalam Boustead Petroleum Marketing (BPM) yang mengendalikan rangkaian stesen minyak di bawah jenama BHPetrol, Boustead Holdings dilaporkan akan menjual sahamnya dalam perniagaan tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam laporan The Edge, dan turut menyebut bahawa perbincangan dengan individu yang berpotensi membeli saham berkenaan sedang berjalan, bersama pihak lain yang berminat terhadap aset tersebut.

    “Ini (aset yang menunggu) adalah kerana harga yang diberikan adalah lebih dari RM1 bilion, mungkin cecah RM1.5 bilion, atau lebih,” kata sumber yang boleh dipercayai berkenaan perkara ini memberitahu The Edge. Menurutnya lagi, selain dari harga, ada berberapa pihak lagi yang berminat dengan perkara ini, dan sedang menunggu nilai yang akan dinyatakan oleh Boustead Holdings.

    Sehingga kini, BPM menjual petrol, diesel, gas LPG dan pelbagai minyak pelincir secara runcit serta mengendalikan lebih dari 380 stesen minyak di seluruh Malaysia. Syarikat tersebut dikuasai Boustead Petroleum dengan pegangan 70% dan 30% selebihnya adalah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

    Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    LTAT pula mempunyai 59.45% saham dalam Boustead Holdings. Laporan ini turut menambah bahawa dengan struktur pemilikan Boustead Holdings dan LTAT ini, mungkin LTAT juga akan melepaskan kepentingannya dalam BPM jika Boustead Holdings keluar dari perniagaan tersebut. Untuk rekod, selain dari peruncitan petrol ini, Boustead Holdings juga mempunyai jaringan perniagaan dalam bidang pertahanan, farmaseutikal, kejuruteraan berat, pertanian dan juga pembangunan hartanah.

    Pemegang saham Boustead Petroleum pula terdiri dari Boustead Holdings dengan pegangan 59.82%, PE Petroleum (21.11%), Vitol Malaysia (14.07%) dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (5%) yang sebelum ini turut menerajui Boustead Holdings dan LTAT.

    The Edge turut mendedahkan bahawa PE Petroleum adalah milik penuh syarikat yang bernama Hesselink Investments, manakala Vitol Malaysia pula milik penuh Vitol Malaysia BV, iaitu salah satu divisi gergasi industri minyak Belanda, Vitol. Sumber berita ini memberitahu, Vitol mungkin berminat untuk mengambil alih perniagaan ini, tetapi menurut laporan ia tidak berasas.

    Nama lain yang turut dikaitkan berminat adalah Petronas Dagangan, yang mempunyai lebih dari 1,000 stesen minyak di seluruh negara, dan Petron Malaysia Refining & Marketing, yang mengendalikan lebih dari 640 stesen minyak di seluruh Malaysia, tetapi kedua-duanya masih tidak dapat dipastikan.

     
     
  • Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Kalau ikut pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada April lalu, Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 dijadualkan akan diumumkan pada suku kedua tahun ini. Walau bagaimana pun, kalendar 2019 sudah pun bakal menginjak ke suku keempat dalam tempoh dua minggu lagi, namun NAP 2019 masih belum diumumkan.

    Terkini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, mengesahkan NAP 2019 bakal diumumkan kelak, walau pun tidak memberikan bayangan jangkaan tarikhnya.

    “NAP 2019 akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV). Pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

    “Ia juga memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar polisi dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja. Pada masa sama, kami akan turut menggabungkan elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid dan kenderaan EEV,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Madani berkata ini termasuk elemen seperti pengeluaran bateri, sistem pengurusan, stesen pengecas dan yang berkaitan manakala fasa berikutnya akan menitikberatkan aspek terkini seperti teknologi 5G. Sejajar usaha itu, kata beliau, NAP 2019 juga bakal menyaksikan MARii mengubah fokus EEV kepada kenderaan generasi baharu atau NxGV.

    Tambahnya lagi, perbezaan kenderaan EEV dan kenderaan NxGV adalah elemen kesalinghubungan atau ‘connectivity’ bagi menyuntik pengalaman pemanduan dalam kenderaan yang turut ditambah nilai dengan aspek lain. Malah, penggunaan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam kenderaan NxGV juga dapat menjana sektor baharu seperti perkhidmatan mobiliti manakala penggunaan AI akan mendorong kepada pemanduan lebih selamat, cekap serta berprestasi tinggi.

    “Aspek mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu adalah sektor baharu yang tidak boleh diketepikan. Berikutan itu, ia memerlukan banyak aspek pengaturcaraan, IoT atau internet pelbagai benda dan yang berkaitan,” katanya.

    Mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu merujuk kepada usaha beralih daripada mod pengangkutan milikan sendiri kepada penyelesaian mudah alih, termasuk menggabungkan perkhidmatan penyedia pengangkutan awam dan swasta menerusi satu platform yang mengurus perjalanan dan membolehkan pengguna membayar perkhidmatan itu secara tunai atau dalam talian.

    Madani berkata seperti dinyatakan oleh ahli teknologi, industri automotif merupakan ‘induk atau teras segala industri’ kerana melibatkan sektor-sektor mekanikal, elektronik, kejuruteraan, kimia dan teknologi terkini.

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    “Atas alasan itulah kami amat maklum dan memahami hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad agar Malaysia memiliki kereta nasional (ketiga) baharu. Ini semua bagi memastikan industri automotif dapat memanfaatkan semua limpahan aktiviti ini,” katanya.

    Buat pertama kalinya juga, NAP 2019 bakal meletakkan definisi kereta nasional dengan sasaran menjadikan teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk lebih membangunkan negara. Ia akan melibatkan enam kriteria iaitu majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75% bekalan rantaian domestik.

    “Kriteria lain adalah ia perlu menggunakan 98% pekerja tempatan, syarikat terlibat (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunanaan revolusi perindustrian 4.0.

    “Kriteria berkenaan terpakai kepada pengeluar kereta nasional sedia ada dan kereta nasional baharu yang sedang dalam peringkat pembangunan. Malah, kehadiran kereta nasional baharu itu akan lebih merancakkan perniagaan dalam kalangan vendor-vendor tempatan,” ujarnya.

    Jelasnya lagi, dalam sebuah kereta terdapat lebih 30,000 komponen dan 80% daripadanya dibekalkan oleh vendor. Oleh itu, kereta nasional baharu ini bukan sahaja menambah nilai kepada kepakaran bidang ini malah turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

     
     
  • Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Mengetahui ramai pengguna motosikal yang gemar menjelajah sekarang, termasuk yang menggunakan model kapasiti rendah, Suzuki telah melancarkan versi baru bagi skuter NEX II mereka di Indonesia, yang dikenali sebagai NEX II Cross.

    Bahagian utama yang ditukar sudah tentu adalah tayar, di mana ia sekarang datang secara standard dengan tayar jenis dual purpose, tetapi saiznya masih sama iaitu 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang. Rim adalah unit 14 inci. Kemudiannya, warna serta grafik model ini ditukar bagi menampakkan bezanya dengan versi lain.

    Selain daripada itu, tiada perkara yang berubah pada motosikal ini, dan ia masih menggunakan kelengkapan yang sama seperti NEX II yang dulu, termasuklah fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, brek cakera depan dan brek dram belakang.

    Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Enjin yang menggerakkan motosikal ini adalah unit sau silinder 113 cc suntikan bahan api SOHC yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT. Kapasiti tangki bahan api NEX II Cross adalah 3.6 liter dan versi yang dipasang dengan aksesori mempunyai kelengkapan seperti lampu hadapan LED dan soket pengecas USB.

    Sementara NEX II dijual pada harga antara 15.1 (RM4,476) hingga 15.8 juta Rupiah (RM4,680), NEX II Cross pula dijual pada harga 15.4 juta Rupiah (RM4,565) untuk versi Standard dan 16.1 juta Rupiah (RM4,772) untuk versi yang dipasang dengan aksesori.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026