Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Petronas lancarkan Syntium 7000 Hybrid CoolTech – pelincir Petronas pertama khas untuk kereta hibrid

    Petronas lancarkan Syntium 7000 Hybrid CoolTech – pelincir Petronas pertama khas untuk kereta hibrid

    Petronas Lubricant Marketing Malaysia (PLMM) hari ini melancarkan satu lagi minyak pelincir premium berkelikatan rendah dalam barisan siri Syntium iaitu Petronas Syntium 7000 Hybrid 0W-20 sintetik sepenuhnya dengan CoolTech yang dihasilkan khas untuk kereta-kereta dengan unit janakuasa hibird. Ia dijual pada harga RM295.00 untuk pek 4 liter dan RM80.00 bagi pek 1 liter.

    “Siri baharu ini dihasilkan bagi memenuhi pasaran yang semakin berkembang dalam masa yang sama kami masuk ke segmen dengan teknologi tinggi, yang kurang diperhatikan sebelum ini. Bersama pengalaman kami dalam berkerjasama dalam peringkat tertinggi sukan permotoran, perlumbaan Formula 1, kami telah menghasilkan formulasi yang difokuskan untuk mengoptimakan prestasi enjin bagi kedua-dua kenderaan petrol dan dan hibrid,” kata Dato’ Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad.

    “Oleh itu, teknologi CoolTech telah dibangunkan bagi membantu menyejukkan komponen enjin yang kritikal bagi membolehkan enjin mampu beroperasi secara efisien walaupun di bawah tekanan. Hari ini kami bangga untuk membawakan teknologi yang dibangunkan dari litar lumba ke jalan raya di Malaysia bagi memberikan manfaat kepada pemandu kita,” tambahnya yang juga Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas.

    Petronas lancarkan Syntium 7000 Hybrid CoolTech – pelincir Petronas pertama khas untuk kereta hibrid

    Syntium 7000 Hybrid ini akan menyertai barisan produk pelinciran premium sintetik spenuhnya Petronas Syntium dengan CoolTech yang lain seperti Syntium 7000 0W-16 yang dijual pada harga RM315 (4L) dan RM95 (1L), Syntium 7000 0W-20 berharga RM185 (4L) dan RM60 (1L) sertaa Syntium 3000 5W-30 berharga RM180 (4L) dan RM55 (1L). Ia turut memenuhi standard API SN Plus terbaharu yang mampu melindungi enjin dari gejala Low-Speed Pre-Ignition (LSPI) pada enjin-enjin turbo dengan sistem suntikan bahan api terus.

    Selain dari pelincir jenis sintetik sepenuhnya, Petronas Syntium turut terdapat dalam jenis separa sintetik Syntium 800 10W-40 berharga RM144 (4L) dan RM40 (1L) serta jenis mineral Syntium 500 5W-30 berharga RM92.00 (4L) dan RM26.00 (1L) – kedua-duanya juga dihasilkan dengan teknologi CoolTech.

    Perasmian produk baharu ini turut disaksikan oleh pemandu Formula 1 Mercedes-AMG Petronas Motorsport, Lewis Hamilton yang baharu sahaja menghabiskan GP Singapura hujung minggu lalu. Pegawai teknologi Petronas Lubricants International, Eris Holthusen juga hadir menyertai majlis ini.

    “Petronas Syntium memainkan peranan yang penting dalam menyejukkan enjin kami dan membolehkan kami mencapai keputusan yang baik di litar. Kerjasama antara organisasi teknikal kami adalah sangat baik, dan ia memberikan kami keyakinan dengan mengetahui bahawa kami mempunyai pelincir terbaik dan boleh diharap. Ini membolehkan kami lebih mudah untuk mencapai sasaran utama dan mencapai keputusan terbaik untuk pasukan di litar,” kata Hamilton.

    Menurut Petronas, Syntium dengan teknologi CoolTech diformulasikan untuk situasi pemanduan moden dan ia dibangunkan dengan rantaian minyak yang kuat bagi melindungi enjin dari kerosakan akibat suhu yang terlalu tinggi, serta mengoptimakan keberkesanan penggunaan bahan api dengan memastikan enjin sentisa dalam suhu yang rendah.

    PLMM kini sedang meluaskan penampilan jenama Petronas di seluruh Malaysia secara agresif, dan jenama berkenaan kini boleh didapati di 1,000 outlet runcit dan 3,000 bengkel persendirian di seluruh negara.

     
     
  • Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 kini tiba di Malaysia – 306 hp/400 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat, harga dari RM349k

    Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 kini tiba di Malaysia – 306 hp/400 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat, harga dari RM349k

    Jika tujuh bulan lalu Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan A-Class Sedan, kini tiba masanya untuk versi yang lebih pantas untuk model berkenaan membuat penampilan secara rasmi. Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran temaptan.

    Ia model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman dan dijual pada harga RM348,888 (atas jalan tidak termasuk insurans); sekitar RM81,000 lebih mahal berbanding varian paling tinggi bagi A-Class Sedan ketika ini, A 250. Jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan turut disediakan.

    A 35 Sedan ini masih mengekalkan unit enjin M260 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, tetapi angka janaannya lebih tinggi; 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan dengan nisbah gearnya ditala untuk memberikan pecutan lebih pantas pada semua kedudukan gear.

    Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 kini tiba di Malaysia – 306 hp/400 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat, harga dari RM349k

    Semua kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 Sedan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Keteguhan kereta ini juga dipertingkat, antaranya dengan penggunaan plat tambahan pada bahagian depannya. Panel aluminium ini yang terletak di bawah enjin, berserta dengan diagonal bracing, meningkatkan ketahanan torsional kereta ini dan memberikan kendalian lebih jitu serta kestabilan yang lebih baik dalam keadaan laju.

    Suspensi menggunakan jenis MacPherson strut di depan – dengan geometri gandar yang unik serta lengan kawalan aluminium ringan. Di belakang pula menggunakan talaan multi-link empat bahagian yang menggunakan komponen dari A 45 sebelum ini. Model tempatan juga akan menerima penyerap hentak adaptif yang datang sebahagian daripada AMG Ride Control, bersekali dengan stereng sport elektro-mekanikal yang sensitiv terhadap kelajuan dan vectoring tork AMG Dynamics ketika membrek.

    Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 kini tiba di Malaysia – 306 hp/400 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat, harga dari RM349k

    Sepadan dengan prestasi yang diberikan, A 34 Sedan ini datang lengkap dengan pakej penggayaan AMG Line, lengkap dengan bukaan udara di depan yang agresif dan skriting sisi yang garang. Wajah depannya juga berbeza dari versi biasa, seperti yang dapat dilihat pada rekaan gril dan kemasan hitam berkilat yang digunakan pada bucu bampar. Di belakang, ada spoiler kecil pada pintu but serta bahagian diffuser yang berbeza yang menempatkan paip ekzos.

    Cakera brek berdiameter 350 mm di depan, manakala 330 mm di belakang. Kaliper monoblok empat-piston digunakan pada brek depan, manakala kaliper piston-tunggal untuk bahagian belakang. Turut ditawarkan ialah AMG Aerodynamic Package, yang datang dengan tambahan antaranya splitter di depan, spoiler belakang yang lebih besar serta bilah diffuser yang lebih menonjol.

    Ruang dalaman masih sama seperti yang pernah dilihat pada A-Class. Ini termasuk panel paparan skrin rata, sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan kawalan suara “Hey Mercedes”. Ruang but juga ada kelebihan berbanding versi hatcback, dengan kapasiti 420 liter.

    Kelengkapan khusus pada A 35 termasuk paparan unik pada kluster instrumen, serta roda stereng AMG Performance yang ditawarkan sebagai pilihan. Stereng yang bawahnya rata ini turut dilengkapi dengan dua bahagian butang kawalan dan satu kawalan rotari untuk mengendalikan pilihan mod pemanduan – Slippery, Comfort, Sport, Sport + and Individual pada sistem AMG Dynamic Select.

    Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah sistem telemetrik AMG Track Pace, yang boleh merakam lebih 80 data khusus kenderaan seperti kelajuan dan pecutan, serta masa untuk pusingan dalam litar. Ia mengandungi litar yang disimpan datanya, seperti Nürburgring and Spa-Francorchamps, yang membolehkan pemandu merekodkan masa pemanduan mereka serta memaparkan garis pemanduan perlumbaan melalui fungsi MBUX Augmented Reality.

     
     
  • Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

    Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

    Selepas beberapa siri teaser dikeluarkan dalam internet, kini akhirnya Honda mendedahkan model baru CRF100L Africa Twin 2020 yang akan pertama sekali memasuki pasaran Eropah pada tahun ini juga. Sama seperti sebelum ini, terdapat dua versi untuk model ini iaitu Africa Twin (standard) dan juga Africa Twin Adventure Sports.

    Jika sebelum ini versi standard lebih kepada model asas untuk kegunaan atas jalan biasa dan Adventure Sports mempunyai kelengkapan yang lebih kepada offroad, model baru ini pula menjadikan versi standard lebih kepada tunggangan offroad manakala versi Adventure Sports lebih kepada untuk perjalanan jauh.

    Melihat terlebih dahulu kepada versi standard Africa Twin, ia mempunyai badan yang lebih kompak, dengan perubahan paling jelas adalah bahagian lampu LED dengan DRL yang boleh laras sendiri mengikut cahaya sekeliling. Penghadang angin hadapan adalah pendek dan tidak boleh dilaras, pemegang lebih tinggi 22.5 mm dan tinggi tempat duduk masih lagi 850-870 mm.

    Selain rupa, bahagian enjin Africa Twin 2020 juga ditingkatkan dari 998 cc kepada 1,084 cc. Enjin dua silinder selari SOHC ini sekarang mampu menghasilkan 100 hp pada 7,500 rpm (+6 hp) dan 105 Nm tork pada 6,250 rpm (+6 Nm). Bergantung pada transmisi, enjin ini lebih ringan hingga 2.5 kg.

    Sama seperti sebelum ini, Africa Twin boleh didapati dengan transmisi DCT enam kelajuan atau manual enam kelajuan. Untuk transmisi DCT, terdapat empat mod iaitu MT (manual sepenuhnya), D (biasa), S (sport) dan G (untuk offroad). Satu penambahan baru untuk Africa Twin 2020 adalah transmisi DCT padanya disambungkan kepada IMU untuk menyesuaikan penukaran gear waktu mengambil selekoh.

    IMU yang boleh mengenal pasti gerak geri motosikal ini adalah satu ciri baru pada Africa Twin 2020, dan ia juga disambungkan kepada sistem kawalan cengkaman, Cornering ABS, Wheelie Control dan Rear Lift Control. Mod tunggangan yang disediakan untuk motosikal ini ada empat iaitu Tour, Urban, Gravel dan Offroad, dan ia ditambah dengan dua lagi mod yang boleh diubah suai mengikut kegemaran penunggang.

    Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

    Satu lagi pembaharuan penting pada Africa Twin adalah panel meter yang menggunakan skrin sesentuh TFT 6.5 inci berwarna penuh. Selain memaparkan informasi berkenaan motosikal, penunggang juga boleh melakukan pelarasan dengan menyentuh skrin ini, selain ia boleh disambungkan dengan Apple CarPlay, Bluetooth dan navigasi. Cruise control didatangkan standard.

    Kelengkapan lain Africa Twin adalah rim 21 inci serta fork Showa 45 mm boleh laras di hadapan (jarak gerak 230 mm), rim 18 inci dengan penyerap Showa boleh laras di belakang (jarak gerak 220 mm), berat keseluruhan 226 kg dan tangki bahan api 18.8 liter.

    Selain mendapat pembaharuan seperti versi standard, versi Adventure Sports yang mempunyai peranan lebih kepada tunggangan jarak jauh ditambah dengan penghadang angin lebih tinggi dan boleh laras, tangki bahan api 24.8 liter, panel pelindung angin tambahan, pelindung enjin lebih lebar, tapak barangan aluminium serta rim dan tayar tanpa tiub.

    Walaubagaimanapun, satu ciri yang lebih menarik adalah ia didatangkan dengan pilihan suspensi elektronik Showa EERA yang mempunyai empat mod asas iaitu Soft, Mid, Hard dan Offroad, dan kemudiannya ditambah dengan satu lagi mod User untuk pelarasan khas penunggang. Input daripada IMU turut digunakan untuk menyesuaikan suspensi ini dengan keadaan jalan. Sekiranya tidak mahu menambah wang untuk suspensi ini, pemilik akan menerima suspensi sama seperti versi standard.

     
     
  • Proton masih kekal sebagai pengeluar kereta OEM yang pertama dan satu-satunya di M’sia – Faisal Albar

    Proton masih kekal sebagai pengeluar kereta OEM yang pertama dan satu-satunya di M’sia – Faisal Albar

    Pengeluar kereta pertama nasional, Proton, buat masa ini masih kekal sebagai pengeluar kereta OEM yang pertama dan satu-satunya di negara ini, ujar pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar. Beliau berkata, perkara ini akan kekal pada masa akan datang.

    Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran penjenamaan baharu Proton, katanya, walau pun Proton X70 asalnya adalah model Geely Boyue, namun Proton tidak hanya akan rebadge mana-mana model daripada jenama China terbabit.

    “Proton akan tetap merekabentuk dan mengeluarkan modelnya yang tersendiri, dengan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terus memainkan peranannya dalam membangunkan model-model Proton pada masa akan datang,” ujarnya.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak memaklumkan model yang dirancangkan untuk masa akan datang. Buat masa ini, Proton dibarisi model yang dibangunkan sepenuhnya seperti Saga, Persona, Iriz dan Exora yang masih dijual di pasaran. Keempat-empat model terbabit telah pun melancarkan model facelift masing-masing pada tahun ini.

    Ketika perjanjian kerjasama diumumkan buat pertama kali, ia dilaporkan bahawa unit R&D Proton akan ditukar menjadi salah satu pusat kecemerlangan Geely di peringkat global, membolehkannya membangunkan model baharu di masa akan datang. Malahan kilang pemasangan di Tanjung Malim juga digunakan untuk membangunkan model pemanduan sebelah-kanan (RHD) bagi model Geely untuk tujuan eksport, serta bakal menjadi hab R&D untuk produksi RHD.

     
     
  • JPJ KL lelong 100 buah kenderaan sita pada 9 Okt ini

    JPJ KL lelong 100 buah kenderaan sita pada 9 Okt ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur (JPJ KL) telah memaklumkan bakal menganjurkan siri kedua bagi satu lelongan awam yang melibatkan 100 buah kenderaan sita pelbagai jenis pada 9 Oktober ini di Dewan Merpati.

    Menurut pengarahnya, Datuk Ismail Zawawi, lelongan tersebut membabitkan 66 buah kereta dan 34 motosikal yang sebelum ini disita atas pelbagai kesalahan termasuk dikategorikan sebagai klon.

    “Orang ramai yang berminat terlibat dalam lelongan sebelum itu boleh hadir untuk membeli Dokumen Buku Lelong pada 25 September hingga 8 Oktober di Unit Kewangan JPJ WPKL bermula 8.30 pagi hingga 4 petang. Pemeriksaan awam kenderaan sita akan dibuat pada 7 hingga 8 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga 3.30 petang,” ujarnya menerusi laporan Bernama.

    Antara kenderaan yang akan dilelong dalam lelongan awam ini termasuk kereta jenama Honda Jazz, Toyota Wish, Mitsubishi Lancer dan motosikal Honda Wave. Jumlah kenderaan yang dilelong ini merupakan antara 344 buah kenderaan yang telah disita pihak JPJ WPKL bermula awal tahun ini hingga Ogos.

    Tambahnya lagi, pihaknya mensasarkan kutipan sehingga RM1 juta diperolehi menyamai lelongan awam pada siri pertama April lalu. Sejumlah RM1,053,250 jumlah kutipan kenderaan sita berjaya direkodkan pada siri pertama membabitkan 101 buah kenderaan.

     
     
  • Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

    Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

    Hari ini mencatatkan satu lagi perkembangan penting untuk Proton. Tidak sekadar ingin berpuas hati dengan prestasi jualan yang positif seperti yang ditujukkan sejak SUV X70 diperkenalkan kira-kira setahun lalu, Proton mengorak satu lagi langkah dalam menjadikan jenama ini lebih kukuh dan semakin maju ke hadapan.

    Di dalam satu majlis khusus hari ini, Proton berkongsi arah tuju dan imej baru jenama itu yang ingin di bawa selepas ini – dengan pengenalan logo serta slogan terbaru sebagai memaknai perubahan yang sedang dialaminya kini.

    Logo baru Proton masih mengekalkan ikon harimau sebagai teras utamanya, kali ini dengan visual “logam” yang masih mengekalkan iras logo lama, tetapi dengan sentuhan lebih tajam, kemas serta elegan. Sementara slogannya pula kini diubah kepada “Inspiring Connections”, atau boleh kita terjemahkan kepada “Mengilhami Perhubungan”.

    Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

    Tetapi, ini bukanlah kali pertama Proton menukar penampilan logonya. Sejak kelahiran jenama ini dengan pengenalan model Saga pada 1985 dahulu, kita telah menyaksikan lima loga lain sebelum pengenalan logo terbaru hari ini. Pada 1985, Proton muncul dengan logo “Bulan dan Bintang 14 Bucu”, tidak lain yang diambil dari bendera Malaysia sendiri yang melambangkan 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk negara tercinta ini.

    “Bulan dan Bintang” berkenaan kemudiannya diletakkan di dalam ruang segi empat, dan dilengkapi luarannya dengan rekaan buku panjang ke bawah ala potongan mutiara – semua unsur yang digunakan ini sangat dekat dan mencerminkan keperibadian warga Malaysia. Ia kemudiannya disudahi dengan slogan “Pride of The Nation”, atau boleh diterjemahkan sebagai “Kebanggaan Negara”.

    Perubahan pertama logo Proton dilakukan pada tahun 1993 pada model Wira. Walaupun masih kekal dengan unsur utama “Bulan dan Bintang” yang sama, ia menjadi lebih ringkas. Tiada lagi potongan ala mutiara yang memanjang ke bawah, dan “Bulan dan Bintang” itu dibendung di dalam rekaan dengan bentuk umum seolah-olah trapezoid sahaja, dan bukan lagi bentuk segi empat. Slogan bagaimanapun masih dikekalkan seperti sebelumnya.

    Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

    Tujuh tahun lamanya Proton menggunakan rekaan logo itu. Menjelang peralihan tahun millenium 2000, barulah logo berkenaan diberikan nafas baru, agaknya sebagai menandai kemasukan kita ke alaf baru ketika itu. Dan, inilah kali pertama “bulan dan bintang” digugurkan dari logo Proton – yang ketika itu diberi kritikan yang keras juga kerana sebahagian masyarakat menyatakan tergamak Proton menggugurkan penggunaan lambang “Islam” dan menggantikannya dengan lambang haiwan; harimau. Padahal, seperti yang dinyatakan tadi, lambang “bulan bintang” itu datangnya dari bendera Malaysia.

    Ia menggunakan wajah harimau (Harimau Malaya?) yang sinonim dengan Malaysia sebagai teras utama. Nama Proton diletakkan di atas bulatan harimau terbabit, dan semua ini dirampungkan di dalam satu lingkaran emas (seakan bentuk pick gitar). Dan, slogannya juga pertama kali ditukar, ketika itu menjadi “Spirit of Achievement” atau boleh diterjemah kepada “Semangat Pencapaian” – boleh kita lihat antaranya mula digunakan oleh model Waja.

    Bentuk lingkaran yang sama serta kepala harimau ini kemudiannya dikekalkan sehingga logo terakhir Proton sebelum penegenalan versi terbarunya hari ini. Logo berkenaan bertahan selama lapan tahun sebelum dirombak semula, ketika pengenalan model Saga BLM pada 2008. Ketika itu, tiada lagi gandingan warna emas-hijau-biru digunakan.

    Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

    Ia diganti dengan warna hitam dan perak sahaja – monotone, tetapi lebih kemas. Kepala harimau juga diberikan sedikit sentuhan untuk menjadikannya lebih menonjol. Ia juga hadir dengan slogan “Commited to be Better” atau “Kesungguhan Untuk Menjadi Lebih Baik”. Logo ini kekal digunakan untuk tempoh lapan tahun selepas itu.

    Kali terakhir logo Proton diubah ialah pada tahun 2016, ketika itu pertama kali dengan pengenalan Proton Perdana yang di”rebadge” dari Honda Accord generasi ke-8. Ketika itu, nama Proton di atas kepala harimau pula dibuang, kemudian lingkaran dan garis warna perak yang digunakan itu dijadikan lebih tebal dengan kesan visual 3D diterapkan pada keseluruhan logo. Hasilnya, bahagian kepala harimau itu menjadi lebih besar dan menonjol. Dan, slogan yang digunakan; “It’s in the Drive!” atau “Segalanya tentang Pemanduan!”

    Logo dan slogan berkenaan menjadi yang paling singkat digunakan; hanya untuk tempoh tiga tahun sahaja. Hari ini, Proton memperkenalkan logo baru – yang nampak lebih kemas dan elegan, seperti yang mula kita lihat hari ini, dan akan digunakan pada model-model akan datang Proton yang bakal diperkenalkan nanti. Bagi anda, logo yang mana satu lebih menarik dan bermakna?

     
     
  • Proton lancar logo baharu, slogan terkini ‘Inspiring Connection’ – misi capai standard antarabangsa

    Proton lancar logo baharu, slogan terkini ‘Inspiring Connection’ – misi capai standard antarabangsa

    Dengan misi mahu lebih ke hadapan serta mencapai standard antarabangsa dalam industri automotif, Proton telah pun melancarkan logo dan slogan baharu. Pengenalan terhadap logo terbaharu ini merupakan yang ke-enam bagi Proton sejak tahun 1985.

    Masih mengekalkan lambang harimau, logo baharu ini lebih diperkemaskinikan dengan sentuhan warna perak (silver) dengan perkataan Proton tertera di bawahnya. Ia direka dengan bentuk yang lebih unik, logo yang memaparkan kepala harimau yang diangkat lebih tinggi, seperti anak panah, yang melambangkan kejayaan Proton untuk terus maju ke hadapan.

    Malah pengenalan slogan terkini Proton, ‘Inspiring Connections’, ternyata senada dengan logo baharu. Menurut Proton, slogan tersebut menggambarkan aspirasi jenama automotif pertama negara ini dengan menggunapakai teknologi dan mobiliti bagi mewujudkan hubungan kemanusiaan yang memberikan inspirasi kejayaan dalam kehidupan.

    Proton turut mengesahkan, kedua-dua logo dan slogan ini akan mula dipakai untuk model SUV X70 versi CKD yang bakal diperkenalkan pada suku ke-empat 2019. Malah untuk barisan model Proton yang sedia ada seperti Iriz, Saga, Persona dan Exora, logo baharu ini akan digunapakai apabila model terbabit dipertingkatkan. Selain itu, semua penjenamaan Proton termasuk pada pusat 3S/4S juga akan mengguna pakai logo dan slogan baharu ini.

    Proton lancar logo baharu, slogan terkini ‘Inspiring Connection’ – misi capai standard antarabangsa

    Menurut Proton, penjenamaan baharu ini dipacu oleh tiga nilai teras iaitu teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa. Mengulas lebih lanjut mengenai nilai teras ini, ‘teknologi inovatif’ bermaksud Proton komited menggunapakai dan mempersiapkan produknya dengan teknologi paling inovatif yang ada, dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat global dan platform Geely INTEC yang maju.

    Manakala ‘kebolehpercayaan’ pula untuk menarik perhatian para pelanggan bagi terus menyakini produk dan perkhidmatan Proton termasuk perkhidmatan selepas jualan. Untuk ‘antarabangsa’ pula, ia seiring sejalan dengan cita-cita Proton untuk menjadi jenama global yang unggul dan salah satu daripada tiga pengeluar automotif terbaik di rantau ASEAN.

    “Bagi kami, penjenamaan bukan sekadar logo, slogan atau warna. Ia melambangkan aspirasi Proton, dan inilah komitmen kami kepada para pelanggan. Sebab itulah kami tidak tergesa-gesa melancarkan penjenamaan baharu ini sewaktu permulaan perjalanan kami pada tahun 2017. Sebaliknya, kami memfokuskan segala usaha kami untuk menyelesaikan pelbagai isu pelanggan, mewujudkan produk yang lebih baik, meningkatkan rangkaian wakil penjual dan membina semula kepercayaan para pelanggan,” ujar Dr.Li Chungrong, CEO Proton Holdings Bhd

    Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton Holdings Bhd, pula berkata, “Industri automotif moden, sebagaimana industri lain hari ini, harus menggunakan pemikiran global dan antarabangsa. Kerjasama, rangkaian bekalan, piawaian dan bakat global. Inilah apa yang akan terus Proton lakukan. Dan kami berbangga dengan evolusi ini, ia mampu membawa kami ke peringkat yang lebih tinggi.”

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla 1.8G 2019 vs Altis 2018

    Minggu lalu, Toyota Corolla 2019 telah mula muncul di bilik pameran, dan kami telah pun bawakan galeri penuh serta penawaran spesifikasinya untuk tatapan anda. Kali ini, kami tampilkan pula model generasi ke-11 yang bakal digantikan oleh terbaru ini – dari generasi ke-12 – untuk anda lihat perbezaan antara kedua-duanya.

    Pertama sekali, namanya telah berubah. Corolla merupakan satu nama yang sangat dikenali diperingkat global. UMWT juga akan menggugurkan penjenamaan Altis dari material pemasaran model terbaru ini; sebuah nama yang digunakan untuk kereta segmen C berkenaan dipasaran Asia Tenggara sejak generasi kesembilan lagi. Namun, lencana Altis masih akan dikekalkan pada kereta ini – tambahan ia dibawa masuk secara CBU di Thailand.

    Di dalam artikel ini, gambar-gambar Corolla terbaru akan diletakkan di kiri, manakala Altis sedia ada di sebelah kanan. Dari wajah depan sahaja sudah menampakkan kesegaran dan kekemasan yang ditampilkan pada Corolla versi baru ini – kemasan krom yang sampai ke bahagian lampu utamanya yang kini LED. Ada iras Camry terbaru yang dibawakan pada Corolla terkini.

    Sudut sisi pada bahagian bawah bampar pula diberikan bucu bersegi dengan kemasan krom, menampakkannya lebih lebar. Versi lama hadir dengan jalur bukaan udara yang lebih panjang ke tepi; kedua-duanya lengkap dengan lampu kabus halogen bulat. Lip bawah juga lebih halus dan kemas.

    Bahagian sisi, ada dua perbezaan ketara. Cermin sisi kini diletakkan pada bahagian pintu dan bukannya pada tingkap – rekaan cermin sisi baru ini juga lebih kecil, bahagian atasnya disudahi dengan kemasan krom. Selain itu, garis bahu pada pintu juga berbeza, kini tidak lagi sebaris dengan pemegang pintu krom yang digunakan.

    Tiang C juga tampil dengan bentuk yang lebih sekata, dengan pintu belakang juga tidak lagi selari dengan lengkuk yang sama dengan bahagian tayar. Lain-lain perbezaan ialah rim aloi 17-inci dua-tona yang digunakan; rekaannya nampak sama, tetapi ada kelainan diberikan berbanding rim pada model 2.0V sebelum ini.

    Di belakang, lampu 3D LED menerima kombinasi perumah merah-putih yang sama, tetapi di’terbalikkan’ untuk mendapatkan bentuk L bagi seksyen merahnya, memberikan imej yang lebih unik. Bahagian lampu itu juga diberikan kemasan krom dan menampakkan kereta ini menjadi lebih lebar. Bukaan ruang but pula lebih bersegi, dengan lencana Altis diturunkan ke bawah lampu kiri. Bampar belakang juga baru – dengan empat sensor serta dua pemantul cahaya.

    Di dalam, rekaan yang diberikan lebih lapang dan tersusun kemas berbanding sebelumnya. Stereng kini menggunakan jenis tiga jejari, balutan kulit. Panel instrumen Optitron dengan paparan tujuh-inci TFT LCD, rekaan corong pendingin hawa asimetrikal serta penggunaan skrin apung ditengah konsol. Di tengah tempat duduk, ada kemudahan pengecas tanpa wayar Qi disediakan, tombol gear yang lebih moden, suis brek parkir elektronik, dua ruang pemegang cawan dan ruang simpanan pada pintu yang lebih besar serta butang mod Sport tersedia.

    Tempat duduk depan dan belakang pula hadir dengan rekaan baru yang lebih lebar dan panjang, serta gabungan material campuran – untuk memberikan lebih keselesaan. Kerusi belakang juga lebih “dalam” untuk menyokong badan penumpang dengan lebih berkesan. Tambahan baru lainnya ialah seperti corong pendingin udara di tengah bahagian belakang, perehat lengan bersepadu di tengah dengan dua pemegang cawan serta tirai penghadang manual.

    Tidak seperti Corola generasi ke-11, model baru generasi ke-12 ini akan ditawarkan hanya dengan satu pilihan enjin 2ZR-FE 1.8 liter NA Dual VVT-i empat silinder petrol, menghasilkan 139 PS pada 6,000 rpm dan 172 Nm tork pada 4,000 rpm. Seperti sebelumnya, ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan mod Shiftmatic dengan tujuh nisbah maya, pacuan ke roda hadapan.

    Suspensi belakang juga telah dipertingkat kepada unit double wishbone berbanding torsion beam dahulu. Kelengkapan standard antara lain terdiri daripada lampu utama halogen automatik dengan DRL LED dan lampu belakang LED, rim 16-inci, sistem tanpa kunci, butang Start, cermin utama akustik, sistem pendingin zon tunggal, tempat duduk pemandu larasan lapan-arah, balutan fabrik, sistem DVD infotainmen dengan skrin 6.8-inci, enam pembesar suara dan pam tayar mudah alih.

    Varian 1.8 G yang lebih tinggi pula ditambah dengan lampu LED, cermin sisi yang turun apabila mengundur, pengelap cermin automatik, pengawal suhu dua zon, panel instrumen Optitron dengan skrin TFT LCD tujuh inci, tempat duduk balutan kulit, penghalang cahaya cermin belakang, pengecas telefon Qi tanpa wayar, brek parkir elektronik dan rim 17 inci.

    Untuk aspek keselamatan, semua varian mendapat tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang dan sistem pemerhati tekanan angin tayar. Tetapi, varian 1.8 G yang lebih tinggi pula mendapat pakej bantuan pemandu penuh Toyota Safety Sense yang termasuk Autonomous Emergency Braking, All-speed Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitoring dan lampu tinggi automatik.

    Varian ini juga diberikan sistem kamera “3D” 360 darjah serta perakam video depan dan belakang (dijual secara berasingan untuk varian 1.8 E pada harga masing-masing RM2,700 dan RM1,100). Turut ditawarkan adalah sistem telematik kenderaan pada harga RM1,700, yang termasuk langganan selama dua tahun berharga RM250 setahun. Jadi, macam mana? Boleh lawan Civic dan Mazda 3?

    Malaysia akan menerima dua varian Corolla 2019 iaitu 1.8E dengan harga anggaran RM128,888 dan 1.8G pada harga anggaran RM136,888.

    Toyota Corolla 1.8G 2019

    Toyota Altis 1.8G 2018

     
     
  • TVS NTorq 125 Race Edition – penampilan lebih sporty

    TVS NTorq 125 Race Edition – penampilan lebih sporty

    Syarikat TVS Motorcycle dari India yang mempunyai kerjasama dengan BMW untuk penghasilan model siri G310 kini melancarkan satu versi sport bagi skuter NTorq 125 mereka, yang dinamakan sebagai NTorq 125 Race Edition.

    Kalau dibandingkan dengan model standard yang dilancarkan Februari tahun lepas, NTorq 125 Race Edition ini lebih ranggi dengan bahagian hadapan yang menggunakan lampu LED berbentuk unik, pelekat corak gentian karbon serta kombinasi warna badan hitam dan merah.

    Walaupun nampak seperti skuter biasa, NTorq 125 sebenarnya mempunyai ciri canggih, iaitu boleh disambung secara Bluetooth dengan telefon pintar, seterusnya informasi seperti notifikasi panggilan, mesej dan kadar bateri boleh dipaparkan pada panel meter digital motosikal ini.

    Bukan itu sahaja, sebenarnya meter digital penuh pada motosikal ini mempunyai pelbagai lagi fungsi termasuk paparan mod Street dan Sport, statistik pusingan litar terbaik, bantuan navigasi dan lokasi terakhir ia diletakkan. Untuk pengalaman yang lebih memuaskan, aplikasi khas yang perlu dimuat turun di telefon pintar juga disediakan untuk pengguna skuter ini.

    Ntorq 125 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 124.79 cc OHC, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 PS pada 7,500 rpm dan 10.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Harga jualannya bagi model standard di India bermula daripada Rs 58,750 (RM3,582) manakala model sport ini berharga Rs 69,475 (RM4,117).

     
     
  • Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

    Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

    Rasanya, rata-rata yang pakai kereta tahu akan satu perkara yang telah berpindah dari mulut ke mulut – setiap tayar yang kita beli, ada tarikh luputnya iaitu sekitar lima ke enam tahun dari tarikh pembuatannya yang boleh kita periksa menerusi tarikh yang di cop pada dinding sisi setiap tayar berkenaan. Betul ke fakta ni? Artikel ini akan kami kupas apa mitos dan apa yang tidak berkenaan isu tersebut.

    Memang benar, setiap tayar yang dibuat akan menerima cop tarikh yang terletak pada sisi tayar berkenaan. Cop tersebut dikenali sebagai kod DOT (Department of Transportation), dan tarikh tayar berkenaan dibuat boleh anda ketahui menerusi empat digit kod yang tertera.

    Contoh jika ia tertulis ‘4418’, ia bermaksud tayar itu dibuat pada minggu ke-44 pada tahun 2018, atau sekitar Oktober 2018. Jika anda terjumpa tayar dengan kod DOT hanya tiga digit, itu bermaksud tayar berkenaan dibuat sebelum tahun 2000.

    Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

    btrhdr

    Jadi, betul ke jika tayar baru dan belum digunakan tersebut yang telah berusia sekitar 2 hingga 3 tahun dalam stor boleh kita klasifikasikan sebagai tayar ‘expired’? Menurut Persatuan Pengeluar Getah Amerika Syarikat (RMA), mereka sendiri tidak mempunyai satu standard bagi menetapkan tarikh luput satu-satu tayar, kerana kerosakan setiap tayar adalah bergantung pada pelbagai faktor antaranya suhu, beban, tekanan tayar, kelajuan dan sebagainya.

    Jadi untuk ‘menghukum’ sesebuah tayar itu sebagai sudah luput hanya kerana disimpan selama tiga tahun di dalam stor adalah tidak patut. Ini kerana tayar berkenaan belum lagi dikenakan suhu tinggi, diberikan beban, mahupun diisi dengan angin tekanan tayar yang boleh menyebabkan ia rosak.

    Walau bagaimanapun, Persatuan Pengeluar Getah British (BRMA) pula mengesyorkan bahawa tayar yang baharu dan tidak digunakan dalam masa lebih enam tahun tidak patut untuk digunakan lagi, manakala semua tayar perlu ditukar sekiranya ia telah mencapai usia 10 tahun dari tarikh pengeluaran.

    Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

    Manakala pengeluar tayar Perancis, Michelin pula menyifatkan bahawa tayar bukan seperti buah pisang yang akan rosak sendiri walaupun tidak disentuh. Menurut Michelin, ‘tarikh luput’ sesebuah tayar itu sebenarnya perlu dianggar sejak hari pertama ia digunakan pada kereta, dan bukan bergantung pada tarikh pengeluarannya semata-mata.

    Ini kerana tayar berkenaan akan mula ‘diasak’ dengan faktor-faktor yang disebutkan tadi sejak ia mula digunakan, dan bukan ketika ia disimpan.

    Sebaik sahaja tayar tersebut disarungkan pada rim, ia mula diberikan tekanan angin, dan kemudian akan menerima asakan lain seperti berhenti dan bergerak semula, memecut, bergerak pada kelajuan tinggi, melalui permukaan yang lasak, melanggar objek tajam, diberikan beban tinggi, mengharungi cuaca buruk dan pelbagai lagi. Malah jika kereta tersebut tidak bergerak, tayar masih lagi perlu menanggung berat dari kereta berkenaan.

    Michelin tidak mengeluarkan fakta ini hanya dengan cakap kosong, malah mereka sebenarnya telah melakukan kajian di tiga negara berbeza berkenaan perkara ini. Menerusi kajian yang dilakukan di Jerman, Korea dan Arab Saudi tersebut, jelas menunjukkan bahawa tayar yang disimpan selama tiga tahun mempunyai prestasi yang sama dengan tayar yang baharu sahaja keluar dari kilang.

    Tayar baru yang disimpan lama boleh rosak sendiri?

    Secara spesifik, kajian yang dijalankan di Arab Saudi menunjukkan tayar yang telah digunakan selama satu tahun pada kereta, adalah sama keadaannya dengan tayar yang telah disimpan dan tidak pernah digunakan selama 10 tahun. Untuk karekteristik pada getah tayar pula, sata-satu tayar berkenaan perlu disimpan selama 20 tahun dengan suhu 40 darjah selsius bagi menjadikannya sama dengan karekter pada tayar yang telah digunakan sejauh 40,000 km, menunjukkan bahawa keadaan getah tersebut akan lebih cepat rosak jika digunakan dan bukan ketika disimpan dengan betul.

    Untuk ujian di Korea, Michelin melakukan perbandingan tayar yang baharu saja keluar dari kilang dan tayar yang di simpan selama tiga tahun dalam ujian kelajuan tinggi dan kelajuan berperingkat. Manakala di Jerman pula dua jenis tayar yang sama tersebut diuji dari aspek rintangan golekan – hasil dari ujian di dua negara berkenaan menunjukkan kedua-dua jenis tayar tersebut menunjukkan hasil yang sama tanpa apa-apa perbezaan. Namun Michelin bersetuju dengan pendapat BRMA bahawa tayar yang berusia 10-tahun perlu ditukar dan dilupuskan.

    Baru-baru ini, tular lagi satu hantaran di media sosial yang mengatakan bahawa jika tayar baharu yang disimpan oleh kedai tayar dengan usia sekitar 2-3 tahun, sudah boleh dianggap expired dan kita perlu minta diskaun dari kedai. Selepas membaca penerangan di atas, adakah anda rasa ia relevan? Pernahkah anda minta lebih diskaun untuk sebuku roti yang tarikh luput lagi tiga hari berbanding roti dengan tarikh luput lagi lima hari?

    Anda tak perlu gusar sebenarnya jika tayar tersebut sudah berada tiga tahun dalam stor tanpa digunakan kerana prestasinya masih sama dengan tayar yang baru keluar kilang semalam. Kalau ada kedai yang menjalankan promosi untuk menghabiskan stok yang berusia tiga tahun dengan menjualnya pada harga lebih murah dari biasa, jangan risau untuk membelinya kerana ini peluang anda untuk berjimat.

    Yang perlu anda ambil perhatian terhadap kod DOT ini adalah jika anda membeli tayar terpakai (kami tidak menggalakkan kerana tayar melibatkan keselamatan yang tinggi). Walaupun kita tahu bila tayar terpakai itu di kilangkan, tapi kita tidak tahu bila ia mula digunakan oleh pemilik asal.

    Anda mungkin mudah untuk menjumpai tayar terpakai dengan bunga tayar yang masih tebal, tapi untuk mendapatkan tayar terpakai dengan tarikh pengeluaran yang masih lagi baharu adalah sangat sukar. Tambahan pula, tayar terpakai ini biasanya tidak disimpan dengan betul oleh penjual – ia dilonggokkan pada pusat pengumpulan, dan ada juga penjual yang hanya meletakkannya di luar kedai dan bukan di tempat yang tersusun di dalam stor.

    Dan yang paling penting sekali, anda perlulah sentiasa memeriksa sendiri keadaan tayar anda setiap masa. Bagi mereka yang mempunyai sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS) pada kereta, anda perlu sentiasa peka dengan maklumat yang diberikan. Jika tidak ada, kalau boleh periksa tekanan angin tayar setiap minggu, dalam masa yang sama periksa keadaan tayar sama ada bunga masih tebal atau tidak, ia makan sekata atau tidak dan adakah tekanan selalu turun mendadak atau tidak.

     
     
  • Honda Supra GTR150 2020 – RS150R diperbaharui di Indonesia, berbeza berbanding Winner X di Vietnam

    Honda Supra GTR150 2020 – RS150R diperbaharui di Indonesia, berbeza berbanding Winner X di Vietnam

    Selepas Honda Winner X dilancarkan di Vietnam, negara lain juga tertunggu-tunggu bila model baru ini akan masuk ke pasaran masing-masing, termasuklah Indonesia. Namun, lain yang ditunggu, lain pula yang tiba. Semalam pengedar motosikal Honda di negara itu melancarkan versi facelift bagi Supra GTR150, atau juga dikenali di negara kita sebagai RS150R.

    Sementara Winner X menunjukkan perubahan yang jelas pada keseluruhan rekaannya berbanding RS150R, Supra GTR150 facelift ini pula menampilkan beberapa perubahan kecil dan masih menampakkan ia adalah sebuah RS150R. Cumanya, perubahan tersebut dikatakan sebagai menjadikan model ini lebih sporty.

    Bahagian perumbah lampu hadapannya kini mempunyai rekaan yang sedikit berbeza, manakala lampu belakangnya diubah menjadi lebih kecil dan lampu penunjuk arah diletakkan berasingan di bawah. Bahagian meter juga diubah dengan kini menggunakan unit digital dan tiada lagi penunjuk rpm jenis analog seperti model sebelumnya.

    Selain daripada itu, semua ciri motosikal ini masih lagi sama seperti RS150R iaitu dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api PGM-Fi satu silinder 149.16 cc DOHC, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan 16.3 PS pada 9,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Pada bahagian hadapan terdapat fork teleskopik, tayar 90/80 serta brek cakera manakala di belakang pula terdapat monoshock, tayar 120/70 dan brek cakera. Rim adalah unit 17 inci dan motosikal ini datang dengan tangki bahan api 4.5 liter. Supra GTR150 facelift ini ditawarkan dalam empat warna di Indonesia, dengan harga 22.5 juta Rupiah (RM6,700).

     
     
  • Yamaha R15 Monster 2019 – grafik baru, RM12,618

    Selepas memperkenalkan Yamaha 135 LC SE 2019 dengan grafik khas yang lebih segar minggu lalu, Hong Leong Yamaha kali ini memperkenalkan pula model YZF-R15 Monster 2019. Versi ini adalah sempena memperingati penglibatan Yamaha di dalam Kejuaraan MotoGP.

    Ia hadir dengan rekaan grafik terbaru yang merujuk kepada rekaan sebenar pada jentera lumba sebenar Yamaha Factory Racing YZF-M1 Race Blue yang ditunggang oleh Valentino Rossi dan Maverick Vinales di dalam perlumbaan musim 2019.

    Pemilik motosikal edisi terhad ini juga akan menerima sijil pemilikan yang memaparkan perincian enjin serta casis motosikal berkenaan. Harga cadangan tidak termasuk cukai jalan, nombor plat serta insurans untuk motosikal ini ialah RM12,618. Motosikal ini akan mula berada dikedai-kedai atau cawangan jualan Yamaha bermula esok.

     
     
  • Jualan Kia Stinger tak seperti diharapkan – ketua pereka gusar ia jejaskan model generasi seterusnya

    Jualan Kia Stinger tak seperti diharapkan – ketua pereka gusar ia jejaskan model generasi seterusnya

    Pasti ramai yang terpaut dengan Kia Stinger bukan? Sedan besar dari Korea tersebut bukan sahaja menampilkan rekaan yang begitu mendebarkan, malah ia turut dijana oleh enjin yang agak berkuasa. Namun walaupun dilihat mempunyai pakej yang begitu padu, Kia mengakui bahawa jualan kereta pacuan belakang berkenaan tidak begitu memberangsangkan, dan ini mungkin akan menjejaskan model generasi berikutnya.

    “Pada ketika ini saya tidak pasti adakah ia sebaik seperti mana yang kami harapkan. Kami benar-benar tidak mengharapkan ia terjual dalam jumlah yang besar,” kata naib presiden dan ketua pereka senior studio rekaan Kia di Jerman, Gregory Guillaume kepada Autocar ketika berlangsungnya acara IAA di Frankfurt baru-baru ini.

    “Ia adalah kereta halo, kami mahu ia berjaya sekurang-kurangnya di Amerika, iaitu pasaran yang kami rasa ada peluang untuk berjaya. Kami mempunyai harapan yang tinggi untuk pasaran tersebut dan ia sangat sukar untuk dimulakan pada segmen sebegitu,” tambahnya lagi, yang juga berharap Kia akan memberikan Stinger satu lagi peluang kerana untuk dikenali dalam segmen tersebut sememangnya memerlukan masa.

    Jualan Kia Stinger tak seperti diharapkan – ketua pereka gusar ia jejaskan model generasi seterusnya

    “Karier saya bermula di Audi. Saya masih ingat… Audi A8 perlukan tiga generasi bagi dilihat sama taraf dengan (BMW) 7 Series atau (Mercedes-Benz) S-Class. Anda perlu bersabar. Jika anda masuk ke segmen (sama ada) ia premium ada model imej, anda perlu berikan masa sedikit.

    “Syarikat perlu bersedia untuk memahaminya. Saya rasa kami perlu terus masuk ke pasaran sedan yang semakin lama semakin sukar di seluruh dunia,” katanya lagi dan menjelaskan rupa dan prestasi Stinger bukanlah masalah utama, tetapi kedudukannya dalam pasaran sebagai model halo dan juga harga yang menjadi punca.

    Guillaume mempunyai hubungan istimewa dengan Stinger kerana dia dan pasukannya yang membawa model tersebut ke dunia realiti. “Stinger merupakan kereta dengan rekaan Eropah. Sejak dari mula sehingga ke peringkat konsep ianya dari kami, idea untuk menghasilkan kereta sedemikian adalah dari kami, dan kami bersamanya sepanjang perjalanan. Ia benar-benar bayi kami dan kami yang paling bangga dengannya,” jelasnya.

    Jualan Kia Stinger tak seperti diharapkan – ketua pereka gusar ia jejaskan model generasi seterusnya

    Autocar turut bertanya adakah Stinger akan dihasilkan untuk generasi seterusnya? Jawab Guillaume, “kami perlu lihat Stinger diteruskan – pertama sekali jika ia diteruskan, saya sangat berharap – dan jika kami fikir ini adalah format yang perlu disambung pada masa akan datang.”

    Adakah Stinger selepas ini akan menggunakan kuasa elektrik? “Seperti yang anda tahu banyak yang telah menerima teknologi elektrik, jadi mungkin Stinger akan berubah kepada sesuatu yang lain. Saya pun tak tahu. Kita belum sampai lagi di situ. Kami perlukan sedikit masa,” tambahnya.

    Kia Stinger telah pun masuk ke pasaran Malaysia pada Julai tahun lalu, hadir dengan dua varian enjin iaitu 2.0 T-GDI GT-Line berharga RM239,888, dan model paling berkuasa 3.3L V6 menjana 365 hp/510 Nm dijual pada harga RM309,888. Namun pada awal tahun ini, Naza Kia mengumumkan harga baharu Stinger termasuk SST yang menyaksikan peningkatan sekitar RM25k untuk model 2.0 GT-Line kepada RM264,888, dan naik RM74k bagi model V6 kepada RM383,888.

    GALERI: Kia Stinger GT

     
     
  • Penguatkuasaan VEP pada waktu puncak di pintu masuk Malaysia menerusi Johor ditangguh sementara

    Penguatkuasaan VEP pada waktu puncak di pintu masuk Malaysia menerusi Johor ditangguh sementara

    Akibat kesukaran mendapatkan janji temu untuk memasang tag permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP)-Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) pada kenderaan, penguatkuasaan VEP di semua laluan keluar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor semasa waktu aliran trafik puncak ditangguhkan sementara sehingga notis baharu dikeluarkan.

    Kementerian Pengangkutan berkata, pihaknya akan membuka satu lagi Pusat Fitmen (FC) bagi pemasangan tag VEP-RFID di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KSAB (aliran trafik keluar ke Singapura) sebagai tambahan kepada empat FC sedia ada. Di mana pemilik kenderaan asing boleh mendapatkan tag VEP-RFID mereka dipasang di FC ini setelah semua persiapan pembukaan selesai. Tarikh operasi FC tambahan ini akan diumumkan tidak lama lagi.

    Dalam masa yang sama, kementerian terbabit turut meminta pemilik kenderaan asing mengambil kesempatan dengan pembukaan FC tambahan dan penangguhan itu untuk segera mendaftar dan mendapatkan tag VEP-RFID bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk masuk dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.

    Penguatkuasaan VEP pada waktu puncak di pintu masuk Malaysia menerusi Johor ditangguh sementara

    “Pemilik kenderaan asing boleh menyelesaikan proses pendaftaran melalui portal https://vep.jpj.gov.my dan memasang tag VEP-RFID di empat FC sedia ada iaitu di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah selatan Gelang Patah, tempat meletak kenderaan terbuka Plaza Angsana, RnR Pandan dan plaza tol Lima Kedai. Kementerian juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengemas kini sistem dan memastikan kelancaran proses pendaftaran semua pemilik kenderaan asing,”ujar kenyataan terbabit.

    VEP adalah komponen penting dalam usaha kerajaan untuk menangani masalah pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang pengangkutan jalan raya dan isu pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk atau keluar kenderaan yang dicuri atau tidak sah pendaftaran merentasi sempadan negara.

    Pendaftaran untuk VEP telah dibuka sejak April 2019 dan tempoh enam bulan yang diberikan kepada pemilik kenderaan asing untuk menyelesaikan proses pendaftaran berakhir pada Oktober ini. Kementerian Pengangkutan berkata Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan asing ke Malaysia hendaklah memohon VEP.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Perodua Axia facelift 2019

    Perodua Axia 2019 versi facelift terbaru telah dilancarkan. Semuanya ada enam varian, dan harga jualan masih dikekalkan, bermula dari RM24,090. Ini merupakan facelift kedua yang diberikan kepada Axia, yang pertama kali diperkenalkan pada 2014 dan kemudiannya menerima kemaskini pertama pada Januari 2017.

    Perodua Axia 2019 bagaimanapun masih menggunakan enjin berkapasiti sama 1.0 liter SOHC VVT-i 1KR-VE dari Bezza, sama seperti versi 2017 yang diperkenalkan sebelum ini dengan janaan kuasa sebanyak 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm. Enam varian yang dimaksudkan terdiri daripada Axia E, Axia G, Axia GXtra, Axia SE, varian terbaharu Axia Style dan spesifikasi tertinggi Axia Advance atau AV.

    Perodua telah mengambil langkah yang lebih besar dengan menawarkan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC) untuk Axia GXtra dan varian lain di atasnya. Malahan varian Advance yang paling tinggi juga dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, sama seperti SUV Aruz. Sistem tersebut merangkumi Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi dengan bantuan kamera pada cermin utama.

    Jika anda ingin melihat sendiri perebazaan antara varian yang ada, tonton video yang kami sediaka ini. Ia merangkumi keseluruhan enam varian yang ada, serta mempamerkan kelainan serta tambahan kelengkapan yang ditawarkan bagi setiap varian yang berbeza.

    GALERI: Perodua Axia Style 2019

     
     
  • Mazda patenkan kerangka hadapan untuk RX9?

    Mazda patenkan kerangka hadapan untuk RX9?

    Pada tahun 2015, Mazda telah mendedahkan model konsep RX-Vision, yang dibayangkan sebagai kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bagi menggantikan model RX-7 dan RX-8, diikuti dengan pendaftaran untuk paten enjin Wankel Rotary yang digelar sebagai SkyActiv-R setahun selepas itu.

    Namun tahun demi tahun, Mazda menafikan mereka akan menghasilkan versi produksi kereta tersebut dengan mengatakan mereka kekurangan dana bagi meneruskan projek berkenaan. Tapi, kini sekali lagi jenama dari Hiroshima berkenaan dilihat mengorak langkah bagi merealisasikan model itu – Mazda dikesan mempatenkan space frame bahagian hadapan sebuah kerangka kereta dengan ruang enjin yang begitu kecil, dengan tajuk rekaan “vehicle shock absorption structure”.

    Kerangka tersebut menampilkan sistem suspensi hadapan yang biasanya digunakan pada model-model berprestasi tinggi iaitu dari jenis double wishbone, dan konfigurasi yang sama juga sebenarnya telah digunakan pada RX-7 dan RX-8. Apa yang menguatkan dakwaan ini adalah kerangka kereta sport Wankel Rotary seterusnya dari Mazda adalah kerana ruang enjinnya yang begitu kecil dan enjin berkenaan dilihat akan diletakkan hampir ke bahagian firewall, manakala di hadapan diberikan beam yang agak jauh dari kerangka, direka bagi menyerap hentakan ketika kemalangan.

    Mengapa? Bagi mereka yang belum mengetahui, enjin Wankel Rotary Mazda sememangnya direka dengan saiz yang begitu kompak. Dengan rotor yang berputar bagi menggantikan omboh yang turut naik pada enjin konvensional untuk menggerakkan eccentric shaft (atau crankshaft pada enjin biasa) dan flywheel, ia hanya memerlukan kapasiti yang kecil bagi menghasilkan kuasa yang besar.

    Mazda patenkan kerangka hadapan untuk RX9?

    RX-7 misalnya, model generasi pertama Savanna SA22 1978 hanya memerlukan kapasiti 1.2 liter dari enjin 12A tanpa turbo bagi menghasilkan 100 hp, manakala versi terakhir RX-7 FD3S 2002 dijana oleh enjin 13B, hanya memerlukan kapasiti 1.3L dan pengecas turbo untuk mengerah 280 hp dalam keadaan standard.

    Selain dari dapat menjimatkan ruang serta mengurangkan berat, enjin yang kecil tersebut boleh ‘ditolak’ lebih ke belakang bagi membolehkan nisbah berat antara hadapan dan belakang RX-7 dan RX-8 dihasilkan sempurna pada kadar 50:50.

    Berbalik kepada rekaan yang baharu sahaja dipatenkan tersebut, adalah mustahil untuk meletakkan enjin omboh konvensional pada ruang berkenaan walaupun dalam bentuk empat-silinder sebaris. Juga tidak kelihatan sebarang mekanisma untuk memacu roda hadapan, dan ia sah kerangka untuk kereta pacuan belakang. Turut boleh dilihat, pada bahagian bawah kerangka tersebut terdapat sub-frame untuk menampung enjin.

    Perincian dalam fail paten ini turut menyebut bahawa kerangka ini dihasilkan dengan gabungan material ringan iaitu aluminium dan juga plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP).

    Mazda patenkan kerangka hadapan untuk RX9?

    Menurut portal dari Jepun, webmotormagazine yang mendedahkan fail paten berkenaan, ada sumber dari Mazda sendiri turut memberitahu bahawa model kereta sport Wankel Rotary yang akan digelar “RX-9” tersebut akan dihasilkan dari platform sendiri tanpa berkongsi dengan mana-mana model, dan enjin Wankel Rotary generasi baharu tersebut disasarkan akan menghasilkan sekitar 400 hp.

    Apa pun, perkara ini masih kekal sebagai khabar angin memandangkan tiada lagi unit prototaip dilihat diuji, dan tiada apa-apa kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Mazda setakat ini. Disember tahun lalu, CEO Mazda Akira Marumoto sendiri memberitahu bahawa penghasilan model generasi baharu kereta sport dua pintu dengan enjin Wankel Rotary ini masih lagi belum diputuskan sama ada akan diteruskan atau tidak.

    “RX Vision merupakan satu model visi untuk pembangunan rekaan jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan versi produksi atau komersial untuk model ini. Saya menerima soalan [sama ada kami akan membuat kereta sport dengan enjin rotary] mungkin sudah 100 kali, dan saya tidak akan meneruskannya. Ia merupakan impian untuk semua eksekutif dan pekerja Mazda dan ia adalah tanggungjawab saya untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan,” katanya sambil berseloroh.

    Mazda telah mengesahkan sebelum ini bahawa mereka akan membawa semula enjin rotary ke pasaran tidak lama lagi, tetapi bukan sebagai enjin yang menjana sebuah kereta sport, sebaliknya digunakan sebagai enjin penambah jarak (range extender) pada model hibird elektrik. Enjin tersebut akan bertindak seperti sebuah ‘generator pasar malam’ bagi mengecas bateri sistem hibrid, manakala roda akan dipacu sepenuhnya oleh hanya motor elektrik.

    GALERI: Model konsep Mazda RX Vision

     
     
  • Pelajar cipta peranti imbas cap jari hidupkan motosikal

    Pelajar cipta peranti imbas cap jari hidupkan motosikal

    Dua orang pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektronik Kolej Vokasional (KV) Bachok, Wan Amiruddin Wan Amran, 19, dan Adeeb Aideen Mat Yusof, 19 telah menghasilkan sebuah peranti khas untuk menghidupkan enjin motosikal menggunakan imbasan jari, lapor Bernama.

    Bertolak daripada keprihatinan mereka terhadap kes kecurian motosikal yang berleluasa ketika ini, kedua-dua pelajar terbabit menjadikan idea ini sebagai kenyataan untuk projek tahun akhir mereka – dikenali dengan nama “Fingerprint Bike Starter”.

    “Sistem ini sukar untuk diceroboh kerana motosikal yang dipasangkan alat ini hanya akan hidup menerusi kesepadanan cap jari pemilik atau jari individu yang berada dalam rekod sistem sahaja. Setiap “Fingerprint Bike Starter” boleh menyimpan 127 kod cap jari dalam sistem pemasangan dan hanya pemilik sah yang direkodkan sahaja boleh menghidupkan motosikal, sekaligus mengelak kecurian motosikal,” ujar Wan Amiruddin.

    Kedua-dua mereka mengambil masa enam bulan untuk cipta sistem berkenaan, termasuk untuk membina prototaip dan menjalankan ujian pada motosikal sebenar yang menggunakan sistem penghidup elektrik. “Antara perkara yang mencabar ialah untuk memasukkan sistem kod yang diaplikasi kepada mesin peralatan dan pengaturcaraan serta sistem menghidupkan motosikal dan kereta yang ada butang elektronik boleh menggunakan cap jari,” tambah beliau.

    Pembangunan projek ini menelan kos sebanyak RM500, dan mereka sangat yakin ciptaan ini mampu dipasarkan secara komersial. Pengarah KV Bachok, Rusli Idris juga memaklumkan, ciptaan kedua-dua pelajar itu akan dipatenkan sebagai hak eksklusif bertujuan menambahkan lagi nilai komersial produk berkenaan pada masa hadapan.

    Adeeb Aideen pula menjelaskan, ciptaan mereka menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara dan paparan LCD dengan perkakasan elektronik seperti alat pengimbas jari yang diperolehi dari luar negara. Sehingga kini mereka sudah menerima tempahan memasang sistem keselamatan itu dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej dan mampu menyiapkan satu pemasangan dalam tempoh 12 hari.

     
     
  • Perodua Axia 2019 – beza kelengkapan antara varian

    Perodua Axia 2019 versi facelift telah pun dilancarkan secara rasmi minggu lalu. Ini bukan facelift biasa-biasa; ia menampilkan beberapa perkara penting pada Axia selepas kali terakhir diperkemas pada 2016 lalu – dengan harga yang ditawarkan bermula dari RM24,090 hingga RM43,190 (atas jalan tidak termasuk insurans).

    Antaranya, sekarang ini ada enam varian yang ditawarkan. Axia E merupakan satu-satunya varian yang menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan. Yang lain semua dilengkapi transmisi automatik empat-kelajuan. Dan, ada dua tambahan terpenting dan terbesar yang diberikan untuk Axia 2019 ini.

    Pertama, ialah penawaran VSC bagi varian GXtra dan ke atas. Sementara itu, bagi varian Advance yang paling tinggi, ia juga dilengkapi dengan ciri keselamatan ASA 2.0. Ini satu langkah besar yang diambil oleh Perodua untuk model hatchback kompak dalam segmen A ini.

    Selain itu, ada satu varian baru yang ditambah; menampilkan Axia dalam imej sebuah SUV, iaitu Axia Style. Kereta ini walaupun hanya diberi kosmetik untuk membezakannya dari varian lain, ia tetap 15 mm lebih tinggi. Tetapi, ia tidaklah datang dengan kemampuan off-road, sekadar untuk menyuntik kelainan sahaja.

    Untuk memudahkan anda mengetahui apa perbezaan setiap varian yang ada ini, sila rujuk pecahan perincian kelengkapan mengikut varian berikut:

    Perodua Axia 1.0 Standard E 2019 – RM24,090

    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.0 litre VVT-i DOHC
    • 998 cc NA tiga-silinder
    • 67 hp pada 6,000 rpm
    • 91 Nm pada 4,400 rpm
    • Transmisi manual lima-kelajuan
    • Cakera brek berliang (depan), brek dram (belakang)

    Luaran

    • Rim besi 14-inci
    • Lampu utama projektor halogen
    • Lampu belakang LED, perumah merah

    Dalaman

    • Kerusi depan larasan manual empat-arah
    • Balutan fabrik standard
    • Tingkap kuasa
    • Dua ruang pemegang cawan

    Keselamatan

    • Dua beg udara
    • Cagak Isofix di belakang
    • ASEAN NCAP empat-bintang

    Perodua Axia 1.0 Standard G 2019 – RM33,490

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Transmisi automatik empat-kelajuan

    Luaran

    • Rim aloi 14-inci
    • Pengilap cermin belakang
    • Cermin sisi dalam warna badan

    Dalaman

    • Cermin sisi larasan kuasa elektrik
    • Poket belakang kerusi
    • Head unit 2-DIN dengan USB
    • Meter untuk Rev dan Trip Rev (purata minyak, baki jarak)
    • Dua pembesar suara
    • Kunci jarak jauh, penggera, butang kecemasan, kunci sentral
    • Konsol tengah dengan pemegang cawan ketiga
    • Bekas simpanan pelbagai guna

    Keselamatan

    • ABS dengan EBD

    Perodua Axia 1.0 GXtra 2019 – RM34,990

    Tambahan:

    Luaran

    • Kemasan gril krom
    • Cermin sisi larasan berkuasa dan boleh dilipat
    • Penghapus kabus cermin belakang

    Dalaman

    • Fabrik peringkat pertengahan
    • Kluster tengah dalam warna perak
    • Jejari stereng dalam warna perak
    • Larasan ketinggian kerus pemandu
    • Pemegang grip
    • Cangkuk anti-ragut
    • Dua pembesar suara di belakang (empat keseluruhannya)

    Keselamatan

    • Vehicle Stability Control (VSC) dengan kawalan cengkaman
    • Sensor parkir di belakang

    Perodua Axia 1.0 Style 2019 – RM38,890

    Tambahan:

    Luaran

    • Bampar depan dan belakang unik (untuk Style sahaja)
    • Kemasan gril unik dengan kemasan gentian karbon (untuk Style sahaja)
    • Hiasan plastik hitam keliling badan (untuk Style sahaja)
    • Hiasan landasan bumbung (untuk Style sahaja)
    • Rim aloi 15-inci (untuk Style sahaja)
    • Reflektor belakang (untuk Style sahaja)
    • Lampu belakang perubah lutsinar (untuk Style sahaja)
    • Pilihan warna khas Sunrise Orange (untuk Style sahaja)
    • Pelekat hitam pada tiang B
    • Lampu utama projector rekaan baru
    • Lampu kabus depan
    • Spoiler belakang dengan lampu brek ketiga
    • Sistem kunci pintar
    • Pemegang pintu krom

    Dalaman

    • Butang penghidup enjin
    • Meter bertulisan putih
    • Kerusi jenis semi bucket
    • Perehat kepala belakang boleh cabut
    • Kemasan krom pada kluster tengah
    • Pemegang pintu bahagian dalam krom
    • Perehat lengan pada pintu dalam warna perak
    • Kerusi balutan fabrik denim (untuk Style sahaja)

    Perodua Axia 1.0 SE 2019 – RM38,890

    Tambahan:

    Luaran

    • Skirting depan dan belakang dengan kemasan merah
    • Gril dengan kemasan merah
    • Skirting sisi dalam dua-tona
    • Cermin sisi dengan lampu isyarat

    Dalaman

    • Kemasan merah pada kluster tengah dan corong pendingan hawa
    • Filem keselamatan dan penapis haba
    • Balutan kerusi khusus SE
    • Kemasan fabrik pada panel pintu
    • Fungsi Bluetooth pada head unit

    Keselamatan

    • Sensor parkir depan

    Perodua Axia 1.0 Advance 2019 – RM43,190

    Tambahan:

    Luaran

    • Skirting depan dan belakang dengan kemasan hitam berkilat
    • Rim aloi 14-inci dua-tona

    Dalaman

    • Kemasan krom pada kluster tengah dan corong pendingin hawa
    • Butang kawalan audio pada stereng
    • Stereng balutan kulit
    • Head unit dengan skrin sentuh dengan navigasi, Smart Link, HDMI

    Keselamatan

    • Advanced Safety Assist (ASA) 2.0
    • Amaran Pra-Perlanggaran dan Brek dengan pengesanan pejalan kaki
    • Front Departure Alert
    • Pedal Misoperation Control
    • Reverse camera

     
     
  • SM Sport E110 – kapcai ekonomi berharga RM3,488

    SM Sport E110 – kapcai ekonomi berharga RM3,488

    Turut dilancarkan sekali dengan Benelli 502C dan 150S adalah sebuah kapcai ekonomi bernama SM Sport E110. Ini adalah sebuah model yang menggunakan asas sama seperti SM Sport 110R tetapi kelengkapannya dijadikan lebih bersesuaian untuk memberi harga yang lebih mampu milik kepada orang ramai iaitu RM3,488.

    Enjin yang digunakan pada model ini masih lagi menggunakan sistem bahan api karburator, dengan kapasiti 109 cc dan dipadankan bersama transmisi empat kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 6 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Antara bahagian utama yang ditukar untuk mengurangkan harga model ini adalah bahagian brek, di mana selain di belakang, bahagian hadapan juga menggunakan sistem dram. Rim walaubagaimanapun masih lagi unit aloi 17 inci yang dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Walaupun dipanggil sebagai sebuah kapcai ekonomi, SM Sport E110 masih lagi dilengkapi dengan pemula enjin elektrik dan tendang, kunci anti kecurian dan suspensi depan serta belakang Kayaba. Antara perincian lain motosikal ini adalah tangki bahan api 4.0 liter dan berat kering 100 kg.

    SM Sport E110 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Ocean Blue, Lava Red dan Carbon Black, dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu). Enjin yang digunakan juga mendapat penarafan emisi Euro 3.

     
     
  • Benelli 502C dan 150S tiba di M’sia – RM32k, RM8.6k

    Benelli 502C dan 150S tiba di M’sia – RM32k, RM8.6k

    Selain skuter SYM JET14 200 dan MIO 110 yang dilancarkan semalam, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan dua model Benelli baru untuk pasaran Malaysia iaitu 502C dan 150S. Harganya masing-masing adalah RM31,588 dan RM8,588 (tambahan RM300 untuk versi SE berwarna Nitron Green).

    Benelli 502C adalah sebuah motosikal cruiser yang dikuasakan oleh enjin sama seperti TRK 502, iaitu unit dua silinder DOHC 500 cc suntikan bahan api penyejukan cecair, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 47 hp pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Berat motosikal ini adalah 220 kg dan dimensi lainnya adalah jarak roda 1,580 mm, tinggi tempat duduk 800 mm, jarak dari tanah 210 mm dan tangki bahan api 21.5 liter. Rim yang digunakan untuk model ini adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Sistem cakera berserta ABS digunakan untuk kedua-dua brek hadapan (tetapan berkembar dengan angkup Brembo) dan belakang, manakala suspensi pula adalah fork USD di hadapan dan monoshock Kayaba di belakang. Bahagian meter menggunakan paparan digital dan model ini ditawarkan dalam tiga warna – Metallic Black, Matte Black dan Metallic Red.

    Pergi pula kepada 150S, ini adalah sebuah model naked yang digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC sama seperti RFS150i, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 13 hp pada 9,000 rpm dan 12.5 Nm tork pada 7,000 rpm. Istimewanya enjin ini, ia mempunyai tiga palam pencucuh dan mendapat penarafan emisi Euro 4.

    Menawarkan tunggangan sporty, 150S diberi dengan kelengkapan sepadan seperti brek cakera 260 mm, fork USD serta tayar 110/80 di hadapan, manakala di belakang pula terdapat brek cakera 220 mm, monoshock serta tayar 130/70. Rim adalah unit 17 inci, dengan berat keseluruhan motosikal 147 kg.

    Kelengkapan lain model ini adalah termasuk lampu hadapan LED, tangki bahan api 10 liter serta meter jenis digital. Benelli 150S ditawarkan dalam dua warna untuk model standard iaitu Space Black dan Lava Red, manakala warna Nitron Green adalah untuk model SE yang dijual pada harga RM8,888.

    Semua harga yang dinyatakan untuk model Benelli baru ini tidak termasuk dengan SST dan insurans, dan ia didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km. Ia akan mula tiba di wakil pengedar berdaftar pada penghujung bulan Oktober tahun ini.

    GALERI: Benelli 502C

    GALERI: Benelli 150S