Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Petronas lancar portal penebusan ganjaran Mesra – rangkaian rakan niaga kini mencecah 81 jenama

    Petronas lancar portal penebusan ganjaran Mesra – rangkaian rakan niaga kini mencecah 81 jenama

    Baru-baru ini Petronas Dagangan Bhd (PDB) telah melancarkan portal penembusan ganjaran Mesra baharu dan turut mengumumkan rangkaian rakan niaga yang kini mencecah 81 jenama. Menerusi portal www.mymesra.com.my/mesrarewards, ia dapat memberi kemudahan kepada ahli kad untuk menebus ganjaran dengan mudah dan segera.

    Portal itu juga menawarkan opsyen tambah nilai tunai untuk ahli yang tidak mempunyai mata Mesra yang mencukupi. Semua ganjaran yang ditebus adalah dalam bentuk e-baucar, dengan ahli hanya perlu mengemukakannya di kedai perniagaan yang terbabit.

    “Setakat ini lebih 10 juta kad ahli Mesra telah dikeluarkan dan keutamaannya adalah untuk mendorong ahli kad Mesra terus aktif mengumpul mata. Kami akan mendekati ahli tidak aktif untuk menggunakan pangkalan data kami dan pengguna baharu untuk datang dan memanfaatkan program kesetiaan Mesra kami.

    Petronas lancar portal penebusan ganjaran Mesra – rangkaian rakan niaga kini mencecah 81 jenama

    “Dengan pengenalan portal ini, ahli kad Mesra kini boleh menikmati opsyen penebusan ganjaran yang pelbagai dan dipertingkat yang melangkaui pembelian bahan api dan barangan di Kedai Mesra,” ujar Pengarah Urusan dan CEO PDB Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.

    Ini termasuk ganjaran gaya hidup seperti membeli-belah, bercuti, makanan dan minuman, produk kecantikan dan kesihatan dan perkhidmatan daripada jenama, antara lain seperti Tealive, Baskin-Robbins, TGV Cinemas, Legoland, AirAsia BIG, Sunway Lagoon, Inside Scoop, Llao Llao, La Juiceria dan San Francisco Coffee.

    Untuk mengetahui lebih lanjut, PDB juga bakal menganjurkan Mesra Rewards Festival di Sunway Pyramid pada 27 hingga 29 September ini. Menerusi festival ini juga, pengunjung boleh mendaftar untuk menjadi ahli Mesra dan bakal menerima 20 mata ganjaran. Kesemua ahli juga bakal menerima token bila menyertai Giant Capsule dengan lebih 1,000 hadiah menarik bakal direbut termasuklah baucar bahan api, cenderahati Petronas, penyedut hampagas Dyson, Google Home Mini, Samsung Galaxy Note 10 dan VIVO S1.

     
     
  • Scania AXL – trak autonomous tanpa tempat pemandu

    Scania AXL – trak autonomous tanpa tempat pemandu

    Sudah wujud sejak tahun 1911, Scania sememangnya syarikat yang cukup berpengalaman dalam penghasilan kenderaan berat. Memasuki era moden ini, mereka juga bergerak selari dan menerapkan teknologi terkini pada kenderaan yang dikeluarkan. Terbaru, syarikat dari Sweden ini memperkenalkan sebuah trak konsep tanpa pemandu yang dinamakan sebagai Scania AXL.

    Kenderaan berat yang boleh bergerak sendiri memang bukan benda baru, tapi kebanyakannya masih mempunyai tempat duduk pemandu. Scania AXL pula tiada tempat pemandu, dikawal dari jauh dan boleh beroperasi secara sendiri. Kawasan lombong dan tapak pembinaan tertutup adalah antara tempat yang dilihat sesuai menggunakan kenderaan seperti ini.

    Menurut jurutera yang terlibat dalam pembangunan Scania AXL ini, ia dihasilkan untuk menunjukkan kepada orang ramai apa yang boleh ditawarkan oleh Scania dalam teknologi autonomous ini. Ia adalah satu permulaan dan orang ramai boleh memberikan maklum balas tentangnya.

    Scania AXL – trak autonomous tanpa tempat pemandu

    Scania bukan sekadar menunjukkan sebuah kenderaan konsep lukisan digital, tetapi ia sudah boleh beroperasi dan ditampilkan dalam video. Walaubagaimanapun, perincian teknikalnya masih belum didedahkan, kecuali diberitahu menggunakan enjin pembakaran dalaman dan sumber bahan api bio.

    Sudah tentu, sebagai sebuah kenderaan autonomous, perisian berteknologi adalah sangat penting, dan Scania AXL mempunyai tujuh kamera, pemancar laser serta radar. Maklumat yang dikumpul daripada sistem itu dihantar kepada komputer untuk diterjemah dan digunakan untuk mengawal kenderaan.

     
     
  • GALERI: Aksesori Modenas Kriss 110, Pulsar NS160

    GALERI: Aksesori Modenas Kriss 110, Pulsar NS160

    Sementara tunggu berita yang lebih menarik tentang Modenas berkaitan usahasama syarikat itu dengan Kawasaki yang khabarnya akan diumumkan kelak, Modenas telah melancarkan dua model motosikal terbaru untuk tahun 2019, iaitu Kriss 110 dan Pulsar NS160.

    Yang telah kami tunjukkan daripada majlis pelancaran berkenaan sebelum ini ialah versi standard bagi kedua-dua motosikal berkenaan. Tetapi, ada lagi beberapa unit yang turut dipamerkan ketika itu bukan versi standard; ia dilengkapi dengan aksesori tambahan daripada Racing Boy dan juga Givi, seperti yang kami tunjukkan di sini.

    Antara komponen yang ditukar pada unit pameran ini antaranya ialah tuil brek, tongkat, cermin sisi, tabung minyak brek serta beg dan kotak-kotak siri jelajah dari Givi. Ia memberi gambaran terhadap sisi praktikaliti serta keserasian motosikal-motosikal ini untuk dipertingkat dan diubah suai mengikut keperluan tunggangan pengguna.

    GALERI: Aksesori Modenas Kriss 110, Pulsar NS160

    Untuk makluman, Kriss 110 merupakan motosikal harian yang paling murah dijual di Malaysia, pada harga RM3,377 dan disasarkan kepada mereka yang mempunyai kekangan bajet untuk dibelanjakan terhadap motosikal, terutama bagi golongan muda. Ia menggunakan unit enjin dari Zhongshen, 110 cc yang menghasilkan sebanyak 4.9 kW (6.5 hp) pada 8000rpm dengan tork 6.7 Nm pada 6,000 rpm.

    Sementara Pulsar NS160 pula merupakan penawaran dengan enjin yang lebih kecil berbanding Pulsa NS200 yang ada sebelum ini. Ia dilihat ingin memasuki pasaran motosikal dengan kapasiti enjin di bawah 150 cc, tetpai hadir dengan gaya naked street yang lebih berbaloi dari segi penawaran dan harganya. Ia menggunakan enjin satu silinder OHC suntikan bahan api Twin Spark DTS-i 160 cc, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.7 hp pada 8,500 rpm dan 13.99 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia dijual pada harga RM7,577.

    Modenas Kriss 110 2019 dengan aksesori Racing Boy, Givi

    Modenas Pulsar NS160 2019 dengan aksesori Racing Boy, Givi

     
     
  • Kementerian Kerja Raya harap bajet lebih besar diperuntukkan untuk menyelenggara/naik taraf jalan

    Kementerian Kerja Raya harap bajet lebih besar diperuntukkan untuk menyelenggara/naik taraf jalan

    Bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan Persekutuan, Kementerian Kerja Raya mengharapkan kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar dalam Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada 11 Oktober ini.

    Menurut Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir, terdapat banyak aduan mengenai isu Jalan Persekutuan yang masih belum diselesaikan disebabkan oleh kekangan peruntukan.

    “Jadi (diharapkan ada) peruntukan tambahan, lebih besar daripada tahun lepas, kerana jalan raya, lebuh raya dan jambatan, rakyat guna tiap-tiap hari, setiap waktu dan perlu ada pembaikan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, keutamaan untuk kerja-kerja pembaikan itu akan mengambil kira negeri yang mempunyai Jalan Persekutuan yang panjang seperti Pahang, Kedah dan Perak.

    Kalau ikutkan peruntukan yang diterima menerusi Bajet 2019 lalu, menterinya Baru Bian berkata, pihaknya hanya menerima antara RM600 juta ke RM800 juta setahun. Sedangkan kos tahunan untuk menyelenggara jalan Persekutuan sekitar RM2 bilion. Justeru, peruntukan untuk penyelenggaraan ini perlu dipertingkatkan pada akan datang.

     
     
  • Hyundai ambil pakar dari NASA sebagai ketua bahagian mobiliti udara urban yang baru ditubuhkan

    Hyundai ambil pakar dari NASA sebagai ketua bahagian mobiliti udara urban yang baru ditubuhkan

    Hyundai Motor Group telah melantik Dr Jaiwon Shin sebagai timbalan presiden eksekutif dan ketua Bahagian Mobiliti Udara Urban yang baru ditubuhkan. Shin adalah seorang jurutera aeronautik yang cukup dikenali dalam industri, dan akan mengetuai syarikat itu untuk membangunkan produk mobiliti pintar dalam industri penerbangan.

    “Pernah bekerja dalam pelbagai projek pembangunan canggih di NASA selama 30 tahun, saya sangat teruja dengan peluang untuk membentuk strategi mobiliti udara di Hyundai Motor Group. Pasukan baru di Hyundai akan membangunkan teknologi penting yang akan meletakkan syarikat sebagai penggerak dalam mobiliti udara urban. Ini adalah satu sektor yang dijangka berkembang menjadi pasaran bernilai US$1.5 trilion (RM6.28 trilion) dalam masa 20 tahun akan datang,” kata Shin.

    Menurut Hyundai, mobiliti udara urban dijangka menjadi aspek penting kepada penyelesaian pengangkutan bersepadu kepada masalah trafik yang sentiasa meningkat di bandar-bandar besar di seluruh dunia. Melalui Bahagian Mobiliti Udara Urban ini, mereka meletakkan sasaran untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang tidak pernah dilihat atau difikirkan sebelum ini.

    Hyundai ambil pakar dari NASA sebagai ketua bahagian mobiliti udara urban yang baru ditubuhkan

    Melalui pengalaman yang dimiliki oleh Shin, Hyundai berharap dapat menjadi pendahulu dalam sektor mobiliti udara urban yang semakin berkembang sekarang. Cabang baru perniagaan ini akan membangunkan teknologi penting serta penyelesaian inovatif untuk pengangkutan udara yang selamat.

    Selain pengalaman dalam NASA, Shin juga terlibat dalam jawatankuasa yang membangunkan polisi untuk R&D aeronautik Amerika Syarikat, ahli dalam kerjasama antara tentera udara AS dan NASA, dan pelbagai lagi penglibatan dalam industri aeronautik.

     
     
  • Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

    Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

    Sementara Land Rover tidak mahu lagi menggunakan bentuk petak ringkas bagi Defender dan beralih kepada bentuk moden, ada syarikat lain pula yang mengeluarkan kenderaan dengan bentuk itu. Apa yang anda lihat ini adalah trak pikap dan SUV elektrik keluaran syarikat dari Michigan iaitu Bollinger.

    Model B1 (SUV) dan B2 (pikap) yang ditunjukkan ini sebenarnya adalah model prototaip, tetapi mereka sudah bersedia untuk memulakan produksi menjelang separuh pertama. Tempahan sudah mula dibuka tetapi harga masih belum didedahkan. Jualan kenderaan ini akan difokuskan kepada pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu manakala versi panduan sebelah kanan juga akan dikeluarkan nanti.

    Apa yang diberitahu setakat ini, B1 dan B2 menggunakan penggerak yang sama iaitu dua motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri 120 kWh yang terletak di bawah lantai, dan mampu menghasilkan 614 hp dan 906 Nm tork. Jarak gerak kenderaan ini adalah 322 km dan beratnya pula 2,268 kg.

    Bollinger B1 dan B2 didedah – SUV dan trak pikap kuasa bateri, mampu hasilkan kuasa 614 hp, 906 Nm

    Menurut Bollinger, bateri yang digunakan boleh dicas dengan sistem Level 1 (110 V) dan Level 2 (220 V), dan apabila menggunakan sambungan Type 1 SAE J1772, ia akan mengambil masa 10 jam untuk penuh. Jika menggunakan pengecasan pantas Level 3 DC dengan sambungan CCS pula, ia cuma akan mengambil masa 75 minit untuk penuh.

    Pada aspek prestasi, kenderaan ini boleh memecut 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa cuma 4.5 saat, dan mencecah laju maksimum 161 km/j. Sudah tentu, ia tidak boleh menyaingi kereta elektrik prestasi lain, dan itu bukan tujuan utama Bollinger menghasilkan kenderaan ini.

    Sebaliknya, mereka mahu menjadikan dua model ini sebagai kenderaan belasahan dan lasak, di mana ia menggunakan kotak gear dua kelajuan, hab gandar bergear, jarak dari tanah 380 mm, jarak gerak roda 254 mm, kapasiti mengangkat berat hingga 2,363 kg dan kemampuan menarik 3,402 kg.

    Melihat kepada rekaan, kedua-dua model ini kelihatan sama dari depan, tetapi di bahagian belakang B1 menggunakan bentuk SUV manakala B2 mempunyai ruang barangan terbuka yang lebih panjang. B1 mempunyai ukuran 4,356 mm panjang (jarak roda 3,018 mm) manakala B2 mempunyai panjang 5,270 mm (jarak roda 3,530 mm). Lebar dan tinggi adalah sama iaitu 1,960 mm dan 1,846 mm.

    Sementara itu, panel badan dan cermin pada kenderaan ini mudah ditanggalkan untuk menyesuaikannya dengan kegunaan pemilik. Selain daripada itu, pembeli juga boleh mendapatkan bumbung kaca jika mahu. Ciri lain pada kenderaan ini adalah seperti tempat duduk boleh cabut, pendingin hawa, soket pengecas 110 V dan sambungan Bluetooth. Bollinger juga memberitahu B1 dan B2 versi produksi nanti tidak akan dilengkapi dengan beg udara.

     
     
  • Perodua lakar sejarah raih emas dalam Anugerah Jenama Putra 2019 buat tiga tahun berturut-turut

    Perodua lakar sejarah raih emas dalam Anugerah Jenama Putra 2019 buat tiga tahun berturut-turut

    Perodua telah melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima anugerah emas dalam kategori automotif dalam majlis Anugerah Jenama Putra 2019 yang berlangsung baru-baru ini. Ia merupakan tahun ketiga berturut-turut pengeluar kenderaan tersebut dinamakan sebagai salah satu jenama automotif kegemaran Malaysia.

    “Kami berasa rendah diri dengan pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Pengiktirafan ini memotivasikan dan menggalakkan kami untuk bekerja lebih keras seiring dengan objektif utama kami, iaitu People First, yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan wawancara awam, melibatkan lebih 8,000 responden unik tahun ini. Dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), ia merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

    “Perodua jauh lebih daripada sekadar sebuah syarikat kenderaan. Daripada pelbagai program dianjurkan merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal, kepada inisiatif-inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar, kami ingin menjadi jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” sambung Dato’ Zainal.

    Perodua turut pernah memenangi anugerah dalam sembilan daripada 10 tahun majlis penganugerahan tersebut diadakan. Jenama automotif ini telah memenangi emas pertamanya pada 2017 dan disusuli emas keduanya pada tahun lalu.

     
     
  • Proton Iriz R5 Juara Trackrod Yorkshire Rally 2019

    Proton Iriz R5 Juara Trackrod Yorkshire Rally 2019

    Selepas mengungguli pusingan ke-6 siri rali BTRDA tiga minggu lalu di Woodpecker Stage Rally 2019, minggu ini Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang dipandu oleh Oliver Mellors terus unggul dengan menjuarai pusingan ke-7 kejohanan tersebut iaitu Trackrod Yorkshire Rally 2019.

    Olie yang dibantu juruarah Ian Windress tiada masalah untuk menamatkan rali yang diadakan pada permukaan batu kerikil di hutan Yorkshire Utara, Britain berkenaan dengan mencatatkan masa terpantas dalam kesemua lima SS yang disediakan. Ini membolehkan Proton Iriz R5 diiktiraf sebagai juara dengan meninggalkan Ford Fiesta yang dipandu Mat Smiths 18.5 saat di belakang.

    Stephen Petch yang berada di tempat ketiga pada pusingan ke-6 sekali lagi berada di tempat yang sama pada rali ini, setelah Ford Fiesta WRC yang dipandunya ditinggalkan 29.5 saat oleh Proton Iriz R5 yang dikendali Olie Mellors.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

     
     
  • Honda Malaysia rai pemenang ‘Road to 900k Milestone’ – 9 pelanggan bertuah menangi model Honda terkini

    Honda Malaysia rai pemenang ‘Road to 900k Milestone’ – 9 pelanggan bertuah menangi model Honda terkini

    Selepas mengumumkan dua pemenang untuk kempen ‘Road to 900k Milestone’ baru-baru ini, tinggal lagi tujuh pemenang yang dicari untuk memenangi tujuh unit model baharu Honda. Pencarian pemenang tersebut dilakukan hari ini dalam karnival ‘Road to 900k Milestone’ yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Honda Malaysia (HM) memilih pemenang menerusi kaedah cabutan bertuah dan calon-calon yang berpeluang memenangi hadiah utama ini dijemput hadir untuk memeriahkan acara. Untuk baki tujuh pemenang dicari itu, tiga daripadanya adalah menerusi peraduan yang dianjurkan dengan kerjasama Astro Radio, Tealive dan Unifi.

    Beberapa gimik turut diadakan bagi menentukan pemenang, selain cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan CEO HM, Toichi Ishiyama bersama Sarly Adle Sarkum, selaku Presiden dan COO HM.

    Tujuh pemenang yang bertuah yang diumumkan dalam acara hari ini ialah Nik Siti Nurhidayah Juhan yang membawa pulang seunit HR-V Hybrid, Yasmoon Osman (City), Fong Yee Wern (City Hybrid), Ee Shi Lin (Jazz), Chester Lim (BR-V), Lim Hock Kuang (CR-V) dan Muhamad Abdul Hadi Junus (Accord). Manaka dua lagi pemenang yang telah diumumkan sebelum ini ialah Mohamad Adib Fida’iy Mohamad Hanapi yang memenangi Civic dan HR-V pula dimemangi oleh Lim Hong Ngee.

    Menurut Toichi Ishiyama, “Kempen ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan signifikan pencapaian jualan kami sebanyak 900,000 unit sejak syarikat ini ditubuhkan di Malaysia pada 2002. Ini juga adalah salah satu cara kami untuk menghargai sokongan yang diberikan oleh para pelanggan, termasuk yang yakin dengan Honda sebagai jenama kenderaan yang boleh dipercayai di Malaysia.

    “Kami telah menerima lebih 122,000 penyertaan untuk kempen ini dalam tempoh dua bulan, dan menerusinya juga kami banyak mendapat maklumbalas daripada para pelanggan kami.”

    Karnival ‘Road to 900k Milestone’ yang berlangsung selama dua hari dan berakhir esok ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung dewasa dan kanak-kanak. Antaranya Giant Water Slide sepanjang 380 kaki, pelbagai props menarik untuk pengunjung mengambil gambar, permainan Virtual Reality (VR), Sport Hybrid i-DCD X-ray Scanner dan juga Sport Hybrid i-DCD serta VTEC Turbocharged Game Tower.

    Esok hari terakhir penganjuran, jadi jangan lepaskan peluang berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Nak tengok Honda Civic facelift 2019 pun ada dipamerkan di sana.

    Sejak ditubuhkan 17 tahun lalu, Honda Malaysia telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang memberangsangkan. Antaranya berjaya mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) yang pertama, iaitu CR-V, pada 2003, dan selepas itu, disusuli semua modelnya lain.

    Selain itu, Honda Malaysia juga telah memperkenalkan Next Generation Advanced Technology untuk barisan modelnya, bermula dengan pengecas turbo, Sport Hybrid i-DCD dan Honda SENSING. Dan lebih menarik, Malaysia menjadi satu-satunya negara selain Jepun yang memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD selepas teknologi hibrid tiba di negara ini pada 2004.

     
     
  • Kaedah agihan subsidi bersasar RON 95 sudah sedia – k’jaan guna bil elektrik bagi kenal pasti kelayakan

    Kaedah agihan subsidi bersasar RON 95 sudah sedia – k’jaan guna bil elektrik bagi kenal pasti kelayakan

    Mekanisma bagi memberikan subsidi bersasar untuk petrol RON 95 kini dilaporkan sudah pun sedia untuk digunakan. Menurut laporan The Star dengan mengambil petikan dari Sin Chew Daily, kerajaan akan menentukan mereka yang layak untuk menerima subsidi ini dengan menggunakan bil elektrik pengguna sebagai salah satu cara (tidak akan menggunakan kaedah berdasarkan kapasiti enjin kenderaan), dan akan dihantar ke Parlimen bagi mendapatkan kelulusan pada Oktober ini.

    Dalam berita tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dilaporkan berkata hanya mereka yang berada dalam kategori B40 dengan bil elektrik sekitar RM100 hingga RM200 akan layak untuk menerima bantuan subsidi ini. “Penggunaan bil elektrik tersebut hanyalah sebagai poin rujukan,” katanya.

    Menurutnya lagi bagi mereka yang layak menerimanya, mereka akan diberikan subsidi sebanyak RM30 sebulan, atau subsidi 30 sen untuk setiap liter petrol RON 95, terhad hanya 100 liter setiap orang sebulan. Bagi pengguna motosikal pula, mereka akan diberikan subsidi RM12 sebulan.

    Kadar berkenaan adalah selaras dengan kadar yang telah diumumkan dalam Bajet 2019, namun kaedahnya pemberiannya telah diubahsuai dengan cara terbaharu ini. Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengatakan subsidi ini akan diberikan untuk golongan B40, yang menggunakan kereta dengan kapasiti di bawah 1,500 cc dengan kadar 30 sen seliter untuk RON 95, diberikan terhad 100 liter seorang setiap bulan, manakala motosikal pula di bawah 125 cc diberikan terhad 40 liter seorang sebulan.

    Kaedah agihan subsidi bersasar RON 95 sudah sedia – k’jaan guna bil elektrik bagi kenal pasti kelayakan

    Chong menjelaskan lagi bahawa wang subsidi berkenaan akan disalurkan terus ke akaun bank penerima, sama seperti cara yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Julai lalu, yang akan menyaksikan wang tunai berkenaan akan diberikan kepada golongan B40 yang telah disahkan layak untuk menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), sama seperti kaedah program BSH itu sendiri.

    Cara penentuan dan kaedah agihan subsidi ini sepatutnya diumumkan pada suku pertama tahun ini, dan perlaksanaannya dijangka pada suku kedua 2019. Namun ia kemudiannya diumumkan akan ditunda pada September. Dengan bermulanya pemberian subsidi ini nanti, harga RON 95 yang buat masa sekarang dijual pada harga maksimum RM2.08 seliter akan ditarik balik oleh kerajaan dan ia akan kembali dijual mengikut harga semasa secara mingguan.

    Berdasarkan pengiraan Mekanisma Harga Automatik (APM), minggu ini RON 95 sepatutnya dijual pada RM2.49 seliter jika harga maksimum berkenaan tidak berkuatkuasa. Menurut kerajaan, sehingga kini purata RM133 juta telah dibelanjakan setiap minggu bagi memberikan subsidi untuk mengekalkan harga petrol tersebut.

    Untuk minggu ini (28 September hingga 4 Oktober), kerajaan menyatakan bahawa kira-kira RM173.26 juta subsidi akan diberikan bagi menyerap lebihan harga petrol RON 95 berkenaan.

     
     
  • BMW X3 xDrive30i M Sport G01 di Malaysia – RM329k

    BMW X3 xDrive30i M Sport G01 di Malaysia – RM329k

    BMW Malaysia telah menambah satu lagi varian untuk barisan X3 G01 di pasaran tempatan dengan memperkenalkan xDrive30i M Sport. Berharga RM328,800, model pemasangan tempatan (CKD) ini adalah RM15k lebih mahal berbanding xDrive30i Luxury, dan ia didatangkan dengan waranti yang sama iaitu lima-tahun dengan perbatuan tanpa had bersama servis berjadual percuma serta waranti tayar selama 24-bulan. Walau bagaimana pun, X3 xDrive30i M Sport ini hanya ditawarkan sebanyak 120 unit sahaja di seluruh negara.

    Varian ini dilengkapi dengan roda aloi jejari-berkembar style 699 M 20-inci dengan tayar run-flat, suspensi M Sport, brek M Sport dan kit badan M Aerodynamic. Bampar hadapan dan belakang juga nampak sporty – dengan hadapannya turut didatangkan dengan lampu kabus LED. Manakala di belakang pula turut ditampilkan diffuser gelap dan ekzos krom.

    Di dalamnya pula, SUV ini menerima roda stereng balutan kulit M Sport, ambang pintu, kemasan kabin krom mutiara, dan juga pedal kaki M serta balutan kulit hitam Vernasca dengan jahitan kontras biru. Lain-lain ciri sama seperti Luxury line, termasuk sistem Touchscreen Navigation 10.25-inci dengan iDrive Touch dan sistem HiFi 12-pembesar suara dan 205 watt.

    Tiada perubahan pada penjana kuasa. Ia masih dipadankan dengan enjin B48 2.0 liter empat-silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp pada 5,200 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke kesemua empat rodanya, dengan pecutan dari 0-100 km/j dalam 6.3 saat serta kelajuan maksimum mampu mencapai 240 km/j. Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.6 liter per 100 km.

    Walau bagaimana pun ada perbezaan daripada segi aspek keselamatan. Senarai cirinya tidak sama seperti sebelum ini. Ia hanya ada enam beg udara, dua cagak Isofix pada tempat duduk belakang, selain ABS, DSC. Lain-lain ciri seperti brek kecemasan sendiri (AEB), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dan sistem pemantauan titik buta tidak disertakan.

    BMW X3 xDrive30i M Sport didatangkan dengan empat warna luaran – Alpine White, Carbon Black, Glacier Silver dan Phytonic Blue. Untuk perincian penuh mengenai X3 xDrive30i M Sport, sila layari CarBase.my.

    GALERI: BMW X3 G01 Luxury Line

     
     
  • Toyota, Subaru perkukuh kerjasama – bakal hasilkan model berprestasi AWD; Celica GT-4 muncul semula?

    Toyota, Subaru perkukuh kerjasama – bakal hasilkan model berprestasi AWD; Celica GT-4 muncul semula?

    Toyota dan Subaru telah memperkukuhkan kerjasama jangkamasa panjang antara mereka dengan mengumumkan modal kerjasama baharu, menyaksikan peningkatan pemilikan saham antara kedua-dua syarikat dan juga pengenalan produk-produk baharu.

    Pelbagai perkara yang disentuh dalam pengumuman tersebut, namun apa yang menarik perhatian, kerjasama ini kelak turut akan menghasilkan model pacuan semua roda (AWD) yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.

    Kedua-dua syarikat masih lagi merahsiakan apa model yang dibangunkan berkenaan; Toyota dan Subaru sememangnya mempunyai kepakaran dalam lapangan ini. Namun berberapa spekulasi menarik boleh di buat antaranya ini mungkin petanda Toyota akan melahirkan semula Celica GT-4.

    Ini kerana Toyota kerap kali menyatakan bahawa mereka akan membawa semula “kereta sport tiga beradik” ke bilik pameran mereka, seperti barisan yang sama pada era 90’an iaitu Toyota MR2, Toyota Celica GT-4 dan juga Toyota Supra.

    Buat masa sekarang, dua beradik telah pun kembali semula iaitu Toyota 86 sebagai adik paling kecil dan Supra sebagai Abang Long. Yang masih belum pasti adalah tempat Abang Ngah – adakah Toyota akan memilih MR2 atau Celica GT-4 untuk mengisi kekosongan tersebut.

    Di sebelah Subaru pula, sebelum ini ada khabar mengatakan mereka berminat untuk kembali semula bertarung dalam WRC setelah menarik diri dari kejohanan tersebut pada tahun 2008. Apa yang menjadi masalah adalah dengan spesifikasi dimensi pada undang-undang terkini, WRX sudah tidak lagi sesuai digunakan pada kejohahan tersebut dan pengeluar yang bertanding kini beralih menggunakan hatchback segmen-B seperti Toyota Yaris dan Hyundai i20.

    Perkara lain yang turut disentuh tentang kerjasama modal baharu ini adalah berkenaan Toyota 86 dan Subaru BRZ. Desas-desus bahawa kedua-dua model ini akan terus dibangunkan untuk generasi seterusnya telah disahkan sendiri oleh Toyota dan Subaru dalam pengumuman ini. Walau bagaimanapun, sebarang perincian untuk model tersebut masih lagi belum didedahkan.

    Toyota, Subaru perkukuh kerjasama – bakal hasilkan model berprestasi AWD; Celica GT-4 muncul semula?

    Model Toyota 86 dan Subaru BRZ buat masa sekarang telah pun berada dalam pasaran bermula pada tahun 2012, dihasilkan dari platform khas yang diubahsuai dari platform Impreza dan dijana oleh enjin boxer empat-silinder Subaru dengan suntikan bahan api terus, tanpa bantuan turbo dan hanya memacu roda belakang.

    Selain dari projek-projek ini, kerjasama antara Toyota dan Subaru turut akan mencakupi teknologi kereta terhubung, pemanduan autonomous dan terbantu, mobiliti baharu atau perkongsian-kereta serta unit janakuasa elektrik dan komponen – kesemua ini dipanggil sebagai CASE.

    Ini akan membawa penggunaan teknologi Toyota Hybrid System (THS) kepada model-model Subaru yang lain dan tidak terhad hanya kepada model Crosstrek Hybrid, dan juga kerjasama lebih luas dalam teknologi kereta terhubung dan pemanduan autonomous.

    Dalam aspek kewangan pula untuk kerjasama yang diperkukuh ini, Toyota akan meningkatkan pemilikan sahamnya dalam Subaru dari 16.83% kepada 20%, manakala Subaru akan mengambil alih saham dalam Toyota berjumlah lebih dari 80 bilion yen atau kurang dari 1% dalam Toyota.

    Toyota, Subaru perkukuh kerjasama – bakal hasilkan model berprestasi AWD; Celica GT-4 muncul semula?

    Selain dari 86 dan BRZ, Toyota dan Subaru sebenarnya telah mula bekerjasama seawal 2005, dengan kontrak produksi kenderaan Toyota oleh Subaru dan pembekalan kenderaan Subaru kepada Toyota. Baru-baru ini, kedua-dua jenama telah bersetuju bagi membangunkan platform khas untuk model elektrik yang dijana hanya menggunakan bateri (BEV), yang akan menggabungkan teknologi AWD Subaru serta teknologi kenderaan elektrik Toyota.

    “Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.

    “Antara syarikat kami dan Toyota adalah pakatan yang telah pun mempunyai sejarah selama 14-tahun. Dalam tempoh ini, kami telah memperkasakan hubungan kami dalam pelbagai lapangan seperti pembangunan produk, produksi, dan jualan, termasuk menerusi pertukaran tenaga kerja. Dengan membawa kerjasama ini satu langkah kehadapan dan saling memperhebatkan teknologi kami, kami akan memperkuatkan lagi kebolehan kami kepada CASE dan permintaan lain, serta akan memacu aspirasi bersama kami bagi menghasilkan kereta yang lebih baik,” kata presiden Subaru, Tomomi Nakamura.

     
     
  • ‘Ikon Rakyat’ Modenas Kriss 110 kembali – RM3,377

    ‘Ikon Rakyat’ Modenas Kriss 110 kembali – RM3,377

    Selain model Pulsar NS160, Modenas turut melancarkan sebuah lagi model marhaen untuk orang-ramai, tak lain model kapcai Kriss 110 baru. Ini merupakan penampilannya yang terkini untuk tahun 2019 dari sejarah panjang ketika mula diperkenalkan pada 1997 dahulu. Ia dijual pada harga RM3,377. Penampilan luaran motosikal ini direka sepenuhnya oleh warga Malaysia.

    Kapcai 4-lejang 110 cc yang diberi jolokan “ikon rakyat” ini disasarkan kepada golongan muda muda yang mencari motosikal pertama dan inginkan sebuah motosikal mampu milik yang mudah dikendali dan diselenggara. Didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000 km, yang mana lebih awal, Kriss 110 menawarkan gaya premium tanpa harga yang tinggi dan mematuhi piawaian pelepasan Euro 3 sepenuhnya.

    Ketinggian tempat duduknya ialah 755 mm, sekaligus memastikan Kriss 110 menawarkan keselesaan bagi penunggang. Ruang di bawah tempat duduk ini juga mempunyai kapasiti 6.6 liter, cukup besar untuk kapcai dari segmen peringkat kemasukan. Penggunaan enjin empat-lejang satu silinder dengan penyejukkan udara pula bermakna kurang masa menukar palam pencucuh dan membersihkan karburator berbanding pada motosikal dua-lejang.

    ‘Ikon Rakyat’ Modenas Kriss 110 kembali – RM3,377

    Modenas Kriss 110 ini turut diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), yang menjanjikan penjimatan penggunaan minyak. Motosikal ini menawarkan rekabentuk yang kompak dan bergaya, dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang luas, serta tempat duduk yang direka secara ergonomik untuk keselesaan menunggang yang optimum.

    Lagi dari sudut penampilan, Modenas Kriss 110 2019 ini juga hadir dengan ciri lampu isyarat LED dan paparan meter rekaan baru dengan hiasan ala gentian karbon dengan visual yang lebih mudah dilihat. Sementara itu, bahagian belakangnya menggunakan sistem penyerap hentak berkembar yang diperkemas. Brek pula menggunakan jenis dram keseluruhannya.

    Motosikal ini menghasilkan sebanyak 4.9 kW pada 8000rpm dengan tork 6.7 Nm pada 6,000 rpm. Ia juga dilengkapi sistem brek drum hadapan dan belakang yang turut dilengkapi dengan sistem kejutan kembar dan fork teleskopik untuk penunggangan yang lebih berkesan. Bagi kotak gear pula, ia dilengkapi dengan empat-kelajuan. Bagi enjin, ia sama dengan unit sebelum ini, dibekalkan oleh pengeluar China, Zongshen dan bukannya dibekalkan oleh Kawasaki.

    Ciri-ciri lain termasuk reka bentuk baru pada lampu hadapan dan belakang lebih sporty, manakala tangki minyak dengan kapasiti 4.2 liter mampu meliputi 200 km dengan setiap tangki penuh. Antara lain Kriss 110 ini ditawarkan dalam pilihan warna baru yang menarik, terdiri dari gabungan hitam-kuning, hitam-biru, hitam-putih dan hitam-hijau.

     
     
  • Modenas Pulsar NS160 dilancar – enjin 160 cc, RM7.6k

    Modenas Pulsar NS160 dilancar – enjin 160 cc, RM7.6k

    Satu lagi model hasil kerjasama Modenas dan Bajaj Auto dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini iaitu Pulsar NS160. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, ini adalah sebuah model yang mempunyai karekter seperti Pulsar NS200 yang dilancarkan pada tahun 2017 dulu, tetapi mempunyai enjin yang lebih kecil.

    Pulsar NS160 juga disediakan sebagai sebagai satu pilihan yang lebih mampu milik untuk pengguna, dengan enjinnya adalah unit satu silinder OHC suntikan bahan api Twin Spark DTS-i 160 cc, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.7 hp pada 8,500 rpm dan 13.99 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Dijual pada harga RM7,577, NS160 ini masih datang dengan kelengkapan yang menarik seperti brek cakera depan (300 mm) dan belakang (230 mm), fork teleskopik hadapan, monoshock Nitrox di belakang, tangki bahan api 12 liter dan rim 17 inci yang dibalut tayar MRF 80/100 di hadapan dan 110/80 di belakang.

    Pulsar NS160 ditawarkan dalam dua warna iaitu biru dan putih, dan perincian lainnya adalah berat 142 kg, tinggi tempat duduk 805 mm, meter gabungan digital dan analog (untuk tahap rpm), lampu belakang LED dan pemula enjin elektronik. Walaupun di negara lain mempunyai pilihan brek ABS, NS160 yang tiba di Malaysia tidak mempunyai ciri keselamatan ini.

    Dengan harga yang disiarkan, Modenas mensasarkan penjualan 1,500 unit NS160 dalam masa setahun dan ia memberikan peluang kepada pengguna kapcai untuk memiliki motosikal saiz sebenar (dengan tangki di atas), tetapi dengan harga yang lebih murah daripada kapcai 150 cc popular sekarang seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.


     
     
  • Harga minyak 28 sept-4 Okt: RON97 naik 12 sen seliter

    Harga minyak 28 sept-4 Okt: RON97 naik 12 sen  seliter

    Buat tiga minggu berturut-turut harga bahan api bagi petrol RON 97 dilaporkan mengalami peningkatan. Untuk minggu bertarikh 28 September hingga 4 Oktober 2019, Kementerian Kewangan mengesahkan harga runcit bagi petrol RON 97 naik sebanyak 12 sen seliter, menjadi RM2.79 seliter, berbanding RM2.67 seliter pada minggu sebelum ini. Harga baharu tersebut efektif mulai jam 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Manakala petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 28 sept-4 Okt: RON97 naik 12 sen  seliter

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit bagi petrol RON 95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.49 seliter dan RM2.39 seliter. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit petrol RON 95 yang berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel pula RM2.32 seliter.

    Namun harga runcit bagi dua bahan api berkenaan dikekalkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum demi kesejahteraan rakyat.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 28 September hingga 4 Oktober 2019 adalah berjumlah RM173.26 juta.

     
     
  • MIROS perjelaskan tiada dasar kerajaan untuk haramkan motosikal bawah 250 cc buat masa ini

    MIROS perjelaskan tiada dasar kerajaan untuk haramkan motosikal bawah 250 cc buat masa ini

    Beberapa hari lepas, panas membahang di kalangan penunggang motosikal apabila seorang aktivis keselamatan jalanraya, Shahrim Tamrin mencadangkan agar kerajaan mengharamkan motosikal kapcai atau yang berkapasiti di bawah 250 cc dari jalanraya di Malaysia. Kenyataan beliau ini telah disiarkan oleh The Malaysian Insight.

    Kenyataan Shahrim yang disifat sebagai ‘kurang bijak’ ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penunggang motosikal khususnya pemilik jentera dua roda bawah 250 cc itu, malah turut menerima banyak kecaman daripada netizen. Kami di Paultan.org ada menyuarakan pendirian tegas berhubung perkara ini. (Klik di sini untuk laporan penuh).

    Bagi siapa yang tidak mengenali Shahrim, beliau merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah bagi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Walau bagaimana pun, disebabkan kontroversi ini, MIROS telah mengedarkan kenyataan akhbarnya dengan menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahrim adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili organisasi terbabit.

    MIROS perjelaskan tiada dasar kerajaan untuk haramkan motosikal bawah 250 cc buat masa ini

    “MIROS ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang usaha atau dasar kerajaan untuk mengharamkan penggunaan motosikal berkapasiti rendah di bawah 250cc di Malaysia pada ketika ini. Walaupun Shahrim Tamrin adalah ahli lembaga MIROS, namun kenyataan yang dikeluarkannya adalah pandangan peribadi beliau sebagai aktivis keselamatan dan tidak mewakili pandangan rasmi MIROS,” jelas kenyataan tersebut.

    MIROS turut menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan mobiliti yang selamat (safe mobility) untuk semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal di Malaysia. Di antara dasar dan program mobiliti selamat yang telah dilaksanakan untuk pengguna motosikal ialah termasuk dasar mewajibkan penggunaan lampu hadapan motosikal ketika menunggang (ride bright), pembinaan lorong khas untuk motosikal, advokasi dan penguatkuasaan undang-undang pemakaian topi keledar keselamatan, serta pemakaian penunggangan yang selamat (personal protective safety attire).

    MIROS perjelaskan tiada dasar kerajaan untuk haramkan motosikal bawah 250 cc buat masa ini

    Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2018, mencatatkan sejumlah 113,288 kes yang melibatkan motosikal. Walau bagaimana pun, kemalangan yang melibatkan kereta atau kenderaan lain adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 591,399 kes. Cuma, penunggang dan pembonceng mencatatkan peratusan kematian paling tinggi, sekitar 65% daripada keseluruhan kematian yang dicatatkan.

    Tetapi ini tidak bermakna kesemua faktor kemalangan atau kematian penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan kecuaian golongan ini. Banyak juga kemalangan yang terjadi disebabkan kecuaian pemandu kenderaan lain.

    Jadi, adakah cadangan untuk mengharamkan penggunaan motosikal di bawah 250 cc wajar dilaksanakan di Malaysia? Sekali lagi kami ingin menegaskan, perkara ini adalah sangat tidak wajar untuk dilaksanakan. Apa pula pendapat anda? Ada cadangan yang lebih bernas untuk mempertingkatkan lagi aspek keselamatan di kalangan pengguna jalan raya, sila kongsikan bersama kami.

     
     
  • Fakta bagi nisbah kenderaan kepada populasi ASEAN

    Fakta bagi nisbah kenderaan kepada populasi ASEAN

    Perhatikan grafik di atas, yang muncul di Facebook beberapa hari lalu. Ia hantaran laman web seasia.co, berkaitan senarai nisbah pemilikan kenderaan di negara-negara Asia Tenggara, dengan meninjau jumlah kenderaan yang didaftarkan bagi setiap 1,000 populasi. Melalui statistik di dalamnya, Brunei berada ditempat teratas, dengan 721 kenderaan bagi 1,000 orang, diikuti Malaysia dengan 443 kenderaan bagi 1,000 orang dan Thailand dengan 225 kenderaan bagi setiap 1,000 orang.

    Namun, sumber dari mana data-data itu dipetik tidak pula dinyatakan. Carian seterusnya bagaimanapun memberi suluh kepada pertanyaan itu; laman Wikipedia “List of countries by vehicles per capita” adalah jawapannya. Adakah sumber ini boleh dipercayai? Secara umumnya tiada masalah dengan data yang dikongsikan itu (terutama kedudukan negara-negara yang ada), tetapi ia tidak mencerminkan dengan tepat dengan situasi terkini yang berlaku – tambahan bila data yang ditunjukkan itu bukan dari jendela masa yang sama (2013, 2015 dan 2018).

    Mari kita lihat bagaimana hal ini terjadi. Laman web ASEAN Statistics Division (ASEANstats) menyediakan data yang lebih tepat. Di dalam dokumen perangkaan utama ASEAN 2018, statistik bagi tahun 2017 menunjukkan bahawa Brunei mempunyai 971 kenderaan bagi 1,000 populasi, sementara Malaysia dekat di belakang dengan 897 kenderaan bagi 1,000 populasi.

    Fakta bagi nisbah kenderaan kepada populasi ASEAN

    Sementara Thailand pula mempunyai nisbah 548 kenderaan bagi setiap 1,000 populasi. Bagi Indonesia, negara itu berada ditangga keempat; dengan 548 kenderaaan bagi 1,000 populasi; jauh lebih tinggu berbanding 87 kenderaan bagi 1,000 populasi seperti yang ditunjukkan dalam grafik awal itu tadi. Singapura pula, yang di dalam grafik berwarna itu dikatakan berada ditempat keempat, sebenarnya berada ditangga ke-enam di rantau ini – dengan data menunjukkan data pemilikan kenderaan di republik itu menurun pada 2010.

    Berikut senarai pemilikan kenderaan yang sebetulnya di rantau ini setakat bagi tahun 2017, yang dirujuk dari pangkalan data ASEANstats:

  • Brunei 971
  • Malaysia 897
  • Thailand 548
  • Indonesia 499
  • Laos 293
  • Singapore 171
  • Myanmar 127
  • Philippines 99
  • Vietnam 31
  • Cambodia 28
  • Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian, rantau ini menyaksikan peningkatan bagi jumlah kenderaan yang didaftarkan, dengan 220 juta kenderaan dari semua negara terlibat pada 2017. Itu merupakan peningkatan sebanyak 167.8% berbanding tahun 2005, atau 8.6% setahun secara puratanya. Negara-negara yang menyaksikan peningkatan mendadak ini ialah Myanmar, Kemboja, Laos dan Indonesia – yang terakhir ini mencatatkan peratusan pertumbuhan sehingga 10.9% setahun.

    Fakta bagi nisbah kenderaan kepada populasi ASEAN

    Dalam kalangan negara ASEAN, Indonesia memiliki nombor kenderaan yang didaftarkan yang paling tinggi, dengan 130 juta unit kenderaan atau hampir 60% dari keseluruha angka di ASEAN pada 2017 – disumbangkan oleh populasi penduduk yang sangat besar di negara kepulauan itu.

    Fakta lain yang menarik untuk dilihat ialah panjang rangkaian jalanraya di rantau ini telah mencecah 1.8 juta km pada 2017, naik 48.1% dari tahun 2006 dulu. Indonesia mempunyai rangkaian jalan terpanjang (539,400 km), diikuti oleh Vietnam (370,660 km) dan kemudian Thailand (284,730 km). Malauysia pula memiliki jarak jalanraya keseluruhan 237,000 km pada 2017.

     
     
  • Suzuki Satria F150 diberi pembaharuan di Indonesia

    Suzuki Satria F150 diberi pembaharuan di Indonesia

    Beberapa tahun dulu Suzuki ada menjual model motosikal Belang 150 di Malaysia. Tapi sekarang tiada lagi sedangkan negara-negara jiran menerima generasi baru model ini yang dikenali sebagai Raider atau Satria, bergantung kepada pasaran.

    Di Indonesia, Satria F150 telah diberikan penyegaran sebagai model 2020. Ia cuma pada pilihan warna dan grafik, sementara bahagian mekanikal lain masih tidak berubah. Selain warna Blue GP yang sudah sedia ada, Satria F150 ini sekarang ditawarkan dalam warna Matt Blue, Matt Black, Titan Black dan White Blue.

    Bagi dua versi warna Matt yang ditawarkan, selain mempunyai penampilan yang lebih elegan, ia juga diberikan dengan logo dan lencana 3D, pengecas USB bawah tempat duduk serta sistem kunci penggera. Versi warna lain pula mendapat rim yang berwarna (merah, biru atau berjalur).

    Spesifikasi Satria F150 ini masih tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc DOHC, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan 18.4 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera depan dan belakang, berat 109 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.


    GALERI: Suzuki Satria F150

     
     
  • Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina dilancarkan dengan harga bermula RM79k, tiga varian 1.5L Turbo

    Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina dilancarkan dengan harga bermula RM79k, tiga varian 1.5L Turbo

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, SUV Segmen-B dari Geely iaitu Binyue telah selamat dilancarkan pada pasaran Filipina, dan ia dijenamakan semula sebagai Geely Coolray di negara tersebut. Apa yang menarik, Coolray yang hadir dalam tiga varian tetapi dijana enjin 1.5L Turbo yang sama dijual pada harga lebih rendah dari harga jangkaan 1.2 juta peso (RM96k) hingga 1.3 juta peso (RM105k) sebelum ini.

    Model asas Comfort dijual pada harga 978,000 peso atau RM78,641, manakala varian pertengahan Premium pula dijual pada harga 1,088,000 peso atau RM87,486. Sementara untuk versi tertinggi Coolray Sport dapat dibeli di Filipina dengan harga 1,198,000 peso atau RM96,331.

    Ketiga-tiga varian akan dijana oleh enjin G-Power tiga-silinder 1.5 liter dengan pengecas turbo yang mampu menghasilkan 175 hp dan tork maksima 255 Nm. Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Ia juga didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api 6.1 l/100 km dalam kitaran gabungan bandar dan lebuhraya.

    Bergantung pada varian, Coolray akan menerima kelengkapan seperti lampu hadapan projektor atau LED, rim 17- atau 18-inci, upholsteri fabrik atau kulit, bumbung panaromik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci bersama sambungan android QD Link, paparan meter digital dengan skrin tujuh-inci serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

    Ciri lain yang turut diberikan pada SUV ini termasuk sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), serta fungsi penghidup enjin kawalan jauh seperti pada Honda Civic generasi ke-10, yang membolehkan anda menghidupkan enjin bagi menyejukkan kabin dengan sistem pendingin hawa sebelum masuk ke kereta, dari jarak jauh.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian Coolray akan menerima kelengkapan standard meliputi sistem ESC, traction control, ABS dengan EBD dan BA, bantuan mula mendaki serta kawalan menurun bukit. Khas untuk varian Sport, ia turut dilengkapi dengan sistem G-Pilot iaitu sistem pemanduan separa autonomous bersama sistem parkir automatik yang mampu memarkir secara selari dan beserenjang. Kamera pemantau sekeliling juga diberikan pada varian tertinggi ini.

    Berlainan dengan negara ASEAN lain yang menggunakan pemanduan sebelah kanan, Filipina adalah pasaran dengan pemanduan sebelah kiri. Oleh itu Geely Coolray diimport sepenuhnya dari China ke Filipina oleh pengedar rasminya, Sojitz G Auto Phillippines (SGAP) yang dilantik baru-baru ini. Ini percubaan kali kedua Geely untuk masuk ke pasaran berkenaan, dengan sebelum ini dibawa oleh AutoChina.

    Seperti yang diketahui, kita di Malaysia juga sedang tertunggu Geely Binyue ini dijelmakan sebagai Proton X50, dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan. Segalanya yang kami tahu berkenaan Proton X50 boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Honda telah mengumumkan bahawa model generasi baharu hatchback segmen-B mereka, Honda Fit/Jazz bakal membuat kemunculan sulungnya pada Tokyo Motor Show 2019 yang akan berlangsung bulan hadapan.

    Tiada perincian penuh mahupun gambar disertakan pada pengumuman tersebut, tetapi Honda telah mengesahkan bahawa versi hibrid Honda Jazz generasi seterusnya itu bakal menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) seperti Honda Accord dan CR-V Hybrid terkini, tetapi dalam versi lebih kecil.

    Menurut Honda, sistem i-MMD yang lebih kompak dari sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) sedia ada kerana tidak mempunyai kotak gear akan membolehkan Jazz tersebut menerima ruang dalaman yang lebih luas.

    Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Versi petrol biasa turut akan diteruskan dengan konfigurasi sama seperti sekarang dengan menempatkan tangki petrol pada bawah tempat duduk hadapan membolehkan konfigurasi tempat duduk Ultra Seat yang versatil terus ditampilkan pada Jazz.

    Gambar illustrasi yang anda lihat ini bukanlah imej rasmi dari Honda, tetapi ia adalah buah tangan dari pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin. Chin menghasilkan illustrasi tersebut bukan secara hentam keromo, tetapi berdasarkan gambar spyshot prototaip sebenar Honda Jazz generasi baharu yang ditemui sedang diuji.

    Versi terbaharu berkenaan menampilkan rekaan yang lebih bulat dan kelihatan lebih lembut, jika dibandingkan dengan model generasi GK sedia ada dengan elemen lebih tajam dan agresif.

    Selain dari Jazz baharu ini, Honda turut akan mempamerkan MPV Freed facelift, dan juga pengenalan semula Accord di Jepun setelah empat tahun tidak dijual pada pasaran negara matahari tersebut. Tokyo Motor Show 2019 akan berlangsung bermula 23 Oktober sehingga 4 November, dan jangan lupa untuk nantikan laporan langsung kami dari sana pada tarikh berkenaan.

    GALERI: Spyshot Honda Jazz generasi seterusnya

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026