Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mitsubishi sertai #TetrisChallenge – tayang Triton Adventure X dengan kit yang dipertingkat untuk M’sia

    #TetrisChallenge kini menjadi fenomena di dalam media sosial dan memang ramai yang mengambil bahagian termasuklah Mitsubishi Motors Malaysia yang mempamerkan persembahan tersendiri, malah turut menampilkan Triton yang ditunjukkan dari bahagian atas – menunjukkan contoh menarik tentang kegunaan trak pikap.

    Ia menggambarkan kelebihan pengangkutan untuk orang yang berniaga, yang gemar melakukan cabaran dan seorang yang kreatif, dengan mempamerkan kelengkapan yang disarankan, malahan Triton tersebut dikesan turut dilengkapi dengan beberapa pelekat baharu seperti yang ditunjuk dalam foto tersebut. Menerusi laman web jenama terbabit, turut mendedahkan varian tertinggi Adventure X telah dipertingkatkan dengan beberapa ciri baharu.

    Ini termasuklah pelekat luaran baharu, bersama “flying” sports bar, perakam video digital, monitor sekeliling (ARM), dan sistem audio baharu yang masih boleh digunakan bersama Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Turut dikekalkan termasuklah tempat duduk upholstery kulit, larasan kuasa bagi tempat duduk pemandu, pedal penukar gear, lampu utama projektor bi-LED, lampu nyalaan siang LED dan bilah pengelap cermin automatik.

    Malah ada juga ciri tambahan untuk senarai kit bagi Adventure X sedia ada, merangkumi Forward Collision Mitigation (AEB untuk kenderaan dan pejalan kaki), Blind Spot Warning dengan Lane Change Alert, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (hadapan dan belakang), lampu tinggi auto, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar penumpang hadapan, sensor hadapan dan belakang serta tujuh beg udara.

    Penjana kuasa untuk Adventure X masih sama, dengan enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 PS dan tork 430 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem Super Select 4WD-II. Harga yang dipamerkan menerusi laman web Mitsubishi Motors Malaysia untuk Triton Adventure X yang disemak semula ini ialah RM137,900 untuk Semenanjung Malaysia. Empat warna luaran masih kekal seperti sebelum ini – Jet Black Mica, White Diamond, Graphite Gray dan Sterling Silver.

     
     
  • Yamaha MT-25 dinaik taraf di Indonesia – lebih garang

    Yamaha MT-25 dinaik taraf di Indonesia – lebih garang

    Yamaha telah melancarkan versi baru bagi MT-25, yang dinaik taraf dengan beberapa ciri baru. Paling jelas sudah tentu adalah penampilannya, yang dari depan sudah menggunakan unit lampu LED projector berbentuk lebih garang seperti MT-15.

    Kemudiannya, panel badan bahagian hadapan serta tangkinya turut diperkemas, dan kini mempunyai bukaan udara di sisi. Lampu-lampu lain seperti penunjuk arah dan lampu belakang juga sekarang sudah menggunakan sistem LED yang lebih runcing.

    Sedikit lagi naik taraf prestasi yang diberikan pada model ini adalah suspensi hadapan, di mana ia kini menggunakan unit USD berwarna hitam dan lebih tegap. Suspensi belakang pula masih lagi menggunakan monoshock biasa. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Bahagian enjin tidak diusik dan ia masih menggunakan unit dua silinder selari berkapasiti 250 cc DOHC suntikan bahan api, yang digabungkan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perincian lain motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, brek cakera depan dan belakang, berat 165 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Model ini ditawarkan di Indonesia dalam tiga warna dengan harga bermula 53.9 juta rupiah (sekitar RM16k).

     
     
  • BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    Demi memenuhi kehendak pelanggan SUV yang dahagakan kuasa, BMW telah mendedahkan X5 M dan X6 M, yang mana kedua-duanya boleh didapati dengan versi Competition yang lebih berkuasa.

    Di bawah bonet model standard Sports Activity Vehicle (SAV) dan Sports Activity Coupe (SAC) versi prestasi ini terdapat enjin V8 4.4 liter twin turbo S63B44T4 sama seperti M5 dan M8. Untuk X5 M dan X6 M ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 PS (591 hp) pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

    Kuasa ini dihantar kepada semua empat roda melalui transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic dan sistem pacuan semua roda M xDrive serta Active M Differential. Sistem ini menghantar lebih banyak kuasa kepada roda belakang, dan pemandu tidak boleh menukarnya kepada mod 2WD seperti M5 dan M8.

    Untuk catatan prestasi, X5 M dan X6 M boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa cuma 3.9 saat, dan 0-200 km/j dalam masa 13.5 saat. Laju maksimum kedua-duanya adalah sama iaitu 250 km/j tapi dengan pakej tambahan M Driver’s, ia boleh pergi kepada 290 km/j.

    Sementara itu, versi Competition pula mempunyai kuasa sebanyak 625 PS (617 hp) – tork maksimum masih sama iaitu 750 Nm – dan membantu mengurangkan lagi waktu pecutan 0-100 km/j sebanyak 0.1 saat dan 0.3 saat untuk pecutan 0-200 km/j.

    Untuk memadankan kereta dengan kuasa ini, gandar hadapan dan belakang dipasang dengan kinematik dan elastokinematik khas untuk model M, manakala pakej pendakap pula meningkatkan ketegaran badan. Ia kemudiannya dilengkapkan pula dengan suspensi adaptif yang boleh dilaras kepada tiga mod (Comfort, Sport dan Sport Plus), Active Roll Stabilisation serta stereng M Servotronic.

    Pada bahagian brek, pemilik akan menerima set angkup enam piston dan cakera 395 mm berliang di hadapan manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston terapung dan cakera 380 mm. Sistem brek ini menggunakan actuator elektrik, jadi pemandu boleh memilih dua tetapan rasa brek iaitu Comfort dan Sport.

    BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    Model baru X5 M dan X6 M ini mempunyai gaya yang agresif, dengan bukaan udara yang besar di hadapan, gril kidney khas untuk M dengan dua jalur hitam, sirip M pada panel tepi, lengkuk roda yang lebar, cermin sisi lebih aerodinamik serta dua pasang muncung ekzos. Versi Competition dapat dikenali melalui warna hitam yang digunakan pada bahagian-bahagian tersebut.

    Pelanggan juga boleh memilih penutup enjin dan pelindung cermin yang dibuat daripada gentian karbon, manakala untuk X6 M dan X6 M Competition, ia boleh didapati dengan spoiler belakang yang dibuat daripada bahan sama. Pilihan warna untuk model ini ada banyak, termasuk tiga warna khas model M dan pelbagai lagi barangan pilihan BMW Individual termasuk rim antara 21 hingga 22 inci.

    Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang menunjukkan ini adalah model M, bermula dengan roda stereng yang mempunyai butang M (M1 dan M2), tombol gear khas M, tempat duduk sports, data berorientasikan prestasi untuk sistem Live Cockpit Professional, head-up display serta butang mod M.

    Pakej Driving Assistant datang secara standard pada kenderaan ini, termasuk Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Collision Prevention. Ia juga boleh dinaik taraf kepada pakej Driving Assistant Professional yang akan memberikan Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi aktif, Lane Change Assistant, Evasion Assistant, Emergency Stop Assistant, Crossroads warning, Wrong-way Warning dan Front Cross Traffic Alert.

    Sistem bantuan standard lain adalah termasuk Active Guard Plus, Lane Departure Warning, Parking Assistant denga Active Park Distance Control dan Reversing Assistant. Ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada Parking Assistant Plus yang memberikan pandangan atas, panorama, 3D dan Remote 3D.

    GALERI: BMW X5 M Competition F95

    GALERI: BMW X6 M Competition F96

     
     
  • Vespa Sprint Carbon 2019 tiba, harga bermula RM19k

    Vespa Sprint Carbon 2019 tiba, harga bermula RM19k

    Untuk peminat skuter di sini, Vespa Sprint Carbon 2019 kini telahpun tiba dan mula dijual pada harga RM19,000 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Versi ini menjadi tambahan terbaru bagi edisi 2019, selepas pengenalan model-model lain seperti Premira S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition.

    Kelainan versi ini, ia didatangkan dalam dua warna sahaja Black Vulcano dan White Innocenza. Selain bahagian krom pada pemegang dan cermin sisi yang masih kekal, Sprint Carbon ini menerima kemasan merah dan pelekat rim baru, dan kemasan kelabu pada bahagian lampu.

    Turut merupakan ciri baru ialah rekaan “bow-tie” di bahagian depannya serta perumag speedometer dengan kemasan gentian karbon hiasan. Bahagian badannya turut menerima pelekat hiasan jalur tiga warna.

    Vespa Sprint Carbon 2019 tiba, harga bermula RM19k

    Skuter ini menggunakan enjin silinder tunggal 150 cc i-Get sejukan udara dengan suntikan minyak, menghasilkan sebanyak 12.9 hp pada 7,750 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Transmisi unit ini menggunakan jenis CVT dan pacuan tali sawat, manakala rim aloi pula kekal bersaiz 12-inci.

    Keupayaan membrek dikendalikan melalui sistem brek cakera 200 mm hidraulik dengan ABS di bahagian depan, manakala di belakang menggunakan brek dram. Kapasiti tangki petrol pula ialah 7.5 liter, serta ruang storan di bawah tempat duduk berkapasiti 16 liter.

     
     
  • Koenigsegg Regera catat rekod baru bagi 0-400-0 km/j!

    Dua tahun lalu, Koenigsegg berjaya mencipta rekod dunia 0-400-0 kmj apabila Agera RS berjaya mencapai bacaan 33.29 saat. Pencapaian berkenaan kini boleh dilupakan, kerana pembuat kereta dari Sweden ini telah memecahkan rekodnya sendiri melalui model Regera, menamatkan pecutan itu dalam masa hanya 31.49 saat. Ia 1.8 saat lebih cepat berbanding Agera RS, dan 10.47 saat lebih pantas dari Bugatti Chiron.

    Model Regera menggunakan enjin 5.0 liter turbo berkembar V8 dan motor elektrik – satu pada setiap roda belakang, menyediakan pacuan elektrik sepenuhnya, dan satu lagi pada crankshaft untuk tork – memberikan kereta ini output keseluruhan sistemnya 1,500 PS (1,479 hp) dan 2,000 Nm tork.

    Menjadikan kereta ini unik ialah penggunaan Koenigsegg Direct Drive (KDD) berbanding transmisi atau kotak gear banyak kelajuan konvensional; sistem berkenaan mengggunakan pacuan terus ke bahagian gandar belakang dari enjin. Motor elektrik yang ada pula mengendalikan pergerakan pada kelajuan kurang daripada 48 km/j; selepas daripada itu enjin akan mengambil alih.

    “Ini satu peluang terbaik untuk menunjukkan kemampuan transmisi pertama seumpamanya yang ada adap Regera. Memandangkan kereta ini hanya ada satu gear, kami perlu memanfaatkannya dari kedudukan pegun hinggalah mencecah kelajuan tertinggi 403 km/j, dihadkan secara elektronik,” jelas CEO dan pengasas, Christian von Koenigsegg.

    Koenigsegg Regera catat rekod baru bagi 0-400-0 km/j!

    Percubaan untuk mencatatkan rekod itu dijalankan di lapangan udara Råda berdekatan pekan Lidköping, dengan permukaan yang disifatkan tidak begitu ideal kerena kawasan berkenaan sudah terbiar sejak beberapa lama.

    Walaupun begitu, Regera mengambil masa 28.87 saat untuk memecut ke kelajuan 400 km/j dalam jarak 1,613.2 meter. Daya memberhentikan kereta pula memakan masa 8.62 saat dalam jarak 435.26 meter – jarak keseluruhan untuk 0-400-0 km/j itu pula ialah 2,048.46 meter. Menurut syarikat itu lagi, jika permukaan dalam keadaan lebih baik, ini boleh dicapai dalam jarak 2,000 meter.

    Pemandu ujian syarikat itu, Sonny Persson merupakan individu yang bertanggungjawab melakukan percubaan ini, dan semua data dikumpul menggunakan peranti dan aplikasi AiM EVO5 dan AiM GPS08, serta Racelogic VBOX 3i.

     
     
  • Sime Darby Swedish Auto dilantik sebagai pengedar Volvo – buka pusat 3S baharu di Ara Damansara

    Sime Darby Swedish Auto dilantik sebagai pengedar Volvo – buka pusat 3S baharu di Ara Damansara

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan pelantikan Sime Darby Swedish Auto sebagai rakan pengedar baharu. Syarikat ini berkata, pelantikan Sime Darby Swedish Auto adalah sebahagian daripada pelan penambahan untuk rangkaian pengedaran di seluruh negara, selaras dengan fasa kedua pelan transformasi jenama.

    “Kami komited untuk mengembangkan rangkaian pengedaran bagi membolehkan para pelanggan dapat menikmati kemudahan bilik pameran dan pusat servis yang lebih meluas untuk dipilih. Di samping itu, ia juga sejajar dengan usaha kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan bagi segmen automotif premium,” ujar pengarah urusan VCM Nalin Jain.

    Pusat 3S Volvo baharu yang dikendalikan oleh Sime Darby Swedish Auto akan berlokasi di Ara Damansara, dijangka bakal beroperasi tidak lama lagi. Menurut VCM, maklumat lanjut mengenai pengedaran Volvo baharu ini bakal diumumkan menjelang pelancarannya.

     
     
  • Suzuki dedah kereta yang akan dibawa ke TMS 2019

    Suzuki dedah kereta yang akan dibawa ke TMS 2019

    Bahang Tokyo Motor Show yang akan berlangsung hujung bulan ini semakin terasa dan semakin banyak pengeluar yang mula memberi petunjuk apa yang akan dibawa ke sana nanti. Bagi Suzuki, mereka mempunyai pelbagai produk, tetapi yang paling utama adalah lima kenderaan konsep yang akan ditampilkan buat pertama kali kepada dunia.

    Dua daripadanya mempunyai rekaan masa hadapan iaitu sedan Waku Spo dan van Hanare. Untuk Waku Spo itu, ia dinyatakan sebagai kenderaan PHEV kompak yang mempunyai ciri istimewa seperti butang Waku Waku untuk menukar penampilan, muka serta kandungan yang dipapar pada papan pemuka.

    Hanare pula kelihatan seperti kabin yang biasa ditarik di belakang kenderaan dan dibawa untuk aktiviti luar. Malah, memang itulah maksud Hanare tetapi istimewanya model konsep ini, ia datang dengan kemampuan bergerak sendiri (autonomous) dan masih memberi perhatian kepada hubungan dengan manusia.

    Tiga model selebihnya bukanlah serba baru, tapi adalah versi keluaran khas. Untuk wagon crossover Hustler, ada dua konsep yang dibawa iaitu ranggi (biru) dan juga lasak (oren). Satu lagi model adalah van Every yang dihasilkan dengan kolaborasi bersama Combi, di mana ia diubah suai untuk menyediakan tempat menukar lampin serta menyusukan anak yang selesa di bahagian dalam – berguna sewaktu acara luar atau bencana alam.

    Selain kereta yang disebutkan ini, sudah tentu Suzuki akan membawa pelbagai lagi kenderaan semasa mereka ke tapak acara dan untuk bahagian motosikal, ada dua model yang dibawa ke Jepun buat pertama kali iaitu Gixxer SF 250 dan juga Gixxer 250.

     
     
  • JPJeBid kutip RM27.22j sejak diperkenalkan April lalu

    JPJeBid kutip RM27.22j sejak diperkenalkan April lalu

    Ternyata usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memperkenalkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sejak April lalu membuahkan hasil. Sehingga kini, sistem berkenaan berjaya mengutip hasil bidaan berjumlah RM27.22 juta menerusi 21 siri nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik.

    Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat JPJ, Mohd Hafiz Shamsani, hasil bidaan tertinggi diperoleh setakat ini ialah RM3.38 juta bagi siri nombor pendaftaran ALL di Perak.

    “Bidaan secara elektronik melalui aplikasi JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula dari transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. Pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan mereka secara ‘real time’ tanpa sebarang unsur campur tangan manusia,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Setakat ini, Terengganu menjadi negeri terbaru yang melaksanakan sistem ini menerusi bidaan nombor pendaftaran siri TCD. Bidaan untuk siri nombor berkenaan akan mula dibuka pada jam 12 tengah malam pada 3 Oktober sehingga 11.59 malam 7 Oktober ini.

    Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah berjumlah RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum sebanyak RM1,000, nombor menarik (RM3,000 dengan kenaikan bidaan minimum RM150), nombor popular (RM800 dengan kenaikan bidaan minimum RM40) dan nombor biasa (RM300 dengan kenaikan bidaan minimum RM15).

    “Kaedah pembayaran dalam bidaan melalui aplikasi JPJeBid ini adalah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja. Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida. Keputusan akan diumum pada 8 Oktober ini,” katanya.

    Bidaan itu terbuka kepada warga dan penduduk tetap Malaysia yang berumur lebih 18 tahun serta perniagaan atau syarikat berdaftar. Bagaimanapun, Zulkarnain berkata setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor sahaja manakala bagi perniagaan atau syarikat, hanya dihadkan kepada lima nombor.

    “Setakat ini, pendaftaran nombor kenderaan bagi siri TTB merekodkan bidaan tertinggi di Terengganu dengan nilai RM2,088,616 di mana nombor pendaftaran tertinggi ialah TTB 1 iaitu RM264,000. Nombor pendaftaran kedua tertinggi direkodkan ialah TAY 1 sebanyak RM242,000 diikuti nombor pendaftaran kenderaan TBT 1 sebanyak RM240,000,” katanya.

     
     
  • Mazda 3 TCR 2020 didedahkan – 2.0L turbo, 350 hp

    Mazda 3 TCR 2020 didedahkan – 2.0L turbo, 350 hp

    Mazda kini menjadi salah sebuah pengeluar yang menghasilkan kereta lumba yang boleh digunakan dan dibeli oleh mana-mana pasukan yang mahu menyertai mana-mana perlumbaan dengan spesifikasi FIA TCR setelah Mazda Motorsport memperkenalkan Mazda 3 TCR 2020. Buat permulaan, kereta ini bakal berlumba di Amerika dalam perlumbaan ketahanan empat-jam IMSA Michelin Pilot Challenge di litar Daytona, sebagai sebahagian perlumbaan Daytona Rolex 24-Jam pada 26 Januari 2020.

    Kereta ini dihasilkan oleh Mazda Design America yang berpusat di Irvine, California dengan kerjasama oleh Long Road Racing yang turut membina kereta lumba dalam siri perlumbaan Global Mazda MX-5 Cup. Seperti kereta-kereta TCR lain, ia dijana oleh 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 350 hp, digandingkan kotak gear enam-kelajuan dengan pedal penukar gear, memacu hanya roda hadapan.

    Pada bahagian luaran, kereta lumba yang diasaskan dari model produksi Mazda 3 Hatchback ini seakan disuntik oleh steroid. Kesemua fender kini direka lebih lebar, manakala bampar hadapan diberikan spoiler yang besar. Skirt sisi juga diberikan ‘sayap’ bagi menghubungkan fender hadapan dan belakang, manakala bampar belakang menerima diffuser yang sangat agresif.

    Rupa kereta lumba ini dilengkapkan dengan pemadanan rim Rays Engineering Volk Racing TE37 dengan jejari concave yang selalu digunakan oleh jentera-jentera time attack, bersama sayap-GT bersaiz besar yang disangkut pada cermin belakang.

    “TCR mewakili peluang terbaik untuk kami bagi mengetengahkan Mazda 3 baharu dan menawarkan satu lagi tempat untuk pelanggan kami untuk berlumba dengan kereta Mazda. Berberapa kejayaan yang penting kami di IMSA dan SRO TC Americas adalah disumbangkan oleh pelanggan berdedikasi kami yang memilih untuk berlumba dengan Mazda, dan kami harap pelumba generasi seterusnya Mazda akan nampak potensi yang sama pada Mazda 3 TCR,” kata pengerusi dan CEO operasi Mazda Amerika Utara, Masahiro Moro.

    Cabaran Mazda 3 TCR di Daytona Januari nanti akan disandang oleh Bryan Ortiz, pelumba dari Puerto Rico yang juga juara Battery Tender Global Mazda MX-5 Cup 2019.

     
     
  • Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

    Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

    Kami sudah laporkan bahawa Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang dipandu oleh Oliver Mellors dinobatkan sebagai juara Trackrod Yorkshire Rally 2019 hujung minggu lalu. Sebenarnya pada hujung minggu yang sama, satu lagi Iriz R5 yang dipandu oleh Eugene Donnelly disahkan sebagai juara kategori RC2 nasional dan tempat keempat keseluruhan di Cork 20 International Rally 2019.

    Donnelly yang juga juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, dibantu oleh juruarah Alistair Wylie menamatkan 13 SS dalam rali berkenaan dengan masa keseluruhan 2 jam 2 minit 40.7 saat atau 2 minit 56.6 saat lebih pantas dari pemandu di tempat kedua, David Guest yang memandu Skoda Fabia S2000. Tempat ketiga dalam kategori ini disandang oleh Denis Moynihan yang memandu Ford Fiesta R5, menamatkan rali tersebut dengan masa 2 jam 7 minit 8.4 saat.

    Cork 20 International Rally adalah acara tahunan dengan sejarah antara perlumbaan paling tua di dunia, dan ia adalah pusingan ke-tujuh atau terakhir untuk Kejuaraan Rali Tarmac Ireland 2019. Ia adalah rali di atas permukaan tar, dan merupakan rali ketahanan dengan jarak keseluruhan semua SS sejauh 280 km, berlangsung pada 28 dan 29 September dengan laluan SS yang berada di sekitar Cork, Dublin dan Galway.

    Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

    Penyertaan Donnelly pada Cork 20 International Rally 2019 adalah disaat akhir, di mana dia menggantikan tempat yang sepatutnya milik Rob Duggan. Berbanding Iriz R5 yang dipandu oleh Oliver Mellors dan Theo Bengry, unit milik Donnelly ini adalah Iriz R5 pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama yang dibina oleh MEM, dan ia juga unit pertama digunakan dalam rali yang bertaraf antarabangsa.

    “Kereta ini mempunyai pengendalian yang menakjubkan, dan tayar MRF telah benar-benar membuktikan kebolehannya. Cengkamannya sangat baik dalam keadaan jalan yang sukar. Ini merupakan saat yang berharga untuk diri saya, dan saya perlu katakan saya sangat berseronok dengannya. Kami datang untuk menguji kereta dan tayar dan secara keseluruhan kami sangat gembira dengan kedua-duanya,” kata Donelly.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Kereta ini juga turut ditampilkan dalam permainan video rasmi WRC terbaharu iaitu WRC 8, dan ia diletakkan dalam senarai kereta-kereta rali ikonik sepanjang zaman, yang turut dibarisi kereta-kereta rali lagenda lain seperti Lancia Stratos 1974, Ford Escort Mk11 RS1800 1974, Lancia 037 Group B 1983 dan Volkswagen Polo R WRC 2016.

    GALERI: Imej oleh Cian Don untuk Proton Iriz R5 Eugene Donnelly di Cork 20 International Rally 2019

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz E300 Exclusive W213 2019

    GALERI: Mercedes-Benz E300 Exclusive W213 2019

    Mercedes-Benz E 300 Exclusive Line W213 telah pun dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu, bersama dengan varian E 200 SportStyle Avantgarde dan juga E 350 AMG Line. Kini, kami sajikan pula galeri penuh untuk varian E-Class ini.

    E 300 yang mengambil alih varian E 250 Exclusive Line sebelum ini, ditawarkan pada harga RM379,888 atas jalan tanpa insurans. Ia turut menampilkan enjin M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 254 hp (258 PS) pada 5,800 rpm dan 370 Nm dari 1,800-4,000 rpm.

    Ia dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dan E 300 pula mampu mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 6.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j. Lain-lain aspek pemanduan yang ditampilkan termasuklah suspensi Agility Control dan Dynamic Select yang membolehkan pemandu melaras karakteristik stereng dan penjana kuasa dengan mod pemanduan yang dipilih.

    Seperti nama yang diberi, E 300 dilengkapi dengan pakej penggayaan luaran Exclusive, termasuk roda aloi 10-jejari 19-inci, lampu utama Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, tailgate kuasa dan juga bumbung matahari panoramik.

    Di dalamnya, ditampilkan upholstery kulit Nappa dengan lining kulit Artico, kemasan kayuan coklat berkilat dan kelabu coklat berkilat untuk konsol tengah, sistem kawalan suhu Thermatic, tempat duduk hadapan kuasa, Widescreen Cockpit (dua paparan 12.3-inci), pencahayaan ambien, roda stereng sport pelbagai fungsi dengan balutan kulit Nappa dan pengecas tanpa wayar.

    Lain-lain ciri termasuk sistem infotainmen COMAND Online dengan kawalan pad sesentuh dan sistem bunyi Burmester, kamera 360-darjah, Lane Tracking Package, Keyless-Go Akses Bebas Tangan, Bantuan Titik Buta, Bantuan Brek Aktif dan Bantuan Parkir Aktif.

     
     
  • Pemandu e-hailing ingin bersua muka dengan menteri

    Pemandu e-hailing ingin bersua muka dengan menteri

    Kumpulan pemandu perkhdimatan e-hailing memanjangkan hasrat mereka untuk bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menyampaikan pandangan mereka terhadap peraturan berkaitan industri mereka, lapor The Star. Kumpulan berkenaan telah bertemu dengan setiausaha politik menteri berkenaan sebagai persiapan untuk dialog itu, jelas Ketua Biro, Pengelola Masyarakat Sivil MCA, Ng Kian Nam.

    Kumpulan itu, yang diwakili oleh Komuniti Pemandu-Pemandu E-Hailing Penggerak Malaysia serta Perhimpunan Pemandu-Pemandu E-Hailing Malaysia menjangkakan bakal bertemu menteri pada 11 Oktober nanti, sehari sebelum tarikh akhir bagi pemandu untuk mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Penumpang (PSV).

    “Kami berbesar hati dan mengalu-alukan pertemuan dengan setiausaha politik menteri, tetapi kami masih ingin duduk bertemu muka dengan Anthony sendiri supaya beliau boleh mendengar apa yang mahu kami sampaikan. Kami bersedia untuk mengikut sebarang masa yang dicadangkan oleh pihaknya untuk menjayakan pertemuan ini,” jelas Ng.

    Kumpulan berkenaan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menyalurkan pandangan serta cadangan mereka ke arah membentuk peraturan dan kawal selia yang lebih menyeluruh dan baik untuk industri berkenaan. Kumpulan itu antara lain mencadangkan penubuhan tribunal e-hailing untuk menguruskan secara khusus sebarang rungutan daripada pamandu-pemandu berkaitan perkhidmatan mereka, yang khabarnya telah diterima dengan baik oleh kementerian.

     
     
  • Toyota GR Supra dipanggil semula di Amerika Syarikat

    Toyota GR Supra dipanggil semula di Amerika Syarikat

    Di Amerika Syarikat, BMW telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk Toyota GR Supra 2020, melibatkan tujuh unit kenderaan sports tersebut. Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), panggilan balik ini dilakukan kerana masalah tapak tali pinggang keledar.

    Masalah ini disedari oleh BMW pada 26 Jun 2019, yang menemui bahawa tapak tali pinggang keledar bahagian pemandu kenderaan yang terlibat tidak dikimpal mengikut spesifikasi. Semestinya, masalah ini boleh memberi risiko kecederaan kepada pemandu.

    Tiada pembaikan yang boleh dilakukan untuk masalah ini, jadi kereta tersebut akan diganti terus secara keseluruhan. Setakat ini Toyota North America telah menukar empat daripada tujuh kereta yang terlibat, dan pemilik selebihnya sedang dihubungi.

    Panggilan balik ini difailkan oleh BMW kerana Supra dikeluarkan secara kontrak oleh BMW di kilang mereka di Magna Steyr, Graz, Austria. Setakat ini tiada sebarang kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan berkaitan dengan masalah ini.

     
     
  • Maruti Suzuki S-Presso – SUV mini bagi pasaran India

    Maruti Suzuki S-Presso – SUV mini bagi pasaran India

    Maruti Suzuki telah melancarkan model baru untuk pasaran India, dikenali dengan nama S-Presso. Tampil mirip kei-car di Jepun, S-Presso ialah sebuah kereta kecil dengan penggayaan SUV, dibangunkan khusus untuk pembeli muda di sana.

    Menurut Suzuki, model ini mengambil ilham dari SUV-SUV ikonik yang pernah ditawarkan dalam pasaran. Rekaan luarannya menampakkannya sebagai sebuah kenderaan yang kukuh dan kuat. Antara sentuhan rekaan yang menarik ialah pada bahagian gril dengan empat bentuk trapezoid (ada juga pada Vitara Brezza) serta lampu utama berkembar. Untuk nampak lasak, pelindung plastik turut digunakan di sekeliling kereta kompak ini.

    Ukuran dimensi S-Presso ialah 3,565 mm panjang dan 1,520 mm lebar. Ini 114 mm lebih pendek dan 59 mm lebih sempit berbanding Renault Kwid yang turut dijual untuk pasaran India. Jarak antara rodanya pula ialah 2,380 mm, kurang 42 mm berbanding lawannya itu. Tetapi, model Suzuki ini sedikit lebih tinggi, 180 mm berbanding Kwid.

    Maruti Suzuki S-Presso – SUV mini bagi pasaran India

    Di dalam, paparan meternya dari jenis digital, disertai juga dnegan head unit 2-DIN dengan skrin sentuh. Kedudukan corong pendingin hawa pula diletakkan agak tinggi pada papan pemuka, hadir dengan kemasan yang sama warna dengan luarannya.

    S-Presso dibangun menggunakan platform Heartect terkini Suzuki, sama seperti yang digunakan pada Swift. Dengan berat sekitar 726 hingga 767 kg, kereta hatchback lima-pintu ini dikuasakan oleh enjin 1.0 liter petrol dengan janaan 68 hp dan 90 Nm. Ia enjin K10B tiga-silinder yang biasa, tetapi disesuaikan untuk menepati piawaian emisi BS6 di India yang akan dilaksanakan pada April 2020.

    Dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau transmisi automatik lima-kelajuan, bacaan penggunaan minyak S-Presso didakwa mampu memberikan 21.7 km/l. Dibuat di kilang Maruti di Manesar, S-Presso dijual pada harga bermula Rs3.69 lakh (RM21,826) bagi versi Standard yang paling asas (tiada pendingin hawa dan stereng kuasa) hingga Rs4.91 lakh (RM29,043) bagi spesifikasi VXi+ AMT yang ditampilkan dalam gambar; ia hadir sekali dengan beg udara, Apple Carplay/Android Auto, butang audio pada stereng dan larasan cermin sisi.

     
     
  • Toyota C-HR facelift muncul – varian 2.0L hibrid baru

    Toyota C-HR facelift muncul – varian 2.0L hibrid baru

    Toyota telah mendedahkan C-HR facelift di Eropah, dengan crossover kompak tersebut diperbaharui pada bahagian enjin bersama varian hibrid baru, sistem multimedia serta beberapa bahagian di luar untuk menjadikannya lebih segar.

    Lampu LED depan dan belakang model ini sekarang adalah baru. Untuk bahagian depan, ia dilengkapi dengan DRL dan penunjuk arah yang disepadukan dalam unit lampu tersebut, manakala lampu belakang pula disambung dengan spoiler berwarna hitam, menjadikannya lebih kemas. Bahagian lip bampar juga kini dicat dan ia menerima rekaan rim baru.

    Untuk pasaran Eropah, dua pilihan enjin hibrid ditawarkan. Pertamanya adalah unit 1.8 liter 2ZR-FXE yang digabungkan bersama motor elektrik 72 hp dan 163 Nm, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp. Enjin ini memang sudah ada sebelum ini, tetapi menurut Toyota, ia telah diberi peningkatan (tidak dinyatakan secara spesifik). Pilihan ini kemudiannya ditambah dengan satu lagi enjin hibrid 2.0 liter Hybrid Dynamic Force 184 hp.

    Pada bahagian lain, talaan stereng kuasa elektrik kenderaan ini turut diubah untuk meningkatkan rasa stereng manakala tahap kesenyapan kabin turut diperelok dengan penambahan pek NVH di beberapa bahagian. Varian 2.0 liter hibrid baru itu juga menampilkan rekaan suspensi baru yang dikatakan lebih selesa.

    Pada bahagian dalam, C-HR facelift ini mendapat sistem multimedia baru yang meluaskan lagi ciri sambungannya. Skrin sesentuh lapan incinya sekarang adalah lebih besar, dan sistemnya datang dengan integrasi penuh telefon pintar, Apple CarPlay, Android Auto dan kemas kini sistem navigasi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Toyota Australia juga telah mengumumkan bakal memulakan penjualan C-HR facelift pada bulan Disember ini dengan pilihan enjin hibrid akhirnya ditawarkan untuk negara itu – hanya versi 1.8 liter.

    GALERI: Toyota C-HR facelift versi LHD Eropah

    GALERI: Toyota C-HR facelift versi RHD Australia

     
     
  • Nissan IMk Concept ditunjuk awal sebelum TMS 2019

    Nissan IMk Concept ditunjuk awal sebelum TMS 2019

    Nissan nampaknya tidak mahu menunggu sehingga Tokyo Motor Show berlangsung hujung bulan ini untuk menunjukkan model konsep terbaru mereka yang dipanggil sebagai IMk Concept. Menurut Nissan, kenderaan pacuan elektrik sepenuhnya ini “menggabungkan rekaan elegan, teknologi canggih serta pecutan berkuasa EV pada badan kompak.”

    Bentuk kotak pada kenderaan ini mengingatkan kepada van kei car yang popular di negara itu, dan ia mempunyai ukuran 3,434 mm panjang, 1,512 mm lebar dan 1,644 mm tinggi. Menjadikannya istimewa, kenderaan ini diterapkan dengan pelbagai konsep rekaan tradisional Jepun.

    Antaranya adalah Akagane, yang merujuk kepada tembaga dan warnanya digunakan pada kebanyakan bahagian kenderaan ini. Jalur-jalur yang boleh dilihat pada rim, bumbung, lampu, bampar dan beberapa bahagian lain kenderaan ini pula adalan inspirasi daripada Mizuhiki, iaitu seni jalinan Jepun yang menggunakan benang khas yang diperbuat daripada kertas kanji.

    Anda juga akan dapat melihat corak seperti kerja kayu digunakan pada pada gril dan lampu kenderaan ini, manakala pada panel pintu terdapat corak yang mendapat ilham daripada seni tanggam yang dipanggil di Jepun sebagai Kigumi.

    Bahagian dalam kenderaan ini adalah ringkas, dengan tempat duduk seperti bangku (bersambung antara penumpang dan pemandu) dan kawalan fungsi kenderaan boleh dilakukan dengan menekan panel rata di bahagian tengah papan pemuka. Paparan informasi pula muncul di atas panel lutsinar di bahagian atas. Kenderaan ini juga menggunakan kamera sebagai pengganti cermin sisi dan ia dipaparkan pada skrin yang terletak di bahagian dalam.

    Nissan tidak mendedahkan sebarang perincian tentang penggerak elektrik yang digunakan pada kenderaan konsep ini, tetapi mengesahkan ia dipasang dengan sistem ProPILOT terkini dan teknologi sambungan seperti Invisible-to-Visible (I2V) dan Nissan Energy Share (Vehicle-to-Home).

     
     
  • Kanak-kanak 6 tahun ke bawah tidak dikenakan tambang bila naik KLIA Ekspress, KLIA Transit – ERL

    Kanak-kanak 6 tahun ke bawah tidak dikenakan tambang bila naik KLIA Ekspress, KLIA Transit – ERL

    Mulai hari ini, 1 Oktober 2019, kanak-kanak berusia di bawah enam tahun bakal menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspress dan KLIA Transit.

    Menurut pengendali kedua-dua tren berkenaan, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), kanak-kanak berkenaan tidak dikenakan tambang apabila menaiki perkhidmatan itu bersama penumpang dewasa yang membayar tambang. Sebelum ini, tambang percuma hanya diberi kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun.

    Walau bagaimana pun, setiap penumpang dewasa boleh membawa maksimum tiga orang anak untuk menikmati perjalanan percuma berkenaan. Semakan umur itu juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur 16 tahun apabila mereka dikenakan tambang kategori kanak-kanak.

    Sebelum ini tambang kategori kanak-kanak dikenakan kepada mereka berusia di bawah 13 tahun dan kini enam tahun hingga 16 tahun. Bagaimanapun, ERL tidak mengumumkan sebarang perubahan tambang untuk penumpang dewasa.

     
     
  • Mazda CX-8 2019 CKD kini sudah boleh ditempah – 3 baris-tempat duduk, 2.5L petrol & 2.2 diesel, 4 varian

    Mazda CX-8 2019 CKD kini sudah boleh ditempah – 3 baris-tempat duduk, 2.5L petrol & 2.2 diesel, 4 varian

    Bagi anda yang tertunggu-tunggu SUV tiga baris-tempat duduk dari Mazda iaitu CX-8, ini berita baik – model pemasangan tempatan tersebut diumumkan sudahpun mula boleh ditempah bermula hari ini serentak dengan pendedahan unit pertama keluar dari kilang pemsangannya di Kulim pagi ini.

    CX-8 adalah SUV yang diletakkan satu tangga di bawah model flagship Mazda CX-9, dan satu tangga di atas CX-5. Secara asasnya, ia adalah CX-5 dengan saiz lebih besar terutamanya jarak roda yang lebih panjang bagi membolehkan ia diberikan satu baris tempat duduk tambahan. Ia diukur dengan dimensi 4,900 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,730 mm tinggi dan jarak roda 2,930 mm – atau 230 mm lebih panjang dengan jarak roda 230 mm lebih jauh dari CX-5.

    Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Anda boleh memilih sama ada dengan konfigurasi tujuh tempat duduk (2-3-2) , atau versi lebih premium enam tempat duduk (2-2-2) yang hadir dengan captain seat untuk barisan tengah. Secara keseluruhan, empat varian ditawarkan terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD.

    Mazda CX-8 2019 CKD kini sudah boleh ditempah – 3 baris-tempat duduk, 2.5L petrol & 2.2 diesel, 4 varian

    Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, lampu nyalaan siang dengan mentol dan juga upholsteri fabrik. Model 2WD Mid Plus pula menerima konfigurasi enam-tempat duduk, lampu nyalaan siang LED dan upholsteri fabrik.

    Model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk dengan baris kedua dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

    Pada bahagian luar, selain dari jarak roda panjang CX-5 dan CX-9 dibezakan dengan pemadanan gril dimana model lebih panjang ini diberikan gril dengan elemen slat mendatar seperti CX-9 berbanding mesh pada CX-5. Model diesel pula menerima rel bumbung dengan kemasan perak.

    Mazda CX-8 2019 CKD kini sudah boleh ditempah – 3 baris-tempat duduk, 2.5L petrol & 2.2 diesel, 4 varian

    Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

    Sistem keselamatan Mazda i-Activesense hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

    Walau bagaimanapun, model 2.5L 2WD Mid Plus akan diberikan sistem Lampu Adaptif Hadapan (AHS), BSM, RCTA dan juga CMBS untuk bahagian hadapan sahaja.

    Untuk model petrol, ia akan dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi tertinggi akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

    Walau bagaimanapun, Mazda Malaysia masih belum mendedahkan harga CX-8 2019 CKD, tetapi ia dijangka akan diumumkan dalam masa berberapa minggu lagi. Enam warna ditawarkan untuk SUV ini iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, dan Jet Black. Setiap pembelian model ini akan disertakan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km serta selenggaraan percuma selama lima-tahun.

    GALERI: Mazda CX-8 diprebiu ketika di Malaysia Autoshow 2019

     
     
  • Persatuan teksi mohon bantuan Majlis Senator untuk perjuangkan isu industri teksi di Dewan Negara

    Persatuan teksi mohon bantuan Majlis Senator untuk perjuangkan isu industri teksi di Dewan Negara

    Masih tidak selesai atau surut juga isu yang melanda industri teksi di Malaysia ini. Terkini, Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) meminta bantuan Majlis Senator Malaysia untuk membawa isu berkaitan ke Dewan Negara.

    Menurut laporan Bernama, Yang DiPertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain telah pun menyerahkan memorandum yang mengandungi tujuh tuntutan dengan matlamat memartabatkan kembali industri teksi negara kepada Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Abd Samad. Malahan GTS turut berbesar hati melantik Khairuddin sebagai penaung persatuan tersebut.

    “Majlis Senator Malaysia dilihat prihatin dengan isu yang diperjuangkan GTSM itu dan sedia membawanya untuk perhatian kerajaan. Saya juga akan bawa dan bahaskan isu ini di Dewan Negara pada masa akan datang supaya isu yang membelenggu pemandu dan industri teksi diambil maklum oleh kerajaan,” ujar Kamarudin.

    Sambungnya lagi, GTSM mengharapkan usaha yang berkesan dapat dilakukan Majlis Senator Malaysia untuk pihaknya mendapat hak sama rata seperti yang dinikmati perkhidmatan e-hailing, seperti tidak perlu menjalani pemeriksaan Puspakom seawal tahun pertama.

     
     
  • Kawasaki keluarkan satu lagi teaser Z supercharge

    Beberapa minggu lepas, Kawasaki telah mengeluarkan satu teaser yang memberikan petunjuk kemunculan model baru Z supercharge. Dalam video itu, apa yang boleh dilihat cuma grafik kipas supercharger dan juga tulisan Z. Kini, satu lagi teaser dikeluarkan, dan menunjukkan sedikit bayang motosikal itu sendiri dan diberitahu akan muncul pada 23 Oktober nanti (waktu yang sama dengan Tokyo Motor Show)

    Pertamanya kita boleh melihat motosikal tersebut mempunyai lampu hadapan yang terbahagi dua dan di atasya terdapat logo sama seperti yang digunakan pada Ninja H2. Bahagian meter juga ditunjuk. Walaupun tidak menyala sepenuhnya, kita boleh melihat lampu fungsi termasuk KTRC, cruise control dan juga ABS.

    Skema warna motosikal ini juga seperti sama dengan Ninja H2 iaitu menggunakan kerangka berwarna hijau dan juga panel badan krom gelap yang mempunyai bukaan udara kecil di tepi. Bahagian enjin sekali lagi menunjukkan ia adalah unit supercharge.

    Seperti ramai yang sudah tahu, Z digunakan sebagai tanda nama model naked keluaran Kawasaki, yang mempunyai variasi enjin, dari 125 hinggalah 1,000 cc. Sekiranya model baru Z ini menggunakan enjin sama seperti H2, ia mungkin boleh menjadi model Z yang paling berkuasa.

    Pada H2, enjin empat silinder empat silinder sebaris 998 cc, yang dibantu oleh unit supercharger keluaran Kawasaki sendiri, mampu menghasilkan kuasa sehingga 200 PS (H2R boleh menghasilkan 310 PS) pada 14,000 rpm dan 165 Nm tork pada 12,500 rpm.