Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki Satria F150 diberi pembaharuan di Indonesia

    Suzuki Satria F150 diberi pembaharuan di Indonesia

    Beberapa tahun dulu Suzuki ada menjual model motosikal Belang 150 di Malaysia. Tapi sekarang tiada lagi sedangkan negara-negara jiran menerima generasi baru model ini yang dikenali sebagai Raider atau Satria, bergantung kepada pasaran.

    Di Indonesia, Satria F150 telah diberikan penyegaran sebagai model 2020. Ia cuma pada pilihan warna dan grafik, sementara bahagian mekanikal lain masih tidak berubah. Selain warna Blue GP yang sudah sedia ada, Satria F150 ini sekarang ditawarkan dalam warna Matt Blue, Matt Black, Titan Black dan White Blue.

    Bagi dua versi warna Matt yang ditawarkan, selain mempunyai penampilan yang lebih elegan, ia juga diberikan dengan logo dan lencana 3D, pengecas USB bawah tempat duduk serta sistem kunci penggera. Versi warna lain pula mendapat rim yang berwarna (merah, biru atau berjalur).

    Spesifikasi Satria F150 ini masih tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 147.3 cc DOHC, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan 18.4 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera depan dan belakang, berat 109 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.


    GALERI: Suzuki Satria F150

     
     
  • Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina dilancarkan dengan harga bermula RM79k, tiga varian 1.5L Turbo

    Geely Coolray – Binyue pasaran Filipina dilancarkan dengan harga bermula RM79k, tiga varian 1.5L Turbo

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, SUV Segmen-B dari Geely iaitu Binyue telah selamat dilancarkan pada pasaran Filipina, dan ia dijenamakan semula sebagai Geely Coolray di negara tersebut. Apa yang menarik, Coolray yang hadir dalam tiga varian tetapi dijana enjin 1.5L Turbo yang sama dijual pada harga lebih rendah dari harga jangkaan 1.2 juta peso (RM96k) hingga 1.3 juta peso (RM105k) sebelum ini.

    Model asas Comfort dijual pada harga 978,000 peso atau RM78,641, manakala varian pertengahan Premium pula dijual pada harga 1,088,000 peso atau RM87,486. Sementara untuk versi tertinggi Coolray Sport dapat dibeli di Filipina dengan harga 1,198,000 peso atau RM96,331.

    Ketiga-tiga varian akan dijana oleh enjin G-Power tiga-silinder 1.5 liter dengan pengecas turbo yang mampu menghasilkan 175 hp dan tork maksima 255 Nm. Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Ia juga didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api 6.1 l/100 km dalam kitaran gabungan bandar dan lebuhraya.

    Bergantung pada varian, Coolray akan menerima kelengkapan seperti lampu hadapan projektor atau LED, rim 17- atau 18-inci, upholsteri fabrik atau kulit, bumbung panaromik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci bersama sambungan android QD Link, paparan meter digital dengan skrin tujuh-inci serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

    Ciri lain yang turut diberikan pada SUV ini termasuk sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), serta fungsi penghidup enjin kawalan jauh seperti pada Honda Civic generasi ke-10, yang membolehkan anda menghidupkan enjin bagi menyejukkan kabin dengan sistem pendingin hawa sebelum masuk ke kereta, dari jarak jauh.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian Coolray akan menerima kelengkapan standard meliputi sistem ESC, traction control, ABS dengan EBD dan BA, bantuan mula mendaki serta kawalan menurun bukit. Khas untuk varian Sport, ia turut dilengkapi dengan sistem G-Pilot iaitu sistem pemanduan separa autonomous bersama sistem parkir automatik yang mampu memarkir secara selari dan beserenjang. Kamera pemantau sekeliling juga diberikan pada varian tertinggi ini.

    Berlainan dengan negara ASEAN lain yang menggunakan pemanduan sebelah kanan, Filipina adalah pasaran dengan pemanduan sebelah kiri. Oleh itu Geely Coolray diimport sepenuhnya dari China ke Filipina oleh pengedar rasminya, Sojitz G Auto Phillippines (SGAP) yang dilantik baru-baru ini. Ini percubaan kali kedua Geely untuk masuk ke pasaran berkenaan, dengan sebelum ini dibawa oleh AutoChina.

    Seperti yang diketahui, kita di Malaysia juga sedang tertunggu Geely Binyue ini dijelmakan sebagai Proton X50, dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan. Segalanya yang kami tahu berkenaan Proton X50 boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Honda telah mengumumkan bahawa model generasi baharu hatchback segmen-B mereka, Honda Fit/Jazz bakal membuat kemunculan sulungnya pada Tokyo Motor Show 2019 yang akan berlangsung bulan hadapan.

    Tiada perincian penuh mahupun gambar disertakan pada pengumuman tersebut, tetapi Honda telah mengesahkan bahawa versi hibrid Honda Jazz generasi seterusnya itu bakal menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) seperti Honda Accord dan CR-V Hybrid terkini, tetapi dalam versi lebih kecil.

    Menurut Honda, sistem i-MMD yang lebih kompak dari sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) sedia ada kerana tidak mempunyai kotak gear akan membolehkan Jazz tersebut menerima ruang dalaman yang lebih luas.

    Honda Jazz generasi baharu sah muncul di Tokyo bulan hadapan – versi hibrid bakal guna sistem i-MMD

    Versi petrol biasa turut akan diteruskan dengan konfigurasi sama seperti sekarang dengan menempatkan tangki petrol pada bawah tempat duduk hadapan membolehkan konfigurasi tempat duduk Ultra Seat yang versatil terus ditampilkan pada Jazz.

    Gambar illustrasi yang anda lihat ini bukanlah imej rasmi dari Honda, tetapi ia adalah buah tangan dari pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin. Chin menghasilkan illustrasi tersebut bukan secara hentam keromo, tetapi berdasarkan gambar spyshot prototaip sebenar Honda Jazz generasi baharu yang ditemui sedang diuji.

    Versi terbaharu berkenaan menampilkan rekaan yang lebih bulat dan kelihatan lebih lembut, jika dibandingkan dengan model generasi GK sedia ada dengan elemen lebih tajam dan agresif.

    Selain dari Jazz baharu ini, Honda turut akan mempamerkan MPV Freed facelift, dan juga pengenalan semula Accord di Jepun setelah empat tahun tidak dijual pada pasaran negara matahari tersebut. Tokyo Motor Show 2019 akan berlangsung bermula 23 Oktober sehingga 4 November, dan jangan lupa untuk nantikan laporan langsung kami dari sana pada tarikh berkenaan.

    GALERI: Spyshot Honda Jazz generasi seterusnya

     
     
  • Proton 1-Tank Adventure Sabah catat purata 17.4 km/l

    Proton 1-Tank Adventure Sabah catat purata 17.4 km/l

    Selepas pusingan yang berlangsung di Semenanjung sebelum ini, Proton 1-Tank Adventure 2019 bertandang pula ke Sabah, hujung minggu lalu bagi cabaran pusingan kedua. Peserta dari negeri di bawah bayu itu melalui perjalanan dengan latar pemandangan manawan sejauh 525 km dari Kota Kinabalu menuju Kudat, sebelum ke Kundasang dan kembali ke pusat bandar.

    Ia meliputi perjalanan melalui permukaan yang pelbagai yang membolehkan Proton Iriz, Persona dan Saga yang digunakan diuji terlebih dahulu sebelum bacaan penggunaan minyak yang terbaik ditentukan kemudiannya. Seperti dijangkakan, kadar purata penggunaan yang dicapai adalah lebih daripada bacaan yang diperoleh di Semenanjung, disebabkan perbezaan permukaan bumi.

    Proton 1-Tank Adventure Sabah catat purata 17.4 km/l

    Kadar terbaik yang direkodkan – disahkan oleh penilai bertauliah dari Malaysia Speed Festival (MSF) – ialah 6.06 liter per 100 km (16.5 km/l) bagi Iriz; bacaan terbaik keseluruhan ialah 5.75 liter per 100 km (17.4 km/l) bagi Saga dan 5.81 liter 100 km (17.2 km/l) bagi Persona. Jarak keseluruhan maksimum yang diperoleh berdasarkan kapasiti tangki petrol 40 liter ialah 601 km.

    Penganjur acara menyifatkan keputusan berkenaan sangat mengkagumkan, selepas mengambil kira had masa yang ketat yang dikenakan di semua checkpoint bagi memastikan peserta kekal pada kelajuan minimum – untuk tujuan keselamatan, serta bagi memastikan angka yang diperoleh itu adalah dari situasi pemanduan sebenar.

     
     
  • Hyundai bangunkan beg udara konsol tengah

    Hyundai bangunkan beg udara konsol tengah

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Automobil Eropah, kadar kecederaan sekunder yang dihadapi oleh penumpang yang berlaga sesama sendiri atau pun melibatkan bahagian dalaman sewaktu kemalangan adalah sebanyak 45%. Justeru, Hyundai Motor Group mengambil inisiatif untuk membangunkan beg udara konsol tengah untuk melindungi impak antara pemandu dan penumpang hadapan, dan teknologi ini dikatakan akan diperkenalkan untuk modelnya yang akan datang.

    Teknologi yang baru dipatenkan ini diaplikasi pada beg udara untuk mengurangkan berat dan saiz, sementara kebolehpercayaan beg udara masih dikekalkan, ujar Hyundai. Beg udara yang dipasang di tengah termasuk tether direka dengan rekaan yang lebih kompak dan fleksibel serta bersesuaian dengan ruang dalaman model baharu tersebut.

    Beg udara tambahan ini pastinya dapat membantu Hyundai dalam ujian pelanggaran Euro NCAP yang akan datang, di mana ia dijangka akan menambah ujian impak sisi yang lebih spesifik mulai tahun 2020, ujar Hyundai lagi.

    “Pembangunan untuk beg udara bahagian tengah ini adalah penambahan bagi beg udara sedia ada. Kami akan terus menambah baik aspek keselamatan penumpang dengan menyediakan ciri yang diperlukan,” ujar jurutera penyelidik sistem kejuruteraan keselamatan pelanggaran Hyundai Motor Group Hyock In Kwon.

    Ini merupakan pembangunan beg udara kedua yang diumumkan oleh Hyundai Motor Group pada 2019. Awal tahun ini, syarikat tersebut turut mengumumkan telah mula membangunkan beg udara pelbagai-pelanggaran terhadap impak sekunder. Beg udara tersebut dijangka akan ditampilkan untuk barisan model akan datang Hyundai dan Kia, ujar syarikat tersebut pada Januari lalu.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

    PANDU UJI: Toyota GR Supra – ini Toyota, bukan BMW

    Dulu masa Honda mendedahkan Honda CR-Z dan menyatakan ia adalah jelmaan semula Honda CR-X, saya tergelak atas apa yang saya rasa ketika memandu model yang dijana unit janakuasa hibrid IMA yang hampir sama iaitu Honda Insight. Tapi bila dah pandu sendiri CR-Z berkenaan, saya terkedu, kereta hibrid tersebut benar-benar memberikan aura pemanduan seperti hot-hatch Honda era 90’an.

    Ketika Toyota memperkenalkan jelmaan semula Levin/Sprinter Trueno AE86 iaitu model generasi baharu Toyota 86, saya kurang senang dengan hakikat bahawa ia bukan lagi dari keluarga Corolla, lari dari salasilah keluarga asal dengan kod casis ‘E’. Namun setelah memandunya buat pertama kali pada tahun 2012, ya, DNA kereta tersebut sama dengan AE86 – ia bukan mesin kelajuan, tetapi jentera yang membuatkan anda tersenyum ketika melayan selekoh.

    Jadi berita berkenaan Toyota akan melahirkan semula Supra dengan teknologi BMW, saya terima dengan neutral. Saya tidak mahu ada sebarang andaian awal seperti “ini BMW rebadge” atau “dah tak true Supra tak pakai enjin 2JZ”, dan hanya akan mengulasnya setelah memandu kereta tersebut.

    Alhamdulillah, sebelum berlangsungnya pelancaran kereta sport ini di Malaysia pada petang 20 September 2019 lalu di Muzium TUDM Sungai Besi, saya dan rakan-rakan media lain diberi kesempatan membuat sesi pandu uji ringkas terhadap kereta ini di lapangan terbang lama tersebut. Jadi, ulasan pandu uji ini bukanlah terlalu mendalam, tetapi ia lebih bersifat salam perkenalan saya terhadap Toyota GR Supra A90.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Mirai gen-kedua bakal dilancarkan pada 2020

    Toyota Mirai gen-kedua bakal dilancarkan pada 2020

    Nampaknya pecutan Toyota Mirai tidak terhenti begitu sahaja, malah ia sedang giat diteruskan. Pengeluar automotif gergasi Jepun ini sedang mempersiapkan segala langkah untuk melancarkan model generasi kedua untuk kereta bahan api hidrogen (FCV) ini pada tahun hadapan. Perkara ini dimaklumkan oleh pengerusi syarikat Takeshi Uchiyamada ketika berucap dalam mesyuarat tenaga hidrogen di Tokyo, seperti yang dilapornkan Reuters.

    Memasuki pasaran dunia sejak akhir 2014, Mirai atau bermaksud ‘masa depan’ dalam bahasa Jepun, merupakan kenderaan FCV pertama untuk pasaran semasa biarpun harganya agak tinggi kerana memiliki komponen khas seperti tangki hidrogen dan penjana kuasa elektrik.

    Ketika dilancarkan, model tersebut boleh mencapai pacuan sehingga 650 km mengikut kitaran JC08 yang diuji di negara kelahirannya. Sedan saiz sederhana empat-pintu ini menempatkan ruang sel bahan apinya di bawah tempat duduk hadapan dan menawarkan kuasa kira-kira 3.1 kW/L. Lain-lain angka termasuk kuasa keseluruhan sehingga 153 hp, 0-100 km/j dalam 9.0 saat dan 40-60 km/j dalam 3.0 saat.

    Untuk Mirai generasi kedua, buat setakat ini tiadak sebarang perincian yang dikongsikan. Namun pastinya usaha Toyota untuk menambahbaik dan memperbaharui kenderaan mesra-alam ini disifatkan tepat pada masanya di kala global semakin terbuka menerima kehadirannya terutamanya yang melibatkan pasaran berskala besar seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah.

    GALERI: Toyota Mirai di Fuji Speedway Short Course

     
     
  • Trak pikap Hyundai beralih guna binaan ladder frame

    Trak pikap Hyundai beralih guna binaan ladder frame

    Dalam perkembangan terbaru, trak pikap Hyundai yang dalam pembikinan sekarang ini nampaknya tidak akan menggunakan casis unibody seperti yang dicadangkan pada konsep Santa Cruz Crossover Truck sebelum ini. Sebaliknya, ia akan kembali kepada platform ladder-frame.

    “Apa yang jelas, sekiranya kami ingin memperkenalkan sebuah trak pikap, maka ia perlu menjadi sebuah trak pikap dalam ertikata sebenar. Kami telah melepasi halangan pertama iaitu menentukan rupa trak ini, tetapi ia juga perlu mempunyai fungsi yang sepatutnya. Itu bahagian yang lebih penting,” ujar CEO Hyundai Australia, John Kett dalam satu temubual bersama Which Car.

    Beliau menambah, pikap Hyundai dengan platform ladder-frame, yang akan bersaing di dalam segmen trak satu tan, akan menjadi pencabar terbaru bagi model-model popular seperti Toyot Hilux dan Ford Ranger. Sama seperti model-model berkenaan, Hyundai akan menawarkan banyak pilihan atau varian berbeza untuk traknya nanti.

    “Kami sedang memperhalusi barisan penawaran itu. Biasanya untuk pasaran berkaitan pikap, akan ada penawaran sistem pacuan 4×2 dan 4×4, dan masing-masing ada pilihan enjin atau sistem lain yang datang sekali dan menjadi keperluan pengguna. Kami juga akan melihat ke arah itu,” tambah beliau.

    “Kami ingin lebih bijak dalam mengambil keputusan ke arah itu, dan inilah yang sedang kami lakukan ketika ini. Pengurus Produk Hyundai kini memikul banyak tanggungjawab, dan kami tak ingin menunggu lama sebelum memperkenalkan model terbabit. Sangat penting untuk memenangi perhatian dan keyakinan pengguna,” jelas beliau lagi.

     
     
  • Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 – empat finalis

    Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 – empat finalis

    Selepas beberapa siri ujian intensif, Malaysia Speed Festival (MSF) dan Proton R3 telah pun mengumumkan empat finalis yang dipilih untuk berlumba dalam pasukan Proton R3 sewaktu perlumbaan Sepang 1000 km 24 November nanti. Mereka adalah Dayangku Faratiwan Adnil, Nurul Husna Nasharuddin, Ng Aik Sha dan Samanda Lee.

    Cabaran seterusnya, mereka akan diuji memandu Proton Suprima yang dibina oleh Proton R3 25 September ini dan kemudiannya diberikan peranan yang bersesuaian dalam pasukan lumba itu. Walaubagaimanapun semasa perlumbaan sebenar nanti, mereka akan menggunakan kereta ketiga pasukan Proton R3, iaitu sebuah Iriz.

    “Secara jujurnya, agak sukar untuk memilih finalis ini. Saya boleh katakan mereka semua mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada beberapa kriteria yang perlu dinilai untuk pemilihan akhir, dan semuanya hanya boleh dilihat melalui aktiviti latihan pemanduan, di mana ketelitian adalah sangat penting untuk memastikan kemenangan,” kata ketua pasukan Proton R3, Gary Lee.

    Pencarian Pelumba Wanita MSF-R3 – empat finalis

    “Dalam keadaan pemanduan mencabar di mana pertukaran berat yang agresif diperlukan, waktu itulah anda akan dapat melihat siapa yang memandu lancar dan tenang. Karekter ini hanya boleh ditemui pada mereka yang boleh fokus dengan baik,” tambah Gary.

    “Melihat pelumba MSF dinilai dan dipilih untuk program ini adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi kami. Kami rasa sangat dihargai apabila diberi peluang oleh Proton R3 untuk memilih calon program ini – dan kami bangga dengan wanita yang dipilih untuk menyertai pasukan lumba Malaysia yang mempunyai rekod cemerlang ini,” kata ketua MSF Series Adian Yein.

     
     
  • Subaru Levorg Prototype bakal tampil di Tokyo Okt ini

    Subaru Levorg Prototype bakal tampil di Tokyo Okt ini

    Walau pun ia bukanlah model yang begitu popular seperti abangnya, WRX, namun Subaru Levorg mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Malah Levorg turut dianggap sebagai “WRX versi wagon”, mula diperkenalkan di peringkat dunia enam tahun dahulu. Untuk meneruskan kelangsungannya, Subaru bakal mempamerkan model akan datang Levorg di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 hujung Oktober ini. Bagi menambahkan debarannya, Subaru telah pun menyebarkan imej teaser bagi versi prototaip ini.

    Levorg baharu ini nampaknya masih terus dibangunkan berasaskan model Impreza generasi kelima (yang menggunakan Subaru Global Platform) dan juga mempunyai banyak persamaan. Namun demikian, menerusi imej teaser ini, ia juga ada perbezaannya, dan ternyata diinspirasikan dari Viziv Tourer Concept. Berbanding seksyen sisi yang lebih berlekuk seperti Impreza dan XV, Levorg direka untuk nampak lebih gagah dengan garisan yang lebih melunjur ke hadapan.

    Dengan bahagian hadapan dan belakang yang nampak tegap, permukaan sisinya pula mengingatkan kita pada Lexus NX, dan lekuknya pula lebih melunjur ke atas hadapan hingga ke beltline. Bahagian belakang sedikit bercerun hingga ke lampu belakang berbentuk-C. Subaru juga masih mahu menampakkan imej sedikit mirip untuk Levorg dan WRX seperti mana model semasa, justeru versi baharu ini mungkin ada persamaan gaya – kecuali bahagian bumbung dan belakangnya.

    Kuasanya dijangka ditampilkan dengan enjin empat-silinder pengecas turbo yang diturunkan kapasitinya – 1.5 liter dengan 148 hp dan 1.8 liter (266 hp). Dan ia juga mungkin terus dipadankan dengan Lineartronic CVT dan pacuan empat-roda.

     
     
  • Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Saya membaca berita berkaitan cadangan pengharaman motosikal kapcai atau yang berkapasiti di bawah 250 cc dari jalanraya di Malaysia yang diusulkan oleh seorang aktivis keselamatan jalanraya, Shahrim Tamrin, dengan fikiran dan perasaan yang bercampur-baur. Berita ini mula sekali dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

    Pertama, perlu dijelaskan pendirian saya sendiri berkaitan hal ini; saya tanpa ragu-ragu menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk menjadikan jalanraya kita lebih selamat. Ini sangat jelas, tiada sanggahan. Semua kita inginkan suasana dan jaminan keselamatan yang lebih baik ketika berada di atas jalan, tanpa mengira kenderaan apa yang dinaiki. Kata kuncinya di sini; “Selamat untuk semua.”

    Dan, di dalam kepala saya, untuk mencapai keadaan yang ideal ini – misalnya untuk menurunkan jumlah angka kemalangan maut di negara ini – ia perlulah melibatkan kesungguhan dan kesedaran dari semua pihak berkepentingan yang terlibat, terutamanya SEMUA pengguna jalanraya. Menyalahkan atau menjadikan hanya satu kelompok sebagai kambing hitam tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini.

    Keprihatinan Shahrim terhadap angka kematian penunggang dan pembonceng motosikal yang terkorban saban tahun di jalanraya sangat saya hargai. Antara data dari PDRM yang dikongsi dan dilaporkan, sepanjang tahun 2018 sahaja seramai 4,128 orang telah maut. Setahun sebelum itu, pada 2017, angkanya 4,348 orang. Ini sangat menakutkan sekaligus meresahkan.

    Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Cuma bila tiba kepada cadangan yang diusulkannya, iaitu untuk mengharamkan sama sekali penggunaan motosikal berkapasiti enjin di bawah 250 cc atau kapcai kuasa rendah di jalanraya, saya tak dapat membohongi diri sendiri dan merasakan cadangan itu sangat bermasalah. Bagaimana cadangan seperti itu boleh terdetik dalam benak seorang aktivis keselamatan jalan raya yang menurut saya, seharusnya mempunyai pandangan dan kefahaman yang meluas terhadap hal-hal berkaitan lainnya, bukan sekadar apa yang berlaku di atas jalan? Saya akan huraikan pandangan saya di sini.

    Motosikal kapcai atau yang berkuasa 250 cc ini merupakan penyelesaian ekonomi yang paling ampuh di dalam kehidupan sebahagian besar daripada mereka-mereka yang bergerak di atas jalanraya kita saban hari. Ia serampang dua mata; merupakan penyelesaian paling ekonomis dalam kehidupan dan dalam masa sama, menjadi sumber kepada mata pencarian untuk menampung keperluan ekonomi isi rumah – dengan cara paling cekap dan jimat.

    Kos pemilikan dan kos penggunaan motosikal 250 cc atau kapcai ini sangat rendah dan menepati kemampuan sebahagian besar golongan kelas menengah pengguna jalanraya di Malaysia. Ia juga merupakan pilihan yang menjimatkan tenaga; bayangkan bagaimana situasi misalnya mereka yang berkereta, tetapi hanya memandu dan menjadi satu-satunya penumpang di dalamnya yang kemudiannya seperti kita tahu, menyumbang kepada keadaan kesesakan lalu lintas yang tidak perlu? Kerana, jika hanya bergerak seorang diri, motosikal menjadi penyelesaian yang lebih membawa manfaat bukan kepada diri penumpang sendiri, tetapi juga untuk orang lain. Ini hanya satu contoh.

    Juga, belum lagi kita membicarakan tentang masalah kegagalan perancangan bandar yang kita hadapi hari ini; bangunan ruang pejabat atau tempat kediaman yang bercambah dibina tetapi tanpa ruang meletak kereta yang mencukupi, yang setanding dengan kapasiti penduduk atau pengguna di bangunan-bangunan tersebut. Sekali lagi, motosikal menjadi penyelesaian yang sangat berkesan terhadap masalah ini. Tetapi, entah disedari atau tidak, tempat meletak motosikal saja masih gagal disediakan secukupnya, dengan akses yang mudah, di kebanyakan tempat.

    Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Lagi cerita tentang ekonomi. Jika usul itu cukup bernas, bagaimana nasib penunggang-penunggang yang mencari rezeki tambahan dengan melakukan pekerjaan sebagai despatch makanan seperti Food Panda, Grab Food, Dah Makan, Honest Bee dan sebagainya yang hampir semuanya menggunakan kapcai? Pernah difikirkan tentang renjatan yang akan berlaku terhadap kitaran eko-sistem ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan? Apa penyelesaian lain untuk mereka-mereka yang sanggup bekerja lebih menggunakan medium motosikal ini? Tentulah, motosikal dengan enjin lebih besar bukan pilihan bijak kerana ia tidak cekap dari segi kos.

    Kita alihkan perhatian kepada situasi kemalangan pula. Memang tidak dinafikan, kelompok penunggang dan pembonceng motosikal paling ramai menerima kesan, seperti statistik yang dinyatakan tadi. Tetapi, lebih menarik untuk dipertanyakan, adakah dalam banyak kes, motosikal yang menjadi punca atau mereka sekadar menjadi mangsa keadaan?

    Pecahan statistik seperti ini akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas terhadap budaya jalanraya di Malaysia. Ini kerana, daripada statistik lain yang dikongsikan dalam laporan berkenaan juga ada dinyatakan bahawa pada 2018, kemalangan kereta atau motokar lain adalah yang paling tinggi, iaitu 591,399 kes berbanding yang melibatkan motosikal sebanyak 113,288 kes. Cumanya, penunggang dan pembonceng mencatatkan peratusan kematian paling tinggi, sekitar 65% daripada keseluruhan kematian yang dicatatkan.

    Maksudnya, saya tidak membela membuta tuli golongan penunggang atau pembonceng. Memang ada segelintir daripada kelompok ini yang tidak berhemah, dengan sikap tunggangan merbahaya dan sebagainya. Kita tidak perlu berkompromi misalnya dengan golongan mat rempit yang kerjanya berlumba haram atau membuat aksi ‘superman’ di jalan raya, atau penunggang-penunggang yang kerap melanggar peraturan lalu lintas. Kenal pasti dan kenakan hukuman seberat mungkin kepada mereka, tak ada siapa yang akan berasa kasihan.

    Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Tetapi, yang menjadi masalah ialah sikap pukul-rata atau ‘sweeping statement’ yang dibuat oleh Shahrim terhadap golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Bagaimana hendak diletakkan beban kesalahan itu ke atas bahu semua penunggang kapcai bawah 250 cc tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada angka kematian pengguna motosikal, yang sudah tentu sangat berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain? Adakah itu adil kepada penunggang motosikal? Mengapa hendak dinafikan pula hak mereka ini untuk bermotosikal?

    Selain itu, saya sendiri ingin tahu, misalnya sejauh mana bersungguh dan berkesannya penguatkuasaan yang dikenakan terhadap pemandu kereta yang menggunakan telefon ketika memandu? Begitu juga dalam banyak situasi, ketika motosikal hanya menjadi mangsa kecuaian pemandu kereta dan kenderaan lain? Adakah anda tidak pernah melihat situasi di mana kereta yang mengubah lorong secara membuta tuli dan melanggar penunggang yang berada di titik buta? Ini berlaku di atas kecuaian siapa?

    Dalam banyak keadaan seperti itu, penunggang motosikal tidak menunggang laju pun, terutama ketika aliran trafik agak banyak. Jadi, apa cadangan terhadap pemandu kereta atau kenderaan lain yang cuai dan menyebabkan kematian penunggang motosikal? Adakah dengan mengharamkan sama sekali penggunaan kereta di jalanraya? Ini pertanyaan-pertanyaan yang ingin saya ajukan kepada Shahrim sendiri.

    Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

    Untuk berlaku adil, beliau mencadangkan juga kapcai yang diharamkan itu diganti dengan penggunaan skuter elektrik dengan kelajuan dihadkan di bawah 80 km/j, untuk mengelakkan daripada penunggang membawa motosikal dengan laju. Apa kaitannya sikap pemanduan kenderaan lain terhadap kebarangkalian kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian yang tidak pun berkaitan dengan berapa kelajuan penunggang motosikal?

    Seperkara lagi yang membuatkan saya begitu mual meneliti hujah yang dikeluarkan – berkaitan subjek apa pun – adalah ketika pengusul terpaksa memetik nama negara-negara lain, dalam konteks ini, China dan Taiwan, yang katanya telah lama mengharamkan kapcai. Pandangan ini bagi saya datang dari orang yang tidak faham latar masyarakat yang berbeza-beza di setiap negara; China dan Taiwan sejak dulu lagi merupakan pasaran besar untuk motosikal jenis skuter, dan tak pernah kapcai mendapat perhatian meluas dalam pasaran di sana.

    Hal-hal dangkal seperti ini tidak seharusnya dijadikan contoh atau alasan melulu untuk mengolah persetujuan umum terhadap perkara ini, kerana dari awal lagi, ia bermula dengan pandangan yang juling; situasi dan keperluan pengangkutan semasa di Malaysia sangat berbeza berbanding di Taiwan dan China. Seharusnya pemerhatian yang lebih terperinci dilakukan dengan mengambil latar di sini, bukan sekadar meminjam-minjam situasi di negara lain untuk dijadikan alasan mudah. Apa pula pandangan anda?

     
     
  • Toyota Corolla Trek – varian ranggi gaya crossover, kerjasama dengan pengeluar basikal terkenal

    Toyota Corolla Trek – varian ranggi gaya crossover, kerjasama dengan pengeluar basikal terkenal

    Di Eropah, pembeli Toyota Corolla Touring Sports (wagon) kini diberikan pilihan versi lebih ranggi, dipanggil sebagai Corolla Trek, dengan gaya seperti crossover. Ia adalah satu model kolaborasi dengan pengeluar basikal, Trek, dan disasarkan kepada pengguna yang mempunyai gaya hidup aktif.

    Corolla Trek ini boleh didapati dalam tiga pilihan enjin iaitu 1.2 liter turbo, 1.8 liter atau 2.0 liter hibrid, dan keistimewaannya bukan sekadar terletak pada penampilan. Tinggi kenderaan juga dinaikkan 20 mm berbanding model Touring Sports biasa.

    Antara bahagian yang menjadikan Corolla Trek ini nampak lebih ranggi adalah kemasan pada keliling lengkuk roda serta tambahan plet pada bampar hadapan dan belakang. Turut dipasang adalah gril jenis honeycomb, cermin belakang gelap, lampu kabus, lampu LED, rim 17 inci, dan sudah tentu, lencana Trek untuk menunjukkan keluaran khasnya.

    Di bahagian dalam, varian ini mendapat balutan fabrik dua tona pada tempat duduk dan kemasan kayu pada papan pemuka. Lencana Trek turut diletakkan di tepi pintu. Kelengkapan standard lain adalah termasuk skrin infotainmen TFT tujuh inci, panel instrumen TFT tujuh inci, serta pakej keselamatan dan bantuan pemandu Safety Sense.

    Corolla Trek pertama kali dipertontonkan sewaktu perlumbaan basikal La Vuelta di Sepanyol, tetapi ramai yang tidak menyedari ia adalah versi istimewa kerana pelekat yang digunakan. Kerjasama antara Toyota dan Trek juga akan melihatkan penggunaan 16 Corolla Trek (semuanya berenjin 2.0 liter hibrid) oleh pasukan Trek-Segafredo sepanjang perlumbaan basikal Eropah yang disertainya.

     
     
  • Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

    Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

    Seperti yang kita semua tahu, era 90’an merupakan era keemasan dalam industri automotif Jepun. Model-model JDM bukan sahaja gah dengan nama-nama model berprestasi tinggi seperti Skyline GT-R, Lancer Evolution dan Supra, malah nama-nama enjin seperti RB26DETT, 4G63T dan 2JZGTE turut menjadi buah mulut peminat-peminatnya.

    Namun tahun demi tahun, enjin-enjin berkenaan mula dihentikan produksi kerana tidak lagi mampu untuk memenuhi standard pencemaran yang semakin menekan. Tetapi tahukah anda ada satu enjin dari era tersebut masih bertahan sehingga kini? Ia adalah enjin boxer empat-silinder dari Subaru iaitu EJ20, yang menjana model-model berpretasi tinggi Subaru dari era Legacy RS, Impreza WRX GC8, hingga kepada model Subaru WRX STI generasi sedia ada.

    Tetapi, usia produksi EJ20 juga nampaknya telah sampai ke penghujung. Subaru telah mengumumkan model WRX STI EJ20 Final Edition yang akan didedahkan pada Tokyo Motor Show (TMS) 2019 bulan hadapan, menandakan ini adalah versi terakhir WRX STI yang menggunakan enjin tersebut. Subaru turut menyatakan bahawa produksi enjin EJ20 ini akan ditamatkan sepenuhnya di Jepun pada penghujung Disember 2019.

    Subaru WRX STI EJ20 Final Edition akan didedahkan di TMS 2019 – versi terakhir dengan enjin EJ20

    EJ20 (siri EJ dengan kapasiti 2.0 liter, juga terdapat dalam versi kapasiti lain seperti EJ15, EJ16 dan EJ18) hadir dalam pelbagai varian seperti NA dan aci sesondol tunggal (SOHC). Namun yang paling digeruni tentulah dari versi Turbo dengan aci sesondol berkembar (DOHC) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1989 dalam perut Subaru Legacy RS 4WD, menjana sekitar 220 PS dalam keadaan standard.

    Ia kemudian lebih dikenali setelah Subaru Impreza WRX GC8 membuat kemunculan pada tahun 1992 menggunakan enjin yang sama. Kesemua juara WRC Subaru – Colin McRae (1995), Richard Burns (2001) dan Petter Solberg (2003) – dinobatkan sebagai juara dunia juga dengan jentera yang dijana oleh EJ20.

    Enjin ini juga pernah ‘berperang’ dalam disiplin perlumbaan lain seperti JGTC dalam kategori GT300, Super Taikyu Endurance, Kejohanan Drift D1GP dan juga Nürburgring 24-jam. Ketika lawan terus kepada WRX iaitu Lancer Evolution merehatkan enjin 4G63T dan diganti dengan 4B11T pada tahun 2007 menerusi Evo X, khidmat EJ20 masih digunakan pada WRX STI sehingga kini.

    Buat masa sekarang, model WRX sebenarnya telahpun menggunakan enjin yang lebih baharu iaitu FA20, sementara EJ20 pula masih digunakan pada model WRX STI JDM (model pasaran lain diberikan enjin EJ25 yang lebih besar) dengan bekalan kuasa 329 PS/432 Nm pada model WRX STI Type RA-R.

    Selain dari berberapa gambar, Subaru masih belum mengumumkan apa-apa perincian teknikal untuk versi selamat tinggal ini, dan ia akan didedahkan pada 23 Oktober nanti.

    Subaru Impreza generasi baharu kini telah pun diperkenalkan dalam fasa facelift, namun versi berprestasi tinggi WRX dan WRX STI berdasarkan model tersebut masih lagi belum muncul. Walau bagaimanapun, Subaru telah pun menayangkan model konsep Subaru Viziv Performance dan Viziv Performance STI sebagai preview kepada versi produksi WRX dan WRX STI akan datang.

    Kedua-dua model baharu tersebut dijangka akan muncul pada tahun hadapan, dan ia mungkin akan diberikan unit janakuasa hibrid yang menggabungkan enjin boxer generasi baharu bersama motor elektrik.

    GALERI: Subaru Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018

    GALERI: Subaru Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Honda tamatkan penjualan kereta diesel di Eropah menjelang 2021 – kilang tunggal di sana ditutup

    Honda tamatkan penjualan kereta diesel di Eropah menjelang 2021 – kilang tunggal di sana ditutup

    Honda Motor Co Ltd telah memutuskan untuk menamatkan penjualan semua kereta berenjin diesel keluarannya di Eropah menjelang tahun 2021. Ini adalah bagi memberikan laluan untuk pengeluaran dan penjualan kenderaan elektrifikasi di benua berkenaan menjelang tahun 2025. Selain itu, Honda juga dalam usaha untuk mengurangkan pengeluaran kereta diesel bagi memenuhi peraturan pelepasan global yang ketat.

    Syarikat berkenaan turut berkata, rancangan tersebut adalah sebahagian daripada matlamat jangka panjang menjadikan kereta elektrifikasi, termasuk kenderaan bateri-elektrik. Ia turut disasarkan mampu menyumbang dua pertiga daripada pendapatan Honda menjelang 2030 daripada kurang 10% ketika ini.

    Laporan Reuters turut menyebut, menjelang tahun hadapan, menurut sasaran pelepasan asap kenderaan Kesatuan Eropah, karbon dioksida (CO2) perlu dikurangkan kepada 95 gram bagi setiap kilometer ke atas 95% kereta yang ada berbanding purata 120.5 gram pada ketika ini. Justeru, semua kenderaan baharu yang memasuki pasaran EU harus mematuhi peraturan yang ditetapkan itu.

    Honda tamatkan penjualan kereta diesel di Eropah menjelang 2021 – kilang tunggal di sana ditutup

    Menurut Honda, penyusutan permintaan terhadap kenderaan diesel dan peraturan ketat yang ditentukan oleh EU telah mendorong penyusutan prospek pembuatannya di benua tersebut. Oleh yang demikian, syarikat ini mengambil keputusan untuk menutup satu-satunya kilang keretanya di sana pada tahun hadapan dan ini mengakibatkan 3,500 kakitangannya bakal hilang pekerjaan.

    Pengeluar kenderaan nombor tiga terbesar Jepun ini turut berkata ia akan mengurangkan bilangan varian model kereta kepada satu pertiga daripada penawaran semasa menjelang 2025. Selain itu, ia juga akan mengurangkan kos pengeluaran global sebanyak 10% dan mengalihkan penjimatan itu ke arah penyelidikan dan pembangunan yang lebih maju.

     
     
  • Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Kebelakangan ini jadi riuh-rendah kembali dalam kalangan pengguna dan warga internet tentang motosikal yang diubahsuai apabila pihak berkuasa seperti Polis Trafik dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan akan mengambil tindakan serta melakukan operasi bagi mengekang atau mengenal pasti mereka-mereka yang melakukan modifikasi berlebihan terhadap motosikal yang digunakan di atas jalan raya, seperti dilaporkan media.

    Sebenarnya, ini bukanlah perkara baru. Tak ada apa-apa pindaan akta terbaru yang menyebabkan pihak berkuasa kembali memburu golongan ini. Yang menjadi pemacunya sekarang sudah tentu populariti ubahsuai atau modifikasi motosikal yang kembali hangat ketika ini, antaranya disumbangkan oleh video-video tular yang melibatkan selebriti, yang secara terbuka mencabar kewibawaan pihak penguatkuasa.

    Dan, perlu diingat, kuasa memang selalu berada di dalam tangan pihak-pihak seperti JPJ dan polis untuk mereka mengambil tindakan. Sekarang ini apa yang kita saksikan adalah gelombang “pengambilan tindakan” itu tadi – yang dijalankan termaktub kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987, pindaan terakhir pada 2006. Sudah tentu mereka-mereka yang melakukan modifikasi berlebihan terhadap motosikal tahu bahawa mereka sendiri telah melanggar peraturan.

    Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Untuk memahami duduk-letak perkara ubahsuai ini, undang-undangnya hampir sama halnya jika dilakukan terhadap kereta. Kami pernah menulis tentang beberapa isu berkaitan, misalnya mengapa tayar kangkang pada kereta menjadi satu kesalahan, dan juga penggunaan body wrap bagaimana yang dibolehkan. Dan kali ini, kita akan lihat pula secara lebih khusus berkaitan modifikasi terhadap motosikal.

    Secara umumnya, mana-mana kenderaan yang digunakan di atas jalan raya yang telah diubahsuai menyimpang daripada Vehicle Type Approval (VTA) adalah merupakan satu kesalahan. Secara ringkasnya, VTA merupakan kelulusan daripada JPJ yang membolehkan sesebuah kenderaan itu mula dijual dan digunakan di atas jalan raya, yang disahkan mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan.

    Dan, sekiranya ada modifikasi yang ingin dibuat selepas itu, kenderaan perlulah mendapat kelulusan JPJ terlebih dahulu sebelum boleh digunakan di atas jalan raya. Ini perkara asas yang perlu difahami. Jadi, adakah pengguna boleh melakukan sebarang ubahsuai terhadap motosikal milik persendirian? Tentu saja boleh. Tetapi, jika ia melanggar peraturan sedia ada, jangan marah-marah sekiranya anda dikenakan tindakan.

    Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Dalam artikel ini, kita akan lihat serba-sedikit tentang kesalahan yang biasa dilakukan terhadap motosikal modifikasi, supaya anda tahu ubahsuai bagaimana yang boleh dan mana yang tak boleh. Bila dah tahu, kenalah tanggung risiko sendiri. Jangan pula bila ditahan oleh pegawai bertugas, ada yang kata tak tahu bahawa semua ini merupakan satu kesalahan. Kenalah jadi gentleman.

    Ekzos bising
    Ini antara yang paling biasa kita temukan. Paip ekzos lurus dengan peredam dibuang dan banyak lagi. Alasan yang diberi, ia akan membolehkan pemandu kereta dengar dan sedar keberadaan motosikal disekitar mereka. Tetapi jika ia terlalu bising, sebuah kesalahan akan tetap jadi kesalahan. Kebisingan yang melebihi 2-3 dB ketika ekzos panas – berbanding yang diluluskan untuk VTA – mungkin dimaafkan (bergantung kepada budi bicara pegawai bertugas), tetapi lebih daripada itu, anda boleh dikenakan tindakan.

    Tayar sotong
    Menggunakan tayar “sotong” atau tayar yang terlalu kecil terang-terangan adalah satu kesalahan. Atas sebab apa? Mudah saja; keselamatan penunggang dan pembonceng. Tayar yang lebih kecil tidak akan dapat menampung beban seperti yang sepatutnya, seperti mana rekaan asal motosikal itu untuk kegunaan di atas jalan raya. Misalnya ketika dua orang menaiki motosikal berkenaan. Ini akan memberikan maklumbalas tunggangan yang berbeza dan merbahaya, terutama di selekoh.

    Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Tayar gemuk
    Apa-apa naik taraf atau “upgrade” yang dilakukan terhadap motosikal secara prinsipnya dibolehkan. Sebagai contoh, dalam kes penggunaan tayar gemuk. Tetapi, ia hadir dengan syarat; tiada ubah suai boleh dilakukan terhadap bahagian fork depan dan juga swingarm asal motosikal terbabit. Begitu juga sekiranya posisi brek telah dialihkan untuk disesuaikan dengan pemasangan tayar gemuk berkenaan – kerana sistem dan kedudukan brek sudah diuji dan diluluskan ketika VTA. Jika peralihan kedudukan kaliper brek dilakukan, maka ia menjadi satu kesalahan.

    Tukar coverset
    Sekiranya pemilik menukar coverset asal sesebuah model itu, dan sekiranya ia melibatkan penukaran warna dari yang didaftarkan sebelumnya, maka dalam tempoh tujuh hari pemilik perlu memaklumkan kepada JPJ. Jika coverset itu mengubah bentuk asal model motosikal terbabit, maka ia satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

    Tiada cermin sisi
    Ini satu lagi kelengkapan yang berkait secara langsung dengan faktor keselematan ketika menunggang. Maka, tiada cermin sisi adalah satu kesalahan yang sangat jelas.

    No plat pendaftaran
    Satu benda yang gemar ditukar oleh pemilik. Selagi ia tidak melanggar peraturan paparan nombor plat pendaftaran, tak jadi masalah. Tetapi, sekiranya ia melibatkan ubahsuai visual plat berkenaan, misalnya dengan reka abjad-abjad fancy, permukaan berkilat, saiz huruf dan nombor yang kecil, timah “meleleh” dan lain-lain, maka itu satu kesalahan. Pemilik boleh dikenakan denda RM300.

    Modifikasi motosikal – salah di sisi undang-undang?

    Upgrade kabel
    Antara modifikasi yang tidak menjadi kesalahan ialah apa-apa perkara yang melibatkan naik taraf tanpa mengganggu aspek teknikal lainnya. Sebagai contoh, sekiranya pemilik menukar kabel-kabel yang ada kepada jenis yang lebih berkualiti tinggi dan lebih cekap. Ini tidak menjadi kesalahan.

    Ubahsuai enjin
    Macam-macam yang selalu dilakukan terhadap enjin; tukar piston, besarkan liang, tukar ECU dan sebagainya. Semua ini sangat jelas melanggar peraturan. Melainkan, lepas buat terus hantar ke JPJ untuk buat pemeriksaan. Jika diluluskan, maka tak ada masalah untuk digunakan atas jalan.

    Hukuman
    Jika motosikal-motosikal modifikasi secara berlebihan ini ditemui di atas jalan raya dan diperiksa on-the-spot, makan pihak berkuasa berhak untuk untuk menyita motosikal anda. Bukan itu saja, pemilik juga akan dikenakan denda minimum RM3,000 sebelum boleh mengambil semula motosikal mereka, dan dalam masa tujuh hari motosikal terbabit perlu diubah kembali kepada spesifikasi asal dan dibawa untuk pemeriksaan JPJ bagi mendapatkan kelulusan. Denda maksimum untuk ini boleh mencecah RM20,000.

    Perlu juga difahami bahawa semua ini boleh dikuatkuasakan sekiranya motosikal terbabit ditahan di atas jalanraya. Sekiranya motosikal yang diubah suai untuk tujuan pameran/perlumbaan dan sebagainya, dan diangkut untuk ke lokasi dengan lori, maka itu tidak menjadi kesalahan. Hanya motosikal yang digunakan di atas jalan raya akan berdepan tindakan seperti dinyatakan ini.

     
     
  • 28 jalan di ibu kota ditutup/dilencongkan pada 28-29 Sept ini sempena KL Standard Chartered Marathon

    28 jalan di ibu kota ditutup/dilencongkan pada 28-29 Sept ini sempena KL Standard Chartered Marathon

    Sempena dengan acara larian KL Standard Chartered Marathon 2019 yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka pada hujung minggu ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim telah mengumumkan sebanyak 28 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup atau dilencongkan .

    Penutupan jalan secara berperingkat akan bermula 2.45 pagi hingga 11.30 pagi pada kedua-dua hari berkenaan. Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

    Selain itu, ia turut melibatkan Jalan Kuching (dari Selayang), Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Raja Muda Abdul Aziz (Hospital Kuala Lumpur), Jalan Raja Abdullah (Kampung Baru), Jalan Langgak Tunku, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Bulatan Sultan Hishamudin, Jalan Cendrawasih, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Pahang.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar. Jika ada yang memandu kenderaan, harap dapat mengikuti arahan daripada pihak berkuasa yang bertugas.

     
     
  • Yamaha NVX 155 Doxou – harga diumum RM10,688

    Yamaha NVX 155 Doxou – harga diumum RM10,688

    Semasa acara Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang bulan lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan dua model edisi khas Doxou iaitu untuk Y15ZR dan juga NVX 155. Pada waktu itu, hanya harga Y15ZR Doxou yang diumumkan, iaitu RM8,868 sementara harga NVX 155 Doxou baru sahaja dikeluarkan sekarang iaitu RM10,688. Sebagai perbandingan, harga NVX 155 biasa pula adalah RM9,988.

    Keistimewaan model Doxou adalah ia menggunakan grafik warna utama biru matte yang diserikan lagi dengan warna seperti tembaga kemerahan. Lebih unik, rimnya juga berlainan warna iaitu biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan. Kemudiannya terdapat beberapa jalur dan tulisan Doxou itu sendiri pada badan motosikal. Selain daripada itu, bahagian mekanikal dua model ini masih lagi sama dengan Y15ZR dan NVX 155 standard.

    Selain daripada penampilan, tiada yang berubah bagi model Doxou ini, dengan Y15ZR dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc berkuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. NVX 155 pula menggunakan enjin 155 cc, silinder tunggal dengan janaan kuasa sebanyak 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpmyang dipadankan bersama kotak gear CVT.

    Selain motosikal itu sendiri, HLYM turut melancarkan barisan pakaian dan aksesori Doxou untuk jualan di pasaran Malaysia, sementara mereka yang membeli Y15ZR dan NVX 155 Doxou ini pula akan menerima set hadiah istimewa yang terdiri daripada fon kepala, rantai kunci serta sijil pemilikan khas. Jaminan datang untuk tempoh dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Nissan tutup kilangnya di Indonesia kerana kerugian, kini hanya kilang Datsun yang masih beroperasi

    Nissan tutup kilangnya di Indonesia kerana kerugian, kini hanya kilang Datsun yang masih beroperasi

    Nissan telah menutup operasi salah satu kilangnya di Karawang Indonesia, dan kini hanya kilang yang menghasilkan model-model dengan lencana Datsun masih beroperasi di negara tersebut. Ia bermula lebih enam bulan lalu apabila MPV Nissan Livina generasi baharu yang diasaskan dari Mitsubishi Xpander kini dihasilkan di kilang Mitsubishi (yang juga kini di bawah Nissan).

    Kilang Nissan dan Datsun di Indonesia terletak di Bandar Perindustrian Kota Bukit Indah di Jawa Barat, terletak 65 km dari timur Jakarta. Menurut presiden Nissan Indonesia, Isao Sekiguchi syarikatnya kini sedang mengimplementasikan “optimisasi produksi dan penstrukturan semula operasi.”

    Jumlah produksi telah jatuh mendadak berberapa tahun kebelakangan ini. Tahun lalu Nissan hanya menghasilkan 3,468 unit kereta di Indonesia, jatuh 70% berbanding jumlah pada tahun 2017. Jumlah tersebut juga hanya 0.3% dari jumlah keseluruhan produksi di negara tersebut, menurut data dari Gaikindo. Kilang Datsun juga tidak mempamerkan jumlah produksi yang memberangsangkan, dengan angka hanya 2,596 unit untuk separuh pertama 2019, jatuh 72% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Langkah penutupan tersebut juga adalah selari dengan pengumuman Nissan pada Julai lalu yang menyatakan mereka akan mengecilkan produksi dan terpaksa untuk memberhentikan 12,500 tenaga kerja dalam masa tiga tahun mendatang. Jumlah tersebut adalah termasuk pemberhentian 6,400 pekerja menjelang Mac 2020 di lapan pusat produksi di seluruh dunia. Selain dari Livina, Nissan Indonesia turut menjual model lain termasuk Navara dan Terra yang diimport dari Thailand, dan model CBU Jepun Nissan Leaf dan Elgrand.

     
     
  • JPJ nafi hanya setakat buru pemilik ‘Ysuku’ modifikasi sahaja, libatkan semua jenis motosikal ubahsuai

    JPJ nafi hanya setakat buru pemilik ‘Ysuku’ modifikasi sahaja, libatkan semua jenis motosikal ubahsuai

    Awal bulan ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, telah memberi amaran kepada pemilik Yamaha Y15ZR atau popular dengan gelaran ‘Ysuku’ sekiranya didapati melakukan modifikasi motosikal tanpa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kemungkinan besar kenderaan tersebut boleh disita.

    Kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen khususnya pemilik Ysuku sendiri yang kebanyakannya mempertahankan tindakan mereka melakukan modifikasi hanya untuk suka-suka tanpa mengabaikan aspek keselamatan diri atau orang lain. Malahan ada juga golongan selebriti yang turut melakukan modifikasi Ysuku mereka turut mempertahankan kenyataan yang sama. Boleh dikatakan ‘clan of Ysuku seMalaysia’ kurang senang dengan kenyataan polis ini, “Kenapa Ysuku saja jadi perhatian, tidak motosikal lain?”

    Ini pula reaksi dari JPJ sendiri. “Operasi penguatkuasaan modifikasi motosikal tidak mengikut spesifikasi JPJ melibatkan kesemua jenis motosikal dan tidak pernah memfokuskan kepada motosikal jenis Ysuku sahaja,” ujar Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Ujarnya lagi, trend modifikasi motosikal bukan sahaja melibatkan Ysuku tetapi membabitkan motosikal model lain yang boleh membawa risiko bahaya kepada pemiliknya. Justeru, JPJ akan ambil tindakan terhadap semua jenis motosikal yang diubah suai tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan bukan Ysuku sahaja seperti ubah suai ekzos dan cermin sisi.

    Untuk modifikasi yang dimaksudkan tidak mengikut spesifikasi, JPJ berkata, ia melibatkan penukaran ekzos yang menyebabkan bunyi bising, gunakan tayar terlalu kecil, cermin sisi tidak digunakan, tukar unit kawalan enjin (ECU) untuk menambah kelajuan termasuk buang cut off (batasan had laju), tukar blok enjin untuk tambah kelajuan, dan tukar swing arm untuk membuatkan motosikal lebih ringan.

     
     
  • Triumph Street Triple RS 2020 akan muncul 7 Oktober

    Triumph Street Triple RS 2020 akan muncul 7 Oktober

    Model Street Triple 765RS yang berada di pasaran sekarang sudah berusia hampir tiga tahun, dan tidak lama lagi ia akan diganti dengan model tahun 2020. Video teaser untuk model baru ini sudah pun dikeluarkan, dengan menyatakan 7 Oktober sebagai tarikh penampilan pertamanya.

    Bukan keseluruhan motosikal dapat dilihat dalam video ini, tapi apa yang jelas, lampu hadapannya adalah berbeza, dengan DRL LED yang berbentuk seperti kening. Selain daripada itu, panel belakang juga kelihatan lebih pendek dan mempunyai tempat duduk yang lebih membonjol.

    Rim nampak masih sama dan brek juga masih menggunakan unit daripada Brembo. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mengetahui sama ada ia adalah angkup Brembo Stylema sama seperti Daytona Moto2 765 ataupun M50 Monobloc sama seperti 765RS sebelum ini.

    Triumph Street Triple RS 2020 akan muncul 7 Oktober

    Perubahan lain juga masih belum diketahui tetapi ada khabar angin yang mengatakan RS765 2020 ini akan menerima naik taraf enjin seperti Daytona Moto2. Enjin tiga silinder 765 cc pada Daytona Moto2 mempunyai lebih kuasa berbanding RS765, iaitu 128 hp pada 12,250 rpm dan 80 Nm tork pada 9,750 rpm. Kotak gear menggunakan unit enam kelajuan, siap dengan quickshifter untuk naik dan turun gear.

    Antara bahagian yang membantu peningkatan kuasa ini adalah termasuk injap titanium, piston yang diperkuat, pin gudgeon yang disalut dengan DLC mengikut spesifikasi MotoGP, profail cam baru, trumpet untuk bahagian intake, con rod, crank dan barrel yang diubah suai, serta nisbah mampatan yang lebih tinggi – dari 12.6:1 menjadi 12.9:1.