Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

    Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

    Dijumpai sedang diuji buat pertama kali pada September 2016, buat kemunculan sulung di Detroit awal tahun ini, dan kini Toyota Supra generasi kelima atau dikenali dengan nama GR Supra A90 secara rasminya di jual pada pasaran Malaysia. Tidak seperti pasaran lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang menerima tiga versi enjin, kita hanya menerima satu pilihan iaitu varian paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000. Kereta ini diimport sepenuhnya bukan dari Jepun, tapi dipasang oleh Magna Steyr di kilang Graz, Austria.

    Seperti yang diketahui, Supra adalah versi produksi model konsep Toyota FT-1 yang muncul pada tahun 2014. Ia dihasilkan bersama BMW serta berkongsi platform dan enjin dengan BMW Z4 G29, dalam satu projek yang bermula pada tahun 2012. Namun pada tahun 2014 setelah rekaan asas platform dan enjin sudah dimuktamadkan, jurutera BMW dan Toyota tidak lagi berhubung antara satu sama lain untuk menyiapkan kereta masing-masing.

    Seperti yang anda boleh lihat, Supra hadir sebagai coupe dua-pintu berbanding Z4 yang kekal sebagai sebuah roadster, dan ia menerima rekaan yang diinspirasikan dari Toyota FT-1 terutama pada bahagian hidung, bumbung dan juga pada bahagian belakang.

    Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

    GR Supra GTS pasaran Malaysia dijana enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo yang menjana 340 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF. Seperti rekaan tradisi Supra, enjin yang terletak di bahagian hadapan berkenaan hanya mengalirkan kuasa ke gandar belakang yang turut dilengkapi dengan LSD.

    Ini membolehkan Supra A90 memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat. Kelajuan maksimanya punya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    BMW Z4 G29 juga sudah tiba di Malaysia, dijual pada harga RMRM479,800. Namun ia hanyalah dari varian sDrive30i, dijana enjin empat silinder turbo berkuasa 258 PS/400 Nm, dan bukan dari versi paling berkuasa M40i yang menggunakan enjin BMW B58 sama seperti Supra GTS ini.

    Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

    Supra juga direka dengan agihan berat sempurna dengan nisbah 50:50 di hadapan dan belakang, dan ia menerima suspensi adaptif bervariasi. Untuk memberhentikan kereta ini, set brek Brembo dengan angkup empat omboh berwarna merah bersama cakera 348 mm diberikan di hadapan, dan angkup omboh tunggal bersama cakera 345 mm diletakkan di roda belakang.

    Bagi memastikan kereta sport ini sentiasa melekat di atas permukaan jalan, ia diberikan rim 19-inci dua tona, dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R19 di hadapan dan 275/35R19 di belakang. Ia turut hadir lengkap dengan sistem ABS bersama EBD, VSC dan juga BA.

    Pada bahagian dalaman, Supra menerima kabin yang hampir seiras dengan Z4 termasuk papan pemuka, skrin utama 8.8-inci dan roda stereng, tetapi ia diberikan panel instrumen yang lebih tersendiri dengan takometer digital direka seakan unit analog pada adiknya, Toyota 86.

    Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

    Kelengkapan lain yang turut boleh ditemui pada kabin coupe dua tempat duduk ini termasuk sistem infotaimen Toyota Supra Connect (seperti sistem BMW iDrive) lengkap dengan kawalan gaya iDrive, sistem bunyi JBL dengan 12-pembesar suara, tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri berwarna hitam, sistem pendingin hawa dua-zon dan paparan head-up.

    Untuk keselamatan pula, kabin kecil pada Supra berkenaan dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu). Sistem bantuan pemanduan pakej Toyota Safety Sense turut diberikan, terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pra-pelanggaran hadapan, amaran pelanggaran belakang, cruise control adaptif, informasi had laju, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta lampu tinggi automatik.

    Pelanggan di Malaysia boleh memiliki Supra mereka dengan pilihan lapan warna iaitu Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Matte Storm Grey Metallic, Black Metallic dan Ice Grey Metallic.

    Untuk warna-warna terpilih, pelanggan juga sebenarnya perlu untuk menambah kos tambahan sebanyak RM5,000. Manakala untuk kemasan-kemasan dalaman dari material gentian karbon seperti yang anda lihat pada unit yang ditayangkan ketika pelancaran ini, ia sebenarnya memerlukan anda menambah RM12,000 dari harga asal jualan.

    UMW Toyota juga mengumumkan bahawa bukan semua pengedarnya mendapat hak untuk menjual Toyota GR Supra A90 ini. Ia hanya boleh didapati pada pengedar yang telah mendapat pengiktirafan untuk membuka GR Garage pada premis mereka. Konsep GR Garage ini sebenarnya sudah diwujudkan di Jepun sebelum ini, dan ia berperanan untuk menjual segala produk di bawah jenama Gazoo Racing (GR), termasuk barisan kereta berprestasi Toyota GR.

    Buat permulaan, hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

    Lebih perincian Toyota GR Supra A90 ini boleh anda lihat di laman Carbase.my.

     
     
  • Perodua Axia 2019 – pilih G atau GXtra? Beza RM1.5k

    Perodua Axia 2019 – pilih G atau GXtra? Beza RM1.5k

    Perodua Axia facelift 2019 baru sahaja dilancarkan, dengan rupa yang disegarkan semula serta peningkatan pelbagai ciri. Sudah tentu, bukan semua varian mendapat ciri-ciri baru ini, jadi anda perlu membuat pilihan yang bersesuaian antara enam varian itu – manakah yang paling sesuai dengan anda.

    Apatah lagi bila anda melihat kepada varian paling rendah. Kita tolak tepi varian E berharga RM24,090 yang terlalu ringkas sehinggakan brek ABS dan radio pun tak ada. Kalau untuk dibelasah di sekolah memandu, mungkin varian ini sesuai.

    Untuk kegunaan orang biasa, pilihan mampu milik yang lebih masuk akal adalah G yang berharga RM33,490 ataupun GXtra RM34,990. Bezanya cuma RM1,500, tapi ada sebab yang lebih kuat untuk anda memilih GXtra bila senarai kelengkapan diperhatikan lebih lanjut.

    Perodua Axia 2019 – pilih G atau GXtra? Beza RM1.5k

    Paling utama adalah varian GXtra dilengkapi dengan salah satu peningkatan paling penting bagi Axia iaitu ciri Vehicle Stability Control (VSC). Tambahan ciri keselamatan penting ini menjadikan Axia kereta paling murah di Malaysia yang dilengkapi dengan VSC, seterusnya diikuti oleh Proton Iriz Standard MT berharga RM36,700.

    Selain daripada itu, varian GXtra juga mempunyai kelebihan lain seperti pelaras ketinggian tempat duduk pemandu, kamera undur, balutan fabrik yang lebih menarik, cangkuk anti kecurian dan kemasan perak di bahagian dalam.

    Mungkin ada yang tertanya, jadi, kenapa Perodua menawarkan varian G ini sedangkan harganya cuma berbeza sedikit, tetapi kekurangan banyak ciri? Jawapan mereka mudah. Hampir semua orang membeli kereta menggunakan pinjaman ansuran, dan beza bayaran bulanan antara dua varian ini adalah antara RM15 dan RM30, bergantung kepada tempoh bayaran semula.


    Bahagian dalam Axia GXtra (kanan) dan G (kiri)

    Jumlah ini mungkin tidak banyak, tapi Perodua memberitahu ia boleh mempengaruhi sama ada pinjaman seseorang itu diluluskan atau tidak. Tapi sebenarnya, kalau anda terletak dalam lingkungan ini, anda seharusnya menimbang balik sama ada anda memerlukan sebuah kereta atau tidak.

    Apapun, keputusan di tangan anda. Belilah varian mana yang mengikut kemampuan, dan jika boleh, dapatkan GXtra. Kalau anda tidak begitu memerlukan sebuah kereta dalam waktu terdekat, simpanlah dulu sedikit lagi duit, dan gunakannya sebagai tambahan bayaran pendahuluan. Jika bayaran pendahuluan lebih tinggi, bayaran bulanan untuk GXtra ini akan jadi sama seperti G.

    GALERI: Perodua Axia GXtra 2019

     
     
  • ULASAN VIDEO: Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower

    Isuzu D-Max 2019 telahpun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Keseluruhannya ada 11 varian ditawarkan, dengan harga masing-masing seperti berikut;

    Versi Single Cab 4×4 1.9L (RM85,799), Single Cab 4×4 3.0L (RM92,838); lima varian bagi versi transmisi manual – 1.9L 4×2 MT Low Ride (RM80,149), 1.9L 4×2 MT Hi-Ride (RM86,699), 1.9L 4×4 MT Type B (RM96,699), 1.9L 4×4 MT-P (RM105,999) dan 3.0L 4×4 MT Type B (RM106,738).

    Sementara itu, bagi versi transmisi automatik pula, ia terdiri daripada empat varian; 1.9L 4×4 AT Type B (RM104,599), 1.9L 4×2 AT Hi-Ride (RM100,049), 1.9L 4×4 AT-P (RM115,799) dan yang terakhir 3.0L 4×4 AT-P (RM120,838).

    Dan seperti yang ramai sedia maklum , perkara paling besar yang berlaku ke atas penawaran D-Max 2019 ialah pengenalan enjin 1.9L Ddi BluePower yang menggantikan enjin 2.5L sebelum ini. Bukan sekadar dengan kapasiti yang lebih kecil, tetapi output kuasa yang dihasilkan juga lebih tinggi – 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm pada 1,800-2,600 rpm.

    Kami sempat memandu uji model ini dalam perjalanan dari Krabi ke Phuket untuk menilai sendiri apa yang menarik atau sebaliknya pada enjin berkenaan. Laporan pandu uji yang menyeluruh boleh dicapai di sini. Atau, jika anda lebih gemar medium visual, ulasan video ini juga kami bawakan untuk anda. Selamat menonton.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Sept: RON97 naik 14 sen seliter

    Harga minyak 21-27 Sept: RON97 naik 14 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 September 2019, Kementerian Kewangan telah mengumumkan terdapat kenaikan harga untuk petrol RON97 iaitu sebanyak 14 sen seliter, menjadi RM2.67 seliter, berbanding minggu sebelumnya berharga RM2.53 seliter. Harga baharu tersebut efektif mulai jam 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Kenaikan harga minyak dunia dipercayai ekoran kejadian serangan terhadap dua loji minyak di Arab Saudi pada 14 September lalu yang telah menjejaskan pengeluaran dan pengeksporatan minyak negara tersebut. Walau bagaimana pun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan terus memberikan subsidi bagi mengimbangkan kenaikan harga minyak berikutan kejadian tersebut.

    Harga minyak 21-27 Sept: RON97 naik 14 sen seliter

    Manakala petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 21 hingga 27 September 2019 adalah berjumlah RM123.16 juta.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

    Proton lancar pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

    Proton telah pun melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah. Ia merupakan pusat 3S kedua yang berada di daerah berkenaan, dan dikendalikan oleh Harapan Maju Sdn Bhd. Pusat 3S ini turut menerapkan identiti korporat baharu Proton, dan lebih menariknya, Harapan Maju diterajui oleh sekumpulan wanita yang bertanggungjawab dalam operasi perniagaan termasuk memantau aktiviti jualan, servis dan pemasaran.

    Dirasmikan oleh Phoong Jin Zhe, Menteri Belia dan Sukan Sabah serta Cheng Seng Fook, Pengarah Pemasaran Proton, pusat 3S yang dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM8 juta dan berkeluasan 1,686 meter persegi, menyediakan fasiliti termasuk 12 ruang servis, enam servis pengangkat, ruang parkir yang boleh menampung sehingga 50 buah kereta dalam satu masa, WiFi percuma, ruang minuman, ruang kanak-kanak, tempat mengecas komputer riba dan bilik solat.

    “Kami mengambil peluang menjadi pengedar Proton adalah kerana kepercayaan kami terhadap jenama itu. Kini, Proton menunjukkan pencapaian yang baik di dalam pasaran. Orang ramai mula tertarik terutamanya dengan model-model baharu yang mengujakan. Ciri-ciri teknologi termaju serta harga yang kompetitif turut menjadi faktor yang menarik perhatian orang ramai,” ujar Jovinia Wong Kyau Yun, Pengarah Harapan Maju Sdn Bhd.

    Sehingga kini, jualan Proton di Malaysia Timur meningkat sebanyak 22% berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala di Sabah pula, terdapat kenaikan sebanyak 32%.

     
     
  • Boon Siew Honda, Idemitsu tubuh pasukan tempatan baru untuk berlumba dalam AP250 guna CBR250RR

    Boon Siew Honda, Idemitsu tubuh pasukan tempatan baru untuk berlumba dalam AP250 guna CBR250RR

    Untuk kategori ASB1000, SuperSports 600cc dan Underbone 150cc yang dipertandingkan dalam siri perlumbaan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), pelumba dari Malaysia sering menunjukkan prestasi baik. Tetapi, dalam kategori 250 cc ia lebih didominasi pelumba Indonesia dan Thailand.

    Memikirkan perkara ini, berserta hasrat untuk terus menyokong pembangunan pelumba muda, Boon Siew Honda Sdn Bhd bersama Idemitsu Lubricants Malaysia telah menubuhkan pasukan baru untuk bertanding dalam Asia Production 250cc (AP250).

    Khidmat pelumba muda, Muhammad Syarifuddin Azman berusia 18 tahun dan Muhammad Idlan Haqimi Raduan, 15 tahun digunakan dalam pasukan AP250 ini, dan mereka diberikan jentera CBR250RR yang diubah suai untuk mengikut peraturan perlumbaan.

    Pasukan baru ini akan memulakan saingan sebenar pada musim 2020, tetapi sempena pusingan ARRC yang berlangsung di Litar Sepang hujung minggu ini, mereka diberikan peluang pertama sebagai Wild Card untuk berlumba sama, sekaligus dapat menguji jentera dalam keadaan sebenar.

    “Saya rasa teruja dan pada masa sama sedikit gusar berkenaan Wild Card ini. AP250 bukanlah satu kelas yang mudah untuk membuat penampilan pertama. Ramai pelumba yang hebat dan agresif dalam kategori ini,” kata Syarifuddin yang sebelum ini pernah menjadi juara Yamaha PETRONAS Super Series pada tahun 2016 dan Wira pada tahun 2018 melalui pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing.

     
     
  • Perodua Axia 2019 terima tempahan lebih 5,000 unit dalam tempoh sebulan sebelum ia dilancarkan

    Perodua Axia 2019 terima tempahan lebih 5,000 unit dalam tempoh sebulan sebelum ia dilancarkan

    Pagi tadi telah berlangsungnya majlis pelancaran Perodua Axia 2019, yang hadir dengan enam varian iaitu Axia E, Axia G, Axia GXtra, Axia SE, varian terbaharu Axia Style dan spesifikasi tertinggi Axia Advance atau AV. Ia dijanakan oleh enjin yang sama seperti Axia sebelum ini iaitu 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm) dengan padanan kotak gear manual hanya untuk varian paling rendah, Axia E, dan selebihnya automatik.

    Ia ditawarkan dengan harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi Axia E bernilai RM24,090, Axia G (RM33,490), Axia GXtra (RM34,990), Axia Style (RM38,890), Axia SE (RM38,890) dan Axia AV (RM43,190). Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu). Malah sebulan sebelum pelancarannya, Perodua telah membuka tempahan untuk model kompak segmen-A paling popular di Malaysia ini.

    Dalam majlis pelancarannya, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengumumkan, dalam tempoh sebulan ini, pihaknya telah menerima lebih 5,000 unit tempahan Axia 2019.

    “Perodua Axia terus menawarkan kenderaan mampu milik untuk rakyat Malaysia dengan harga yang cukup berbaloi tetapi masih mengutamakan aspek keselamatan dengan gaya yang terkini. Kami memang tidak akan berhenti dari terus mengeksplorasi teknologi terkini dan yang amat diperlukan dalam masa ini. Justeru, biar pun harga yang ditawarkan untuk Axia boleh dianggap murah, namun teknologi keselamatan yang kami berikan terutamanya ASA 2.0 (untuk varian tertinggi, Axia AV) boleh dianggap sebagai suatu yang cukup berbaloi.

    “Malah kami juga akan cuba mempertingkatkan teknologi yang sedia ada untuk mana-mana model serba baharu atau yang diperbaharui. Kami juga berjanji untuk cuba mengekalkan harga tetapi dalam masa yang sama memberikan sistem tekologi maju yang diperlukan,” ujar Zainal.

    Untuk Axia 2019 ini, Perodua optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 6,000 unit sebulan, dengan 1,000 unit daripadanya adalah daripada varian Axia Style.

    “Jika diikutkan, Axia Style sama tahap dengan Axia SE termasuk dalam soal harganya. Namun demikian, kami sengaja memberikan pilihan kepada para pelanggan dengan menawarkan Axia Style yang mempunyai rekaan bersesuaian dengan gaya hidup masa kini. Kebanyakan golongan muda sekarang gemarkan imej yang seakan model crossover, jadi Axia Style yang ditampilkan dengan gaya rugged berinspirasikan-SUV merupakan pilihan yang tepat,” sambung Zainal lagi.

     
     
  • Perodua Axia 2019 – pelbagai pilihan aksesori GearUp

    Perodua Axia 2019 – pelbagai pilihan aksesori GearUp

    Perodua Axia 2019 baru sahaja dilancarkan dan seperti biasa, syarikat ini turut mendedahkan katalog aksesori GearUp yang disediakan untuk kereta ini. Pilihannya memang banyak, tapi kita mahu melihat beberapa yang utama untuk model ini.

    Untuk mendapatkan nilai yang terbaik, ada dua pakej yang disediakan iaitu Lite dan Utility. Dalam pakej Lite, pembeli akan menerima spoiler belakang serta skirting tepi, yang dijual pada harga RM980. Pergi pula kepada pakej Utility yang berharga RM330, pembeli akan menerima visor tingkap, lapik kaki hitam serta alas tempat letak barangan belakang. Barangan dalam pakej Utility ini dan spoiler belakang juga ada dijual secara berasingan.

    Semua enam varian Axia yang baru dilancarkan ini datang secara standard dengan tempat duduk fabrik. Sekiranya mahu sesuatu yang lebih baik, pemilik boleh mendapatkan pembalut tempat duduk PVC yang disediakan dalam dua jenis iaitu Bold (untuk G dan GXtra) dan Trendy (untuk SE, AV dan Style), dengan harga yang sama – RM600. Bold menggunakan warna hitam sepenuhnya manakala Trendy mempunyai jalur merah.

    Untuk menambahkan lagi seri pada Axia 2019 ini, pemilik boleh mendapatkan plet tepi pintu yang berharga RM140, pelekat corak gentian karbon untuk tiang pintu tengah berharga RM80 dan pelindung matahari yang berharga RM85.

    Antara contoh barangan lain yang boleh anda dapatkan untuk Axia 2019 adalah tempat duduk kanak-kanak (RM785), pemerhati tekanan angin tayar (RM430), penyerap bunyi untuk pintu (RM450) dan hud (RM72), pelindung tepi pintu (RM30), lapik bahagian barangan (RM75) dan pelbagai lagi.

    Melalui aksesori GearUp ini, Perodua bukan sahaja menawarkan pilihan untuk menjadikan kenderaan lebih bergaya, malah mudah dimiliki (boleh dimasukkan dalam jumlah pinjaman), kos upah yang selaras dan barang yang berkualiti. Harga yang dinyatakan tadi adalah untuk Semenanjung Malaysia.

    GALERI: Perodua Axia GXtra GearUp

     
     
  • Yamaha 135 LC SE diperkenal – grafik khas, RM7,118

    Yamaha 135 LC SE diperkenal – grafik khas, RM7,118

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd hari ini memperkenalkan satu versi baru bagi model 135 LC yang dinamakan sebagai 135 LC SE. Model ini menggunakan grafik istimewa Knight Blu serta pelekat jalur biru putih di bahagian rim.

    Harganya adalah RM7,118 tidak termasuk insurans, dan jika dibandingkan dengan 135 LC yang diperkenalkan Jun lalu, bezanya cuma RM250. Pembeli 135 LC SE turut akan menerima kunci brek cakera dan model ini akan tiba di wakil pengedar dalam bulan ini juga.

    Selain dari penampilan, tiada yang berbeza antara 135 LC SE dengan 135 LC biasa, di mana ia masih dikuasakan enjin satu silinder SOHC 134 cc, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Pada roda hadapan 135 LC SE ini terdapat terdapat rim 17 inci yang dibalut tayar 70/90, brek cakera dan fork teleskopik, manakala di belakang pula terdapat rim 17 inci yang dibalut tayar 80/90, brek dram serta penyerap monoshock.

    Perincian lain 135 LC SE ini adalah termasuk pemula enjin tendang dan elektrik, tangki bahan api 4.0 liter, berat keseluruhan 105 kg dan penutup di bahagian undercowl. Model SE ini akan dijual selari dengan 135 LC biasa yang ditawarkan dalam tiga warna lain.

     
     
  • Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan – varian baharu Style, ciri VSC dan ASA 2.0, harga RM24k-RM43k

    Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan – varian baharu Style, ciri VSC dan ASA 2.0, harga RM24k-RM43k

    Pertama kali Perodua telah melancarkan model Axia di pasaran Malaysia pada 15 September 2014. Untuk pengetahuan, Axia menggunakan platform yang sama dengan Daihatsu Ayla, tetapi boleh dikatakan ia menerima rekaan serba baharu bagi imej luaran dan dalamannya. Malah menerusi Axia juga, Perodua telah memperkenalkan transmisi baharu dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang lebih lancar berbanding sebelumnya, dan selepas itu ia telah digunakan untuk model-model baharunya.

    Setelah tiga tahun berlalu, Perodua memperkenalkan pula model facelift pertama Axia pada Januari 2017. Bukan setakat menerima sentuhan yang lebih segar untuk imej luaran dan dalaman, malah Axia 2017 dipadankan dengan enjin petrol yang dipertingkatkan iaitu 1.0 liter SOHC VVT-I 1KR-VE dari Bezza bagi menggantikan enjin lama 1.0 liter 1KR-DE tanpa sistem VVT-i. Ini membolehkan kuasa maksimum Axia 2017 meningkat 1 hp dan 1 Nm, dari sebelum ini, menjadikan keseluruhannya 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm.

    Hari ini pula, giliran model facelift kedua Axia pula dilancarkan bagi terus memenuhi kehendak pasaran. Malah hampir sebulan sebelum ia dilancarkan, Perodua telah membuka tempahan bagi model kompak ini. Untuk Axia 2019, ia dibarisi enam varian iaitu Axia E, Axia G, Axia GXtra, Axia SE, varian terbaharu Axia Style dan spesifikasi tertinggi Axia Advance atau AV.

    Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan – varian baharu Style, ciri VSC dan ASA 2.0, harga RM24k-RM43k

    Kesemua varian masih dilengkapi dengan enjin yang sama dengan model sebelumnya iaitu 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm). Kadar penggunaan minyak didakwa mencapai 22.5 km/l bagi Axia E, manakala bagi empat varian yang lain ialah 21.6 km/l. Tetapi, difahamkan bagi varian Axia Style, ia dikatakan mampu mencapai 20.8 km/l atas sebab yang akan dijelaskan di bawah.

    Untuk transmisi, Axia E menjadi varian tunggal yang dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Yang lain semua dilengkapi transmisi automatik empat-kelajuan.

    Untuk Axia 2019 ini juga, Perodua telah mengambil langkah yang lebih besar dengan menawarkan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC) untuk Axia GXtra dan varian lain di atasnya. Malahan varian Advance yang paling tinggi juga dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, sama seperti SUV Aruz. Sistem tersebut merangkumi Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Perodua Axia Style 2019

    Bukan calang-calang model kompak untuk segmen-A dengan harga yang begitu mampu milik dilengkapi dengan dua ciri yang disebutkan ini. Ternyata Perodua tidak berkompromi dalam soal aspek keselamatan, malah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkannya.

    Seperti yang dimaklumkan, Perodua turut menambah satu lagi varian baharu dalam barisan Axia 2019 iaitu Axia Style, yang diinspirasikan dengan imej ala-SUV. Ini memberikan peluang kepada pelanggan yang mahukan Axia yang lebih bergaya dan ranggi. Ia menampilkan sedikit perbezaan bagi ciri luaran dan dalamannya.

    Ini termasuklah padanan hiasan plastik pada bahagian bawah badannya, dengan seksyen cat warna perak di bahagian bawah bampar depan serta bampar belakang yang mengambil gaya seperti skid plate. Wajah depan Axia Style juga ada sedikit perbezaan melalui penggunaan pelekat dengan tekstur karbon. Selain itu, rekaan dot pada gril serta warna khas oren yang digunakan adalah khusus untuk varian ini.

    Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan – varian baharu Style, ciri VSC dan ASA 2.0, harga RM24k-RM43k

    Untuk bahagian kabinnya, Axia Style tiada perbezaan ditampilkan melainkan fabrik denim yang membaluti tempat duduknya. Dari segi kelengkapan, ia mirip penawaran pada GXtra, dengan tambahan sistem tanpa kunci dan butang Push Start.

    Selain itu, ia tidak melibatkan perbezaan daripada sudut mekanikal cuma Axia Style 15 mm lebih tinggi daripada varian yang lain. Walau bagaimana pun, ia bukanlah membabitkan sistem suspensi, sebaliknya varian ini dipadankan dengan rim aloi 15-inci – lebih besar satu inci, dengan padanan tayar yang lebih tebal serta rel pada bumbung.

    Perbezaan inilah yang memberikan jawapan mengapa Axia Style didakwa mempunyai bacaan penggunaan minyak yang sedikit tinggi – 20.8 km/l berbanding 21.6 km/l bagi varian Axia yang lain. Perodua menjangkakan varian ini akan menyumbang 20% ke 25% daripada jualan keseluruhan Axia 2019.

    Perbezaan perincian bagi setiap varian adalah seperti di bawah ini:

      Peordua Axia E 2019

    • Enjin: 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder, 67 hp dan 91 Nm tork
    • Transmisi: Manual lima-kelajuan
    • Penggunaan minyak: 22.5 km/l
    • Lampu utama projektor (jenis standard)
    • Lampu belakang LED
    • Rim: Keluli 14-inci
    • Dua beg udara, ISOFIX
    • Tempat duduk fabrik (jenis standard)
    • Meter kombinasi iluminasi amber
    • Perodua Axia G 2019

      Ditambah:

    • ABS dan EBD
    • Dua pembesar suara di depan
    • Cermin sisi elektrik (tanpa butang lipat cermin)
    • Sistem audio dengan USB
    • Rim aloi 14-inci dengan tayar 175/65 R14
    • Penggunaan minyak: 21.6 km/l
    • Perodua Axia GXtra 2019

      Ditambah:

    • Kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC)
    • Cangkuk anti-ragut
    • Sensor undur
    • Ketinggian tempat duduk boleh laras
    • Cermin sisi elektrik (butang untuk lipat cermin)
    • Empat pembesar suara (dua di depan dan dua di belakang)
    • Tempat duduk fabrik (jenis pertengahan)
    • Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan – varian baharu Style, ciri VSC dan ASA 2.0, harga RM24k-RM43k

      Perodua Axia SE 2019

      Ditambah:

    • Filem penapis haba
    • Sensor bampar depan
    • Lampu utama projektor (jenis tertinggi)
    • Lampu kabus hadapan
    • Sistem tanpa kunci dan butang Push Start
    • Gril depan kemasan krom
    • Skirting depan
    • Skirting sisi
    • Sistem audio dengan USB & Bluetooth
    • Tempat duduk fabrik semi-bucket (jenis SE)
    • Meter kombinasi iluminasi putih
    • Perodua Axia Style 2019

      Ditambah:

    • Bampar depan, belakang dan gril Style
    • Rel bumbung
    • Rim aloi 15-inci dengan tayar 175/60 R15
    • Tempat duduk fabrik (jenis Style)
    • Dikurangkan (berbanding SE/AV):

    • ASA 2.0
    • Filem penapis haba
    • Kamera undur
    • Skirting depan
    • Penggunaan minyak: 20.8 km/l
    • Perodua Axia AV 2019

      Ditambah:

    • ASA 2.0
    • Unit skrin sesentuh dengan kamera undur
    • Sistem multimedia dengan navigasi & Smart Link, USB, Bluetooth & HDMI

    Untuk pilihan warnanya, Axia E hanya didatangkan dengan Ivory White, manakala varian Axia G pula ditambah dengan Glittering Silver dan Midnight Blue. Untuk Axia GXtra, Axia SE dan Axia AV, diberikan satu lagi pilihan warna iaitu Lava Red. Namun untuk Axia Style, tidak didatangkan dengan warna Lava Red sebaliknya ditampilkan warna istimewa Sunrise Orange, selain daripada pilihan warna yang ada pada varian lain.

    Perodua turut mengumumkan, harga atas jalan tidak termasuk insurans bagi setiap varian adalah seperti berikut; Axia E (RM24,090), Axia G (RM33,490), Axia GXtra (RM34,990), Axia Style (RM38,890), Axia SE (RM38,890) dan Axia AV (RM43,190). Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Dengan penawaran yang boleh dikatakan agak hebat bagi model kompak segmen-A, ditambah pula dengan harganya yang mampu milik, pastinya Perodua Axia 2019 bakal ‘panas’ di pasaran. Terutamanya bagi golongan yang pertama kali membeli kereta termasuk mahasiswa dan yang baru masuk alam pekerjaan. Untuk perincian lanjut bagi setiap spesifikasi Axia 2019, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Perodua Axia Advance 2019

    GALERI: Perodua Axia Style 2019

    GALERI: Perodua Axia GXtra 2019

    GALERI: Foto rasmi Perodua Axia 2019

     
     
  • Toyota GR Supra akan dilancarkan di M’sia esok!

    Selepas diumumkan awal tahun ini, akhirnya tarikh pelancaran Toyota GR Supra A90 telah diumumkan – menurut UMW Toyota Motors (UMWT), model generasi baharu kereta sport lagenda berkenaan akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada 20 September 2019, iaitu esok!

    Seperti diketahui sebelum dan selepas pendedahan rasmi global pertamanya di Detroit pada Januari tahun ini, Supra A90 berkenaan dihasilkan menerusi platform dan enjin dari BMW Z4 G29. Hampir semua perincian kereta sport ini telah diketahui, namun apa yang menjadi misteri apa spesifikasi dan berapa harga model untuk pasaran Malaysia, memandangkan tiada sebarang petunjuk disiar pada teaser yang dihantar pada laman Facebook rasmi UMWT.

    Di pasaran seperti Amerika Syarikat dan Jepun, Supra hadir dengan dua jenis enjin, ditawarkan dengan tiga talaan kuasa. Model paling rendah dijana oleh enjin 2.0 liter turbo empat silinder menghasilkan 197 PS dan tork 320 Nm, manakala versi pertengahan pula diberikan enjin sama tetapi dengan talaan 258 PS/400 Nm.

    Model paling berkuasa masih lagi membawa identiti Supra sejak generasi pertama, dikuasakan enjin 3.0 liter enam-silinder turbo berkuasa 340 PS/500 Nm. Digandingkan dengan kotak gear ZF lapan-kelajuan automatik dan memacu hanya roda belakang, Supra ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    Menurut UMWT, Supra tidak akan dijual di semua pengedarnya, sebaliknya ia hanya boleh didapati di enam outlet yang diberi pengiktirafan sebagai GR Garage, dan ia turut akan menjual kereta-kereta berprestasi GR yang lain.

    GALERI: Toyota Supra di GIIAS 2019

     
     
  • Honda ADV 150, Winner X dan CBR250RR – adakah akan tiba di Malaysia? Bilakah waktu jangkaannya?

    Honda ADV 150, Winner X dan CBR250RR – adakah akan tiba di Malaysia? Bilakah waktu jangkaannya?

    Kalau melihat kepada pasaran Asia, Honda sekarang mempunyai beberapa model kapasiti rendah yang menarik. Malangnya, ia masih tidak tiba di Malaysia dan membuatkan ramai yang tertanya. Memandangkan berpeluang mendekati wakil Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd di Sepang sempena perlumbaan ARRC 2019, kami cuba dapatkan penjelasan daripada mereka. Tiga model utama yang dirujuk adalah Winner X, ADV 150 dan juga CBR250RR.

    Untuk Winner X dan ADV 150, kedua-duanya baru sahaja membuat penampilan pertama pada bulan Julai iaitu masing-masing di Vietnam dan Indonesia. Menurut wakil BSH, mereka sedang membuat kajian sama ada dua model ini boleh dibawa masuk ke Malaysia atau tidak.

    Jika betul ia akan tiba pun, sekurang-kurangnya akan mengambil masa lapan hingga sembilan bulan. Tapi sebelum itu, mereka perlu melakukan kajian seperti jumlah jualan skuter atau kapcai yang lebih tinggi, adakah jumlah jualannya mencukupi, dan untuk Winner X adakah ia akan diperkenalkan sebagai tambahan kepada RS150R ataupun penggantinya.

    Honda ADV 150, Winner X dan CBR250RR – adakah akan tiba di Malaysia? Bilakah waktu jangkaannya?

    Melihat kepada cara soalan ini dijawab, wakil BSH yang memberi maklum balas seperti tidak yakin dengan pasaran skuter di Malaysia sekaligus membuatkan ketibaan ADV 150 seperti semakin kabur. Beliau juga merujuk kepada jumlah jualan skuter yang mempunyai beza jauh berbanding kapcai biasa yang menggunakan gear.

    Untuk CBR250RR, motosikal sports permulaan ini sudah berada di pasaran luar seperti Indonesia lebih daripada tiga tahun, namun masih tidak tiba di Malaysia. Pada tahun 2017, kami pernah bertanya kenapa, dan jawapan yang diberi oleh ketua pegawai eksekutif BSH, Nobuhide Nagata adalah model ini tidak menepati peraturan emisi Euro 4 dan ECE.

    Apabila ditanya sekali lagi tahun ini, jawapan sama masih diberi, tetapi terdapat sedikit sinar kerana wakil BSH yang memberi jawapan mengatakan mereka sedang mengambil kira secara serius dan melihat kepada waktu sasaran ketibaannya pada hujung tahun depan.

    Honda ADV 150, Winner X dan CBR250RR – adakah akan tiba di Malaysia? Bilakah waktu jangkaannya?

    Kemudiannya, kerana model ini sudah melebihi tiga tahun, mungkin akan terdapat model facelift yang menepati peraturan Euro 4 dan ECE yang disebutkan tadi. Berkenaan harga, jangan pula anda mengharapkan CBR250RR ini akan berada dalam lingkungan yang sama seperti model 250 yang lain kerana ia mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi. Sasaran BSH adalah bawah daripada RM30k.

    Dengan maklum balas yang diberikan ini, adakah anda masih akan menunggu ketibaan Winner X, ADV 150 dan CBR250RR? Satu perkara yang kita perlu faham, pasaran Malaysia tidak sebesar negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam, dan BSH memerlukan jumlah jualan yang tinggi untuk menyokong ketibaan model-model ini.

     
     
  • RON95 vs RON97 – enjin boleh rosak kalau salah isi?

    Baru-baru ini, ada satu video tular yang menyentuh tentang keberkesanan dan masalah penggunaan petrol RON95 dan RON97. Dah tengok? Tetapi, yang menjadi masalahnya, banyak fakta yang disampaikan di dalam video berkenaan salah dan meleset sama sekali.

    Jadi, kami tak akan bercerita panjang tentang itu sebab dalam video ini, kami cuba jelaskan keadaan sebenar tentang isu berkenaan. Betul ke enjin Perodua Axia akan rosak kalau guna RON97 macam yang didakwa dalam video tersebut? Semuanya kami jelaskan dalam video ini – secara ringkas, tetapi menyeluruh.

    Selain itu, kami juga ada tulis satu artikel berkaitan isu yang sama, dengan perincian dan penjelasan serupa. Kalau anda belum baca artikel berkenaan, pautannya ada di sini. Apa pun, tak perlu risau tentang penggunaan antara petrol RON95 dan RON97, kerana kedua-duanya tidak akan merosakkan enjin kereta anda – yang ada cuma sedikit perbezaan berkaitan prestasi dan daya output. Bertenang dan teruskan memandu.

     
     
  • Honda CR-V facelift 2020 muncul di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, pilihan versi Hybrid kini ditawarkan

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 muncul di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, pilihan versi Hybrid kini ditawarkan

    SUV segmen-C Honda CR-V generasi kelima kini sudahpun masuk tahun ketiga dalam pasaran global, dan sudah tiba masa untuk diberikan fasa facelift. Oleh itu, model kemaskini berkenaan telah pun didedahkan pada antara pasaran pertama menerimanya iaitu Amerika Syarikat.

    Honda CR-V 2020 ini bukan sahaja menerima peningkatan dari segi kelengkapan dan juga penyegaran dari segi rupa, versi hibrid juga kini ditawarkan pada pasaran berkenaan.

    Pada bahagian luaran, model facelift ini menerima bampar baharu dengan perumah lampu kabus dirombak semula, dan juga kemasan berwarna perak yang seolah-olah membentuk ‘misai’ pada mukanya. Gril hadapan turut disentuh semula dengan memberikan lebih elemen berwarna hitam, bersama sedikit jalur krom.

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 muncul di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, pilihan versi Hybrid kini ditawarkan

    Di belakang, lampu utama tampil lebih gelap bersama grafik baharu, manakala kemasan krom berbentuk sayap menerentangi pintu tailgate belakang turut digelapkan sedikit. Kemasan jalur perak turut juga diberikan pada bampar, manakala tip ekzos berkembar yang sebelum ini berbentuk bulat telah digantikan dengan unit berbentuk trapezoid.

    Untuk model hibrid, rupanya dapat dibezakan dengan tip ekzos yan disembunyikan dan digantikan dengan kemasan bampar berlainan, serta lencana-lencana hybrid diletakkan pada tempat sepatutnya, dan logo ‘H’ dengan elemen sedikit warna biru.

    Varian EX, EX-L dan Hybrid bagi model 2020 ini hadir dengan rim 18-inci baharu. Manakala versi Touring yang lebih sporty menerima rim bersaiz 19-inci. Model asas LX pula hanya diberikan rim bersaiz 17-inci. Tiga warna badan baharu turut diperkenalkan iaitu Sonic Gray Pearl dan Radiant Red Metallic untuk model standard dan Hybrid serta Aegean Blue Metallic hanya untuk model bukan Hybrid.

    Pada bahagian dalaman pula, versi Hybrid tampil berbeza dengan butang pilihan gear diberikan bagi menggantikan tuil gear konvensional, bersama suis untuk mod Econ, Sport dan EV. Panel instrumen juga berbeza dengan diberikan paparan status janakuasa sama ada power/charge, dan juga paparan agihan dan pemulihahan kuasa yang boleh dipilih pemandu.

    Kesemua varian CR-V 2020 ini menerima butang penghidup enjin dan ruang storan konsol tengah baharu, manakala model Touring hadir dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Ciri lain yang turut diberikan termasuk kluster instrumen TFT-LCD berwarna, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, penghidup enjin kawalan jauh, sistem penghawa dingin dua zon, tempat duduk hadapan berkuasa, dan juga port USB untuk mengecas untuk penumpang belakang.

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing kini diberikan standard untuk semua varian CR-V. Ia terdiri dari sistem seperti Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Pengesan Pejalan Kaki, Pengelak Keluar Jalan (RDM) dengan Amaran Keluar Laluan (LDW), Cruise Control Adaptif (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF) dan Bantuan kekal Lorong (LKAS), Informasi Titik Buta (BSI), Pemantau Lintasan Trafik Belakang (CTM) dan Lampu Tinggi Automatik (HSS).

    Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 muncul di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, pilihan versi Hybrid kini ditawarkan

    Tiada perubahan janakuasa untuk CR-V petrol di mana ia masih dikuasakan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo menghasilkan 190 hp/243 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT dengan pilihan pacuan hadapan atau semua roda. Namun, enjin NA 2.4 liter pada versi asas LX sebelum ini tidak lagi ditawarkan untuk CR-V.

    Manakala untuk model Hybrid pula, ia dijana oleh sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) sama seperti Accord Hybrid. Ia menggabungkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson bersama dua motor elektrik serta pek bateri yang diletakkan pada lantai bahagian kargo, menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp.

    Sistem ini tidak diberikan kotak gear automatik konvensional, sebaliknya ia digantikan dengan satu unit klac lock-up yang menghubungkan enjin kepada kotak gear nisbah tunggal bagi mengalirkan kuasa ke roda, manakala satu lagi klac elektrik akan mengalirkan kuasa dari enjin ke roda belakang jika sistem AWD diperlukan.

     
     
  • Toyota Calya facelift di Indonesia – ciri dipertingkat

    Toyota Calya facelift di Indonesia – ciri dipertingkat

    Selepas tiga tahun berada dalam pasaran Indonesia, Toyota Calya diberikan pembaharuan. MPV tujuh tempat duduk yang terletak satu tahap di bawah Avanza ini ditawarkan dalam dua varian iaitu E atau G, bersama pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

    Untuk bahagian luar, perubahan utama yang boleh dilihat adalah gril yang bersambung dari atas hingga ke bawah, kemasan menegak di penjuru bampar yang lebih panjang dan menempatkan lampu kabus, cermin sisi yang boleh dilipat serta jalur kemasan belakang yang menyambungkan lampu kiri dan kanan. Rekaan rim juga berubah, namun masih adalah unit 14 inci dengan tayar 175/65.

    Perkara yang lebih banyak ditingkatkan pada Calya ini adalah ciri dan kelengkapan. Sekarang, ia boleh didapati dengan lampu jenis LED, skrin infotainmen sesentuh, butang kawalan audio di stereng serta ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk dan berhampiran tombol gear.

    Rekaan bahagian dalam juga tidak berubah, namun ia menggunakan papan pemuka dua tona serta balutan fabrik dan kemasan yang lebih gelap. Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan dua beg udara, pengesan undur belakang, brek ABS dan EBD, cagak Isofix serta kunci immobilizer.

    Model yang boleh dianggap kembar dengan Daihatsu Sigra ini masih menggunakan enjin empat silinder 1,197 cc DOHC Dual VVT-i yang berkuasa 88 PS dan 108 Nm tork. Harganya di sana bermula dari 137.4 juta Rupiah (RM40,903) hingga 158.4 juta Rupiah (RM47,155).

     
     
  • Proton 1-Tank Adventure 2019 pusingan pertama – 30 kereta tamatkan 650 km dengan hanya 1 tangki petrol

    Proton 1-Tank Adventure 2019 pusingan pertama –  30 kereta tamatkan 650 km dengan hanya 1 tangki petrol

    Tahun ini, Proton sekali lagi menganjurkan cabaran 1-Tank Adventure dengan pusingan pertamanya berlangsung pada hujung minggu lalu. Untuk musim 2019 ini, cabaran dibuka untuk tiga model kemaskini yang baharu sahaja dilancarkan iaitu Persona 2019, Iriz 1.6L 2019 dan Saga 2019.

    Seramai 60 orang peserta dengan 30 buah kereta terdiri dari tiga model tersebut telah menyertai pusingan kali ini, dengan perjalanan sejauh 650 km, bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE) menuju ke Johor Bahru dan kembali semula ke COE.

    Kembara kali ini agak mencabar kerana ia berlangsung pada cuti hujung minggu yang panjang menyebabkan aliran trafik sesak bermula di Lebuhraya Utara Selatan di Seremban, serta sepanjang Lebuh AMJ dari Melaka ke Perigi Batu Pahat dan kemudian ke Tanjung Piai. Ia juga di sulami dengan cuaca teruk – berjerebu dan hujan di berberapa kawasan. Namun ia tidak memberi masalah kepada peserta untuk menamatkan cabaran hari pertama dengan selamat yang berakhir di Johor Bahru.

    Cabaran hari kedua pula lebih tenang dengan perjalanan hampir keseluruhannya pada Lebuhraya Utara Selatan, dan peserta sempat ke MAEPS Serdang bagi mengikuti sesi pemanduan dinamik untuk merasai sendiri kemampuan ‘Proton ride & handling‘ dan juga fungsi-fungsi keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik yang ada pada kereta Proton mereka.

    Segala pemantauan dan kiraan Proton 1-Tank Adventure ini dilakukan oleh penganjur Malaysia Speed Festival (MSF) yang diterajui oleh Adian Yein sendiri. Keputusan terbaik yang dicapai kali ini adalah 4.98L/100km untuk Proton Saga, 5.43L/100km untuk Proton Persona dan yang terbaik iaitu 4.94L/100km untuk Proton Iriz. Secara teori, dengan satu tangki 40 liter jarak paling jauh yang boleh dicapai adalah 809 km.

    Bagi menambah lagi elemen ‘real world‘ pada kembara kali ini, pihak MSF turut memberikan masa sasaran untuk sampai ke setiap check point yang lebih singkat, memaksa peserta untuk memandu pada kelajuan purata sekitar 70 km/j-90 km/j.

    Proton 1-Tank Adventure 2019 pusingan pertama –  30 kereta tamatkan 650 km dengan hanya 1 tangki petrol

    “Saya kagum dengan kecekapan bahan api pada kereta kami tetapi saya juga sangat terkejut dengan keupayaan pengendalian dan kelengkapan ciri keselamatan yang ada pada kereta Proton,” kata Rohayudin bin Ya’acob, salah seorang peserta Proton Persona yang mengambil bahagian bersama anaknya, Mohammad Kamarul Eizlan.

    “Jika boleh, saya ingin mengesyorkan semua pemilik kereta Proton untuk mengambil peluang menguji kereta mereka sebaiknya kerana hanya dengan berbuat demikian, mereka dapat merasai perbezaan besar dalam pemanduan dan pengendalian Proton berbanding pesaingnya. Saya juga berasa terkejut dengan kemampuan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dalam memastikan keselamatan kereta jadi ini menunjukkan bahawa PROTON telah melakukan yang terbaik untuk memastikan sebuah kereta seperti Proton Saga varian Premium, yang berharga kurang daripada RM40,000, juga dilengkapi ciri keselamatan yang penting ini,” tambah Rohayudin.

    “Pusingan pembukaan 1 Tank Adventure tahun ini sangat mencabar tetapi semua peserta berjaya menamatkannya dengan selamat. Apa yang penting ialah Proton telah membuka peluang kepada para peserta untuk menguji kereta mereka dalam keadaan pemanduan yang membolehkan mereka merasai sendiri keupayaan ciri keselamatan dan kebolehan dinamik kereta mereka, di mana turut membuktikan bahawa kereta kami menawarkan nilai dan pengalaman pemanduan terbaik di kalangan semua kenderaan dalam kelasnya,” kata CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

     
     
  • MYPerodua Nation 2019 ditangguhkan akibat jerebu

    MYPerodua Nation 2019 ditangguhkan akibat jerebu

    Akibat masalah jerebu yang sedang melanda Malaysia, Perodua telah mengambil keputusan untuk menangguhkan penganjuran karnival MYPerodua Nation 2019 sehingga ke tarikh yang bakal ditetapkan kemudian. Sepatutnya karnival terbabit bakal berlangsung pada hujung minggu ini, dari 20 hingga 22 September, bertempat di Setia City Oval Lawn, Setia Alam.

    “Indeks Pencemaran Udara (API) pada kawasan terbabit dilaporkan telah melebihi 200, iaitu mencapai tahap yang tidak sihat. Justeru, atas dasar keprihatinan, Perodua enggan membiarkan para pelanggan, pengunjung dan juga kakitangan kaki dalam risiko.

    “Kami memohon maaf sepenuh hati di atas penangguhan karnival ini. Malah, kami sedang mengkaji semua alternatif untuk tetap menganjurkannya dalam masa terdekat ini,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

     
     
  • Data jualan kenderaan M’sia Ogos 2019 – naik 0.58%

    Data jualan kenderaan M’sia Ogos 2019 – naik 0.58%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan bagi Ogos 2019, yang menyaksikan sebanyak 51,148 unit telah dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan terbabit. Malah ia menunjukkan peningkatan sebanyak 295 unit – atau 0.58% – berbanding 50,853 unit yang direkodkan pada Julai.

    Walau bagaimana pun, angka untuk Ogos 2019 didapati 22% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu dengan 65,550 unit yang dihantar kepada para pelanggan, menyaksikan jurang perbezaan sebanyak 14,402 unit.

    Ia juga memberikan kesan terhadap Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tahun hingga ke tarikh tersebut, di mana hanya 398,335 unit kenderaan telah dihantar dalam tempoh lapan bulan pertama 2019, berbanding 423,615 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu – menyusut sebanyak 6%.

    Untuk September 2019, MAA menjangkakan jumlah jualan mungkin sama dengan rekod yang dicatatkan pada Ogos disebabkan banyak pula cuti umum pada bulan ini yang menyebabkan waktu bekerja juga dipendekkan.

     
     
  • Mitsubishi tunjuk teaser model konsep SUV PHEV baharu untuk dipamerkan di Tokyo Motor Show 2019

    Mitsubishi tunjuk teaser model konsep SUV PHEV baharu untuk dipamerkan di Tokyo Motor Show 2019

    Untuk penganjuran Tokyo Motor Show (TMS) 2019, Mitsubishi mengesahkan bakal mempamerkan konsep SUV plug-in hybrid (PHEV) bersaiz kecil, yang dikatakan sebagai “gabungan elektrifikasi dan kepakaran serta teknologi kawalan pacuan empat-roda”.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian lanjut mengenainya, Mitsubishi hanya memaklumkan kereta konsep tersebut menggunakan penjana kuasa PHEV yang lebih kecil, namun ditampilkan bersama sistem 4WD elektrik yang membolehkan ia menyalurkan “pemanduan yang tiada tandingannya”.

    Bersama pengumuman tersebut, imej teaser yang mempamerkan rekaan suku bahagian belakang model konsep tersebut, yang mendedahkan bentuk berkotaknya dengan penggayaan bumbung terpisah. Kelihatan juga kemasan gentian karbon pada setiap “bonggol”, bersama empat elemen berbentuk bundar yang mungkin disambungkan dengan sistem penyejukan kereta.

    Kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai model konsep yang masih dirahsiakan namanya apabila ia dipamerkan di Tokyo pada hujung Oktober ini.

     
     
  • Vision Mercedes Simplex bawa kembali rekaan kereta tahun 1901, dengan terjemahan moden abad ke-21

    Vision Mercedes Simplex bawa kembali rekaan kereta tahun 1901, dengan terjemahan moden abad ke-21

    Pada tahun 1901, sebuah kereta yang dihasilkan oleh syarikat Daimler-Motoren-Gesellschaft di bawah arahan Emil Jellinek telah membuat kejutan waktu Race Week di Nice, Perancis. Kereta berprestasi tinggi yang diberikan nama Mercedes 35 PS ini mempunyai rekaan serta binaan yang luar daripada kebiasaan waktu itu dan menjadi ikutan dalam dunia automotif selepasnya.

    Bagi mengingati semula peristiwa serta model tersebut, Mercedes-Benz telah menghasilkan sebuah model “Vision Mercedes Simplex” yang membawa semula konsep rekaan tersebut, tapi dengan terjemahan moden abad ke-21.

    Apa mesej yang mahu disampaikan? “Keghairahan untuk kemewahan dan inovasi adalah sebahagian daripada DNA jenama Mercedes-Benz. DNA ini memberikan Mercedes-Benz kekuatan untuk menetapkan tahap baru dalam mobiliti berkali-kali, semalam, hari ini dan esok. Pada masa sama, model ini juga menunjukkan Mercedes-Benz sentiasa beterusan memacu transformasi kenderaan dan mobiliti sebagai peneraju.”

    Antara konsep rekaan yang anda boleh lihat adalah tetapan dua tempat duduk, roda terbuka yang besar, pembahagian warna putih di hadapan dan hitam di belakang seperti kereta asal, kemasan lutsinar pada rim dan gril radiator besar di hadapan yang diwarnakan rose gold.

    Disebabkan ini adalah kereta yang digambarkan menggunakan penggerak moden seperti elektrik, gril hadapannya ditutup sepenuhnya dan digunakan sebagai panel digital untuk memaparkan tulisan Mercedes dan animasi digital lain seperti informasi kenderaan.

    Di bahagian dalam pula butang kawalan adalah minimal, dan ia mendapat inspirasi daripada motosikal dan jentera nautika. Tiada panel instrumen biasa pada model ini dan ia diganti dengan sistem pantulan pada panel papan pemukanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026