Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    Pemegang saham terbesar dalam Boustead Petroleum Marketing (BPM) yang mengendalikan rangkaian stesen minyak di bawah jenama BHPetrol, Boustead Holdings dilaporkan akan menjual sahamnya dalam perniagaan tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam laporan The Edge, dan turut menyebut bahawa perbincangan dengan individu yang berpotensi membeli saham berkenaan sedang berjalan, bersama pihak lain yang berminat terhadap aset tersebut.

    “Ini (aset yang menunggu) adalah kerana harga yang diberikan adalah lebih dari RM1 bilion, mungkin cecah RM1.5 bilion, atau lebih,” kata sumber yang boleh dipercayai berkenaan perkara ini memberitahu The Edge. Menurutnya lagi, selain dari harga, ada berberapa pihak lagi yang berminat dengan perkara ini, dan sedang menunggu nilai yang akan dinyatakan oleh Boustead Holdings.

    Sehingga kini, BPM menjual petrol, diesel, gas LPG dan pelbagai minyak pelincir secara runcit serta mengendalikan lebih dari 380 stesen minyak di seluruh Malaysia. Syarikat tersebut dikuasai Boustead Petroleum dengan pegangan 70% dan 30% selebihnya adalah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

    Boustead Holdings bakal lepaskan sahamnya dalam BHPetrol, henti perniagaan petroleum – laporan

    LTAT pula mempunyai 59.45% saham dalam Boustead Holdings. Laporan ini turut menambah bahawa dengan struktur pemilikan Boustead Holdings dan LTAT ini, mungkin LTAT juga akan melepaskan kepentingannya dalam BPM jika Boustead Holdings keluar dari perniagaan tersebut. Untuk rekod, selain dari peruncitan petrol ini, Boustead Holdings juga mempunyai jaringan perniagaan dalam bidang pertahanan, farmaseutikal, kejuruteraan berat, pertanian dan juga pembangunan hartanah.

    Pemegang saham Boustead Petroleum pula terdiri dari Boustead Holdings dengan pegangan 59.82%, PE Petroleum (21.11%), Vitol Malaysia (14.07%) dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (5%) yang sebelum ini turut menerajui Boustead Holdings dan LTAT.

    The Edge turut mendedahkan bahawa PE Petroleum adalah milik penuh syarikat yang bernama Hesselink Investments, manakala Vitol Malaysia pula milik penuh Vitol Malaysia BV, iaitu salah satu divisi gergasi industri minyak Belanda, Vitol. Sumber berita ini memberitahu, Vitol mungkin berminat untuk mengambil alih perniagaan ini, tetapi menurut laporan ia tidak berasas.

    Nama lain yang turut dikaitkan berminat adalah Petronas Dagangan, yang mempunyai lebih dari 1,000 stesen minyak di seluruh negara, dan Petron Malaysia Refining & Marketing, yang mengendalikan lebih dari 640 stesen minyak di seluruh Malaysia, tetapi kedua-duanya masih tidak dapat dipastikan.

     
     
  • Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Kalau ikut pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada April lalu, Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 dijadualkan akan diumumkan pada suku kedua tahun ini. Walau bagaimana pun, kalendar 2019 sudah pun bakal menginjak ke suku keempat dalam tempoh dua minggu lagi, namun NAP 2019 masih belum diumumkan.

    Terkini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, mengesahkan NAP 2019 bakal diumumkan kelak, walau pun tidak memberikan bayangan jangkaan tarikhnya.

    “NAP 2019 akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV). Pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

    “Ia juga memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar polisi dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja. Pada masa sama, kami akan turut menggabungkan elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid dan kenderaan EEV,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    Madani berkata ini termasuk elemen seperti pengeluaran bateri, sistem pengurusan, stesen pengecas dan yang berkaitan manakala fasa berikutnya akan menitikberatkan aspek terkini seperti teknologi 5G. Sejajar usaha itu, kata beliau, NAP 2019 juga bakal menyaksikan MARii mengubah fokus EEV kepada kenderaan generasi baharu atau NxGV.

    Tambahnya lagi, perbezaan kenderaan EEV dan kenderaan NxGV adalah elemen kesalinghubungan atau ‘connectivity’ bagi menyuntik pengalaman pemanduan dalam kenderaan yang turut ditambah nilai dengan aspek lain. Malah, penggunaan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam kenderaan NxGV juga dapat menjana sektor baharu seperti perkhidmatan mobiliti manakala penggunaan AI akan mendorong kepada pemanduan lebih selamat, cekap serta berprestasi tinggi.

    “Aspek mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu adalah sektor baharu yang tidak boleh diketepikan. Berikutan itu, ia memerlukan banyak aspek pengaturcaraan, IoT atau internet pelbagai benda dan yang berkaitan,” katanya.

    Mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu merujuk kepada usaha beralih daripada mod pengangkutan milikan sendiri kepada penyelesaian mudah alih, termasuk menggabungkan perkhidmatan penyedia pengangkutan awam dan swasta menerusi satu platform yang mengurus perjalanan dan membolehkan pengguna membayar perkhidmatan itu secara tunai atau dalam talian.

    Madani berkata seperti dinyatakan oleh ahli teknologi, industri automotif merupakan ‘induk atau teras segala industri’ kerana melibatkan sektor-sektor mekanikal, elektronik, kejuruteraan, kimia dan teknologi terkini.

    Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 bakal dilancarkan tidak lama lagi – laksana secara 3 fasa, fokus ke NxGV

    “Atas alasan itulah kami amat maklum dan memahami hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad agar Malaysia memiliki kereta nasional (ketiga) baharu. Ini semua bagi memastikan industri automotif dapat memanfaatkan semua limpahan aktiviti ini,” katanya.

    Buat pertama kalinya juga, NAP 2019 bakal meletakkan definisi kereta nasional dengan sasaran menjadikan teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk lebih membangunkan negara. Ia akan melibatkan enam kriteria iaitu majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75% bekalan rantaian domestik.

    “Kriteria lain adalah ia perlu menggunakan 98% pekerja tempatan, syarikat terlibat (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunanaan revolusi perindustrian 4.0.

    “Kriteria berkenaan terpakai kepada pengeluar kereta nasional sedia ada dan kereta nasional baharu yang sedang dalam peringkat pembangunan. Malah, kehadiran kereta nasional baharu itu akan lebih merancakkan perniagaan dalam kalangan vendor-vendor tempatan,” ujarnya.

    Jelasnya lagi, dalam sebuah kereta terdapat lebih 30,000 komponen dan 80% daripadanya dibekalkan oleh vendor. Oleh itu, kereta nasional baharu ini bukan sahaja menambah nilai kepada kepakaran bidang ini malah turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

     
     
  • Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Mengetahui ramai pengguna motosikal yang gemar menjelajah sekarang, termasuk yang menggunakan model kapasiti rendah, Suzuki telah melancarkan versi baru bagi skuter NEX II mereka di Indonesia, yang dikenali sebagai NEX II Cross.

    Bahagian utama yang ditukar sudah tentu adalah tayar, di mana ia sekarang datang secara standard dengan tayar jenis dual purpose, tetapi saiznya masih sama iaitu 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang. Rim adalah unit 14 inci. Kemudiannya, warna serta grafik model ini ditukar bagi menampakkan bezanya dengan versi lain.

    Selain daripada itu, tiada perkara yang berubah pada motosikal ini, dan ia masih menggunakan kelengkapan yang sama seperti NEX II yang dulu, termasuklah fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, brek cakera depan dan brek dram belakang.

    Suzuki NEX II Cross tiba di Indonesia – gaya jelajah

    Enjin yang menggerakkan motosikal ini adalah unit sau silinder 113 cc suntikan bahan api SOHC yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT. Kapasiti tangki bahan api NEX II Cross adalah 3.6 liter dan versi yang dipasang dengan aksesori mempunyai kelengkapan seperti lampu hadapan LED dan soket pengecas USB.

    Sementara NEX II dijual pada harga antara 15.1 (RM4,476) hingga 15.8 juta Rupiah (RM4,680), NEX II Cross pula dijual pada harga 15.4 juta Rupiah (RM4,565) untuk versi Standard dan 16.1 juta Rupiah (RM4,772) untuk versi yang dipasang dengan aksesori.

     
     
  • 7 dari 10 kereta baharu kini guna brek parkir elektrik

    7 dari 10 kereta baharu kini guna brek parkir elektrik

    Selain dari kotak gear manual, kini satu lagi fungsi mekanikal pada kereta mulai ditukar kepada versi elektronik iaitu brek parkir. Menurut kajian yang dilakukan oleh Cargurus seperti yang dilaporkan oleh Autoexpress, buat masa sekarang 70 peratus dari model-model baharu hadir hanya dengan brek parkir elektronik tanpa pilihan versi manual.

    Malah, terdapat jenama-jenama premium seperti Jaguar, Land Rover, Lexus, Mercedes-Benz dan Porsche kini tidak lagi menghasilkan brek tangan manual untuk model-model mereka.

    Trend penggunaan brek parkir elektronik ini dilihat semakin meningkat saban tahun di mana tahun lalu jumlah model baharu yang diberikan brek parkir tangan adalah 37 peratus, dan ia semakin berkurangan tahun ini dengan hanya tiga dari sepuluh model baharu hadir dengan sistem manual.

    “Pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi – model flagship BMW 7 Series – pada 2001, kajian kami menunjukkan penggunaan brek parkir elektronik secara pantas berubah dari sesuatu yang baharu kepada ciri normal. Sistem ini mungkin kurang dari segi rasa sentuhan yang disukai pemandu pada brek parkir manual tradisional, tetapi ia memberikan berberapa kelebihan dari segi keselesaan, keselamatan dan pakej keseluruhan,” kata editor Cargurus, Chris Knapman.

    Perbezaan versi brek parkir manual (kiri) dan brek parkir elektronik (kanan) pada Renault Megane RS 280 Cup 2019

    Selain dari lebih mudah dan lebih selamat untuk digunakan, brek parkir elektronik juga hanya berfungsi dengan satu suis yang bersaiz jauh lebih kecil dari tuil brek parkir manual. Ini membolehkan ruang tersebut direka dengan memberikan ruang storan tambahan yang lebih besar.

    Ketua polisi jalan raya Persatuan Automotif (AA) UK, Jack Coursens pula menyifatkan trend ini sebagai “petanda untuk arah tuju teknologi kereta, di mana sistem elektronik mengambil alih sistem manual.” Menurut Coursens, brek parkir elektronik ini mempunyai berberapa kelebihan seperti tidak berisiko untuk tidak ditarik sepenuhnya ketika kereta diletakkan pada bukit yang curam.

    Namun beliau turut gusar kerana pemandu muda yang belajar memandu dengan brek parkir elektronik mungkin akan menghadapi kesukaran sekiranya kereta pertama yang dibeli kelak hadir dengan brek parkir manual.

    Anda pula bagaimana? Lebih suka brek parkir elektronik, atau lebih suka tuil brek parkir yang membolehkan kita melakukan aksi “handbrake turn”?

     
     
  • Kerajaan tetap beri subsidi biarpun harga minyak naik mendadak di seluruh dunia – Perdana Menteri

    Kerajaan tetap beri subsidi biarpun harga minyak naik mendadak di seluruh dunia – Perdana Menteri

    Beberapa hari lalu, Arab Saudi telah menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yaman. Menurut Putera Abdulaziz Salman, Menteri Tenaga Arab Saudi, serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50% pengeluaran keseluruhan.

    Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari. Walau bagaimana pun, tindakan tersebut sudah pasti memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.

    Kerajaan tetap beri subsidi biarpun harga minyak naik mendadak di seluruh dunia – Perdana Menteri

    “Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia. Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Soalan itu diajukan kepada Perdana Menteri bagi mengetahui sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.

    Mengenai subsidi petrol bersasar pula, sehingga kini tiada perkembangan selanjutnya yang diumumkan oleh kerajaan. Dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan subsidi minyak selepas ini akan disasarkan kepada kelompok B40 (gaji kurang RM3,000 sebulan) dan mekanisma agihan skim berkenaan akan ditentukan bagi mengelak salah guna.

     
     
  • Harga minyak 14-20 September – RON 97 naik tiga sen

    Harga minyak 14-20 September – RON 97 naik tiga sen

    Untuk minggu bertarikh 14 hingga 20 Spetember 2019, Kementerian Kewangan memaklumkankan kenaikan tiga sen bagi minyak petrol RON 97, berbanding harga jualan runcitnya minggu sebelumnya.

    Ini bermakna petrol RON 97 akan dijual pada harga RM2.53 seliter bermula tengah malam ini. Selain itu, petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsisi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 14-20 September – RON 97 naik tiga sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama masing-masing sepatutnya RM2.23 seliter dan RM2.29 seliter. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.20 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.26 seliter.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 14 September 2019 sehingga 20 September 2019 berjumlah RM68.71 juta.

     
     
  • Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

    Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

    Minggu ini, tiga gergasi automotif Jepun – Honda, Nissan dan Toyota – mendedahkan ayam tambatan masing-masing untuk siri Kejohanan Super GT bagi musim hadapan secara serentak dalam satu majlis. Untuk tahun 2020, ketiga-tiga jenama tersebut akan mempertaruhkan tiga nama ikonik dari era 90’an iaitu Honda NSX, Nissan GT-R dan juga Toyota Supra.

    Seperti musim lalu, sejak dari 2014, kesemua jentera untuk kategori GT500 menggunakan undang-undang FIA Class 1, sama seperti Kejohanan Touring Car Jerman atau lebih dikenali sebagai DTM. Dalam undang-undang ini, kesemua jentera hanya dibenarkan menggunakan enjin turbo empat-silinder 2.0 liter, bermaksud enjin-enjin dari model produksi tidak akan digunakan oleh mana-mana pasukan.

    Bagi Toyota, musim hadapan merupakan musim kelahiran semula jenama tersebut bersama nama ‘Supra’ setelah 14-tahun tugas berkenaan digalas oleh Lexus bermula pada musim 2007. Kereta lumba sebenar GR Supra Super GT yang didedahkan kali ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi konsep yang muncul pada Tokyo Auto Salon 2019 awal tahun ini.

    Jentera lumba baharu ini direka lebih rendah dari versi produksi, manakala bampar versi konsep sebelumnya yang direka dengan liang kemasukan lebih besar berbentuk petak digantikan dengan unit yang lebih hampir kepada Supra A90 di bilik pameran. Satu liang udara tambahan juga dapat dilihat diletakkan di bahagian bawah logo Toyota hadapan.

    Fender hadapan dilebarkan dengan arch bersegi, bersambung dengan bampar yang juga lebih lebar, serta menempatkan splitter udara sisi. Liang udara pada bonet hadapan pula direka tenggelam, dengan saiz yang juga lebih besar. Skirt sisi jentera lumba ini bukan setakat labuh, malah lebih lebar dengan panel seperti sayap, bersambung dengan ruang roda belakang yang juga lebih lebar.

    Bampar belakang juga direka bersegi, bersama diffuser udara bersaiz besar. Manakala GT-Wing di belakang tampil dengan sayap bersaiz gergasi. Kereta lumba sebenar ini juga diberikan rim perlumbaan Volks Racing TE37 yang diikat dengan hanya satu nat pada hub roda.

    Untuk Nissan GT-R pula, perincian sebenar kereta lumba baharu ini masih lagi belum didedahkan. Rupanya juga masih hampir sama dengan jentera musim lalu dengan sedikit kelainan pada aspek aerodinamik. Menurut Nissan, kereta ini akan di uji di Litar Suzuka minggu ini bagi melengkapkan pembangunannya sebelum musim 2020 bermula.

    Honda NSX juga kelihatan hampir sama dengan mesin perlumbaan tahun lalu. Namun disebalik badan kereta ini, Honda sebenarnya telah melakukan perubahan yang cukup besar – kedudukan enjin NSX yang sinonim di bahagian tengah kini telah dialihkan ke bahagian hadapan!

    Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

    Langkah ini terpaksa dilakukan oleh Honda kerana undang-undang Class 1 baharu tidak membenarkan kereta dengan kedudukan enjin sedemikian untuk berlumba dalam kategori tersebut. Untuk musim lalu, penganjur Super GT juga terpaksa memberikan penalti 10 kg kepada semua NSX yang bertanding kerana kereta tersebut telah mendominasi semua perlumbaan berkenaan pada separuh musim 2019.

    Tiga lagenda yang kembali ‘bergasak’ dalam kejohanan Super GT 2020 bukan satu-satunya berita baik. Kejohanan ini telah disahkan akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang musim ini, dan ia akan diadakan pada waktu malam. Malaysia dipilih menjadi tuan rumah untuk pusingan ke lima Super GT 2020, namun tarikh sebenar perlumbaan tersebut masih belum diumumkan.

     
     
  • Pusat 3S Proton di Kuantan dibuka dengan CI baru

    Pusat 3S Proton di Kuantan dibuka dengan CI baru

    Proton telah memulakan operasi pusat 3S terbarunya yang turut merupakan cawangan pengedar ketiga di Kuantan, Pahang. Premis terbaru berkenaan lengkap dengan penampilan identiti korporat (CI) terbaru Proton. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Pusat 3S dan 4S Proton di seluruh negara kini mencecah angka 102 cawangan.

    Kemudahan 3S terbaru itu dikendalikan oleh Pesat Auto dan mempunyai keluasan bangunan 750 meter persegi, terdiri daripada enam ruang servis dan empat pengangkat. Pelaburan keseluruhan ialah RM2.3 juta, dan Pesat Auto meramalkan cawangan berkenaan akan dapat menaikkan jualan sebanyak 30%, sementara servis kenderaan akan meningkat sehingga 40%.

    Pusat 3S Proton di Kuantan dibuka dengan CI baru

    Pengarah Pesat Auto, Tee Keh Hock menjelaskan; “Suasana perniagaan sudah banyak berubah. Keperluan dan jangkaan pelanggan juga semakin berbeza. Pusat sehenti akan menjadi platform yang membolehkan kami untuk memenuhi permintaan para pelanggan, dan dalam masa yang sama, memperluas jumlah pelanggan.”

    Berkaitan CI baru pula, Dr Li Chunrong menjelaskan; “Apa yang ingin kami capai ialah untuk pastikan setiap kali pelanggan melangkah masuk ke caawangan Proton, mereka segera akan dapat mengalami sendiri apa yang ditawarkan oleh jenama ini. Kami memberi penekanan terhadap layanan pelanggan, mendepani setiap isu secara profesional dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.”

     
     
  • Lego Technic Land Rover Defender 2020 – dengan enjin dan kotak gear berfungsi, berharga RM830

    Lego Technic Land Rover Defender 2020 – dengan enjin dan kotak gear berfungsi, berharga RM830

    Dah tengok Land Rover Defender generasi baharu yang didedahkan di Frankfurt tempoh hari? Rasa nak beli tapi tak mampu? Ini mungkin boleh mengubat kekecewaan anda – Lego telah melancarkan Land Rover Defender 2020 mereka sendiri dalam siri Technic, dan anda boleh mula mendapatkannya bermula 1 Oktober ini dengan harga RM830.

    Dihasilkan dalam siri Technic, bermaksud ia bukan sahaja replika dengan bentuk seakan Defender sebenar, malah turut menampilkan sistem mekanikal yang berfungsi. Set ini mengandungi 2,573 komponen Lego, dan selepas siap dipasang, ia akan membentuk sebuah Defender 90 (jarak roda pendek), dengan ukuran 42 cm panjang, 20 cm lebar dan 22 cm tinggi.

    Ia dilengkapkan dengan unit winch, sistem stereng bersama replika enjin enam-silinder yang kesemuanya berfungsi. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan bersama nisbah rendah berfungsi dengan dua tuil gear, disifatkan oleh Lego sebagai transmisi paling canggih pernah mereka hasilkan.

    Selain itu, Lego Defender ini juga diberikan ciri-ciri lain seperti pintu tailgate yang boleh dibuka bersama tempat duduk belakang yang boleh dilipat kehadapan, ruang storan tambahan pada bahagian sisi, tangga sisi untuk memanjat bumbung, serta rak bumbung yang boleh dibuka dan memuatkan kelengkapan off-road seperti kotak simpanan dan juga traction mat.

    Lego Technic Land Rover Defender 2020 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu warna hero Olive Green seperti dalam gambar, hitam dan kelabu. Lego Defender ini juga sebenarnya telah didedahkan oleh The Brick Brothers Jun lalu, atau sekitar dua bulan sebelum Defender sebenar membuat kemunculannya.

     
     
  • Volkswagen perkenalkan ID. Charger baru, dari RM1.8k

    Volkswagen perkenalkan ID. Charger baru, dari RM1.8k

    Dalam usaha membuatkan mobiliti elektrik mampu menarik perhatian lebih ramai pengguna lagi, Volkswagen bakal memperkenalkan pengecas wallbox yang dipanggil sebagai ID.Charger, dalam masa terdekat ini apabila model hatchback ID.3 baharu memasuki pasaran.

    Terdapat tiga versi wallbox, bermula dengan unit penawaran paling rendah ID. Charger. Ia ditawarkan dengan harga 399 euro (RM1.8k), dan mempunyai kapasiti pengecasan sehingga 11 kW (lima kali lebih pantas berbanding soket kuasa domestik biasa), dan menampilkan perlindungan semasa DC fault untuk keselamatan maksimum. Ini bermakna pengecasan untuk ID.3 dengan bateri 58 kWh supaya mencapai kapasiti penuh memerlukan sehingga enam jam, sesuai untuk penggunaan sepanjang malam.

    Versi pertengahan pula ialah ID. Charger Connect yang ditawarkan pada harga 599 euro (RM2.7k), dan seperti namanya, peranti ini boleh disambungkan pada rangkaian rumah dan telefon pintar menerusi ketersambungan WLAN atau LAN. Ketersambungan LTE juga ditawarkan sebagai pilihan. Dengan wallbox ini, pelanggan boleh memantau status pengecasan dan ia turut menampilkan ciri termasuk pengurusan aplikasi, penyelenggaraan kawalan jauh dan juga perisian yang dipertingkatkan.

    Manakala versi tertinggi untuk wallbox ini ialah ID. Charger Pro, yang menampilkan meter elektrik bersepadu untuk ketepatan bil per kilowat bagi setiap jam, dengan fungsi ketersambungan dari ID. Charger Connect, dan juga didatangkan dengan binaan-dalaman modul LTE. Volkswagen berkata, ia mampu memberikan manfaat buat pemandu kereta syarikat dan majikan mereka. Ia ditawarkan dengan harga 849 euro (RM3.9k) dan setiap pembelian didatangkan dengan liputan data LTE seumur hidup.

    Ketiga-tiga pengecas ini mudah untuk dipasang di rumah dan didatangkan dengan kabel pengecasan Type 2. Pelanggan boleh menempah pengecasan ini secara dalam talian atau pun dari mana-mana pengedar Volkswagen bertauliah bermula hujung November ini.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB X247 dipamerkan di Frankfurt

    Mercedes-Benz GLB X247 dipamerkan di Frankfurt

    Di Frankfurt, Mercedes-Benz turut mempamerkan SUV kompak tujuh-tempat duduk terbaru, model GLB X247. Yang sedang anda lihat ini adalah dua varian model berkenaan; GLB 200 dan AMG GLB 35 4Matic.

    Dengan saiz yang sedikit lebih besar berbanding model GLA, GLB ini merupakan kereta kompak pertama pengeluarnya yang hadir dengan tujuh-tempat duduk. Ia mempunyai dimensi 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm bagi versi tujuh-tempat duduk) tinggi, sementara jarak antara roda pula ialah 2,829 mm panjang – ia 100 mm lebih panjang berbanding B-Class terbaru.

    Pilihan untuk enjin pula terdirid aripada unit yang diambil dari Renault, 1.33 liter M282 tubocas empat-silinder petrol pada GLB 200, menghasilkan sebanyak 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat serta kelajuan maksimum 207 km/j. Penggunaan petrol didakwa sekitar 6.0 ke 6.1 liter bagi 100 km.

    Mercedes-Benz GLB X247 dipamerkan di Frankfurt

    GLB 250 pula menggunakan enjin 2.0 liter M260 dengan janaan 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Dengan transmisi baru Mercedes 8G-DCT lapan-kelajuan, ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 236 km/j. Penggunaan minyak pula pada kadar 7.2 hingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.

    Varian paling tinggi setakat ini, AMG GLB 35 4Matic pula menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol dengan janaan 306 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Sistem pacuan AMG Performance 4Matic AWD juga dihadirkan sekali. Tetapi, tidak seperti model AMG 35 yang lain, GLB 35 ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan bukannya versi tujuh-kelajuan.

    Dari sudut prestasi, AMG GLB 35 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, sebelum tiba kepada kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Purata penggunaan minyak ialah sekitar 7.5 liter bagi 100 km mengikut peraturan NEDC.

    Mercedes-Benz GLB X247 dipamerkan di Frankfurt

    Dari sudut rekaan, SUV ini tampil dalam rekaan bersegi, dengan garis bahu di tepi menjadikannya tampak lebar dan tegap. Lampu pula menggunakan jenis LED di belakang. Sebagai pilihan, ia turut ditawarkan dengan pilihan lampu utama Multibeam LED, serta lampu kabus LED.

    Di dalam pula, rekaannya juga lebih sibuk dan menonjol – banyak juga kemasan plastik yang kelihatan seperti aluminium digunakan. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga melengkapi model ini. Untuk tempat duduk baris ketiga, ia boleh direbahkan dengan menggunakan satu sentuhan sahaja untuk memudahkan penumpang masuk ke ruang berkenaan. Selain ruang cawan, setiap penumpang mempunyai slot USB sendiri.

    GALERI: Mercedes-AMG GLB 35 4Matic X247

    GALERI: Mercedes-Benz GLB 200 X247

     
     
  • BMW Alpina B3 Touring – wagon dengan bekalan 462 hp/700 Nm, lebih berkuasa dari BMW M3 CS F80!

    BMW Alpina B3 Touring – wagon dengan bekalan 462 hp/700 Nm, lebih berkuasa dari BMW M3 CS F80!

    BMW masih lagi belum mendedahkan model 3 Series generasi terbaharu dalam versi paling berkuasa iaitu M3, tetapi penala yang sinonim dengan jenama tersebut, Alpina sudah pun mendedahkan model 3 Series yang lebih berkuasa dari M3 generasi F80, dan ia hadir dalam bentuk badan wagon digelar Alpina B3 Touring.

    Model istimewa dari Alpina ini dibina berasaskan versi M340i xDrive, dijana oleh 3.0 liter enam-silinder turbo berkembar. Berbanding versi asal yang menjana 374 hp/500 Nm, Alpina telah menala semula enjin berkenaan bagi mengekstrak kuasa keseluruhan 462 hp dan tork maksima 700 Nm dapat dicapai seawal 3,000 rpm, atau 2 hp/100 Nm lebih berkuasa dari M3 CS F80!

    Dengan enjin yang lebih berkuasa, Alpina turut menala semula kotak gear asal ZF lapan-kelajuan automatik bagi mendapatkan respon serta tukaran gear yang lebih cepat.

    BMW Alpina B3 Touring – wagon dengan bekalan 462 hp/700 Nm, lebih berkuasa dari BMW M3 CS F80!

    Sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive yang menghantar tork ke kesemua roda dalam jumlah bervariasi mengikut situasi masih lagi dikekalkan, namun Alpina membekalkan LSD yang dikawal oleh sistem elektronik pada gandar belakang bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih baik kepada wagon ini.

    Walau bagaimanapun, Alpina tidak mendedahkan rekod pecutan 0-100 km/j B3 Touring tersebut, tetapi mendakwa “ia mampu mencapai kelajuan 300 km/j, menjadikan ia jentera paling laju dalam kelasnya.”

    Pada bahagian luaran, Alpina B3 Touring ini juga menampilkan rupa yang lebih garang dari M340i Touring standard. Ia diberikan spoiler pada bampar hadapan bersama bampar belakang dengan diffuser yang lebih agresif dan menenpatkan empat tip ekzos berbentuk oval.

    Pembeli boleh memilih antara dua set rim untuk B3 Touring mereka, sama ada rim 19-inci Alpina Dynamic dengan jejari 5×4, atau rim aloi-forged 20-inci Alpina Classic dengan rekaan 20-jejari. Rim 20-inci tersebut kini turut menampilkan semula ciri pelindung hab roda yang boleh dikunci.

    Dalam kabin, ia masih lagi kelihatan seiras dengan M340i Touring biasa, tetapi logo BMW pada bahagian tengah roda stereng kini telah digantikan dengan logo Alpina. Perkataan ‘Alpina’ juga muncul pada skrin instrumen 12.3-inci digital sepenuhnya wagon ini.

    BMW Alpina B3 Touring ini boleh mula ditempah pada suku pertama 2020 nanti, dan pelanggan pertama akan menerima kereta tersebut pada pertengahan tahun hadapan.

     
     
  • Shell Rimula Ultra 5W-30 diperkenalkan – lanjutkan tempoh pernukaran pelincir hingga 150,000 km

    Shell Rimula Ultra 5W-30 diperkenalkan – lanjutkan tempoh pernukaran pelincir hingga 150,000 km

    Shell Malaysia telah memperkenalkan Shell Rimula Ultra 5W-30 serba baru yang disifatkan sebagai pelincir enjin diesel sintetik penuh paling maju keluaran Shell ketika ini. Ia menepati spesifikasi ACEA E6 dan ACEA E9 Eropah serta menerima kelulusan pengeluar untuk kegunaan pada enjin diesel ultra-moden yang menepati piawaian Euro 4 dan Euro 6.

    Kelebihan utama yang diberikan oleh pelincir ini ialah jangka hayatnya yang lebih lama, sekaligus menjadikan tempoh penukarannya juga menjadi lebih panjang, iaitu sehingga 150,000 km. Selain itu, perlindungan terhadap enjin juga lebih baik di dalam setiap keadaan dan cuaca, serta menjimatkan minyak.

    Pengarah Urusan, Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Baljit Singh menjelaskan; “Sebagai pembekal pelincir terbesar di dunia bagi 12 tahun berturut-turut, kami di Shell faham keperluan pelanggan. Kami adalah rakan yang boleh dipercayai untuk menyediakan penyelesaian pelincir paling maju dan terbukti yang disokong oleh sokongan teknikal yang tiada tara.”

    Shell Rimula Ultra 5W-30 diperkenalkan – lanjutkan tempoh pernukaran pelincir hingga 150,000 km

    Pengurus Pemasaran Shell Lubricants, Malaysia dan Singapura, May Tan juga menambah, ketika ini sedang berlakunya peralihan diperingkat global ke arah pelincir sintetik berkelikatan rendah disebabkan manfaatnya yang telah terbukti, seperti prestasi enjin yang lebih baik, tempoh penukaran pelincir yang dilanjutkan serta jimat bahan api. “Semuanya membawa kepada pengurangan kos pemililikan dan operasi, serta menjadi sangat penting dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini,” jelas beliau.

    Sementara itu, pelancaran pelincir berkenaan disusuli pula dengan pengumuman 13 pemenang yang akan menyertai Shell Rimula Ultimate Stopover 2019. Setiap daripada mereka akan dibawa mengikuti perjalanan eksklusif lima hari empat malam yang ditanggung sepenuhnya ke Barcelona, bulan ini.

     
     
  • TnG eWallet lancar kempen Ultimate Toll Savings

    TnG eWallet lancar kempen Ultimate Toll Savings

    Touch ‘n Go eWallet telah melancarkan kempen Ultimate Toll Savings yang sedang berlangsung sehingga 31 Oktober 2019. Sebahagian daripada kempen ini, semua pengguna yang membuat pembayaran tol tanpa tunai di lebuhraya yang mengambil bahagian layak menyertainya dan menerima 100% rebat tol.

    Apa yang perlu dilakukan, pengguna yang menghubungkan kad TnG mereka ke aplikasi eWallet untuk pertama kali sebelum 31 Oktober bakal menerima rebat tol sebanyak tiga kali 100% rebat tol. Ia boleh ditebus semula sehingga akhir 2019 untuk transaksi tol menggunakan PayDirect dan/atau RFID di lebuhraya yang mengambil bahagian.

    Untuk menerima lebih daripada 100% rebat tol, pengguna boleh berkongsi kod ‘Referral’ masing-masing dengan teman-teman mahupun keluarga sebelum 31 Disember. Ia adalah ‘situasi menang-menang’, di mana pengguna eWallet boleh mendapatkan mana-mana individu yang bukan-pengguna untuk mendaftar akaun baharu dengan menggunakan kod ‘referral’ miliknya, dan kedua-dua pengguna dan individu yang dirujuk itu bakal menerima tiga kali 100% rebat tol. Anda boleh berkongsi kod ‘referral’ milik anda dengan seberapa ramai individu yang anda mahu, dengan setiap pengaktifan yang berjaya melayakkan anda menerima tiga kali tambahan 100% rebat tol.

    Akhir sekali, pengguna eWallet yang membuat pembayaran tol menerusi PayDirect dan/atau RFID sehingga 31 Oktober ini juga layak untuk menerima perlindungan insurans kemalangan persendirian bernilai RM10,000 secara percuma. Perlindungan ini ditaja oleh Allianz General Insurance, dan akan sah sehingga 31 Disember 2019.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X50 di uji bersama X70 CKD dengan logo disembunyikan – Proton bakal lancar logo baru?

    SPYSHOT: Proton X50 di uji bersama X70 CKD dengan logo disembunyikan – Proton bakal lancar logo baru?

    Rancak betul Proton uji SUV segmen-B baharu mereka, Proton X50 buat masa sekarang – minggu lepas, model tersebut dilihat sedang diuji di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dan ia kini dijumpai sekali lagi, kali ini oleh pembaca Wan Yoi, dilihat bersama abang longnya iaitu Proton X70.

    Proton X70 tersebut berkemungkinan adalah dari versi pemasangan tempatan yang diproduksi di kilang Proton, Tanjong Malim, dijadualkan akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Apa yang menarik perhatian adalah, kesemua logo Proton – pada keempat-empat rim dan gril hadapan – telah ditutup dengan pelekat penyamaran. Adakah petanda bahawa Proton akan memperkenalkan logo baharu selepas ini?

    Apa yang kita tahu setakat ini, fasiliti Proton di Tanjong Malim sudah pun lengkap, dan unit ujian pemasangan lengkap pertama sudah pun keluar dari barisan produksi tersebut pada 10 April lalu, menurut CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

    Beliau juga mengesahkan bahawa penggunaan bahan tempatan pada model CKD akan ditambah secara berperingkat untuk menepati komitmen Proton kepada vendor mereka – syarikat ini telah mengambil masa hampir 20 bulan untuk menyediakan X70 CKD tersebut.

    Imej bayangan digital Proton X50 oleh Theophilus Chin

    Dengan kedudukan parkir bersebelahan, kita dapat lihat dan mudah untuk membayangkan bagaimana perbezaan saiz antara kedua-dua model ini. Jelas, model segmen-B Proton X50 berkenaan adalah sedikit lebih rendah dari X70 dari segmen-C.

    Satu lagi yang boleh anda perhatikan, unit yang dijumpai kali ini mungkin dari varian tertinggi, memandangkan ia menerima spoiler belakang yang lebih tinggi berbanding unit yang dijumpai di LPT tempoh hari. Ia juga nampaknya diberikan rim 18-inci dengan elemen jejari turbin, dibaluti tayar 215/55R18.

    Seperti yang telah disebut banyak kali sebelum ini, SUV yang paling ditunggu ini dihasilkan dari Geely Binyue pasaran China, dihasilkan dengan asas platform Modular Architecture Segmen B (BMA). Ia menampilkan dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm.

    SPYSHOT: Proton X50 di uji bersama X70 CKD dengan logo disembunyikan – Proton bakal lancar logo baru?

    Unit ujian Proton X50 yang dijumpai di LPT sebelum ini

    Di China, ia hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0 liter turbo berkuasa 135 hp/205 Nm, 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 174 hp/255 Nm.

    Proton X50 mungkin akan dihasilkan dengan penawaran enjin 1.5L turbo, yang dibangunkan bersama Volvo dan dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Selain enjin ini, Binyue pasaran China juga didatangkan dalam versi PHEV, yang menggunakan padanan enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 255 hp/415 Nm.

    Antara ciri menarik SUV ini, ia hador dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan, dan mendapat pengiktirafan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

    Apa lagi yang kami tahu setakat ini berkenaan Proton X50? Anda boleh baca pada artikel khas di PAUTAN INI.

     
     
  • Nissan X-Trail 2.0L Hybrid kini ditawar dengan pelan langganan – RM2,500 sebulan, kontrak tiga tahun

    Nissan X-Trail 2.0L Hybrid kini ditawar dengan pelan langganan – RM2,500 sebulan, kontrak tiga tahun

    Nissan X-Trail 2.0L Hybrid kini menjadi model kedua selepas Nissan Leaf dalam barisan kenderaan Edaran Tan Chong Motor yang ditawarkan dengan pelan langganan. Dari kumpulan syarikat yang sama, TC Euro Cars juga pernah memperkenalkan pendekatan ini bagi model Captur dan Koleos.

    Dengan memberikan jumlah bayaran muka lebih rendah berbanding jika pelanggan memilih pinjaman untuk sewa-beli konvensional, serta bayaran bulanan yang juga lebih rendah bagi tempoh tiga tahun pertama serta jaminan nilai kenderaan yang tidak menyusut, pelan langganan ini menawarkan versi hibrid SUV berkenaan pada harga RM2,500 sebulan.

    Sama seperti pelan untuk model Leaf, X-Trail Hybrid yang dimiliki secara langganan ini memerlukan pemilik untuk meletakkan deposit dua bulan serta insurans tahunan bagi kenderaan yang bernilai RM159,888 ini, iaitu masing-masing RM5,000 dan RM4,500. Termasuk sekali dengan bayaran untuk bulan pertama sebanyak RM2,500, ini menjadikan bayaran awal yang perlu dilakukan oleh pelanggan ialah RM12,000.

    Angka itu sebenarnya lebih rendah jika dibandingkan dengan RM17,388 yang perlu didahulukan oleh pelanggan melalui pinjaman sewa-beli biasa, yang dikira berdasarkan tempoh pinjaman lima-tahun pada kadar 90% pinjaman dan 2.6% kadar faedah. Dengan pinjaman biasa ini, bayaran bulanan yang perlu dilunaskan pemilik ialah RM2,769.

    Bagi tempoh selepas tiga tahun pula, pelanggan pelan ini akan membayar sebanyak RM100,452 berbanding RM123,006 melalui kaedah pinjaman biasa. Semua ini termasuk bayaran bulanan, insurans dan cukai jalan untuk tiga tahun, bagi kedua-dua kaedah yang dinyatakan. Penyelenggaraan untuk tempoh itu pula adalah percuma, termasuk bagi alatan yang perlu diganti.

    Nissan X-Trail 2.0L Hybrid kini ditawar dengan pelan langganan – RM2,500 sebulan, kontrak tiga tahun

    Ini menjadikan pelan langganan berkenaan membolehkan pelanggan jimat sebanyak RM22,554 bagi tempoh itu, walaupun dihujung tempoh kontrak itu mereka perlu menyerahkan semula SUV berkenaan kepada ETCM, sementara pembeli biasa masih memiliki SUV berkenaan untuk disimpan atau dijual semula.

    Pelan langganan ini bagaimanapun hadir dengan syarat had perbatuan, iaitu sejauh 60,000 km dalam masa tiga tahun itu; menjadikan purata perjalanan sebulan sebanyak 1,700 km. Setiap jarak yang lebih daripada itu akan dicaj 50 sen bagi satu kilometer. Memandangkan kenderaan yang diguna itu milik ETCM, maka ia akan dipasang dengan alat telematik.

     
     
  • Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Selepas AI:Race (juga dikenali sebagai PB18), AIcon dan AI:ME, Audi memperkenalkan satu lagi model konsep baru yang menggunakan nama AI di Frankfurt Motor Show iaitu AI:Trail Quattro. Ini adalah sebuah kenderaan yang lebih tertumpu kepada penggunaan offroad dan datang bersama pelbagai kelengkapan canggih lain.

    Empat motor elektrik digunakan untuk menggerakkan kenderaan ini, dan setiap satunya diletakkan di setiap roda, sekaligus memberikan pacuan empat roda Quattro. Jumlah kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 429 PS (320 kW) dan 1,000 Nm tork.

    Memandangkan setiap roda mempunyai sumber kuasa sendiri, kenderaan ini tidak memerlukan sebarang differential atau pengunci gandar. Sistem elektronik khas menentukan berapa banyak kuasa yang diperlukan bagi setiap roda untuk mengekalkan cengkaman dan juga stabiliti, bergantung kepada keadaan permukaan yang dilalui.

    Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Mungkin ada yang tertanya, tidakkah timbul kerisauan bagi sebuah kenderaan elektrik memasuki kawasan terpencil? AI:Trail Quattro datang dengan bateri lithium ion yang boleh memberikan jarak gerak 400 hingga 500 km bagi keadaan jalan biasa dan offroad ringan, sementara atas laluan yang lebih lasak, ia boleh pergi hingga 250 km.

    Bagi mencapai jarak ini, laju maksimum AI:Trail dihadkan kepada 80 mph (129 km/j), sekaligus membantu mengawal tahap bateri manakala sistem elektronik pula memerhati penggunaan bateri dan penyampaian tenaga secara berterusan. Struktur badan kenderaan ini dibina menggunakan gabungan besi, aluminium serta gentian karbon, dan walaupun digabungkan dengan bateri berkapasiti tinggi, beratnya cuma 1,750 kg.

    Badan kenderaan ini adalah besar – dengan ukuran 4.15 meter panjang, 2.15 meter lebar, 1.67 meter tinggi dan dipasang dengan rim 22 inci dan tayar 850 mm. Ruang kelegaan dari tanahnya adalah 340 mm dan boleh meredah air sehingga 500 mm. Tinggi ini juga membantu melindungi bateri yang terletak pada lantai supaya tidak terhentak dengan tanah.

    Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Pada bahagian suspensi ia menggunakan penyambung transverse serta tetapan MacPherson yang terdiri daripada spring gegelung dan penyerap adaptif. Tayar yang disepadukan dengan penyerap sokongan membantu memberi 60 mm lagi jarak gerak tambahan. Selain kemampuan atas jalan kasar, tetapan suspensi ini juga membantu memberikan keselesaan kepada penumpang.

    Jika dilihat pada badannya, tiada bahagian yang melebihi roda hadapan dan belakang. Rekaan ini dipanggil sebagai “one-box” dan dikatakan oleh Audi sebagai satu standard tinggi untuk kenderaan elektrik. Keliling kenderaan ini menggunakan banyak panel kaca yang memberikan pandangan luas kepada penumpang di dalamnya, termasuk hampir keseluruhan bumbung.

    Menariknya, bahagian cermin hadapan serta pintu but kenderaan ini boleh dibuka untuk akses kepada ruang barangan. Pada bampar pula terdapat lagi ruang simpanan untuk barangan kotor manakala di bawah pintu yang dibuka secara suicide terdapat pemijak kaki untuk memudahkan penumpang naik.

    Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Bahagian kabin kenderaan ini luas dan ringkas, dengan butang kawalan yang minimal. Tempat duduk hadapan menggunakan tali pinggang four-point, manakala di hadapan pemandu terdapat roda stereng berbentuk U, serta tempat meletak telefon pintar yang digunakan sebagai paparan informasi fungsi kawalan kenderaan serta navigasi.

    Baris kedua pula melihatkan tempat duduk yang lebih ringkas, seperti kerusi rehat kain. Ia dikatakan dapat memberi ketenangan dalam kenderaan, dan boleh dibawa keluar untuk kegunaan bersantai.

    Selain daripada kereta itu sendiri, AI:Trail Quattro juga datang dengan drone yang dilengkapi dengan lampu LED matriks. Setelah terbang, drone yang dipanggil sebagai Audi Light Pathfinder ini boleh kembali sendiri ke atas bumbung kenderaan dan terus disambungkan kepada tempat mengecas.

    Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

    Disebabkan drone ini ringan, ia boleh terbang lebih ke hadapan daripada kenderaan dan antara kegunaannya adalah untuk menerangkan jalan di hadapan serta memberi pandangan keadaan jalan kepada kenderaan melalui kamera dan sambungan Wi-Fi.

    Memandangkan AI:Trail ini termasuk dalam keluarga AI oleh Audi, ia dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 4, tetapi dihadkan untuk penggunaan di atas lebuh raya dan bandar sahaja. Walaupun begitu, apabila masuk ke jalan lasak, pemandu boleh menggunakan sistem pemanduan autonomous Level 3 yang disediakan untuk kelajuan rendah.

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

    PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

    Kalau hendak diikutkan, Hyundai Santa Fe bukanlah SUV tujuh-tempat duduk yang begitu popular, tidak seperti pencabar terdekatnya iaitu Nissan X-Trail 2.5 AWD mahu pun Mitsubishi Outlander 2.4 CVT. Namun begitu, tidak adil sekiranya kita mengadili SUV perisa kimchi ini tidak mampu menyaingi dua model SUV perisa wasabi itu, tanpa memandu ujinya. Bak kata pepatah, “Jangan menilai buku dari kulitnya.”

    Santa Fe 2019 secara rasminya berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu, yang sebelum itu pernah buat penampilan sulungnya di sini pada November 2018 dalam acara Kuala Lumpur International Motorshow (KLIMS).

    Ia ditawarkan dengan varian Theta II 2.4L MPI Executive dan Premium dengan enjin petrol. Bagi penawaran enjin diesel pula yang merupakan spesifikasi tertinggi bagi barisan Santa Fe 2019, ia hadir dengan varian turbodiesel R 2.2 CRDi Executive dan juga Premium.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Corolla 2019 sudah boleh ditempah – anggaran RM129k-RM137k, hanya 1.8 liter, Toyota Safety Sense

    Toyota Corolla 2019 sudah boleh ditempah – anggaran RM129k-RM137k, hanya 1.8 liter, Toyota Safety Sense

    Semalam, UMW Toyota telah menyiarkan teaser untuk Corolla generasi ke-12 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Hari ini, syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa model tersebut kini sudahpun mula boleh ditempah!

    Menurut UMWT, seperti juga pasaran ASEAN lain, Corolla di Malaysia masih akan diberikan lencana Altis. Namun kerana nama ‘Corolla’ itu sendiri telah dikenali sebagai kereta paling laris di dunia, dan ia antara kereta pertama yang dipasang secara CKD di Malaysia, UMWT akan merujuk model generasi ke-12 ini sebagai ‘Corolla serba baharu’.

    Model pasaran Malaysia juga akan dijual dalam dua varian, tetapi hanya satu pilihan enjin – 1.8 E dan 1.8 G – dan akan dijual pada harga anggaran masing-masing RM128,888 dan RM136,888.

    Toyota Corolla 2019 sudah boleh ditempah – anggaran RM129k-RM137k, hanya 1.8 liter, Toyota Safety Sense

    Jika dilihat pada spesifikasi model pasaran Thailand yang juga baharu dilancarkan awal bulan ini, model 1.8 berkenaan dijana oleh enjin 2ZR-FBE berkuasa 140 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 177 Nm bermula 4,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

    Seperti pasaran lain, Corolla generasi ke-12 untuk ASEAN adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA). Ia tidak diberikan rupa yang agresif seperti model pasaran Amerika Syarikat, tetapi hadir dengan rupa yang lebih seiras dengan Corolla Sedan Eropah. Walau bagaimanapun, ia masih lebih garang dari model Altis sedia ada.

    Dari segi saiz pula, Corolla 2019 hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda model baharu ini masih kekal 2,700 mm.

    Toyota Corolla 2019 sudah boleh ditempah – anggaran RM129k-RM137k, hanya 1.8 liter, Toyota Safety Sense

    UMW Toyota turut mengesahkan bahawa Corolla pasaran Malaysia bakal menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Juga berdasarkan model pasaran Thailand, sistem tersebut terdiri dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

    Menerusi satu-satunya gambar yang dibekalkan oleh UMWT ini, model pasaran Malaysia juga nampaknya bakal hadir dengan lampu hadapan LED, rim 17-inci dan juga kamera pemantau sekeliling.

    Perincian lain mungkin akan didedahkan oleh UMW ketika pelancaran model ini nanti. Tiada sebarang petunjuk bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan, tetapi dengan tempahan yang sudah dibuka ini, sudah tentu ia akan diadakan dalam masa terdekat.

    Dua hari lalu, saingan terus Corolla, Honda Civic facelift 2019 turut telah diumumkan sudah boleh ditempah, dengan pelancarannya akan dibuat pada suku ke-4 tahun ini. Jadi, mana pilihan anda? Corolla atau Civic?

    GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 pasaran Thailand

     
     
  • Shell bantu agensi kerajaan banteras pelincir tiruan

    Shell bantu agensi kerajaan banteras pelincir tiruan

    Berapa banyak produk minyak pelincir tiruan yang dijual dalam pasaran terbuka, termasuk secara atas talian? Dan, bagaimana pengguna nak tahu perkara berkenaan supaya tak tertipu?

    Bagi Shell, tahun lalu syarikat itu telah menjalankan ujian makmal ke atas sampel rawak produk-produk yang didakwa sebagai produk tulen Shell yang diperoleh dari pasaran terbuka. Secara umumnya, keputusan yang didapati menunjukkan empat daripada 12 botol yang dijual adalah produk tiruan.

    Menyedari hakikat itu, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah mengadakan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bertujuan membanteras penjualan produk Shell yang didakwa asli tetapi sebaliknya adalah produk tiruan kepada pengguna dan bengkel.

    Shell bantu agensi kerajaan banteras pelincir tiruan

    Terbaru, Shell menganjurkan bengkel latihan khas yang dihadiri oleh hampir 100 orang pegawai penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNDHEP) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Ia bertujuan untuk menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang bagaimana cara untuk membezakan antara produk asli dan tiruan ketika menjalankan serbuan.

    “Kami sentiasa menasihatkan pengguna supaya membeli pelincir rasmi tulen Shell yang didatangkan dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ serta kod QR yang boleh disahkan ketulenannya melalui laman web SHARE (www.shell.com.my/share). Atau, pastikan anda membeli dari kedai-kedai yang berdaftar untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya kerosakan pada kenderaan mereka,” jelas Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan.

    Bagi pengguna di luar sana pula, sekiranya anda merasakan anda telah terbeli produk tiruan Shell, sila laporkan ke talian khidmat pelanggan Shell di 1300 88 1808 atau e-mel [email protected]