Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • ULASAN VIDEO: Mazda 3 2019 hatchback dan sedan

    Mazda 3 2019 mungkin menjadi model paling menarik untuk diperhatikan setakat ini, bagi kereta dalam segmen C. Ia menjadi taruhan terbaru yang mengiri Honda Civic dan Toyota Altis dalam persaingan segmen berkenaan; atau mungkin boleh ditambah juga Volkswagen Golf dalam senarai ini.

    Menarik bagi Mazda 3 ialah model ini turut ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5L yang tiada sebelum ini – sebagai penawaran paling asas bagi model sedan serta hatchback yang ada. Banyak keraguan atau pertanyaan yang timbul berkaitan hal ini. Jadi, dalam video ini, kami pertemukan kedua-duanya dalam satu sesi pandu uji untuk mengetahui apa perbezaan (jika ada) antara mereka. Tonton video ini untuk mengetahui pandangan kami terhadap Mazda 3 2019.

    Selebihnya adalah seperti apa yang telah kita sedia maklum ketika pelancarannya. Bagi model 1.5 liter, ia menggunakan enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G, dengan janaan 162 hp dan tork maksimum 210 Nm.

    Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive pacuan roda hadapan. Malah semua model juga dilengkapi dengan G-Vectoring Control (GVC). Untuk paling varian asas 1.5 liter, ia menawarkan bagi versi sedan dan hatchback, dengan harga atas jalan RM139,620 tanpa insurans. Ia dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu belakang LED dan roda aloi 16-inci.

    Kabin dalamannya pula dilengkapi pendingin hawa zon-tunggal manual, paparan kluster instrumen digital TFT-LCD tujuh-inci, paparan tengah 8.8-inci yang disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect dengan lapan pembesar suara, kemasan tempat duduk fabrik, head-up display, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan sentuhan lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual. Selamat menonton! Dan jangan lupa kongsikan pandangan anda.

     
     
  • Hafizh Syahrin sertai pasukan Angel Nieto dalam Moto2 tahun depan, sasar tempat lima teratas

    Hafizh Syahrin sertai pasukan Angel Nieto dalam Moto2 tahun depan, sasar tempat lima teratas

    Selepas pelbagai spekulasi dan teka-teki, akhirnya hari ini nasib pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin diumumkan kepada ramai. Bagi musim 2020, beliau akan berlumba untuk pasukan Angel Nieto bersama Aron Canet dari Sepanyol. Ini juga adalah pasukan sama yang memberi peluang kepada Hafizh berlumba dalam Grand Prix buat pertama kali sebagai pelumba Wild Card pada tahun 2011.

    Hafizh mula menjadi pelumba Grand Prix sepenuh masa pada tahun 2014, dan berjaya menamatkan musim tahun 2016 dan 2017 dalam kedudukan 10 teratas. Kemudiannya pada tahun 2018 beliau melangkah satu tahap ke kategori MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech3 dan seterusnya bersama pasukan sama, tetapi bertukar kepada jentera KTM (2019).

    “Moto2 bukan satu kategori baru bagi saya kerana sebelum ini pernah berlumba di situ selama beberapa tahun, tetapi sekarang saya akan mendapat casis, enjin serta tayar yang berbeza. Saya pernah berlumba dengan kebanyak pelumba dalam kelas ini dan saya rasa saya boleh berada di hadapan. Saya akan cuba untuk menjadi pelumba lima teratas,” kata Hafizh.

    “Kami yakin Hafizh boleh memberikan saingan sengit untuk kejuaraan tahun depan. Beliau adalah ikon negara, mentor dan inspirasi bagi anak muda Malaysia. Bagus untuk melihat beliau terus berusaha dan terdapat kemungkinan beliau akan kembali ke kategori MotoGP pada tahun 2021,” kata ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit, Datuk Razlan Razali.

    “Kami mempunyai perancangan yang besar untuk tahun 2020. Kami mahu meningkatkan lagi kedudukan dan kami percaya Hafizh dan Canet dapat membantu mencapai sasaran ini. Hafizh adalah seorang pelumba yang berpengalaman dalam kategori ini dan kami mempunyai keyakinan dengan kemampuan beliau untuk mencapai sesuatu yang besar,” kata peneraju pasukan Angel Nieto, Jorge Martinez.

     
     
  • Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    Kajian sistem subsidi petrol bersasar, Program Subsidi Petrol (PSP), yang diumumkan semalam mengundang pelbagai respon dari rakyat, dan ramai yang kurang berpuas hati dengan mekanisme yang bakal dilaksanakan ini. Ada yang beranggapan, subsidi sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta 1.6L dan RM12 sebulan untuk pemilik motosikal kurang daripada 150cc, yang terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mencukupi.

    Walau bagaimana pun, ini respon daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan.

    “Mengikut kajian (untuk subsidi ini), ada sebahagian golongan B40 yang memiliki sehingga enam kereta, tapi tetap dapat nikmati subsidi petrol. Jadi sekarang, kita beri untuk satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya.

    Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    “Kita lihat subsidi lama, (mereka) yang guna Rolls-Royce dapat subsidi, tak akan kita nak sokong,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

    Sehubungan itu, tegas Dr. Mahathir, pelaksanaan PSP dirangka oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khusus untuk golongan B40 yang memiliki sebuah kenderaan di bawah 1,600cc atau 1.6 liter.

    “Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan, bukan orang ada Roll-Royce, ada dua tiga buah pun dapat subsidi daripada kerajaan,” katanya di lobi Parlimen pagi tadi.

    Menerusi pengumuman mengenai PSP yang dilakukan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam, mengumumkan kira-kira 2.9 juta penerima BSH akan mendapat manfaat daripada PSP bermula 1 Januari tahun depan. Walau bagaimana pun, di Sabah dan Sarawak, tiada skim subsidi akan dilaksanakan, tetapi harga RON95 akan ditetapkan pada RM2.08 (termasuk Wilayah Persekutuan Labuan).

     
     
  • Aston Martin Vantage Roadster – gambar rasmi awal

    Aston Martin Vantage Roadster – gambar rasmi awal

    Pada tahun 2017, Aston Martin telah memperkenalkan Vantage versi coupe. Tidak lama lagi, syarikat itu akan melancarkan Vantage Roadster pula, iaitu versi bumbung boleh buka, dan beberapa gambar rasminya telah disiarkan terlebih dahulu.

    Tiada pelekat penyamaran pada model pra produksi ini dan ia membenarkan kita melihat apa perubahan yang dilakukan untuk menggantikan bumbung biasa kepada bumbung fabrik yang boleh dibuka secara elektrik ini. Sudah tentu, bentuk bumbung itu adalah berbeza dan bahagian belakangnya lebih besar untuk menyimpan mekanisme bumbung tersebut.

    Tiada lagi cermin yang besar di belakang dan ia sekarang mempunyai penyokong di belakang bahagian penyandar kepala tempat duduk. Selain daripada itu, kebanyakan aspek masih dikekalkan termasuk tetapan dua tempat duduk, bahagian depan, lekuk di tepi serta lampu belakang LED yang bersambung kemas dengan spoiler.

    Buat masa sekarang Aston Martin masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal tetapi roadster tersebut kemungkinan besar akan menggunakan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang diambil daripada AMG. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 510 PS dan 685 Nm tork, dan dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Pada aspek prestasi, Vantage coupe boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, sementara versi Roadster pula dijangka sedikit lambat kerana mempunyai pelbagai peralatan untuk bumbung tersebut. Model Roadster ini akan dilancarkan pada tahun 2020.

     
     
  • Perodua uji Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga, Toyota Avanza – sedang bangunkan MPV Alza terbaru?

    Perodua uji Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga, Toyota Avanza – sedang bangunkan MPV Alza terbaru?

    Ini ada perkembangan terbaru yang mungkin akan menarik minat ramai orang; Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga terkini dan sebuah Toyota Avanza baru-baru ini dilihat sedang diuji dilaluan mendaki ke Genting Highlands – dan, semua unit ini menggunakan nombor plat perdagangan.

    Situasi ini agak menarik kerana, seperti kita tahu, Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga terbaru tidak dijual di Malaysia. Toyota Avanza terbaru, dengan muka Vellfire pula memang ada dijual di Malaysia, tetapi kena ia kelihatan mencurigakan dalam gambar ini? Apa yang sedang dilakukan sebenarnya?

    Berdasarkan nombor plat perdagangan B1400A dan B1756A yang digunakan pada Avanz dan Xpander itu, ia sebenarnya didaftarkan di bawah syarikat Perodua. Jika anda masih ingat, plat yang sama pernah digunakan pada prototaip Myvi dahulu.

    Perodua uji Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga, Toyota Avanza – sedang bangunkan MPV Alza terbaru?

    Untuk itu, tidak hairan mengapa Avanza berkenaan nampak sedikit berlainan dalam gambar ini. Tambahan pula, dua lagi model itu seperti dijadikan penanda aras bagi segmen MPV mampu milik. Ini, secara tidak langsung membawa kita kepada satu petunjuk – Perodua sedang membangunkan MPV terbaru syarikat itu, sebagai ganti atau versi terbaru kepada Alza.

    Terdahulu, MPV Perodua itu menggunakan asas dari Toyota Passo Sette/Daihatsu Boon Luminas, dan berada dalam pasaran sejak 2009 lagi – sudah sedekad usia Perodua Alza, masa untuk perkenalkan penggantinya?

    Kebarangkaliannya, Alza baru nanti akan berkongsi platform dengan Toyota Avanza. Ini tidaklah terlalu asing; Daihatsu adalah sebahagian daripada keluarga besar Toyota, dan Perodua sendiri juga ada membantu dalam pengeluaran model Toyota serta enjin yang dikeluarkan di kilang Perodua di Negeri Sembilan turut digunakan oleh Toyota.

    Perodua uji Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga, Toyota Avanza – sedang bangunkan MPV Alza terbaru?

    Pendekatan yang boleh kita jangkakan terhadap Alza baru ini adalah sama seperti apa yang telah ditunjukkan ketika membangunkan Myvi terkini; ia bukan lagi berasaskan model-model JDM Daihatsu/Toyota, tetapi menampilkan usaha Perodua sendiri untuk mengetuai pembangunan serta rekaannya (luaran dan dalaman) yang bersesuaian dengan pasaran Malaysia dan rantau ini secara umumnya.

    Apa pun, ketika ini, semua masih samar-samar berkaitan MPV terbaru Perodua itu nanti. Cuma, apa yang pasti ialah Perodua memang sedang dalam proses menghasilkan sesuatu di Sg. Choh, Rawang dan segmen MPV bajet di Malaysia akan menjadi sangat menarik untuk diperhatikan dalam masa terdekat ini.

     
     
  • Yamaha Avantiz kini dalam warna baru – harga RM5.5k

    Yamaha Avantiz kini dalam warna baru – harga RM5.5k

    Selepas dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2016, Yamaha Avantiz kemudiannya diberikan perubahan warna pada tahun 2018. Sekarang, tiba waktu ia disegarkan kembali dan Hong Long Yamaha Motor telah memperkenalkan empat warna baru untuk skuter tersebut iaitu merah, biru, kelabu dan cyan.

    Perincian lain motosikal ini masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk harganya iaitu RM5,536 tidak termasuk insurans. Untuk enjin, ia dikuasakan oleh unit BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim yang digunakan pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan skuter ini adalah 96 kg.

    Setiap pembelian Yamaha Avantiz 125 akan diberi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, dan model penampilan baru ini akan boleh didapati di kedai pengedar Yamaha bermula bulan ini.

     
     
  • Volkswagen Amarok 3.0L V6 TDI Black Edition di UK

    Volkswagen Amarok 3.0L V6 TDI Black Edition di UK

    Volkswagen telah lancarkan dua edisi istimewa bagi model Amarok untuk pasaran UK; Amarok Black Edition dan Amarok Aventura Black Edition. Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 3.0 liter TDI V6, dengan dua pilihan janaan output – 204 PS atau 258 PS. Harga pula bermula dari £35,790 (RM185k) bagi model paling asas hingga £41,950 (RM211k) untuk Amarok Adventura Black Edition.

    Kedua-dua model ini menggunakan asas varian paling tinggi, Highline dan hadir dengan perincian dihitamkan misalnya pada rim 20-inci yang digunakan, palang, bampar belakang, palang pemijak, kemasan lampu kabus, kemasan pada gril dan lain-lain, termasuk di bahagian dalam.

    Selain itu, model paling mahal juga menerima kemasan kulit Nappa, kerusi depan Ergo Comfort dengan larasan elektrik, stereng multi-fungsi balutan kulit, paddle shifter, cermin sisi lipatan automatik, lampu kabus dengan fungsi belokan, pelindung bawah badan di depan serta lapisan pelindung pada bahagian barangan di belakang.

    Selebihnya, ia menempat ciri yang sama seperti Amarok standard. Transmisi automatik lapan-kelajuan adalah ciri standard, begitu juga dengan sensor parkir depan dan belakang, ruang barangan yang luas serta Sistem Brek Pasca-perlanggaran automatik. Turut ditawarkan ialah pilihan warna hitam kesat (dengan tambahan £2,420 atau RM12.5k), sementara penutup Mountain Top juga ada sebagai pilihan dengan tambahan £1,665 (RM8.6k).

     
     
  • Penghapusan tol dalam masa terdekat adalah mustahil

    Penghapusan tol dalam masa terdekat adalah mustahil

    Penghapusan tol di Malaysia sehingga hari ini masih menjadi tanda tanya yang berkepanjangan. Apa kesudahan hal ini? Menjelang pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah memberi penekanan bahawa langkah itu hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. Ini disebabkan kos yang terlibat adalah terlalu tinggi untuk kerajaan mengambil alih semua lebuhraya di sini, lapor Bernama.

    Beliau juga menegaskan, penghapusan tol dalam masa terdekat tidak pernah dijanjikan oleh Pakatan Harapan. “Ketika saya sebelum ini menjelaskan bahawa tidak ada janji untuk menghapuskan tol, saya merujuk kepada manifesto yang menyatakan ia tidak boleh dilakukan dalam tempoh segera,” jelas Tun M.

    Dalam manifesto PH menjelang PRU14 lalu, antara yang terkandung adalah janji untuk menilai semula perjanjian konsesi semua lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan persetujuan pengambil-alihan setiap konsesi, dengan matlamat untuk menghapuskan tol secara berperingkat.

    Mahathir berkata, kajian menyeluruh terhadap perkara ini menunjukkan pengambil-alihan lebuhraya segera atau dalam masa terdekat ini akan memerlukan kerajaan membelanjakan berpuluh bilion ringgit, serta beberapa bilion lagi untuk menyelenggara. Dengan keadaan kewangan serta hutang negara ketika ini – katanya, kerajaan perlu membayar semula hutang terkumpul oleh kerajaan sebelum ini bernilai trilion ringgit untuk mengelak menjadi bankrap, dan kadar faedah serta nilai teras hutang akan memerlukan berbilion ringgit lagi.

    “Jika semua ini dibayar, kerajaan tidak mempunyai cukup dana untuk pembangunan infrastruktur utama, terutama jika kos mengambil-alih dan menyelenggara semua lebuhraya itu ditambah kepada perbelanjaan operasi dan pembangunan oleh kerajaan,” jelas beliau.

     
     
  • Triumph Street Triple 765RS 2020 diperkenal – lampu hadapan baru, lebih kuasa pada rpm pertengahan

    Triumph Street Triple 765RS 2020 diperkenal – lampu hadapan baru, lebih kuasa pada rpm pertengahan

    Selepas hampir dua tahun Triumph Street Triple 765RS berada dalam pasaran, sekarang generasi kedua model tersebut diperkenalkan. Perubahan paling jelas adalah bentuk lampu LED hadapannya yang lebih kecil serta DRL LED yang berbentuk seperti kening.

    Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih digunakan, malah kuasa maksimum juga hampir sama iaitu 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork pada 9,350 rpm, tetapi penunggang akan dapat menikmati sembilan peratus lebih kuasa pada tahap rpm pertengahan.

    Maklum balas pendikit diperbaiki, dengan kini ia boleh dipulas dengan tujuh peratus kurang usaha. Turut dipasang adalah ekzos dengan dua catalytic converter, yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga membenarkan aliran udara ekzos yang lebih lancar. Untuk memberikan keseimbangan antara bunyi intake dan juga bunyi ekzos, sistem pengudaraan masuk diubah sedikit.

    Kotak gear model baru ini turut diusik untuk memberikan penukaran lebih lancar dan mengurangkan berat, manakala gear satu dan dua pula lebih pendek untuk memberikan pecutan lebih baik. Dalam keadaan standard, model ini datang terus dengan quickshifter.

    Sekali imbas, panel paparan TFT-LCD berwarna penuh pada model ini nampak sama, tapi sebenarnya ia mempunyai empat gaya paparan dan empat warna yang berbeza. Sudut skrin juga boleh dilaras seperti Speed Triple 1050 untuk menyesuaikannya dengan ketinggian penunggang yang berbeza.

    Melalui panel paparan ini juga penunggang dapat menikmati sistem sambungan baru. Apabila disambungkan dengan modul Bluetooth yang dijual secara berasingan, ia boleh mengawal kamera GoPro, menunjukkan navigasi dan mengawal telefon serta muzik menggunakan butang pada bahagian pemegang.

    Triumph Street Triple 765RS 2020 diperkenal – lampu hadapan baru, lebih kuasa pada rpm pertengahan

    Kelengkapan lain 765RS 2020 ini masih sama seperti sebelumnya termasuk angkup brek Brembo M50 dengan cakera 310 mm di hadapan, angkup satu piston dan cakera 220 mm di belakang, serta fork Showa Big Piston Forks (BPF) dan monoshock Ohlins STX40 yang boleh dilaras sepenuhnya. Tayar standard adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.

    Dua warna disediakan untuk Street Triple 765RS 2020 ini iaitu Matte Jet Black dengan pelekat Aluminium Silver dan Kuning, atau Silver Ice dengan pelekat Diablo Red dan Aluminium Silver – rim dicat merah menggunakan tangan. Seperti biasa, pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori yang disediakan oleh Triumph untuk motosikal ini.

     
     
  • RRJ Capital naikkan tawaran sebanyak RM3.5b untuk beli PLUS, cadang JV dengan dana persaraan nasional

    RRJ Capital naikkan tawaran sebanyak RM3.5b untuk beli PLUS, cadang JV dengan dana persaraan nasional

    Selepas Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham terbesar PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menolak sebarang tawaran untuk mengambil alih syarikat konsesi itu, RRJ Capital Ltd yang dilaporkan sebelum ini berminat untuk membeli PLUS telah menaikkan tawaran sebanyak RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

    Laporan Berita Harian menyebut, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif RRJ Capital, Richard Ong, berkata, cadangan tawaran yang telah ditambah baik itu turut mencadangkan yang kerajaan tidak perlu membayar kepada PLUS sebanyak RM2 bilion sehingga 2023.

    Selain itu, Ong turut mencadangkan pembentukan usaha sama (JV) 50-50 di antara firma pelaburan itu dengan dana persaraan nasional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd (PNB) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). Ia bagi membolehkan kerajaan untuk terus mengekalkan kepentingan mereka dan juga Bumiputera di dalam PLUS sebanyak 50%.

    “Menerusi pengambilalihan ini, dari segi kadar pembayaran tol, kami mencadangkan pengurangan 30% kepada kereta yang berharga RM50,000 ke bawah, 20% untuk kereta berharga di antara RM50,001-RM100,000. Manakala diskaun 10% kepada kereta bernilai RM100,001-RM150,000 dan bagi kereta bernilai lebih RM150,000, kadar tol dikekalkan. Kami juga ingin mencadangkan supaya kadar tol untuk kereta mewah dinaikkan kepada satu kadar yang akan ditetapkan kelak.

    RRJ Capital naikkan tawaran sebanyak RM3.5b untuk beli PLUS, cadang JV dengan dana persaraan nasional

    “Bagi pemandu dari isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), mereka akan menerima pengurangan tol dalam jumlah yang besar dan pada kadar yang segera membabitkan nilai lebih RM1 bilion setahun” katanya.

    Jelasnya lagi, harga kereta baharu akan dijadikan sebagai penanda aras untuk menentukan kelayakan pengurangan kadar tol bagi pengguna di lebuh raya milik PLUS.

    “Sebagai contoh, jika anda memiliki sebuah kereta Proton yang berharga RM40,000 dan dibeli pada tahun 2015, maka anda layak menikmati diskaun 30%s itu,” katanya.

    Selain itu, RRJ Capital juga bercadang untuk membawa masuk teknologi moden dan terkini termasuk sistem baharu EZPASS ke dalam pengurusan lebuh raya itu dan mahu menghapuskan pondok dan palang tol. Di mana pihaknya akan beralih kepada sistem pembayaran lebih canggih menggunakan bacaan pada nombor pendaftaran kereta dan tidak memerlukan kereta untuk berhenti seperti sistem semasa, sekali gus mengurangkan kesesakan di plaza tol.

    RRJ Capital naikkan tawaran sebanyak RM3.5b untuk beli PLUS, cadang JV dengan dana persaraan nasional

    “Selain itu, kami bercadang memperkenalkan laluan ekspres khas untuk kereta yang membawa tiga dan empat penumpang pada waktu puncak. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan orang ramai untuk berkongsi kereta pada masa akan datang.

    “Namun, saya ingin tegaskan bahawa apa yang penting bukanlah mengenai RRJ Capital berjaya membeli PLUS, tetapi sesiapa sahaja yang menjadi pemilik PLUS nanti akan melaksanakan kerja naik taraf yang besar yang amat penting untuk dilakukan kepada lebuh raya ini.

    “Ia seperti penggunaan lampu LED berasaskan solar, tiada lagi pondok tol, naik taraf bahu jalan, pengenalan EZ PASS dan apa yang paling penting ialah pengurangan 30% tarif tol untuk mengurangkan beban kepada pemandu B40 yang perlu dilakukan segera dan bukan lagi 10 tahun akan datang,” katanya.

    Hari ini juga, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji secara mendalam mengenai penjualan PLUS. “Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan. Ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” ujarnya.

     
     
  • Mitsubishi Triton Adventure X diperbaharui – kini dengan perakam video digital, ARM, sistem bunyi baru

    Mitsubishi Triton Adventure X diperbaharui – kini dengan perakam video digital, ARM, sistem bunyi baru

    Bulan Ogos lalu, Mitsubishi Motors Malaysia telah mengumumkan pemberian Flying Sports Bar sebagai ciri standard untuk Triton Adventure X yang merupakan varian paling tinggi model itu. Sekarang, beberapa lagi ciri ditambah tanpa sebarang bayaran tambahan.

    Selain sports bar itu, Triton Adventure X juga sekarang datang dengan pelekat grafik di luar, perakam video digital, skrin pandangan keliling (ARM) dan sistem audio baru dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Lampu hadapan menggunakan projector bi-LED manakala DRL pula menggunakan LED, dan ia turut ditambah dengan tempat duduk balutan kuilt, tempat duduk larasan kuasa untuk pemandu, penukar gear di stereng dan pengelap cermin automatik.

    Pada bahagian keselamatan, Triton Adventure X juga mempunyai Forward Collision Mitigation (brek kecemasan autonomous untuk kenderaan dan pejalan kaki), Blind Spot Warning denga Lane Change Alert, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (depan dan belakang), Auto High Beam, amaran tali pinggan pemandu hadapan, pengesan jarak depan dan belakang, ABS, EBD, BA, Stability Control, Traction Control dan tujuh beg udara.

    Enjin masih menggunakan unit 2.4 liter MIVEC VGT Turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, berserta transmisi automatik enam kelajuan dengan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II. Rim adalah unit 18 inci yang dibalut dengan tayar 265/60, sementara sistem pacuan itu sendiri mempunyai mod Off-Road dengan empat tetapan – Gravel, Mud, Sand dan Rock.

    Mitsubishi Triton Adventure X yang diperbaharui ini dijual pada harga RM137,900 untuk Semenanjung Malaysia, dan ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Jet Black Mica dan White Diamond. Galeri penuh model ini boleh dilihat di bawah.

     
     
  • Kerajaan bersedia kaji bidaan, tawaran beli PLUS – PM

    Kerajaan bersedia kaji bidaan, tawaran beli PLUS – PM

    Isu tawaran untuk membeli PLUS Malaysia Bhd (PLUS) baru-baru ini seperti yang dikemukakan oleh RRJ Capital, yang berpangkalan di Hong kong tetapi diterajui rakyat Malaysia, telah menawarkan tunai sebanyak RM3 bilion untuk membeli syarikat konsesi tersebut, namun pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah menolak cadangan berkenaan.

    Walau bagaimana pun, hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji secara mendalam mengenai penjualan PLUS.

    “Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan. Ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Kerajaan bersedia kaji bidaan, tawaran beli PLUS – PM

    Berdasarkan salah satu janji yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

    “Apabila saya kata kita tidak janji hapus tol, saya merujuk kepada manisfesto yang menyatakan ia tidak akan dilakukan serta merta. Walau bagaimana pun, kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa berbelanja puluhan bilion ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol secara serta merta, dan berbilion ringgit lagi diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan.

    “Disebabkan itu, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada (perbelanjaan) operasi dan pembangunan kerajaan. Ini kerana kita kena bayar hutang tersebut bagi mengelak status muflis, malah pembayaran faedah dan hutang pokok menelan berbilion ringgit,” jelasnya lagi.

    Oleh yang demikian, tambahnya lagi, setelah dikaji, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibebani dengan penyelenggaraan lebuh raya. Selain itu, tidak semua syarikat yang diberi konsesi tol oleh kerajaan mampu meraih keuntungan kerana dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara lebuhraya.

     
     
  • Skim subsidi bersasar bagi petrol RON95 diperincikan – hanya untuk BSH, kereta 1.6 liter, motosikal 150 cc

    Skim subsidi bersasar bagi petrol RON95 diperincikan – hanya untuk BSH, kereta 1.6 liter, motosikal 150 cc

    Skim subsidi bersasar bagi RON95 yang menjadi tanda tanya sejak diumumkan ketika Bajet 2019 yang dibentangkan kira-kira setahun lalu kini terungkai; kerajaan hari ini telah mendedahkan perincian bagaimana ia akan dijalankan serta dijangka mula dilaksanakan pada Januari 2020 nanti.

    Pertama sekali, siapa yang akan menerima subsisi bersasar ini? Syarat pertama sekali ialah mereka-mereka yang namanya tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sahaja akan menerima subsisi petrol secara bersasar selepas ini. Perlu juga diketahui bahawa kaedah subsidi terbaru ini hanya layak untuk mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

    Selain itu, hanya pemilik-pemilik kereta dan motosikal sahaja layak menerima subsidi ini; mereka yang memiliki tidak lebih daripada dua kereta dan dua motosikal dalam satu-satu masa. Kelayakan bagi kereta pula adalah seperti berikut; kapasiti enjinnya di bawah 1,600 cc, atau bagi yang melebihi 1,600 cc usia kenderaan perlu lebih daripada 10 tahun.

    Bagi motosikal pula, kapasiti enjin mestilah kurang daripada 150 cc. Bagi enjin 150 cc ke atas pula, hanya yang usia motosikalnya melebihi tujuh tahun layak menerima. Kemudian, bagaimana cara subsidi ini diagihkan atau dibayar kepada mereka yang layak menerima?

    Skim subsidi bersasar bagi petrol RON95 diperincikan – hanya untuk BSH, kereta 1.6 liter, motosikal 150 cc

    Kerajaan akan membayar semula jumlah subsidi yang terlibat ke dalam akan bank berdaftar penerima dengan kekerapan sekali setiap empat bulan. Sebagai contoh, bagi pemilik kereta, RM30 merupakan jumlah subsidi yang terlibat setiap bulan (bagi sebuah kereta), maka RM120 akan dimasukkkan ke dalam akaun mereka.

    Begitu juga dengan pemilik motosikal. Mereka yang layak akan menerima subsidi RM12 setiap bulan bagi satu motosikal, maka RM48 akan dimasukkan ke dalam akaun mereka setiap empat bulan. Kerajaan menjangkakan bakal mula melaksanakan kaedah ini bermula tahun depan, dengan subsidi bagi kumpulan pertama akan diagihkan pada Januari 2020.

    Lain pula ceritanya di Sabah dan Sarawak. Tiada skim subsidi akan dilaksanakan, tetapi harga RON95 akan ditetapkan pada RM2.08 (termasuk Wilayah Persekutuan Labuan), seperti yang diumumkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media hari ini.

    Beliau juga berkata, seramai 2.8 juta warga Malaysia akan mendapat manfaat daripada skim subsidy bersasar ini, menjadikan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan ialah sekitar RM65.4 juta sebulan, lapor The Star.

    PROGRAM SUBSIDI PETROL (PSP)

    Yang dinanti – nantikan telah tibaProgram Subsidi Petrol (PSP)

    Posted by KPDNHEP-Laman Rasmi on Isnin, 7 Oktober 2019

     
     
  • Givi tunjukkan helmet Vista baru – dilancar November

    Givi tunjukkan helmet Vista baru – dilancar November

    Semasa acara Givista Ride & Camp yang diadakan di hutan simpan Lata Lembik, Pahang hujung minggu lalu, Givi telah menunjukkan model helmet open face baru bernama Vista yang akan memasuki pasaran pada bulan November nanti.

    Walaubagaimanapun, harga untuk helmet ini masih belum didedahkan dan nanti masih akan ada perubahan kecil sebelum ia masuk ke pasaran seperti grafik dan beberapa ciri kecil lain. Memandangkan ia adalah helmet tahap permulaan, kami menjangkakan harga di bawah RM400.

    Bahagian dalam helmet ini boleh ditanggalkan untuk dibasuh dan ia menggunakan fabrik annalergic. Menurut Givi, helmet ini kemungkinan besar akan dilancarkan sewaktu pusingan perlumbaan MotoGP di Litar Sepang, dan ia akan ditawarkan dalam saiz daripada S hinggalah XL.

     
     
  • NZ Wheels Autohaus Setapak kini mula beroperasi

    NZ Wheels Autohaus Setapak kini mula beroperasi

    NZ Wheels Setapak Autohaus kini menjadi cawangan keempat sebagai pusat seumpamanya dengan kemudahan 2S (servis dan alat ganti) yang kini telah mula beroperasi secara rasmi. Antara lain, ia dilengkapi dengan peralatan diagnostik yang diluluskan oleh Mercedes-Benz, serta dikendalikan oleh petugas bertauliah yang menerima latihan khas daripada jenama itu.

    Autohaus berkenaan tampil dengan konsep Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), merangkumi keluasan kawasan seluas 14,000 kaki persegi, dengan binaan bangunan seluas 9,200 kaki persegi. Ia memuatkan lima ruangan servis serta satu ruang untuk jajaran roda – pusat ini mampu melakukan servis sehingga 250 buah kenderaan dalam sebulan.

    Keseluruhannya terdapat 10 petugas terlatih dalam bidang teknikal, servis serta alat ganti yang akan bertanggungjawab terhadap kenderaan pelanggan. NZ Wheels Setapak beralamat di No. 14, Jalan Usahawan 5, 53300 Setapak, Kuala Lumpur dan boleh dihubungi melalui talian 03-4144 5500. Pusat servis ini beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari kecuali pada Sabtu, hanya dari pukul 8.30 pagi hingga 1 tengahari.

     
     
  • Aston Martin DBZ Centenary Collection – RM31 juta

    Aston Martin DBZ Centenary Collection – RM31 juta

    Aston Martin dan rakan kongsi mereka, Zagato telah mendedahkan dua buah kereta unik yang dijual secara pasangan sebagai DBZ Centenary Collection, iaitu DB4 GT Zagato Continuation dan DBS GT Zagato. Ia dijual pada harga £6 juta (RM31 juta), tidak boleh dibeli berasingan dan cuma dikeluarkan sebanyak 19 pasang.

    Bermula dengan DB4 GT Zagato Continuation, kereta klasik keluaran semula ini akan dibuat di Aston Martin Works dengan menggunakan semula cara kerja lama dan sedikit alat moden seperti teknologi imbasan digital untuk meningkatkan ketepatannya. Penggeraknya pula adalah enjin enam silinder sebaris dual ignition 380 hp, kotak gear manual empat kelajuan dan limited-slip differential.

    Pasangannya, DBS GT Zagato pula lebih mudah menarik perhatian ramai kerana sebuah model moden yang menggunakan asas DBS Superleggera. Ia pertama kali dicat dengan warna Supernova Red seperti dalam gambar dan menggunakan kemasan gentian karbon terdedah, rim warna hitam dan emas, bumbung dan diffuser belakang gentian karbon berkilat, lencana sayap emas 18-karat di depan dan belakang, gril aktif hitam di depan, garis tepi yang disalut emas dan rim jenis satu nat di tengah.

    Masuk ke dalam, bahagian kabin dibalut dengan kulit Caithness Spicy Red, bahagian penyandar kepala mempunyai tulisan Z timbul, beberapa kemasan gentian karbon dan aluminium yang dicetak secara 3D (pertama di dunia) serta roda stereng dan pedal penukar gear gentian karbon satin twill.

    Walaupun ini adalah kereta moden, ia masih mengambil penting keunikan kerja tangan. Sebagai contoh, kemasan Gold PVD yang boleh dilihat pada beberapa bahagian dikilatkan dan diperkemas oleh pekerja pakar untuk mendapatkan perincian yang sempurna. Ia juga boleh dipilih dengan kemasan lain seperti gentian karbon dan aluminium.

    Pada aspek prestasi, DBS GT Zagato masih mengekalkan enjin V12 5.2 liter twin turbo dari DBS Superleggera, tetapi ditala untuk menghasilkan 770 hp. Ini adalah 55 hp lebih banyak berbanding model standard dan ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan serta limited slip-differential. Menurut Aston Martin, DBZ Centenary Collection ini adalah kereta sports mereka yang paling mahal setakat ini.

     
     
  • Polis KL akan gegar kedai, bengkel yang bekalkan komponen motosikal yang tidak ikut spesifikasi JPJ

    Polis KL akan gegar kedai, bengkel yang bekalkan komponen motosikal yang tidak ikut spesifikasi JPJ

    Disebabkan trend penggunaan ekzos bising dan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang semakin berleluasa, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan pihaknya akan mengenal pasti kedai, mahupun bengkel yang menyedia atau membekalkan komponen terbabit bagi mengurangkan gejala itu di masa hadapan.

    “Jika diikutkan perkara ini perlu dilihat daripada sumber penjualan barang berkenaan. Ada bengkel atau kedai yang membekalkannya, jadi sudah tentu ada pelanggan yang akan membeli dan memasang benda itu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Semalam Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur telah mengadakan Op Bersepadu di hadapan kawasan pusat membeli belah di Jalan Raja Laut dan sebanyak 507 saman telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan. Ini termasuklah beberapa buah motosikal yang disita ekoran modifikasi yang tidak dibenarkan, termasuk menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

    Operasi tersebut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang turut mengeluarkan notis untuk hadir menjalankan pemeriksaan kepada pemilik kenderaan, yang didapati menggunakan ekzos mendatangkan pencemaran bunyi, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain lagi.

    Pada akhir September lalu, JPJ telah mengesahkan semua jenis motosikal yang melakukan modifikasi tanpa ikut spesifikasi yang dibenarkan. Untuk modifikasi yang dimaksudkan tidak mengikut spesifikasi, JPJ berkata, ia melibatkan penukaran ekzos yang menyebabkan bunyi bising, gunakan tayar terlalu kecil, cermin sisi tidak digunakan, tukar unit kawalan enjin (ECU) untuk menambah kelajuan termasuk buang cut off (batasan had laju), tukar blok enjin untuk tambah kelajuan, dan tukar swing arm untuk membuatkan motosikal lebih ringan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz A200 V177 Sedan di M’sia

    GALERI: Mercedes-Benz A200 V177 Sedan di M’sia

    Dari beberapa model terkini Mercedes-Benz yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat, A-Class Sedan menjadi antara yang sangat menarik untuk diperhatikan – model paling kompak Mercedes-Benz kini ditawarkan dalam bentuk sedan. Tambahan pula, versi AMG A 35 4Matics juga baru saja dilancarkan di sini.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan ditawarkan dalam dua varian, iaitu A200 Progresive Line (yang anda lihat dalam galeri ini) dengan harga atas jalan tanpa insuran RM229,888, manakala model A 250 AMG Line dijual pada harga RM267,888. Semua harga adalah berserta waranti empat tahun tanpa had perbatuan. Jika dibandingkan dengan model hatchback, varian sedan A200 hanya RM2,000 lebih mahal dan A 250 pula hanya RM4,000 lebih mahal.

    GALERI: Mercedes-Benz A200 V177 Sedan di M’sia

    Unit janakuasa juga serupa;A200 menggunakan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksimum 230 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk 100 km.

    Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama. Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi, dan ia direka bagi ‘belajar’ sifat-sifat pemiliknya menerusi teknologi A.I. Kami bawa anda untuk melihat model ini dengan lebih dekat melalui galeri penuh yang disediakan ini.

     
     
  • Khazanah tolak tawaran untuk jual PLUS – Shahril

    Khazanah tolak tawaran untuk jual PLUS – Shahril

    Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd, telah membuat kenyataan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak.

    Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan, Khazanah memang banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak. Namun mengambil keputusan untuk menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

    “Kami tidak berminat untuk menjualnya. Kalau nak beli (sebarang aset) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Khazanah, anda perlu menawarkan harga pasaran yang lebih wajar. Selepas itu kalau nak beri diskaun, itu daripada keuntungan anda, bukan daripada kami,” katanya dalam temu bual dengan TV3 yang disiarkan malam dan turut dilaportkan oleh Bernama.

    Khazanah tolak tawaran untuk jual PLUS – Shahril

    Tambahnya lagi, sebagai cabang pelaburan kerajaan, Khazanah akan memastikan bahawa aset strategik seperti PLUS tidak dijual kepada pihak atau individu yang berkemungkinan mahu meraih keuntungan semata-mata, tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

    “Kalau PLUS menerima keuntungan, keuntungan PLUS kembali kepada kerajaan melalui Khazanah atau kepada rakyat melalui KWSP. Jadi, jika anda membenarkan pihak swasta mengambil alih PLUS dan pihak tersebut meraih keuntungan yang tinggi, rakyat tidak akan gembira,” katanya.

    Khazanah memiliki 51% kepentingan dalam PLUS manakala bakinya dimiliki KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

    Minggu lalu, dilaporkan, RRJ Capital iaitu syarikat swasta yang berpangkalan di Hong kong, diterajui rakyat Malaysia, telah menawarkan tunai sebanyak RM3 bilion untuk membeli PLUS Malaysia, bagi membolehkan mereka mengambil 100% kepentingan pada syarikat konsesi lebuhraya tersebut.

     
     
  • Proton tawar skim pembiayaan khas sehingga 100% untuk kakitangan kerajaan dan graduan baharu

    Proton tawar skim pembiayaan khas sehingga 100% untuk kakitangan kerajaan dan graduan baharu

    Khas untuk kakitangan kerajaan dan graduan baharu, Proton dengan kerjasama Bank Rakyat bersedia menawarkan pakej pembiayaan istimewa untuk dua golongan berkenaan. Pakej istimewa yang sah hingga 31 Disember 2019 ini menyediakan pembiayaan sehingga 100% bagi setiap pembelian. Ia hanya melibatkan pembelian model terpilih iaitu Persona, Iriz, Exora dan Saga.

    Menurut Proton, terdapat dua pakej kadar khas yang ditawarkan iaitu An-Naqlu 1 yang melibatkan pembiayaan 90% bermula pada kadar menarik sebanyak 2.88% setahun. Pakej kedua pula, An-Naqlu 2, menawarkan pembiayaan 100% bermula pada kadar sebanyak 3.30% setahun. Tawaran ini terhad kepada rakyat Malaysia iaitu graduan baharu yang berusia antara 20 hingga 30 tahun serta kakitangan kerajaan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

    Fazli Hisham Shukor, Pengarah Jualan Korporat Proton berkata tawaran ini adalah salah satu daripada pelbagai kerjasama khas di mana Proton telah laksanakan untuk membantu memudahkan pemilikan semua pelanggan Proton.

    Proton tawar skim pembiayaan khas sehingga 100% untuk kakitangan kerajaan dan graduan baharu

    “Di bawah skim istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan kelulusan pembiayaan mudah kepada pelanggan, sementara Proton menjadikan tawaran ini lebih menarik melalui pakej servis percuma sehingga dua tahun bergantung kepada model yang mereka pilih. Model Saga didatangkan dengan pakej servis percuma selama setahun, manakala Persona dan Iriz pula selama dua tahun termasuklah kos pekerja dan alat ganti secara percuma” katanya.

    Di samping itu, para pelanggan turut berpeluang menikmati kelebihan tambahan daripada pakej insurans yang dipertingkat. Mendapat kerjasama Etiqa Takaful dan Zurich Takaful, Program Insurans Proton menyediakan perlindungan khas iaitu perlindungan utama, elaun banjir serta perlindungan untuk semua pemandu, termasuklah jaminan sifar lebihan caj untuk kereta Proton sehingga 10 tahun.

    Pelanggan yang berminat dengan pakej pembiayaan istimewa ini boleh mendapatkannya di semua cawangan Proton di seluruh negara. Di samping itu, mana-mana syarikat atau perbadanan yang berminat dalam program fleet, sila e-mel kepada [email protected].