Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Yamaha bawa beberapa model elektrik ke TMS 2019

    Yamaha bawa beberapa model elektrik ke TMS 2019

    Selain model yang sudah ada untuk pasaran semasa, Yamaha juga akan membawa beberapa model baru ke Tokyo Motor Show 2019, dan kesemuanya digerakkan kuasa elektrik. Gambar awal model-model baru ini sudah ditunjukkan lebih awal, tetapi spesifikasi dan perinciannya tidak didedahkan.

    Model E01 dan E02 adalah antara yang paling menarik kerana menggunakan rekaan futuristik, tetapi seperti sudah sedia untuk kegunaan atas jalan siap dengan cermin sisi dan tempat meletak nombor plet. Menurut Yamaha, ia masing-masing boleh menghasilkan kuasa sama seperti skuter 125 cc dan 50 cc.

    Satu lagi skuter elektrik adalah E-Vino. Seperti yang sudah boleh dijangka daripada namanya, model ini menggunakan asas daripada Vino, tetapi digerakkan oleh motor elektrik dan bateri yang boleh dibawa keluar. Kemudiannya, ada pula motosikal trial TY-E yang pernah digunakan oleh Kenichi Kuroyama dalam pertandingan FIM Trial-E Cup.

    Bukan sekadar motosikal, Yamaha juga akan membawa beberapa kenderaan lain yang digerakkan oleh elektrik termasuk dua mountain bike, skuter kecil tiga roda untuk jarak perjalanan pendek dan kerusi roda elektrik.

    Selain daripada itu, terdapat dron YMR-08 dan helikopter kawalan jauh Fazer R yang direka untuk kegunaan agrikultur. Dengan tangki 32 liter, Fazer R boleh digunakan untuk menyembur racun atau baja ke atas tanaman, dari atas. Ia juga dilengkapi dengan GPS.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: WBG tawar RM3b, cadang kurangkan caj tol sebanyak 25% hingga 40%

    Isu ambil alih PLUS: WBG tawar RM3b, cadang kurangkan caj tol sebanyak 25% hingga 40%

    Selepas Maju Holdings dan RRJ Capital, ini ada satu lagi syarikat konglomerat yang mencuba nasib untuk membeli PLUS Malaysia Berhad. WIDAD Business Group (WBG) telah menawarkan pertimbangan tunai sebanyak RM1.5 bilion atau 51% kepentingan milik Khazanah Nasional Bhd, atau 100% konsesi milik Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai sebanyak RM3 bilion.

    Menurut laporan Harian Metro, cadangan pengambilalihan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya, dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Oktober 2019.

    “Sekiranya Widad berjaya mengambil alih syarikat konsesi, kumpulan itu akan mengurangkan caj tol semasa sebanyak 25% hingga 40%. Ini sejajar dengan manifesto kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat, yang kami sokong sepenuhnya. Kami juga mahu membantu kerajaan dengan mengecualikan bayaran pampasan yang belum dijelaskan kerajaan kepada PLUS bernilai RM338.5 juta setakat 31 Disember 2018, ” kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

    Menurut Muhammad Ikmal lagi, kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan tol bernilai RM 2.7 bilion yang ditanggung oleh kerajaan susulan pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam. Malahan WGB turut mencadangkan untuk memberi diskaun 50% kadar tol semasa pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

    Isu ambil alih PLUS: WBG tawar RM3b, cadang kurangkan caj tol sebanyak 25% hingga 40%

    Dalam masa yang sama, syarikat itu akan berusaha untuk menaik taraf kemudahan sedia ada, melaksanakan teknologi risikan buatan bagi meningkatkan pengurusan lebuh raya dan lalu lintas, selain jaminan tiada sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan itu.

    Untuk tujuan berkenaan, pihaknya telah mengenal pasti rakan/pelabur strategik global bagi membiayai pengambilalihan yang dicadangkan itu, selain dana dalaman kumpulan dan pelan pengumpulan dana melalui sukuk berjangka sederhana dan terbitan ekuiti.

    Buat setakat ini, Khazanah masih teguh dengan pendirian mereka untuk tidak menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Berlainan pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir yang berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji secara mendalam mengenai penjualan PLUS.

    “Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan. Ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” katanya baru-baru ini.

     
     
  • BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

    BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

    BMW telah menunjukkan hasrat mereka untuk memperkenalkan M8 versi Gran Coupe sejak tahun lepas lagi, melalui model konsep. Sekarang, versi produksinya telah pun diperkenalkan, dikenali sebagai BMW M8 Gran Coupé F93. Kebanyakan kelengkapannya adalah sama seperti versi Coupe dan Convertible, tapi badannya adalah berbentuk coupe empat pintu.

    Ini termasuklah enjin, di mana ia juga menggunakan unit V8 twin turbo 4.4 liter S63 yang sekarang turut digunakan untuk M5 F90 , X5 serta X6 M baru. Enjin ini mempunyai teknologi Valvetronic, injector berketepatan tinggi 350 bar dan mampu menghasilkan kuasa 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork pada antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

    Kuasa ini disampaikan kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dan sistem pacuan M xDrive. Walaupun mempunyai berat lebih 95 kg berbanding model dua pintu, Gran Coupe ini masih mampu mencatat masa pecutan 0-100 km/j yang sama, iaitu cuma 3.3 saat. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j, tetapi dengan M Driver’s Package ia boleh ditingkatkan kepada 305 km/j.

    Kalau anda rasa itu sudah laju, sebenarnya BMW juga ada menyediakan versi Competition untuk Gran Coupe ini, yang meningkatkan kuasanya kepada 625 hp dan tork maksimum pada 5,800 rpm. Versi ini juga datang dengan tapak enjin lebih keras untuk memberikan maklum balas lebih pantas dan belokan lebih cepat, serta sistem ekzos M Sport. Masa pecutannya 0-100 km/j adalah 0.1 saat lebih pantas.

    Pembahagian kuasa antara roda hadapan dan belakang boleh berubah bergantung kepada keadaan jalan dan tetapan yang dipilih. Meskipun dalam keadaan standard ia lebih kepada roda belakang, bila masuk ke mod 4WD Sport lebih banyak kuasa akan dihantar ke roda belakang sementara mod 2WD pula menjadikan semua kuasa hanya di belakang. Active M Differential masih digunakan pada gandar belakang.

    Model ini mungkin dianggap sebagai kereta sports prestasi tinggi, tetapi penambahan 200 mm pada jarak rodanya emmpunyai tujuan untuk memberikan lebih keselesaan. Semua sistem casis dan kawalan telah dikalibrasi semula untuk memberikan pemanduan yang lebih baik tanpa mengorbankan kemampuan dinamiknya.

    Sama seperti versi Coupe, casis model ini dilengkapi dengan penyerap adaptif dan tetapan kinematik serta elastokinematik khas untuk memberikan kedudukan roda yang lebih tepat serta stabiliti. Suspensi jenis double wishbone di hadapan menggunakan bearing swivel, torque arm serta control arm khas, bersama bearing elastomer untuk mengagihkan kuasa hentakan suspensi kepada seluruh subframe serta struktur badan.

    BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

    Di belakang pula, gandar five-link mendapat penyambung diperkuat khas untuk model M untuk meningkatkan kelincahannya, serta anti-roll bar yang lebih keras untuk kawalan suspensi serta maklum balas penyerap yang lebih tepat. Bahagian-bahagian lain kerangka turut diperkuat dengan pendakap khas. Model Gran Coupe Competition pula mempunyai lebih sudut camber di hadapan, dan menggunakan ball joint pada toe link belakang untuk meningkatkan dinamik mengambil selekohnya.

    Turut dipasang adalah sistem brake-by-wire dengan modul kompak yang mengawal pengaktifan brek, fungsi kawalan dan boosting, serta booster brek tanpa vakum. Sistem ini lebih ringan berbanding tetapan brek hidraulik biasa dan memberikan tekanan brek pantas, sokongan kepada kawalan stabiliti yang lebih pantas dan tepat, serta rasa yang optimum.

    Sistem ini juga memberikan pemandu pilihan dua mod iaitu Comfort dan Sport yang mengubah penyampaian tekanan brek. Ia boleh dipilih melalui butang Setup yang juga mengawal maklum balas enjin, kotak gear, suspensi, maklum balas stereng serta tetapan pacuan semua roda. Butang M Mode pula mengubah sistem bantuan pemandu dan informasi yang dipaparkan pada skrin kenderaan.

    Dalam mod Road, semua sistem dan paparan berfungsi secara biasa, tetapi apabila diletakkan dalam mod Sport, hanya informasi berkenaan saja yang dipaparkan. Pemandu juga boleh menutup semua sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking dan Evasion Assistant. Model Competition mendapat mod Track yang menutup semua sistem bantuan, audio serta skrin tengah supaya pemandu boleh fokus kepada pemanduan.

    Rekaan badan model ini turut dijadikan bersesuaian dengan prestasi yang diberi. Ia lebih tegap dan ganas, dengan di hadapan terdapat tiga bukaan udara besar dan splitter manakala di belakang terdapat diffuser yang besar serta empat muncung ekzos. Fender hadapan juga dijadikan lebih kembang.

    Turut dipasang adalah spoiler belakang, cermin sisi khas untuk model M dan bumbung gentian karbon menggelembung. Rim 20 inci datang secara standard dan di sebaliknya terdapat cakera brek M 395 mm atau seramik karbon M 400 mm (pilihan tambahan).

     
     
  • Program subsidi petrol: Harga RON95 tidak naik ketara bila diapungkan, masih berpatutan – KPDNHEP

    Program subsidi petrol: Harga RON95 tidak naik ketara bila diapungkan, masih berpatutan – KPDNHEP

    Apabila kerajaan mengumumkan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), ramai yang berpendapat, kenaikan harga RON95 yang bakal berlaku mungkin akan memberikan kesan dan menambah beban rakyat. Harga barangan dan pengangkutan awam bakal naik, begitu juga dengan pelbagai perkhidmatan lain.

    Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, harga RON95 yang akan diapungkan mulai tahun depan dijangka tidak naik ketara sehingga memberi kesan mendadak kepada rakyat.

    Memetik laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Saifuddin berkata, rakyat yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi itu masih boleh menikmati harga petrol berpatutan jika harga mentah minyak dunia berada pada paras antara AS$50 hingga AS$60 setong.

    Program subsidi petrol: Harga RON95 tidak naik ketara bila diapungkan, masih berpatutan – KPDNHEP

    “Saya ingin tekankan bahawa ia (adalah secara) ‘gradual’ (berperingkat). Itu prinsip kita sepakati bagi keseluruhan Jemaah Menteri sebab ketika harga diapungkan nanti, jika kita benarkan lonjakan RM2.50 atau RM2.45, impak ekonominya sukar diperbetulkan. Jadi ‘gradual’ itu apakah satu sen, dua sen atau tiga sen, (harga minyak) bergantung kepada situasi pada bulan Januari (tahun depan). Menjangkakan harga minyak mentah AS$45 ke AS$60 setong, kita sudah boleh membuat ramalan.

    “Jadi, selamat untuk saya katakan ‘gradual’ (peningkatan berperingkat) sejajar pelaksanaan program subsidi petrol bersasar tahun depan itu adalah sangat minimum supaya tidak memberi kesan parah kepada rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) di Dewan Rakyat hari ini.

    Khairy mengemukakan soalan mengenai mekanisme penetapan harga petrol berperingkat dan kesan kepada inflasi dan adakah kerajaan akan menetapkan harga siling.

    Berkenaan dengan Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak yang tidak termasuk dengan PSP ini, Saifuddin berkata, keadaan di sana berbeza dengan Semenanjung.

    Program subsidi petrol: Harga RON95 tidak naik ketara bila diapungkan, masih berpatutan – KPDNHEP

    “Pengangkutan persendirian lazimnya digunakan orang awam adalah kereta dan motosikal, namun keadaan sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak kerana terdapat penduduk di sepanjang sungai menggunakan bot kecil sebagai pengangkutan utama.

    Bot berkenaan menggunakan enjin sangkut dan menggunakan petrol sebagai bahan api. Terdapat juga penggunaan set generator di kawasan pedalaman. Selain itu, agensi kerajaan juga tiada sumber data utama yang boleh digunakan untuk mengenal pasti pemilik bot serta set generator di kedua-dua negeri berkenaan.

    “Oleh kerana penduduk di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak menerima program subsidi ini, maka subsidi pukal RON95 diteruskan pada harga RM2.08 seliter,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-BERSATU Beluran) mengenai hal tersebut.

     
     
  • MITI senarai hitam 9 firma mengimport, menjual kenderaan kerana salah guna Permit Import Terbuka

    MITI senarai hitam 9 firma mengimport, menjual kenderaan kerana salah guna Permit Import Terbuka

    Sebanyak sembilan syarikat telah disenarai hitamkan apabila didapati menyalahguna Permit Import (AP) Terbuka untuk mengimport dan menjual kenderaan bermotor.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh The Sun Daily, sebanyak 75 syarikat yang mendapat AP terbuka diaudit sejak Mei tahun lalu bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan sedia ada.

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata audit pematuhan itu membabitkan 50 syarikat di ibu negara dan Selangor, Sabah dan Sarawak (10), Johor (10) dan lima di Pulau Pinang.

    “Sejak 2009, kementerian melaksanakan audit pematuhan secara berkala bagi memastikan isu penyelewengan AP dapat diselesaikan. Audit pematuhan ini merangkumi keseluruhan proses pengimportan hingga kenderaan terbabit dijual dan didaftarkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Kian Ming turut berkata, audit terbabit dilakukan bagi memastikan syarikat AP terbuka mematuhi garis panduan seperti memastikan perniagaan dijalankan tanpa menggunakan syarikat pengantara.

    “Bagi tempoh 2017-2018, sebanyak sembilan syarikat disenarai hitam menerusi audit pematuhan kerana melakukan kesalahan berkaitan penyelewengan AP,” katanya.

    Pada Mac lalu, MITI berkata, proses untuk memohon AP terbuka ini dilakukan secara telus, berikutan ada pihak yang menuduh kerajaan telah meluluskan sebanyak 39 pemegang AP baharu. Malah menterinya, Datuk Darell Leiking menegaskan, bagi pemegang AP yang didapati menyeleweng permit terbabit, sekiranya ada bukti yang mengesahkan salah laku tersebut, hukuman yang sewajarnya akan dikenakan.

     
     
  • Kawasaki Ninja 650 2020 – kini guna panel meter TFT

    Kawasaki Ninja 650 2020 – kini guna panel meter TFT

    Kawasaki nampaknya bersedia untuk bersaing lebih hebat dalam pasaran, dan sebelum tahun ini berakhir, kita sudah mengetahui mereka akan melancarkan beberapa model baru tahun 2020. Satu daripadanya telah pun didedahkan iaitu Ninja 650 2020. Model ini bakal menggantikan model sebelumnya yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2017.

    Enjin serta casis model ini masih lagi sama, iaitu digerakkan oleh unit dua silinder selari 649 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 67.3 hp pada 8,000 rpm dan 65.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Walaupun begitu, Kawasaki lebih memberi perhatian kepada naik taraf gaya dan kelengkapan pada Ninja 650 ini, di mana seperti yang boleh dilihat, panel badannya diubah dan sekarang menggunakan lampu jenis LED di hadapan dan belakang.

    Menjadikan motosikal ini nampak lebih moden adalah panel meternya yang kini menggunakan skrin TFT berwarna penuh. Selain paparan pelbagai informasi, meter ini juga boleh disambungkan dengan aplikasi di telefon pintar dan memaparkan navigasi perjalanan. Model baru ini juga datang terus dengan tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 di Eropah.

    Lain daripada itu, kebanyakan kelengkapan pada Ninja 650 2020 masih lagi sama, termasuk fork teleskopik 41 mm, brek cakera berkembar 300 mm serta angkup dua piston di hadapan, monoshock, brek cakera 220 mm serta angkup satu piston di belakang, brek ABS, tangki bahan api 15 liter dan berat 193 kg.

    Di Eropah, Ninja 650 2020 datang dalam dua pilihan warna untuk versi Standard iaitu Pearl Blizzard White dan Metallic Spark Black, manakala versi KRT Edition menggunakan warna hijau dengan grafik khas.

     
     
  • Mercedes-Benz B200 Progressive Line W247 – RM240k

    Mercedes-Benz B200 Progressive Line W247 – RM240k

    Mercedes-Benz Malaysia telah pun memperkenalkan model B-Class W247 secara rasminya, dan MPV kompak generasi ketiga ini bakal dijual dengan hanya satu varian tunggal iaitu B 200 Progressive Line.

    Dijanakan oleh enjin yang sama dengan W177 Progressive Line hatch dan sedan V177 iaitu M282 DE 14 LA 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder, penjana kuasa yang dibangunkan dengan kerjasama Renault ini menawarkan output sehingga 161hp (163 PS) pada 5,500 rpm dan tork 250 Nm dari 1,620 hingga 4,000 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar 7G-DCT tujuh kelajuan bersama penapis kotoran, membuatkan B 200 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 8.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum mencecah 233 km/j.

    Mercedes-Benz B200 Progressive Line W247 – RM240k

    Luaran Progressive Line menampilkan lampu utama LED, gril radiator dengan kepingan berkembar berwarna perak dan krom di dalamnya, apron hadapan dengan krom di dalamnya, panel sill sisi dan roda aloi ringan lima jejari-berkembar 18-inci. Di belakangnya, elemen rekaan yang diberikan termasuklah bampar dengan seksyen bawah hitam dan jaluran kemasan krom.

    Sementara itu, rekaan dalaman telah dipertingkatkan berbanding generasi sebelumnya dan lebih kurang sama dengan A-Class, kecuali papan pemukanya yang didatangkan dengan dua paparan ‘freestanding’ 10.25-inci, selain suis kawalan suhu dan corong pendingin hawa yang ditempatkan di konsol tengah.

    Seperti A 200, kabin B 200 juga dilatari warna hitam. Kit yang didatangkan termasuklah kemasan kayuan hitam dan upholstery kulit Artico, tempat duduk Comfort, roda stereng balutan kulit, pencahayaan ambien 64-warna dan 10 tema warna, serta sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan juga fungsi kawalan suara “Hey Mercedes”.

    Mercedes-Benz B200 Progressive Line W247 – RM240k

    Tempat duduk belakang boleh dipisahkan dengan aturan 40:20:40m dan boleh digerakkan ke hadapan (larasan sehingga 14 sm) untuk ruang kargo yang lebih luas antara 455 dan 705 liter bergantung pada konfigurasi. Dengan tempat duduk yang dibaringkan, kapasitinya boleh mencecah sehingga 1,540 liter.

    Kit bantuan pemandu dan keselamatan termasuklah Bantuan Titik Buta, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan sendiri) dan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic. Untuk harganya pula, B 200 Progressive Line ditawarkan pada RM239,888 (atas jalan tanpa insurans).

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Almera generasi baharu di KLIA

    SPYSHOT: Nissan Almera generasi baharu di KLIA

    Bila kali terakhir kita ke bilik pameran Nissan di Malaysia untuk melihat sebuah sedan yang handsome? Sentra ‘Teksi Genting’? Cefiro A31? Tak lama lagi mungkin kita akan temui sebuah sedan dengan rupa yang agak kacak di bilik pameran Edaran Tan Chong Motors (ETCM) setelah empat buah Nissan Almera generasi baharu ditemui di bawa oleh lori pengangkut di KLIA, berhampiran dengan Cargo Village.

    Set gambar ini telah disiarkan oleh laman Facebook The Ajerul, dan menerusi sebuah unit dengan kain penutup sedikit terselak, dapat dipastikan bahawa ia adalah Nissan Almera generasi kedua. Ia juga dilihat mungkin dengan dua spesifikasi berbeza, dengan varian lebih tinggi diberikan rim-16 inci yang lebih besar dalam kemasan dua tona.

    Kehadiran Almera ini di Cargo Village berkemungkinan ia dalam perjalanan keluar dari Malaysia dan bukan baru sampai di sini – mungkin akan di bawa ke Jepun untuk tujuan ujian, ujian pelanggaran misalnya.

    Nissan Almera generasi baharu ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat April lalu, dikenali dengan nama Nissan Versa pada pasaran berkenaan. Ia dihasilkan dari platform Pakatan Renault Nissan Common Modular Family (CMF-B), yang turut menjadi asas kepada hatchback Nissan March dan Renault Clio.

    Berbanding model sedia ada yang mempunyai rekaan yang agak pelik, Almera generasi terkini ini menampilkan rupa sebuah sedan yang lebih bergaya, dengan badan yang lebih lebar serta bumbung yang nampak lebih rendah.

    Ia juga menerima rekaan muka dengan lampu yang tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang dan gril signatur “V-Motion” Nissan, manakala pada tiang-C diberikan kemasan hitam dan lampu yang lebih tajam pada bahagian belakang. Bahagian kabin juga menerima rekaan yang lebih mendatar dan nampak lebih lebar dan rendah berbanding model sebelumnya.

    SPYSHOT: Nissan Almera generasi baharu di KLIA

    Di Amerika Syarikat, Versa tidak lagi diiktiraf sebagai kereta paling mampu milik dan dijual pada harga bermula USD 14,370 hingga USD 18,240 (sekitar RM60k hingga RM76k). Ia dijana enjin HR16DE 1.6 liter NA berkuasa 122 hp/154 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT, serta menerima kelengkapan seperti skrin besar pada paparan instrumen, skrin sesentuh dengan sokongan Apple CarPlay, butang penghidup enjin dan juga sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360.

    Ketika sesi pandu uji media Nissan X-Trail facelift pada Mei lalu, ETCM telah mengesahkan bahawa Almera generasi baharu ini akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan, dan akan diikuti dengan crossover Nissan Kicks dan juga sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu.

    Namun tiada lagi sebarang bayangan spesifikasi yang akan diterima untuk pasaran tempatan, dan tidak mustahil Almera baharu dengan kod casis N18 ini akan terus dijana oleh enjin HR15DE 1.5 liter NA dari model sedia ada, yang menghasilkan 102 PS/139 Nm.

    GALERI: Nissan Versa 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

    Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

    Rancangan Maju Holdings untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd bukanlah cerita baharu kerana ia telah dibangkitkan sejak akhir 2017. Syarikat konglomerat ini pernah menghantar cadangan dengan tawaran RM3.5 bilion di mana RM2 bilion dalam bentuk tunai dan baki RM1.5 bilion lagi adalah pampasan kepada kerajaan.

    Dalam tawaran Maju Holdings ini, mereka memberikan pilihan empat senario iaitu penurunan kadar tol sebanyak 25% bersama tambahan konsesi selama 10 tahun, penurunan 30% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 15-tahun, penurunan 33% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 20 tahun atau penurunan 36% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 30-tahun.

    Terkini, syarikat berkenaan telah memperbaharui cadangannya itu dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25% kepada 36%. Laporan Berita Harian menyebut, Maju Holdings turut mencadangkan akan menanggung pengurangan tol sepenuhnya dan tidak akan mendapatkan pampasan kewangan daripada kerajaan berkenaan perkara itu.

    Bukan itu sahaja, Maju Holdings juga mencadangkan untuk menyerap pampasan tol RM2.7 bilion jika mereka berjaya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

    Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

    “Ketika ini, kerajaan berhutang dengan PLUS kira-kira RM2.7 bilion membabitkan pampasan tol dan jika Maju Holdings mengambil alih PLUS, kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa kami tidak akan lagi memegang tanggungjawab kerajaan ke atas hutang ini. Oleh itu, kami mengulangi, kerajaan akan jimat RM2.7 bilion berdasarkan fakta bahawa Maju Holdings akan menyerap pampasan RM2.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jurucakap Maju Holdings berkata, dengan tawaran terkini yang sudah dihantar kepada kerajaan itu, pemegang sedia ada PLUS akan mendapat manfaat anggaran jumlah kadar pulangan dalaman ekuiti kira-kira 16 peratus, yang mana ia mewakili pulangan yang mengatasi kos ekuiti untuk majoriti konsesi jalan bertol lain, baik di peringkat global mahupun di Asia Tenggara.

    Tambahnya lagi, sebagai sebahagian daripada cadangan pihaknya dan seperti yang diulangi beberapa kali sebelum ini, Maju Holdings komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion, yang mana akan merangkumi pencahayaan seluruh lebuh raya bersama-sama dengan peningkatan yang sangat diperlukan.

    “Rekod prestasi operasi kami untuk menguruskan jalan bertol diperlihatkan dengan sendirinya. Kami berjaya mengendalikan Lebuh Raya MEX dengan cara yang sangat cekap kos berbanding jalan bertol PLUS yang sepatutnya mendapat keuntungan daripada skala ekonomi.

    “Malah, kami mempunyai antara yang menawarkan kos terendah setiap kilometer di negara ini. Oleh itu, kami yakin kami akan dapat mengurangkan kos penyenggaraan untuk PLUS,” katanya.

    Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

    Dalam masa yang sama, syarikat ini turut menegaskan kepada pembuat dasar dan rakyat Malaysia bahawa pihaknya yakin dengan tawarannya adalah satu yang menarik dan satu yang tidak akan membebankan, malah ia juga sebenarnya akan mengurangkan kedudukan hutang kerajaan.

    Lebih-lebih lagi, Maju Holdings juga ingin mengulangi bahawa nilai enterpris untuk membeli PLUS adalah termasuk hutang terkumpul kepada pemegang bon pada paras RM34.9 bilion.

    “Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar dan saksama syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira niat kami untuk menyediakan pengguna jalan raya Malaysia dengan diskaun ketara,” katanya.

    Baru-baru ini, satu lagi syarikat yang diterajui oleh rakyat Malaysia tetapi berpangkalan di luar negara, RRJ Capital Ltd turut dilaporkan berminat untuk membeli PLUS telah menaikkan tawaran sebanyak RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS, telah membuat kenyataan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan, Khazanah memang banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak. Namun mengambil keputusan untuk menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

     
     
  • Kenderaan e-hailing tidak dianggap sebagai kenderaan komersil, tidak perlu salinan eVP – Anthony Loke

    Kenderaan e-hailing tidak dianggap sebagai kenderaan komersil, tidak perlu salinan eVP  – Anthony Loke

    Kementerian Pengangkutan telah memaklumkan telah mewujudkan satu kod khas baharu bagi “kenderaan persendirian e- hailing” dengan mengguna pakai ringkasan kod kegunaan “AH” di dalam sistem mySIKAP yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Menterinya, Anthony Loke berkata, semua kenderaan yang digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan e-hailing adalah diketegorikan sebagai kenderaan persendirian e- hailing .

    “Justeru, pemilik dan pemandu kenderaan e-hailing tidak perlu hadir ke JPJ bagi mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) ini kerana telah dilaksanakan melalui saluran maklumat eVP oleh APAD, LPKP Sabah dan LPKP Sarawak. Maklumat tersebut akan ditukar kod kegunaan secara automatik kepada kod “AH” dalam mySIKAP oleh JPJ.

    “Selain itu, kod terbabit hanya untuk kegunaan dalaman pentadbiran sistem mySIKAP dan tidak akan dicetak dalam geran hak milik kenderaan atau tertera dalam mana-mana dokumen,” katanya.

    Kenderaan e-hailing tidak dianggap sebagai kenderaan komersil, tidak perlu salinan eVP  – Anthony Loke

    Kod ‘AH’ antaranya adalah untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing. Selain itu, ia untuk memastikan ia menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    Dalam masa yang sama, Loke menambah, penguatkuasaan e-hailing akan tetap dilaksanakan mulai 12 Oktober ini. Sehubungan itu, pihaknya tidak akan melayan sebarang permintaan untuk melanjutkan tarikh berkenaan kerana operasi perkhidmatan itu tidak akan terganggu.

    “JPJ tidak akan terus bertindak memeriksa semua kenderaan e-hailing pada hari pertama penguatkuasaannya. Pihak berkuasa akan melaksanakan penguatkuasaan secara berperingkat untuk memberi peluang kepada pemandu dan pemilik e-hailing mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

    “Mana-mana pemandu yang sudah lulus ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) boleh mencetak slip kelulusan sementara menunggu lesen PSV itu siap. Mereka boleh menunjukkan slip lulus ujian PSV itu sekiranya ditahan oleh penguatkuasa JPJ,” katanya sambil mengesahkan sehingga kini sebanyak 55,665 kenderaan sudah memiliki eVP di seluruh negara. Manakala sebanyak 113,118 calon sudah berdaftar dan menghadiri kursus PSV sementara 55,673 pemandu sudah lulus ujian.

     
     
  • Daihatsu bakal bawa 4 model konsep ke TMS 2019

    Daihatsu bakal bawa 4 model konsep ke TMS 2019

    Seperti edisi-edisi Tokyo Motor Show (TMS) terdahulu, Daihatsu akan hadir ke acara sama tahun ini dengan pelbagai model-model konsep. Untuk TMS 2019, Daihatsu bukan sahaja tampil dengan rekaan yang funky, malah dinamakan dengan nama-nama yang comel. Empat model konsep akan membuat kemunculan iaitu crossover-Kei Waku Waku, MPV enam-tempat duduk Wai Wai, kereta autonompus Ico Ico dan trak kecil Tsumu Tsumu.

    Kita mulakan dengan Waku Waku. Crossover dengan had dimensi sebuah K-Car Jepun ini diberikan elemen berkotak, bersama rupa lasak menerusi pemadanan kemasan seperti ruang roda plastik berwarna gelap, bampar berwarna perak serta kemasan oren pada panel dalaman pintu, perehat badan pada tempat duduk dan lantai but.

    Waku Waku turut diberikan bumbung yang boleh dibuka bagi memberikan ruang storan lebih besar, manakala serlahan oren turut diberikan pada rim serta bampar hadapan dan belakang.

    Pada bahagian dalaman pula, crossover kecil ini diberikan kemasan hitam dengan serlahan oren metalik. Pemandu diberikan papan instrumen digital tetapi dengan meter-meter yang kelihatan seperti analog. Manakala skrin tengah pula bukan saja bertindak sebagai unit infotainmen dan sistem navigasi, malah ia turut menempatkan kawalan sistem pendingin hawa.

    Beralih ke Wai Wai, ia juga masih sebuah model kompak, dan apa yang menarik Wai Wai diberikan tiga baris tempat duduk yang boleh membawa enam-orang dalam satu-satu masa. Bagi memudahkan akses ke kabin, kedua-dua sisi menerima pintu gelangsar di belakang, tanpa tiang yang memisahkan pintu hadapan dan belakang. Bumbung MPV ini pula diberikan kanvas yang boleh dibuka/tutup secara gelangsar.

    Wai Wai diberikan tempat duduk yang agak ‘nipis’ bagi memberikan ruang penumpang yang lebih luas, dan ia juga boleh dilipat bagi memuatkan kargo yang lebih besar. MPV konsep skrin sepanjang papan pemuka, tetapi masih kelihatan minimalis dengan segala butang kawalan lain disatukan dengan panel yang bersambung dengan kolum stereng.

    Untuk Ico Ico pula, ia adalah kereta pemanduan automous kecil dengan rupa seakan bas mini, yang dibina sebagai pengangkutan untuk masyarakat bagi melalui jalan dan ruang yang kecil, sesuai untuk kawasan bandar yang padat. Ico Ico hadir dengan empat tempat duduk, lengkap dengan ramp yang boleh disimpan semula bagi memudahkan anda membawa naik barang mahupun bagi akses kerusi roda untuk orang kurang upaya.

    Selain dari boleh bergerak tanpa pemandu, Ico Ico turut mempunyai robot kecerdasan buatan (A.I) bernama Nippote yang akan melayan penumpang di dalamnya.

    Yang terakhir adalah trak Tsumu Tsumu, yang kelihatan seperti sebuah trak-Kei. Tsumu Tsumu direka dengan kabin yang diletakkan dua tempat duduk dan ia diposisikan betul-betul di atas tayar hadapan bagi membolehkan ruang kargo direka lebih luas. Ruang belakang trak kecil ini direka bagi membolehkan ia tampil dengan pelbagai konfigurasi bagi pelbagai aplikasi perniagaan yang berbeza.

    Bahagian kargo berkenaan dilihat boleh digelangsarkan ke belakang, manakala di atasnya mempunyai platform yang membolehkan dron disimpan berlepas dan mendarat.

    Kabin juga bukan sekadar untuk menempatkan pemandu dan penumpang. Kedua-dua tempat duduk boleh dilipat bagi digunakan sebagai meja, manakala perehat badan yang juga nipis membolehkan ruang belakangnya dijadikan sebagai ruang storan tambahan. Panel dinding pada kabin ini juga dihasilkan seperti pintu yang dibuka terbalik, memberikan akses yang lebih mudah, serta turut diberikan rak penyimpanan bagi meletakkan lebih banyak lagi barangan.

    Tsumu Tsumu tampil dengan papan pemuka dengan gaya lasak. Pemandu diberikan papan instrumen digital yang lebar, bersama tuil gear yang diletakkan disebelahnya. Ia dilengkapkan dengan roda stereng dengan jejari yang hanya menampung bahagian kanan dan bawah, sementara di sebelah kiri diletakkan suis putar.

    Daihatsu tidak memperincikan unit janakuasa untuk kesemua model konsep ini. Namun seperti yang diketahui, Ico Ico adalah kenderaan elektrik sepenuhnya, dan takometer dengan julat sehingga 8,000 rpm pada Tsumu Tsumu dan Waku Waku mungkin petunjuk bahawa ia dijana oleh enjin petrol.

    Waku Waku juga mungkin diberikan sistem hibrid di mana pada tuil penukar gearnya terdapat posisi ‘B’ pada bawah sekali untuk pemulihan kuasa. Manakala untuk Wai Wai, ia masih belum jelas sama ada dijana enjin petrol, hibrid ataupun elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Toyota Corolla 2019 dilancar untuk pasaran Malaysia – dua varian, enjin 1.8L 139 PS, harga dari RM128,888

    Toyota Corolla 2019 dilancar untuk pasaran Malaysia – dua varian, enjin 1.8L 139 PS, harga dari RM128,888

    Toyota Corolla generasi ke-12 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dalam dua varian. Secara rasminya, sedan segmen C ini dipanggil sebagai Corolla, tetapi masih menggunakan lencana Altis di bahagian belakang menunjukkan ia adalah sebuah model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Varian permulaan bagi Corolla baru ini adalah 1.8E, yang dijual pada harga RM128,888 tidak termasuk insurans, manakala varian lebih tinggi adalah 1.8G, dijual pada harga RM136,888. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    Untuk warna pula ada lima pilihan – Celestite Grey Metallic, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan White Pearl Crystal Shine – warna terakhir ini memerlukan bayaran tambahan RM800.

    Kedua-dua varian Corolla baru ini masih menggunakan enjin sama seperti Altis sebelum ini, iaitu unit petrol empat silinder 1.8 liter 2ZR-FE Dual VVT-i, yang dipadankan bersama transmisi Shiftmatic CVT dengan tujuh gear virtual, dan menyampaikan kuasa sebanyak 139 PS (137 hp) pada 6,400 rpm dan 173 Nm tork pada 4,000 rpm ke roda hadapan. Pemandu juga boleh memilih dua mod iaitu Sport dan Eco.

    Toyota Corolla 2019 dilancar untuk pasaran Malaysia – dua varian, enjin 1.8L 139 PS, harga dari RM128,888

    Bagi model baru ini, ia sekarang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C dan mempunyai rekaan yang diubah sepenuhnya – model yang dibawa masuk ke Malaysia menggunakan muka seperti model Eropah. Dimensi kenderaan turut berubah, di mana ia sekarang berukuran 4,630 mm panjang (+10 mm), 1,780 mm lebar (+5 mm) dan 1,435 mm tinggi (-45 mm); jarak roda masih sama iaitu 2,700 mm.

    Pada varian 1.8E, anda akan mendapat lampu utama halogen automatik, rim 16 inci (tayar 205/55), lampu belakang LED, kamera undur, pengesan jarak depan dan belakang, serta lampu kabus secara standard.

    Barangan lain yang diberi adalah seperti sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, paparan instrumen TFT LCD 4.2 inci, pengawal suhu satu zon dengan corong pendingin hawa di belakang, skrin infotainmen 6.8 inci dengan enam pembesar suara, tempat duduk balutan fabrik hitam serta tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah.

    Pergi pula kepada 1.8G, ia menggunakan lampu utama LED projector, rim 17 inci (tayar 225/45), meter Optitron dengan paparan tujuh inci, pengawal suhu dua zon, tempat duduk balutan kulit hitam, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), pedal penukar gear di stereng, penghadang cahaya untuk cermin tepi belakang, pengecas Qi tanpa wayar, kamera pandangan panoramik dan perakam video digital (depan dan belakang).

    Untuk dua barang terakhir yang disebutkan tadi, ia didatangkan sebagai pilihan tambahan untuk varian 1.8E dengan masing-masing berharga RM2,700 dan RM1,100. UMWT juga ada menawarkan Vehicle Telematics System (VTS) yang membenarkan pemilik memeriksa lokasi kenderaan pada waktu sebenar menggunakan aplikasi mudah alih pada harga RM1,700; percuma dengan langganan selama dua tahun (berharga RM250 setahun).

    Pada bahagian keselamatan, kedua-dua 1.8E dan 1.8G datang dengan tujuh beg udara (depan, bidai dan lutut pemandu), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), ABS dengan EBD dan Brake Assist, Hill-start Assist Control (HAC), Emergency Stop Signal (ESS), sistem pemerhati tekanan angin tayar, dan cagak Isofix (tempat duduk belakang).

    Kemudiannya, 1.8G ditambah lagi dengan pakej sistem keselamatan dan bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist & Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), (Automatic High Beam (AHB) dan Blind Spot Monitor (BSM).

     
     
  • JPJeBid selamatkan hasil kerajaan antara RM15j-RM20j setahun berbanding bidaan secara manual

    JPJeBid selamatkan hasil kerajaan antara RM15j-RM20j setahun berbanding bidaan secara manual

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dilaksanakan sejak April lalu, dapat menyelamatkan antara RM15 juta hingga RM20 juta kutipan hasil kerajaan setahun berbanding penggunaan sistem bidaan secara manual.

    “Ia kerana sistem elektronik itu lebih telus ekoran tiada campur tangan manusia dan proses pembidaan serta keputusan lebih singkat serta menjimatkan kos dokumentasi,” ujar Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan, JPJ, Mohd Hafiz Shamsani Othman, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, bidaan secara elektronik melalui JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat dan pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan mereka secara masa sebenar tanpa sebarang unsur campur tangan manusia selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

    “Menerusi sistem ini, kutipan hasil dijangka meningkat antara 50 hingga 200% setiap kali bidaan siri nombor kenderaan dan setakat ini, 87,723 pembida telah berdaftar di bawah sistem ini,” katanya kepada pemberita semalam.

    Malahan, menurutnya lagi, sistem itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya seluruh negara pada akhir tahun ini. Sehingga kini, ia telah dilaksanakan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Perak, Pahang, Sarawak dan terbaharu Melaka pada Khamis ini.

    Berdasarkan rekod, lebih RM29.22 juta hasil bidaan dikutip menerusi 22 siri nombor pendaftaran kenderaan menggunakan aplikasi JPJeBid sejak ia diperkenalkan hingga semalam.

     
     
  • GALERI: Perodua Axia Advance vs Style – lebih gaya?

    GALERI: Perodua Axia Advance vs Style – lebih gaya?

    Daripada enam varian yang ditawarkan bagi model Perodua Axia 2019, terdapat dua varian yang perlu diberi perhatian, terutamanya jika anda sedang mencari kereta kompak dalam segmen A dengan senarai spesifikasi lengkap.

    Pertama, tentulah Axia Advance, yang merupakan penawaran paling tinggi model berkenaan yang boleh anda beli, dan dijual pada harga RM43,190. Kedua, tentunya varian Style pada harga RM38,890, yang merupakan tambahan terbaru kepada Axia dan belum pernah ditawarkan sebelum ini. Ia nampak sangat meyakinkan di dalam imej crossover atau SUV yang digayakan oleh kereta terbabit.

    Maka, kedua-dua inilah yang kami bawakan di dalam artikel ini, untuk membolehkan anda melihat dengan lebih dekat lagi perbezaan di antara kedua-duanya melalui galeri besar ini. Jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelengkapan varian-varian lain, sila rujuk artikel terdahulu yang telah kami sediakan.

    Denyut nadi pada Axia facelift terbaru ini adalah sama. Ia menggunakan unit enjin yang sama, iaitu 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm). Untuk transmisi pula, kecuali varian Axia E yang datang dengan gear manual lima-kelajuan, varian-varian lain dilengkapi dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Di antara varian Style dan AV ini, kelainan dari sudut penggayaan memberi imej yang bebeza kepada Axia. Style yang lebih bergaya dengan kemasan plastik hitam keliling padan serta ketinggian yang bertambah 15 mm disebabkan penggunaan rim yang lebih besar (15-inci) serta adanya landasan atas bumbung. Varian lain pula hanya menggunakan rim 14-inci sebagai ciri standard.

    Kelebihan pada Axia AV pula ialah kelengkapan keselamatannya. Selain ciri VSC yang kini ditawarkan pada varian GXtra ke atas, AV turut menerima pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, yang turut digunakan pada Aruz. Sistem berkenaan merangkumi Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama

    Bagi anda, mana satu yang dirasakan lebih berbaloi dan tampil lebih menarik; Axia Style atau AV?

    Perodua Axia Style 2019

    Perodua Axia AV 2019

     
     
  • Divisi pembangunan enjin Volvo, Geely disatukan; bekal enjin untuk Proton & semua jenama bawah ZGH

    Divisi pembangunan enjin Volvo, Geely disatukan; bekal enjin untuk Proton & semua jenama bawah ZGH

    Tahun lalu Volvo telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menghasilkan enjin-enjin pembakaran dalaman (petrol dan diesel) untuk generasi seterusnya dan hanya akan menumpukan terhadap pembangunan unit janakuasa elektrik. Kini, mereka telah mengumumkan satu lagi strategi baharu; divisi pembangunan enjin konvensional dari Volvo dan Geely bakal disatukan tidak lama lagi, dan entiti baharu tersebut akan membangunkan enjin-enjin serta sistem hibrid generasi seterusnya, bagi digunakan untuk semua model-model di bawah kumpulan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) termasuk Volvo, Geely Auto, Proton, Lotus, London Electric Vehicle Company dan Lynk & Co.

    Malah menurut ZGH, enjin-enjin petrol dan diesel serta unit janakuasa hibrid yang dibangunkan tersebut bukan hanya akan digunakan oleh semua jenama di bawah payungnya, mereka turut akan membekalkannya kepada pihak ketiga yang berminat. Menerusi langkah ini, Volvo boleh terus menumpukan usaha mereka bagi menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya, selari dengan sasaran mereka bagi mengutamakan kemampanan pada asas operasinya.

    Sebelum ini juga Volvo telah menyatakan bahawa mereka menjangkakan menjelang 2025 nanti, separuh dari model-model jualannya di seluruh dunia adalah dijana oleh elektrik sepenuhnya (EV), dan selebihnya adalah model-model yang diberikan sistem hibrid elektrik.

    Ketika bercakap kepada Automotive News Europe, presiden dan CEO Volvo Cars, Håkan Samuelsson menjelaskan bahawa divisi baharu yang akan ditubuhkan ini akan mengurangkan tekanan jurutera-jurutera Volvo bagi terus menghasilkan enjin pembakaran dalaman ketika syarikat sedang mengutamakan pembangunan kereta elektrik sepenuhnya.

    Rancangan ini turut akan membantu mengurangkan kos kerana Volvo mensasarkan untuk menghasilkan kereta dalam jumlah yang lebih banyak. Jenama Sweden tersebut telah menjual sebanyak 642,253 pada tahun 2018, dan berharap akan mencapai angka 800,000 menjelang 2020. Perkongsian teknologi antara Volvo dan Geely juga sudah pun berlangsung secara besar-besaran, dan entiti baharu ini kelak akan menyatukan bekalan enjin pembakaran dalaman kepada hanya satu pembekal.

    Walaupun Volvo kini sedang menumpukan kepada teknologi EV, mereka masih lagi percaya bahawa teknologi elektrik akan menular dalam industri automotif secara berperingkat, dan permintaan untuk unit janakuasa hibrid masih lagi mempunyai permintaan disamping penawaran teknologi elektrik sepenuhnya. “Kereta hibrid memerlukan enjin pembakaran dalaman yang terbaik. Unit (enjin) baharu tersebut akan mempunyai sumber, skala dan kepakaran untuk dibangunkan dengan kos yang efisien,” kata Samuelsson.

    Menurut Volvo, perniagaan baharu ini dijangka akan mengambil sekitar 3,000 pekerja Volvo dan sekitar 5,000 pekerja Geely dari unit operasi enjin pembakaran dalaman masing-masing, dan tiada pengurangan tenaga kerja akan dilakukan.

    “Kami mempunyai kelebihan dengan membuat penstrukturan semula asas ini secara sangat awal kerana pasaran untuk enjin pembakaran dalaman tidak akan membesar pada masa akan datang. Kami lakukan perkara yang sangat tepat, yang menggunakan sinergi. Ini yang perlu anda lakukan dalam pasaran yang sedang mengecil,” jelas Samuelsson lagi.

     
     
  • Diskaun bayaran premium insurans kenderaan untuk pemandu berhemah mulai Jan 2020 – Anthony Loke

    Diskaun bayaran premium insurans kenderaan untuk pemandu berhemah mulai Jan 2020 – Anthony Loke

    Pada November 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan pemandu berhemah di negara ini bakal menerima ganjaran yang berupa rebat petrol dan tol mulai 2019. Namun sehingga sekarang, ia tidak ada sebarang khabar berita.

    Mei 2019 pula, kerajaan telah berbincang dengan pemain dalam industri insurans untuk memberikan kadar premium insurans yang lebih rendah kepada pemandu berhemah yang mempunyai rekod baik. Dan perkara ini ada khabar lanjutannya apabila semalam Loke mengumumkan pemberian diskaun bayaran premium insurans tersebut akan dilaksanakan mulai Januari 2020.

    “Melalui inisiatif itu, pemandu yang tidak pernah memiliki rekod melakukan kesalahan jalan raya akan diberikan ganjaran seperti pengurangan premium insurans atau tambahan diskaun ke atas NCD yang tidak mempunyai tuntutan kemalangan. Proses mengemaskini perkongsian maklumat pemandu daripada rekod sistem Mysikap milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini di peringkat akhir,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) juga telah dilakukan yang turut bersetuju langkah tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

    “Semua mekanisme diperlukan bagi menikmati pemberian diskaun itu sudah di peringkat akhir penyediaan dan akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) ke-60 yang berlangsung semalam.

     
     
  • Toyota GranAce akan diperkenal di TMS 2019 – MPV lapan tempat duduk guna asas HiAce generasi baru

    Toyota GranAce akan diperkenal di TMS 2019 – MPV lapan tempat duduk guna asas HiAce generasi baru

    Toyota telah mengumumkan, semasa Tokyo Motor Show hujung bulan nanti, mereka akan memperkenalkan model GranAce. MPV ini akan memasuki pasaran Jepun secara rasmi pada hujung tahun 2019.

    Ia sebenarnya adalah model yang sama seperti Granvia yang diperkenalkan untuk pasaran Australia awal tahun lalu, dan Majesty yang dijual di Thailand. Menggunakan asas daripada HiAce H300, GranAce mempunyai panjang 5.3 meter dan ditawarkan dalam dua tetapan tempat duduk iaitu tiga baris, enam tempat duduk dan empat baris, lapan tempat duduk.

    Pada bahagian luar, ia sama sahaja dengan Granvia, mempunyai gril krom yang besar serta lampu utama LED lensa berkembar. Rim, kemasan kayu di dalam dan kombinasi warna juga adalah sama. Tempat duduk baris kedua dan ketiga menggunakan tetapan kapten yang dibalut kulit dan kelengkapan lain yang diberi termasuk mekanisme Ottoman dan sistem Display Audio dengan sambungan telefon pintar.

    Model ini cuma datang dengan satu pilihan enjin sahaja iaitu empat silinder turbo diesel 2.8 liter 1GD-FTV – sama seperti Granvia – yang dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

    Suspensi jenis trailing-link rigid-axle di belakang menggantikan tetapan leaf-spring yang ada pada HiAce, dan ini memberikan MPV mewah tersebut pemanduan yang lebih mewah, selesa dan stabil. GranAce juga menampilkan tambahan penebat bunyi untuk mengurangkan kadar NVH.

    GranAce akan diberikan dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-Collision Safety System (PCS) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal (waktu siang), serta Intelligent Clearance Sonar dengan Parking Support Brakes (objek tidak bergerak).

     
     
  • ULASAN VIDEO: Mazda 3 2019 hatchback dan sedan

    Mazda 3 2019 mungkin menjadi model paling menarik untuk diperhatikan setakat ini, bagi kereta dalam segmen C. Ia menjadi taruhan terbaru yang mengiri Honda Civic dan Toyota Altis dalam persaingan segmen berkenaan; atau mungkin boleh ditambah juga Volkswagen Golf dalam senarai ini.

    Menarik bagi Mazda 3 ialah model ini turut ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5L yang tiada sebelum ini – sebagai penawaran paling asas bagi model sedan serta hatchback yang ada. Banyak keraguan atau pertanyaan yang timbul berkaitan hal ini. Jadi, dalam video ini, kami pertemukan kedua-duanya dalam satu sesi pandu uji untuk mengetahui apa perbezaan (jika ada) antara mereka. Tonton video ini untuk mengetahui pandangan kami terhadap Mazda 3 2019.

    Selebihnya adalah seperti apa yang telah kita sedia maklum ketika pelancarannya. Bagi model 1.5 liter, ia menggunakan enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G, dengan janaan 162 hp dan tork maksimum 210 Nm.

    Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive pacuan roda hadapan. Malah semua model juga dilengkapi dengan G-Vectoring Control (GVC). Untuk paling varian asas 1.5 liter, ia menawarkan bagi versi sedan dan hatchback, dengan harga atas jalan RM139,620 tanpa insurans. Ia dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu belakang LED dan roda aloi 16-inci.

    Kabin dalamannya pula dilengkapi pendingin hawa zon-tunggal manual, paparan kluster instrumen digital TFT-LCD tujuh-inci, paparan tengah 8.8-inci yang disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect dengan lapan pembesar suara, kemasan tempat duduk fabrik, head-up display, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan sentuhan lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual. Selamat menonton! Dan jangan lupa kongsikan pandangan anda.

     
     
  • Hafizh Syahrin sertai pasukan Angel Nieto dalam Moto2 tahun depan, sasar tempat lima teratas

    Hafizh Syahrin sertai pasukan Angel Nieto dalam Moto2 tahun depan, sasar tempat lima teratas

    Selepas pelbagai spekulasi dan teka-teki, akhirnya hari ini nasib pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin diumumkan kepada ramai. Bagi musim 2020, beliau akan berlumba untuk pasukan Angel Nieto bersama Aron Canet dari Sepanyol. Ini juga adalah pasukan sama yang memberi peluang kepada Hafizh berlumba dalam Grand Prix buat pertama kali sebagai pelumba Wild Card pada tahun 2011.

    Hafizh mula menjadi pelumba Grand Prix sepenuh masa pada tahun 2014, dan berjaya menamatkan musim tahun 2016 dan 2017 dalam kedudukan 10 teratas. Kemudiannya pada tahun 2018 beliau melangkah satu tahap ke kategori MotoGP bersama pasukan Yamaha Tech3 dan seterusnya bersama pasukan sama, tetapi bertukar kepada jentera KTM (2019).

    “Moto2 bukan satu kategori baru bagi saya kerana sebelum ini pernah berlumba di situ selama beberapa tahun, tetapi sekarang saya akan mendapat casis, enjin serta tayar yang berbeza. Saya pernah berlumba dengan kebanyak pelumba dalam kelas ini dan saya rasa saya boleh berada di hadapan. Saya akan cuba untuk menjadi pelumba lima teratas,” kata Hafizh.

    “Kami yakin Hafizh boleh memberikan saingan sengit untuk kejuaraan tahun depan. Beliau adalah ikon negara, mentor dan inspirasi bagi anak muda Malaysia. Bagus untuk melihat beliau terus berusaha dan terdapat kemungkinan beliau akan kembali ke kategori MotoGP pada tahun 2021,” kata ketua pegawai eksekutif Sepang International Circuit, Datuk Razlan Razali.

    “Kami mempunyai perancangan yang besar untuk tahun 2020. Kami mahu meningkatkan lagi kedudukan dan kami percaya Hafizh dan Canet dapat membantu mencapai sasaran ini. Hafizh adalah seorang pelumba yang berpengalaman dalam kategori ini dan kami mempunyai keyakinan dengan kemampuan beliau untuk mencapai sesuatu yang besar,” kata peneraju pasukan Angel Nieto, Jorge Martinez.

     
     
  • Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    Kajian sistem subsidi petrol bersasar, Program Subsidi Petrol (PSP), yang diumumkan semalam mengundang pelbagai respon dari rakyat, dan ramai yang kurang berpuas hati dengan mekanisme yang bakal dilaksanakan ini. Ada yang beranggapan, subsidi sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta 1.6L dan RM12 sebulan untuk pemilik motosikal kurang daripada 150cc, yang terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mencukupi.

    Walau bagaimana pun, ini respon daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan.

    “Mengikut kajian (untuk subsidi ini), ada sebahagian golongan B40 yang memiliki sehingga enam kereta, tapi tetap dapat nikmati subsidi petrol. Jadi sekarang, kita beri untuk satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya.

    Program Subsidi Petrol (PSP) bantuan tepat untuk golongan yang lebih memerlukan – Tun Mahathir

    “Kita lihat subsidi lama, (mereka) yang guna Rolls-Royce dapat subsidi, tak akan kita nak sokong,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

    Sehubungan itu, tegas Dr. Mahathir, pelaksanaan PSP dirangka oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khusus untuk golongan B40 yang memiliki sebuah kenderaan di bawah 1,600cc atau 1.6 liter.

    “Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan, bukan orang ada Roll-Royce, ada dua tiga buah pun dapat subsidi daripada kerajaan,” katanya di lobi Parlimen pagi tadi.

    Menerusi pengumuman mengenai PSP yang dilakukan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam, mengumumkan kira-kira 2.9 juta penerima BSH akan mendapat manfaat daripada PSP bermula 1 Januari tahun depan. Walau bagaimana pun, di Sabah dan Sarawak, tiada skim subsidi akan dilaksanakan, tetapi harga RON95 akan ditetapkan pada RM2.08 (termasuk Wilayah Persekutuan Labuan).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026