Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Pelbagai cara dilakukan bagi mengumpulkan dana yang besar untuk kerja-kerja amal tanpa keuntungan, antara yang popular adalah seperti menganjurkan makan malam amal dan konsert amal. Bagi ‘Mat Kereta’, bagaimana pula gayanya? Perhimpunan dan juga acara memandu seperti Drive4Paul ini adalah salah satu caranya.

    Apa sebenarnya Drive4Paul ini? Bagi peminat bintang utama saga filem The Fast and The Furious, Paul Walker, anda tentu tahu bahawa selain dari seorang ‘Mat Kereta’ dalam dunia sebenar, Paul juga sebenar seorang aktivis masyarakat yang telah menubuhkan badan amal tanpa sokongan kerajaan yang di gelar Reach Out World Wide (ROWW).

    Menerusi ROWW, Paul melakukan kerja-kerja amalnya dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

    Dan kita semua tahu, Paul Walker telah meninggal dunia 20 November 2013 dalam satu kemalangan jalan raya bersama rakannya, Roger Rodas (kedua-duanya adalah pemilik bersama syarikat talaan kereta ubahsuai AE Performance), setelah Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh pokok serta tiang lampu.

    Selepas kehilangan Paul, ROWW masih lagi beroperasi dan tugasnya kini disandang oleh adik lelakinya, Cody Walker. Sebagai salah satu cara untuk mendapatkan dana untuk kerja-kerja mereka, serta memperingati Paul, ROWW telah mengdakan acara amal Drive4Paul, dan ia telah berlangsung di Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun.

    Tahun lalu, pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Alie Kuoppa telah menyertai Drive4Paul Jepun, dan kemudian dia telah menyatakan hasratnya sendiri kepada Cody Walker bagi membawa Drive4Paul ke Malaysia. Ini kerana acara tersebut bukan sahaja dapat mengumpulkan dana untuk tujuan kebajikan, ia juga sebenarnya dapat memperkenalkan Malaysia dan juga budaya ubahsuai kereta tempatan kepada dunia.

    Drive4Paul Malaysia 2019 – beramal gaya Mat Kereta

    Maka, Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan pada hujung minggu lalu. Acara ini bermula pada hari Sabtu 12 Oktober dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner (nama watak Paul dalam filem tersebut), yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

    Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan Cody Walker sendiri, dan juga pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas.

    Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup malam tadi dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

    Kesemua yuran penyertaan, duit pungutan tiket ketika perhimpunan dan juga hasil jualan-jualan barangan rasmi Drive4Paul akan disalurkan terus ke ROWW. Kami juga diberitahu bahawa Cody Walker dan rombongannya akan dibawa bercuti ke Langkawi selepas ini atas tajaan LADA, bagi tujuan promosi pelancongan.

     
     
  • Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Kementerian Pengangkutan masih memberikan peluang kepada pemandu e-hailing yang dalam proses untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tetapi masih belum selesai.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemandu berkenaan akan dipertimbangkan untuk diberi kelonggaran daripada tindakan penguatkuasaan yang bermula 12 Oktober lalu.

    “Walaupun penguatkuasaan telah bermula, ia akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan tindakan hanya akan tertumpu kepada pemandu yang enggan mematuhi syarat. Ini bukannya perkara baharu, saya sudah umumkan banyak kali. Malah, ada nyatakan bahawa kita mengambil pendekatan beransur-ansur selain memberikan masa dan ruang secukupnya kepada semua (pemandu e-hailing).

    “Selagi mereka sudah menduduki peperiksaan PSV, kita tiada masalah walaupun belum mendapat (lesen PSV). Mungkin ada proses yang belum diselesaikan, jadi kita masih memberikan peluang,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pemandu e-hailing yang belum lulus PSV diberi kelonggaran dari tindakan penguatkuasaan – Loke

    Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan, sebaik penguatkuasaan bermula.

    Loke berkata, kaedah penguatkuasaan itu tidak bermaksud pihak berkuasa akan laksanakan pemeriksaan terhadap setiap pemandu serta-merta.

    “Jadi ada proses yang belum selesai itu kita akan memberi sedikit masa lagi tetapi penguatkuasaan sudah bermula. Bagaimanapun, ia bukan bermaksud anggota JPJ akan pergi merata tempat dan memeriksa pemandu atau menahan setiap kereta. Kita akan membuat penguatkuasaan beransur-ansur,” jelasnya.

     
     
  • Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Selepas trak pikap ini mencecah usia lapan tahun, Isuzu kini memperkenal model generasi ketiga D-Max. Ia diberi pembaharuan yang menyeluruh, tidak hanya melibatkan rekaan luaran dan dalaman, tetapi turut melibatkan perubahan mekanikal.

    Dibangun menggunakan konsep “Efficient & Robust”, D-Max terbaru ini didakwa akan memberikan lebih penjimatan bagi penggunaan bahan api serta ciri keselamatan dipertingkat, dan dalam masa yang sama masih kekal versatile untuk memenuhi pelbagai keperluan penggunaan.

    Dimensi model baru ini adalah seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi. Ini menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah. Jarak antara rodanya pula kini 30 mm lebih panjang, menjadi 3,125 mm.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Penampilan luaran memperlihatkan sentuhan yang lebih agresif berbanding model D-Max sedia ada. Bahagian gril yang besar menjadi antara yang paling ketara. Lampu utama sedikit lebih tipis dan kecil menggunakan teknologi bi-LED, disertai sekali oleh DRL LED bentuk U. Lampu isyarat dan lampu kabus terletak sedikit ke bawah – semua ini hanya pada varian paling tinggi. Untuk varian lain, grilnya lebih kecil, dan rekaan bampar konvensional digunakan.

    Di lihat dari tepi, bentuk yang digunakan ini didakwa lebih aerodinamik. Ia telah diuji di terowong angin Institut Kajian Teknikal Keretapi milik Japan Railway (JR). Tambahan lain yang diberikan ialah penggunaan pelindung pada bahagian bawah badan untuk mengurangkan pergolakan udara di bawah trak. Lengkung tayar juga tampil lebih lembut, disokong pula oleh garis bahu pada padannya yang menjadikan trak ini kelihatan lebih tegap.

    Di belakang, lampunya menerima pembaharuan, menggunakan perumah lutsinar serta pencahayaan LED dibucu. Bampar pada model spesifikasi paling lengkap ini pula disepadukan sekali pada bahagian ruang barangan untuk nampak lebih kemas. Pilihan rim aloi 18-inci juga baru.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Perubahan yang lebih menarik ada di dalam. Tiada lagi rekaan papan pemuka yang ringkas seperti sebelum ini. Rekaan lebih moden dan bersegi digunakan sebagai gantinya. Kualiti material, pemasangan serta binaan juga kelihatan lebih baik – bahagian permukaan papan pemuka seperti menggunakan material soft-touch dengan unsur jahitan.

    Bahagian tengahnya dilengkapi dengan susunan hexagonal, yang menempatkan skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz sembilan-inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Jumlah pembesar suara kini ada lapan, dan konsol tengah antara pemandu dan penumpang dijadikan lebih tinggi dan lebar. Namun, ini hanya pada model paling tinggi; varian lain menempatkan rekaan yang lebih ringkas.

    Struktur elektrikalnya juga telah dipertingkat, sebagai persediaan kepada teknologi maju masa depan (perhubungan, autonomous, perkongsian dan elektrifikasi). Bagaimanapun, D-Max terbaru ini masih belum dilengkapi ciri brek kecemasan autonomous (AEB). Antara ciri keselamatan lain yang ada ialah sistem peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang (buat pertama kali ditawarkan), serta enam beg udara dan kawalan kestabilan.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Naiktaraf ciri elektronik berkenaan juga membolehkan trak ini dilengkapi dengan pelbagai ciri baru. Sebagai contoh, kunci automatik, penghidup enjin jarak jauh, pra-pencahayaan ketika mendekati kenderaan, kawalan suara dan kawalan pendingin hawa dwi-zon (dengan corong belakang). Ciri lampu dan pengilap cermin automatik juga ada ditawarkan.

    Aspek ergonomik dan keselesaan turut menyaksikan perubahan. D-Max terbaru ini antara lain dilengkapi ciri larasan stereng teleskopik, kerusi depan dengan perlindungan bahagian kepala serta kusyen polyurethane MDI untuk mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh. Selain itu, tiang B juga dialih sedikit ke depan untuk memudahkan penumpang belakang keluar dan masuk ke kabin.

    D-Max baru ini dibangun menggunakan Isuzu Dynamic Drive Platform. Walaupun masih menggunakan binaan body-on-frame, kerangka ladder yang ada telah diberi banyak penambahbaikan. Antara yang dilakukan ialah meningkatkan penyerapan hentakan dan mengoptimumkan lokasi sentuhan binaan tersebut. Ini tidak hanya menjadikan kerangkanya lebih ringan, tetapi juga lebih kukuh dan selamat. Standard mount badan yang digunakan juga telah ditukar kepada jenis shear mount untuk meningkatkan kestabilan dan mengurangkan kebisingan dan gegaran.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Untuk badannya, ia kini menerima lebih banyak bahagian besi lebih kukuh, dengan peningkatan ketegangan antara 30% hingga 40%. Ini menyumbang kepada peningkatan keteguhannya sebanyak 20%, dengan bahagian bumbung yang turut diperkukuhkan, tetapi ringan. Semua penambahbaikan ini juga membolehkan Isuzu untuk memperpanjangkan ruang barangan di belakang bagi semua varian.

    Sistem gantungan turut diberi kemaskini ketara. Jenis double wishbones yang digunakan di depan menerima sambungan mount yang lebih tinggi di atas untuk memberikan lebih kestabilan. Leaf spring di belakang pula dikilang menggunakan proses warm stress shot peening tidak hanya menjadikannya lebih tahan, tetapi juga lebih anjal untuk menawarkan keselesaan. Kestabilan turut disumbangkan oleh bahagian belakang kenderaan yang lebih lebar serta sudut mounting untuk penyerap hentak yang dikurangkan.

    Stereng juga telah ditala agar lebih mudah dikendalikan. Sudut stereng juga telah ditambah untuk meningkatkan aspek pengendalian, serta radius belokan (turning radius) telah dapat dikurangkan. Cakera brek juga lebih besar, dengan saiz 320 mm berserta kaliper dua-piston di depan. Selain itu, bearing hab pada roda depan telah disepadukan menjadi satu unit bearing sahaja, menjadikannya bebas penyelenggaraan.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Kuasa dihasilkan melalui unit enjin yang sama, iaitu 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin 1.9L ini baru saja diperkenalkan di Malaysia, dengan janaan kuasa yang juga sama; 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm dari 1,800-2,600 rpm. Selebihnya, pada model baru ini, ia menerima nisbah gear yang lebih optimum dan sistem kawalan lebih baik untuk pecutan.

    Namun, pada unit 3.0 liter dengan kos baru 4JJ3-TCX, ia menerima lebih banyak peningkatan, diterapkan antaranya dari enjin 1.9 liter yang lebih kecil itu. Ini termasukk kebuk pembakaran yang dibentuk semula, penyuntik bertekanan tinggi, saduran karbon pada pin omboh serta Variable Geometry Turbocharger (VGT) elektronik. Semua ini membolehkannya menghasilkan 190 PS dan 450 Nm – naik 13 PS dan 70 Nm berbanding unit 4JJ1-TCX.

    Untuk memperbaiki agihan beban, kedudukan enjin dialihkan sedikit ke belakang gandar depan. Kotak gear automatik dan manual kini menampilkan enam-kelajuan bagi kedua-dua enjin; versi manual datang dengan gear undur jenis pull-ring. Versi 1.9 liter juga menerima torque converter yang lebih kecil dan penyerap hentak sudut-lebar yang disepadukan di dalam klac untuk memberikan lebih maklum balas serta kecekapan minyak.

    Isuzu D-Max 2020 didedahkan – generasi ketiga terima pembaharuan rekaan dan mekanikal yang menyeluruh

    Model pacuan empat roda turut menerima beberapa peningkatan tambahan, seperti aci aluminium tunggal untuk menjimatkan berat, serta differential lock elektromagnetik di belakang yang membolehkan peralihan pacuan antara dua roda kepada empat roda yang lebih pantas (serta peralihan nisbah rendah kepada tinggi). Kemampuan meredah air adalah pada ketinggian 800 mm.

    Isuzu D-Max 2020 terbaru ini akan mula dijual di Thailand pada 19 Oktober ini, dan ditawarkan dalam barisan varian yang luas, dari kegunaan perniagaan hingga pengguna biasa, dengan kabin tunggal dan kabin berkembar. Harganya bermula dari 510,000 baht (RM70,200) hingga 1,164,000 baht (RM160,300). Apa pandangan anda tentang trak pikap ini?

     
     
  • Belanjawan 2020 – RM85 juta untuk kurangkan sesak di Tambak Johor, RTS JB-Singapura akan diteruskan

    Belanjawan 2020 – RM85 juta untuk kurangkan sesak di Tambak Johor, RTS JB-Singapura akan diteruskan

    Dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh menteri kewangan Lim Guan Eng petang tadi, ada satu berita yang mungkin akan memberikan kelegaan kepada mereka di Johor Bahru yang berkerja di seberang tambak – kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan belanja sebanyak RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

    Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, kerajaan bakal membuka 50 kaunter tambahan untuk penunggang motorsikal. Selain itu, operasi kaunter imigresen dan juga kaunter PLUS juga bakal ditambah baik.

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 ini juga, Lim turut mengesahkan bahawa projek Rapid Transit System Link (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura turut akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

    RTS adalah projek rel sepanjang 4km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 dalam masa satu jam.

    Pembinaan asalnya dijadualkan bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024. Namun pada Mei lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkannya bagi membuat kajian untuk menurunkan kos projek tersebut.

     
     
  • Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Pada Jun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan kerajaan bercadang untuk ambil alih empat lebuhraya di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart. Petang ini, menerusi bentangan Belanjawan 2020, beliau mengumumkan kerajaan, menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan mengambil alih keempat-empat lebuhraya terbabit.

    Dengan itu, mulai 2020, Lim berkata, tiada kadar tol yang akan dikenakan untuk semua jenis kenderaan pada waktu bukan puncak. Manakala kadar tol pada waktu puncak dan waktu biasa akan diturunkan sebanyak 30%.

    “Ia bakal memberikan penjimatan sebanyak RM180 juta setahun kepada pengguna lebuh raya sepanjang tempoh konsesi,” ujar Lim di Dewan Parlimen, petang tadi.

    Belanjawan 2020: Kerajaan ambil alih Sprint, LDP, Kesas, Smart – tol percuma pada waktu bukan puncak

    Sebelum ini, Lim juga pernah menyatakan bayaran penjimatan bagi ambil alih lebuhraya tersebut ialah RM1.92 bilion–RM2.24 billion bagi LDP, RM1.57 bilion–RM2.04 bilion bagi SPRINT, RM1.08 bilion–RM1.19 bilion bagi KESAS dan RM671 juta-RM1.03 bilion bagi SMART.

    Pada Januari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan caj kesesakan (congestion charge) di lebuhraya terbabit akan diperkenalkan. Di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

    Malah pengguna lebuhraya bakal menikmati diskaun sebanyak 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Bagi waktu “off peak” iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, kadar tol akan dihapuskan sama sekali, bermakna penggunaan lebuh raya adalah percuma. Walau bagaimana pun, struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

     
     
  • Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Semasa pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 bersasar, namun perincian pemberiannya baru sahaja diumum beberapa hari lalu. Syarat pertama adalah anda perlu tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Bagaimanapun semasa pembentangan Belanjawan 2020 sebentar tadi, terdapat satu lagi kemas kini. Walaupun anda tidak tersenarai dalam golongan penerima BSH, anda masih layak menerima subsidi petrol ini sekiranya pendapatan berada kurang di bawah RM4,000 dan syarat pemilikan kenderaan sama yang telah ditetapkan untuk kelompok penerima BSH ditepati.

    Seterusnya, mereka yang layak tidak boleh memiliki lebih daripada dua kereta dan dua motosikal dalam satu-satu masa. Kelayakan bagi kereta adalah seperti berikut; kapasiti enjinnya di bawah 1,600 cc, atau bagi yang melebihi 1,600 cc usia kenderaan perlu lebih daripada 10 tahun. Bagi motosikal pula, kapasiti enjin mestilah kurang daripada 150 cc. Bagi enjin 150 cc ke atas pula, hanya motosikal yang berusia melebihi tujuh tahun layak menerima subsidi berkenaan.

    Belanjawan 2020: Bukan penerima BSH juga boleh menikmati Kad95 subsidi petrol jika menepati kriteria

    Bagi golongan penerima BSH, kerajaan akan membayar semula jumlah subsidi ke dalam akaun bank berdaftar penerima dengan kekerapan sekali setiap empat bulan. Sebagai contoh, bagi pemilik kereta, RM30 merupakan jumlah subsidi yang terlibat setiap bulan (bagi sebuah kereta), maka RM120 akan dimasukkkan ke dalam akaun mereka.

    Begitu juga dengan pemilik motosikal. Mereka yang layak akan menerima subsidi RM12 setiap bulan bagi satu motosikal, maka RM48 akan dimasukkan ke dalam akaun mereka setiap empat bulan. Walaupun penerima boleh memiliki dua kereta dan dua motosikal yang mematuhi syarat, subsidi cuma akan diberi untuk satu kenderaan sahaja.

    Sementara itu, bagi golongan bukan penerima BSH, subsidi akan diberi melalui Kad95, yang berjumlah 30 sen/liter terhad hingga 100 liter sebulan untuk kereta dan 40 liter sebulan untuk motosikal. Subsidi cuma layak diberi sekiranya harga pasaran RON95 melebihi RM2.08 seliter.

     
     
  • Belanjawan 2020: Diskaun tol 18% di lebuhraya PLUS, caj tol kereta persendirian di JSAHMS turun ke RM7

    Belanjawan 2020: Diskaun tol 18% di lebuhraya PLUS, caj tol kereta persendirian di JSAHMS turun ke RM7

    Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan bakal memberikan diskaun tol sebanyak 18% di semua lebuhraya PLUS mulai tahun hadapan. Di mana ia bakal memberikan penjimatan kepada rakyat sebanyak RM1.13 bilion pada tahun 2020, dan RM43 bilion sehingga 2038.

    Walau pun tiga syarikat konglomerat swasta iaitu RRJ Capital Ltd, Maju Holdings dan WIDAD Business Group (WBG) sedang berlumba-lumba untuk membeli syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad, buat masa ini, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk menjualnya. Malah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS tidak berminat menjual aset syarikat konsesi tersebut.

    Selain diskaun tol di lebuhraya PLUS, Lim turut mengumumkan kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Muádzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang akan diselaraskan dengan kadar yang sama di Jambatan Pulau Pinang iaitu RM7. Kadar semasa bagi tol untuk kereta persendirian di JSAHMS selama ini ialah RM8.50. Ini bermakna ia bakal diturunkan sebanyak RM1.50 dan pastinya mengurangkan bebanan kewangan para pengguna yang sering berulang alik melalui jambatan berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Oktober 2019, Kementerian Kewangan telah mengumumkan petrol RON 97 naik sebanyak 7 sen seliter iaitu menjadi RM2.67 seliter, berbanding RM2.60 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu ini efektif mulai tengah malam ini.

    Seperti minggu-minggu sebelumnya, harga petrol RON 95 dan diesel masih dikekalkan. Di mana petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.

    Walau bagaimana pun, diingatkan di sini, subsidi RON 95 bakal dihentikan pada tahun hadapan untuk Semenanjung Malaysia dan mula melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH). Tanpa subsidi, untuk minggu ini, RON 95 mungkin menjadi RM2.37 seliter.

    Untuk diesel Euro 2M, ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Harga minyak 12-18 Okt: RON97 naik 7 sen seliter

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.27 seliter. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.30 seliter. Manakala diesel pula turun berbanding RM2.34 seliter pada minggu lepas.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 12 Oktober 2019 sehingga 18 Oktober 2019 adalah berjumlah RM112.64 juta.

     
     
  • Penggunaan biodiesel B20 mula dilaksanakan awal tahun 2020, Langkawi jadi antara lokasi terawal

    Penggunaan biodiesel B20 mula dilaksanakan awal tahun 2020, Langkawi jadi antara lokasi terawal

    Selepas melancarkan program biodiesel B10 hujung tahun lalu, kerajaan berhasrat untuk memasarkan biodiesel B20 pula di stesen minyak di seluruh negara. Ia dianggap sebagai mekanisme bagi mengawal industri berasaskan sawit. Malah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berharap semua pihak bersedia sepenuhnya bagi peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20, iaitu 20% adunan biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum menjelang 2020.

    Terbaru, Menteri Industri Utama Teresa Kok memaklumkan penggunaan biodiesel B20 akan dilaksanakan secara berperingkat awal tahun hadapan dan Langkawi akan menjadi lokasi pertama program ini dilaksanakan. Menurutnya, usaha kini digerakkan untuk menyediakan fasiliti lengkap bagi tujuan tersebut termasuk depoh minyak biodiesel yang boleh menyimpan biodiesel B30 apabila dilaksanakan kelak.

    “Walaupun pelaksanaan B20 dimulakan pada tahun depan tapi (pada masa sama) kita mahu menyediakan dan menaik taraf fasiliti yang sesuai untuk biodiesel B30 untuk penggunaan pada masa akan datang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, kerajaan masih dalam peringkat mengadakan kajian membabitkan jumlah peruntukan diperlukan untuk menaik taraf depoh bagi penggunaan biodiesel itu di seluruh negara. Malahan, kerajaan juga telah memberi notis pemakluman kepada syarikat yang mengimport kereta dari luar negara berhubung persediaan pelaksanaan program B20 itu pada 2020.

    “Notis ini bagi memastikan semua pihak terbabit bersedia. Kita tidak mahu kereta yang dipandu di jalan raya itu tidak dapat menggunakan B20,” jelasnya.

    Selain itu, Kok turut mengumumkan kerjasama MPOB dengan enam universiti tempatan bagi menjalankan kajian sistematik selama dua setengah tahun terhadap penggunaan biodiesel sehingga B30 bagi enjin berteknologi Euro IV/4 ke bawah yang melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.5 juta. Enam universiti terlibat adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia.

     
     
  • BMW Motorrad Malaysia perkenal pakej servis serta lanjutan waranti untuk pemilik baru dan sedia ada

    BMW Motorrad Malaysia perkenal pakej servis serta lanjutan waranti untuk pemilik baru dan sedia ada

    Demi memberikan pemilik pengalaman pemilikan yang lebih menyenangkan, BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan tiga program selepas jualan baru iaitu Engine Oil Inclusive, Service Inclusive dan Warranty Extension. Program ini dibuka sebagai pilihan untuk pemilik baru serta juga pemilik sedia ada motosikal BMW.

    Pakej Engine Oil Inclusive disediakan dalam dua pilihan iaitu untuk tiga tahun (atau 30,000 km), atau lima tahun (atau 50,000 km). Pakej ini dibuka untuk motosikal baru serta yang berusia bawah 10 tahun, dan melaluinya anda akan menerima penukaran minyak enjin BMW Advantec serta penapis.

    Kemudiannya bagi pakej Service Inclusive pula, anda akan menerima perkara yang sama seperti Engine Oil Inclusive, tetapi ditambah lagi dengan pemeriksaan kelegaan injap dan minyak fork, serta penukaran minyak transmisi, palam pencucuh, minyak brek, penapis udara, tali sawat CVT, penapis bahan api dan minyak syaf belakang.

    BMW Motorrad Malaysia perkenal pakej servis serta lanjutan waranti untuk pemilik baru dan sedia ada

    Pakej ini juga ditawarkan dalam dua pilihan iaitu untuk tiga tahun (atau 30,000 km), atau lima tahun (atau 50,000 km) dan dibuka untuk motosikal baru serta yang berusia bawah 10 tahun. Untuk kedua-dua pakej Engine Oil Inclusive dan Service Inclusive ini, motosikal perlulah mempunyai rekod servis yang mematuhi saranan dan perlu dilakukan di pusat servis berdaftar BMW Motorrad.

    Pakej terakhir adalah Warranty Extension, iaitu sambungan jaminan pengeluar selepas tempoh jaminan asal tamat. Ia ditawarkan dalam dua pilihan iaitu untuk tempoh satu tahun atau dua tahun. Ia terbuka kepada semua motosikal baru, dan motosikal yang sudah didaftar dalam tempoh masa 90 hari.

     
     
  • Belanjawan 2020: Hal-hal automotif dan pengangkutan

    Belanjawan 2020: Hal-hal automotif dan pengangkutan

    Seperti yang kita telah maklum, pembentangan Belanjawan 2020 akan berlangsung petang ini, 11 Oktober 2019 bermula jam 4 petang. Ia akan disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen. Untuk itu, kami akan membawakan terus perkara-perkara dari pembentangan ini yang berkaitan industri automotif serta pengangkutan awam kepada anda.

    Ikuti ringkasan kemaskini semasa melalui artikel ini dan juga perincian setiap satunya di dalam pecahan artikel lain yang bersangkutan di paultan.org. Teruskan bersama kami.

      Jalanraya & lebuhraya

    • Pengurangan purata caj tol sekitar 18% bagi semua lebuhraya kendalian PLUS bermula 2020 untuk mengurangkan beban tol pengguna. Ini akan membolehkan pengguna jimat sekitar RM1.13 bilion untuk tahun 2020, dan 43 bilion sepanjang tempoh konsesi yang akan tamat pada 2038 nanti.
    • Cadangan pengambil alihan empat lebuhraya di Lembah Klang – terdiri dari pada KESAS, LDP, Sprint dan Terowong SMART – akan dilakukan melalui pinjaman yang dijamin oleh kerajaan. Caj kesesakan yang bakal diperkenalkan akan diturunkan sehingga 30% daripada kadar tol semasa ketika ini ketika waktu puncak dan tempoh biasa. Digabung dengan caj percuma di luar waktu puncak, pengguna akan jimat sekitar RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga tempoh konsesi asal masing-masing tamat.
    • Peruntukan RM1 bilion disediakan untuk pembinaan jalanraya di kawasan pedalaman seluruh negara. Ini termasuk peruntukan RM326 juta untuk Sabah dan RM224 juta untuk Sarawak.
    • Kerajaan juga telah dapat menjimatkan sejumlah RM1.2 bilion dari projek pembinaan lebuhraya Pan Borneo.
    • Peruntukan RM50 juta akan diberikan untuk tujuan memperbaiki dan menambahbaik jalanraya di sekitar atau menuju ke Port Klang untuk menyokong pertumbuhan operasi perdagangan.
    • Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga diturun dan diselaraskan kepada RM7, bukan lagi RM8.50. Bermula 1 Januari 2020.
    • Untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, peruntukan RM85 juta disediakan untuk melancarkan aliran trafik kenderaan. 50 kaunter baru akan dibuka untuk motosikal, serta kaunter imigresen dan PLUS juga akan ditambahbaik.
    • Pengangkutan awam

    • Kerajaan juga berhasrat untuk meneruskan projek Rapid Transit System (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura. Bagaimanapun, belum ada jangka masa ditetapkan untuk ini.
    • RM50 juta diperuntukkan untuk menaik taraf landasan keretapi Gorge Line antara stesen Halogilat ke stesen Tenom di Sabah.
    • Kerajaan akan menyediakan 500 unit bas elektrik melalui peruntukan RM450 juta untuk dimanfaatkan sektor pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih di seluruh negara.
    • RM146 juta diperuntukkan untuk pengusaha bas untuk sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar.
    • Subsidi RON95

    • Bagi pengguna bukan dari kelompok penerima BSH tetapi masih layak menerima subsidi ini (pendapatan kurang RM4,000, serta menepati kriteria lain sama seperti yang dikenakan kepada penerima BSH), mereka akan menerima KAD95, dengan kadar subsidi yang sama, 30 sen seliter. Ini melibatkan had maksimum 100 liter petrol bagi kereta, dan 40 liter bagi motosikal setiap bulan. Ini akan dijalankan secara berperingkat.
    • Biodiesel B20

    • Biodiesel B20 akan mula dilaksanakan bagi sektor pengangkutan menjelang hujung tahun 2019. Jumlah penggunaan kelapa sawit dijangka 500,000 tan setahun.
     
     
  • Toyota Mirai Concept – generasi kedua model janaan hidrogen, RWD mewah, jarak perjalanan naik 30%

    Toyota Mirai Concept – generasi kedua model janaan hidrogen, RWD mewah, jarak perjalanan naik 30%

    Selepas hampir lima tahun Toyota Mirai membuat penampilan sulung, kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) berkenaan kini bersedia untuk pengenalan generasi keduanya. Lebih menarik, rekabentuknya kini jauh berbeza dan matang dari yang dulu.

    Bakal diperkenalkan ketika Tokyo Motor Show bulan ini, Mirai Concept disifatkan sangat mirip dengan model sebenar yang akan dikeluarkan nanti. Dan, selamat tinggal rekaan aneh seperti yang pernah kita lihat pada Prius atau kenderaan-kenderaan hibrid/elektrik Toyota sebelum ini – melalui rekaan konsep ini, Mirai telah diberikan sentuhan yang jauh lebih menarik dan berani.

    Menggunakan binaan pacuan roda belakang serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) seperti yang ada pada model Crown, Mirai baru ini nanti akan turut menerima pertambahan dimensi fizikalnya. Ukurannya ialah 4,975 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,470 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,920 mm – ia 85 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 65 mm lebih rendah berbanding yang lama. Jarak antara roda merupakan pertambahan paling banyak, dengan 140 mm lebih panjang.

    Toyota Mirai Concept – generasi kedua model janaan hidrogen, RWD mewah, jarak perjalanan naik 30%

    Penggayaan pada Mirai baru ini juga lebih tenang dan ringkas, tetapi diterapkan juga bersama lengkuk-lengkuk badan yang lebih rumit. Sama seperti kereta Toyota sedia ada, bahagian depannya didominasi oleh rekaan gril trapezoid besar, tanpa inlet di sudut, dan dilengkapi dengan rekaan lampu utama tirus bertingkat. Bahagian bonet juga lebih panjang, turut menyumbang kepada rupa baru yang “tajam”.

    Dari sisi, garis bumbung dan ruang enam-cermin yang ada kini lebih rendah hingga ke belakang. Bahagian bahu pada badannya bagaimanapun tambil ketara, menampakkan imej lebar seperti pada Supra jika dilihat dari belakang. Penampilan ini dikukuhkan oleh lampu belakang yang lebar, serta diffuser saiz besar – rim pula dalam saiz 20-inci, dengan warna Force Blue pelbagai lapisan cat.

    Kelainan bahkan lebih ketara di dalam, kerana pendekatan yang diambil lebih mirip kepada sentuhan premium pada ruang kabin kenderaan Lexus. Papan pemuka ringkas dan nipis, dengan paparan utama skrin infotainmen 12.3-inci serta paparan instrumen digital. Dengan kedudukan fuel cell yang baru menggunakan platform TNGA ini, ia membolehkan penggunaan konfigurasi lima-tempat duduk – lebih satu dari Mirai lama.

    Toyota Mirai Concept – generasi kedua model janaan hidrogen, RWD mewah, jarak perjalanan naik 30%

    Belum ada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, tetapi Toyota menjelaskan kereta ini bakal memberikan pertambahan jarak perjalanan yang 30% lebih berbanding sebelum ini, disumbang oleh pertambahan kapasiti storan hidrogen – khabarnya mampu bertahan sehingga 650 km penggunaan. Prestasi juga mungkin lebih baik (pertambahan kuasa dan daya pecutan), sebagai melengkapi rekabentuk moden dan sporty yang dibawa kini.

    Platform TNGA yang memang dari awal direka untuk boleh menggunakan sistem janaan hidrogen turut disifatkan mampu memberikan ketahanan yang lebih baik. Ditambah dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah, Toyota memaklumkan ia akan menyumbang kepada kelincahan serta tahap maklum balas yang lebih baik dan menawarkan pengalaman pemanduan yang jitu.

    “Kami telah berusaha untuk membangunkan kenderaan yang mana pemilik ingin memandunya sepanjang masa, sebuah kereta yang mempunyai daya tarikan dari segi rekaan serta emosi serta memberikan maklumbalas dinamik yang akan membuatkan pemandu tersenyum,” jelas ketua jurutera Mirai, Yoshikazu Tanaka.

     
     
  • PLUS bakal laksana tiada tambah nilai di semua lorong keluar di seluruh negara – kurangkan kesesakan trafik

    PLUS bakal laksana tiada tambah nilai di semua lorong keluar di seluruh negara – kurangkan kesesakan trafik

    Langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup perkhidmatan tambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol Wilayah Tengah sejak 1 Ogos lalu membuahkan hasil apabila ia berjaya mengurangkan kesesakan trafik di lorong berkenaan sebanyak 48.2%.

    Langkah PLUS menguatkuasakan ‘Tiada Tambah Nilai’ di Lorong keluar lebih dua bulan yang lalu menyaksikan pengurangan yang ketara dalam bilangan pelanggan lebuh raya yang mempunyai baki rendah atau baki tidak mencukupi yang cuba menambah nilai di lorong keluar di plaza-plaza tol di Wilayah Tengah iaitu plaza-plaza tol yang terletak di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan.

    Menurut PLIS, pada hari pertama langkah ini dilaksanakan, terdapat kira-kira 850,000 purata trafik harian di Wilayah Tengah, kesesakan harian yang berlaku di laluan keluar plaza tol adalah disebabkan 5 peratus pelanggan yang mempunyai baki yang tidak mencukupi. Walaupun jumlah 5 peratus nampak kecil, tetapi ia melibatkan sebanyak 42,500 kenderaan yang berhenti untuk menambah nilai, yang mana ia telah menyebabkan kesesakan trafik dan pembaziran masa yang memberi kesan kepada 95% pelanggan lain di lebuh raya PLUS.

    PLUS bakal laksana tiada tambah nilai di semua lorong keluar di seluruh negara – kurangkan kesesakan trafik

    Walau bagaimanapun, setelah hampir dua bulan dilaksanakan, PLUS telah berjaya merekodkan pengurangan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di plaza tol sebanyak 48.2%, dengan penurunan bilangan kenderaan kepada 22,000 kenderaan.

    Melihat akan keberkesanan langkah ini dalam tujuan mengurangkan kesesakan trafik, PLUS bakal memperluaskan inisiatif sebegini di seluruh rangkaian lebuh di bawah seliannya di utara dan selatan dalam masa yang terdekat. Tarikh sebenar pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

    Justeru, pelanggan PLUS dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang cukup sebelum memasuki lebuh raya. Perkhidmatan tambah nilai disediakan di lebih 10,000 pusat tambah nilai yang terdapat di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat membeli-belah.

     
     
  • Proton 1 Tank Adventure 2019 pusingan akhir – Kota Bharu ke Johor Bahru hanya dengan 1 tangki petrol!

    Proton 1 Tank Adventure 2019 pusingan akhir – Kota Bharu ke Johor Bahru hanya dengan 1 tangki petrol!

    Setelah berlangsungnya pusingan untuk bahagian Semenanjung Malaysia, kemudian ke Sabah dan Sarawak, akhirnya kesemua juara untuk setiap bahagian turun untuk beradu kemahiran memandu secara ekonomi ke pusingan akhir Proton 1 Tank Adventure 2019 hujung minggu lalu. Jika sebelum ini perjalanan hanya meliputi sekitar 500 km-600 km, pusingan akhir ini menyajikan cabaran lebih ‘gila’ kerana peserta perlu untuk menghabiskan pertandingan yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Johor Bahru, Johor dengan bekalan hanya satu tangki petrol!

    Macam tak percaya kan? Tapi ini hakikatnya kerana penulis sendiri adalah salah seorang peserta dan tidak menyangka ianya memang boleh dilakukan. Sebanyak 18 buah kereta Proton mengharungi perjalanan dua hari dari hujung ke hujung Semenanjung Malaysia sejauh 710 km ini, dibahagikan dalam tiga model iaitu Saga, Iriz serta Persona, dan bertanding dalam kategori Pemilik dan Media. Lebih kurang 80 peratus dari laluan yang ditetapkan adalah jalan pesisir pantai Laut China Selatan yang turut meliputi jalan berbukit dan pekan-pekan kecil, manakala selebihnya adalah laluan di Lebuhraya Pantai Timur dari Terengganu ke Kuantan, Pahang.

    Bukan sahaja sekadar berjalan, para peserta juga perlu berhenti di berberapa checkpoint yang ditetapkan seperti di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu dan juga di pantai berhampiran Mersing Habour Center bagi mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran yang telah disediakan oleh penganjur. Peserta juga telah diberikan had masa untuk sampai ke setiap checkpoint bagi memaksa mereka untuk memandu pada kelajuan purata sekitar 70 km/j.

    Pertandingan ini berakhir di Stesen Petronas Jalan Indah, Taman Bukit Indah Johor Bahru di mana setiap tangki kereta akan di isi semula petrol Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive bagi mengukur berapa banyak bahan bakar yang digunakan. Seperti sebelum ini, segala pemantauan dan pengiraan bahan api adalah dilakukan oleh pihak Malaysia Speed Festival (MSF), diketuai oleh Adian Yein Khalid.

    Bacaan terbaik dicatatkan pada peringkat akhir ini adalah 4.82L/100km bagi Proton Iriz, 5.03L/100km bagi Proton Persona dan 4.65L/100km bagi Proton Saga. Secara teorinya, kedua-dua model Iriz dan Saga mampu mengembara lebih 800km (berdasarkan tangki sebanyak 40L) dengan mudah manakala Persona belum lagi untuk mencapai ke tahap itu.

    Keputusan yang dicatatkan oleh semua peserta adalah hampir sama. Sebagai contoh, daripada enam buah Proton Saga yang bersaing, empat daripadanya mencatat bacaan kurang daripada 5.00L/100km, membuktikan bahawa walaupun dalam keadaan pemanduan seperti biasa dengan pemandu dan gaya pemanduan berbeza, tidak mustahil untuk mendapatkan angka penjimatan bahan api yang luar biasa.

    “Cabaran PROTON 1 Tank Adventure telah meliputi perjalanan sejauh lebih 2,305km untuk mengukur kecekapan bahan api kereta keluaran kami. Ditambah dengan pasukan yang bersaing dalam keempat-empat peringkat dan telah mencatatkan perjalanan lebih 40,000km. Ini merupakan satu bukti kukuh untuk penjimatan bahan api kereta Proton kerana angka-angka tersebut diperolehi melalui pemilik kereta dan barisan media yang melalui jalan raya seperti biasa berbanding hasil dari ujian makmal yang dijalankan,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    “PROTON berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti yang melibatkan pelanggan di masa akan datang kerana kami ingin menunjukkan kepada semua pembeli tentang kelebihan kereta Proton. Dari kecekapan bahan api sehinggalah rekaan dan ciri-ciri termaju serta sistem pemanduan dan pengendalian mantap yang ada pada semua kereta Proton, terdapat banyak sebab untuk memilih Proton sebagai kereta mereka dan aktiviti seperti 1 Tank Adventure ini merupakan landasan yang hebat untuk menonjolkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh kereta Proton,” tambahnya lagi.

     
     
  • Kawasaki siarkan teaser ketiga Z H2 Supercharge – bayang bentuk keseluruhan sudah boleh dilihat

    Dalam video teaser pertama, anda cuma boleh melihat turbin unit supercharge. Kemudian dalam teaser kedua, sedikit bahagian luarnya seperti lampu hadapan, enjin serta panel meter didedah. Kini dalam teaser ketiga, anda sudah boleh melihat bayangan bentuk keseluruhan motosikal baru Kawasaki Z H2 yang akan didedahkan sepenuhnya 23 Oktober nanti.

    Seperti yang sudah diketahui daripada namanya, ini adalah sebuah motosikal naked yang akan menggunakan enjin supercharge seperti H2, dan anda boleh melihat sendiri daripada video teaser ketiga ini ia tidak mempunyai fairing di hadapan, panel lampu belakang lebih runcing dan bentuk tangki yang lebih membonjol ke atas.

    Atas sedikit daripada lampu hadapannya yang terletak rendah, terdapat satu panel penghadang kecil yang mungkin digunakan sebagai pelindung bagi panel meter TFT berwarna penuh yang akan digunakan pada model ini. Walaupun adalah sebuah motosikal yang ganas, tempat duduk belakangnya masih lagi mempunyai kusyen untuk pembonceng.

    Sekiranya betul model baru Z ini menggunakan enjin sama seperti H2, ia mungkin boleh menjadi model Z yang paling berkuasa. Pada H2, enjin empat silinder sebaris 998 cc, yang dibantu oleh unit supercharger keluaran Kawasaki sendiri, mampu menghasilkan kuasa sehingga 200 PS (H2R boleh menghasilkan 310 PS) pada 14,000 rpm dan 165 Nm tork pada 12,500 rpm.

    Antara kelengkapan yang boleh dijangkan untuk model ini adalah seperti suspensi boleh laras sepenuhnya depan dan belakang, brek Brembo Stylema di hadapan, dan sistem elektronik moden seperti KTRC, cruise control dan ABS.

     
     
  • Handal Energy bangunkan kereta lumba elektrik guna teknologi hidrogen – dinamakan sebagai ​​HyPER

    Handal Energy bangunkan kereta lumba elektrik guna teknologi hidrogen – dinamakan sebagai ​​HyPER

    Industri automotif Malaysia ternyata kian berani menerokai teknologi pembangunan kenderaan yang ke hadapan, ini termasuklah usaha yang sedang dilakukan oleh anak syarikat milik penuh Handal Energy Bhd (Handal), Handal Energy Solutions Sdn Bhd, yang merancang membangunkan kereta lumba elektrik berserta teknologi hidrogen di Malaysia.

    Pembangunan kereta lumba elektrik yang dinamakan sebagai Hydrogen-Powered Electric Racer (HyPER) ini, turut mendapat kerjasama sepenuhnya dengan NanoMalaysia Bhd, Pulsar UAV Sdn Bhd (Pulsar), MNA Energy Sdn Bhd (MNA Energy) dan Wheelspin Motorsports. Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) telah berlangsung semalam dalam acara International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama, HyPER akan dikuasakan oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Hibrid dan Hidrogen (H2SS) oleh NanoMalaysia, yang dilengkapi teknologi penjanaan hidrogen berserta ultrakapasitor berasaskan grafin, yang dibangunkan bersama Pulsar dan MNA Energy.

    Pengerusi Handal, Tengku Baderul Zaman Ibni Sultan Mahmud, turut berkata, usaha niaga itu adalah sebahagian pelan strategi syarikat untuk membangunkan perniagaan mampan mengikut kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

    “Teknologi yang dibangunkan bagi HyPER akan mampu menyelesaikan beberapa isu berkaitan industri kenderaan elektrik. Syarikat kami sudah melengkapkan proses penyelidikan dan pembangunan serta sedang merancang untuk membangunkan prototaip pertama,” katanya.

    Menurut NanoMalaysia Berhad pula, H2SS yang bakal digunapakai untuk HyPEER ini, merupakan sinergi sistem storan tenaga hibrid dengan bateri Li-Ion dan ultrakapasitor berasaskan grafin, dan sel bahan api dengan sistem penjanaan hidrogen ‘on-board’. Sistem ini membolehkan ketumpatan kuasa yang lebih tinggi, dan pengecasan yang lebih pantas berbanding kenderaan berasaskan Li-Ion konvensional.

    Buat masa ini tiada perincian lanjut mengenai HyPER terutamanya yang melibatkan kuasa mekanikal yang bakal ditampilkan. Kami akan membawakan informasi terkini mengenainya apabila ia diperincikan kelak.

     
     
  • Perodua Aruz pilihan KPDNHEP sebagai jentera rasmi

    Perodua Aruz pilihan KPDNHEP sebagai jentera rasmi

    SUV tujuh-tempat duduk, Perodua Aruz, telah menjadi pilihan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk kegunaan rasmi. Kementerian terbabit telah membeli 55 unit Aruz varian Advance dan ini merupakan pembelian fleet pertama bagi model tersebut.

    Upacara penyerahan telah diadakan di ibu pejabat Kementerian di Putrajaya, di mana Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abdul Aziz menyerahkan kunci replika secara simbolik kepada Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Dato’ Haji Iskandar Halim Haji Sulaiman.

    “Kami amat berterima kasih kepada KPDNHEP kerana memilih Perodua Aruz sekaligus menyokong ekosistem bekalan automotif Malaysia, kerana lebih daripada 90% komponen Aruz adalah daripada sumber tempatan. Begitu juga dengan semua model-model kami yang lain,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Aruz pilihan KPDNHEP sebagai jentera rasmi

    Aruz yang dilancarkan pada Januari lalu, ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5X (RM72,900) dan 1.5 Advance (RM77,900) yang menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang. Sehingga kini, SUV tersebut telah telah dijual daripada lebih 33,000 unit.

    “Kami difahamkan tugasan para pegawai penguatkuasa KPDNHEP sering melibatkan perjalanan yang jauh. Aruz adalah kenderaan yang lasak, boleh dipercayai, luas, praktikal, mudah dipandu dan mempunyai pelbagai konfigurasi tempat duduk. Dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Aruz diberi penarafan keselamatan tertinggi lima bintang oleh ASEAN NCAP. Ia juga merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang dinilai sebagai paling cekap penggunaan bahan api dalam kelasnya dengan 15.6 km/l, menyumbang kepada kos pemilikan yang rendah,” kata Dato’ Zainal.

    Dalam usaha menghalang perkembangan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua turut mengambil inisiatif dengan menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di ibu pejabatnya di Sungai Choh tempoh hari.

    Pada Julai lalu, Perodua telah menganjurkan sesi perjumpaan bersama KPDNHEP dalam usaha untuk membanteras produk dan alat ganti tiruan berjenama Perodua di pasaran, menjadikannya antara syarikat pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif sedemikian.

     
     
  • SPYSHOT: Perodua uji “Axia wagon” ‘panjat Genting’ – adakah ini unit prototaip SUV segmen-B D55L baharu?

    SPYSHOT: Perodua uji “Axia wagon” ‘panjat Genting’ – adakah ini unit prototaip SUV segmen-B D55L baharu?

    Baru berberapa hari sudah Perodua dikesan sedang menguji tiga buah MPV/SUV tujuh-tempat duduk iaitu Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga terkini dan prototaip MPV D27A di jalan sekitar kawasan peranginan tanah tinggi Genting Highland, tetapi video yang kami terima dari pembaca kami yang tidak mahu dikenali ini nampak lebih menarik – Perodua dilihat sedang menguji sebuah “Axia Frankenstein” di sekitar kawasan yang sama.

    Sekali tengok, kereta prototaip berkenaan masih lagi nampak seperti Perodua Axia berdasarkan lampu belakangnya. Tetapi jika anda lihat dengan lebih teliti, kereta tersebut sebenarnya mempunyai bahagian belakang (tiang-C) dan hadapan yang dipanjangkan bagi menghasilkan jarak roda lebih jauh, serta menampilkan ruang roda yang lebih lebar yang mungkin disebabkan trek roda yang juga lebih lebar. Ini membuatkan kereta tersebut kelihatan seperti sebuah Axia versi wagon.

    Unit prototaip ini juga kelihatan lebih tinggi dari biasa kerana dipadankan dengan rim dua-tona (rim 16-inci dari Suzuki Swift?) yang lebih besar. Dengan saiz berkenaan, ‘Axia’ tersebut sudah tentu tidak lagi boleh dikelaskan sebagai sebuah kereta segmen-A, dan mungkin ia adalah sebuah model dalam kelas segmen-B, serta ia mungkin dijana enjin lebih besar dari enjin 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder pada Axia atau 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder pada kembar sedannya iaitu Bezza. Dengan saiz roda yang lebih besar juga, ini mungkin crossover segmen-B baharu dari Perodua.

    Menerusi sumber-sumber yang boleh dipercayai, Perodua kini sedang membangunkan sebuah SUV segmen-B lima-tempat duduk yang diberikan kod nama D55L yang akan dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan saiz hampir sama dengan Perodua Kembara. Tidak mustahil juga ini adalah versi produksi Perodua X-Concept atau model pertama Perodua yang akan dijana oleh teknologi hibrid; kedua-duanya telah membuat kemunculan di KL International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung pada November tahun lalu.

    SPYSHOT: Perodua uji “Axia wagon” ‘panjat Genting’ – adakah ini unit prototaip SUV segmen-B D55L baharu?

    Teknologi hibrid yang diambil dari Daihatsu berkenaan menampilkan sistem hibrid konvensional sama seperti sistem-sistem hibrid arus perdana. Sistem berkenaan boleh berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya tanpa enjin dihidupkan, memberikan tambahan kuasa dan tork kepada enjin petrol konvensional, mampu mengecas semula bateri hibrid sama ada dengan enjin petrol atau sistem regenarative braking ketika brek diaplikasi.

    Menurut Perodua, sistem hibrid ini sebenarnya sudah boleh beroperasi sekali dengan sistem keselamatan bantuan pemanduan Perodua Advanced Safety Assist (ASA), yang sekarang ini sudah pun dihasilkan dalam versi 2.0, dipadankan pada varian-varian terpilih SUV/MPV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz dan juga Axia 2019.

    Apa pun, Perodua nampaknya kini sedang berusaha keras untuk kekal di tempat pertama dalam industri automotif Malaysia; dapat dilihat dengan pembangunan MPV D27A dalam badan Toyota Avanza yang diuji di atas jalan raya awam (dah lama tak nampak kan?) serentak dengan penghasilan SUV D55L ini.

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

     
     
  • Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

    Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

    Cuba bayangkan, anda boleh tukar-tukar kereta setiap bulan, dan pilihannya ada banyak, daripada kereta biasa seperti Kia Picanto hinggalah kereta mewah seperti BMW 530i. Itulah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat langganan kereta yang baru dilancarkan di Malaysia, Flux.

    Tidak seperti sesetengah syarikat baru lain, produk yang ditawarkan oleh Flux ini bukanlah ditiru daripada sesuatu yang sudah sedia ada. Langganan kereta adalah satu fenomena baru, dan banyak syarikat kereta pernah menggunakannya sebagai eksperimen untuk menyediakan kereta kepada golongan muda yang tidak begitu berminat untuk memiliki kenderaan seperti biasa.

    “Sukar untuk percaya pada tahun 2019 ini, satu-satunya cara menarik secara kewangannya untuk warga Malaysia memiliki kereta adalah melalui pinjaman sewa beli. Ini kerana membeli kereta, iaitu satu aset yang susut nilai dengan tinggi, adalah satu keputusan kewangan yang paling buruk boleh dibuat oleh isi rumah,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Flux, Aziz Ayman.

    “Saya menubuhkan Flux untuk mencabar kedudukan status dan menawarkan alternatif yang lebih baik berbanding pinjaman kenderaan biasa, di Malaysia. Di Flux, kami teruja untuk menjadi peneraju cara baru untuk mendapatkan segala manfaat memiliki kenderaan, tanpa kosnya. Kami bangga untuk mencabar cara pemilikan kereta biasa, dengan bekerja bersama kumpulan automotif besar tempatan. Bersama, kami tawarkan anda kebebasan memilih yang sangat senang. Dalam kata ringkasnya, Flux adalah cara mudah untuk ‘memiliki’ kenderaan,” kata Aziz yang merupakan anak kepada bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Zeti juga adalah pengerusi Flux.

    Antara perkara menarik yang disediakan oleh Flux adalah barisan kenderaan yang ditawarkan. Diambil daripada “kumpulan automotif dan penjual terkemuka”, kami boleh melihat kereta ini adalah daripada pengedar sah, dan bukannya pengimport persendirian. Kebanyakan kereta kelihatan hampir baru, dengan tertulis tahun keluaran 2018 dan 2019, sementara yang paling lama adalah BMW 7 Series tahun 2009. Ada juga Mercedes-Benz S-Class W221 tahun 2013 dan CLA 45 AMG tahun 2014.

    Daripada BMW, kami boleh melihat terdapat 3 Series G20, 5 Series G30, 6 Series GT dan SUV X1, manakala daripada MINI terdapat Countryman dan Clubman. Selain jenama premium, mereka juga menyediakan kereta jenama biasa seperti Honda Jazz, Toyota Yaris, Honda City, Toyota Vios, Honda HR-V, Honda CR-V, Nissan X-Trail, Toyota Camry dan Harrier. Kalau daripada Naza, terdapat Kia Picanto, Sportage, Peugeot 2008 dan 3008. Kalau anda mahu bawa ramai orang, ada Toyota Innova dan Fortuner.

    Sebagai penyedia langganan kenderaan, Flux menawarkan pemanduan yang lebih menenangkan. Pekerja mereka akan menjaga segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan serta penyelenggaraan kenderaan. Ini termasuklah pembaharuan dokumen setiap tahun (cukai jalan dan insurans) dan rancangan serta pelaksanaan servis berkala dan baik pulih (termasuk barang lusuh seperti tayar). Pelayan Flux akan datang mengambil dan menghantar kereta apabila tiba waktu servis.

    Persoalan paling penting, berapa harganya? Bayaran bulanan bermula dari RM814 untuk Picanto dan boleh pergi hingga RM8,837 untuk BMW 630i GT M Sport. Apabila melihat kepada senarainya, anda perlu ingat bahawa harga yang dipaparkan adalah harga paling rendah yang boleh diberi iaitu melalui kontrak tiga tahun. Walaubagaimanapun, kereta di dalam gambar adalah unit sebenar yang akan diberi. Sebagai contoh, untuk Kia Picanto, harganya adalah RM895 untuk kontrak dua tahun, RM1,040 untuk kontrak 12 bulan dan RM1,221 untuk kontrak satu bulan.

    Lebih lama kontrak yang diambil, lebih baik tawaran yang diberi. Satu lagi, harga yang dinyatakan pada paparan utama adalah untuk pakej “Lite”, yang dihadkan untuk perjalanan 1,250 km sebulan (15,000 km setahun). Jika mendapatkan pakej “Standard” dengan bayaran tambahan, had ini ditingkatkan kepada 2,000 km – untuk Picanto harganya adalah RM90 (tambahan). Semua kenderaan juga didatangkan dengan pilihan jarak perjalanan tanpa had “Unlimited”, di mana untuk Picanto ia memerlukan tambahan bayaran RM537 sebulan. Bayaran ini berbeza mengikut model.

    Flux tawarkan servis langganan kereta di M’sia – dari Kia hingga BMW, harga bermula RM814 sebulan

    Menurut Flux, untuk kontrak tiga tahun, bayaran bulanannya adalah sedikit lebih rendah berbanding bayaran bulanan yang perlu dibayar melalui pinjaman sewa beli kenderaan biasa bagi tempoh lima tahun dengan bayaran pendahuluan 10%. Melalui Flux, anda tidak perlu meletakkan bayaran pendahuluan, tetapi diganti dengan deposit satu bulan yang boleh dipulangkan semula (bergantung kepada latar belakang pelanggan dan boleh pergi hingga empat bulan). Untuk membayar, anda cuma perlu menggunakan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia.

    Tempoh kontrak yang ditandatangani bukanlah tempoh anda terikat dengan sesebuah kenderaan, tetapi berapa lama anda mahu menggunakan khidmat Flux. Pelanggan boleh menukar kenderaan sepanjang tempoh kontrak dengan bayaran pertukaran RM375, dan membayar harga yang lebih tinggi atau lebih rendah mengikut kenderaan baru yang dipilih. Sekiranya anda sudah memilih kontrak tiga tahun, untuk kereta baru itu juga nanti anda akan mendapat harga bulanan untuk tempoh tiga tahun. Flux juga menyediakan skim pulangan balik tanpa risiko selama tiga hari (had 150 km) sekiranya anda membuat keputusan kereta yang diambil tidak sesuai.

    Sebagai langkah keselamatan, semua kenderaan Flux dilengkapi dengan alat telematik yang dapat memberitahu lokasi kenderaan dan membantu sekiranya berlaku kecurian. Apabila berlaku kemalangan pula, kenderaan tersebut diinsuranskan sepenuhnya dan mempunyai khidmat bantuan tepi jalan 24 jam. Flux terbuka untuk warga Malaysia dan luar negara (lesen memandu antarabangsa turut diterima), selagi mereka mempunyai kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia, nombor telefon dan berusia 25 thaun ke atas.

    Lihat lagi apa yang ditawarkan oleh Flux di sini.

     
     
  • Drive4Paul Malaysia 2019 – dihadiri Cody Walker, himpun 420 kereta ubahsuai di Bandar M’sia Sabtu ini

    Drive4Paul Malaysia 2019 – dihadiri Cody Walker, himpun 420 kereta ubahsuai di Bandar M’sia Sabtu ini

    btr

    Setelah diumumkan buat pertama kali Jun lalu, Retro Havoc hari ini secara rasmi mengumumkan acara Drive4Paul Malaysia 2019 akan bermula pada Sabtu ini, 12 Oktober 2019 dengan acara perhimpunan kereta-kereta eksotik, sport dan ubahsuai akan berlangsung di lapangan terbang TUDM lama Sungai Besi atau kini dikenali sebagai Bandar Malaysia.

    Ini adalah acara Drive4Paul pertama di dunia yang diadakan di rantau ASEAN, dan seperti juga acara sama yang telah berlangsung di Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun, Drive4Paul Malaysia turut akan disertai oleh adik kepada mendiang Paul Walker sendiri iaitu Cody Walker.

    Jika anda peminat watak Brian O’Conner dalam saga Fast and Furious yang dilakonkan oleh Paul Walker, anda mungkin pernah dengar akan NGO Reach Out World Wide (ROWW), diasaskan oleh Paul sendiri dan ditubuhkan untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia.

    Drive4Paul Malaysia 2019 – dihadiri Cody Walker, himpun 420 kereta ubahsuai di Bandar M’sia Sabtu ini

    btr

    Walaupun Paul Walker telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 November 2013, ROWW masih lagi wujud dan meneruskan kerja-kerja amal mereka. Siri konvoi dan perhimpunan Drive4Paul ini adalah salah satu cara yang dilakukan oleh ROWW bagi mengumpulkan dana untuk mereka beroperasi, dan sudah tentu juga ia adalah acara yang dibuat untuk memperingati pengasasnya itu – yang bukan sahaja pelakon dalam siri FnF, malah turut dikenali sebagai ikon dalam budaya ubahsuai kenderaan di seluruh dunia.

    Untuk perhimpunan di Bandar Malaysia Sabtu ini, anda hanya perlu membayar tiket masuk yang bernilai RM10 bagi membolehkan anda masuk ke tapak perhimpunan dan melihat sendiri 420 buah kereta yang menyertainya, dan ada diantaranya adalah replika kereta-kereta yang pernah di pandu oleh Brian O’Connner seperti Nissan Skyline R34, Ford Escort Mk1 dan Subaru Impreza WRX STI GRB.

    Drive4Paul Malaysia 2019 – dihadiri Cody Walker, himpun 420 kereta ubahsuai di Bandar M’sia Sabtu ini

    btr

    Apa yang menarik lagi, Drive4Paul Malaysia ini juga adalah satu-satunya Drive4Paul yang mendapat kerjasama kerajaan tempatan di mana ia telah disokong oleh berberapa agensi kerajaan Malaysia seperti Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    Bayaran tiket masuk dan juga yuran penyertaan Drive4Paul Malaysia ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada ROWW, dan anda juga boleh menambah sumbangan kepada badan amal antarabangsa tersebut dengan membeli barangan-barangan rasmi Drive4Paul ketika acara tersebut berlangsung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026