Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan X-Trail Hybrid – bayaran servis langganan kini lebih rendah, RM1,800 sebulan untuk tiga tahun

    Nissan X-Trail Hybrid – bayaran servis langganan kini lebih rendah, RM1,800 sebulan untuk tiga tahun

    Bulan lepas, selepas Leaf, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menawarkan pula servis langganan untuk model X-Trail Hybrid dengan harga bayaran bulanan RM2,500 untuk tempoh kontrak tiga tahun. Walaubagaimanapun selepas melayari laman web Nissan Malaysia, kami mendapati harga tersebut telah diturunkan kepada RM1,800 sebulan – RM700 lebih rendah.

    Penurunan sebanyak 28% ini membawa makna anda membayar jumlah yang kurang dalam tempoh tiga tahun, iaitu menjadi RM75,252, dari RM100,452. Jumlah deposit jaminan selama dua bulan juga telah diturunkan kepada RM3,600 sebulan, bermakna anda boleh menggunakan kenderaan tersebut dengan bayaran pendahuluan kurang RM10,000, iaitu RM9,900 termasuk insurans.

    Sama seperti sebelum ini, ETCM juga memasukkan sekali manfaat lain seperti penyelenggaraan percuma, jaminan penuh sepanjang tempoh kontrak dan anda tidak perlu risau dengan susut nilai. Walaupun begitu, pelanggan masih perlu mengeluarkan bayaran untuk insurans, cukai jalan serta penukaran barang lusuh.

    Seperti yang dinyatakan dalam infografik di atas, jumlah bayaran ini sekarang lebih kompetitif berbanding pinjaman sewa beli biasa bagi tempoh tujuh tahun. Dengan kadar faedah 2.8%, peminjam bukan sahaja perlu membayar pendahuluan lebih tinggi (RM17,388 untuk bayaran muka 10%), tetapi juga perlu berhadapan dengan bayaran bulanan yang lebih tinggi (RM2,093). Itu belum termasuk lagi kos servis dan penyelenggaraan lain untuk tempoh selepas tiga tahun.

    Selepas tempoh tiga tahun, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh peminjam adalah RM98,688, iaitu
    RM23,436 lebih tinggi berbanding jika mereka mengambil servis langganan. Kemudian, mereka masih perlu sambung pembayaran untuk tempoh empat tahun lagi. Sudah tentu, pada akhir tempoh pinjaman, mereka akan memiliki kereta tersebut (pelanggan pula perlu memulangkan kereta kepada ETCM selepas tiga tahun), tetapi nilainya akan berkurang banyak selepas tujuh tahun.

    Nissan X-Trail Hybrid – bayaran servis langganan kini lebih rendah, RM1,800 sebulan untuk tiga tahun

    Pengguna servis langganan juga perlu ingat ia datang dengan had perjalanan tidak boleh melebihi 60,000 km bagi tempoh tiga tahun (sekitar 1,700 km sebulan secara purata). Sekiranya terlebih, pelanggan perlu membayar 50 sen bagi setiap kilometer. Memandangkan kereta ini masih milik ETCM, ia juga akan dipasang dengan alat telematik.

    X-Trail Hybrid diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada bulan April lalu sebagai salah satu varian bagi model tersebut, dan ia dikuasakan oleh padanan enjin 2.0 liter NA MR20DD berkuasa 144 PS/200 Nm serta motor elektrik 41 PS/160 Nm. Sebagai salah satu varian tertinggi, ia juga datang dengan pakej bantuan pemandu Nissan Intelligent Mobility yang termasuk ciri Autonomous Emergency Braking dan Adaptive Cruise Control. Harga jualannya adalah RM159,888.

    GALERI: Nissan X-Trail 2.0L Hybrid 2019

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 M Performance Parts

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 M Performance Parts

    BMW baru sahaja semalam mendedahkan 2 Series Gran Coupe F44. Tapi, kalau anda rasa ia tidak cukup agresif, ini dia aksesori M Performance Parts yang ada ditawarkan oleh pengeluar Jerman itu, untuk kereta tersebut.

    Antara barangan yang termasuk dalam senarai adalah seperti spoiler belakang warna hitam berkilat, yang bukan sahaja memberikan penampilan lebih menarik, tetapi juga membantu pada aspek aerodinamik. Turut ditawarkan adalah muncung ekzos stainless steel, dengan paip luar titanium serta perumah gentian karbon.

    Untuk bahagian depan kenderaan, disediakan hiasan gril yang hampir sama seperti pada M235i xDrive, tetapi menggunakan warna hitam berkilat, serta pelindung cermin sisi gentian karbon.

    BMW juga ada menyediakan beberapa pilihan set rim, bermula dengan dua unit M Performance 18 inci iaitu Y-Spoke Styling 554 M dan Double-Spoke 556 M Bicolour, manakala untuk saiz 19 inci terdapat rekaan M Performance Double Spoke Styling 555 M. Sistem brek M Performance dengan cakera dan angkup yang lebih besar serta ringan pula menyediakan kuasa brek lebih kuat.

    Pada bahagian dalam, pemilik 2 Series Gran Coupe F44 boleh mendapatkan roda stereng M Performance yang dibalut dengan Alcantara berserta tanda merah di tengah dan kemasan gentian karbon, pedal penukar gear gentian karbon pada model transmisi automatik serta lapik kaki dengan tulisan M Performance.

    Kalau anda rasa seperti mahukan lebih lagi barangan M Performance, BMW juga ada menyediakan LED yang memancar tulisan di atas tanah apabila pintu dibuka, rantai kunci yang dibuat daripada Alcantara dan gentian karbon, serta beg tayar.

     
     
  • Toyota bakal pertontonkan EV ultra-kompak di Tokyo

    Toyota bakal pertontonkan EV ultra-kompak di Tokyo

    Turut akan diperkenalkan ketika Tokyo Motorshow minggu depan ialah barisan kenderaan ultra-kompak EV oleh Toyota. Dijangka awalnya akan diperkenalkan tahun depan, ia bagaimanapun akan membuat penampilan umum pertama ketika pameran itu terlebih dahulu. Kereta dua tempat duduk ini direka bertujuan untuk menyediakan pengangkutan jarak pendek yang mesra alam.

    Direka untuk perjalanan singkat yang kerap, terutama kepada warga emas dan mereka yang baru mendapat lesen memandu serta untuk perniagaan setempat, kereta elektrik kecil ini hanya mampu mencapai kelajuan 60 km/j serta jarak perjalanan sehingga 100 km dengan radius belokan yang sangat pendek.

    Ia tampil dengan rekaan yang sangat unik; wajah depan digelapkan, lampu utama lebar, gril hexagonal serta lengkung tayar yang bersegi. Lampu belakang pula dalam kedudukan menegak. Menurut Toyota, syarikat itu juga telah berurusan dengan sekitar 100 pihak dari lapangan koporat dan kerajaan untuk meneroka model pengangkutan masa depan, termasuk EV.

    Model EV terbaru ini adalah sebahagian daripada model perniagaan baru untuk mempromosi penggunaan kenderaan elektrik dengan lebih meluas. Ia merangkumi kaedah memaksimumkan penggunaan sepanjang hayat bateri, bermula dari pengeluaran, jualan, penggunaan semula sehinggalah kepada kitar semula.

    Selain daripada EV berkenaan, Toyota juga akan memperkenalkan versi konsep EV terbabit untuk tujuan perniagaan. Ia tampil lebih bergaya, dengan tema hitam sepenuhnya dan mempunyai ruang dalaman yang boleh dialih untuk kegunaan pemanduan biasa mahupun pemanduan autonomous – yang membolehkan penumpang untuk berehat.

     
     
  • Program Subsidi Petrol: Penerima BSH sudah boleh semak kelayakan menerusi portal khas KPDNHEP

    Program Subsidi Petrol: Penerima BSH sudah boleh semak kelayakan menerusi portal khas KPDNHEP

    Bagi penerima Bantuan Sara Hodup (BSH) daripada golongan berpendapatan rendah (B40), kini sudah boleh menyemak kelayakan bagi Program Subsidi Petrol (PSP) seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 minggu lalu.

    Semakan kelayakan tersebut boleh dibuat menerusi portal psp.kpdnhep.gov.my. dan menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sekiranya ada nama penerima bantuan yang tercicir, mereka boleh melengkapkan maklumat melalui fungsi rayuan dalam portal itu.

    “Data penerima PSP daripada golongan B40 itu adalah berdasarkan data asas penerima BSH yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, dan ia disilang semak dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Silang semak dilakukan berdasarkan kriteria pemilikan kenderaan yang layak untuk bantuan PSP. Hasil silang semak ini, kementerian mengenal pasti 2.9 juta penerima bantuan PSP daripada golongan B40 yang layak untuk menerima subsidi ini.

    Program Subsidi Petrol: Penerima BSH sudah boleh semak kelayakan menerusi portal khas KPDNHEP

    “Walaubagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa data ini masih memerlukan penambahbaikan dan ingin memohon rakyat dalam kategori B40 untuk menyemak status mereka,” katanya menerusi laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    Beliau berkata jika ada daripada golongan yang layak menerima BSH dan memiliki kenderaan sepertimana kriteria dalam PSP tetapi belum berdaftar dengan BSH, mereka diminta untuk segera mendaftar program BSH dengan Kementerian Kewangan.

    “Jika anda adalah penerima BSH tetapi baru membeli kenderaan yang layak, sila mendaftar kenderaan anda dengan JPJ dan membuat permohonan baharu di portal PSP,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau berkata, semakan kelayakan tersebut tidak termasuk golongan bukan penerima BSH yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini.

    “Proses serta tarikh permohonan baharu untuk penerima PSP daripada golongan bukan penerima BSH akan diumumkan setelah butiran pelaksanaannya diperhalusi bersama Kementerian Kewangan,” jelasnya lagi.

    Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus melalui hotline 1800886800, e-mel: [email protected] atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-2786356.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

    Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

    Apa yang anda saksikan ini adalah Volvo XC40 Recharge, iaitu model elektrik penuh pasaran awam pertama Volvo dan model pertama yang menggunakan jenama baru Recharge. Ia sebenarnya adalah versi elektrik penuh bagi XC40 dan menunjukkan sasaran syarikat itu pada masa hadapan.

    Memandangkan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang digunakan pada XC40 sudah sememangnya dicipta dengan mengambil kira penjana elektrik, XC40 Recharge masih menggunakan platform sama dan baterinya diletakkan dalam lantai. Dengan ini, beratnya bertambah 400 hingga 500 kg berbanding XC40 biasa, dengan catatan keseluruhan sekitar 2,150 hingga 2,250 kg, bergantung kepada kelengkapan.

    Demi mematuhi tahap keselamatan tinggi yang dimahukan, Volvo telah meletakkan pelindung keselamatan pada bateri kenderaan ini, yang terdiri daripada batang aluminium yang dilekatkan pada struktur badan kenderaan. Selain daripada itu, ketiadaan enjin sebagai zon remuk juga memerlukan jurutera Volvo mereka semula struktur depan supaya menjadi kukuh.

    Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

    Pakej kuasa P8 AWD pada XC40 Recharge ini terdiri daripada dua motor – satu untuk setiap gandar – dan mampu menghasilkan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan 660 Nm tork. Melihat kepada prestasi, kenderaan elektrik ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j daam masa 4.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

    Hasil daripada penggunaan bateri lithium ion 78 kWh, pengguna boleh bergerak sehingga 400 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Sekiranya bateri tersebut habis, ia akan mengambil masa selama 7.5 jam untuk dicas penuh, menggunakan sambungan AC Type 2 dan pengecas three-phase 11 kW.

    Untuk lebih cepat, pemilik boleh menggunakan pengecas DC sehingga 150 kW dengan sambungan CCS, di mana ia cuma akan mengambil masa 40 minit untuk dicas dari kosong ke 80% – soket pengecas terletak di sebelah kiri kenderaan. Volvo juga ada menawarkan elektrik percuma selama setahun untuk merangsang penggunaan kenderaan elektrik, yang diberikan secara pulangan balik bergantung kepada kos elektrik purata sepanjang tempoh itu.

    Anda boleh mengenali XC40 Recharge ini secara mudah dengan melihat kepada gril hadapan yang tertutup penuh kerana ia tidak memerlukan udara sebagai penyejuk di bahagian tersebut. Selain daripada itu, kebanyakannya adalah sama seperti XC40 biasa, dan apabila diperhatikan lebih dekat barulah anda boleh lihat perincian kecil seperti tulisan Recharge pada C-pillar dan lencana namanya.

    Memandangkan Volvo tidak meletakkan tempat mengecas di depan seperti kenderaan elektrik lain, bahagian itu menjadi semakin luas dan memberikan pengguna ruang simpanan 31 liter, sebagai tambahan kepada 413 liter yang terdapat di belakang. Bahagian dalam juga sama seperti XC40 biasa, tetapi dibezakan dengan kehadiran panel instrumen digital 12.3 inci untuk memerhati status operasi penggerak elektriknya.

    XC40 Recharge juga adalah model pertama Volvo yang menggunakan sistem infotainmen baru berasaskan Android Automotive OS yang menggantikan sistem Sensus. Melaluinya pengguna dapat menikmati pelbagai servis dan aplikasi Google daripada Play Store dan ia disepadukan sekali dengan platform servis sambungan digital Volvo On Call.

    Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

    “Kami telah memberitahu perkara ini beberapa kali sebelum ini: bagi Volvo Cars, masa hadapannya adalah elektrik. Hari ini kami mengambil langkah penting ke arah itu dengan pelancaran XC40 elektrik penuh dan barisan model Recharge,” kata CEO Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

    XC40 Recharge adalah sebuah kenderaan yang penting bagi syarikat itu kerana menjelang tahun 2025, mereka mensasarkan 50% daripada jualan global mereka adalah daripada kereta elektrik penuh, dan selebihnya adalah hibrid. Menurut Volvo, bermula tahun ini, setiap kenderaan yang mereka lancarkan bakal mendapat kuasa elektrik, manakala dalam masa lima tahun lagi, mereka merancang untuk melancarkan kereta elektrik penuh setiap tahun.

     
     
  • Kerajaan Pulau Pinang mungkin naikkan kadar parkir di kawasan elit dan lokasi tanah bernilai tinggi

    Kerajaan Pulau Pinang mungkin naikkan kadar parkir di kawasan elit dan lokasi tanah bernilai tinggi

    Tidak dinafikan, di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau, masalah parkir kenderaan antara yang menjadi isu, selain kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang dan di Georgetown. Justeru, kerajaan negeri terbabit mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani isu sebegini. Terkini, kerajaan negeri sedang menimbang kemungkinan menaikkan kadar parkir di kawasan-kawasan elit atau di lokasi tanah bernilai tinggi.

    Menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow, pertimbangan itu dibuat sebagai salah satu kaedah yang diperlukan untuk menambah baik aliran trafik di bandaraya Georgetown, sebagaimana yang disarankan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB). Di mana kadar letak kereta yang tinggi akan mengurangkan tempoh waktu pengguna memandu, kerana mereka akan terus sahaja mencari tempat letak kereta di kompleks-kompleks letak kereta berbayar, dan tidak lagi tercari-cari tempat letak kereta tepi jalan raya yang murah.

    “Lebih penting lagi kadar tempat letak kereta yang tinggi akan mengurangkan orang ramai memandu di George Town, dan pada masa yang sama meningkatkan minat orang ramai untuk memilih perkhidmatan bas-bas Central Area Transit (CAT) yang sedia ada. Kerajaan negeri membelanjakan RM17 juta setiap tahun untuk peruntukan perkhidmatan bas percuma dan bas subsidi namun usaha itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Chow berkata kerajaan negeri kini turut mengkaji cadangan untuk menamatkan 12 laluan bas percuma kerana menerima kadar penumpang yang amat rendah dan mengalihkan perkhidmatan itu di kawasan-kawasan yang lebih memerlukan. Tambahnya, 10,000 kenderaan persendirian baharu telah didaftarkan di Pulau Pinang setiap tiga atau empat bulan dan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin teruk di sini.

    “Menerusi inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) kerajaan negeri meletakkan sasaran kewujudan 40% pengangkutan awam, dan 60% bagi kenderaan swasta,” ujarnya lagi.

     
     
  • Triumph akan perkenal Thruxton RS baru di EICMA

    Menjelang pameran EICMA awal bulan hadapan, Triumph juga tidak mahu ketinggalan dengan pengenalan model baru. Model sport Street Triple 765RS baru sahaja didedahkan, dan tentunya akan dibawa ke sana, tetapi pengeluar dari United Kingdom ini juga ada menyediakan model baru dari barisan klasik moden.

    Mereka telah menyiarkan satu video teaser pendek yang cuma menunjukkan panel penutup penapis udara di tepi, dan di situ tertulis nama model Thruxton RS. Kita mungkin sudah biasa dengan Thruxton R, tetapi Thruxton RS ini mungkin mempunyai spesifikasi lebih tinggi ataupun mengganti Thruxton R dalam pasaran.

    Selain daripada itu, kita cuma diberitahu model ini akan muncul pada 5 November dan terdapat slogan “The Legend Evolves”. Itu adalah tarikh hari pembukaan EICMA dan memberi makna Triumph akan menyertai pengeluar lain di acara itu untuk menunjukkan model baru.

    Triumph akan perkenal Thruxton RS baru di EICMA

    Sebagai sebuah model klasik moden cafe racer, Thruxton yang berada dalam pasaran sekarang dikuasakan oleh enjin dua silinder 1,200 cc yang mampu menghasilkan kuasa 97 PS dan 112 Nm tork. Thruxton R juga menggunakan enjin sama, tetapi ia mempunyai kelengkapan lebih berprestasi seperti brek Brembo, penyerap belakang Ohlins, tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa dan fork Showa boleh laras sepenuhnya.

    Namun, Triumph pernah menunjukkan mereka boleh membawa Thruxton satu tahap lebih tinggi seperti yang ditunjukkan melalui model Thruxton TFC (Triumph Factory Custom). Model keluaran terhad ini datang dengan beberapa panel gentian karbon, ekzos Vance & Hines serta enjin yang dipertingkat.

     
     
  • Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

    Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

    Macam biasa, model-model berprestasi tinggi Mercedes-AMG tidak akan menunggu lama untuk sampai ke Malaysia setelah diperkenalkan pada peringkat global. Begitu juga barisan kereta sport flagship Mercedes-AMG GT yang dikemaskini pada November tahun lalu yang muncul di Los Angeles buat pertama kali, ia kini sudah pun di bawa oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM), dilancarkan secara rasmi di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

    Dua model dilancarkan sekali pada hari ini iaitu model GT C dan juga versi paling berkuasa GT R. Secara asasnya, kemaskini terbaharu ini hanya melibat sedikit perubahan pada rupa, dan penambahan berberapa fungsi baharu pada bahagian dalaman.

    Kesemua versi baharu AMG GT ini diberikan lampu LED baharu dengan reflektor tiga kelongsong yang direka bersepadu dengan lampu nyalaan siang juga dengan grafik baharu, yang mengapit gril Panamerica. Lampu belakang pula nampak lebih garang dengan bahagian dalam yang berwarna gelap.

    Mercedes-AMG GT R dan GT C facelift 2019 dilancar di Malaysia – harga bermula RM1.56 juta-RM1.7 juta

    Selain daripada itu, bahagian belakang GT C ini turut mendapat kemasan hitam pada diffuser, dan susun atur muncung ekzos yang baru – dihasilkan dengan bentuk dua trapezoid, berbanding GT R yang masih mengekalkan muncung di tengah bersama dua lagi yang kecil pada diffuser.

    Pada bahagian kokpit pula, pemandu akan menerima panel instrumen 12.3 inci yang diambil daripada GT 4-Door Coupe dan skrin infotainmen 10.25 inci baru sama seperti C-Class baru. Untuk interaksi yang lebih baik dengan skrin ini, ia kini dibekalkan dengan roda stereng prestasi AMG yang baru, diambil daripada C 63, yang dilengkapi Touch Control.

    Untuk pasaran Malaysia, GT R didatangkan terus dengan Track Package (ciri standard untuk model GT R Pro), terdiri dari roll cage, tempat duduk bucket AMG lengkap dengan tali pinggang lumba empat-point dan pemadam api dalam kenderaan. Selain itu, ia juga menerima kemasan trim gentian karbon dan pendakap pada bahagian but. Untuk brek pula, Track Package hadir dengan sistem brek seramik berprestasi tinggi dengan angkup yang diwarnakan hitam.

    Mercedes-AMG GT R masih dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M178 V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 585 PS dan 700 Nm tork. Mercedes-AMG GT C juga turut menerima enjin M178 yang sama tetapi ia ditala bagi menghasilkan kuasa ‘hanya’ 557 PS dan tork maksmia 680 Nm tork. Kedua-dua model ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan klac berkembar, memacu hanya roda belakang.

    Ini membolehkan Mercedes-AMG GT R memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, manakala GT C pula kurang 0.1 saat dalam pecutan yang sama. GT R mempunyai kelajuan maksima 318 km/j, sementara GT C pula sedikit kurang dengan 317 km/j.

    Untuk mereka yang kerap ke litar, anda akan menghargai pengumpul data AMG Track Pace yang sekarang didatangkan standard untuk sistem infotainmen COMAND Online pada semua model GT. Dengan kelengkapan ini, anda boleh menganalisa prstasi di litar kerana ia dapat merekod lebih 80 set data spesifik kenderaan dalam masa 10 kali bagi setiap saat dan mencatat masa pusingan.

    Program AMG Dynamic Select pada semua model GT masih lagi sama iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport Plus, Race dan Individual, tetapi ia ditambah dengan satu lagi program dipanggil AMG Dynamics. Dengannya, AMG memberitahu ia dapat menguruskan Electronic Stability Programme lebih baik untuk setiap mod yang dipilih (Basic, Advanced, Pro atau Master).

    Untuk semua ini, Mercedes-AMG GT R 2019 dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM 1,712,888, manakala Mercedes-AMG GT C pula dijual sedikit ‘murah’ pada harga RM 1,558,888.

    GALERI: Mercedes-AMG GT R 2019

    GALERI: Mercedes-AMG GT C 2019

     
     
  • PLUS perkenal Inisiatif Ujian SmartLane – rancang guna Sistem Pengangkutan Pintar atasi kesesakan

    PLUS perkenal Inisiatif Ujian SmartLane – rancang guna Sistem Pengangkutan Pintar atasi kesesakan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan, mulai 23 Oktober ini, Inisiatif Ujian SmartLane secara manual akan dilaksanakan di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bagi mengatasi aliran kesesakan trafik.

    Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di Lebuh raya NKVE antara KM3.2 hingga KM9.2 (Arah Utara) mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Dalam tempoh waktu puncak tersebut, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga merancang untuk melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif SmartLane secara elektronik, iaitu pendekatan sama yang telah digunapakai di United Kingdom dan Belanda.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, langkah ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekaligus untuk mengurangkan kesesakan bagi para pelanggan yang menggunakan laluan di antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki telah menyumbang kepada kesesakan di NKVE. Projek pengujian SmartLane ini adalah langkah proaktif bagi membantu pada pelanggan menikmati perjalanan yang lancar.”

    PLUS perkenal Inisiatif Ujian SmartLane – rancang guna Sistem Pengangkutan Pintar atasi kesesakan

    Tambahnya lagi, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan sebelum melaksanakan inisiatif ini. Antaranya menempatkan anggota Polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papan tanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

    “Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 302,000 kenderaan menggunakan NKVE pada setiap hari di mana 22% daripadanya memasuki lebuhraya berkenaan secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi. Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan SmartLane, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak 30% hingga 40%, sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

    “Namun begitu, PLUS turut menyediakan trak tunda untuk bersiap sedia di lokasi untuk menghadapi sebarang kejadian,” jelas beliau.

    Pelaksanaan SmartLane terbahagi kepada dua fasa, di mana Fasa Pertama akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit.

    PLUS perkenal Inisiatif Ujian SmartLane – rancang guna Sistem Pengangkutan Pintar atasi kesesakan

    Fasa Kedua SmartLane dijangka akan beroperasi pada Suku Kedua 2020 dengan menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya. Teknologi ITS yang digunakan pada Fasa Kedua akan membolehkan PLUS untuk mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien. Kesemua sistem ini akan dapat dipantau dan diuruskan melalui Pusat Kawalan Trafik PLUS di ibu pejabatnya, Persada PLUS.

    “Kami juga bercadang akan memperluaskan inisiatif SmartLane di lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS pada masa akan datang. Pada masa yang sama, kami menasihatkan semua pelanggan lebuh raya supaya mematuhi semua papan tanda keselamatan, mematuhi had kelajuan, memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dan lebih berhati-hati ketika melalui laluan tersebut.”

    Inisiatif SmartLane ini turut mendapat sokongan dan kerjasama penuh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

     
     
  • Haval H9 di Malaysia – semakin hampir dilancarkan?

    Ini bukanlah berita yang terlalu asing bagi kita di Malaysia; jika melihat kepada tempoh model ini mula dikhabarkan akan tiba, Haval H9 sepatutnya sudah lama berada dalam pasaran Malaysia. SUV tujuh-tempat duduk buatan keluaran China ini mula sekali dipertontonkan pada April tahun lalu. Ketika itu, pengenalan rasminya direncanakan awalnya pada hujung 2018.

    Sayangnya, tak ada berita berkaitan Haval H9 sehinggalah sebuah iklan acah muncul di laman Facebook mereka ini. Dalam iklan berkenaan, Haval menjemput khalayak umum untuk sesi pra-tonton model berkenaan di bilik pameran mereka di Skudai, Johor, pada Khamis dan Jumaat ini. Daripada apa yang dapat dilihat, model berkenaan tampil dengan imej baru berbanding unit yang pernah dipertontonkan dahulu – tetapi bukan versi facelift kedua yang diperkenalkan di China.

    Antara kemaskini terbaru yang dapat dilihat ialah rekaan bampar depan baru dengan bukaan udara yang lebih besar. Di dalam, kluster instrumen juga nampak seperti ada kelainan dengan penggunaan speedometer digital. Lebih menarik, ia menggunakan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan ZF menggantikan automatik enam-kelajuan sebelum ini.

    Haval H9 di Malaysia – semakin hampir dilancarkan?

    Kuasa masih dijana oleh enjin GW4C20 2.0 liter turbocas empat-silinder, menghasilkan 215 hp pada 5,500 rpm dan 324 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 4,000 rpm. Sistem pacuan empat roda masih dikekalkan, dan SUV ini menggunakan binaan casis ladder frame.

    Berdasarkan maklumat dari laman rasmi, H9 akan ditawarkan dalam tiga varian; Standard, Luxury dan Super Luxury. Semua model dikhabarkan akan hadir dengan senarai kelengkapan yang tinggi, termasuk lampu utama xenon, sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan pendingin tiga zon, kamera undur serta skrin sentuh lapan-inci. Ciri keselamatan pula antaranya ada enam beg udara, ABS dan EBD serta Brake Assist, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki serta kawalan menuruni curam.

    Haval H9 di Malaysia – semakin hampir dilancarkan?

    Varian Luxury pula menerima tambahan lampu utama adaptif, rim 18-inci, kerusi balutan kulit hitam/coklat, kerusi depan larasan elektrik (lapan hala untuk pemandu, empat untuk penumpang) dengan fungsi memori, sunroof, penapis udara dalam kabin, 10-pembesar suara serta All Terrain Control System dengan mod Sand, Snow dan Mud.

    Super Luxury pula menerima kelainan antaranya bagi kemasan kulit Nappa, tempat duduk dengan liang aliran udara, lipatan kerusi barisan ketiga kuasa elektrik serta differential-lock elektronik. Masih belum ada khabar tentang harga yang dikenakan, tetapi anggaran yang disebut-sebut sebelum ini ialah di bawah RM200,000 bagi model CBU, dengan pemasangan tempatan menyusul kemudian.

    GALERI: Haval H9

     
     
  • ULASAN VIDEO: Perodua Axia 2019 – AV dan Style

    Daripada enam varian (bermula dari RM24k) yang diperkenalkan untuk Perodua Axia 2019, yang mana satu paling berbaloi kalau nak beli? Varian yang paling baru, Style, adakah sama saja dengan yang lain-lain? Untuk AV, adalah ia punya banyak kelebihan daripada pesaing lain, misalnya Proton Saga?

    Sekadar makluman, unit enjin pada Axia facelift terbaru ini adalah sama. Ia menggunakan unit enjin yang sama, iaitu 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm). Untuk transmisi, kecuali varian Axia E yang datang dengan gear manual lima-kelajuan, varian-varian lain dilengkapi dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Untuk itu, dalam video ini kami cuba meletakkan satu konteks yang objektif untuk melihat penawaran Perodua Axia ini dalam pasaran tempatan ketika ini. Sudah tentu, model ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Selain dengan Saga, kami juga melihat kepada pilihan lain bagi kereta-kereta yang dijual sekitar harga RM43k (ini harga bagi varian Axia paling tinggi, AV).

    Jika anda di antara pembaca yang memang sedang menimbang-nimbang untuk membeli Axia, harapnya video ini dapat membantu untuk memperluaskan lagi skop carian dan pemerhatian. Teruskan menonton video ini sampai habis untuk mengetahui pandangan dan cadangan kami berkaitan hal ini. Sekiranya anda juga punya pandangan yang berbeza, jangan malu-malu untuk kongsikan.

    Perodua Axia Style 2019

    Perodua Axia AV 2019

     
     
  • Driven Movie Night: Menangi cenderahati dan tiket percuma filem Terminator: Dark Fate pada 23 Oktober

    Driven Movie Night: Menangi cenderahati dan tiket percuma filem <em>Terminator: Dark Fate</em> pada 23 Oktober

    Driven Movie Night kembali lagi, kali ini menggemakan semula baris keramat “I’ll be back,” yang disuarakan oleh Arnold Schwarzenegger tiga puluh lima tahun lalu. Beliau kini datang lagi dengan lanjutan kisah Terminator di dalam Terminator: Dark Fate. Dan, anda berpeluang untuk menontonnya bersama kami melalui peraduan ini. Hanya untuk 18 tahun ke atas.

    Linda Hamilton dan Arnold Schwarzenegger mengulangi peranan ikonik mereka masing-masing sebagai Sarah Connor dan T-800 Terminator. Saksikan bagaimana Sarah dan seorang super-askar canggih dari masa hadapan melindungi seorang gadis daripada ancaman Terminator merbahaya yang lebih maju, juga dari masa hadapan di dalam Terminator: Dark Fate.

    Terminator: Dark Fate akan mula ditayangkan 24 Oktober, tetapi kami memberikan peluang kepada anda untuk menontonnya lebih awal bersama kami ketika tayangan pra-tonton yang akan diadakan pada Rabu, 23 Oktober, 8.45 pm di MBO Starling Mall.

    Kami ingin mengagihkan empat set tiket (lapan tiket semuanya). Pemenang terpilih juga akan menerima cenderahati eksklusif Terminator: Dark Fate, ehsan dari The Walt Disney Company Malaysia. Apa yang perlu anda lakukan ialah tonton sedutan filem di bawah dan jawab dua soalan mudah.

    Ambil bahagian di dalam peraduan ini untuk tonton Terminator: Dark Fate secara percuma.

    *Tarikh tutup peraduan ialah pada Jumaat, 18 Oktober 2019. Pemenang akan diumumkan di paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 21 Oktober 2019. Keputusan yang diumumkan adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan berlangsung pada Rabu, 23 Oktober 2019 pada jam 8.45 pm di MBO Starling Mall. Pemenang perlu menuntut tiket mereka di lokasi berkenaan sejam sebelum tayangan. Disebabkan lokasi tayangan, peraduan ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja.

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    BMW kini ada tambahan terbaru kepada barisan kenderaan 2 Series keluarannya, dikenali sebagai BMW 2 Series Gran Coupé F44. Jangan keliru; BMW 2 Series biasa, sebagai sebuah coupe dua-pintu kecil, merupakan jentera pacuan roda belakang. Namun, versi Gran Coupé terbaru ini, berserta model MPV Active Tourer dan Gran Tourer dalam barisan yang sama menggunakan pacuan roda depan.

    Model ini merupakan pesaing yang lebih tepat untuk Mercedes-Benz CLA, walaupun sebenarnya ia sedikit lebih kecil. Dengan ukuran dimensi 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, versi Gran Coupe ini 162 mm lebih pendek, 30 mm lebih sempit dan 19 mm lebih rendah. Jarak antar rodanya pula ialah 2,670 mm, 59 mm lebih pendek berbanding pesaing sama. Ruang barangan juga lebih kecil; 430 liter berbanding 460 liter.

    Bagaimanapun, model BMW ini mempunyai penampilannya yang tersendiri. Secara keseluruhan, ia sarat dengan sentuhan sporty yang agak agresif. Dengan rekaan yang gril relatif besar, imej dari bahagian belakangnya lebih garang dan menarik, antaranya disebabkan rekaan lampu belakang yang panjang melintang. Lampu utama dan lampu belakangnya dengan rekaan khusus adalah dari jenis LED.

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    Di dalam, Gran Coupe berkongsi asas rekaan yang sama dengan 1 Series. Rekaan umumnya lebih bersegi, dengan kemasan warna perak. Ditawarkan sebagai pilihan ialah lampu suasana di sepanjang papan pemuka serta panel pintu, dengan skrin sentuh utama bersaiz 10.25-inci menggunakan perisian
    BMW Operating System 7.0 terkini.

    Berbanding dengan versi coupe dua-pintunya, Gran Coupe empat-pintu ini sedikit lebih luas dengan tambahan 33 mm ruang kaki. Walaupun tempat duduk 12 mm lebih tinggi, ruang kepala tetap menerima tambahan 14 mm. Ruang but juga 40 liter lebih luas, dengan penyandar kerusi belakang boleh dilipat mengikut nisbah 40:20:40:.

    Ciri tambahan juga menerima pertambahan pada model ini, termasuk kawalan suara Intelligent Personal Assistant dan Digital Key yang membolehkan telefon Samsung terpilih digunakan untuk membuka dan menghidupkan kenderaan. Sudut keselamatan, di Eropah, kereta ini datang ciri brek kecemasan autonmous (AEB) sebagai standard.

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    Sebagai pilihan pula turut ditawarkan pakej Driving Assistand dengan ciri bantuan mengekalkan lorong, amaran pra-perlanggaran, amaran trafik serta kawalan malayar adaptif serta Parking Assistant. Kerangka kereta ini pula dibina menggunakan campuran logam da alumimium kukuh untuk mengurangkan beratnya. Pilihan suspensi terdiri daripada M Sport standard – yang 10 mm lebih rendah berbanding jenis pasifnya – serta penyerap hentak adaptif. Gran Coupe turut dilengkapi dengan sistem ARB, sebuah sistem kawalan cengkaman yang lebih canggih.

    Antara lain, model ini turut dipasangkan dengan ciri torque vectoring dengan cara membrek BMW Performance Control serta Electronic Differential Lock Control (EDLC). Tidak lupa sebagai pilihan ialah sistem pacuan semua roda xDrive pada beberapa varian.

    Versi paling asas model ini menggunakan enjin B38 1.5 liter tiga-silinder dari 218i, yang kini lima kilogram lebih ringan dan peningkatan janaan, menghasilkan 140 hp pada 4,500 rpm hingga 4,600 rpm, dan 220 Nm tork dari 1,480 hingga 4,200 rpm. Gesaan tambahan sebanyak 10 Nm dihantar dalam kedudukan gear keempat dan lebih tinggi.

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 kini diperkenalkan

    Ia mempunyai kepantasan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 215 km/j. Kadar penggunaan minyak pula sekitar 5.0 liter dan 5.7 liter bagi setiap 100 km. Ini dipandankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dengan pilihan untuk transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, varian 228i xDrive dengan enjin 2.0 liter empat-silinder janaan 231 hp/350 Nm turut ditawarkan. Versi diesel, 220d dengan 2.0 liter turbo berkembar dengan janaan 190 hp/400 Nm juga ada. Model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan laju maksimum 235 km/j. Varian paling lengkap pula ialah M235i xDrive; ia menggunakan enjin B48 2.0 liter dengan janaan 306 hp antara 5,000 rpm dan 6,250 rpm, manakala tork pula sebanyak 450 Nm dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm – 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan laju maksimum 250 km/j.

     
     
  • Zarco sah ganti Nakagami untuk baki tiga perlumbaan

    Zarco sah ganti Nakagami untuk baki tiga perlumbaan

    Selepas kerjasama antara Johann Zarco dan KTM ditamatkan, banyak khabar angin yang muncul berkenaan hala tuju pelumba tersebut. Namun, yang betul-betul rasmi sekarang adalah khidmat beliau akan digunakan sebagai pengganti kepada Takaaki Nakagami dalam pasukan LCR Honda Team.

    Nakagami terpaksa ‘melepaskan’ sebentar kedudukan beliau sebagai pelumba kerana perlu menjalani pembedahan bahu dan pulih sebelum musim 2020 bermula. Kontrak beliau bersama pasukan itu juga sudah disambung untuk tahun 2020. Jadi, Zarco akan berlumba menggunakan jentera Honda RC213V di Australia, Malaysia dan Valencia.

    “Masa saya menghubungi Zarco, beliau ada menunjukkan keinginan dan kami telah bersama mengambil langkah persediaan seterusnya, yang akan lengkap di Valencia. Dari pihak kami, kami akan memberi usaha yang maksimum untuk menyokong Zarco, seorang pelumba yang menunjukkan bakat besar dan profesional sepanjang karier beliau,” kata ketua pasukan LCR Honda Team, Lucio Cecchinello.

    Zarco sah ganti Nakagami untuk baki tiga perlumbaan

    “Saya sangat berterima kasih dengan peluang ini, dan akan melakukan yang terbaik untuk mendapat keputusan bagus dan menikmati masa ini, kerana ia mungkin adalah tiga perlumbaan terakhir saya untuk masa yang panjang. Kita tengok nanti apa yang boleh saya lakukan. Sasarannya adalah untuk berlumba dengan rentak yang baik, dan mendapatkan semula rasa bagus yang pernah saya alami sebelum ini,” kata Zarco.

    Zarco sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara dunia Moto2 sebanyak dua kali dan rookie terbaik MotoGP pada tahun 2017. Antara pihak yang sudah menunjukkan minat kepada Zarco selepas beliau ‘berpisah’ dengan KTM adalah Yamaha, yang telah mendekati beliau untuk menjadi penunggang ujian (test rider).

     
     
  • Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

    Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

    Kita baru sahaja menerima Toyota Yaris generasi ketiga April lalu, tapi kini pengeluar dari Jepun itu telah mendedahkan pula Yaris generasi baru. Namun anda perlu tahu, Yaris baharu ini adalah kesinambungan dari model Yaris pasaran Eropah dan Vitz di Jepun, tidak sama dengan Yaris yang kita dan pasaran ASEAN lain terima, iaitu model hatchback yang dihasilkan dari sedan Vios.

    Toyota Yaris ini akan mula dijual di Jepun pada bulan Februari 2020 dan juga akan dibawa ke Tokyo Motor Show minggu depan. Sebagai sebuah model generasi baru, Yaris ini juga menggunakan platform yang baru, iaitu TNGA (GA-B) untuk kenderaan kompak dan menjadikannya model pertama Toyota yang menggunakan platform itu. Dengannya, 50 kg berat dapat dikurangkan, kekuatan bertambah 30 peratus dan titik graviti tengah direndahkan 15 mm – menyumbang kepada pengendalian lebih lincah dan tegap.

    Keseluruhannya terdapat tiga penggerak yang disediakan untuk Yaris baru ini iaitu enjin 1.0 liter 1KR (dipertingkat), 1.5 liter tiga silinder Dynamic Force Engine M15A (unit baru) dan 1.5 liter yang dipadankan bersama sistem hibrid THS II.

    Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

    Bagi unit 1.0L, ia cuma boleh didapati dengan transmisi Super CVT-i (FWD) manakala 1.5L boleh didapati dengan transmisi Direct Shift CVT (FWD/4WD) atau manual enam kelajuan (FWD). Versi hibrid 1.5L pula datang dengan sistem reduction gear serta pilihan pacuan dua roda hadapan (FWD) atau pacuan empat roda E-Four. Ini semua adalah transmisi baru yang dibangunkan untuk enjin tersebut sementara untuk sistem E-Four, Yaris adalah kenderaan kompak Toyota pertama yang menggunakannya.

    Semua versi Yaris baru ini menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan sementara di belakang pula terdapat perbezaan di mana model pacuan roda hadapan menggunakan torsion beam manakala model pacuan empat roda dan E-Four pula menggunakan tetapan two-link double wishbone.

    Jika dibandingkan dengan model sebelumya, Yaris generasi baru ini nampak lebih kompak secara keseluruhan dengan lampu yang juga lebih kecil, bukaan ‘mulut’ yang lebih besar serta lekuk-lekuk yang agresif. Bahagian belakang juga berubah sepenuhnya dengan menjadi lebih bulat serta lampu dan spoiler yang lebih kecil. Kesemuanya ada 12 warna ditawarkan untuk Yaris baru, termasuk warna baru Ice Pink Metallic dan Coral Crystal Shine. Ia juga boleh didapati dengan bumbung berwarna hitam atau putih.

    Pada bahagian dalam, Toyota menggunakan rekaan papan pemuka melengkung bertingkat yang menggunakan padanan warna coklat, hitam dan putih. Dua paparan bulat pada panel instrumen di hadapan pemandu sebenarnya adalah unit digital TFT, manakala di tengah pula terdapat skrin lebih besar untuk sistem infotainmen. Penyampaian informasi kepada pemandu juga boleh dibantu dengan sistem head-up display.

    Walaupun Yaris ini adalah sebuah kenderaan kompak segmen B, Toyota telah menawarkannya dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision Warning (boleh mengesan pejalan kaki waktu siang dan malam, dan penunggang basikal pada waktu malam sahaja, termasuk di persimpangan), Low Speed Acceleration Control (membrek sendiri pada kelajuan rendah sekiranya terdapat objek di hadapan), Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA), Automatic High Beam (AHB) dan Road Sign Assist (RSA).

    Selain daripada itu, Yaris baru ini juga dilengkapi dengan Secondary Collision Brake (membrek selepas perlanggaran pertama dan beg udara mengembung) serta sistem bantuan letak kereta Advanced Park yang bukan sahaja boleh mengawal stereng, tetapi juga brek dan minyak (kereta Toyota pertama yang menggunakannya).

    Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

    Beberapa ciri menarik lain pada Yaris baru adalah seperti Easy Return Seat yang boleh mengingati kedudukan tempat duduk pemandu secara manual serta Turn Tilt Seat yang membolehkan tempat duduk dipusing ke tepi untuk memudahkan pemandu dan penumpang hadapan keluar. Bagi kedua-dua ciri ini, Yaris adalah model Toyota pertama yang menggunakannya.

    Sistem sambungan yang disediakan pada model ini juga adalah daripada versi terkini Toyota, yang termasuk Display Audio yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk pelbagai kegunaan, SmartDeviceLink untuk navigasi, Apple CarPlay, Android Auto serta servis T-Connect yang boleh dipilih dalam pelbagai pakej bersama bayaran bulanan atau tahunan.

     
     
  • Aplikasi Ryde dilancarkan di Malaysia – platform perkongsian kenderaan tanpa berasaskan keuntungan

    Aplikasi Ryde dilancarkan di Malaysia – platform perkongsian kenderaan tanpa berasaskan keuntungan

    Aplikasi Ryde merupakan platform perkongsian kenderaan yang dibangunkan dan cukup popular di Singapura, kini telah pun dilancarkan di Malaysia. Mula diasaskan oleh Terence Zou sejak tahun 2015 di republik berkenaan, Ryde mensasarkan sistem perkongsian kenderaan yang menawarkan lebih banyak opsyen untuk pengangkutan membolehkan pengguna lebih menjimatkan kos, membina komuniti tersendiri selain dapat membantu menjaga alam sekitar yang lebih mampan dan juga mengurangkan kesesakan trafik.

    Menurut Terence, RydePool ini membolehkan pemandu mendapatkan rakan ‘seperjalanan’ menerusi aplikasi berkenaan. Contohnya, jika anda mendaftar menerusi aplikasi ini sebagai pemandu, setiap hari anda berulang alik dari rumah di Shah Alam ke tempat kerja di Petaling Jaya. Sesiapa yang juga mendaftar menerusi aplikasi tersebut sebagai penumpang boleh ‘mengesan’ dan berhubung dengan anda bertujuan berkongsi kenderaan untuk ke destinasi yang sama. Malah pemandu dan penumpang boleh merancang perjalanan mereka bersama.

    “Di Malaysia, perkhidmatan RydePool boleh digunakan mulai 1 November ini dan ia tidak berasaskan keuntungan. Ryde juga menawarkan bayaran sifar komisen kepada pemandu, ini bermakna, pemandu boleh memperoleh 100% tambang yang ditetapkan itu berdasarkan kos pengangkutan yang digunakan. Contohnya, kos minyak, tol dan lain-lain.

    “Ini bukanlah konsep seperti perkhidmatan e-hailing, kerana tiada bayaran tertentu yang ditetapkan. Pemandu boleh meletakkan ‘harga’ ikut budi bicara dan penumpang juga boleh memilih mana-mana pemandu yang disenaraikan untuk perjalanan berkenaan. Penumpang juga boleh memberikan pemandu bayaran ‘tip’ sejurus sampai ke destinasi atau pun mengajak pemandu untuk pergi minum kopi. Aplikasi ini turut membenarkan bidaan kadar tambang, di mana penumpang boleh membida bayaran yang dikehendaki,” ujar Terence selaku CEO Ryde.

    Buat masa ini, untuk Malaysia, aplikasi Ryde dilancarkan terlebih dahulu di Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan di Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang. Selepas Malaysia, aplikasi Ryde juga bakal dikembangkan ke Sydney, Australia pada tahun 2020 sebelum memasuki Hong Kong.

    Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Playstore dan Apple Apps Store, malah pendaftaran dibuka mulai hari ini. Jika di Singapura, penggunaannya telah mencecah ratusan ribu pengguna dan mempunyai ribuan pemandu berdaftar. Walau bagaimana pun, di republik berkenaan, Ryde menetapkan bayaran sebanyak 9% daripada kadar tambang yang diperoleh pemandu.

    “Untuk masa ini, sebagai pengenalan, ia ditawarkan secara percuma di mana pemandu yang berdaftar tidak perlu membayar apa-apa kepada Ryde. Malah pemandu dan penumpang juga boleh membatalkan perjalanan tanpa dikenakan sebarang penalti. Cuma jika kadar pembatalan melebihi 20%, mereka akan berhadapan dengan ‘penggantungan’ (tidak dibenar menggunakan perkhidmatan terbabit) secara automatik,” jelasnya lagi.

     
     
  • Honda siar teaser Jazz generasi baharu – muncul di Tokyo minggu hadapan, hanya hibrid untuk Eropah

    Honda siar <em>teaser</em> Jazz generasi baharu – muncul di Tokyo minggu hadapan, hanya hibrid untuk Eropah

    Honda teases image of next generation Jazz

    Setelah mengesahkan kemunculan sulung globalnya di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan, hari ini Honda menyiarkan imej teaser untuk model Jazz generasi terbaharu secara rasmi.

    Menerusi imej tersebut – yang menayangkan bahagian sisi hatchback segmen-b berkenaan – semakin jelas Jazz atau Fit untuk pasaran JDM ini menampilkan rupa yang hampir seiras dengan imej bayangan yang dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin, dibuat berdasarkan gambar spyshot prototaip sebenar Honda Jazz generasi baharu yang ditemui sedang diuji.

    Menurut Honda lagi, kemunculan Fit di Jepun minggu hadapan adalah serentak dengan penampilan pertama Jazz pasaran Eropah yang akan didedahkan di Amsterdam, Belanda ketika Honda melangsungkan acara “Electric Vision” di mana jenama tersebut akan mengumumkan pelan halatuju teknologi elektrik mereka pada pasaran Eropah.

    Imej bayangan Honda Jazz generasi baharu oleh Theophilus Chin

    Penyiaran imej teaser ini turut disusuli dengan pengumuman bahawa buat pertama kalinya, Honda Jazz bakal ditawarkan pada pasaran Eropah hanya dengan unit janakuasa hibrid menerusi model generasi baharu ini.

    Menerusi pengumuman sebelum ini, Honda telah mengesahkan bahawa versi hibrid Honda Jazz generasi seterusnya itu bakal menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) seperti Honda Accord dan CR-V Hybrid terkini, tetapi dalam versi lebih kecil.

    Menurut Honda, sistem i-MMD yang lebih kompak dari sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) sedia ada kerana tidak mempunyai kotak gear akan membolehkan Jazz tersebut menerima ruang dalaman yang lebih luas.

    Versi petrol biasa turut akan diteruskan untuk pasaran selain Eropah dengan konfigurasi sama seperti sekarang dengan menempatkan tangki petrol pada bawah tempat duduk hadapan membolehkan konfigurasi tempat duduk Ultra Seat yang versatil terus ditampilkan pada Jazz.

    Jazz generasi terbaharu ini akan menampilkan rekaan yang lebih bulat dan kelihatan lebih lembut, jika dibandingkan dengan model generasi GK sedia ada dengan elemen lebih tajam dan agresif.

    Selain dari Jazz baharu tersebut, Honda turut akan mempamerkan MPV Freed facelift, dan juga pengenalan semula Accord di Jepun setelah empat tahun tidak dijual pada pasaran negara matahari tersebut. Tokyo Motor Show 2019 akan berlangsung bermula 23 Oktober sehingga 4 November, dan jangan lupa untuk nantikan laporan langsung kami dari sana pada tarikh berkenaan.

    GALERI: Spyshot Honda Jazz generasi seterusnya

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 akan didedah 23 Oktober ini

    Kewujudan model naked Ducati Streetfighter V4 bukan lagi satu rahsia. Versi prototaipnya telah pun didedahkan dan turut digunakan dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb 30 Jun lepas. Malangnya, pelumba yang menggunakan motosikal ini telah terlibat dalam kemalangan dan terkorban semasa acara tersebut.

    Sejak daripada itu, berita tentang Streetfighter V4 senyap seketika, mungkin untuk menghormati pemergian pelumba tersebut. Macam mana pun, model tersebut perlu diperkenalkan kepada umum secara rasmi dalam versi produksi, dan nampaknya Ducati sudah bersedia.

    Pengeluar dari Itali itu telah menyiarkan satu teaser pendek melalui akaun media sosial mereka, menyatakan Streetfighter V4 akan didedahkan 23 Oktober ini. Mungkin selepas itu, ia akan dibawa pula ke pameran EICMA di Milan, Itali.

    Ducati Streetfighter V4 akan didedah 23 Oktober ini

    Apa yang boleh dilihat cuma bahagian lampu depan motosikal tersebut, yang mempunyai DRL seperti kening yang beralun. Selain daripada itu, Ducati cuma memberitahu beberapa maklumat seperti enjin V4 Desmosedici Stradale, sayap biplane, pakej elektronik seperti Panigale V4, berat 178 kg, pemegang tinggi dan kuasa 208 hp pada 12,750 rpm.

    Dari sini, kita boleh tahu Streetfighter V4 mempunyai sedikit kurang kuasa berbanding Panigale V4 (214 hp), berat yang lebih 3 kg (Panigale V4 175 kg) dan sistem elektronik seperti Ducati Power Launch, Ducati Quick Shift EVO, Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Slide Control (DSC) dan Engine Brake Control (EBC) EVO.

    GALERI: Ducati Streetfighter V4 Prototype

     
     
  • Isuzu Hicom Malaysia terima anugerah pensijilan ISO

    Isuzu Hicom Malaysia terima anugerah pensijilan ISO

    Isuzu Hicom Malaysia (IHM) telah dianugerahkan pensijilan antarabangsa berprestij, International Organisation for Standardisation (ISO) 45001:2018 Occupational Health dan Safety Management Systems and ISO 14001:2015 Environmental Management System bagi cawangannya di Pekan dan Shah Alam.

    Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Taizo Nakahigashi berkata, adalah penting bagi pengeluar kenderaan perdagangan untuk menerima pensijilan ISO 45001:2018 ini kerana ia menjadi cerminan kepada usaha proaktif syarikat untuk mempertingkat keselamatan dan kesihatan keseluruhan ditempat kerja bagi mengelakkan kecederaan atau sebarang isu berkaitan kesihatan.

    “Sebagai pelopor bagi kenderaan perdagangan ringan, medium serta tugas berat, adalah sangat penting bagi kami untuk memenuhi piawaian dan peraturan tempatan dan juga antarabangsa. Usaha kemi ke arah penambahbaikan, yang mendorong kepada penganugerahan pensijilan ini menunjukkan komitmen IHM untuk melindungi pekerja, pelanggan, kontraktor serta penyedia perkhidmatan daripada kemalangan berkaitan pekerjaan,” ujar beliau.

    Isuzu Hicom Malaysia terima anugerah pensijilan ISO

    Dua kilang berkenaan menerima pensijilan dari SIRIM QAS International susulan kepada pelaksanaan Occupational Health and Safety Management System yang menepati ISO 45001:2018. Pensijilan berkenaan meliputi pengilangan trak pikap dan tugasan ringan, tugasan sederhada, tugasan berat serta casis bas. Selain itu, ia termasuk juga pemasangan kontrak terhadap trak-trak tugasan berat dan ringan, van, pacuan empat roda dan casis bas bagi pemegang francais.

    Sebagai tambahan, kedua-dua cawangan IHM dianugerahkan juga dengan ISO14001:2015 Environmental Management System kerana menepati peraturan alam sekitar yang ditetapkan ISO. IHM mengilangkan trak-trak perdagangan Isuzu seperti trak N-Series, F-Series dan trak tugasan berat selain trak pikap D-Max. Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan, bagi tempoh setengah tahun ini sahaja, Isuzu telah menjual sebanyak 4,135 unit kenderaan perdagangan. Sepanjang 2018, jenama itu menjual 11,000 unit keseluruhannya.

     
     
  • Daihatsu Rocky generasi baharu akan didedahkan pada TMS 2019, versi produksi DN Trec – laporan

    Daihatsu Rocky generasi baharu akan didedahkan pada TMS 2019, versi produksi DN Trec – laporan

    Jika Suzuki ada Jimny sebagai jentera off-road dalam saiz kecil, begitu juga dengan seteru utama dalam dunia K-Carnya iaitu Daihatsu – sebelum adanya Daihatsu Terios (model asal Perodua Kembara dan kini Perodua Aruz), jenama tersebut popular dengan model Daihatsu Rocky (atau Feroza di Malaysia), ingat lagi? Menurut portal Jepun BestCarWeb, nama Rocky ini akan muncul semula pada Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan, dan ia adalah versi produksi SUV konsep Daihatsu DN Trec yang muncul pada acara sama dua tahun lalu!

    DN Trec bukan sahaja akan dihasilkan sebagai Daihatsu Rocky, malah ia turut hadir dengan pasangan kembar oleh Toyota yang akan digelar Toyota Raize, persis pasangan kembar Daihatsu Terios dan Toyota Rush.

    Menurut portal itu lagi, Toyota telah pun mula mengambil tempahan untuk Rise bermula 1 Oktober lalu, dan ia akan menjadi pilihan alternatif kepada SUV kompak Toyota yang lain seperti C-HR dan RAV4. Manakala untuk Daihatsu Rocky pula, tempahan bagi pasaran Jepun akan mula dibuka pada akhir bulan ini.

    Daihatsu Rocky generasi baharu akan didedahkan pada TMS 2019, versi produksi DN Trec – laporan

    Kedua-dua Rocky dan Raize dikatakan akan dijana oleh enjin tiga-silinder turbo bersama kotak gear CVT automatik, selari dengan DN Trec yang diberitahu ketika kemunculannya dulu bahawa ia dicadangkan untuk digerakkan sama ada dengan unit janakuasa hibrid elektrik dengan enjin 1.2 liter NA, atau 1.0 liter turbo.

    Ia juga akan ditawarkan sama ada dengan pacuan roda hadapan (FF) dan juga pacuan empat roda (4WD) . Untuk Toyota Rise yang sudah pun boleh ditempah, ia akan hadir dengan empat varian FF dan empat varian 4WD, dengan julat harga bermula 1.68 juta yen (RM65k) hingga 2.28 juta yen (RM88k).

    Adakah model ini akan turut akan dijelmakan sebagai Perodua seperti Terios, Rush dan Aruz? Agak susah nak jangka kerana Perodua juga nampaknya sedang membina sebuah SUV segmen-B lima tempat duduk dengan kod D55L yang mempunyai saiz hampir sama dengan Kembara – mungkin akan dihasilkan sendiri oleh jurutera tempatan seperti apa yang mereka lakukan pada Myvi berdasarkan model prototaip yang dilihat sedang diuji sekitar Genting Highland minggu lalu.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DN Trec di Tokyo Motor Show 2017

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026