Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tokyo 2019: Mitsubishi RVR facelift 2019 – ASX muka Dynamic Shield, MIVEC 1.8L berkuasa 137 hp/172 Nm

    Tokyo 2019: Mitsubishi RVR <em>facelift</em> 2019 – ASX muka Dynamic Shield, MIVEC 1.8L berkuasa 137 hp/172 Nm

    Selepas Mitsubishi Eclipse Cross membuat kemunculan pada 2017, ramai yang menjangka ini adalah pengakhiran untuk satu lagi crossover segmen-B jenama tersebut iaitu Mitsubishi ASX, atau RVR untuk pasaran Jepun. Namun, tahun lalu Mitsubishi membuat kejutan dengan menampilkan facelift baharu untuk model yang telah berada dalam pasaran sejak 2010 ini, diberikan muka ‘Dynamic Shield’ seiring dengan model-model baharunya yang lain.

    Ketika kunjungan ke Tokyo Motor Show tahun ini, model facelift berkenaan turut dipamerkan, memberikan peluang kepada kami untuk menatapnya dengan lebih dekat. Di Jepun, RVR hadir dengan dua gred iaitu versi asas M dan juga model spesifikasi penuh G, kedua-duanya hadir dengan pilihan sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda dengan mod 4WD Lock.

    Namun kedua-duanya tidak menerima enjin 2.0 liter seperti ASX di Malaysia, sebaliknya hanya hadir dengan enjin petrol NA empat-silinder 1.8 liter MIVEC berkuasa 137 hp dan tork maksima 172 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan hanya satu pilihan kotak gear iaitu transmisi CVT automatik INVECS III dengan enam-kelajuan maya pada mod manual.

    Tokyo 2019: Mitsubishi RVR <em>facelift</em> 2019 – ASX muka Dynamic Shield, MIVEC 1.8L berkuasa 137 hp/172 Nm

    Seperti yang anda boleh lihat pada unit yang dipamerkan ini, tiada lagi muka ‘adik Lancer’ seperti model sebelumnya, sebaliknya berubah seakan ‘adik Triton‘ pula. Lampu utama ASX 2020 ini direka sepet, mengapit gril seakan dinding kubu yang kelihatan lebih gagah. Ia kemudian diberikan elemen X kemasan krom, bersama lampu kabus LED dan isyarat membelok dengan empat unit lampu disusun menegak dan juga skid plate dalam kemasan perak.

    Lampu belakang masih menggunakan kluster lampu yang sama, tetapi diberikan lensa jernih bersama grafik dan bar LED baharu di dalamnya. Bampar belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan lebih rumit, menampilkan kemasan liang udara palsu, dan juga skid plate seperti gaya diffuser juga berwarna perak.

    Model yang dipamerkan ini adalah versi tertinggi G, jadi ia hadir dengan ciri-ciri seperti lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok LED bersama fungsi lipat kawalan jauh, bumbung panaromik, rel bumbung dan juga rim aloi 18-inci.

    Tokyo 2019: Mitsubishi RVR <em>facelift</em> 2019 – ASX muka Dynamic Shield, MIVEC 1.8L berkuasa 137 hp/172 Nm

    Pada bahagian dalaman pula, sebahagian besar rekaan terutama pada papan pemuka masih lagi sama dengan model sedia ada. Perubahan yang paling ketara dapat dilihat adalah skrin sistem infotainmennya kini lebih besar, bersaiz lapan-inci. Unit yang dipamerkan ini menerima sistem bunyi opsyen dari Rockford Fosgate, menampilkan amplifier berkuasa 710 W, serta sembilan pembesar suara termasuk sepasang tweeter di hadapan dan sebuah subwoofer pada but belakang.

    Kelengkapan lain yang ditampilkan termasuk roda stereng balutan kulit dengan butang pelbagai fungsi, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem pendingin hawa zon tunggal, tombol gear balutan kulit dan pelbagai lagi. Mitsubishi RVR pasaran Jepun ini turut hadir dengan sistem keselamatan seperti bantuan pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Adakah ASX facelift ini akan di bawa ke Malaysia? Kami tiada jawapan, memandangkan SUV/MPV tujuh-tempat duduk Xpander dan juga Eclipse Cross pun belum lagi nampak bayang.

     
     
  • Tokyo 2019: Mitsubishi MI-Tech Concept – buggy hibrid plug-in elektrik dengan penjana enjin turbin gas

    Tokyo 2019: Mitsubishi MI-Tech Concept – <em>buggy</em> hibrid plug-in elektrik dengan penjana enjin turbin gas

    Mac lalu, Mitsubishi telah mendedahkan model konsep yang digelar Engelberg Tourer iaitu SUV PHEV dengan enjin 2.4 liter dan motor elektrik. Pada Tokyo Motor Show 2019 yang sedang berlangsung ini pula, satu lagi model konsep didedahkan, digelar MI-Tech Concept yang nampak seolah-olah adik-beradik kepada Engelberg Tourer.

    Berbanding Engelberg Tourer yang masih nampak seperti SUV sebenar, MI-Tech Concept ini pula nampak lebih liar dengan badan berkonsep sebuah buggy. Ia juga hadir dengan sistem plug-in hybrid, tetapi motor elektrik kereta ini bukan dibantu oleh enjin biasa, sebaliknya menerima enjin gas turbin seperti enjin pesawat bagi mengecas semula pek bateri!

    Setiap roda kereta ini diberikan motor elektrik untuk menggerakkannnya, bersama gandar hadapan dan belakang dihubungkan dengan sistem yang digelar Dual-Motor Active Yaw Control (AYC). Dengan respon dan kawalan dengan kejituan yang tinggi pada pecutan serta kuasa membrek, sistem ini didakwa akan memberikan peningkatan yang tinggi terhadap pengendalian dan cengkaman.

    Tokyo 2019: Mitsubishi MI-Tech Concept – <em>buggy</em> hibrid plug-in elektrik dengan penjana enjin turbin gas

    Ini adalah kerana motor pada setiap roda akan memberikan kuasa yang berbeza, berdasarkan situasi dan ia diagihkan secara tepat. Malah kejituan sistem tersebut boleh ditunjukkan di mana tayar kiri dan kanan boleh berpusing berlawanan arah, membolehkan kereta berkenaan berputar pada satu paksi.

    Beralih kepada enjin gas turbin yang berfungsi untuk mengecas sistem elektrik kereta ini, Mitsubishi menyatakan ia digunakan kerana enjin tersebut lebih kompak dan ringan serta menghasilkan kuasa yang lebih besar dari enjin pembakaran dalaman konvensional. Bukan itu sahaja, ia juga menghasilkan gas ekzos yang lebih bersih, malah boleh beroperasi menggunakan pelbagai jenis bahan api termasuk petrol, kerosin dan alkohol.

    Dari segi rekaan pula, MI-Tech masih mengekalkan muka dengan rekaan Dynamic Shield Mitsubishi. Namun berbeza dengan model-model produksi yang diberikan lampu hadapan yang tajam, buggy ini diberikan lampu utama dan lampu belakang berbentuk-T. Gril hadapan pula kelihatan seolah-olah dihasilkan menggunakan sekeping aloi kemasan satin bersama jalur-jalur tembaga.

    Tiada pintu diberikan pada buggy ini membolehkan sepasang tempat duduk bucket perlumbaan yang terletak dalam kabin nampak dengan jelas dari luar, manakala keempat-empat ruang roda diberikan flare berkotak yang besar dengan kemasan seakan gentian karbon. Boleh diperhatikan, turbin yang menjana kereta ini juga nampak jelas diletakkan pada dek belakang. Kereta ini berdiri gagah dengan pemadanan rim-rim gerasi 20-inci, dengan tayar Falken yang direka khas untuknya bersaiz 245/50R20.

    Dalam kabin, ia diberikan papan pemuka yang ringkas dengan warna badan bersama jalur-jalur kemasan tembaga sama seperti pada gril hadapan, dan ia turut diterapkan pada roda stereng. Suis-suis kawalan direka seperti papan kekunci, manakala segala maklumat dibekalkan kepada pemandu menggunakan satu skrin instrumen kecil di belakang roda stereng, dan juga cermin hadapan dengan sistem AR.

    Mitsubishi MI-Tech ini turut menerima sistem MI-Pilot, iaitu sistem bantuan pemanduan generasi seterusnya yang menurut syarikat tersebut, ia bukan sahaja berfungsi pada jalan raya biasa, malah juga boleh digunakan pada permukaan lasak dan tidak berturap.

     
     
  • Tokyo 2019: Subaru Levorg Prototype dengan enjin baharu 1.8 liter turbocharged 4-silinder boxer

    Tokyo 2019: Subaru Levorg Prototype dengan enjin baharu 1.8 liter <em>turbocharged</em> 4-silinder boxer

    Subaru mengambil peluang keemasan dalam penganjuran Tokyo Motor Show (TMS) 2019 bagi mempertontonkan model Subaru Levorg Prototype. Memandangkan pada namanya ada perkataan “Prototype”, nampaknya ia semakin bersedia untuk menjadi model produksi, dengan pelancaran dijangka pada separuh kedua 2020 di negara kelahirannya, Jepun.

    Levorg serba baharu pertama kali dipertontonkan sebagai Viziv Tourer Concept pada tahun lalu di Geneva Motor Show, dan sepert model baharu Subaru yang lain (XV, Ascent, Impreza dan Forester), ia juga bakal menggunakan Subaru Global Platform yang menawarkan ketegaran kerangka yang lebih signifikan berbanding model semasa iaitu generasi pertamanya.

    Subaru berkata, rekaan yang berfalsafah “Dynamic X Solid” sebagai penggayaan Levorg baharu, malahan rekaan konsep “Bolder” turut “menyerlah nilai dan karakter untuk setiap model Subaru”. Konsep ini menampakkan rupa yang lebih agresif, bermula dengan sudut hadapannya yang lebih besar, gril berbentuk haksagon, dengan menampilkan jaluran krom.

    Tokyo 2019: Subaru Levorg Prototype dengan enjin baharu 1.8 liter <em>turbocharged</em> 4-silinder boxer

    Lampu utamanya telah direkabentuk semula, dengan jaluran yang melunjur ke belakang, disambungkan dengan seksyen yang menempatkan lampu kabus dengan “corong” hiasan. Ia seperti semya ciri yang ditampilkan pada bahagian hadapan Levorg ditonjolkan, begitu juga dengan corong pengambilan bawah yang lebih halus. Seperti mana Levorg terdahulu, bonnet scoop yang menyalurkan udara ke enjin turbocharged masih dikekalkan untuk model yang baharu ini.

    Daripada pandangan sisi, kelihatan gerbang roda yang lebih bersegi berbanding bentuk bulat pada model semasa, sementara pintunya juga lebih menyerlah dengan garisan karakter yang melunjur merentasi pemegang pintu. Seperti mana teaser yang pernah dipaparkan sebelum ini, Subaru Prototype kelihatan sangat sporty pada bahagian belakang dengan lampu berbentuk-C, yang kini tampil lebih nipis.

    Walau bagaimana pun, semakan di bahagian belakang tidaklah drastik seperti hadapan, dengan perumah reflektor hitam dan lebih bersudut di hujung bampar. Spoiler belakang pula menerima kemasan tambahan untuk membantu menampakkan garisan yang lebih lembut. Tiada foto dalaman kerana cermin tingkapnya digelapkan sepenuhnya, jadi kena tunggu rekaan dalamannya apabila versi produksi didedahkan sepenuhnya.

    Walau bagaimana pun, pengeluar kereta Jepun ini telah mendedahkan sedikit perincian teknikal dan ciri yang ditampilkan. Ini termasuklah enjin 1.8 liter turbocharged dan suntikan terus empat-silinder boxer. Namun tiada angka kuasa yang didedahkan setakat ini. Dan difahamkan, ia dijangka akan dipadankan dengan Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive system.

    Tokyo 2019: Subaru Levorg Prototype dengan enjin baharu 1.8 liter <em>turbocharged</em> 4-silinder boxer

    Pada generasi sebelumbyam Levorg dipadankan dengan enjin FA20F 2.0 liter, yang didatangkan bersama pengecas turbo dan suntikan terus bahan api yang mampu memberikan kuasa sehingga 300 PS dan tork 400 Nm. Enjin kedua pula ialah FB16 DIT, dengan 1.6 liter pengecas turbo bersama hamburan kuasa 170 PS dan 250 Nm – inilah unit yang kita dapat di pasaran Malaysia.

    Satu lagi teknologi baharu yang bakal ditampilkan termasuklah sistem EyeSight generasi baharu, yang menampilkan kamera stereo yang diperbaharui dengan sudut pandangan yang lebih lebar. Sebagai tambahan, sistem tersebut kini disokong oleh empat radar pengesan di bampar hadapan dan belakang, yang membolehkan ia merakamkan 360 darjah sudut pandangan di sekeliling kenderaan. Fungsi brek pra-pelanggaran Eye Sight juga telah diperluaskan untuk melintas dan memasuki simpang yang mempunyai sudut pandangan rendah.

    Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan GPS dan Michibiki (Quasi-Zenith Satellite System). Ia bekerjasama dengan data pemetaan berdefinisi tinggi, membuatkan Levorg dapat mengesan bentuk jalan di hadapan, sekaligus akan mengurangkan kelajuan secara automatik sebelum sampai di selekoh, dan membantu pemandu untuk memandu secara bebas-tangan di trafik.

    Akhir sekali, ia turut didatangkan dengan Advanced Automatic Collision Notification yang pertama kali diaplikasikan untuk Subaru di Jepun, ia merupakan perkhidmatan SOS yang akan menghantar data kepekaan secara automatik kepada perkhidmatan kecemasan dan pengendali apabila ada impak besar daripada pelanggaran yang dikesan.

     
     
  • Tokyo 2019: Daihatsu tayang SUV kompak baharu – imej awal bagi SUV segmen-B D55L Perodua?

    Tokyo 2019: Daihatsu tayang SUV kompak baharu – imej awal bagi SUV segmen-B D55L Perodua?

    Dalam kehangatan Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang telah membuka tirainya, Daihatsu turut mempertontonkan SUV kompak akan datang, yang ada ura-ura mengatakan ia adalah SUV segmen-B D55L Perodua – dengan kapasiti lima-tempat duduk – lebih kecil berbanding abangnya, Aruz.

    Walau bagaimana pun, SUV kompak ini tidak diletakkan sebarang nama, namun ada sumber memaklumkan, ia bakal menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Namun demikian, spesifikasinya telah didedahkan, termasuklah dimensi dan penjana kuasa yang digunakan.

    SUV Daihatsu seberat 980 kg ini berukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, dan 1,620 tinggi serta dengan jarak rodanya 2,525 mm. Menjadikan ia lebih besar berbanding model semasa Myvi, yang berukuran 3,895 mm, selebar 1,735 mm, setinggi 1,515 mm dan jarak rodanya 2,500 mm.

    Bagi rekannya, SUV tanpa nama ini memiliki gril berbentuk haksogan yang agak besar, disambungkan pada lampu utama yang bersudut tajam dengan lampu nyalaan siang gaya-kening dan juga lampu kabus segi tiga, pengesan parkir hadapan dan jaluran LED menegak. Bentuk bagi lampu utama dan gril membuatkan bonetnya nampak bulat.

    Tokyo 2019: Daihatsu tayang SUV kompak baharu – imej awal bagi SUV segmen-B D55L Perodua?

    Jika dilihat daripada sisi, kelihatan lapisan badan berwarna hitam mengelilingi roda 17-inci (dengan tayar siri 195/60) yang menyerlahkan lagi rupa SUV ini dengan gaya “bumbung terapung” yang menampakkan tiang-C dengan warna sama dengan tona badannya, bertentangan dengan warna hitam pada tiang A-dan -B. Terdapat juga seksyen tingkap kecil pada tiang-C, yang dipisahkan daripada tingkap belakang dengan kepingan kemasan menegak melunjur hingga ke spoiler belakang.

    Melewati bahagian belakangnya pula, kelihatan lampu yang agak nipis disambungkan dengan kemasan hitam yang merentangi tailgate, dengan lambang Daihatsu di atas butang pembuka tailgate. Larasan pencahayaan belakangnya lebih kurang sama seperti Myvi – dengan apron yang rendah hasil penampilan “ventilasi” hiasan dan plat nombor yang dipasang di bawah. Untuk pengetahuan anda, SUV merah pada foto ini memiliki kemasan dengan sentuhan dalaman merah, sementara model yang berwarna putih merupakan kemasan standard.

    Di dalamnya, ditampilkan dengan lima-tempat duduk, papan pemuka yang didominiasikan dengan sistem infotainmen skrin sesentuh ‘free standing’ yang diletakkan di atas corong udara tengah. Malah corong sudut diletakkan sedikit tinggi, menempatkan ruang untuk pemegang cawan, yang boleh membantu menyejukkan minuman.

    Di bawah corong tengah, terletak suis kawalan untuk sistem pendingin hawa automatik dan butang penghidup enjin, sementara perumah konsol tengah menempatkan pemilih gear, punca kuasa, kawalan haba untuk tempat duduk, ruang penyimpanan dan juga tuil brek tangan. Lain-lain ciri termasuk roda stereng dengan butang kawalan dan juga paparan kluster instrumen digital.

    Tokyo 2019: Daihatsu tayang SUV kompak baharu – imej awal bagi SUV segmen-B D55L Perodua?

    SUV Daihatsu ini dijanakan oleh enjin petrol 1.0 liter turbocharged dan intercooler tiga-silinder dengan hamburan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama CVT yang memacu kuasa ke roda hadapan.

    Disebabkan ia ‘tidak memiliki nama’, jadi tidak dipastikan bila ia bersedia untuk diproduksi, malah tiada jangkaan masa untuk dilancarkan. Buat masa ini, Perodua belum mengesahkan adakah SUV ‘penuh rahsia ini’ akan dipasarkan di Malaysia. Baru-baru ini kita dapat mengesan model yang sedang dibangunkan diuji di sekitar genting Highlands pada awal bulan ini, yang ‘menggunakan’ badan Axia.

    Sebelum ini, pengeluar kereta nasional ini juga pernah mempamerkan X-Concept di Kuala Lumpur International Motorshow 2018, dan jika ini memang SUV segmne-B Perodua, ada kemungkinan besar ia bakal ditampilkan dengan bahagian hadapan yang unik yang diilhamkan berdasarkan model konsep tersebut.

     
     
  • Tokyo 2019: Kawasaki Z H2 dan Ninja ZX-25R didedah – naked supercharge 200 PS dan 250 cc 4 silinder

    Tokyo 2019: Kawasaki Z H2 dan Ninja ZX-25R  didedah – naked supercharge 200 PS dan 250 cc 4 silinder

    Selepas beberapa siri teaser, akhirnya motosikal supercharge naked Kawasaki Z H2 didedahkan kepada umum waktu Tokyo Motor Show 2019. Seperti yang diketahui daripada namanya, model ini menggunakan rekaan badan seperti model naked lain Kawasaki, tetapi diberikan enjin empat silinder 998 cc supercharge sama seperti Ninja H2.

    Kuasa keseluruhan Z H2 ini masih sama seperti Ninja H2, iaitu 200 PS pada 11,000 rpm, tetapi tork-nya lebih tinggi iaitu 137 Nm pada 8,500 rpm, berbanding Ninja H2 yang mencatat 133.5 Nm pada 10,500 rpm. Walaupun mempunyai badan naked, Z H2 ini mencatat berat lebih 1 kg, menjadi 239 kg. Tangki bahan api pula dua liter lebih besar menjadi 19 liter.

    Seperti yang boleh dilihat pada gambar, rekaan badan Z H2 mempunyai iras Z1000, termasuklah pada bahagian lampu hadapan dan belakang. Tempat duduknya bertingkat antara yang depan dan belakang, manakala tangki juga menggelembung ke atas.

    Panel instrumen menggunakan unit digital TFT penuh, seperti yang terdapat pada Ninja 650 2020, dan ia dilengkapi dengan sistem elektronik termasuk mod tunggangan, unit pengukur inertia (IMU), Kawasaki Traction Control, Power Mode, Kawasaki Cornering Management Function, Kawasaki Intelligent Anti Lock Brake System, Kawasaki Launch Control, quickshifter, cruise control dan sambungan telefon pintar.

    Kelengkapan lain yang boleh dilihat adalah termasuk brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, angkup Nissin di belakang, tayar Pirelli Diablo Rosso III, lampu penunjuk arah LED serta suspensi yang boleh dilaras depan dan belakang (fork menggunakan unit Showa).

    Walaupun Z H2 ini adalah model yang sangat berkuasa, satu lagi model yang lebih kecil iaitu ZX-25R tidak kurang juga menariknya. Ini kerana ia berpotensi menjadi model 250 cc paling berkuasa di antara pesaingnya dan pertama kali ditunjukkan kepada dunia.

    Untuk rekaannya, mungkin ramai yang sudah biasa kerana menyerupai dengan siri model Ninja terbaru yang lain. Tetapi, ia juga dijadikan lebih garang dengan tambahan beberapa panel laluan udara lain seperti pada bahagian bawah fairing dan berhampiran tangki.

    Model ini juga sangat menarik kerana ia menggunakan enjin empat silinder DOHC penyejukan cecair, dan daripada namanya anda sepatutnya sudah tahu ini adalah model prestasi yang mengikuti karekter seperti ZX-6R dan ZX-10R. Perincian kuasa dan kelengkapan walaubagaimanapun masih tidak diberitahu.

    Setakat yang boleh dilihat, ZX-25R ini menggunakan fork Showa SPF-BP, brek cakera tunggal di hadapan, brek ABS, angkup Nissin di belakang, serta sistem elektronik yang diberitahu oleh Kawasaki, termasuk traction control, quickshifter dan pilihan mod tunggangan.

    GALERI: Kawasaki Z H2

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R

     
     
  • Daihatsu sahkan pembabitannya dengan DreamEdge bagi melaksana projek kereta nasional ketiga Malaysia

    Daihatsu sahkan pembabitannya dengan DreamEdge bagi melaksana projek kereta nasional ketiga Malaysia

    Daihatsu Motor Company (DMC) telah mengesahkan pembabitannya dengan projek kereta nasional ketiga Malaysia, yang bakal diterajui oleh syarikat tempatan, DreamEdge. Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden DMC, Soichiro Okudaira, kepada wartawan Malaysia di Tokyo Motor Show 2019, sebentar tadi. Beliau berkata, buat setakat ini, tiada butiran lanjut yang boleh diperkatakan, kerana ia masih di peringkat perbincangan dan hanya boleh diputuskan secara muktamad oleh pihak di Malaysia.

    Ini merupakan pertama kali kenyataan dikeluarkan oleh sumber rakan kerjasama rasmi sejak projek kereta nasional ketiga Malaysia diumumkan pada 9 Ogos lalu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dengan mengesahkan DreamEdge bakal menjadi peneraju utamanya.

    Daihatsu sahkan pembabitannya dengan DreamEdge bagi melaksana projek kereta nasional ketiga Malaysia

    Pada Ogos lalu, CEO DreamEdge Khairil Adri Adnan berkata, syarikat itu setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimana pun, teknologi yang bakal digunapakai masih dirahsiakan.

    Selepas pengumuman ini, DreamEDGE akan meneruskan pula dengan membuat mock-up bagi keupayaan kejuruteraan bermula hujung Ogos ini. Kemudian, pada pertengahan September 2019, mereka akan memulakan pengambilan tenaga kerja tambahan untuk projek ini.

    Difahamkan, DreamEdge dijadualkan mula menghasilkan model prototaip pertama kereta ini pada Mac 2020 nanti. Kemudian, dalam tempoh setahun selepas itu, iaitu pada Mac 2021, model pertama kereta nasional terbaharu ini akan dilancarkan.

     
     
  • Tokyo 2019: Mazda MX-30 didedahkan – SUV elektrik sepenuhnya, 141 hp/265 Nm, jarak gerak 209 km

    Tokyo 2019: Mazda MX-30 didedahkan – SUV elektrik sepenuhnya, 141 hp/265 Nm, jarak gerak 209 km

    Akhirnya Mazda telah mendedahkan kenderaan elektrik sepenuhnya dari mereka, dan ia bukan sedan atau hatchback, tetapi sebuah SUV dalam kategori saiz segmen-C, digelar sebagai MX-30, ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2019 yang bermula hari ini.

    Model ini melengkapkan barisan model 3 mereka, dengan menyertai penawaran sedan dan hatchback Mazda 3 dan juga crossover CX-30. Dengan menggunakan platform SkyActiv-Vehicle Architecture yang sama dengan dua model berkenaan, saiz MX-30 ini juga tidak banyak berubah dengan menampilkan dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,570 mm tinggi, dan jarak roda sejauh 2,655 mm.

    Bagi membolehkan ia menerima janakuasa elektrik berkenaan, platform tersebut dibuat berberapa perubahan antaranya struktur disekeliling bateri dan juga lantai kereta ini diperkuatkan lagi. Pemadanan bateri lithium-ion yang diposisikan pada lantai juga menyebabkan MX-30 ini 30 mm lebih tinggi dari CX-30.

    Jika CX-30 menerima enjin pembakaran dalaman petrol SkyActiv-G dan SkyActiv-X serta diesel SkyActiv-D, MX-30 pula digerakkan oleh penjana dengan kuasa elektrik sepenuhnya digelar e-SkyActiv. Ia terdiri dari motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 141 hp (105 kW) dan tork maksima 265 Nm, disuap oleh bateri dengan kapasiti 35.5 kWj yang mampu memberikan jarak gerak sekitar 209 km untuk satu cas penuh.

    Bateri berkenaan dibina dengan sel-sel prismatik yang membolehkan ia di cas semula sama ada menggunakan pengecas AC atau DC. Untuk pengecas AC, ia mampu menerima input maksima 6.6 kWj menerusi sambungan Type 2, manakala pengecas DC pula menggunakan sambungan CCS dengan input 50-kW bagi membolehkan ia mencapai 80% cas dalam masa 30 hingga 40 minit.

    Menurut Mazda, menerusi kajian yang dijalankan mendapati pengguna kereta elektrik di Eropah menggunakan kereta mereka dalam jarak purata 50 km setiap hari, dan jarak 209 km tersebut adalah lebih dari cukup walaupun ia dilihat lebih rendah dari pesaingnya yang lain. Namun jika anda mahu bergerak lebih jauh, MX-30 selepas ini akan menerima versi yang dijana sistem hibrid – 100% digerakkan motor elektrik, tetapi menerima janaan elektrik dari enjin range extender jenis wankel rotary.

    MX-30 ini juga menerima sistem seakan G-Vectoring Control (GVC) pada model ICE biasa, digelar sebagai e-GVC Plus pada versi elektrik sepenuhnya ini. Menurut Mazda, sistem ini “menggunakan karekteristik tork dari motor elektrik untuk mengoptimakan pemindahan beban depan-belakang di bawah kadar lebih lebar pada senario penggunaan”.

    Untuk bahagian luaran, muka MX-30 ini dilihat diberikan elemen rekaan lampu hadapan hampir sama dengan Mazda 3 dan CX-30, tetapi ia diberikan bampar dengan gril yang jauh lebih kecil. Terdapat liang udara tambahan pada bahagian bawah yang dilihat terbahagi kepada dua, manakala kedua-dua hujung diberikan lampu kabus yang direka nipis.

    Tokyo 2019: Mazda MX-30 didedahkan – SUV elektrik sepenuhnya, 141 hp/265 Nm, jarak gerak 209 km

    Disebabkan penggunaan motor elektrik yang lebih kompak dari enjin konvensional, bonet MX-30 ini juga dapat direka lebih rendah dan nampak lebih panjang, serta ia nampak sesuai dengan bumbung yang direka landai kebelakang yang nampak seperti sebuah coupe. Segala elemen rekaan nampak lebih menyerlah menerusi warna badan dua tona, dan juga kemasan dengan perkataan “Mazda” yang memisahkan dua warna berkenaan pada asas tiang-D.

    Paling mengejutkan, MX-30 diberikan pintu jenis ‘suicide‘ (pintu belakang dibuka terbalik) seperti pada kereta sport wankel rotary Mazda RX-8 yang digelar sebagai “freestyle door”. Jadi, jika anda mahu ke bahagian belakang, pintu hadapan perlu dibuka terlebih dahulu.

    Pada bahagian belakang pula, ia menerima lampu belakang sekali lagi agak seiras dengan CX-30, tetapi ia lebih pendek pada bahagian yang terletak pada pintu tailgate. Jika diperhatikan lagi, ada kemasan tambahan yang terletak di atas lampu tersebut, bersambung dengan spoiler bumbung.

    Tiada tip ekzos (sudah tentu) pada kereta elektrik ini, jadi tiada kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang, namun ia masih menampilkan kemasan bagi meletakkan reflektor-reflektor cahaya dan juga kamera undur bagi mengelakkan ia nampak terlalu kosong.

    Selain itu, MX-30 juga diberikan panel-panel pelindung badan pada setiap ruang roda dan bahagian bawah pintu yang berwarna hitam, menambah lagi elemen lasak sebagai sebuah SUV. Rim bersaiz 18-inci dipadankan pada model ini bagi melengkapkan rupanya.

    Pada bahagian, MX-30 tampil dengan rekaan lebih tersendiri, terutamanya konsol tengah yang menempatkan tombol gear dan kawalan Commander untuk sistem infotaimen Mazda Connect direka seakan terapung – mungkin kerana kedudukan bateri di bawah lantai. Kawalan untuk sistem pendingin hawa juga kini bercorak digital menerusi skrin bersaiz tujuh-inci, pertama kali untuk Mazda. Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dan juga roda stereng yang diambil dari model-model Mazda sedia ada.

    Kemasan-kemasan uang berwarna perang dalam kabin ini bukanlah kayu mahupun plastik, ia adalah bahan gabus yang sama seperti gabus yang digunakan pada penutup botol minuman keras seperti wain atau jus sparkling. Ini adalah salah satu usaha Mazda kearah lebih mesra alam dengan menggunakan bahan-bahan organik, selain unit janakuasa elektrik yang digunakan pada MX-30 ini.

    Menurut Mazda, MX-30 ini akan mula dijual di UK pada 2021 dengan harga di bawah 30,000 pound, tidak termasuk pelbagai insentif yang ditawarkan di negara tersebut.

     
     
  • Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Pertama kali diperkenalkan pada 2014, kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) Toyota Mirai kini ditunjukkan dalam bentuk terbarunya. Dikenali sebagai Toyota Mirai Concept dan dipertontonkan ketika Tokyo Motorshow 2019, ia disifatkan sebagai model yang sangat hampir dengan versi yang akan dikeluarkan kelak, dijangka hujung tahun 2020.

    Paling ketara, rekaannya jauh lebih matang dan menarik, seolah-olah memperlihatkan pertembungan antara rekaan yang biasanya kita lihat pada sayap premium Toyota; tidak lain, jenama Lexus. Menggunakan binaan pacuan roda belakang serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) seperti yang ada pada model Crown, Mirai baru ini nanti akan turut menerima pertambahan dimensi fizikalnya.

    Ukurannya ialah 4,975 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,470 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,920 mm – ia 85 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 65 mm lebih rendah berbanding yang lama. Jarak antara roda merupakan pertambahan paling banyak, dengan 140 mm lebih panjang.

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Gaya Mirai baru ini juga lebih tenang dan ringkas, tetapi diterapkan juga bersama lengkuk-lengkuk badan yang lebih rumit – menjadikan penampilannya jauh lebih agresif dan sporty. Sama seperti kereta Toyota sedia ada, bahagian depannya didominasi oleh rekaan gril trapezoid besar, tanpa inlet di sudut, dan dilengkapi dengan rekaan lampu utama tirus bertingkat. Bahagian bonet juga lebih panjang, turut menyumbang kepada rupa baru yang “tajam”.

    Dari sisi, garis bumbung dan ruang enam-cermin yang ada kini lebih rendah hingga ke belakang. Bahagian bahu pada badannya bagaimanapun tampil ketara, menampakkan imej lebar seperti pada Supra jika dilihat dari belakang. Penampilan ini dikukuhkan oleh lampu belakang yang lebar, serta diffuser saiz besar – rim pula dalam saiz 20-inci, dengan warna Force Blue pelbagai lapisan cat.

    Di dalam, kerana pendekatan yang diambil lebih mirip kepada sentuhan premium pada ruang kabin kenderaan Lexus. Papan pemuka ringkas dan nipis, dengan paparan utama skrin infotainmen 12.3-inci serta paparan instrumen digital. Dengan binaan dan kedudukan fuel cell yang baru menggunakan platform TNGA ini, ia membolehkan penggunaan konfigurasi lima-tempat duduk – lebih satu dari Mirai lama.

    Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

    Toyota menjelaskan kereta ini bakal memberikan pertambahan jarak perjalanan yang 30% lebih berbanding sebelum ini, disumbang oleh pertambahan kapasiti storan hidrogen – khabarnya mampu bertahan sehingga 650 km penggunaan. Prestasi juga mungkin lebih baik (pertambahan kuasa dan daya pecutan), sebagai melengkapi rekabentuk moden dan sporty yang dibawa kini.

    Menyentuh soal mengapa Toyota memberi tumpuan dan lanjutan terhadap pembangunan kenderaan dengan teknologi fuel cell seperti Mirai ini adalah kerana mereka percaya bahawa hidrogen adalah tenaga yang cekap untuk masa hadapan. Ia boleh diperoleh atau dihasilkan daripada beberapa sumber, dan lebih penting, dengan hidrogen, kenderaan terbabit tidak membebaskan gas C02 langsung.

    Platform TNGA yang memang dari awal telah direka untuk membolehkan penggunaan sistem janaan hidrogen turut disifatkan mampu memberikan ketahanan yang lebih baik. Ditambah dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah, Toyota memaklumkan ia akan menyumbang kepada kelincahan serta tahap maklum balas yang lebih baik dan menawarkan pengalaman pemanduan yang jitu.

     
     
  • Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Untuk Tokyo Motorshow 2019, sangat jelas arah tuju yang ditunjuk oleh jenama pengeluar utama Toyota/Lexus; semuanya adalah tentang kemaskini terhadap teknologi kenderaan elektrik dan juga yang menggunakan sumber tenaga diperbaharui.

    Lexus sebagai jenama premium dari kumpulan berkenaan juga tidak ketinggalan dalam merangkul aspirasi sama melalui model Lexus LF-30 Concept yang membuat penampilan sulung umum pada acara berkenaan – manifestasi kepada sebuah kereta dengan teknologi elektrik terkini.

    Lexus LF-30 Concept juga mempamerkan wawasan dan pandangan Lexus terhadap penggayaan rekabentuk kenderaan masa hadapan. Ia sebuah rekaan yang dihasilkan khusus untuk model konsep ini, dan bukannya diwarisi daripada model-model konsep sebelum itu, misalnya seperti Lexus LF-1 Limitless yang diperkenalkan pada awal 2018.

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Rekaan Lexus LF-30 lebih tersendiri. Wajah depan tampil dengan rekaan “spindle grille” yang lebih besar dan tajam. Wajah depannya juga kelihatan besar, dengan dua bukaan udara luas di sudut bampar serta rekaan lampu yang tirus antara yang membentu imej futuristik ketara. Di lihat dari sisi, garis badan dan profil tepinya juga punya sentuhan unik; kekal dengan elemen rekaan yang tajam, tetapi lebih “kembung” di bahagian belakang.

    Bahagian belakang melengkapkan lagi imej yang ingin dibawa oleh model konsep ini, dengan rekaan lampu berbentuk L dan elemen bersegi yang tajam turut diteruskan. Menjadi teras kepada elemen “Lexus Electrified” pada model ini ialah teknologi Lexus Advanced Posture Control yang mengawal selia output kuasa dari motor elektrik dengan kadar tork tinggi dan melaraskan postur kenderaan agar selari dengan deria manusia.

    Tokyo 2019: Lexus LF-30 pamer teknologi elektrik maju

    Menurut Lexus, kereta ini juga akan mempamerkan teknologi pemanduan autonomous serta generasi yang akan datang. Sistem sterengnya menggunakan pendekatan steering-by-wire, dan boleh disorok masuk ke dalam bahagian papan pemuka sekiranya di dalam mod melayar automatik. Rekabentuknya juga berbeza daripada rekaan bulat yang biasa; ia berbentuk seperti pemegang bersegi. Ia juga menggunakan sistem stereng untuk pacuan semua roda.

    Setiap roda juga akan mempunyai motor tersendiri dan mampu berfungsi secara independen; ini membolehkan ruang kabin yang tersedia lebih luas untuk keselesaan pemandu dan penumpang. Menurut Lexus lagi, LF-30 adalah aspirasi kepada kenderaan dengan teknologi elektrik akan datang bagi jenama itu, yang turut terdiri daripada pilihan dari jenis EV, PHEV, hibrid atau FCEV.

    Lexus LF-30 di Tokyo Motorshow 2019

    Lexus LF-30: Gambar rasmi

     
     
  • Tokyo 2019: Honda CT125 buat penampilan, 125 cc

    Tokyo 2019: Honda CT125 buat penampilan, 125 cc

    Semasa Tokyo Motor Show 2019, Honda bukan setakat membawa model kereta, tetapi juga motosikal. Selain model-model semasa seperti Africa Twin CRF1100L, ADV 150, Monkey 125 dan CB650R, ada juga model yang membuat penampilan kali pertama kepada dunia iaitu CT125.

    Ia adalah sebuah motosikal yang dipanggil oleh Honda sebagai “Trekking Cub”, dengan sasaran menjadikannya sebuah motosikal yang mudah ditunggang hari-hari dan mempunyai kelengkapan yang membolehkannya masuk ke kawasan terpencil.

    CT125 menggunakan enjin satu silinder 124 cc yang sama seperti MSX125 dan Monkey 125, tetapi gaya badannya lebih kepada sebuah scrambler. Antara rekaan uniknya adalah seperti ekzos, penapis udara dan salur angin yang tinggi, fender depan besi, tapak meletak barang di belakang dan suspensi yang bersesuaian.

    Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk meter bulat jenis digital, rim spoked dengan tayar pelbagai guna, brek cakera depan dan belakang, panel badan yang minimal, lampu bulat LED di hadapan, lampu penunjuk arah LED petak, dua penyerap hentak di belakang dan pemegang yang tinggi.

    Honda tidak memberitahu bila ia akan berada di pasaran, sama ada untuk negara lain ataupun Jepun sendiri, tetapi kemungkinan ia tidak lama lagi kerana model ini sememangnya sudah bersedia untuk menjadi penawaran unik baru dari Honda.

     
     
  • Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Apabila Tokyo Motor Show membuka tirai hari ini, akhirnya Honda Jazz serba baru juga didedahkan secara penuh. Hatchback generasi keempat ini dijual sebagai Fit di Jepun dan Amerika Syarikat, dan ia akan mula berada di pasaran pada bulan Februari 2020 di Jepun.

    Honda memberitahu model baru ini dibangunkan dengan lebih “nilai emosional”, dengan mengambil penting keselesaan serta hubungannya dengan manusia. Secara keseluruhannya ada lima varian Fit yang diperkenalkan iaitu Basic, Home, Ness, Luxe dan Crosstar.

    Seperti diketahui daripada namanya, Basic adalah varian permulaan, dengan kit serta rekaan yang asas seperti rim besi. Varian Home pula menggunakan rim yang lebih bergaya, jalur krom pada gril, tempat duduk fabrik serta stereng yang dibalut dengan kulit manakala Ness mempunyai pilihan warna lebih menarik, fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.

    Paling ranggi adalah varian Crosstar, yang menggunakan gaya crossover serta kelengkapan seperti rim 16 inci, rel atas bumbung, cermin sisi krom, serta tambahan kemasan plastik di bawah pintu serta lengkuk tayar. Varian ini juga menggunakan fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.

    Varian Luxe adalah varian yang paling mewah, dengan bahagian luarnya mempunyai kemasan krom di side skirt, gril serta cermin sisi, rim 16 inci serta kemasan hitam berkilat di bampar. Pada bahagian dalam, ia menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit.

    Setakat ini masih belum ada perincian tentang penggerak Jazz/Fit baru ini, tetapi Honda ada memberitahu bahawa sistem hibrid i-MMD dua motor baru padanya akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada barisan model e:HEV baru jenama itu.

    Tokyo 2019: Honda Jazz 2020 – generasi keempat didedah, lima varian, sistem hibrid dua motor baru

    Sebagaimana yang boleh dilihat, rekaan Jazz baru ini telah berubah sepenuhnya berbanding model sebelum ini, termasuk lampu hadapan yang lebih besar, A-pillar yang lebih nipis untuk memberi penglihatan lebih jelas kepada pemandu serta lampu belakang yang lebih konvensional berbanding menegak sebelum ini.

    Pada bahagian dalam, panel instrumen mempunyai bahagian atas yang lebih rata manakala tempat duduknya adalah rekaan baru yang ditingkatkan dengan ciri penstabilan badan – kurang letih bagi pemandu dan pengguna. Tetapan tempat duduk belakang masih sama, tetapi kusyennya ditambah lebih tebal supaya lebih selesa.

    Antara ciri keselamatan serta sistem bantuan baru untuk Jazz 2020 ini adalah termasuk kamera pandangan luas di hadapan, sebagai tambahan kepada pakej Sensing yang diberikan secara standard untuk semua varian. Jazz baru ini juga menjadi model pertama yang dilengkapi dengan modul komunikasi dalaman Honda CONNECT.

     
     
  • Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini telah menambah sebuah lagi pusat 3S Toyota (jualan, servis dan alat ganti) untuk meningkatkan lagi khidmat terhadap pelanggan, kali ini bertempat di Nilai, Negeri Sembilan. Cawangan baru ini dikendalikan oleh Unitedstar Corporation Sdn Bhd yang telah menjadi rakan niaga UMWT sejak 1995.

    “Perniagaan kenderaan kini semakin kompetetif. Untuk itu, UMW Toyota Motor menggalakkan pengedar sah kami untuk menaiktaraf kemudahan dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan pengguna, baik dari segi jualan mahupun lepas jualan,” jelas Presiden UMWT, Ravindran K.

    Pusat 3S Toyota terbaru kini mula beroperasi di Nilai

    “Kami yakin Unitedstar Corporation Sdn Bhd akan dapat memberikan khidmat profesional kepada pelanggan Toyota,” tambah beliau. Selain ruang pameran yang luas, premis berkenaan juga menempatkan 10 ruang servis, ruang menunggu yang selesa serta alat ganti yang tersedia. Premis terbaru berkenaan kini menyertai rangakaian 90 cawangan Toyota yang menyediakan jualan serta perkhidmatan lepas jualan di seluruh negara.

    Premis terbaru ini terletak di Lot 19745 – Lot 19758, Jalan Nilai Perdana 7, Taman Nilai Perdana, 71800 Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.

     
     
  • Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Masih ingat dengan Honda Freed yang pernah dijual untuk pasaran tempatan? Walaupun di Malaysia model berkenaan kurang mendapat sambutan, MPV mini Honda ini masih diraikan di Jepun. Model generasi keduanya kini diberikan facelift terbaru, dan kekal menawarkan konfigurasi enam atau tujuh tempat-duduk; sementara bagi Freed+, ia hadir dengan lima-tempat duduk.

    Kemaskini penampilan yang diberi bagaimanapun tidaklah terlalu ketara. Luaran misalnya hanya menerima kelainan wajah depan MPV ini. Palang yang melintang dan menghubungkan lampu utamanya kini lebih kurus – seperti yang turut dijangka pada Jazz terbaru. Rekaan bonet pula adalah baru untuk disesuaikan dengan muka depannya. Tidak ketinggalan, rekaan bampar juga baru.

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Bagaimanapun, Freed terkini ada melibatkan pertambahan terbaru; varian Crosstar diperkenalkan, yang menyuntik elemen crossover pada MPV kecil berkenaan. Antaranya, gril baru digunakan, plastik hitam sebagai tambahan pelapik di sekeliling badan, lampu kabus LED, landasan bumbung, rim 16-inci dwi-tona, skid plate, cermin sisi serta pemegang pintu dalam warna perak.

    Bahagian dalam pula antaranya menerima corak fabrik baru bagi tempat duduk. Freed terbaru ini juga lengkap dengan pakej keselamatan Honda Sensing, lengkap dengan ciri seperti AEB serta kawalan melayar adaptif. Selain itu, ciri tambahan seperti brek enjin ketika menuruni cerun sekiranya input brek melebihi tekanan tertentu juga disediakan.

    Honda Freed 2020 Crosstar terima penggayaan SUV

    Pilihan enjin masih kekal dengan unit L15B 1.5 liter i-VTEC empat-silinder dengan janaan 132 PS pada 6,600 rpm dan 155 Nm tork pada 4,600 rpm. Ini diganding bersama transmisi CVT, dengan pilihan pacuan roda depan ataupun semua roda.

    Selain itu, versi hibrid turun diteruskan, dengan unit enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC yang menghasilkan 110 PS/134 Nm. Sebuah motor elektrik dan transmisi klac berkembar menyalurkan kuasa keseluruhan sistem sebanyak 137 PS dan 170 Nm. Kadar penggunaan minyak mengikut WLTP ialah 20.8 km bagi setiap liter. Warna baru turut diperkenalkan, iaitu Premium Crystal Orange Metallic II, Silver Mist Green, Platinum White Pearl, Super Platinum Grey dan Midnight Blue Beam.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

    PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

    Di pasaran Malaysia, memang banyak juga pilihan SUV crossover mewah yang memiliki prestasi luar biasa. Ada juga yang berharga hampir atau lebih sejuta Ringgit. Kalau dah terlebih mampu, duit bukanlah masalahnya untuk mendapatkan apa yang diingini.

    Tapi mungkin yang sudah memiliki beberapa barisan kereta mewah dan berprestasi, mahu menambahkan koleksi dengan memilih SUV crossover di bawah bajet RM450k, kami boleh sarankan Mercedes-Benz GLC 300 Coupe AMG Line. Pertama kali melihat SUV ini dilancarkan pada Mac lalu dalam acara Festival Hungry For Adventure anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM), hati ini memang cukup tertarik dengannya.

    Setelah beberapa bulan berada di pasaran, barulah penulis berpeluang memandu uji SUV crossover unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang MBM di Pekan, Pahang. Ini bukan pertama kali penulis mengendalikan jentera sedan mahu pun SUV dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder, tapi dengan SUV crossover seperti GLC 300 Coupe AMG Line ini, terasa ada sedikit kelainannya. Mungkin kerana bancuhannya yang berbeza daripada sudut mekanikal, membuatkan pengendalian GLC 300 Coupe ini agak mengasyikkan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyata, Lexus lancar tiga EV baharu menjelang 2021?

    Toyata, Lexus lancar tiga EV baharu menjelang 2021?

    Untuk penganjuran Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan membuka tirainya pertengahan minggu ini, Lexus telah mengesahkan bakal memperkenalkan model konsep elektrik. Walau bagaimana pun, difahamkan, bergandingan dengan Toyota, dua jenama gergasi ini akan menawarkan tiga kenderaan elektrik penuh dalam menjelang tahun 2021.

    Menurut Autocar, rancangan ini nampaknya sahih, namun setakat ini tidak sebarang perincian penuh mengenai model yang bakal diperkenalkan itu memandangkan Lexus hanya akan mempertontonkan model konsep futuristik di TMS.

    Sebelum ini, Toyota memang tidak asing dalam menggunakan elektrifikasi dalam penghasilan kenderaan. Malah ia menjadi pelopor bagi pengenalan teknologi hibrid yang diperkenalkan menerusi model Prius pada tahun 1997. Walau bagaimana pun, dalam diam, Toyota mula memperkemaskan lagi langkahnya dengan memperkenalkan EV, selain terus menawarkan lebih banyak model plug-in hybrid.

    Ketika berucap dalam pelancaran model Lexus RX yang dipertingkatkan, timbalan ketua jurutera Nouhisa Hatta berkata, “Jika anda melihat hibrid, ia terdiri daripada bateri, enjin, motor dan PCU. Tapii jika mempertingkatkan bahagian bateri, ia akan menjadi PHEV. Tapi jika ICE dikeluarkan, ia bakal menjadi EV tulen.”

    Sambungnya lagi, “Kami telah pun mempunyai teknologi berkenaan. Kami hanya menantikan masa yang sesuai. Ia penting untuk meningkatkan ruang perniagaan dan mampu membuat keuntungan. Jika anda lihat pada fakta mengenai apa yang berlaku di pasaran sekarang, teknologi PHEV direfleksi daripada harga (kereta berkenaan). Jika kita hendak menambah EV dalam barisan produk, ia harus mampu untuk pengguna biasa.”

    Ketika ditanya apakah perbezaan antara sistem hibrid dan PHEV antara Toyota dan Lexus, jurucakap berkenaan berkata, “Hari ini, ia adalah arah penjimatan paling ketara bagi penjana kuasa hibrid dalam situasi yang sebenar.” Menurut statistik (data yang diperoleh dari pasaran UK), PHEV sering dijanakan oleh petrol semata-mata. Contohnya, RX yang dianggar menggunakan bahan api sebanyak 5.47 liter bagi setiap 100 km berbanding model pesaing dalam segmen PHEV iaitu sekitar 7.35 liter per 100 km.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    SUV dengan tiga baris tempat duduk, Mazda CX-8 belum lagi dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Namun ketika satu majlis khas sempena kumpulan pertama model ini keluar dari barisan produksi di kilangnya di Kulim, Kedah pada awal bulan ini, kami telah berkesempatan untuk memandu ujinya secara ringkas.

    Kalau kita lihat rupa CX-8 ini, ia kelihatan seolah-olah hanya sebuah CX-5 yang dipanjangkan, tetapi adakah karekternya juga masih sama dengan adiknya yang hanya mempunyai dua baris tempat duduk itu?

    Jika dilihat pada dimensi, CX-8 menampilkan ukuran panjang 4,900 mm, lebar 1,840 tinggi 1,730 mm. Berbanding CX-5, CX-8 ini adalah 350 mm lebih panjang dan 50 mm lebih tinggi, tetapi masih menampilkan lebar yang sama. Manakala jika dibanding dengan model flagship CX-9, model ini adalah 175 mm lebih pendek, 129 mm kurang lebar dan 17 mm lebih rendah.

    Menurut Mazda, platform CX-8 ini adalah hampir keseluruhannya diambil dari CX-9, dan sebab itulah kedua-dua model tersebut mempunyai jarak roda yang sama iaitu 2,930 mm. CX-8 ini adalah penawaran Mazda bagi mengisi ruang antara CX-5 dan juga CX-9 – bermaksud ia adalah SUV yang lebih banyak tempat duduk dari CX-5 jika anda perlukan, tetapi ia masih tidak semewah apa yang ditawarkan pada CX-9.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Mazda masih belum mengumumkan harga sebenar CX-8 ini, namun kita boleh jangka bahawa harganya juga akan terletak di tengah-tengah antara CX-5 dan CX-9. Untuk rekod, Mazda CX-5 dijual pada harga bermula RM137k hingga 178k, manakala CX-9 pula dijual pada harga bermula RM289k hingga RM306k.

    Empat varian CX-8 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD. Dari segi rupa, muka CX-8 ini masih lagi seiras dengan CX-5. Kedua-duanya dibezakan dengan pemadanan gril di mana CX-5 menerima gril mesh, manakala CX-8 diberikan elemen slat seakan gril pada CX-9.

    Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED. Selain dari rim, model diesel juga boleh anda kenali dari luar berdasarkan sepasang rel bumbung yang diberikan dengan kemasan perak.

    Masuk ke kabin, anda akan dihidangkan dengan papan pemuka yang diambil terus dari CX-5. Namun untuk CX-8 ini, ia masih menggunakan kelengkapan CX-5 terdahulu – dibekalkan dengan instrumen analog bersama skrin pelbagai info LCD TFT tanpa meter kelajuan digital.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk (2-2-2) dan juga upholsteri fabrik, manakala model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk (2-3-2) dengan baris kedua menerima kerusi kapten dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

    Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan pada SUV ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

    Sistem bantuan pemanduan Mazda i-Activesense pula hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Untuk model petrol, ia dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi diesel akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

    Bagi sesi pandu uji ini, saya hanya berkesempatan untuk menguji model turbodiesel 2.2L AWD. Sebelum berpeluang untuk memandu, saya terlebih dahulu mencuba untuk duduk di bahagian paling belakang, kerana untuk model-model tiga baris tempat duduk, ini adalah antara bahagian yang orang tertanya-tanya adakah ia cukup selesa atau tidak bukan?

    Dengan saiz CX-8 yang begitu besar, ruang pada bahagian tersebut boleh dikatakan agak ok dan selesa. Ia menampilkan ruang kaki yang ‘ngam-ngam’ untuk orang dewasa, dan hadir dengan ruang storan pada kedua-dua belah sisi yang agak besar membolehkan anda meletak satu botol air, sebungkus jajan dan juga telefon pintar tanpa masalah, dan ia juga turut boleh bertugas sebagai perehat tangan.

    Kulit Nappa yang membaluti tempat duduk SUV ini juga sangat lembut, membuatkan ia bukan sahaja sangat selesa, malah rasa premium dalam kabin turut bertambah. Suspensi yang ditala dengan cukup baik juga tidak menjadikan anda terasa melambung-lambung walaupun duduk betu-betul di atas ruang roda.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Mazda juga mengambil berat aspek NVH sehingga kebahagian paling belakang ini bukan sahaja dengan menambah bahan menyerap bunyi dan getaran pada tiang-D serta dinding di bawahnya, malah jarak antara kemasan bumbung dan spoiler belakang juga diambil kira bagi mengurangkan bunyi yang masuk ke kabin semaksima yang mungkin.

    Tetapi, bukanlah bermaksud ruang ini pada CX-8 adalah sempurna. Pertama, lantai pada tempat duduk paling belakang ini masih lagi lebih tinggi dari hadapan (kerana di bawahnya terletak pelbagai sistem mekanikal antaranya sistem suspensi dan juga gandar untuk pacuan roda belakang), membuatkan lutut anda berada pada posisi lebih tinggi – kalau anda ada perut besar macam saya, tentulah ini juga menyumbang kepada ketidakselesaan.

    CX-8 juga masih mengekalkan liang udara sistem pendingin hawa kabin belakang di konsol perehat tangan kabin hadapan dan bukan terletak pada bumbung, jadi penumpang paling belakang tidak berpeluang untuk mendapat udara sejuk yang dihala tepat ke muka.

    Walau bagaimanapun, Mazda menyatakan bahawa mereka telah melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan penumpang belakang kekal sejuk, antaranya mewujudkan satu liang kecil yang terdapat di bawah tempat duduk baris kedua, khas untuk penumpang di baris ketiga. Memang benar bahagian ini sebenarnya memang sejuk, tapi sebagai rakyat Malaysia, rasa tak puas kan kalau tak dapat ‘angin ekon’ yang dihembus terus ke muka?

    Jika anda nak rasa seperti seorang ‘bos’, kerusi kapten pada baris kedua adalah tempatnya. Bahagian tersebut bukan sahaja luas, ia juga memberikan rasa lebih privasi dengan rekaan tempat duduk yang lebih bersifat individual. Ia juga dapat memberikan ada rasa seolah-olah menaiki sebuah MPV mewah, dan bukannya sebuah SUV.

    Ketika berpeluang memandu SUV ini, perkara pertama yang saya jangka adalah tujahan enjin turbodiesel Mazda yang sentiasa saya rindui selepas memandu sedan Mazda 6 SkyActiv-D dan juga CX-5 SkyActiv-D, kedua-duanya dibekalkan dengan enjin sama seperti CX-8 ini. Tapi sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, tujahan yang diharapkan nampaknya tidak hadir.

    Ini bukan bermaksud CX-8 diesel ini kurang berkuasa, ia masih memberikan pecutan yang sangat baik, cuma penghantaran kuasanya dirasakan sangat linear dan ia jauh lebih jinak dari CX-5. Kemudian saya teringat ketika sesi penerangan teknikal kereta ini sebelum pandu uji bermula tadi, pengurus program dari divisi produk Mazda, Koichiro Yamaguchi menerangkan bahawa nisbah gear akhir pada CX-8 ini adalah lebih panjang dari CX-5.

    PANDU UJI: Mazda CX-8 – SUV ‘ayah-ayah’ bergaya

    Talaan kotak gear berkenaan menjadikan anda akan rasa seronok untuk memandu CX-8 ini secara tenang, dan bukan sentiasa mahu memecut tak tentu hala dek kerana penangan tork 450 Nm tersebut. Ini juga sebenarnya sesuai dengan imejnya sebagai sebuah kenderaan untuk ‘ayah-ayah’ yang mempunyai anak yang ramai, dan tentunya sudah berusia dan mempunyai sifat lebih tenang berbanding orang muda.

    Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang pengendalian SUV ini kerana laluan uji pandu kali ini lebih tertumpu pada kawasan bandar dan juga jalan persekutuan serta lebuh raya yang lurus. Apa yang boleh saya komen adalah, walaupun dengan badan yang besar dan juga jarak roda yang panjang, ia masih lagi lincah untuk digunakan dalam suasana urban, dengan stereng yang memberikan respon yang cukup jitu seperti model-model Mazda lain.

    Sebagai kesimpulan, saya melihat CX-8 ini sebagai sebuah SUV yang jauh lebih matang dari CX-5, bukan sahaja dari segi rupa, malah karekter pemanduannya juga. Jika kedua-dua SUV ini adalah manusia, CX-5 adalah lelaki dalam lingkungan umur 20’an yang lincah dengan badan yang masih slim, manakala CX-8 pula adalah lelaki yang lebih berusia sekitar 35 hingga 40 tahun dengan sifat yang lebih matang, tidak terburu-buru, dan badan lebih berisi.

     
     
  • Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    Memandangkan bas mini yang telah membuat kemunculan semula di ibu negara sejak bulan lepas, mendapat sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan meminta agar Prasarana dan RapidKL untuk menambah dan memperluaskan perkhidmatan terbabit.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, ia berikutan perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dengan purata 1,200 penumpang sebelum ini telah meningkat kepada 1,800 penumpang setiap hari di laluan T304 (Ampang Point ke Bukit Indah).

    Memetik laporan Bernama, Loke berkata, “Kelebihan bas yang lebih kecil ini ia lebih mudah untuk masuk ke kawasan perumahan dan ini memudahkan pemandu bas maka tempoh untuk trip itu lebih pendek dan beroperasi dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak.

    Perkhidmatan bas mini perlu ditambah dan diperluaskan di sekitar KL – Anthony Loke

    “Rapid KL telah membuat kajian dan kebanyakan penumpang telah memberikan sokongan terhadap kepuasan hati mereka kepada perkhidmatan bas mini, jadi ini telah memberikan satu petunjuk kepada kita bahawa memang pengenalan bas mini ini mendapat sambutan kerana ia lebih cepat dan menjimatkan masa.”

    Dalam masa yang sama, beliau juga berharap perkhidmatan bas mini berkenaan diperkenalkan menjelang tahun hadapan terutamanya di kawasan perumahan dan berharap lebih banyak syarikat operator bas swasta yang akan melabur demi mempertingkatkan perkhidmatan bas itu.

    Setelah menamatkan perkhidmatan hampir 21 tahun yang lalu, perkhidmatan bas mini membuat kemunculan semula dengan trip percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi, mulai 1 September hingga 29 November 2019. Di mana bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

     
     
  • PLUS umum persimpangan bertingkat Yong Peng (utara) ditutup sementara mulai 22 Okt-19 Nov 2019

    PLUS umum persimpangan bertingkat Yong Peng (utara) ditutup sementara mulai 22 Okt-19 Nov 2019

    Menerusi laman web rasminya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan sementara laluan di Persimpangan Bertingkat Yong Peng (Utara) di KM99.30 di Lebuhraya Utara-Selatan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaiktaraf jalan berkenaan. Penutupan laluan dan kerja-kerja menaiktaraf berkenaan akan dilaksanakan selama 29 hari bermula pada 22 Oktober (hari ini) sehingga 19 November 2019.

    Sehubungan itu, pelanggan lebuh raya dari arah Johor Bahru dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif untuk ke Yong Peng, Batu Pahat atau Segamat. Pengguna boleh keluar melalui Plaza Tol Yong Peng (Selatan) di KM94.55 iaitu melalui Jalan Persekutuan untuk ke Yong Peng/Batu Pahat/Segamat. Selain itu, pengguna juga boleh beluar melalui Plaza Tol Ayer Hitam di KM80.22 dengan melalui Jalan Persekutuan ke Batu Pahat/Segamat.

    Walau bagaimanapun, laluan lorong masuk Plaza Tol Yong Peng (Utara) dibuka dan beroperasi seperti biasa untuk pengguna yang menghala ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur. Sementara itu, pengguna dari arah Kuala Lumpur juga boleh keluar menggunakan Plaza Tol Yong Peng (Utara) untuk ke Yong Peng, Batu Pahat atau Segamat.

    Sehubungan dengan itu, PLUS ingin menasihatkan semua pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan dan mematuhi semua papantanda serta arahan yang dikeluarkan.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui telah menerima empat tawaran rasmi daripada pelbagai syarikat korporat yang berhakjat mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    Menurut Menteri KKR, Baru Bian, pihak yang mengemukakan tawaran tersebut ialah Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad. Dan kesemua tawaran tersebut akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu lagi untuk diputuskan.

    “Pada tahap ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi KKR yang bertanggungjawab atas lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, kita menyediakan semua tawaran ini dan akan kemukakan kepada kabinet dan akan menasihati kabinet apa yang baik dari segi kita. Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya seperti yang dlaporkan oleh Bernama.

    Isu ambil alih PLUS: Kerajaan akui dapat empat tawaran, keputusan diputuskan beberapa minggu lagi

    Tambahnya lagi, walaupun kementerian mempunyai tempoh masa sendiri untuk menyelesaikan perkara tersebut namun akan cuba melakukannya secepat mungkin kerana memahami ia merupakan kebimbangan rakyat.

    “Kita akan lakukan dalam waktu yang diperuntukkan dan kita memang mahu ia dilaksanakan secepat mungkin. Saya faham ini satu isu yang dibimbangkan bagi rakyat Malaysia dan sudah pasti kita tak akan melengahkannya terlalu lama,” katanya.

    Pada 7 Oktober lalu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham terbesar PLUS telah membuat kenyataan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan, Khazanah memang banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak. Namun mengambil keputusan untuk menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

     
     
  • Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    Menurut Presiden dan CEO Volvo Hakan Samuelsson, pengeluar kereta Sweden itu menjangka bakal menjadi jenama kereta elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang, dan ini bergantung kepada permintaan para pelanggannya yang melangkah lebih ke hadapan.

    Syarikat ini mendedahkan kenderaan elektrik pasaran semaa pertama adalah dalam bentuk XC40 Recharge, dan mengumumkan rancangan untuk menjadi neutral iklam menjelang 2040. Volvo mensasarkan 50% daripada jualan global mereka menjelang 2025 adalah daripada kereta elektrik penuh, dan selebihnya adalah hibrid. Sambil menambah, setiap model baharu yang dilancarkan akan dielektrifikasikan, dengan kereta elektrik sepenuhnya diperkenalkan dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

    Bercakap kepada Autocar UK, Samuelsson berkata hanya satu perkara apabila Volvo hanya menjadi jenama elektrik semata-mata dan bukannya berkata “orang yang akan menentukan (masa) adalah pelanggan. Semakin tinggi peratusan kereta elektrik, semakin cepat kita akan menghentikan enjin pembakaran. Jika hanya sebilangan kecil (jualan) melibatkan enjin pembakaran, mungkin kita akan lebih cepat menghentikannya.”

    Buat masa ini, Volvo masih belum mendedahkan model EV selepas XC40 Recharge, tetapi syarikat ini memang cukup komited untuk menawarkan versi elektrik bagi model semasanya, dan telah membangunkan penjana kuasa yang bersesuaian dengan pendekatan tersebut.

    Volvo sasar jadi jenama kereta janaan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun akan datang

    XC40 dibangunkan dengan Compact Modular Architecture (CMA), dan ia boleh digunakan untuk enjin pembakaran dalaman konvensional, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Untuk model besar seperti XC60, XC90, S60 dan S90, buat masa ini Volvo sedang membangunkan versi baharu untuk Scalable Product Architecture (SPA) yang digunakan oleh model berkenaan, yang dijangka diperkenalkan pada 2021, dimulakan dengan model generasi akan datang bagi XC90.

    Sub-jenama Volvo, Polestar, yang berkongsi platform dan pembangunan bersama, telah pun memiliki Polestar 2 yang berasaskan-CMA, dan dilaporkan sedang membangunkan SUV bersaiz besar baharu yang dikenali sebagai Polester 3 – pesaing Tesla Model X – yang kemungkinan besar merupakan EV akan datang Volvo.

    “Saya tidak akan menolak bahawa kita akan memperluaskan model lain bagi saiz ini,” ujar Samuelsson, sambil menambah pengeluar kereta itu juga mungkin akan mempertimbangkan nama baharu yang terdiri daripada kereta yang lebih kecil dan lebih besar pada masa akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026