Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ducati Streetfighter V4 – 208 hp, 123 Nm tork, 178 kg

    Ducati Streetfighter V4 – 208 hp, 123 Nm tork, 178 kg

    Model paling utama yang didedahkan semasa acara Ducati World Premiere (DWP) 2020 adalah Streetfighter V4. Ia diperkenalkan dalam dua versi dengan harga 19,990 euro (RM93,094) dan 22,990 euro (RM107,019) di Itali. Model ini akan memasuki pasaran awam pada bulan Mac 2020, dan datang dengan sayap aerodinamik di bahagian tepi, yang dikatakan dapat meningkatkan stabiliti pada kelajuan tinggi dan membantu mengelakkan tayar depan terangkat waktu memecut laju.

    Beza utama antara dua versi Streetfighter V4 ini adalah suspensi, di mana model asas mendapat unit boleh laras sepenuhnya secara manual manakala Streetfighter V4 S menggunakan suspensi elektronik sama seperti Panigale V4. Kuasa daripada enjin empat silinder V Stradale 1,103 cc yang digunakan masih lagi sama iaitu 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Kedua-dua enjin dan kerangka monocoque pada model naked ini diambil terus daripada Panigale V4, cuma Streetfighter V4 ini tidak mempunyai banyak panel badan untuk mengekalkan gaya “streetfighter” mereka. Keunikan lain adalah pemegang yang lebih tinggi, serta lampu hadapan jenis projector dan DRL LED.

    Dengan berat kering 178 kg (hampir 200 kg apabila diisi segala minyak), Streetfighter V4 mencatat nisbah kuasa kepada berat 1.17 hp/kg, dan menurut ketua pegawai eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, ia adalah 25% lebih berkuasa berbanding pesaing terdekatnya.

    Jumlah ini ditingkatkan lagi apabila menggunakan ekzos Akrapovic titanium, yang juga menjadikan kuasanya naik kepada 216 hp dan mengurangkan lagi empat kilogram. Penyampaian kuasa Streetfighter V4 ini berbeza berbanding Panigale V4 kerana ia mampu menghasilkan 14% lebih tork pada kelajuan 100 km/j.

    Kalau dibandingkan dengan Streetfighter 1098 sebelumnya, model V4 ini mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j. Prestasi ini dicapai bukan dengan talaan kepada enjin, tetapi cuma penukaran sprocket yang lebih besar di belakang dan lebih kecil di hadapan. Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.

    Ducati Streetfighter V4 – 208 hp, 123 Nm tork, 178 kg

    Kedudukan penunggang dihasilkan untuk lebih keselesaan atas jalan biasa di mana tempat duduk hadapannya mempunyai busa 60 mm manakala tempat duduk belakang adalah 25 mm lebih rendah berbanding Panigale V4. Untuk Streetfighter V4 S, suspensinya adalah daripada Ohlins, iaitu NIX 30 dan Smart EC 2.0 untuk hadapan dan monoshock TTX36 di belakang – kedua-duanya boleh dilaras secara elektronik.

    Sistem brek menggunakan khidmat Brembo, dengan unit angkup Stylema M4.30 Monobloc serta cakera 330 mm di hadapan dan angkup dua piston serta cakera 245 mm di belakang, sekali dengan ABS Cornering EVO. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    Kelengkapan tambahan lain yang boleh dipilih oleh pemilik adalah seperti Ducati Data Analyser+ dengan modul GPS untuk kegunaan di litar, Ducati Linkapp, sistem anti curi, pemanas tangan, klac kering STM, rim Merchesini yang lebih ringan serta ekzos Akrapovic.

     
     
  • Tidak praktikal haramkan “kapchai” kerana majoriti penunggang motosikal menggunakannya – Loke

    Tidak praktikal haramkan “kapchai” kerana majoriti penunggang motosikal menggunakannya – Loke

    Pada tahun 2017, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pernah mencadangkan agar motosikal bersaiz kecil atau kapchai dihalang memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon.

    Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berpendapat langkah terbabit adalah tidak praktikal biar pun ada NGO yang mahukan agar kerajaan bertindak sedemikian.

    “Kita harus lihat adakah praktikal untuk melaksanakan langkah tersebut memandangkan majoriti penunggang motosikal menggunakan kapchai, iaitu dianggarkan sebanyak 16 juta motosikal yang didaftarkan adalah jenis kapchai. Banyak yang akan terjejas jika kita mengharamkan motosikal itu dan saya lihat ia sebagai langkah yang sukar untuk dilaksanakan,” ujar Loke seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Tambahnya lagi, sebagai alternatif, beliau boleh mencadangkan agar penggunaan motosikal elektrik digunakan secara meluas biar pun kuasanya yang agak kurang dan lebih perlahan. Malah, setakat ini, kerajaan juga tidak bercadang untuk mengharamkan kapchai ditunggang di lebuhraya.

    Tidak praktikal haramkan “kapchai” kerana majoriti penunggang motosikal menggunakannya – Loke

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini tentang pendirian kementerian sama ada bercadang menggantikan penggunaan motosikal kapcai dengan kenderaan yang lebih selamat dalam usaha mengurangkan kes kemalangan maut.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata cadangan untuk mewujudkan laluan khas khusus untuk motosikal adalah antara perkara yang akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Di mana laluan khas itu akan diwujudkan di kawasan-kawasan yang berbahaya kepada motosikal serta daerah yang banyak terlibat dengan kemalangan jalan raya.

    “Kementerian Pengangkutan bersama-sama Miros dan JKJR menggalakkan supaya kita dapat ke arah di mana ada laluan khas untuk motosikal tetapi ia memakan perbelanjaan besar kalau nak diwujudkan satu laluan motosikal saja. Namun begitu cadangan tersebut akan dikemukakan dalam RMK12,” katanya dalam sesi soal jawab lisan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata Laporan Perangkaan kemalangan Jalan Raya PDRM menunjukkan golongan belia berumur antara 16 hingga 30 tahun adalah yang paling ramai terkorban dalam nahas jalan raya. “Pada 2016, bilangan belia yang terkorban mencecah 2,818 orang dan bilangan ini menurun kepada 2,693 pada 2017. Pada 2018, bilangan belia yang terkorban adalah sebanyak 2,449 orang,” katanya.

    Tidak praktikal haramkan “kapchai” kerana majoriti penunggang motosikal menggunakannya – Loke

    Memetik laporan Bernama, Loke berkata daripada 2,693 kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan golongan belia pada 2017, sebanyak 72% daripadanya maut ketika menunggang atau membonceng motosikal.

    Beliau menjawab soalan asal Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung data jumlah belia berusia 30 tahun ke bawah yang terkorban dalam kemalangan jalan raya antara 2016 hingga 2018, dan adakah kemalangan jalan raya merupakan sebab kematian utama golongan itu.

    Bagi menangani masalah itu, Loke berkata MIROS menjalankan program dan aktiviti bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya pengguna motosikal, antaranya seperti program intervensi iaitu Program My Safe Road, Commuting Support Safety Programme (CSSP) dan Motorcycle Safety and Technology Symposium.

     
     
  • Toyota Raize – info bocor sebelum dilancarkan pada 5 Nov, adik-beradik SUV kompak segmen-B Daihatsu

    Toyota Raize – info bocor sebelum dilancarkan pada 5 Nov, adik-beradik SUV kompak segmen-B Daihatsu

    Pada penganjuran Tokyo Motor Show tahun ini, Daihatsu telah mendedahkan SUV kompak baharu – yang dilaporkan digelar sebagai Rocky – dan kini bakal muncul pula model adik-beradiknya dari Toyota yang dijadualkan dilancarkan pada 5 November ini di Jepun. Dipanggil Raize, model ini dibangunkan berasaskan Toyota New Global Architecture (TNGA), yang merupakan asas kepada Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang digunakan untuk SUV Daihatsu.

    Walau bagaimana pun wajah hadapan Raize berbeza dengan SUV kompak Daihatsu, dan nampak pula lebih kurang macam baby “RAV4”. Ciri yang menyerlah termasuklah corong yang diposisikan di bawah berbentuk trapezoidal yang disambungkan dengan lampu kabus bersudut, selain menampilkan jaluran lampu LED mendatar dan pengesan parkir. Bukan itu sahaja, kelihatan kepingan kemasan yang sama dengan warna badan dengan lambang Toyota, dan sepasang lampu utama yang lebih kurang sama bentuknya pada model Daihatsu.

    Berdasarkan foto yang dimuatnaik menerusi Twitter oleh @okm24k408, Toyota dijangka akan menawarkan beberapa pakej penggayaan, termasuk Modellista dan TRD, bagi yang inginkan rupa lebih agresif untuk Raize mereka.

    Menurut pandangan sisi pula, kedua-dua model Toyota dan Daihatsu ini hampir mirip, berkongsi dua tona warna yang sama, lapisan badan hitam dan “bumbung terapung”. Walau tiada foto untuk bahagian belakang, tetapi dijangkakan SUV ini juga akan menampilkan lampu belakang seperti model Daihatsu yang disambung pada palang krom tebal. Begitu juga dengan bahagian kabinnya yang turut dijangka saling mirip, dengan sentuhan Toyota di sana sini.

    Toyota juga masih belum mendedahkan dimensi bagi Raize, tapi mungkin ia tak jauh berbeza daripada SUV Daihatsu, yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm tinggi, 1,620 mm lebar, dan jarak rodanya pula 2,525 mm.

    Di bawah bonetnya pula, Raize dijanakan oleh enjin petrol 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa sehingga 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dan juga akan ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Sebelum ini, ada spekulasi mengatakan SUV segmen-B Perodua D55L dengan lima-tempat duduk, yang akan dibangunkan berasaskan SUV Daihatsu. Kami juga pernah mengesan model pembangunan Perodua yang sedang diuji di Genting Highlands awal bulan ini, yang menggunakan badan Axia tetapi dalam bentuk seperti wagon.

    Malah Perodua juga pernah mempamerkan X-Concept yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2018, dan jika benar SUV segmen-B Perodua, mungkin ia akan menerima bahagian hadapan yang unik yang diinspirasikan oleh model konsep berkenaan.

    GALERI: Daihatsu SUV kompak segment-B yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Perodua labur RM7 juta untuk kilang vendor hasilkan alat ganti Kancil, Viva, Kelisa & Myvi generasi pertama

    Perodua labur RM7 juta untuk kilang vendor hasilkan alat ganti Kancil, Viva, Kelisa & Myvi generasi pertama

    Bagi memastikan pelanggan yang menggunakan model-model lamanya masih mendapat bekalan alat ganti asli, Perodua telah melabur sebanyak RM7 juta untuk membeli mesin press stamping baharu bagi digunakan untuk salah satu kilang milik vendor mereka iaitu IQM Sdn Bhd yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

    Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

    Selain dari mesin baharu ini, Perodua juga telah memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model-model lama mereka ke IQM. Langkah ini membolehkan Perodua mendapat lebih ruang di dalam kilang mereka sendiri yang terletak di Rawang, sekaligus meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung.

    Perodua labur RM7 juta untuk kilang vendor hasilkan alat ganti Kancil, Viva, Kelisa & Myvi generasi pertama

    Bukan sahaja membekalkan segala kelengkapan, malah Perodua juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu bagi memastikan setiap komponen mempunyai kualiti yang sama seperti komponen-komponen asal.

    “Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Satu, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami. Kerana selagi anda memiliki kenderaan Perodua biar lama mahupun baharu sentiasa di sisi anda akan kami berada, ” kata Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    “Dua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia. Akhirnya, ia mewakili komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya kearah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan,” tambahnya lagi.

    Perodua labur RM7 juta untuk kilang vendor hasilkan alat ganti Kancil, Viva, Kelisa & Myvi generasi pertama

    Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu. Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.

    IQM pula telah dilantik sebagai vendor Perodua sejak 2002. la kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.

     
     
  • Lima juta penerima subsidi minyak M40 dikenalpasti

    Lima juta penerima subsidi minyak M40 dikenalpasti

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengesahkan, sebanyak lima juta lagi penerima termasuk daripada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) sedang dikenal pasti untuk menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) menerusi Kad95 yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.

    Katanya, setakat ini kira-kira tiga juta data penerima PSP terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sudah berjaya direkodkan. Manakala baki lima juta penerima lagi perlu dicari segera memandangkan Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion melibatkan lapan juta penerima untuk program berkenaan bagi 2020.

    “Kumpulan penerima dalam kalangan M40 dikenali sebagai ‘bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)’ dan kami akan berbincang dengan Menteri Kewangan tentang mekanisme khusus bagi tujuan pengumpulan data kumpulan berkenaan.

    Tambahnya lagi, pendaftaran untuk penerima daripada golongan B40 dan BSH sehingga kini masih dibuka, manakala tempoh pendaftaran dan semakan bagi kumpulan M40 pula akan dimaklumkan kemudian.

    Lima juta penerima subsidi minyak M40 dikenalpasti

    “Di mana satu pendekatan untuk kutipan data perlu dirangka, untuk B40 dah ada tapi M40 belum ada dan harus dikenal pasti pendekatan tepat bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Subsidi Kad95 ini akan diberikan kepada pengguna yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000, yang tidak layak menerima BSH disebabkan beberapa faktor.

    Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sistem Kad95 ini akan diimplementasikan pada suku pertama tahun 2020. Di mana penerima Kad95 akan menikmati subsidi minyak sebanyak 30 sen untuk setiap liter bagi petrol RON 95, terhad sebanyak 100 liter sebulan untuk kereta dan 40 liter sebulan bagi motosikal. Iaitu RM30 sebulan untuk kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal, sama jumlah seperti mana yang diperoleh penerima BSH.

    Apabila PSP diperkenalkan di Semenanjung Malaysia mulai Januari 2020, harga siling RM2.08 seliter untuk petrol RON 95 akan dimansuhkan dan harganya akan diapungkan. Berdasarkan kiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) terkini Kementerian Kewangan (untuk minggu bertarikh 26 Okt-1 Nov), petrol RON 95 sepatutnya berharga RM2.29 seliter tanpa harga siling.

     
     
  • Pemakaian topi keledar masih dipandang ringan terutama menunggang/membonceng dalam jarak dekat

    Pemakaian topi keledar masih dipandang ringan terutama menunggang/membonceng dalam jarak dekat

    “Ala setakat pergi kedai dekat saja, nak buat apa pakai helmet.”

    “Hantar anak sekolah, tak sampai 3km, tak payahlah pakai helmet. Panas dan berat.”

    Itu antara alasan yang sering didengari mengapa penunggang termasuk pembonceng motosikal yang enggan menggunakan topi keledar. Samalah seperti mana yang diperkatakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang berpendapat alasan itu sesuatu yang langsung tidak boleh diterima kerana kemalangan boleh terjadi tanpa mengira jarak perjalanan.

    Mohd Sofi berkata, pemakaian alat keselamatan itu masih dipandang ringan kerana berdasarkan pemerhatiannya masih ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tanpa memakai topi keledar, malah anak mereka turut tidak mengenakan alat tersebut.

    “Kita tahu bahawa pada awal pagi dan petang iaitu masa penghantaran dan mengambil pulang anak-anak di sekolah oleh para ibu bapa, ketika inilah waktu yang sangat sibuk dan sudah tentu kebarangkalian berlaku kemalangan itu lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

    Pemakaian topi keledar masih dipandang ringan terutama menunggang/membonceng dalam jarak dekat

    Tambahnya lagi, lebih mendukacitakan pula terdapat ibu bapa serta penjaga yang memakai topi keledar dengan sempurna tetapi anak yang dibonceng mereka di atas motosikal dibiarkan tanpa topi keledar. Di mana, mereka mengambil risiko amat besar dengan tidak memakaikan topi keledar kepada anak-anak kerana topi keledar adalah alat yang penting untuk mengurangkan risiko kecedaran apabila berlaku kemalangan dan hentakan di kepala daripada menjadi lebih serius.

    “Pada pandangan saya, ini merupakan satu tindakan amat dikesali kerana seolah-olah para ibu bapa juga penjaga kepada pelajar-pelajar sekolah ini mementingkan diri sendiri dan tidak mementingkan keselamatan anak-anak mereka.

    “Jika bahagian di kepala ini tidak dijaga dan terdedah dengan hentakan kemungkinan besar boleh berlaku kerosakan saraf dan berisiko mengakibatkan kematian. Saya mengharapkan ibu bapa supaya sedar dan mengambil berat akan kepentingan memakai topi keledar ini terutama kepada anak-anak,” katanya.

    Berdasarkan statistik daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, pada tahun lalu, daripada 6,284 pengguna yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, 4,128 daripadanya adalah terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini pula, dilaporkan seramai 944 penunggang dan pembonceng meninggal dunia akibat insiden yang sama daripada jumlah keseluruhan sebanyak 1,483 kes.

     
     
  • Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

    Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

    Seperti yang kami pernah siarkan sebelum ini, Subaru telah pun mempertontonkan model WRX STI EJ20 Final Edition di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang sedang rancak berlangsung. Sewaktu memperkenalkannya tempoh hari, Subaru memaklumkan, jentera prestasi tinggi ini akan diproduksi terhad sebanyak 555 unit dan untuk pasaran Jepun sahaja. Ia juga bagi meraikan kejayaan model Subie dalam bentuk turbo dan bukan-turbo selama 30 tahun iaitu sejak zaman Legacy sedan JDM pada tahun 1989.

    Merupakan model WRX STI dengan legasi enjin terakhir EJ20, di mana Subaru menyatakan produksi bagi penjana kuasa tersebut akan ditamatkan sepenuhnya di Jepun mulai penghujung Disember 2019. Enjin berkapasiti 2.0 liter turbocharged ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 304 hp dan tujahan tork 422 Nm.

    Kiranya prestasi yang rendah sedikit berbanding model edisi istimewa WRX STI S208 (325 hp/431 Nm) yang dilancarkan dua tahun lalu serta model S207 (320 hp/433 Nm) yang diperkenalkan pada tahun 2015, kedua-duanya juga dengan enjin EJ20 yang sama. Model edisi ‘sayonara’ ini juga disalurkan kuasanya ke semua roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan.

    Tokyo 2019: Subaru WRX STI EJ20 Final Edition – hanya 555 unit diproduksi untuk pasaran Jepun sahaja

    Bukan itu sahaja, Final Edition ini turut menerima sedikit perubahan mekanikal termasuk omboh yang diseimbangkan semula, klac dan flywheel yang dipertingkatkan serta menampilkan plak yang tertulis “EJ20 Final Edition” pada enjinnya.

    Memandangkan model ini dikira edisi istimewa dan terhad, maka ciri luaran dan dalaman yang lebih unik turut ditampilkan. Antaranya, ia digandingkan dengan rim aloi BBS keemasan 19-inci dengan dibaluti tayar 245/35, brek Brembo 18-inci bersama enam kaliper omboh di hadapan dan dua unit di belakang.

    Selain itu, gril hadapan dan bampar belakangnya juga diserlahkan dengan kemasan Cherry Red serta ditampilkan dengan perumah cermin sisi rona hitam dan juga spoiler belakang yang besar. Sementara untuk kabinnya, tempat duduk hadapan Recaro dibaluti material campuran kulit dan suede tiruan. Lain-lain ciri termasuklah tali pinggang keledar berwarna perak, balutan suede tiruan untuk roda stereng dan kemasan dalaman jahitan perak.

    Ditawarkan pada harga ¥4,521,000 (RM173,523.18), pemohonan untuk pembelian WRX STI EJ20 Final Edition ini boleh dibuat menerusi laman web rasmi Subaru Japan antara 24 Oktober hingga 11 November 2019.

     
     
  • Pusat 3S Peugeot/Citroen baharu dibuka di Alor Setar

    Pusat 3S Peugeot/Citroen baharu dibuka di Alor Setar

    Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi Peugeot bekerjasaman dengan Naza Euro Motors Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi Citroen di Malaysia telah mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S bagi kedua-dua jenama berkenaan di Alor Setar, Kedah. Pusat 3S baharu ini bersedia memberikan perkhidmatan jualan, penyelenggaraan dan alat ganti untuk para pelanggan Peugeot dan Citroen di bahagian utara.

    “Pelancaran Pusat 3S Peugeot dan Citroen Alor Setar ini adalah sebagai sebahagian daripada pelan meningkatkan rangkaian ke seluruh Malaysia. Ia juga sebagai memenuhi permintaan dan keperluan para pelanggan untuk lokasi yang mudah diakses,” ujar Dato’ Nik Hamdam, Timbalan CEO Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings.

    Pusat 3S Peugeot dan Citroen Alor Setar ini dilengkapi bilik pameran yang mampu mempamerkan sehingga lapan kereta. Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge untuk keluarga, lounge untuk pelanggan dengan dilengkapi TV pintar, lounge persendirian dan kafe. Dengan pelaburan sebanyak RM2 juta, pusat 3S ini berkeluasan 15,000 kaki persegi dan turut menempatkan lima petak penyelenggaraan yang mampu menyelenggara antara 200 hingga 250 kereta sebulan.

    Menariknya, pusat 3S ini turut mengimplementasikan konsep bilik pameran Peugeot dan Citroen terkini – Peugeot Bluebox dan Citroën La Maison. Konsep Peugeot Bluebox adalah untuk memperkenalkan kepada pelanggan tentang kemodenan bagi jenama Peugeot. Sementara Citroën La Maison pula menawarkan interaktif dan pengalaman bermakna buat para pelanggan dengan menampilkan ruang yang kontemporari.

    “Kami yakin ia menepati pasaran di seluruh negeri ini, malah pasukan kami juga komited untuk mengimplementasikan dua konsep holistik ini dengan menawarkan pengalaman pemilikan jenama yang lebih memuaskan,” tambah Nik Hamdam lagi.

    Terletak di 97 M&N, Batu 1 1/4 Mergong, Seberang Jalan Putera 05150 Alor Setar, Kedah, para pelanggan juga boleh melihat secara lebih dekat barisan model terbaharu Peugeot dan Citroen termasuk Peugeot 3008 SUV PLUS dan Citroën C3 Aircross SUV. Bilik pameran ini dbuka setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 9 pagi hingga 6 petang, dan ditutup pada Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Ott Tänak sah juara WRC 2019 dengan Toyota Yaris!

    Ott Tänak sah juara WRC 2019 dengan Toyota Yaris!

    Hanya tiga musim setelah mereka kembali semula ke kancah Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sejak menarik diri pada tahun 1999, pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing yang kini dipimpin oleh bekas juara dunia empat kali, Tommi Makinnen secara rasmi telah melahirkan seorang juara dunia baharu iaitu Ott Tänak, apabila pemandu dari Estonia berkenaan mengutip 23 mata ketika tamatnya Rali Catalunya 2019, Sepanyol sebentar tadi.

    Rali tersebut dimenangi oleh pemandu Jeman, Thierry Neuville yang memandu Hyundai i20 WRC, sementara Tänak sebenarnya hanya berada di tempat kedua ketinggalan 17.2 saat di belakang. Namun dengan memenangi SS khas Power Stage, Tänak berjaya mengutip lima mata tambahan bagi meletakkanya di tempat pertama carta kejuaraan dengan 263 mata dan disahkan sebagai juara WRC 2019 dengan berbaki satu lagi pusingan iaitu Rali Australia yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan hadapan.

    Dengan kemenangan Tänak ini juga, maka berakhirlah saga ‘penguasaan Sebastien’, di mana selepas Petter Solberg dinobatkan sebagai juara WRC pada tahun 2003, ia kemudian terus dikuasai oleh juara dunia sembilan-kali Sebastien Loeb (2004-2012) dan juara dunia enam-kali Sebastien Ogier (2012-2018) – kedua-duanya dari Perancis.

    Tempat ketiga untuk Rali Catalunya ini dihuni oleh pemandu tuan rumah, Dani Sordo yang memandu untuk pasukan Hyundai. Sebastien Loeb juga menyertai pusingan kali ini dengan memandu Hyundai, sebagai salah satu pusingan dari tiga pusingan yang ditawarkan kepadanya oleh jenama Korea berkenaan untuk WRC tahun ini.

    Ott Tänak mula berpindah dari pasukan M-Sport Ford ke pasukan Toyota Gazoo Racing pada tahun 2018 setelah menandatangani kontrak untuk dua musim. Walaupun tempatnya telah dinyatakan selamat untuk musim hadapan oleh prinsipal pasukan, Tommi Makinnen, Tänak dilaporkan membuat keputusan mengejut untuk berpindah ke pasukan Hyundai untuk musim 2020.

    Bagi pasukan Toyota pula, kejayaan Tänak ini adalah juara kategori pemandu kelima mereka dalam sejarah WRC, setelah kali terakhir dilakukan oleh Didier Auriol pada tahun 1994 dengan memandu Toyota Celica GT-4 Group A. Selain Auriol, nama Tänak kini sebaris dengan lagenda Toyota yang lain seperti Carlos Sainz dan Juha Kankkunen.

    Walaupun Tänak sudah sah bergelar juara WRC kategori pemandu, kejuaraan dalam kategori pengeluar masih lagi terbuka di Rali Australia nanti di mana buat masa ini ia diungguli oleh pasukan Hyundai dengan 380 mata, meninggalkan Toyota di tempat kedua dengan 362 mata.

     
     
  • Tokyo 2019: Nissan Skyline GT V37 Hybrid facelift 2019 – ‘R35 4-Pintu’, 3.5L V6 hibrid berkuasa 306 PS/350 Nm

    Tokyo 2019: Nissan Skyline GT V37 Hybrid <em>facelift</em> 2019 – ‘R35 4-Pintu’, 3.5L V6 hibrid berkuasa 306 PS/350 Nm

    Ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2019 tempoh hari, kami berpeluang untuk melihat depan mata Nissan Skyline V37 facelift 2019 yang baharu dilancarkan untuk pasaran Jepun Julai lalu. Sekali lagi ingin penulis tekankan bahawa selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, manakala Skyline hanya kekal dikenali sebagai model sedan keluarga, crossover dan coupe lebih jinak dikenali dengan kod casis V.

    Bermula dari V35 kemudian ke V36 dan V37, nama Skyline hanya digunakan pada model JDM, manakala di luar Jepun model yang sama dijual menggunakan logo divisi mewahnya iaitu Infiniti. Model V37 ini juga sebenarnya sudahpun berada pada pasaran Malaysia, dikenali sebagai Infiniti Q50, manakala model coupenya dijual dengan nama Infiniti Q60.

    Berbalik kepada sedan empat-pintu Skyline V37 facelift JDM ini, perubahan terbesarnya adalah pada bahagian luaran di mana Nissan nampaknya mahu menjadikannya seakan ‘GT-R R35 empat-pintu’ dan mengimbau kembali model-model Skyline empat-pintu seperti ER32, ER33 dan ER34 dahulu.

    Tokyo 2019: Nissan Skyline GT V37 Hybrid <em>facelift</em> 2019 – ‘R35 4-Pintu’, 3.5L V6 hibrid berkuasa 306 PS/350 Nm

    Bagi menjadikan Skyline V37 ini ‘R35 empat-pintu’, Nissan telah mereka semula bampar hadapan dengan menerapkan rekaan gril V-Motion, bersama liang sisi dan perumah lampu kabus LED yang juga seakan GT-R. Secara tidak langsung, rekaan baharu ini membuatkan hidungnya sedikit tinggi berbanding model sedia ada, dan panjang keseluruhannya meningkat 20 mm menjadi 4,810 mm.

    Tiada perubahan dilihat pada bahagian sisi di mana garis badan dan garis bahu masih lagi kekal sama bersama lekuk signatur Infiniti pada quater window pintu belakang.

    Di belakang, kluster lampu masih mempunyai bentuk yang sama, tetapi kali ini ia diberikan grafik dua bulat bagi memperingati semula lampu belakang ikonik model-model Skyline klasik. Bampar belakang turut diberikan kemasan diffuser dengan gaya baharu yang turut menempatkan dua tip ekzos.

    Tokyo 2019: Nissan Skyline GT V37 Hybrid <em>facelift</em> 2019 – ‘R35 4-Pintu’, 3.5L V6 hibrid berkuasa 306 PS/350 Nm

    Masuk ke kabin, tiada perubahan ketara ditampilkan di mana rekaan papan pemuka masih lagi sama dengan model sebelumnya. Malah paparan instrumen analog dengan masih kekal tanpa digantikan dengan paparan instrumen digital sepenuhnya, membuatkan nampak sedikit tertinggal dari saingan terusnya yang lain.

    Tetapi dengan penambahan sistem ProPILOT 2.0, Skyline V37 ini menerima skrin digital baharu pada bahagian tengah untuk paparan Advanced Drive Assist. Selain itu, model facelift tersebut turut hadir dengan paparan head-up berwarna sepenuhnya, bersama sistem infotainmen NissanConnect yang menyokong kemaskini over-the-air (OTA) dan juga akses Wi-Fi di dalam kereta.

    Sedikit penerangan berkenaan sistem ProPILOT 2.0, menurut Nissan ini adalah sistem pemanduan sendiri pertama di dunia yang membolehkan pemandu melepaskan tangan sepenuhnya dari roda stereng. Walau bagaimanapun, ia hanya boleh digunakan di atas lebuh raya dengan sistem navigasi diaktifkan, dan pemandu masih perlu mengawasinya.

    Sekiranya kereta tersebut perlu memotong kenderaan di hadapan, sistem ProPILOT ini akan mencadangkan waktu yang sesuai, dan ia turut akan memberitahu pemandu untuk mengambil semula kawalan ketika hampir tiba di susur keluar lebuhraya. Perincian lebih lengkap untuk sistem ProPILOT 2.0 berkenaan boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Model berwarna merah yang dipamerkan di Tokyo Big Sight ini adalah dari kemasan gred pertengahan GT Type SP, dikuasakan oleh janakuasa hibrid terdiri dari VR35HR 3.5 liter V6 tanpa pengecas turbo, digandingkan bersama motor elektrik HM34 berkuasa 68 PS/290 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS dan tork maksima 350 Nm. Ia menerima kotak gear automatik khas untuknya dengan tujuh-kelajuan.

    Selain dari kemasan ini, V37 turut hadir dengan kemasan lebih rendah GT Type P. Ia bukan sahaja hadir dalam versi hibrid, kesemua kemasan ini turut didatangkan dengan enjin petrol sepenuhnya VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo berkuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan automatik.

    Nissan Skyline V37 juga ada dihasilkan dalam versi paling berkuasa dikenali sebagai 400R. Versi ini menerima enjin VR30DDTT yang sama, tetapi ditala semula bagi menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 475 Nm. Kesemua jenis janakuasa ini juga ditawarkan sama ada dalam versi pacuan roda belakang sepenuhnya atau AWD.

     
     
  • Tokyo 2019: Mitsubishi eK X Hybrid – 660cc 3-silinder turbo dan sistem hibrid, MI-Pilot, muka Dynamic Shield

    Tokyo 2019: Mitsubishi eK X Hybrid – 660cc 3-silinder turbo dan sistem hibrid, MI-Pilot, muka Dynamic Shield

    Mitsubishi eK X (disebut sebagai eK Cross) adalah model kei-car jenama ‘tiga berlian’ yang baru dilancarkan pada April lalu. Seperti model sebelumnya, versi generasi baharu ini masih dihasilkan dengan Nissan (kembar kepada Nissan Dayz), berdasarkan kerjasama yang digelar NMKV.

    Sebenarnya, eK ini hadir dalam dua jenis muka iaitu eK Wagon dengan muka lebih normal, manakala versi Cross ini menerima muka paling garang dengan elemen rekaan signatur Dynamic Shield terkini dari Mitsubishi seiras abang-abangnya yang lebih besar seperti trak pikap Triton dan crossover segmen-B Eclipse Cross.

    Setakat ini, ek X hanya dijual di pasaran Jepun, hadir dengan tiga varian iaitu gred asas M dijana enjin 660 cc tiga-silinder yang digabungkan dengan sistem hibrid, serta model pertengahan G dan T yang kedua-duanya dibekalkan dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid yang sama, menghasilkan kuasa sehingga had maksima undang-undang kei-car 64 PS dan tork maksima 100 Nm.

    Tokyo 2019: Mitsubishi eK X Hybrid – 660cc 3-silinder turbo dan sistem hibrid, MI-Pilot, muka Dynamic Shield

    Sistem hibrid yang dibekalkan adalah sistem hibrid ringkas dengan motor elektrik yang membekalkan kuasa tambahan 3 hp/40 Nm bila diperlukan. Unit janakuasa ini juga dihasilkan bagi membolehkan ia meluncur dengan enjin dimatikan sepenuhnya ketika ia bergerak pada kelajuan malar, mula boleh beroperasi pada kelajuan 13 km/j ke atas.

    Kesemua pilihan enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, dan pelanggan juga boleh memilih sama ada mahu menggunakan sistem pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Ini membolehkan model NA mencapai penggunaan bahan api 29.8 km/l (2WD) dan 25.4 km/l (4WD), manakala model turbo mencatatkan kadar 25.2 km/l (2WD) dan 22.8 km/l (4WD).

    Model yang kami jumpa di Tokyo Motor Show 2019 tempoh hari ini adalah dari versi tertinggi eK X T, jadi ia menerima kelengkapan paling lengkap berbanding varian lain. Pada bahagian luar, ia diberikan lampu hadapan (terletak pada bampar) dan lampu nyalaan siang (unit berbentuk tirus pada bahagian paling atas) LED, kemasan seakan skid plate berwarna perak pada bampar belakang dan juga rim dua-tona 15-inci dengan tayar 165/55R15.

    Tokyo 2019: Mitsubishi eK X Hybrid – 660cc 3-silinder turbo dan sistem hibrid, MI-Pilot, muka Dynamic Shield

    Badan kereta ini juga diberikan warna dua-tona, dengan warna badan Sand Yellow Metallic bersama bumbung putih, dipisahkan dengan kemasan hitam pada tiang-D bagi memberikan kesan seakan bumbung yang terapung. Selain padanan ini, eK X boleh pilih dengan gabungan warna Lightning Blue Mica/Sterling Silver Metallic, Red Metallic/Black Mica, Olive Green Metallic/Titanium Gray Metallic dan Natural Ivory Metallic/Sunshine Orange Metallic.

    Pada bahagian dalaman, eK X diberikan papan pemuka ‘dua-tingkat’ dan sebagai model tertinggi, versi T ini diberikan balutan kulit berwarna cream pada bahagian atas. Perincian lain yang turut diberikan termasuk kawalan pendingin hawa digital, brek parkir elektronik, roda stereng dengan suis pelbagai fungsi, butang penghidup enjin dan pelbagai lagi.

    Tempat duduk hadapan Kei-Car ini nampak bersambung seperti bench seat, tetapi sebenarnya ia boleh dilaras berasingan antara kiri dan kanan. Ia juga diberi ruang storan yang cukup banyak termasuk ruang penyimpan kasut di bawah tempat duduk hadapan, ruang penyimpan payung di bawah kolum stereng, dan juga pemegang cawan dan botol yang terletak pada papan pemuka, panel pintu belakang serta belakang konsol tengah.

    Walaupun hanya sebuah Kei-Car, Mitsubishi eK X ini diberikan sistem keselamatan yang agak maju, antaranya enam beg udara dan pakej e-Assist merangkumi ciri seperti Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), Emergency Assist for Pedal Misapplication, Amaran Keluar Lorong (LDW), Automatic High Beam (AHB) dan satu ciri baru, Lane Departure Prevention (LDP).

    Model ini juga diberikan sistem pemanduan separa automatik yang digelar Mitsubishi Intelligent Pilot (MI-Pilot). Sistem ini membekalkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA). Ciri baru lainnya termasuklah Grip Control, cermin pandang belakang digital (pertama untuk kelasnya) serta sistem kamera 360-darjah dengan ciri pengesanan objek bergerak oleh Nissan.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Deepavali

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Deepavali

    Hari ini pasti ramai yang sudah merancang untuk memandu pulang ke kampung halaman atau pun bercuti ke mana-mana destinasi. Kalau cuti panjang hujung minggu ditambah pula dengan cuti umum, pastinya lebuhraya utama di negara bakal mengalami kesesakan trafik.

    Justeru, seperti kebiasaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena cuti perayaan Deepavali bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di antara 24 Oktober hingga 29 Oktober 2019. Ia adalah sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan dan menguruskan kesesakan di lebuh raya, kawasan rehat dan rawat dan plaza tol pada musim perayaan ini.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna lebuhraya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.”

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Deepavali

    “Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, bagi pengguna lebuh raya dari lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” tambah Datuk Azman.

    Jadual TTA sempena perayaan Deepavali juga boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store atau App Store. Pelanggan juga boleh merujuk jadual TTA di laman web PLUS di www.plus.com.my.

    PLUS juga menasihatkan pengguna supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik, papan tanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000. Mereka juga disarankan supaya merujuk aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing.

     
     
  • VIDEO RINGKAS: Daihatsu ‘SUV Kompak Baru’ – 1.0L turbo, bakal jadi SUV segmen-B Perodua D55L nanti?

    Kita pernah lihat Perodua menjalankan ujian ke atas sebuah kenderaan baru yang nampak seperti “Axia wagon”, dipercayai model SUV dalam segmen B terbaru yang sedang dibangunkan ketika ini.

    Dan, lebih menarik, ketika sesi bersama media yang mengikuti rombongan syarikat itu ke Tokyo Motorshow 2019 minggu ini, Perodua memberi sedikit petunjuk bahawa model SUV dengan kod nama D55L berkenaan mungkin akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA); yang merupakan lanjutan seiras kepada platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Walaupun pun belum ada kepastian tentang model Perodua itu, Daihatsu sebenarnya sudah pun memiliki sebuah model yang siap untuk diproduksi bila-bila masa, yang menepati ciri atau imej sebuah SUV baru, dikenali ketika ini hanya dengan nama “SUV Kompak Baru”. Dan, model inilah yang kami lihat dipamerkan secara terbuka di Tokyo Motorshow minggu ini.

    SUV Daihatsu berkenaan mempunyai berat 980 kg, dan berukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar serta 1,620 tinggi. Jarak rodanya pula ialah 2,525 mm. Menjadikan ia lebih besar berbanding model semasa Myvi, yang berukuran 3,895 mm, selebar 1,735 mm, setinggi 1,515 mm dan jarak rodanya 2,500 mm.

    Untuk enjin pula, ia menggunakan unit petrol 1.0 liter turbocas tiga-silinder dengan janaan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ini dipadankan pula bersama sistem transmisi CVT yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Di dalam video ini, kami bawakan anda untuk melihat model terbabit dengan lebih dekat lagi. Paling menarik, rekaan belakang SUV berkenaan memiliki iras yang tidak begitu jauh daripada rekaan bahagian belakang Perodua Myvi yang dijual di sini.

    Ini menguatkan lagi jangkaan bahawa model berkenaan mungkin akan menjadi penawaran SUV segmen B oleh Perodua. Apa pun, semua itu masih menjadi tanda tanya. Tetapi, sementara itu, tonton video yang kami sediakan untuk mengetahui lebih lanjut tentang model SUV terbaru dari Daihatsu.

     
     
  • VIDEO RINGKAS: Toyota Yaris 2020 generasi terbaru

    Jangan tersilap, Toyota Yaris yang ada dijual di Malaysia tidaklah sama dengan model dengan nama Yaris untuk pasaran Jepun dan Eropah. Yaris yang diterima untuk pasaran Malaysia sebenarnya merupakan versi hatchback bagi model sedan Vios.

    Toyota Yaris 2020 diumumkan tidak lama sebelum ini, dan kami sempat untuk menjengah model terbabit ketika di Tokyo Motorshow 2019 untuk melihat penawaran yang ada padanya. Antara yang menarik tentang Yaris terbaru ini, ia menggunakan platform yang baru, iaitu TNGA (GA-B) untuk kenderaan kompak dan menjadikannya model pertama Toyota yang menggunakan platform itu.

    Dengan itu, Yaris terbaru ini 50 kg berat dapat dikurangkan, kekuatan bertambah 30 peratus dan titik graviti tengah direndahkan 15 mm – menyumbang kepada pengendalian lebih lincah dan tegap. Ia akan mula dijual di Jepun pada bulan Februari 2020 dan juga akan dibawa ke Tokyo Motor Show minggu depan. Sebagai sebuah model generasi baru, Yaris ini juga

    Keseluruhannya terdapat tiga penggerak yang disediakan untuk Yaris baru ini iaitu enjin 1.0 liter 1KR (dipertingkat), 1.5 liter tiga silinder Dynamic Force Engine M15A (unit baru) dan 1.5 liter yang dipadankan bersama sistem hibrid THS II.

    Di dalam video ringkas ini, kami bawakan versi hibrid kepada anda. Yang mana lagi cantik, Yaris ini atau yang kita ada untuk pasaran tempatan?

     
     
  • SUV Perodua D55L akan datang bakal guna platform DNGA di M’sia – enjin 1.0L turbo boleh ditampilkan

    SUV Perodua D55L akan datang bakal guna platform DNGA di M’sia – enjin 1.0L turbo boleh ditampilkan

    Ketika membuat liputan di ruang pameran Daihatsu di Tokyo Motor Show 2019 yang telah pun membuka tirainya, pengeluar kereta Jepun ini hanya mempamerkan empat model konsep funky iaitu IcoIco, TsumuTsumu, WaiWai dan WakuWaku) di atas pentas utamanya.

    Namun di sebalik itu, rupanya Daihatsu membuat kejutan dengan sengaja mempamerkan dua unit model konsep SUV kompak tanpa nama. Dalam kenyataan media rasminya juga tidak langsung menyebut pasal model konsep SUV kompak terbabit, jadi pastinya ia menjadi tanda tanya. Malah sewaktu Presiden Daihatsu, Soichiro Okudaira, memperkenalkan empat model konsep funky di pentas utama, beliau juga tidak berkata apa-apa mengenai SUV kompak berkenaan.

    Paling misteri, namanya juga dirahsiakan. Walau bagaimana pun, selepas meneliti segala perinciannya, pada pandangan kami, ia hampir akan diproduksikan (dari sudut rekaannya, semua panel kaca ada cop vendor, malah siap ada pelekat penggera keselamatan) dan ia sangat relevan untuk dua pasaran global Daihatsu – Malaysia dan Indonesia.

    SUV Perodua D55L akan datang bakal guna platform DNGA di M’sia – enjin 1.0L turbo boleh ditampilkan

    Sewaktu wakil Paultan.org, Danny Tan, berbual panjang dengan Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, beliau berkata, “Kami juga terkejut (bila ia ditampilkan di TMS), kerana model ini belum pun dilancarkan di Jepun.

    Apabila ditanya adakah kemungkinan model SUV kompak berkenaan bakal menjadi SUV segmen-B Perodua D55L, beliau tidak mengiyakannya, tetapi telah memberikan beberapa bayangan, yang cukup membuatkan kami percaya SUV berkenaan bakal tiba di Malaysia sebagai model baharu Perodua.

    “Seperti yang saya maklumkan pada Danny, jika dilihat daripada kapasiti enjin model ini iaitu 1.0 liter turbo – apakah maknanya? Tetapi apa yang paling menarik ia adalah teknologi enjin yang baharu. Saya selalu fikir “teknologi adalah untuk semua’. Tapi tidak bermakna saya akan berkata ‘ya’ atau ‘bila’, tapi jika ada sesuatu yang berkaitan, kami akan buat pengumuman,” ujar Zainal ketika majlis makan malam bersama rombongan media Malaysia yang dibawa oleh Perodua ke Tokyo, kelmarin.

    SUV Perodua D55L akan datang bakal guna platform DNGA di M’sia – enjin 1.0L turbo boleh ditampilkan

    Perodua juga mempunyai kepakaran dalam rekaan untuk SUV. Ketika ditanya adakah Perodua terbabit (dengan pembangunan SUV kompak berkenaan), Zainal berkata, “Jika saya kata tidak, mungkin saya akan berbohong. Ini kerana saya amat berbangga dengan pereka kami yang kini bekerja di Daihatsu, yang terlibat dengan pembangunan tersebut.” Dalam masa yang sama, beliau mendedahkan kini terdapat 30 pekerja Perodua yang bekerja di unit reka bentuk yang berpusat di Daihatsu.

    Selain itu, Zainal turut memaklumkan DMC menggunakan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) untuk SUV kompak baharu itu.

    DNGA lebih kurang seperti platform TNGA buatan Toyota, dan ia telah melalui peringkat kejuruteraan untuk menjadi bukti pada masa hadapan, atau sekurang-kurangnya untuk dekad yang seterusnya. Ia telah direka untuk menampung teknologi dan ciri yang dijangka untuk model kitaran akan datang, yang bermaksud untuk spesifikasi yang lebih tinggi.

    SUV Perodua D55L akan datang bakal guna platform DNGA di M’sia – enjin 1.0L turbo boleh ditampilkan

    “Jika anda bercakap tentang model yang kita lihat tempoh hari, kita tidak mempunyai banyak input mengenai spesifikasi atau binaannya. Ini kerana ia menggunakan platform baharu DNGA. Dan jika tak silap saya, SUV kompak berkenaan akan diproduksi di kilang Daihatsu di Kyushu,” dedah Zainal lagi.

    “Tapi apa yang kami pelajari apabila mencipta platform baharu, kita juga pelajari persediaan produksi. Sebagai contoh, penyediaan bagi proses pemasangan. Apabila pereka kami bekerja di DMC, mereka akan berkongsi info dengan DMC. Jadi, jika kita perlukannya di Malaysia kelak, kita akan tahu ia sesuai diaplikasikan (di kilang pemasangannya),” jelasnya.

    Ketika ditanya adakah pasaran Malaysia bakal menerima SUV kompak baharu, Zainal berkata, “Kita sedang mengkajinya, ia ada pasaran untuknya (jenis kereta) mahu pun tidak. Tak pasti lagi. Persepsi di Malaysia akan lain sedikit – adakah dengan enjin 1.0 liter turbo sesuai dengan saiz kerangka (untuk SUV tersebut) dan diterima oleh rakyat Malaysia?”

    Hanya ini saja perkembangan yang mampu kami kongsikan mengenai SUK kompak ini. Kena nantikan pendedahan selanjutnya dari Daihatsu sendiri dan kami akan kongsikan bersama anda.

    GELERI: SUV kompak baharu Daihatsu di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Tokyo 2019: Yamaha Genesis E01, E02 skuter elektrik futuristik yang seperti sudah sedia untuk pasaran

    Tokyo 2019: Yamaha Genesis E01, E02 skuter elektrik futuristik yang seperti sudah sedia untuk pasaran

    Kawasan pameran Yamaha di Tokyo Motor Show 2019 tidak mempunyai banyak model yang berkaitan dengan pasaran Malaysia, kerana kebanyakannya sama ada model semasa, model khas untuk Jepun dan Eropah, ataupun model konsep elektrik.

    Dua model konsep elektrik yang diletakkan atas pentas utama untuk perhatian ramai adalah Genesis E01, Genesis E02 dan MW-Vision. Walaupun MW-Vision yang mempunyai roda tiga dan berbumbung itu menunjukkan teknologi yang canggih, E01 dan E02 lebih menarik perhatian kerana seperti lebih relevan untuk pasaran.

    Kedua-duanya menggabungkan teknologi yang sudah diketahui oleh Yamaha berkenaan skuter dan pacuan elektrik, dengan E01 dikatakan mampu menyamai prestasi sebuah skuter 125 cc manakala E02 seperti skuter 50 cc. Perincian teknikal termasuk jarak perjalanan dan prestasi masih belum diberitahu.

    Walaubagaimanapun, Yamaha menyatakan dua skuter ini boleh dicas dengan pantas mempunyai pek bateri yang boleh dicabut dan diganti dengan bateri yang sudah dicas terlebih dahulu (E02). Selain daripada itu, ia juga dikatakan mampu memberi kualiti tunggangan lebih selesa berbanding skuter biasa.

    Seperti yang boleh dilihat, dua skuter ini seperti sudah bersedia untuk pasaran sekiranya pengguna dapat menerima motosikal elektrik, dan ia sudah lengkap dengan lampu dan juga kelengkapan penting untuk kegunaan harian seperti cermin sisi. Selain rekaan yang futuristik, beberapa bahagian juga dijadikan lebih bergaya dengan penggunaan gentian karbon dan aluminium.

    GALERI: Yamaha Genesis E01 Concept

    GALERI: Yamaha Genesis E02 Concept

     
     
  • Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design dilancarkan di Malaysia – 2.0L plug-in hybrid, 407 hp/640 Nm, RM296k

    Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design dilancarkan di Malaysia – 2.0L plug-in hybrid, 407 hp/640 Nm, RM296k

    Akhirnya, Volvo S60 generasi ketiga telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia malam ini selepas muncul buat pertama kali pada Jun tahun lalu, dan ia hanya hadir dalam satu varian iaitu T8 Twin Engine R-Design. Seperti model-model Volvo lain, unit-unit awalan ini adalah diimport sepenuhnya (CBU), dan selepas ini versi pemasangan tempatan pula akan tampil dengan spesifikasi yang sama.

    Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,888, termasuk waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Lima warna ditawarkan untuk sedan kacak ini iaitu Fusion Red, Crystal White, Birch Light, Onyx Black dan Pebble Grey.

    Sama seperti abangnya S90, serta kembar wagonnya V60, sedan S60 ini diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) dan ia akan bersaing dengan lawannya dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series dan Audi A4 dalam pasaran.

    Sekali imbas, penggayaan luaran S60 ini adalah seiras dengan S90, namun dengan saiz yang lebih kompak, model ini nampak lebih lincah dan lebih sporty. Ia masih lagi diberikan bampar hadapan dengan apron yang agresif, gril enam-poin bersama logo iron mark, tidak ketinggalan juga sepasang lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam signatur “Tukul Thor”.

    Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design dilancarkan di Malaysia – 2.0L plug-in hybrid, 407 hp/640 Nm, RM296k

    Bahagian belakang S60 ini juga menampilkan rekaan yang tidak jauh beza dari S90 terutama pada bentuk lampu belakang. Namun ruang letak nombor plat pendaftaran pada S60 ini diletakkan pada penutup but, berbanding S90 yang diletakkan di bampar. Tulisan ‘Volvo’ juga diletakkan lebih keatas, bersama spoiler but yang lebih menyerlah.

    Dengan kemasan pakej R-Design, model pasaran Malaysia ini hadir dengan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin – kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril.

    Diffuser lebih garang turut dapat dilihat di belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid. Gaya versi R-Design ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

    Dalam kabin, S60 diberikan rekaan papan pemuka hampir seiras dengan S90 terutamanya skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz sembilan-inci dan sepasang liang penghawa dingin menegak pada bahagian tengah pemuka. Sistem infotainmen tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara berkuasa 600-watt.

    Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design dilancarkan di Malaysia – 2.0L plug-in hybrid, 407 hp/640 Nm, RM296k

    Pemandu pula akan dibekalkan maklumat dari kluster informasi digital sepenuhnya menggunakan skrin bersaiz 12.3-inci, dan keseragaman turut diteruskan pada bahagian konsol tengah yang menampilkan rekaan tombol gear, suis penghidup enjin, butang pilihan mod pemanduan, suis brek parkir elektronik bersama butang auto hold serta pemegang cawan dan juga perehat tangan yang turut diberikan ruang storan di bawahnya sama seperti S90.

    Kelengkapan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk R-Design balutan kulit Nappa hitam/fabrik Nubuck kemasan Charcoal Black, kemasan-kemasan dengan elemen logam mesh, sistem pendingin hawa dua-zon, bumbung panaromik, Park Assist Pilot, paparan pemantau sekitar 360-darjah, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, set pedal dan tuil penukar gear R-Design serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Sama seperti model-model T8 Twin-Engine lain, roda hadapan S60 ini digerakkan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Motor elektrik S60 T8 ini mendapat suapan bateri lithium-ion 11.6 kWj yang diletakkan di bawah terowong transmisi, iaitu diposisikan menegak pada bahagian tengah lantai kereta ini, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan lebih dari 49 km.

    Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), bateri berkenaan turut boleh dicas menggunakan stesen pengecas dengan sistem sambungan Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa tiga jam dengan kuasa 3.7 kW atau lebih. Varian R-Design ini juga dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi passive damping bagi memberikan pengendalian lebih sporty.

    Seperti biasa juga, Volvo S60 generasi baharu turut ini tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya. Ia terdiri dari enam beg udara (depan, belakang dan tirai), brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi.

     
     
  • Perodua optimistik dengan kerjasama Daihatsu-DreamEdge dalam projek kereta nasional ketiga

    Perodua optimistik dengan kerjasama Daihatsu-DreamEdge dalam projek kereta nasional ketiga

    Semalam Presiden Daihatsu Motor Co Ltd (DMC), Soichiro Okudaira sendiri telah mengesahkan kerjasamanya dengan DreamEdge, syarikat pengendali kepada projek kereta nasional terbaharu. Seperti yang kita sedia maklum, Perodua merupakan sekutu bagi Daihatsu di Malaysia. Jadi, sudah pasti menjadi tanda tanya adakah kerjasama Daihatsu-DreamEdge memberikan sebarang kesan terhadap Perodua. Untuk menjawab persoalan ini, media Malaysia yang mengikuti rombongan Perodua ke Tokyo Motor Show 2019 sempat bertanyakan soalan ini kepada Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Menurut Datuk Zainal, Perodua memandang daripada sudut positif dan optimistik dengan kerjasama ini, malah menganggapnya ia adalah satu persaingan yang sihat di dalam industri automotif tempatan. “Dengan adanya jenama baharu ini, ia dapat melengkapkan ekosistem bagi jenama tempatan, sekaligus menambah kerancakan dalam industri automotif kita. Selain itu, pengguna juga dapat lebih banyak pilihan kenderaan baharu dengan harga yang mampu milik,” ujarnya.

    Ketika ditanya lebih lanjut, adakah Perodua akan terbuka untuk berkongsi vendor yang ada dengan DreamEdge, ini jawapannya dari Zainal, “Kami memiliki lebih 150 vendor yang memiliki keupayaan dan kemampuan dalam menghasilkan komponen penting, dan 45% daipada mereka bersedia untuk mengeluarkannya kepada pihak lain yang berminat termasuk jenama nasional ketiga ini. Bagi projek kereta nasional baharu ini, kami mengalu-alukan mereka untuk bekerjasama dengan vendor kami.”

    Perodua optimistik dengan kerjasama Daihatsu-DreamEdge dalam projek kereta nasional ketiga

    Mengenai perkongsian teknologi DMC pula, Perodua melihatnya daripada sudut positif iaitu ia sebagai kepentingan negara. “Kami tiada masalah jika DMC mahu berkongsi teknologi dengan jenama kereta nasional baharu ini, sama ada ia teknologi baharu atau pun yang sedia ada. Kami yakin DMC pastinya boleh mengatasi dengan baik dan bagi saya, ia bukanlah suatu yang mengejutkan (mengenai perkongsian teknologi),” ujar Zainal lagi.

    Malah Zainal turut berkata, kini DMC dan Perodua juga saling berkongsi kepakaran masing-masing. Sebagai contoh, di DMC, terdapat 30 kakitangan Perodua yang ditugaskan di sana untuk bahagian rekaan. Ini bermakna, DMC sudah mempercayai kredibiliti yang ada pada Perodua sehinggakan mahu berkongsi kepakaran yang ada terutamanya melibatkan rekaan kenderaan.

    Perodua optimistik dengan kerjasama Daihatsu-DreamEdge dalam projek kereta nasional ketiga

    Berbalik kepada projek kereta nasional baharu ini, memandangkan bukan mudah atau mengambil masa yang singkat untuk membangunkan fasiliti memproduksi kenderaan, jadi disebabkan dengan adanya kerjasama Daihatsu, adakah kemungkinan besar fasiliti Perodua turut akan digunakan oleh DreamEdge, Zainal menjawab, “Perodua juga bersedia berkongsi fasiliti yang ada dengan mana-mana syarikat termasuk pengeluar kereta nasional baharu ini yang berminat menggunakan kemudahan kami selagi platform yang digunakan adalah sama.

    “Fasiliti Perodua di Serendah masih mampu menanggung kapisiti yang lebih banyak. Dalam setahun, kami mengeluarkan antara 250,000 hingga 260,000 unit kenderaan sedangkan sebenarnya kami menghasilkan 320,000 unit setahun dan sebenarnya ia boleh mencecah sehingga 370,000 unit. Walau bagaimana pun, jika mahu pengeluaran lebih 320,000 unit setahun, ada kos pelaburan tambahan yang diperlukan termasuklah melibatkan kos buruh. Apa pun, kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana ini antara cara untuk merancakkan lagi ekonomi negara.”

     
     
  • Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

    Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

    Ingat lagi Ford Ranger Splash berwarna kuning yang hadir pada model generasi pertama dulu? Nampaknya Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah menghasilkan satu lagi versi edisi terhad Splash menerusi model generasi terkini, dan ianya betul-betul terhad kerana hanya 19 unit ditawarkan, dan anda hanya boleh membelinya secara ekslusif pada aplikasi Lazada bersempena promosi 11.11 Shopping Festival yang akan berlangsung, menjadikannya satu-satunya trak pikap yang dijual di situ.

    Jika anda mahu melihat unit sebenar Ford Ranger Splash ini sebelum membelinya, ia kini sedang dipamerkan di bilik pameran Ford Petaling Jaya. Model ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran dengan harga RM138,888, dan disertakan dengan waranti pengeluar tiga tahun/100,000 km serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.

    Jika anda benar-benar mahukan Ranger Splash ini, anda boleh menggunakan fungsi Chup Dulu pada aplikasi Lazada berkenaan bermula 28 Oktober hingga 10 November, dengan membayar deposit RM139 (10% dari yuran tempahan yang bernilai RM1,389) yang tidak akan dikembalikan sekiranya pembelian dibatalkan oleh pembeli.

    Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

    Sekiranya anda telah berjaya Chup Dulu Ranger tersebut, baki bayaran tempahan sebanyak RM1,250 perlu dijelaskan pada 11 November bagi memastikan pembelian Ranger berkenaan selepas itu. Tetapi setelah membayar penuh yuran tempahan ini, duit tersebut boleh dipulangkan sekiranya pembeli berubah fikiran, menurut SDAC.

    Wakil dari Ford kemudiannya akan menghubungi anda jika pembelian ini mahu diteruskan, dan urusniaga tersebut boleh dibuat pada mana-mana bilik pameran yang dimahukan oleh pembeli. Bagi 11 pembeli pertama yang telah melengkapkan proses tempahan mereka menerusi Chup Dulu, mereka akan menerima kad hadiah Petronas bernilai RM500 ketika kereta berkenaan dihantar kelak.

    Ford Ranger Splash 2019 diasaskan dari varian 2.0L XLT Plus Automatic, kemudian ditambah dengan pelbagai ciri khas yang tersendiri. Versi baharu ini menampilkan skema warna terbalik dari model asal dahulu, dengan warna badan Absolute Black bersama pelekat “Ranger Splash” dengan jalur-jalur kuning fluorescent pada kedua-dua sisi bed belakang.

    Kemudian ia dilengkapkan dengan bar kanggaru, dan juga komponen-komponen dengan kemasan hitam matte terdiri dari gril hadapan, perumah cermin sisi, bampar belakang, sports bar, fender flare dan juga rim aloi. Pembaca tol bina dalam dan kamera pemantau juga disertakan pada model edisi terhad ini.

    Kelengkapan-kelengkapan dari varian 2.0L XLT Plus Automatic terus dibekalkan pada model ini. Jadi ia hadir standard dengan lampu hadapan projektor HID, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, pendingin hawa dua zon, upholsteri fabrik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, stereng berkuasa elektrik (EPAS) dan juga penutup tailgate Easy Lift.

    Sistem mekanikal juga tidak berubah di mana trak pikap ini masih dijana enjin diesel 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan kuasa 180 PS dan juga tork maksima 420 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan, bersama sistem 4WD yang boleh ditukar dari 2WD, 4WD high dan 4WD Low tanpa memberhentikan kenderaan.

     
     
  • Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

    Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

    Tidak banyak kereta produksi sebenar seperti Honda Fit/Jazz 2020 diperkenalkan ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show (TMS) 2019, di mana pengeluar lebih berminat untuk menunjukkan halatuju masa hadapan mereka dengan mendedahkan kereta-kereta konsep. Untuk Nissan, pentas mereka di TMS kali ini dibintangi sebuah crossover konsep berkuasa elektrik sepenuhnya digelar Nissan Ariya Concept bagi menandakan jenama tersebut kini masuk ke era seterusnya untuk memperbaharui falsafah serta memperkenalkan arah tuju rekaan baharu mereka.

    Ariya dihasilkan menerusi platform kenderaan elektrik sepenuhnya baharu dari Nissan, yang menampilkan dua motor elektrik bagi memacu kesemua roda. Tiada sebarang perincian teknikal seperti kuasa motor, kapasiti bateri, jarak gerak dan sebagainya didedahkan oleh Nissan dan ia hanya diketahui menyokong sistem cas cepat DC CHAdeMO.

    Walau bagaimanapun, Nissan ada menyatakan bahawa Ariya Concept berkenaan menampilkan “prestasi mengambil selekoh dan cengkaman yang cemerlang di atas permukaan licin,” dengan pengetahuan yang mereka perolehi dalam pembangunan sistem pacuan semua roda ATTESA E-TS pada Nissan GT-R dan juga sistem 4WD pintar pada Nissan Patrol.

    Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

    Kereta ini dihasilkan dengan dimensi 4,600 mm panjang, 1,920 mm lebar (tidak termasuk cermin sisi) dan juga tinggi 1,630 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, ia adalah 60 mm lebih pendek, 100 mm lebih lebar dan 110 kurang rendah dari X-Trail, yang membuatkan ia lebih nampak crossover berbanding SUV. Namun Nissan tidak mendedahkan berapa jarak roda sebenar SUV konsep ini.

    Rekaan Ariya ini pula dihasilkan dengan tema “Timeless Japanese Futurism”. Muka crossover ini pula menampilkan gril hadapan V-Motion Nissan, bersepadu dengan lampu-lampu isyarat. Ia diapit dengan lampu hadapan yang diberikan empat elemen LED, dihubungkan dengan kemasan berwarna hitam.

    Dari sisi, Ariya dapat dilihat tampil dengan garis bumbung yang landai ke belakang, serta nampak gagah dengan rim aloi lima-jejari 21-inci. Dari belakang pula, bentuk bumbung kereta ini sebenarnya nampak seperti membongkok, serta diberikan lampu belakang merentangi sepenuhnya pintu tailgate. Nissan memberikan warna biru lembut kepada model konsep ini yang digelar Suisei Blue.

    Tokyo 2019: Nissan Ariya Concept – crossover elektrik sepenuhnya tunjuk halatuju rekaan & teknologi baharu

    Bahagian kabin kereta ini turut direka secara minimalis. Selain dari papan pemuka yang ringkas, ia hampir tidak menampilkan sebarang butang dan suis kawalan analog, dan digantikan peralatan sentuhan haptik. Dua skrin 12.3-inci dipadankan pada papan pemuka tersebut dimana unit di belakang roda stereng adalah sebagai paparan instrumen, manakala pada sebelah tengah adalah untuk sistem infotainmen.

    Liang udara untuk sistem pendingin hawa dihasilkan sepanjang papan pemuka tersebut, dengan unit kawalan terletak di bawahnya. Menurut Nissan, dengan bateri sistem penjana diletakkan di bawah lantai dan juga penggunaan material yang dipilih secara terperinci, bahagian dalaman Ariya ini dapat direka dengan ruang yang begitu besar.

    Nissan Ariya Concept ini turut diberikan sistem bantuan pemanduan ProPILOT 2.0. Sistem berkenaan berhubung terus dengan dengan sistem navigasi membolehkan ia dipandu secara automatik dalam satu lorong dengan roda stereng dilepaskan sepenuhnya pada lebuhraya, dan juga mempunyai sistem Remote Park.

    Pelbagai servis terhubung juga dipadankan pada kereta ini, termasuk sistem Navigasi Pintu-ke-Pintu, Pembantu Peribadi Maya, dan juga Perancang Laluan Pintar.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026