Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen Beetle Retro edisi terhad di PACE 2019 – tiga unit sahaja, dua warna, berharga RM170,539

    Volkswagen Beetle Retro edisi terhad di PACE 2019 – tiga unit sahaja, dua warna, berharga RM170,539

    Volkswagen Beetle merupakan ikon yang tidak memerlukan pengenalan panjang di dalam dunia automotif. Walaupun telah diberhentikan pengeluarannya, status dan sejarah panjangnya telah meletakkan Beetle pada tahap tersendiri dan akan sentiasa didambakan oleh peminat-peminatnya.

    Untuk pasaran Malaysia, selepas pengenalan Collector’s Edition Julai lalu, kini ada satu lagi versi edisi terhad untuk Beetle yang ditawarkan ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 – Volkswagen Beetle Retro Edition.

    Dijual pada harga RM170,593, kelainan yang ditampilkan hanyalah perbezaan bagi aksesori Retro yang bernilai RM17,498. Tambahan atau kelainan berkenaan termasuk rim 17-inci Circle White, spoiler belakang, aluminium scuff dan juga VW Tint. Lebih unik, hanya ada tiga unit versi ini dihasilkan – dua daripadanya dalam warna biru dan sebuah dalam warna putih, seperti yang dilihat ini.

    Selebihnya, tiada perubahan dilakukan terhadap unit edisi terhad ini. Ia kekal menggunakan enjin empat-silinder petrol 1.2 liter TSI yang mampu menghasilkan 103 hp pada 5,000 rpm dan 175 Nm tork pada 1,550 rpm. Kuasa berkenaan disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

    Dari sudut keselamatan, sama seperti versi sebelum ini, ia dilengkapi antaranya dengan ABS dan BA, kawalan cengkaman, ESC, bantuan mula mendaki dan lain-lain. Ada yang berminat dengan edisi terhad Beetle yang satu ini? Bagaimana dengan rekaan rim dan tambahan lain, berbaloi dengan harga yang dikenakan?

     
     
  • Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Range Rover Evoque generasi kedua telah pun membuat penampilan di peringkat global buat pertama kalinya pada November 2018, dan SUV tersebut kini telah pun berada di Malaysia untuk dipertontonkan secara rasmi di Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran Paultan.org yang kini sedang berlangsung selama dua hari (2-3 Nov 2019) di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Dibina dengan platform Premium Transverse Architecture campuran material Land Rover, Evoque terkini ini tidak mengalami perubahan saiz yang ketara berbanding model asalnya, ia berukuran 4,371 mm panjang (tidak berubah dari sebelumnya), 1,904 mm lebar (+4 mm) dan 1,649 mm tinggi (+14 mm). Walau bagaimana pun, ruang kabinnya sedikit besar dengan penggunaan platform baharu ini, dan jarak rodanya pula meningkat sebanyak 21 mm menjadi 2,681 mm.

    Bagi aspek rekaannya, banyak sifatnya dari generasi pertama dibawa ke model baharu ini termasuk garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Otot-otot yang diberikan pada kesemua ruang roda, bersama rim 21-inci baharu menggambarkan “sikap yang teguh dan dinamik”. Walau bagaimana pun, bagi menampakkan kesegarannya, imejnya kini banyak dipengaruhi dari Velar termasuk lampu utama LED yang lebih langsing, lampu indikator yang melunjur, pemegang pintu tersorok dan juga susunan lampu belakangnya.

    Range Rover Evoque generasi kedua dipertonton di Malaysia di PACE 2019 – lancar pada Q1 2020

    Malahan rekaan untuk kabinnya juga banyak dipengaruhi dari Velar termasuklah bentangan papan pemuka yang lebih ringkas dengan corong pengudaraan yang lebih nipis. Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo (menampilkan perisian baharu yang lebih pantas), tempat duduk dengan kawalan 16-hala serta ionisasi udara kabin.

    Ruang kargo pula dihasilkan dengan kapasti 591 liter atau 10% lebih besar, membolehkan ia diisi dengan satu beg golf. Malah jika mahu ruang yang lebih luas, lipat tempat duduk belakang (dengan nisbah 40:20:40) sepenuhnya, dan kapasiti boleh dipertingkatkan sehingga 1,383 liter.

    Varian yang dipertontonkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) ini dijanakan oleh penjana kuasa P200 AWD, yang terdiri daripada enjin Ingenium 2.0 liter turbocharged empat-silinder dengan 200 PS (197 hp) dan tork 320 Nm, transmisi automaiyk sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (dengan Terrain Response 2).

    Menurut JLRM, pelancaran rasminya mungkin akan berlangsung pada suku pertama 2020, tetapi tidak pula memberikan sebarang perincian mengenai harganya.

    GALERI: Range Rover Evoque generasi kedua

     
     
  • Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Renault Koleos facelift 2020 secara rasminya telah membuat penampilan sulung di Malaysia, di acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 anjuran paultan.org yang berlangsung hujung minggu ini, 2 & 3 November 2019 bertempat di Setia City Convention Center. Dua varian ditawarkan, dengan tanda harga bermula RM179,888 bagi Koleos Standard manakala Koleos Signature pula dijual pada harga RM189,888.

    SUV segmen-D ini masih mengekalkan enjin 2.5 liter NA empat-silinder dengan janaan kuasa 171 PS dan tork 226 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear X-Tronic CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, menawarkan anggaran penggunaan bahan api sekitar 8.1 liter per 100 km.

    Antara ciri yang dipertingkatkan untuk model facelift ini termasuklah bampar hadapan baru dengan tambahan kemasan krom yang dilanjutkan sehingga ke sekeliling lampu kabus. Bampar belakang juga menerima rekaan baru, menampilkan perincian krom tambahan dengan kemasan dua-tona.

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Versi Koleos yang lebih murah dipadankan dengan roda 18-inci, sementara varian Signature menerima roda 19-inci. Malah warna luaran baharu turut diperkenalkan iaitu Amethyst Black, Millesime Red, dan Ultra Silver. Warna sedia ada Universal White dan Black Metallic masih dikekalkan.

    Di dalam, ia didatangkan dengan sistem infotainmen R-Link2 8.7-inci baru dengan sokongan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta kedua-dua tempat duduk hadapan dengan larasan elektrik. Manakala tempat duduk belakang pula kini tampil dengan fungsi yang boleh dibaringkan untuk keselesaan optimum. Bumbung panoramik pula hanya untuk Koleos Signature. Kedua-dua varian juga menerima tailgate larasan kuasa automatik sebagai standard.

    Renault Koleos facelift 2020 dipamer di PACE 2019

    Model ini ditawarkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan serta penyelenggaraan percuma juga selama lima-tahun atau 100,000 (yang mana tiba dahulu).

    Bagi tempahan yang dibuat dalam bulan November, pembeli boleh menikmati ganjaran sehingga RM15,000 dengan menukar milik kenderaan sedia ada – nilai akan ditambah dengan apa yang ditawarkan selepas proses penilaian kenderaan terbabit. Selain itu, Koleos baru ini juga ditawarkan melalui program langganan Renault dengan bayaran bulanan bermula RM2,299.

     
     
  • PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Hujung minggu ini, sekiranya anda memang merancang untuk membeli atau sedang mempertimbangkan untuk menukar kenderaan terutamanya dari jenama-jenama premium, hanya ada satu tempat yang perlu anda kunjungi; Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang berlangsung hari ini dan esok (2 & 3 November) bertempat di Setia City Convention Centre, bermula 9 pagi hingga 7 malam.

    Banyak jenama yang terlibat memberikan tawaran khas dan eksklusif, jadi jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan kelebihan yang yang ada ini. Antara jenama yang ikut serta dengan promosi menarik ialah Audi, BMW, Bufori, Harley-Davidson, Jaguar, Land Rover, Mazda, Mercedes-Benz, MINI, Renault, Subaru, Volkswagen dan Volvo.

    Bagi Audi, pelanggan yang membuat tempahan antara 2-10 November akan berpeluang memenangi hadiah utama berupa pakej Audi Driving Experience di Jerman bernilai RM40,000. Hadiah kedua pula ialah baucar beli-belah bagi aksesori tulen Audi bernilai RM5,000, sementara hadiah ketiga berupa perakam trafik universal di depan (UTR) bernilai RM2,500. Bagi unit-unit terpakai, potongan sehingga 65% akan diberikan.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    BMW pula menawarkan rebat berjumlah RM25,000 bagi model terpilih, dan pembeli juga boleh menikmati insurans kenderaan complimentary selama setahun bernilai RM7,000 serta kadar faedah serendah 0.33% (tertakluk kepada terma dan syarat). Setiap pembelian model PHEV pula didatangkan dengan kabel pengecas pantas AC BMW i percuma.

    Bagi MINI, semua tempahan yang dibuat akan diberikan kemeja-T percuma. Ketika penyerahan kenderaan, pelanggan akan menerima pula pengering rambut Dyson Supersonic serta kad Touch n’ Go dengan nilai RM1,000. Model terpilih pula akan didatangkan dengan rebat insurans percuma dan/atau kadar faedah serendah 0.77% setahun. Pelanggan juga berpeluang memenangi perjalanan ke UK untuk dua orang melalui peraduan cabutan bertuah yang diadakan.

    Tidak lupa juga kepada motosikal oleh BMW Motorrad, yang turut mempamerkan model terbaru S1000RR dan R1250R; setiap tempahan akan menerima baucar bagi cenderahati gaya hidup bernilai RM2,000 (bagi model terpilih), rebat menarik serta pakej pembiayaan mudah. Pelanggan yang membuat tempahan juga akan menerima hadiah misteri – antara GoPro, Garmin atau Touch n’ Go (dengan nilai kad RM1,000).

    Bagi Jaguar Land Rover, pengunjung akan dapat melihat buat pertama kali model Evoque terbaru yang turut dipamerkan terlebih dahulu, sebelum dilancarkan. Bagi model Velar, ditawarkan secara percuma ialah pemijak sisi automatik bernilai RM20,000, serta ciri Apple CarPlay dan Android Auto percuma, bernilai RM3,000. Bagi Jaguar juga sama; SUV Jaguar F-Pace ditawarkan dengan pemijak sisi automatik percuma bernilai RM20,000. Mana-mana tempahan model kedua-dua jenama ini juga akan menerima jam tangan chronograph bernilai RM2,500.

    Hap Seng Star pula menawarkan pakej Star Agility Care untuk kenderaan Mercedes-Benz bagi pelanggan yang membeli C 200 atau GLC 200 yang merangkumi bayaran bulanan menarik, insurans kenderaan komprehensif, pakej servis bersepadu empat kali, insurans tayar dan rim serta akses kepada program MobilityPlus. Selain itu, promosi sedia ada termasuk akses tiga kali ke Plaza Premium Lounge di KLIA serta peluang memenangi 100 gram emas 999.9. Turut dipamerkan ialah Mercedes-AMG A35 Sedan, A 250 Hatchback AMG Line, GLA 200 Urban Line dan GLC 250 4Matic AMG Line.

    Mazda pula menawarkan barisan model terpakai bermula pada harga RM143,000, merangkumi barisan lengkap model-model sedan dan SUV sedia ada, termasuk model CX-9 2.5L Turbo 2WD. Mana-mana model yang dipilih, semua model terpakai Mazda didatangkan dengan jaminan kilang dan pakej servis percuma sehingga lima tahun, sah bermula dari tarikh pembelian dibuat. Cenderahati Mazda turut akan diberikan.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Ruang pameran Renault pula akan dihiasi dengan kehadiran model SUV Koleos 2020 terbaru, disamping model Megane RS 280 Cup. Kedua-dua model ini juga kini ditawarkan melalui program langganan Renault, bermula dari RM2,299. Bagi Subaru pula, ruang pameran jenama ini akan dihiasi oleh model-model seperti Subaru WRX dan Subaru Outback dengan ciri EyeSight.

    Menarik di ruang pameran Volkswagen pula ialah kelibat Volkswagen Beetle Retro edisi terhad. Hanya ada tiga unit model terbabit ditawarkan – dua dalam warna biru dan satu warna putih dan dijual pada harga RM162,388, ia melibatkan aksesori retro bernilai RM17,498. Tidak lupa juga, barisan kenderaan terpakai Volkswagen yang dipamerkan di bahagian luar turut ditawarkan pada harga menarik. Arteon juga ada dipamerkan dan dibuka untuk tempahan.

    Volvo pula segar dengan penawaran model yang baru saja dilancarkan, sedan S60. Bagi unit-unit Volvo terpakai, penjimatan sehingga RM70k ditawarkan kepada pelanggan, bagi model-model terpilih. Bagi mereka yang berhasrat untuk membeli kenderaan baru Volvo, mereka akan menikmati servis standard lima-tahun (VSA5+) percuma serta Volvo Car Insurance Plus untuk setahun secara percuma.

    Selain itu, sebagai tambahan, tawaran menarik turut disediakan oleh paultan.org sendiri. Bagi 150 pembeli kenderaan baru terawal, anda akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,450; ini termasuk RM770 baucar 3M Tint, RM680 baucar keahlian Babel Fit, RM500 baucar beli-belah Reebonz dan RM500 baucar Kuzig Glanz.

    Kami juga menawarkan baucar gabungan bernilai RM1,270 bagi 50 tempahan terawal kenderaan terpakai, termasuk RM770 3M Tint dan RM500 baucar Kuzig Glanz. Cabutan bertuah turut menanti mereka yang mengesahkan pembelian (pinjaman telah diluluskan) ialah 10 telefon Samsung Galaxy Note 10 terbaru bernilai RM3,699*, serta hadiah utama percutian untuk dua orang bernilai RM25,000*.

    Acara ini turut menerima tajaan bersama dari Michelin yang turut mempamerkan barisan tayar berkualiti tinggi seperti Energy XM2+, Primacy 4 sehinggalah kepada tayar prestasi Pilot Sport 4, Pilot Sport 4 SUV dan Pilot Sport 4 S. Selain itu, TyrePlus yang beroperasi di 22 negara untuk menyediakan khidmat penyelenggaraan kenderaan juga bertindak sebagai penaja bersama.

    PACE 2019 bermula hari ini di Setia City Convention Center – banyak tawaran khas menarik menanti anda

    Penganjuran sulung PACE tahun lalu berjaya menyaksikan sebanyak 214 unit kenderaan bernilai RM50 juta terjual dalam tempoh dua hari – 180 unit kenderaan baru dan 34 unit kenderaan terpakai. Jika anda belum pernah berkunjung ke acara ini, jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada pengunjung untuk hari ini dan esok.

    *Bagi Volkswagen Passenger Cars Malaysia, ia sah untuk semua model kecuali Volkswagen Polo, Volkswagen Vento dan Volkswagen Jetta. Bagi Renault, sah untuk model Koleos dan Renault Megane RS. Bagi Subaru, sah untuk semua model kecuali Subaru XV dan Subaru Forester 2.0i-L. Bagi Mazda, sah untuk semua model kecuali Mazda2, Mazda 3 1.5L, Mazda CX-3, Mazda CX-5 2.0 Mid 2WD dan Mazda BT-50. Tidak sah untuk motosikal Harley-Davidson.

     
     
  • Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd melancarkan secara rasmi Street Triple 765RS 2020 untuk pasaran Malaysia pada harga RM67,900 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga jualan yang sama seperti Street Triple 765RS 2019 sedangkan model baru ini mempunyai beberapa peningkatan.

    Perubahan paling jelas untuk model tahun 2020 ini adalah bentuk lampu LED hadapannya yang lebih kecil serta DRL LED yang berbentuk seperti kening. Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih digunakan, malah kuasa maksimum juga sama iaitu 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork pada 9,350 rpm, tetapi penunggang akan dapat menikmati sembilan peratus lebih kuasa pada tahap rpm pertengahan.

    Maklum balas pendikit diperbaiki, dengan kini ia boleh dipulas dengan tujuh peratus kurang usaha. Turut dipasang adalah ekzos dengan dua catalytic converter, yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga membenarkan aliran udara ekzos yang lebih lancar. Untuk memberikan keseimbangan antara bunyi intake dan juga bunyi ekzos, sistem pengudaraan masuk diubah sedikit.

    Kotak gear model baru ini turut diusik untuk memberikan penukaran lebih lancar dan mengurangkan berat, manakala gear satu dan dua pula lebih pendek untuk memberikan pecutan lebih baik. Dalam keadaan standard, model ini datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Sekali imbas, panel paparan TFT-LCD berwarna penuh pada model ini nampak sama, tapi sebenarnya ia mempunyai empat gaya paparan dan empat warna yang berbeza. Sudut skrin juga boleh dilaras seperti Speed Triple 1050 untuk menyesuaikannya dengan ketinggian penunggang yang berbeza.

    Melalui panel paparan ini juga penunggang dapat menikmati sistem sambungan baru. Apabila disambungkan dengan modul Bluetooth yang dijual secara berasingan, ia boleh mengawal kamera GoPro, menunjukkan navigasi dan mengawal telefon serta muzik menggunakan butang pada bahagian pemegang.

    Triumph Street Triple 765RS 2020 dilancar untuk M’sia – beberapa bahagian dipertingkat, harga masih RM68k

    Kelengkapan lain 765RS 2020 ini masih sama seperti sebelumnya termasuk angkup brek Brembo M50 dengan cakera 310 mm di hadapan, angkup satu piston dan cakera 220 mm di belakang, serta fork Showa Big Piston Forks (BPF) dan monoshock Ohlins STX40 yang boleh dilaras sepenuhnya. Tayar standard adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.

    Dua warna disediakan untuk Street Triple 765RS 2020 ini iaitu Matte Jet Black dengan pelekat Aluminium Silver dan Kuning, atau Silver Ice dengan pelekat Diablo Red dan Aluminium Silver – jalur merah pada rim dicat menggunakan tangan. Seperti biasa, pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori yang disediakan oleh Triumph untuk motosikal ini seperti ekzos daripada Arrow.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Buat dua minggu berturut-turut harga runcit petrol RON97 dilaporkan mengalami penurunan. Kementerian Kewangan mengesahkan untuk minggu bertarikh 2 hingga 8 November 2019, harga runcit bahan api tersebut turun sebanyak 3 sen seliter iaitu RM2.56 seliter, berbanding RM2.59 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu tersebut efektif mulai 12 tengah malam ini.

    Namun demikian harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.33 seliter masing-masing. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.29 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.

    Harga minyak 2-8 Nov: RON97 turun 3 sen seliter

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 2 November 2019 sehingga 8 November 2019 adalah berjumlah RM86.25 juta.

    Namun, ingin diingatkan sekali lagi, mulai Januari 2020, harga runcit petrol RON95 akan menjadi lebih tinggi memandangkan kerajaan yang telah mengumumkan penarikan balik subsidi bahan api tersebut, melainkan untuk golongan B40 yang layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) dan juga Kad95 untuk golongan M40.

     
     
  • Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Model Mazda CX-5 facelift telah pun dilancarkan di Thailand, sebulan selepas SUV segmen-C tersebut diperkenalkan di negara kita. Dipasang di Malaysia, seperti pasaran kita, barisan CX-5 baharu ini turut disertakan dengan varian CX-5 2.5L Turbo.

    2.5L Turbo SP 4WD merupakan varian tertingi untuk CX-5 2019 dan ditawarkan pada harga 1.85 juta baht, atau pun RM256k. Jauh lebih mahal berbanding harga di negara kita yang hanya RM178k.

    Enjin yang digunakan oleh 2.5 liter turbo adalah sama dengan yang menjanakan CX-9, dan risalah di Thailand mengesahkan hamburan kuasannya mencecah 231 hp dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Penjana kuasa ini digandingkan bersama transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ secara standard, tetapi tiada pedal penukar gear untuk mod manual.

    Mazda CX-5 2.5L Turbo dilancarkan di Thai – RM256k

    Eksklusif untuk varian Turbo, ia didatangkan dengan headlining hitam, pencahayaan ambien, cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan fungsi auto kelam, kemasan kayuan, kulit Nappa coklat dan tempat duduk dengan pengudaraan.

    Ciri-ciri lain termasuk aloi 19-inci dengan tayar siri 225/55, bumbung matahari, lampu utama LED adaptif auto, bilah pengelap cermin auto, tailgate berkuasa, dan butang penghidup enjin/kemasukan pintar. Varian tertinggi CX-5 ini turut ditampilkan dengan sistem Bose Surrond Sound 10-pembesar suara.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia didatangkan dengan Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support Forward (SCBS F), Smart City Brake Support Reverse (SCBS R), Driver Attention Alert (DAA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS) are all available, dengan tambahan dalam Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

    Jadi, dengan harga yang agak ‘mengejutkan’ di Thailand, kira adillah sebab ada beberapa ciri yang varian sana dapat, tapi tidak ditampilkan untuk model Malaysia, iaitu sistem audio Bose, tempat duduk kulit Nappa dengan fungsi pengudaraan, kemasan kayuan, bumbung matahari dan MRCC. Kalau semua ciri sama dengan model Malaysia, pastinya harga pun sama mahal juga kan?

    GALERI: Mazda CX-5 2.5 Turbo GLS AWD, spesifikasi Malaysia

     
     
  • Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    TC Euro Cars telah mengumumkan pertambahan terbaru bagi Program Langganan Renault yang kini turut menawarkan model Renault Megane RS 280 Cup. Pelanggan kini berpeluang memandu pulang kereta ini tanpa perlu meletak bayaran pendahuluan dalam jumlah yang besar atau mengambil pinjaman dengan kadar faedah tinggi dalam tempoh yang lama untuk tujuan itu.

    Kedua-dua varian RS280 Cup sah untuk program ini, bagi tempoh satu hingga tiga tahun langganan. Pembeli boleh memilih antara Fixed Plan atau Switch Plan.

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Pelan kekal lebih teratur, ditawarkan bagi tempoh satu, dua atau tiga tahun. Ia merangkumi kadar bayaran bulanan yang termasuk di dalamnya cukai jalan, insurans dan kos penyelenggaraan biasa bermula pada harga RM3,999 sebulan.

    Pelanggan yang memilih pelan tukaran pula akan menikmati akses kepada keseluruhan barisan model Renault tanpa perubahan kadar yang diumumkan sebelumnya. Switch Plan ini menawarkan Renault Captur dengan pilihan untuk penggunan Renault Koleos dan Megane RS 280 Cup dalam tempoh langganan berkenaan.

    Renault Megane RS 280 Cup ditawar dalam program langganan, bermula RM2,999 – tempah di PACE 2019!

    Selain itu, Switch Plan juga datang tanpa had perbatuan dan tiada denda pembatalan. Semua bayaran adalah termasuk insurans, cukai jalan dan kos servis biasa. Kos alat ganti juga akan dimasukkan sekali di dalam pelan ini.

    Megane RS 280 Cup dalam unit terhad kini boleh didapati melalui program langganan. Jika anda berminat, elok disegerakan. Anda boleh melakukan tempahannya di acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2019 anjuran paultan.org dan ditaja bersama oleh Michelin dan TyrePlus hujung minggu ini. Megane RS 280 Cup turut akan berada di acara ini yang berlangsung dari 2-3 November 2019, dari jam 9 pagi hingga 7.00 malam di Setia Alam Convention Centre.

     
     
  • BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    Sempena minggu perlumbaan MotoGP di Sepang hari ini, BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan versi terbaru superbike terkenal mereka, S1000RR. Ini adalah model yang diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali semasa pameran EICMA tahun lepas, dan dipanggil sebagai model tahun 2019.

    Hampir keseluruhan bahagian model baru ini direka semula termasuklah penampilan, kerangka, enjin, suspensi dan geometri. Selain daripada itu, BMW Motorrad Malaysia juga buat masa sekarang cuma membawa masuk versi tertinggi bagi model ini, iaitu dengan pakej M yang memberi rim gentian karbon, bateri serba ringan, kit casis M, tempat duduk sport, Pro Mode serta warna cat Motorsport. Harganya adalah RM138,500.

    Seperti yang boleh anda lihat, tiada lagi rekaan lampu berbeza bentuk di hadapan S1000RR ini, sebaliknya BMW menggunakan rekaan yang sama untuk kedua-dua belah kiri dan kanan, dengan di tengahnya terdapat bukaan udara sementara panel yang digunakan juga kelihatan lebih tajam.

    Bentuk kerangka utama juga diubah, dengan kini melibatkan rekaan yang dipanggil sebagai Flex Frame dan membenarkan bahagian tangki, pemegang, tempat duduk serta kedudukan kaki diubah untuk memberikan ergonomik yang lebih baik untuk tunggangan sporty.

    Melalui model baru ini juga, penunggang dapat menikmati tunggangan yang lebih dinamik dan tepat kerana bahagian suspensi diubah sepenuhnya termasuk geometri. Sudah tentu, ia boleh dilaras sepenuhnya, dan disokong lagi dengan barangan seperti lengan ayun aluminium rekaan seperti motosikal WSBK, kinematik Full Floater Pro, Dynamic Damping Control (pilihan tambahan) dan untuk bahagian belakang sahaja, ia lebih ringan 300 gram.

    Tidak cukup dengan kuasa 199 hp yang didapati daripada enjin empat silinder selari 999 cc pada model sebelum ini, BMW telah meningkatkan kuasa S1000RR 2019 menjadi 207 hp pada 13,500 rpm dan tork 113 Nm pada 11,000 rpm (masih sama) hasil daripada penggunaan teknologi ShiftCam baru, serta laluan udara dan sistem ekzos (1.3 kg lebih ringan) yang diubah.

    BMW S1000RR 2019 dilancar untuk Malaysia – versi M dengan rim gentian karbon, harga jualan RM138,500

    Pada bahagian elektronik, S1000RR 2019 ini sekarang mempunyai pengesan 6-axis, seterusnya membolehkan ia dilengkapi dengan fungsi seperti Dynamic Traction Control, DTC Wheelie Function, BMW Motorrad Race ABS serta Engine Brake Function yang boleh dilaras sepenuhnya.

    Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan Launch Control, Pit Lane Limiter, Shift Assistant Pro (boleh ditukar dengan mudah kepada GP-Style), Electronic Cruise Control serta empat mod tunggangan secara standard iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race (boleh ditambah dengan pilihan Pro Mode). Untuk bahagian panel instrumen, model ini menggunakan skrin TFT 6.5 inci baru dengan paparan yang boleh diubah.

    Unit yang dipasarkan di Malaysia adalah diimport sepenuhnya dari Berlin, Jerman dan ia didatangkan bersama jaminan serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Buat masa sekarang BMW Motorrad Malaysia juga cuma mahu menumpukan perhatian kepada model dengan pakej M ini, dan waktu ketibaan model standard yang lebih mampu milik tidak diberitahu.

     
     
  • JPJ keluarkan lebih 1.02j notis pelbagai kesalahan di seluruh negara dari Januari hingga Oktober 2019

    JPJ keluarkan lebih 1.02j notis pelbagai kesalahan di seluruh negara dari Januari hingga Oktober 2019

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan sebanyak lebih 1.02 juta notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sejak Januari hingga Oktober 2019. Daripada jumlah itu, sebanyak 212,158 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, muatan berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

    “Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” ujar Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid menerusi laporan Bernama.

    Malam tadi, JPJ Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya turut mengadakan operasi bersepadu di Jalan Bangsar. Dalam operasi itu, sebanyak 2,450 kenderaan diperiksa dan 220 kenderaan diambil tindakan dalam operasi berkenaan.

    “Selain itu, sebanyak 603 notis dikeluarkan dalam operasi ini melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain selain menyita 20 motosikal. Pada masa sama, enam lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun ditahan AADK selepas ujian saringan awal air kencing yang dilakukan didapati positif dadah,” katanya.

     
     
  • Nissan X-Trail 2019 kini hadir dengan pakej X-Tremer dan Aero Edition – harga dari RM139k-RM167k

    Nissan X-Trail 2019 kini hadir dengan pakej X-Tremer dan Aero Edition – harga dari RM139k-RM167k

    X-Trail Aero Edition (kiri) & X-Trail X-Tremer (kanan)

    Pada Mac lalu, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah pun memperkenalkan barisan X-Trail 2019 untuk pasaran Malaysia. Ia hadir dengan varian X-Trail 2.0L 2WD, X-Trail 2.0L 2WD Mid, X-Trail 2.5L 4WD, dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid. Hampir 9 bulan di pasaran, ETCM memperkenalkan pula pakej agresif X-Tremer dan Aero Edition yang elegan untuk barisan X-Trail 2019 sebagai memberikan variasi kepada para pelanggannya terutamanya yang gemar dengan imej lebih sporty.

    X-Trail X-Tremer baharu hadir dengan penampilan agresif dalam pilihan warna luaran dua tona iaitu merah (Imperial Red) baharu, putih (Brilliant White) atau perak (Tungsten Silver) bersama bumbung dengan siluet berwarna hitam, rel bumbung dan spoiler belakang. Malah pakej ini turut didatangkan dengan ciri-ciri baharu yang digelapkan gril V-Motion, aero bampar TOMEI pada bahagian hadapan dan belakang, spoiler sisi bawah, cermin sisi serta rim aloi 10-jejari 17-inci berwarna hitam.

    Untuk kabinnya, ia didatangkan dengan tempat duduk kulit Nappa mewah berwarna perang, papan pemuka, pelindungan lutut dan perehat tangan dengan kemasan kulit nyata membuatkan SUV ini kelihatan lebih sofistikated.

    Bagi pakej kedua yang ditawarkan iaitu Aero Edition, ia dilengkapi dengan aero bampar TOMEI kemasan perak pada bahagian hadapan dan belakang, spoiler sisi bawah dan rim aloi 10-jejari 17-inci berwarna hitam. Manakala kabinnya juga dilatari kemasan kulit Nappa mewah seperti yang ada pada X-Tremer. X-Trail Aero Edition baharu ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu hitam (Diamond Black), coklat (Imperial Umber) dan hijau (Titanium Olive).

    Nissan X-Trail X-Tremer dan Aero Edition baharu turut ditawarkan dalam empat varian iaitu 2.0L Hybrid, 2.5L 4WD, 2.0L 2WD MID dan 2.0L 2WD dan kesemuanya memperoleh status kenderaan cekap tenaga (EEV). Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk pakej X-Tremer ialah RM140,888 untuk varian 2.0L 2WD, RM152,888 (2.0L 2WD MID), RM160,888 (2.5L 4WD) dan RM166,888 bagi 2.0L Hybrid.

    Manakala barisan X-Trail Aero Edition pula ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) yang lebih murah iaitu RM138,888 (2.0L 2WD), RM150,888 (2.0L 2WD MID), RM158,888 *2.5L 4WD) dan RM164,888 (2.0L Hybrid). Kesemua harga tersebut hadir bersama jaminan selama 5-tahun dan perbatuan tanpa had (termasuk alat ganti Hybrid dan bateri HEV Lithium-Ion).

    Sementara aksesori yang dipasang dari kilang didatangkan dengan jaminan selama 3-tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Kedua-dua pakej baharu ini akan ditampilkan di bilik pameran Nissan di seluruh negara mulai 2 November 2019.

     
     
  • Bisimoto VelosterRaptor N 2019 lawan Civic Type R?

    Bisimoto VelosterRaptor N 2019 lawan Civic Type R?

    Kebelakangan ini nampak Hyundai sangat sibuk hasilkan kenderaan yang berprestasi. Ingat lagi dengan van drift Starex? Terbaru, syarikat itu bekerjasama pula dengan Bisimoto Engineering untuk menghasilkan Bisimoto VelosterRaptor N Concept, yang khabarnya akan menghasilkan sebuah kereta yang mesra pengguna – naik taraf prestasi bagi model Veloster N Performance Package.

    Akan diperkenalkan ketika pameran SEMA 2019, VelosterRaptor ini walaupun kekal dengan enjin asal telah dipasangkan teknologi ekzos dan induksi terbaru. Ini termasuk pelincir khas, sistem ekzos sport, rekaan intake cekap, elektronik maklum balas prestasi, peninjau OBD dan kemaskini aerodinamik.

    Model ekzos dan intake yang digunakan menggunakan teknologi pulse-wave untuk memperkemaskan lagi kecekapan volumetrik, serta memperbaiki supercas inertia. Tiada angka output didedahkan ketika ini, tetapi VelosterRaptor N direka dengan bayangan untuk menjadi pencabar kepada Civic Type R – maka, kita boleh jangkakan kuasanya akan melebihi 320 hp.

    Lain-lain peralatan yang dinaik taraf termasuk klac daripada Action Clutch, suspensi sport rendah Eibach, brek lebih tebal oleh Tarox, rim Fifteen52 dengan tayar Toyo serta pengecas turbo oleh Turbonetics.

    Di luar, ia menerima spoiler belakang kustom, lampu utama yang diubah suai untuk menggunakan komponen Flyryde, serta bahagian gentian karbon oleh Dreamworks. Di dalam, tempat duduk depan Momo yang diringan digunakan. Rasanya kereta ini nanti ada harapan nak “gigit” Civic?

     
     
  • Sunway bakal perkenal sistem parkir bersepadu pintar

    Sunway bakal perkenal sistem parkir bersepadu pintar

    Kalau anda ke Sunway Pyramid, perlu diketahui bahawa ruang letak kenderaan di sana akan menggunakan sistem parkir pintar, yang boleh mengesan nombor plat kenderaan anda untuk memanfaatkan cara bayaran e-wallet dari beberapa platform. Menurut Sunway, ini bertujuan untuk mempertingkatkan lagi keselesaan dan kemudahan pengunjung.

    Antara rakan bagi perkhidmatan e-wallet termasuk GrabPay, WeChat Pay, Alipay, Touch N’ Go Digital dan Maybank QR Pay, selain penggunaan kad kredit MasterCard, Visa, American Express, JCB, UnionPay dan MyDebit. Sistem berkenaan akan digunakan dalam perkarangan Sunway City, termasuk Sunway Pyramid, Sunway Hotel dan Menara Sunway.

    Sebagai permulaan, sistem ini beroperasi untuk kegunaan staf dan pemegang pas bermusim. Pra-pendaftaran juga disediakan bagi pengunjung yang ingin mendaftarkan nombor plat kenderaan mereka; sebagai habuan, satu kemasukan parkir percuma akan diberikan sebaik sahaja sistem ini dibuka kepada umum bermula pada suku pertama 2020 nanti.

    Sunway bakal perkenal sistem parkir bersepadu pintar

    Sistem semasa seperti penggunaan tiket dan Touch n’ Go masih boleh digunakan juga selepas pelaksanaan sistem baru ini. Namun, ada satu masalah lain. Nombot plat kenderaan di Malaysia kerap menggunakan rekaan abjad (font) yang berbeza, jadi bagaimana sistem ini dapat mengesan dengan betul?

    Sistem berkenaan telah diuji dalam beberapa situasi yang sinonim dengan suasana setempat, dan ia berjaya mengecam hampir 95% pelbagai jenis nombor plat yang ada digunakan ketika ini. Sebagai bandingan, sistem sama yang digunakan di China telah menunjukkan kejayaan pengecaman sehingga 99%.

     
     
  • Program pertukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sudah bermula – JPJ

    Program pertukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sudah bermula – JPJ

    Seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada awal September lalu, kerajaan akan menganjurkan program khas untuk peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara asing yang ingin membuat pertukaran lesen memandu di Malaysia.

    Ia akan dilaksanakan mulai hari ini (1 Nov 2019) dan menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, pihaknya telah membuat penggantungan urusan pertukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia berkuatkuasa pada 24 September 2018.

    Walau bagaimanapun, tambahnya, hanya permohonan pertukaran kepada lesen memandu oleh warganegara Malaysia yang telah menukar lesen memandu Malaysia kepada lesen memandu Singapura, serta permohonan kategori Diplomatik sahaja akan dipertimbangkan kelulusan bagi urusan ini.

    “Syarat pertukaran itu memerlukan lesen memandu negara asal yang dimiliki individu berkenaan adalah masih sah dan berkuatkuasa. Lesen memandu yang dimaksudkan adalah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen belajar memandu, lesen sementara atau lesen percubaan. Urusan permohonan pertukaran itu hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPJ dan pejabat JPJ negeri-negeri,” ujarnya.

    Program pertukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sudah bermula – JPJ

    Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, lesen memandu negara asal individu itu akan ditukarkan kepada lesen percubaan (Lesen P) Malaysia dan mereka diwajibkan memenuhi semua syarat yang dikenakan kepada pemegang Lesen P yang lain.

    “Ini bagi memastikan individu berkenaan benar-benar mempunyai kompetensi memandu dan mendidik pemandu untuk mematuhi semua peraturan jalan raya negara ini,” katanya.

    Bagi peserta atau warganegara yang memperolehi lesen memandu daripada negara bukan penjanji kepada Konvensyen 1949, bukan dari negara ASEAN dan tiada mempunyai MRA dengan Malaysia, mereka akan diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori Undang-undang sahaja. Perkara ini amat diperlukan bagi memastikan tahap pemahaman ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini yang mungkin berbeza dengan negara asal lesen dikeluarkan.

    Manakala bagi peserta MM2H, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya mana-mana peserta program melanggar mana-mana syarat program, telah dibatalkan daripada program MM2H.

    Program pertukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sudah bermula – JPJ

    Mengenai pengiktirafan lesen memandu negara asing, beliau berkata ia adalah yang mempunyai triti atau perjanjian dengan Malaysia iaitu sama ada menerusi perjanjian Konvensyen 1949, Perjanjian Negara-negara Asean 1985 dan yang menandatangani MRA.

    “Tiada sebarang pertukaran lesen memandu negara Malaysia diperlukan. Warganegara dari negara yang mempunyai triti dengan Malaysia dibenarkan memandu menggunakan lesen memandu negara itu selagi lesen memandu asalnya masih sah tempoh laku serta bukan lesen memandu percubaan, lesen sementara atau lesen memandu pelajar,” katanya.

    Tambahnya lagi, penggunaan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) akan diwajibkan terutama apabila lesen memandu negara itu tidak mempunyai terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

    Selain itu, Kementerian dan JPJ hanya akan menitikberatkan tempoh sah laku lesen pemandu asal yang dimiliki oleh individu berkenaan atas dasar keselamatan.

     
     
  • Tiada ketetapan jangka masa untuk ambil alih lebuhraya kendalian Gamuda – Menteri Kewangan

    Tiada ketetapan jangka masa untuk ambil alih lebuhraya kendalian Gamuda – Menteri Kewangan

    Dalam pembentangan Belanjawan 2020 11 Okt lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan, kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan ambil alih empat lebuhraya di Lembah Klang yang dikendalikan oleh Gamuda Bhd iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

    Malah ketika itu, Lim turut berkata, mulai 2020, tiada kadar tol yang akan dikenakan untuk semua jenis kenderaan pada waktu bukan puncak. Manakala kadar tol pada waktu puncak dan waktu biasa akan diturunkan sebanyak 30%.

    Namun, semalam menteri yang sama memaklumkan bahawa kerajaan tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk mengambil alih empat lebuh raya tersebut. Malahan pengumuman mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat apabila semua matlamat pengambilalihan itu dicapai. Di mana kerajaan akan membayar RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya itu.

    Katanya, terdapat tiga syarat yang ditetapkan, yang pertama ialah ia tidak akan mengenakan negara apa-apa beban hutang tambahan dan bayaran khidmat hutang.

    “Kedua ialah penjimatan untuk kerajaan dengan tidak perlu membayar pampasan dan ketiga, penjimatan kepada rakyat melalui kadar tol yang dikurangkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya, keperluan adalah sama untuk pengambilalihan lebuh raya PLUS bahawa matlamat perlu direalisasikan terlebih dahulu.

     
     
  • KYMCO RevoNex akan ditunjuk kali pertama di EICMA

    KYMCO RevoNex akan ditunjuk kali pertama di EICMA

    KYMCO telah mengeluarkan satu teaser menunjukkan motosikal yang akan mereka bawa ke pameran EICMA 2019. Menggunakan nama RevoNex, KYMCO memanggil motosikal ini sebagai sebuah skuter maxi elektrik, tetapi bentuk badannya tidak seperti skuter biasa.

    Sebagaimana yang sudah diketahui, sebuah skuter maxi biasanya mempunyai badan yang besar seperti X-Town atau XCiting, dengan enjin lebih daripada 250 cc, sedangkan ‘skuter’ yang mereka tunjuk dalam gambar teaser ini pula menggunakan badan berbentuk seperti motosikal naked.

    Bukan setakat itu, rimnya juga kelihatan seperti mempunyai saiz besar seperti superbike, dan bukannya saiz kecil seperti kebanyakan skuter lain. Ia juga mempunyai ‘tangki’ di atas yang mungkin sebenarnya adalah pek bateri untuk menggerakkan motor elektriknya.

    KYMCO RevoNex akan ditunjuk kali pertama di EICMA

    Semasa pameran EICMA tahun lepas, KYMCO telah menunjukkan sebuah motosikal sports elektrik bernama SuperNEX, dan RevoNEX ini dijangka menggunakan pakej yang sama, cuma bentuk badan bahagian hadapannya sahaja yang berbeza.

    Perincian teknikal RevoNEX masih belum didedah, tetapi kalau merujuk kepada SuperNEX, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan mempunyai kelengkapan elektronik seperti Launch Control, Traction Control, Anti-Wheelie Control dan Anti-Wheel Lift tayar belakang.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Khazanah tidak berminat jual sahamnya, Widad pertimbang naikkan nilai tawaran

    Isu ambil alih PLUS: Khazanah tidak berminat jual sahamnya, Widad pertimbang naikkan nilai tawaran

    Khazanah Nasional Bhd masih mengekalkan pendirian tegas untuk tidak menjual PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, kata Pengarah Urusannya Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

    “Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan. (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah menyatakan bahawa tiada tawaran yang menarik. Oleh itu, saya berpegang kepada (kenyataan) itu,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Semalam Bernama turut melaporkan, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion.

    Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion. Syarikat berkenaan menyemak naik tawarannya untuk PLUS dalam pembentangannya kepada Kementerian Kerja Raya tempoh hari.

    Isu ambil alih PLUS: Khazanah tidak berminat jual sahamnya, Widad pertimbang naikkan nilai tawaran

    Dalam kenyataannya, WBG berkata, pihaknya kini menawarkan untuk mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS bagi RM5.3 bilion dalam pertimbangan tunai, sebagai tambahan kepada pelepasan pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan hutang dianggarkan sebanyak RM30 bilion, menjadikan jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu kepada RM38.338 bilion.

    “Tawaran disemak semula oleh WBG turut mengandungi dua lagi klausa tambahan, iaitu pelepasan jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan, dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya.

    Tambahnya lagi, tawaran terbaharu itu sebanyak RM38.338 bilion, termasuk hutang oleh WBG, yang ketika ini merupakan bida tertinggi daripada sektor swasta.

    “Kami telah mendengar komen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masih belum mendapat tawaran yang cukup menarik untuk PLUS. Selepas mengadakan perbincangan, kami merumuskan tawaran yang lebih tinggi yang mencerminkan prospek lebih cerah bagi syarikat ini dan pelan pengambilalihan yang akan membantu mengurangkan lagi beban kewangan ditanggung kerajaan, serta menyediakan penjimatan yang amat diperlukan serta selesa kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya kami,” ujar Pengerusi Eksekutif WBG Group Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

    Isu ambil alih PLUS: Khazanah tidak berminat jual sahamnya, Widad pertimbang naikkan nilai tawaran

    Dalam cadangan diserahkan kepada Menteri Kerja Raya, WBG menyenaraikan beberapa komitmen bagi pengambilalihan PLUS, seperti kadar tol. Ia juga mencadangkan dua mekanisme berbeza, pengurangan pertama 25% ke 40% diberikan kepada pengguna jalan raya menerusi diskaun tol secara langsung, atau pengurangan tol 18% secara langsung kepada pengguna jalan raya dan bakinya pengurangan 7-22% disalurkan kepada kerajaan untuk kebajikan kumpulan sasar.

    Selain itu, diskaun tol 50% juga akan diberikan semasa sambutan perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

    Selain Widad Group Berhad, tiga lagi syarikat konglomerat terkemuka turut membuat tawaran untuk membeli kepentingan dalam PLUS; Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

     
     
  • Hyundai Veloster N Performance Concept akan di bawa ke SEMA 2019 – penuh barang prestasi tinggi!

    Hyundai Veloster N Performance Concept akan di bawa ke SEMA 2019 – penuh barang prestasi tinggi!

    Sebagai sebuah jenama yang telah berjaya menambat hati peminat model berprestasi tinggi dan ubahsuai di Amerika Syarikat, Hyundai sudah tentu tidak akan ketinggalan untuk menyertai acara SEMA di Las Vegas tahun ini. Oleh itu, sayap perlumbaan rasmi jenama tersebut, Hyundai N akan membawakan Veloster N yang lebih hardcore, dikenali dengan nama Veloster N Performance Concept.

    Namun tidak seperti i30 N Project C yang hadir sebagai model produksi sebenar edisi terhad, Veloster N Performance ini hanya dihasilkan sebagai model konsep, bagi menunjukkan peralatan-peralatan aftermartket yang boleh dipadankan secara bolt-on kepada hatchback berprestasi tinggi berkenaan.

    Seperti yang anda lihat, versi istimewa ini menampilkan rupa luaran yang jauh lebih garang. Kereta ini sebenarnya telah menerima kit badan dari KWA, terdiri dari spoiler belakang yang lebih agresif, hud bonet hadapan, bendul sisi dan juga penutup cermin sisi.

    Hyundai Veloster N Performance Concept akan di bawa ke SEMA 2019 – penuh barang prestasi tinggi!

    Ia juga dilengkapkan dengan serlahan jalur-jalur oren pada bahagian muka, belakang dan sisi, dan penampilannya dilengkapkan dengan pemandanan rim OZ Racing bersaiz 19-inci seperti pada i30 Project C, dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero Corsa.

    Pada bahagian dalaman, kereta ini diberikan balutan-balutan Alcantara dan juga ciri-ciri lain juga sama seperti i30 N Project C seperti tempat duduk bucket dari Sabelt, tombol gear yang diperbuat dari brushed aluminium billet dengan bentuk seakan kepala omboh enjin, butang penghidup enjin berwarna merah, serta serlahan-serlahan berwarna oren.

    Veloster N Performance Concept ini masih dijana oleh enjin produksi 2.0 liter turbo dengan Performance Package yang menghasilkan 275 hp dan tork maksima 353 Nm. Namun ia turut menerima sedikit sentuhan dengan penukaran sistem ekzos asal kepada sistem cat-back dari Capriso.

    Hyundai Veloster N Performance Concept akan di bawa ke SEMA 2019 – penuh barang prestasi tinggi!

    Pengendalian Veloster ini turut diolah semula dengan menggantikan suspensi asal kepada set penyerap hentak boleh laras perlumbaan dari Extreme Racing bersama set spring dari H&R. Bar anti oleng hadapan dan belakang turut digantikan dengan unit lebih keras dari Daewoon Steel, manakala ketegaran badan kereta ini turut bertambah dengan pemadanan pendakap-pendakap casis tambahan dari WIF.

    Sistem brek turut diberi perhatian di mana angkup-angkup asal kini tidak lagi digunakan bagi memberikan laluan kepada angkup empat-omboh di belakang dan enam-omboh di hadapan, kesemuanya dari Alcon. Ia digabungkan dengan cakera 15-inci di hadapan dan 14.2-inci di belakang, yang masing-masing 1.4-inci dan 1.8-inci lebih besar dari cakera standard versi Performance Package.

     
     
  • Lagenda “Kumbang Kuning” Lebuhraya Karak kini muncul dalam video kartun Volkswagen Malaysia

    Dalam banyak-banyak kisah seram atau urban lengend di Malaysia yang pernah kita dengar, ada satu yang rasa-rasanya paling popular; tentang Volkswagen Beetle kuning di Lebuhraya Karak. Dari kisah yang disampaikan mulut ke mulut, cerita “Kumbang Kuning” ini sempat juga diangkat ke layar perak dalam filem Volkswagen Kuning sebelum ini.

    Walaupun hanya cerita karut dan mistik, Volkswagen Beetle telah berhasil mencapai satu tahap lain di dalam bayangan fikiran warga Malaysia. Untuk sebab apa sekalipun dari kisah itu, model berkenaan barangkali menjadi satu-satunya kereta yang diingati dan meresap ke dalam imajinasi ramai orang dalam kisah seumpama itu.

    Kini kisah berkenaan mendapat perhatian Volkswagen Malaysia pula, dan diabadikan dalam satu video kartun yang ringkas sempena hari Halloween yang disambut setiap tahun pada 31 Oktober – hari di mana watak dan kisah-kisah seram diraikan oleh peminatnya.

    Video pendek ini memaparkan kisah yang sinonim dan selalu di dengar tentang Volkswagen Kuning berkenaan; akan muncul dan mengganggu pengguna di Lebuhraya berkenaan, berjalan sendiri tanpa pemandu! Apa pun, jangan serius sangat bab ini, anggap saja ia kisah seram urban untuk menjadikan semua kita lebih berhati-hati di jalan raya! Tak lebih daripada itu.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dengan muka Dynamic Shield dijumpai di Thai, mungkin lancar bulan hadapan

    Mitsubishi Mirage dengan muka Dynamic Shield dijumpai di Thai, mungkin lancar bulan hadapan

    Tahun lalu, berberapa laporan telah menyebut Mitsubishi bakal menghasilkan Mirage generasi baharu menggunakan platform CMF-B, berkongsi dengan Renault Clio dan Nissan March setelah menjadi sekutu kepada Pakatan Renault-Nissan. Tapi apa yang mengejutkan, Mirage generasi sedia ada yang telah pun berada dalam pasaran sejak 2011 dijumpai di Thailand sedang diuji dengan mengenakan muka Dynamic Shield terbaharu!

    Apa yang dilakukan Mitsubishi terhadap Mirage ini sama apa yang dibuat untuk ASX di mana SUV segmen-B yang telah pun berada dalam pasaran sejak 2010 berkenaan turut diberikan muka Dynamic Shield seperti SUV/MPV Xpander dan juga Triton terbaharu ini untuk facelift 2019.

    Pada Mirage, nampak lampu hadapannya tidak direka senipis muka-muka Dynamic Shield pada model-model lain. Namun kemasan krom berbentuk ‘X’ pada muka dan juga gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah menzahirkan DNA rekaan signatur berkenaan.

    Mitsubishi Mirage 2011 (kiri) dan model facelift 2015 (kanan)

    Seperti juga ASX, profil sisi hatchback lima-pintu ini masih lagi nampak sama dengan model sedia ada. Ia juga dilihat mengenakan rim dengan kemasan dua-tona baharu, berbeza dari sebelumnya.

    Berdasarkan laporan dari media Thailand, Headlightmag, Mirage facelift ini dijangka akan didedahkan pada Motor Expo 2019 yang bakal berlangsung pada bulan hadapan. Model ini juga dikatakan akan didedahkan bersama kembar sedannya iaitu Mitsubishi Attrage yang turut akan mengenakan muka Dynamic Shield.

    Mitsubishi Mirage dikelaskan sebagai Kereta Eco Fasa 2 di Thailand, dan model baharu ini dijangka masih dijana oleh enjin 1.2 liter tiga-silinder yang sama, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan. Undang-undang untuk Kereta Eco Fasa 2 ini mensyaratkan kereta berkenaan perlu beroperasi dengan menghasilkan emisi CO2 tidak melebihi 100 g/km dengan ekonomi bahan api sekurang-kurangnya 23.25 km/l.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026