Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

    PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

    Walau Subaru Forester tidaklah begitu popular seperti mana pesaingnya di bawah kategori SUV segmen-C termasuk Honda CR-V dan Mazda CX-5, namun kelibatnya kian kerap dilihat di jalan raya. Semakin ramai yang menerima kehadiran Forester generasi kelima yang baru dilancarkan pada Ogos lalu sebagai salah satu model SUV yang wajar diletakkan dalam senarai pilihan.

    Subaru Forester 2019 dibarisi tiga varian iaitu 2.0i-L, 2.0i-S dan model spesifikasi tertinggi 2.0i-S ES yang dilengkapi sistem bantuan pemanda dan keselamatan EyeSight. Apakah elemen utama yang dipertaruhkan menerusi barisan Forester 2019? Menurut Subaru, dengan binaan Subaru Global Platform, casis Forester 2019 ini direka semula untuk mengurangkan geseran serta bunyi bising dan kawalan pula lebih maksimum.

    Jadi, untuk mengetahui sejauh mana keistimewaan yang diterjemahkan menerusi Forester 2019, kami berpeluang memandu uji varian pertengahan 2.0i-S beberapa minggu yang lalu. Manakala varian tertinggi yang dilengkapi EyeSight yang menjadi taruhan utama Forester 2019 sedang diuji oleh rakan kami, Hazril Hafiz, termasuk menempuh laluan off-road. Kena tunggu laporan penuhnya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Yaris GR-4 – teaser disiar, model inspirasi WRC sebenar dengan sistem pacuan semua roda Subaru?

    Toyota Yaris GR-4 – teaser disiar, model inspirasi WRC sebenar dengan sistem pacuan semua roda Subaru?

    Ok, dalam pasaran sekarang ada tak kereta yang benar-benar model yang diinspirasikan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) seperti Toyota Celica GT-4, Mitsubishi Lancer Evolution, Subaru Impreza WRX dan Ford Escort RS Cosworth seperti era 90’an dulu?

    Ford Focus RS? Subaru WRX STi terkini? Kedua-dua model ini tidak boleh lagi bertanding dalam WRC secara kompetitif berdasarkan undang-undang ukuran terbaharu dalam spesifikasi WRC di mana pengeluar kini menggunakan model-model segmen-B (Ford guna Fiesta untuk jentera WRC mereka). Toyota Yaris GRMN? Enjin memang berkuasa, tapi tiada sistem AWD seperti Yaris WRC.

    Toyota telah menyiarkan satu teaser untuk model Yaris berprestasi tinggi baharu mereka berdasarkan model generasi baharu yang didedahkan bulan lalu, dan ia akan menggantikan model Yaris GRMN pada generasi sedia ada. Berdasarkan namanya yang kini berubah kepada GR-4 bukan lagi GRMN, ia mungkin akan menerima sistem pacuan semua roda!

    Toyota Yaris generasi baharu

    Model ini akan didedahkan dalam bentuk prototaip (seperti prototaip GR Supra di Goodwood Festival of Speed 2018, dengan pelekat penyamaran hitam-putih-merah Gazoo racing) di Wedding Bells, iaitu SS terakhir dan Power Stage untuk Rally Australia 2019 yang akan berlangsung hujung minggu pertengahan bulan ini. Oh ya, jangan tak tahu walaupun Rally Australia adalah pusingan terakhir WRC 2019, pemandu Toyota, Ott Tanak telah pun mengesahkan gelaran juara dunianya di Sepanyol hujung bulan lalu!

    Bagi model standard Yaris generasi baharu, ia dihasilkan dari platform terkini TNGA-B yang menawarkan ketegaran badan lebih tinggi serta titik graviti yang lebih rendah – berpotensi untuk dijelmakan sebagai hot-hatch yang lebih baik dari Yaris GRMN sedia ada.

    Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan jentera ini. Namun dengan pelbagai laporan sebelum ini, berberapa teka-teki mungkin dapat dicantumkan untuk spekulasi. April tahun ini Toyota dilihat menguji sebuah Yaris dari generasi sedia ada di litar Nürburgring, tetapi kereta tersebut menampilkan unit intercooler dan rim lebih besar bersama kesemua fender lebih lebar yang bukan sahaja nampak lebih buas, tetapi ia seperti menerima sistem AWD.

    Pada Julai 2019, Toyota kemudian dilihat mula menguji Yaris tersebut dengan badan sebenarnya, berselindung di sebalik pelekat penyamaran Gazoo Racing dan bukan berwarna hitam-putih biasa.

    Kemudian pada September lalu, Toyota dan Subaru memeterai semula perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama mereka. Selain dari kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ yang telah sah akan dibina untuk generasi seterusnya, kedua-dua syarikat tersebut ada menyebut bahawa mereka akan membangunkan model pacuan semua roda yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.”

    Kedua-dua syarikat masih lagi merahsiakan apa model yang dibangunkan berkenaan, tetapi berdasarkan rekod, Toyota dan Subaru sememangnya mempunyai kepakaran dalam lapangan ini.

    “Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama berkenaan.

    Adakah Yaris lebih liar tersebut ada kena mengena dengan apa yang berlaku sebelum ini? Sama-sama kita tunggu ketika pendedahannya nanti.

    GALERI: Spyshot hatchback berprestasi tinggi Toyota Yaris generasi baharu

     
     
  • EICMA 2019: Harley-Davidson Pan America dan Bronx 2021 ditunjukkan bersama enjin Revolution Max baru

    EICMA 2019: Harley-Davidson Pan America dan Bronx 2021 ditunjukkan bersama enjin Revolution Max baru

    Harley-Davidson hadir ke pameran EICMA 2019 dengan membawa dua model yang ditunjukkan secara langsung buat pertama kali kepada awam iaitu Pan America dan Bronx. Dua model ini dijangka berada di pasaran menjelang hujung tahun 2020 sebagai model tahun 2021 dan beberapa perkara masih belum ditetapkan untuk produksi.

    Bagi Pan America, walaupun sebelum ini ia pernah ditunjukkan dalam gambar, kali ini pengunjung dapat menyaksikan secara langsung motosikal berciri adventure/touring tersebut bersama aksesorinya seperti beg barangan di bahagian tepi dan belakang.

    Pergi kepada Bronx yang mempunyai gaya naked streetfighter, ia dilihat mempunyai kelengkapan seperti suspensi yang boleh dilaras, cruise control, panel meter digital kompak berbentuk bulat, brek Brembo berkembar di hadapan dan lampu jenis LED.

    Sebenarnya banyak lagi perincian tentang dua motosikal ini yang tidak disiarkan oleh Harley-Davidson, tetapi ia diberitahu menggunakan enjin v-twin 60 darjah, penyejukan udara, Revolution Max baru yang mempunyai lengkung kuasa lebih lebar serta dilengkapi dengan counter balancer untuk mengurangkan gegaran.

    Pada Pan America ia adalah versi 1,250 cc yang menghasilkan lebih 145 hp dan 122 Nm tork, manakala pada Bronx pula adalah versi 975 cc dengan kuasa sebanyak 115 hp dan 95 Nm tork. Dua model ini juga menandakan kemasukan pertama kali Harley-Davidson dalam segmen motosikal adventure/touring dan kemunculan semula dalam segmen naked sport.

    GALERI: Harley-Davidson Pan America 2021

    GALERI: Harley-Davidson Bronx 2021

     
     
  • EICMA 2019: Benelli Leoncino 800 dan 800 Trail 2020

    EICMA 2019: Benelli Leoncino 800 dan 800 Trail 2020

    Satu lagi pengeluar yang membawa model baru ke EICMA 2019 adalah Benelli dengan kemunculan Leoncino 800 dan Leoncino 800 Trail. Ini adalah model yang membawa gaya klasik moden seperti adiknya iaitu Leoncino 250 dan Leoncino 500, tetapi dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa.

    Leoncino 800 dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC 754 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 81.6 hp pada 9,000 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Tiada pilihan mod tunggangan pada motosikal ini tetapi transmisinya dilengkapi dengan klac anti-slip.

    Suspensi motosikal ini menggunakan unit fork USD daripada Marzocchi dan boleh dilaras termasuk untuk monoshock belakang, tetapi terdapat perbezaan antara unit pada Leoncino 800 biasa dan Leoncino 800 Trail. Versi biasa menggunakan unit dengan jarak gerak 130 mm depan dan belakang, sementara versi Trail diberikan tambahan 10 mm lagi jarak gerak menjadi 140 mm – juga membawa makna versi Trail lebih tinggi (tempat duduk 818 mm).

    Perbezaan lain adalah rim (biasa menggunakan 17 inci dan Trail 19 inci), ekzos Trail yang terletak lebih tinggi dengan dua muncung, serta tambahan beberapa panel besi di tepi dan atas lampu untuk versi Trail. Kelengkapan lain masih sama seperti panel instrumen TFT dan tangki bahan api 15 liter.

    Brek pula menggunakan set cakera berkembar 320 mm dan angkup empat piston Brembo di hadapan, serta cakera 260 mm dengan angkup Brembo satu piston di belakang (siap dengan sistem ABS). Harga untuk Benelli Leoncino 800 ini di Eropah masih belum didedah, tetapi ia diberitahu akan memasuki pasaran sana pada pertengahan tahun hadapan.

    GALERI: Benelli Leoncino 800 2020

    GALERI: Benelli Leoncino 800 Trail

     
     
  • VIDEO: Proton Iriz R5 juara Malton Forest Rally 2019!

    Oliver Mellors dari pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) hanya berpuas hati di tempat ketiga dalam Malton Forest Rally 2017 dan kedua pada 2018, tetapi nampaknya pada acara sama tahun ini diadakan pada hujung minggu lalu, gandingan yang sama berjaya untuk merangkul tempat pertama!

    Seperti juga rali-rali peringkat nasional sebelum ini, Iriz R5 menunjukkan prestasi cemerlang yang seperti tidak dapat dicabar langsung oleh kereta lain. Oliver Mellors berjaya mencatatkan masa terpantas untuk kesemua SS yang disediakan, dan secara keseluruhan meninggalkan Charles Payne yang memandu Ford Fiesta RS WRC di tempat kedua dengan kelebihan 31 saat.

    Tempat ketiga untuk rali permukaan batu kerikil diadakan di hutan Yorkshire Utara ini menjadi milik Stephen Petch, yang juga memandu Ford Fiesta R5 WRC dengan catatan masa 40 minit 26 saat, tertinggal hampir seminit berbanding masa yang dicatatkan oleh Olie dan Iriz R5.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Proton Iriz R5 juga turut ditampilkan dalam permainan video rasmi WRC terbaharu iaitu WRC 8, dan ia diletakkan dalam senarai kereta-kereta rali ikonik sepanjang zaman, yang turut dibarisi kereta-kereta rali lagenda lain seperti Lancia Stratos 1974, Ford Escort Mk11 RS1800 1974, Lancia 037 Group B 1983 dan Volkswagen Polo R WRC 2016.

     
     
  • Honda Civic Si pacuan roda belakang muncul di SEMA – enjin K24 turbo, 926 hp untuk Kejohanan Formula D!

    Honda Civic Si pacuan roda belakang muncul di SEMA – enjin K24 turbo, 926 hp untuk Kejohanan Formula D!

    Acara tahunan dunia ubahsuai di Amerika Syarikat, SEMA, tahun ini seperti biasa turut disertai bukan sahaja pengeluar barangan aftermarket, malah turut disertai oleh jenama-jenama rasmi. Honda tahun ini tampil dengan berberapa kereta ubahsuai mereka, tetapi paling menggemparkan adalah ini – Honda Civic Si pacuan roda belakang yang dibina khas untuk melakukan aksi drift!

    Kereta ini dihasilkan untuk Honda oleh Jeanneret Racing dan Olson Kustom Works, dan ia dibangunkan selari dengan regulasi kejohanan Formula Drift USA untuk kategori tertinggi Pro-Level. Untuk projek ini, enjin 1.5 liter VTEC Turbo Civic Si asal tidak lagi digunakan, tetapi digantikan dengan enjin siri-K -bukan K20A dari Civic Type R, tetapi dari versi dengan strok dan kapasiti lebih besar iaitu K24 2.4 liter yang boleh dijumpai dalam perut Honda Accord atau CR-V.

    Enjin berkenaan telah diolah semula oleh Jeanneret Racing, diberikan pelbagai ubahsuai termasuk pengecas turbo dan suntikan nitrus oksida, membolehkan ia menjana keseluruhan 926 hp! Enjin tersebut ‘disangkut’ pada crossmember dan cagak yang membolehkan diletakkan dengan roda tenaga menghala kebelakang seperti kereta pacuan roda belakang sebenar.

    Honda Civic Si pacuan roda belakang muncul di SEMA – enjin K24 turbo, 926 hp untuk Kejohanan Formula D!

    Bagi mengalirkan kuasa berkenaan ke roda belakang, enjin tersebut disambungkan kepada kotak gear, propeller shaft gentian karbon dan juga gandar belakang yang ditetapkan oleh penganjur Formula D untuk kategori Pro berkenaan.

    Bentuk luaran kereta ini masih lagi nampak seperti sebuah Civic. Tetapi dengan talaan suspensi, sistem brek Willwood yang lebih besar, fender yang lebih lebar dan juga rim Enkei GT-C yang dibalut tayar Falken Azenis, kereta ini adalah 4 inci lebih lebar pada setiap sisi berbanding versi standard.

    Menurut Honda, kereta ini bukan dihasilkan untuk hanya dipamerkan di SEMA semata-mata, kerana ia bakal digunakan dalam perlumbaan sebenar Formula D kelak! Tentu seronok tengok Civic Si ini bertarung dengan Toyota Corolla hatchback generasi terkini juga diubahsuai kepada RWD binaan Papadakis Racing di Formula D nanti kan?

     
     
  • Surcaj parkir 10% Touch n’ Go dihapus berperingkat

    Surcaj parkir 10% Touch n’ Go dihapus berperingkat

    Kalau anda menggunakan kad Touch n’ Go (TNG) untuk parkir, mesti perasan ada 10% surcaj yang dikenakan. Mesti ramai yang beranggapan, ia membebankan kerana caj tambahan itu sepatutnya tidak wajar dikenakan kepada pengguna.

    Namun demikian, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, buat masa ini, penghapusan caj tambahan tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan kadar segera kerana ia masih tertakluk kepada kontrak yang dimeterai dengan syarikat berkenaan sebelum ini, laporan Berita Harian.

    “Ia sesuatu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu dan sememangnya membebankan pengguna. Jadi sekarang kita nak hapuskannya dan batalkan, namun tertakluk kepada kewajipan kontrak. Lepas habis kontrak kita akan hapuskan secara berperingkat,” katanya dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai perkara itu.

    Menjawab soalan asal Wee mengenai langkah kerajaan untuk mengekang monopoli penggunaan Touch n’ Go, Chong berkata, pemantauan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati caj tambahan 10% itu hanya dikenakan di tempat yang mempunyai perkhidmatan pembayaran TNG dan tunai.

     
     
  • EICMA 2019: Aprilia RS660 dan Tuono 660 Concept

    EICMA 2019: Aprilia RS660 dan Tuono 660 Concept

    Selepas beberapa teaser akhirnya motosikal sports kelas pertengahan Aprilia RS660 didedahkan sewaktu pameran EICMA 2019 yang sedang berlangsung sekarang. Bukan setakat itu, Aprilia turut mendedahkan versi naked kepada model itu – tetapi masih dipanggil sebagai konsep – yang dinamakan sebagai Tuono 660 Concept.

    RS660 sangat ditunggu-tunggu kerana ia adalah kemunculan semula Aprilia dalam segmen motosikal sports kelas pertengahan dengan ia dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 660 cc yang mampu menghasilkan sehingga 100 hp dan berat badan cuma 169 kg.

    Model ini mewarisi banyak rekaan daripada RSV4, dengan lampu hadapan tiga LED serta lampu siang, fairing penuh sampai ke bawah dan bahagian belakang yang tajam. Walaupun nampak agresif, Aprilia mendakwa RS660 masih sesuai untuk dibawa atas jalan biasa dengan pemegang yang diletakkan atas daripada steering plate dan tempat letak kaki yang tidak terlalu menolak penunggang ke hadapan.

    Casis motosikal ini dijadikan lebih ringan dengan penggunaan kerangka serta lengan ayun aluminium, manakala suspensi pula terdiri daripada fork 41 mm Kayaba yang boleh dilaras di hadapan serta monoshock di belakang. Brek adalah daripada Brembo, dengan unit cakera berkembar 320 mm serta angkup empat piston di hadapan.

    Selain daripada pendikit ride-by-wire, RS660 juga didatangkan terus dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Cruise Control, Aprilia Quick Shift (naik dan turun), Aprilia Engine Brake, Cornering ABS serta pilihan lima mod tunggangan (tiga untuk atas jalan biasa dan dua lagi untuk atas litar). Panel instrumen menggunakan unit TFT yang boleh disambung dengan aplikasi telefon pintar.

    Melihat kepada versi naked motosikal ini yang masih dipanggil sebagai sebuah konsep iaitu Tuono 660, ia masih menggunakan ciri teknikal yang sama seperti RS660, tetapi mempunyai penghadang angin yang lebih rendah, fairing tepi yang tidak menutupi keseluruhan enjin serta pemegang yang lebih tinggi dan lebar.

     
     
  • EICMA 2019: KTM 1290 Super Duke R, 890 Duke R dan 390 Adventure 2020 lebih berkuasa, canggih

    EICMA 2019: KTM 1290 Super Duke R, 890 Duke R dan 390 Adventure 2020 lebih berkuasa, canggih

    KTM datang ke EICMA 2019 dengan beberapa model street/adventure baru iaitu Super Duke R 2020, 890 Duke R 2020 dan 390 Adventure 2020. Selain daripada itu, semuanya adalah model yang sudah berada di pasaran (Eropah) termasuk model offroad.

    Untuk Super Duke R 2020, ia diberitahu mempunyai casis, penggayaan dan elektronik serba baru manakala enjin dua silinder V 1301 cc padanya diusik sedikit untuk menghasilkan 3 hp tambahan (menjadi 177 hp) dan beratnya sekarang berkurang kepada 189 kg (-6 kg).

    Pergi pula kepada 890 Duke R, ia adalah satu model evolusi daripada 790 Duke R, yang menggunakan enjin dua silinder selari sama, tetapi mempunyai lebih kuasa dan tork, ergonomik lebih sporty, brek lebih baik serta suspensi WP yang boleh dilaras.

    KTM 390 Adventure pula menggabungkan penggayaan daripada 790 Adventure dengan asas daripada 390 Duke. Ini bermakna ia mempunyai gaya jelajah/enduro tetapi dikuasakan enjin satu silinder 373.2 cc. Model ini masih mempunyai ABS tetapi dilengkapi dengan mod Offroad yang akan menutup ciri tersebut apabila dipilih.

    Suspensi boleh dilaras untuk hadapan dan belakang, dan perincian lainnya adalah seperti tangki bahan api 14.5 liter, berat 158 kg, tinggi tempat duduk 855 mm, brek cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang, serta jarak gerak suspensi 170 mm di hadapan dan 177 mm di belakang.

    GALERI: KTM 390 Adventure 2020

    GALERI: KTM 1290 Super Duke R 2020

    GALERI: KTM 890 Duke R 2020

     
     
  • Toyota GR Supra 3000GT Concept – imbau model lagenda Supra TRD 3000 GT 1994 di SEMA 2019

    Toyota GR Supra 3000GT Concept – imbau model lagenda Supra TRD 3000 GT 1994 di SEMA 2019

    Siapa ingat lagi TRD3000 GT, iaitu Toyota Supra JZA80 talaan Toyota Racing Developement yang jauh lebih buas dari model standard hadir pada tahun 1994 sempena kejayaan Supra di JGTC? Ketika berlangsungnya acara SEMA 2019 di Las Vegas, Toyota telah mendedahkan GR Supra 3000GT Concept, dihasilkan dari Supra A90 generasi baharu yang diinspirasikan dari versi klasik berkenaan.

    Supra 3000GT versi moden ini dibangunkan oleh Toyota Customizing & Development (TCD), yang bukan sahaja menampilkan rupa luaran lebih garang seakan TRD 3000GT, malah turut diberikan ubahsuai pada bahagian dalaman dan prestasi pemanduan.

    Rekaan paling ikonik dan menyerupai versi asal tampil pada GR Supra 3000GT Concept ini adalah liang pada penutup bonet hadapan (juga bonet TRD serupa digunakan pada Toyota Supra oren Brian O’Conner dalam The Fast and The Furios) dan juga spoiler ‘tiang gol’ pada bonet belakang.

    Toyota GR Supra 3000GT Concept – imbau model lagenda Supra TRD 3000 GT 1994 di SEMA 2019

    Kemudian kesemua ruang roda Supra ini dilebarkan lagi, bersama bampar hadapan dengan spoiler lebih agresif, serta ‘sayap-sayap’ tambahan diberikan pada skirt sisi dan diffuser belakang. Badan kereta ini tidak dicat semula, tetapi menerima balutan pelakat dari Spin Imaging dengan warna perak seperti TRD 3000GT dan juga serlahan-serlahan berwarna kuning.

    Bagi merendahkan dan memberikan pengendalian lebih baik, sistem suspensi asal telah digantikan dengan set boleh laras Custom Street Advance Z dari Tein. Ruang roda lebih lebar berkenaan kini diisi dengan rim aloi forged TSW RS317 bersaiz 19-inci, dibaluti tayar Toyo Proxes R888R dengan saiz 265/30R19 di hadapan dan 285/35R19 dibelakang.

    Disebalik rim-rim tersebut pula, anda boleh lihat sistem brek Brembo GT-S yang juga lebih besar dari asal, terdiri dari angkup Forged Monobloc dengan enam omboh bersama cakera 2-piece bersaiz 380 mm di hadapan.

    Namun, tiada sebarang pengubahsuaian untuk enjin diberikan kepada kereta ini. Ia kekal dijana oleh 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo yang menjana 340 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF. Tetapi ia kini menghasilkan bunyi yang lebih garang menerusi pemadanan sistem ekzos binaan khas dari HKS.

    Bahagian dalaman GR Supra 3000GT ini juga menerima sedikit sentuhan semula selari dengan rupa luarannya yang kini lebih buas. Tempat duduk asal kereta ini telah digantikan dengan tempat duduk bucket penuh perlumbaan Bride Xero CS yang memenuhi standard FIA. Kemudian, ia juga menerima tingkat taraf sistem audio pembesar-pembesar suara dari Pioneer termasuk sepasang subwoofer yang terletak di belakang tempat duduk.

     
     
  • EICMA 2019: Kawasaki Z900 2020 kini dilengkapi mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC dan skrin TFT

    EICMA 2019: Kawasaki Z900 2020 kini dilengkapi mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC dan skrin TFT

    Walaupun sudah menunjukkan ZX-25R dan Z H2 di Tokyo Motor Show 2019, Kawasaki masih mempunyai beberapa model baru untuk ditunjukkan di pameran EICMA 2019 dan ini termasuklah Z900 2020. Sekali pandang anda mungkin nampak ia sama sahaja, tapi sebenarnya banyak juga bahagian yang diubah atau ditambah pada motosikal naked ini.

    Rekaan Sugomi padanya masih dikekalkan tetapi sedikit perubahan diberi termasuk pada panel tepi, pelindung tangki, penghadang enjin bawah dan pelindung lengan ayun. Kemudian, lampu hadapannya adalah baru dengan sistem LED – sekarang semua lampu Z900 adalah LED kecuali lampu penunjuk arah.

    Enjin empat silinder penyejukan cecair 948 cc dengan kuasa 124 hp dan 98.6 Nm tork yang sama masih digunakan, tetapi penunggang sekarang boleh menukar mod tunggangan kepada Low (55% kuasa sahaja dan penyampaian lebih lembut) atau Full, dan dipadankan dengan pilihan tiga tetapan kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC) iaitu Sport, Road, dan Rain.

    EICMA 2019: Kawasaki Z900 2020 kini dilengkapi mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC dan skrin TFT

    Bagi memberi tunggangan yang lebih memuaskan, kerangka Z900 ini juga telah diubah dan sekarang menggunakan jenis Trellis yang dibuat daripada besi high-tensile twin-spar. Untuk memadankan perubahan casis ini, tetapan suspensi motosikal ini (depan dan belakang boleh dilaras) turut diubah.

    Pada bahagian kokpit, penunggang dapat menikmati paparan yang lebih moden dengan penggunaan skrin TFT 4.3 inci baru yang boleh memaparkan semua informasi berkaitan dan boleh disambung dengan aplikasi Rideology dalam telefon pintar secara bluetooth untuk fungsi memeriksa data tunggangan, paparan mesej yang diterima dan membuat talaan kepada motosikal.

    Z900 2020 mencatat berat 212 kg dan perincian lainnya adalah termasuk tangki bahan api 17 liter, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2, brek cakera berkembar 300 mm serta angkup empat piston di hadapan, brek cakera tunggal 250 mm serta angkup satu piston di belakang dan tinggi tempat duduk 820 mm.

     
     
  • Perodua D55L SUV vs Proton X50 – kami bandingkan spesifkasi Daihatsu Rocky dan Geely Binyue

    Perodua D55L SUV vs Proton X50 – kami bandingkan spesifkasi Daihatsu Rocky dan Geely Binyue

    Daihatsu telah mendedahkan sebuah SUV segmen-B misteri tanpa nama di Tokyo Motor Show 2019 bulan lalu, dan kemudian ia didedahkan akan dijual dengan menggunakan semula nama Daihatsu Rocky. Model yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) turut dihasilkan Toyota dengan nama Toyota Raize. Oleh kerana Perodua juga kini sedang membangunkan sebuah SUV segmen-B berasaskan platform DNGA yang sama dikenali dengan kod D55L, khabar bertiup mengatakan bahawa model ini mungkin akan menjadi seperti kembar Daihatsu Terios/Toyota Rush/Perodua Aruz.

    Jadi secara tiba-tiba, hype yang mendominasi SUV segmen-B yang sedang dibangunkan Proton iaitu X50 berasaskan Geely Binyue mula ‘dikacau’ dan orang ramai mula dibanding-bandingkan dengan SUV dari Perodua berkenaan. Jadi daripada anda mencongak dalam kepala, di sini kami sediakan perbandingan berkenaan dalam bentuk artikel dan carta, bersama penguasa segmen berkenaan setakat ini di Malaysia iaitu Honda HR-V, dan juga perbandingan ciri dan saiz terhadap model lebih besar iaitu Aruz dan Proton X70 bagi mudah untuk anda membayangkannya.

    Namun anda perlu ingat, perbandingan yang kami lakukan ini bukanlah perbandingan jenis epal-ke-epal kerana sudah tentu model yang dihasilkan oleh Proton nanti akan lebih premium berbanding versi oleh Perodua yang lebih mensasarkan pasaran lebih mampu milik. Berdasarkan data-data asas, anda boleh lihat selain dari spesifikasi, saiz Perodua D55L ini juga adalah lebih kecil dari Proton X50. Juga perlu anda ketahui, spesifikasi dan kelengkapan yang kami senaraikan pada setiap model ini adalah dari model-model asal untuk pasaran asal Daihatsu/Toyota dan Geely, dan ia mungkin akan berubah pada model produksi untuk pasaran Malaysia nanti.

    Sekarang, kita mulakan dengan Rocky/Raize. Walaupun dikelaskan dalam segmen-B, saiz SUV ini sebenarnya sedikit lagi hampir menyamai model dari segmen-A yang lebih kecil dengan panjang keseluruhan tidak sampai 4 meter (3,995 mm) dan lebar pula hanya 1,695 mm.

    Perodua D55L SUV vs Proton X50 – kami bandingkan spesifkasi Daihatsu Rocky dan Geely Binyue

    Klik untuk besarkan

    Binyue pula adalah SUV dalam saiz segmen-B sebenar dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar atau 335 mm lebih panjang dan 100 mm lebih lebar dari model Daihatsu/Toyota berkenaan. Dari segi jarak roda juga Binyue 75 mm lebih panjang tetapi ia lebih rendah dengan 1,609 mm berbanding Rocky dengan 1,620 mm – sebab itulah model dari Geely berkenaan nampak lebih ‘leper’ dan sporty berbanding Daihatsu tersebut.

    Dari segi kelengkapan juga Binyue nampaknya mengatasi Rocky/Raize dengan pelbagai ciri yang ditampilkan tiada pada lawannya dari Jepun berkenaan seperti bumbung panaromik, sistem penghawa dingin dua zon, penyegar udara dan juga tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik.

    Untuk sistem infotainmen, Rocky diberikan skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay, manakala Binyue bukan sahaja dilengkapkan dengan skrin 10.25-inci yang lebih besar malah turut diberikan sistem Geely Key User Interface (GKUI) yang lebih canggih bersama fungsi kawalan menggunakan suara.

    Untuk keselamatan pula, kedua-dua model dari Jepun dan China berkenaan dibekalkan dengan enam-beg udara dan kawalan kestabilan dan juga berberapa fungsi bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif. Namun Binyue mempunyai kelebihan kerana turut diberikan sistem bantuan kekal lorong dan juga kebolehan pemandua autonomous tahap dua serta pemantau titik buta.

    Perodua D55L SUV vs Proton X50 – kami bandingkan spesifkasi Daihatsu Rocky dan Geely Binyue

    Kedua-dua seteru ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan parkir, tetapi Binyue menampilkan fungsi penuh di mana komputer akan mengawal pendikit dan juga stereng, manakala pada Rocky hanya roda stereng yang berputar secara automatik. Walau bagaimanapun, hanya Rocky/Raize diberikan kawalan pedal misapplication yang mengelakkan kemalangan sekiranya pemandu tersalah menekan pedal pendikit, dan sistem ini tiada pada Binyue.

    Sistem janakuasa juga nampaknya lebih berpihak pada Binyue. Model dari China ini dijana oleh enjin 1.5 liter yang dibina bersama Volvo, menghasilkan kuasa 174 hp/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Di China, ia turut hadir dengan pilihan janakuasa plug-in hybrid tetapi Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menerimanya.

    Manakala Rocky dan Raize digerakkan oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter turbo berkuasa 98 PS/140 Nm digandingkan dengan kota gear CVT automatik atau enam-kelajuan manual. Adakah Perodua akan menggunakan enjin yang sama untuk versi mereka kelak? Ada kemungkinan besar, tetapi tidak mustahil jika mereka akan terus memberikan enjin 1.5 liter NA yang sama seperti Myvi dan Aruz dengan kotak gear 4AT. Unit janakuasa hibrid seperti yang didedahkan pada KLIMS 2018 juga ‘ada can‘ untuk dilihat pada D55L nanti.

    Buat masa sekarang, kedua-dua produk dari Proton dan Perodua ini masih lagi dalam pembangunan, jadi masih terlalu awal untuk kita bincangkan berkenaan perbezaan harga. Namun apa yang boleh dijangka, X50 akan dijual lebih murah dari X70 (berharga RM99,800 hingga RM123,800), manakala D55L pula akan dijual lebih murah dari Aruz (berharga RM72,900 hingga RM77,900).

    GALERI: Toyota Raize

    GALERI: Geely Binyue

     
     
  • EICMA 2019: BMW S1000XR 2020 kini lebih ringan

    EICMA 2019: BMW S1000XR 2020 kini lebih ringan

    Sekiranya anda mahukan sebuah motosikal yang mempunyai prestasi seperti BMW S1000RR tetapi dengan kedudukan menunggang lebih tegak dan selesa untuk dinaiki dua orang, jawapannya adalah S1000XR. Semasa pameran EICMA yang berlangsung di Itali, versi tahun 2020 telah didedahkan.

    Paling menjadi perhatian adalah ia kini 10 kg lebih ringan, dengan catatan berat keseluruhan 226 kg. Bahagian enjin saja sudah kurang 5 kg dan unit empat silinder 999 cc itu mampu menghasilkan kuasa 165 hp pada 11,000 rpm dan 114 Nm tork pada 9,250 rpm. Selain lengkung kuasa yang dijadikan lebih rata, nisbah gear juga diubah sedikit dengan kini gear empat, lima dan enam adalah lebih panjang.

    Bagi mengawal gelinciran pada roda belakang semasa pendikit ditutup atau menurunkan gear secara tiba-tiba, motosikal ini dipasang dengan Engine Drag Torque Control daripada MSR. Kembali pada beratnya, selain enjin, kerangka serta lengan ayunnya juga menyumbang kepada pengurangan sebanyak 2.1 kg.

    Bahagian suspensi menggunakan sistem pelarasan elektronik Dynamic ESA daripada BMW Motorrad sendiri dan sekiranya itu masih tidak cukup, pemilik boleh mendapatkan Dynamic ESA Pro yang memberikan dua pilihan mod tetapan suspensi iaitu Road dan Dynamic, serta pelarasan tinggi secara automatik.

    Bagi meningkatkan keselesaan kepada penunggang, S1000XR juga dipasang dengan Flex Frame sama seperti S1000RR. Bagi kelengkapan elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan empat mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic dan Dynamic Pro), Hill Start Control Pro, Dynamic Traction Control DTC, DTC Wheelie Function dan ABS Pro dengan Cornering ABS. Barangan lain yang disediakan sebagai pilihan tambahan adalah seperti cruise control, quickshifter naik dan turun gear, serta lampu tunjuk arah adaptif.

     
     
  • Projek perintis bike-hailing bermulai Jan 2020 – Loke

    Projek perintis bike-hailing bermulai Jan 2020 – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengesahkan rojek perintis perkhidmatan teksi motosikal atau pun bike–hailing bakal dilaksanakan di Lembah Klang bermula Januari depan. Katanya, pelaksanaan projek perintis atau ‘proof of concept’ (POC) akan berlangsung enam bulan sebagai syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan bertujuan mengawal selia perkhidmatan pengangkutan awam dan barangan bermotosikal itu.

    Loke turut berkata, pihaknya memberi jaminan perkhidmatan bike-hailing akan dikenakan syarat yang setara dengan apa yang ditetapkan ke atas perkhidmatan e-hailing. Malah pada masa ini, pihaknya dalam proses membangunkan rangka perundangan dan syarat bagi perkhidmatan itu seperti Dego Ride dan GoJek.

    “Memandangkan proses pindaan undang-undang akan mengambil masa termasuk memerlukan pembentangan dan kelulusan di Parlimen, kerajaan bersetuju supaya syarikat perniagaan pengantaraan berminat menyediakan melaksanakan projek perintis. Sepanjang tempoh POC berkenaan, mereka boleh membuat persiapan dan pengujian pelaksanaan perkhidmatan bike-hailing.

    “Tempoh ini juga membolehkan kerajaan dan syarikat terbabit mengumpul data, menilai tahap permintaan, menilai tahap penerimaan dan keperluan operasi lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian. Kenyataan ini dikeluarkan ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.

    Projek perintis bike-hailing bermulai Jan 2020 – Loke

    Beliau menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin penjelasan bila projek perintis bagi perkhidmatan ride-hailing seperti Dego Ride dan Gojek akan dimulakan.

    Tambahnya lagi, Kementerian Pengangkutan bersama agensi lain seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan semua peraturan dan tatacara selain semua persiapan di peringkat pentadbiran berkaitan pelaksanaan POC.

    Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan perkhidmatan bike-hailing sebagai satu kaedah untuk meningkatkan tahap liputan perkhidmatan awam di negara ini. Ia diharapkan mampu menjadi satu komponen penting dalam usaha negara untuk menyediakan satu sistem pengangkutan yang menyeluruh kerana kemampuannya sebagai perkhidmatan penghubung dalam fasa ‘first and last mile connectivity’.

    Mengenai tujuan keselamatan dan penyeragaman, kementerian turut menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi syarikat pengendali dalam melaksanakan proses POC berkenaan. Syarat yang perlu dipatuhi ialah lokasi perkhidmatan hanya di sekitar Lembah Klang, kecuali jika ada permintaan di kawasan lain.

    Pemandu ride-hailing perlu memiliki lesen memandu penuh dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun, begitu juga dengan penumpang selain hanya seorang pembonceng dibenarkan dalam satu masa. Malah pemandu juga perlu menggunakan tanda dan tanda motosikal yang jelas serta hendaklah mematuhi semua peraturan jalan raya sepenuhnya.

     
     
  • Aston Martin dan Brough Superior hasilkan AMB 001 – terhad 100 unit, enjin turbo 997 cc, harga RM500k

    Aston Martin dan Brough Superior hasilkan AMB 001 – terhad 100 unit, enjin turbo 997 cc, harga RM500k

    Aston Martin buat pertama kalinya bekerjasama dengan Brough Superior, untuk menghasilkan motosikal elegan yang dipanggil AMB 001. Hanya 100 unit model ini akan dikeluarkan oleh kilang Brough Superior di Perancis, dan ditawarkan kepada pasaran dengan harga 108,000 euro (RM500k).

    Sebagai sebuah motosikal premium buatan tangan, AMB 001 menggunakan banyak bahagian gentian karbon, titanium dan aluminium, manakala tempat duduk pula adalah daripada kulit Oxford Tan. Ia tidak boleh didaftar untuk kegunaan atas jalan biasa dan terhad kepada penggunaan di litar atau sebagai hiasan.

    Bukan setakat penampilan, pakej kejuruteraan pada motosikal ini juga cukup menarik, terutamanya enjin, yang menggunakan unit v-twin 997 cc DOHC dengan sistem pengecas turbo. Kuasa sebanyak 180 hp mampu dihasilkan, dan apabila digabungkan dengan berat yang cuma 180 kg, pecutan yang dihasilkan pasti cukup pantas.

    Satu lagi yang unik adalah bahagian suspensi hadapannya, yang menggunakan fork jenis double wishbone Fior, hampir sama seperti suspensi roda hadapan kapal terbang. Menurut Aston Martin, bahagian hadapan motosikal ini tidak akan menjunam apabila membrek kuat.

    Warna yang digunakan pada AMB 001 dipanggil sebagai Stirling Green, dan badannya dibentuk dengan mengambil kira ciri aerodinamik serta pengaruh daripada kenderaan moden Aston Martin. Ekzos pula dibuat daripada aloi super Iconel yang mempunyai kelebihan pada aspek penyejukan dan mekanikal.

     
     
  • Rangkaian Jalan S’wak-Sabah sepanjang 425 km tanpa melalui Brunei – kos RM5.2b, tempoh siap 6-10 tahun

    Rangkaian Jalan S’wak-Sabah sepanjang 425 km tanpa melalui Brunei – kos RM5.2b, tempoh siap 6-10 tahun

    Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah sepanjang 425 kilometer bakal menjadi jalan perhubungan darat pertama menghubungkan dua negeri itu tanpa melalui Brunei. Projek yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM5.2 bilion itu akan mengambil masa enam hingga 10 tahun untuk dilaksana secara berfasa.

    Dengan pakej pertama dari Lawas melalui Long Sukang ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa’ Berunut melibatkan jajaran sepanjang 90 km bermula Oktober tahun hadapan. Manakala pakej kedua akan melibatkan jajaran utama sepanjang 160 km bermula dari Kampung Pa’ Berunut sehingga ke Long Lama dan jajaran jalan susur sepanjang 175 km.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Baru Bian, rangkaian jalan ini akan menghubungkan 14 bandar utama di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.

    “Selama lebih 56 tahun selepas pembentukan Malaysia, ini adalah julung-julung kalinya kerajaan Persekutuan meluluskan projek pembinaan jalan raya bertar yang merupakan ‘last frontier’ yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, menggantikan laluan balak sedia ada,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama

    Rangkaian Jalan S’wak-Sabah sepanjang 425 km tanpa melalui Brunei – kos RM5.2b, tempoh siap 6-10 tahun

    Tambahnya lagi, rangkaian jalan ini memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen Malaysia-Brunei sebanyak lapan kali sekiranya menggunakan jajaran jalan pantai sedia ada dan jajaran Lebuhraya Pan Borneo.

    “Sebagai anak orang Ulu Sarawak, inilah yang saya impikan selama ini. Sekarang, kita terpaksa menggunakan kereta pacuan empat roda (4WD) dengan penggunaan tayar ‘off-road’ untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di kawasan pedalaman, dan ini memakan masa yang agak panjang,” kata Ahli Parlimen Selangau itu.

    Malahan, projek ini juga adalah bahagian penting dalam pelan Jaringan Jalan Raya Transborneo yang akan melengkapkan rangkaian jalan raya di Borneo dan menambah baik kesalinghubungan kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah ke Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

     
     
  • RTS Johor-Singapura ditangguh hingga April tahun depan, diteruskan dengan sistem LRT ganti MRT

    RTS Johor-Singapura ditangguh hingga April tahun depan, diteruskan dengan sistem LRT ganti MRT

    Sedikit tentang perkembangan projek Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS). Malaysia telah mengambil keputusan untuk meneruskan projek pembinaan kemudahan ini, tetapi dengan pengurangan kos sebanyak RM3.16 bilion yang dicapai selepas penilaian semula proposal berkenaan dengan pihak Singapura.

    Turut diumumkan ialah bahawa Malaysia meminta lanjutan tempoh penangguhan berkenaan keada 30 April 2020, dan Singapura bersetuju dengan permintaan itu. Berdasarkan laporan berita, kedua-dua negara akan menandatangani tiga perjanjian baru berkaitan projek itu tahun depan.

    RTS juga akan beralih kepada sistem transit aliran ringan (LRT) berbanding sistem transit aliran massa (MRT) seperti yang dicadangkan awalnya, lapor New Straits Times. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan perubahan itu adalah berikutan penilaian semula yang dijalankan, dan kerejaan telah mencadangkan peralihan itu kepada Singapura untuk dibincangkan.

    “Kami telah meneliti spesifikasi projek berkenaan dan mempertimbangkan sistem LRT, sama seperti yang digunakan di Kuala Lumpur, dengan harapan kerja-kerja penyelenggaraan boleh dijalankan di Malaysia,” ujar beliau.

    “Awalnya, projek itu dicadang untuk menggunakan sistem MRT, sama seperti yang ada di Singapura. Bagaimanapun, kami mendapait bahawa sistem LRT sudah memadai untuk projek itu, yang melibatkan hanya dua stesen. Bukit Chagar di Johor dan Woodlands di Singapura. Penumpang yang turut di Woodlands akan terhubung terus dengan sistem MRT Singapura,” tambah beliau lagi.

    Projek RTS disasarkan untuk mengurangkan kesesakan harian yang berlaku di laluan dua negara ini. Ia awalnya dicadangkan untuk mula dibangunkan pada thaun ini dan dijangka siap pada 2024. Dengan landasan sepanjang 4 km, ia mampu untuk membawa 10,000 penumpang setiap jam, dan berfungsi sebagai pilihan lain kepada tambak sedia ada bagi kira-kira 80,000 hingga 10,000 orang yang berulang-alik setiap hari.

     
     
  • Petronas jadi pembekal minyak rasmi untuk jentera lumba Moto3 dan Moto2 hingga tahun 2022

    Petronas jadi pembekal minyak rasmi untuk jentera lumba Moto3 dan Moto2 hingga tahun 2022

    Sekarang ini, Petronas adalah rakan kongsi teknikal serta penaja nama bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team. Ia adalah sebuah pasukan rookie dalam kategori MotoGP tetapi sudah menunjukkan prestasi baik melalui pelumbanya, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo yang berjaya mendapatkan beberapa kali kedudukan pertama waktu mula perlumbaan serta podium.

    Dalam perkembangan terbaru, Petronas melangkah lebih ke hadapan dalam kejuaraan lumba motosikal berprestij ini apabila dipilih sebagai pembekal minyak rasmi untuk jentera Moto2 dan Moto3 bermula tahun hadapan hinggalah 2022.

    Selain membekalkan minyak yang berkualiti, perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dengan Dorna Sports juga turut merangkumi lebih banyak pengiklanan Petronas atas litar sepanjang musim MotoGP, sekaligus lebih ramai yang akan melihat nama syarikat minyak Malaysia ini di seluruh dunia.

    Petronas jadi pembekal minyak rasmi untuk jentera lumba Moto3 dan Moto2 hingga tahun 2022

    “Kerjasama ini adalah lanjutan daripada kolabrasi cemerlang kami dengan Petronas Sepang Racing Team dalam MotoGP dan menandakan pengiktirafan yang jelas berkenaan Solusi Teknologi Bendalir Petronas untuk membekalkan produk berprestasi tinggi dan cekap untuk arena perlumbaan motosikal global,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    “Petronas adalah satu jenama yang sudah sinonim dengan kecemerlangan dan antara nama yang dikenali dalam sukan permotoran moden, jadi saya rasa berbangga untuk menyaksikan mereka terus berkembang dalam MotoGP,” kata ketua pegawai eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta.

     
     
  • Shell Helix HX8 0W 20 dengan Flexi Molecule kini di pasaran – RM199 bagi pek 4L, RM53.90 untuk 1L

    Shell Helix HX8 0W 20 dengan Flexi Molecule kini di pasaran – RM199 bagi pek 4L, RM53.90 untuk 1L

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah melancarkan minyak enjin kelikatan rendah Shell Helix HX8 0W 20 yang memenuhi keperluan hampir semua enjin kereta penumpang moden pada hari ini. Ia merupakan pilihan yang lebih bijak bagi mereka yang ingin menikmati jarak perbatuan yang lebih serta segala kebaikan minyak enjin sintetik sepenuhnya yang tulen dari Shell.

    Shell Helix HX8 0W 20 baharu ini dirumus dengan teknologi Flexi Molecule yang melindungi enjin menerusi penyesuaian dengan cara dan keadaan pemanduan. Sekaligus menjanjikan prestasi maksimum, penjimatan bahan api dan perlindungan enjin yang lebih baik apabila dihidupkan dalam keadaan sejuk.

    Shell turut mendakwa, dengan penggunaan minyak ini, hayat enjin juga dapat dipertingkatkan, selain memberikan penjimatan daripada segi ekonomi termasuk selang masa penukaran minyak yang lebih panjang dan kos penyenggaraan yang lebih rendah.

    Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan berkata Shell sentiasa membangunkan produk inovatif yang memenuhi keperluan pasaran yang kian berubah.

    Shell Helix HX8 0W 20 dengan Flexi Molecule kini di pasaran – RM199 bagi pek 4L, RM53.90 untuk 1L

    “Kini minyak pelincir berkelikatan rendah semakin menjadi pilihan di seluruh dunia di mana banyak syarikat pengeluar kereta telah bertukar kepada produk-produk gred kelikatan rendah bagi penggunaan pertama kereta yang dikeluarkan dari kilang mereka serta untuk kegunaan servis.

    “Shell Helix HX8 baharu menawarkan prestasi premium minyak enjin sintetik sepenuhnya pada harga yang berpatutan supaya pemilik kereta dapat memberikan yang terbaik untuk kereta mereka tanpa kompromi,” ujarnya.

    Shell Helix HX8 0W 20 baharu boleh didapati pada harga RM199 bagi pek 4 liter dan RM53.90 bagi pek satu liter di bengkel-bengkel berjenama Shell Helix dan cawangan stesen minyak Shell yang mengambil bahagian. Para pengguna dinasihatkan supaya membuat pembelian dari cawangan-cawangan ini dan memastikan adanya label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ untuk memastikan ketulenan produk.

    Sempena pelancaran tersebut, Shell Malaysia menawarkan potongan sebanyak RM25 bagi mana-mana varian Shell Helix HX8 apabila pelanggan mendaftarkan pembelian tersebut di program kesetiaan pelanggan Shell Advantage and Rewards (SHARE). Promosi ini sah dari 1 Oktober hingga 30 November 2019.

     
     
  • MV Agusta Superveloce 800 sedia masuk fasa produksi, datang dengan versi premium Serie Oro

    MV Agusta Superveloce 800 sedia masuk fasa produksi, datang dengan versi premium Serie Oro

    Muncul buat pertama kali sebagai sebuah model konsep tahun lepas, kini MV Agusta memberitahu Superveloce 800 sudah sedia untuk produksi dan akan berada di pasaran tidak lama lagi. Model itu didedahkan sewaktu EICMA 2019, bersama satu lagi versi istimewa yang dipanggil sebagai Serie Oro.

    Penampilan Superveloce 800 ini adalah seperti jentera lumba retro, dengan fairing lampu hadapan bulat serta panel tepi yang labuh sampai ke bawah. Bahagian belakang pula berbentuk seperti kon dengan penutup tempat duduk serta lampu LED bulat.

    Di sebalik bentuk badannya yang unik sebenarnya adalah asas yang sama seperti model sports F3 800. Bermakna, model ini juga menggunakan enjin tiga silinder 798 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 13,000 rpm dan 97.7 Nm tork pada 10,600 rpm. Walaupun begitu, penyampaian kuasanya ditala supaya tidak terlalu agresif seperti jentera litar, dan lebih sesuai untuk kegunaan biasa.

    MV Agusta Superveloce 800 sedia masuk fasa produksi, datang dengan versi premium Serie Oro

    Pada bahagian elektronik, model ini dilengkapi dengan pilihan mod tunggangan, sistem kawalan cengkaman lapan tahap, quickshifter naik dan turun gear, serta skrin TFT dari model Brutale Serie Oro, yang membawa makna ia boleh disambungkan untuk menjawab panggilan, membaca mesej dan memainkan muzik.

    Model standard Superveloce 800 dijual pada harga €19,990 (RM92k) di Eropah, manakala versi Serie Oro dijual pada harga £24,190 (RM112k). Superveloce 800 Serie Oro mempunyai kelengkapan lebih premium seperti panel badan gentian karbon, penutup tangki minyak CNC siap dengan tali kulit, ekzos Arrow dan rekaan rim jejari yang unik.