Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Winner X ditambah dengan pilihan warna baru

    Honda Winner X ditambah dengan pilihan warna baru

    Baru sahaja dilancarkan pada bulan Julai lalu dengan pilihan tujuh warna, Honda Vietnam kini menambah dua lagi warna baru bagi Winner X untuk pasaran sana. Warna baru hitam/oren disediakan untuk versi CBS dengan harga 45.99 juta Dong (RM8,174), manakala satu lagi warna baru kombinasi biru, putih dan merah seperti HRC menjadi versi paling tinggi dengan harga 49.9 juta Dong (RM8,869).

    Selain daripada warna ini, tiada yang berubah pada Winner X tersebut, termasuklah enjinnya yang dikuasakan oleh unit satu silinder DOHC PGM-Fi 149 cc yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kotak gear pula adalah unit enam kelajuan.

    Setakat ini, Vietnam adalah satu-satunya negara yang menerima Winner X, di mana ia melibatkan perbezaan bentuk badan yang jelas berbanding RS150R (juga dipanggil sebagai Supra GTR 150 atau Winner 150 di beberapa negara lain) selain beberapa peningkatan lain seperti sistem ABS dan meter LCD penuh.

    Honda Winner X ditambah dengan pilihan warna baru

    Bagi RS150R itu sendiri, satu versi baru yang dinaik taraf telah dilancarkan di pasaran Indonesia, di mana penampilan keseluruhannya masih lagi jelas adalah RS150R (tidak seperti Winner X yang memang nampak lain secara keseluruhan), tetapi beberapa bahagian kecil seperti lampu hadapan, lampu belakang, lampu penunjuk arah serta meter diubah sedikit.

    Setakat ini masih tiada berita daripada Boon Siew Honda tentang ketibaan Winner X ataupun RS150R baru seperti Indonesia ke pasaran Malaysia, tapi jika anda sudah memiliki RS150R dan rasa seperti ingin menukar kepada panel badan Winner X, ia boleh dilakukan seperti motosikal milik Khairi Yaakub ini.

     
     
  • Renault Captur Trophy kini rasmi di M’sia – RM108k

    Renault Captur Trophy kini rasmi di M’sia – RM108k

    Setelah didedahkan bulan lalu, kini model edisi khas hanya untuk Malaysia, Renault Captur Trophy secara rasmi dilancarkan pada pasaran tempatan. Crossover istimewa ini dijual pada harga hampir sama dengan model asas Captur iaitu RM107,980, dan turut disediakan dalam pakej Langganan Renault bermula dari RM1,499 sebulan untuk pakej Plan Tetap selama dua-tahun.

    Walaupn namanya ada perkataan ‘Trophy’, ini bukanlah model berprestasi tinggi seperti Megane RS Trophy, sebaliknya ia hanya menerima perincian-perincian kosmetik yang lebih sporty dari versi standard. Pertama sekali, model ini diberikan warna badan yang dikenali sebagai Trophy Orange, diinspirasikan dari model-model RS sebenar seperti warna Tonic Orange pada Megane RS.

    Kemudian, ia menerima tambahan ciri estetika lain seperti spoiler tambahan pada bampar hadapan dan kemasan seakan diffuser di bampar belakang, serta pelekat badan dengan motif bendera garis perlumbaan petak hitam-putih pada bahagian sisi seakan pada model-model RS sebenar.

    Renault Captur Trophy kini rasmi di M’sia – RM108k

    Captur ini juga hadir standard dengan lampu utama dan bilah pengelap cermin automatik, pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi tanpa sentuhan dan kamera undur. Pada bahagian dalaman, ia menerima sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Bagi aspek keselamatannya pula, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal pada crossover segmen-B ini dimana ia masih dijana unit sama seperti model standard iaitu enjin piawaian Euro 6 1.2 liter TCe 120 turbo empat-silinder yang menghasilkan 120 PS dan tork maksima 205 Nm bermula 2,000 rpm, serta dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan. Dengan ciri Auto Start, gandingan ini memperolehi bacaan penggunaan bahan api 5.9 liter bagi setiap 100 km dalam kitaran NEDC.

    Buat permulaan, pengedar Renault di Malaysia iaitu TC Euro Cars menawarkan lima pembeli Captur Trophy terawal peluang untuk membawa pulang hot-hatch Megane RS selama sebulan. Manakala pelanggan yang memilih pelan langganan Switch Prime akan menikmati akses percuma kepada barisan kereta Renault termasut Koleos dan Megane RS.

    Renault Captur Trophy kini rasmi di M’sia – RM108k

    Syarikat itu turut menawarkan program tukar beli Renault Honour, yang akan menjamin harga Captur anda jika anda memilih untuk membeli model Renault baharu pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, program ini hanya ditawarkan dalam masa terhad.

    Setiap pembelian Captur Trophy ini turut hadir dengan waranti pengeluar selama lima tahun dan tanpa had perbatuan, bersama pakej servis dan penyelengaraan percuma (termasuk kos upah dan alat ganti) selama lima-tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Lebih banyak pilihan pembayaran TnG di lebuhraya

    Lebih banyak pilihan pembayaran TnG di lebuhraya

    Pihak berkepentingan di dalam Touch n’ Go, PLUS Malaysia dan CIMB telah umumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk menyediakan pilihan pembayaran tambahan di Lebuhraya PLUS di seluruh negara. Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, pilihan yang dimaksudkan itu nanti akan disediakan oleh Touch n’ Go Sdn Bhd melalui tag RFID TnG.

    Kemudahan pembayaran terbuka itu memberi pilihan kepada pegguna untuk menghubungkan tag RFID TnG ke akaun bank, kad kredit atau kad debit pilihan mereka, sebagai tambahan kepada TnG e-Wallet. Secara beransur-ansur, sistem pembayaran menggunakan pendekatan RFID dijangka akan menggantikan kad Touch n’ Go.

    Perkhidmatan Touch n’ Go RFID akan disediakan di 10 plaza tol dengan sistem terbuka di Lebuhraya PLUS bermula 1 Januari tahun depan, diikuti dengan 83 plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS menjelang 1 April 2020. CIMB dan TnG juga berhasrat untuk memperluaskan kemudahan pembayaran terbuka ini kepada semua konsesi lebuhraya di Malaysia pada masa akan datang.

    Lebih banyak pilihan pembayaran TnG di lebuhraya

    Skim ini sedang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia. Dalam pada itu, kenyataan yang sama juga memaklumkan tidak akan berlaku sebarang gangguan kepada sistem sedia ada bagi pengguna kad fizikal TnG, SmarTag atau PayDirect.

    Perkhidmatan TnG RFID telah mula beroperasi sebagai fasa percubaan di beberapa lebuhraya terpilih di negara ini bermula 2019. Kira-kira 700,000 tag berkenaan telah dipasang pada kenderaan di Semenanjung Malaysia. Kad berkenaan ketika ini disambungkan kepada TnG e-Wallet.

    “Transaksi RFID adalah dalam masa nyata, dan pengguna akan menerima pesanan berkaitan baki mereka. CIMB/TnG telah memberikan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan ini,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

     
     
  • Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

    Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

    Sebelum membuat kemunculan sepenuhnya bulan hadapan, Kia nampaknya ‘mengusik’ hati peminatnya dengan mendedahkan dahulu berberapa imej awalan sedan segmen-D Optima (atau K5 di Korea) generasi baharu. Seperti yang anda boleh lihat, model berkenaan tampil lebih tajam dan lebih garang dari versi generasi keempat sedia ada.

    Model generasi baharu ini diberikan lampu hadapan lebih tirus bersama bentuk-V dihujungnya, dengan jalur lampu nyalaan siang berbentuk abjad yang sama pada bahagian dalam. Gril ‘hidung harimau’ masih lagi kekal, tetapi ia direka seakan tiga-dimensi di mana liangnya direka melengkung ke dalam.

    Bonet hadapan pula menampilkan garis-garis yang sangat jelas mengikut bentuk gril hadapan. Kemudian, bampar sedan ini juga kelihatan agresif dengan liang kemasukan udara sisi direka seperti sedang ‘mengaut’ kesemua aliran udara di hadapannnya.

    Beralih kesisi, dapat dilihat cermin sisi direka nipis dan seakan tergantung pada satu ‘tiang’ yang berada di bawah tingkap quater hadapan. Garis bumbung dihasilkan landai kebelakang memberikan bayangan badan sedan empat pintu ini seakan sebuah coupe sportback – bahagian ini diserlahkan lagi dengan kemasan krom dari kerangka tingkap pintu hadapan dan belakang dan terus bersambung ke tiang-D serta merentangi sepenuhnya bawah cermin belakang.

    Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

    Rupa belakang sedan ini turut kelihatan garang seperti mukanya. Ia diberikan lampu tirus merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan. Bampar pula kelihatan ‘sibuk’ dengan sepasang liang udara sisi yang seakan melepaskan aliran udara yang ‘dikaut’ oleh bampar hadapan, kemudian diberikan kemasan seakan diffuser yang turut menempatkan dua kemasan tip ekzos krom berbentuk segi-empat sereng.

    Tiada lagi gambar bahagian dalaman didedahkan. Tetapi menerusi imej lakaran yang disiarkan sebelum ini, Optima generasi kelima ini diberikan papan pemuka dengan paparan instrumen digital dan skrin utama yang lebar, roda stereng rekaan baharu, suis kawalan yang direka seperti kekunci piano serta penukar gear menggunakan kawalan jenis putar.

    Kia juga belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan Optima berkenaan, dan dijangka akan mengumumkannya ketika kereta ini membuat kemunculan sulungnya di Korea nanti.

     
     
  • Tiket kelas perniagaan bagi ETS2 dilanjutkan ke 29 Feb

    Tiket kelas perniagaan bagi ETS2 dilanjutkan ke 29 Feb

    Tempoh harga promosi bagi tiket kelas perniagaan bagi ETS2 (Electric Train Service 2) kini dilanjutkan sehingga 29 Februari tahun depan. Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan promosi berkenaan bagi perjalanan antara 11 Oktober hingga 30 November.

    Lanjutan tempoh promosi berkenaan adalah disebabkan sambutan hangat yang diterima daripada pengguna dan bertujuan untuk membolehkan lebih ramai penumpang mencuba dan mengalami sendiri perkhidmatan gerabak eksklusif berkenaan, lapor Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleg KTMB, perkhidmatan ETS2 turut akan meliputi laluan Kuala Lumpur Sentral-Butterworth-Kuala Lumpur Sentral bermula bulan depan, sebagai tambahan kepada laluan KL Sentral-Padang Besar ketika ini.

    KTMB juga memaklumkan semua tiket ETS dan KTM Intercity bagi tempoh tiga bulan akan datang akan dijual bermula 18 November, bagi perjalanan bertarikh dari 1 Disember hingga 29 Februari. Pelanggan boleh membuat pembelian bermula 8.30 pagi melalui kaunter tiket atau secara atas talian.

     
     
  • Toyota Yaris Cross diperkenalkan di Thai bersama barisan varian & enjin 1.2 liter Eco Fasa 2 dikemaskini

    Toyota Yaris Cross diperkenalkan di Thai bersama barisan varian & enjin 1.2 liter Eco Fasa 2 dikemaskini

    Kita baru menerima hatchback berasaskan Toyota Vios, iaitu Yaris pada April lalu. Namun di Thailand, Yaris yang sama kini telah diperbaharui, terutamanya pada bahagian enjin kerana ia perlu dikemaskini dengan unit yang mematuhi undang-undang Kereta Eco Thai Fasa 2, menampilkan penggunaan bahan api lebih ekonomi dan juga penghasilan CO2 yang lebih rendah berbanding model-model Fasa 1.

    Apa yang menarik, model yang diperkemas ini juga tampil dengan pek opsyen baharu yang digelar sebagai Yaris Cross, bagi memberikan rupa Yaris anda seperti sebuah crossover, sama seperti yang dilakukan oleh Perodua terhadap model Axia Style. Namun ini bukanlah varian, tetapi anda boleh memilih pakej Cross berkenaan dengan mana-mana varian Yaris yang anda pilih.

    Jika sebelum ini Yaris Thailand tampil dengan lima varian (J Eco, J, E, G, G+), versi baharu diringkaskan kepada hanya tiga varian iaitu Entry, Mid dan High. Varian asas Entry adalah sama dengan J Eco, Mid pula adalah separas dengan varian E manakala model tertinggi High pula sama tahap dengan varian G+ pada model sebelum ini.

    Untuk pengetahuan anda, Thailand tidak menerima Yaris dengan enjin 1.5 liter seperti di Malaysia, kerana undang-undang Kereta Eco tadi mengehadkan kapasiti maksima untuk kategori berkenaan kepada 1.2 liter. Model kemaskini ini masih dibekalkan dengan enjin dengan kapasiti sama, tetapi enjin 3NR-FE pada model sebelum ini telah digantikan dengan unit 3NR-FKE.

    Enjin yang dirombak semula berkenaan menampilkan sistem injap bervariasi Dual VVT-iE berbanding hanya sistem Dual VVT-E sebelumnya. Nisbah mampatannya juga naik dengan signifikan dari 11.5:1 kepada 13.5:1. Dengan perubahan ini bukan sahaja kecekapan bahan api meningkat serta pencemarannya berkurang, angka kuasa juga bertambah dari 86 hp/108 Nm pada enjin 3NR-FE kepada 92 hp/109 Nm pada 3NR-FKE.

    Enjin tersebut masih lagi boleh beroperasi dengan bahan api E20 (20% ethanol dan 80% gasolin), dan ia dipadankan dengan kotak gear automatik Super CVT-i, memacu roda hadapan.

    Untuk model biasa, tiada perubahan ketara yang boleh anda lihat pada model baharu ini berbanding versi sebelumnya. Tetapi jika anda memilih pakej Cross, Yaris anda akan dipadankan dengan kemasan tambahan pada bahagian bampar hadapan dan belakang berwarna hitam bersama skid plate palsu berwarna perak, serta skirt sisi dan bumbung juga berwarna hitam.

    Toyota Yaris Cross diperkenalkan di Thai bersama barisan varian & enjin 1.2 liter Eco Fasa 2 dikemaskini

    Pakej Cross ini bukan hadir sekadar kit badan, pembeli yang memilihnya juga akan menerima set penyerap hentak bersama spring yang direka khas untuknya, bagi menaikkan badannya 30 mm lebih tinggi dari model standard. Ia juga diberikan rim 16-inci dua-tona rekaan khas, bersama emblem ‘Cross’ yang diletakkan pada bahagian belakang.

    Model diperkemas ini juga kini tampil dengan berberapa ciri baharu, antaranya skrin utama bersaiz 6.7-inci serta kamera perakam hadapan dan belakang. Manakala untuk sistem keselamatan, semua varian dilengkapkan dengan sistem brek ABS/EBD dan BA, sistem VSC, bantuan mula mendaki serta tujuh-beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).

    Untuk harga pula, model Entry tidak berubah dengan model J Eco iaitu 539,000 baht, manakala versi tertinggi High pula adalah 10,000 baht lebih mahal iaitu 649,000 baht.

     
     
  • EICMA 2019: Suzuki V-Strom 1050 baru bawa gaya retro, pakej elektronik lebih lengkap pada versi XT

    EICMA 2019: Suzuki V-Strom 1050 baru bawa gaya retro, pakej elektronik lebih lengkap pada versi XT

    Suzuki sebenarnya sudah agak lama tidak mempunyai model yang betul-betul baru, dan sewaktu pameran EICMA 2019 juga mereka sekadar memperkenalkan V-Strom 1050 yang disegarkan semula. Pembaharuan utama pada model ini adalah pada gaya serta kelengkapan yang dipasang padanya.

    Enjin pula masih sama, iaitu unit dua silinder V 1,037 cc, tetapi kini sudah menepati tahap emisi Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 6 hp lebih, menjadi 106 hp pada 8,500 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dengan klac slip & assist serta fungsi Easy Start System.

    Seperti yang anda boleh lihat, gaya V-Strom baru ini nampak seperti model lama kerana Suzuki cuba menerapkan kembali konsep gaya daripada motosikal DRZ serta DR-Big tahun 90-an. Persamaannya bukan sahaja boleh dilihat pada bentuk paruh serta lampu, malah juga pilihan warna yang ditawarkan oleh Suzuki.

    Kelengkapan lain yang diberikan standard pada V-Strom 1050 adalah suspensi depan dan belakang yang boleh dilaras, set cakera berkembar dengan sistem ABS, tiga mod tunggangan, Traction Control, penghadang angin hadapan yang boleh dilaras, soket pengecas USB, rim aluminium (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dan skrin LCD baru.

    Versi yang mempunyai lebih banyak kelengkapan dan ciri adalah V-Strom 1050 XT. Pada bahagian elektronik, versi ini ditambah lagi dengan pakej lengkap Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang termasuk Inertial Measurement Unit (IMU), Motion Track Brake System, Hill Hold Control System, Slope Dependent Control System, Load Dependent Control System, Cruise Control System dan dua mod ABS.

    Versi ini juga diberikan dengan pelindung enjin, lampu penunjuk arah LED, pelindung tangan, tempat duduk yang boleh dilaras, tongkat tengah, soket pengecas 12V di bawah tempat duduk dan rim spoked. Barangan lain seperti beg barangan, pelindung bawah enjin dan lampu LED disediakan sebagai aksesori tambahan.

     
     
  • Zapp i300 skuter elektrik buatan Thailand dengan harga RM28k di United Kingdom dan tork 587 Nm

    Zapp i300 skuter elektrik buatan Thailand dengan harga RM28k di United Kingdom dan tork 587 Nm

    Di United Kingdom (UK), satu jenama motosikal elektrik baru iaitu Zapp bakal memasuki pasaran dengan produk pertama mereka yang dikenali sebagai i300. Harganya adalah £5250 (RM28k), dan penghantaran kepada pelanggan diberitahu bermula hujung tahun ini. Zapp adalah sebuah syarikat yang beroperasi dan berasal di UK sendiri, tetapi menurut laporan Motorcycle News, motosikal mereka dikeluarkan di Thailand.

    Skuter i300 ini dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 14 kW (19 hp) dan ia mampu memberikan tork 587 Nm serta prestasi pecutan 0-50 km/j dalam masa 2.35 saat dan 0-70 km/j dalam 4.1 saat. Menurut Zapp, prestasi i300 ini sama seperti motosikal 300 cc biasa tetapi laju maksimumnya cuma 96 km/j.

    Terdapat dua pek bateri yang digunakan pada i300 ini, dengan setiap satunya mempunyai kapasiti 1.25 kWh dan berat lima kilogram. Sekiranya menggunakan mod ECO, pek bateri ini boleh memberikan perjalanan antara 60 hingga 90 km, dan kemudiannya boleh dicabut untuk dicas. Daripada motor elektrik, kuasa disampaikan ke roda belakang menggunakan tali sawat.

    Walaupun cuma sebuah skuter elektrik yang kecil, i300 menggunakan kelengkapan berspesifikasi tinggi seperti brek cakera terapung dengan angkup empat piston di hadapan, brek cakera di belakang (ABS two channel), fork USD dengan pelarasan pra beban, suspensi belakang jenis pushrod dengan pelarasan pra beban, lengan ayun single sided serta skrin paparan digital resolusi tinggi.

    Zapp juga mendakwa i300 ciri aerodinamik i300 ini telah diuji, manakala rangka belakang yang menyambungkan bahagian depan skuter hingga ke belakang dan tempat duduk itu adalah rekaan mereka sendiri dan dibuat daripada satu unit aluminium (tanpa sambungan) gred angkasa.

     
     
  • EICMA 2019: Bimota Tesi H2 tanda kemunculan semula

    EICMA 2019: Bimota Tesi H2 tanda kemunculan semula

    Bagi kita di Malaysia nama Bimota mungkin jarang kedengaran, tapi di Eropah, ia dianggap sebagai sebuah syarikat lagenda dengan keluaran motosikal yang unik dan sudah wujuh sejak tahun 1973. Kini, 49.9% pegangan dalam syarikat itu sudah dimiliki oleh Kawasaki dan model Tesi H2 yang ditunjukkan di EICMA 2019 ini dijadikan sebagai tanda kemunculan semula syarikat yang berasal dari Rimini, Itali ini.

    Nama H2 yang digunakan pada motosikal baru Bimota ini bukan sengaja diletakkan, tetapi ia memang menggunakan enjin supercharge sama seperti H2 keluaran Kawasaki. Cumanya, bahagian lain mengekalkan ciri yang sudah dikenali bagi motosikal Bimota.

    Antaranya seperti rekaan badan rumit dengan banyak panel-panel tajam yang dibuat daripada gentian karbon serta winglet di bahagian tepi. Rangka juga kelihatan seperti unit yang dibangunkan sendiri oleh Bimota, dan berlainan berbanding H2 yang menggunakan jenis Trellis.

    Perkara yang lebih menarik pada motosikal Bimota adalah suspensi dan begitu juga dengan motosikal ini. Lengan ayun bukan sahaja berada di belakang, malah turut digunakan di bahagian depan bersama stereng jenis hub centre (berpusing ke kiri dan kanan pada tengah rim). Ia mempunyai beberapa lagi penyambung untuk memberikan rasa tunggangan yang unik, sementara angkup brek hadapan pula tersembunyi di sebalik fender.

    Pada bahagian belakang, anda mungkin boleh nampak lengan ayun yang biasa, tapi di bahagian penyambung tengah kepada rangkanya, terdapat dua penyerap Ohlins yang terletak rapat dan boleh dilaras sepenuhnya. Semestinya motosikal Bimota adalah satu penawaran yang lebih premium dan ia cuma akan dikeluarkan dalam unit yang terhad.

     
     
  • Ford Ranger Splash 2019 – kesemua 19-unit habis ditempah di Lazada sebelum Festival Beli-Belah 11.11

    Ford Ranger Splash 2019 – kesemua 19-unit habis ditempah di Lazada sebelum Festival Beli-Belah 11.11

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ini mengesahkan bahawa kesemua 19-unit model edisi terhad Ford Ranger Splash 2019 telahpun habis ditempah sebelum bermulanya Festival Beli-Belah 11.11 aplikasi e-dagang Lazada. Kesemua pelanggan yang berjaya dalam tempahan secara dalam talian berkenaan mengunakan fungsi “Chup Dulu” di Lazada bagi mendapatkan trak pikap mereka.

    Ini adalah Ranger Splash kedua dari Ford Malaysia selepas versi asal berwarna kuning dihasilkan menerusi model generasi pertama. Model berasaskan 2.0L XLT Plus Automatic ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran dengan harga RM138,888, dan disertakan dengan waranti pengeluar tiga tahun/100,000 km serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.

    Berbanding model standard, Ranger Splash 2019 ditambah dengan pelbagai ciri khas yang tersendiri seperti skema warna terbalik dari model asal dahulu, dengan warna badan Absolute Black bersama pelekat “Ranger Splash” dengan jalur-jalur kuning fluorescent pada kedua-dua sisi bed belakang.

    Kemudian ia dilengkapkan dengan bar kanggaru, dan juga komponen-komponen dengan kemasan hitam matte terdiri dari gril hadapan, perumah cermin sisi, bampar belakang, sports bar, fender flare dan juga rim aloi. Pembaca tol bina dalam dan kamera pemantau juga disertakan pada model edisi terhad ini.

    Ford Ranger Splash 2019 – kesemua 19-unit habis ditempah di Lazada sebelum Festival Beli-Belah 11.11

    Kelengkapan-kelengkapan dari varian 2.0L XLT Plus Automatic terus dibekalkan pada model ini. Jadi ia hadir standard dengan lampu hadapan projektor HID, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, pendingin hawa dua zon, upholsteri fabrik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, stereng berkuasa elektrik (EPAS) dan juga penutup tailgate Easy Lift.

    Sistem mekanikal juga tidak berubah di mana trak pikap ini masih dijana enjin diesel 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan kuasa 180 PS dan juga tork maksima 420 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan, bersama sistem 4WD yang boleh ditukar dari 2WD, 4WD high dan 4WD Low tanpa memberhentikan kenderaan.

    Menerusi fungsi Chup Dulu, penbeli perlu membayar deposit RM139 (10% dari yuran tempahan bernilai RM1,389) yang tidak akan dikembalikan sekiranya pembelian dibatalkan oleh pembeli sebelum Festival 11.11 iaitu bermula 28 Oktober hingga 10 November.

    Pembeli yang telah berjaya menempah Ranger Spalsh menerusi Chup Dulu perlu menjelaskan baki bayaran tempahan sebanyak RM1,250 pada hari ini, 11 November bagi memastikan pembelian Ranger berkenaan selepas itu. Tetapi setelah membayar penuh yuran tempahan ini, duit tersebut boleh dipulangkan sekiranya pembeli berubah fikiran, menurut SDAC.

    Wakil dari Ford kemudiannya akan menghubungi anda jika pembelian ini mahu diteruskan, dan urusniaga tersebut boleh dibuat pada mana-mana bilik pameran yang dimahukan oleh pembeli. Bagi 11 pembeli pertama yang telah melengkapkan proses tempahan mereka menerusi Chup Dulu, mereka akan menerima kad hadiah Petronas bernilai RM500 ketika kereta berkenaan dihantar kelak.

    “Kejayan pantas hasil kolaborasi dengan Lazada ini menunjukkan bahawa pengguna di Malaysia telah menerima e-dagang dengan sepenuhnya. Ia juga membuktikan permintaan yang kukuh dan keyakinan para pengguna terhadap Ford Ranger ‘Built Ford Tough’ kami. Pencapaian ini tidak akan menjadi nyata tanpa sokongan daripada para pelanggan kami, dan untuk itu kami amat berterima kasih kepada anda semua,” kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion.

    “Kami percaya bahawa para pelanggan mahukan pengalaman unik dan eksklusif untuk kenderaan mereka . Mereka kini boleh menjangkakan program yang lebih menarik di masa yang terdekati ini, Nantikan kami,” ujarnya lagi.

     
     
  • Husqvarna akan berlumba dalam Moto3 tahun 2020

    Husqvarna akan berlumba dalam Moto3 tahun 2020

    Selain memperkenalkan beberapa model baru serta model konsep Norden 901, Husqvarna juga membuat satu pengumuman penting di EICMA 2019. Tahun depan syarikat itu akan kembali dalam dunia perlumbaan atas tar (bukan offroad) iaitu dalam Moto3.

    Husqvarna akan bekerjasama dengan pasukan Max Racing Team yang dimiliki oleh bekas pelumba terkenal, Max Biaggi, dan diuruskan oleh Peter Öttl, yang juga adalah seorang bekas pelumba dari Jerman. Pasukan ini akan menggunakan khidmat Romano Fenati dan Alonso Lopez sebagai pelumba.

    Husqvarna sebelum ini memang ada bertanding dalam kategori Moto3, tetapi menjelang hujung tahun 2015, mereka telah menarik diri. Kategori Moto3 sekarang ditetapkan kepada jentera yang digerakkan oleh enjin satu silinder empat strok 250 cc, dan Husqvarna akan menggunakan jentera baru FR 250 GP.

    Husqvarna akan berlumba dalam Moto3 tahun 2020

    Dengan Husqvarna Motorcycles sekarang terus berkembang ke arah motosikal street prestasi, kami percaya pendedahan tambahan yang diperolehi daripada berlumba dalam kelas Moto3 ini akan membantu kami mengekalkan pembangunan jenama untuk tahun-tahun di hadapan,” kata ketua pegawai eksekutif KTM AG, Stefan Pierer.

    “Kami percaya dengan sokongan Husqvarna Motorcycles, kami akan dapat mencapai sesuatu yang baik. Kedua-dua pelumba kami mempunyai motivasi yang tinggi. Dengan Fenati dan Lopez, kita mempunyai seorang pelumba berpengalaman dan seorang pelumba yang muda, tetapi kedua-duanya boleh memberikan keputusan yang kuat,” kata Max Biaggi.

     
     
  • Mazda CX-8 CKD dilancarkan pada pasaran Malaysia – RM180k hingga RM218k, 4 varian, petrol dan diesel

    Mazda CX-8 CKD dilancarkan pada pasaran Malaysia – RM180k hingga RM218k, 4 varian, petrol dan diesel

    SUV dengan tiga baris tempat duduk, Mazda CX-8 sudah pun keluar dari barisan produksi di kilang Inokom, Kulim Kedah bulan lalu serta tempahannya sudahpun dibuka, dan kami telah pun berpeluang untuk memandu ujinya. Dan hari ini, Bermaz secara rasmi mengumumkan bahawa ia rasmi masuk ke pasaran Malaysia.

    Mazda CX-8 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM179,960.40 untuk model asas 2.5G 2WD Mid, RM185,960.40 untuk model 2.5G 2WD Mid Plus, manakala dua versi tertinggi pula dijual pada RM200,960.40 untuk 2.5G 2WD High (petrol) dan RM217,722.80 bagi 2.2D 4WD High (diesel).

    Seperti model-model Mazda lain, CX-8 diberikan waranti lima pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga penyelengaraan percuma juga selama lima-tahun. Sebelum ini juga Bermaz pernah menyebut bahawa CX-8 bakal dijual pada harga 15% hingga 20% lebih mahal dari versi dua baris tempat duduknya iaitu CX-5, dan harga yang muncul ini nampaknya selari apa yang didakwa sebelum ini.

    Mazda CX-8 CKD dilancarkan pada pasaran Malaysia – RM180k hingga RM218k, 4 varian, petrol dan diesel

    Klik untuk besarkan

    Selain itu, CX-8 turut ditawarkan pelbagai ciri-ciri pilihan tambahan, termasuk filem penapis haba (RM2,000), plat bendul sisi bercahaya (RM400), pilihan tempat duduk balutan kulit bagi varian Mid dan Mid Plus (RM4,500), dan juga warna-warna metalik premium seperti Soul Red Crystal, Machine Grey, dan Snowflake Pearl White dengan harga RM3,000.

    CX-8 adalah SUV yang diletakkan satu tangga di bawah model flagship Mazda CX-9, dan satu tangga di atas CX-5. Secara asasnya, ia adalah CX-5 dengan saiz lebih besar terutamanya jarak roda yang lebih panjang bagi membolehkan ia diberikan satu baris tempat duduk tambahan. Ia diukur dengan dimensi 4,900 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,730 mm tinggi dan jarak roda 2,930 mm – atau 230 mm lebih panjang dengan jarak roda 230 mm lebih jauh dari CX-5.

    Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Anda boleh memilih sama ada dengan konfigurasi tujuh tempat duduk (2-3-2) , atau versi lebih premium enam tempat duduk (2-2-2) yang hadir dengan captain seat untuk barisan tengah. Secara keseluruhan, empat varian ditawarkan terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD.

    Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, lampu nyalaan siang dengan mentol dan juga upholsteri fabrik. Model 2WD Mid Plus pula menerima konfigurasi enam-tempat duduk, lampu nyalaan siang LED dan upholsteri fabrik.

    Mazda CX-8 CKD dilancarkan pada pasaran Malaysia – RM180k hingga RM218k, 4 varian, petrol dan diesel

    Model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk dengan baris kedua dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

    Pada bahagian luar, selain dari jarak roda panjang CX-5 dan CX-9 dibezakan dengan pemadanan gril dimana model lebih panjang ini diberikan gril dengan elemen slat mendatar seperti CX-9 berbanding mesh pada CX-5. Model diesel pula menerima rel bumbung dengan kemasan perak.

    Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

    Mazda CX-8 CKD dilancarkan pada pasaran Malaysia – RM180k hingga RM218k, 4 varian, petrol dan diesel

    Sistem keselamatan Mazda i-Activesense hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

    Walau bagaimanapun, model 2.5L 2WD Mid Plus akan diberikan sistem Lampu Adaptif Hadapan (AHS), BSM, RCTA dan juga CMBS untuk bahagian hadapan sahaja.

    Untuk model petrol, ia akan dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi tertinggi akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

     
     
  • PLUS mempertimbangkan buka semula perkhidmatan tambah nilai TnG di lorong keluar plaza tol miliknya

    PLUS mempertimbangkan buka semula perkhidmatan tambah nilai TnG di lorong keluar plaza tol miliknya

    Langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menamatkan perkhidmatan tambah nilai Touch n’ Go (TnG) di semua lorong keluar plaza tol kendaliannya mencetuskan maklumbalas yang kurang memberangsangkan daripada pengguna. Malah perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang menggesa agar syarikat konsesi itu mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

    Malahan Berita Harian turut melaporkan kesesakan teruk lebih tujuh kilometer di Plaza Tol Skudai, Johor yang beberapa kali berlaku sejak Selasa lalu. Kesesakan itu mengakibatkan lorong keluar terhalang berikutan segelintir pengguna tidak mempunyai baki kad TnG mencukupi.

    Disebabkan perkara ini, PLUS mengesahkan akan mempertimbangkan untuk membuka semula lorong tambah nilai kad TnG jika berlaku lagi kesesakan panjang di lorong berkenaan.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, walaupun insiden di Plaza Tol Skudai adalah kes terpencil, namun keputusan itu perlu diambil demi keselesaan pengguna meskipun pihaknya sudah menguar-uarkan penutupan semua lorong tambah nilai TnG di lebuh raya seliaannya pada 5 November lalu. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kesesakan melampau di plaza tol tidak akan berlaku lagi selepas ini.

    “Kami ambil maklum kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (yang mahu PLUS mengkaji semula penutupan lorong tambah nilai TnG). Kami ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk tidak membenarkan kesesakan yang panjang berlaku lagi pada masa depan. Jika ia (kesesakan panjang) berlaku, kita akan aktifkan semula (lorong tambah nilai TnG).

    “Kami di PLUS amat mengutamakan keperluan pelanggan, namun pada masa sama, meminta pengguna tidak keluar kenderaan untuk pergi tambah nilai. Ia boleh membahayakan keselamatan termasuk kakitangan PLUS yang bertugas di lapangan,” katanya.

     
     
  • Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

    Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

    Berita berkenaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) membina jentera rali R5 menggunakan Proton Iriz pada tahun 2016 benar-benar mengundang sensasi. Saya sendiri sebagai peminat perlumbaan dalam disiplin rali sudah tentu sangat teruja ketika menaip artikel berkenaan teaser yang terbit dari laman facebook MEM ketika itu.

    Tambahan pula MEM bukanlah nama asing jika anda mengikuti perkembangan sejarah sukan permotoran Proton. Ini kerana firma pembina kereta lumba berkenaan telah lama bergandingan dengan Proton, bukan sahaja membina jentera Satria Neo S2000 yang telah menjuarai Kejohanan Rali Asia Pasifik (FIA APRC) pada tahun 2011, malah mereka juga bertanggungjawab menyediakan Proton PERT Evo VI untuk Karamjit Singh bagi bergelar juara WRC dalam kategori produksi (PWRC) pada tahun 2002.

    Kerana jarak yang begitu jauh antara ibu pejabat MEM di Bakewell, UK dan Malaysia, berita yang kami sampaikan lazimnya bersumberkan laman facebook dan laman sesawang rasmi mereka. MEM sendiri juga pernah mengutus emel kepada kami bagi menghargai apa yang kami lakukan dengan melaporkan perkembangan jentera Iriz R5 tersebut dan menyebarkannya untuk peminat di Malaysia.

    Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

    Pengasas Mellors Elliot Motorsport, Chris Mellors

    Namun peluang keemasan tiba pada bulan lalu setelah diberitahu bahawa prinsipal dan pemilik pasukan MEM, Chris Mellors datang ke Malaysia untuk berberapa urusan. Tanpa berlengah, satu sesi temu ramah telah berjaya kami aturkan, bagi mendengar sendiri segalanya berkenaan Proton Iriz R5 berkenaan dari mulut Chris sendiri, terutamanya mengapa mereka masih menggunakan Proton sebagai jentara rali sedangkan ia tidak lagi dijual di UK seperti Satria Neo dahulu.

    Bagi membuka cerita bagaimana projek Iriz R5 ini, Chris mendedahkan bahawa selepas Proton melancarkan hatchback segmen-B berkenaan pada tahun 2014, Tun Dr. Mahathir yang ketika itu masih pengerusi Proton mula menghubungi Chris semula dan bertanya adakah Iriz ini sesuai untuk dijadikan kereta rali. Ya benar, semuanya bermula dari Tun sendiri!

    Kemudian MEM memeriksa sendiri Iriz berkenaan adakah kereta tersebut sesuai dijadikan jentera rali R5 atau tidak. Menurut Chris, memang benar semua kereta boleh ditransformasikan kepada kereta rali, tetapi untuk menghasilkan sebuah kereta rali yang kompetitif menurut undang-undang R5, platform kereta berkenaan haruslah sangat baik.

    Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

    Ini kerana, secara asasnya walaupun bahagian belakang kereta berkenaan boleh diubahsuai menggunakan gandar belakang untuk sistem 4WD (kesemua jentera R5 seperti Ford Fiesta dan Skoda Fabia menggunakan gandar yang sama, diluluskan oleh FIA sendiri) dan juga sistem suspensi bebas bagi menggantikan torsion beam asal, tetapi geometri dan juga kedudukan cagak untuk suspensi hadapan hampir tidak boleh diubahsuai.

    Jika suspensi hadapan dari model produksi tidak benar-benar bagus, ia akan menjejaskan dinamik dan kesimbangan suspensi belakang untuk kereta rali R5 yang siap nanti. Faktor ini adalah kelebihan kepada Iriz, kerana ia sememangnya dihasilkan dengan suspensi hadapan yang benar-benar bagus menampilkan lengan bawah jenis wishbone sebenar dan bukan hanya jenis boomerang arm seperti kebanyakkan model-model lain dalam pasaran.

    Kemudian menurut Chris, Iriz juga mempunyai kelebihan dari segi dimensi. Iriz walaupun sebuah kereta yang pendek, ia mempunyai jarak roda yang cukup jauh dan hampir menyamai jarak roda Volkswagen Golf Mk6. Dengan jarak roda dan juntaian hadapan dan belakang yang pendek, ia secara tidak langsung memberikan kestabilan yang cukup baik kepada Iriz terutamanya sebagai sebuah kereta rali.

    Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!

    Pemandu utama Proton Iriz R5, Oliver Mellors yang juga anak kepada Chris Mellors

    Dengan gabungan suspensi hadapan yang begitu baik dan juga dimensi jarak roda dan juntaian yang sempurna, Iriz R5 ini disifatkan Chris mempunyai karekter pengendalian seakan go-kart dan sentiasa stabil ketika dibelasah mengambil selekoh dengan agresif serta ketika melompat dan mendarat semula ke permukaan tanah – faktor ini juga menurut Chris membuatkan juara WRC dua kali Marcus Grönholm terkejut ketika menguji Iriz R5 pada tahun 2017.

    Sambung Chris lagi, kelebihan Iriz sebagai sebuah kereta rali adalah rekaan hadapannya seolah-olah memang direka untuk sistem penyejukkan sebuah kereta lumba. Chris menjelaskan bahawa menurut regulasi FIA, mereka tidak boleh melakukan banyak pengubahsuaian pada bahagian hadapan untuk mendapatkan aliran udara terbaik.

    Dan Iriz tidak mengecewakan kerana dengan ‘mulut’ yang begitu besar pada bampar (model pre-facelift) dan juga hidung yang agak tinggi, membolehkan Iriz R5 ini diberikan unit intercooler paling besar berbanding jentera R5 lain!

    Jadi dengan semua kelebihan yang ada pada Iriz berkenaan, projek menghasilkan jentera R5 dari hatchback dari Tanjong Malim tersebut bermula pada tahun 2016. Menurut Chris lagi, Iriz juga mempunyai daya penariknya tersendiri. Tidak seperti Ford Fiesta, Skoda Fabia atau Volkswagen Polo yang begitu banyak di Eropah, kemunculan Iriz dalam dunia rali R5 di benua itu mengundang sensasi yang cukup unik kerana ramai yang tidak pernah melihat model produksi sebenar kereta tersebut.

    Jadi apabila Iriz R5 ini membuat penampilan, ramai yang bertanya “apa jenama kereta berkenaan?” dan “dari mana datang jenama Proton ini?” Secara tidak langsung publisiti itu sendiri datang kepada pasukan MEM.

    Soalan paling popular, kenapa Iriz R5 ini diberikan enjin 4B11T yang dikecilkan kepada 1.6 liter dan tidak sahaja terus menggunakan enjin Campro S4PH 1.6 liter Proton? Jawapan dari Chris agak menarik dan membuka mata; anda perlu membaca artikel seterusnya pada PAUTAN INI.

    Sebelum tu, sekarang jelas kenapa Iriz R5 ini begitu cemerlang dalam setiap rali yang disertainya? Dan jelas juga kenapa model produksi Iriz mempunyai pengendalian yang cukup baik berbanding pesaingnya?

     
     
  • Harga minyak 9-15 Nov: RON97 naik 1 sen seliter

    Harga minyak 9-15 Nov: RON97 naik 1 sen seliter

    Harga runcit petrol RON 97 bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 November 2019 dilaporkan naik sebanyak 1 sen seliter, menjadi RM2.57 seliter, berbanding RM2.56 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.27 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.26 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.33 seliter.

    Harga minyak 9-15 Nov: RON97 naik 1 sen seliter

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 9 hingga 15 November 2019 adalah berjumlah RM79.39 juta.

    Namun, ingin diingatkan sekali lagi, mulai Januari 2020, harga runcit petrol RON95 akan menjadi lebih tinggi memandangkan kerajaan yang telah mengumumkan penarikan balik subsidi bahan api tersebut, melainkan untuk golongan B40 yang layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) dan juga Kad95 untuk golongan M40.

     
     
  • EICMA 2019: Triumph Thruxton RS 2020 – kini 105 hp

    EICMA 2019: Triumph Thruxton RS 2020 – kini 105 hp

    Selain daripada Bobber TFC, Triumph turut memperkenalkan Thruxton RS 2020 sewaktu pameran EICMA 2019, yang sekarang mempunyai kuasa lebih tinggi, enjin yang mematuhi tahap Euro 5 dan berat yang dikurangkan. Bahagian elektronik dan penampilan juga dipertingkat.

    Enjin yang digunakan masih lagi unit dua silinder selari 1,200 cc sama seperti sebelum ini, tetapi kuasanya ditingkatkan dari 97 hp kepada 105 hp. Tork maksimum 112 Nm pula sekarang boleh dinikmati pada 700 rpm lebih rendah iaitu bermula 4,950 rpm. Enjin ini juga boleh dipaksa ke tahap rpm 500 lebih tinggi.

    Bahagian dalam enjin seperti crankshaft, klac dan batang pengimbang telah direka semula, sekaligus menyumbang kepada inertia pusingan dalam enjin yang berkurang sebanyak 20%. Digabungkan dengan berat yang telah berkurang 6 kg (sebelum ini 203 kg), Thruxton RS sekarang menjadi sebuah motosikal yang lebih responsif.

    Dikenali sebagai sebuah model klasik moden berprestasi, Thruxton RS kini menggunakan angkup brek Brembo M50 Monobloc (sebelum ini unit Brembo M4.32) sama seperti Street Triple 765RS, sementara tayar pula telah ditukar daripada Pirelli Diablo Rosso Corsa kepada Metzeler Racetec RR.

    Perubahan kosmetik yang dibuat untuk model baru ini adalah termasuk rim hitam yang melalui proses sama seperti penutup tepi enjin sementara pilihan warna pula terdiri daripada Jet Black dan Matte Grey/Matte Silver Ice. Fairing cafe racer dijual berasingan sebagai aksesori tambahan bersama pelbagai barangan lain.

     
     
  • Perodua Axia Style tiba di Sri Lanka – RM89,000

    Perodua Axia Style tiba di Sri Lanka – RM89,000

    Baru sahaja diperkenalkan di Malaysia pada September lalu, kini Perodua Axia dengan gaya crossover iaitu Axia Style telah pun diperkenalkan pada pasaran Sri Lanka. Model berkenaan membuat kemunculannya di Pameran Motor Colombo Seylan, dan akan dijual di sana pada harga Rs 3.895 juta atau kira-kira RM89,000.

    “Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015. Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia Style baharu ini,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

    Berbanding varian lain, Style hadir dengan bampar yang nampak lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, kemasan rel bumbung palsu, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci.

    Perodua Axia Style tiba di Sri Lanka – RM89,000

    Walaupun dengan rupa yang lebih lasak, Axia Style masih dijana oleh enjin petrol 1.0 liter SOHC VVT-I 1KR-VE sama seperti varian lain dan juga kembar sedannya Perodua Bezza, menghasilkan 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm.

    Sejak dilancarkan, kini lebih 2,000 Perodua Axia Style telah diterima pemiliknya di Malaysia, manakala Perodua Axia facelift 2019 secara keseluruhan telah dijual lebih dari 10,400 unit, daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

    Semua model-model Perodua di Sri Lanka dijual oleh pengedar tunggalnya, Unimo Enterprises. Tempahan model berkenaan sudah pun dibuka namun penghantaran kepada pelanggan pertama dijangka hanya bermula awal tahun hadapan.

    “Permintaan untuk SUV dan crossover sedang menyaksikan peningkatan di pasaran antarabangsa dan kami menjangkakan trend yang sama bagi Sri Lanka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises En Mahesh Gunathilake.

    Perodua Axia Style tiba di Sri Lanka – RM89,000

    “Perodua Axia Style baharu ini menawarkan penampilan crossover yang aktif dan bergaya dalam satu pakej yang kompak, cekap bahan api, boleh dipercayai dan memberikan nilai yang baik. Kami percaya rakyat Sri Lanka akan menyukai kenderaan ini,” ujarnya.

    Unimo Enterprises telah menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997. Barisan model mereka kini terdiri daripada Axia dan Bezza – sedan berkenaan diiktiraf sebagai sedan bawah 1.0 liter baharu yang terlaris di pasaran berkenaan.

    Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 – peningkatan 50% daripada 2,184 unit tahun lepas. Lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia setakat ini.

    Perodua Axia Style 2019

     
     
  • Toyota Raize Modellista dalam dua gaya berbeza

    Toyota Raize Modellista dalam dua gaya berbeza

    Makin menarik penawaran yang dibuat pada Toyota Raize. Selepas diperkenalkan secara rasmi minggu ini, model SUV kompak berkenaan kini ditampilkan pula dalam kit aksesori Toyota Modellista selepas versi penggayaan kit TRD yang turut diumumkan.

    Bagi versi Modellista ini, terdapat dua gaya ditawarkan, pertama dipanggil Advance Blast Style dan satu lagi dikenali sebagai Elegant Ice Style. Pilihan pertama menampilkan wajah depan yang unik dan dinamik bagi Raize – melibatkan spoiler depan dengan lampu LED bersepadu, skirting sisi dan skirting belakang.

    Sementara yang kedua pula hadir dengan gaya yang sedikit berbeza, walaupun melibatkan aksesori bahagian yang sama – spoiler depan, skirting sisi dan skirting belakang – namun tidak terlalu ketara seperti pada Advance Blast.

    Toyota Raize Modellista dalam dua gaya berbeza

    Kedua-dua gaya ini boleh disudahi dengan beberapa lagi kemasan untuk melengkapi imejnya – melalui Cool Shine Kit. Ia terdiri daripada spoiler belakang yang lebih menonjol, hujung muffler, aero plate di tepi pintu ruang barangan belakang serta kemasan krom pada gril depan dan sisi pintu/pintu belakang.

    Selain itu, pilihan rim juga ada dua. Yang pertama, 18-inci dua-tona dengan lima jejari dikenali X-Claw II, yang datang dengan tayar Falken Ziex ZR914F, yang di dalam gambar ini digunakan bersama kit Advance Blast. Satu lagi rim pula dalam saiz 16-inci seperti yang dilihat pada gaya Elegant Ice.

    Kemasan dalaman unik turut diperkenallkan untuk Raize, misalnya set kemasan panel kayu dalam warna kelabu atau coklat. Selain itu ada juga pilihan bagi set panel metalik, lengkap dengan pencahayaan LED biru. Sistem pencahayaan kabin juga boleh ditukar kepada unit LED. Bagi yang memilih kemasan kayu, ia juga datang dengan pelapik khas untuk ruang barangan belakang.

    Toyot Raize merupakan model rebadge kepada Daihatsu Rocky dengan sedikit perbezaan penampilan; model Daihatsu berkenaan baru saja diperkenalkan juga dalam minggu ini. Ia menggunakan paltform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan enjin 1.0 liter turbocas tiga-silinder yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan kotak gear D-CVT.

     
     
  • Hafizh Syahrin akan sertai Sepang 1000 km Endurance Race guna Toyota Vios 22 hingga 24 November ini

    Hafizh Syahrin akan sertai Sepang 1000 km Endurance Race guna Toyota Vios 22 hingga 24 November ini

    Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin akan berlumba buat pertama kali menggunakan jentera empat roda 22 hingga 24 November ini dalam siri perlumbaan Sepang 1000km (S1K) Endurance Race di Litar Antarabangsa Sepang. Ia boleh dianggap sebagai satu persediaan sebelum beliau berlumba pula dalam siri FIA World Touring Car Cup (WTCR) Disember nanti.

    Penyertaan Hafizh dalam perlumbaan ini adalah hasil kerjasama antara HI-REV dan SIC dalam inisiatif pembangunan bakat baru mereka, dan Hafizh akan menyertai pasukan HI-REV SIC Dream Chaser bersama dua pelumba muda lain iaitu Alister Yoong (anak kepada Alex Yoong) dan Bradley Benedict Anthony, 17 tahun.

    Pada tahun 2018, pasukan HI-REV SIC Dream Chaser telah dinobatkan sebagai pasukan tempatan terbaik, dan mereka juga turut menghantar beberapa lagi pasukan yang terdiri daripada Adam Khalid, Gilbert Ang dan Freddie Ang dalam kelas MTC S1K menggunakan Suzuki Swift dan Ady Rahimy serta Hayden Haikal dalam kelas SP2 menggunakan Suzuki Swift ZC32S.

     
     
  • Toyota Raize kini ditawarkan dengan aksesori TRD

    Toyota Raize kini ditawarkan dengan aksesori TRD

    Susulan dengan pelancaran Raize, Toyota turut memperkenalkan aksesori TRD sebagai penambah gaya yang lebih sporty bagi SUV baharu ini. Dengan dua warna utama iaitu hitam dan merah, kit badan TRD untuk Raize ini termasuklah sambungan bampar hadapan, skirt sisi, sambungan bampar belakang, kemasan gril hadapan, pelekat sisi dan pelekat tailgate.

    Menurut Toyota, bampar hadapan disambung sebanyak 38 mm dan mengurangkan jarak kelegaan tanah lebih kurang 56 mm, sementara untuk bampar belakang pula ditambah sehingga 5 mm dan jarak kelegaan tanah serta hujungnya dikurangkan sekitar 89 mm. Sementara itu, skirt sisi untuk Raize kini disambung ke bawah sehingga 61 mm berbanding standard. Di samping itu, kemasan bampar hadapan berwarna hitam diperbuat daripada PPE resin.

    Untuk pelekat sisinya pula ditampal berhampiran bawah hujung pintu, dan satu lagi turut diaplikasikan di bawah hujung tailgate, kedua-duanya diperbuat daripada polyvinyl chloride resin, sementara pelindung pemegang pintu yang menyerupai gentian karbon turut ditampilkan. Untuk bahagian dalamnya turut menerima aksesori TRD iaitu butang penghidup enjin, alas bagasi dan juga pelindung matahari dengan jenama TRD.


    Toyota juga telah menunjukkan aksesori TRD yang dipasang pada beberapa warna luaran pada Raize termasuk Shining White Pearl, Bright Silver Metallic, Black Mica Metallic, Natural Beige Mica Metallic, Mustard Yellow Mica Metallic, Fire Quartz Red Metallic Turqoise Blue Mica Metallic dan Laser Blue Crystal Shine.

    Untuk kemasan hitam yang kontras dengan bumbung diaplikasikan pada pilihan warna Shining White Pearl, Bright Silver Metallic dan Turquoise Blue Mica Metallic.

    Secara standard, Toyota Raize dijanakan oleh enjin 1.0 liter turbocharged tiga-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama kotak gear D-CVT. Raize dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan binaan monocoque dengan larasan suspensi topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang.

    GALERI: Toyota Raize