Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Isuzu D-Max 1.9L berjaya galas cabaran Borneo Safari

    Isuzu D-Max 1.9L berjaya galas cabaran Borneo Safari

    Walaupun kapasiti enjin yang kecil, Isuzu tidak teragak-agak untuk mempersiapkan unit D-Max 1.9L Blue Power untuk turut menjadi kenderaan pengangkut di dalam Borneo Safari 2019. Model berkenaan meneruskan tradisi untuk membuktikan bahawa ia mampu mengharungi apa saja cabaran sepanjang tempoh tujuh hari acara itu berlangsung. Isuzu Malaysia diiktiraf oleh penganjur acara sebagai peneraju yang inovatif dan diberikan anugerah khas kerana memperkenalkan kapsiti enjin yang paling rendah sekaligus lasak itu.

    Baru sahaja dilancarkan sebulan yang lalu, Isuzu D-Max 1.9 yang menyertai acara ini hanya sempat mencatatkan 200 km pada odometernya, sebelum dipandu untuk meneroka dan meredah permukaan hutan di Sabah sebagai kenderaan pengangkut untuk media dalam acara mencabar yang bermula dan berakhir di Kota Kinabalu.

    “Blue Monster” berkenaan hadir dengan kelengkapan standard, selain disesuaikan dengan ketinggian badannya yang ditambah untuk membolehkannya menggunakan tayar lumpur, penyerap hentak larasan panjang, snorkel, winch dan penampan lasak sebagai pelindung.

    Isuzu D-Max 1.9L berjaya galas cabaran Borneo Safari

    “Peminat-peminat off-road faham bahawa keseimbangan antara ketangkasan dan penyaluran kuasa adalah sangat penting ketika berdepan dengan laluan getir di dalam hutan. Dengan hantaran kuasa yang mengagumkan serta padanan transmisi enam-kelajuan, D-Max 1.9-liter Blue Power tidak segan untuk menyerlah dalam keadaan ekstrem itu, walaupun saiz enjinnya kecil,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Mayasuki Suzuki.

    Jentera “Blue Monster” ini menyertai unit “Red Monster”, “White Monster” dan “Black Monster” sebagai sebahagian daripada komitmen Isuzu Malaysia selaku penaja utama acara berkenaan yang telah menjadi penyokong utama acara berkenaan sejak 13 tahun lalu.

    Isuzu D-Max 1.9 liter menampilkan enjin 1,898 cc yang direka dengan tujuan untuk mempertingkatkan prestasi enjin serta ketahanannya. Ia merangkumi komponen enjin yang lebih ringan, sekaligus dapat mengurangkan geseran dan tekanan terhadap bahagian-bahagian terlibat. Sistem pengecas turbo Variable Geometry System (VGS) juga telah diberi kemaskini dan meningkatkan maklumbalas enjin, terutama ketika RPM rendah untuk memberikan respon enjin yang lebih baik kepada pemandu.

     
     
  • Mitsubishi Triton VGT AT Premium kini dengan dashcam, balutan kulit , Apple Carplay, Android Auto

    Mitsubishi Triton VGT AT Premium kini dengan dashcam, balutan kulit , Apple Carplay, Android Auto

    Pagi tadi ketika berlangsungnya pelancaran Mitsubishi Triton Quest facelift 2019, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa varian pertengahan barisan trak pikap mereka iaitu Triton VGT AT Premium kini diberikan berberapa peningkatan dari segi ciri yang ditawarkan.

    Kini, model tersebut menerima berberapa kelengkapan yang sama seperti model varian tertinggi Adventure X antaranya tempat duduk balutan kulit serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh yang diberikan sokongan aplikasi Apple Carplay dan Android Auto. Model ini juga kini hadir standard dengan kamera perakam hadapan (dashcam).

    Dengan kesemua peralatan tambahan ini, Mitsubishi Triton VGT AT Premium dijual pada harga atas jalan RM118,600, atau RM2,400 lebih mahal dari sebelumnya.

    Mitsubishi Triton VGT AT Premium kini dengan dashcam, balutan kulit , Apple Carplay, Android Auto

    Kesemua varian Triton kecuali model asas Triton Quest dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, bersama sistem 4X4. Juga selain model Quest dan MT Premium, model-model dengan transmisi automatik menerima kotak gear enam-kelajuan bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II sebelum itu.

    Namun hanya versi tertinggi Triton Adventure X diberikan sistem Super Select 4WD II yang memberikan gear Lock-up (4HLc dan 4Llc) yang boleh ditukar semasa kereta bergerak di bawah 100 km/j, serta kawalan menurun bukit. Manakala varian 4X4 lain masih diberikan sistem Easy Select 4WD yang membolehkan anda menukar dari gear 2H ke 4H atau sebaliknya juga ketika bergerak di bawah kelajuan 100 km/j.

    Mitsubishi juga telah mengumumkan berberapa peningkatan terhadap model tertinggi tersebut, antaranya kamera pemantau sekeliling, dashcam, pelekat sisi badan dan juga filem penapis solar/keselamatan – dijual pada harga RM135,200 atau RM2,700 lebih mahal dari sebelum itu. Perincian berkenaan Triton Adventure X yang ditambah baik tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Hyundai Grandeur 2020 facelift guna gril lebih besar

    Hyundai Grandeur 2020 facelift guna gril lebih besar

    Hyundai Grandeur (juga dikenali sebagai Azera di beberapa pasaran lain) sudah berada di pasaran Korea selama tiga tahun, dan sekarang ia diberi facelift untuk memastikannya terus segar. Perubahan paling jelas adalah muka hadapan, yang kini lebih agresif dengan gril yang besar.

    Muka ini sebenarnya pernah diguna pada model konsep Le Fil Rouge, tetapi Grandeur menjadi model produksi pertama yang menggunakannya. Gril tersebut mempunyai corak berlian, dan bentuk sama turut digunakan dalam bahagian lampu. Bentuk bukaan udara pada bampar juga direka semula dengan menggunakan bentuk X.

    Bahagian tepi juga mempunyai perubahannya, di mana garis badan atas ditarik sampai ke pemegang pintu belakang, manakala satu lagi garis di atas roda belakang dijadikan lebih tinggi. Lampu belakang ditukar menjadi lebih nipis dan menyala penuh dari kiri hingga kanan.

    Hyundai Grandeur 2020 facelift guna gril lebih besar

    Panjang keseluruhan kereta sedan ini juga telah ditambah sebanyak 60 mm, untuk menjadi 4,990 mm. Daripada jumlah ini, 40 mm adalah tambahan untuk jarak roda sementara lebarnya juga bertambah 10 mm. Melalui Grandeur baru ini Hyundai menjanjikan bahagian dalam antara yang terbaik dalam kelasnya.

    Beberapa bahagian pada papan pemuka turut diubah termasuk corong pendingin hawa serta skrin infotainmen yang lebih besar – 12.3 inci. Pendingin hawa boleh dikawal melalui skrin sesentuh baru. Ciri baru lain yang diberikan pada kereta ini adalah termasuk sistem pembersihan udara, kamera titik buta, Safe Exit Assist, Remote Parking Assist dan Autonomous Emergency Braking yang telah dikemas kini.

    Di Korea, Grandeur ditawarkan dalam pilihan empat enjin termasuk unit petrol 2.5 liter Smartstream G baru, V6 3.3 liter 290 hp, hibrid yang menggunakan padanan enjin 2.4 liter MPI dan motor elektrik 35 kW, serta model LPG dengan enjin 3.0 liter.

     
     
  • Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak low rider 4×2

    Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak low rider 4×2

    Mitsubishi Triton Quest (atau Triton Lite sebelum ini) biasanya menjadi pilihan pengguna yang mahukan sebuah trak pikap untuk ‘dibelasah’ bagi tujuan kerja-kerja komersil. Namun oleh kerana harganya yang jauh lebih murah dari Triton biasa (ia hadir ‘kosong’ tanpa apa-apa ciri fancy), lebih rendah dan juga hanya memacu roda belakang (4X2), model ini juga sering dipilih untuk projek-projek modifikasi.

    Anda boleh lihat kehadiran banyak trak-trak pikap low rider berkenaan digunakan di litar lumba atau litar Drag di Thailand (dan telah menular di Malaysia akhir-akhir ini), serta kehadirannya dalam pelbagai acara autoshow atau perhimpunan-perhimpunan kereta-kereta ubahsuai.

    Jadi menyedari potensi tersebut, ketika pelancaran Mitsubishi Triton Quest facelift 2019 hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut mempamerkan sebuah Triton Quest dengan muka Dynamic Shield yang telah diberikan pelbagai aksesori aftermarket.

    Mitsubishi Triton Quest 2019 – model dengan aksesori dipamer, tunjuk potensi ubahsuai trak low rider 4×2

    Tiada pengubahsuaian suspensi dibuat pada trak pikap ini, namun hanya dengan menggunakan rim Advanti 18-inci lima-jejari berkembar dua-ton, bersama tayar All-Terrain Toyo Open Country bersaiz 235/60R18, ia sudah pun nampak begitu menarik.

    Kemudian bed belakang yang terbuka ditutup dengan penutup bed jenis roller shutter, manakala kesemua tingkap diberikan door visor. Ia turut diberikan penutup lampu belakang dan spoiler bumbung dengan saiz besar dan sudut yang agak ‘congek’ bagi melengkapkan rupa agresifnya.

    Walau bagaimanapun, tiada pengubahsuaian diberikan pada bahagian dalaman, enjin serta aspek mekanikal dibuat. Mitsubishi Triton Quest 2019 hadir dengan ciri-ciri seperti paparan pelbagai info pada papan meter dengan bacaan-bacaan asas seperti penggunaan purata bahan api dan juga pengingat servis serta pemain utama 2-Din yang boleh memainkan CD serta sokongan hubungan Bluetooth.

    Model ini juga dilengkapi dengan Electronic Time and Alarm Control System (ETACS), bersama fungsi seperti isyarat membelok untuk menukar lorong, pemasa tingkap berkuasa, lampu hadapan mati sendiri, pengunci semula automatik, pengelap cermin dengan pemasa kelajuan automatik dan juga penangguh 15-saat lampu kabin selepas kereta dimatikan.

    Kit keselamatan juga agak asas, terdiri dari dua beg udara serta brek dengan sistem ABS dan EBD. Triton Quest juga hanya boleh dibeli dalam Pearl White. Penderia parkir turut diberikan tetapi hanya pada bahagian belakang.

    Berbanding versi lebih tinggi yang dijana enjin baharu 2.4 liter MIVEC turbodiesel, Triton Quest yang jauh lebih mampu milik berharga RM79,890 (dalam keadaan standard, bukan diberikan aksesori seperti ini) tersebut hanya dikuasakan oleh enjin 2.5 liter commonrail turbodiesel tanpa sistem VGT. Enjin berkenaan menghasilkan 110 PS dan tork maksima 200 Nm bermula 2,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang hanya memacu roda belakang.

     
     
  • McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

    McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

    Ini adalah Elva, kereta keluaran McLaren yang didakwa sebagai kereta jalanan mereka yang paling ringan, dan juga kereta jalanan dengan kokpit terbuka yang pertama keluaran mereka. Elva dibina atas casis dan badan gentian karbon khas, dan tidak mempunyai bumbung, cermin hadapan serta tingkap. Satu-satunya cara untuk melindungi anda daripada angin dan elemen luar lain semasa memandu adalah pengurusan angin yang tersendiri.

    Nama Elva itu datang daripada McLaren-Elva M1A, yang merupakan sebuah kereta lumba dengan berat hanya 551 kg, dan digunakan dalam perlumbaan Canadian Sports Car Grand Prix pada tahun 1964. Gelaran sebagai kereta jalanan McLaren paling ringan mungkin membawa makna Elva baru ini lebih ringan daripada McLaren F1 yang mencatat 1,138 kg, tetapi McLaren sendiri masih tidak mendedahkan beratnya yang sebenar.

    Elva menggunakan enjin yang sama seperti Senna dan Senna GTR (kegunaan litar sahaja), iaitu unit V8 4.0 liter biturbo. Kalau dibandingkan dengan Senna, Elva tidak mempunyai banyak panel aerodinamik yang menghaslikan daya tolakan ke bawah (downforce), tetapi ia menggunakan Active Air Management System (AAMS), yang dikatakan oleh McLaren sebagai pertama di dunia.

    McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

    Sistem ini menyampaikan udara melalui bahagian hadapan Elva untuk keluar ke bahagian atas pada halaju tinggi, dan melalui bahagian atas kokpit untuk menghasilkan gelembung yang tenang pada kabin. Pada bahagian atas bonet terdapat panel gentian karbon yang boleh naik dan turun untuk menghasilkan zon tekanan rendah. Membantu lagi sistem AAMS ini, radiator diletakkan di hadapan roda depan.

    Walaubagaimanapun, Elva masih didatangkan dengan pilihan cermin hadapan, dan diberitahu telah lulus proses homologasi untuk pelbagai pasaran utama. Enjinnya boleh menghasilkan 815 PS dan 800 Nm tork, sekaligus mampu memberikan prestasi 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat dan 0-200 km/j dalam masa 6.7 saat. Ini adalah lebih pantas berbanding Senna biasa.

    Kuasa daripada enjin ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, manakala suspensi pula diambil daripada kereta Super Series dan Ultimate Series, dengan unit sambungan hidraulik dan perisian khas untuk injap penyerap dan spring.

    McLaren Elva – kuasa 815 PS, cermin depan jual asing

    Kesemua roda Elva dipasang dengan brek cakera sintered carbon-ceramic berukuran 390 mm yang lebih kuat dan mudah sejuk, sementara stereng pula menggunakan bantuan electro-hydraulic. Suis pilihan mod diletakkan lebih dekat pada pedal penukar gear di stereng, sekaligus pemandu tidak perlu mengalihkan tangan jika mahu menukarnya. Sebagai tambahan kepada Variable Drift Control, pemandu juga boleh melaras tiga tahap kawalan cengkaman.

    Skrin sesentuh lapan inci yang terletak di tengah papan pemuka bertindak sebagai hab untuk semua fungsi kenderaan, sementara sistem infotainmen pula telah dikemas kini untuk membolehkan penggunaan beberapa aplikasi pada masa sama seperti navigasi, telemetri litar, kamera undur serta kawalan pendingin hawa.

    Pengeluaran Elva yang juga adalah roadster Ultimate Series pertama bagi McLaren adalah terhad kepada 399 unit sahaja dan ia dijual pada harga bermula £1,425,000 (RM7,610,226) tidak termasuk barangan pilihan dan pelbagai cukai lain.

     
     
  • Petronas Auto Expert perkukuh kedudukan di Lembah Klang, kini tujuh cawangan beroperasi sepenuhnya

    Petronas Auto Expert perkukuh kedudukan di Lembah Klang, kini tujuh cawangan beroperasi sepenuhnya

    Petronas Auto Expert, rangkaian pusat servis automotif yang dibangunkan oleh Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) yang mula dilancarkan April lalu kini semakin berkembang pesat.

    Setakat November 2019, sebanyak tujuh (7) cawangan telah beroperasi sepenuhnya. Bagaimanapun, Fasa 1 projek berkenaan masih menumpukan kawasan Lembah Klang sebagai perintis dan berhasrat mengembangkannya ke seluruh negara dalam masa terdekat.

    “Petronas sangat membantu di dalam pelan jangka panjang kami di bidang servis automotif. Jualan kami telah melonjak sebanyak lebih 120% berbanding sebelum Petronas Auto Expert menjadi jenama utama pusat servis kami di Shah Alam.

    Petronas Auto Expert perkukuh kedudukan di Lembah Klang, kini tujuh cawangan beroperasi sepenuhnya

    “Maklum balas dari pelanggan sedia ada dan baru memberi petunjuk bahawa konsep pusat servis Petronas Auto Expert ini berdaya saing serta berpotensi untuk berkembang maju. Tunjuk ajar dan kerjasama dari pasukan projek khas Auto Expert di PLMMSB sangat membantu,” jelas Muhamad Eezam Masripan, seorang pengusaha kepada tiga cawangan Petronas Auto Expert.

    Di Petronas Auto Expert, pelanggan dijamin akan menerima perhatian sepenuhnya dari pakar mekanik terlatih serta penggunaan alatan teknologi terkini dari awal diagnosis, penukaran minyak pelincir, pemeriksaan brek dan sebagainya.

    Berikut cawangan Petronas Auto Expert sehingga November 2019:

    1. PETRONAS Auto Expert Shah Alam Seksyen 15
    No 43, Jalan 15/23, Seksyen 15,
    Tiong Nam Industrial Park,
    40200 Shah Alam, SELANGOR
    Tel : 018-242 4680

    2. PETRONAS Auto Expert Seri Kembangan
    No 1, Jalan BPP 5/2,
    Pusat Bandar Putra Permai,
    43300 Seri Kembangan, SELANGOR
    Tel : 019-272 6262

    3. PETRONAS Auto Expert Sri Manja
    No 1, Jalan Sri Manja 12,
    Taman Sri Manja,
    46000 Petaling Jaya, SELANGOR
    Tel : 016-318 3155

    4. PETRONAS Auto Expert Sri Batu Caves
    No 20, Jalan SBC5,
    Taman Sri Batu Caves,
    68100 Batu Caves, SELANGOR
    Tel : 016-350 4752

    5. PETRONAS Auto Expert Semenyih
    No 4G, 6G & 8G, Jalan 5/11,
    Bandar Rinching,
    43500 Semenyih, SELANGOR
    Tel : 017-266 5449

    6. PETRONAS Auto Expert Kajang
    No 23G, Jalan Putra 2,
    Taman Putra Kajang,
    43000 Kajang, SELANGOR
    Tel : 014-668 8387

    7. PETRONAS Auto Expert Bandar Bukit Raja
    No 7-1A, Persiaran Astana,
    Bandar Bukit Raja,
    41050 Klang, SELANGOR
    Tel : 012-904 4584

     
     
  • Mazda 2 facelift versi sedan diperkenalkan di Mexico

    Mazda 2 facelift versi sedan diperkenalkan di Mexico

    Mazda 2 facelift mula didedahkan Julai lalu, tapi baru sekarang versi sedannya muncul, yang diperkenalkan untuk pasaran Mexico. Sama seperti versi hatchback, sedan ini juga menampilkan perubahan yang agak banyak, serta pernambahbaikan lainnya yang menarik.

    Antara perubahan ketara ialah wajah depan kereta ini, di mana ia dipengaruhi sebahagian besarnya oleh rekaan gril Kodo yang hadir dengan kemasan krom yang lebih kurus di bawah lampu utama. Bukaan udara di bawahnya pula diapit oleh jalur krom, meminjam pendekatan yang sama dari Mazda 6.

    Bahagian belakang bahagaimanapun kekal menggunakan lampu bulb. Tetapi, bampar menerika rekaan baru yang lebih segar, dengan tambahan hiasan ruang udara disudutnya. Rim paling besar sebagai pilihan, 16-inci juga diberikan rekaan baru.

    Mazda 2 facelift versi sedan diperkenalkan di Mexico

    Di dalam, ada pilihan kemasan dan warna baru diberikan. Tidak lupa, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto bagi sistem infotainmen Mazda Connect serta tempat duduk dengan rekaan baru. Tidak dapat dipastikan setakat ini sama ada kereta ini turut menerima penambahbaikan suspensi dan penebat bunyi seperti versi hatchback di Jepun.

    Model untuk pasaran Mexico ini menggunakan enjin sedia ada, unit 1.5 liter Skyactiv-G NA dan suntikan terus dengan empat-silinder yang menghasilkan 110 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Angka ini sedikit berkurang jika dibandingkan dengan model yang ada di Malaysia. Pilihan kotak gear di sana terdiri daripada manual dan automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Mitsubishi Triton Quest 2019 dilancarkan di M’sia – RM 79,890, muka Dynamic Shield, 2.5L turbodiesel 4×2

    Mitsubishi Triton Quest 2019 dilancarkan di M’sia – RM 79,890, muka Dynamic Shield, 2.5L turbodiesel 4×2

    Ketika Mitsubishi melancarkan trak pikap Triton 2019 pada awal tahun ini, kesemua variannya menerima muka baharu Dynamic Shield, kecuali versi khas yang digunakan hanya untuk tujuan bekerja iaitu Triton Quest yang tidak menerima apa-apa pembaharuan. Hari ini, jenama ‘Tiga Berlian’ berkenaan melancarkan Triton Quest 2019 yang dikemaskini dengan muka baharu serta pelbagai peningkatan lain.

    Mitsubishi menyifatkan Triton Quest baharu ini sebagai “hadir dengan rekaan bergaya menampilkan rupa luar seperti ‘sedan'”, dan ia kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM79,890. Seperti model lain, versi Quest ini juga turut diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Walau bagaimanapun, Triton Quest masih tidak diberikan enjin baharu 2.4 liter MIVEC turbodiesel seperti kesemua varian lain, dan ia kekal dijana oleh enjin 2.5 liter commonrail turbodiesel tanpa sistem VGT. Enjin berkenaan menghasilkan 110 PS dan tork maksima 200 Nm bermula 2,000 rpm.

    Mitsubishi Triton Quest 2019 dilancarkan di M’sia – RM 79,890, muka Dynamic Shield, 2.5L turbodiesel 4×2

    Transmisi juga masih kekal dengan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang hanya memacu roda belakang (4×2). Menurut Mitsubishi, Triton Quest mempunyai radius pusingan stereng terbaik dalam kelasnya iaitu 5.7 meter.

    Triton Quest direka lebih rendah dari varian lain – kerana ia adalah sebuah trak yang dibina khas hanya untuk kerja, dan dengan bed yang rendah memudahkan anda untuk mengisi barang yang besar dan berat ke bed belakang. Mitsubishi turut mendakwa bahawa bed belakang Triton Quest ini adalah yang paling besar dalam kelasnya, dan ia mampu menggalas beban maksima 970 kg termasuk penumpang.

    Model ini dilengkapi dengan Electronic Time and Alarm Control System (ETACS), bersama fungsi seperti isyarat membelok untuk menukar lorong, pemasa tingkap berkuasa, lampu hadapan mati sendiri, pengunci semula automatik, pengelap cermin dengan pemasa kelajuan automatik dan juga penangguh 15-saat lampu kabin selepas kereta dimatikan.

    Mitsubishi Triton Quest 2019 dilancarkan di M’sia – RM 79,890, muka Dynamic Shield, 2.5L turbodiesel 4×2

    Ia juga menerima paparan pelbagai info pada papan meter dengan bacaan-bacaan asas seperti penggunaan purata bahan api dan juga pengingat servis. Untuk hiburan, ia dilengkapi dengan pemain utama 2-Din yang boleh memainkan CD serta sokongan hubungan Bluetooth.

    Kit keselamatan juga asas iaitu dua beg udara serta brek dengan sistem ABS dan EBD. Triton Quest juga hanya boleh dibeli dalam Pearl White. Penderia parkir turut diberikan tetapi hanya pada bahagian belakang.

    Ketika pelancaran ini, Mitsubishi Malaysia turut mengumumkan berberapa penammbahbaikkan kepada varian Triton lain. Model tertinggi Triton Adventure X kini diberikan kamera pemantau sekeliling, dashcam, pelekat sisi badan dan juga filem penapis solar/keselamatan. Model Triton AT Premium pula kini hadir bersama dashcam, tempat duduk balutan kulit dan juga skrin sesentuh untuk sistem infotaimen yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S EyeSight – SUV urban yang tidak kekok ketika di laluan off-road

    PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S EyeSight – SUV urban yang tidak kekok ketika di laluan off-road

    Masalah dengan Subaru Forester 2019 ialah, jika mata anda tidak terbiasa untuk melihat perbezaan atau pembaharuannya, ia akan kelihatan sangat mirip dengan model versi sebelum itu. Padahal, ini merupakan model serba baru, dan bukannya model facelift. Reka bentuk umumnya masih tidak jauh berbeza, tetapi mekanikal dalaman sebenarnya telah “disalin” habis.

    Diperkenalkan Ogos lalu untuk pasaran Malaysia, model generasi kelima ini telah beralih daripada penggunaan platform yang sama dengan Impreza sebelum ini dan digantikan dengan Subaru Global Platform (SGP) – ada bahagian-bahagian pada platform terbaru ini 40% hingga 100% lebih kukuh berbanding platform lama. Ia sekaligus menjadikannya lebih terarah untuk disesuaikan sebagai sebuah SUV yang selayaknya, dan ingin lari lebih jauh daripada susur galur warisannya yang datang dari sebuah wagon, seperti yang kita lihat pada Forester beberapa generasi yang awal.

    Bukan platform saja yang ditukar, malahan enjin dan transmisinya juga baru. Kekal dengan kapasiti sama, enjin 2.0 liter suntikan terus naturally-aspirated empat-silinder yang ada ini merupakan unit yang menampilkan 80% daripada bahagian enjinnya yang telah direka semula. Ia kini menghasilkan sebanyak 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Perodua tawar pemilik kereta jenamanya memandu di Sepang dengan hanya RM20 sempena KCar Global

    Perodua tawar pemilik kereta jenamanya memandu di Sepang dengan hanya RM20 sempena KCar Global

    K-Car adalah segmen yang dibuat khas oleh kerajaan Jepun bagi menggalakkan pengeluar automotif dari negara berkenaan untuk menghasilkan kereta kecil mampu milik untuk rakyatnya, dan diberikan potongan cukai dan insuran istimewa untuk kereta yang dihasilkan dengan dimensi 3.4 meter panjang dan 1.48 meter lebar.

    Namun tahukah anda setiap dua tahun, pemilik-pemilik hardcore K-Car dari Jepun malah seluruh dunia akan ke litar Sepang untuk berlumba dalan satu perlumbaan endurance 24-jam yang dikenali sebagai KCar Global (sebelum ini dikenali sebagai K4GP)?

    Sempena KCar Global 2019 yang akan berlangsung di Sepang pada hujung minggu ini, bapa pembangunan K-Car di Malaysia iaitu Perodua menawarkan pemilik-pemilik kereta jenamanya untuk membelasah jentera mereka di litar berkenaan dengan yuran serendah hanya RM20!

    Perodua tawar pemilik kereta jenamanya memandu di Sepang dengan hanya RM20 sempena KCar Global

    Perodua Kancil Go Daddy Motorsport juara Kcar Global 2017 kelas M3 yang turut akan berlumba di KCar Global 2019 nanti

    Tetapi jika anda pengguna tegar aplikasi UFirst Perodua, yuran tersebut akan menjadi lebih rendah kerana anda hanya perlu membayar RM10 dan menebus 1000 koin Ufirst bagi menyertai ‘track day‘ ini. Malah jika anda mempunyai 10,000 koin UFirst, yuran penyertaan adalah percuma!

    Sesi ini akan berlangsung pada 16 November 2019, pukul 8 pagi di litar berkenaan. Pada pagi tersebut, para pelumba yang menyertai perlumbaan KCar Global sebenar turut akan melakukan ujian rasmi mereka, sebelum bermulanya perlumbaan 24-jam itu pada pukul 12 tengah hari.

    Macam mana nak sertai? Lawati laman rasmi Perodua UFirst pada PAUTAN INI dan ikut langkah-langkah yang diberikan. Ingat senang ke nak dapat peluang pandu kereta di litar Sepang ini dengan yuran serendah RM20? Jadi untuk pemilik Perodua yang berminat, jangan berlengah lagi kerana ia hanya terhad kepada 100 peserta dan tarikh tutup permohonan adalah pada 15 November (esok) pada pukul 3 petang!

     
     
  • Honda Dash 125 diberi penampilan baru – dari RM6k

    Honda Dash 125 diberi penampilan baru – dari RM6k

    Selepas lebih satu tahun berada di pasaran, Honda Dash 125 disegarkan semula dengan grafik serta pilihan warna baru yang terdiri daripada Clipper Yellow, Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Repsol Edition.

    Sama seperti model yang dilancarkan Julai tahun lalu, Dash 125 ini didatangkan dalam tiga versi iaitu yang menggunakan brek cakera depan sahaja pada harga RM5,999, yang menggunakan brek cakera depan dan belakang berharga RM6,299 manakala Edisi Repsol pada harga RM6,499 (brek cakera depan dan belakang).

    Satu lagi bahagian yang dinaik taraf adalah lampu, di mana semua versi Dash 125 sekarang menggunakan lampu depan jenis LED. Bahagian lain semuanya masih sama termasuklah enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 124.89 cc SOHC serta padanan kotak gear empat kelajuan.

    Perincian lain Dash 125 adalah termasuk tangki bahan api 4.0 liter, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, penghidup enjin elektrik dan tendang, berat antara 103 hingga 105 kg dan kuasa sebanyak 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Semua harga yang dinyatakan adalah tidak termasuk insurans, dan motosikal ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Ia juga sudah berada di wakil pengedar motosikal Boon Siew Honda.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Kia Picanto 1.2L GT Line 2019

    Sejauh mana Kia Picanto 1.2L GT Line 2019 ini berbaloi? Saiz dalam segmen A kompak, tetapi harga dalam segmen B. Untuk siapa model ini sesuai? Kami cuba menjawab semua pertanyaan di dalam video ini. Kia Picanto sejak awal menjadi pilihan lain yang agak menarik bagi mereka-mereka yang mencari kereta dalam segmen A dan juga B.

    Secara visual, varian GT-Line hadir dengan kelainan rekaan pada bampar depan dan belakang – lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dan dibalut tayar 195/45. Lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling badan dan juga dua muncung ekzos di belakang.

    Model ini menggunakan enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan. Kia Picanto GT-Line ini juga ada dilengkapi dengan ciri brek kecemasan automatik (AEB). Selain itu, ia turut hadir dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, ABS dan bantuan mula mendaki (HSA).

    Untuk penelitian lanjut, tonton video yang kami sediakan ini dan lihat sejauh mana penawaran pada Kia Picanto 1.2L GT Line dengan harga RM59,888 ini mampu memenuhi atau menepati keperluan anda.

     
     
  • Kasma Daniel lumba Moto2 dengan pasukan ONEXOX TKKR SAG bermula 2020, kontrak selama tiga tahun

    Kasma Daniel lumba Moto2 dengan pasukan ONEXOX TKKR SAG bermula 2020, kontrak selama tiga tahun

    Tahun depan, kita bakal menyaksikan tiga pelumba negara berlumba dalam kejuaraan dunia MotoGP iaitu Hafizh Syahrin dalam kategori Moto2, Khairul Idham Pawi dalam kategori Moto3, dan terbaru, Kasma Daniel Kasmayuddin, juga dalam kategori Moto2.

    Kasma baru sahaja menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan pasukan ONEXOX TKKR SAG Team untuk berlumba dalam Moto2 bermula tahun hadapan dan berkemungkinan besar beliau masuk menggantikan Tetsuta Nagashima yang digandingkan dengan Remy Gardner dalam pasukan itu.

    Kasma Daniel lumba Moto2 dengan pasukan ONEXOX TKKR SAG bermula 2020, kontrak selama tiga tahun

    Nama Kasma yang kini berumur 19 tahun bukan lagi asing dalam dunia perlumbaan motosikal, terutamanya Cub Prix dan Asia Road Racing, dan pada tahun 2019 ini beliau berlumba dalam Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team. Walaupun masih seorang rookie, setakat ini beliau berjaya mendapat kedudukan ke-10 secara keseluruhan.

    Selain daripada kategori Moto2 dalam kejuaraan MotoGP, ONEXOX TKKR SAG Team juga mempunyai pasukan di dalam perlumbaan Malaysia Cub Prix, Asia Road Racing Championship dan Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV). Antara pelumba yang mereka gunakan adalah termasuk Azlan Shah, Ramdan Rosli, Farid Badrul Hisham, Ali Andriansyah Rusmiputro, Fakhrusy Syakirin Rostam, Khairul Ikhwan Ajis, Muzakkir Mohamed, Nazirul Izzat Bahauddin, Ahmad Fazli Sham dan Faiz Zekri Sabri.

     
     
  • Volvo XC90 facelift dilancarkan di M’sia – model T8 terima bateri hibrid 11.6 kWj, jarak gerak elektrik 50 km

    Volvo XC90 facelift dilancarkan di M’sia – model T8 terima bateri hibrid 11.6 kWj, jarak gerak elektrik 50 km

    Setelah didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Februari lalu, kini SUV Volvo XC90 facelift 2020 secara rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Model ini bukan sahaja mendapat penyegaran dari segi rupa, malah ia turut menerima sedikit perubahan pada unit janakuasa.

    Pada bahagian luaran, gril hadapan sedikit berubah dengan rekaan melengkung kedalam. Sekali tengok, bampar hadapan XC90 ini adalah sama seperti model sebelumnya, tetapi ia sebenarnya menerima sentuhan semula pada bahagian lip bawah dan kini menerima lebih kemasan krom. Versi ini juga diberikan dengan rim rekaan baharu.

    Dalam kabin, rupanya juga hampir tidak berubah. Ketika diperkenalkan, Volvo menyatakan versi baharu ini boleh tampil dengan enam konfigurasi tempat duduk, namun untuk pasaran Malaysia ia kekal dengan tujuh-tempat duduk. Model tertinggi T8 Inscription pula diberikan tombol penukar gear kristal Orrefors dengan rekaan baharu.

    Volvo XC90 facelift dilancarkan di M’sia – model T8 terima bateri hibrid 11.6 kWj, jarak gerak elektrik 50 km

    Walau bagaimanapun, versi facelift pasaran Malaysia ini tidak menerima unit janakuasa T8 Twin Engine plug-in Hybrid dengan kuasa keseluruhan 420 hp seperti yang didedahkan sebelumnya, dan kita kekal dengan versi berkuasa 407 hp/640 Nm.

    Tetapi ia masih menerima bateri Lithium-ion berkapasiti 11.6 kWj, meningkat dari 10.4 kWj sebelum ini. Dengan bateri baru berkenaan, XC90 T8 kini boleh dipandu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan sejauh 50 km, atau 15% lebih jauh dari versi lama.

    Model kemaskini pasaran Malaysia ini juga menampilkan teknologi pengecasan semula brek-menerusi-wayar, tetapi sistem KERS tidak disertakan sekali.

    Volvo XC90 facelift dilancarkan di M’sia – model T8 terima bateri hibrid 11.6 kWj, jarak gerak elektrik 50 km

    Tiga varian boleh dipilih bagi pasaran tempatan iaitu versi tertinggi T8 Twin Engine Inscription Plus berharga RM409,888, model pertengahan T8 Twin Engine Inscription berharga RM399,888, dan model asas tanpa sistem hibrid T5 Momentum berharga RM373,888 – kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan harga untuk kesemua model ini dilihat tidak berubah dari sebelumnya.

    Untuk peringkat global, Volvo juga telah memperkenalkan model XC90 dengan sistem hibrid ringkas, diberikan siri baharu ‘B’ iaitu B5 dan B6, tetapi kedua-dua versi ini tidak ditawarkan pada pasaran Malaysia.

    Senarai kelengkapan untuk versi 2019 ini juga dilihat tidak berubah, tetapi untuk model T5 Momentum yang dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 254 hp/350 Nm, ia kini diberikan sistem pendingin hawa empat zon bersama liang penghembus pada tempat duduk baris ketiga.

    Volvo XC90 facelift dilancarkan di M’sia – model T8 terima bateri hibrid 11.6 kWj, jarak gerak elektrik 50 km

    Sistem informasi papan tanda jalan juga hadir pada model baharu ini, manakala glove box dengan fungsi penyejuk kini diberikan standard untuk semua varian. Sistem brek kecemasan automatik City Safety dan Sistem Informasi Titik Buta pula kini ditingkat taraf dengan pemadanan fungsi bantuan stereng.

    Juga seperti model sebelumnya, model T8 turut hadir sengan sistem suspensi udara, paparan head-up, sistem navigasi, kemasan krom luaran dan kunci dengan pembalut kulit Nappa untuk model Inscription, rim 20-inci bersama tayar 275/45R20 dan kit pembaikan tayar (tayar 235/55R19 dengan tayar gantian sementara pada T5), Lampu Membelok Aktif (lampu LED dengan sistem high beam aktif standard untuk semua varian) serta pembersih lampu hadapan.

    Model T8 juga akan menerima tempat duduk balutan kulit Nappa bersama tempat duduk hadapan diberikan sokongan sisi kawalan berkuasa, kemasan kayu Linear Walnut, balutan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, pakej pencahayaan dalaman ‘tahap tinggi dan karpet Inscription.

    Versi paling berkuasa ini juga disertakan dengan sistem bantuan parkir Park Assist Pilot (untuk parking selari dan berserenjang), kamera pemantau sekeliling 360 darjah (T5 hanya kamera belakang) liang konsol terowong untuk tempat duduk baris kedua (liang pada tiang-B adalah standard untuk semua) dan juga bumbung panaromik.

    Bagi membezakan Inscription dan Inscription Plus pula, model yang lebih mahal RM10k berkenaan dibekalkan dengan sistem audio Bowers & Wilkins berkuasa 1400 W bersama 19-pembesar suara. Dua model lebih rendah pula dilengkapkan dengan sistem bunyi berkuasa 330W bersama 10-pembesar suara.

     
     
  • Kawasaki sah sedang bangunkan motosikal elektrik

    Kawasaki sah sedang bangunkan motosikal elektrik

    Sebelum ini ia cuma satu khabar angin, tapi sekarang Kawasaki sendiri sudah mengesahkan sedang membangunkan sebuah motosikal elektrik dan satu video yang menunjukkan pembangunan awalnya disiarkan. Selain daripada itu, Kawasaki juga ada membawa sebuah rangka motosikal yang dipasang dengan motor elektrik ke pameran EICMA 2019.

    Sudah tentu, sekarang ini masih terlalu awal untuk mereka mendedahkan perincian teknikal motosikal ini, dan di dalam video kita cuma boleh menyaksikan apa yang dibuat oleh Kawasaki dalam proses pembangunan seperti ujian dalam litar.

    Mereka juga memberitahu pelbagai benda yang sedang dikaji, termasuk pakej keseluruhan, geometri casis, transmisi serta penggunaan satu lagi tuil tambahan di bahagian kiri yang boleh ditekan menggunakan ibu jari, untuk sistem penjanaan semula kuasa brek.

    Motosikal yang digunakan dalam ujian ini mempunyai bentuk sebuah model Ninja, tapi kita tahu bentuk ini sememangnya masih jauh berbanding model produksi. Walau apa pun, Kawasaki mahu menjadikan motosikal elektrik ini seronok ditunggang dan mereka telah melengkapkannya dengan gear – bukan seperti kebanyakan motosikal elektrik yang menggunakan transmisi automatik.

    Jurutera Kawasaki yang berada dalam video ini turut memberitahu bahawa motosikal elektrik ini menggunakan unit kuasa generasi seterusnya, bersama teknologi supercharger yang telah mereka bangunkan sejak tahun 2000. Maksud sebenar ayat ini masih tidak diketahui, tapi agak menarik untuk melihat produk akhirnya nanti.

     
     
  • Honda Civic hatch facelift dilancar di Thai – RM168k hanya varian 1.5 RS, dilengkapi Honda Sensing

    Honda Civic hatch facelift dilancar di Thai – RM168k hanya varian 1.5 RS, dilengkapi Honda Sensing

    Setahun selepas model facelift untuk sedan Honda Civic generasi ke-10 dilancarkan di Thailand, kini negara berkenaan menerima model facelift bagi versi hatchback pula. Model dengan but lebih pendek tersebut dijual hanya dalam satu varian di negara itu iaitu Civic hatchback 1.5 RS, boleh dimiliki dengan harga 1.229 juta baht (RM167,871).

    Model ini menerima penyegaran minimal pada bahagian luaran sama seperti sedan, menampilkan bampar hadapan dan belakang baharu, dan juga elemen hitam berkilat pada gril dan kemasan-kemasan pada bampar. Versi hatchback ini juga menerima tip ekzos berkembar (tiga pada model Type R) pada bahagian tengah bampar, berbeza dengan model sedan yang terletak pada setiap sisi.

    Diffuser pada bampar belakang juga kini berwarna hitam berkilat, manakala rim pula masih kekal dengan saiz 17-inci tetapi diberikan rekaan baharu, dibaluti tayar 215/50R17.

    Honda Civic hatch facelift dilancar di Thai – RM168k hanya varian 1.5 RS, dilengkapi Honda Sensing

    Model facelift ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Kelengkapan keselamatan lain yang turut dipadankan termasuk pemantau titik buta Honda LaneWatch, brake hold automatik, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan (VSA) dan juga kamera undur pelbagai sudut. Sistem penghidup enjin kawalan jauh masih ditawarkan, dan kini ia menerima sistem Honda Connect untuk pasaran Thai.

    Honda Civic hatch facelift dilancar di Thai – RM168k hanya varian 1.5 RS, dilengkapi Honda Sensing

    Honda Civic hatchback facelift masih lagi dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC turbo empat-silinder dengan kuasa yang tidak berubah iaitu 173 hp/220 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan.

    Versi yang disegarkan ini turut ditawarkan dengan aksesori Modulo termasuk rim, kemasan cermin dan krom. Ia hadir dengan lima pilihan warna iaitu Sonic Gray Pearl, Rallye Red, Platinum White Pearl, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

     
     
  • Hyundai sah juara WRC 2019 kategori pengeluar; Rally Australia dibatalkan kerana kebakaran hutan di NSW

    Hyundai sah juara WRC 2019 kategori pengeluar; Rally Australia dibatalkan kerana kebakaran hutan di NSW

    Kerana kebakaran hutan yang semakin serius berlaku di New South Wales, penganjur pusingan terakhir WRC 2019, Kennards Hire Rally Australia telah membatalkan perlumbaan tersebut. Juara untuk kategori pemandu telah sah dirangkul oleh pemandu Toyota Gazoo Racing, Ott Tänak di Rali Sepanyol hujung bulan lalu, manakala untuk kategori pengeluar secara matematiknya kini milik pendahulu carta pungutan mata iaitu Hyundai Motorsport!

    Sehingga pusingan ke-13 di Sepanyol, Hyundai berjaya mengutip 380 mata, meninggalkan pasukan Toyota Gazoo Racing di tempat kedua dengan 362 mata. Untuk musim ini, pasukan Hyundai mempertaruhkan tiga kereta di mana pemandu utama mereka yang juga naib juara WRC 2019, Thierry Neuville memandu dalam semua pusingan dan berjaya menjuarai pusingan di Rali Tour de Cousre Perancis, Rali Argentina dan Rali Sepanyol.

    Manakala untuk kereta kedua dan ketiga dipandu bergilir-gilir oleh Andreas Mikkelsen, Dani Sordo dan juga juara WRC sembilan-kali Sebastien Loeb. Dani Sordo berjaya dinobatkan sebagai juara pada Rali Itali, dan pasukan Hyundai berjaya memperoleh podium dalam kesemua 13-pusingan musim ini.

    Hyundai sah juara WRC 2019 kategori pengeluar; Rally Australia dibatalkan kerana kebakaran hutan di NSW

    “Pembatalan Rali Australia merupakan langkah yang tepat dengan mengambilkira keadaan dan kegusaran kami adalah mereka yang terjejas oleh kejadian kritikal berlaku di New South Wales. Dari pandangan sukan ini, adalah sangat menakjubkan kami dengan kemenangan sulung dalam Kejohanan Rali Dunia FIA – ini adalah hasil kerja keras berberapa tahun oleh semua orang di Hyundai Motorsport,” kata pengarah pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    “Musim ini adalah sangat sukar dan kompetitif, sudah tentu kami berharap dapat berjuang sehingga peringkat akhir dan boleh berbangga dengan semua pencapaian individu kami sebagai ahli pasukan bagi menjadikan ia kemenangan kolektif yang hebat. Saya ingin mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada semua orang di Hyundai Motorsport dan semua krew kami yang telah memberikan dedikasi penuh mereka dari Rali Monte Carlo hingga sekarang,” tambah Adamo lagi.

    Hyundai mula terlibat dalam WRC pada tahun 2000 bersama Hyundai Accent dipandu oleh Alister McRae dan Kenneth Eriksson, di mana ketika itu Hyundai World Rally Team dikendalikan oleh firma Motor Sports Development (MSD) dari UK. Pasukan berkenaan walau bagaimanapun hanya bertahan hingga tahun 2003 dan Hyundai menarik diri dari WRC untuk musim seterusnya.

    Hyundai sah juara WRC 2019 kategori pengeluar; Rally Australia dibatalkan kerana kebakaran hutan di NSW

    Kemudian, Hyundai menubuhkan Hyundai Motorsport GmbH yang berpusat di Jerman pada tahun 2012 bagi meneruskan kembali program rali dunia mereka dengan jentera i20 WRC. Pasukan tersebut merupakan pasukan baharu sepenuhnya, dan mereka bermula dari peringkat asas.

    Hyundai belum lagi mengumumkan barisan pemandu mereka untuk musim hadapan, namun juara 2019 Ott Tänak telah mengesahkan perpindahannya dari Toyota ke Hyundai untuk musim 2020 dengan kontrak selama dua tahun.

     
     
  • Mitsubishi Xpander Cross didedahkan – model dengan imej lebih lasak, mula dijual di Indonesia 13 Nov 2019

    Mitsubishi Xpander Cross didedahkan – model dengan imej lebih lasak, mula dijual di Indonesia 13 Nov 2019

    Mitsubishi Xpander sememangnya dikenali sebagai MPV tujuh-tempat duduk dengan rupa seperti SUV. Tetapi mungkin Mitsubishi merasakan ia tidak cukup lasak, dan kini mereka mendedahkan model Xpander Cross yang tampil dengan rupa lebih rugged.

    Sama seperti model sebelum ini, Xpander Cross turut akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha yang terletak di Cikarang, Indonesia dan bakal dijual pada pasaran berkenaan bermula esok, 13 November 2019. Ia kemudian akan diikuti oleh pasaran-pasaran ASEAN yang lain.

    Muka Dynamic Shield masih lagi kekal tetapi berbanding model asal, Xpander Cross ini tampil gril dengan elemen seperti dinding kubu seperti pada ASX facelift 2019, kemasan skid plate yang lebih menonjol dan juga lampu utama LED pada bampar yang lebih tegak serta didakwa memberikan pencahayaan yang lebih lebar. Lampu kabus juga kini menerima unit LED.

    Mitsubishi Xpander Cross didedahkan – model dengan imej lebih lasak, mula dijual di Indonesia 13 Nov 2019

    Dengan pemadanan pelindung sisi plastik sekeliling badan pada kesemua roda hadapan dan kesemua bahagian bawah pintu, Xpander Cross ini adalah 50 mm dari model standard. Bampar belakang turut dirombak semula menampilkan pelindung plastik bersama skid plate berwarna perak bagi diserasikan dengan muka dan kemasan-kemasan sekeliling.

    Jika anda perasan lagi, kemasan pada bahagian atas panel nombor pendaftaran kini diberikan warna piano black bagi menyerlahkan lagi imej ‘X’ pada bahagian tersebut.

    Bukan sekadar rupa yang lebih lasak, Xpander Cross ini juga tampil lebih 20 mm lebih tinggi dari versi standard bagi memberikan kelegaan tanah yang kini mencapai 225 mm berbanding 205 mm sebelum ini. Ia kemudiannya menerima rim lebih besar berdiameter 17-inci dua tona dengan elemen rekaan lima jejari baharu.

    Mitsubishi Xpander Cross didedahkan – model dengan imej lebih lasak, mula dijual di Indonesia 13 Nov 2019

    Rel pada bumbung Xpander Cross ini bukan hanya kemasan kerana ia memang direka bagi menerima beban untuk menempatkan ruang storan tambahan. Dua warna baharu tampil pada Xpander Cross ini iaitu Graphite Gray dan Sunrise Orange Metallic – warna kedua yang dinyatakan adalah khas untuk Cross dan tiada pada model standard.

    Tiada perubahan ketara dilihat pada bahagian dalaman, namun model baharu ini hadir dengan tema dalaman dengan warna kombinasi hitam dan perang, serta kemasan-kemasan mesh berwarna perak.

    Ciri-ciri lain juga msih lagi kekal, termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng boleh laras dengan gerakan teleskopik dan turun-naik, tempat duduk baris ketiga diberikan port USB dan boleh dilipat dengan nisbah 50:50, tombol satu-langkah untuk menggerakkan tempat duduk baris kedua bagi memudahkan akses ke baris belakang, ruang storan bawah lantai pada bahagian kargo, serta tayar gantian diletakkan pada bahagian bawah badan kereta.

    Mitsubishi Xpander Cross didedahkan – model dengan imej lebih lasak, mula dijual di Indonesia 13 Nov 2019

    Menurut Mitsubishi, Xpander Cross ini menrupakan model yang paling senyap dalam kelasnya (menghampiri 80% indeks artikulasi) kerana ia diberikan material menyerap bunyi dan mengelakkan getaran berprestasi tinggi.

    Model ini dijana oleh enjin 1.5 liter 4A91 yang diperhalusi, digandingkan dengan pilihan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional atau manual lima kelajuan. Tiada sebarang angka kuasa diumumkan, namun Mitsubishi mendakwa berbanding enjin siri 4A9 berkuasa 103 hp/141 Nm sebelumnya, enjin baharu ini adalah lebih senyap serta menampilkan penggunaan bahan api yang lebih jimat.

    Selepas Xpander dilancarkan di Indonesia pada tahun 2017, model berkenaan menjadi model MMC keempat paling laris dalam tahun fiskal 2018, dengan jumlah sekitar 104,000 unit.

    “Dengan pelancaran Xpander Cross, kami akan memperbanyakkan kapasiti produksi dan meningkatkan eksport. Kami komited untuk menyumbang peningkatan eksport dari Indonesia, dan juga pembangunan ekonomi Indonesia,” kata CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

     
     
  • BMW R 1250 R dan R 1250 RS dilancar – dari RM103k

    BMW R 1250 R dan R 1250 RS dilancar – dari RM103k

    Dua lagi model BMW Motorrad yang menggunakan enjin boxer 1,254 cc ShiftCam baru tiba di pasaran Malaysia iaitu R 1250 R dan R 1250 RS dengan harga masing-masing RM102,500 dan RM106,500 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dan program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    Bagi R 1250 R yang menggunakan gaya naked, ia datang dengan pakej gaya Style HP, yang menggunakan gabungan warna Lightwhite, Racing Blue dan Racing Red pada tangki serta panel badan, rangka dan rim warna hitam serta angkup brek warna emas. R 1250 RS dengan fairing penuh pula datang dalam pakej Style Exclusive, dengan warna utama Imperial Blue, rangka Agate Grey dan bahagian lain yang kebanyakannya berwarna hitam.

    Dengan teknologi ShiftCam baru, enjin boxer 1,254 cc pada dua motosikal ini boleh menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan tork 143 Nm pada 6,250 rpm. Penggunaan bahan apinya juga bertambah baik, menjadi sehingga 4.75 liter bagi 100 km. Transmisi adalah unit enam kelajuan dan kuasa dihantar ke roda belakang menggunakan sistem syaf.

    Pada bahagian elekronik, dua model baru ini datang terus dengan dua mod tunggangan, Automatic Stability Control, Hill Start Control, BMW Motorrad Integral ABS (boleh ditutup), skrin TFT 6.5 inci dengan fungsi Connectivity dan sistem tanpa kunci Keyless Ride.

    Pada bahagian lain, ia datang dengan set brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan, brek cakera 276 mm di belakang, tangki bahan api 18 liter, rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang, fork USD 45 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban secara mudah menggunakan tombol di tepi.

    GALERI: BMW R 1250 R 2019

    GALERI: BMW R 1250 RS 2019

     
     
  • Honda City generasi baharu dengan enjin 1.0L VTEC Turbo dilapor akan dilancarkan di Thailand 25 Nov ini

    Honda City generasi baharu dengan enjin 1.0L VTEC Turbo dilapor akan dilancarkan di Thailand 25 Nov ini

    Sebelum ini kita sudah tahu bahawa Honda City generasi terbaharu yang berkongsi asas dengan Honda Jazz 2020 yang baharu sahaja didedahkan di Jepun dua minggu lalu, akan membuat kemunculannya di Thailand bulan ini. Berita terbaharu yang kami dapat, Honda sudah pun mengumumkan bahawa model tersebut bakal dilancarkan pada 25 November ini.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Honda bakal mempertaruhkan City dalam kelas Kereta Eco Thai Fasa 2, dan untuk itu model generasi baharu ini akan dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo, dikhabarkan mampu menghasilkan 122 PS/200 Nm. Ia akan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, lapor portal Headlightmag dari Thai.

    Kuasa berkenaan dilihat agak tinggi berbanding enjin lain dengan spesifikasi sama. Ini kerana selain sistem injap VTC pada kedua-dua aci sesondol kemasukan dan ekzos, enjin ini turut menerima sistem VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada bahagian injap kemasukan (sistem VTEC pada enjin K20C1 Civic Type R FK8 hanya pada bahagian ekzos).

    Honda City generasi baharu dengan enjin 1.0L VTEC Turbo dilapor akan dilancarkan di Thailand 25 Nov ini

    Menerusi undang-undang Kereta Eco Fasa 2 ini, model-model dalam kelas berkenaan perlulah dihasilkan dengan spesifikasi seperti memenuhi standard emisi Euro 5, emisi CO2 di bahawa 100 g/km, dan juga penggunaan bahan api tidak melebihi 4.3 liter untuk 100 km (23.25 km/l), serta kesemua varian perlu dilengkapi ABS/EBD/BA/VSA secara standard.

    Selain dari enjin turbo tersebut (ia sebenarnya telah pun digunakan oleh Civic di Eropah dan China), City juga bakal menerima varian yang dijana sistem hibrid Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) dengan dua motor elektrik sama seperti Jazz generasi baharu.

    Serentak dengan pengumuman ini, Honda turut menyiarkan satu video berkenaannya, tetapi tiada sebarang imej teaser model generasi baharu tersebut. Imej yang anda lihat di atas bukanlah imej sebenar tetapi hasil bayangan yang dihasilkan pada 2018, diinspirasikan dari Honda Insight generasi baharu.