Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ rugi RM60j antara 2016-2018 akibat ketirisan kaedah manual sistem bidaan nombor pendaftaran

    JPJ rugi RM60j antara 2016-2018 akibat ketirisan kaedah manual sistem bidaan nombor pendaftaran

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mendedahkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mencatatkan kerugian sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2016 akibat ketirisan kaedah manual sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan.

    “Berdasarkan kaedah manual sebelum ini, ketirisan direkodkan sebanyak RM60 juta dalam m ketirisan ini berlaku apabila seseorang itu tidak membayar baki 50% daripada nilai bidaan dan ini mungkin kerana nombor yang telah mereka bida tidak ada pembeli dan sebagainya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Walau bagaimana pun, Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) oleh JPJ telah berjaya menjana hasil sebanyak RM47 juta dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaannya.

    Menurut Anthony, hasil itu diperoleh daripada penjualan 39 siri nombor pendaftaran dengan purata kutipan bagi setiap siri sebanyak RM1.2 juta.

    JPJ rugi RM60j antara 2016-2018 akibat ketirisan kaedah manual sistem bidaan nombor pendaftaran

    “Sistem JPJeBid ini mula dilaksanakan secara berperingkat sejak April lepas dan setakat ini Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir atau negeri ke-13 yang kita lancarkan pelaksanaan sistem ini dengan siri NDN, sekali gus merealisasikan sasaran pelaksanaan sistem itu di seluruh negara.

    “Jadi hanya dalam tempoh tujuh bulan ia dilaksanakan, kutipan hasil mencecah RM47 juta melalui bidaan bagi 39 siri nombor pendaftaran dengan siri ALL merekodkan hasil sebanyak RM3.4 juta manakala nombor bidaan tertinggi iaitu ALL 1 pada harga RM278,000… ini merupakan satu pencapaian yang saya rasa amat baik untuk meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

    Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaan sistem JPJeBid itu, seramai 109,361 orang telah membuat pendaftaran dalam sistem tersebut dan mereka boleh membuat bidaan bila-bila masa sahaja yang mereka mahu tanpa perlu membuat ‘deraf bank’ sebagai deposit dan sebagainya.

    Loke optimis bahawa sistem itu akan menjadi contoh di kalangan negara ASEAN yang lain dengan melihat pendekatan yang dipraktikkan negara ini.

     
     
  • Audi e-tron Sportback – SUV coupe EV 355 hp, 561 Nm

    Audi e-tron Sportback – SUV coupe EV 355 hp, 561 Nm

    Audi e-tron Sportback versi produksi akhirnya didedah. Ia adalah model elektrik penuh e-tron kedua yang dikeluarkan oleh Audi, dengan menampilkan bentuk badan sedikit seperti coupe berbanding SUV biasa bagi e-tron yang pertama. Dalam perumpamaan mudahnya, ia seperti Q3 Sportback bagi Q3 biasa.

    Varian paling atas e-tron Sportback 55 Quattro dikuasakan oleh dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 355 hp (265 kW) dan tork 561 Nm – sama seperti e-tron 55 Quattro standard. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.6 saat, tetapi bila anda menggunakan mod Boost, kuasanya boleh meningkat menjadi 402 hp (300 kW) dan 664 Nm, manakala 0-100 km/j menjadi 5.7 saat.

    Bateri lithium ion 95 kWh yang digunakan diletakkan di lantai, dan ia beroperasi pada kadar voltan 396 volt dan boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW. Apabila disambungkan, baterinya boleh kembali ke tahap 80% dalam masa cuma 30 minit, dengan cas penuh boleh memberi perjalanan 446 km berdasarkan standard WLTP.

    Audi e-tron Sportback – SUV coupe EV 355 hp, 561 Nm

    Varian e-tron Sportback 50 Quattro dipasang dengan bateri lithium ion 71 kWh yang lebih kecil. Kuasa keseluruhan varian ini adalah 312 PS (230 kW) dan 540 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat, jarak gerak keseluruhan 347 km dan laju maksimum 190 km/j. Varian ini boleh menggunakan pengecas pantas DC hingga 120 kW, tapi baterinya masih boleh mencapati kapasiti 80% dalam masa 30 minit.

    Untuk pengecasan menggunakan sistem AC, kabel CCS Type 2 yang diberi boleh disambung kepada sumber AC 11 kW, tetapi ia boleh ditingkatkan kepada 22 kWh dengan menggunakan pengecas onboard yang dijual sebagai pilihan tambahan (cuma ditawarkan pada pertengahan tahun 2020). Anda juga boleh mengecas menggunakan soket domestik biasa, dengan sambungan 230 volt dan output sehingga 11 kW. Melalui tetapan ini, bateri akan penuh dalam masa 8.5 jam.

    Dimensi e-tron Sportback ini kebanyakannya adalah sama seperti e-tron biasa iaitu panjang 4,901 mm, lebar 1,935 mm, tinggi 1,616 mm, dan jarak roda 2,929 mm, tetapi ia mempunyai rintangan angin lebih baik, menjadi 0.25 Cd berbanding 0.27 pada model biasa.

    Rekaan luar juga adalah sama, termasuk gril Singleframe serta lampu utama digital matrix LED (DML) yang pertama di dunia. Pilihan warna ada 13 termasuk Plasma Blue yang unik untuk model Sportback ini sahaja. Penutup tempat cas, angkup brek dan kemasan lengkuk roda menggunakan warna kontras sementara beberapa bahagian kemasan lain menggunakan warna hitam.

    Sekiranya mengambil pakej S Line, anda akan mendapat rim 20 inci (pilihan sehingga unit 22 inci disediakan), suspensi udara dan bampar lebih aerodinamik dengan air curtain. Pakej Black Styling pula datang dengan kemasan keliling gril, tingkap serta cermin sisi yang diwarnakan hitam.

    Sama seperti SUV e-tron biasa, bahagian dalam mempunyai dua skrin sesentuh (di atas berukuran 12.1 inci manakala yang di bawah 8.6 inci), dan ini termasuk dengan sistem infotainmen MMI Touch Response. Turut diberikan standard adalah Audi Virtual Cockpit 12.3 inci, manakala MMI Navigation Plus dan Audi Connect disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Audi e-tron Sportback – SUV coupe EV 355 hp, 561 Nm

    Untuk tempat duduk, pembeli boleh memilih bentuk Standard, Sport, S Sport ataupun khas, yang datang dengan liang pengudaraan serta fungsi urut. Bergantung kepada pilihan, jahitan yang digunakan juga berlainan. Sistem bunyi Bang & Olufsen disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada bahagian keselamatan, e-tron Sportback datang dengan secara terus dengan Audi Pre Sense Basic dan Audi Pre Sense Front Safety, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada Audi Pre Sense 360 yang memberi fungsi AEB menyeluruh dan pengetat tali pinggang. Bergantung kepada pakej yang dipilih, kereta ini boleh datang dengan sehingga lima pengesan radar, lima kamera dan 12 pengesan ultrasonik. Harganya bermula dari 71,350 euros (RM329k) di Eropah.

     
     
  • Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

    Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

    Crossover yang diasaskan Mazda 3, iaitu CX-30 telah disahkan bakal masuk ke pasaran Malaysia. Bukan itu sahaja, model yang diletakkan satu aras dari CX-3 dan satu tangga bawah CX-5 tersebut kini sudah boleh ditempah, dan harganya juga turut telah diumumkan oleh Bermaz Motor.

    Untuk pasaran tempatan, CX-30 hadir dengan enjin petrol dan diesel, ditawarkan dalam tiga varian berbeza. Untuk model petrol, ia hadir dengan enjin 2.0 liter NA, dibahagikan kepada dua varian iaitu 2.0 dijual pada harga RM143,119 dan 2.0 High berharga RM164,119. Model diesel pula tampil dengan varian tunggal 1.8D dijual pada harga RM173,027. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Bagi model petrol, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang menjana 163 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala bagi versi diesel, ia menerima enjin SkyAvtiv-D berkapasiti 1,759 cc yang mampu menjana 116 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 hingga 2,700 rpm.

    Senarai harga Mazda CX-30 untuk Semenanjung Malaysia (kiri) serta Sabah dan Sarawak (kanan), klik untuk besarkan

    Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan. Kesemua model juga dibekalkan dengan tangki minyak 51 liter. Model asas 2.0 akan menerima rim 16-inci dengan tayar 215/65/R16, manakala model 2.0 High dan 1.8D diberikan rim 18-inci dengan tayar 215/55R18.

    Berbanding CX-5 yang tampil sebagai SUV sebenar, CX-30 lebih kepada crossover Mazda 3 hatchback dengan tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.

    Model asas 2.0 pasaran Malaysia ini diberikan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0 High dan 1.8D pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda. Kesemua varian hadir standard dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, tetapi hanya 2.0 High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.

    Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

    Kedua-dua model tertinggi itu juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pintu tailgate berkuasa serta penderia parkir hadapan dan belakang. Manakala ciri seperti cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria dan spoiler belakang dibekalkan standard untuk semua varian.

    Pada bahagian dalaman pula, model asas 2.0 hadir dengan sistem pendingin hawa dan tempat duduk hadapan larasan manual, berbanding 2.0 High dan 1.8D yang diberikan sistem automatik dua zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.

    Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.

    Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

    Kelengkapan keselamatan juga adalah standard untuk semua varian, terdiri dari beg udara hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu, brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Khas untuk model 2.0 High dan 1.8D, ia turut hadir dengan ciri keselematan tambahan iaitu lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif kawalan radar.

    Lapan warna ditawarkan untuk CX-30 ini iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian akan dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun.

    Menurut Bermaz, versi awalan ini adalah diimport sepenuhnya dari Jepun, dan mereka merancangkan untuk memproduksi CX-30 ini secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah pada masa akan datang.

     
     
  • ‘Kereta terbang’ dilarang terbang esok – CAAM

    ‘Kereta terbang’ dilarang terbang esok – CAAM

    Kecoh minggu ini apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyatakan bahawa ‘kereta terbang’ yang dicanangkan sebelum ini bakal melakukan penerbangan ujian pertamanya esok, iaitu 20 November 2019. Walau bagaimanapun, ujian tersebut nampaknya tidak boleh dijalankan kerana ia tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

    Walaupun pada peringkat awal dahulu dron yang disifatkan sebagai kereta terbang diumumkan akan dibina oleh pihak Aerodyne Group diberi nama Vector, unit yang dijadualkan untuk diterbangkan esok adalah dron Ehang 216 hasil rekaan sebuah syarikat dari China yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd.

    Untuk di bawa ke sini, ia di dakwa melibatkan usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh CAAM hari ini, antara sebab utama ujian ini tidak boleh dijalankan adalah kerana lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial – ia jelas terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.

    Tambahan pula CAAM turut menegaskan bahawa EH216 hanya diberikan Permit Khas Penerbangan (SFP) oleh negara pengeluar iaitu Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, Guangzhou.

    Dalam kenyataan yang sama CAAM turut menyebut bahawa mereka sedang menyiasat demonstrasi penerbangan yang tidak diluluskan membabitkan EH216. “Ujian ‘haram’ itu dilakukan pada 15 November lalu di Lapangan Terbang Subang,” kata kenyataan itu lagi.

    Walau bagaimanapun, CAAM menyatakan mereka amat menyokong pembangunan industri aeroangkasa di negara ini namun ia mesti mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) bagi memastikan jaminan keselamatan dipatuhi.

    “CAAM ingin memaklumkan sedia mempertimbangkan sekiranya ujian penerbangan EH216 mahu dilakukan di lokasi yang sesuai dengan sokongan negara pengeluar,” tulis kenyataan tersebut.

    Kelmarin, menteri yang berkenaan mengesahkan beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’ tersebut esok.

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh menteri terbabit ketika menjawab satu soalan daripada YB Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar, BN) di Dewan Rakyat. Menurut Redzuan, ujian itu akan diadakan di Subang Khamis ini dan beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang untuk menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan.

     
     
  • Kereta terbang jadi isu panas di Dewan Rakyat; Redzuan tegaskan dana AS$30j bukan dari kerajaan

    Kereta terbang jadi isu panas di Dewan Rakyat; Redzuan tegaskan dana AS$30j bukan dari kerajaan

    Nampaknya al-kisah kereta terbang bukan sahaja jadi bualan di kalangan rakyat biasa, malahan ia turut menjadi ‘bahan jenaka’ dan sindiran di kalangan Ahli Parlimen sendiri.

    Berita Harian melaporkan beberapa Ahli Yang Berhormat menimbulkan isu ini termasuklah menganggapnya sebagai dron, bukannya kereta terbang, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang dilihat ‘memperjuangkan’ projek kereta terbang ini dari awal menjelaskan, “Kekeliruan berikutan percanggahan pendapat mengenai takrifan kereta terbang bukan isu besar yang harus dipanjangkan. Panggillah apa pun. Dron, kereta terbang, vektor atau kereta aeroangkasa, semuanya berbalik kepada mobiliti udara, iaitu sebahagian daripada teras strategik DKN 2030.

    “Masyarakat seluruh dunia tidak menggelarkan dron, mereka panggil ‘flying dummy’ atau AUV (kenderaan tanpa pemandu), justeru kita kena jadi pendengar baik untuk memahami fungsi seluruh industri,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) di Dewan Rakyat hari ini.

    Kereta terbang jadi isu panas di Dewan Rakyat; Redzuan tegaskan dana AS$30j bukan dari kerajaan

    Malah Tajuddin juga mendesak perincian mengenai kesahihan dakwaan kerajaan menyalurkan AS$30 juta bagi membangunkan ‘kereta terbang’.

    “Tidak betul. Kosong (dana diberikan kerajaan),” jawab Redzuan sambil menyifatkan spekulasi liar yang disebarkan kepada orang ramai itu amat tidak berasas.

    Penjelasan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan pemaju sistem pengangkutan udara tempatan, Aerodyne Group, yang mengumumkan satu pusingan pelaburan Siri B bernilai AS$30 juta (RM125.62 juta), diketengahkan pada 16 Oktober lalu.

    Sambungnya lagi, “Saya ingin mendidik masyarakat, selain memberikan pendedahan mengenai Dasar Keusahawan Nasional (DKN) 2030. Antara teras strategik yang digariskan ialah pembangunan industri penerbangan, aeroangkasa dan pergerakan udara, termasuk hasrat membina prototaip pertama kereta terbang di Malaysia,” katanya.

    Apa pun, kena tunggu esok untuk tahu sejauh mana keupayaan ‘kereta terbang’ Ehang 216 tersebut berfungsi. Adakah ia memang kereta terbang atau pun dron berskala besar.

     
     
  • Nissan Sentra 2020 muncul di LA – Sylphy pasaran Amerika, 2.0 liter 149 hp/197 Nm, Safety Shield 360

    Nissan Sentra 2020 muncul di LA – Sylphy pasaran Amerika, 2.0 liter 149 hp/197 Nm, Safety Shield 360

    Selepas muncul di Shanghai April lalu, Nissan Sylphy generasi baharu kini sudah pun mendarat di Amerika Syarikat. Seperti juga generasi sebelumnya, model berkenaan terus dikenali sebagai Sentra pada pasaran tersebut, dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, SV dan SR.

    Berbanding Sylphy di China dijana oleh enjin 1.6 liter NA HR16DE, Sentra di Amerika menerima enjin yang lebih maskulin iaitu unit 2.0 liter empat-silinder bagi menggantikan enjin 1.8 liter pada model generasi sebelumnya.

    Unit janakuasa baharu tersebut mampu menghasilkan 149 hp dan tork maksima 197 Nm, atau 20% lebih berkuasa berbanding versi sebelum ini. Kuasa dari enjin masih kekal dihantar ke roda hadapan, menerusi kotak gear automatik CVT Xtronic, tanpa pilihan transmisi manual.

    Tiada perbezaan ketara pada bahagian luaran untuk model Amerika dengan versi di China. Sentra diberikan gril hadapan V-Motion sama seperti model-model baharu Nissan yang lain, bersama lampu hadapan lebih tirus, lengkap dengan lampu nyalaan siang yang diinspirasikan dari boomerang.

    Nissan Sentra 2020 muncul di LA – Sylphy pasaran Amerika, 2.0 liter 149 hp/197 Nm, Safety Shield 360

    Bahagian sisi Sentra ini menampilkan garis bumbung seakan coupe yang landai ke belakang, bersama garis-garis badan yang menonjolkan otot-otot. Bahagian tiang-C menerima kemasan hitam sama seperti Altima/Teana dan Almera generasi baharu, memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya direka terapung.

    Di belakang, lampu dengan grafik boomerang sekali lagi menjadi serlahan utama. Bampar Sentra ini direka dengan kemasan seakan diffuser. Berbeza model China dengan tip ekzos tersorok, model dengan enjin lebih besar di Amerika ini hadir dengan tip ekzos sebenar keluar dari bawah bampar.

    Untuk versi asas S, ia hanya diberikan rim besi bersaiz 16-inci dan juga brek belakang jenis dram. Manakala SV pula dipadankan rim aloi dengan saiz sama bersama brek belakang jenis cakera.

    Model SR bukan sahaja tampil sebagai varian paling mahal, malah ia turut hadir dengan gaya paling sporty. Model ini diberikan rim dua tona bersaiz 18-inci, bersama skirt sisi dan spoiler belakang. Ia juga menerima kemasan hitam pada penutup cermin sisi dan pilihan warna hitam pada keseluruhan bumbung, bersama krom yang lebih gelap pada gril hadapan dan tip ekzos.

    Nissan Sentra 2020 muncul di LA – Sylphy pasaran Amerika, 2.0 liter 149 hp/197 Nm, Safety Shield 360

    Kesemua tiga varian Sentra ini hadir standard dengan ciri seperti sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin. Sentra tidak menerima paparan digital sepenuhnya, tetapi satu skrin pelbagai informasi bersaiz agak besar iaitu 4.2-inci diletakkan di antara dua meter analog utama. Model S dan SV pula menerima skrin sesentuh untuk sistem hiburan bersaiz 7-inci.

    Model SR menerima sistem pendingan hawa dua zon dan skrin infotainmen dengan saiz lapan-inci yang turut menyokong fungsi Apple Carplay dan Android Auto. Versi ini turut ditawarkan dengan dua pilihan tema dalaman iaitu upholsteri kulit berwarna tan membaluti bahagian atas papan pemuka, panel pintu, tempat duduk (dengan liang serta elemen rekaan permata), perehat lutut dan bahagian-bahagian lain seperti Sylphy China, atau versi hitam keseluruhan dengan serlahan jahitan benang oren.

    Selain itu, bahagian dalaman Sentra SR tersebut turut menampilkan kemasan-kemasan yang nampak premium seperti kemasan perak pada corong udara pendingin hawa, perumah konsol gear, pembuka pintu dan roda stereng, serta kemasan gentian karbon palsu pada pemegang cawan utama dan papan suis pada pemegang pintu.

    Untuk keselamatan, Nissan Sentra 2020 pasaran Amerika dibekalkan dengan 10-beg udara dan pakej keselamatan aktif Nissan Safety Shield 360 untuk kesemua varian, yang terdiri dari pelbagai sistem bantuan pemanduan seperti Amaran pelanggaran hadapan, Pemantau Titik Buta, Amaran Keluar Laluan, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan lampu tinggi automatik. Model SR turu tampil dengan cruise control adaptif dengan fungsi stop & go dan juga kamera pemantau sekeliling pintar.

     
     
  • Aston Martin DBX SUV didedahkan – 4.0L twin turbo V8, 550 PS/700 Nm, 9-kelajuan dan AWD, dari RM798k

    Aston Martin DBX SUV didedahkan – 4.0L twin turbo V8, 550 PS/700 Nm, 9-kelajuan dan AWD, dari RM798k

    Pertama kali dipertontonkan sebagai sebuah model konsep ketika Geneva Motor Show 2015, SUV pertama dari Aston Martin, dikenali dengan nama DBX kini diperkenalkan secara rasmi. Aston Martin membangunkan model SUV sulung ini dari sifar, dan ini membolehkan syarikat itu menentukan dari awal apa yang ingin dicapai dan boleh dilakukan oleh SUV ini.

    Menarik juga untuk diketahui, walaupun syarikat ini menjalin kerjasama dengan Mercedes-AMG, DBX sama sekali tidak meminjam apa-apa bahagian atau rekaan dari model sedia ada Mercedes-Benz GLE, misalnya. DBX dibina menggunakan platform tersendiri, menggunakan kerangka aluminium (seperti binaan pada kereta sport Aston Martin) dan dikilangkan secara khusus di Athans, Wales.

    Walaupun DBX sebuah SUV, ia masih mengekalkan bentuk rekaan bonet depan yang panjang seperti model-model Aston Martin yang lain. Garis bumbung juga lebih rendah, sementara gril yang ada pada model ini merupakan yang terbesar digunakan oleh pengeluarnya berbanding pada model-model sebelum ini. Lampu utama tampil tirus, dengan bahagian DRL terpisah yang terletak sedikit ke bawah. DRL berkenaan pula mengelilingi satu bukaan udara yang digunakan untuk menyejukkan brek.

    Aston Martin DBX SUV didedahkan – 4.0L twin turbo V8, 550 PS/700 Nm, 9-kelajuan dan AWD, dari RM798k

    Garis badan yang ditampilkan juga lebih bersih. Ini diselarikan dengan penggunaan rekaan pemegang pintu yang tersorok, serta pelapik getah pada pintu dan cermin tingkap yang juga di sembunyikan untuk memberi estetik berbeza yang lebih mewah.

    Di dalam, penataan dan kemasan yang diberikan sangat terperinci dan sekali lagi mengambarkan kemewahan yang ingin disediakan oleh DBX. Bumbum cermin panoramik penuh antara yang dijadikan pilihan, serta penggunaan material kulit (dibekalkan oleh Bridge of Weir) yang membaluti hampir semua bahagian di dalam kabin. Bahagian tengah kokpit apung yang digunakan juga tersedia ruang simpanan untuk penumpang.

    Teknologi yang dipinjam dari Mercedes antaranya termasuk skrin infotainmen LCD TFT 10.25-inci di tengah, serta paparan panel instrumen 12.3-inci. Tidak lupa juga pencahayaan lampu suasana dengan 64-warna yang sama turut digunakan. Apple CarPlay dan kamera 360-darjah adalah standard.

    Aston Martin DBX SUV didedahkan – 4.0L twin turbo V8, 550 PS/700 Nm, 9-kelajuan dan AWD, dari RM798k

    Beberapa rekaan menarik turut dipamerkan oleh Aston Martin. Misalnya, tempat duduk walaupun diambil dari model kereta sport mereka yang selesa, kusyen nipisnya juga membolehkan penumpang belakang memperoleh lebih ruang untuk lutut dan kakim begitu juga dengan rekaan yang sama terhadap rekaan bahagian bumbung untuk mendapatkan ruang kepala yang lebih luas.

    Oleh kerena ia sebuah SUV dengan tumpuan untuk kegunaan keluarga, ergonomik ruang yang tersedia juga mengkagumkan. Semuanya difikirkan untuk memberi keselesaan yang optimum. Sebagai contoh, ruang barangan yang tersedia adalah seluas 632 liter, dengan nisbah lipatan penyandar kerusi belakang 40:20:40. Pelindung keras untuk barangan di belakang yang tersedia itu juga bertindak untuk menjadi penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dalam kabin.

    Enjin pula menggunakan unit dari AMG; M177 4.0 liter turbocas berkembar V8. Unit ini menghasilkan output yang lebih banyak berbanding yang ada pada model Vantage dan DB11 – dengan angka 550 PS dan 700 Nm tork – serta menampilkan ciri nyah-aktif silinder untuk lebih menjimatkan minyak. Pecuatan 0-100 km/j DBX ialah 4.5 saat, dengan laju maksimum 291 km/j.

    Bagi transmisi pula, DBX tidak menggunakan unit dari ZF automatik lapan-kelajuan seperti model-model lain keluaran jenama itu, sebaliknya memanfaatkan unit 9G-Tronic sembilan-kelajuan dari Mercedes dan hadir sekali dengan sistem pacuan semua roda – dengan differntial elektronik di belakng. Menurut Aston Martin, sistem AWD berkenaan dibangunkan sendiri oleh mereka dan bukan diambil dari Mercedes-Benz.

    Di Malaysia, Aston Martin DBX boleh dimiliki pada harga RM798,000 tidak termasuk cukai dan pilihan lainnya. 500 pemilik terawal global juga akan menerima pakej eksklusif 1913 yang menampilkan lencana unik pada fender, side sill plaques dan inspection plaque serta disahkan oleh CEO Andy Palmer sendiri. Mereka yang berminat boleh menghubungi bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Lexus LC 500 Convertible jadi lebih bergaya, mewah

    Lexus LC 500 Convertible jadi lebih bergaya, mewah

    Lexus LC mungkin sudah termasuk dalam senarai antara kereta produksi yang tercantik pernah dihasilkan, tetapi sekarang cabang syarikat mewah Toyota tersebut memperkenalkan pula versi dengan bumbung boleh buka dipanggil sebagai LC 500 Convertible.

    Penampilannya tidak terjejas sedikit pun dengan ketiadaan bumbung gentian karbon seperti model coupe, malah menjadi lebih unik. Di belakang penyandar kepala tempat duduk terdapat tonneau cover yang menyembunyikan bumbung tersebut apabila ia dilipat.

    Profail kenderaan ini juga dijadikan lebih dramatik hasil penggunaan spoiler kecil di atas penutup but, untuk menggantikan spoiler jenis aktif yang disediakan sebagai pilihan untuk model coupe. Spoiler ini juga menempatkan lampu brek ketiga dan lebarnya dijadikan sama seperti kenderaan.

    Lexus LC 500 Convertible jadi lebih bergaya, mewah

    Bumbung jenis kain empat lapis yang digunakan pada LC 500 Convertible ini disediakan dalam pilihan warna hitam, biru atau beige, dan direka untuk menampakkan bentuk kerangkanya supaya tidak menjejaskan garis aliran bumbung. Fabriknya juga dipilih dan dihasilkan secara rapi untuk memastikan ketegangan yang optima, kurang kedutan dan boleh menyerap bunyi. Ia boleh diturunkan dalam masa cuma 15 saat dan dipasang semula dalam masa 16 saat – pada kelajuan bawah 50 km/j.

    Di dalam, keadaannya sama sahaja seperti versi coupe, dengan panel instrumen digital, penunjuk rpm yang boleh beralih, skrin tengah 10.3 inci dan balutan kulit berliang pada kebanyakan bahagian termasuk tempat duduk. Butang pengawal fungsi bumbung terletak di konsol tengah berhampiran perehat tangan dan pad sesentuh.

    Lexus juga berusaha keras untuk memastikan perincian kereta ini nampak kemas dan premium walaupun dengan bumbung dibuka. Penolak angin polikarbonat lutsinar digunakan untuk mengurangkan kesan buffeting angin, bersama sistem penghapus bunyi aktif untuk menapis bunyi yang tidak menyenangkan. Bunyi enjin V8 dan ekzos aktifnya walaubagaimanapun masih boleh kedengaran.

    Fungsi Lexus Climate Concierge menjadi lebih berguna pada kereta ini bagi memastikan pemandu dan penumpang sentiasa selesa. Ia boleh melaras suhu pendingin hawa serta pemanas roda stereng, tempat duduk dan juga leher.

    Buat masa ini LC 500 versi bumbung boleh buka ini cuma boleh didapati dengan enjin V8 5.0 liter NA dengan kuasa 471 hp dan 540 Nm, yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan Direct Shift untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Untuk memastikan badannya kuat dan masih lagi mempunyai karekter pengendalian yang sama seperti versi coupe, kenderaan ini dipasang dengan beberapa struktur penguat, antaranya yang berada pada suspensi belakang, di mana ia telah dibentuk semula, diubah kedudukannya dan dibuat daripada aluminium untuk mengurangkan berat. Keselesaan waktu bergerak juga dipertingkat dengan penggunaan Yamaha Performance Damper.

     
     
  • Ford Everest Sport 2020 diperkenal di Thai – RM193k

    Ford Everest Sport 2020 diperkenal di Thai – RM193k

    Ford Everest Sport 2020 telah pun diperkenalkan di Thailand bersama dengan barisan Ranger yang dipertingkatkan, dengan menawarkan varian tunggal 2.0 Turbo 4×2 pada harga 1,399,000 baht (RM193k). Harga ini adalah diskaun dari 1,462,000 baht (RM201k) yang menjadi sebahagian daripada promo pelancaran yang berakhir pada 31 Disember 2019.

    Everest Sport ini adalah berasaskan varian Titanium, tetapi ditambah dengan beberapa ciri, termasuklah untuk luarannya dengan gril radiator baharu bersama lampu utama bi-LED dengan lensa projektor bersegi (sama dengan Ranger Wildtrak dan Raptor), kemasan hitam pada bampar hadapan dan belakang, perkataan Everest di bonet, kemasan hitam pada tailgate, rel bumbung dan cermin sisi.

    Untuk gaya yang lebih garang, Everest Sport juga dipadankan dengan roda aloi hitam berkilat 20-inci dibaluti tayar 265/50, dan juga pelekat Sport pada pintu dan belakang. Untuk kabin pula, ia menampilkan tema Hydrigraphic baharu, lengkap dengan tempat duduk upholstery kulit dengan jahitan kontras biru. Papan pemuka pula dibaluti kulit dan turut menampilkan jahitan biru.

    Untuk penjana kuasa pula, SUV ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbocharged empat-silinder diesel, yang mampu menghamburkan sehingga 180 PS dan tork 420 Nm. Ia juga digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional 10-kelajuan dengan penukaran manual pada tuil gear, yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang. Bahagian mekanikalnya tidak perubahan, masih menggunakan ladder frame chassis yang sama, termasuk padanan sistem suspensi dengan double wishbone di hadapan dan larasan multi-link di belakang serta sambungan coilover dan Watts.

    Di dalam kabinnya juga menampilkan unit utama skrin sesentuh SYNC 3 lapan-inci (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto) yang disambungkan ke sembilan speaker, selain didatangkan dengan tempat duduk pemandu lapan-larasan kuasa, tempat duduk barisan kedua boleh dilaras dengan 60:40, dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat dengan 50:50.

    Untuk aspek keselamatan, juga tiada perubahan. Seperti Everest Titanium, Everest Sport turut menerima ABS dengan EBD dan bantuan brek, bantuan mendaki, sistem pengurangan risiko pengurangan rollover, tujuh beg udara, pengesan undur dan kamera pandangan belakang. Hanya tiga warna sahaja yang ditawarkan iaitu Arctic White, Absolute Black, dan Aluminium Metallic.

     
     
  • MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih hardcore, hanya 3,000 unit

    MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih hardcore, hanya 3,000 unit

    Dari pengenalan model konsep dua tahun lalu, kemudian prototaip produksi didedahkan pada Jun tahun ini, akhirnya versi sebenar MINI produksi paling ‘jahat’ pernah dihasilkan – MINI John Cooper Works GP 2020 – kini membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2019.

    Seperti dua model hardcore dari dua generasi sebelumnya, versi generasi terbaharu ini turut diberikan bukan sahaja enjin yang lebih berkuasa, malah tampil dengan rupa yang jauh lebih ganas. Ia juga dihasilkan dengan jumlah yang sangat terhad – hanya 3,000 untuk dibahagi-bahagikan dalam pasaran seluruh dunia.

    JCW GP ini dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo, sama seperti model JCW F54 Clubman dan crossover F60 Countryman baharu – menghasilkan 306 hp pada takat 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,750 rpm hingga 4,500 rpm.

    Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang lengkap dengan LSD mekanikal, hanya memacu roda hadapan. Gandingan tersebut membolehkan JCW GP ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.2 saat. Tiada cut-off pada enjin model ini, dan secara standard ia boleh mencapai kelajuan maksima 265 km/j.

    MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih hardcore, hanya 3,000 unit

    MINI turut memadankan sistem ekzos yang unik hanya diberikan kepada JCW GP ini bagi memberikan bunyi deruman yang lebih mengasyikkan. Ia terdiri dari paip terus di hadapan, disambungkan ke silencer bersaiz besar di belakang. Dari situ, ia bersambung pula dengan dua tip ekzos dihujung berdiameter 90 mm, dengan kemasan brushed stainless steel, terletak di bahagian tengah bampar belakang.

    Kuasa yang lebih besar ini turut datang sekali dengan pakej pemanduan dan pengendalian yang mantap. LSD yang diberikan bukan berfungsi secara mekanikal semata-mata, dan ia turut dihubungkan kepada Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC). Ia berupaya untuk menghasilkan kesan lock-up sehingga 31% untuk memberikan cengkaman kedua-dua roda hadapan yang lebih baik, bagi memastikan understeer atau oversteer boleh dielakkan lebih awal.

    MINI juga memastikan sambungan pada cagak enjin, struktur badan dan suspensi adalah lebih kuat dari biasa. Ini memberikan respon stereng dan juga pedal pendikit menjadi lebih baik. Suspensi hadapan menerima pendakap-pendakap tambahan, manakala di belakang kerangka topang berbentuk segi-empat yang direka khas memastikan suspensi boleh dilaras untuk menangani pecutan sisi pada tahap tertinggi.

    Menurut MINI lagi, JCW GP ini menerima talaan suspensi khas hanya untuknya dan ia diuji secara intensif di litar Nürburgring, Jerman. Badan kereta ini juga adalah 10 mm lebih rendah dari JCW biasa, manakala sudut camber hadapan dan belakang yang dipertingkat membolehkan potensi untuk memindahkan daya sisi dipertingkat ketika mengambil selekoh secara agresif.

    MINI John Cooper Works GP 2020 – 306 hp/450 Nm, suspensi & kit badan lebih hardcore, hanya 3,000 unit

    Bukan itu sahaja, ia juga diberikan galas getah pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras. Manakala pada lengan wishbone belakang, sambungan dengan cagak getah di sebelah luar telah digantikan dengan komponen dari logam, dan pada sebelah dalam menggunakan getah dengan material lebih keras.

    Bagi menghentikan kereta ini, ia diberikan angkup aluminium tetap empat-omboh berwarna merah, bersama cakera berliang 360 x 30 mm pada sebelah depan. Angkup terapung silinder-tunggal pula berfungsi untuk menghentikan roda belakang. Set brek tersebut berselindung di sebalik rim aloi forged yang sangat ringan (kurang 9 kg setiap satu) bersaiz 18-inci dengan lebar 8.0 j. Ia dibaluti tayar berprestasi tinggi bersaiz 225/35R18.

    Seperti yang boleh dilihat pada versi prototaip sebelum ini, JCW GP tampil dengan rupa luaran lebih liar bukan sahaja kerana komponen-komponen aerodinamik yang dipadankan, ia juga diberikan kit badan lebih lebar dari versi standard.

    Bampar hadapan versi ini menerima gril bawah dengan liang pengambilan udara yang besar untuk mengalirkan udara sejuk ke sistem penyejukkan enjin dan sistem brek. Kemudian ia diberikan spoiler yang bersambung terus dengan kedua-dua overfender hadapan yang kelihatan seperti terapung. Rekaan hampir sama tampil pada fender belakang.

    JCW GP ini kemudiannya diberikan spoiler belakang yang cukup besar dengan dua bilah sayap. Juga seperti bahagian hadapan, overfender kelihatan bersambung dengan bampar belakang, dan terus dihubungkan kepada diffuser yang bersaiz besar.

    Model ini juga kelihatan lebih funky dengan serlahan-serlahan unik. Kesemua panel overfender yang dipadankan diperbuat dari bahan ringan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP). Menurut MINI, bahan untuk menghasilkan komponen tersebut adalah dikitar semula dari produksi BMW i3 dan i8, yang kemudiannya diperhalusi lagi. MINI turut memberikan nombor unik yang tidak sama pada setiap unit dari “0001” hingga “3000” pada overfender hadapan yang dihasilkan dari proses pindahan cat baharu.

    Model edisi terhad ini hanya dihasilkan dalam warna Racing Grey Metallic, dan kemudian diberikan logo-logo “GP” dengan warna Rosso Red Metallic Matt pada tempat sepatutnya, bersama serlahan-serlahan Chilli Red pada gril hadapan, pelekat badan sisi dan pada spoiler belakang.

    Perincian lain diberikan pada bahagian luaran MINI JCW GP ini termasuk kemasan hitam pada sekeliling lampu hadapan, bahagian tengah gril, logo MINI, lampu belakang, penutup tangki petrol dan juga pada pembuka pintu. Seperti model-model MINI terbaharu lain, lampu belakang model ini turut diberikan grafik bendera British ‘Union Jack’.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberikan tempat duduk sport yang dibalut dengan gabungan Dinamica dan kulit, bersama serlahan jalur perak pada setiap sisi, jahitan benang merah dan juga logo GP. Bagi mengurangkan beratnya, tiada tempat duduk diberikan pada bahagian belakang.

    Nombor unik yang dicetak pada overfender luar tadi turut dicetak pada bahagian kabin. Tetapi ia bukan dalam cetakan biasa, sebaliknya menggunakan pencetak 3D, diletakkan pada papan pemuka sebelah penumpang dan juga pada roda stereng yang turut dibalut kulit Nappa dan penanda tengah dari bahan logam.

    Logo-logo GP diberikan pada pelbagai tempat seperti pedal penukar gear dan juga pada karpet kaki. Manakala serlahan jalur merah pula menghiasi pelbagai bahagian termasuk pada tombol gear dan juga bar pengukuh di belakang tempat duduk.

     
     
  • Beli kerusi kanak-kanak yang ada kod QR – JKJR

    Beli kerusi kanak-kanak yang ada kod QR – JKJR

    Bagi ibubapa yang hendak membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), pastikan ia mempunyai label kod QR kerana ia mengandungi maklumat terperinci mengenai garis panduan keselamatannya.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Nasri Ishak, ketika ini pengeluar CRS sudah dimaklumkan mengenai label kod QR daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan hanya kerusi yang mempunyai label itu saja dibenarkan dijual di negara ini.

    Tambahnya lagi, maklumat yang terdapat dalam garis panduan CRS itu termasuk kelulusan pensijilan, kaedah pemasangan dalam kenderaan dan kesesuaian pemakaian mengikut kategori berat serta tinggi.

    “CRS yang mempunyai label kod QR menunjukkan ia mengikut piawaian United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Regulation (Peraturan) 44 dan 129. Oleh itu, ibu bapa perlu pastikan label itu ada pada CRS sebelum beli. Bagi pembelian dalam talian juga perlu pastikan label ini ada jika tidak mereka boleh pulangkan semula kepada penjual.

    Beli kerusi kanak-kanak yang ada kod QR – JKJR

    “Pembelian CRS tanpa label ini jelas menunjukkan ia tidak mengikut piawaian dan boleh memberi risiko nyawa anak jika menggunakannya,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Nasri turut berkata, CRS sudah lama dijual dan digunakan di negara ini tetapi setakat ini tiada pemantauan sama ada terdapat kerusi yang tidak berkualiti digunakan.

    Mulai 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan nyawa bayi dan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan. MIROS turut menetapkan tiga kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kerusi itu iaitu jenis kereta, kerusi dan saiz kanak-kanak.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai garis panduan CRS, sila layari laman web JKJR.

     
     
  • Ford Ranger T6 2020 diperkenalkan di Thailand – model FX4 baru, Wildtrak dan Raptor kini dengan AEB

    Ford Ranger T6 2020 diperkenalkan di Thailand – model FX4 baru, Wildtrak dan Raptor kini dengan AEB

    Ford Ranger T6 kini telah pun diperkenalkan dengan sedikit kemaskini untuk versi tahun 2020 bagi pasaran Thailand, diikuti sekali dengan pengenalan Ranger FX4 2.2 Hi-Rider. Versi FX4 berkenaan dijual pada harga 899,000 baht (RM124k) dan menggunakan asas daripada varian XLT sedia ada.

    Unit kuasanya ialah enjin 2.2 litre Duratorq TDCi yang menghasilkan 160 hp pada 3,200 rpm dan 385 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 2,500 rpm. Ia dipadankan pula dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional. FX4 datang dengan harga 30,000 baht (RM4.1k) lebih mahal berbanding model XLT di sana.

    Antara kelainan yang ditampilkan ialah penggunaan rim 18-inci dengan tayar bersaiz 265/60, gril hitam baru, bampar depan dan belakang yang juga hitam, dan diikuti dalam skema warna yang sama untuk lampu sisi, perumah lampu kabus, pemegang pintu, sports bar dan juga pelekat FX4. Di dalam, ia menggunakan kemasan hitam yang dikontraskan dengan jahitan merah.

    Ford Ranger T6 2020 diperkenalkan di Thailand – model FX4 baru, Wildtrak dan Raptor kini dengan AEB

    Selebihnya, ia mirip kepada Ranger XLT. Antara ciri yang ada termasuk sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, paparan maklumat 4.2-inci berwarna, stereng balutan kulit dan cermin sisi lipatan elektrik. Pilihan warna badan luaran pula terdiri daripada Arctic White, True Red dan Meteor Grey.

    Ranger Wildtrak juga diberikan kemaskini, termasuk rim 18-inci dengan enam jejari berkembar dan tayar 265/60. Lampu projektornya bersegi, dengan pencahayaan bi-LED. Model 4WD kini dilengkappi port USB di belakang cermin pandang belakang untuk kegunaan dashcam.

    Ranger Raptor juga menerima sedikit pembaharuan, terutamanya penggunaan lampu bi-LED dan port USB di belakang cermin pandang belakang. Lebih penting, ia menerima peningkatan dari sudut keselamatan; datang sekali dengan ciri AEB dengan pengesanan pejalan kaki dan kenderaan, bantuan mengekalkan lorong dan amaran pra-perlanggaran – tetapi masih tiada sistem peninjau titik buta.

     
     
  • Tiada saman dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan kerusi kanak-kanak – Loke

    Tiada saman dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan kerusi kanak-kanak – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengesahkan tiada sebarang saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya yang bermula Januari 2020. Tambahnya, kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

    “Saya faham mentaliti rakyat Malaysia…kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30% sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

    “Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat…kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tiada saman dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan kerusi kanak-kanak – Loke

    Loke berkata pihaknya juga telah mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10% kepada 5% daripada Kementerian Kewangan (MOF).

    “Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS. Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia, lahir dari impian Rifat Sungkar

    Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

    Kita di Malaysia, malah di serata dunia mungkin sedang menyaksikan kebangkitan model-model SUV. Namun perkara ini agak berlainan di Indonesia – di sana, MPV tujuh-tempat duduk adalah segmen yang paling laris, malah pelbagai banyak pengeluar menghasilkan MPV mereka di negara tersebut, dan ia direka berdasarkan selera dan bentuk muka bumi Indonesia.

    Antara MPV berkenaan adalah Toyota Kijang (Unser) dan Innova, Toyota Avanza, Suzuki Ertiga, serta terdapat juga model MPV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform hatchback segmen-A seperti kembar Toyota Calya dan Daihatsu Sigra yang dihasilkan dari Toyota Agya/Daihatsu Alya/Perodua Axia bagi membolehkan dijual sebagai model Low Cost Green Car – melayakkan ia menerima potongan cukai dan dijual pada harga yang sangat mampu milik.

    Pada tahun 2017, Mitsubishi juga sudah mula masuk ke pasaran yang sama dengan memperkenalkan model Mitsubishi Xpander iaitu versi produksi model konsep Mitsubishi XM yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016. Model ini juga dibangunkan di Indonesia, dan kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha yang terletak di Cikarang, Indonesia adalah satu-satunya fasiliti di dunia yang memasang MPV dengan gaya SUV tersebut.

    Kehadiran model ini benar-benar telah memikat hati bintang rali Indonesia iaitu Rifat Sungkar. Rifat yang memang terkenal sebagai enthusiast Mitsubishi dan pernah berlumba dengan pelbagai model termasuk Lancer Evolution dan Pajero bukan sahaja terpikat dengan rupa garang pada Xpander, malah menurutnya MPV berkenaan mempunyai pengendalian terbaik berbanding saingannya yang lain.

    Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

    Rifat juga menyatakan bahawa dia diberitahu oleh jurutera Mitsubishi sendiri bahawa Xpander ini dihasilkan dengan DNA kuat dari Lancer Evolution X, sebab itulah ia memberikan respon dan pengendalian yang cukup baik. Rifat yang juga mempunyai garaj ubahsuainya sendiri iaitu RFT Motorsport, telah menimbang Xpander persendiriannya dan terkejut MPV tersebut dihasilkan dengan nisbah berat hampir sempurna seperti sebuah kereta sport sebenar iaitu 50.1% di hadapan serta 49.9 di belakang!

    Rifat juga mula mengkaji spesifikasi jentera dalam kelas AP4 yang diformulasikan oleh FIA, iaitu kelas tertinggi dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat masa sekarang bagi menggantikan Group N.

    Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia bermaksud Asia Pasifik 4WD dan kategori ini berada tahap yang sama dengan kategori R5, dan ia dibuat khas hanya untuk APRC. Kategori ini dihasilkan oleh komuniti rali Asia Pasifik kerana kepupusan jentera-jentera Group N seperti Mitsubishi Lancer Evolution yang secara asasnya adalah model produksi dari kilang yang hanya diberikan rollcage, penukaran sistem suspensi serta hanya talaan kotak komputer untuk membolehkan ia terus berlumba dalam rali.

    Jentera yang masih ada dalam pasaran, Subaru WRX STI misalnya juga kini sudah tidak kompetitif kerana saiznya yang terlalu besar, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan jentera WRC dan R5 yang kini sudah beralih menggunakan hatchback segmen-B. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

    Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

    Berbanding jentera R5 yang masih perlu menggunakan geometri suspensi hadapan sama seperti model produksi, kesemua jentera-jentera AP4 pula perlu dibina dengan menggunakan formulasi geometri suspensi yang sama untuk semua pasukan (secara asasnya, tidak kira jenama, kesemua jentera AP4 ini boleh bertukar komponen suspensi antara mereka), secara tidak langsung ‘memurahkan’ lagi kos untuk membinanya.

    Namun dengan undang-undang formulasi AP4 yang lebih ‘ringan’, jentera-jentera tersebut hanya boleh bertanding dalam rantau Asia Pasifik sahaja, berbanding R5 yang boleh bertanding di seluruh dunia termasuk kategori kedua tertinggi dalam WRC iaitu WRC2.

    Untuk enjin pula, sama seperti R5, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L, tetapi dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), manakala berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Tetapi ada juga jentera AP4 yang dijana oleh enjin 2.0 liter seperti Toyota C-HR AP4 yang dihasilkan Cusco, tetapi ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.

    Jadi setelah Rifat berbincang dengan kenalan-kenalan khususnya dalam komuniti rali, untuk menghasilkan sebuah Xpander dengan spesifikasi AP4 bukanlah satu perkara mustahil. Semangat Rifat juga terus membuak-buak untuk melihat impian ini menjadi realiti setelah melihat imej bayangan Xpander AP4 tersebut yang dihasilkan oleh seorang pereka grafik dan artis automotif bernama Yoga Budi Widiantoro di laman instagram.

    Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

    Setelah itu, Rifat tidak lagi menoleh kebelakang. Beliau mengambil inisiatif sendiri bagi menghasilkan sebuah model konsep Xpander AP4, yang lengkap dengan kit badan, rollcage penuh serta suspensi bersama rim dan tayar rali, kemudian kereta itu didedahkan di booth Mitsubishi ketika berlangsungnya Indonesia International Motor Show (IIMS) 2019 pada April tahun ini.

    Kemudian bagi menghasilkan Xpander AP4 sebenar, Mitsubishi telah membawa projek tersebut ke Ralli Art New Zealand. Di sana, Xpander berkenaan bukan sahaja menerima badan yang lebih kuat dan diberikan rollcage penuh, malah ia juga menerima pengubahsuaian suspensi mengikut geometri formulasi AP4 bersama sistem pacuan empat roda.

    Enjin? Sama seperti Proton Iriz R5, perut Xpander AP4 ini disumbatkan dengan enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Exo X yang dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter ke 1.6 liter, ditala bagi menghasilkan 350 hp dan tork maksima 556 Nm untuk menggantikan enjin MIVEC 1.5 liter asal. Untuk penampilan luaran serta bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik, Xpander AP4 ini menerima fender berkotak yang lebih lebar mirip jentera-jentera R5 dan WRC terkini bersama spoiler belakang yang agak besar.

    Akhirnya Mitsubishi Xpander AP4 sebenar berkenaan membuat kemunculan rasminya pada Julai lalu. Di bawah pasukan yang digelar Xpander Rally Team (XRT) jentera tersebut dijadualkan untuk mula berlumba pada Gold Rush Rally New Zealand pada 16 dan 17 Ogos 2019, serentak dengan Hari Kemerdekaan Indonesia.

    Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

    Tetapi segala yang dirancang tidak menjadi. Ini kerana Xpander AP4 berkenaan masih belum menerima homologasi penuh dari FIA pada tarikh tersebut, menyebabkan Rifat dan pasukan XRT terpaksa menyewa sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI bagi menghabiskan rali berkenaan.

    Menurut pengurus pasukan XRT, Julian Johan dalam laporan CNN Indonesia, Xpander lambat menerima kelulusan homologasi tersebut kerana FIA terkejut dengan permohonan yang dihantar pasukannya; ini pertama kali mereka menerima permohonan untuk homologasi sebuah MPV menjadi jentera rali! Ia agak menyukarkan kerja dari pihak FIA kerana mereka tidak ada pengalaman dalam menganalisa casis sebuah MPV sebelum ini.

    Khabar terbaharu yang kami terima, Mitsubishi Xpander AP4 ini telah selesai semua sesi ujiannya di New Zealand pada awal bulan ini. Selepas ini, ia bakal dibawa pulang ke Indonesia dan akan mula membuat penampilan dalam perlumbaan pertamanya mungkin pada tahun hadapan.

    Rifat Sungkar sendiri berharap sekiranya Xpander AP4 berjaya mendatangkan impak, ia bakal menjadi trendsetter bagi menyaksikan lebih banyak MPV dari jenama lain untuk beraksi dalam gelanggang rali, seperti perubahan dari sedan ke hatchback yang berlaku dalam WRC.


     
     
  • ‘Kereta terbang’ bakal diuji ialah dron Ehang China

    ‘Kereta terbang’ bakal diuji ialah dron Ehang China

    Selepas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyebut tentang “kereta terbang” di Dewan Rakyat semalam, yang katanya akan diuji Khamis ini, ramai yang beranggapan yang dimaksudkan itu ialah unit dengan nama Vector, dan syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek itu ialah Aerodyne Group.

    Andaian ini tentulah sangat berasas; model skala Vector – yang ketika itu didakwa sebagai sebuah prototaip – pertama sekali muncul di depan khalayak ramai ketika pameran LIMA 2019 pada bulan Mac lalu, dan ketika itu juga nama Aerodyne mula disebut-sebut dan dikaitkan dengan projek berkenaan. Petunjuk yang agak jelas waktu itu, ia merupakan sebuah projek yang melibatkan syarikat tempatan, dan ‘kereta terbang’ yang dimaksudkan ialah dron saiz besar yang menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI).

    Namun, selepas berita tentang pandu uji ‘kereta terbang’ itu tersebar semalam, dan selepas membuat pengesahan maklumat, sesi berkenaan yang direncanakan di adakan di Subang, Khamis ini sebenarnya tidak melibatkan Aerodyne Group. Serta-merta persoalan baru timbul; syarikat mana yang dimaksudkan oleh menteri tersebut, dan ‘kereta terbang’ yang mana satu akan diuji?

    Sebuah laporan susulan Berita Harian kemudiannya memberi suluh kepada duduk letak perkara sebenar; unit yang didakwa akan diuji itu dilaporkan sebagai sebuah usahasama Malaysia-China. Cuma, selepas pemerhatian lebih lanjut, model yang dimaksudkan itu ialah Ehang 216, hasil rekaan sebuah syarikat dari China – memetik laporan Berita Harian yang sama, ia adalah produk syarikat yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd.

    Untuk di bawa ke sini, ia di dakwa melibatkan usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited. Jelas sekali ini adalah syarikat kerja sama untuk membawa masuk dan menguruskan operasi dron besar berkenaan. Kembali menjadi persoalan ialah, jika Ehang itu adalah rekaan syarikat China, apa “pembangunan tempatan” yang ada pada model berkenaan, seperti yang kerap ditegaskan oleh menteri yang sama sebelum ini?

    Indonesia Akan Beli 1,000 Super Dron

    Indonesia memeterai perjanjian bernilai RM1.569 bilion bagi pembelian Super Dron dengan Kepintaran Buatan (AI) mengangkut penumpang yang pertama diperkenalkan syarikat tempatan, EastCap Berhad di Jakarta, Indonesia, semalam.Ketua Pegawai Eksekutif EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, langkah sebagai permulaan kerjasama dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI) untuk memangkin sektor pelancongan di negara itu.Dalam satu kenyataan media, beliau merangkap Pengarah Urusan EastCap Berhad berkata, RKI akan membuat pembelian sebanyak 1,000 unit Super Dron pertama.Kerjasama RKI dengan EastCap juga bagi memperkenalkan pengangkutan mudah alih pintar itu untuk kegunaan operasi pengangkutan logistik perhubungan mengangkut penumpang khususnya di pulau-pulau sekitar Indonesia.Turut akan diperkenalkan penggunaan 'Power Bank' dengan kapasiti tinggi sebagai alat bantuan bagi kegunaan isi rumah ketika berlakunya bekalan elektrik terputus khususnya di kawasan luar bandar serta kerjasama dalam perladangan padi.EastCap Berhad sebelum ini menjalinkan usahasama dengan syarikat dari China, EHang Intelligent Equipment di Guangzhou dan Strong Rich Holdings Limited.Langkah bagi memperkenalkan Super Dron sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

    Posted by Buletin TV3 on Sabtu, 17 Ogos 2019

    Memang betul, Ehang sejak awal lagi dibangunkan untuk menjadi Autonomous Aerial Vehicle (AAV), dan sudah banyak menjalankan ujian penerbangan di seluruh dunia. Itu tidak dinafikan. Cuma, jika model dari China inilah akhirnya yang dimaksudkan oleh menteri berkenaan selama ini, sekali lagi kami ingin bertanya; apa yang “pembangunan Malaysia” tentang projek ini?

    Sehingga penjelasan rasmi lebih lanjut diberikan oleh pihak-pihak terlibat, ia hanya kelihatan bahawa kita sekadar bertindak sebagai pengedar untuk produk sedia ada dari China itu, dan bukanlah terlibat sama di dalam pembangunan produk berkenaan. Harapnya Khamis nanti akan lebih banyak maklumat yang didedahkan berkaitan hal ini.

    EastCap Bhd adalah sebuah syarikat tempatan diterajui oleh Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari yang bertindak menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya. Dan, carian mudah di media sosial akan mempertemukan kita dengan aktiviti pemasaran yang dilakukan oleh EastCap.

    Antaranya berita tentang Perjanjian Pembelian 1,000 unit dron di antara EastCap Berhad dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI). Tak ada apa yang salah tentang ini, melainkan ia mengukuhkan lagi bahawa kita hanya bertindak selaku pengedar atau penjual dron AAV berkenaan, bukan sebagai pembangun teknologi atau pereka kenderaan terbabit.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2020 – perincian spesifikasi, empat varian, harga antara RM65k-RM86k

    Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2020 – perincian spesifikasi, empat varian, harga antara RM65k-RM86k

    Semalam, Mitsubishi telah melancarkan Mirage dan Attrage facelift 2020 di Thailand, dan sekarang kami bawakan pula kepada anda spesifikasi dan kelengkapan yang ada pada kenderaan tersebut. Rupa luaran dua model ini telah diubah, bersama penambahan beberapa ciri lain.

    Untuk harga, antara keduanya, Mirage adalah lebih murah, dengan harga yang bermula 474,000 baht (RM65,300) untuk varian GLX manual, diikuti 509,000 baht (RM70,200) untuk GLX CVT, 574,000 baht (RM79,100) untuk GLS CVT dan 619,000 baht (RM85,300) untuk GLS-LTD CVT. Attrage pula dijual pada harga masing-masing 494,000 baht (RM68,100), 529,000 baht (RM72,900), 579,000 baht (RM79,800) dan 624,000 baht (RM86,000) mengikut varian.

    Secara teknikalnya, ini adalah facelift kedua untuk Mirage dan Attrage, dengan kedua-duanya sekarang berkongsi muka Dynamic Shield yang sama dengan lampu hadapan LED kombinasi pelbagai mentol lebih tebal, kemasan krom berbentuk ‘X’ dan gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah.

    Bahagian belakang juga diberikan perubahan yang sama untuk kedua-duanya, yang termasuk pemantul cahaya menegak di hujung bampar dan hiasan seperti diffuser di bawah. Dalam keadaan standard, Mirage mendapat lampu utama halogen reflector, gril krom, lampu belakang LED serta rim besi 14 inci, sementara varian GLS dan GLS-LTD mendapat lampu depan bi-LED, gril merah dan rim aloi 15 inci – lapan cabang, dua tona pada Mirage dan warna perak untuk Attrage.

    Di dalam, sedikit saja perubahannya iaitu pilihan balutan tempat duduk untuk varian GLS-LTD paling atas (varian lain menggunakan fabrik biasa). Pada Mirage, anda akan mendapat balutan gabungan kulit tiruan dan fabrik dengan corak bersilang, manakala Attrage menggunakan kulit tiruan sepenuhnya. Semua model mendapat sistem infotainmen baru dengan skrin sesentuh tujuh inci, fungsi kawalan suara Siri Eyes Free serta boleh digunakan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kelengkapan standard lain termasuk roda stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras atas dan bawah, paparan pelbagai info dan tempat duduk pemandu yang tingginya boleh dilaras secara manual; model CVT juga mendapat perehat tangan di tengah. Varian GLS pula ditambah lagi dengan roda stereng balutan kulit, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, manakala GLS-LTD mendapat lampu depan automatik, cruise control, pendingin hawa automatik, tombol gear balutan kulit dan cermin pandang belakang kelam sendiri.

    Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2020 – perincian spesifikasi, empat varian, harga antara RM65k-RM86k

    Bagi aspek keselamatan, semua model mendapat dua beg udara, ABS dan EBD dengan Brake Assist, Stability Control dan cagak ISOFIX di belakang, sementara varian GLS dan GLS-LTD terus ditawarkan dengan brek kecemasan autonomous kelajuan rendah dan pencegah salah guna pedal. Kamera undur dipasang pada varian GLS-LTD.

    Bahagian mekanikal masih tidak diubah, di mana dua model ini masih menggunakan enjin petrol tiga silinder MIVEC NA yang mampu menghasilkan kuasa 78 PS pada 6,000 rpm dan 100 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima kelajuan ataupun CVT. Walaupun tiada sebarang perubahan, Bangkok Post melaporkan model ini menepati peraturan program kenderaan Eco Thailand fasa kedua (kecekapan penggunaan bahan api minimum 23.3 km/l dan emisi maksimum 100 g/km).

     
     
  • Renault Triber 2019 dilancar di Indonesia – dari RM40k

    Renault Triber 2019 dilancar di Indonesia – dari RM40k

    Akhirnya Renault melancarkan Triber baharu untuk pasaran Indonesia setelah tempahannya dibuka sejak Ogos lalu. MPV tiga barisan tempat duduk ini tampil lebih bergaya dengan rekaan ala SUV, diletakkan di bawah kategori Low Cost Green Car di negara berkenaan. Ia bakal memberikan persaingan terhadap model seangkatannya termasuk Toyota Calya, Daihatsu Sigra dan Datsun GO+. Malah turut memberikan pesaingan terhadap kelas MPV bajet termasuk Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, Honda Mobilio, Suzuki Ertiga, serta Mitsubishi Xpander dan Nissan Livina.

    Triber diasaskan dari platform Alliance CMF-A dan berukuran sepanjang 3,990 mm. Ia menawarkan enam varian, dengan harga bermula 133 juta rupiah (RM40k) hingga 170 juta rupiah (RM50k).

    Kesemua varian dijanakan oleh enjin 1.0 liter naturally-aspirated tiga-silinder, dengan hamburan kuasa 72 hp dan tork 96 Nm. Pilihan transmisi sama ada manual lima-kelajuan atau manual automatik (AMT) lima-kelajuan.

    Antara ciri yang ditampilkan termasuklah paparan pelbagai-info 3.5-inci dengan digital speedometer, unit utama skrin sesentuh 8.0-inci dengan Apple CarPlay, corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk, kemasukan tanpa kunci dengan ‘kad pintar’ Renault dan butang penghidup enjin dengan pengunci auto serta rim aloi 15-inci. Untuk keselamatan, ia turut didatangkan dengan ABS dan empat beg udara, kamera undrue dan pengesan undur.

    Barisan ketiga tempat duduk MPV ini boleh ditanggalkan sepenuhnya untuk memberikan lebihan ruang but sehingga 625 liter. Renault berkata, Triber juga boleh memberi saingan untuk hatchback lima-tempat duduk, walau pun memiliki jarak kelegaan tanah sekitar 182 mm. Di India, pengeluar kereta Perancis itu berkata, kos pemilikan Triber adalah 20% lebih kurang berbanding hatch segmen-B.

    Penghantaran Triber akan bermula pada Disember ini, walau terhad untuk model manual. Pembeli juga boleh memilih AMT tetapi perlu menunggunya sehingga April 2020. Setakat ini, sebanyak 1,500 tempahan telah diterima dan 78% dari pembeli memilih model tertinggi RXZ AMT.

     
     
  • Michelin lantik pengarah urusan baru untuk Malaysia

    Michelin lantik pengarah urusan baru untuk Malaysia

    Michelin telah mengumumkan pelantikan Tushar Gupta sebagai Pengarah Urusan baru bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei. Beliau menggantikan Pascal Nouvellon yang dinaikkan pangkat untuk menjawat peranan global di ibu pejabat Michelin, Perancis. Pelantikan tersebut telah berkuat kuasa sejak 1 September 2019.

    Berbekalkan ijazah perakaunan bertauliah dan MBA dari Sekolah Perniagaan Fuqua, Universiti Duke, Tushar Gupta menyertai Michelin Group pada tahun 2010 sebagai Pengurus Pembangunan Korporat bagi Asia Tenggara, Australia dan India. Pada tahun 2012, beliau memegang jawatan Pengarah Pembangunan Korporat Global di Clermont Ferrand, Perancis.

    Beliau kemudian menjawat sebagai Pengarah Zon, Michelin Aviation Tyres, Asia Pasifik pada tahun 2016 sehingga Julai tahun ini, di mana beliau telah membawa kejayaan dalam perniagaan tayar pesawat di Asia melalui campur tangan strategik, penstrukturan semula dan perkhidmatan pelanggan yang dipertingkat.

    “Setelah menjadi sebahagian daripada keluarga Michelin sejak hampir sedekad, saya berasa teruja dengan peluang yang diberi ini untuk membawa organisasi kami lebih jauh ke hadapan dalam industri automotif dan tayar – terutamanya di Malaysia yang memperlihatkan pasaran kukuh menerusi jenama-jenama kami seperti Michelin, BFGoodrich dan TYREPLUS,” jelas beliau.

    Berbekalkan 15 tahun pengalaman dalam pelbagai industri termasuk kimia, automotif dan penerbangan, beliau akan memastikan Michelin terus mendukung polisi dan strategi yang memberi tumpuan utama kepada pengguna.

     
     
  • Alex Marquez sah sertai Repsol Honda dalam MotoGP

    Alex Marquez sah sertai Repsol Honda dalam MotoGP

    Selepas Jorge Lorenzo mengumumkan persaraan daripada perlumbaan profesional, dan perlumbaan terakhir beliau diraikan begitu meriah di Valencia GP, Honda Racing Corporation terus mengumumkan pengganti. Ada khabar angin yang mengatakan tempat ini akan diisi oleh Johann Zarco, tapi nampaknya yang dipilih adalah adik Marc Marquez sendiri iaitu Alex Marquez.

    Ini menunjukkan satu lagi langkah ke hadapan bagi Alex, yang sekarang sudah pun memegang gelaran World Champion sebanyak dua kali iaitu satu semasa dalam Moto3 dan satu lagi untuk musim 2019 ini dalam kategori Moto2.

    Antara pencapaian lain Alex adalah 38 kali naik podium, 12 kali menang tempat pertama, 15 kali memulakan perlumbaan di tempat pertama (pole position) dan merupakan pelumba Sepanyol kelima yang memenangi gelaran juara dalam Moto2 selepas Toni Elias, Marc, Pol Espargaro dan Tito Rabat.

    Alex Marquez sah sertai Repsol Honda dalam MotoGP

    Setakat ini pencapaian Alex agak memberangsangkan, dan jika beliau dapat terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan menunggang RC213V-S musim 2020, pelumba lain dalam kategori MotoGP akan berhadapan cabaran yang lebih sengit.

    “Sudah tentu saya gembira dengan berita ini. Dalam situasi yang kritikal dengan persaraan Lorenzo dan masa yang suntuk, agak sukar untuk mencari pelumba baru. Walaupun dalam keadaan itu, saya tidak memaksa Honda dan tidak memaksa Alex untuk membuat sebarang keputusan,” kata Marc.

     
     
  • Mazda 3 dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Dunia Untuk Wanita 2019 di Dubai International Motor Show

    Mazda 3 dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Dunia Untuk Wanita 2019 di Dubai International Motor Show

    Mazda3 baharu telah dinamakan sebagai Kereta Terbaik Dunia Untuk Wanita 2019 dengan menewaskan pesaing terdekatnya termasuk Audi e-Tron Quattro, BMW 3 Series G20, Tesla Model 3 dan Volvo S60.

    Malah model ini turut dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Famili 2019 dalam penganugerahan Car Of The Year (COTY) di Dubai International Motor Show yang berlangsung di Dubai hujung minggu lalu.

    Lain-lain pemenang kategori termasuklah Kia XCeed yang menerima anugerah Kereta Urban, dan Kia Soul EV pula terpilih sebagai Kereta Hijau Tahunan Dunia. Manakala BMW 8 Series memenangi anugerag Kereta Mewah, sementara anugerah Kereta Prestasi menjadi milik Porsche 911. Manakala Range Rover Evoque baharu pula dinamakan sebagai SUV/Crossover Tahunan.

    Mula diperkenalkan pada 2010, anugerah Kereta Terbaik Dunia untuk Wanita diadili oleh panel juri wanita dari 30 buah negara, dan pengadilan berdasarkan kriteria yang diperlukan oleh seorang wanita untuk membeli kereta. Ini termasuklah aspek keselamatan, nilai pada wang, penampilan estetika, ruang penyimpanan, mesra kanak-kanak, kemudahan pemanduan, warna, tarikan jantina dan juga undur-unsur menarik yang melibatkan sifat kewanitaan.

    Mazda 3 baharu dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, dan ditawarkan dengan tiga varian (1.5, 2.0 High dan 2.0 High Plus) serta dua bentuk badan (sedan dan hatchback).