Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Prasarana catat 1.4 juta penumpang sehari bagi perkhidmatan pengangkutannya – 900k pada 2018

    Prasarana catat 1.4 juta penumpang sehari bagi perkhidmatan pengangkutannya – 900k pada 2018

    Bagi tahun 2019, Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Kumpulan Prasarana) berjaya mencapai lebih 1.4 juta penumpang sehari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awamnya di seluruh negara. Ia menunjukkan peningkatan berbanding sekitar 900,000 sehari pada tahun lalu.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pencapaian itu didorong minat dan kecenderungan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin meningkat dan memberangsangkan.

    “Prasarana mengubah wajah sistem pengangkutan awam negara dan memacu gaya hidup baru warga kota dengan mempromosikan pembangunan berorientasikan transit (TOD). Hari ini, Kumpulan Prasarana mengendalikan lebih 1.4 juta penumpang sehari termasuk pengguna bas di Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Kamunting dan Manjung di Perak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya lagi, Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mencapai 329,406 penumpang sehari diikuti LRT laluan Ampang/Sri Petaling (213,158 penumpang) sementara 215,833 penumpang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang. Manakala bagi laluan monorel ialah 40,094 penumpang, Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway (16,444), bas henti-henti RapidKL (317,803) dan bas perantara MRT (56,952).

    “Walaupun jumlah capaian penumpang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, namun masih jauh daripada sasaran 30% nisbah mod pengangkutan awam menjelang 2030,” katanya lagi.

     
     
  • Hankook Ventus Prime 3 K125 kini tiba di Malaysia

    Hankook Ventus Prime 3 K125 kini tiba di Malaysia

    Hankook kini memperkenalkan model tayar terbaru di Malaysia, dikenali sebagai Hankook Ventus Prime 3 (K125). Disifatkan sebagai tayar prestasi tinggi ultra, ia memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselamatan bagi memenuhi keperluan gaya pemanduan antara sisi sport dan keselesaan.

    Bagaimanapun, ini bukan tayar khusus untuk prestasi. Hankook Ventus Prime 3 bukan hanya memberi tumpuan kepada prestasi, tetapi turut mempunyai ciri praktikal yang popular seperti yang terdapat pada Ventus V12 evo2. Tayar baru ini antara lain menjadi pilihan OEM di Eropah, dan digunakan pada model seperti Ford Focus Active dan Citroen C3 Aircross.

    Rekaan corak bunganya mengambil kira ciri kecekapan dan cengkaman jalan basah, dengan tiga bahagian yang luas untuk lebih sentuhan pada permukaan jalan. Tayar berkenaan menggunakan silika sebagai bahan utama, yang disifatkan terbaik untuk cengkaman serta rintangan golek, serta bahagian dinding tayar yang kukuh dan tahan lama serta.

    Hankook Ventus Prime 3 K125 kini tiba di Malaysia

    Tayar K125 ini juga menjadi kebanggaan Hankook kerana dinobatkan tempat pertama di dalam ujian tayar musim panas 2018 oleh Auto Bild, Jerman serta kemenangannya di dalam Red Dot Award bagi Rekaan Produk 2016. Ventus Prime 3 ditawarkan di dalam saiz 15 hingga 18-inci, dan untuk SUV, saiz 18 dan 19-inci turut akan dijual. Harga permulaan yang dicadangkan ialah RM180.

    “Hankook Ventus Prime 3 adalah siri tayar yang dibangunkan untuk memberikan kelebihan dari segi prestasi, comfort, safety dan mesra alam. Saya yakin dengan pengenalannya untuk pasaran Malaysia, ia akan memberi manfaat kepada pengguna dan menyumbang kepada jualan tayar Hankook secara keseluruhannya di pasaran Asia,” ujar Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik Hankook, Park Jeong Ho.

     
     
  • Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah – kaji selidik IQS J.D Power 2019

    Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah  – kaji selidik IQS J.D Power 2019

    Menurut Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 yang dijalankan oleh J.D.Power, masalah yang dialami oleh pemilik-pemilik kenderaan baharu di negara ini didapati menurun berbanding dengan tahun lalu. Menurut firma berkenaan, langkah-langkah yang diambil oleh pengeluar dalam peringkat produksi di kilang adalah penyebab utama masalah-masalah tersebut berkurangan.

    Kaji Selidik Kualiti Awal dibuat untuk mengukur bilangan masalah yang diambil dari 100 kenderaan (PP100) dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan, di mana bilangan yang rendah mewakili kualiti yang lebih tinggi. Dalam kaji selidik tahun ini, purata industri telah menurun kepada 85 PP100, dari 89 PP100 dalam tahun 2018. Masalah yang dialami hampir sama rata di antara kategori reka bentuk (40 PP100) dan pengilangan (44 PP100).

    Kaji selidik ini mendapati bilangan masalah yang berkaitan dengan pengilangan telah berkurangan sepanjang tiga tahun lalu ke 51% dalam tahun 2019 dari 74% dalam tahun 2016. Punca majoriti dalam penurunan berbanding tahun lalu adalah dari aspek bunyi, seperti bunyi angin (-1.7 PP100); bunyi suspensi tidak normal (-1.1 PP100); bunyi dari tempat duduk (-0.9 PP100); bunyi transmisi tidak normal (-0.7 PP100); dan bunyi dari ruang penyimpanan yang lain (-0.3 PP100).

    Namun begitu, 36% daripada masalah pengilangan yang dilaporkan oleh pemilik kenderaan adalah berkaitan dengan bunyi. Secara purata, pemarkahan keseluruhan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan baharu lebih rendah di kalangan pemilik kenderaan yang melaporkan masalah bunyi berkaitan dengan isu pengilangan berbanding dengan mereka yang tidak (7.3 dan 8.2 masing-masing dalam skala 10 mata).

    Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah  – kaji selidik IQS J.D Power 2019

    Menerusi kaji selidik ini, J.D Power mendapati Honda telah menghasilkan kereta-kereta yang paling kurang masalah dalam segmen masing-masing – Honda Jazz mendahului segmen kenderaan bandar kompak dengan 68 PP100, Honda City mendahului segmen ‘entry’ saiz sederhana dengan 59 PP100, dan Honda CR-V mendahului segmen SUV bersaiz besar dengan 64 PP100. Manakala untuk segmen SUV kompak pula, diterajui oleh Perodua Aruz dengan 64 PP100.

    Sekarang kita teliti pula data-data tersebut untuk setiap segmen. Untuk segmen kenderaan bandar kompak, Perodua Axia berada di tempat kedua di belakang Jazz dengan 75 PP100. Tetapi apa yang mengejutkan, model antara yang dipercayai dalam pasaran iaitu Perodua Myvi mencapai 86 PP100, berada di bawah jumlah purata keseluruhan model-model segmen ini yang merekodkan 80 PP100.

    Beralih ke segmen ‘entry’ saiz sederhana pula, Honda City jauh meninggalkan Toyota Vios di tempat kedua dengan 74 PP100. Perodua Bezza pula berada di tempat ketiga dengan margin yang jauh lebih besar iaitu 103 PP100, menghampiri purata keseluruhan segmen iaitu 115 PP100.

    Bagi segmen SUV kompak pula, Honda HR-V mencatatkan 85 PP100, menunjukkan prestasi di bawah purata keseluruhan yang mencatatkan hanya 78 PP100. Honda BR-V pula menunjukkan prestasi yang jauh lebih ketinggalan dengan 125 PP100.

    Manakala dalam segmen SUV bersaiz besar, Mazda CX-5 mencatatkan 93 PP100, berada di bawah purata keseluruhan segmen yang hanya mencatatkan 85 PP100. Manakala SUV segmen-C paling laris buat masa sekarang, Proton X70 pula berada lebih jauh ke bawah dengan catatan 126 PP100.

    “Memandangkan pengguna kenderaan adalah lebih peka kepada bunyi-bunyian seperti berdengung, mencicit, berdetar dan berisik bising, para pengilang bukan sahaja harus meningkatkan proses pembuatan tetapi harus juga mengkaji semula panduan rekaan kenderaan bagi mengelakkan masalah-masalah ini dari terjadi di awal kitaran pemilikan kenderaan,”kata E-Ling Cheah, Pengurus Negara untuk Malaysia di J.D. Power.

    Antara lima masalah utama, empat masalah tertinggi yang dicatatkan tahun ini adalah sama dengan lima masalah teratas dalam tahun 2018. Bunyi angin yang berlebihan (5.9 PP100) dan bunyi jalan yang berlebihan (2.9 PP100) masih menjadi dua masalah teratas yang dilaporkan. “Masalah hubungan Bluetooth® dengan peranti/telefon bimbit” menjadi masalah ketiga paling banyak dilaporkan (2.7 PP100), meningkat dari tempat kelima tahun lepas (2.5 PP100). Masalah radio mendapat kedudukan keempat tahun ini (2.0 PP100).

    Juga sama sebelum ini, pelanggan lebih muda di bawah umur 35 tahun (57%) dilihat lebih cerewet dengan melaporkan lebih banyak masalah berbanding dengan mereka yang berumur 35 tahun ke atas (91 PP100 berbanding dengan 73 PP100, masing-masing). Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah dalam kategori ciri kawalan/paparan (+4.6 PP100) dan juga dalaman kenderaan (+4.5 PP100).

    Kaji selidik ini turut mendedahkan, 49% di kalangan pemilik kenderaan yang tidak melaporkan masalah menyatakan mereka “pasti akan” mengesyorkan jenama dan model kenderaan mereka kepada rakan atau saudara-mara, berbanding dengan 37% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dalam kenderaan mereka.

    Satu per tiga daripada pemilik kenderaan baharu yang tidak mengalami apa-apa masalah dengan kenderaan mereka menyatakan “pasti akan” membeli balik buatan yang sama di masa depan, berbanding dengan 26% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dengan kenderaan mereka.

    Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 ini dijalankan oleh J.D. Power dengan mengambil maklumbalas daripada 1,904 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Julai 2018 dan Ogos 2019. Kaji selidik ini melibatkan 50 model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti daripada 12 jenama. Kaji selidik ini dijalankan antara bulan Mac dan Oktober 2019.

    Ini adalah tahun ke-17, firma berkenaan membuat kaji selidik tersebut dengan meneliti masalah-masalah yang dialami oleh pemilik kenderaan baharu dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan menurut dua kategori yang berlainan iaitu masalah yang berkaitan dengan aspek reka bentuk kenderaan dan juga masalah ketidaksempurnaan dan kerosakan.

    Kaji selidik ini merangkumi soalan-soalan diagnostik yang spesifik dalam lapan kategori masalah: luaran; pengalaman memandu; ciri/ kawalan/ paparan; audio/ komunikasi/ hiburan/ navigasi; tempat duduk; pemanasan/ pengudaraan/ penghawa dingin; dalaman; dan enjin/ transmisi.

     
     
  • Finalis Kereta Tahunan Eropah 2020 diumumkan

    Bagi pemerhati dan pengikut industri automotif dunia, anugerah Kereta Tahunan Eropah antara yang dinanti-nantikan. Bagi siri tahun 2020, finalis ke peringkat akhir baru sahaja diumumkan, dan daripada 35 model kereta yang tersenarai, hanya tujuh model sahaja yang akan berentap hingga berjaya dinobatkan anugerah berprestij itu.

    Finalis untuk peringkat akhir ini telah disenarai pendek oleh 60 juri daripada 23 buah negara Eropah, dan undian terakhir akan dilakukan pada Februari hadapan sebelum pemenangnya bakal diumumkan di Geneva Motor Show.

    Pengeluar kereta Jerman akan diwakili oleh BMW 1 Series terkini dan juga Porsche Taycan semua-elektrik, manakala pengeluar Perancis pula mengetengahkan Peugeot 208 dan Renault Clio. Satu-satunya model Jepun yang masuk bertanding ialah Toyota Corolla, yang ditawarkan dengan tiga bentuk badan dan empat penjana kuasa di Eropah. Pesaing Corolla, Mazda 3 tidak berjaya sampai ke peringkat akhir walau pun telah memenangi Kereta Tahunan China 2019 dan Kereta Tahunan Thailand 2019.

    Lain-lain finalis yang tersenarai termasuklah Tesla Model 3, yang telah diiktiraf sebagai kereta elektrik terlaris di Eropah menurut laporan penerbitan JATO Dynamics. Dan melengkapkan senarai ialah Ford Puma, crossover kompak segmen-B yang diinspirasikan daripada SUV.

    “Senarai pendek ini mewakili hala tuju pembangunan semasa dalam perniagaan automotif. Kita dapat lihat elektrifikasi dalam proses seperti mana standard tertinggi bagi enjin pembakaran dalaman. Kenderaan elektrik diwakili oleh Porsche Taycan dan Tesla Model 3, manakala bagi pasaran semasa pula, Peugeot 208 juga akan dihadirkan dengan versi elektrik,” ujar Frank Janssen, presiden juri bagi Kereta Tahunan Eropah.

    Tambahnya lagi, “Hibrid yang menggunakan brek regeneratif menjadi kebiasaan dalam pengurangan bahan api dan emosi. Bukan sahaja Toyota yang mengetengahkan teknologi ini, bahkan Ford dan Renault turut berbuat demikian. Manakala BMW 1 Series yang masih menggunakan teknologi enjin pembakaran terbuka tetap memiliki potensi yang besar.”

     
     
  • Renault Espace facelift 2020 – gaya, ciri dipertingkat

    Renault Espace facelift 2020 – gaya, ciri dipertingkat

    Walaupun sekarang ini crossover dan SUV lebih diminati ramai, Renault Espace yang kini sudah memasuki generasi kelima masih lagi dijual dalam pasaran. Terbaru, ia diberikan facelift yang melibatkan pembaharuan gaya dan ciri teknikal.

    Kemasan hitam di keliling lengkuk roda dan tepi, serta skid plate warna perak masih lagi digunakan, tetapi ia sekarang datang dengan lampu Adaptive Matrix LED, manakala bampar pula ditambah dengan jalur krom di bahagian bawah.

    Skid plate belakang juga dijadikan lebih besar dan turut menempatkan dua muncung ekzos. Pilihan warna Vintage Red adalah baru, bersama rim yang direka semula dan hadir dengan unit 20 inci untuk varian paling tinggi.

    Renault Espace facelift 2020 – gaya, ciri dipertingkat

    Pada bahagian dalam, konsol tengah diberikan sedikit perubahan termasuk butang kawalan pendingin hawa yang dijauhkan daripada skrin sesentuh 9.3 inci, tempat simpan barang lebih besar serta butang untuk sistem Auto Brake Hold baru. Pilihan kemasan juga dinaik taraf dengan skema warna baru serta kulit Nappa dan Initiale Paris.

    Espace facelift ini juga mendapat sistem infotainmen Easy Link terbaru, dengan interface yang lebih mesra pengguna, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem navigasi dengan informasi trafik dan harga bahan api, kemas kini automatik, sambungan aplikasi telefon pintar yang membolehkan kereta dikawal dari jauh serta panel instrumen digital 10.2 inci. Sistem audio Bose yang disediakan sebagai pilihan tambahan pula dinaik taraf dengan 12 pembesar suara.

    Pada bahagian keselamatan, Renault Espace facelift ini dilengkapi dengan Highway & Traffic Jam Companion yang termasuk sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist yang mampu memberikan pemanduan semi-autonomous Level 2, pengesan pejalan kaki serta Autonomous Emergency Braking.

    Di bawah bonet, Espace ini menggunakan enjin petrol dan diesel terkini yang mematuhi standard WLTP, termasuk unit empat silinder petrol 1.8 liter turbo TCe yang diambil daripada Megane RS dan Alpine A110, dengan kemampuan 225 PS serta padanan transmisi Efficient Dual Clutch tujuh kelajuan. Enjin diesel pula adalah unit 2.0 liter Blue DCi dengan kemampuan 160 PS dan 350 Nm atau 200 PS dan 400 Nm tork, bersama padanan transmisi EDC enam kelajuan.

    MPV ini juga terus ditawarkan dengan sistem rear-wheel steering 4Control dan pemilih mod pemanduan Multi-Sense, tetapi penyerap adaptifnya sekarang lebih cekap dan boleh memberi lebih stabiliti. Sama seperti model sebelum ini, Espace masih cuma dikeluarkan dengan unit pemanduan sebelah kiri, jadi ia tidak akan tiba di negara kita.

     
     
  • Kia Futuron Concept – SUV Coupe AWD elektrik penuh

    Kia Futuron Concept – SUV Coupe AWD elektrik penuh

    Kia telah memperkenalkan SUV Coupe baharunya dalam bentuk model konsep yang diberi nama Futuron Concept, model pacuan semua-roda yang memberikan gambaran mengenai hala tuju rekaan terbaharu jenama ini untuk kenderaan elektrik akan datang. Penggayaannya menampilkan “Tiger Face” yang lebar yang menyaksikan penyatuan lampu utama hingga ke gril ‘tiger nose’.

    Buat pertama kalinya, ia turut menampilkan rekaan “Star Cloud”, di mana Kia berkata ia diinspirasikan dari nebula di langit malam. Rekaan ini digambarkan menerusi lampu utama LED matrix (bersama elemen rekaan Dragon Skin), serta grafik lampu belakang yang menyerlah. Jaluran LED yang melunjur hingga ke hujung sudut belakang cukup menyerlah bahagian tersebut.

    Malahan gambaran sporty turut diketengahkan bagi model SUV ini kerana Kia memang merancang untuk memberikan sentuhan yang lebih bergaya dalam rekaan kereta masa hadapannya. Futuron Concept berukuran 4,850 mm bagi panjangnya, setinggi 1,550 mm dan jarak rodanya pula 3,000 mm.

    Kia Futuron Concept – SUV Coupe AWD elektrik penuh

    Ia juga dikatakan sebagai kereta sport yang dibina dengan platform SUV, tetapi dengan ketinggian pengendalian yang rendah (untuk SUV) bagi menghasilkan postur yang lebih berdinamik. Kia turut berkata Futuron bakal dipadankan dengan penjana kuasa elektrik sepenuhnya, termasuk menampilkan bateri berkapasiti tinggi yang diletakkan di bawah lantai kabin. Kuasa didatangkan dari empat motor elektrik ‘in-wheel’ yang menawarkan pacuan semua-roda secara elektrifikasi dan tindak balas pendikit yang “sepantas kilat”.

    Kabin juga sarat dengan ciri futuristik. Ini termasuklah perumah kaca yang besar yang membentangi bahagian dalaman dengan pencahayaan natural, dan disepadukan dengan pengesan rangkaian LiDAR (light detection & ranging) yang membolehkan pemanduan sendiri Tahap 4. Empat tempat duduk pula diperbuat daripada material yang fleksibel yang menawarkan sudut kecenderungan, dan Kia berkata ia menawarkan pengalaman umpama penumpang kelas pertama dalam penerbangan.

    Apabila mod pemanduan-sendiri dihidupkan, roda stereng akan tertarik balik dan tempat duduk berubah menjadi kedudukan sifar graviti. Selain itu, reka bentuk kabin juga diperkayakan dengan lebih banyak elemen pencahayaan Star Cloud pada panel pintu dan corak Dragon Skin untuk sistem pengudaraan.

    Pemandu juga boleh menimkati graphical user interface (GUI) yang futuristik yang dibentangi sehingga ke pintu bahagian pemandu dan bersambung pada kluster instrumen dengan skrin infotaimen tengah. GUI dioperasikan oleh teknologi pintar buatan, dan menawarkan data pemanduan dari pemanduan sendiri, penjana kuasa dan juga navigasi. Cermin sisi juga telah digantikan dengan kamera untuk memberikan kemudahan yang lebih canggih.

     
     
  • Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Jika anda cakna dengan generasi Honda City, anda tentu tahu dari era 80’an hingga sekarang Honda telah menghasilkan tujuh generasi model dengan nama ‘City’ termasuk model generasi baharu yang baru didedahkan di Thailand semalam. Namun jika anda mengikuti siaran langsung pendedahan City Turbo tersebut, tentu anda perasan bahawa model itu dirujuk sebagai model generasi kelima. Mengapa?

    Jadi untuk mengetahui kenapa, mari saya bawa anda menyusuri kembali sejarah berkenaan tanda nama ‘Honda City’ ini. Honda mula menggunakan nama ‘City’ secara komersial pada tahun hujung tahun 1981, diletakkan pada sebuah hatchback yang lebih kecil dari Honda Civic – ketika ini Civic generasi kedua sedang berada dalam pasaran.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Honda City generasi pertama tersebut memberikan satu alternatif lain berbanding Civic kepada pelanggan. Selain dari lebih mampu milik, ia menampilkan rekaan bumbung dan juga kedudukan pemanduan yang lebih tinggi tetapi dimensi yang lebih pendek dari Civic – lebih sesuai untuk wanita kerana pandangan yang lebih jelas serta lebih mudah dikendali pada kawasan kecil dan sempit.

    Model ini juga sangat unik kerana ia hadir dengan sebuah motosikal kecil dengan enjin 49 cc digelar Honda Motocompo yang boleh dilipat dan diletakkan pada ruangan khas dalam but belakang. Ideanya, anda boleh meletakkan City ini pada satu tempat parkir, kemudian anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang sesak menggunakan Motocompo berkenaan.

    Hatchback tersebut dijana CVCC-II 1.2 liter dan hadir dalam versi tiga-pintu dan juga dua pintu cabriolet. Honda juga memperkenalkan versi lebih berkuasa City Turbo dijana enjin Combax 1.2L dengan pengecas turbo, berkuasa 100 PS/147 Nm! Untuk pengetahuan anda, City Turbo ini adalah projek oleh anak pengasas Honda (Soichiro Honda) sendiri iaitu Hirotoshi Honda, yang juga pengasas badan penala Mugen Honda.

    Kemudian pada tahun 1983, City hadir dengan model lebih agresif digelar City Turbo II. Model tersebut diberikan enjin yang sama, tetapi kali ini hadir dengan unit intercooler sebagai ciri standard dan juga pengecas turbo serta throttle body lebih besar, mengahasilkan kuasa setinggi 110 PS/159 Nm!

    Bukan sekadar enjin yang lebih berkuasa, City Turbo II ini menampilkan badan yang lebih lebar sehingga mendapat nama timangan “Bulldog”, dibuat untuk memberikan trek roda yang lebih lebar untuk pengendalian dan cengkaman roda yang lebih baik.

    Model generasi kedua City muncul pada tahun 1984. Dibina masih dengan konsep ‘Tall boy’ yang sama seperti model generasi pertama, model baharu diberikan rupa seakan Honda Civic dalam skala lebih kecil – ketika ini Civic generasi ketiga (SB3) a.k.a Civic Mayat berada dalam pasaran.

    Model ini dijana oleh enjin empat silinder 1.2L siri D iaitu D12A dengan 16-injap aci sesondol tunggal, menjana 76 PS. Kemudian pada tahun 1989, ia diperkenalkan dalam versi facelift dengan muka seakan Honda Civic generasi keempat (EF).

    City ini bukan sahaja hadir dengan muka lebih segar, ia juga ditawarkan dengan enjin 1.3L D13C, dan hadir dalam versi karburator dan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI. Ini juga adalah City terakhir yang dihasilkan di Jepun setelah produksinya tamat pada tahun 1994, dan ia juga telah mula menggunakan nama Fit, dan diteruskan pada Honda Fit JDM selepas itu.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Pada pertengahan era 90’an, Honda Civic secara beransur-ansur mula beralih ke pasaran yang lebih premium pada pasaran Asia Tenggara. Jadi Honda perlu menghasilkan sebuah sedan yang lebih mampu milik dari Civic bagi memenuhi permintaan pasaran.

    Projek untuk menghasilkan sebuah model sedan khas untuk pasaran ASEAN ini dilakukan sendiri oleh Honda Thailand. Bagi menjadikan ia sebuah model yang mampu milik, Honda perlu berjaga-jaga dengan kos R&D – mereka mengasaskan sedan tersebut dari platform Honda Civic EF (ketika ini Honda Civic generasi kelima iaitu EK sedang berada dalam pasaran).

    Kemudian bagi menjadikan ia lebih mampu milik, sistem suspensi double wishbone pada EF digantikan dengan topang McPherson biasa. Model ini diproduksi di kilang Honda Thailand yang terletak di Ayutthaya, dan kemudian Honda menggunakan kembali nama ‘City’ untuk diletakkan pada model tersebut.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Jadi, generasi City sedan yang ada sekarang ini sebenarnya dikira dari City sedan yang dihasilkan oleh Honda Thailand pada tahun 1996 tersebut, dan bukan dari susur galur hatchback City JDM yang dihasilkan dari tahun 1981 hingga 1994.

    City ini terus dibangunkan oleh Honda Thailand untuk generasi seterusnya, dan bermula model generasi kedua pada tahun 2002, model tersebut dihasilkan sebagai versi sedan dari model hatchback Honda Jazz/Fit yang dihasilkan oleh Honda Jepun.

    Sebab itulah kenapa Honda City generasi (GD) kedua kelihatan agak janggal kerana ia adalah sebuah Honda Jazz yang sebenarnya hanya ditambah but belakang, sama seperti Proton Persona yang dihasilkan dari hatchback Proton Iriz. Model ini turut dijual pada pasaran Jepun dan diberi nama Fit Aria.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Namun untuk generasi ketiga sedan City berkenaan, Honda Thailand diberikan lebih kebebasan untuk mereka bentuk. Hasilnya, walaupun City GM2 yang diperkenalkan pada tahun 2008 ini masih diasaskan dari Jazz GE, ia dihasilkan dengan juntaian hadapan dan jarak roda lebih panjang serta bumbung yang lebih rendah dari Jazz membuatkan ia kelihatan seperti sebuah sedan yang normal.

    Model ini juga menerima enjin 1.5L L15A7 i-VTEC bagi menggantikan enjin i-DSI L15A1 dan SOHC VTEC L15A2 pada generasi sebelumnya. Kotak gear CVT yang menerima kritikan pada model sebelum itu juga digantikan dengan kotak gear automatik torque coverter lima-kelajuan.

    Generasi keempat Honda City sedan ini muncul pada tahun 2014, dikenali dengan kod casis GM6. Konsep penghasilannya masih lagi sama iaitu dihasilkan dari Jazz tetapi hadir dengan dimensi lebih tersendiri. Perubahan besar untuk model ini adalah tangki petrol yang sebelum ini berada pada bahagian tengah, kini telah dialihkan kebelakang.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Ini membolehkan tempat duduk pemandu direndahkan lagi bagi mendapatkan kedudukan memandu lebih sporty, dan bumbung juga boleh dibuat lebih rendah yang bukan sahaja dapat menjadikan rupanya lebih sporty, malah menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.

    Enjin 1.5L i-VTEC masih lagi digunakan pada model ini, tetapi Honda telah kembali menggunakan transmisi CVT bagi menggantikan kotak gear AT lima-kelajuan. Walau bagaimanapun, kotak gear tersebut bukan diambil terus dari City GD, tetapi ia telah direka semula bagi memberikan prestasi yang lebih baik, antaranya menukar penggunaan start clutch dalam kotak gear CVT tersebut dengan torque converter.

    Honda City GM6 ini masih lagi boleh kita beli di bilik pameran pasaran Malaysia. Tetapi seperti yang diketahui dan disebut sekali lagi, semalam model generasi kelima City sedan berkenaan telah diperkenalkan buat pertama kali, dan seperti biasa Thailand menjadi pasaran pertama yang menerimanya.

    Honda City Turbo 2020 – generasi kelima atau ketujuh?

    Model kali ini, Honda Thailand menggelarnya sebagai ‘City Turbo’, kerana dibekalkan dengan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo, sama seperti Honda Civic pasaran Eropah. Ini dilakukan bagi membolehkan Honda City berkenaan dijual dalam segmen Kereta Eco Thailand Fasa 2, dijual pada harga lebih mampu milik kerana menerima insentif potongan cukai kerajaan Thailand.

    Walau bagaimanapun, enjin ini ditala bagi menghasilkan 122 PS/173 Nm berbanding enjin yang sama pada Civic yang mengerah kuasa 127 hp/200 Nm. Tetapi angka tersebut tetap lebih berkuasa dari enjin NA 1.5L sebelum ini, dan ia sebenarnya menghampiri jumlah kuasa 1.8L NA. Ia juga masih kekal digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, diberikan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    Sekarang jelas dengan generasi-genarasi Honda City ini?

    GALERI: Honda City Turbo 2020 pasaran Thailand

     
     
  • Nissan GT-R Nismo sertai Lego Speed Champions – 298 bahagian, mula masuk pasaran Januari 2020

    Nissan GT-R Nismo sertai Lego Speed Champions – 298 bahagian, mula masuk pasaran Januari 2020

    Biasanya, sebelum ini Lego hanya keluarkan model-model kenderaan jenama Eropah. Tetapi, dalam pengumuman terbaru, syarikat itu menjalin kerjasama sulung bersama pengeluar kenderaan dari Jepun, iaitu Nissan. Bakal dipasarkan untuk pasaran global pada Januari 2020, Lego akan mengeluarkan model Nissan GT-R Nismo, dengan melibatkan sebanyak 298 bahagian untuk dipasang.

    “Nissan GT-R dan jenama Lego kedua-duanya sangat diminati di seluruh dunia dan tidak mengira peringkat umur, dan kami sangat berbangga untuk menjadi pengeluar kenderaan Jepun yang pertama menjadi rakan kerja Lego Group. Ramai pemilik atau pelanggan Nissan mempunyai minat automotif sejak lama, termasuk melalui Lego ketika mereka masih kecil,” ujar Timbalan Presiden Eksekutif, Asako Hoshino.

    Nissan GT-R Nismo sertai Lego Speed Champions – 298 bahagian, mula masuk pasaran Januari 2020

    “Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-50. Jadi, ini satu cara yang bermakna untuk meraikan perkara berkenaan bersama peminat-peminat Nissan GT-R dan Lego di seluruh dunia,” tambah beliau.
    Barisan siri Lego Speed Champions kini semakin bertambah dengan pengenalan Nissan GT-R Nismo ini.

    Jika kereta sebenarnya mengambil masa selama 10-tahun untuk disiapkan, versi Lego ini bagaimanapun hanya memakan masa 12 bulan untuk dibangunkan. Jika di tangan penggemar Lego berpengalaman, unit model dari siri Lego Speed Champions ini boleh disiapkan pemasangannya dalam masa sejam (atau 20 minit untuk mereka yang sudah pakar). Tetapi untuk GT-R ini, ia memerlukan masa lapan jam untuk kereta, dan tambahan beberapa jam lagi untuk bahagian enjin. Berat keseluruhan model ini ialah hanya 193 gram.

     
     
  • Toyota GranAce mula dijual di Jepun dengan 2 varian

    Toyota GranAce mula dijual di Jepun dengan 2 varian

    Selepas diperkenalkan di Australia sebagai Toyota Granvia, dan di Thailand sebagai Toyota Majesty, kini MPV mewah berasaskan van Toyota HiAce generasi baharu secara rasmi mula dijual di pasaran Jepun dikenali sebagai Toyota GranAce.

    GranAce ini sebenarnya telah membuat kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 2019 tempoh hari, dan kini mengambil tempat yang ditinggalkan oleh Toyota Grand HiAce pada pasaran berkenaan. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu versi tiga baris, enam tempat duduk yang digelar GranAce Premium dan empat baris, lapan tempat duduk GranAce G.

    Granvia, Majesty dan GranAce berkongsi hampir semua rupa pada bahagian luaran dan dalaman. Ia nampak jauh lebih mewah dari HiAce standard, dan menghampiri status Alphard dan Vellfire dengan menampilkan lebih banyak kemasan krom terutama pada muka, sisi dan belakang, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang serta rim pelbagai jejari dengan kemasan dua-ton.

    Toyota GranAce mula dijual di Jepun dengan 2 varian

    GranAce diberikan pintu gelangsar berkuasa elektrik pada kedua-dua sisi badan, manakala dalam kabin ia hadir dengan ciri seperti captain seat ‘ottoman’ pada barisan kedua dengan jarak rel larasan yang panjang berkuasa elektrik, kemasan-kemasan dengan elemen kayu, upholsteri kulit serta sistem infotaimen Toyota Display Audio lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Juga seperti Majesty di Thailand, GranAce hanya diberikan satu pilihan enjin iaitu 1GD-FTV 2.8 liter turbo diesel (sama seperi trak pikap Toyota Hilux) berkuasa 164 hp/420 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan-automatik untuk memacu roda belakang.

    Dengan casis Hiace yang lebih maju dengan dibekalkan sistem suspensi jenis 4-link, secara tidak langsung memberikan bahagian belakang GranAce ini keselesaan yang mewah serta lebih kestabilan pemanduan. Ia juga diberikan penebat-penebat bunyi tambahan bagi memberikan aspek NVH yang lebih baik.

    Untuk keselamatan, GranAce hadir dengan sistem brek ABS, VSC dan Traction Control,serta menerima pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem Amaran Pra-Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Dynamic Radar Cruise Control, dan Lampu Tinggi Automatik Dinamik.

    Ia turut diberikan sistem Intelligent Clearance Sonar dengan Sokongan Brek Parkir (objek tidak bergerak) yang akan membantu anda untuk mengurangkan atau mengelak kerosakan akibat pelanggaran ketika pemanduan halaju rendah, contohnya di kawasan parkir.

    Enam warna ditawarkan Toyota untuk GranAce JDM ini termasuk warna White Pearl Crystal Shine. Ia disasarkan untuk dijual sebanyak 600 unit setiap bulan dalam pasaran Jepun sahaja.

     
     
  • Harga Honda Jazz Hybrid dan City Hybrid di Malaysia naik hingga RM8,005 – kini lebih mahal dari gred V

    Harga Honda Jazz Hybrid dan City Hybrid di Malaysia naik hingga RM8,005 – kini lebih mahal dari gred V

    Ketika mencari maklumat untuk laporan pelancaran Honda City 2020 yang diperkenalkan di Thailand semalam, ada satu perkara yang dengan secara tak sengaja kami temukan. Yang dimaksudkan, pemerhatian terhadap laman rasmi Honda Malaysia menunjukkan bahawa bagi dua model, Jazz Hybrid dan City Hybrid, harga jualannya ketika ini telah dinaikkan. Jazz Hybrid kini dengan harga RM87,707 atas jalan tanpa insurans, sementara City Hybrid pula pada harga RM92,172.

    Bagaimanapun, bagi model atau varian lain bagi kedua-duanya kekal sama – kenaikan harga hanya bagi dua model hibrid berkenaan. Dengan perkembangan berkenaan, model hibrid yang diperkenalkan pada pertengahan 2017 dengan tanda harga di antara varian E dan V, kini telah menjadi lebih mahal berbanding varian V yang paling tinggi itu. City Hybrid juga telah melangkau tanda harga melebihi RM90k.

    Sebelum ini, Jazz Hybrid dijual pada harga RM80,901, manakala City Hybrid pada harga RM84,167. Ini melibatkan kenaikan harga masing-masing antara RM7,616 dan RM8,005. Kenaikan harga ini disebabkan oleh perubahan di dalam struktur insentif kerajaan untuk kenderaan hibrid CKD di Malaysia. Sebab ini jugalah ketika pengenalannya Honda Malaysia dapat memberikan harga yang lebih rendah kepada dua model terbabit, sedangkan pada kebiasaannya model hibrid akan lebih mahal daripada varian biasa.

    Harga Honda Jazz Hybrid dan City Hybrid di Malaysia naik hingga RM8,005 – kini lebih mahal dari gred V

    Honda Malaysia sebelum ini pernah memaklumkan yang City Hybrid sepatutnya dikenakan harga lebih daripada RM100,000 jika bukan disebabkan insentif cukai untuk kereta hibrid. Maksudnya, pengecualian cukai bagi model-model hibrid masih ada, tetapi dalam jumlah yang berkurangan berbanding ketika kereta-kereta ini mula diperkenalkan.

    Kedua-dua Jazz Hybrid dan City Hybrid dikuasakan oleh sistem Sport Hybrid i-DCD yang menggabungkan unit enjin 1.5 liter dengan idle stop, kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dengan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan kompresor pacuan elektrik. Enjin yang digunakan ini tidak sama dengan Jazz/City versi biasa; ia menggunakan unit dengan kitaran Atkinson DOHC i-VTEC
    dengan janaan 110 PS dan 134 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Digabungkan dengan motor elektrik 30 PS (22 kW)/160 Nm, keseluruhan sistem berkenaan menghasilkan 137 PS dan 170 Nm. Angka ini lebih daripada yang dihasilkan oleh enjin versi 1.5 liter petrol biasa, dengan 120 PS/145 Nm. Penggunaan minyak yang didakwa mampu dicapai oleh versi hibrid ini ialah 4.0 liter/100 km bagi Jazz Hybrid, manakala 3.9 liter/100 km bagi City Hybrid.

     
     
  • Plaza Tol Gombak dicadang supaya ditutup kerana sering mengalami kesesakan teruk – ADUN PAS

    Plaza Tol Gombak dicadang supaya ditutup kerana sering mengalami kesesakan teruk – ADUN PAS

    Tidak dinafikan, jika melalui Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak terutamanya pada waktu hujung minggu mahu pun musim perayaan, memang kesesakan lalu lintas di situ umpama ‘irama dan lagu’. Bagai saling tidak boleh dipisahkan. Walau acapkali menerima rungutan pengguna, namun sehingga kini perkara ini tidak dapat diatasi. Walau bagaimana pun, cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) agar plaza tol berkenaan ditutup dilihat ada kewajarannya.

    Abdul Latiff mencadangkan perkara itu pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Perbekalan 2020 Kementerian Kerja Raya, di sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam. Menurut beliau, cadangan itu dikemukakan selepas mengambil kira usia tol berkenaan yang kini sudah beroperasi sejak sekian lama.

    “Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dibuka pada 1977 dan antara lebuh raya bertol yang terawal di Malaysia. Saya dapati berlaku kesesakan di lebuh raya ini setiap kali musim perayaan dan cuti hujung minggu terutama di Plaza Tol Gombak. Untuk pengetahuan menteri, saya setiap minggu melakukan kajian. Setiap minggu saya berulang alik sudah hampir dua tahun melalui laluan ini.

    “Kepayahan dan kesusahan yang di alami oleh rakyat Pantai Timur ini saya rasakan setiap minggu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya lagi, pada setiap Ahad, beliau perlu bertolak 12 tengah hari untuk sidang Parlimen pada hari Isnin dan jika lewat maka, beliau akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Malah ketika musim perayaan Deepavali baru-baru ini, beliau memerlukan hampir dua jam setengah untuk tiba di Kuala Lumpur.

    Plaza Tol Gombak dicadang supaya ditutup kerana sering mengalami kesesakan teruk – ADUN PAS

    “Setiap hujung minggu khususnya petang Ahad, semua pengguna akan menghadapi tekanan untuk melepasi kesesakan di tol itu, apatah lagi di setiap musim perayaan kerana ia menjadi pintu masuk utama pengguna daripada tiga buah negeri (Kelantan, Terengganu dan Pahang).

    “Justeru, satu penyelesaian yang holistik dan segera diperlukan. Saya mencadangkan Plaza Tol Gombak perlu dihapuskan segera selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH). Seperti yang kita fahami, antara tujuan pembinaan lebuh raya dan tol ialah untuk mempercepatkan perjalanan tapi, jika ia menjadi punca kesesakan ia perlu dihapuskan segera,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, beliau juga mencadangkan supaya kementerian menaik taraf jalan alternatif Bentong – Gombak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

    “Jalan lama ini perlu di baiki dan dibesarkan selain beberapa laluannya perlukan lampu jalan agar ia boleh di jadikan laluan alternatif terutama setiap kali musim kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak. Saya tidak mahu mendengar jawapan YB (Yang Berhormat) Menteri bahawa kementerian akan buat kajian atau sedang buat kajian. Sampai bila nak buat kajian YB Menteri? Kerana setiap kali isu ini dibangkitkan, maka jawapan yang sama akan disebut,” katanya.

     
     
  • Honda City 2020 – beza dengan model sebelumnya, Nissan Almera, Mazda 2 Sedan dan Toyota Vios

    Honda City 2020 – beza dengan model sebelumnya, Nissan Almera, Mazda 2 Sedan dan Toyota Vios

    Honda City generasi baru telah pun didedahkan sepenuhnya di Thailand. Daripada keseluruhan bahagian kenderaan yang dirombak, tumpuan paling utama adalah pada enjinnya, di mana City sekarang menggunakan unit tiga silinder 988 cc DOHC VTEC Turbo, bagi menggantikan unit empat silinder 1,497 cc SOHC i-VTEC sebelum ini. Transmisi pula masih lagi menggunakan unit CVT.

    Selain mahu melihat perbezaannya dengan model sebelum ini (yang masih dijual di Malaysia), kami juga mahu memerhatikan bagaimana kedudukan City 2020 dengan pesaing lain dalam segmen B seperti Nissan Almera, Mazda 2 Sedan dan juga Toyota Vios. Vios dan Mazda 2 sudah ada di Malaysia, sementara Almera pula belum.

    Melihat kepada enjin, City baru ini bukanlah satu-satunya model yang menggunakan enjin dengan pengecas turbo, malah Almera juga menggunakannya pada enjin berkapasiti 999 cc. Namun mungkin dengan adanya sistem VTEC pula, kuasa City adalah lebih, iaitu keseluruhannya 121 hp dan 173 Nm tork, sementara Almera pula cuma 99 hp dan 152 Nm tork. City generasi sebelum ini mempunyai kuasa 118 hp dan 145 Nm tork.

    Honda City 2020 – beza dengan model sebelumnya, Nissan Almera, Mazda 2 Sedan dan Toyota Vios
    Honda City 2020 – beza dengan model sebelumnya, Nissan Almera, Mazda 2 Sedan dan Toyota Vios

    Dua lagi pesaing City iaitu Mazda 2 Sedan dan Vios cuma menggunakan enjin NA berkapasiti 1,496 cc, dengan kuasa masing-masing 114 hp/148 Nm tork dan 105 hp/140 Nm tork. Vios masih menggunakan transmisi CVT, tetapi Mazda 2 Sedan adalah satu-satunya pesaing yang menggunakan transmisi automatik enam kelajuan.

    Selain daripada prestasi enjin ini, anda juga mungkin mahu melihat kepada sistem keselamatan. Semua model yang dinyatakan ini datang terus dengan Stability Control, tapi Vios mempunyai beg udara paling banyak iaitu tujuh sementara City dan Almera ada enam dan Mazda 2 Sedan cuma dua. Kemudiannya, Vios juga mempunyai kelebihan sistem Autonomous Emergency Braking.

    Sekadar melihat kepada catatan dimensi, City baru mencatat jarak roda 2,589 mm, dan ini adalah kurang 11 mm berbanding City sebelum ini, dan kurang 31 mm berbanding Almera. Mazda 2 Sedan dan Vios pula masing-masing mencatat 2,570 mm dan 2,550 mm. Walaupun begitu, kami perlu merasakan sendiri bagaimana keadaan di bahagian dalam kerana Honda biasanya mempunyai cara tersendiri untuk mewujudkan rasa yang luas.

    GALERI: Honda City 1.0L Turbo 2020

    GALERI: Honda City 1.5L

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo

    GALERI: Mazda 2 Sedan

     
     
  • Jambatan ketiga Johor-Singapura perlu dibina segera bagi menampung kesesakan sedia ada – Muhyiddin

    Jambatan ketiga Johor-Singapura perlu dibina segera bagi menampung kesesakan sedia ada – Muhyiddin

    Ekoran kesesakan trafik yang kian meruncing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang menghubungkan Johor dan Singapura, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir yang juga Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan kedua-dua laluan harus dibina segera.

    Menurut Muhyiddin, beliau sudah memaklumkan berhubung keperluan pembinaan jambatan terbabit kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan.

    “Kalau kerajaan negeri sokong, DUN (Dewan Undangan Negeri) sokong, saya akan usahakan inisiatif ini (pembinaan jambatan ketiga) mesti dimulakan sekarang,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini, beliau turut berkata, sudah ada kajian awal yang dilakukan menunjukkan terdapatnya keperluan bagi membina sebuah jambatan ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura.

    Jambatan ketiga Johor-Singapura perlu dibina segera bagi menampung kesesakan sedia ada – Muhyiddin

    Tambahnya lagi, mungkin jambatan ketiga itu tidak semestinya perlu dibuat dalam bentuk ‘jambatan’ sebaliknya dalam bentuk terowong di Selat Tebrau.

    “Kalau kita pergi negara mana pun, kalau di Malaysia dan Singapura ini, tidak hanya perlu ada satu jambatan, kita perlu beberapa jambatan kerana pergerakan manusia dan kenderaan itu lebih kerap. Kita dulu ada satu jambatan sahaja (Tambak Johor), kemudian kita ada dua jambatan (Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dan sekarang ini kedua-dua ini sudah tidak boleh menampung (kesesakan),” katanya.

    Kenyataan Muhyiddin ini turut dipersetujui oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri yang menyifatkan cadangan pembinaan jambatan ketiga yang dikemukakan Muhyiddin itu sebagai langkah tepat.

    Beliau berkata ini kerana kompleks CIQ di BSI yang dibina pada 2003 akan mencapai kapasiti penuhnya tahun hadapan yang mana pembesaran kawasan berkenaan dilihat tidak banyak membantu bagi menangani kesesakan di Tambak Johor.

     
     
  • Honda City Turbo 2020 dengan kit Modulo di Thailand

    Honda City Turbo 2020 dengan kit Modulo di Thailand

    Serentak dengan pendedahan Honda City generasi baharu di Thailand hari ini, Honda Thailand turut mengumumkan kit aksesori Modulo yang boleh dibeli oleh pemilik model baharu berkenaan.

    Antara komponen Modulo tersebut adalah terdiri dari spoiler belakang jenis sayap (hanya lid spoiler pada City RS) berharga 8,150 baht (RM1.1k), set pedal aloi sport berharga 1,300 baht (RM180), kemasan bendul pintu dengan lampu LED berharga 4,400 baht (RM608), rim sport aloi 15-inci (tidak termasuk tayar) berharga 3,600 baht (RM497) seunit, lampu kabus LED berharga 5,500 baht (RM760) dan juga perakam video hadapan (dashcam) berharga 3,850 baht (RM532).

    Honda Thailand juga menawarkan kit badan penuh Modulo untuk City Turbo tersebut yang ditawarkan dalam tiga pakej. Pakej pertama dan kedua digelar Modulo Aero Package dan Modulo Aero RS Packege yang terdiri dari sepasang spoiler bawah untuk bampar hadapan dan belakang dan juga skirt sisi, dijual pada harga masing-masing 15,500 baht dan 17,900 baht.

    Pakej ketiga pula digelar Modulo Aero Sport Package, diberikan komponen-komponen yang sama tetapi ditambah dengan spoiler belakang, dijual pada harga 23,500 baht.

    Honda City generasi baharu ini dipasarkan di Thailand dalam empat varian berbeza iaitu City S berharga 579,500 baht (RM80k), City V berharga 609,000 baht (RM84k, City SV berharga 665,000 baht (RM92k) dan City RS berharga 739,000 baht (RM102k).

    Ia tidak lagi dijana oleh enjin 1.5 liter NA seperti model sebelumnya, tetapi menerima enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo 122 PS dan tork maksima 173Nm. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    GALERI: Honda City Turbo 2020 pasaran Thailand

     
     
  • Honda City generasi baharu muncul di Thailand – 1.0L VTEC Turbo 122 PS/173 Nm, tampil varian RS baharu

    Honda City generasi baharu muncul di Thailand – 1.0L VTEC Turbo 122 PS/173 Nm, tampil varian RS baharu

    Akhirnya, antara sedan segmen-B yang paling ditunggu-tunggu tahun ini, Honda City generasi baharu telah membuat kemunculan rasmi sulungnya untuk peringkat global di Thailand. Seperti apa yang laporkan sebelum ini, Honda City berkenaan sah dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo bagi membolehkan ia bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2.

    Jadi, ini kali kedua City menerima enjin turbo selepas City Turbo dan Turbo II pada model generasi pertama yang menggunakan enjin COMBAX turbo 1.2L pada era 80’an. Untuk model generasi baharu ini, City diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

    Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

    Honda City generasi baharu muncul di Thailand – 1.0L VTEC Turbo 122 PS/173 Nm, tampil varian RS baharu

    Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

    Dari segi rupa, muka City baharu ini menampikan ‘jendul’ yang lebih besar dari sebelum ini, memberikan iras muka lebih mirip kepada Civic, dengan ‘kening’ bersama lampu nyalaan siang LED yang bercantum pada gril ‘solid wing’ yang tebal pada bahagian tengah.

    Honda City generasi baharu muncul di Thailand – 1.0L VTEC Turbo 122 PS/173 Nm, tampil varian RS baharu

    Pada bahagian sisi, garis bahu kelihatan lebih menyerlah, tetapi ia tidak menaik ke belakang, sebaliknya nampak lebih tegak. Di belakang, model ini diberikan lampu dengan kluster lebih tirus dan berbucu dari sebelum ini, dan ia hadir dengan jalur grafik LED yang unik. Kemasan seakan diffuser pada bampar belakang direka kecil, dan turut diberikan sepasang lampu reflektor yang nampak seperti liang udara pada setiap sisi.

    Untuk model RS, ia hadir dengan kemasan-kemasan hitam yang menggantikan komponen krom pada varian SV. Ia juga menampilkan cermin sisi dan juga lid spoiler belakang dengan kemasan hitam, dan juga rim 15-inci dua tona dengan rekaan tersendiri.

    Menurut Honda, City baharu ini adalah 113 mm lebih panjang (4,553 mm) 53 mm lebih lebar (1,748 mm) dari versi sedia ada. Namun ia kini 10 mm lebih rendah (1,467 mm) dan jarak roda pula 11 mm lebih dekat (2,589 mm) berbanding sebelum ini. Honda turut memberikan penebat buih polyurethane dan tebatan bunyi lebih tebal pada ruang enjin bagi memberikan NVH lebih baik.

    Honda City generasi baharu muncul di Thailand – 1.0L VTEC Turbo 122 PS/173 Nm, tampil varian RS baharu

    Pada bahagian dalaman, City diberikan rekaan papan pemuka ‘tiga lapis’ yang nampak lebih solid dari model sedia ada. Ia hadir dengan skrin utama lapan-inci yang memberikan sokongan Android Auto dan Apple Carplay bersama kawalan suara Siri. Ia masih diberikan papan instrumen dengan dua meter analog utama, hadir dengan skrin paparan pelbagai info (MID) pada bahagian tengah.

    Suis-suis kawalan penghawa dingin pula kelihatan seperti diambil terus dari Honda Jazz generasi baharu yang didedahkan di Tokyo Motor Show bulan lalu.

    Model SV diberikan upholsteri kulit dan tema warna hitam/ivory, dan juga kemasan-kemasan dengan warna Piano Black dan panel-panel krom dan perak yang kelihatan premium. Model RS pula nampak lebih sporty dengan upholsteri gabungan fabrik dan kulit hitam, bersama serlahan benang merah pada bahagian seperti tempat duduk, papan pemuka, roda stereng dan gaiter tuil gear.

    Kesemua diberikan bukan sahaja dengan sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, malah sistem penghidup enjin kawalan jauh seperti Civic juga turut ditampilkan.

    Bagi membolehkan City ini berada dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2, ia hadir dengan sistem keselamatan seperti sistem brek ABS, EBD dan BA serta kawalan kestabilan elektronik VSA untuk semua varian. Kelengkapan keselamatan lain yang turut diberikan termasuk enam beg udara, bantuan mula mendaki, kamera undur dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Di Thailand, Honda City hadir dengan enam warna iaitu Taffeta White, Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, dan warna baharu yang Ignite Red yang boleh anda lihat pada model RS di atas. Ia dijual pada harga bermula 579,500 baht (RM80k) untuk model paling rendah S, 609,000 baht (RM84k) untuk V, 665,000 baht (RM92k)untuk SV dan 739,000 baht (RM102k) untuk RS.

     
     
  • Kerajaan rugi RM90j tahun ini susulan 1,800 kenderaan import ‘lari’ daripada membayar cukai – Kastam

    Kerajaan rugi RM90j tahun ini susulan 1,800 kenderaan import ‘lari’ daripada membayar cukai – Kastam

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah membuat kenyataan berhubung dengan sejumlah 1,800 unit kenderaan import yang dibawa masuk ke negara ini didapati tidak membayar cukai. Ia menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM90 juta untuk tahun ini sahaja.

    Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Paddy Abdul Halim, kesemua kenderaan tersebut disita sejak Januari hingga semalam di seluruh negara menerusi pelbagai operasi yang dijalankan oleh agensi itu.

    “Kenderaan ini pada mulanya dibawa masuk ke dalam negara tanpa pengecualian cukai buat sementara waktu namun ada sindiket dan individu tertentu menggunakan pelbagai helah untuk mengelakkan daripada membayar cukai. Kemudian kenderaan itu pula dijual dengan harga murah kepada pelanggan dan melanggar undang-undang kerana tidak memiliki geran dan cukai jalan yang sah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Jelasnya lagi, antara helah yang digunakan ialah menukar nombor plat kenderaan dan memalsukan geran serta nombor casis kenderaan.

    Kerajaan rugi RM90j tahun ini susulan 1,800 kenderaan import ‘lari’ daripada membayar cukai – Kastam

    “Kebanyakan kenderaan itu dibawa masuk dari Singapura dan sindiket yang terlibat menukarkan nombor plat kenderaan asal kepada nombor plat Thailand. Kita juga mengesyaki kemungkinan penglibatan orang dalam dan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung perkara ini. Bagaimanapun tiada sebarang suspek ditahan setakat ini,” katanya.

    Tambahnya, di Kelantan sahaja, pihaknya telah menyita sebanyak 111 kenderaan bernilai RM2.8 juta dan kerugian cukai sebanyak RM3.8 juta pada tahun ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan kereta import seperti Mercedes, Honda dan sebagainya dengan harga yang murah kerana kemungkinan ia merupakan kereta klon.

    “Orang ramai boleh membuat semakan dengan JKDM bagi memastikan kenderaan yang dibeli adalah sah di sisi undang-undang kerana ia boleh merisikokan pembeli jika berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya lagi.

     
     
  • Lamborghini Lambo V12 Vision Gran Turismo didedah

    Lamborghini Lambo V12 Vision Gran Turismo didedah

    Vision Gran Turismo adalah satu program kereta konsep fiksyen yang dibangunkan bersama pengeluar kereta untuk permainan Gran Turismo Sport. Sejak ia diwujudkan, pelbagai kereta telah dihasilkan secara digital dan terbaru adalah daripada Lamborghini, yang dinamakan sebagai Lambo V12 Vision Gran Turismo. Ia akan mula ditawarkan dalam permainan itu pada tahun hadapan.

    Menariknya, walaupun ini adalah kereta untuk permainan video, Lamborghini turut mempamerkan model saiz sebenar kepada orang ramai waktu ia diperkenalkan. Setakat mahu mengatakan rekaannya futuristik, ia tidak cukup. Apa yang boleh dikatakan, pereka Lamborghini memang mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk mengeluarkan idea ‘gila’ mereka.

    Dalam masa sama, kereta satu tempat duduk ini masih mengekalkan elemen yang sudah sinonim dengan jenama itu seperti lampu dengan pencahayaan bentuk Y di depan dan belakang, serta bentuk heksagon pada tingkap tepi yang mendapat inspirasi daripada model Marzal tahun 1968.

    Akses kepada bahagian kabin adalah melalui bahagian depan kenderaan, di mana cerminnya akan terbuka ke atas seperti jet pejuang, dan terletak jauh dari fender. Pada bahagian dalam, kebanyakan butang kawalan terdapat pada roda stereng dan informasi penting dipancarkan kepada cermin di hadapan pemandu.

    Rekaan kereta konsep ini memang sesuatu yang luar biasa, tetapi enjinnya menggunakan unit sama seperti Sian, iaitu V12 dengan bantuan motor elektrik yang disepadukan di dalam kotak gear serta kapasitor super untuk menjana kuasa sehingga 819 PS (807 hp).

     
     
  • Mazda3 menangi anugerah Kereta Tahunan China 2020

    Mazda3 menangi anugerah Kereta Tahunan China 2020

    Dalam bulan ini sahaja, sudah tiga anugerah Mazda 3 terima, terbaharu, model ini telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan China 2020. Sebelum ini, model generasi ke-empat ini pernah menerima anugerah Kereta Terbaik Dunia untuk Wanita 2019 dan Kereta Tahunan Thailand 2019.

    Untuk anugerah Kereta Tahunan China 2020, ia telah menerima sebanyak 194 penyertaan yang melibatkan semua model yang dilancarkan di pasaran antara Oktober 2018 hingga 30 September 2019. Seramai 38 juri turut mengambil bahagian dalam sudut pengadilan dan rata-ratanya sepakat memilih Mazda 3 ini sebagai pemenang bagi anugerah utama yang dipertandingkan dalam acara Guangzhou Motor Show.

    Ini merupakan kali pertama Mazda memenangi anugerah dalam acara Kereta Tahunan China. Mazda 3 memasuki pasaan China pada Ogos tahun lalu, dan hanya versi sedan sahaja yang dijual di sana. Model yang sama ini turut memburu anugerah bagi Kereta Tahunan Eropah 2020 yang bakal diumumkan di Geneva pada Mac hadapan.

    Mazda 3 baharu ini telah pun dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu dan ditawarkan dengan tiga varian (1.5, 2.0 High dan 2.0 High Plus) dengan dua pilihan kerangka iaitu sedan dan hatchback.

     
     
  • Perodua dan MARii bangunkan pusat pameran digital

    Perodua dan MARii bangunkan pusat pameran digital

    Perodua, melalui wakil pengedarnya, Arus Jaya Automotive dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) membuat pengumuman sedang membangunkan pusat pameran digital pertama negara ini, yang akan dibuka di Penampang, Sabah.

    Juga dipanggil sebagai Smart Sales and Service, pusat pameran digital ini bukan setakat dapat membantu meningkatkan operasi perniagaan pemilik pusat pameran, tetapi juga memberikan pengalaman yang lebih baik untuk pengguna.

    Sebagai contoh waktu mahu membeli kereta, pelanggan boleh memilih model kereta, meletakkan warna serta aksesori dalam perisian digital, untuk melihat bagaimana rupa keseluruhannya tanpa unit sebenar. Sementara ini dianggap mudah untuk pembeli, pemilik pusat pameran juga dapat menjimatkan kos tanpa perlu meletakkan banyak model di dalam pusat pameran.

    Perodua dan MARii bangunkan pusat pameran digital

    Perodua walaubagaimanapun masih belum mendedahkan fungsi penuh pusat pameran digital ini, tapi ia diberitahu mempunyai elemen Industry 4.0 yang termasuk Big Data Analytics, Internet of Things (IoT) dan servis berasaskan simpanan atas talian.

    Melalui sistem ini juga, ia dapat mengenal pasti rekod kenderaan, informasi kewangan dan pangkalan data servis. Data ini kemudiannya akan digunakan semula untuk memberikan pengalaman yang lebih baik dan mudah untuk pelanggan.

     
     
  • Honda City generasi baharu akan didedahkan pukul 3 hari ini di Thailand – tonton siaran langsung di sini

    Seperti yang telah kami laporkan dua minggu lalu, Honda City generasi baharu bakal membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di Thailand pada pukul 3 petang ini, atau pukul 2 petang waktu di negara tersebut. Siaran langsung pendedahan berkenaan boleh anda tonton menerusi saluran Youtube yang kami sertakan di atas.

    Honda turut memberikan teaser terakhir sebelum pendedahan berkenaan – tiada rupa penuh ditayangkan, tetapi jika anda lihat video teaser tersebut, terdapat grafik LED lampu belakang sedan segmen-B tersebut pada anak mata dalam video berkenaan.

    Honda City generasi baharu akan didedahkan pukul 3 hari ini di Thailand – tonton siaran langsung di sini

    Honda City generasi baharu ini bakal dijual dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2, dan dilaporkan dijana oleh enjin 1.0 liter turbo bagi memenuhi syarat emisi dan penggunaan bahan api yang lebih ketat dalam undang-undang kelas berkenaan, dan bertanding terus dengan Nissan Almera generasi baharu yang didedahkan minggu lepas.

    Menerusi undang-undang Kereta Eco Fasa 2 ini, model-model dalam kelas berkenaan perlulah dihasilkan dengan spesifikasi seperti memenuhi standard emisi Euro 5, emisi CO2 di bahawa 100 g/km, dan juga penggunaan bahan api tidak melebihi 4.3 liter untuk 100 km (23.25 km/l), serta kesemua varian perlu dilengkapi ABS/EBD/BA/VSA secara standard.

    Bagaimana rupa model generasi baharu ini, apa lagi ciri baharu yang bakal ditampilkan? Sama-sama kita tunggu pendedahannya sedikit masa lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026