Lain macam citarasa polis di UK. Dalam tambahan terbaru bagi kenderaan rasmi yang digunakan oleh pihak polis, bagi tujuan yang pelbagai, Ford Ranger Raptor dan juga Focus ST wagon turut dipilih untuk digunakan sebagai kereta peronda.
Kedua-dua model kenderaan terbabit kini sedang dicuba di serata UK, dengan pihak polis South Wales menjadi antara yang pertama untuk menerima unit Ranger Raptor mereka. Kemasan dan penampilan unit polis ini sangat menonjol; kedua-duanya merupakan produk daripada bahagian persediaan kenderaan khas Ford sendiri yang berpusat di Essex. Antara kelengkapan wajib ialah siren dan lampu kecemasan yang dapat dilihat dipasang pada unit-unit berkenaan.
Bagaimanapun, dari segi mekanikal, Ranger Raptor dan Focus ST wagon polis ini sama sahaja dengan versi biasa. Trak pikap menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel, dengan janaan 213 PS dan 500 Nm tork. Kotak gear Getrag 10R80 10-kelajuan menjadi padanannya.
Tidak lupa juga suspensi Fox Racing Shox, tayar all-terrain BF Goodrich 33-inci dan jarak kelegaan tanah yang luas masih dikekalkan. Lain-lain angka untuk kegunaan off-road ialah seperti sudut 32.5 darjah bagi bahagian depannya, dengan sudut laluan dan perlepasan 24 darjah. Kedalaman air yang boleh dilepasi pula ialah 850 mm.
Bagi Focus ST wagon pula, ia menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost twin-scroll turbocas dengan janaan 276 hp pada 5,500 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Transmisi manual enam-kelajuan adalah standard, tetapi kotak gear automatik tujuh-kelajuan turut ditawarkan. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 5.8 saat bagi versi manual.
Sebelum ini memang sudah ada desas-desus yang menyatakan projek ‘kereta terbang’ yang mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pembangunan Usahawan menerima dana khas daripada kerajaan. Walau bagaimana pun, menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menafikan dan menyatakan projek kereta terbang adalah inisiatif swasta serta tidak menggunakan dana kerajaan.
Namun demikian, berbeza dengan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meluluskan pelaburan itu dalam syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB), menurut artikel yang disiarkan oleh Berita Harian.
Laporan PAC menyebut, “Walaupun Menteri Pembangunan Usahawan (Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof) menyatakan projek kereta terbang adalah inisiatif swasta dan tidak gunakan dana kerajaan, PAC mendapati MIGHT meluluskan pelaburan dalam AVSB sebanyak RM20 juta. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan dana itu telah disalurkan oleh VTSB (VentureTech Sdn Bhd – subsidiari milik penuh MIGHT) kepada AVSB pada 1 November 2019.”
Tambah PAC lagi, Mohd Redzuan didapati mengumumkan projek itu terlalu awal tanpa perancangan teliti serta tidak memaklumkannya kepada Kabinet, selain mendapati ia adalah projek swasta, bukan projek nasional seperti diuar-uarkannya. Selain itu, Mohd Redzuan juga mempromosikan AVSB secara terbuka sejak Februari lalu, sedangkan kerajaan belum melaksanakan pematuhan piawaian kewangan, hak milik intelek, kepakaran dan kapasiti membangunkan kereta terbang terhadap syarikat berkenaan.
PAC turut mendapati AVSB membangunkan prototaip di Jepun kerana negara itu memiliki ekosistem dan kemudahan membina kereta terbang, sedangkan Mohd Redzuan memaklumkan syarikat itu menggunakan teknologi tempatan.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta MIGHT juga tidak dirujuk langsung dalam menentukan hala tuju pembangunan mobiliti udara, dan tiada undang-undang sedia ada berkaitan kawal selia dan penggunaan kereta terbang di Malaysia,” jelas laporan itu.
Sehubungan itu, PAC mengemukakan enam syor penambahbaikan, antaranya meminta Jabatan Akauntan Negara (JAN) mengaudit pelaburan RM20 juta itu, selain menggesa VTSB memantau perbelanjaan dibuat AVSB bagi memastikan dana berkenaan digunakan bagi tujuan ia diluluskan, dan bukan untuk projek kereta terbang.
Selain itu, sesuatu projek perlu dikaji dan dirancang secara teliti sebelum dihebahkan kepada umum bagi mengelak persepsi negatif dan kritikan masyarakat. Kementerian Pembangunan Usahawan turut dinasihatkan mewujudkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi lain, serta membuat pematuhan piawaian yang lengkap sebelum membuat pengumuman dan keputusan.
“Kertas Kabinet yang lengkap dan sempurna perlu disedia dan dibentang dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi perkara membabitkan kepentingan rakyat dan negara,” jelas PAC.
Bermula Januari tahun 2020, Naza Premira Sdn Bhd akan menghentikan segala operasi yang berkaitan dengan motosikal jenama Vespa. Perkara ini disahkan sendiri pengerusi eksekutif kumpulan syarikat Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
“Sejak bulan Julai, Naza Group dan Piaggio Group telah melakukan perbincangan tentang pemisahan ini. Kami berterima kasih kepada Piaggio Group untuk kerjasama selama sembilan tahun ini dan mengucapkan selamat berjaya dengan rakan kongsi baru mereka.”
“Kami akan terus fokus kepada pengukuhan perniagaan utama kami termasuk pengilangan automotif dan operasi pengedaran. Dengan dinamik perniagaan yang terus berubah, kami mengutamakan jenama penting kami yang mencatat prestasi tinggi. Lebih penting, kami perlu terus kekal kompetitif dan relevan dalam pasaran yang terus berubah pantas dengan kemahuan pengguna,” kata Nasarudin.
Walaupun dengan pengumuman awal ini, Naza Premira masih akan menyediakan khidmat berkenaan Vespa di beberapa pengedar terpilih mereka, termasuk servis kenderaan, alat ganti, jaminan serta servis lepas jualan yang lain, sehingga 31 Disember 2019.
Berkemungkinan besar, selepas ini hak pengedaran rasmi Vespa di Malaysia akan diberi kepada Didi Resources Sdn Bhd, yang sekarang sudah pun menjadi pengedar beberapa jenama bawah Piaggio Group seperti Moto Guzzi dan juga Aprilia.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sejumlah RM1.165 juta hasil hasil bayaran fi permohonan penggunaan cermin gelap sehingga kini (November) melibatkan 413 permohonan.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, permohonan itu merangkumi faktor keselamatan, kesihatan dan orang yang dikecualikan daripada pemakaian kaedah 11(a) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Penggunaan Kaca atau Bahan Lutsinar Lain) (Pindaan) 2019.
“Bagi permohonan atas faktor keselamatan, JPJ mengenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50. Setiap permohonan yang diluluskan akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh dua tahun yang perlu diperbaharui apabila tamat tempoh sah laku. Bagi faktor kesihatan pula, pemohon dikecualikan fi perkhidmatan dan fi kelulusan. Pemohon perlu mematuhi syarat dengan perakuan doktor pakar hospital kerajaan atau swasta yang diperakukan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi laporan Bernama.
Tambahnya lagi, antara syarat permohonan pemasangan cermin gelap atas faktor keselamatan ialah pemohon tidak mempunyai sebarang kes yang belum selesai dengan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak pernah terlibat dengan kes jenayah.
Mengenai kaedah kelulusan permohonan pula, Kamaruddin berkata pihak kementerian tidak mencampuri urusan itu kerana proses dilaksanakan satu jawatankuasa khas diketuai JPJ.
Syarikat talaan kenderaan BMW terkenal, AC Schnitzer akhirnya menunjukkan hasil kerja mereka pada Toyota GR Supra A90, dan ini juga adalah kali pertama mereka ‘menyentuh’ sebuah Toyota. Mungkin hanya kerana kereta ini berkongsi asas dengan BMW Z4, tapi apa pun ia sesuatu yang menarik kerana orang ramai diberikan pilihan naik taraf dan datang dengan jaminan selama tiga tahun.
Bahagian paling utama, iaitu enjin enam silinder sebaris 3.0 liter pada Supra A90 dinaik taraf untuk memberi tambahan 60 PS dan 100 Nm, menjadikan keseluruhannya 400 PS dan 600 Nm tork. AC Schnitzer walaubagaimanapun tidak mendedahkan masa pecutan 0-100 km/j kereta ini, tapi sebagai rujukan, Supra A90 standard mampu melakukannya dalam masa 4.3 saat, dan kelajuan maksimum 250 km/j.
Ekzos juga telah dinaik taraf dengan unit tersendiri AC Schnitzer yang telah melalui ujian WLTP, dan ia ditawarkan dengan kemasan sport karbon atau hitam anodised. Anda boleh mendengar bunyi ekzos ini dalam video di bawah dan ia ternyata lebih kuat berbanding unit asal.
Pergi kepada rim pula, unit asal 19 inci kini diganti dengan unit 20 inci serba ringan, yang ditawarkan dalam dua rekaan dan empat warna. Bahagian hadapan dibalut dengan tayar 255/30 manakala bahagian belakang menggunakan tayar 275/30.
Bagi yang masih menggemari penyerap asal Supra A90, anda masih boleh cuma membeli spring daripada AC Schnitzer yang merendahkan kereta sebanyak 15 mm, tapi mereka juga ada menyediakan pilihan set naik taraf suspensi lengkap yang termasuk penyerap RS yang boleh dilaras sepenuhnya. Melalui unit ini, kereta akan direndahkan lagi 25 mm.
Ciri aerodinamik kenderaan turut dipertingkat dengan pemasangan splitter hadapan dan spoiler GT gentian karbon. Secara keseluruhannya ada hingga 20 alat ganti yang disediakan oleh AC Schnitzer untuk Supra A90 dan ini termasuk barangan lain seperti kemasan lubang udara atas bonet, lencana, pemegang nombor plet, serta kemasan aluminium pada tombol gear, pedal kaki, pemegang kunci dan penutup iDrive.
Bagi menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Petronas hari ini melancarkan kempen berkenaan di lebih 700 cawangan Kedai Mesra miliknya seluruh negara bermula hari ini.
Menerusi kempen ini, Petronas akan bersama-sama mempromosikan pelbagai produk F&B keluaran tempatan di Kedai Mesra termasuk kerepek, kek, jus dan juga hidangan-hidangan tempatan seperti nasi lemak dan mee goreng. Petronas juga turut menyediakan rak khas di 100 stesen terpilih bagi mengetengahkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia.
“Kami gembira kerana mendapat sokongan dari Petronas dengan menawarkan peluang kepada warga IKS bagi memasarkan produk tempatan mereka dalam masa yang sama mewujudkan kesedaran yang lebih besar dalam kempen ini. Paling utama, kami mahu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan penjualan produk tempatan. Ini turut membantu pertumbuhan perniagaan usahawan tempatan, terutamanya dalam pasaran yang sangat kompetitif ini,” kata Menteri Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Ini bukan pertama kali Petronas mempromosikan produk-produk tempatan. Malah ia sebenarnya selari dengan program IKS yang telah dijalankan lebih 25 tahun lalu bagi menyokong perniagaan-perniagaan tempatan. Sehingga kini, Petronas mempunyai lebih 350 vendor tempatan yang membekalkan barangan untuk cawangan-cawangan Kedai Mesra mereka.
Dalam majlis perasmian pagi tadi yang berlangsung di Petronas Jalan Kolam Air Lama, enam vendor tempatan telah dipilih oleh Petronas bagi mempamerkan produk-produk mereka – kerepek yang dihasilkan Akuku Food Industry dan Perniagaan Hadeen Enterprise, Sarang Burung FG Walet dari Zhafou Trading, kek chocolate moist oleh Anis Food, pelbagai jenis sos oleh Mama G Marketing and ais krim popsicles dibuat dari buah-buahan segar oleh Doluvo.
Selain itu, Petronas turut membawa pelbagai juadah juga dari vendor tempatan seperti Nasi Lemak Saleha, kuih-muih dari Sri Talamaz, pelbagai sandwich dan kotak makan tengah hari oleh Mas Awana dan juga mee goreng dari Nora Delights.
“Sebagai syarikat petroleum nasional, kami sentiasa menyokong dan mempromosikan perniagaan-perniagaan tempatan dan memperkasakan ekonomi domestik. Di bawah program IKS, kami telah menolong banyak vendor tempatan untuk membolehkan produk mereka menembusi pasaran yang lebih luas menerusi jaringan stesen-stesen kami. Sebahagian besar vendor-vendor ini telah pun berada dalam pasaran di lebih dari 400 Kedai Mesra kami seluruh negara,” kata pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.
“Dengan kempen yang kini semakin mendapat sambutan dan banyak lagi syarikat yang akan menyertainya, kami percaya kami akan mampu untuk menggabungkan kekuatan kami bagi menaikkan perniagaan tempatan,” tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa Petronas bukan sahaja membantu IKS dari segi startegi dan pemasaran kerana sebahagian syarikat mempunyai kapasiti tetapi tidak mempunyai pengalaman. Petronas turut bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mencari dan membantu IKS yang berpotensi untuk diketengahkan.
Petronas sentiasa membuka peluang ini kepada semua warga IKS tempatan; jika anda seorang usahawan dan berminat untuk menyertai Program IKS Petronas, jangan segan untuk menghubungi mereka menerusi talian khidmat pelanggan Mesralink dengan mendail 1300-88-8181.
Honda City 2020 yang baru sahaja diperkenalkan di Thailand, dan kini kami bawakan gambar-gambar live bagi tiga varian model berkenaan yang membuat penampilan di pameran Thailand Motor Expo. Varian yang dimaksudkan ialah Honda City 2020 Turbo RS, Turbo SV dan Turbo V Modulo.
Seperti yang ramai sedia maklum, Honda City berkenaan dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo bagi membolehkan ia bersaing dalam segmen Kereta Eco Fasa 2 di Thailand. Jadi, ini kali kedua City menerima enjin turbo selepas City Turbo dan Turbo II pada model generasi pertama yang menggunakan enjin COMBAX turbo 1.2L pada era 80’an.
Untuk model generasi baru ini, City diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah. Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.
Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual ditawarkan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.
Dari sudut penampilan, muka City baharu ini menampikan ‘jendul’ yang lebih besar dari sebelumnya, dengan iras muka lebih mirip kepada Civic, serta ‘kening’ bersama lampu nyalaan siang LED yang bercantum pada gril ‘solid wing’ yang tebal pada bahagian tengah.
Pada bahagian sisi, garis bahu kelihatan lebih menyerlah, tetapi ia tidak menaik ke belakang, sebaliknya nampak lebih tegak. Di belakang, model ini diberikan lampu dengan kluster lebih tirus dan berbucu dari sebelum ini, dan ia hadir dengan jalur grafik LED yang unik. Kemasan seakan diffuser pada bampar belakang direka kecil, tetapi ia diberikan sepasang liang udara pada setiap sisi yang nampak agresif.
Untuk model RS, ia hadir dengan kemasan-kemasan hitam yang menggantikan komponen krom pada varian SV. Ia juga menampilkan cermin sisi dan juga lid spoiler belakang dengan kemasan hitam, dan juga rim 15-inci dua tona dengan rekaan tersendiri.
Menurut Honda, City terbaru ini ialah 113 mm lebih panjang (4,553 mm) 53 mm lebih lebar (1,748 mm) dari versi sedia ada. Namun ia kini 10 mm lebih rendah (1,467 mm) dan jarak roda pula 11 mm lebih dekat (2,589 mm) berbanding sebelum ini. Honda turut memberikan penebat polyurethane dan tebatan bunyi lebih tebal pada ruang enjin bagi memberikan NVH lebih baik.
Di Thailand, Honda City hadir dengan enam warna iaitu Taffeta White, Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, dan warna baharu yang Ignite Red yang boleh anda lihat pada model RS di atas. Ia dijual pada harga bermula 579,500 baht (RM80k) untuk model paling rendah S, 609,000 baht (RM84k) untuk V, 665,000 baht (RM92k)untuk SV dan 739,000 baht (RM102k) untuk RS.
Bukan semua keluarga yang sengaja tidak mahu menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bukan? Terutamanya keluarga besar yang hanya mampu untuk membeli sebuah kereta sedan terpakai. Oleh sebab ini, kerajaan menerusi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar mengumumkan bahawa kelonggaran akan diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai apabila peraturan itu dikuatkuasakan 1 Januari ini, menurut laporan Berita Harian.
Menurut Datuk Kamarudin, kerajaan sedar dan mengakui sukar bagi keluarga yang besar menggunakan CRS dalam kenderaan berikutan masalah ruang.
“Khusus untuk keluarga yang besar, saya boleh laporkan mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tidak membolehkan CRS dipasang.Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata lagi, penjualan CRS dalam negara akan dikecualikan duti import dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi memastikan pemasangannya tidak membebankan rakyat.
Setahun selepas menerima Corolla Hatchback, kini pasaran Australia menerima pula Corolla generasi ke-12 dalam bentuk sedan. Model empat-pintu ini ditawarkan dengan enam pilihan varian yang sama seperti versi lima-pintu tanpa but pada pasaran berkenaan.
Australia menerima sedan dengan muka sama seperti pasaran Jepun dan Amerika Syarikat, iaitu muka lebih garang seakan model hatchback. Ia berbeza dengan model pasaran ASEAN termasuk Malaysia yang diberikan muka Altis yang nampak lebih jinak.
Menurut naib presiden Toyota Australia untuk jualan dan pemasaran Sean Hanley, kesemua varian berkenaan diberikan kelengkapan yang sama antara sedan dan hatchback, memudahkan pelanggan memilih dengan hanya mengambilkira bentuk badan yang dimahukan.
Oleh itu, varian-ke-varian antara sedan dan hatchback ditawarkan dengan pilihan ciri yang sama termasuk unit janakuasa dan juga sistem keselamatan Toyota Safety Sense. Ia dijual pada harga bermula AUD23,335 (RM66k) untuk varian asas Ascent Sport manual, hingga AUD33,635 (RM95k) untuk varian ZR CVT.
Jadi, pelanggan boleh memilih Corolla sedan ini dengan dua pilihan enjin yang sama iaitu enjin petrol 2.0 liter NA atau 1.8 liter petrol dengan sistem hybrid dua motor elektrik. Bagi model 2.0 liter, ia dijana dengan enjin Dynamic Force M20A-FKS yang dilengkapi sistem suntikan bahan api terus D-4S dan juga sistem injap bervariasi VVT-iE, membolehkan ia menghasilkan 168 hp dan tork maksima 200 Nm.
Dua transmisi boleh dipilih, sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual pintar (iMT) yang hadir bersama sistem rev-match, atau transmisi automatik Direct Shift-CVT yang dilengkapi launch gear serta 10-kelajuan maya jika anda menggunakan mod manual.
Untuk versi hybrid pula, ini kali pertama Corolla sedan pasaran Australia menerima unit janakuasa sedemikian. Sistem ini menggabungkan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson berkuasa 97 hp/142 Nm dan juga dua motor elektrik berkuasa 71 hp/163 Nm menerima kuasa dari bateri nickel metal hydride 6.5 Ah. Menurut Toyota, secara keseluruhan versi hibrid ini menjana kuasa sebanyak 121 hp.
Versi hibrid ini turut dibekalkan dengan tayar yang rendah rintangan golekkan, membolehkan model ini mencapai penggunaan petrol hanya 3.5 liter setiap 100 km (berdasarkan ujian Toyota sendiri) dan menjadikannya model kedua dalam barisan model jenama tersebut paling jimat bahan api.
Kesemua varian sedan ini juga diberikan sistem bantuan pemandua Toyota Safety Sense generasi kedua, yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB) dari sistem pra-pelanggaran (PCS), cruise control aktif, bantuan mengesan lorong (hanya model CVT), amaran keluar laluan (hanya model manual), bantuan pengenal tanda jalan, dan lampu tinggi automatik.
Sistem PCS yang dibekalkan kali ini mampu untuk mengesan pejalan kaki pada waktu malam, tetapi fungsi mengesan penunggang basikal hanya berfungsi pada waktu siang. Corolla ini juga diberikan kamera undur dan tujuh-beg udara, manakala varian lebih tinggi diberikan pemantau titik buta dan paparan head-up.
Kesemua varian termasuk model asas diberikan standard dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta brek parkir elektronik.
Untuk kelengkapan lain, kesemua model hibrid diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, manakala model pertengahan SX turut hadir dengan sistem navigasi GPS lengkap dengan informasi trafik langsung, tray pengecas telefon pintar tanpa wayar dan roda stereng premium bersama pedal penukar gear.
Model tertinggi ZR pula hadir dengan rupa paling agresif, dengan dilengkapi rim aloi 18-inci, tempat duduk sport balutan kulit sintetik dan larasan berkuasa pada sebelah pemandu dan bumbung suria. Versi ini juga menerima sistem audio JBL dengan sembilan pembesar suara.
Semalam, ketika ditanya di Parlimen, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen memaklumkan yang bermula tahun depan, harga RON 95 akan naik satu sen seminggu sehingga mencecah harga pasaran susulan daripada pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) Bersasar akan mula dilaksanakan Januari 2020 nanti.
Tetapi, lain pula ceritanya hari ini. Ketika ditemui ketika acara Kempen Beli Barangan Malaysia oleh Petronas pagi ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa hal itu masih belum muktamad dan perlu mendapatkan “lampu hijau” dari kabinet.
“Berkaitan perlaksanaan PSP, pengumuman yang dibuat pada 7 Oktober itu dipersetujui oleh kabinet. Untuk itu, bagi tempoh sehingga perlaksanaannya nanti pada Januari 2020, kementerian akan terus membuat persiapan. Antaranya untuk berhubung dengan pelbagai pihak bagi mencari idea bagaimana untuk memastikan perlaksanaan yang lancar dan berkesan,” ujar beliau.
“Dalam pelbagai perbincangan ini, turut diperbahaskan ialah cara penetapan harga sebaik sahaja perlaksanaan ini bermula. Kami bincangkan banyak perkara, dan satu daripadanya adalah seperti yang dinyatakan oleh timbalan saya semalam. Tetapi ia belum muktamad,” tambah Saifuddin.
“Semalam, timbalan saya menjawab soalan susulan, dan dia bercakap tentang cadangan kenaikan harga petrol satu sen seminggu. Saya ingin menegaskan bahawa perkara itu belum lagi dipastikan. Ini kerana, harga di pam minyak ditentukan oleh beberapa faktor, antaranya APM (Automatic Price Mechanism), tukaran mata wang asing dan harga minyak mentah semasa, serta MOPS (Mean of Platts Singapore) dan banyak lagi,” tambah beliau.
Saifuddin juga berkata, beliau akan menyediakan maklumbalas kepada rakan-rakan kabinet di dalam mesyuarat esok, dan pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dipersetujui oleh kabinet. “Saya ingin memberi penekanan bahawa isu yang dilaporkan oleh media semalam masih belum diputuskan lagi. Bagi PSP, ia kekal seperti yang diumumkan sebelum ini. Selebihnya akan dimaklumkan selepas mendapat persetujuan kabinet,” jelas beliau.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan yang tinggi terhadap Dasar Automotif Nasional (NAP 2019) agar dapat menarik perhatian Korea Selatan untuk melabur dalam industri automotif negara.
Menurut Tun Mahathir yang berada di negara berkenaan bagi selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ROK) 2019, beliau juga berkesempatan memandu kereta berkuasa hidrogen di sana.
“”Dalam lawatan ini, saya berpeluang memandu kereta berkuasa hidrogen dan amat tertarik betapa senyapnya kenderaan berkenaan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Ujarnya lagi, fasa pertama NAP 2019 akan memfokuskan peningkatan dasar bagi memanfaatkan teknologi baru termasuk dari segi modal insan dan kecekapannya.
“Diharapkan menerusi dasar baharu NAP 2019 ini, Malaysia akan meneroka kerjasama dengan Republik Korea dalam sektor automotif,” katanya.
Tahun 2019 telah pun memasuki suku yang ke-empat, namun sehingga kini NAP 2019 masih belum diumumkan. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata, “NAP 2019 akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV). Pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.
“Ia juga memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar polisi dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja. Pada masa sama, kami akan turut menggabungkan elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid dan kenderaan EEV.”
Ngam-ngam setahun yang lalu, Hyundai mempamerkan hot-hatch yang direka bagi berdepan terus dengan VW Golf GTI iaitu i30 N ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018; bertujuan untuk menilai respon dari orang ramai. Mungkin respon yang diterima cukup baik, hari ini model berkenaan telah masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi!
Ketika membuat kemunculan sulung globalnya pada Julai 2017, model hasil buah tangan bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, Albert Biermann (kini ketua unit R&D Hyundai) berkenaan hadir dengan dua talaan kuasa – model standard menjana 250 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000 , manakala versi yang hadir dengan Performance Package menghasilkan 275 PS dengan kadar tork yang sama.
Seperti versi yang muncul di KLIMS tahun lalu, model pasaran Malaysia hadir dengan Performance Pack, beerti anda akan mendapat sebuah Hyundai dari bilik pameran dengan kuasa 45 PS lebih besar dari Volkswagen Golf GTI! Kuasa berkenaan dihasilkan oleh enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI.
Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran dengan harga RM298,888, dan hanya di bawa masuk oleh Hyundai Sime Darby Motors dengan jumlah 20-unit sahaja – ia akan diberikan nombor siri istimewa “1” hingga “20” dicop pada plat besi. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh menempah kereta ini sekarang di bilik pameran, sebaliknya model ini akan mula dijual secara rasmi bermula 12 Disember ini di aplikasi beli-belah online Lazada sempena Festival 12.12.
Tetapi, jika anda benar-benar mahukan kereta ini, anda boleh mengunakan fungsi “Chup Dulu” dalam aplikasi Lazada bagi memastikan tempahan anda diterima pada 12.12 nanti. Menerusi fungsi Chup Dulu, pembeli perlu membayar deposit RM1,000 (50% dari yuran tempahan bernilai RM2,000) pada 2 hingga 11 Disember nanti yang tidak akan dikembalikan sekiranya pembelian dibatalkan.
Pembeli yang telah berjaya menempah Hyundai i30 N menerusi Chup Dulu perlu menjelaskan baki bayaran tempahan sebanyak RM1,000 pada 12 hingga 14 Disember bagi memastikan pembelian hot-hatch berkenaan selepas itu.
Wakil dari Hyundai kemudiannya akan menghubungi anda jika pembelian ini mahu diteruskan, dan urusniaga tersebut boleh dibuat pada mana-mana bilik pameran yang dimahukan oleh pembeli. Bagi kesemua 20 pembeli tersebut yang telah melengkapkan pembelian mereka dengan kelulusan pembiayaan, mereka akan menerima hadiah tambahan berupa pakej percutian ke Korea lengkap dengan sesi track day di sana.
Seperti Honda Civic Type R FK8, Hyundai i30N agak memilih pembelinya kerana hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Kuasa dari enjin hanya disampaikan ke roda hadapan, dan dengan Performance Package, jentera ini turut dilengkapi dengan LSD kawalan elektronik di dalam kotak gearnya.
Dengan Performance Package juga, kereta ini hadir standard dengan sistem ekzos bervariasi bersama injap khas dan talaan enjin yang akan melambatkan pemasaan nyalaan palam pencucuh (retard ignition timing) yang akan memberikan bunyi meletup seakan sistem anti-lag kereta rali pada ekzos, setiap kali pedal pendikit diangkat ketika kereta ini dipandu secara agresif dalam mod N.
Pakej tersebut turut membekalkan ciri hardcore lain seperti rim aloi 19-inci dengan tayar Pirelli P-Zero yang dihasilkan khas untuknya (versi biasa diberikan rim 18-inci dengan tayar Michelin) serta angkup brek berwarna merah bersama cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang (17-inci hadapan dan 16-inci belakang untuk model standard).
Bagi kotak gear enam-kelajuan i30 N ini pula, kesemua versi diberikan short-shifter serta sistem Rev-Match/Auto-Blip seperti Honda Civic Type-R yang membolehkan pemandu menurunkan gear dengan lebih lancar ketika dipandu agresif, walaupun tanpa kemahiran kawalan pedal heel and toe.
Model talaan N ini juga lebih rendah dari model i30 biasa – empat milimiter lebih rendah dengan rim 18-inci, manakala model dengan rim 19-inci pula adalah lapan milimeter lebih rendah. Kelengkapan berprestasi tinggi lain yang turut dibekalkan untuk hot-hatch ini termasuk suspensi boleh laras bantuan elektronik, launch control, jam randik untuk catatan sepusingan di dalam litar dan banyak lagi.
Bagi menyesuaikan kuasa liar yang diberikan pada kereta ini sama ada untuk pemanduan harian atau sesi litar bersama tayar spesifikasi litar, i30 N diberikan sistem stereng kuasa elektrik R-MDPS di mana motor bantuan elektrik sistem tersebut diletakkan pada rak stereng.
Lima mod pemanduan ditawarkan pada kereta ini iaitu Eco, Normal, Sport, N dan N Custom bagi membolehkan pemandu menyesuaikannya pada situasi pemanduan sama ada untuk pemanduan seharian ataupun pemanduan agresif di dalam litar. Mod berkenaan boleh dipilih menggunakan dua butang yang diletakkan pada roda stereng, dan ia akan menukar karekter kereta ini dengan menala parameter prestasi pada enjin, penyerap hentak, ESC, E-LSD, bunyi deruman enjin, stereng dan juga sistem rev-match.
Bagi mereka yang mahukan pemanduan yang lebih mengujakan, sistem ESC boleh dimatikan bagi membolehkan karekter liar kereta ini dilepaskan sepenuhnya tanpa campur tangan komputer. Ia juga turut diberikan fungsi overboost yang meningkat tork (+8%) dan pecutan (+6-7%) untuk tempoh masa singkat.
Malaysia agak unik kerana tidak menerima hatchback i30 standard, tetapi hanya diberikan versi berprestasi tinggi N ini. Jadi hanya untuk pengetahuan anda, model standard dan model N ini mempunyai perbezaan rupa pada bahagian luar dan dalam.
Model lebih liar ini diberikan imej lebih agresif terdiri dari bampar hadapan dan belakang baharu, lampu hadapan dengan elemen dalaman gelap, spoiler belakang lebih besar, serta tip ekzos berkembar diletakkan pada bahagian diffuser belakang.
Gril cascading pada i30 ini turut diberikan lencana N sebagai amaran ia bukan dari versi standard. Berberapa jalur serlahan berwarna merah turut diberikan bagi menyerlahkan imej garangnya – diberikan pada kemasan spoiler hadapan dan juga diffuser belakang.
Juga sama seperti Type R pasaran Malaysia, Hyundai i30 N di sini hanya didatangkan dalam satu warna, iaitu warna hero Performance Blue – warna yang diperkenalkan untuk jentera WRC mereka.
Pada bahagian dalaman pula, hot-hatch ini diberikan tempat duduk sport berpretasi tinggi bersama sokongan lumbar dan kusyen yang boleh dipanjangkan. Tempat duduk tersebut diberikan pilihan sama ada dibalut dengan kulit atau fabrik, digabungkan dengan sued dan juga diberikan sulaman logo N pada perehat belakang. Ia juga diberikan roda stereng N dan tombol gear yang berbeza, yang diberikan jahitan benang biru serta logo N.
Model ini turut diberikan kluster instrumen elektronik yang memberikan paparan penunjuk pemasa tukaran gear, dan juga meter RPM dengan ‘zon merah’ yang dihasilkan dari LED bervariasi – bertukar berdasarkan prestasi pemanduan dan suhu minyak pelincir.
Paparan prestasi lain pula dapat dipantau menerusi skrin terapung pada konsol tengah yang meliputi meter daya-G yang memberikan maklumat G-Force terus ketika memandu. Skrin ini diberikan dengan unit lima-inci sebagai ciri standard, manakala skrin lapan-inci ditawarkan sebagai opsyen. Sistem infotainmen hatchback ini pula menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto, serta diberikan pad pengecas induktif tanpa wayar Qi-standard.
Bagi keselamatan pula, i30 N diberikan sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), manakala untuk pasaran Eropah pula ia turut diberikan Fungsi Informasi Had Laju, yang memamparkan had laju pada kawasan-kawasan yang dilalui.
Walaupun Proton X70 versi CKD masih belum dilancarkan untuk pasaran tempatan (awalnya dijangka diperkenalkan pada Oktober lalu), Proton bagaimanapun nampak “sibuk” dengan persiapan terhadap satu lagi model terbarunya. SUV segmen B, Proton X50, kali ini sekali lagi dilihat sedang diuji di MRR2 oleh seorang pembaca paultan.org, Eirik.
Sebelum ini, agak sukar untuk menentukan sama ada model asalnya, Binyue yang diuji itu datang dengan pemanduan sebelah kiri atau kanan, daripada imej terbaru ini sekurang-kurangnya ada petunjuk lain; kedudukan pengilap cermin utamanya selari dengan versi pemanduan sebelah kanan.
Bagaimanapun, jangkaannya, SUV Proton X50 ini mungkin tidak akan diperkenalkan dalam masa terdekat untuk pasaran tempatan. Ini kerana, Proton X70 CKD sepatutnya terlebih dahulu dilancarkan, dan desas-desus terbaru mengatakan itu akan dilakukan Januari nanti. Maka kita boleh jangkakan X50 akan tiba selepas itu.
Antara perkara yang dapat dilihat dalam gambar terbaru ini ialah bahagian depan X50 ini seperti dilengkapi panel radar yang dibiarkan terdedah. Ini mungkin memberikan petunjuk bahawa model berkenaan akan datang dengan sistem bantuan pemanduan aktif. Di pasaran lain, Binyue datang dengan sistem bantuan pemanduan Tahap Dua yang lebih canggih berbanding kelengkapan pada X70 – ini termasuklah bantuan mengekalkan lorong aktif berbanding amaran pertukaran lorong pada X70.
Di China, Binyue dilengkapi dengan ciri termasuk Intelligent Cruise Control dan Automated Parking Assist. Dua pilihan enjin petrol ditawarkan, serta satu versi PHEV juga tidak ketinggalan. Harga di sana bermula sekitar RM48,000 bagi pilihan enjin 1.0 liter 134 hp/205 Nm tiga-silinder, hingga RM72,000 bagi unit enjin 174 hp/255 Nm 1.5 liter tiga-silinder.
Dengan posisi pasaran yang akan diisi oleh X50 di Malaysia kelak, serta kelengkapan sistem bantuan pemanduan aktif yang kami jangka turut akan ditawarkan, harga di Malaysia kelak mungkin berada pada julat yang lebih tinggi, terutama bagi varian dengan kelengkapan penuh. Apa pandangan anda tentang harga ini nanti?
Lazada menjadi platform eDagang pertama bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mempertingkatkan kesedaran pentingnya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Melalui kerjasama ini, Lazada Malaysia juga telah melancarkan program Car Seat Assurance – iaitu senarai khusus produk-produk CRS di LazMall yang menepati spesifikasi piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) ECE R44/04 dan ECE R129. Kerjasama ini dijalin bersempena dengan penguatkuasaan penggunaan CRS bermula 1 Januari 2020.
“Menerusi program Car Seat Assurance Lazada, kami dapat menyediakan pilihan produk CRS yang menepati piawaian, yang turut ditawarkan dengan lingkungan harga yang berbeza untuk semua keperluan individu daripada pelbagai peringkat umur. Ini juga dapat meningkatkan penggunaan CRS dan sekaligus mengurangkan kematian akibat kemalangan yang melibatkan kanak-kanak,” kata Kevin Lee, Ketua Pegawai Perniagaan, Lazada Malaysia.
Dr. Siti Zaharah Ishak, Ketua Pengarah MIROS, pula berkata, “Dengan adanya program Car Seat Assurance Lazada, kami berharap untuk mendidik lebih ramai ibu bapa tentang kepentingan penggunaan CRS dan memilih produk CRS yang sesuai untuk anak mereka dan menepati keperluan yang digariskan di dalam Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Malaysia. Kita juga perlu mengubah persepsi bahawa kerusi keselamatan yang memenuhi piawaian adalah mahal,” Kata Dr. Siti.
Melalui program Car Seat Assurance Lazada, produk-produk tersebut telah menjalani proses pemilihan yang teliti. Lazada menjamin bahawa setiap kerusi keselamatan yang dilabel ikon ini dijual oleh peniaga yang telah mengemukakan salinan sijil UNR44 atau UNR129 bersama laporan ujian pelanggaran. Dokumentasi produk tersebut juga telah dihantar ke MIROS untuk penilaian lanjut bagi memastikan keselamatan produk tidak dikompromi.
Lazada turut memaklumkan, setakat ini, lebih 40 model produk daripada enam jenama tempatan dan antarabangsa yang dilabel ikon Car Seat Assurance boleh didapati di LazMall dengan lingkungan harga dari RM100 ke RM1,599. Enam jenama CRS tempatan dan antarabangsa yang tersenarai dalam program tersebut adalah Joie, Koopers, Quinton, Chicco, Sweet Cherry dan Sweet Heart Paris.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Oktober 2019. Sejumlah 53,870 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, iaitu 9,204 unit – atau 20.61% – lebih berbanding 44,666 unit yang direkodkan pada September.
MAA turut berkata peningkatan ini terdorong oleh waktu bekerja yang lebih panjang pada bulan tersebut, ini termasuklah pengguna yang mengambil kesempatan dengan kempen promosi akhir tahun. Perodua Axia facelift, yang dilancarkan pada September lalu, menjadi penyumbang tertinggi terhadap jualan pada Oktober lalu.
Bagi angka tahun-ke-tahun untuk bulan terbabit turut memberangsangkan berbanding Oktober tahun lalu, dengan kelebihan 6,597 unit, sementara jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 10 bulan pertama 2019 turut menyaksikan sejumlah 496,861 kenderaan telah terjual – 5,267 unit – atau 1.05% – kurang berbanding tempoh yang sama pada 2018.
Untuk November 2019, MAA menjangkakan jumlah jualan kekal seperti mana Oktober.
Sejak operasi pengeluaran Harley-Davidson dijalankan di Thailand awal tahun ini, harga motosikal jenama itu di Malaysia turut menunjukkan penurunan. Sekarang, senarai harga untuk tahun 2020 pula sudah dikeluarkan, dan ia menunjukkan lebih lagi penurunan, sehingga hampir RM40k.
Sebagai contoh, model Touring FLHR Road King dengan warna dua tona sekarang dijual pada harga RM140,900, berbanding RM179,800 sebelum ini (turun RM38,900). Model dua roda paling mahal dijual oleh H-D Malaysia sekarang adalah FLHTK Ultra Limited dengan harga RM188,600 (murah RM32,100 berbanding harga RM220,700 sebelum ini).
Model paling mampu milik pula adalah Sportster Superlow XL883L, dengan harga RM62,800 tetapi ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM200 berbanding harga yang dikeluarkan sebelum ini. Ini adalah harga untuk model warna hitam sahaja, sementara untuk model yang menggunakan warna lain, anda perlu menambah RM1,100 dan RM2,400 untuk warna dua tona.
Selain model dua roda, H-D Malaysia juga ada menjual model tiga roda Tri Glide Ultra yang menjadi model termahal dalam senarai semua model, dengan harga RM292,000 (naik RM800 berbanding harga sebelum ini). Satu lagi model tiga tayar iaitu Freewheeler dijual pada harga RM229,400.
Dalam perkembangan berkaitan, H-D Malaysia juga telah membuka cawangan baru di Kota Kinabalu, Sabah dan operasi penuh untuk pusat pameran dan servis akan bermula pada suku pertama tahun 2020. Selepas itu, ia akan diikuti pula oleh pusat pameran baru di Johor.
Model Year 2020 Asset Capture Photography.
Model Year 2020 Asset Capture Production MY20.
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Photography.
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Photography.
Model Year 2020 Asset Capture Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2020 Asset Capture Production MY20.
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Model Year 2019 GAP Photography. INTERNATIONAL ONLY
Dipertontonkan pada Mac lalu, Toyota GR Supra A90 telah pun dilancarkan di pasaran Thailand. Kereta sport generasi kelima ini hadir dengan spesifikasi tertinggi RZ, dengan harga pengenalan 4.999 juta baht (RM690,773). Ia termasuk dengan Pakej Servis GR serta servis percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km.
Kereta ini diimport sepenuhnya bukan dari Jepun, tapi dipasang oleh Magna Steyr di kilang Graz, Austria, bersama dengan model yang sama platform dengannya iaitu BMW Z4 G29 – telah pun dilancarkan di Malaysia pada September lalu, dengan spesifikasi yang sama, berharga RM568,000 atas jalan tanpa insurans.
Seperti model pasaran kita, Supra untuk Thailand dijana enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo yang menjana 340 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF. Seperti rekaan tradisi Supra, enjin yang terletak di bahagian hadapan berkenaan hanya mengalirkan kuasa ke gandar belakang yang turut dilengkapi dengan LSD.
Ini membolehkan Supra A90 memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat. Kelajuan maksimanya punya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Senarai kit varian RZ untuk Thailand ini belum disahkan, tetapi pastinya lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor untuk Supra yang ditawarkan di Malaysia. Antara cirinya termasuk roda 19-inci (dengan tayar Michelin Pilot Super Sport 255/35 di hadapan dan 275/35 di belakang), lapan cara-larasan untuk pemandu termasuk fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon, Toyota Supra Connect infotainment (skrin sesentuh 8.8-inci, kawalan iDrive, sistem bunyi JBL dengan 12-speaker) dan paparan utama.
Untuk keselamatan pula, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu). Sistem bantuan pemanduan pakej Toyota Safety Sense turut diberikan, terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pra-pelanggaran hadapan, amaran pelanggaran belakang, kawalan kelajuan adaptif, informasi had laju, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta lampu tinggi automatik.
Seperti yang kita tahu, Program Subsidi Petrol (PSP) Bersasar akan mula dilaksanakan Januari 2020. Dan, susulan daripada itu, seperti dilaporkan oleh Harian Metro, kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga bahan api sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.
Perkara berkenaan dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen. “Keputusan mengapungkan harga minyak bagi meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan tidak naik secara mendadak. Kita akan apungkan harga petrol berperingkat sebanyak satu sen seminggu, sehinggalah harga RON95 mencecah harga pasaran,” katanya.
Chieng Jen berkata, kementerian juga ada Akta Kawalan Harga supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP. Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan PSP hanya berkuatkuasa di Semenanjung dan bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki berkenderaan.
“Bagaimanapun, rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter selepas kerajaan mengambil kira keperluan kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel. Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95,” ujarnya.
Volkswagen telah mendedahkan model generasi kelapan untuk model paling larisnya iaitu Golf. Namun dalam pengenalan tersebut, versi berprestasi tinggi GTI masih lagi belum didedahkan. Imej yang anda lihat ini adalah unit prototaip Golf GTI Mk8, yang ditemui oleh jurugambar risikan kami ketika ia melakukan ujian musim sejuk.
Unit prototaip ujian ini dilihat hampir tidak mengenakan sebarang pelekat penyamaran. Lampu hadapan dan belakang serta gril hadapan model ini masih lagi nampak seiras dengan model biasa. Tetapi berberapa ciri menampakkan ia adalah versi lebih berkuasa dari model standard.
Anda boleh lihat bampar hadapan unit ini diberikan elemen sarang lebah ikonik GTI, bersama perumah dan lampu kabus di bahagian sisi direka berbeza dari Mk8 biasa. Di belakang, ia diberikan diffuser yang kelihatan lebih agresif bersama dua tip ekzos sebenar, berbanding Golf biasa yang menyorokkan tip berkenaan disebalik perumah dengan kemasan krom.
Walau bagaimanapun, unit prototaip ini masih belum mengenakan rim produksi, dan ketika ujian ini ia dilihat menggunakan tayar untuk musim sejuk. Tetapi disebalik rim tersebut, anda boleh lihat ia diberikan angkup brek lebih besar berwarna merah.
Menurut sumber kami, versi GTI untuk Golf Mk8 ini akan kekal dijana enjin EA888 2.0 liter empat silinder turbo, tetapi menerima berberapa sentuhan semula. Versi asas mungkin akan menghasilkan 255 hp, manakala versi pacuan hadapan paling berkuasa GTI TCR mungkin akan mengerah kuasa sebesar 290 hp.
Enjin tersebut juga masih kekal digandingkan dengan dua pilihan transmisi – enam-kelajuan manual dan klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Ia juga dijangka mampu mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j di bawah enam-saat.
Pada bahagian dalaman pula, ia masih mengekalkan dua skrin digital yang bersambung – skrin instrumen untuk pemandu bersaiz 10.25-inci, manakala skrin sesentuh untuk infotaimen pula dianggar antara 8.25-inci hingga 10-inci. Untuk model transmisi DSG, ia diberikan tombol seakan Porsche 911 generasi 992 yang bersaiz jauh lebih kecil.
Model ini dijangka bakal membuat kemunculannya pada pertengahan tahun 2020, atau setahun selepas kemunculan pertama model standard generasi kelapan ini. Juga perlu anda ketahui, tiada lagi model tiga pintu pada hatchback Golf Mk8, dan hanya dihasilkan dalam versi lima-pintu.
Volkswagen Golf adalah antara kereta yang paling banyak dijual di dunia, dengan catatan 35 juta unit sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1970-an. Sekarang, model generasi kelapan terbaru telah diperkenalkan, dengan melihatkan perubahan luar dan dalam.
Dibina atas platform MQB, Golf Mk8 ini masih lagi menggunakan suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, tetapi dimensinya telah berubah sedikit berbanding Mk7.5 – 26 mm lebih panjang (4,284 mm), lebar berkurang 10 mm (1,789 mm) dan tinggi direndahkan 36 mm (1,456 mm). Jarak roda pula berkurang 1 mm menjadi 2,636 mm.
Sementara rupa keseluruhannya masih lagi nampak seperti sama, Volkswagen mendakwa Golf baru ini lebih aerodinamik dengan catatan kecekapan rintangan angin 0.275 Cd. Bahagian hadapannya dilihat mempunyai gril lebih nipis dengan logo terbaru syarikat itu, lampu utama LED dengan ‘ekor’ di hujung menghampiri lengkuk roda serta lampu DRL LED berbentuk J yang juga boleh bertukar warna dan tugas sebagai lampu penunjuk arah.
Pemilik juga diberikan pilihan untuk menukar lampu utama LED ini kepada sistem IQ.Light yang mempunyai unit LED matriks. Bahagian dalam lampu canggih ini boleh ditutup dan dibuka secara automatik bergantung kepada keadaan untuk mengelakkan silau kepada pengguna jalan raya lain, mengurangkan pantulan pada tanda jalan, melaras mengikut selekoh serta memberikan pencahayaan terbaik waktu cuaca buruk.
Pada bahagian bawah bampar terdapat bukaan yang lebar dengan jalur melintang dan kemasan sama warna dengan badan atau perak. Ini adalah untuk varian yang menggunakan trim Style sementara varian R-Line mendapat bampar yang lebih agresif, kemasan hitam dan jalur melintang di bawah itu diganti dengan elemen berbentuk segitiga.
Satu lagi varian yang ditunjukkan oleh Volkswagen adalah GTE plug-in hybrid, di mana kemasan hitam seperti R-Line tadi masih lagi digunakan, tetapi bukaan udara di bawah tadi cuma menggunakan hiasan berbentuk honeycomb. Pada bahagian tepi kiri kenderaan ini terdapat soket pengecas manakala gril pula mempunyai jalur lampu.
Pintu but Golf Mk8 ini direka semula untuk memberikan bukaan yang lebih luas apabila pengguna mahu memasukkan barang di belakang, dan anda juga boleh melihat lencana tulisan Golf di bawah logo. Pemantul cahaya adalah lebih nipis dan diletakkan sebaris dengan tempat nombor plet manakala lampu pula mempunyai elemen pencahayaan baru di dalamnya. Muncung ekzos antara varian Style dan R-Line juga adalah berbeza.
Keseluruhan papan pemuka kereta ini adalah baru, dan di tengahnya terdapat skrin sesentuh yang boleh didapati dalam saiz 8.25 inci atau 10 inci, dan disambung dengan sistem infotainmen MIB3 terkini Volkswagen. Selain sambungan dan fungsi biasa, anda juga diberi eSIM yang membolehkan kereta disambung dengan internet sepanjang masa dan sistem kawalan suara.
Pengawal pendingin hawa nampak seperti tersembunyi dengan butang yang nipis di bawah skrin ini, sementara di hadapan pemandu pula terdapat satu lagi skrin digital 10.25 inci yang boleh didapati dengan fungsi head-up display. Butang kawalan lampu tidak lagi menggunakan tombol bulat, dan diganti dengan butang rata hitam berkilat.
Bahagian konsol tengah kenderaan ini boleh berubah bergantung kepada transmisi yang dipilih. Versi manual nampak lebih biasa dengan butang pemula enjin bulat serta suis brek parkir elektronik dan Brake Hold yang besar, sementara versi automatik pula mempunyai tombol penukar gear kecil seperti Porsche 911 992.
Model ini juga tidak kekurangan pada aspek teknologi, di mana ia turut ditawarkan dengan Travel Assist yang membolehkan fungsi Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist digunakan pada kelajuan sehingga 210 km/j. Ia juga adalah model Volkswagen pertama yang menggunakan ciri Car-to-X Communication (Car2X) untuk bertukar informasi dengan kenderaan lain dan infrastruktur tepi jalan.
Apabila Golf mula dijual di Eropah pada bulan Disember ini, ia akan ditawarkan dengan pilihan lima sistem pacuan hibrid, termasuk tiga daripadanya dipanggil sebagai eTSI. Ini adalah penggerak hibrid ringkas yang beroperasi dengan padanan sistem 48-volt dengan belt starter generator yang dipasang terus kepada kotak gear DSG tujuh kelajuan, bateri lithium-ion dan enjin TSI. Versi dengan enjin TSI 1.0 liter menghasilkan kuasa 110 PS manakala versi berenjin 1.5 liter TSI disediakan dalam pilihan kuasa 130 PS atau 150 PS.
Dua lagi model hibrid sebenarnya adalah plug-in hybrid eHybrid, dengan versi standard menawarkan kuasa 204 PS manakala model GTE yang lebih berkuasa mampu menghasilkan 245 PS. Kedua-duanya menggunakan bateri lithium-ion 13 kWh, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sehingga 60 km, dan dipadankan bersama enjin 1.4 liter TSI serta kotak gear DSG enam kelajuan.
Untuk model bukan hibrid, pilihannya terdiri daripada enjin tiga silinder 1.0L turbo 90 PS/110 PS dan empat silinder 1.5L turbo 130 PS/150 PS yang dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan, empat silinder 2.0L TDI berkuasa 115 PS/150 PS yang boleh didapati dengan kotak gear manual atau DSG, serta enjin gas asli empat silinder 1.5L TGI 130 PS.