Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Yamaha NMax 2020 vs Honda ADV 150 – perbandingan spesifikasi dua skuter hangat baru di negara jiran

    Penggemar skuter di negara kita sekarang mungkin sedang berseronok dengan Yamaha NVX tetapi di Indonesia mereka mempunyai dua lagi pilihan yang tidak kurang menariknya iaitu Yamaha NMax 2020 yang baru sahaja didedahkan dan Honda ADV 150. Memang, dua model ini masih belum tiba dalam pasaran kita, tetapi kami ada mendengar khabar angin bahawa salah satunya mungkin dilancar seawal bulan Februari tahun depan.

    Jadi, untuk yang berkira-kira mahu memiliki antara dua model ini, kami letakkan perbezaan antara keduanya supaya mudah membuat keputusan. Walaubagaimanapun, harga tiada di sini kerana NMax masih belum dilancar secara rasmi di sana manakala ADV 150 pula dijual pada harga 36.5 juta (RM10,795). Kedua-dua model yang kami bandingkan ini adalah daripada versi yang tertinggi iaitu NMax ABS dan ADV 150 ABS.

    ADV 150 juga mempunyai keunikan tersendiri kerana hadir dengan gaya seperti motosikal adventure walaupun hanya sebuah skuter. Bagi mendapatkan gaya ini, kedudukannya lebih tinggi, yang bermakna tempat duduk serta jarak dari tanah juga lebih tinggi. Kemudiannya, ia datang dengan tayar kombinasi tayar berlainan saiz iaitu 14 di hadapan dan 13 di belakang.

    Yamaha NMax 2020 vs Honda ADV 150 – perbandingan spesifikasi dua skuter hangat baru di negara jiran

    Pada bahagian enjin, kedua-duanya menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api, tetapi NMax mempunyai kelebihan kuasa dan tork, mungkin kerana kapasiti yang sedikit lebih tinggi dan juga sistem injap VVA. Tetapan suspensi adalah sama, cuma berbeza jenama manakala untuk brek NMax juga mempunyai kelebihan sistem ABS two-channel berbanding cuma one-channel pada ADV 150.

    Sebenarnya, jika melihat keseluruhannya bagi segmen skuter kapasiti rendah ini, Nmax 2020 sukar dicabar kerana ia dilengkapi dengan pelbagai ciri elektronik dan kemudahan yang tiada pada pesaing lain seperti Traction Control dan Teknologi Communication Control Unit (CCU) yang membolehkan panel instrumennya disambung dengan aplikasi Y-Connect pada telefon pintar untuk memberikan fungsi notifikasi panggilan dan mesej, lokasi motosikal, waktu servis, penggunaan bahan api serta amaran lain.

    GALERI: Yamaha NMax 2020

    GALERI: Honda ADV 150 di GIIAS 2019

     
     
  • Petronas, Mercedes-AMG rai kemenangan ke-enam Constructor’s Championship di Kuala Lumpur

    Petronas, Mercedes-AMG rai kemenangan ke-enam Constructor’s Championship di Kuala Lumpur

    Pemandu pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas baru-baru ini bertandang ke Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur bagi meraikan pencapaian kali ke enam berturut-turut pasukan itu dipilih sebagai penyandang bagi Constructors’ Championship, yang diraih Oktober lalu ketika Bottas memenangi Japanese Grand Prix. Lewis Hamilton pula memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia yang juga buat kali keenam ketika Grand Priz Amerika Syarikat pada 3 November lalu.

    “Kejayaan mengkagumkan ini adalah hasil titik peluh dan kesungguhan setiap seorang daripada ahli pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport. Terima kasih kepada semua di Petronas di atas sokongan berterusan sejak 10 tahun lalu. Kami akan terus mencuba melangkaui tahap sedia ada pada musim hadapan untuk mempertingkatkan lagi cabaran dan saingan,” jelas Lewis.

    “Ini merupakan musim terbaik saya di F1 dan saya sangat berterima kasih terhadap semua kerja keras yang diberikan untuk menjadikannya kenyataan. Jentera musim 2019 kami sangat memuaskan, dan sumbangan daripada semua di Petronas menjadi teras yang menjayakannya. Bahan api dan pelincir adalah sangat penting buat sesebuah jentera,” ujar Bottas.

    Petronas, Mercedes-AMG rai kemenangan ke-enam Constructor’s Championship di Kuala Lumpur

    “Saya sedar, bukan hanya rakan-rakan sepasukan di Brackley dan Brixworth sahaja yang bertungkus-lumus untuk memastika jentera musim hadapan berada dalam prestasi terbaiknya. Rakan sekerja di Petronas juga akan turut menyumbang tenaga untuk mengoptimumkan lagi potensi jentera terbabit bagi musim 2020,” tambah Bottas.

    Sejak pengenalan peraturan unit enjin hibrid pada 2014, Petronas dengan Fluid Technology Solutions dengan bekerjasama dengan Mercedes untuk meraih 92 kejayaan Grand Prix di dalam 196 perlumbaan setakat ini, dengan 102 kedudukan pertama yang membawa kepada enam kejuaraan dunia setakat ini. Petronas telah menjadi rakan Mercedes di dalam F1 sejak 2010. Pasukan ini meraih satu lagi kejayaan dipenghujung musim F1 2019, apabila Lewis muncul juara di Abu Dhabi.

     
     
  • Kit badan Lancer Evo Edition R Dytko Sport – RM16k

    Kit badan Lancer Evo Edition R Dytko Sport – RM16k

    Awal tahun ini pembina kereta rali dari Poland, Dytko Sport telah menghasilkan kit badan ‘Evo XI’ untuk dipadankan pada Mitsubishi Lancer Evolution X yang digelar sebagai Edition R. Tetapi ketika itu, harga kit badan ini tidak dinyatakan, dan setelah penulis menyemak semula di laman sesawang mereka, harga kit badan ini sebenarnya telah diumumkan iaitu 3,500 euro atau sekitar RM16,000.

    Walau bagaimanapun, harga tersebut tidak termasuk lampu dan pemasangan – menurut Dytko pemasangan kit ini ke badan Lancer Evo X adalah mudah. Walaupun Dytko adalah penala bebas dan bukan divisi rasmi Mitsubishi, kit Edition R ini direka seiring dengan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi seperti Mirage facelift 2019 dan juga Outlander. Jika anda pertama kali melihatnya, tentu percaya ini adalah Evo XI yang benar-benar dihasilkan oleh Mitsubishi.

    Lampu hadapan Edition R ini kelihatan seperti diambil terus dari Mitsubishi Eclipse Cross. Kemudian, ia dipadankan dengan gril juga seakan dari crossover tersebut, bersama kemasan sekeliling berwarna perak yang membuatkan seolah-olah ada huruf ‘X’ pada mukanya.

    Kit badan Lancer Evo Edition R Dytko Sport – RM16k

    Bagi menyesuaikan muka baharu Evo ini, Dytko turut menghasilkan bonet hadapan baharu yang turut menampilkan skup pada bahagian tengah bersama sepasang liang udara. Jika anda perhatikan, Edition R ini juga diberikan badan yang lebih lebar dari Evo X standard. Dytko menghasilkan fender hadapan lebih lebar diserasikan dengan apron hadapan yang lebih agresif bersama liang udara besar kelihatan seperti mengalirkan udara dari bampar hadapan ke bahagian sisi.

    Fender belakang turut dilebarkan, manakala lampu belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan ‘two-piece‘ baharu menampilkan kemasan hitam yang menjadikan ia bersambung antara kedua-dua sisi. Elemen ‘X’ turut diberikan pada bahagian ini, dan Dytko telah membuatkan kit badan mereka tersebut nampak lebih bulat berbanding Evo X asal yang bersegi. Walau bagaimanapun, spoiler ‘tiang gol’ Evolution X masih dikekalkan pada ‘Evo XI’ ini.

    Mitsubishi Evolution X diperkenalkan buat pertama kali pada Oktober 2007, bermaksud ia kini sudahpun berusia lebih dari 10 tahun. Ketika diperkenalkan, ia dijana oleh enjin 2.0 liter MIVEC Turbo 4B11T berkuasa 280 PS. Kumpulan terakhir Lancer Evolution X ini diproduksi pada tahun 2015, dihasilkan hanya 1,500 unit dengan nama Evolution X Final Edition.


    GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution Edition R Dytko Sport

    GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution X Final Edition

     
     
  • Toyota siar video teaser Yaris GR-4 dipandu sendiri presidennya, Akio Toyoda; sah terima sistem AWD!

    Toyota Yaris GR-4, iaitu hot-hatch inspirasi jentera Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang diasaskan dari Yaris generasi baharu sepatutnya didedahkan dalam bentuk prototaip di Rali Australia bulan lalu. Tetapi disebabkan pusingan terakhir WRC 2019 itu dibatalkan kerana kebakaran hutan di New South Wales, pendedahan tersebut turut ditunda.

    Masih belum diketahui bila tarikh sebenar pendedahan berkenaan, tetapi laman facebook Toyota Gazoo Racing telah menyiarkan satu video teaser baharu untuk Yaris GR-4 tersebut, yang dipandu oleh presiden syarikat sendiri iaitu Akio Toyoda atau nama pena/samarannya ketika berlumba – Morizo.

    Prototaip Yaris GR-4 berkenaan mungkin adalah dari versi konsep rali, seperti prototaip GR Supra Racing Concept yang muncul terlebih dahulu sebelum prototaip produksi sebenar didedahkan kepada umum. Ini kerana, anda boleh dengar dengan jelas ia dibekalkan dengan sistem ekzos terus (straight pipe) tanpa peredam bunyi, dan menggunakan suspensi rali dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi, serta rim dan tayar rali untuk SS gravel dipadankan pada kereta berkenaan.

    Apa yang penting, Yaris GR-4 sah menerima sistem pacuan semua roda kerana kesemua tayar dilihat ‘mengais’ pasir ketika Morizo mula memecut kereta tersebut. Ini menunjukkan bahawa Yaris GR-4 berkenaan benar-benar jentera inspirasi dari WRC, tidak seperti Ford Fiesta ST yang hanya diberikan sistem pacuan hadapan tidak seperti jentera Fiesta WRC sebenar yang menerima sistem 4WD.

    Video ini turut disertakan dengan kapsyen “Pemandu Master TGR Morizo menguji GR Yaris buat kali terakhir. Bersedia untuknya,” mungkin memberikan petunjuk ia akan didedahkan dalam masa terdekat.

    Bagi model standard Yaris generasi baharu, ia dihasilkan dari platform terkini TNGA-B yang menawarkan ketegaran badan lebih tinggi serta titik graviti yang lebih rendah – berpotensi untuk dijelmakan sebagai hot-hatch yang lebih baik dari Yaris GRMN sedia ada.

    Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan jentera ini. Namun dengan pelbagai laporan sebelumnya, berberapa teka-teki mungkin dapat dicantumkan untuk spekulasi. April tahun ini Toyota dilihat menguji sebuah Yaris dari generasi sedia ada di litar Nürburgring, tetapi kereta tersebut menampilkan unit intercooler dan rim lebih besar bersama kesemua fender lebih lebar yang bukan sahaja nampak lebih buas, tetapi ia seperti menerima sistem AWD.

    Pada Julai 2019, Toyota kemudian dilihat mula menguji Yaris tersebut dengan badan sebenarnya, berselindung di sebalik pelekat penyamaran Gazoo Racing dan bukan berwarna hitam-putih biasa.

    Kemudian pada September lalu, Toyota dan Subaru memeterai semula perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama mereka. Selain dari kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ yang telah sah akan dibina untuk generasi seterusnya, kedua-dua syarikat tersebut ada menyebut bahawa mereka akan membangunkan model pacuan semua roda yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.”

    Kedua-dua syarikat masih lagi merahsiakan apa model yang dibangunkan berkenaan, tetapi berdasarkan rekod, Toyota dan Subaru sememangnya mempunyai kepakaran dalam lapangan ini.

    “Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama berkenaan.

    GALERI: Spyshot hatchback berprestasi tinggi Toyota Yaris generasi baharu

     
     
  • GoCar, ERL lancar pakej baru mudahkan pelanggan

    GoCar, ERL lancar pakej baru mudahkan pelanggan

    GoCar Malaysia dan Express Rail Link (ERL) kini memperkenalkan satu pakej perkhidmatan terbaru, KLIA Ekspres + GoCar Package, yang menawarkan kepada pengguna penyelesaian bagi keperluan pengangkutan transit dan hubungan destinasi mereka (first and last miles).

    Tinjauan terhadap KLIA Ekspres menunjukkan pakej berkenaan, yang termasuk di daalmnya perjalanan pergi-balik dari atau ke KLIA/KLIA2 dengan kos RM101 seorang. Tambahan individu lain dalam pakej sama pula akan dikenakan RM90 bagi yang dewasa, manakala RM40.50 bagi kanak-kanak. Bermula hari ini, pelanggan boleh memilih kenderaan GoCar mereka di stesen-stesen ERL terpilih, seperti di KL Sentral, Bandar Tasik Selatan serta tambahan hab terbaru di Salak Tinggi.

    Bagi menandakan kerjasama terbaru ini dengan ERL, penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan itu menawarkan potongan harga 28% (boleh dituntut menggunakan kod promosi ketika membuat bayaran) bagi sebarang tempahan GoCar di KL Sentral, ketika pelanggan membeli pakej berkenaan dari atas talian.

    GoCar, ERL lancar pakej baru mudahkan pelanggan

    Di stesen Salak Tinggi, pengguna juga boleh memilih perjalanan sehala atau pergi-balik dengan kenderaan GoCar. Antara model yang disediakan ialah Nissan Almera, yang turut boleh ditempah untuk kegunaan mengikut jam dengan kadar serendah RM6.90.

    Model lain yang lebih besar adalah seperti Renault Captur dan Koleos juga ada disediakan. GoCar juga merancang untuk memperkenalkan Nissan Serena Hybrid dalam masa terdekat. Tempahan perlu dibuat dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 jam sebelum. Mudahkan?

     
     
  • Triumph Tiger 900 diperkenal – generasi baru dengan peningkatan menyeluruh, lima versi, ciri canggih

    Triumph Tiger 900 diperkenal – generasi baru dengan peningkatan menyeluruh, lima versi, ciri canggih

    Setelah teaser dikeluarkan sebelum ini, Triumph Motorcycles akhirnya mendedahkan model adventure generasi baru Tiger 900. Ia bakal memasuki pasaran pada tahun 2020 dalam lima versi iaitu Tiger 900. Tiger 900 GT, Tiger 900 GT Pro, Tiger 900 Rally dan Tiger 900 Rally Pro. Tiger 900 adalah versi asas, GT seperti menggantikan XR sebelum ini manakala Rally pula menggantikan XC.

    Memandangkan ini adalah sebuah model yang dipanggil sebagai generasi baru, hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru termasuklah enjin yang sekarang menggunakan unit tiga silinder 888 cc DOHC (sebelum ini 800 cc) yang mampu menghasilkan kuasa 93.9 hp pada 8,750 rpm dan 87 Nm tork pada 7,250 rpm. Kuasa maksimum masih sama seperti sebelum ini, tetapi tork telah meningkat sebanyak 8 Nm. Kotak gear sama enam kelajuan masih digunakan.

    Pembaharuan lain yang dikongsi untuk semua versi adalah kerangka serba ringan, semua lampu jenis LED, bentuk badan asas yang lebih kurus, tangki bahan api 20 liter, brek Brembo Stylema empat piston Monobloc di hadapan dengan cakera 320 mm, serta angkup Brembo satu piston dengan cakera 255 mm di belakang. Kesemua versi juga dilengkapi dengan ABS dan mendapat manfaat daripada ergonomik yang telah diubah (tempat duduk lebih lebar dan pemegang lebih dekat).

    Untuk suspensi, versi asas Tiger 900, GT dan GT Pro menggunakan unit Marzocchi, dengan unit 45 mm USD di hadapan dan monoshock di belakang, tetapi GT dan GT Pro mendapat kelebihan dengan fungsi lantunan dan serapan yang boleh dilaras (suspensi belakang GT Pro boleh dilaras secara elektronik). Jarak geraknya adalah 180 mm di hadapan dan 170 mm di belakang.

    Versi Rally dan Rally Pro yang lebih fokus kepada tunggangan atas jalan kasar pula menggunakan suspensi Showa, dengan di hadapan terdapat unit USD 45 mm yang boleh dilaras untuk pra beban, lantunan serta serapan manakala di belakang terdapat unit yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan. Larasan untuk suspensi ini perlu dilakukan secara manual dan jarak geraknya masing-masing adalah 240 mm untuk hadapan dan 230 mm untuk belakang.

    Pergi pula kepada mod tunggangan, model asas Tiger 900 cuma datang dengan dua pilihan iaitu Rain dan Road, Rally dan GT ditambah dengan dua lagi mod iaitu Sport dan Offroad, GT Pro ditambah lagi dengan Rider manakala Rally Pro mempunyai pilihan mod paling banyak iaitu enam dengan kesemua ini, dan ditambah lagi dengan Offroad Pro.

    Triumph Tiger 900 diperkenal – generasi baru dengan peningkatan menyeluruh, lima versi, ciri canggih

    Pada bahagian kokpit, semua versi kecuali Tiger 900 asas mendapat panel instrumen TFT 7.0 inci baru, tetapi cuma versi GT Pro dan Rally Pro sahaja yang boleh disambung dengan sistem My Triumph dan aplikasi yang membolehkan kawalan panaggilan, mesej, muzik serta navigasi pada telefon pintar.

    Untuk sistem keselamatan dan elektronik, semua model dilengkapi dengan ABS, tetapi GT, GT Pro, Rally dan Rally Pro ditambah lagi dengan Cornering ABS dan Traction Control yang dioptimakan dengan penggunaan Inertial Measurement Unit (IMU), cruise control dan pemanas tangan. Pergi satu tahap lagi, GT Pro dan Rally Pro ditambah lagi dengan quickshifter naik dan turun gear, pemanas tempat duduk dengan kawalan berasingan dan pemerhati tekanan angin tayar.

    Sudah tentu, sebagai sebuah motosikal adventure, pelbagai lagi barangan dan aksesori akan dimahukan oleh pengguna, dan Triumph ada menawarkan lebih 65 aksesori khas untuk Tiger 900 termasuk untuk keselesaan, perlindungan, kemampuan ataupun penampilan. Menjadikannya lebih mudah, ada di antaranya sudah dimasukkan terus dalam pakej Trekker dan Expedition yang boleh dipiih.

    GALERI: Triumph Tiger 900 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT Pro 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally Pro 2020

     
     
  • Mitchell Cheah dan Hafizh Syahrin bakal pandu Hyundai i30 N TCR di WTCR Malaysia tengah bulan ini

    Mitchell Cheah dan Hafizh Syahrin bakal pandu Hyundai i30 N TCR di WTCR Malaysia tengah bulan ini

    Juara Sepang 1000KM (S1K) hujung bulan lalu Mitchell Cheah dan penunggang MotoGP negara Hafizh Syahrin bakal bergandingan untuk memandu Hyundai i30 N TCR Team Engstler, dalam pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 13 hingga 15 Disember ini.

    Kedua-dua mereka akan menyertai perlumbaan tersebut atas tiket wild card – pada asalnya diumumkan akan memandu Volkswagen Golf GTI TCR Team Engstler, namun ia telah ditukar kepada Hyundai i30 N TCR.

    “Hyundai i30 N TCR dan Engstler Motorsport telah mencapai kejayaan besar untuk 2019 di Asia, memenangi kedua-dua gelaran TCR Asia dan TCR Malaysia. Berlumba atas tiket wild card dalam perlumbaan terakhir untuk WTCR musim ini adalah cara sempurna bagi melengkapkan tahun ini, dan petunjuk yang baik bagaimana bagusnya kereta tersebut di rantau ini,” kata pegawai pemasaran senior Hyundai Motorsport Customer Racing, Andrew Johns.

    Mitchell Cheah bukan nama asing dalam dunia TCR kerana selain dari berlumba dalam S1K dan juga siri MCS bersama pasukan Proton R3, dia juga kini berlumba dalam Kejohanan TCR German juga bersama Team Engstler dengan VW Golf GTI TCR. Manakala Hafizh Syahrin juga telah ‘memanaskan badan’ dengan jentera empat roda dengan turut menyertai S1K 2019, memandu Toyota Vios untuk pasukan HI-REV SIC Dream Chaser.

    Tahun ini merupakan tahun pertama Malaysia terpilih sebagai penganjur salah satu pusingan dalam WTCR, dan ia akan berlangsung sekali dengan perlumbaan motosikal FIM Endurance World Championship. Pusingan di Sepang ini juga agak unik berbanding pusingan yang dijalankan pada litar lain kerana perlumbaan kedua akan berlangsung pada pukul 6 petang, manakala perlumbaan ketiga akan dijalankan pada waktu malam bermula pukul 8 malam 15 Disember nanti.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi Oktober 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Oktober 2019 ikut jenama

    Menurut laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bagi bulan Oktober 2019, sejumlah 53,870 unit kenderaan telah terjual. Angka ini sebenarnya merupakan peningkatan sebanyak 20.61% atau 9,204 unit jika dibandingkan dengan jualan bulan September 2019, yang merekodkan 44,666 unit.

    Jika dilihat pencapaian dan pecahan mengikut jenama, Perodua kekal di kedudukan teratas, dengan jualan 22,808 unit bagi Oktober. Ini juga merupakan peningkatan sebanyak 34.3%, berbanding 16,978 unit yang dijual pada bulan sebelumnya. Perodua juga kini telah melebihi angka 200,000 unit bagi jumlah pengeluaran 2019 setakat ini, dengan mencatatkan 201,562 unit.

    Proton pula, yang berada di kedudukan kedua, mencatatkan jualan sebanyak 9,503 unit. Ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 9.4% berbanding 8,685 unit yang dicatat pada bulan sebelumnya. Dari sudut jumlah jualan setakat ini bagi tahun 2019, Proton semakin menjarakkan kedudukannya daripada Honda, dengan hanya perlu mencatatkan purata 10,000 unit sebulan bagi baki dua bulan terakhir 2019 untuk mencapai sasaran jualan 100,000 unit untuk tahun ini.

    Data jualan kenderaan bagi Oktober 2019 ikut jenama

    Prestasi jualan Toyota juga lebih positif, dengan peningkatan 22.7% menjadi 6,481 unit – juga mengatasi – walaupun hanya sedikit – angka dari Honda bagi bulan Oktober. Honda telah menyerahkan sebanyak 6,366 unit (+10.7%). Jenama Jepun lain turut menyaksikan peningkatan; Nissan (+8%), Mazda (+122.4%), Isuzu (+21.4%) dan Mitsubishi (+37.1%).

    Namun, banyak juga jenama yang tidak menyaksikan pertumbuhan positif sepanjang Oktober. Antaranya ialah Ford (-12.3%), Volkswagen (-20.9%), Subaru (-15.2%), Kia (-33.5%) dan Peugeot (-33.5%). Bagi jenama premium, jualan Mercedes-Benz meningkat sebanyak 6.6%, sementara BMW menurun sebanyak 11.9%. Volvo pula turun menguncup sebanyak 12.8%, MINI menurun 4.7%, sementara Lexus mencatat pertumbuhan 17.1%.

    Data jualan kenderaan bagi Oktober 2019 ikut jenama

     
     
  • Kerajaan raih RM400j hasil jual nombor pendaftaran khas pada 2018; UTM buka bidaan sehingga 16 Dis ini

    Kerajaan raih RM400j hasil jual nombor pendaftaran khas pada 2018; UTM buka bidaan sehingga 16 Dis ini

    Penjualan nombor pendaftaran khas dilihat mampu membantu menjana keuntungan untuk kerajaan. Buktinya, pada tahun lalu sahaja sebanyak RM400 juta telah dikutip hasil penjualan nombor pendaftaran khas berkenaan.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hasil pendapatan itu dapat digunakan untuk disalurkan kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor. Tambahnya, sehingga kini permintaan untuk membida nombor digit khas juga masih menggalakkan dan kerajaan mampu menjana pendapatan RM1 juta setiap bulan.

    Selain badan bukan kerajaan (NGO), kini universiti awam (UA) diberi kelonggaran untuk menjana pendapatan sendiri menerusi penjualan nombor pendaftaran khas, hasil keputusan mesyuarat kabinet.

    Kerajaan raih RM400j hasil jual nombor pendaftaran khas pada 2018; UTM buka bidaan sehingga 16 Dis ini

    “Langkah ini dilihat mampu membantu UA untuk menggunakan hasil bidaan bagi penyelidikan, pembangunan universiti dan bantuan kepada penuntut. Setakat ini tujuh UA sudah melancarkan nombor pendaftaran khas masing-masing yang akan tamat untuk tempoh tiga tahun,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Semalam Majlis Pelancaran dan Pembidaan Nombor Pendaftaran Khas ‘UTM’ bagi Universiti Teknologi Malaysia, telah pun berlangsung. Nombor pendaftaran khas UTM boleh mula dibida untuk sesi pertama bermula hari ini sehingga 16 Disember 2019 dengan harga bidaan bermula RM1,000 hingga RM200,000.

    Di mana kakitangan, pesara dan alumni UTM dialu-alukan untuk membida nombor pendaftaran khas ini yang bermula dari nombor satu hingga 9999. Difahamkan, UTM membangunkan sistem bidaan sendiri dan setakat ini sambutan yang diterima menggalakkan.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Tiga kementerian sedang berunding untuk tentukan kedudukan konsesi terbabit

    Isu ambil alih PLUS: Tiga kementerian sedang berunding untuk tentukan kedudukan konsesi terbabit

    Isu pengambilalihan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) nampak gayanya masih belum boleh dimuktamadkan. Menurut Menteri Kerja Raya, Baru Bian, tiga kementerian sedang melakukan rundingan bagi menyelesaikan isu membabitkan syarikat konsesi terbabit termasuk hala tuju tol di seluruh negara.

    Menurutnya, jemaah menteri sudah memutuskan tiga kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MoF) terus berunding menyelesaikan isu berkenaan.

    “Kita sudah mengadakan satu mesyuarat, minggu lalu. Mereka akan berjumpa lagi dan selepas itu sekiranya semua sudah dibincangkan, akan dibentangkan Memorandum Jemaah Menteri, daripada keputusan ketiga-tiga kementerian ini. Ia akan dibuat tidak lama lagi. Jika anda tanya bila, kami menyasarkan pertengahan bulan ini, kalau boleh,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Isu ambil alih PLUS: Tiga kementerian sedang berunding untuk tentukan kedudukan konsesi terbabit

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS. Khazanah memiliki 51% kepentingan dalam PLUS manakala 49% lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

    Setakat ini, empat syarikat konglomerat telah menawarkan sejumlah tawaran untuk mengambil alih PLUS. Syarikat tersebut ialah Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion. Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

    Selain WBG, tiga lagi syarikat konglomerat terkemuka turut membuat tawaran untuk membeli kepentingan dalam PLUS; Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

     
     
  • Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Proton hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 9,643 unit (eksport + domestik) kenderaan untuk bulan November tahun ini – berbanding bulan sama tahun lalu, peningkatan ini adalah sebanyak 100%. Manakala secara kumulatif pula, dari Januari hingga bulan lalu, pengeluar automotif nasional tersebut telah menjual sebanyak 89,476 unit.

    Jumlah berkenaan menunjukkan pertumbuhan 50.1% untuk jumlah dari tahun ke tahun. Manakala pegangan pasaran juga meningkat dan dianggarkan kini berada pada 16.2% bagi keseluruhan tahun 2019. Dari jumlah tersebut, model paling mampu milik mereka, Proton Saga merupakan model paling laris – telah dijual sebanyak 4,091 unit, sekaligus memecahkan rekod jualan sebanyak 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut

    Ini membolehkan Saga mendahului jualan dalam kelas sedan segmen A dengan jumlah jualan 34,422 unit sehingga kini. Menurut Proton lagi, pertumbuhan volumnya kini berada pada 32%, merupakan yang terbaik berbanding mana-mana model dalam segmen A buat masa sekarang.

    “Saga merupakan kejayaan besar untuk Proton sejak ia dilancarkan pada bulan Ogos. Dalam tempoh hanya empat bulan, Syarikat telah mendapat lebih daripada 35,000 tempahan dan pada ketika ini, setiap unit yang berada di kilang sudah ada pemiliknya. Oleh itu, ini adalah cabaran kami untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran Saga dan kami juga telah mengadakan perbincangan rapi bersama para pembekal dalam usaha untuk meningkatkan lagi volum pada tahun hadapan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    Menurut Dr. Li lagi, selain daripada saranan nilai, prestasi dinamik terkemuka serta ciri-ciri komprehensif yang ada pada sedan berkenaan, Saga juga berjaya menarik perhatian pembeli melalui pencapaiannya dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) pada baru-baru ini.

    Dalam perlumbaan tersebut, Saga pasukan Proton R3 yang dipandu oleh pasangan Syafiq Ali dan Admi Sharul berjaya menduduki tempat kedua, di belakang Iriz R3 yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah. Manakala satu lagi Saga R3 yang dipandu oleh Trio pelumba wanita yang dibentuk dari program MSF-R3 Ladies Driver Search iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna turut melakukan kejutan – walaupun bermula pada petak ke-26, mereka berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

    “Untuk menamatkan perlumbaan S1K sahaja sememangnya sukar kerana memerlukan gabungan kelajuan dan ketahanan yang konsisten. PROTON R3 telah melakukannya dengan begitu baik dalam mempersiapkan kereta- kereta yang terlibat dan prestasi hebat yang ditonjolkan menjadi bukti bahawa Proton Saga mempunyai semua kualiti yang diperlukan untuk menjadi pesaing dalam acara perlumbaan terkemuka di Malaysia. Apa yang kami pelajari di litar perlumbaan ini dikongsi bersama dengan barisan pereka dan jurutera Syarikat supaya pelanggan-pelanggan kami juga memperoleh kelebihan daripada kejayaan kami dalam sukan permotoran ini,” tambah Dr Li.

    SUV Segmen-C Proton X70 juga menunjukkan angka jualan yang baik pada November lalu dengan jumlah melebihi 2,000 unit. Model tersebut kini hampir setahun berada dalam pasaran setelah dilancarkan pada 12 Disember 2018.

    Proton Saga kekal sedan segmen-A paling laris, Proton jual 89k unit kenderaan dari Jan hingga Nov 2019

    “Proton X70 telah mencatatkan kejayaan paling bermakna untuk Syarikat bagi tahun 2019. Model ini telah membuka peluang Proton memasuki segmen baharu meskipun tanpa pengalaman dan selepas setahun, Syarikat berjaya mendahului jualan. Sempena hampir setahun model itu diperkenalkan di pasaran, jualan semakin meningkat dan pada bulan November, lebih 2,000 unit telah dijual. Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelanggan masih berminat dengan SUV pintar yang ditawarkan dan kami mensasarkan untuk mengekalkan prestasi ini pada tahun akan datang,” ujar CEO Proton itu.

    Dr Li turut menegaskan bahawa barisan jurutera Proton komited untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi berikutan kilang baharu di Tanjung Malim yang akan memulakan operasi tidak lama lagi. Mereka juga telah berikrar untuk menghasilkan produk yang sepadan atau lebih baik berbanding kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar lain daripada kumpulan automotif Geely Auto.

    “Proton telah diarahkan untuk menjadi salah sebuah pusat pengeluaran bagi pemanduan belah kanan bagi kumpulan itu, jadi untuk melaksanakannya dengan baik, kualiti pengeluaran kami mestilah sepadan dengan tahap yang dicapai oleh barisan kumpulan yang lain. Ini adalah satu matlamat yang mencabar tetapi saya yakin Syarikat mempunyai barisan jurutera dan pekerja pengeluaran yang diperlukan untuk membuktikan bahawa kereta-kereta yang dibina di Malaysia adalah setanding dengan saingan di peringkat global,” tambah Dr Li Chunrong.

     
     
  • Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Cohesive Mobility Solution (COMOS) telah mengumumkan perancangannya untuk memperkenalkan sebuah program pajakan (leasing) kenderaan terbaru. Syarikat ini pada 2015 memperkenalkan program perkongsian kereta elektrik dan menawarkan pakej pajakan kenderaan korporat bagi model Renault Zoe.

    Dalam perancangan terbarunya, kereta yang dimaksudkan ialah Hyundai Kona Electric. Sama seperti pendekatan mereka ketika memperkenalkan Renault Zoe dan Twizy, COMOS bakal membawa masuk Kona Electric ke Malaysia melalui saluran rasmi, iaitu Hyundai Sime Darby Motor, dengan sokongan lepas jualan selengkapnya daripada pengeluar.

    Menurut syarikat itu, rancangan berkenaan melibatkan pembelian sejumlah Kona Electric untuk program langganan, yang ketika ini rundingannya sedang berjalan, dan bukannya diimport masuk oleh pihak lain (grey import). Untuk mengetahui tahap penerimaan, syarikat berkenaan menjemput orang ramai untuk mendaftar minat mereka terhadap program ini, di sini.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Walaupun jumlah unit terlibat belum didedahkan, kedua-dua versi untuk pasaran bagi Kona Electric – diperkenalkan tahun lalu – akan ditawarkan melalui program berkenaan. Yang pertama, dengan versi Standard dengan bateri 39.2 kWh, yang menghasilkan 136 PS dan 395 Nm yang menyediakan jarak perjalanan 312 km. Harga pajakan anggaran bagi model ini ialah RM4,300 sebulan, bagi tempoh 60 bulan.

    Satu lagi versi ialah dengan bateri 64 kWh, ditandai sebagai High Spec oleh COMOS. Ia menjana 204 PS dan 295 Nm, dengan jarak perjalanan yang didakwa boleh dicapai ialah 482 km (mod WLTP). Harga pajakan anggaran pula tidak berbeza banyak, dengan RM 4,900 sebulan (tempoh 60 bulan).

    Kelengkapan standard bagi model ini termasuk lampu LED, panel meter LCD berwarna tujuh-inci Supervision, head-unit skrin sentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kerusi balutan kulit, pendingin hawa dwi-zon automatik dan sistem tanpa kunci.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Model 64 kWH High Spec pula menerima tambahan sistem pemantauan tekanan tayar, head-up display, pengecas telefon tanpa wayar, kerusi depan larasan elektrik dan pengilap cermin automatik. Tambahan ciri keselamatan seperti amaran titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang turut disertakan.

    Bateri polimer lithium-ion tersebut boleh dicas menggunakan sistem pengecas pantas 100 kW DC (CCS) yang mampu mendapatkan cas 80% dalam masa 54 minit. Manakala dengan pengecas-on-board 7.2 kW, cas dengan arus AC (Type 2) memerlukan sembilan jam 40 minit untuk bateri paling besar, dan enam jam 10 minit untuk pilihan bateri kecil.

    Hyundai Kona Electric akan masuk Malaysia – COMOS tawarkan versi 39 kWh, 64 kWh dari RM4.3k sebulan

    Kos bagi pakej langganan ini termasuk penyediaan pengecas dinding, walaupun tidak termasuk kos pemasangannya. Pakej pajakan juga meliputi kos cukai jalan tahunan serta pembaharuan insurans, servis dan penyelenggaraan berjadual, serta penukaran alat ganti yang terlibat. Dalam kes-kes tertentu, sebuah unit gantian kereta ini juga akan disediakan (tertakluk kepada terma dan syarat.)

    Setakat ini tiada pilihan untuk membeli dan memiliki kereta terbabit dihujung tempoh langganan/pajakan. Bergantung bila program ini dapat dimulakan, nama Kona Electric mungkin akan tiba terlebih dahulu berbanding versi petrolnya, yang sebelum ini dijangka akan masuk pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini, tetapi masih belum muncul.

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Oktober lalu empat buah Nissan Almera generasi kedua dijumpai di KLIA, tetapi bukan dipandu, sebaliknya diangkut di atas lori dan mungkin akan di bawa keluar dari Malaysia untuk ke Jepun bagi diuji di sana. Kemudian, kereta ini secara rasmi masuk ke pasaran ASEAN dengan dilancarkan di Thailand pada bulan lalu.

    Lama lagi ke nak dijual di Malaysia? Rasanya tak lama dah kerana rakan penulis, Kevin Lee telah menjumpai dua buah Almera tersebut diuji di sekitar kawasan Dutamas – lebih kurang lima kilometer dari kilang pemasangan Nissan, Tan Chong Motors Assemblies, Segambut.

    Dua unit kereta yang diuji tersebut nampaknya dari dua varian berbeza. Unit yang berwarna putih mungkin mewakili varian paling tinggi kerana ia dipadankan dengan rim dua tona dengan rekaan seakan pada Nissan Versa varian tertinggi SR di Amerika, tetapi dengan saiz yang lebih kecil – mungkin 15-inci, berbanding 17-inci di AS.

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Almera berwarna putih berkenaan juga mendedahkan kemasan seakan diffuser pada bampar belakang dan lampu hadapannya seperti menggunakan lampu LED. Almera yang berwarna perak pula hanya diberikan rim kemasan perak 15-inci sama seperti Almera varian tertinggi VL di Thailand, dan lampu hadapan nampak seakan hanya diberikan lampu dari jenis reflektor halogen.

    Di Amerika, Almera/Versa ini dijana oleh enjin petrol NA 1.6 liter HR16DE berkuasa 122 hp/155 Nm. Ia tampil dengan sistem keselamatan penuh Nissan Safety Shield 360 yang menampilkan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Brek Automatik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Titik Buta dan Lintasan Trafik Belakang serta Cruise Control Pintar.

    SPYSHOT: Nissan Almera N18 mula diuji di M’sia!

    Manakala pada pasaran Thailand pula, Almera kini masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 yang dibekalkan dengan enjin petrol turbo tiga-silinder HRA0 1.0 liter berkuasa 100 PS dan tork maksima 152 Nm. Ia tidak padankan dengan sistem penuh Safety Shield 360, tetapi varian tertentu hadir dengan enam-beg udara dan sistem seperti amaran pelanggaran hadapan (FCW), brek kecemasan automatik pintar (IEB), monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM), pengesan objek bergerak (MOD), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Segalanya untuk pasaran Malaysia termasuk unit janakuasa dan kelengkapan keselamatan masih lagi menjadi tanda tanya. Rasanya ramai yang mengharapkan kita akan menerima Almera dengan enjin turbo kan? Tetapi tidak mustahil Almera baharu dengan kod casis N18 ini untuk pasaran tempatan akan terus dijana oleh enjin HR15DE 1.5 liter NA dari model sedia ada, yang menghasilkan 102 PS/139 Nm.

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Nissan Versa 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    Baru-baru ini ada satu rakaman video yang telah tular di laman media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki mengalihkan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya. Walau bagaimana pun, tindakan tersebut dilihat boleh mendatangkan risiko terhadap individu berkenaan termasuk dibimbingi dilanggar oleh kenderaan lain yang tidak perasan kehadirannya di laluan berkenaan.

    Susulan perkara ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut menasihatkan orang awam agar tidak mengambil risiko mengalihkan sebarang halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya. Menurut PLUS, pihaknya mempunyai langkah keselamatan yang ditetapkan untuk dilaksanakan oleh petugas lebuhraya yang terlatih seperti anggota PLUSRonda dan penyelenggaraan Propel.

    “Lebuhraya adalah persekitaran yang amat berbahaya dengan kehadiran banyak kenderaan. Oleh itu, PLUS tidak menggalakkan pelanggan yang mengesan kehadiran sebarang objek atau halangan di lebuhraya untuk mengalihkan memandangkan tindakan terbabit boleh mendedahkan mereka kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain sekali gus menyebabkan kemalangan.

    “Sebaliknya, pelanggan dinasihatkan supaya segera menghubungi PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 sebelum pasukan PLUSRonda atau Propel dikerahkan ke lokasi untuk mengalihkan objek berkenaan,” ujar PLUS seperti yang disiarkan oleh Berita Harian.

    Jangan ambil risiko alih objek di lebuhraya – PLUS

    PLUS turut menegaskan tugas mengalihkan objek atau halangan di lebuhraya hanya boleh dikendalikan oleh petugas lebuhraya seperti yang diperuntukkan di dalam Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan oleh syarikat.

    “PLUS tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pelanggan lebuhraya. Justeru, sebagai satu daripada langkah meningkatkan tahap keselamatan, pasukan PLUSRonda dan penyelenggaraan sentiasa membuat rondaan untuk mengesan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

    “PLUS juga sudah memperkenalkan penggunaan pasukan kenderaan keselamatan bagi mewujudkan zon keselamatan sementara kerja pengalihan sebarang objek atau halangan di lebuhraya. Pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan serta mengurangkan kelajuan kenderaan ketika pasukan ini sedang beroperasi,” ujar PLUS lagi.

    Tambah PLUS lagi, pihaknya sentiasa berkolaborasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis untuk mengurangkan kehadiran halangan atau objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelanggan lebuhraya.

     
     
  • Petron lancar minyak enjin ‘High-Temperature Protection’ – 2 varian, harga RM210-RM265

    Petron lancar minyak enjin  ‘High-Temperature Protection’ – 2 varian, harga RM210-RM265

    Petron Malaysia telah melancarkan rangkaian produk minyak enjin dan pelincir untuk kenderaan, Petron High-Temperature Protection (HTP) dengan menampilkan Petron Blaze Racing HTP untuk enjin petrol dan Petron Rev-X Turbo HTP bagi enjin diesel.

    Bagi Petron Blaze Racing HTP, minyak enjin sintetik sepenuhnya ini menggunakan polyalphaolefin (PAO) sebagai minyak asas, menghasilkan pengoksidaan yang lebih baik dan kestabilan haba berbanding dengan minyak asas konvensional. Malahan ia turut dilengkapi dengan sistem aditif yang tinggi untuk memenuhi kriteria yang lebih sukar dan ketat bagi enjin petrol berprestasi tinggi.

    Petron turut mendakwa, produk ini direka khas untuk melindungi enjin daripada kehausan dan hakisan bagi hayat enjin yang lebih lama, serta telah diperakui spesifikasinya dan memenuhi API SN, Kelulusan MB 229.5, Kelulusan MB 229.3 dan Porsche A40.

    Petron lancar minyak enjin  ‘High-Temperature Protection’ – 2 varian, harga RM210-RM265

    Bagi Petron Rev-X Turbo HTP sintetik sepenuhnya pula disyorkan untuk enjin diesel turbocharged atau supercharged yang berkuasa tinggi. Ia juga dirumuskan dengan PAO, minyak enjin ini memberikan perlindungan enjin yang berpanjangan disebabkan oleh pengoksidaan dan kestabilan haba untuk kebersihan dan kecekapan enjin yang mantap.

    Malah minyak enjin untuk kenderaan diesel ini juga diperakui spesifikasinya dan memenuhi API CJ-4/SN, MAN 3575, Cummins CES 20081, Kelulusan MB 228.31, Volvo VDS-4 dan Mack EO-O Premium Plus.

    “Petron HTP dirumus khas untuk memberikan kebersihan enjin, serta kecekapan dan perlindungan enjin yang lebih baik, selain memberikan penjimatan kos untuk pengguna dalam soal penyelenggaraan kenderaan mereka. Ini adalah tawaran Petron untuk pertahanan terbaik terhadap suhu yang panas di negara ini dan juga keadaan pemanduan,” ujar Choong Kum Choy, Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersil Petron.

    Untuk Blaze Racing HTP OW-40 (4 liter) ditawarkan pada harga RM265, manakala Rev-X Turbo HTP 5W-40 (4 liter) pula berharga RM210. Selain minyak enjin, produk di bawah rangkaian Petron HTP juga menawarkan Gear Oil GHTP, Brake Fluid HTP dan HTP Grease yang berharga antara RM23.70 hingga RM37.60. Rangkaian Petron HTP ini sudah boleh didapati di stesen minyak Petron terpilih di seluruh negara, kedai dalam talian Shopee, pengedar sah Petron dan bengkel kenderaan.

     
     
  • Yamaha XSR155 tiba di Indonesia – harga dari RM10.8k

    Yamaha XSR155 tiba di Indonesia – harga dari RM10.8k

    Setelah Thailand, kini Indonesia pula menerima model naked retro XSR155. Ia dilancarkan pada harga bermula 36.27 juta Rupiah (RM10,783) dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan perak. Kalau dibandingkan dengan model Yamaha lain di sana, harga XSR155 ini adalah lebih mahal berbanding R15 (36.075 juta Rupiah/RM10,726) dan NVX155 (27.81 juta Rupiah/RM8,269).

    Spesifikasi XSR155 pasaran Indonesia ini masih sama dengan model yang diperkenalkan di Thailand, dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC VVA, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Walaupun menggunakan gaya retro ringkas, motosikal ini masih dilengkapi dengan barangan moden seperti lampu LED depan dan belakang, serta panel meter digital penuh yang berbentuk bulat. Berat keseluruhan adalah 134 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 10.4 liter.

    Rim yang dipasang pada XSR155 adalah unit 17 inci, dibalut dengan tayar pelbagai guna bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Suspensi pula menggunakan fork teleskopik dan monoshock, manakala brek kedua-dua bahagian adalah unit cakera. Tiada tanda motosikal ini dilengkapi dengan ABS.

    Selain daripada keadaan asal, Yamaha Indonesia juga menyediakan pilihan pelbagai aksesori untuk motosikal ini, yang boleh menjadikannya lebih menarik dan sesuai dengan pengguna, seperti pakej Tracker dan Sport Heritage.

     
     
  • Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Jika anda akan berada di Pulau Pinang nanti, anda mungkin akan berhadapan dengan sedikit kesukaran sekiranya memerlukan perkhidmatan trak tunda di sana sepanjang tarikh 2 Disember hingga 9 Disember 2019. The Sun melaporkan, hal berkenaan disebabkan oleh mogok yang dilakukan oleh pengusaha trak tunda di pulau berkenaan bagi tempoh seperti yang dinyatakan.

    Mogok berkenaan khabarnya disebabkan oleh percanggahan yang berlaku antara persatuan trak tunda negeri itu, pemilik bengkel kenderaan dan syarikat insurans. Kegagalan untuk menemui kata sepakat dalam hal berkenaan telah menyebabkan mogok ini berlangsung.

    Antara punca utama yang dipercayai menyumbang kepada perkembangan ini ialah berkaitan pembayaran lewat daripada beberapa pihak terlibat di dalam industri baik pulih kenderaan. Di dalam hantaran media sosial, Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Motor Pulau Pinang menyatakan turut akan menutup bengkel baik pulih kenderaan dalam tempoh berkenaan.

    Pengusaha trak tunda di Pulau Pinang lancar mogok

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memanggil wakil daripada KPDNHEP, JPJ dan persatuan trak tunda berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian. “Kami ingin memahami dengan lebih tepat situasi ini,” ujar Chow. Kerajaan negeri amat menyesali apa yang berlaku dan berharap semua pihak terlibat akan dapat mencari jalan penyelesaian segera.

    “Memandangkan ini melibatkan tuntutan insurans dan baik pulih kenderaan, kami sangat menghargai sekiranya agensi-agensi terlibat kembali ke meja rundingan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik supaya perkhidmatan trak tunda akan kembali beroperasi untuk pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Minggu lalu pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan barisan pelumba mereka untuk musim 2020 – juara dunia enam-kali Sebastien Ogier, Juara WRC2 2019 Kalle Rovanpera, dan bekas pemandu M-Sport Ford Elfyn Evans. Ini bermakna tiada langsung pemandu sedia ada pada musim ini berjaya mengekalkan jawatan mereka untuk musim hadapan.

    Juara WRC tahun ini, Ott Tänak telah mengesahkan perpindahannya ke pasukan Hyundai, manakala dua lagi pemandu mereka iaitu Jari-Matti Latvala dan Kris Meeke masih terkontang-kanting tanpa kontrak untuk mana-mana pasukan. Walau bagaimanapun, presiden Toyota, Akio Toyoda sangat berterima kasih kepada Latvala dan beliau mendedahkan bahawa Latvala adalah punca kenapa Toyota kembali bersaing dalam WRC selepas menarik diri pada tahun 1999.

    Menurut Toyoda, ketika beliau ke Finland pada tahun 2014 untuk bertemu Latvala yang ketika itu memandu untuk pasukan Volkswagen, Toyota masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali ke WRC setelah 18-tahun menghilang atau tidak.

    “Saya sangat teruja kerana ia adalah acara WRC pertama yang saya hadir dan saya berdiri di lobi hotel dan berjumpa sendiri para pelumba. Jari-Matti merupakan pemandu pertama yang sampai. Ketika saya menegurnya secara teruja, dia menjawab dengan mesra. Ketika berbual, dia melihat saya sebagai seseorang dari Toyota dan gembira bercerita tentang Corolla dan Celica miliknya,” kata Toyoda.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    “Ini adalah detik di mana saya mengambil keputusan untuk kembali. Kami perlu kembali ke WRC ketika pemandu seperti ini masih ingat zaman Toyota sedang bersaing. Anda boleh katakan jika saya tidak berjumpa pemandu VW yang ramah ini dulu, mungkin Toyota tidak ada dalam WRC sekarang!” jelasnya lagi.

    Latvala kemudian diumumkan sebagai pemandu utama Toyota ketika pasukan tersebut mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 buat pertama kali setelah kembali semula ke WRC. “Ketika saya mengetahui kamu (Latvala) akan menjadi pemandu kami dua tahun kemudian, saya sangat gembira dengan takdir yang sangat bermakna ini,” tambah presiden Toyota itu lagi.

    Toyoda turut mendedahkan bahawa dia tidak menjangkakan bahawa pasukannya beroleh podium pertama begitu awal setelah Latvala berada di tempat kedua Rali Monte Carlo 2017, iaitu pusingan pertama dalam musim pertama yang mereka sertai.

    “Walau bagaimanapun, kamu terus memberikan podium kepada Toyota di Monte Carlo. Dan selepas itu, kamu bawa kami sekali lagi ke podium sebulan selepas itu di Sweden. Ia merupakan pengalaman seperti dalam mimpi. Saya juga bangga kita akhirnya berdiri bersama di podium tahun lalu di Finland,” kata Toyoda.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Walaupun secara teknikalnya Latvala dan Toyota kini tiada lagi sebarang ikatan kontrak, Toyoda meminta agar Latvala “sentiasa berhubung” dengan pasukannya, dan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk mendapatkan tempat untuk Latvala pada penghujung musim ini.

    Bulan lalu, Citroen mengesahkan akan menarik diri dari WRC untuk musim hadapan – ini bermaksud ruang untuk pemandu yang masih lagi belum menerima kontrak adalah sangat sempit kerana kini hanya tinggal tiga pasukan yang bertanding. Selain Toyota, Hyundai juga telah mengesahkan pemandu mereka iaitu Ott Tänak dan Thierry Neuville. Buat masa sekarang, lapan lagi pelumba yang tiada kontrak sedang menunggu keputusan dari pasukan M-Sport Ford.

    Toyota juga dikhabarkan bakal mewujudkan ‘Pasukan B’ dalam WRC, dengan jentera Yaris yang sama. Latvala berkemungkinan besar dapat berlumba dalam lima pusingan WRC 2020 dalam pasukan tersebut, bersama seorang pelumba muda Jepun yang sedang dibangunkan oleh Toyota sendiri, Takamoto Katsuta.

    Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

    Dalam kesempatan yang sama, Akio Toyoda turut berterima kasih dengan Kris Meeke. “Kris, kamu telah berkerja keras untuk Toyota. Kamu sentiasa menyerang sehingga ke tahap maksimum dan memandu kereta sehingga ke hadnya, dan memberikan banyak nasihat dari kaca mata seorang jurutera. Ini telah menjadikan Yaris lebih kuat. Terima kasih untuk sumbangan tahun ini,” kata Toyoda.

    Kriss Meeke adalah bekas jurutera yang bekerja di pasukan M-Sport Ford. Dia pernah dididik oleh mendiang Colin McRae dan memulakan karier dalam WRC sebagai pelumba dalam pasukan Prodrive MINI. Seperti mentornya Colin McRae, Meeke mempunyai gaya pemanduan yang sangat agresif, menyebabkan dia dipecat dari pasukan Citroen pada musim 2018 kerana terlalu banyak kemalangan.

    Dia kemudiannya menerima kontrak dari Toyota Gazoo Racing akhir tahun lalu, bagi membolehkannya memandu untuk pasukan tersebut untuk keseluruhan musim 2019, serta menamatkan musim ini ditempat keenam dengan 98-mata.

     
     
  • GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Di Thailand, modifikasi trak pikap adalah satu hal yang biasa dilakukan, dengan pelbagai aksesori dan peralatan serta pendekatan yang diterapkan sekian lama. Ini disumbangkan tentunya oleh saiz pasaran dan industri di sana yang melihat trak pikap sebagai suatu kenderaan yang meriah dan tidak sepatutnya membosankan.

    Untuk itu, sebagai antara model trak pikap yang terlaris dan paling banyak digunakan di sana, Isuzu D-Max tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan modifikasi. Ketika acara Thai Motor Expo yang sedang berlangsung, dua unit D-Max yang telah diberikan sentuhan ubahsuai turut ada dipamerkan – satu versi low-rider, dan satu lagi versi dengan komponen prestasi.

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Bagi D-Max “rendah” ini, ia sebenarnya berasal daripada model Cab4 Double Cab. Suspensinya kemungkinan besar diambil daripada versi single-cab komersial dan dipasangkan dengan set gegelung spring bertujuan untuk merendahkan lagi kedudukannya. Ia juga menerima lampu utama bi-LED yang ada pada varian lebih tinggi.

    Isuzu juga memasangkan beberapa komponen gentian karbon asli, termasuk pada bahagian bonet yang memiliki bukaan udara, spoiler pada bumbung serta pada bahagian belakang trak berkenaan. Rim pula menggunakan unit Ray Volk Racing TE37 aloi 18-inci dengan balutan tayar 245/45ZR18 Toyo Proxes Sport. Cakera brek pula menggunakan unit dari Endless dengan kaliper depan enam-piston. Ekzos juga dinaik taraf.

    GALERI: Modifikasi Isuzu D-Max di Thai Motor Expo

    Perubahan bahagian dalam bagaimanapun tidak terlalu ketara. Antara yang berbeza ialah penggunaan kerusi “bucket” dari Simpson Racing. Ubahsuai yang ditampilkan ini bagaimanapun tidak murah; kos ubahsuai yang dipaparkan ialah 627,600 baht (RM86,600), hampir sama dengan kos bagi sebuah trak itu sendiri!

    Sebuah lagi contoh, unit D-Max V-Cross 4×4 pula dikenakan ubahsuai yang bertentangan, dengan dijadikan kedudukannya lebih tinggi. Menggunakan rim KMC XD Series 17-inci dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain T/A, ia seolah-olah disediakan untuk tujuan meredah laluan off-road dan hutan. Antara kelengkapan lain yang ada ialah Rhino-Rack, tapak mengangkut barangan ARB di atas bumbung serta tombol tunda yang lebih besar di belakang.

    Dah dapat idea untuk ubahsuai trak pikap anda?

    Isuzu D-Max 2020 Cab4 1.9 Ddi Double Cab Mod

    Isuzu D-Max 2020 V-Cross 3.0 Ddi Double Cab Mod

     
     
  • Yamaha WR155R tiba di Indonesia – enjin 155 cc VVA

    Yamaha WR155R tiba di Indonesia – enjin 155 cc VVA

    Sekarang ini di Indonesia sedang berlangsung satu majlis pengenalan motosikal baru oleh Yamaha dan turut dihadiri oleh pelumba MotoGP, Maverick Vinales. Selain NMax 2020, turut diperkenalkan untuk pasaran negara itu adalah model trail WR155R dan klasik XSR155.

    WR155R masuk ke pasaran Indonesia untuk memberi saingan kepada Kawasaki KLX150 dan juga Honda CRF150L, dengan dipacu oleh enjin satu silinder 155 cc SOHC VVA suntikan bahan api, bersama padanan transmisi enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 16.5 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Demi menggalas tugas meredah pelbagai permukaan jalan, motosikal ini dilengkapi dengan rim aluminium 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang, fork teleskopik 41 mm, monoshock, kerangka jenis semi double cradle, tangki bahan api 8.1 liter, brek cakera depan dan belakang serta berat cuma 133 kg.

    Biasa bagi motosikal jenis seperti ini, panel badan WR155R adalah ringkas, dengan banyak pengaruh daripada motocross, termasuklah tempat duduk yang nipis. Semua lampunya masih menggunakan mentol halogen, tetapi turut didatangkan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).

    Panel meter pula menggunakan unit digital berbentuk petak dan disusun secara ringkas. Yamaha WR155R baru ditawarkan di di Indonesia dalam dua warna iaitu hitam dan biru, dengan harga yang bermula 36.9 juta rupiah (RM10,954).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026