Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Kia khabarnya sudah memulakan pembangunan sebuah trak pikap yang baru, bertujuan untuk menyaingi model-model popular seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton, seperti dilaporkan oleh CarAdvice. Trak pikap buatan jenama Korea itu dikatakan bakal berkongsi platform dengan trak pikap Hyundai, dan akan masuk pasaran paling lewat pada 2022.

    Jika khabar angin ini benar, trak pikap berkenaan akan menjadi pelengkap dan merapatkan jurang barisan kenderaan yang ditawarkan oleh Kia dalam pasaran ketika ini. Berdasarkan laporan yang sama, pegangan pasaran bagi trak pikap di Australia ialah 20% – bermakna sebelum ini Kia dan Hyundai tidak dapat merebut jualan dalam pasaran berkenaan yang mungkin boleh memberikan nilai keuntungan yang banyak setiap tahun kerena kedua-duanya tidak mempunyai model trak pikap.

    Di Australia, jualan Kia terus berkembang walaupun keadaan pasaran perlahan, menduduki tangga keenam keseluruhan di dibelakang Ford. Tambahan model trak pikap sudah tentu akan membantu jenama ini meningkatkan lagi kedudukannya. Ketika ini, hanya SsangYong Musso sahaja model keluaran Korea yang ditawarkan di sana.

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Ketua Kia Australia, Damien Meredith berkata; “Menariknya, memang ada perbualan tentang ini (dengan KMC). Masih terlalu awal untuk mengulasnya, tetapi dalam jangka masa yang tidak terlalu lama ke depan, jenama ini akan memiliki sebuah trak ringan di Australia.”

    Meredith juga telah membuat permintaan untuk mendapatkan trak single-cab dan double-cab sekaligus untuk pasaran di sana, begitu juga dengan enjin diesel dan petrol, serta pacuan roda belakang atau empat-roda. Model itu dijangka akan menerima talaan suspensi yang spesifik untuk pasaran di sana, dengan ujian turut akan melibatkan cuaca panas yang panjang.

    Kia Australia mensasarkan antara lapan hingga 10% pegangan pasaran, berdasarkan jualan kenderaan 4×2 dan 4×4 yang dijual tahun lalu, bersamaan sekitar 20,000 unit. Ini akan menjadi lonjakan yang besar untuk jumlah keseluruhan jualannya; tahun lalu, jenama itu menjual sebanyak 59,000 unit kenderaan penumpang dan SUV.

     
     
  • AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    Malaysia menerusi acara Art of Speed (AOS) telah diberi penghormatan oleh Hotwheels untuk mendedahkan siri koleksi antara yang menjadi rebutan di seluruh dunia – Japan Historic – yang terbaharu iaitu Japan Historic 3 (JH3) ketika berlangsungnya AOS 2019 di MAEPS, Serdang esok.

    Apa model yang akan membarisi koleksi JH3 ini? Ia masih lagi belum diumumkan, namun apa yang kami tahu ia masih terdiri dari lima buah model lagenda JDM, dan tidak ada satu pun model dari JH1 dan JH2 di bawa ke siri terbaharu ini. Hotwheels Malaysia turut membayangkan antara kereta yang akan tampil dalam siri JH3 ini adalah “kereta pertama buatan Jepun yang dihasilkan untuk perlumbaan jalanan”, dan juga “kereta buatan tangan yang rare dari era 1960’an”.

    Untuk rekod, koleksi JH1 keluaran 2016 dibarisi oleh Datsun Bluebird 510 SSS Wagon, Nissan Skyline KPGC110 ‘Kenmeri’ GT-R, Nissan Skyline KGC10 ‘Hakosuka’ GT-X, Toyota 2000 GT dan Mazda RX-3. JH2 keluaran 2018 pula terdiri dari Datsun Bluebird 510 sedan, Mazda RX-3, Nissan Fairlady 240Z, Nissan Laurel 2000 SGX dan Nissan Skyline C210.

    Boleh dijangka, barisan model untuk siri JH3 ini akan hadir dengan pakej kad dengan grafik istimewa, warna dan ‘tampo’ badan khas serta dilengkapi dengan tayar getah ‘Real Rides’ Hotwheels.

    Kedua-dua Hotwheels JH1 dan JH2 mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dan dimiliki bukan sahaja peminat Hotwheels, malah menjadi rebutan peminat-peminat model-model klasik JDM sebenar. Koleksi ini juga dilihat dijual semula dengan harga berkali ganda dari harga asal kerana permintaan yang sangat tinggi.

    Selain itu, gerai Hotwheels di AOS 2019 turut akan dihadiri oleh Ketua Pereka Hotwheels (segmen premium dan pengumpul) Steve “Van” Vandervate yang diterbangkan terus dari Amerika Syarikat.

    “Saya tak sabar untuk berjumpa dengan peminat Hotwheels kami di Malaysia, dan juga ahli Hotwheels Club Malaysia serta pengumpul setia,” kata Steve.

    GALERI: Hotwheels Japan Historic

    GALERI: Hotwheels Japan Historic 2

     
     
  • Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Kerana jumlah keuntungannya yang jatuh mendadak, pengeluar automotif dari Jepun, Nissan terpaksa memberhentikan 12,500 orang pekerjanya di seluruh dunia, lebih tinggi dari apa yang dijangka sebelum ini, lapor Reuters.

    Awal minggu ini, syarikat tersebut dilaporkan sedang bersedia untuk memberhentikan sekitar 10,000 orang tenaga kerjanya kerana masalah yang dihadapi. Dengan pengumuman baharu ini bermaksud Nissan selepas ini akan beroperasi dengan tenaga 139,000 orang atau berkurang 9% dari sebelumnya.

    Nissan mencatatkan kejatuhan sebanyak 98.5% kepada 1.6 bilion yen (RM60.5 juta) untuk suku pertama tahun ini. Ia dikatakan berpunca dari kenaikan harga bahan mentah, tukaran mata wang asing yang tidak menentu, dan juga usaha-usaha untuk menghasilkan produk bagi memenuhi undang-undang semasa yang memakan kos tinggi.

    Selain langkah untuk mengurangkan tenaga kerja ini, Nissan turut akan mengurangkan operasi produksi mereka terutamanya untuk kereta-kereta kompak serta jenama bajet mereka iaitu Datsun. Menurut CEO Nissan, Hiroko Saikawa, langkah ini akan menyaksikan barisan produk mereka berkurangan sekitar 10%, dan 14 dari keseluruhan fasiliti mereka seluruh dunia akan terkesan. Produksi turut akan dikurangkan sebanyak 10% sehingga 2023.

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    “Kami kini sedang fokus di mana kami membuat pelaburan untuk menghasilkan kereta kompak di bawah rancangan Power 88,” kata Saikawa ketika membentangkan prestasi suku pertama 2019 syarikatnya. Rancangan Power 88 tersebut telah diumumkan pada 2011 dan ia bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan Nissan secara global dengan melebarkan segmen produk dan meningkatkan penampilan jenama dalam pasaran seperti Rusia dan India.

    Dalam Power 88, tidak kurang dari 51 model baharu dirancang untuk dilancarkan, yang turut membabitkan penawaran barisan model yang lebih luas untuk peringkat global, dihasilkan dari platform-V mereka.

    Pada Mei lalu, Nissan telah mengumumkan pengurangan produksi untuk lapan fasiliti mereka termasuk Sepanyol dan Indonesia di mana hatchback Nissan March dan model-model Datsun dihasilkan. Nissan turut memasang model-model kompak di Mexico, Rusia, Perancis dan Thailand, namun tiada pengumuman spesifik berkenaan lokasi atau skala pengurangan yang terlibat.

    Nissan kini sedang menghadapi masalah di berberapa pasaran pentingnya, terutama di Amerika Syarikat. Jualan global mereka jatuh 4.4% kepada 5.52 juta unit pada tahun fiskal 2018. Penurunan tersebut disumbangkan oleh kejatuhan 9.3% jualan di Amerika Syarikat dan penurunan 14.9% di Eropah.

    Atas skandal yang memalitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sebelum ini, Nissan turut mempunyai masalah hubungan dalam rakan pakatannya iaitu Renault. Mereka juga gagal dalam usaha untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobile.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Tempoh enam bulan pertama 2019 telah pun berlalu. Dan seperti biasa, adalah menarik untuk menilai prestasi industri automotif bagi tempoh berkenaan. Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi bulan Jun 2019 yang telah dikeluarkan menjadi “pelengkap” bagi data untuk tempoh separuh pertama ini.

    Keseluruhannya, jumlah keseluruhan industri (TIV) telah meningkat kepada 296,334 unit, naik 2.29% daripada 289,714 unit yang dijual pada 2018. Ini sesuatu yang menggalakkan, memandangkan MAA mensasarkan untuk mencapai angka 600,000 unit bagi tempoh penuh setahun – walaupun suasana pasaran untuk separuh kedua juga masih samar-samar, terutamanya tempoh tiga bulan “cuti cukai” seperti tahun lalu.

    Mari kita lihat pecahan ikut jenama pula. Perodua terus berada di atas, dengan peningkatan 4% dari 117,098 unit kepada 121,782 unit, kemungkinan didorong oleh jualan SUV Aruz. Syarikat ini juga mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 41.1%; naik sedikit daripada angka 40.4% pada 2018. Berbeza pula dengan Honda; angkanya menurun sehingga 13.81%, dari 51,354 unit ke 44,260 unit. Pegangan pasarannya juga berkurangan, dari 17.7% kepada 14.9%.

    Proton pula sedang menikmati perkembangan yang sangat positif; jumlah jualannya mencatatkan peningkatan tinggi sehingga 60.55%, dari 27,106 ke 43,518 unit bagi tempoh sama dengan tahun lalu. Ini membolehkan mereka memintas Toyota, dan menghampiri Honda yang berada dikedudukan kedua dengan perbezaan hanya 742 unit. Pegangan pasarannya juga meningkat dari 9.4% ke 14.7%.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Toyota pula tidak banyak berubah, pengurangan hanya sebanyak 458 unit atau 1.44% dengan catatan 31,251 unit terjual. Ini menjadikan pegangan pasarannya sedikit menurun, dari 10.9% ke 10.5% ketika ini. Nissan juga mengikut jejak yang sama; jualan turun sebanyak 12.94% kepada 10,383 unit, dengan pegangan pasaran juga menguncup dari 4.1% ke 3.5%.

    Bagi segmen premium, Mercedes-Benz terus mengatasi BMW, tetapi tidak terlalu jauh – hanya 614 unit yang menjadi pemisah. Mercedes-Benz mencatatkan angka 5,649 unit, manakala BMW 5,035 unit. Bagaimanapun, kedua-dua jenama berkenaan menjual kurang kenderaan tahun ini. Cuma, Mercedes-Benz mencatatkan pengurangan yang lebih banyak, iaitu 18.72%. Pegangan pasaran masing-masing ialah 1.9% dan 1.7%.

    Sebaliknya, jenama lain yang mencatatkan pertumbuhan positif ialah seperti Volvo (+60.56% jualan), Renault (+41.59%) dan MINI (+4.36%). Tetapi lain ceritanya dengan Subaru (-42.41%), Lexus (-36%) dan Hyundai (-31.57%). Untuk perincian lanjut berkenaan prestasi separuh pertama 2019 dan perbezaannya dengan 2018 bagi setiap jenama, sila rujuk jadual di bawah.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

     
     
  • Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim telah memaklumkan, terdapat beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup atau dilencongkan esok, 27 Julai, bagi menjayakan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah.

    Jalan-jalan yang bakal terlibat termasuklah Jalan Barat, Jalan Merah Chagar, Jalan Awan Kecil dan sekitar Technology Park Malaysia.

    Menurut Mazlan, dijangkakan seramai 85,000 penonton akan berada di stadium terbabit dan PDRM akan menempatkan 1,375 polis untuk menjaga keselamatan dan mengawal aliran trafik di jalan sekitarnya.

    “Bagi sesiapa yang bakal berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok, sila patuhi arahan trafik. Kalau boleh, datang awal dan gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta,” ujarnya sambil menegaskan kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan yang menghalang lalu lintas, bakal disaman atau kenderaan tersebut akan ditunda.

     
     
  • Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Pembuat peralatan berprestasi tinggi untuk sistem transmisi dan suspensi dari Jepun, Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco telah mengumumkan mereka kini dalam fasa akhir pembinaan kereta rali dengan spesifikasi AP4 diasaskan dari SUV segmen-B, Toyota C-HR.

    Jentera berkenaan agak unik kerana tidak banyak SUV digunakan untuk perlumbaan rali kategori tersebut (Mitsubishi Indonesia telah menghasilkan jentera rali Xpander AP4, tetapi masih dalam bentuk konsep), dan dipercayai jentera rali pertama diasaskan dari sebuah model yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Menurut Cusco, kereta ini masih menggunakan enjin 8AR 2.0 liter dengan suapan pengecas turbo binaan Toyota Racing Development (TRD) dan kotak gear sequential lima-kelajuan dari Drenth, sama seperti jentera rali Yaris AP4 Cusco sebelum ini.

    Namun, kerangka C-HR ini telah dibina semula oleh Cusco, dilengkapkan dengan rollcage penuh serta peralatan perlumbaan lain yang memenuhi undang-undang AP4. Cusco turut memadankan sistem suspensi serta gandar belakang rekaan mereka sendiri kepada Toyota C-HR AP4 ini.

    Mungkin disebabkan ruang roda C-HR ini sememangnya sudah besar, tiada pengubahsuaian ekstrem dilakukan pada bahagian tersebut seperti hatchback biasa. Sistem suspensi dengan jarak pergerakan tinggi nampaknya diletakkan dengan selesa pada ruang roda yang nampak hampir standard tersebut – mungkin ini salah satu kelebihan untuk membina kereta rali berasaskan model crossover.

    Kereta ini bukan hanya dibina untuk digunakan oleh pasukan rasmi Cusco World Rally Team dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC), malah ia turut akan dijual kepada pasukan lain yang berminat. Sesi shakedown dan juga ujian terhadap C-HR AP4 berkenaan telahpun bermula bulan ini, dan harga sebuah kereta rali lengkap tersebut akan diumumkan kemudian.

    Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia adalah kategori dengan tahap yang sama dengan kategori R5 dan dibuat khas hanya untuk APRC, tetapi tidak boleh bertanding dalam WRC. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

    Secara asasnya, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm, serta berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Namun disebabkan C-HR ini menggunakan enjin 2.0L, ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.

     
     
  • BMW X2 M35i – harga rasmi diumum, dari RM398,800

    BMW X2 M35i – harga rasmi diumum, dari RM398,800

    BMW Malaysia telah mengemaskini senarai harga 2019, dan mendedahkan harga rasmi bagi BMW X2 M35i F39, yang pertama kali dipertontonkan di negara ini pada Mei lalu dan dijadualkan akan mula berada di bilik pameran pada bulan ini. Model X2 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM398,800, tanpa insurans, tidak banyak beza dengan harga anggaran yang diumumkan pada majlis pra-tontonnya.

    X2 M359 ini dijanakan oleh oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 306 hp dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan xDrive AWD dengan launch control. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 250 km/j.

    Untuk bahagian casis, X2 M35i dipadankan dengan suspensi adaptif M Sport yang mempunyai dua mod, manakala pada gandar hadapan terdapat differential mekanikal M Sport untuk memastikan cengkaman yang baik. Peningkatan lain adalah termasuk talaan stereng serta brek yang lebih besar iaitu cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang dengan angkup M berwarna biru. Untuk spesikasi Malaysia, ia turut ditampilkan dengan roda aloi Style 721M 20-inci dengan warna Cerium Grey, dibaluti tayar runflat Pirelli P-Zero 225/40.

    Penggayaan luarannya diserlahkan dengan pakej M Sport, yang ditambah beberapa kemasan lain. Ini termasuk kemasan Cerium Grey untuk gril dan perumah cermin sisi dengan dua muncung ekzos berdiameter 10cm di belakang yang disambung pada sistem ekzos M Performance dengan kawalan injap.

    Di dalamnya juga dihadirkan pakej M Sport, dengan tempat duduk M Sport (dan tali pinggang keledar dengan jaluran M) sebagai pilihan. Ciri bagi kit standard termasuk sistem Navigation Plus dengan skrin sesentuh 8.8-inci, paparan head-up dan sistem audio Harman Kadron 12-pembesar suara 360 watt. Dengan harga hampir cecah RM400k, brek kecemasan sendiri (AEB) tidak disertakan pada X2.

    Seperti mana barisan model BMW yang lain, X2 M35i turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad dengan program servis berjadual percuma dan juga program waranti tayar selama dua-tahun.

     
     
  • AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    Festival yang meraikan budaya kustom di Malaysia, Art of Speed kembali lagi hujung minggu ini. Seperti biasa, PETRONAS bertindak menjadi penaja utama acara ini bagi tiga tahun berturut-turut. Dan, untuk menyuntik kelainan bagi penganjurannya kali ini, model-model Hot Wheels edisi terhad yang di”kustom”kan oleh bakat tempatan, Krome Bandits akan ditawarkan kepada pengunjung.

    Cuma ada 200 unit kenderaan sahaja yang akan disediakan, termasuk Mazda RX-7, Honda Civic Type R, Ford Mustang Shelby GT500 dan Lamborghini Reventón Roadster. Semua ini akan ditawarkan kepada pemegang Kad Mesra, berdasarkan aturan siapa cepat, dia dapat. Unit misteri berkenaan akan dijual pada harga RM200 sebuah, dengan seorang pembeli hanya layak untuk mendapatkan dua unit bagi setiap transaksi. Sudah tentu edisi ini akan cepat habis, jadi datang awal ke booth PETRONAS nanti.

    Tetapi, bukan itu sahaja. PETRONAS juga akan menawarkan Kad Hadiah bernilai RM30 yang akan dijual ketika acara, dengan 1,000 pembeli terawal akan memenangi tiket masuk General Pass ke Art of Speed. Pelanggan juga berpeluang untuk memenangi tiga lagi model kustom Hot Wheels, kali ini model Mercedes-AMG GT. Setiap pembelian juga akan dikira sebagai satu penyertaan untuk cabutan bertuah.

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    PETRONAS turut menawarkan baucar minuman percuma dari Tealive bagi 1,500 pengunjung terawal yang mendaftar untuk Kad Mesra, sementara pemegang kad sedia ada akan berpeluang untuk membeli dua minuman Tealive pada harga RM10 di acara ini.

    Turut akan ditampilkan ialah Setel, aplikasi e-bayaran bagi pembelian minyak di stesen PETRONAS yang pertama seumpamanya di Malaysia. Pengunjung yang memuat turun aplikasi Setel di booth, dan menambah nilai minimum RM50, layak untuk mencuba nasib di pusingan roda hadiah “Setel and Confirm Win”, dan berpeluang untuk memenangi pulangan tunai minyak sehingga RM100. Setel kini boleh digunakan di semua stesen PETRONAS di Lembah Klang. Nikmati pulangan tunai minyak sebanyak 10%* ketika anda memuat turun aplikasi Setel dan beli minyak 3x di PETRONAS dengan Setel! *Tertakluk kepada terma dan syarat.

    Selain itu, PETRONAS dengan kerjasama Cycle & Carriage Bintang akan mempamerkan Mercedes-Benz A 250 dengan rekaan grafik khas “Move Like Never Before”. Pengunjung berpeluang memenangi Kad Hadiah PETRONAS bernilai RM30 dengan cara menaikkan gambar mereka bersama kereta berkenaan ke Instagram dan lengkapkan keterangan gambar seperti berikut; “PETRONAS Primax dengan Pro-Drive merupakan petrol terbaik untuk saya kerana…”

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    Kemudian, jangan lupa untuk sertakan juga tanda #PETRONAS #Primax95 #movelikeneverbefore. Pastikan akaun anda boleh diakses secara terbuka dan jangan lupa untuk mengimbas kod QR pada kereta berkenaan atau di booth untuk mendaftar.

    Mari semua berkunjung dan memeriahkan lagi Art of Speed 2019 hujung minggu ini, 27-28 Julai (Sabtu, 10 pg-11 mlm; Ahad, 10 pg-7 mlm) bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Art of Speed.

     
     
  • Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    Selepas mengambil alih pemerintahan daripada parti Barisan Nasional yang tewas dalam PRU14, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Ogos lalu. Faktor utama pembatalan projek mega itu disebabkan ia melibatkan kos pembinaan yang begitu besar iaitu mencecah RM65.5 bilion, sedangkan dalam masa yang sama negara turut menanggung bebanan kewangan yang meruncing.

    Walau bagaimana pun, pada April lalu, Tun Mahathir memaklumkan projek ECRL ini boleh diteruskan tapi kena banyak melakukan perubahan dalam perancangan termasuk mengecilkan skalanya. Rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak khususnya China memandangkan projek tersebut menerima pembiayaan daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa syarikat dari China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC), yang akan bertanggungjawab membina laluan kereta api.

    Selepas sembilan bulan ditangguhkan, kini kerajaan telah membuat keputusan muktamad untuk meneruskan projek ECRL ini, dengan kos yang dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak 33% iaitu RM21.5 bilion. Malah hari ini, projek tersebut telah dilancarkan semula oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di tapak terowong Dungun, Terengganu, iaitu salah satu lokasi stesen yang bakal dibina.

    Menurut Loke, projek ECRL yang ditambah baik kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2% daripadanya mengalami perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun dikenali sebagai Seksyen A dan jajaran baharu keseluruhan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dikenali sebagai Seksyen C.

    Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    “Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab pula yang dikenali sebagai Seksyen B sepanjang 223 kilometer adalah 34.8 peratus daripada keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terbabit dengan sebarang perubahan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambahnya lagi, perubahan jajaran itu dilakukan berikutan faktor kos dan tanah tidak sesuai untuk pembangunan ECRL. Tiga terowong akan dibina dalam projek itu iaitu Terowong Dungun di Bukit Bauk sepanjang 871 meter, Terowong Paka (1,104 meter) dan Terowong Kuantan sepanjang 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor, Terengganu.

    “Fokus utama bertumpu kepada reka bentuk dan kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 kilometer di 23 lokasi serta kerja awalan untuk jambatan sepanjang 39.03 kilometer di 65 lokasi di sepanjang 223 kilometer jajaran dari Dungun ke Mentakab, yang tidak mengalami perubahan jajaran.

    “Perkara membabitkan penambahan stesen memerlukan perbincangan lanjut dua kerajaan, Malaysia dan China, ia bukan boleh dilakukan begitu saja. Kita jangan melihat kepada jumlah stesen, tetapi lihat kepada bagaimana kita menambah nilai projek bagi manfaat ekonomi, pelaburan dan pembangunan di kawasan jajaran,” ujarnya lagi.

    Projek ECRL yang baharu akan melalui 20 stesen dengan 14 stesen stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk kargo saja. Dijangka siap pada tahun 2026, projek ini juga dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

     
     
  • Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Sebelum ini Ford telah mengumumkan bahawa gabungan penala Van-Sport dan pasukan M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford) iaitu MS-RT telah pun dianugerahkan sijil Pengubahsuai Kenderaan Berkelayakan (QVM) oleh Ford, membolehkan syarikat tersebut menjual Ford MS-RT Transit Custom yang lebih sporty di pengedar sah Ford, serta aksori yang dihasilkan tidak akan menjejaskan waranti dari pengeluar.

    Sebenarnya bukan hanya MS-RT yang memperolehi sijil QVM tersebut, ia turut di miliki sebuah lagi syarikat dari UK iaitu Wellhouse. Tidak seperti MS-RT, Wellhouse tidak terlibat dalam apa-apa sukan permotoran, tetapi mereka adalah pakar untuk mentransformasikan sebuah van biasa kepada sebuah Campervan.

    Jadi apa yang akan jadi sekiranya MS-RT dan Wellhouse bergabung? Ini hasilnya – Fort Transit Custom MS-RT Campervan. Seperti yang anda boleh lihat, campervan istimewa ini dihasilkan dari Ford Transit Custom standard dari versi jarak roda panjang.

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Ia kemudiannya dipadankan dengan kit badan lengkap MS-RT yang diinspirasikan dari jentera rali Ford Fiesta WRC binaan M-Sport, terdiri dari gril dan juga bampar hadapan baharu bersama lampu kabus bersepadu, diffuser hadapan, fender flare bagi menampakkan badannya lebih lebar, diffuser belakang dan juga spoiler belakang.

    Bukan setakat itu, lampu hadapan xenon, pilihan rim 18-inci dari OZ Racing dan tip ekzos berkembar asli MS-RT juga turut dipadankan. Bagi melengkapkan rupanya, van berwarna kelabu ini turut menerima grafik badan istimewa.

    Tugas untuk menyiapkan campervan ini terutamanya pada bahagian kabin kemudian disudahkan oleh Wellhouse, di mana syarikat berkenaan membina dapur penuh, tempat duduk mewah dengan uphlosteri balutan kulit putih dan Alcantara dengan jahitan serlahan biru. Wellhouse turut menghasilkan bumbung yang boleh ditinggikan menggunakan Starlit Alcantara.

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Tiada pengubahsuaian dilakukan terhadap enjin dan transmisi dimana Transit Custom MS-RT Campervan ini masih dijana enjin turbodiesel 2.0 liter empat-silinder EcoBlue berkuasa 170 PS/405 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Hanya sebuah sahaja model istimewa ini dihasilkan dan dijual pada harga £77,000 (RM395k), dan ia adalah permintaan seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Steve.

    Sedikit latar belakang Steve, dia adalah peminat setia Ford British dan mula belajar untuk menala enjin Ford klasik seperti Kent dan Pinto seawal umur 11-tahun. Selepas mendapat lesen memandu, Steve membeli Ford Escort Mk I sebagai kereta pertama, dan kemudian memilik pelbagai lagi model seperti Cortina, Sierra dan pelbagai lagi model Escort.

    Steve juga pernah membina sebuah jentera rali sebenar Ford Escort Mk II yang dijana enjin 2.0 liter Cosworth BDG. Setelah puas berlumba dengan kereta tersebut, Steve mengambil keputusan untuk menjualnya dan membeli campervan ini.

    “Saya berharap untuk berseronok dengan menyertai berberapa acara Ford dan acara motosikal – setelah treler yang saya tempah untuk mengangkat motosikal klasik saya siap – dan saya tidak sabar untuk mengembara dalam negara untuk mencari pengembaraan baharu,” kata Steve.

     
     
  • Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

    Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

    September lalu, Touch ‘n Go (TnG) telah memulakan program perintis percubaan pembayaran tol secara elektronik menggunakan teknologi (RFID). Di dalam fasa percubaan ini, lebih 400,000 orang awam telah menjadi perintis di Lembah Kelang, Johor dan Pulau Pinang.

    Pada masa kini, pengguna yang berminat boleh datang terus tanpa perlu membuat temujanji ke lebih 50 pusat pemasangan TnG untuk memasang RFID, dan ini telah menyaksikan penambahan perintis RFID. Setelah proses pendaftaran di pusat pemasangan, kenderaan anda akan dipasang dengan pelekat tag khas di bahagian luar kenderaan (biasanya pada lampu hadapan).

    Tag ini sebenarnya menyimpan informasi secara elektronik dalam cip bersaiz kecil, dan ia adalah unik untuk setiap kenderaan. Ia mempunyai fungsi sama seperti bayaran elektronik menggunakan kad TnG atau SmartTAG di plaza tol. Tag ini juga dipautkan dengan TnG eWallet.

    Tag ini berbeza dengan kod bar yang biasanya diimbas sewaktu kita membeli barang di kedai biasa. Ia tidak perlu berada dalam pandangan pengimbas dan beroperasi menggunakan gelombang radio. Tag RFID akan menghantar informasi yang diperlukan kepada pengimbas RFID, dan pertukaran informasi berlaku dengan cara kod.

    Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

    Di bawah program percubaan TnG RFID ini, apabila kereta anda melalui lorong RFID, pengimbas akan mengeluarkan isyarat kepada tag RFID melalui antena. Tag tersebut kemudiannya memberikan informasi yang sepatutnya seperti baki semasa, dan jumlah bayaran tol yang akan ditolak daripada akaun elektronik pengguna (seperti TnG eWallet) yang dipautkan kepada tag RFID.

    Kenapa RFID?

    RFID ini bukanlah satu teknologi baharu. Ia sudah pun berada dalam pelbagai industri seperti pengeluaran, di mana ia boleh digunakan untuk menguruskan barang dan inventori, serta juga pengenalan data dalam dokumen perjalanan seperti pasport dan bagasi yang diuruskan oleh syarikat penerbangan.

    Malah, kebanyakan daripada kita sudah pun menggunakan RFID ini tanpa disedari. Selain kad kredit yang kita boleh lalukan sahaja pada pengimbas untuk membayar, teknologi ini juga boleh digunakan pada kad akses pejabat atau kenderaan untuk kawasan perumahan.

    Penggunaan sistem RFID secara meluas dalam pelbagai platform bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sistem ini menawarkan aspek isyarat yang stabil, dengan waktu maklum balas yang pantas, dan pada masa yang sama ia juga adalah kos efektif untuk digunakan. Jarak pengimbasan RFID boleh meliputi kawasan yang lebih luas, tetapi ia masih bergantung kepada sistem serta keperluannya.

    RFID aktif atau pasif?

    Secara asasnya, ada dua jenis sistem RFID iaitu aktif dan pasif. Dalam sistem aktif, operasi tag dibantu dengan bateri dan mempunyai kuasa sendiri, di mana tag itu boleh menyampaikan semula isyarat secara aktif kepada pengimbas, sekaligus meningkatkan isyarat secara cekap (hampir seperti SmartTAG, tapi ia menggunakan sistem RFID-inframerah).

    Walaupun tag aktif ini dapat menghantar isyarat lebih jauh dan lebih cekap berbanding tag pasif, kosnya adalah lebih tinggi dan sistem itu akan menghadapi masalah operasi yang sama seperti SmartTAG, seperti kegagalan bateri, yang menyebabkan peranti itu tidak boleh beroperasi dan tag tidak boleh dibaca.

    Disebabkan itu, tag RFID pasif seperti yang digunakan oleh TnG tidak mempunyai kuasanya sendiri dan perlu bekerjasama dengan pengimbas aktif di plaza tol yang menghantar isyarat elektromagnetik dan membaca informasi daripada tag tersebut.

    Walaupun tag pasif tidak berkuasa seperti tag aktif, unit yang digunakan oleh TNG adalah tag pelekat bergred ETC, yang mempunyai kemampuan untuk dikesan pada kelajuan tinggi apabila digunakan di ‘multi-lane free flow‘ (MLFF) yang akan menjadikan plaza tol bebas lorong.

    Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

    RFID, satu penyelesaian kepada kesesakan di plaza tol?

    Dalam zaman teknologi moden ini, plaza tol kita sangat memerlukan penambahbaikan taraf dan kaedah RFID ini diharap dapat membantu. Pelaksanaan tag RFID yang dipautkan kepada TNG eWallet sebagai salah satu cara pembayaran tol dapat membantu pengguna jalan raya untuk membuat bayaran tanpa perlu berhenti di plaza tol dan ini berpotensi mengurangkan kesesakan trafik dan waktu perjalanan.

    Tag pasif boleh dikategorikan dalam tiga jenis frekuensi iaitu rendah (LF), tinggi (HF) dan ultra-tinggi (UHF). Tag LF dan HF adalah sesuai untuk kegunaan komunikasi jarak dekat (NFC) dan tidak sesuai untuk kegunaan automotif. Antara kegunaannya ialah untuk pengenalan haiwan, akses premis (LF) dan kad kredit pintar (HF), manakala sistem pasif yang digunakan pada TnG adalah jenis UHF.

    Dari segi kelajuan kenderaan, sistem aktif memberi potensi kelajuan yang lebih tinggi. Namun begitu, fungsi ini tidak sesuai jika melihat kepada keadaan plaza tol kita sekarang, sehinggalah sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) yang berfungsi tanpa palang diperkenalkan di plaza tol.

    Secara umumnya, tag UHF yang beroperasi pada frekuensi antara 919 hingga 923 MHz, bergantung kepada sesuatu sistem – mempunyai antena berukuran sekitar 16 sm lebar yang dibuat daripada gabungan bahan seperti aluminium dan tembaga yang diserapkan kepada substrat (lapisan), seperti tag TnG RFID ini.

    Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

    Kelebihan utama tag UHF seperti ini adalah ia murah untuk dihasilkan, senang diganti dan anda tidak perlu menukar bateri padanya. Dari aspek kos pula, sistem RFID aktif memerlukan perbelanjaan sekitar lima kali ganda berbanding tag pasif dan ini mungkin sesuatu yang sukar diterima oleh pengguna.

    Secara keseluruhannya, penggunaan RFID untuk kutipan tol menjanjikan pengalaman perjalanan yang lebih baik bagi pengguna. Selain lebih mudah (bukan sahaja merujuk kepada penggunaan tanpa sebarang sentuhan), pautannya dengan TNG eWallet juga memudahkan pengguna memeriksa bayaran dan menguruskan tambahan kredit (reload).

    Potensi RFID selain di tol

    RFID juga dilihat mempunyai potensi untuk digunakan bagi pembayaran parkir. Tag TnG RFID boleh digunakan sebagai kunci digital dan apabila pengimbas dapat membaca informasi pada cip tersebut, ia dapat membenarkan kenderaan masuk dan keluar, manakala bayaran akan ditolak daripada eWallet.

    Kelebihan paling jelas penggunaan RFID dalam pengurusan parkir adalah kenderaan boleh masuk dan keluar daripada premis tanpa sebarang hubungan dengan manusia, urus niaga tanpa tunai dan tidak menggunakan tiket fizikal. Sistem RFID yang sudah diuji selama lapan bulan di plaza tol ini mempunyai potensi untuk diperluaskan kepada sektor parkir.

    Kegunaan runcit – mampukah jadi realiti?

    Terdapat juga kemungkinan sistem RFID ini boleh digunakan sebagai satu lagi cara bayaran urus niaga runcit seperti di stesen minyak dan pandu lalu (drive-through). Cuba anda bayangkan, jika anda melalui kedai kopi atau kedai makanan segera yang menyediakan perkhidmatan pandu laju, bayaran tidak lagi perlu dibuat secara fizikal dan ia ditolak secara automatik daripada e-Wallet.

    Pada masa hadapan, dan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kad TnG, urusniaga runcit luar kedai boleh dilakukan dengan penggunaan NFC pada telefon pintar, dan urusan bayaran dilakukan melalui e-Wallet.

    Mampukah TnG dan pihak berkuasa mendapatkan lebih lagi manfaat daripada RFID untuk pengguna jalan raya?

    Dalam pelbagai industri, bermacam cara penggunaan baharu yang inovatif untuk RFID sedang dibangunkan. Apabila ia semakin berkembang, pengenalan unik yang disediakan oleh tag RFID juga mempunyai potensi untuk digunakan sebagai pengenalan khas kenderaan, dengan informasi penting seperti status pemeriksaan kenderaan, cukai jalan ataupun pembaharuan insurans.

    Inisiatif terbaharu TnG dengan kerjasama pihak berkuasa bagi memajukan lebuh raya di Malaysia dengan sistem RFID mempunyai potensi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada pengguna jalan raya.

    Selaras dengan hala tuju negara untuk mengalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai, Touch ‘n Go seharusnya menggabungkan pelbagai proses pembayaran lain (selain tol) dengan menggunakan RFID yang dipautkan kepada TNG eWallet. Langkah ini sekaligus dapat menyediakan sistem yang bersepadu dan mudah untuk membuat bayaran yang berkaitan dengan kenderaan bagi pengguna.

    Selanjutnya berkenaan RFID di sini.

     
     
  • Beli kereta mewah, tapi tak bayar duti import – JKDM

    Beli kereta mewah, tapi tak bayar duti import – JKDM

    Akibat mahu hidup bergaya dan kelihatan mewah, ada juga segelintir rakyat Malaysia yang sanggup membeli kenderaan mahal seperti Ferrari, Aston Martin, Bentley dan Lamborghini di Brunei, tetapi tidak membayar duti import. Malah kini, ia dilaporkan menjadi trend di Sarawak. Perkara ini didedahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sendiri menerusi rampasan 18 kenderaan mewah dalam operasi khas pada 9 hingga 12 Julai lalu terutama di sekitar Kuching dan Samarahan.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Azimah Abd Hamid, operasi tersebut dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berjaya merampas dan menyita kenderaan mewah berkenaan yang bernilai kira-kira RM4.74 juta dengan RM8.15 juta jumlah duti import.

    “JKDM Sarawak dan SPRM menggerakkan satu operasi khas pada awal bulan ini bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak. Kami melaksanakan operasi ini selepas melakukan pemantauan selama setahun. Hasil risikan sebelum ini mendapati, ada kenderaan mewah itu berada di Sarawak selama setahun, berbanding tempoh dibenarkan iaitu hanya tiga bulan sahaja,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Beli kereta mewah, tapi tak bayar duti import – JKDM

    Menurutnya lagi, seramai 18 pemilik kenderaan berkenaan dikenakan bayaran jaminan RM5,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133 (1) dan Seksyen 133 (1)(g) Akta Kastam 1967 kerana tidak mematuhi kelayakan ditetapkan pada Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

    Mengikut Butiran 13 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing atau berstatus penduduk tetap (PR) atau memiliki permit kerja sah di negara asing dengan syarat kenderaan itu hanya dibenarkan berada di negara ini selama tiga bulan sahaja.

    “Kita juga menyiasat kes ini membabitkan penggunaan pas kenderaan disyaki palsu dan beberapa pelanggaran kepada peruntukan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

     
     
  • Triumph Daytona 765 2020 akan muncul di British GP

    Triumph Daytona 765 2020 akan muncul di British GP

    Sejak mula digunakan pada model naked Street Triple 765, enjin tiga silinder generasi baru 765 cc Triumph terus mendapat pujian ramai sehingga kini. Kemudiannya, Triumph melangkah lebih ke hadapan dengan membekalkan enjin tersebut kepada semua jentera lumba Moto2. Sejak itu, ramai yang mengharapkan kemunculan semula model Daytona yang menggunakan enjin tersebut.

    Kini, Triumph telah pun ‘membuka mulut’ akan mengeluarkan model istimewa “Triumph Daytona Moto2 765 Limited Edition” dalam dua versi iaitu untuk Eropah/Asia dan Amerika Syarikat/Kanada – berkemungkinan kerana peraturan emisi. Model ini akan ditunjukkan buat kali pertama semasa perlumbaan MotoGP di Silverstone, United Kingdom hujung minggu ini.

    Daytona Moto2 765 Limited Edition hanya akan dikeluarkan sebanyak 765 unit, dan menjadikannya istimewa selain lencana nombor pengeluaran adalah enjin yang “mempunyai lebih kuasa dan tork” berbanding Daytona 675 dan Street Triple 765RS. Pada model 765 produksi, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 121 hp, manakala pada jentera Moto2 ia menghasilkan 138 hp.

    Spesifikasi lanjut model keluaran terhad ini hanya akan didedahkan kemudian, tetapi kita boleh menjangkakan kelengkapan seperti sistem brek daripada Brembo, suspensi Ohlins dan sistem ekzos titanium Arrow menyerupai seperti unit yang digunakan pada jentera Moto2.

    Triumph masih belum mendedahkan harga jualan Daytona Moto2 765 Limited Edition, tetapi pengedar motosikal Triumph di Malaysia ada memberitahu ia boleh mencecah sehingga enam angka. Malaysia bakal mendapat empat unit model keluaran terhad ini dan anda juga sudah boleh menempahnya sekiranya berminat.

    GALERI: Prototaip jentera Moto2 yang menggunakan enjin 765

     
     
  • Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

    Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

    Kerana undang-undang emisi yang semakin ketat, enjin-enjin ikonik bersaiz besar dari pelbagai pengeluar secara beransur-ansur telah ditamatkan untuk memberikan laluan kepada enjin-enjin yang lebih rasional seperti empat- dan tiga-silinder, bagi memenuhi undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat.

    Sebagai contoh, Volvo telah menggantikan enjin lima-silinder mereka dengan enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E, manakala Volkswagen tidak lagi menghasilkan generasi baharu enjin VR6 mereka. Audi walau bagaimanapun masih lagi mempunyai enjin lima-silinder yang menjana model-model baharu di bilik pameran.

    Menurut jenama Jerman tersebut, walaupun trend terkini menyaksikan hampir semua pengeluar sibuk untuk menghasilkan unit janakuasa dengan teknologi elektrik, mereka akan tetap mempertahankan enjin lima-silinder untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 10-tahun lagi. lapor Which Car.

    Audi terkenal dengan enjin lima-silinder ini sejak dari era 80’an lagi, di mana jentera rali produksi dan WRC mereka – Audi Quattro – dijana oleh enjin yang menghasilkan bunyi tersendiri berkenaan. Buat masa sekarang, Audi TT RS dan RS3 Sportback adalah model terbaharu Audi yang masih dikuasakan oleh enjin 2.5 liter lima-silinder bersama pengecas turbo.

    Enjin 5-silinder Audi akan bertahan paling kurang 10 tahun lagi walaupun diancam standard emisi ketat

    Menurut bos Audi Sport, Oliver Hoffman, enjin dengan kod DNWA tersebut akan terus termasuk dalam rancangan masa hadapan Audi, terutamanya untuk divisi prestasi tinggi mereka.

    “Ia agak sukar (untuk mengekalkan enjin ini dalam produksi), tetapi ia bukan sekadar persoalan berapa susah. Untuk (undang-undang emisi) EU7 kami sudah pun mempunyai konsep untuk semua enjin kami, tetapi ia adalah berkenaan berapa banyak duit yang perlu dihabiskan untuk mencapai sasaran tersebut,” jelasnya.

    Enjin 5-silinder Audi ini kini sudahpun 26 kg lebih ringan dari sebelumnya dengan penghasilan blok menggunakan material aloi, serta 33 hp lebih berkuasa untuk model RS3 berbanding versi terdahulu. Buat masa ini, enjin-enjin yang berada pada TT RS dan RS3 menghasilkan 400 hp dan tork maksima 480 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD Quattro.

    “Bagi kami, enjin lima-silinder mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan warisan sejarah Audi. Ia merupakan saranan jualan unit (USP) nombor satu dalam model-model tersebut, dan setiap kali kami lancarkan model baharu dengan lima-silinder, kami dapat respon seperti ‘kami gembira kamu masih kekalkan enjin ini dan jangan turun kepada empat-silinder,” kata perancang produk Audi Sport, Annette Möllhoff.

    “Ia sentiasa sukar untuk memenuhi undang-undang baharu, tetapi kami telah berusaha untuknya selama setahun. Kami akan teruskan dan kami berharap agar kami dapat memenuhi setiap undang-undang dan menawarkannya untuk model-model kompak akan datang,” kata pengurus teknikal Audi Sport Sebastian Grossert pula.

    Laporan ini turut menambah bahawa salah satu strategi Audi untuk mengekalkan produksi enjin lima-silinder ini adalah dengan menggunakan teknologi elektrik – Audi kini memperkenalkan sistem hibrid ringkas 12V dan 48V untuk model-model terkininya. Sistem pada A4 facelift misalnya (menggunakan enjin empat-silinder), dikatakan mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 0.7 liter untuk setiap 100 km, bergantung pada enjin. Jadi ia mungkin akan memudahkan tugas jurutera untuk mengekalkan enjin lima-silinder berkenaan dengan menggunakan sistem hibrid ini.

     
     
  • Data jualan Jun 2019 ikut jenama – Perodua turun 30.1%, YTD Proton hanya 742 unit di belakang Honda

    Data jualan Jun 2019 ikut jenama – Perodua turun 30.1%, YTD Proton hanya 742 unit di belakang Honda

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, data jualan kenderaan secara keseluruhannya menunjukkan penurunan yang agak ketara sepanjang bulan Jun 2019 jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya. Terdahulu, MAA memaklumkan, sepanjang Jun 2019 sebanyak 42,526 kenderaan telah terjual. Jika dibandingkan dengan bulan Mei, sebanyak 60,780 unit kenderaan telah dicatatkan terjual, menjadikan perbezaan antara dua bulan berkenaan sebanyak 18,254 unit.

    Jika dilihat dari pecahan mengikut jenama pula, memang jelas terlihat bahawa kebanyakan jenama utama untuk pasaran Malaysia mencatatkan penurunan yang agak ketara. Ini termasuklah bagi pendahulu kedudukan yang teratas, Perodua. Syarikat itu mencatatkan jualan 16,037 unit berbanding pada Mei dengan 22,945 unit – penyusutan sebanyak 30.1%.

    Bagi Proton pula, walaupun kekal ditempat kedua dengan menjual sebanyak 7,615 unit, ia sebenarnya turut merupakan angka yang menurun sebanyak 28.2% berbanding bulan sebulan. Bagi Mei, Proton berjaya menjual sebanyak 10,611 unit. Namun, sisi positif untuk Proton pula, setakat ini bagi kiraan angka keseluruhan jualan 2019 (YTD), syarikat itu mencatatkan 43,518 unit jualan, hanya 742 unit untuk memintas Honda.

    Data jualan Jun 2019 ikut jenama – Perodua turun 30.1%, YTD Proton hanya 742 unit di belakang Honda

    Ditempat ketiga, Honda pula mencatatkan penurunan jualan yang agak ketara dengan hanya 5,386 unit jualan, turun 48.7% berbanding Mei. Dua lagi jenama utama dari Jepun, Toyota dan Nissan turun mengikut corak penurunan yang sama, dengan masing-masing menyaksikan penyusutan sebanyak 23.7% dan 28.4%. Mazda pula sedikit di belakang, juga dengan penurunan sebanyak 22.8%.

    Lain-lain jenama yang mungkin sedikit bernasib baik ialah Volkswagen, yang mencatatkan peningkatan 24.7% melalui sejumlah 510 unit yang terjual pada Jun. Manakala Renault pula mencatatkan pertumbuhan paling tinggi, lonjakan sebanyak 792.9% berbanding Mei; ini kemungkinan besar disumbangkan oleh program langganan kenderaan yang dilancarkan syarikat itu sebelum ini.

    Bagi jenama premium pula, hanya BMW dan Lexus yang mencatatkan pertumbuhan positif, masing-masing dengan kenaikan 4.8% dan 59%. Mercedes-Benz, yang berada tiga anak tangga di belakang BMW pula menyaksikan penurunan sebanyak 31.1%. Sementara itu, jualan Volvo pula menguncup sebanyak 13%. Untuk data lengkap prestasi sepanjang bulan Jun 2019 mengikut jenama, sila rujuk jadual yang disediakan.

    Data jualan Jun 2019 ikut jenama – Perodua turun 30.1%, YTD Proton hanya 742 unit di belakang Honda

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024