Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Fiat Chrysler & PSA Group sahkan gabungan dengan perjanjian 50:50, kini kumpulan automotif ke-4 terbesar

    Fiat Chrysler & PSA Group sahkan gabungan dengan perjanjian 50:50, kini kumpulan automotif ke-4 terbesar

    Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan juga kumpulan automotif Perancis dan pemilik jenama Peugeot dan Citroen, PSA Group kini telah memuktamadkan penggabungan mereka dengan menandatangani perjanjian bersama, setelah mengumumkan perkara berkenaan pada Oktober lalu.

    Menurut kedua-dua kumpulan berkenaan, transaksi ini bakal dilengkapkan dalam masa 12 hingga 15 bulan, bergantung kepada kelulusan pemegang-pemegang saham dan juga pelepasan dari undang-undang.

    Perjanjian tersebut menyaksikan FCA dan PSA bergabung dengan kepentingan 50:50, melibatkan perjanjian berjumlah US$50 bilion (RM207.8 bilion). Ini membolehkan kumpulan tersebut diletakkan sebagai kumpulan automotif keempat terbesar di dunia, dengan jumlah jualan gabungan 8.7 juta kenderaan serta pendapatan hampir €170 bilion (RM783 bilion).

    CEO PSA, Carlos Tavares telah dilantik untuk mengetuai entiti baharu ini sebagai CEO untuk tempoh lima tahun pertama, manakala pengerusi FCA John Elkann diberikan jawatan sebagai Pengerusi.

    Gabungan ini juga menyaksikan 14 jenama akan duduk dibawah satu payung, lima dari PSA dan sembilan dari FCA – antaranya adalah Peugeot, Citroën, Opel, Alfa Romeo, Maserati dan Jeep. Sebelum ini Tavares telah menyebut bahawa tiada satu pun jenama-jenama berkenaan akan dikorbankan dalam penggabungan ini.

    Ini bermaksud, tiada kilang yang akan di tutup dan tiada pemberhentian kerja akan dilakukan terhadap sekitar 400,000 orang tenaga kerja kesemua jenama berkenaan setelah kedua-duanya bergabung. Walau bagaimanapun, ada khabar menyatakan bahawa berberapa rombakan akan dibuat.

     
     
  • Nombor pendaftaran khas perlu dijual dan didaftarkan segera sebelum atau pada 31 Disember 2019 – JPJ

    Nombor pendaftaran khas perlu dijual dan didaftarkan segera sebelum atau pada 31 Disember 2019 – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai bahawa tempoh penjualan dan pendaftaran bagi nombor pendaftaran khas kenderaan bakal berakhir pada 31 Disember 2019. Di mana selepas tarikh berkenaan, penjualan dan pendaftaran nombor plat khas itu tidak akan dibenarkan.

    Justeru, JPJ menggesa orang awam yang terbabit dengan pembelian nombor pendaftaran khas ini agar menyelesaikan urusan yang berkaitan sebelum atau pada 31 Disember ini bagi mengelakkan sebarang masalah timbul sewaktu proses pendaftaran.

    Menurut JPJ, sejak tahun 2010, pihaknya telah meluluskan nombor pendaftaran khas kepada banyak Persatuan, Yayasan, Syarikat, Badan-badan Kebajikan dan Agensi Kerajaan. Walau bagaimana, mereka yang diberikan kebenaran itu harus menjual dan mendaftar nombor pendaftaran khas ini dalam tempoh yang tertentu.

    Nombor pendaftaran khas perlu dijual dan didaftarkan segera sebelum atau pada 31 Disember 2019 – JPJ

    Pada November 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan yang dikeluarkan oleh JPJ mampu menjana lebih pendapatan kepada tabung kerajaan. Sebagai contoh, hasil penjualan nombor siri plat ‘Malaysia’ pada Ogos lalu, kerajaan berjaya menjana RM13 juta menerusinya.

    Walau bagaimana pun, Loke turut berkata, nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian. Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

     
     
  • Toyota Vios generasi baru dalam imej bayangan Yaris

    Toyota Vios generasi baru dalam imej bayangan Yaris

    Rasanya ramai yang sedia maklum, bulan lalu, Toyota memperkenalkan model Yaris generasi keempat yang menjadi model pertama yang menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) untuk model kompak, juga dikenali sebagai GA-B. Dan, melihat kepada cara penawaran model sama sebelum ini, Yaris selalu akan ada versi sedan dalam pasaran, dikenali sebagai Yaris Ativ. Kita di Malaysia mengenalinya dengan nama Vios.

    Dengan andaian ini, agaknya bagaimana rupa Vios generasi terbaru kelak, sekiranya rekabentuknya akan didasarkan kepada model Yaris terbaru berkenaan? Inilah yang cuba ditunjukkan oleh rekaan digital yang dihasilkan oleh Theophilus Chin ini.

    Seperti yang dapat dilihat, wajah depan Vios ini masih lagi sama seperti versi hatchback. Baik jika dilihat pada rekaan gril, lampu utama serta inlet pada sudut bampar yang menempatkan lampu kabus. Ini sama seperti yang pernah dilihat pada Yaris dan Yaris Ativ yang saling berkongsi wajah depan, dengan begitu sedikit perbezaan.

    Apa yang membezakan keduanya adalah dari tiang A dibawa ke belakang, memandangkan bumbung hatchback yang dilanjutkan lebih jauh ke belakang. Ini turut melibatkan ruang cermin pada tingkap dan bentuknya yang berlainan bagi sedan.

    Toyota Vios generasi baru dalam imej bayangan Yaris

    Selebihnya, garis yang kelihatan pada lengkuk tayar belakang Yaris turus diringkaskan pada sedan. Ia bersambung ke bahagian hujung lampu belakang melalui bahagian pemegang pintu dan bukan lagi mengunjur ke bawah. Garis bawah pada pintu juga dilanjutkan hingga ke belakang, dengan satu lagi garis berasingan dari lampu utama ke bahagian bawah pemegang pintu depan dikekalkan.

    Di belakang, lampu dengan dua bahagiannya dijadikan lebih kecil berbanding sebelum ini, dan disambungkan oleh kemasan pada lencana Toyota yang digunakan dari ruang nombor plat – hal sama dapat dilihat pada Corolla yang dijual di sini. Apron bawah juga bersekali dengan elemen pemantul cahaya yang lebih kemas ditempatkan di situ.

    Belum diketahui bila Vios generasi baru ini akan diperkenalkan. Tetapi, Yaris Ativ sedia ada telah diperkenalkan di Thailand pada 2017, dan baru-baru ini diberikan pula kemaskini. Di Malaysia, Vios terbaru yang kita terima diperkenalkan secara rasmi pada Januari tahun ini. Apa pandangan anda tentang imej Vios terbaru yang ditunjukkan ini?

     
     
  • Proton Iriz R5 lakukan ujian khas untuk ke WRC di Ireland Utara, sekali lagi bersama Marcus Grönholm

    Proton Iriz R5 lakukan ujian khas untuk ke WRC di Ireland Utara, sekali lagi bersama Marcus Grönholm

    Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat Proton Motorsport, terutamanya jentera baharu dari Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang menggantikan Proton Satria Neo S2000 iaitu Proton Iriz R5 – kereta berkenaan telah di bawa ke satu lokasi rahsia di Ireland Utara untuk dilakukan ujian yang sekali lagi disertai bekas juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) dua kali, Marcus Grönholm dan kami difahamkan ujian adalah khas untuk persediaan mereka ke WRC dalam masa terdekat!

    Ujian tersebut telah bermula semalam dan baru sahaja berakhir hari ini. Apa yang istimewa, kami berpeluang untuk bertanyakan sendiri kepada Marcus berkenaan ujian ini menerusi satu panggilan telefon yang diaturkan khas oleh pihak MEM sendiri.

    Menurut Marcus, mereka melakukan ujian selama dua hari ini dalam dua permukaan berbeza iaitu pada permukaan batu kerikil semalam, dan permukaan asfalt (tar) pada hari ini. Dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

    Ketika pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC, jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

    Jika anda perasan, unit ujian yang digunakan pada hari ini juga bukan kereta yang sama dipandu oleh Oliver Mellors dalam perlumbaan-perlumbaan baru-baru ini – ia diberikan warna, bersama ‘kepala harimau’ Proton di pintu belakang, tanpa nombor pendaftaran, berbanding jentera Olie dengan livery minuman keras Jaipur berwarna oren, serta nombor pendaftaran YN15 GFG.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

    Setelah menjadi juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage selama tiga-tahun berturut-turut, dan pelbagai rali peringkat nasional seperti Woodpecker Stage Rally 2019, Trackrod Yorkshire Rally 2019, Malton Forest Rally 2019, Grizedale Rally 2019 serta pelbgai rali lagi, bila kita boleh tengok Iriz R5 ini bertarung di pentas WRC? Sabar dulu, terus ikuti perkembangan berita ini sedikit masa lagi kerana kami sedang mengatur satu lagi temu bual dengan Chris berkenaan perkara ini.

     
     
  • Yamaha Niken dengan semua panel badan aluminium

    Yamaha Niken dengan semua panel badan aluminium

    Yamaha Niken dalam keadaan asalnya sahaja sudah merupakan sebuah motosikal yang agak radikal. Ia menggunakan asas daripada Tracer GT 900, tetapi bahagian hadapannya mempunyai dua roda dengan lengan ayun serta sistem suspensi yang rumit dan canggih. Muka hadapan pula agak ganas dengan kelihatan seperti ular tedung yang mahu membaham mangsa.

    Walaupun dengan karekter sebegitu, Niken tidak terlepas daripada perhatian dunia kustom, di mana sebuah syarikat pengubah suai dari Poland iaitu Game Over Cycles telah mengambilnya sebagai projek sekaligus menjadi Niken pertama yang diubah suai secara menyeluruh.

    Penampilan motosikal beroda tiga ini diubah sepenuhnya dengan sekarang semua panel badan plastiknya diganti dengan panel aluminium buatan tangan. Menurut Game Over Cycles, secara keseluruhannya mereka mengambil masa bekerja 1,400 jam untuk melengkapkan Niken ini.

    Bukan setakat panel badan, beberapa bahagian lain turut dibuat semula dengan aluminium seperti tuil brek dan klac, cermin sisi, perumah meter, pelindung radiator, rangka pemegang tempat duduk, tangki bahan api, peletak kaki dan pelbagai lagi.

    Walaupun dengan tahap ubah suai seperti ini, Game Over Cycles membuat keputusan tidak menyentuh bahagian mekanikal termasuk suspensi kerana tidak mahu mengganggu karekter tunggangan cukup baik yang sudah dihasilkan oleh jurutera Yamaha.

    Motosikal ini dipertontonkan buat pertama kali kepada awam semasa pertandingan motosikal kustom di Jerman awal bulan lalu, dan telah dianugerahkan sebagai pemenang “Motosikal Paling Gila”.

    GALERI: Yamaha Niken

     
     
  • HSR diteruskan tapi kos dikurangkan – Tun Mahathir

    HSR diteruskan tapi kos dikurangkan – Tun Mahathir

    Setelah beberapa bulan menimbang tara kepentingan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, akhirnya kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek terbabit. Walau bagaimana pun skalanya dijangka dikecilkan bagi mengurangkan kos pelaksanaannya.

    “HSR akan diteruskan, tapi kita akan menentukan berapa kelajuan yang perlu (bagi kereta api itu). Ia tidak semestinya 400 kilometer (km) sejam, jika 400 km sejam, ia akan mungkin sampai ke Alor Setar. Jadi, kita akan lihat apa yang sesuai untuk projek ini,” ujar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mahu mengurangkan kos bagi projek berkenaan kerana ia menelan belanja yang besar.

    “Justeru, mungkin kita perlu mengecilkan skalanya dan membuat sedikit pengubahsuaian bagi mengurangkan kos. Mungkin mengurangkan kelajuan yang akan menyumbang kepada pengurangan kos,” katanya.

    Pada April lalu, Perdana Menteri berkata, HSR bukanlah projek yang ´benar-benar perlu´ bagi Malaysia buat masa ini memandangkan ia hanya menghubungkan Singapura dan Malaysia. Walau pun pada awal September 2018, Malaysia dan Singapura telah bersepakat untuk menangguhkan pembinaan projek keretapi laju HSR KL-Singapura, tanpa melibatkan sebarang bayaran pampasan. Ia akan disambung kembali selepas dua tahun, iaitu pada 31 Mei 2020.

     
     
  • Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

    Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

    Julai lalu kami telah menemuramah prinsipal pasukan Proton R3, Gary Lee bagi mengetahui perkembangan Proton R3 yang kini merupakan satu badan di bawah Geely Motorsport Group setelah jenama dari China tersebut mengambil alih pegangan saham sebanyak 49.9 peratus dari Proton.

    Hujung minggu lalu, berlangsungnya pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) 2019 di litar antarabangsa Sepang – salah satu ahli kumpulan Geely Motorsport, Lynk & Co Cyan Racing datang ke Malaysia dengan sasaran untuk menjadi juara dunia WTCR dalam kategori pasukan, dan mereka berjaya melakukannya.

    Dalam kesempatan tersebut, kami berpeluang untuk berjumpa sendiri dengan Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski bagi mengetahui rancangannya terhadap Proton R3.

    Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

    Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski

    Menurut Alex, Geely amat menghormati warisan sejarah setiap jenama yang berada di bawahnya dan sebab itu mereka mewujudkan Geely Motorsport setelah berjaya memiliki Volvo, bagi memastikan bakat-bakat yang sudah sedia ada dalam Polestar Cyan Racing tidak terbiar begitu sahaja.

    Geely juga memberikan kebebasan kepada arah tuju jenama-jenama di bawahnya – Alex menyatakan bahawa Geely Motorsport sendiri tidak ‘berperangai seperti Abang besar’ dengan memberikan arahan kepada Proton R3. “Setiap kali kami turun ke Malaysia, kami akan duduk bersama keluarga kami di sini iaitu Gary dan pasukan Proton R3, dan sentiasa mendengar apa rancangan mereka, apa yang mereka boleh lakukan untuk kebaikan jenama Proton.”

    “Dalam Geely, kami mempunyai banyak rekod komersil yang positif apabila terlibat dalam sukan permotoran, dan diberikan sokongan yang banyak berkenaan apa yang kami lakukan sekarang. Jadi saya rasa, sikap dan minat ada di situ. Dan kami tiada sikap seperti ‘Abang Besar’ untuk mengarah buat itu dan ini. Buat pilihan sendiri masing-masing, dan jika kita mempunyai kereta yang sesuai dalam masa dua hingga tiga tahun, dan ia sesuai untuk Proton berlumba dalam Touring Car, sudah tentu apa yang kami ada akan kami kongsikan bersama,” jelas Alex.

    Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

    “Saya rasa apa yang unik berkenaan Proton R3, ia satu pasukan yang mempunyai warisan sukan permotoran yang lama. Jika anda fikirkan, anda perlu berbangga kerana tidak banyak pasukan lumba dalam dunia ini yang beroperasi terus di bawah jenama utama dengan warisan sejarah yang lama, dan mereka juga mempamerkan prestasi yang baik untuk jenama.

    “Gary dan pasukannya adalah orang-orang yang baik. Saya gembira dapat bersamanya sebagai salah satu anggota keluarga,” tambah Alex lagi, menzahirkan apa yang dia sendiri rasa terhadap pasukan Proton R3.

    Ketika ditanya adakah kita berpeluang untuk melihat Proton Motorsport kembali semula ke kancah sukan permotoran antarabangsa terutamanya dalam disiplin rali, ini jawapan Alex: “Sukan permotoran adalah 90 peratus berkenaan masa yang tepat. Apabila satu-satu kejohanan bermula, anda mempunyai produk yang sesuai yang baru dilancarkan, anda boleh gunakannya sebagai pelaburan R&D yang paling lama. Jadi ia adalah berkenaan masa bagi meneruskan program (sukan permotoran yang berjaya).”

    Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

    Bagi mereka yang masih belum mengetahui, Lynk & Co adalah divisi mewah Geely, seperti Lexus dari Toyota. Cyan Racing pula adalah rakan teknikal Volvo Polestar dan telah berlumba bersama sejak sekian lama – Thed Bjork telah bergelar juara Scandinavian Touring Car Championship (STCC) dari 2013 hingga 2015, dan juara dunia World Touring Car Championship (WTCC) 2017 – semuanya dengan Volvo S60 Polestar Cyan Racing.

    Namun pada 2018, pelbagai perkara telah berlaku – FIA telah mengubah WTCC kepada WTCR di mana pengeluar perlu beralih dari jentera TC1 kepada jentera TCR dan Volvo belum membangunkan sebarang jentera TCR, manakala Polestar telah dipisahkan dari Volvo bagi menjadi sebuah jenama pengeluar kereta sport dengan teknologi elektrifikasi.

    Nama Cyan Racing tidak muncul sepanjang musim WTCR 2018, tetapi mereka sebenarnya masim berlumba dalam pasukan Yvan Muller Racing dengan Hyundai i30 N TCR, dipandu Yyan Muller dan Thed Bjork – juga berjaya menjadi juara kategori pasukan untuk musim berkenaan.

    Sedan Lynk & Co 03 hanya diperkenalkan dalam pasaran pada September 2018, manakala projek membangunkan kereta lumba TCR berkenaan bermula Oktober tahun yang sama, dan ia perlu siap sebelum bermulanya WTCR musim 2019. Ia diasaskan dari Lynk & Co 03+, dalam spesifikasi produksi menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40), dan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter Drive-e menghasilkan 254 hp/350 Nm sama seperti yang terdapat pada model-model T5 Volvo.

    Menurut Alex, kereta lumba ini masih menggunakan kerangka produksi, dan menggunakan enjin yang sama – ia masih menggunakan komponen dalaman yang sama sepenuhnya seperti model produksi, cuma diberikan pengecas turbo lebih besar bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm

    Kereta ini berjaya disiapkan dalam masa yang cukup singkat dan ia mula membuat ujian awalan di litar Mantorp, Sweden dan Estoril, Portugal pada Disember 2018, kemudian mula berlumba pada pusingan pertama WTCR 2019 di litar antarabangsa Moulay El Hassan, Maghribi April lalu.

    Dalam perlumbaan pusingan terakhir WTCR 2109 yang berlangsung di Sepang hujung minggu lalu, dan selepas 10 pusingan serta 30 perlumbaan, pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya menjadi juara dunia dalam kategori pasukan, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, dan Münnich Motorsport Honda di tempat ketiga dengan ketinggalan 52 mata.

    Ini bermakna, Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, dan menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

    Dalam kategori pemandu, pelumba pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse Norbert Michelisz dinobatkan sebagai juara dunia, diikuti oleh Esteban Guerrieri yang memandu Honda Civic Type R TCR dari pasukan Münnich Motorsport.

    Pemandu berpengalaman Cyan Racing, Yvan Muller berada di tempat ketiga, manakala juara WTCC 2017 juga masih memandu untuk Cyan Racing, Thed Bjork berada di tempat keempat secara keseluruhan – prestasi konsisten kedua-dua pemandu ini membolehkan pasukan yang berpengkalan di Sweden tersebut berjaya meletakkan mereka sebagai juara kategori pasukan.

    GALERI: Pit Lynk & Co Cyan Racing di WTCR Race of Malaysia 2019

     
     
  • Honda tawar promosi akhir 2019 – ganjaran sehingga RM10k untuk Jazz, City, BR-V, CR-V, HR-V, Odyssey

    Honda tawar promosi akhir 2019 – ganjaran sehingga RM10k untuk Jazz, City, BR-V, CR-V, HR-V, Odyssey

    Tinggal lagi dua minggu saja 2019 bakal melaburkan tirainya dan disambut kedatangan dekad baharu 2020. Seperti kebanyakan syarikat pengeluar kereta yang lain, Honda Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menganjurkan promosi tawaran menarik akhir tahun yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2019.

    Tawaran promosi ini melibatkan pilihan sama ada baucer servis percuma atau rebat tunai tambahan, bermula dari RM3,000 hingga RM10,000, bergantung pada model kenderaan yang dipilih (tertakluk pada terma dan syarat). Pembeli juga bakal menerima hadiah eksklusif bagi setiap pembelian. Rebat ini bakal diberikan bagi pembelian model Jazz, Jazz Hybrid, City, City Hybrid, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey yang didaftarkan pada sepanjang bulan Disember 2019.

    Untuk model segmen-B, Jazz ditawarkan dengan rebat tunai sebanyak RM3,000, sementara City pula didatangkan dengan rebat sebanyak RM4,000. Pembeli boleh memilih sama ada baucer servis bernilai dari RM2,000 atau pun tunai dengan amaun yang sama, dan jumlah keseluruhan ganjaran bernilai RM5,000 untuk hatchback dan RM6,000 untuk sedan.

    Versi hibrid bagi kedua-dua model – Jazz Hybrid dan City Hybrid – didatangkan dengan rebat tunai yang lebih besar bernilai RM6,000 dan pilihan yang lebih kurang sama bernilai RM3,000 bagi baucer servis atau rebat tunai tambahan, dengan jumlah keseluruhan RM9,000.

    Sementara itu, BR-V pula ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM1,000 dan baucer servis bernilai RM2,000 atau rebat tunai tambahan dengan jumlah RM3,000. Bagi HR-V pula, pilihan rebat tunai dan ganjaran tambahan dengan nilai RM2,000 untuk keseluruhan bernilai RM4,000 tetapi bagi varian hibrid pula ditawarkan dengan rebat tunai yang lebih tinggi sehingga RM6,500 dan ganjaran tambahan bernilai RM3,500 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000.

    Bagi CR-V pula, bakal diberikan rebat tunai bernilai RM2,500 dan ganjaran tambahan bsebanyak RM2,000 dengan jumlag keseluruhan RM4,500. Akhir sekali, untuk Odyssey pula, rebat tunai sebanyak RM3,000, dengan ganjaran tambahan bernilai RM2,000 untuk baucer servis atau rebat tunai tambahan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM5,000.

     
     
  • Lynk & Co 05 – gambar rasmi tunjuk bahagian dalam

    Lynk & Co 05 – gambar rasmi tunjuk bahagian dalam

    Tidak dinafikan, Lynk & Co mempunyai cara yang unik untuk menamakan model-model mereka. Siri nombor tersebut menunjukkan turutan pengenalannya, dengan 01 yang pertama (SUV biasa), diikuti 02 (SUV sedikit kecil), 03 (sedan), 04 (hatchback,) 05 (SUV coupe) dan 06 yang terakhir setakat ini – sebuah SUV yang lebih kecil daripada 02.

    Bagi model 05, beberapa lagi gambar rasmi telah dikeluarkan, termasuklah bahagian dalam. Seperti yang boleh dilihat daripada siri gambar sebelum ini, bahagian luarnya menampakkan garis bumbung gaya fastback yang lebih rendah, muka depan sporty serta lampu belakang dengan garis terputus.

    Papan pemuka yang berada di bahagian dalam menggunakan banyak garis melintang untuk menghasilkan rasa luas. Di atas skrin sesentuh sistem infotainmen, terdapat corong pendingin hawa yang juga kelihatan seperti tersembunyi dengan kemasan bergaris tersebut, manakala roda stereng pula mempunyai bahagian tengah yang membonjol dan beberapa butang kawalan.

    Syarikat ini juga banyak menggembar-gemburkan penggunaan bahan berkualiti tinggi seperti kemasan aluminium pada papan pemuka, serta sistem lampu suasana yang “boleh dilaras tanpa batas” dalam 16 juta warna. Tiada perincian teknikal yang dikeluarkan setakat ini, tetapi memandangkan ia menggunakan asas daripada 01, bermakna ia juga dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dikongsi bersama model Geely dan Volvo.

    Enjin yang digunakan juga besar kemungkinan adalah sama, termasuk unit tiga silinder 1.5 liter 147 hp serta empat silinder 2.0 liter 187 hp – kedua-duanya diambil daripada Volvo. Ia kemudiannya mungkin akan diikuti oleh versi plug-in hybrid yang menggabungkan enjin 1.5 liter 180 PS dengan motor elektrik 82 PS, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS. Pada model 01, bateri 9.4 kWh yang digunakan boleh memberi jarak gerak elektrik sahaja 51 km.

     
     
  • VIDEO: Proton X70 CKD 2020 – apa yang dijangkakan

    Minggu lalu, satu majlis khas bagi menandakan permulaan pengeluaran model CKD bagi Proton X70 telah pun diadakan, bertempat di kilang baru Proton Tanjung Malim. Bagaimanapun, model versi CKD berkenaan belum ditunjukkan secara terperinci kepada pihak media.

    Proton X70 CKD 2020 hanya ditampilkan secara ringkas untuk tujuan perasmian roll-out berkenaan, sebelum kemudiannya di”sorok” semula. Namun, ada beberapa perkara yang sempat diperhatikan pada X70 CKD berkenaan, serta perancangan yang sedang berlangsung di pihak Proton, termasuk juga bagi tujuan eksport dan penekanan terhadap Tg. Malim yang ingin dijadikan hab pemasangan kenderaan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.

    Secara umumnya, rekabentuk X70 CKD 2020 kelihatan tidak banyak berbeza daripada versi CBU yang dijual ketika ini. Beberapa pembaharuan yang dapat dilihat secara ringkas antaranya ialah penggunaan logo baru Proton pada wajah hadapannya. Di belakang, X70 nampaknya akan dilengkapi dengan ciri auto tailgate.

    Selebihnya, masih belum didedahkan secara rasmi lagi. Tetapi, berdasarkan peningkatan yang dilakukan pada model sama dipasaran lain, kita juga mungkin boleh jangkakan penggunaan transmisi DCT tujuh-kelajuan yang lebih cekap prestasi dan menjimatkan bahan api. Namun, perkara ini hanya akan dapat disahkan sebaik sahaja perincian lanjut tentang X70 CKD 2020 didedahkan nanti.

     
     
  • Nissan Eropah rombak barisan SUV untuk 18 bulan akan datang; X-Trail pada Q2 2020, Qashqai pada Sept

    Nissan Eropah rombak barisan SUV untuk 18 bulan akan datang; X-Trail pada Q2 2020, Qashqai pada Sept

    Disebabkan kelembapan jualan di Eropah, Nissan bakal menggantikan setiap model SUV di benua berkenaan dalam tempoh 18 bulan akan datang. Menurut laporan Automotive News Europe, jenama berkenaan mensasarkan untuk memulihkan jualan selepas ia menyusut sebanyak 24% ke 334,505 unit untuk 10 bulan pertama, mengikut data dari persatuan industri ACEA.

    Qashqai dan X-Trail bakal menjadi model pertama dalam barisan SUV yang digantikan dengan model baharu, sementara SUV elektrik baharu yang dipertontonkan pada tahun ini, model konsep Ariya dijangka akan menyertai barisan dan bakal diperkenalkan antara pertengahan 2021, ujar ketua Nissan Eropah Gianluca de Ficcy kepada Automotive News Europe dalam satu sesi temubual.

    Sumber turut memaklumkan syarikat berkenaan mendedahkan ia bakal menggantikan X-Trail, dalam tempoh enam bulan akan datang. Barisan SUV baharu ini juga dijangka akan melancarkan Juke generasi kedua pada September selepas sembilan tahun model generasi pertamanya berada di pasaran.

    Nissan pada asalnya merancang untuk membangunkan model X-Trail akan datang di kilangnya di Sunderland, United Kingdom, tempat yang sama Juke diproduksikan. Walau bagaimana pun, syarikat berkenaan telah mengubah perancangannya untuk SUV yang lebih besar, iaitu akan terus memproduksinya di Jepun untuk pasaran Eropah. Jualan X-Trail di Eropah menyusut sebanyak 59% kepada 18,368 unit bagi 10 bulan pertama, menurut kaji selidik JATO Dynamics.

    Sumber terbabit turut menyebut Nissan juga akan memperkenalkan Qashqai baharu pada September 2020, dan versi diesel untuk pasaran Eropah bakal digugurkan. Sebaliknya akan memperkenalkan versi E-power hybrid. Kedua-dua X-Trail dan Qashqai akan menawarkan sistem plug-in hybrid yang diusaha sama dengan rakan pakatannya Mitsubishi yang juga akan ditampilkan pada Outlander akan datang, dan ketiga-tiga model berkenaan akan dibina dengan platform Common Module Family (CMF).

    Sementara SUV semua-elektrik baharu Ariya pula dijangka akan tiba pada akhir tahun hadapan atau awal 2021, berkongsi platform dengan rakan pakatannya Renault dan akan diposisikan dalam segmen premium bagi pasaran SUV, dan ada sumber berasingan memberitahu harga yang disarankan untuk SUV elektrik terbabit adalah antara 50,000 dan 70,000 euros (RM230,838–RM323,173).

    Harga tersebut akan meletakkan SUV elektrik baharu Nissan itu bersaing dengan Ford Mustang Mach-E, yang ditawarkan pada harga antara 47,000 euros dan 62,000 euros (RM216,989–RM286,242) di Jerman. Rombakan barisan berkenaan adalah yang terkini di Eropah, selepas jenama ini melancarkan Micra/March baharu dan Leaf EV baharu pada 2017.

     
     
  • Kia Optima/K5 2020 – lebih perincian teknikal didedah, pilihan transmisi DCT lapan kelajuan, enjin turbo, AWD

    Kia Optima/K5 2020 – lebih perincian teknikal didedah, pilihan transmisi DCT lapan kelajuan, enjin turbo, AWD

    Kia sebelum ini pernah mendedahkan gambar awal Kia Optima generasi kelima (atau dikenali sebagai K5 di Korea), yang akan dilancarkan untuk pasaran tertentu pada separuh tahun pertama 2020. Kini, beberapa lagi perincian teknikal untuk sedan segmen D tersebut disiarkan.

    Melihat semula kepada rekaan model generasi baru ini, ia melibatkan kerjasama tiga studio rekaan Kia iaitu di Amerika Utara, Eropah dan Korea sendiri. Rekaan yang lebih sporty ini melibatkan gril “tiger nose” yang lebih lebar, lampu utama dengan DRL LED “heartbeat“, lekuk atas bonet lebih jelas serta bampar dengan bukaan udara yang lebih besar.

    Beralih ke sisi, dapat dilihat cermin sisi direka nipis dan seakan tergantung pada satu ‘tiang’ yang berada di bawah tingkap quater hadapan. Garis bumbung dihasilkan landai ke belakang memberikan bayangan badan sedan empat pintu ini seakan sebuah coupe sportback – bahagian ini diserlahkan lagi dengan kemasan krom dari kerangka tingkap pintu hadapan dan belakang dan terus bersambung ke tiang-D serta merentangi sepenuhnya bawah cermin belakang.

    Kia Optima/K5 2020 – lebih perincian teknikal didedah, pilihan transmisi DCT lapan kelajuan, enjin turbo, AWD

    Rupa belakang sedan ini turut kelihatan garang seperti mukanya. Ia diberikan lampu tirus merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan. Bampar pula kelihatan ‘sibuk’ dengan sepasang liang udara sisi yang seakan melepaskan aliran udara yang ‘dikaut’ oleh bampar hadapan, kemudian diberikan kemasan seakan diffuser yang turut menempatkan dua kemasan tip ekzos krom berbentuk segi-empat sereng.

    Dimensi kenderaan ini juga berubah, dengan kini berukuran 4,905 mm panjang (+50 mm), 1,860 mm lebar (+25 mm), 1,445 mm tinggi (-20 mm), serta jarak roda 2,850 mm (+45 mm). Pilihan rim yang disediakan terdiri daripada saiz 16 hingga 18 inci, dengan model GT menerima unit 19 inci.

    Rekaan baru pada bahagian dalam menyaksikan kemasan kayu (atau metalik) yang membahagikan bahagian atas papan pemuka dengan tengah, serta panel pintu. Corong pendingin hawa pula dijadikan lebih kecil, dengan yang di tengah diletakkan ke bawah sedikit.

    Kia Optima/K5 2020 – lebih perincian teknikal didedah, pilihan transmisi DCT lapan kelajuan, enjin turbo, AWD

    Skrin sesentuh sistem infotainmen 10.25 inci yang terletak di tengah juga adalah baru, manakala panel instrumen menggunakan unit digital 12.3 inci. Tiada butang kawalan pada bahagian atas papan pemuka, dan semuanya diletakkan di konsol tengah di bawah. Kemudiannya, tombol gear biasa diganti dengan tombol jenis pusing (bergantung kepada transmisi yang dipilih).

    Barangan lain yang ditawarkan adalah termasuk sistem lampu suasana, head-up display lapan inci, kunci digital, sistem bunyi Bose 12 pembesar suara dan pelbagai pilihan kombinasi warna kabin, balutan tempat duduk serta kemasan, bergantung kepada pasaran.

    Untuk kuasa penggerak pula, Optima baru ini akan ditawarkan dengan unit empat silinder turbo 1.6 liter Smartstream dengan kuasa 180 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm tork pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter MPI (152 PS dan 192 Nm), 2.0L dengan CVVL (160 PS dan 196 Nm), 2.5L GDi (194 PS dan 246 Nm), 2.5L T-GDi (290 PS dan 422 Nm) untuk varian K5 GT dan enjin hibrid seperti sebelum ini.

    Semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik sama ada enam atau lapan kelajuan, manakala enjin 2.5L T-GDi dipadankan bersama transmisi klac berkembar lapan kelajuan. Buat pertama kalinya juga, Optima akan ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda sebagai alternatif kepada pacuan roda hadapan.

    Turut ditawarkan adalah sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), yang termasuk Forward Collision-Avoidance Assist, Blind-spot View Monitor dengan Surround View Monitor dan Blind-spot Collision-Avoid Assist, Smart Cruise Control (SCC) atau Navigation-based SCC (NSCC), Lane Following Assist, Driver Attention Warning, dan Highway Driving Assist.

    Tidak cukup dengan itu, ia juga boleh didapati dengan Rear View Monitor dengan Reverse Parking Collision-Avoidance Assist (PCA), Rear Cross-traffic Collision-Avoidance Assist dan Remote Smart Parking Assist yang membolehkan pemilik menggerakkan kereta dalam petak parkir menggunakan tombol kunci. Semua model Optima datang dengan sembilan beg udara dan sistem keselamatan pasif seperti Vehicle Stability Management dan Electronic Stability Control.

     
     
  • Industri teksi perlu berubah, terima pakai teknologi terkini untuk terus bersaing dengan e-hailing – Loke

    Industri teksi perlu berubah, terima pakai teknologi terkini untuk terus bersaing dengan e-hailing – Loke

    Bagi terus bersaing dengan perkhidmatan e-hailing, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berpendapat, industri teksi perlu melakukan perubahan yang sewajarnya termasuk menerima pakai teknologi terkini.

    Menurut Loke, daripada 43,000 pemandu teksi di Malaysia, hanya 10,000 yang mengamalkan aplikasi e-hailing manakala yang lain masih menggunakan cara konvensional.

    “Pemandu teksi yang menggunakan aplikasi e-hailing, boleh mengambil penumpang menggunakan dua platform, e-hailing serta perhentian teksi. Penumpang hari ini mempunyai pilihan, mereka (pemandu teksi) perlu berubah dan mereka harus memastikan menawarkan perkhidmatan dengan cara yang lebih baik, secara digital dan dapat bersaing dengan e-hailing,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran aplikasi #JOMTEKSI baru-baru ini.

    #JOMTEKSI merupakan inisiatif di bawah TNG Digital yang menyediakan ekosistem untuk pemandu teksi berkembang maju dalam ekonomi digital.

    Industri teksi perlu berubah, terima pakai teknologi terkini untuk terus bersaing dengan e-hailing – Loke

    Lebih 6,000 pemandu teksi memilih untuk menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dan menerusi #JOMTEKSI, setiap pemandu teksi berkenaan memperoleh insentif tambahan RM4 bagi setiap penumpang yang pertama kali membuat bayaran menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

    Melalui inisiatif #JOMTEKSI itu, lima perhentian teksi di Putrajaya dan Cyberjaya diubah suai iaitu perhentian teksi itu turut dilengkapi dengan port USB untuk memudahkan penumpang mengecas peranti mudah alih mereka. Loke berkata pelaksanaan kod QR untuk perkhidmatan teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2020 ke arah komuniti tanpa tunai dan menyediakan pilihan lebih inovatif dan mudah untuk pengguna.

    “Penumpang teksi tidak perlu risau lagi untuk menyediakan wang tunai dan baki ketika membuat pembayaran. Pada masa yang sama, pengusaha teksi dapat mengembangkan lagi urus niaga mereka bagi memenuhi permintaan industri,” katanya.

     
     
  • Porsche Macan GTS facelift – kuasa 380 PS, 520 Nm

    Porsche Macan GTS facelift – kuasa 380 PS, 520 Nm

    Porsche Macan facelift diperkenalkan buat pertama kali pada pertengahan tahun 2018. Setakat ini ia ditawarkan dalam versi asas 2.0L, S 3.0L dan paling berkuasa Turbo yang menggunakan enjin 2.9L biturbo. Kini, versi GTS facelift pula diperkenalkan, dan ia terletak antara S dan Turbo.

    Jika sebelum ini Macan GTS menggunakan enjin V6 3.0 liter biturbo, model facelift ini mendapat enjin V6 2.9 liter biturbo yang mampu menghasilkan 380 PS dan 520 Nm tork. Walaupun enjin ini lebih kecil, ia memberikan kuasa tambahan 20 PS dan 20 Nm berbanding sebelum ini. Sebagai perbandingan, Macan S menghasilkan kuasa 354 PS dan 480 Nm tork manakala Macan Turbo menghasilkan 440 PS dan 550 Nm tork.

    Apabila dipadankan bersama transmisi klac berkembar PDK dan pakej Sport Chrono yang disediakan sebagai pilihan tambahan, Macan GTS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas daripada sebelum ini. Laju maksimum adalah 261 km/j.

    Porsche Macan GTS facelift – kuasa 380 PS, 520 Nm

    Sistem kawalan serapan Porsche Active Suspension Management (PASM) Gran Turismo Sport pada kenderaan ini telah ditala secara khas, bersama casis yang direndahkan sebanyak 15 mm untuk dinamik yang lebih baik. Suspensi udara adaptif disediakan sebagai pilihan tambahan dan boleh menurunkan kereta 10 mm lagi.

    Porsche memberitahu, apabila menggunakan rim 20 inci RS Spyder Design dan brek besar (360 mm di hadapan dan 330 mm di belakang), Macan GTS mempunyai “kelincahan dan maklum balas sebuah kereta sports sebenar.” Pakej brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) dengan saduran tungsten carbide serta Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) disediakan sebagai pilihan tambahan. SUV ini juga menggunakan sistem ekzos sports khas untuk model GTS.

    Pada bahagian penampilan, Macan GTS datang terus dengan pakej Sport Design yang memberikan kemasan pada bahagian depan, belakang dan side skirt. Biasa bagi model GTS, kemasan pada bampar diwarnakan hitam manakala lampu hadapan jenis LED (dengan Porsche Dynamic Light System PDLS) dan lampu belakang 3D juga bahagian dalamnya digelapkan. Angkup brek berwarna merah.

    Porsche Macan GTS facelift – kuasa 380 PS, 520 Nm

    Masuk ke dalam, Alcantara digunakan pada panel tengah tempat duduk sports, perehat tangan serta panel pintu, berserta selingan kemasan brushed aluminium. Stereng sports pelbagai fungsi dengan pedal penukar gear datang secara standard, bersama tempat duduk sport khas GTS. Menaikkan lagi ciri sporty, beberapa bahagian menggunakan warna merah.

    Barangan pilihan lain yang disediakan untuk Macan GTS facelift ini adalah termasuk sistem bunyi Bose, tempat meletak telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar, adaptive cruise control, Park Assist dengan kamera pandangan belakang dan keliling serta ioniser.

     
     
  • Volkswagen umum pemenang utama “Win the Icon” – Guru sekolah berjaya bawa pulang Beetle 1.2 TSI

    Volkswagen umum pemenang utama “Win the Icon” – Guru sekolah berjaya bawa pulang Beetle 1.2 TSI

    Selepas dua bulan “Win the Icon” berlangsung, Volkswagen Malaysia telah mengumumkan pemenang utama bagi peraduan terbabit. Muhamad Rizal Sadiman, 28 tahun, yang bertugas sebagai guru sekolah menengah di Perak, berjaya membawa pulang hadiah utama yang berupa seunit Volkswagen Beetle 1.2 TSI.

    Peraduan yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 30 November 2019 itu menerima 800 penyertaan berupa foto dan video dari rakyat Malaysia yang menyertai sesi pandu uji model Volkswagen kegemaran mereka dengan mendokumentasikan pengalaman masing-masing. Peserta dengan kapsyen yang paling kreatif dengan hashtag #BetterExperiencedThanExplained dipilih sebagai pemenang.

    Rizal yang berkesempatan memandu uji model Polo dan Tiguan berkata, “Volkswagen memberikan pengalaman yang sebenar yang sukar untuk dijelaskan. Keselamatan menjadi keutamaan buat saya memandangkan saya pernah terlibat dnegan kemalangan jalan raya dua tahun lepas akibat kegagalan brek kenderaan. Menerusi video yang dihantar, saya menunjukkan prestasi Tiguann ketika brek kecemasan dan saya benar-benar kagum dengan keupayaannya. Manakala Polo pula menjadi salah satu kenderaan kegemaran kami sekeluarga,” ujar Rizal yang tidak sabar untuk memandu Beetle baharunya.

    Walau bagaimana pun, selepas tiga generasi mewarnai jalan raya di seluruh dunia, akhirnya Volkswagen mengambil keputusan untuk menamatkan produksi Beetle bermula Julai lalu.

     
     
  • Lynk & Co 06 – gambar SUV segmen B tersebar awal

    Lynk & Co 06 – gambar SUV segmen B tersebar awal

    Lynk & Co, yang merupakan satu cabang jenama kenderaan mewah di bawah Geely hujung minggu lalu telah mencatat sejarah baru dalam dunia perlumbaan apabila menjadi juara WTCR 2019. Tapi di ibu pejabat mereka, kerja-kerja pembangunan kenderaan baru terus berjalan. Gambar yang didapati daripada Car News China ini adalah kenderaan yang akan menjadi model keenam jenama itu, dengan lencana bernombor 06.

    Angka yang digunakan itu tidak merujuk kepada saiz kenderaan, dan 06 sebenarnya adalah SUV paling kecil oleh syarikat itu. Ukurannya adalah 4,340 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,625 mm tinggi – dengan jarak roda 2,540 mm. Ia lebih pendek berbanding 01 (4,512 mm) dan 02 (4,448 mm), sekaligus meletakkannya dalam segmen B bersama pesaing seperti Honda HR-V dan Toyota C-HR.

    Sama seperti produk Lynk & Co yang lain, 06 besar kemungkinan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dikongsi dengan Geely dan Volvo. Ia juga mempunyai banyak persamaan rekaan termasuk lampu utama bertingkat – tetapi bahagian bawah 06 kelihatan lebih nipis disepadukan dengan gril.

    Lynk & Co 06 – gambar SUV segmen B tersebar awal

    Dilihat dari tepi, bayangan “bumbung terapung” cuba dijadikan lebih jelas dengan tiang tengah yang diwarnakan hitam, sedikit garis pada A-pillar dan corak seperti sirip jerung di D-pillar – digunakan pertama kali pada model coupe seperti 05. Pada pintu hadapan pula terdapat lekuk yang bersilang sementara lampu belakang mempunyai garis tajam di tepi.

    Seperti biasa, 06 akan ditawarkan dengan pelbagai pakej aksesori, termasuk bumbung warna kontras serta kemasan cermin dan gril oren. Model 06 ini dijangka menggunakan enjin sama seperti model Lynk & Co lain, terdiri daripada unit tiga silinder turbo 1.5 liter dengan 174 hp atau plug-in hybrid 190 hp. Ia mungkin masuk pasaran China awal tahun hadapan.

     
     
  • Proton serahkan SUV X70 kepada kerajaan Pakistan

    Proton serahkan SUV X70 kepada kerajaan Pakistan

    Pada Mac lalu, sewaktu melawat Pakistan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiahkan seunit Proton X70 kepada Perdana Menteri negara tersebut, Imran Khan. Walau bagaimana pun, baru semalam, Proton menyerahkan X70 terbabit secara rasmi kepada kerajaan Pakistan.

    Mewakili Malaysia pada majlis penyerahan ialah Ikram Mohammad Ibrahim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan serta Khalid Yusof, Pengarah Pelaburan dan Promosi Proton. Bagi pihak Kerajaan Pakistan untuk menerima kereta tersebut pula ialah Abdul Razak Dawood, Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan, Tekstil, Industri & Pengeluaran dan Pelaburan Pakistan. Turut hadir ialah Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, Pengerusi ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi Proton di Pakistan.

    Untuk pengetahuan, unit pertama yang diserahkan khas untuk Perdana Menteri Pakistan itu bukanlah satu-satunya model yang akan berada di sana. Ini kerana sebuah kilang pemasangan CKD baharu yang dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive sedang rancak dibina di Karachi. Aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2021 dengan pelbagai pelan dirancang secara teratur untuk pemasangan beberapa model di negara ini.

    Proton serahkan SUV X70 kepada kerajaan Pakistan

    “Proton melihat pelbagai potensi di Pakistan dan oleh kerana Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang mempunyai jenama automotif sendiri, kedua-dua negara dilihat sebagai rakan usaha sama semula jadi yang mempunyai pelbagai kelebihan bersama yang boleh dikongsi antara satu sama lain. Proton X70 telah memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan kami berharap agar perkara yang sama dapat dicapai di Pakistan,” kata Khalid Yusof.

    Melalui pembinaan kilang pemasangan di Pakistan, Proton berharap dapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara tersebut. Ini akan membantu Proton dalam mencapai matlamat jangka panjangnya untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.

    Kilang pemasangan CKD baharu di Karachi akan dibina dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya. Dianggarkan pula akan terdapat lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung setelah kilang tersebut siap dibina.

    Menurut Al-Haj Shah Jee Gul Afridi, “ALHAJ Automotive akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual kereta- kereta Proton secepat mungkin sementara kami membangunkan cawangan 3S/4S. Kami akan menghantar unit- unit CBU dari Malaysia sebagai permulaan operasi di Pakistan sebelum memasarkan unit CKD sebaik sahaja kilang pemasangan itu mula beroperasi.”

     
     
  • Kawasaki Indonesia siar satu persatu perincian ZX-25R – boleh pergi hingga lebih 17,000 rpm, akan dilancar?

    Kawasaki Indonesia siar satu persatu perincian ZX-25R – boleh pergi hingga lebih 17,000 rpm, akan dilancar?

    Selepas didedahkan semasa Tokyo Motor Show 2019, Kawasaki ZX-25R mungkin akan dilancarkan buat pertama kali untuk jualan di Indonesia kerana satu persatu perinciannya diterangkan dalam video Youtube Kawasaki Indonesia. Setakat ini sudah ada tujuh siri video untuk motosikal sports 250 cc empat silinder ini.

    Walaupun penghasilan motosikal 250 cc empat silinder bukan sesuatu yang baru bagi Kawasaki (pada tahun 90-an pernah digunakan pada model ZXR25 banyak diingati dengan hos udara atas tangki yang dipanggil ‘hos mesin basuh’), apabila masuk ke pasaran nanti ZX-25R akan mempunyai kelebihan tersendiri kerana pesaing lain kebanyakannya menggunakan enjin dua silinder.

    Setakat yang diketahui, enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC, tetapi dalam video terbaru Kawasaki memberitahu lagi ia boleh dikerah sehingga tahap rpm lebih daripada 17,000. Enjin ini juga dikatakan mempunyai kitaran yang pantas, maklum balas pendikit lebih tepat serta tork kuat pada tahap rpm rendah dan pertengahan.

    Bagi memastikan pemilik dapat menikmati motosikal ini dengan lebih puas, ia juga dilengkapi dengan sistem elektronik canggih yang biasanya cuma terdapat pada motosikal berkapasiti tinggi seperti quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    Kawasaki juga mendakwa ZX-25R menggunakan suspensi gred tinggi yang pertama kali dibawa ke dalam kelasnya dengan tetapan fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan dan monoshock Horizontal Back-Link di belakang. Ia dikatakan dapat memberi prestasi baik dalam litar dan masih sesuai digunakan untuk tunggangan harian.

    Dengan satu demi satu video disiarkan, penggemar motosikal di negara itu kini cuma menunggu waktu sebelum ia dilancarkan dan agak menarik untuk melihat bagaimana perletakan harga yang dilakukan oleh Kawasaki untuk ZX-25R jika dibandingkan dengan pesaing seperti Honda CBR250RR, Yamaha R25 dan Suzuki Gixxer SF 250. Kami juga sempat mendekati ZX-25R ini sewaktu di Tokyo Motor Show dan anda boleh melihat videonya di sini.







    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Fasiliti Pengecasan BMW i baharu dibuka di Gurney Paragon Mall – cecah 20 cawangan di seluruh Malaysia

    Fasiliti Pengecasan BMW i baharu dibuka di Gurney Paragon Mall – cecah 20 cawangan di seluruh Malaysia

    Fasiliti Pengecasan BMW i terbaharu kini telah pun berada di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang, yang dikendalikan oleh Tian Siang Premium Auto selaku wakil pengedar jenama BMW di Ipoh dan Butterworth.

    Menurut Tan Ka Kin, Pengarah Urusan Tian Siang Premium Auto, pembukaan fasiliti ini adalah sebagai usaha untuk memperkembangkan komitmen pihaknya ke atas mobiliti elektrik di Malaysia, sekaligus meluaskan rangkaian fasiliti pengecasan berkenaan yang kian berkembang di seluruh negara.

    “Fasiliti pengecasan baharu di Gurney Paragon Mall merupakan lokasi pertama kami di Pulau Pinang serta kedua di negeri ini yang berkelengkapan penuh dan bersedia untuk terus memperkasakan mobiliti masa hadapan di Malaysia, ia melengkapi dua Fasiliti Pengecasan BMW i yang diperkenalkan di Iconic Hotel di Butterworth pada Oktober tahun lalu. Sementara kami terus menyebar luaskan aksesibiliti ke atas fasiliti-fasiliti pengecasan, saya yakin bahawa penggunaan mobiliti elektro di rantau barat laut Malaysia akan terus meningkat pada tahun 2020,” ujarnya lagi.

    Fasiliti Pengecasan BMW i baharu dibuka di Gurney Paragon Mall – cecah 20 cawangan di seluruh Malaysia

    Dengan penambahan Fasiliti Pengecasan BMW i terbaharu di Gurney Paragon Mall ini telah menambah bilangan keseluruhan fasiliti dengan jumlah 20 cawangan di seluruh Malaysia oleh BMW Group Malaysia serta rakan-rakan pengedarnya. Ini termasuklah di Bangsar Shopping Centre di Kuala Lumpur, The Banjaran Hotsprings Retreat dan WEIL Hotel di Ipoh, Holiday Inn Melaka dan The Equatorial Melaka, serta CityONE Megamall Kuching.

    Portfolio Mobiliti Bervisi milik BMW Group Malaysia dengan kenderaan BMW iPerformance juga didukung oleh platform ChargEV melalui usahasamanya dengan Malaysian Green Technology Corporation. Perkhidmatan BMW ChargeNow yang ditawarkan menerusi program BMW 360° ELECTRIC turut memberikan akses langsung ke atas fasiliti-fasiliti pengecasan rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, ia membolehkan pengguna menikmati bantuan dan akses 24/7 bagi kesemua lokasi pengecasan yang terletak dalam rangkaian ChargEV yang kian berkembang, lebih daripada 270 fasiliti pengecasan kini ditawarkan di seluruh negara.

     
     
  • Honda CBR1000RR-R 2020 buat kemunculan di M’sia

    Honda CBR1000RR-R 2020 buat kemunculan di M’sia

    Semasa acara Races of Malaysia yang berlangsung di Litar Sepang hujung minggu lalu, Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd telah mempamerkan model terbaru CBR1000RR-R 2020 yang sebelum ini membuat kemunculan pertama di dunia waktu pameran EICMA 2019 November lalu.

    Model yang dipamerkan di Malaysia ini adalah versi standard yang menggunakan suspensi Showa boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, bersama angkup Nissin di hadapan, sementara satu lagi versi lebih tinggi yang dikenali sebagai CBR1000RR-R SP (tidak dipamerkan bersama di Malaysia) menggunakan suspensi Ohlins dan brek Brembo Stylema.

    Enjin empat silinder sebaris 999.9 cc pada CBR100RR-R ini adalah serba baru dan mampu menghasilkan kuasa 215 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 12,500 rpm. Kalau dibandingkan dengan CBR1000RR sebelum ini, antara yang diubah adalah stroke lebih pendek, semi-cam gear train, finger-follower rocker arm, titanium con-rod, teknologi pengurangan geseran daripada RC213V-S, piston jet dengan sistem check ball serta laluan air bypass untuk water jacket silinder.

    Kerangka aluminium padanya mungkin nampak sama tetapi keseimbangan berat dan kekuatannya telah dipertingkat manakala lengan ayun pula sekarang lebih panjang 48 mm. Berat bertambah 6 kg menjadi 201 kg, dan kemungkinan besar ini kerana Honda terpaksa menggunakan sistem ekzos baru untuk menjadikan motosikal ini patuh tahap emisi Euro 5. Bahagian hujung ekzos menggunakan unit yang dibangunkan bersama dengan Akrapovic.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan sistem throttle by wire, tiga mod tunggangan dengan pilihan penukaran tahap kuasa enjin, engine braking serta Wheelie Control, Honda Selectable Torque Control (HSTC) sembilan tahap, Slip Rate Control, pengesan IMU dan launch control yang dipanggil sebagai Start Mode.

    Setakat ini BSH masih belum memberi kata putus bila CBR1000RR-R ini akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia dan harganya, tetapi ada sumber yang memberitahu ia mungkin akan berlaku lebih daripada yang dijangka.

    GALERI: Honda CBR1000RR-R

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026