Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan bagi Nov 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan  bagi Nov 2019 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan mengikut jenama bagi bulan November 2019, yang menyaksikan sejumlah 52,584 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan. Di mana jumlah tersebut adalah 1,286 unit lebih rendah berbanding 53,870 unit yang terjual pada Oktober.

    Perodua terus menduduki tangga teratas biar pun jualannya menurun sebanyak 10.5% iaitu hanya 20,422 unit berbanding jualan sebanyak 22,808 unit pada Oktober. Perodua telah menjual 221,984 unit dalam tempoh 11 bulan tahun ini, dan nampak gayanya ia makin menghampir sasaran 235,000 unit yang pernah syarikat ini jangkakan untuk sepanjang tahun 2019.

    Sementara itu, Proton kian melangkah lebih kencang dengan berjaya mencatatkan sejumlah 9,643 unit jualan pada November dengan peningkatan sebanyak 1.5% berbanding 9,503 unit pada bulan sebelumnya. Malah jumlah jualan untuk 11 bulan 2019 adalah sebanyak 89,066 unit, walau bagaimana pun, jenama ini perlu lebih gigih ‘mengejar’ jualan pada bulan terakhir 2019 jika ingin mencapai angka sasarannya pada tahun ini iaitu sebanyak 100,000 unit.

    Turut mencatatkan peningkatan jualan sepanjang November ialah Toyota dengan melonjak 7.3% menjadi 6,956 unit berbanding 6,481 unit pada Oktober. Manakala Honda juga meningkat jualannya sebanyak 5.2% menjadi 6,694 unit berbanding 6,366 unit pada bulan sebelumnya. Walau bagaimana pun, jumlah jualan Honda untuk 11 bulan tahun ini mengatasi Toyata iaitu mencecah 78,183 unit berbanding 61,045 unit yang dicapai oleh pesaing terdekatnya itu.

    Data jualan kenderaan  bagi Nov 2019 ikut jenama

    Nissan juga meningkat sebanyak 1.5% menjadi 1,730 unit untuk November berbanding 1,709 unit pada Oktober. Sementara, Mazda pula menyaksikan penyusutan sebanyak 19.9% dengan hanya 803 unit terjual berbanding 1,001 unit pada Oktober. Lain-lain jenama yang menyaksikan penyusutan jualan untuk November termasuklah Mitsubishi (-14.1%) dari 725 unit pada Oktober menjadi 623 unit, Hyundai (-29.5%) dari 193 unit pada Oktober menjadi 136 unit dan Renault (-37.3%) dari 150 unit pada Oktober menjadi 94 unit sahaja.

    Untuk segmen premium pula, boleh dikatakan kesemua jenama berjaya menunjukkan peningkatan jualan sepanjang November 2019. Menduduki tangga teratas dengan peningkatan sebanyak 23.2%, Mercedes-Benz mencatatkan jualan sebanyak 875 unit berbanding 710 unit pada bulan sebelumnya. Manakala BMW pula naik sebanyak 9.2% dari 705 unit menjadi 770 unit. Begitu juga dengan jualan Volvo yang melonjak sebanyak 43.8% daripada 130 unit menjadi 187 unit, Lexus pula meningkat sebanyak 6.5% dari 123 unit ke 131 unit dan MINI juga naik sebanyak 17.3% dari 81 unit ke 95 unit.

    Ini menunjukkan Mercedes-Benz masih mendahului BMW dengan sejumlah 9,349 unit jualan bagi tempoh 11 bulan untuk 2019 berbanding 8,835 unit yang dicatatkan oleh pencabar terdekatnya itu. Walau bagaimana pun, jika dicampur dengan jualan MINI yang sebumbung dengan BMW, jumlah itu berjaya mengatasi angka yang diperoleh Mercedes-Benz.

    Klik jadual di bawah untuk versi yang lebih jelas.

    Data jualan kenderaan  bagi Nov 2019 ikut jenama

     
     
  • Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

    Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

    Tata, jenama automotif dari India telah mendedahkan model baharunya di negara tersebut iaitu sebuah SUV segmen-B yang dijana sepenuhnya menggunakan bateri elektrik, digelar sebagai Nexon EV. Model yang dijana oleh teknologi Ziptron terbaharu mereka itu dijual dalam tiga varian iaitu XM, XZ dan Lux, dijual pada harga bermula 15 Lakhs (1.5 juta rupee atau RM87k) hingga 17 Lakhs (1.7 juta rupee atau RM99k).

    Nexon EV dihasilkan dengan dimensi 3,994 mm panjang, 1,811 mm lebar, 1,607 mm tinggi dengan jarak kelegaan tanah 205 mm, serta jarak roda 2,498 mm, bersama berat keseluruhan 1,400 kg. Bagi memudahkan untuk dibayangkan, SUV elektrik Tata ini adalah 340 mm lebih pendek, 21 mm lebih lebar dan 110 kg lebih berat dari Honda HR-V RS.

    Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 129 PS/245 Nm yang menerima kuasa dari bateri lithium-ion 320-volt dan 30.2 kWh yang didakwa Tata kalis air dan kalis debu dengan standard IP67. Tidak seperti kenderaan elektrik lain yang tidak mempunyai transmisi, Nexon EV diberikan kotak gear satu-kelajuan dengan nisbah akhir 9.1 yang akan mengalirkan kuasa putaran dari motor ke roda hadapan.

    Ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat, manakala jarak geraknya pula adalah 300 km dengan satu cas bateri penuh. Dengan teknologi Ziptron, membolehkan fungsi cas cepat turut ditawarkan.

    Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

    Menurut Tata, ia hanya memerlukan masa 60 minit untuk menegcas bateri dari kosong sepenuhnya sehingga 80% menerusi sambungan IEC 62196 Type 2 dengan teknologi berkenaan. Ia turut boleh dicas menggunakan soket domestik 15A, tetapi perlu mengambil masa sehingga lapan jam bagi mengecas dari kadar 20% hingga 100% (sekitar 10% sejam). Pengecas AC onboard 3.3 kW pula dibekalkan secara standard.

    Untuk pemanduan, Nexon EV turut dibekalkan dengan mod pemanduan Drive dan juga Sport, disamping bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Mendaki dan Menurun Bukit, serta fungsi regenerative braking, Smart Regen dan Creep iaitu sistem yang membolehkan pemandu lebih relaks ketika ‘merangkak’ dalam kesesakan lalu lintas.

    Bagi anda yang belum mengetahui, Tata kini adalah pemilik Jaguar Land Rover, dan jangan pelik mengapa rekaan SUV ini mempunyai sedikit ‘perisa British’. Secara keseluruhan Nexon menerapkan rekaan signatur terkini Tata yang digelar Impact Design 2.0.

    Pada bahagian hadapan, ia menerima gril hadapan yang seolah-olah bersepadu dengan kedua-dua lampu depan projektor, yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED di dalamnya. Manakala pada gril bampar pula, ia diberikan elemen ‘Tri-Arrows’, yang juga kini adalah salah satu rekaan signatur Tata terkini.

    Tata Nexon EV 2020 – SUV elektrik penuh bermula RM87k di India – 129 PS/245 Nm, jarak gerak 300 km

    Nilai agresif muka Nexon ini turut ditambah menerusi rekaan perumah lampu kabus berbentuk-C dan juga kemasan skid plate pada bahagian bawah. Nexon diberikan rim aloi dua-tona (hanya rim besi untuk model asas) bersaiz 16-inci. Dan bagi membezakannya dari versi enjin pembakaran dalaman, ia menerima jalur biru sepanjang cermin tingkat sisi.

    Jalur-jalur biru berkenaan turut diberikan pada kemasan dalaman seperti pada kluster instrumen, liang pendingin hawa dan juga sekeliling ruang storan konsol terowong. Skrin berdiri sendiri diletakkan pada tengah papan pemuka, berfungsi untuk sistem infotaimen yang turut menyokong fungsi Android Auto, Apple CarPlay serta navigasi GPS.

    Selain itu, pemain utama berkenaan turut mempunyai fungsi arahan menggunakan suara, pembaca SMS, dan ia dihubungkan kepada sistem bunyi Harman dengan empat pembesar suara serta empat tweeter. Ciri lain pada bahagian dalam Nexon EV ini termasuk soket pengecas cepat, butang penghidup, corong pendingin hawa belakang, tailgate berkuasa, bumbung suria (model tertinggi sahaja) dan glove box dengan pendingin.

    Manakala untuk keselamatan pula, ia hadir dengan sistem brek ABS dan EBD, dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, lampu membelok dan kawalan kestabilan membelok. Roda hadapan diberikan sistem brek cakera, manakala di belakang masih menggunakan sistem jenis dram.

    Nexon EV ini juga dilengkapi sistem terhubung, dengan fungsi 35 aplikasi mudah alih, seperti arahan jarak jauh, pengesan kenderaan, analitik pemanduan, dan diagnostik jarak jauh. Dengan aplikasi ZConnect, pemandu boleh mencari pusat mengecas paling hampir, menjejak lokasi kenderaan dan menetapkan had laju.

    Menurut Tata Motors, pengguna tidak perlu gusar terhadap SUV elektrik ini kerana Nexon EV telah diuji sejauh satu juta kilometer dan dipandu merentas permukaan dan cuaca paling lasak di India, termasuk kawasan tanah tinggi, jalan tidak diturap, dan juga jalan-jalan dengan sudut yang curam. Tempahannya sudah dibuka, tetapi pembeli pertama hanya akan menerima kereta mereka pada Januari 2020 nanti.

    Tidak cukup dengan dakwaan, Tata turut menawarkan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km untuk bateri dan motor elektrik.

     
     
  • Shell Malaysia mula jual petrol RON 95 Euro 4M

    Shell Malaysia mula jual petrol RON 95 Euro 4M

    Walaupun kerajaan Malaysia mengumumkan penjualan petrol RON 95 dengan piawaian Euro 4M untuk semua stesen minyak seluruh negara bermula 1 Januari 2020, Shell Malaysia nampaknya mengambil inisiatif dengan memperkenalkan petrol lebih bersih tersebut lebih awal, iaitu bermula 19 Disember lalu pada stesen-stesen terpilih.

    Menurut Shell, petrol FuelSave 95 Euro 4M mempunyai kandungan sulfur yang rendah dari 500 ppm mengikut standard sebelum ini, kepada hanya 50 ppm. Dengan kandungan sulfur yang rendah, ia akan menghasilkan pembakaran dalam enjin yang lebih bersih, sekaligus mengurangkan kadar pencemaran udara.

    “Shell FuelSave 95 kami dihasilkan untuk pergi lebih jauh, dan ia kini lebih baik. Ia sekarang memenuhi piawaian penuh Euro 4M dan dengan Teknologi Dynaflex kami yang membantu mengurangkan geseran dalam enjin. Enjin anda sekarang akan berfungsi dengna potensi penuh, membolehkan anda pergi lebih jauh,” kata Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd and Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain.

    Shell Malaysia mula jual petrol RON 95 Euro 4M.

    “Dengan kandungan sulfur dikurang sehingga hampir sepuluh kali ganda, FuelSave 95 E4M baharu mempunyai faedah kualiti penjagaan alam sekitar dalam masa yang sama ia mengurangkan penghasilan asap dan memberikan penjagaan enjin yang lebih bersih. Baik untuk para pelanggan kami, baik untuk Malaysia,” tambahnya lagi.

    Shell juga menyatakan bahawa, selain dari stesen-stesen terpilih berkenaan, semua stesen mereka akan menjual petrol Shell FuelSave 95 E4M ini bermula 1 Januari nanti.

     
     
  • Perodua dapat kontrak pasang sistem bantuan pemandu termaju untuk kereta nasional ketiga?

    Perodua dapat kontrak pasang sistem bantuan pemandu termaju untuk kereta nasional ketiga?

    Baru-baru ini, Affin Hwang Investment Bank telah mengeluarkan nota penyelidikan mengenai projek kereta nasional ketiga yang bakal diterajui dan dikeluarkan oleh DreamEDGE. Malah menurut nota penyelidikan tersebut, model kereta berkenaan juga dijangka akan menampilkan teknologi bagi sistem bantuan pemandu termaju yang akan dibina oleh pengeluar kontrak, dengan khabar angin mengatakan ia bakal diberikan kepada Perodua, yang juga merupakan rakan kongsi Daihatsu Motor Company (DMC). Walau bagaimana pun, buat setakat ini, perkara ini tiada kesahihan dari pihak DreamEDGE mahu pun Perodua sendiri.

    Seperti yang sedia maklum, DreamEDGE menerima sokongan daripada DMC sebagai rakan teknologi untuk menjayakan projek kereta nasional ini. Jadi perkongsian teknologi sebegini memang tidak mustahil boleh berlaku. Memandangkan sistem teknologi yang digunakan oleh Perodua juga adalah dari Daihatsu sendiri.

    Malah sebelum ini, Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad pernah berkata, “Kami tiada masalah jika Daihatsu mahu berkongsi teknologi dengan jenama kereta nasional baharu ini, sama ada ia teknologi baharu atau pun yang sedia ada. Kami yakin Daihatsu pastinya boleh mengatasi dengan baik dan bagi saya, ia bukanlah suatu yang mengejutkan (mengenai perkongsian teknologi).”

    Affin Hwang turut berkata, DreamEDGE turut menegaskan kereta keluarannya tidak akan menggunakan logo Daihatsu, sebaliknya akan menampilkan logo dan nama baharu. Dan sebelum itu, Daihatsu pernah mengesahkan bahawa model yang akan dihasilkan adalah kereta sedan segmen-B hibrid.

    Perodua dapat kontrak pasang sistem bantuan pemandu termaju untuk kereta nasional ketiga?

    “Kami juga difahamkan bahawa konsep reka bentuk dan pembangunan kereta akan dilaksanakan oleh DreamEDGE, manakala Daihatsu akan membantu dari segi pembangunan enjin dan platform kereta. Dan DreamEDGE turut mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit sebulan dalam tempoh setahun pertama pengeluarannya,” kata Affin Hwang Investment Bank seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Affin Hwang berkata, penganalisis menjangkakan kos pelaburan awal bagi membangun dan menghasilkan kereta nasional baharu itu memerlukan sekurang-kurangnya RM600 juta, tetapi penubuhan rangkaian pengedar dan kos penyediaan berkaitan pengeluaran mungkin boleh mencecah sehingga RM1 bilion.

    Tambah Affin Hwang lagi, DreamEDGE mendedahkan bahawa prototaip kereta nasional ketiga bakal diperkenalkan menjelang pertengahan 2020, dengan pengeluaran penuh dijangka berlaku pada separuh pertama tahun 2022.

    Ini bermakna satu tahun lagi telah ditambah pada tempoh masa projek yang mana unjuran awal yang dinyatakan pada pengumuman projek itu pada bulan Ogos lalu, mengatakan bahawa prototaip model pertama kereta nasional baharu itu akan dipertontonkan pada bulan Mac 2020, dengan produk akhir ditetapkan untuk membuat penampilan ke pasaran pada bulan Mac 2021.

    Projek kereta nasional ketiga itu juga disasarkan dapat menembusi pasaran ASEAN dan menempatkan sebuah syarikat automotif Malaysia di persada dunia.

     
     
  • GALERI: KL Bike Week 2019 dianjur dengan kelainan

    GALERI: KL Bike Week 2019 dianjur dengan kelainan

    Jumaat dan Sabtu lalu Kuala Lumpur Bike Week berlangsung di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Sg Besi, Kuala Lumpur. Ini adalah siri acara kesepuluh yang dianjurkan oleh Red Garage Enterprise (sejak tahun 2008) dan menampilkan sedikit kelainan berbanding sebelum ini.

    Pertamanya, ia diadakan di kawasan berbumbung dan seterusnya tidak cuma melibatkan aktiviti yang berkaitan motosikal, malah juga ditambah dengan beberapa aktivi lain dengan kerjasama Retro Havoc (pameran kereta), pelajar UiTM (pameran seni), Pintu Merah (jualan barangan antik dan unik), serta Retro Mania (pameran motosikal klasik).

    Kami sempat singgah ke acara ini pada petang Sabtu dan anda boleh saksikan sendiri galeri gambarnya di bawah. Tapak acara dijadikan lebih santai dengan selingan persembahan muzik atas pentas sepanjang acara berlangsung, serta ruang makan yang terletak di sebelah.

    Acara tiba ke puncak pada sebelah malam hari Sabtu di mana cabutan bertuah untuk hadiah utama sebuah Harley-Davidson Sportster ubah suai dilakukan sendiri oleh pengarah KLBW, Muhd Idi Iskandar Abu Zahar. Pemenangnya adalah Milka Taniea Hidayat dari Iron Head Motor Group. Turut diumumkan adalah pemenang untuk pertandingan motosikal pelbagai kategori.

    Selain daripada aktiviti di tapak acara, penganjur turut mengadakan satu konvoi sekitar Kuala Lumpur dengan tujuan mempromosi anti-rasisme dan disertai pelbagai jenis motosikal.

     
     
  • Sistem RFID akan dilaksanakan di semua plaza, lebuhraya sistem tol terbuka mulai 1 Jan 2020 – LLM

    Sistem RFID akan dilaksanakan di semua plaza, lebuhraya sistem tol terbuka mulai 1 Jan 2020 – LLM

    Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan pelaksanaan kutip tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol, lebuhraya sistem tol terbuka bagi kenderaan Kelas 1 bakal dimulakan pada 1 Januari 2020. Ini adalah sebagai salah satu pilihan mod pembayaran secara elektronik seperti yang diumumkan pada Julai lalu.

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata, sistem RFID merupakan mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan di lebuh raya, di samping mod pembayaran sedia ada melalui kad Touch ‘n Go dan SmartTAG.

    “Pembayaran tol secara RFID ini dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak lagi perlu berhenti untuk menyentuh kad pada mesin pembaca. Selain itu, tiada kos penyelenggaraan yang akan membebankan pengguna kerana pelekad RFID yang tidak memerlukan bateri.

    “Manakala tambah nilai pula boleh dibuat secara atas talian (online) serta pelekat RFID yang ditampal pada kenderaan dan tidak mudah hilang. Malahan ia juga mengurangkan isu operasi sedia ada termasuk lewat meletakkan atau memasang OBU SmartTAG secara terbalik dan bateri lemah,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan baru-baru ini.

    Pelaksanaan ujian perintis RFID telah pun diadakan di plaza-plaza tol terpilih mulai 2018 dan telah mendapat respon yang positif dari kalangan pengguna lebuhraya. Sehingga kini, jumlah pengguna RFID telah mencecah lebih 830,000 orang.

    Kementerian berkenaan juga turut menegaskan, pengguna RFID perlukan sentiasa memastikan e-wallet mempunyai baki yang mencukupi untuk pembayaran tol sebelum memasuki lebuhraya bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa.

    “Pelaksanaan kutipan tol secara RFID ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanp Henti (Multi Lane Free Flow atau MLFF) di lebuhraya yang merupakan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa hadapan.

    Sistem RFID akan dilaksanakan di semua plaza, lebuhraya sistem tol terbuka mulai 1 Jan 2020 – LLM

    Berikut merupakan senarai lebuhraya yang telah menawarkan sistem kutipan tol secara RFID:

  • Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
    -Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI)
    -Plaza Tol Kempas
    -Plaza Tol Jitra
  • Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)
  • Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
  • Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA)
  • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK)
  • Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK)
  • Lebuhraya Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
  • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
  • Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)
  • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE)
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
  • Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
  • Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR)
  • Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU)
  • Lebuhraya Terowong SMART
  • Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)
  • Jambatan Pulau Pinang (JPP)
  • Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS)
  • Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
    -Plaza Tol Ampangan
  •  
     
  • MARTY – Delorean boleh drift tanpa pemandu!

    Selain dari membangunkan kereta penumpang dan juga pengangkutan kargo tanpa pemandu, industri automotif global juga dilihat sedang menghasilkan kereta-kereta lumba juga tanpa pemandu seperti projek Roborace. Tapi, projek dari Universiti Stanford, California ini agak berlainan dari yang lain – mereka menghasilkan kereta drift tanpa pemandu pertama di dunia!

    Tambah menarik, projek yang dihasilkan oleh sekumpulan jurutera lulusan Makmal Rekaan Dinamik Universiti Stanford diketuai oleh Jonathan Goh berkenaan diasaskan dari kereta sport Delorean DMC-12 yang popular sebagai mesin merentas masa dalam filem Back to the Future (BTTF).

    Kereta ini juga tidak lagi dijana oleh enjin PRV V6 2.85L yang hanya berkuasa 130 hp/207 Nm, sebaliknya setiap roda belakangnya digerakkan dengan motor elektrik dari Renovo, masing-masing dengan bekalan tork 7,000 Nm! “Apa yang kami lihat, jika anda mahu hasilkan kereta drift tanpa pemandu elektrik, kenapa tak nak buat dengan bergaya?” kata Goh seakan mengulangi kata-kata Dr. Emmet Brown dalam BTTF.

    MARTY – Delorean boleh drift tanpa pemandu!

    Delorean elektrik ini diberi nama MARTY – bukan sempena watak Marty McFly dalam BTTF, sebaliknya bermaksud Multiple Actuator Research Test bed for Yaw control. Pasukan jurutera tersebut menghasilkan kereta ini bukan sekadar untuk melihat sebuah kereta yang mampu menghasilkan aksi drift tanpa pemandu, sebaliknya mensasarkan untuk menghasilkan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang lebih bagus, dan membolehkan kereta tanpa pemandu menstabilkan semula kereta jika terlibat dalam kemalangan.

    “Kami cuba untuk hasilkan kereta tanpa pemandu yang mampu menangani pergerakan kecemasan atau permukaan yang licin seperti ais atau salji. Kami mahu untuk membangunkan kereta pemanduan sendiri yang boleh menggunakan semua daya geseran antara tayar dan jalan bagi membolehkan ia keluar dari masalah. Kami mahu kereta tersebut boleh mengelak apa-apa kemalangan yang boleh di elak dengan prinsip fizik,” kata seorang lagi jurutera mekanikal projek ini, Chris Gerdes.

    Seperti kereta drift sebenar, Delorean ini turut menerima suspensi yang diubahsuai bagi mendapatkan sudut dan jarak drift yang lebih baik. Kabin MARTY turut dilengkapi dengan tempat duduk bucket dan juga roll cage. Manakala kawalan mekanikal pada stereng, sistem brek dan juga pedal pendikit diberikan sistem elektronik yang dikawal oleh komputer.

    Berbanding kereta pemanduan sendiri lain yang menerima pelbagai penderia seperti kamera dan radar yang berfungsi sebagai “mata dan telinga”, Marty pula bergerak sendiri berdasarkan sistem GPS dan juga algoritma litar yang telah diprogramkan dalam komputer riba.

    Video yang boleh anda tonton di atas adalah video ujian yang dihasilkan oleh kumpulan jurutera ini – bertempat di litar Thunderhill Raceway, California Utara, satu litar gymkhana menggunakan kon sepanjang satu kilometer telah dibuat bagi mendemonstarsikan kebolehan MARTY.

    Seperti yang anda boleh tonton, MARTY mampu mengharungi litar tersebut dengan aksi drift tanpa henti, menampilkan apex, clipping point dan peralihan arah berlawanan yang sempurna, dengan sudut drift besar serta kelajuan yang cukup menghasilkan asap tayar yang cukup banyak seperti dipandu seorang drifter profesional.

    Aksi MARTY berkenaan turut mengejutkan berberapa drifter prosfesional dari kejohanan Formula D USA seperti Ken Gushi dan Fredric Aasbo, serta pemilik pasukan Papadakis Racing, Stephan Papadakis.

     
     
  • PLUS saran rujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan sempena Krismas, Tahun Baru untuk elak kesesakan

    PLUS saran rujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan sempena Krismas, Tahun Baru untuk elak kesesakan

    Seperti kebiasaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna lebuh raya setiap kali cuti panjang terutamanya musim perayaan. Ia adalah sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kesesakan dan menyuraikan trafik di lebuh raya, kawasan rehat dan rawat dan plaza tol pada musim perayaan ini.

    Untuk cuti Krismas dan Tahun Baharu 2020 pada Rabu minggu ini dan juga minggu hadapan, PLUS turut menyarankan pengguna yang mahu melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada 21 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020 agar merujuk TTA yang dikeluarkan.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, pengguna yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.”

    PLUS saran rujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan sempena Krismas, Tahun Baru untuk elak kesesakan

    Tambahnya lagi, Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, bagi pengguna lebuh raya daripada lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

    “Kami amat menggalakkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar,” ujar beliau.

    Sementara itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal, selain memastikan kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi.

    PLUS juga menasihatkan pengguna lebuhrayanya supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik, papan tanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000. Mereka juga disarankan supaya merujuk aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing.

     
     
  • VIDEO: Proton Iriz R5 diuji Marcus Grönholm sebagai persiapan ke WRC, berlangsung di Ireland Utara

    Seperti yang telah kami laporkan pada pertengahan minggu ini, juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm sekali lagi menguji jentera rali Proton Iriz R5. Menurut apa yang diberitahu sendiri oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang membangunkan kereta ini, ujian yang dijalankan tersebut adalah antara persediaan mereka untuk bertanding di pentas WRC.

    Dan kini, MEM telah menyiarkan video ujian yang dijalankan selama dua hari itu, yang dibuat di lokasi rahsia sekitar Ireland Utara. Ujian tersebut dibuat bukan sahaja di atas permukaan batu kerikil, malah turut melibatkan laluan di atas permukaan aspal (tar).

    Dalam video berkenaan, ujian ini bukan hanya melibatkan Marcus Grönholm, malah dua lagi pemandu yang berlumba menggunakan Iriz R5 berkenaan iaitu Oliver Mellors dan juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, Eugene Donnelly.

    Kami sempat untuk bercakap dengan Grönholm menerusi telefon sejurus sahaja ujian tersebut tamat tempoh hari. Menurutnya, dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

    Ketika pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC, jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

    Jika anda perasan, unit ujian yang digunakan pada hari ini juga bukan kereta yang sama dipandu oleh Oliver Mellors dalam perlumbaan-perlumbaan baru-baru ini – ia diberikan warna, bersama ‘kepala harimau’ Proton di pintu belakang, tanpa nombor pendaftaran, berbanding jentera Olie dengan livery minuman keras Jaipur berwarna oren, serta nombor pendaftaran YN15 GFG.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

    Setelah menjadi juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage selama tiga-tahun berturut-turut, dan pelbagai rali peringkat nasional seperti Woodpecker Stage Rally 2019, Trackrod Yorkshire Rally 2019, Malton Forest Rally 2019, Grizedale Rally 2019 serta pelbgai rali lagi, bila kita boleh tengok Iriz R5 ini bertarung di pentas WRC? Sabar dulu, terus ikuti perkembangan berita ini sedikit masa lagi kerana kami sedang mengatur satu lagi temu bual dengan Chris berkenaan perkara ini.

     
     
  • Toyota GR Yaris – 1.6L turbo 3-silinder, lebih 275 hp, pacuan semua roda, diselia oleh Tommi Makinen!

    Toyota GR Yaris – 1.6L turbo 3-silinder, lebih 275 hp, pacuan semua roda, diselia oleh Tommi Makinen!

    Minggu lalu Toyota telah mengesahkan bahawa model berprestasi tinggi baharu mereka yang diinspirasikan dari jentera WRC, GR Yaris (atau akan dikenali sebagai Yaris GR-4 pada pasaran tertentu) bakal didedahkan di Tokyo Auto Salon 2020 pada Januari ini. Tetapi sebelum diperkenalkan sepenuhnya, kereta berkenaan telah diprebiu dahulu kepada media Eropah, dan berberapa perincian awalannya telah didedahkan oleh Toyota.

    Berbanding Yaris GRMN sebelum ini yang menggunakan enjin 1.8 liter Supercharger, GR Yaris ini menerima enjin lebih kecil iaitu 1.6 liter tiga silinder dengan pengecas turbo. Tetapi, ia telah ditala bagi menghasilkan kuasa melebihi 275 hp, yang menurut Toyota ia adalah enjin produksi 1.6 liter paling berkuasa pernah dihasilkan!

    Dengan kuasa sebesar itu, GR Yaris ini bukan sahaja sekitar 70 hp lebih berkuasa dari Ford Fiesta ST, malah ia sebenarnya sudah berada dalam liga kuasa hot-hatch segmen-C seperti Honda Civic Type R, Hyundai i30 N dan Renault Megane RS, walaupun hanya dengan badan segmen-B.

    Toyota GR Yaris – 1.6L turbo 3-silinder, lebih 275 hp, pacuan semua roda, diselia oleh Tommi Makinen!

    Dan seperti dikhabarkan sebelum ini, ia bukan sahaja hanya dibekalkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, malah turut menerima sistem pacuan semua roda, persis jentera-jentera rali jalan raya homologasi WRC Group A era 90’an dahulu seperti Lancer Evo, Impreza WRX dan ‘datuk’nya sendiri iaitu Toyota Celica GT-4.

    GR Yaris ini dibina berasaskan model Yaris generasi baharu, menggunakan platform TNGA-B baharu Toyota. Namun ia bukan sekadar menukar enjin suspensi, tetapi ubahsuai yang dilakukan adalah jauh lebih ekstensif.

    Berbeza dengan model standard yang menggunakan badan hatchback lima-pintu, model berprestasi ini menerima kerangka badan tiga-pintu yang bukan sahaja lebih keras, malah membolehkan bahagian belakangnya direka lebih landai (95 mm lebih rendah dari Yaris biasa) untuk aspek aerodinamik yang lebih baik.

    Toyota GR Yaris – 1.6L turbo 3-silinder, lebih 275 hp, pacuan semua roda, diselia oleh Tommi Makinen!

    Menurut Toyota lagi, walaupun kerangka kosong GR Yaris ini lebih teguh, ia sebenarnya 38 kg lebih ringan dari Yaris standard kerana pelbagai panel logam telah diganti dengan panel yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga aluminium.

    Lebar dan jarak roda GR Yaris ini dikatakan masih lagi sama dengan Yaris biasa, tetapi dengan pemadanan sistem pacuan semua roda dan rekaan belakang yang direka lebih aerodinamik, ukuran trek pada bahagian belakang adalah jauh lebih lebar dari asal.

    Suspensi torsion beam pada model biasa juga telah ditukar dengan jenis double wishbone yang lebih jitu serta membolehkan gandar belakang sistem AWD disumbatkan pada bahagian berkenaan. Enjin kereta ini juga dialih 21 mm lebih kebelakang dari model biasa bagi mendapatkan nisbah berat yang jauh lebih baik dengan menumpukan beban pada bahagian tengah.

    Menurut ketua jurutera GR, Naohiko Saito, walaupun kereta ini dibangunkan di Jepun, namun ia ujiannya dan talaannya di buat di litar Nürburgring, Jerman dan ia dihasilkan berpandukan input dari prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing yang berpangkalan di Finland, iaitu juara WRC empat-kali, Tommi Makinen!

    Saito menyatakan, dari keseluruhan permintaan yang dimahukan Makinnen, 90 peratus telah diterapkan pada GR Yaris versi produksi ini. Antara kriteria dan input berkenaan adalah sistem pacuan semua rodanya yang hadir dalam tiga mod – Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Selain itu, Tommi Makinen dan pasukannya turut mahukan badan yang lebih ringan serta bentuk yang lebih aerodinamik. Malah bahagian bawah badan turut dilakukan pelbagai ubahsuai bagi memenuhi kriteria-kriteria berkenaan. Ini bukan sahaja kerana mahu menjadikan GR Yaris tersebut sebagai jentera rali jalan raya yang hebat, malah ia sebenarnya bagi menyediakan asas yang cukup kuat bagi pasukan rali GR untuk membina jentera WRC 2021 yang jauh lebih kompetitif.

    Model produksi GR Yaris ini akan ditawarkan dengan opsyen Track Pack yang terdiri dari pelbagai lagi ‘senjata’, antaranya LSD jenis Torsen bagi membolehkan agihan tork roda kiri dan kanan dibuat lebih tepat, dan juga tayar serta talaan suspensi yang berlainan. Dikhabarkan versi yang dibuat untuk pasukan rali persendirian juga akan dihasilkan, yang hadir dengan roll cage yang telah siap dipasang dari kilang.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

    PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

    Tuan-tuan dan puan-puan, ini adalah Mazda 3 hatchback (Mazda menggelarnya sebagai liftback) generasi baharu, kereta yang mungkin ditunggu-tunggu oleh pemilik generasi sebelum ini, menampilkan rupa yang agak kontroversi – ada yang kata seksi, ada yang kata pelik – tetapi rata-rata bersetuju, ia dijual pada harga yang terlalu mahal.

    Mazda 3 generasi keempat ini didedahkan secara rasmi untuk peringkat global di Amerika Syarikat pada November tahun lalu. Ia kemudian diperkenalkan di Eropah pada Februari tahun ini. Kita tidak perlu menunggu lama untuk menerimanya kerana Bermaz telah melancarkan Mazda 3 2019 berkenaan untuk pasaran Malaysia pada Julai lalu.

    Tidak seperti Honda dan Toyota yang terlalu berkira-kira untuk membawa Civic dan Corolla Hatchback ke pasaran tempatan, Mazda seperti lazimnya memberikan pilihan kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback untuk pembeli di Malaysia – kesemuanya adalah diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU).

    Secara asasnya, kita menerima Mazda 3 2019 sedan dan hatchback dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L, dibahagikan dalam tiga varian. Tiga varian berkenaan adalah versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Harga minyak 21-27 Disember: RON97 turun enam sen

    Harga minyak 21-27 Disember: RON97 turun enam sen

    Setelah dua minggu berturut-turut harga runcit bagi petrol RON97 dilaporkan kekal, untuk mingggu bertarikh 21 hingga 27 Disember 2019, Kementerian Kewangan memaklumkan harga bahan api berkenaan turun sebanyak 6 sen seliter, menjadi RM2.58 seliter berbanding RM2.64 seliter seperti minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.28 seliter dan RM2.34 seliter masing-masing. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.34 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.32 seliter.

    Harga minyak 21-27 Disember: RON97 turun enam sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 21 Disember 2019 sehingga 27 Disember 2019 adalah berjumlah RM93.74 juta.

    Namun, ingin diingatkan sekali lagi, mulai Januari 2020, harga runcit petrol RON95 akan menjadi lebih tinggi memandangkan kerajaan yang telah mengumumkan penarikan balik subsidi bahan api tersebut, melainkan untuk golongan B40 yang layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) dan juga Kad95 untuk golongan M40.

     
     
  • Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Bagi sesetengah jenama, banyak yang telah berlaku dalam tempoh 12 bulan sepanjang tahun 2019. Begitu juga ada jenama yang kurang rancak dari segi pengenalan produk untuk tahun ini. Jika sebelum ini kita telah menyorot kembali perkembangan positif melibatkan jenama dan hal-hal tempatan – seperti Proton dan Perodua – kali ini kita akan lihat pula apa yang telah dicapai oleh jenama pengeluar kenderaan dari Jepun di dalam pasaran domestik.

    Honda hanya lancarkan satu model dipertingkat, dan tempahan

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Honda mungkin menjadi satu jenama yang paling “sunyi” tahun ini jika dilihat daripada jumlah pengenalan model baru. Sepanjang 2019, Honda Malaysia hanya melancarkan HR-V facelift, dengan tambahan varian terbaru RS dan juga Hybrid. Ia mula ditunjukkan pada penghujung 2018, dan hanya dapat dilancarkan pada Januari 2019. Jika anda tahu apa pandangan kami berkenaan model HR-V Hybrid, rujuk laporan pandu uji ini.

    Satu lagi model baru yang dijangka akan memasuki pasaran tahun ini ialah Civic facelift. Tetapi, nasib tidak menyebelahi Honda kerana ia tidak dapat diperkenalkan mengikut masa seperti yang dirancngkan. Dan, bukan itu sahaja masalah untuk Honda; pengeluaran Civic juga terpaksa dihentikan seketika, sebelum model berkenaan kembali dijual pada April lalu.

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Jika ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya masalah yang dihadapi Honda, ia antaranya berkaitan dengan penilaian semula serta audit berkaitan hal-hal penetapan harga semua model yang dijualnya, sebaik sahaja peralihan kerajaan PH pada 2018. Sementara itu, model seperti Jazz Hybrid dan City pula baru-baru ini menerima kenaikan harga sehingga RM8,000.

    Semua ini memberi kesan kepada angka jualan Honda, sehingga menyebabkan kedudukan kedua keseluruhan jualan yang dipegang kini telah dipintas oleh Proton sejak Julai lalu. Jadi, apa yang boleh dijangkakan dari Honda tahun depan? Pertama sekali, tentulah Civic facelift yang tertangguh itu. Kemudian, akan ada juga model Accord baru yang menunggu giliran untuk diperkenalkan. Selebihnya kita boleh jangkakan versi terkini bagi BR-V dan CR-V, serta Jazz terkini dan City yang sudahpun dilancarkan di Thailand.

    Toyota pertaruh beberapa model baru dan dipertingkat

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Tidak seperti Honda, Toyota sebaliknya mempunyai perjalanan yang agak melegakan sepanjang 2019. Semua sekali ada empat buat model baru diperkenalkan dalam pasaran. Ini dimulakan dengan sedan segmen B Vios dan juga hatchback Yaris. Kedua-duanya menerima pertambahan kelengkapan dan ciri keselamatan yang lebih baik, misalnya dengan tujuh beg udara. Lebih menarik, dua model ini masih lagi berada di dalam julat harga yang mampu milik – dari RM70k hingga RM90k.

    Selepas itu, hadir pula Avanza yang menerima pembaharuan yang agak ketara, termasuk tambahan ciri seperti peninjau titik buta. Berita yang ditunggu-tunggu ramai tentulah pengenalan model GR Supra pada September, yang menggunakan enjin BMW 3.0 liter enam-silinder sebaris. Ia dijual pada harga RM568,000. Baca laporan pengalaman pandu uji kami di sini.

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Kalau Honda tak sempat nak lancarkan Civic, Toyota sebaliknya telah memperkenalkan model Corolla terbaru yang berada dalam segmen yang sama. Walaupun masih kekal dengan enjin 1.8 liter yang sama, ia bagaimanapun dipasang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) serta lengkap dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense.

    Untuk 2020, mungkin Toyota akan sedikit lebih perlahan bagi aspek pengenalan model baru. Namun begitu, masih ada beberapa model yang seperti mempunyai potensi untuk dilancarkan, misalnya jika kita mengambil kira perkembangan di Thailand. Model-model terkini bagi Hilux, Fortuner dan Innova. Sienta juga mungkin sudah sesuai untuk menerima versi facelift. Kalau ada rezeki, siapa tahun RAV4 terbaru juga akan muncul? Begitu juga dengan Yaris terkini yang sudah ditunjukkan di Jepun dan Eropah.

    Nissan tumpu elektrifikasi

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Selepas agak perlahan dan ketandusan pengenalan model baru untuk tempoh dua tahun sebelum ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pertama sekali melancarkan Serena S-Hybrid pada 2018, dan momentum itu diteruskan lagi sepanjang 2019. Terdapat dua pelancaran model baru yang agak penting buat Nissan tahun ini.

    Pertama, SUV X-Trail facelift yang diperkenalkan dua bulan selepas pelancaran di Thailand, dengan tambahan varian hibrid. Kelengkapan keselamatan juga dipertingkat; dari dua beg udara dahulu kepada minimum empat beg udara ketika ini, manakala varian tertinggi dilengkapi dengan enam beg udara semuanya. Varian tertinggi juga datang dengan set bantu pemanduan Nissan Intelligent Mobility, termasuk ciri AEB.

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Corak tumpuan kepada kenderaan elektrifikasi ini diteruskan dengan pengenalan model Nissan Leaf. Model Leaf terbaru ini lebih berkuasa, dengan jarak perjalanan 270 km serta ciri AEB serta penampilan rekaan yang bertambah menarik. ETCM juga memperkenalkan program langganan untuk beberapa model, termasuk X-Trail Hybrid. Apa ada untuk 2020? Paling dinantikan, Almera terbaru, yang juga akan menjadi model penting buat Nissan untuk bersaing di sini. Kedua, mungkin Kicks, yang akan bersaing dengan HR-V. Model facelift yang boleh dijangka ialah Serena dan Navara.

    Mazda terus rancak

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Mazda juga agak rancak sepanjang tahun ini. Ada dua pengenalan model penting tahun ini; pertama, Mazda 3 menjengah pasaran Malaysia pada bulan Julai. Bagaimanapun, tanda harga berbanding model lamanya naik agak tinggi – varian 1.5 liter paling asas dengan harga RM140k, manakala varian 2.0 liter pula kini cecah RM160k.

    Mujur kereta segmen C berkenaan tampil dengan rekabentuk yang segar dan agresif, terutama bagi model hatchback, sementara model sedan nampak lebih matang dan bersedia untuk berkhidmat sebagai kereta keluarga. Sebulan selepas itu, MX-5 RF yang dikemaskini pula diperkenalkan. Enjin lebih berkuasa dengan 184 hp, harga juga naik sebanyak RM37,000, menjadikan harga semasa model berkenaan RM260,000.

    Setahun perkembangan automotif jenama Jepun di M’sia – turun naik Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    September pula, Mazda 6 diberikan sedikit peningkatan – sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem G-Vectoring Control Plus – juga dengan harga yang meningkat RM20k; kini antara RM174k hingga RM220k. SUV CX-5 pula menerima penawaran enjin 2.5 liter turbo dari CX-9, dan dijual pada harga RM179,000.

    Yang terkini, SUV tujuh-tempat duduk CX-8 pula diperkenalkan, dan dijual pada harga dari RM180k hingga RM218k. Ini satu lagi pertambahan atau lanjutan terbaru yang menarik bagi segmen SUV, selain daripada model CX-5. Untuk 2020? Produk baru seperti CX-30 boleh kita jangkakan tiba di Malaysia. Begitu juga dengan Mazda 2 yang dah tiba kepada tempoh facelift, serat Mazda 3 pemasangan tempatan agar harganya turun sedikit.

     
     
  • Tiada rancangan wajibkan kerusi kanak-kanak untuk kenderaan lain termasuk bas dan ambulans – Loke

    Tiada rancangan wajibkan kerusi kanak-kanak untuk kenderaan lain termasuk bas dan ambulans – Loke

    Walau pun pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ (CRS) diwajibkan dipasang bagi kenderaan persendirian yang membawa penumpang kanak-kanak atau bayi, mulai Jan 2020 ini, namun buat masa ini kerajaan mengakui tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan penggunaanya pada medium kenderaan lain termasuklah bas dan ambulans.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, buat masa ini kementerian hanya memberi fokus pada kereta persendirian sahaja.

    “Dalam jangka masa panjang, kita harap ia dapat diperluaskan pada jenis kenderaan yang lain namun pada masa kini dan sebagai fasa pertama ini, kita hanya mahu mewajibkan kepada kereta persendirian terlebih dahulu. Ini kerana untuk melaksanakan langkah baharu, ia bukan mudah dan memang sukar. Maka kita mahu menjayakan langkah yang dibuat untuk kereta persendirian ini dan kemudiannya kita akan melihat sejauh mana keberkesanan langkah tersebut,” katanya kepada Bernama.

    Mengenai isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan juga penawaran.

    “Kita akan ambil langkah bagi mengurangkan kos untuk memiliki CRS termasuklah penglibatan daripada pihak swasta namun sudah tentu apabila kita mewajibkan peraturan ini maka akan mewujudkan pasaran yang besar sebab setiap orang memerlukan kerusi ini dan kita akan lihat penurunan harga dan penawaran yang banyak,” katanya.

     
     
  • Honda Jazz dan Freed Modulo X Concept akan ke Tokyo Auto Salon 2020 dengan rupa lebih agresif

    Tak sampai sebulan lagi, Tokyo Auto Salon (TAS) 2020 akan berlangsung di lokasi biasanya iaitu di Makuhari Messe, dan sudah tentu ramai peminat-peminat modifikasi JDM sudah merancang untuk ke sana kan? Ok, selain dari Honda S2000 dan Civic Type R EK9 yang diumumkan oleh Honda tempoh hari, ini ada lagi barisan model Honda akan ke sana, di bawa oleh divisi aksesori mereka iaitu Modulo.

    Jika pada TAS 2019 mereka mendedahkan Honda Vezel (HR-V) Modulo X Concept (kemudian diperkenalkan dalam pasaran baru-baru ini), kali ini dua lagi model Modulo X Concept akan didedahkan iaitu model generasi baharu Honda Fit (atau Jazz di sini) bersama MPV Honda Freed facelift.

    Berdasarkan gambar awalan yang disiarkan oleh Honda, dapat dilihat Fit 2020 yang pada asalnya keihatan sangat comel, diberikan sentuhan lebih garang. Ia menerima gril dan juga liang bawah bampar dengan elemen sarang lebah. Fit Modulo X ini turut hadir dengan bampar belakang lebih agresif serta spoiler bumbung lebih besar berwarna hitam.

    Akhir sekali, penampilannya dilengkapkan dengan kemasan-kemasan hitam pada penutup cermin sisi, bumbung dan juga rim aloi baharu dengan tayar berprofil rendah.

    Manakala untuk Freed Modulo X pula, MPV tersebut turut kelihatan lebih agresif menerusi pemandanan kit badan lengkap terdiri dari gril serta bampar hadapan dan belakang baharu, skirt sisi dan spoiler lebih besar. Ia turut hadir dengan penutup cermini sisi berwarna hitam dan juga rim aloi lima jejari berkembar.

    Selain dari model-model konsep Modulo X ini, Honda turut akan mempamerkan model-model terkininya iaitu Civic Hatchback dan Sedan facelift, serta Honda NSX dengan warna warisan sejarah Indy Yellow Pearl.

     
     
  • Cadangan mengehadkan kelajuan kapcai perlu kajian teliti, laluan khas di lorong kiri lebih bernas – Loke

    Cadangan mengehadkan kelajuan kapcai perlu kajian teliti, laluan khas di lorong kiri lebih bernas – Loke

    Pada akhir Ogos lalu, Kementerian Kerja Raya menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk menghadkan penunggang motosikal kepada lorong paling kiri atau lorong perlahan sahaja ketika berada di atas jalan raya dan juga lebuhraya negara ini – terutama ketika waktu puncak. Ia adalah sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah kecederaan dan kematian penunggang motosikal di jalan raya.

    Sebulan yang berikutnya, seorang aktivis keselamatan jalanraya, Shahrim Tamrin, mengusulkan agar motosikal kapcai atau yang berkapasiti di bawah 250 cc diharamkan dari jalanraya di Malaysia. Dan kami menganggap cadangan ini agak ‘tidak masuk dek akal’ kerana berjuta-juta individu di Malaysia ini memiliki kapcai, malah ramai yang menjadikan kenderaan dua roda ini sebagai pengangkutan utama terutamanya untuk ke tempat kerja.

    Malah sebelum ini, The Safety First Group iaitu kumpulan prokeselamatan jalan raya, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70 km/j untuk motosikal kapcai selain meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.

    Walau bagaimana pun, sehingga kini, kementerian yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Pengangkutan, masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenainya. Menurut menterinya, Anthony Loke, cadangan mengehadkan kelajuan kapcai kepada 70 km/j memerlukan kajian lebih teliti tentang implikasi pelaksanaannya kerana ia melibatkan kira-kira 10 juta pemilik motosikal berdaftar di negara ini.

    Cadangan mengehadkan kelajuan kapcai perlu kajian teliti, laluan khas di lorong kiri lebih bernas – Loke

    Ujarnya, selain melibatkan isu keselamatan, kerelevanan cadangan itu juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan sejauh mana ia dapat dilaksanakan.

    “Kita tahu ada cadangan untuk mengehadkan (kelajuan) kapcai, tetapi dalam keadaan di Malaysia, ia melibatkan ramai pemilik kapcai di negara ini. Mungkin dalam lingkungan 10 juta (pemilik) motosikal …jadi ini merupakan satu keputusan yang akan beri kesan yang sangat besar, saya bukan menolak cadangan itu tetapi daripada segi ‘practicality’ untuk melaksanakan cadangan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut,” katanya kepada Bernama.

    Mengenai cadangan supaya mewujudkan laluan khas penunggang motosikal di sebelah kiri jalan raya, Loke menjelaskan, ia akan dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Cadangan itu merupakan konsep yang baik, bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan perbelanjaan yang besar seperti membina struktur jalan dan sebagainya. Kita berharap dapat membina laluan khas motosikal ini dan juga menyediakan rekaan lebuh raya (yang sesuai) pada masa hadapan dengan mengambil kira perkara itu,” katanya.

     
     
  • Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri penghujung tahun 2019. Hanya dalam masa kurang dua minggu lagi, tahun 2020 akan menjengah, dan 2019 akan meninggalkan kita dengan seribu satu pencapaian dan juga kenangan. Di dalam artikel khas ini, kami akan menyorot kembali perkembangan utama dunia automotif tempatan sepanjang tahun. Tumpuannya tentulah terhadap dua jenama pengeluar kenderaan Malaysia, Proton dan Perodua, serta beberapa lagi hal berkaitan.

    Agak menarik untuk perhatikan perkembangan dua jenama tempatan ini sepanjang 2019. Setelah beberapa tahun, kedua-dua Proton – dan Perodua terutamanya – menunjukkan pencapaian yang membanggakan; angka jualan dan perkongsian pasaran misalnya kembali dipelopori dua jenama tempatan ini, mengatasi jenama-jenama pengeluar bukan nasional lainnya.

    Seperti yang ditunjukkan oleh data jualan yang biasa kami laporkan setiap bulan, Perodua terus berada dikedudukan teratas dan terus-menerus mendapatkan sokongan daripada pengguna. Ini bukanlah rahsia, jenama ini berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama nombor satu di Malaysia untuk saban tahun kebelakangan ini.

    Cuma yang lebih menyenangkan, Proton yang sebelum ini ketinggalan dari segi angka jualan dan penawaran produk yang mendapat perhatian pasaran, kini telah kembali menduduki tangga kedua (mengatasi Honda), hanya dalam tempoh setahun selepas mendapat sokongan daripada Geely. Dua pengeluar nasional kita kini kembali menduduki dua tempat teratas, dengan penawaran produk-produk yang tentunya semakin bertambah baik dan mempunyai nilai tersendiri bagi pengguna.

    Perodua terus fokus

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Walaupun diasak dan sedikit sebanyak terkesan dengan perkembangan yang ditunjukkan Proton, sambutan terhadap produk-produk Perodua tidak pula berkurangan. Dan, jenama ini dalam masa yang sama enggan untuk duduk selesa tanpa melakukan apa-apa. Tahun ini saja Perodua memiliki beberapa penanda aras baru yang cukup membanggakan.

    Pada 2019, Perodua bermula awal dengan pengenalan model SUV Aruz, yang dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Januari lalu. Pengenalan awal tahun ini membolehkan Perodua mempunyai banyak masa untuk menjual dan menyerahkan model ini kepada pembeli sepanjang tahun 2019. Aruz juga menjadi satu-satunya model kenderaan yang mendapat carian tertinggi diinternet di Malaysia, seperti yang didedahkan oleh Google.

    Dengan harga varian paling lengkap RM77,900, Aruz juga menjadi taruhan yang sangat meyakinkan dengan ciri keselamatan yang mantap. Yang dimaksudkan misalnya penarafan ASEAN NCAP lima-bintang yang diraih, serta kelengkapan seperti Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang ada padanya, melanjutkan lagi komitmen Perodua terhadap keselamatan yang sebelum itu pernah ditunjukkan pada Myvi.

    Kita tinjau pula angka-angka pencapaian Perodua. Sebulan selepas pengenalan Aruz, Perodua mengumumkan bahawa syarikat itu telah berjaya mengatasi rekod jualan tertinggi yang dicatatkan sepanjang 2018. Sejumlah 227,243 unit berjaya dijual – mencatatkan peningkatan 10.9% dari tahun sebelumnya, antara lain turut disebabkan oleh tempoh bebas cukai GST selama tiga bulan.

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Prestasi cemerlang ini diteruskan pula bagi tempoh suku pertama 2019, dengan 82,700 unit terjual. Ini menjadi pencapaian terbaik bagi tempoh suku tahun yang pernah diperoleh – 9.5% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dengan perkongsian pasaran naik direkodkan sebanyak 43%. Menjelang tengah tahun, Perodua mencatatkan 121,800 unit (naik 4% bagi tempoh sama tahun sebelumnya, 41.1% perkongsian pasaran). Sasaran tahunan juga dinaikkan menjadi 235,000 unit.

    Jika berkaitan model baru atau dipertingkatkan, pengenalan seterusnya ialah Axia facelift yang mula dibuka untuk tempahan pada bulan Ogos dan dilancarkan pada September 2019. Pengenalan ini juga menyaksikan pertambahan penawaran (varian baru dan juga pakej kelengkapan/aksesori) diberikan kepada Axia, yang pertama kali menerima facelift pada Januari 2017.

    Dari sudut keselamatan juga banyak peningkatan yang diberikan. Dijual pada harga bermula dari RM24,090 (kereta paling murah di Malaysia), Axia turut menerima ciri VSC dan ASA 2.0 bagi varian yang lebih tinggi. Tidak lupa juga dengan pengenalan Axia Style yang mencerap penggayaan crossover. Dikala semua merasakan tidak ada lagi berita baru dari Perodua selepas itu, bocor pula gambar model yang sedang diuji.

    Yang dimaksudkan ialah kelibat “Toyota Avanza aneh” yang dilihat sedang diuji di Genting Highlands. Turut diuji bersama ialah Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga. Telahannya adalah, unit berkenaan merupakan unit pembangunan model Alza terbaru – untuk menggantikan model MPV yang sudah 10 tahun berada dalam pasaran tempatan itu.

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Kemudian, ada satu lagi model ujian dengan pelekat samaran dilihat. Kali ini lebih pelik, ia seolah-olah menggunakan bentuk luaran “Axia wagon”; nampak lebih panjang dan besar. Adakah ini model baru SUV segmen B D55L? Ini kemudiannya membawa pula kepada kemunculan “SUV baru” yang dipamerkan oleh Daihatsu ketika Tokyo Motorshow 2019.

    Model ini memberi petunjuk yang lain pula, kerana ia ada iras sentuhan rekaan ala Myvi yang terkini. Model berkenaan kemudiannya kita kenali dengan nama Daihatu Rocky, atau model bersaudaranya, Toyota Raize. Adakah selamat untuk kita jangkakan model ini akan tiba di Malaysia tahun depan?

    Untuk tahun 2020, jika meminjam corak pengenalan model baru oleh Perodua tahun ini, maka kita boleh jangkakan bakal ada satu model baru sepenuhnya, dan satu lagi model sedia ada versi diperkemaskan. Model baru berkenaan sudah tentulah SUV D55L yang dijangka. Bagaimana dengan model facelift?

    Jika Alza sebenarnya sudah layak untuk menerima model baru (dan bukannya facelift) kerana usianya sudah 10 tahun dalam pasaran, maka kemungkinan model facelift hanya tinggal satu sahaja, iaitu Bezza yang diperkenalkan pada 2016 dan mungkin sudah masanya untuk diberi sedikit kesegaran baru. Jika ini sampai dahulu, maka Alza baru mungkin lebih lewat. Macam mana pula dengan tekaan anda?

    Proton terus bangkit

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    2019 bagi Proton pula sangat banyak erti dan pencapaiannya. Kehadiran Geely membantu Proton untuk mengorak langkah baru yang lebih bertenaga. Keyakinan jenama ini juga semakin tinggi, dengan sasaran jualan 100,000 unit pada tahun 2020.

    Memandang sedikit kebelakang, satu model yang mengocakkan keadaan Proton tahun ini tidak lain dan tidak bukan ialah X70. Diperkenalkan pada hujung 2018, model berkenaan sekarang dipersiap pula untuk versi pemasangan CKD bagi tahun 2020 nanti. Dipasang di kilang baru Proton di Tanjung Malim, ia antara lain melibatkan pelaburan sekitar RM1.2 bilion. Majlis pelancaran pengeluaran model CKD berkenaan baru saja diadakan minggu lalu.

    Jika anda tertanya-tanya apa yang boleh dijangkakan daripada X70 CKD 2020 nanti, kami telah sediakan satu komentar video yang ringkas untuk menjawab pertanyaan itu. Jika anda belum tahu tentang itu, sila tonton video berkenaan di sini. Antaranya, walaupun rekabentuk X70 kekal sama, ia berkemungkinan besar akan menerima peningkatan dan kelainan penawaran untuk prestasi dan penampilan yang lebih baik.

    Proton juga tidak hanya bergantung kepada satu model baru itu sahaja. Selain X70, tahun ini juga telah menyaksikan pengenalan model dipertingkatkan bagi Persona, Iriz, Exora dan Saga. Ini empat model facelift terbaru dalam satu tahun. Paling tidak usaha ini perlu diberikan pujian, kerana ia menunjukkan komitmen Proton untuk benar-benar kembali dan meraih semula kepercayaan pengguna dari lapisan masyarakat yang pelbagai.

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Persona dan Iriz diperkenalkan terlebih dahulu pada Februari 2019. Ia tidak hadir tanpa kejutan; kedua-dua model ini diperkenalkan dengan pengurangan harga – sekitar RM4.1k bagi Iriz dan RM5k bagi Persona. Exora menyusul kemudiannya, dengan kemaskini yang tidak terlalu banyak, tetapi turut menerima penurunan harga sekitar RM2.5k – Exora terbaru ini menerima pertambahan kelengkapan seperti head unit GKUI, “Hi Proton” dan capaian 4G.

    Hero antara empat model facelift ini tentulah Proton Saga 2019 yang diperkenalkan pada Ogos lalu. Saga turut menerima kebanyakan pembaharuan yang diberikan kepada tiga model sebelumnya itu. Antara sentuhan yang dikongsi ialah gril “Infinite Weave” serta pertambahan kelengkapan yang lebih baik. Tambah menarik, harganya berkurangan sekitar RM2k. Penting juga untuk dinyatakan semula, Saga tidak lagi menggunakan transmisi CVT, sebaliknya beralih kepada automatik empat-kelajuan daripada Hyundai dengan pengenalan ini.

    Saga serta-merta memberi sumbangan penting kepada angka jualan Proton, mencatatkan sekitar 70% daripada jualan keseluruhan. Sejak pengenalannya pada Ogos itu, 35,000 tempahan telah diterima, dengan jualan mencecah angka 4,000 unit bagi tiga bulan berturut. X70 pula menyumbang 19% daripada jualan keseluruhan – dua model ini membentuk 90% daripada jualan keseluruhan Proton.

    Berkaitan jualan keseluruhan, bagi 10 bulan pertama 2019, Proton telah mencatatkan 79,423 unit jualan, membolehkan syarikat itu mengatasi kedudukan Honda yang merekodkan 71,489 unit (Perodua kekal teratas dengan 201,562 unit). Selain itu, juga langkah penting untuk Proton ialah pengenalan identiti korporat baru yang diperkenalkan pada September. Ini merangkumi logo baru, serta slogan Inspiring Connections. X70 CKD 2020 akan menjadi model pertama yang menggunakan logo baru ini.

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Apa yang boleh dijangkakan dari Proton untuk tahun 2020? Yang pasti, X70 CKD akan mula berada di bilik pameran pada suku pertama tahun depan. Selain itu, model Proton X50 yang lebih kecil dan menggunakan asas Geely Binyue juga disebut-sebut akan masuk pasaran paling lewat pada suku ketiga tahun depan. Ini kita perlu tunggu dan lihat bila sampai waktunya.

    Jenama kereta nasional terbaru dan… kereta terbang?

    Lain-lain perkembangan yang tak kalah meraih perhatian ramai ialah pengumuman jenama kereta nasional terbaru negara. Ini mula dicanang dan dibualkan selepas Pakatan Harapan mengambil tampuk pemerintahan negara, dan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun M. Selepas beberapa desas-desus, akhirnya pada Ogos 2019, kerajaan menamapak sebuah syarikat, DreamEdge sebagai pengelola kepada projek berkenaan.

    Majlis pengumuman itu diadakan di ibupejabat DreamEdge di Cyberjaya, berserta pelan perancangan bagi projek berkenaan. Yang disebut-sebut sebagai kereta pertama projek itu ialah sebuah “sedan segmen B yang besar” dengan janaan enjin konvensional atau pun hibrid. Daihatsu Japan juga disebut-sebut sebagai rakan atau pembekal teknologi.

    Jika mengikut garis masa yang dibentangkan, Ogos lalu sepatutnya model mock-up keupayaan kejuruteraan kereta itu perlu siap; bagaimanapun pihak media tidak mendengar apa-apa perkembangan tentang perkara ini. Prototaip pertama pula ditetapkan untuk ditunjuk atau disiapkan awalnya pada bulan Mac 2020. Namun perkara ini kemudiannya dianjak kepada pertengahan 2020. DreamEdge mensasarkan untuk menjual 3,000 unit kereta sebulan bagi tahun pertama. Adakah kita masih memerlukan kereta nasional yang baru ini?

    Setahun perkembangan automotif tempatan – Proton, Perodua, kereta nasional terbaru dan ‘kereta terbang’

    Seperkara lagi yang tak kurang menariknya ialah pengumuman tentang “kereta terbang” atau sebetulnya dron untuk pengangkutan udara. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof nampak begitu bersungguh-sungguh dengan hal ini. Bagaimanapun, perkembangan yang berlanjutan selepas itu masih tidak meyakinkan ramai warga Malaysia tentang siapa yang akan bertanggungjawab terhadap projek ini.

    Prototaip pertamanya didedahkan ketika LIMA ’19 di Langkawi. Dikenali sebagai Vector, ia sebenarnya lebih tepat jika dirujuk sebagai model skala. Dan ketika itu, Aerodyne Group, sebuah syarikat tempatan dengan kepakaran teknologi dron yang terlibat di dalam penyediaan itu. Khabarnya ketika awal pengumuman itu, projek ini perlulah diterajui oleh syarikat tempatan; untuk menggalakkan percambahan teknologi dan industri tempatan.

    Alih-alih, dalam perkembangan terakhir tentang dron besar ini, menteri yang sama khabarnya akan melakukan ujian penerbangan unit berkenaan. Selepas itu baru terdedah, yang unit ujian dimaksudkan itu bukanlah prototaip bagi Vector yang dicadang pada awalnya, melainkan unit dari pengeluar China, Ehang 216. Bagaimanapun, ujian penerbangan itu tidak dapat dijalankan kerana tiada permit – walaupun ia dicanangkan oleh seorang menteri.

    Harapnya dengan semua perkembangan setahun terakhir ini, kita akan melangkah ke tahun 2020 dengan penuh keyakinan dan perkasa, bukannya ke sebuah daerah utopia yang meragukan.

     
     
  • Senarai penerima Program Subsidi Petrol (PSP) dijangka diumumkan Februari hadapan – KPDNHEP

    Senarai penerima Program Subsidi Petrol (PSP) dijangka diumumkan Februari hadapan – KPDNHEP

    Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka akan mengumumkan senarai muktamad penerima Program Subsidi Petrol (PSP) pada Februari hadapan.

    Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat kementerian berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi setelah pemurnian data itu selesai dilaksanakan.

    “Berdasarkan data yang diterima daripada program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan disilang semak mengikut data pemilik kenderaan yang diterima daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 2.9 juta individu layak menerima bantuan daripada program ini. Sementara itu, 346,491 penerima PSP yang layak telah menyemak dan/atau mengemas kini maklumat akaun bank mereka, manakala 480,317 individu yang tidak layak telah mengemukakan rayuan melalui portal PSP,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau menjawab soalan Senator Datin Rahimah Mahamad di persidangan Dewan Rakyat, yang ingin tahu jumlah berdaftar penerima PSP dan jumlah permohonan rayuan yang diterima bagi memuktamadkan jumlah sebenar penerima subsidi yang layak dalam PSP.

    Chong turut berkata, pada masa ini kementerian itu sedang melaksanakan semakan maklumat rayuan yang diterima dengan data daripada program BSH, JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara. Di mana tempoh semakan dan rayuan bagi PSP dilakukan melalui portal PSP iaitu sp.kpdnhep.gov.my yang dijalankan pada 15 Oktober hingga 30 November 2019.

     
     
  • SPYSHOT: BMW 320i Sport G20 dikesan di Port Klang

    SPYSHOT: BMW 320i Sport G20 dikesan di Port Klang

    Nampak gayanya BMW Malaysia bakal memperkenalkan varian kedua bagi barisan BMW 3 Series G20 tidak lama lagi. Pembaca Paartha Sarathy telah berjaya mengesan kelibat 320i Sport dengan warna Alpine White ini yang sedang diangkut oleh treler berhampiran Port Klang.

    Varian 320i ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter empat-silinder petrol dengan BMW TwinPower Turbo, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan, membolehkan sedan ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.1 saat. Manakala kelajuan tertingginya tercatat 240 km/j.

    Merupakan varian G20 yang “paling kurang sporty“, 320i ini memiliki kombinasi penggunaan bahan api sekitar 5.5 hingga 5.0 liter per 100 km, dan pelepasan emisi antara 126 hingga 136 gram C02 per km.

    SPYSHOT: BMW 320i Sport G20 dikesan di Port Klang

    Bagi kelengkapan ciri, tidak disahkan apa yang 320i Sport ini bakal terima, tetapi jelas kelihatan, ia dipadankan dengan roda aloi lima-jejari berkembar 17-inci. Walau bagaimana pun, tiada foto bahagian hadapan untuk spyshot ini, jadi mungkin ia juga bakal menerima lampu utama LED penuh seperti 330i M Sport atau pun unit dwi-projektor yang kurang agresif. Apa pun, bahagian hadapan 320i ini mungkin lebih kurang sama dengan foto di atas ini.

    Selain itu, elemen yang dijangka untuk varian ini termasuk BMW Live Cockpit Professional, yang terdiri daripada paparan 10.25-inci yang ditempatkan di tengah papan pemuka dan paparan digital 12.3-inci untuk pemandu. Ia juga akan menerima BMW Operating System 7.0, lengkap dengan kawalan rotari iDrive dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

    Manakala tempat duduk balutan kulit juga akan ditawarkan secara standard, serta menampilkan ciri lain termasuk kawalan suhu dwi-zon, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, bukaan but bebas tangan, kawalan kelajuan, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, alas pengecas tanpa wayar Qi, dan banyak lagi. Informasi lanjut, kena tunggu BMW Malaysia buka mulut untuk pengesahannya.

     
     
  • Honda Augmented Driving Concept bakal tunjuk fungsi roda stereng baru pemanduan autonomous

    Honda Augmented Driving Concept bakal tunjuk fungsi roda stereng baru pemanduan autonomous

    Pada bulan hadapan, pameran elektronik CES 2020 akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat dan antara pengeluar kenderaan yang akan hadir adalah Honda. Syarikat ini telah pun mendedahkan apa yang akan dibawa ke sana, termasuklah sebuah kenderaan yang digelar sebagai Augmented Driving Concept.

    Tidak banyak perincian yang didedahkan berkenaan kenderaan ini, kecuali satu gambar bahagian luar dan satu gambar bahagian dalam yang lebih fokus kepada stereng. Kenderaan ini dihasilkan dengan tujuan untuk “menjawab peralihan budaya kepada kenderaan autonomous.”

    Menurut Honda, kenderaan ini mempunyai lapan mod di antara fungsi pemanduan autonomous penuh dan semi-autonomous, dan pelbagai unit pengesan yang dipasang pada kenderaan ini boleh membaca kelakuan pengguna seterusnya melaras kepada mod yang bersesuaian.

    Honda Augmented Driving Concept bakal tunjuk fungsi roda stereng baru pemanduan autonomous

    Satu lagi teknologi yang mahu diketengahkan oleh Honda pada kenderaan ini adalah roda stereng yang dicipta semula untuk memberi pengalaman pemanduan yang baru. Tepuk dua kali pada stereng ini, enjin akan dihidupkan, tarik untuk memperlahankan kenderaan dan tekan untuk memecut. Pengunjung di CES juga boleh merasakan pengalaman menggunakan roda stereng baru ini dalam satu demonstrasi simulasi.

    Rekaan keseluruhan kenderaan ini tidak diterangkan, mungkin kerana ia sekadar digunakan sebagai platform untuk menunjukkan teknologi baru yang ada tetapi dari gambarnya kita boleh melihat sebuah kenderaan yang tidak mempunyai bumbung, cermin hadapan rendah, rim besar dan bahagian hadapan yang mempunyai lapisan plastik menggelembung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026