Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Dego Ride dapat lampu hijau k’jaan; sudah mula beroperasi semula, 46% saham kini milik 7-Eleven

    Dego Ride dapat lampu hijau k’jaan; sudah mula beroperasi semula, 46% saham kini milik 7-Eleven

    Setelah diarahkan untuk menghentikan operasinya oleh kerajaan terdahulu pada Februari 2017, perkhidmatan e-hailing menggunakan motosikal, Dego Ride kini sudah mula beroperasi semula di Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya bermula semalam, 1 Januari 2020, menurut laporan Harian Metro.

    Syarikat yang dibangunkan oleh Nabil Feisal Bamadhaj itu turut mendapat sokongan penuh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menurutnya ia adalah usaha rakyat tempatan terutama golongan belia yang mempunyai visi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

    “Pelaksanaan perkhidmatan e-hailing ini dijangka bakal mewujudkan kira-kira 5,000 lagi peluang pekerjaan bagi terutama dari segmen B40 (kumpulan pendapatan bawah 40 peratus). Perkhidmatan e-hailing sebenarnya dapat membantu menjadi pemangkin ke arah membangunkan industri baharu sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Syed Saddiq.

    “Saya juga diberitahu bahawa belia yang menyertai Dego Ride ini boleh mencapai pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM3,000,” tambahnya lagi.

    Aplikasi Dego Ride berkenaan boleh dimuat turun untuk pengguna Android dan iOS. Tambang yang ditetapkan menerusi apliksi tersebut adalah pada kadar RM3 untuk perjalanan sejauh 3 km dan tambahan RM1 bagi 1 km seterusnya.

    Operasi Dego Ride dihentikan oleh kerajaan sebelum ini setelah mengambil kira faktor keselamatan kerana ketika itu 62.7% kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disumbangkan oleh pengguna motosikal, dan di bawah Akta Jalan Raya, kenderaan dua roda tersebut juga tidak boleh digunakan bagi tujuan komersil.

    Dalam laporan The Edge Market, Dego Ride yang dioperasikan oleh Myinteractive Sdn Bhd (MSB) telah menerima suntikan berjumlah RM7.51 juta dari pemilik rangkaian kedai serbaneka 24-jam 7-Eleven iaitu 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. Sebelum ini, MSB dimiliki oleh Nabil Feisal Bamadhaj dengan pegangan 95.23%, namun setelah pembelian terhadap 490,030 pegangan baharu dengan harga RM15.33 seunit membolehkan 7-Eleven memiliki kepentingan sebanyak 46.45% dalam syarikat berkenaan.

    Kerajaan telah bersetuju untuk menjalankan projek perintis (PoC) untuk program untuk e-hailing motosikal ini di sekitar Lembah Klang, bermula 1 Januari 2020, selama enam bulan. Dalam tempoh tersebut, penunggang dan motosikal mereka perlu mudah untuk dikenalpasti, ia tidak boleh berusia lebih dari lima-tahun, dan penunggang serta pembonceng perlu dilindungi insuran.

    “Inisiatif kerajaan untuk menjalankan program PoC ini merupakan langkah positif dan tepat dengan langganan yang dicadangkan, kerana Dego Ride adalah satu-satunya syarikat Malaysia (selain GrabBike dari Singapura dan Gojek dari Indonesia) yang menunjukkan minatnya bagi menyertai program PoC itu,” kata 7-Eleven.

    “PoC ini turut akan membolehkan kerajaan dan syarikat terlibat untuk mengumpulkan data, menilai tahap kesediaan dan permintaan serta perkhidmatan lain yang berkaitan dengan motosikal,” kata menteri pengangkutan Anthony Loke pada November lalu.

     
     
  • Kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang turun kepada RM7 – selaras dengan pengumuman Belanjawan 2020

    Kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang turun kepada RM7 – selaras dengan pengumuman Belanjawan 2020

    Seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, mulai 1 Januari 2020, pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau pun Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah boleh menikmati penjimatan apabila kadar tol jambatan itu dikurangkan kepada RM7 berbanding kadar sebelumnya iaitu RM8.50.

    Penurunan kadar tol terbabit juga bertujuan menyeragamkan kadar jambatan itu dengan Jambatan Pulau Pinang.

    Menurut Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Datuk Seri Farizan Darus,langkah itu bakal memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pengguna jambatan berkenaan setiap hari.

    “Sejak mula beroperasi pada 2014, jambatan itu mencatatkan peningkatan jumlah pengguna purata 32% setiap tahun. Bermula dengan hanya 3.4 juta pengguna pada 2014, sekarang kita mempunyai 9.5 juta pengguna setiap hari setakat November 2019, dan ini adalah perkembangan memberansangkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    JSAHMS sepanjang 24 kilometer mula dibuka secara rasmi pada 1 Mac 2014 dan sehingga kini tidak pernah mencatatkan rekod kesesakan jalan raya.

     
     
  • KTMB perkenal tambang ETS lebih fleksi mulai 1 Mac

    KTMB perkenal tambang ETS lebih fleksi mulai 1 Mac

    Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan mulai 1 Mac 2020 ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan struktur tambang fleksi untuk pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

    Menerusi pelaksanaan itu, pengguna ETS boleh mendapatkan tiket tambang perjalanan yang lebih menjimatkan mengikut cita rasa masing-masing, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk merancang perbelanjaan dan perjalanan dengan lebih baik.

    Malahan tiket bagi tambang fleksi itu bakal mula dijual pada 15 Januari ini bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS dari 1 hingga 31 Mac 2020.

    “Contohnya bagi perjalanan pada musim perayaan atau cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang yang lebih rendah berbanding mereka yang membeli pada saat akhir. Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa,” menurut kementerian berkenaan seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Sebagai pengenalan, KTMB juga menawarkan promosi ‘Seleksi Tempat Duduk’ percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan antara 1 dan 30 Mac 2020.

    Dalam masa yang sama, KTMB juga masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, Orang Kelainan Upaya, kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba.

     
     
  • 10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Walaupun tajuk artikel ini ‘pilihan sedekad’ iaitu dari 2009 hingga 2019, kerjaya saya dalam dunia penulisan automotif ini hanya bermula pada tahun 2012 setelah berjaya dipilih oleh Kak Izwaashura dalam temuduga untuk majalah automotif terbitan salah satu penerbit majalah terbesar ketika itu.

    Beralih dari bidang servis selepas jualan ke dunia media, merupakan titik perubahan paling besar dalam kehidupan saya – semuanya serba lain dan serba baru. Jadi dari segi pengalaman, saya adalah yang paling junior berbanding editor dan penulis lain dalam team kami. Sepanjang berkecimpung dalam dunia ini, apa 10 kereta yang paling meninggalkan kesan dalam diri saya? Nah, terimalah:

    10. Perodua Myvi generasi ketiga
    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Jika dua generasi Myvi sebelum ini adalah model rebadge dari versi JDM Daihatsu Boon/Toyota Passo, model generasi ketiga kereta Malaysia paling ikonik ini lahir dari unit R&D Perodua sendiri yang terletak di Rawang. Bagi saya, ini adalah sesuatu yang lebih tepat kerana bukan semua yang baik dihasilkan oleh orang Jepun adalah sesuai untuk kita.

    Di Jepun, Boon dan Passo adalah kereta bandar – ia mempunyai suspensi yang begitu lembut, stereng yang sangat ringan dan juga dimensi yang sangat kompak untuk kegunaan dalam bandar seperti Tokyo. Berlainan dengan Malaysia, kereta sebesar Myvi bukan hanya untuk kegunaan bandar, ia terlibat dengan hampir kesemua urusan hidup berkaitan pegangkutan dari balik kampung, berniaga kecil-kecilan sehingga ke pindah rumah.

    Jadi, jurutera Perodua telah menghasilkan satu produk yang jauh lebih sesuai dengan kita – Myvi baru ini direka lebih sesuai untuk perjalanan jauh – ia diberikan tempat duduk pemandu yang lebih rendah, stereng lebih responsif, suspensi yang kurang membuai. Dimensi juga lebih besar bagi memberikan lebih ruang untuk orang kita mengangkut pelbagai barang.

    Itu tak masuk lagi macam-macam ciri yang sesuai untuk kegunaan di Malaysia macam pembaca smart tag, cangkuk beg anti-ragut dan juga poket untuk menyimpan telefon bimbit pada sisi tempat duduk bagi memudahkan ia di cas menerusi port USB pada konsol di belakang brek tangan. Siapa kata Jepun lebih bijak dari kita?

    9. Mitsubishi Triton 2.4 MIVEC Turbodiesel Borneo Safari

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Tahun 2016 merupakan kali kedua saya menyertai antara ekspedisi 4×4 paling lasak di Asia Tenggara iaitu Borneo Safari. Minat untuk memandu 4×4 dalam laluan lasak sentiasa tertanam dari kanak-kanak, tapi belanja untuk menyertai aktivit seperti ini bukan murah. Jadi peluang untuk menyertainya sebagai wakil media merupakan satu rahmat buat saya.

    Kali pertama saya menyertai Borneo Safari adalah pada tahun 2012, ketika itu dengan pasukan Isuzu dan memandu D-Max. Untuk 2016, saya berpeluang untuk menyertainya dengan pasukan Mitsubishi pula, dengan Triton 2.4 MIVEC Turbodiesel.

    Seperti jentera Borneo Safari yang lain, Triton ini diberikan ubahsuai yang cukup ekstrem – badannya ditinggikan, diberi suspensi dan tayar untuk permukaan off-road serta dilengkapi winch dan juga bar lampu LED tambahan, membolehkan ia dipandu dengan sangat mudah walaupun pada permukaan yang sangat lasak. Satu kelebihan Triton ini berbanding D-Max adalah enjin MIVEC yang diberikan – ‘MIVEC kick-in’ benar-benar terasa ketika mendaki bukit!

    8. Toyota Vios One Make Challenge TGR Festival Malaysia

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Ini adalah kereta lumba sebenar pertama yang saya berpeluang untuk memandunya sendiri. Kereta ini dihasilkan oleh wakil TRD di Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport – menampilkan roll cage asli untuk Vios dari TRD dan juga pelbagai peralatan TRD lain seperti sistem ekzos, suspensi dan juga LSD.

    Tiada ubahsuai dilakukan pada organ dalaman enjin, cuma talaan semula dibuat menerusi kotak komputer Haltech – kuasa hampir sama seperti Vios standard, namun respon yang diberikan adalah jauh lebih baik.

    Secara keseluruhan, kereta ini adalah sangat seimbang dan sangat seronok dipandu di dalam litar! Ia memberikan karekter pengendalian yang tajam, ekor yang mudah dikawal, serta respon enjin yang sangat baik memudahkan teknik heel & toe dilakukakan. Harap-harap UMW Toyota bagi la peluang lagi pandu kereta ni di Sepang dalam 5-6 lap lagi. Hehe.

    7. Hyundai i30 N

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Hyundai i30 N baru sahaja dilancarkan secara rasmi di Malaysia November lalu, setelah membuat kemunculan sulung global pada Julai 2017. Sejujurnya, saya belum berkesempatan untuk memandu uji kereta ini – tak tahulah dapat ke tidak sebab Hyundai Sime Darby Motors hanya membawa 20-unit kereta tersebut ke sini.

    Namun, kisah bagaimana kereta ini telah merubah permainan membuatkan saya betul-betul kagum dengannya. Hyundai dah berberapa kali ingin dikenali sebagai jenama yang cool – mereka telah menyertai kejuaraan rali dunia (WRC) pada tahun 2000 kemudian menarik diri pada penghujung 2003, mereka pernah menghasilkan model ‘sport’ Scoupe, Tiburon dan Genesis malah pernah menghasilkan kereta drift untuk kejohanan Formula D – tetapi semua usaha tersebut seakan tidak kena dan kekal sebagai jenaka.

    Namun pada tahun 2012, Hyundai menubuhkan Hyundai Motorsport GmbH yang berpusat di Jerman pada tahun 2012 bagi meneruskan kembali program WRC mereka. Jika sebelum ini mereka menggunakan entiti luar iaitu MSD Motorsport dari British, kali ini mereka mewujudkan unit R&D mereka sendiri.

    Bukan calang-calang orang dalam divisi baharu yang di gelar Hyundai N (N bermaksud Namyang iaitu pusat R&D mereka di Korea dan juga Nürburgring tempat mereka menguji model-model berprestasi tinggi) berkenaan, antaranya bos mereka sendiri iaitu Albert Biermann, bekas naib presiden kejuruteraan unit prestasi tinggi BMW iaitu BMW M.

    Hyundai i30 N merupakan model produksi pertama berada dalam pasaran hasil pengetahuan yang mereka dapat sepanjang penyertaan mereka dalam dunia perlumbaan. Hot-hatch ini nyata memberikan impak yang besar di Eropah kerana berjaya melunturkan penguasaan Volkswagen Golf GTi – dengan harga yang lebih murah di sana, i30 N hadir dengan kuasa yang lebih besar dan juga sistem ekzos yang meletup-letup dari kilang.

    Tahun 2019 juga merupakan tahun yang gemilang buat Hyundai N. Bukan sahaja pasukan WRC mereka berjaya dinobatkan sebagai juara dunia kategori pengeluar, pemandu World Touring Car Cup (WTCR) Norbert Michelisz yang memandu i30 N TCR juga berjaya bergelar juara dunia.

    6. Toyota GR Supra A90

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Kalau anda perasan, lepas je era Y2k, Jepun dah jarang buat kereta sport. Ini bukan sahaja kerana ekonomi yang semakin menyusut, undang-undang pencemaran di Eropah yang semakin ketat menyebabkan mereka perlu menyediakan dana yang lebih besar untuk menghasilkan teknologi-teknologi yang mesra alam.

    Jadi, kereta berprestasi tinggi dari negara matahari terbit berkenaan kini sangatlah kurang. Kalau ada pengeluar yang nak buat, itu adalah rahmat besar untuk peminat jentera-jentera JDM. Mujur juga sekarang Toyota dapat bos yang suka berlumba, iaitu Presiden mereka Akio Toyoda yang berlumba secara sorok-sorok dengan nama Morizo sebelum sah duduk di kerusi nombor satu syarikat yang diasaskan oleh datuknya itu.

    Bila Akio dah jadi bos, dia mula menghasilkan kereta-kereta yang dia sendiri teringin buat satu ketika dulu. Akio pernah bercerita bahawa ketika dia selalu ke Nürburgring untuk berlatih memandu bersama mendiang Hiromu Naruse (ketua jurutera penguji Toyota yang telah meninggal dunia kerana kemalangan berhampiran Nürburgring ketika menguji Lexus LFA pada tahun 2010), pengeluar lain ke litar tersebut dengan protaip model-model baharu yang akan ke pasaran pada masa akan datang, tetapi dia hanya menggunakan Supra A80 yang sudah tidak lagi dijual di bilik pameran.

    Atas faktor kos R&D yang tinggi, tetapi semangat yang tidak pernah luntur, projek Supra generasi baharu ini akhirnya mendapat kerjasama dari BMW. Ya, memang platform, enjin dan kotak gear Supra dan BMW Z4 adalah sama, tapi talaan akhir kedua-dua kereta ini adalah berbeza. Buktinya, Supra adalah lebih laju dari Z4 sama ada dalam perlumbaan drag mahupun catatan masa terpantas di litar Nürburgring.

    Saya sendiri terkesima dengan prestasi dan pengendalian Supra ini ketika diberi peluang untuk memandu ujinya ketika majlis pelancarannya di Malaysia September lalu. Dengan titik graviti yang begitu rendah, meyebabkan ia memang terasa seperti adik beradik kandung Toyota 86. Manakala dengan kuasa yang begitu padu, menjadikan ia sebagai Abang Sulung kandung 86!

    5. Proton Iriz

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Apa yang anda harapkan dari sebuah hatchback segmen-B? Biasanya selain dari harganya yang mampu milik, golongan wanita juga sukakan kereta dari kelas ini kerana dimensinya yang memudahkan ia dikendali di bandar-bandar terutama di ruang parkir.

    Yang menarik tentang Iriz, ia hadir sekali dengan DNA asli Proton – pengedalian yang cukup baik. Rasanya sukar untuk kita cari kereta dengan harga lebih kurang Iriz yang mempunyai pengendalian mantap seperti yang ditawarkan oleh Proton. Serius, saya sangat teruja melayan selekoh ketika pertama kali memandu kereta ini – memang seronok!.

    Namun pada model awalan, transmisi CVT pada kereta ini agak merencatkan keseronokkannya – bunyi transmisi yang bising, tidak memberikan respon yang baik dan talaan yang serba tidak kena menyebabkan enjin meraung tidak tentu pasal.

    Walau bagaimanapun, Proton menambahbaik kualiti hatchback kompak ini dari masa ke masa. Sehingga kemaskini terakhirnya iaitu versi facelift 2019, bukan sahaja transmisi CVT telah lebih senyap dan ditala dengan tepat, ia juga menerima kemasan dalaman dengan material lebih bermutu, serta diberikan sistem infotaimen “Hi Proton”.

    4. Volvo V40 T5 Drive-E Polestar

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Volvo sering dikaitkan dengan selamat, wagon, dan sedan. Pernah dengar Volvo buat hot-hatch? Ada tapi tak banyak, antaranya C30 T5, dan hatchback V40 T5. Dan sebelum pengeluaran V40 berakhir, ia turut dihasilkan dalam versi talaan badan perlumbaannya sebelum ini iaitu Polestar (kini jenama tersebut telah diwartakan sebagai pembuat kereta sport dengan teknologi elektrifikasi).

    Volvo V40 T5 Drive-E Polestar ini masih dijana oleh enjin sama iaitu 2.0 liter empat silinder turbo. Tapi dengan talaan semula yang dibuat oleh Polestar, enjin tersebut berupaya menghasilkan 253 hp (dari 245 hp) dan tork maksima 400 Nm (dari 350 Nm).

    Bukan enjin sahaja, versi Polestar ini juga mendapat suspensi yang jauh lebih keras seakan suspensi standard Honda Civic Type R FD2R bagi membolehkan anda mengambil selekoh dengan lebih laju. Walaupun kuasa V40 T5 ini tidak sebesar S60 T6 (juga dengan enjin Drive-E, tapi menerima tambahan supercharger bagi menghasilkan 306 hp/400 Nm), hatchback ni lebih seronok untuk dipandu pada jalan berliku kerana pemandu akan berasa lebih yakin untuk menggunakan sebahagian besar kuasanya di selekoh.

    Dari segi rupa, tak banyak beza antara model standard dengan versi Polestar ini. Ia hanya dibezakan dengan rim 19-inci, ‘tanduk’ pada spoiler belakang dan juga diffuser serta tip ekzos dengan logo Polestar. Kereta dengan rupa sleeper ni best buat menyakat ‘boy racer’.

    3. Renault Clio R.S 200 Cup generasi ketiga

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Buat masa sekarang, hampir kesemua kereta berprestasi tinggi dengan kuasa di bawah 230 hp dihasilkan dengan enjin turbo berkapasiti kecil. Selain Honda Civic Type R FD2 yang hadir dengan enjin NA 2.0 liter, ramai yang terlepas pandang satu lagi ‘samurai terakhir’ kereta yang dijana oleh enjin yang boleh menjerit hampir 8,000 rpm dalam keadaan standard ini – Renault Clio R.S 200.

    Saya berpeluang untuk menguji kereta ini dalam versi Cup pada sekitar tahun 2012 dahulu, dan pengalaman tersebut terpahat dalam jiwa sehingga sekarang. Memandu kereta dengan enjin yang hadir dengan ledakan boost pada rpm rendah memang seronok, tapi dapat tukar gear dengan enjin yang menjerit pada rpm tinggi ni ‘stim’ dia lagi lain macam.

    Clio R.S generasi ketiga dibekalkan dengan enjin NA empat silinder 2.0 liter berkuasa 203 hp/215 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Untuk model ‘Cup’ yang saya pandu uji, ia adalah versi lebih hardcore dengan suspensi lebih rendah dan keras, brek Brembo empat pot di hadapan dan juga tempat duduk jenis bucket dari Recaro.

    Bukan enjin sahaja yang membuatkan saya sentiasa merindui kereta ini, Clio R.S juga didatangkan dengan suspensi seakan ditala oleh ahli sihir – ia keras membuatkan anda rasa seperti memandu go-kart dan memberikan keyakinan untuk kita menekan pedal pedikit semahunya ketika membelasah selokoh walaupun pada laluan turun bukit, tetapi dalam masa yang sama tiada masalah untuk digunakan setiap hari dengan selesa.

    2. Honda CR-Z

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Ini adalah kereta yang membuka mata saya terhadap kereta hibrid dan juga suspensi tosion beam pada bahagian belakang – kereta hibrid tidak semestinya lembab, dan suspensi torsion beam tidak semestinya memberikan pengendalian yang bosan.

    Atas kertas, CR-Z mungkin kelihatan lemau – dengan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC bersama motor elektrik IMA, menghasilkan kuasa keseluruhan 124 PS, menjadikan saya sedikit tergelak kerana Honda mendakwa ini adalah model pengganti hot-hatch ikonik Honda CR-X. Enjin dengan power lebih kurang enjin 1.6 DOHC ZC je, takkan la best macam CR-X SiR?

    Tapi saya terlepas pandang dengan angka tork keseluruhan CR-Z ini setelah menerima bantuan kuasa dari motor elektrik IMA – 174 Nm bermula seawal 1,000 rpm, respon dia lain macam! Digandingkan pula dengan kotak gear short shift Honda, mak aiii. Susah nak cakap dia punya best tu macam mana.

    Honda juga telah berjaya menala suspensi CR-Z ini dengan baik. Walaupun hanya menggunakan topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, dinamik kereta ini tak lari jauh dari model-model blast from the past mereka seperti Civic EF, EG dan EK yang diberikan suspensi jenis double wishbone.

    1. Satria Neo 1.6 CPS/R3 CPS

    10 kenderaan pilihan satu dekad – Farid Awaludin

    Seperti yang saya sebut tadi, selepas pertengahan era 2000, semakin kurang kereta yang direka dengan passion, tetapi lebih terarah kearah konsep jimat minyak dan mesra alam. Tengok sahaja Mitsubishi, Mirage yang pada awalnya garang, akhirnya dah jadi comel macam anak kucing.

    Mujur Proton tidak mengikut jejak langkah Mitsubishi – Satria dengan rupa macho pada era 90, bertambah macho dengan model gantiannya Satria Neo. Model generasi baharu tersebut bukan sahaja kekal handsome, tetapi turut mengekalkan prestasinya, terutama dari aspek pengendalian.

    Ketika kebanyakkan hatchback pada era tersebut mula menggunakan suspensi torsion beam di belakang, Neo tampil dengan suspensi jenis multilink. Ini menjadikan Neo sebagai sebuah kereta yang over engineered – menampilkan pengendalian yang sangat mantap setanding dengan kereta-kereta yang jauh lebih mahal darinya. Sudah la kereta ini kebanyakkannya hanya di jual dalam pasaran Malaysia, bukan kata nak untung, balik modal pun susah.

    Ramai juga yang berpendapat, Neo adalah kereta yang ‘tidak siap’ dari Proton, kerana mempunyai platform yang begitu kuat, tetapi kuasa yang dihasilkan tidak mencukupi, kurang dari apa yang boleh ditampung oleh casis. Jadi pada 2009, Proton memperkenalkan Satria Neo dengan enjin 1.6 liter CPS.

    Enjin ini menghasilkan kuasa 125 ps/150 Nm atau sekitar 15 ps/2 Nm lebih berkuasa dari enjin 1.6 liter Campro biasa. Masih lagi tak cukup power sebenarnya, tapi enjin ini menambah lagi sedikit keseronokan dalam keadaan standard kerana ia berfungsi dan memberikan rasa seakan enjin VTEC Honda.

    Model CPS ini juga menampilkan rupa yang lebih agresif dengan over fender diilhamkan dari abangnya iaitu Satria GTi. Malah pada tahun 2012, Proton memperkenalkan model CPS R3, iaitu versi CPS yang diberikan penggayaan seperti Neo R3 yang terdiri dari kit badan dan juga rim.

     
     
  • 10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Dekad yang baharu bakal berlangsung apabila 2020 mengambil alih kalendar 2019. Pantas betul masa berlalu. Apa pun sedekad sebelum itu, dapat dilihat industri automotif di Malaysia boleh dikatakan kian rancak. Pasaran kita banyak menerima kemasukan model kenderaan sama ada yang facelift mahu pun serba baharu. Setiap jenama pengeluar boleh dikatakan bersaing sesama sendiri dengan Perodua masih menjadi juara bertahan bagi mendominasi pasaran.

    Walau bagaimana pun, ada juga jenama yang terpaksa ‘bungkus’ untuk pasaran Malaysia, ini termasuklah Suzuki dan Chevrolet. Malahan Proton hampir terjebak dengan situasi yang sama, namun ia bernasib baik dapat diselamatkan dengan adanya rakan strategik asing, Geely, jenama automotif terbesar China yang turut memayungi Volvo.

    Manakala jenama dari Jepun dilihat masih stabil di pasaran Malaysia. Lihat sahaja Honda dan Toyota yang saling berlumba-lumba menduduki carta jualan kereta bukan-nasional di pasaran tempatan. Walau pun sedia maklum, Honda lebih ke hadapan, namun Toyota juga tetap memperkukuhkan kedudukan termasuk dengan pembukaan kilang pemasangan baharunya di Bukit Raja, Klang. Untuk jenama lain dari Jepun seperti Mitsubishi dan Mazda, kedua-duanya juga masih berhempas pulas untuk mengukuhkan kedudukan di sini. Namun, di akhir dekad ini, langkah Nissan pula kelihatan agak lesu. Tiada model baharu diperkenalkan sejak dua tahun kebelakangan ini (kecuali model sedia ada dengan kehadiran kit baharu sahaja).

    Ok tak perlu ulas panjang lebar pasal senario industri automotif dalam tempoh sedekad ini. Sebelum 2019 bakal melabuhkan tirainya, ini merupakan 10 model kenderaan yang jadi pilihan saya. Apa pun, untuk pengetahuan pembaca, saya sendiri pun baru saja lapan tahun mengambil tahu secara serius tentang perkembangan industri ini. Jadi apa yang disenaraikan ini adalah model kenderaan yang dilancarkan di Malaysia sepanjang tempoh itu. Ia dinilai bukan berdasarkan prestasi, tetapi imej yang menarik dan harganya yang lebih bersifat mampu milik.

    Honda CR-Z 2011

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Dilancarkan di Malaysia pada 2011, Honda CR-Z menjadi model kenderaan pertama yang saya begitu teringin untuk mengujinya. Apatah lagi bila mengetahui ia menerima gandingan penjana kuasa 1.5 liter LEA SOHC i-VTEC dengan motor elektrik serta Intelligent Power Unit (IPU) yang memberikan hamburan output sehingga 124 PS pada 6,000 rpm dan tork 174 Nm antara 1,000 hingga 1,500 rpm. Paling menarik sudah tentu gandingan padu antara sistem IMA Hybrid dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang meledakkan prestasinya. Paling penting, penjana kuasanya tidak kedekut memuntahkan energinya.

    Ketika dilancarkan, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM115k beserta insurans. Walau pun bukanlah model Honda yang paling popular di sini, termasuk faktor ‘kekurangan’ ruang dalamannya (lebih selesa untuk dua penumpang sahaja), tapi daripada sudut prestasi, CR-Z ini memang mampu menambah ledakan jiwa yang gemarkan adrenaline rush. Walau bagaimana pun, sayangnya, jangka hayat CR-Z tidak mampu bertahan di sini kerana penjualannya telah pun dihentikan oleh Honda Malaysia

    Volvo XC40 2018

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Sejujurnya SUV menjadi pilihan utama saya. Jadi, bila ada SUV baharu masuk di pasaran, saya tak sabar nak lihatnya di dekan mata, menyelidiki spesifikasinya serta nak memandunya. Untuk tahun 2018, memang ada beberapa SUV baharu diperkenalkan di Malaysia, namun ini yang paling menarik minat saya; Volvo XC40. Dengan varian tunggal T5 AWD R-Design, XC40 inidijual pada harga RM255,888 atas jalan, tidak termasuk insurans.

    XC40 T5 AWD dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbocas Drive-E (252 hp/350 Nm) dengan padanan transmisi automatik lapan-kelajuan, mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan laju maksimum 230 km/j. Ternyata prestasi daripada bahagian mekanikal memang seiring sejalan dengan imej luaran dan dalamannya. Melihatnya pada bahagian hadapan, imej sporty cukup menyercah terutamanya lampu utamanya yang seksi itu. Kehebatan yang ada pada XC40 ini memang tidak perlu disangkalkan sehingga ia berjaya dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Jepun 2018.

    Subaru XV 2018

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Subaru XV diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2012 dan ia dipasang di kilang pemasangan milik Tan Chong di Segambut, KL. Seperti yang dinyatakan di perenggan atas, SUV sentiasa menjadi perhatian saya. Dan SUV crossover ini juga memang bikin saya ‘jatuh hati pandangan pertama’. Imejnya yang ranggi memang cukup menarik perhatian. Apatah lagi ketika itu, tidak begitu banyak pilihan crossover di pasaran tempatan. Honda HR-V dan Toyota C-HR masih belum diperkenalkan. Mitsubishi ASX pula seakan tidak mencabar sangat. Jadi XV dengan imej yang sporty dengan enjin boxer yang cukup terkenal daripada Subaru ini memang lebih ke hadapan.

    Hujung 2017, XV versi kedua (atau pun lebih dikenali sebagai XV2 di kalangan para pemilik XV) dilancarkan di sini. Imej luaran dan dalaman diperkemaskinikan. Lebih menarik pandangan mata. Paling menarik, ia menampilkan enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder (154 hp/196 Nm), dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu. Malah kuasanya adalah lebih 6 hp berbanding model sebelumnya. Sejujurnya prestasi XV2 ini lebih padu berbanding XV1. Harganya juga mampu milik; bermula RM112k. Dan sejak kebelakangan ini, kelibat XV juga kian banyak di jalan raya di sini. Sekaligus membuktikan, ia juga crossover popular selain pesaing terdekatnya, HR-V.

    Honda Civic 1.5 TC-P 2016

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Beberapa bulan sebelum Honda Civic 2016 memasuki pasaran Malaysia, saya diberi peluang memandu ujinya di Thailand. Pertama kali melihatnya, terus jatuh cinta. Berbanding dengan Civic generasi ke-sembilan yang imejnya lebih kepada ‘pakcik-pakcik’, Civic 2016 yang merupakan generasi ke-10 ini memang lebih cukup menambat pandangan mata (hingga ke hati). Perubahan imej luarannya ternyata lebih drastik dan mengikut citarasa semasa. Terutamanya bahagian belakang dengan lampu ala sepit ketam yang nampak agak garang dan cukup sporty. Malahan bahagian dalamannya juga mengalami perubahan rekaan yang lebih kemas dan mampu memberikan keselesaan lebih optimum.

    Untuk barisan Civic 2016 bagi pasaran Malaysia, ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.8 liter bagi model asas, dan juga 1.5 liter pengecas turbo untuk dua varian tertinggi. Pastinya varian turbo menjadi pilihan. Biarpun turbo yang berskala kecil, tapi boleh dianggap padu bagi enjin berkapasiti 1.5 liter (173 PS/220 Nm) yang boleh dikatakan menyamai hamburan kuasa enjin 2.4 liter. Malahan ia juga dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu. Harga untuk versi turbo ini pula antara RM121k hingga RM129k. Memadailah untuk apa yang ditampilkan pada versi Civic ini.

    Nota kaki: Sebenarnya Honda Civic Type R lebih menyelerakan. Tapi tang harganya…memang tak berapa mampu milik pulak.

    Proton X70 2018

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Proton X70, ‘hasil kelahiran bersama Geely’, kini boleh dikatakan menjadi SUV terlaris di Malaysia sejak ia dilancarkan pada 12 Disember 2018. Sudah setahun dilancarkan, makin melambak X70 ini kelihatan di jalan raya. Ramai yang memilihnya kerana imejnya yang nampak bergaya, di samping harganya yang mampu milik iaitu sekitar RM100k-RM124k dengan empat pilihan varian yang kesemuanya dijanakan oleh enjin yang sama – 1.8 liter turbo.

    Kalau diikutkan prestasinya, bersifat sederhana tetapi sisi lain yang boleh dijadikan pertimbangan ialah keselesaan pengendaliannya. X70 ini memang selesa dikendalikan tidak kira sama ada pemanduan di bandar, jalan kampung apatah lagi di lebuhraya. Tidak lama lagi, Proton bakal melancarkan X70 versi pemasangan tempatan (CKD) dan dijangka harganya sedikit rendah berbanding unit CBU yang didatangkan dari negara kelahirannya, China. Jadi, dengan teknologi yang disertakan, imej yang menawan dan harga yang lebih mampu milik, X70 dilihat pilihan yang lebih tepat dan mampu memberikan persaingan sengit buat Honda CR-V dan Mazda CX-5, pencabar terdekatnya.

    Mercedes-Benz A250 AMG Sport 2018

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Ini hatchback jenama premium yang berharga sedikit tinggi – RM264k – yang tersenarai dalam pilihan. Sebab utama, prestasinya yang menguja dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (224 hp/350 Nm) dengan transmisi 7G-DCT, yang mampu memberikan kelajuan tertinggi sehingga 250 km/j dengan pecutan 0-100 km/j hanya 6.2 saat. Bayangkan hatchback mewah ini menderu laju di lebuhraya khususnya hingga mampu meledakkan adrenalin ketika mengendalikannya. Boleh bikin senyum sampai telinga!

    Sebab kedua, lihat saja imej ranggi dan sporty yang membaluti bahagian luaran. Cukup mudah menambat perhatian hingga jatuh cinta dibuatnya. Walau bagaimana pun, rekaan bagi bahagian kabin pula boleh disifatkan ringkas dan tiada sentuhan canggih mahu pun futuristik.

    Nota kaki: Ikutkan pilihan saya, ‘yang paling tahap berangan’ sudah tentulah Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 2019 dan Mercedes-AMG GT C 2018.

    Range Rover Evoque 2011

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Pertama kali tengok SUV ini di depan mata sewaktu pelancarannya pada tahun 2011, terus jatih cinta. Jadi, masuklah ‘senarai berangan’ memandangkan harganya memang di luar kemampuan – cecah RM406k (untuk versi 2017 yang masih di pasaran). Range Rover Evoque ini walau pun keluaran Range Rover, tetapi tidak sesuai dilenjan secara lasak biarpun dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda (4WD). Bukan kerana ia tidak berkeupayaan dengan pemanduan lasak, tapi imej luarannya yang cukup kacak ini, pasti sayang nak lenjan kaw-kaw.

    Dengan hamburan kuasa mencecah 237 hp dan tork 340 Nm, hasil gandingan enjin 2.0 liter turbo dan kotak gear automatik 9-kelajuan, Evoque ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 217 km/j dengan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 7.6 saat. Prestasinya tidaklah begitu menguja seperti mana pencabar terdekatnya Jaguar F-Pace mahu pun Mercedes-Benz GLC, tetapi disebabkan ia kelahiran Range Rover yang hanya mengeluarkan barisan SUV mewah, maka Evoque tetap ada keistimewaan yang tersendiri. Dan jangan lupa tunggu pula kehadiran Evoque generasi kedua yang dijangka akan tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Adakah ia mampu menenggelamkan kehadiran adiknya, Range Rover Velar, yang harganya lebih mahal dan tidak kurang kacak juga?

    Mitsubishi Lancer 2012

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Mitsubishi Lancer sudah tiada dalam pasaran Malaysia selepas tahun 2014 dengan varian terakhir yang dijual iaitu Lancer 2.0L GTE. Jika sebelum itu, Lancer memang menjadi dambaan dan pilihan penggemarnya yang mungkin tidak mampu untuk memiliki Lancer EVO. Dan Lancer 2.0 GT yang dilancarkan pada tahun 2012 juga pernah hampir saya miliki. Hampir… tapi tak jadi. Saya akui, imej dan prestasinya hampir membuatkan saya memilikinya. Daya tarikannya sudah pasti imej dan prestasi yang dihasilkan. Imej ‘abang-abang’ dengan bancuhan elemen sporty dan garang dipertaruhkan. Dari bahagian hadapan hingga ke belakang, gaya yang senada membangkitkan aura penuh maskulin.

    Enjin MIVEC daripada Mitsubishi memang terkenal dengan hamburan prestasi yang menguja. Lancer ini juga digandingkan dengan enjin MIVEC berkapasiti 2.0 liter (150 PS/197 Nm) dan juga transmisi INVECS-III CVT. Ia tidak kedekut dalam meledakkan hamburan kuasa, malahan pengendaliannya juga sangat memuaskan bagi model sedan di bawah segmen-C. Harganya juga berpadanan dengan segala elemen yang disertakan – sekitar RM119k bagi varian terakhir Lancer 2.0L GTE.

    Toyota Yaris 2019

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Kembar Toyota Vios sedan ini dilancarkan di Malaysia pada April lalu dengan tiga varian iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G. Dengan bentuk badan hatchback, Yaris 2019 ini pantas menerima sambutan menggalakkan terutamanya daripada golongan muda (atau yang berjiwa muda) yang gemarkan imej yang ranggi yang diterjemahkan menerusi bahagian luarannya. Boleh dikatakan imej luaran yang dipertaruhkan pada Yaris 2019 ini mudah menarik pandangan mata, daripada bahagian hadapan melewati ke belakang. Bahagian hadapannya nampak sedikit agresif dan belakangnya pula seksi.

    Selain itu, prestasi Yaris bersifat sederhana tetapi masih tetap seronok mengendalikannya. Ia dijana oleh enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i (107 PS/140 Nm) dengan padanan transmisi CVT automatik. Kalau pilih varian E dan G, ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic. Harganya pula berpatutan dan mampu milik, sekitar RM71k-RM84k. Jauh lebih murah berbanding model terdahulu yang dijual di sini, sekitar RM93k-RM99k (model 2006) dan RM102k untuk model 2014. Jadi, ternyata Yaris 2019 lebih berbaloi untuk dimiliki. Imej pun menawan…tak gitu.

    Nota kaki: Kalau diikutkan, barisan model Toyota di Malaysia, pastinya Toyota 86 dan Toyota Supra lebih menggiurkan. Juga pilihan saya untuk ‘stok tahap berangan’!

    Perodua Aruz 2019

    10 model kenderaan pilihan satu dekad – Izwaashura

    Selepas Nautica dan Kembara, Perodua kembali memasuki segmen SUV dengan melancarkan Perodua Aruz pada Januari lalu. SUV berkapisiti tujuh-penumpang ini memanglah ‘kembar kepada Toyota Rush’ tetapi masing-masing ada menampilkan imej yang tersendiri. Kalau ditanya, apakan SUV tujuh-tempat duduk mampu milik, memang inilah yang akan saya sarankan. Aruz ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5X (RM72,900) dan 1.5 Advance (AV) (RM77,900) – harga tidak termasuk insurans) – jadi kalau nak dibandingkan dengan dua pencabar terdekatnya – Honda BR-V dan Toyota Rush – ternyata Aruz lebih berbaloi dimiliki kerana harganya juga lebih murah.

    Aruz dipadankan dengan enjin yang sama dengan Perodua Myvi dan Rush – 1.5 liter 2NR-VE empat-silinder NA (105 PS/136 Nm) dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang. Kalau anda bukanlah seorang pemandu yang gemarkan pemanduan agresif dan lebih suka memandu santai, Aruz ini memang cukup sesuai. Jangan pula cakap, “Ala mesti Aruz ni ‘kurang berkuasa’, enjin kecil tapi badan besar…” Abang-abang, kakak-kakak, dengan harganya yang di bawah RM80k, apa lagi yang anda mahukan? Inilah kereta rakyat.. besar, selesa dan harganya ngam ho. Kira oklah kan. Imej yang diperagakan pun, sedaplah mata memandang.

     
     
  • 10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Melihat semula ke belakang, tahun 2019 diam tak diam menjadi satu penanda tersendiri untuk saya; kurang lebih sudah 12 tahun bergelumang di dalam media automotif tempatan. Sepanjang tempoh itu juga, terlalu banyak hal-hal yang telah ditempuh, sebahagiannya menyenangkan, sebahagian lagi sebaliknya.

    Tetapi, apa yang lebih penting, sepanjang tempoh sedekad ke belakang itu jugalah, terlalu banyak model kenderaan yang sempat dicuba atau didekati. Maka, untuk menyorot kembali dan mengingati kesemuanya bukanlah satu tugas yang mudah, bahkan akan ada yang keciciran.

    Namun, untuk memilih hanya 10 daripadanya, saya mengecilkan skop berkenaan, dan hanya menilai dan mengenang semula model-model kenderaan yang memberi kesan secara peribadi, baik dari sudut pandangan, penggunaan atau tanggapan umumnya.

    Berikut 10 model kenderaan pilihan peribadi bagi tempoh sedekad yang lalu:

    10. Range Rover Evoque

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    SUV ini, yang diperkenalkan pertama kali untuk pasaran Malaysia pada 2011, tampil dengan imej yang langsung lari daripada rekaan umum model-model lain Land Rover atau Range Rover ketika itu. Adalah satu contoh menarik untuk kita melihat kelangsungan sesebuah jenama yang tidak takut berinovasi seperti yang ditunjukkan oleh Range Rover melalui model Evoque. Sehingga hari ini, saya tidak jemu untuk menatap SUV berkenaan.

    Apatah lagi ketika memandunya dahulu, pengalaman yang terlahir sangat menyenangkan. Untuk saya, tentulah versi enjin diesel yang lebih memikat, kerana janaan tork dan lonjakan segeranya. Dengan Evoque, tiba-tiba imej Defender yang berkotak dan gagah itu pun boleh di atasi, sekaligus menjadi alternatif baru.

    Begitu juga dengan Range Rover Sport; walaupun dalam kelas SUV mewah dan mahal, ia tidak selalu menerbitkan keghairahan yang sama seperti Evoque. Walaupun kecil, Evoque masih nampak moden dan sophisticated hingga ke hari ini – dalam konteks rekaan bagi kenderaan yang pernah dikeluarkan oleh jenama itu tentunya. Generasi kedua model ini dijangka akan dilancarkan di sini tahun 2020.

    9. Jentera lumba Formula 4

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Sepanjang bertugas sebagai media automotif, ada beberapa kali kesempatan tiba untuk saya memandu jentera Formula 4 yang sebenar di litar Sepang. Contohnya ketika sesi khas Formula BMW, atau acara pandu uji tayar oleh Michelin, yang turut memberi peluang kepada peserta untuk memandu sendiri jentera lumba berkenaan.

    Sama seperti pengalaman belajar memandu dan mengendalikan Isuzu D-Max 3.0L Monster di dalam hutan belantara Sabah (lihat N0. 4), jentera ini memberikan saya pengalaman sama, tetapi dalam persekitaran pemanduan yang berbeza – belajar di litar untuk menjadi lebih bertanggungjawab di jalanraya.

    Dengan tempat duduk tunggal, sut lumba lengkap, helmet fullface, menyarung pakaian lengkap ini dan duduk di ruang pemandu dengan posisi kaki terlunjur hampir berbaring sahaja sudah memerlukan anda untuk bertenang – kerana mudah rasa rimas, sesak nafas dan panas. Ketika mula memandu pula, perasaannya adalah seperti menerima maklum balas yang sangat direct buat pertama kalinya dari segala saluran input dan permukaan yang ada, terutama sekali dari tayar dan sterengnya.

    Dengan deria yang tidak terlatih pun, anda akan dapat rasakan bila jentera berkenaan akan cenderung untuk oversteer/understeer, bagaimana rasanya jika terlalu laju memasuki selekoh, dan bagaimana untuk meletakkan seberapa banyak kemahiran sendiri untuk mengendalikannya supaya tidak terbabas dan sentiasa berada dalam kawalan. Semua itu pengalaman yang sangat berharga. Bila sudah merasa bagaimana hilang kawalan dalam jentera seperti ini, anda pasti tak ingin tunjuk hebat atas jalan.

    8. Triumph Street Twin 900 cc

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Ini sebuah motosikal, yang dengan caranya yang tersendiri dan tidak sengaja, jatuh ke tangan saya dan digunakan sejak lebih dua tahun lalu. Agak sukar untuk meyakinkan orang yang tidak gemarkan motosikal tentang betapa menyenangkan perasaan ketika menunggang itu.

    Dan Triumph Street Twin 2016 yang saya gunakan ini tambah mengukuhkan lagi pengalaman dan pandangan berkenaan. Motosikal dengan kapasiti enjin besar tak semestinya bising atau sukar ditunggang atau dikendalikan.

    Walaupun kekal dengan imej retro seperti model-model dari keluarga Bonneville dahulu, Street Twin tak pernah lekang daripada mendapat perhatian dan dipandang berkali-kali ketika di atas jalan. Setiap kali berada di atasnya, serba-serbi saya rasakan mengena dan meluncur dengan tenang.

    Dengan motosikal ini, nikmat tunggangan jadi bertambah. Walaupun biasanya hanya berjalan seorang, ia selalu menjadi teman yang baik untuk saya. Perjalanan ke Sitiawan menjadi lebih singkat dengannya. Begitu juga dengan lekuk-lekuk selekoh jalan Seremban-Kuala Pilah yang seronok juga dilayan, walaupun tak ada aksi corner baring atau sebagainya. Semuanya tenang-tenang saja. Motosikal ini akan kekal dalam simpanan sendiri untuk satu tempoh masa yang lama.

    7. Toyota 86/GR Supra

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Ada kereta yang bila diperkenalkan, akan menerbitkan rasa seronok dalam diri, padahal jarang-jarang dapat bawa atau pandu. Untuk saya, getus ini antaranya pernah datang dari Toyota. Dan, sebab tak boleh nak buat pilihan mudah, maka saya masukkan kedua-duanya sekali model yang dimaksudkan — Toyota 86 dan juga GR Supra A90 terbaru.

    Seronok untuk melihat kedua-dua model yang ada sejarah panjang ini dihidupkan semula oleh Toyota, di antara keduanya dengan senggang kurang daripada 10 tahun. Legasi tak sepatutnya dilupakan atau dihapuskan, apatah lagi bagi kereta yang mempunyai reputasi yang cukup besar seperti keduanya.

    Betul, rekaan baru yang menggunakan kedua-dua nama lagenda itu boleh didebatkan – 86 bukan lagi seperti yang dulu, dan Supra ada klon sama dari BMW – tetapi aspirasi yang dibawa tak pernah tersasar. Kerana kedua-duanya sudah memiliki sejarah panjang. Untuk menyaksikan mereka dihidupkan semula dalam dekad ini, itu satu yang sangat melegakan.

    6. Ford Ranger T6

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Saya masih ingat, mungkin dalam tahun 2012, ketika Ford Ranger akan membuat penampilan semula dalam bentuk generasi terbarunya untuk pasaran tempatan. Bingit orang memperkatakan tentangnya, bahawa ini trak pikap yang akan menjadi jambatan dan menarik perhatian ramai orang untuk beralih daripada kereta kepada menggunakan trak pikap.

    Sebabnya, ia dikhabarkan akan menjadi cukup selesa, kabin serta pemanduannya lebih mudah dan dekat dengan gaya pemanduan kereta sedan dan sebagainya. Maka, seperti yang kita lihat hari ini, Ranger benar-benar berhasil mengubah corak pasaran menanggapi sebuah trak pikap – dan membuka jalan baru untuk orang mula menghargai jenis kenderaan ini dalam skala yang lebih meluas.

    Bermula dengan Ranger, trak pikap bukan lagi untuk kegunaan kontraktor binaan, tetapi entah bagaimana, sampai beralih menjadi kenderaan keluarga. Orang melakukan modifikasi Ranger seperti orang buat ubah suai pada Proton Wira; bersepah di mana-mana, dengan aksesori yang banyak.

    Imej kental dan maskulinnya sejak itu diteruskan hingga ke hari ini. Kita boleh lihat ramai yang menggunakan versi Wildtrak, padahal harganya dekat nak sama dengan Honda Civic. Begitu juga, model paling kentalnya, Ranger Raptor yang menjadi tanda tersendiri bagi Ford dalam pasaran dan juga di jalan raya. Tapi itulah, banyak masalah-masalah yang berselubung pada produk-produk Ford setakat ini, termasuk pada Ranger, harapnya diberi perhatian dan dapat diperbaiki. Itu sahaja yang akan menentukan populariti Ranger nanti, di saat trak-trak lain mula mencabar rapat.

    5. Perodua Myvi “Bulat”

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Ini kereta yang tak perlukan sembang panjang. Agaknya, hampir semua orang ada kisah tersendiri dengan Myvi (versi lama yang gemuk dan bulat, sebelum ia bertukar jadi hatchback sebenar), walaupun tak pernah memilikinya. Paling tidak, mesti pernah melihatnya depan mata sendiri. Kalau ada yang belum pernah tengok, tolong bagitahu.

    Jika Yamaha NMax (rujuk N0. 3) merupakan sebuah skuter utilitarian untuk saya, Myvi pula merupakan pemegang status sama bagi kereta, walaupun saya tak pernah memilikinya. Orang-orang terdekat kita sahaja entah berapa ramai yang masih memandu kereta ini. Apa saja yang tak boleh dilakukan oleh Myvi?

    Digunakan untuk angkut basikal dalam kabin, angkut barang Ikea, berniaga pasar malam, angkut pasu bunga besar-besar, jadi kereta lumba sampai dicop “Taliban”, jadi pilihan kereta pertama ramai orang, jadi kereta pergi pasar, jadi kereta balik kampung dan macam-macam lagi, dengan konotasi positif dan juga negatif yang pelbagai. Untuk saya, inilah kuasa Perodua Myvi; orang tidak boleh untuk tidak bercakap tentangnya.

    4. Isuzu D-Max 3.0L “Monster” Borneo Safari

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Tahun 2013. Sekitar hujung Oktober, saya mengikuti ekspedisi tahunan Borneo Safari di Sabah. Bermula dari Kota Kinabalu, untuk tempoh kurang lebih seminggu ke hadapan, ekspedisi berkenaan menempuh perjalanan yang jarang-jarang diambil oleh orang pada kebiasaannya. Saya cuma mengikuti separuh perjalanan itu sahaja, kira-kira empat malam; perjalanan dan pengalaman itu kemudiannya meninggalkan bekas yang mendalam terhadap diri saya.

    Pengalaman itu membentuk pandangan yang sangat berbeza terhadap trak pikap, dan juga terhadap cara pengendalian dan pemanduan kenderaan – bagaimana untuk memandu dengan cekap pada laluan yang sebetulnya bukan jalan dan hanya semak samun?

    Bagaimana untuk bertindak balas dalam keadaan itu, bagaimana untuk meletak tangan pada stereng, bagaimana untuk mengawal klac dan mengendalikan kotak gear manual ketika trak tersangkut dalam selut yang dalam dan hampir tiada cengkaman pada tayar, serta bagaimana untuk belajar mengesan maklum balas stereng dari permukaan tanah yang amat sukar diteka – semua ini menjadikan saya pemandu yang lebih cermat, mungkin.

    Terkandas dan bermalam di tengah hutan belantara, menggunakan winch dan terpaksa mencangkul laluan untuk membolehkan trak pikap itu lolos dalam menaiki atau menuruni cerun curam yang hampir tegak, semuanya menjadi pengajaran berharga. Dan ketika itulah minat dan keyakinan terhadap trak pikap, terutamanya Isuzu D-Max 3.0L 4×4 Monster yang diubah suai untuk kegunaan seperti itu semakin mekar. Di dalam edisinya yang terbaru bagi 2019, bahkan versi D-Max 1.9 liter berjaya untuk menggalas cabaran yang sama.

    3. Yamaha NMax 155 cc

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Bagi saya, Yamaha NMax 155 cc kenderaan yang paling utilitarian yang saya kagumi sejak dua setengah tahun menggunakannya. Inilah pengangkutan harian yang membolehkan saya bergerak dengan cekap dan pantas, serta menepati masa sekiranya berjanji dengan orang lain dan terpaksa menghadap kesesakan di sekitar Kuala Lumpur.

    Saya melakukan segala macam benda dengan skuter asas ini — ulang-alik harian, ke pasar atau supermarket untuk beli barang (biasanya ruang bawah tempat duduk cukup untuk tampung barangan yang dibeli), pergi ke laluan celah-celah di ibukota yang tidak akan saya sampai sekiranya dengan kereta antara fungsi skuter ini buat saya.

    Saya juga ingin percaya, NMax sedikit sebanyak telah menyumbang kepada menjadikan kehidupan saya lebih gembira dan kurang tekanan. Misalnya, ketika tertekan tersangkut dalam kesesakan jalan raya dalam kadar yang sangat kerap, gembira juga kerana tidak lagi perlu membayar tol dalam bandar yang mahal-mahal, gembira juga kerana setiap kali mencecah perbatuan 2,000 km dan sampai masa untuk diservis, paling tinggi saya membayar hanya RM70 untuk satu kali servis (untuk minyak enjin dan minyak gear, dan boleh dapat lebih murah jika kena tempatnya).

    Lebih menarik juga, sejak menggunakannya, saya tak pernah berkira untuk menggunakan petrol RON 97; RM13 pada kebiasaannya akan dapat satu tangki penuh. Kalau nak jimat lagi, guna RON 95. Dengan skuter ini, yang masih lagi dalam keadaannya yang stock sejak mula, poket saya juga jadi lebih gembira. Sungguh, tak tipu.

    2. Proton Satria Neo R3 Lotus Racing

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Oleh kerana tak sempat waima untuk berangan pun dengan Proton Satria GTi ketika ia dikeluarkan sekitar tahun 1999 dulu, maka kehadiran Proton Satria Neo R3 Lotus Racing pada tahun 2010 sedikit sebanyak membawa getar yang sama.

    Adalah suatu pengalaman yang menarik untuk melihat Proton yang ketika itu kembali memusatkan tumpuan mereka untuk menghasilkan edisi model-model yang membawa bersama semangat lumba dan prestasi – walaupun hanya dalam jumlah terhad.

    Ini antara kereta yang jika saya miliki, mungkin saya tidak akan melepaskannya semata-mata untuk digantikan dengan kereta lain. Mujur saya tak pernah menjadi pemilik kereta ini, maka tak perlulah saya memikirkan tentang hal berkenaan. Cukup sekadar untuk menjadi pengkagumnya dari jauh.

    1. Volvo V90 T6 R-Design

    10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

    Saya tahu, saya perlu memasukkan sebuah Volvo dalam senarai ini, tetapi masih gagal untuk menetapkan model yang mana satu patut diangkat. Paling tidak, dalam sedekad yang lepas, Volvo menampilkan banyak kelainan, paling tidak dari segi reka bentuk dan estetika. Siapa yang masih ingat model C30? Walaupun pelik dan pada sesetengah orang jatuh ke tahap hodoh, anehnya saya agak menyukai model tersebut – terhadap sudut rekaannya yang unik dan berani ketika itu, tetapi bukan pemanduannya.

    Maka saya terpaksalah memberi hormat kepada model Volvo V90 T6 R-Design dalam kehadirannya yang terkini. Agak jarang kita lihat di atas jalanraya Malaysia, tetapi saya sukar untuk melupakan imej kereta wagon ini. Sangat garang dan ranggi — walaupun sekali lagi, bukanlah sebuah kereta yang akan memuaskan ghairah pemanduan anda ke tahap yang paling optimum. Tetapi, untuk saya, sebuah kereta lebih daripada sekadar aspek prestasi pemanduan semata-mata.

    Dan, ini ditunjukkan dengan sangat cemerlang oleh V90 T6. Wagon tak semestinya tampil membosankan. Dan untuk itu, Volvo membawakan magis yang tersendiri untuk model berkenaan. Saya juga merasakan yang versi wagon ini jauh lebih matang dan cantik berbanding versi sedan S90. Jika saya perlu menyebut sebuah kereta untuk dijadikan kereta idaman (yang masuk akal, tentunya), saya tak malu untuk mengakui, antara sedikit kereta yang berada di dalam senarai itu, Volvo V90 T6 R-Design ini adalah satu daripadanya.

    Pilihan model kenderaan anda pula bagaimana?

     
     
  • Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Umum sudah mengetahui negara kita menerima model baru agak lambat bukan sahaja melihat kepada seluruh dunia tetapi dalam Asia Tenggara sendiri. Banyak yang dilihat oleh pengeluar sebelum melancarkan model baru di sesebuah pasaran, terutamanya jumlah jualan dan bagaimana model itu boleh serasi dengan pengguna.

    Memandang dari sisi positif, sekurang-kurangnya kita boleh membiarkan pengguna di negara lain menggunakan model baru tersebut terlebih dahulu, dan melihat sekiranya ada masalah atau penambah baikan yang boleh dibuat.

    Dengan tahun 2019 yang sudah hampir berakhir, kita telah melihat banyak model baru yang menarik diperkenalkan di seluruh dunia, terutamanya waktu pameran EICMA November lalu. Sudah tentu, kebanyakannya masih belum tiba di Malaysia dan membuatkan kita tertunggu-tunggu. Di sini kami sediakan senarai lima model pilihan dan kami percaya anda juga anda senarai sendiri.

    Triumph Tiger 900

    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Model adventure ini menjadi satu contoh kenapa bukan semua orang perlukan jentera yang berkapasiti 1,000 cc dan lebih berat untuk tujuan kembara. Melalui pengalaman kami dengan Tiger 800 sebelum ini, ia bukan sahaja memberikan kepuasan untuk perjalanan atas jalan biasa, tetapi juga boleh dikendali dengan mudah atas jalan offroad.

    Peningkatan utama pada model ini adalah enjin 888 cc, dengan kuasa yang meningkat menjadi 93.9 hp dan 87 Nm tork. Kesemuanya ada lima versi untuk model baru ini dan ia melibatkan peningkatan lain seperti kerangka lebih ringan, bentuk lebih kurus, brek Brembo serta ergonomik yang lebih baik.

    Pada bahagian keselamatan dan elektronik, bergantung kepada versi, ia boleh dilengkapi dengan ABS, Cornering ABS, Traction Control yang dioptimakan dengan penggunaan Inertial Measurement Unit (IMU), cruise control, pemanas tangan, quickshifter naik dan turun gear, pemanas tempat duduk dengan kawalan berasingan dan pemerhati tekanan angin tayar.

    Kawasaki ZX-25R
    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Motosikal sports kapasiti rendah seperti 250 cc sentiasa dekat dengan pengguna kerana ia memberi peluang kepada penunggang baru untuk berjinak-jinak dengan menyediakan platform yang sesuai sebelum mereka naik taraf kepada model sports yang berkapasiti lebih tinggi.

    Kebanyakannya menggunakan enjin satu atau dua silinder, tapi baru-baru ini Kawasaki telah memperkenalkan model yang dikuasakan enjin 250 cc empat silinder. Ia bukanlah tetapan enjin yang baru, kerana sebelum ini pernah digunakan pada model ZXR250 yang terkenal dengan hos udara seperti “hos mesin basuh” di atas tangki.

    Model ini masih belum dilancarkan untuk jualan di mana-mana pasaran pun lagi, tetapi Kawasaki telah mendedahkan perincian pentingnya yang termasuk enjin DOHC yang boleh dikerah lebih 17,000 rpm, fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    Aprilia RS660
    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Sejak bulan Julai 2018, pengedaran motosikal Aprilia di Malaysia diuruskan oleh syarikat baru iaitu Didi Resources Sdn Bhd. Melaluinya, pengguna boleh mengharapkan servis yang lebih baik dan ketibaan model baru yang menarik.

    Apabila disebut tentang jenama Itali ini, mungkin ramai yang teringat kepada model sports 1.0 liter RSV4 serta naked Tuono dan Shiver, tetapi waktu EICMA 2019 mereka telah memperkenalkan model sports pertengahan yang dikenali sebagai RS660.

    Model ini banyak mewarisi rekaan daripada RSV4, tetapi menggunakan enjin dua silinder selari 660 cc yang mampu menghasilkan sehingga 100 hp dan berat badan cuma 169 kg. Ia boleh dijangka mempunyai karekter agresif yang sudah sinonim dengan motosikal sports Aprilia dan dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Cruise Control, Aprilia Quick Shift (naik dan turun), Aprilia Engine Brake, Cornering ABS serta pilihan lima mod tunggangan.

    Yamaha Tenere 700
    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Kami tidak boleh menahan diri daripada meletakkan model ini dalam senarai kerana ia boleh dianggap sebagai serba guna dan jika dilihat di Eropah, harganya adalah jauh lebih murah daripada KTM 790 Adventure yang berada dalam segmen sama.

    Antara sebab ia boleh ditawarkan kepada pengguna dengan harga sebegitu adalah kelengkapan yang tidak terlalu berteknologi tinggi kalau dibandingkan dengan model lain. Ia dilengkapi dengan fork USD 43 mm di hadapan, monoshock belakang, rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang yang dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70, tangki bahan api 16 liter, panel paparan LCD, lampu hadapan LED serta pelindung tangan.

    Enjinnya pula adalah sama seperti MT-07, iaitu unit dua silinder crossplane dua silinder selari 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Ducati Streetfighter V4
    Lima motosikal yang ditunggu-tunggu untuk 2020

    Semasa Ducati Panigale V4 baru didedahkan, ramai yang sudah menjangka, ia pastinya akan diikuti seterusnya oleh model naked. Akhirnya pada bulan Oktober lalu, Streetfighter V4 didedahkan sepenuhnya, dengan masih menggunakan asas daripada Panigale V4 termasuklah enjin V Stradale 1,103 cc berkuasa 208 hp pada 12,500 rpm dan 123 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Yang sudah jelas pastinya model ini mempunyai panel badan ringkas, manakala bila dibandingkan pula dengan Streetfighter 1098 sebelum ini, ia mencatat 31% lebih tork pada kelajuan 100 km/j dan berat kering cuma 178 kg. Ia juga ditawarkan dalam dua versi iaitu asas dan Streetfighter V4S.

    Beza utama antara dua versi Streetfighter V4 ini adalah suspensi, di mana model asas mendapat unit boleh laras sepenuhnya secara manual manakala Streetfighter V4 S menggunakan suspensi elektronik Ohlins sama seperti Panigale V4. Sistem elektronik penuh diberikan kepada Streetfighter V4 termasuk Evo 2 Traction Control, Wheelie Control, Slide Control, Engine Braking Control, Power Launch dan quickshifter untuk turun dan naik gear.

    Walaupun dalam senarai ini cuma ada lima model motosikal, tetapi kami percaya anda juga mempunyai harapan dan jangkaan sendiri tidak kiralah model berkapasiti tinggi ataupun rendah. Kalau mahu dimasukkan dua lagi model berkapasiti rendah, kami mahu memasukkan Yamaha NMax 2020 dan juga Honda Winner X. Anda pula? Cuba kongsikan.

     
     
  • Mitsubishi akan bawa tujuh kereta khas ke TAS 2020

    Mitsubishi akan bawa tujuh kereta khas ke TAS 2020

    Mitsubishi telah mengumumkan tujuh kenderaan yang akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2020, dan ia terdiri daripada lima model asas (ada yang menggunakan model asas sama tapi berbeza ubah suai) iaitu eK Cross, Delica D:5, Outlander PHEV, Eclipse Cross dan Super Height K-Wagon.

    Buat masa ini juga, Mitsubishi baru mendedahkan perincian untuk lima model pameran tersebut, bermula dengan eK Cross Wild Beast Concept yang cuba mengetengahkan konsep “rupa outdoor dengan rasa ceria”. Ubah suainya termasuk kemasan hitam keliling lengkuk roda dan bampar, side skirt, grafik camo kelabu, rak bumbung dan tayar all-terrain Toyo Tires Open Country R/T.

    Seterusnya adalah Eclipse Cross Weekend Explore Specification, yang datang dengan suspensi boleh laras daripada Air Force Suspension Japan, dan membenarkan ketinggian kenderaan dinaik atau diturunkan menggunakan alat kawalan jauh atau aplikasi dalam telefon pintar.

    Mitsubishi akan bawa tujuh kereta khas ke TAS 2020

    Kereta ini juga mendapat rak bumbung dan rim offroad Rays Team Daytona M9 yang dibalut dengan tayar Toyo. Sebagai tambahan, Eclipse Cross yang dibuat khas ini turut akan digunakan untuk membuat demonstrasi aplikasi sistem audio “Weekend Explorer” yang boleh disambung dengan telefon pintar.

    Mengikuti trend SUV, Mitsubishi juga akan membawa Outlander PHEV NERV, di mana ia adalah satu projek kolaborasi antara Mitsubishi dan Gehirung Co. sebagai kenderaan bantuan bencana. Antara peralatan penting pada model ini adalah antena satelit planar KYMETA u7 buatan Kymeta Corporation dari Amerika Syarikat, yang menyediakan servis sambungan internet melalui komunikasi satelit oleh SKY Perfect JSAT Corporation.

    Badan kenderaan ini turut dibalut sepenuhnya oleh NERV dan menggunakan rim Crimson Lycan yang dibalut dengan tayar Toyo. Memandangkan Outlander PHEV NERV ini adalah sebuah kenderaan plug-in hybrid, ia boleh membekalkan tenaga buat sementara kepada komuniti waktu kecemasan.

    Dua lagi model yang didedah adalah van Delica D:5, dengan yang pertama sebelum ini digunakan sebagai kenderaan sokongan oleh pasukan New Zealand waktu Piala Ragbi Dunia 2019. Van ini diwarnakan hitam, dengan logo All Blacks dan dipasang dengan rim Advan Racing RZII serta tayar Yokohama Geolandar X-AT G016.

    Delica yang seterusnya mempunyai perubahan yang lebih jelas termasuk lampu berbentuk bulat dan gril dengan jalur yang lebih rapat. Ia dihasilkan dengan input daripada pengarah terkenal Jepun, Terry Ito yang mahu menjadikannya lebih “comel dan mesra”. Rim menggunakan unit Daytona SS dan dibalut tayar Yokohama Geolandar CV G058

     
     
  • Perkhidmatan MRT, LRT, Monorel, BRT dan Rapid KL dilanjutkan operasinya sempena ambang 2020

    Perkhidmatan MRT, LRT, Monorel, BRT dan Rapid KL dilanjutkan operasinya sempena ambang 2020

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan, sempena dengan sambutan ambang Tahun Baharu 2020 yang bakal berlangsung malam ini, waktu operasi rangkaian rel transit dan bas Rapid KL akan dilanjutkan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang menghadiri sambutan itu.

    Di mana ia melibatkan 13 stesen rel transit LRT (Light Rail Transit ), MRT (Mass Rapid Transit), Monorel, BRT (Rapid Transit Bus) serta 14 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.

    Stesen yang akan dilanjutkan perkhidamatan sehingga 1.30 pagi itu ialah LRT Laluan Kelana Jaya melibatkan stesen USJ 7, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan Ampang Park, manakala untuk Laluan Ampang/Sri Petaling melibatkan stesen Bandaraya dan Masjid Jamek.


    Klik untuk besarkan

    Bagi laluan MRT Laluan Sungai Buloh pula stesen terlibat ialah Kajang: Pasar Seni, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara, manakala bagi Laluan Monorel Kuala Lumpur melibatkan stesen Bukit Bintang dan BRT Laluan Sunway membabitkan Sunway Lagoon.

    Manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

    Bagi bas Rapid KL pula, waktu perkhidmatannya akan dilanjutkan hingga 1.30 pagi. Ia melibatkan laluan Taman Sri Muda-Pasar Seni (nombor laluan 751), Subang Suria-Pasar Seni (772), Pandan Mewah-Mushi Abdullah (300), Taman Sentosa-Pasar Seni (640), Terminal Kajang-Lebuh Pudu (450), Taman Melawati-Munshi Abdullah (220), Taman Dato’ Senu-Pasar Seni (180), Taman Jasa Utama-Medan Pasar (173), dan Puchong Utama-Pasar Seni (600).

    Untuk Bas Perantara MRT pula melibatkan destinasi ke Kwasa Sentral (laluan T802 dan T803 (gabungan), Sungai Buloh laluan T101 dan T105 (gabungan), T102/T103 dan Stadium Kajang (T460) selain Laluan BRT-Sunway membabitkan stesen Sunway Lagoon.

    Bagaimanapun, terdapat enam stesen bagi Laluan Sunway-BRT yang akan dilanjutkan sehingga 1 pagi iaitu USJ 7, South Quay, SunU-Monash, Sun Med, Mentari dan Sunway Setia Jaya.

    RapidKL turut menyeru orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan terutama di kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan untuk menyambut ambang Tahun Baharu 2020.

     
     
  • Laluan khas motosikal perlu lebih banyak dibina, termasuk menurap bahu jalan sedia ada – MIROS

    Laluan khas motosikal perlu lebih banyak dibina, termasuk menurap bahu jalan sedia ada – MIROS

    Isu laluan khas motosikal ini memang tak pernah habis. Sebabnya…hingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang muktamad atau pun benar-benar berkesan untuk isu ini. Pelbagai pihak mengeluarkan idea dan kenyataan, tetapi adakalanya pelaksanaan kurang berkesan atau pun buah fikiran tersebut tidak begitu relevan untuk diimplementasikan.

    Hari terakhir 2019, ini ada cadangan terkini yang dikemukakan oleh Pengarah Penyelidikan dan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan.

    Katanya, pembinaan lebih banyak laluan khas motosikal termasuk di jalan sedia ada termasuklah dengan menurap bahu jalan sedia ada. Dengan cara ini, ia dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

    Laluan khas motosikal perlu lebih banyak dibina, termasuk menurap bahu jalan sedia ada – MIROS

    “MIROS berpandangan pembinaan lorong motosikal tidak eksklusif ini dapat mengurangan kadar kemalangan, membabitkan kenderaan dua roda, di negara ini. Pelaksanaan cadangan secara strategik ke atas sistem jalan raya sedia ada ini tidak mustahil dilakukan, jika mempunyai bajet mencukupi,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Muhammad Marizwan turut berkata cadangan pembinaan laluan khas motosikal itu juga, bergantung kepada jumlah pengguna motosikal atau kadar kekerapan kemalangan di sesuatu kawasan, sebelum laluan berkenaan diwujudkan.

    Mengenai cadangan mengehadkan kelajuan motosikal berkapasiti kecil kepada 70km/jam, beliau berpendapat, pelaksanaan itu perlu dilaksanakan, selari dengan pembinaan laluan khas motosikal itu. Ini kerana pembinaan laluan khas motosikal itu dapat membantu pihak berkuasa membuat pemantauan, terhadap undang-undang had laju.

    Berdasarkan statistik 2018, secara puratanya 18 kematian disebabkan kemalangan jalan raya direkodkan sehari di seluruh negara, dengan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal.

     
     
  • DUKE umum 23 lorong RFID di lebuhrayanya sedia beroperasi bagi melancarkan lagi aliran trafik

    DUKE umum 23 lorong RFID di lebuhrayanya sedia beroperasi bagi melancarkan lagi aliran trafik

    Berhubung dengan kenyataan Kementerian Kerja Raya mengenai pelaksanaan kutip tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol dan lebuhraya sistem tol terbuka bagi kenderaan Kelas 1 bakal dimulakan pada 1 Januari 2020, Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KESTURI) pengendali Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) turut mengumumkan sebanyak 23 lorong RFID sedia beroperasi di lebuhrayanya.

    Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, DUKE sudah bersedia untuk menawarkan sistem RFID kepada para penggunanya. Malahan DUKE juga telah menjadi salah satu lebuhraya perintis dalam pembangunan sistem RFID di Malaysia.

    “Untuk pengetahuan umum, sejumlah 23 lorong RFID di kesemua plaza DUKE telah bersedia untuk beroperasi. Malah kami percaya, dengan pembayaran tol secara RFID ini mampu melancarkan lagi aliran trafik di plaza tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti di lorong tol untuk membuat bayaran,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KESTURI.

    Justeru, pihak DUKE juga berharap agar para pengguna dapat beralih kepada sistem pembayaran RFID yang lebih efisien kerana respon positif yang diterima sepanjang ujian rintis RFID dijalankan sejak 2018.

    “Pengguna Lebuhraya DUKE yang ingin mendapatkan pelekat RFID boleh mendapatkannya di Fitment Centre Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Plaza Tol Segambut. Bagi pengguna yang telah memasangnya, diharap sentiasa menyemak baki e-wallet agar ia mencukupi untuk pembayaran tol sebelum memasuki lebuhraya bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa,” ujarnya lagi.

     
     
  • Keputusan ambil alih PLUS dan empat lebuhraya Gamuda dijangka dibuat minggu depan – Lim

    Keputusan ambil alih PLUS dan empat lebuhraya Gamuda dijangka dibuat minggu depan – Lim

    Berhubung dengan pengambilalihan konsesi lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan empat lagi lebuhraya kendalian Gamuda Berhad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan dijangka membuat keputusan minggu hadapan.

    Empat lebuhraya kendalian Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

    Menurut Lim, keputusan itu perlu dibuat segera bagi mengelak kerajaan terpaksa membayar pampasan yang lebih tinggi kepada pengendali tol.

    “Harap minggu depan. Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, dan perlu membayar pampasan. Oleh itu kami perlu membuat keputusan segera atau jika tidak, angkanya akan terus meningkat,” kata Lim seperti dilaporkan Bernama.

    Keputusan ambil alih PLUS dan empat lebuhraya Gamuda dijangka dibuat minggu depan – Lim

    Bagi ambil alih PLUS, Lim turut menjelaskan keputusan tersebut mesti memberi manfaat kepada tiga pihak iaitu kerajaan dan pemilik PLUS; Khazanah Nasional Bhd (51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 49% kepentingan, selain rakyat.

    “Kementerian Kewangan menyokong cadangan Khazanah dan KWSP bagi memastikan mereka memperoleh nilai adil ke atas portfolio pelaburan masing-masing, dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada negara dan pengguna jalan.

    Pengambilalihan itu mesti memenuhi dua syarat, diskaun minimum 18% selain positif di segi fiskal,” sambung Lim lagi.

    Pada Jun lalu, Lembaga Pengarah Gamuda telah sepakat untuk menerima tawaran kerajaan dalam mengambil alih empat syarikat konsesi lebuhraya yang berada di bawahnya. Gamuda memiliki 44% pegangan dalam Litrak (operator bagi LDP), 52% untuk Sprint, 70% untuk Kesas dan 50% untuk Smart.

    Bagi PLUS pula, setakat ini, empat syarikat konglomerat telah menawarkan sejumlah tawaran untuk mengambil alih PLUS. Syarikat tersebut ialah Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd.

     
     
  • Program Subsidi Petrol tidak diteruskan pada Januari 2020, tarikh perlaksanaan akan diumum kemudian

    Program Subsidi Petrol tidak diteruskan pada Januari 2020, tarikh perlaksanaan akan diumum kemudian

    Ini mungkin berita baik untuk mereka yang tidak tersenarai sebagai penerima subsidi petrol dan ternanti-nanti harga RON 95 yang akan diapungkan bulan hadapan – kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa perlaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) akan ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu yang akan diumumkan nanti.

    Ini bermakna, harga petrol RON 95 akan kekal dijual pada harga siling sedia ada iaitu RM2.08 seliter pada Januari 2020, dan bukan mula naik 1 sen sehingga mencapai harga pasaran, yang kini berada pada kadar RM2.33 seliter mengikut Mekanisma Harga Automatik (APM) yang diumumkan minggu lalu.

    Pengumuman ini dibuat berdasarkan Mesyuarat Kabinet yang dijalankan pada 18 Disember lalu, dan menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP, ia dibuat untuk memberi ruang kepada dua perkara iaitu untuk memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat untuk menerima program PSP, dan juga proses pendaftaran penerima dari kelompok M40 yang dikendalikan Kementerian Kewangan (MoF).

    Pengumuman PSP ini telah diumumkan oleh kerajaan pada 7 Oktober 2019, sebagai salah satu perkara untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya ke-14 yang lalu. Menurut kerajaan lagi, sejumlah RM2.4 bilion telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 untuk program ini yang akan memberi manfaat kepada 8 juta rakyat dari kelompok B40 dan M40.

    Dengan pengumuman ini, sistem penetapan harga minyak akan kekal sama seperti minggu-minggu sebelum ini tanpa sebarang perubahan, sehingga satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak. Juga mulai 1 Januari 2020, petrol RON 95 di seluruh negara akan dipertingkat dari gred Euro 2 kepada Euro 4.

     
     
  • Honda RS150R V2 2019 sudah berada di kedai, lima warna termasuk Tricolor dan Repsol, dari RM9.3k

    Honda RS150R V2 2019 sudah berada di kedai, lima warna termasuk Tricolor dan Repsol, dari RM9.3k

    Dalam masa dua minggu lagi, Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd akan melancarkan satu produk baru untuk pasaran Malaysia. Dalam jemputan majlisnya, tidak dinyatakan secara terang apa model baru tersebut tetapi sekarang ada sebuah model Honda baru yang sudah berada di kedai pengedar iaitu RS150R versi dipertingkat (dipanggil ringkas sebagai V2), sama seperti Honda Supra GTR150 yang dilancarkan di Indonesia September lalu.

    Sementara ramai yang menunggu model Winner X dengan perubahan yang lebih besar, RS150R V2 ini pula menampilkan beberapa peningkatan kecil termasuk yang paling utama adalah panel meter digital penuh, unit lampu belakang lebih kecil tanpa panel lutsinar di tepi dan lampu penunjuk arah.

    Selain daripada itu, terdapat juga beberapa perubahan atau penambahan lain pada motosikal ini seperti panel plastik tambahan atas lampu hadapan dan ekor belakang, cermin sisi dan tiada lagi pemula enjin jenis tendang.

    Kami jangkakan, bahagian enjin tidak mengalami sebarang perubahan, di mana ia masih dikuasakan oleh unit satu silinder empat lejang DOHC berpenyejukan cecair 149.16 cc, kotak gear enam kelajuan, serta kuasa 15.6 PS pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang dapat kami lihat pada RS150R V2 yang dipamerkan di Welly Subang ini adalah termasuk tayar IRC 90/80R17 di hadapan dan 120/70 di belakang, serta brek cakera depan dan belakang tanpa ABS.

    Harga rasmi untuk Honda RS150R V2 ini masih belum dikeluarkan oleh BSH, tetapi di Welly Subang, unit berwarna hitam/oren, biru/putih, merah/hitam, dan Tricolor dijual pada harga RM9,300 manakala versi Repsol dijual pada harga RM9,500. Ini adalah harga untuk belian tunai dan termasuk semua kos atas jalan dan insurans.

     
     
  • SPYSHOT: Perodua Bezza facelift 2020 dijumpai – bakal dilancarkan di M’sia dalam masa terdekat?

    SPYSHOT: Perodua Bezza facelift 2020 dijumpai – bakal dilancarkan di M’sia dalam masa terdekat?

    Buat masa sekarang, Proton Saga 2019 dilihat sebagai sedan segmen-A terlaris dalam pasaran – tapi adakah pesaing terdekatnya, Perodua Bezza akan melihat sahaja perkembangan ini? Nah ini dia, kami telah menerima gambar Perodua Bezza facelift 2019 dari pembaca, Ahmad Mukhlis dan satu lagi sumber dari laman car-ideologi.blogspot.com.

    Nampaknya, kereta-kereta tersebut sedang menuju ke bilik-bilik pameran berdasarkan jumlahnya yang agak banyak – mungkin tarikh pelancarannya juga sudah hampir. Berdasarkan imej-imej tersebut, Bezza 2020 nampaknya diberikan perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

    Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan pemadanan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

    SPYSHOT: Perodua Bezza facelift 2020 dijumpai – bakal dilancarkan di M’sia dalam masa terdekat?

    Kami jangkakan tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana pilihan enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear manua lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan yang sama.

    Walau bagaimanapun, kami jangkakan Bezza facelift 2020 akan menerima tingkat taraf sama seperti kembar hatchbacknya iaitu Axia facelift. Ia termasuk lebih banyak varian akan diberikan sistem kestabilan elektronik (ESP) secara standard, manakala model tertinggi akan diberikan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang terdiri dari sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Pada bahagian kabin, sedan ini mungkin akan diberikan berberapa perubahan, antaranya perehat badan tempat duduk belakang yang direka dengan sudut lebih condong kebelakang. Dengan rupa awal yang muncul ini, bagaimana? Adakah anda rasa kedudukan Proton Saga akan kembali tergugat?

     
     
  • PLUS umum bayaran tol guna RFID di 10 plaza tol bermula 1 Jan 2020 – 83 plaza tol lagi bermula 1 April

    PLUS umum bayaran tol guna RFID di 10 plaza tol bermula 1 Jan 2020 – 83 plaza tol lagi bermula 1 April

    PLUS hari ini mengumumkan perlaksanaan bayaran tol menerusi RFID Touch ‘n Go di 10 buah plaza tol sistem terbuka di lebuhraya kendalian syarikat itu bermula 1 Januari 2020. Bermula pada tarikh tersebut, transaksi tol menggunakan RFID Touch ‘n Go akan dibuka kepada semua kenderaan persendirian (Kelas 1).

    10 plaza tol PLUS yang terlibat adalah seperti berikut:

    • Jitra (Lebuhraya Utara-Selatan)
    • Lunas (Lebuhraya Butterworth-Kulim)
    • Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim)
    • Jambatan Pulau Pinang
    • Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson)
    • Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson)
    • Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan)
    • Perling (Lebuh raya Linkedua)
    • Lima Kedai (Lebuh raya Linkedua)
    • Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua)

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi menjelaskan, “Sistem RFID Touch ‘n Go yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet merupakan pilihan mod pembayaran yang terkini. Ia juga memudahkan pelanggan lebuhraya untuk menambah nilai tol secara atas talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.”

    “Pada masa sama, lebih banyak pilihan pembayaran sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet. Pelanggan bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk menukar mod pembayaran apabila kemudahan ini tersedia dalam masa terdekat,” tambah Zakaria.

    PLUS umum bayaran tol guna RFID di 10 plaza tol bermula 1 Jan 2020 – 83 plaza tol lagi bermula 1 April

    Kenderaan Kelas 1 adalah kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi, manakala plaza tol sistem terbuka adalah sistem di mana kadar tol telah ditetapkan berdasarkan kelas kenderaan (tanpa mengira jarak perjalanan). Bagaimanapun, mod pembayaran tol yang sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih lagi diterima seperti biasa di lebuh raya PLUS.

    Sementara itu, sistem RFID di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

    Bagi mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go, pelanggan PLUS boleh berbuat demikian di 130 pusat pemasangan yang disediakan oleh Touch ‘n Go. Maklumat lanjut mengenai pusat-pusat pemasangan ada di sini dan juga di sini.

    “PLUS juga ingin memaklumkan bahawa transaksi tol menggunakan teknologi RFID Touch ‘n Go di 83 plaza tol sistem tertutup di lebuhraya kendaliannya akan dilaksanakan pada 1 April 2020. Plaza tol sistem tertutup adalah sistem di mana kadar tol adalah berdasarkan pada kelas kenderaan dan jarak perjalanan apabila kenderaan tersebut masuk dan keluar dari lebuhraya,” tambah Zakaria.

     
     
  • Petron mula jual RON95 Euro 4M di semua stesennya

    Petron mula jual RON95 Euro 4M di semua stesennya

    Tinggal berbaki 2 hari saja lagi tahun baharu 2020 bakal menjelma. Menghangatkan lagi ambang dekad baharu ini, Petron telah mengumumkan penjualan petrol RON 95 Euro 4M di semua stesennya telah pun bermula.

    Ia adalah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan seperti mana yang telah diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di mana mulai Januari 2020 ini, petrol RON95 berkualiti tinggi dengan spesifikasi standard bahan bakar Eropah EURO4M (E4M) mula dijual di stesen minyak seluruh negara.

    Minggu lalu, Shell menjadi stesen minyak pertama yang memperkenalkan RON 95 Euro 4M, diikuti oleh Petronas yang turut mengambil langkah yang sama.

    Spesifikasi bahan api Euro 4 ini mengandungi kandungan sulfur sebanyak 50 parts per million (ppm) iaitu angka ini kurang separuh daripada kandungan sama yang terdapat pada petrol RON 95 dengan piawaian Euro 2M sebelum ini. Sekaligus memberikan emisi kenderaan yang lebih rendah.

    Januari 2020 ini juga menyaksikan harga bagi petrol RON 95 mula diapungkan. Di mana setiap kali semakan harga minyak dilakukan, kerajaan akan memastikan ia hanya naik sebanyak satu sen pada setiap minggu sehinggalah mencapai harga pasaran, sebagai contoh, harga pasaran untuk minggu ini adalah RM2.33. Dan harga yang diapungkan itu tidak akan melebihi harga yang ditetapkan di pasaran.

     
     
  • Mitsubishi tamatkan pembangunan enjin diesel baharu akhir 2021 – hanya naik taraf penjana kuasa sedia ada

    Mitsubishi tamatkan pembangunan enjin diesel baharu akhir 2021 – hanya naik taraf penjana kuasa sedia ada

    Mitsubishi Motors sudah nekad membuat keputusan untuk menamatkan pembangunan enjin diesel baharu menjelang akhir 2021. Laporan daripada Nikkei Asia menyebut pengeluar kenderaan Jepun itu berbuat demikian bagi mengurangkan perniagaan kenderaan berasaskan diesel sedia ada kumpulan automotif terkemuka dunia itu.

    Ini kerana persekitaran pasaran kenderaan yang dijanakan enjin diesel makin kurang menjadi pilihan, terutama di Eropah dengan jualan globalnya dijangka susut sehingga 40% dalam tempoh 10 tahun akan datang. Walau bagaimana pun, Mitsubishi Motors tidak akan menamatkan keseluruhan barisan kenderaan diesel dalam pasaran, sebaliknya hanya melibatkan beberapa model sahaja yang akan digugurkan enjin dieselnya termasuklah SUV Outlander.

    Menurut Nikkei lagi, walau bagaimana pun, Mitsubishi Motors akan meneruskan pembangunan enjin sedia ada yang hanya terhad kepada menaik taraf penjana kuasa sedia ada. Malahan tawaran model diesel Mitsubishi juga akan terhad kepada trak kecil dan beberapa model SUV di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) serta model van mini, Delica D:5 yang dihasilkan di Jepun.

    Mitsubishi tamatkan pembangunan enjin diesel baharu akhir 2021 – hanya naik taraf penjana kuasa sedia ada

    Mitsubishi juga menjangkakan peratusan kenderaan diesel yang dibangunkan akan berkurangan sebanyak 20% daripada keseluruhan barisan kenderaan keluarannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, berbanding 24% pada 2018.

    Sebelum ini, ada beberapa lagi pengeluar kenderaan dari Jepun yang turut mengambil langkah yang sama. Antaranya Nissan yang merancang untuk menamatkan pengeluaran enjin dieselnya menjelang akhir 2020. Begitu juga dengan Toyota yang telah mengumumkan untuk menamatkan penjualan kenderaan penumpang yang dijanakan enjin diesel secara berperingkat, selain Honda yang turut bakal mengambil langkah yang sama menjelang akhir 2021. Keputusan ini banyak dipengaruhi oleh penyusutan permintaan terhadap kenderaan diesel dan peraturan ketat yang ditentukan oleh Eropah.

     
     
  • Proton serahkan X70 kepada Kementerian Kewangan; dikendali SPANCO untuk kegunaan pegawai JUSA

    Proton serahkan X70 kepada Kementerian Kewangan; dikendali SPANCO untuk kegunaan pegawai JUSA

    Proton telah menyerahkan sebuah SUV segmen-C X70 kepada Kementerian Kewangan (MoF) semalam, yang akan digunakan oleh Setiausaha Bahagian Badan Berkanun untuk Bahagian Pengurusan Strategik, Dato’ Shahrol Anuwar Sarman. Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Operasi SPANCO En.Shaheeran Jalalludin, Pengarah Kumpulan Kejuruteraan Proton En Hazrin Fazail Haroon, dan Pengarah Jualan Korporat Proton En Fazli Hisham Shukor.

    Menurut Proton, selain dari unit yang diserahkan kepada MoF tersebut, sehingga kini lebih daripada 500 tempahan telah dibuat untuk kegunaan Kerajaan Malaysia dan lebih daripada 400 unit telah diserahkan. Syarikat tersebut turut optimis bahawa jenama mereka bakal menjadi salah satu kenderaan rasmi untuk pegawai-pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

    “Proton X70 telah menjadi penyumbang yang tidak ternilai kepada kejayaan PROTON pada tahun 2019, jadi kami berbangga kerana ia sekarang memainkan peranan rasmi untuk sektor perkhidmatan awam. Ini membuktikan kesesuaiannya untuk beberapa tugas termasuk mewakili pelbagai kementerian di peringkat peringkat tempatan dan antarabangsa. Kami juga menjangka menerima lebih banyak tempahan untuk Proton X70 dari pelbagai jabatan kerajaan pada tahun 2020, “kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Keputusan oleh kerajaan Malaysia dan SPANCO bagi menempah Proton X70 untuk flit adalah pengumuman utama kedua yang melibatkan SUV tersebut dengan kerajaan Malaysia. Terdahulu pada awal bulan ini, Proton X70 telah diumumkan akan digunakan untuk digunakan oleh Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 sepanjang tahun.

    “Proton akan terus bekerjasama rapat dengan pembekal perkhidmatan seperti SPANCO untuk memastikan kami dapat menyokong keperluan kenderaan rasmi oleh agensi sektor awam dan jabatan kerajaan. Sebagai jenama automotif Malaysia, kami mahu terus menunjukkan sokongan kami kepada negara dan memainkan peranan dalam pembinaan negara,”tambah Dr Li.

     
     
  • Harga bahan api minggu terakhir 2019 – RON 97 naik

    Harga bahan api minggu terakhir 2019 – RON 97 naik

    Akhirnya, kita telah tiba di minggu terakhir harga bahan api RON 95 diberikan subsidi. Untuk minggu hadapan, bermula tengah malam ini hingga 3 Januari 2020, petrol RON 97 akan dijual pada harga RM2.58 sen seliter atau lima sen lebih mahal dari minggu sebelumnya.

    Menurut kementerian kewangan, RON 95 yang masih kekal dijual pada harga siling RM2.08 sen seliter dan diesel Euro 2M berharga RM2.18 sen seliter minggu ini sepatutnya dijual pada harga masing-masing RM2.33 dan RM2.39 mengikut Mekanisma Harga Automatik (APM). Ini menyebabkan kerajaan menyerap subsidi sejumlah RM117.06 juta untuk kedua-dua bahan api tersebut untuk minggu seterusnya.

    Sama seperti sebelum ini, bahan api diesel Euro 4 akan dijual pada harga 10 sen lebih mahal, iaitu RM2.28 sen seliter untuk tempoh seminggu ini.

    Harga bahan api minggu terakhir 2019 – RON 97 naik

    Seperti yang telah diumumkan kerajaan, bermula Januari 2020, harga siling RM2.08 untuk RON 95 tidak lagi akan digunakan, dan ia akan diapungkan mengikut harga pasaran. Namun untuk golongan yang layak, mereka akan menerima skim subsidi bersasar baharu iaitu Program Subsidi Petrol (PSP).

    Walau bagaimanapun, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan harga RON 95 tidak akan naik secara mendadak, kerana ia akan kawal dengan menaikkan harganya satu sen setiap minggu sehingga mencapai harga pasaran, di mana buat masa sekarang seperti dinyatakan tadi berada pada kadar RM2.33 seliter.

    Mulai 1 Januari 2020 juga kerajaan telah menetapkan bahawa semua petrol RON 95 akan beralih dari gred Euro 2 kepada Euro 4 yang lebih bersih, di mana Shell telah mula menjualnya di stesen-stesen terpilih, manakala Petronas lebih agresif kerana menggantikan semua petrol berkenaan pada semua stesennya seluruh negara.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026