Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri Lexus Safety System +

    PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri Lexus Safety System +

    Hampir tengah malam, dan saya baru ingin memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lumut. Biasanya, saya akan cuba untuk tidak memandu lewat malam dan tiba dini hari. Melainkan dalam beberapa keadaan, situasi seperti itu tidak dapat dielakkan. Dalam kes ini, keesokan paginya perlu meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang pula.

    Mujur malam itu, yang akan menemani perjalanan ialah Lexus RX 300 Luxury terbaru. Ia sedikit sebanyak memberikan semacam satu “jaminan” yang perjalanan akan baik-baik sahaja. Banyak faktor mengapa saya selagi boleh akan mengelak perjalanan lewat malam dan awal pagi seperti ini. Paling utamanya berkaitan keselamatan. Maksud saya, antaranya ialah keadaan kenderaan yang digunakan.

    Hal-hal sekecil tayar bocor di lokasi jalan lama saja sudah boleh mengundang perkara-perkara lain terjadi. Inikan pula masalah-masalah lain, yang tentunya meletakkan kita sedikit sukar untuk mendapatkan bantuan dengan pantas. Jika anda fikir kereta baru langsung tidak akan pernah memberikan anda masalah, anda silap. Kedua, perjalanan yang selalu ditempuh seperti itu cukup mudah menimbulkan rasa bosan. Untungnya, kita sudah boleh mengagak suasana dan selok-belok jalan kerana sudah biasa berulang-alik.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Suzuki Swift Katana Edition yang lebih liar bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2020 bulan hadapan

    Suzuki Swift Katana Edition yang lebih liar bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2020 bulan hadapan

    Mei lalu, Suzuki telah memperkenalkan model Swift Sport istimewa iaitu Swift Sport Katana Edition – dihasilkan hanya 30-unit, dijual hanya untuk pasaran Belanda – sempena kemunculan semula motosikal ikonik jenama berkenaan iaitu Suzuki Katana.

    Berita yang baru kami terima, Swift Sport Katana Edition ini akan dihasilkan lagi, mungkin hanya konsep, mungkin hanya untuk pasaran domestik Jepun (JDM), tetapi yang pasti ia akan didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 pertengahan bulan hadapan.

    Suzuki masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan kereta ini, tetapi berdasarkan gambar yang disertakan bersama pengumuman ini, Swift Katana tersebut nampaknya jauh lebih liar dari versi di Belanda sebelumnya – menampilkan kit badan lebar dan juga tiga corong ekzos dilihat keluar dari sisi kiri badannya!

    Masih menggunakan tema warna perak-hitam-merah, Swift Katana versi baharu ini menampilkan grafik badan yang berbeza, dan nampak lebih ‘samurai’. Elemen hitam diberikan pada bumbung cermin sisi dan bahagian bawah badan, manakala jalur merah pula diberikan pada bahagian atas spoiler hadapan, serta sisi badan yang turut diberikan grafik seperti dikelar pedang Katana.

    Untuk Swift Katana Belanda, ia masih mengekalkan enjin K14C 1.4 liter turbo berkuasa 140 PS/230 Nm seperti Swift Sport standard, tetapi diberikan penambahbaikkan lain seperti sistem ekzos dari Remus, palang strut hadapan Cusco Power Brace, serta suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax. Berdasarkan rupa, tidak mustahil spesfikasi lebih mengujakan akan tampil pada Swift Katana Jepun ini.

    Tak lengkap ruang pameran Suzuki kalau tiada Jimny – jika pada TAS 2019 mereka membawa Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept yang kelihatan seperti model retro Toyota BJ40, tahun 2020 nanti satu lagi Jimnya akan di bawa, diberi nama Sierra Marine Style.

    Menurut Suzuki, ini adalah Jimny edisi khas untuk kaki pancing, dan ia diberikan upholsteri kabin dari material sama dengan bahan untuk membuat suit basah, bumbung lebih tinggi seakan Land Rover Defender, bar lampu LED pada bumbung, kanopi mudah simpan pada setiap sisi, dan juga set rim bersama tayar off-road sebenar.

    Suzuki juga akan membawa kei-crossover Hustler diberi nama Hustler Street Base. Kereta tersebut diberikan warna badan matte dan memang dibuat agar kelihatan seperti kotak barangan, dan ia direka untuk golongan muda yang aktif dengan aktiviti seperti bermain papan luncur dan basikal BMX.

    GALERI: Suzuki Swift Sport Katana Edition pasaran Belanda

     
     
  • Volkswagen Passat B8 facelift – teaser varian 2.0 TSI Elegence untuk pasaran Malaysia disiarkan

    Volkswagen Passat B8 facelift – teaser varian 2.0 TSI Elegence untuk pasaran Malaysia disiarkan

    Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) telah menyiarkan imej teaser untuk model Passat B8 versi facelift, dalam varian Elegance pada laman rasmi mereka. Serentak dengan itu, anda turut boleh mendaftarkan minat di laman berkenaan.

    Model kemaskini tersebut menerima berberapa perubahan pada bahagian luaran. Pada bahagian hadapan, ia diberikan bampar dengan perumah lampu kabus yang lebih bersegi, gril yang disentuh semula dan juga lampu utama lebih nipis.

    Di belakang pula, Passat facelift tersebut dipadankan dengan lampu belakang LED baharu, bampar bersama perumah corong ekzos baharu, manakala perkataan “Passat” dialih ke bawah logo VW seperti pada model Arteon.

    Berpandukan gambar Passat B8 facelift tersebut yang ditemui di bawa dengan lori pengangkut minggu lalu, model pasaran Malaysia akan menerima lampu hadapan LED matrix IG.Light, dan juga rim aloi 18-inci “Liverpool” bersama tayar 235/45R18.

    Ia akan dipasarkan sebagai 2.0 TSI Elegence – seperti versi Eropah yang didedahkan Februari lalu, enjin ini ditala dengan kuasa lebih rendah 190 PS/320 Nm (berbanding 220 PS/350 Nm untuk model pre-facelift), manakala kotak gear automatik DSG enam-kelajuan klac berkembar jenis basah akan digantikan unit tujuh-kelajuan. Enjin 1.8 liter TSI dijangka akan digugurkan untuk pasaran Malaysia.

    Tiada sebarang imej lagi untuk bahagian dalaman bagi versi pasaran tempatan ini. Berdasarkan model pasaran luar, hanya sedikit perubahan dapat dilihat – antaranya adalah papan meter digital Active Display Info bersaiz 11.7-inci yang memaparkan grafik lebih jelas.

    Untuk sistem infotainmen pula, model facelift ini hadir dengan sistem baharu Modular Infotainment Matrix (MIB3), namun masih belum jelas pasaran Malaysia akan dibekalkan dengan sistem yang mana kerana ada tiga sistem berbeza disediakan untuk Passat, bermula dengan sistem Composition Media tanpa sistem navigasi dengan skrin 6.5-inci, hingga sistem lengkap Discover Pro dengan skrin 9.2-inci.

    GALERI: Spyshot Volkswagen Passat B8 facelift di Malaysia

     
     
  • Volkswagen bangunkan robot bergerak untuk cas EV

    Volkswagen bangunkan robot bergerak untuk cas EV

    Dengan semakin banyak kereta elektrik atas jalan sekarang, memastikan infrastruktur mengecas yang cukup juga boleh jadi mencabar, dari aspek kesukaran dan juga kos. Dalam beberapa senario, lokasi itu sendiri tidak membenarkan stesen pengecas konvensional dipasang di situ.

    Bagi menyediakan penyelesaian kepada masalah tersebut, Volkswagen sedang membangunkan robot pengecas boleh bergerak yang dikawal menggunakan aplikasi atau komunikasi V2X. Apabila aktif, keseluruhan proses mengecas, dari membuka penutup tempat mengecas, memasukkan soket dan mencabut semula apabila selesai boleh dilakukan tanpa sebarang sentuhan daripada manusia.

    “Robot pengecas boleh gerak ini akan mencetus satu revolusi apabila tiba waktu mengecas di pelbagai tempat letak kereta seperti yang bertingkat dan bawah tanah, kerana kami membawa infrastruktur pengecas tersebut kepada kereta dan bukan sebaliknya,” kata ketua pembangunan Volkswagen Group Component, Mark Möller.

    Volkswagen bangunkan robot bergerak untuk cas EV

    Selain dilengkapi dengan teknologi V2X, robot ini juga dipasang dengan pelbagai kamera, pengimbas laser dan pengesan ultrasonik untuk menyokong fungsi autonomous padanya. Semasa beroperasi, robot ini akan membawa kotak penyimpan tenaga (dipanggil battery wagons) kepada kereta dan menyambungkannya. Setiap battery wagon mempunyai kapasiti 25 kWh dan boleh menampung sistem pengecasan pantas DC sehingga 50 kW.

    Alat ini akan berada dengan kenderaan sepanjang proses mengecas berjalan, sementara robot itu pula boleh pergi memberikan servis kepada kenderaan lain yang perlu dicas. Robot ini boleh membawa beberapa unit penyimpan tenaga pada masa sama, sebelum dihantar semula ke stesen pengecasan khas apabila kereta selesai dicas.

     
     
  • GALERI: Mazda MX-5 RF yang diperbaharui – RM260k

    GALERI: Mazda MX-5 RF yang diperbaharui – RM260k

    Pada bulan Ogos yang lalu, Mazda Malaysia telah melancarkan model MX-5 yang dipertingkat, dalam versi RF ‘targa top’ dengan harga RM259,154 untuk transmisi manual dan RM260,354 bagi automatik. Ini menyaksikan peningkatan harga hampir RM37,000 berbanding sebelum ini namun ia datang dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan juga pakej servis percuma lima-tahun/100,000 km. Berikut adalah galeri model tersebut.

    Bermula dengan bahagian enjin, ia masih dikekalkan dengan unit 2.0 liter NA SkyActiv-G empat-silinder petrol. Tetapi beberapa bahagian telah direka semula seperti piston, connecting rod, crankshaft, throttle body dan intake valve, membuatkan enjin ini boleh dikerah 700 rpm lebih tinggi, iaitu hingga 7,500 rpm, dengan peningkatan kuasa sehingga 184 PS (meningkat dari 160 PS) pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm (meningkat dari 200 Nm) pada 4,000 rpm.

    Bukan itu sahaja, Mazda turut menambah baik bunyi pada enjin, dengan membuang material dari struktur dalaman muffler dan juga melakukan sedikit peningkatan bagi mengurangkan bunyi bising berfrekuensi-tinggi. Seperti sebelum ini, ia juga didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual enam-kelajuan.

    Lain-lain peningkatan kecil termasuklah pelarasan bagi stereng teleskopik, kawalan kelajuan dan juga paparan pelbagai-info TFT LCD berwarna 4.6-inci. Malahan, MX-5 RF 2019 kini dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard menerusi sistem infotainmen Mazda Connect dan juga skrin sesentuh tujuh-inci.

    Ciri standard termasuklah lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matrix, lampu nyalaan siang LED, roda aloi 17-inci dengan kemasan hitam baharu, sensor undur, kemasukan tanpa kunci dengan pengunci ‘walk-away’, butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin auto, cermin pandang belakang anti-silau, pendingin hawa auto, upholsteri kulit dan sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara (termasuk pembesar suara bahagian perehat kepala).

    Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan empat beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan amaran ketibaan lorong, tetapi tidak disertakan dengan brek kecemasan sendiri yang telah diperkenalkan di peringkat global untuk model 2019, begitu juga kamera undur.

     
     
  • Subaru Levorg Prototype STI Sport dipertontonkan sedikit menjelang TAS 2020 – enjin 1.8L turbo boxer

    Subaru Levorg Prototype STI Sport dipertontonkan sedikit menjelang TAS 2020 – enjin 1.8L turbo boxer

    Dalam penganjuran Tokyo Motor Show tahun ini, Subaru sempat mempertontonkan Levorg Prototype baharu yang digambarkan sebagai generasi kedua bagi model station wagon berkenaan. Terkini, pengeluar kereta Jepun terbabit mengeluarkan pula video yang memaparkan model Levorg Prototype STI Sport, menjelang penganjuran Tokyo Auto Salon (TAS) yang bakal berlangsung pada Januari 2020.

    Seperti model Subaru lain yang dihadirkan dengan rekaan “STI Sport”, wagon ini juga dilengkapi beberapa aksesori untuk memberikannya imej yang lebih agresif, termasuklah kit badan dan set roda baharu. Kami juga menjangkakan ciri prestasinya akan ditambah termasuk sistem ekzos STI serta suspensi dan brek yang lebih menguja.

    Walau pun Subaru masih belum mendedahkan perincian teknikal model ini, namun difahamkan ia akan dilengkapi enjin baharu 1.8 liter pengecas turbo suntikan-terus boxer empat-silinder. Ia akan dipadankan dengan sistem Symmetrical All-Wheel Drive dan juga Lineartronic CVT.

    Wagon ini juga akan menerima sistem EyeSight ciptaan Subaru sendiri, yang menampilkan larasan kamera stereo yang diperbaharui dengan sudut pandangan yang lebih lebar. Sistem ini juga akan disokong oleh empat radar pengesan di bahagian bampar hadapan dan belakang, yang membolehkan pengesanan 360 darjah di sekeliling kenderaan. Sementara fungsi brek pra-pelanggaran juga akan diperluaskan termasuk untuk lintasan dan membelok di persimpangan yang rendah tahap penglihatannya.

    Seperti model Subaru yang lain (XV, Ascent, Impreza dan Forester), Levorg baharu ini juga menggunakan Subaru Global Platform yang pertama kali dipamerkan menerusi Viziv Tourer Concept di Geneva Motor Show 2018. Walau pun ia masih dilabelkan sebagai “Prototype”, Levorg ini sebenarnya cukup bersedia untuk diproduksi dalam masa terdekat ini, dan pelancaran untuk jualan dijadualkan berlangsung di Jepun pada separuh kedua 2020.

    GALERI: Subaru Levorg Prototype di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Modenas Pulsar NS200 ABS kini di M’sia – RM9,655

    Modenas Pulsar NS200 ABS kini di M’sia – RM9,655

    Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) kini memperkenalkan tambahan varian terbaru bagi model Pulsar edarannya, NS200 ABS. Pertama kali dilancarkan untuk pasaran tempatan pada 2017 – dengan rakan strategik baru dari India, Bajaj – model yang kini telah terjual lebih daripada 6,000 unit sejak pelancarannya itu kini menerima versi dengan ciri Anti-Lock Braking System (ABS).

    Pertambahan terbaru ini, dengan gandingan unit enjin 200 cc DTS-i yang menjana sebanyak 18 kW dan 18.6 Nm, ia menjadikan pakej penawaran Pulsar NS200 lebih lengkap dan menarik berbanding ketika pengenalannya, sekaligus memberikan lebih nilai tambah kepada pengguna.

    Modenas Pulsar NS200 ABS kini di M’sia – RM9,655

    “Di Modenas, kami selalu ingin menjadikan motosikal kami lebih baik dengan kelengkapan keselematan serta teknologi terkini menjadi antara keutamaannya. Motosikal dengan ABS secara umumnya lebih selamat. Jika anda ingin mendapatkan Pulsar NS200, kami sarankan agar membeli versi ABS ini untuk lebih ciri keselamatan,” jelas CEO Modenas, Roslan Roskan.

    Varian terbaru Modenas Pulsar NS200 ABS ini kini boleh didapati melalui semua pengedar sah Modenas di seluruh negara dengan harga jualan RM9,655 – hanya RM433 lebih mahal berbanding harga pengenalannya dahulu. Ia ditawarkan dalam empat pilihan warba – Graphite Black, Mirage White, Wild Red dan kuning.

     
     
  • Mewajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak ‘popular’, tetapi sangat perlu untuk jamin keselamatan

    Mewajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak ‘popular’, tetapi sangat perlu untuk jamin keselamatan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, meningkatkan keselamatan di jalan raya kekal menjadi keutamaan kementerian berkenaan. Untuk itu, kementerian akan terus membangkitkan isu-isu berkaitan — dan melaksanakan dasar-dasar yang difikirkan perlu – walaupun ada waktunya keputusan sebegitu bukanlah pendekatan yang “popular”.

    Beliau merujuk kepada penggunaan wajib bagi kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, sebagai contoh. Katanya, kerajaan perlu bersikap tegas terhadap keputusan berkenaan dan melaksanakannya – yang akan bermula pada Januari ini – walaupun terdapat banyak bantahan dan reaksi negatif daripada beberapa pihak.

    Beliau menegaskan bahawa keputusan itu tidak pernah bermaksud untuk menyusahkan ibubapa, sebaliknya sangat penting kerana tanpa penggunaan kerusi keselamatan berkenaan, angka kanak-kanak yang terlibat, tercedera bahkan maut di dalam kemalangan akan menjadi lebih tinggi, seperti yang dapat diperhatikan sebelum ini, lapor Bernama.

    Mewajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak ‘popular’, tetapi sangat perlu untuk jamin keselamatan

    “Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan dan keselamatan jalanraya, saya perlu melakukan ini walaupun menerima banyak kritikan kerana mengambil tindakan yang dilihat tidak popular ini. Sebaliknya, saya sangat yakin ini merupakan langkah terbaik untuk memastikan keselamatan pengguna jalanraya terutamanya kanak-kanak, dalam jangka panjang,” jelas beliau.

    “Kami tahu, ada beberapa pihak yang membantah dan merungut tentang bagaimana kerusi keselamatan ini menjadi beban kepada mereka kerana ia mahal dan menyusahkan. Kami memang menjangkakan maklumbalas seperti ini, kerana setiap langkah keselamatan yang ingin dilaksanakan akan mengambil sedikit masa untuk diterima oleh orang-ramai,” tambah beliau.

    Menurut beliau lagi, hal serupa ketika pengguna diwajibkan menggunakan tali pinggang keledar atau topi keledar ketika ia dikuatkuasakan pada 1970an dulu. “Kini Malaysia telah sampai ke tahap penggunaan tali keledar dan topi keledar pada kadar yang sangat tinggi berbanding negara jiran yang lain. Jadi, kita tahu reaksi seperti ini memang akan wujud ketika peringkat awal perlaksanaan,” ujar beliau.

    Mewajibkan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak ‘popular’, tetapi sangat perlu untuk jamin keselamatan

    Anthony juga menambah, tiada tindakan tegas atau saman yang akan dikenakan dalam tempoh enam bulan selepas peraturan ini mula dilaksanakan nanti. Ini kerana, kerajaan mengambil pendekatan untuk mendidik dan membiarkan pengguna terbiasa terlebihd dahulu dengan perubahan berkenaan.

    “Kami ingin orang-ramai tahu bahawa ini dalah untuk keselamatan mereka dan kanak-kanak. Sebab itu pendekatan yang lebih lembut diperkenalkan bagi fasa pertama ini. Ia bertujuan untuk mendidik,” tambah beliau. Tentang rungutan kerusi keselamatan berkenaan yang dikatakan agak tinggi, Anthony percaya harganya akan menjadi lebih rendah apabila bekalannya bertambahn nanti. Jelasnya, kerajaan juga memainkan peranan untuk meninjau harga dalam pasaran.

     
     
  • McLaren Speedtail model paling laju dan maju – kuasa 1,050 PS, 1,150 Nm tork, laju maksimum 403 km/j

    McLaren Speedtail model paling laju dan maju – kuasa 1,050 PS, 1,150 Nm tork, laju maksimum 403 km/j

    McLaren Speedtail pertama kali ditunjukkan pada Oktober 2018. Sejak dari itu ia masih lagi melalui ujian pembangunan, sebelum dilancar secara rasmi, diserahkan kepada pelanggan dan menjadi kereta jalanan McLaren paling hebat pernah dihasilkan.

    Ujian kelajuan tinggi baru sahaja selesai di landasan kapal angkasa Kennedy Space Centre di Florida, dan ia menyaksikan Speedtail boleh mencecah kelajuan maksimum 403 km/j sebanyak 30 kali. Ini sekaligus menguatkan lagi dakwaan bahawa Speedtail adalah McLaren paling pantas pernah dihasilkan. Ia juga adalah kereta paling maju keluaran syarikat itu.

    “Memang padan program ujian kelajuan tinggi Speedtail tamat dengan beberapa sesi laju maksimum di sebuah lokasi yang dikait rapat dengan menolak sempadan prestasi ekstrem dan kecemerlangan kejuruteraan. Speedtail adalah sebuah kereta sangat luar biasa yang mencerminkan semangat peneraju McLaren dan keazaman untuk mencatat tahap baru untuk supercar dan hypercar.

    McLaren Speedtail model paling laju dan maju – kuasa 1,050 PS, 1,150 Nm tork, laju maksimum 403 km/j

    Sebagai imbasan semula, Speedtail mempunyai panjang hampir 5.2 meter, dan menurut McLaren, rekaan ini diperlukan bagi “melancarkan lagi aliran udara di atas dan bawah kereta, sekaligus mengurangkan pergolakan.” Perincian teknikal penuh belum didedahkan, tapi ia diberitahu mempunyai kuasa 1,050 PS dan 1,150 Nm tork dari unit hibrid petrol-elektrik (jangkaannya gabungan enjin V8 4.0L twin turbo). Beratnya pula cuma 1,430 kg.

    Aspek aerodinamik kereta ini turut dibantu dengan sistem Velocity Active Chassis Control. Dengan menekan butang mod Velocity, ia akan melaras sudut aileron belakang, menyembunyikan kamera sisi, dan kereta ini akan direndahkan 35 mm lagi bagi merapatkan badan ke permukaan tanah pada jarak hanya 1,120 mm untuk membolehkan ia mencapai kelajuan 402 km/j (250 bs/j).

    McLaren Speedtail dijual pada harga bermula £1.75 juta (RM9.4 juta). Walau bagaimanapun, pembuat kereta sport tersebut hanya menghasilkan sejumlah 106 unit Speedtail (sama seperti produksi McLaren F1 dahulu) dan kesemuanya sudahpun habis dijual sebelum kereta ini didedahkan.


     
     
  • Daihatsu Taft Concept dipamer di Tokyo Auto Salon

    Daihatsu Taft Concept dipamer di Tokyo Auto Salon

    Kurang lebih dua minggu lagi, Tokyo Auto Salon 2020 akan menarik perhatian ramai peminat kereta untuk dihalakan ke sana. Dalam banyak jenama dan model-model “bikin” yang akan dipamerkan, Daihatsu juga tidak mahu tertinggal bas – jenama kereta kompak Jepun ini akan ditunjukkan buat pertama kalinya model Taft Concept.

    Versi sebenarnya dijangka akan dilancarkan pertengahan tahun depan. Bakal menjadi pesaing langsung kepada model seperti Suzuki Hustler, nama Taft ini sebenarnya mula digunakan sejak 1974 lagi, pada sebuah SUV 4×4 – yang membawa maksud “Tall & Almighty Four-wheel Touring Vehicle”. Namun, memandangkan model terbaru ini kemungkinan besar akan menggunakan sistem pacuan roda depan (pacuan semua roda ditawarkan sebagai pilihan, seperti biasa di Jepun), nama panjangnya diubah kepada “Tall & Almighty Fun Tool”.

    Daihatsu Taft Concept dipamer di Tokyo Auto Salon

    Walaupun sekadar sebuah kereta untuk dipamerkan, Taft Concept sebenarnya merupakan model yang hampir dengan versi produksinya – ditampilkan oleh model WakuWaku ketika Tokyo Motorshow 2019 Oktober lalu. Ia menampilkan rekaan keseluruhan yang hampir serupa, berpetak dengan lampu depan oktogonal serta bampar yang berisi dan diikuti tingkap berpetak yang agak luas.

    Sedikit berbeza dengan WakuWaku adalah Taft Concept ini memiliki pemegang pintu biasa. Daihatsu juga memaklumkan bahawa Taft datang dengan sunroof yang luas, serta ruang barangan yang rendah dan mendatar untuk memudahkan pengguna. Bagaimanapun, belum ada perincian teknikal yang didedahkan. Namun, andaiannya Taft akan menggunakan unit enjin dari siri KF dengan kapasiti 658 cc NA serta turbocas untuk menepati peraturan bagi kei car.

    Daihatsu Taft Concept dipamer di Tokyo Auto Salon

    Selain Taft Concept, Daihatsu akan membawa beberapa lagi model untuk dipamerkan. Antaranya termasuk dua versi model Tanto, SUV Rocky baru yang dipasang pelbagai aksesori serta Copen GR Sport dan tak lupa juga dua van Hijet yang siap dimodifikasi. Van yang pertama adalah usahasama dengan Peak Magazine, dan yang kedua sebagai van untuk booth DJ.

    Terdapat juga dua lagi kenderaan yang menampulkan watak rekaan; sebuah Hijet dengan penyanyi maya Hatsune Miku, dan sebuah lagi Tanto Custom yang dibaluti oleh komik Spiderman.

     
     
  • Toyota GR Supra catat masa 3 saat lebih pantas berbanding BMW Z4 M40i di Nürburgring Nordschleife

    Sebelum ini telah terbukti, walaupun Toyota GR Supra A90 dan BMW Z4 G29 M40i berkongsi platform, enjin dan kotak gear, Supra nyata lebih pantas dalam perlumbaan drag 0-100 km/j. Bagaimana pula dengan kelajuan dalam litar?

    Tahun lalu, pemandu ujian Sport Auto Jerman, Christian Gebhardt telah menguji BMW Z4 M40i di litar The Green Hell Nürburgring Nordschleife, dan kali ini dia kembali semula ke litar tersebut untuk menguji kembar Z4 dari Jepun berkenaan pula.

    Sama dengan perlumbaan drag, Supra ternyata lebih dari Z4 dengan catatan masa 7 minit 52.17 saat, atau lebih kurang 3 saat lebih pantas dari BMW tersebut yang mencatat masa 7 minit 55.41 saat tahun lalu. Ini menjadikan Supra berada dalam liga yang sama (malah lebih pantas) dengan model yang direka lebih fokus untuk litar iaitu BMW M2 Competition berkuasa 410 PS/550 Nm, yang mencatatkan masa 7 minit 52.36 juga dipandu Gebhardt di Nürburgring sebelum ini.

    Kedua-dua Supra dan BMW dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo, dengan kedua-dua pengeluar mendakwa menghasilkan kuasa atas kertas yang sama iaitu 340 hp dan tork maksima 500 Nm.

    Kedua-dua kereta ini juga dibekalkan dengan transmisi sama iaitu kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF. Aspek mekanikal yang jelas nampak berbeza hanyalah pada brek di mana Z4 diberikan sistem binaan BMW M, manakala Supra diberikan sistem dari Brembo.

    Walaupun nampak seperti jurutera BMW dan Toyota hanya tidak berkongsi rekaan luaran, hasil dan talaan akhir kedua-dua kereta ini sebenarnya dibuat secara berasingan. Pembantu ketua jurutera untuk projek ini Masayuki Kai pernah memberitahu bahawa pasukan jurutera Toyota dan BMW langsung tidak berkomunikasi sejak tahun 2014, dua tahun selepas projek kedua-dua kereta sport tersebut bermula. Ini menjadikan kedua-dua kereta tersebut mempunyai karekter berbeza.

    “Secara asasnya, platform adalah sama… jadi kami rasa kami menggunakan komponen yang sama, tetapi seperti yang saya nyatakan, kami tak pasti adakah mereka akan menggunakan komponen yang sama,” jelas Kai dan menambah bahawa pasukannya bekerja keras bagi menala suspensi adpatif, enjin dan transmisi pada Supra tersebut bagi memberikan rasa yang Toyota mahukan.

    “Talaan untuk penukaran gear, berberapa kejutan tukaran gear, kelajuan tukaran gear, semua ini adalah direka khas untuk Supra… Untuk enjin, kami talanya bagi memberikan respon pendikit lebih baik dan juga lebih sporty,” terang Kai.

    GALERI: Toyota GR Supra A90

    GALERI: BMW Z4 G29 M40i

     
     
  • Kajian mengenai Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) Motor dijalankan bagi pupuk pemanduan berhemah – Lim

    Kajian mengenai Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) Motor dijalankan bagi pupuk pemanduan berhemah – Lim

    Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengesahkan, kerajaan sedang menjalankan kajian mengenai Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) Motor yang bertujuan untuk memupuk tingkah laku pemanduan yang baik dan menggalakkan keselamatan jalan raya.

    Tambahnya, ia juga sejajar komitmen kerajaan untuk mengambil pendekatan lebih saksama dan berasaskan prinsip pasaran bagi sektor swasta.

    Kajian tersebut melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama industri insurans dan takaful yang sedang membangunkan beberapa cadangan untuk fasa Liberalisasi Tarif Motor dan Tarif Kebakaran yang seterusnya, disasarkan untuk separuh kedua 2020.

    “Ini sebahagian daripada usaha pembaharuan untuk mempertingkatkan kemampanan, serta memelihara kestabilan pasaran insurans dan takaful secara menyeluruh. Usaha bersama pelbagai pemegang taruh ini merangkumi kajian struktur NCD supaya memberi fleksibiliti dan tanggungjawab lebih besar kepada semua pihak, bagi menggalakkan pemanduan yang lebih selamat dengan memberi ganjaran untuk tingkah laku baik di jalan raya.

    Kajian mengenai Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) Motor dijalankan bagi pupuk pemanduan berhemah – Lim

    “Ia juga sejajar dengan Rancangan Keselamatan Jalan 2014-2020 oleh Kementerian Pengangkutan yang bermatlamat mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan serius sebanyak 50 peratus menjelang 2020,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Menurut Lim lagi, liberalisasi berfasa Tarif Motor yang bermula pada 1 Julai 2016, telah memperkenalkan dua perubahan penting. Perubahan itu ialah kebolehubahan untuk penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menawarkan produk baharu motor dan perlindungan tambahan yang tidak ditetapkan di bawah tarif sebelumnya.

    “Selain itu, kebolehubahan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menetapkan harga premium bagi produk Motor Komprehensif, dan produk Kebakaran dan Kecurian Motor Pihak Ketiga,” katanya.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R – jeritan enjin empat silinder 250 cc

    Kawasaki ZX-25R – jeritan enjin empat silinder 250 cc

    Kawasaki Indonesia sekarang sedang mendedahkan satu persatu perincian Kawasaki ZX-25R, mungkin bagi membina momentum keterujaan kepada pelancarannya yang akan berlaku tidak lama lagi.

    Kita sudah tahu, ini adalah sebuah motosikal 250 cc berspesifikasi tinggi dengan kelengkapan seperti fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    Namun yang lebih membuatkan ramai orang geram adalah enjinnya, kerana berbeza dengan motosikal 250 cc lain dalam pasaran sekarang, ZX-25R ini menggunakan tetapan empat silinder sebaris DOHC. Sebelum ini ia diberitahu boleh dikerah sehingga lebih 17,000 rpm.

    Walaupun dengan melihat semua perincian ini ia dapat membuatkan kita teruja, rasanya masih lagi tidak puas kerana tidak dapat mendengar bunyi enjin tersebut. Masanya sudah tiba, dan anda boleh mendengar sendiri bunyi enjin tersebut dalam video di atas.

    Sepanjang hampir satu minit video, anda bukan sahaja boleh mendengar bunyi enjin ini semasa melahu, malah dikerah sepenuhnya sehingga tahap cut off. Tekaan kami, bunyi ini direkod waktu ZX-25R dibawa dalam trek berdasarkan penukaran gearnya.







    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Petronas mula jual RON 95 Euro 4M di semua stesen

    Petronas mula jual RON 95 Euro 4M di semua stesen

    Petronas juga hari ini mengumumkan bahawa semua stesen minyak jenama itu telah mula menjual petrol RON 95 Euro 4M, seminggu lebih awal daripada tarikh 1 Januari 2020 yang digazetkan oleh kerajaan. Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive yang dijual kini lebih bersih untuk enjin dan juga persekitaran.

    Bahan api baru itu kini mengandungi kandungan sulfur sebanyak 50 parts per million (ppm); angka ini kurang separuh daripada kandungan sama yang terdapat pada petrol RON 95 dengan piawaian Euro 2M sebelum ini. Selain itu, kandungan benzin juga dikurangkan sebanyak 30% kepada 3.5% kini, sementara tekanan pemeruapan dikurangkan sebanyak 7% kepada 65kPa. Ertinya, bahan api RON 95 kini lebih bersih.

    “Petrol RON 95 kami telah dipertingkat kepada piawaian Euro 4M di semua stesen-stesen terlibat sejak awal Disember lagi. Dengan peningkatan ini, pelanggan bukan saja akan menikmati pemanduan yang lebih lancar, tetapi enjin turut menjadi lebih cekap dan responsif serta bersih,” ujar Pengarah dan CEO Petronas Dagangan Berhad, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed M. Tahir.

     
     
  • GALERI: Mazda CX-30 2.0L Skyactiv-G di Malaysia

    GALERI: Mazda CX-30 2.0L Skyactiv-G di Malaysia

    Sebelum kalendar 2019 berakhir, Bermaz selaku pengimport dan pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, telah pun mempamerkan model CX-30. Model CX-30 ini diposisikan antara CX-3 dan CX-5, dan ia ditawarkan di pasaran Malaysia dengan tiga varian – 2.0 petrol, 2.0 High dan 1.8D High diesel. Varian yang dipaparkan menerusi foto ini ialah 2.0 G High dan ditawarkan pada harga atas jalan RM164,119.20 tanpa insurans, untuk pendaftaran persendirian.

    CX-30 dijanakan oleh enjin 2.0 liter Skyactiv-G dengan hamburan kuasa 163 hp pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm, yang kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Manakala varian 1.8D diesel untuk pasaran Malaysia mampu menghasilkan kuasa sehingga 116 PS pada 4,000 rpm dan tork 270 Nm dari 1,600 hingga 2,700 rpm, dengan disalurkan kuasanya menerusi kotak gear yang sama.

    Untuk varian petrol spesifikasi tertinggi dan diesel dipadankan dengan roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar 215/55R18; sementara varian asas 2.0 petrol pula menerima roda aloi 16-inci dengan tayar 215/65R16. Model asas 2.0 pasaran Malaysia ini diberikan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0 High dan 1.8D pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda. Kesemua varian hadir standard dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, tetapi hanya 2.0 High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.

    Pada bahagian dalaman pula, model asas 2.0 hadir dengan sistem pendingin hawa dan tempat duduk hadapan larasan manual, berbanding 2.0 High dan 1.8D yang diberikan sistem automatik dua zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.

    Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan-pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.

    Kit keselamatan untuk varian 2.0 High termasuk beg udara hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu, ABS, DSC, EBD, BA, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, penahan automatik, pengunci pintu auto, cagak ISOFIX, engine immobiliser dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua penumpang.

    Ditambah pula dengan ciri yang tidak disertakan pada model asas 2.0 termasuklah kit keselamatan termaju dengan pencahayaan hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, paparan titik buta, amaran trafik lintasan belakang, amaran perhatian memandu, sokongan brek pintar (brek kecemasan sendiri) dan kawalan kelajuan dengan bantuan radar.

    Model yang terpapar dalam foto ini hadir dengan kemasan cat berwarna Soul Red Crystal, semantara pilihan warna lain termasuk Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian CX-30 ini turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma lima-tahun.

     
     
  • Proton akan tingkatkan komitmen projek R5 – MEM

    Proton akan tingkatkan komitmen projek R5 – MEM

    Pengasas firma pembina kereta rali dari British, Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors menyatakan bahawa mereka bakal melangkah semula ke pentas WRC dengan Proton Iriz R5, bersama sokongan dari Proton di Malaysia.

    “Ada minat yang besar dari ibu pejabat Proton di Malaysia tentang program rali yang kami buat sekarang. Proton berminat untuk meningkatkan komitmen dari pihak mereka dan ada rakan kerjasama dari Kuala Lumpur mahu terlibat sekali,” kata Chris kepada laman rasmi kejuaraan rali dunia, WRC.com selepas juara dunia WRC dua kali, Marcus Grönholm menguji Iriz R5 berkenaan di Ireland Utara minggu lalu, sebagai persediaan MEM untuk kembali ke kejohanan dunia tersebut.

    “Kami berusaha untuk mewujudkan kerjasama ini supaya kami boleh kembali ke pentas dunia. Kami telah menghasilkan kereta yang hebat ini dan kami mahu tunjukkan apa yang boleh dilakukannya,” kata Chris lagi.

    Minggu lalu, kami berpeluang untuk bertanyakan sendiri kepada Marcus berkenaan ujian tersebut menerusi satu panggilan telefon yang diaturkan khas oleh pihak MEM sendiri.

    Menurut Marcus, mereka melakukan ujian selama dua hari ini dalam dua permukaan berbeza iaitu pada permukaan batu kerikil, dan permukaan asfalt (tar). Dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

    Ketika di tanya pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC? Jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

    Kami juga telah diberitahu bahawa Chris Mellors berada di Malaysia minggu lalu ketika pasukannya membuat ujian dengan Gronholm. Minggu lalu juga sebenarnya orang-orang besar dari Geely termasuk presiden Geely Auto Group, An Conghui dan juga Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski berada di Malaysia untuk perasmian permulaan produksi CKD proton X70 di Tanjung Malim, serta perlumbaan pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang berlangsung di Sepang, disertai oleh ‘Abang Besar’ Proton R3 iaitu Lynk & Co Cyan Racing.

    Gary Lee iaitu Prinsipal Proton R3 bersama pasukannya dilihat turut berada pada perlumbaan berkenaan bagi memberikan sokongan kepada Cyan Racing, dan meraikan kejayaan pasukan tersebut sebagai Juara Dunia WTCR kategori pasukan selepas berakhirnya perlumbaan ketiga pada malam Ahad, 15 Disember lalu.

    Prinsipal pasukan Proton R3 Gary Lee (kiri), pengasas pasukan Mellors Elliot Motorsport (kanan atas) dan Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski (kanan bawah)

    Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, seterusnya menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

    Menerusi temu ramah bersama media Malaysia sebelum bermulanya perlumbaan di Sepang tempoh hari, Alexander Murdzevski menyatakan bahawa Geely Motorsport sendiri tidak ‘berperangai seperti Abang besar’ dengan memberikan arahan kepada Proton R3.

    Adakah “rakan kerjasama dari Kuala Lumpur” yang dimaksudkan oleh Chris berkenaan adalah pasukan Proton R3? Gandingan MEM dan Proton bukan baru ketika zaman Proton R3 dan Satria Neo S2000. Kerjasama antara mereka telah bermula sejak zaman Proton PERT lagi, di mana Karamjit Singh berjaya dinobatkan sebagai juara WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002 dengan kereta Proton PERT Evo VI yang disediakan oleh MEM, dalam percubaan tahun pertama mereka.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian Proton Iriz R5 berkenaan – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

     
     
  • Mazda pindah sebahagian produksi dari Thai ke Jepun kerana baht menguat; pengeluar lain turut terkesan

    Mazda pindah sebahagian produksi dari Thai ke Jepun kerana baht menguat; pengeluar lain turut terkesan

    Kerana matawang baht Thailand yang semakin mengukuh berbanding matawang asing utama dunia, Mazda kini merancang untuk memindahkan sebahagian produksi kenderaannya dari kilang mereka di Thailand ke fasiliti di Hofu, Jepun untuk mengurangkan kos, lapor Nikkei Asian Review.

    Buat masa sekarang, kilang Mazda di Thailand mampu untuk menghasilkan 135,000 kenderaan setahun. Model yang terlibat untuk perpindahan produksi ini adalah CX-3 yang dieksport ke Australia – kilang tersebut menghasilkan crossover berkenaan sebanyak 25,000 setahun, dan 14,000 daripadanya adalah untuk pasaran Australia. Perpindahan ini akan dilakukan secara berperingkat, dan ia akan bermula seawal Disember ini.

    Matawang baht Thailand naik 8% berbanding dolar Australia dan 6% berbanding dolar Amerika Syarikat tahun ini, sebahagian besarnya adalah kerana lebihan akaun semasa negara berkenaan. Mazda perlu bertindak segera untuk melaras semula strategi mereka bagi mengelakkan dari terjejas kerana baht yang semakin mengukuh ini; General Motors telah pun memberhentikan 300 pekerja mereka di Thailand kerana fenomena ini, dan pengeluaran mereka telah turun 15% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Mazda pindah sebahagian produksi dari Thai ke Jepun kerana baht menguat; pengeluar lain turut terkesan

    Tambahan pula, pembekal plat besi berketegangan tinggi untuk Mazda iaitu Nippon Steel turut telah mengurangkan produksinya di Thailand kerana sebab yang sama. Justeru, ia bukan sahaja menjejaskan Mazda, malah melibatkan pengeluar automotif Jepun lain yang turut menerima bahan mentah dari Nippon Steel untuk kilang mereka di Thailand, termasuk Toyota, Honda, Nissan dan Isuzu.

    Thailand menghasilkan sejumlah 2.16 juta kenderaan tahun lalu, di mana separuh daripada jumlah tersebut adalah untuk pasaran eksport. Pihak bank-bank di negara berkenaan menjangkakan baht akan terus mengukuh, dan mungkin akan menyebabkan pengeluar automotif lain mengambil langkah yang serupa dengan Mazda.

    Menurut laporan berkenaan lagi, kadar tukaran wang asing telah menyebabkan keuntungan operasi Mazda berkurang sehingga 37.5 juta yen dari tempoh April hingga September tahun ini. Mazda juga telah mengurangkan jangkaan keuntungan operasi mereka untuk tahun ini hanya sekadar 60 bilion yen, berbanding 110 bilion yen pada awalnya.

    Manakala keuntungan Toyota berkurang sehingga 90 bilion yen dan keuntungan Honda pula berkurangan 50 bilion yen dalam tempoh sama kerana kadar tukaran mata wang ini.

    Mitsubishi Motors juga terkesan dengan kenaikan baht ini kerana sebahagian besar kenderaan yang dihasilkan oleh kilang mereka di Thailand adalah untuk pasaran eksport, menyaksikan keuntungan mereka jatuh 22.2 bilion yen dalam tempoh masa enam-bulan kebelakangan ini.

    “Kami mengeksport 80% kereta kami yang di buat di Thailand, tetapi sekarang perlu melakukan usaha untuk menjualnya lebih kepada pasaran tempatan,” kata ketua pegawai kewangan Mitsubishi, Koji Ikeya kepada Nikkei.

    Satu lagi pengeluar yang banyak menghasilkan trak pikap di Thailand iaitu Isuzu turut merekodkan kerugian kerana nilai baht yang semakin menguat ini. “Kami mengkesport produk dari Thai ke sekitar 120 negara. Kadar keuntungan perniagaan telah jatuh secara signifikant kerana kenaikan nilai baht,” kata presidennya Masanori Katayama.

     
     
  • Lembaga Lebuhraya Malaysia umum 13 lebuhraya tawar diskaun tol antara 10%-33% sempena Krismas

    Lembaga Lebuhraya Malaysia umum 13 lebuhraya tawar diskaun tol antara 10%-33% sempena Krismas

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan, sempena dengan cuti perayaan Krismas yang bakal disambut esok (25 Disember 2019), terdapat 13 lebuhraya yang bakal menawarkan diskaun tol antara 10% hingga 33% untuk penggunanya. Kesemua diskaun tol terbabit akan berlangsung dari jam 12 tengah malam dan berakhir jam 11.59 malam esok.

    Dalam masa yang sama, LLM juga merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya di atas pelaksanaan Program Corporate Social Responsibility (CSR) di lebuh raya dengan pemberian diskaun sempena perayaan Hari Krismas 2019 sebagai tanda penghargaan mereka kepada pengguna-pengguna lebuh raya.

    Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui ke semua plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju.

    “Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang telah disediakan oleh syarikat-syarikat konsesi,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh LLM.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia umum 13 lebuhraya tawar diskaun tol antara 10%-33% sempena Krismas

    Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik. atau mana-mana pusat khidmat pelanggan lebuh raya yang berkenaan.

    Berikut merupakan 13 lebuhraya yang memberikan diskaun tol sempena Krismas ini:

    1. Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) – diskaun 33%

    2. Lebuhraya Cheras-Kajang (GSSB) – diskaun 30%

    3. Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) – diskaun 15%

    4. Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GSNK) – diskaun 15%

    5. Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) – diskaun 10%

    6. Lebuhraya Shah Alam (KESAS) – diskaun 10%

    7. Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) – diskaun 10%

    8. Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) – diskaun 10%

    9. Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) – diskaun 10%

    10. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) – diskaun 10%

    11. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) – diskaun 10%

    12. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) – diskaun 10%

    13. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) – diskaun 10%

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol masuk sempena cuti Krismas, Tahun Baharu 2020

    PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol masuk sempena cuti Krismas, Tahun Baharu 2020

    Mulai 24 Disember 2019 hingga 2 Januari 2020, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliannya membantu melancarkan lagi pergerakan trafik pada cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020. Penutupan lorong tambah nilai ini dilaksanakan pada setiap musim perayaan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

    Justeru, PLUS menasihatkan agar pengguna lebuhrayanya merancang perjalanan mereka dan paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal selain memastikan kad terbabit mempunyai baki yang mencukupi.

    PLUS menjangkakan perjalanan di plaza tol bakal terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan yang lain.

    PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol masuk sempena cuti Krismas, Tahun Baharu 2020

    PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol. Namun begitu, terdapat kira-kira 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak, kedai serbaneka, pasaraya dan lain-lain lagi.

    Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18% kepada 2 juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

    Pada masa yang sama, PLUS juga memaklumkan bahawa pengguna lebuhraya seliaannya masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect buat masa ini.

     
     
  • SPYSHOT: Perodua uji enjin 1.0L turbo dalam perut Daihatsu Thor untuk SUV D55L akan datang?

    SPYSHOT: Perodua uji enjin 1.0L turbo dalam perut Daihatsu Thor untuk SUV D55L akan datang?

    Kami menerima gambar dari pembaca Mike Maximiliano, memaparkan dua buah Daihatsu Thor sedang di uji di Melaka, dengan trade plate Selangor yang berkemungkinan besar milik Perodua. Adakah ini bermaksud Perodua akan membina ‘Kenari generasi baharu’? Rasanya tidak, kerana yang jelas kini mereka sedang sibuk membangunkan dua model iaitu MPV tujuh-tempat duduk pengganti Alza dengan kod D27A, dan SUV segmen-B dengan saiz Kembara dengan kod D55L.

    Kami percaya, ujian ini adalah berkenaan enjin dalam perut Thor tersebut iaitu enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS/140 Nm bersama transmisi CVT automatik, sama seperti digunakan oleh Toyota Raize/Daihatsu Rocky, yang dikatakan menggunakan asas sama untuk SUV D55L Perodua nanti.

    Kalau anda lihat dengan teliti, terdapat penyejuk minyak enjin bersaiz besar diletakkan pada bahagian luar bampar hadapan Thor berkenaan. Ia sudah tentu bertujuan untuk mengadaptasikan suhu yang lebih tinggi di Malaysia berbanding di Jepun – bukan sahaja untuk minyak enjin, malah bendalir untuk kotak gear CVT (CVTF) juga perlu disejukkan untuk kegunaan di sini.

    SPYSHOT: Perodua uji enjin 1.0L turbo dalam perut Daihatsu Thor untuk SUV D55L akan datang?

    Sebelum ini, Perodua juga pernah dilihat menguji asas SUV Daihatsu Rocky berkenaan iaitu platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), tetapi disorokan disebalik badan Perodua Axia yang dipanjangkan, ditemui sedang diuji di Genting Highland.

    Kami menjangkakan ada kemungkinan Perodua akan menggunakan enjin 2NR-FE 1.5L NA Dual VVT-i yang diambil dari Myvi untuk SUV segmen-B mereka tersebut. Tetapi dengan ujian yang dilakukan terhadap Daihatsu Thor ini menandakan mereka serius untuk membawa enjin turbo tersebut untuk pengguna pasaran Malaysia.

    Unit prototaip SUV D55L dalam badan Axia ditemui di Genting Highland (kiri) dan imej bayangan D55L oleh Theophilus Chin dihasilkan berdasarkan Daihatsu Rocky (kanan)

    Platform DNGA berkenaan juga direka bagi membolehkan ia beroperasi dengan unit janakuasa hibrid – Perodua juga pernah mempamerkan teknologi hibrid Daihatsu yang akan digunakan mereka untuk model-model akan datang ketika Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu, dan tidak mustahil ia akan membuat kemunculan menerusi SUV D55L ini.

    Dari segi rekaan, Perodua mungkin akan memberikan perbezaan untuk model mereka sama dengan apa yang dilakukan pada Perodua Aruz/Daihatsu Terios/Toyota Rush, tetapi tidak mustahil mereka boleh membuat badan bahagian atas baharu sepenuhnya berdasarkan model Perodua X-Concept yang turut muncul di KLIMS 2018 kerana mereka sudah membuktikan kemampuan unit R&D menerusi apa yang dihasilkan pada Myvi generasi baharu dan juga Perodua Bezza.

    GALERI: Daihatsu Rocky di Tokyo Motor Show 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026