Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Daimler & Geely mungkin bina enjin bersama – laporan

    Daimler & Geely mungkin bina enjin bersama – laporan

    Pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler AG dilaporkan bakal membina enjin bersama jenama mewah Sweden, Volvo yang kini milik Geely Auto dari China, lapor Reuters yang memetik berita majalah dari Jerman, Automobilwoche.

    Menurut berita berkenaan berdasarkan sumber dalaman yang tidak mahu dikenali, usaha membina enjin bersama itu adalah untuk mengurangkan kos pembangunan enjin pembakaran dalaman.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa pengurus Volvo telahpun mengadakan perbincangan awalan tetapi belum ada rancangan khusus dibuat, manakala jurucakap syarikat itu pula menyatakan bahawa terlalu awal untuk memperkatakan tentang projek itu.

    Jurucakap Daimler pula berkata bahawa kerjasama bersama Geely ini berkembang secara positif, tetapi enggan mengulas lebih lanjut. Kerjasama ini dapat terjalin kerana Geely menerusi pengasasnya, Li Shufu kini adalah pemegang kepentingan terbesar dalam syarikat automotif Jerman berkenaan dengan pegangan saham hampir 10%.

    Selain dari usaha kerjasama dengan Daimler ini, Volvo sebelum ini telah pun mengumumkan bahawa mereka selepas ini hanya akan menumpukan terhadap penjana berkuasa elektrik dan tidak lagi akan membangunkan enjin pembakaran dalaman seperti petrol dan diesel.

    Walau bagaimanapun, tugas berkenaan akan digalas oleh satu entiti baharu yang dibentuk dari divisi enjin Volvo dan Geely bagi menghasilkan enjin pembakaran dalaman, yang bukan sahaja akan dibekalkan kepada dua jenama tersebut, malah untuk kesemua jenama di bawah payung Geely Auto termasuk Lynk & Co, Lotus dan Proton.

    Automobilwoche menyatakan bahawa operasi divisi baharu ini akan memulakan operasinya bermula Mac nanti, berkemungkinan ia turut akan menjadi titik mula kerjasama bersama Daimler ini, dan kemudian mungkin akan diteruskan untuk menghasilkan unit janakuasa elektrik.

    Selain dari kerjasama ini, Geely dan Daimler sebenarnya telah memuktamadkan berberapa kerjasama antaranya jenama Smart kini adalah milik kedua-dua kumpulan tersebut dengan pegangan 50:50 dan akan membangunkan kereta elektrik kompak, serta menubuhkan syarikat servis e-hailing premium dengan membariskan kereta-kereta mewah – kedua-dua projek ini berjalan di China.

     
     
  • SUV dijangka kian popular, TIV automotif diunjur cecah 612,000 unit untuk 2020 – kajian Kenanga

    Kenanga Investment Bank (Kenanga) menerusi nota penyelidikannya berkata, pasaran bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dijangka kian meningkat untuk tahun ini memandangkan jualannya juga dilaporkan naik sebanyak 20% dalam tempoh 11 bulan pertama 2019 berbanding hanya 13% bagi keseluruhan tahun 2018.

    “Segmen SUV terus meraih populariti, diterajui pelancaran Proton SUV X70 pada 12 Disember 2018, Perodua Aruz, Mazda CX-8 CKD dan Mazda CX-5 berwajah baharu,” kata bank pelaburan itu seperti mana yang disiarkan oleh Bernama.

    Kenanga turut memaklumkan pelancaran utama SUV pada suku pertama tahun ini termasuklah Proton X70 pemasangan tempatan (CKD) yang berwajah baharu, Toyota C-HR, Toyota Rush, Mazda CX-30 unit import sepenuhnya (CBU) dan Mazda CX-3 yang diperbaharui. Malahan Proton X50 dan Perodua 55L/Raize CKD juga dijangka dilancarkan lewat tahun ini.

    SUV dijangka kian popular, TIV automotif diunjur cecah 612,000 unit untuk 2020 – kajian Kenanga

    Manakala untuk 2020 ini, Kenanga mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif meningkat kepada 612,000 unit berbanding unjuran 600,000 unit tahun lalu.

    Unjuran itu disokong oleh pelancaran baharu yang menarik terutama daripada pengeluar bukan nasional dan program insentif yang lebih baik di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

    “Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memutuskan untuk meningkatkan kekerapan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif bulanan daripada sekali kepada dua kali sebulan untuk mempercepatkan proses kelulusan harga kenderaan,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan.

    MITI juga menubuhkan Majlis Penasihat Perdagangan dan Industri untuk membincangkan pelbagai isu daripada pelaburan langsung asing dan domestik hinggalah kepada NAP 2020.

    SUV dijangka kian popular, TIV automotif diunjur cecah 612,000 unit untuk 2020 – kajian Kenanga

    Dalam hal lain, Kenanga juga memaklumkan jenama kereta nasional terus mengatasi jenama kereta bukan nasional dari segi bahagian pasaran dari Januari hingga November 2019, berikutan jualan memberangsangkan daripada Perodua terutamanya selepas pengenalan model Myvi serta SUV Aruz serba baharu.

    Malahan bagi 11 bulan pertama 2019, jenama nasional turut menguasai 57% dalam pasaran berbanding 43% dari jenama bukan nasional.

    “Ia juga mendapat rangsangan daripada pertumbuhan jualan Proton yang sangat menggalakkan (meningkat 51% tahun ke tahun) selepas pengenalan model X70 serba baharu serta disokong oleh varian model sedia ada berwajah baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini iaitu Saga, Iriz, Persona dan Exora,” kata bank pelaburan itu.

    Dalam nota penyelidikannya juga, Kenanga mengambil langkah untuk mengekalkan penilaian “neutral” ke atas sektor automotif.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X50 dengan gril Infinite Weave!

    SPYSHOT: Proton X50 dengan gril Infinite Weave!

    Dah macam-macam gambar spyshot Proton X50 kami paparkan, tetapi set imej terbaharu yang kami terima dari pembaca, Adam Hasrol kali ini agak istimewa dan membolehkan kita membayangkan sudah berada di tahap mana pembangunan SUV segmen-B tersebut – ia sudahpun mengenakan gril signatur Infinite Weave Proton yang menggantikan gril Expanding Cosmos Geely!

    Gril Infinite Weave ini pertama kali diperkenalkan Proton X70, yang dihasilkan berinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah-rumah melayu tradisional. Selepas itu elemen yang sama telah diberikan pada model-model Proton lain seperti Saga dan Persona facelift, dan akan terus digunakan untuk model-model akan datang sebagai identiti tersendiri Proton.

    SPYSHOT: Proton X50 dengan gril Infinite Weave!

    Logo Proton tersorok disebalik pelekat penyamaran, dan boleh dijangkakan ia hadir dengan logo ‘Thundercats’ baharu Proton dengan latar belakang bulat, berbeza dengan apa yang dibayangkan oleh Theophilus Chin sebelum ini.

    Perincian lain, nampaknya masih sama dengan imej-imej sebelum ini, terdiri dari empat tip ekzos pada diffuser belakang, serta spoiler bumbung dan rim (mungkin 18-inci) bersaiz besar, menyerlahkan rupa yang sangat sporty walaupun masih berselindung dengan pelekat penyamaran hampir pada keseluruhan badan.

    Imej bayangan digital Proton X50 oleh Theophilus Chin berdasarkan Geely Binyue

    Seperti yang ramai tahu, Proton X50 ini dihasilkan dari Geely Binyue pasaran China, dan dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo menjana 174 hp/255 Nm, bersama kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Pada pasaran negara asalnya, Binyue turut menerima versi 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 134 hp/205 Nm dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, dan juga pilihan model plug-in hybrid dengan padanan enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 255 hp/415 Nm.

    Model ini dijangka akan mengacau penguasaan Honda HR-V di Malaysia pada lewat tahun ini, dan bakal diproduksi secara CKD pada fasiliti baharu Proton yang terletak di Tanjung Malim. Apa lagi yang kami tahu berkenaan Proton X50 ini? Baca artikel penuh pada PAUTAN INI.

     
     
  • GrabBike mula beroperasi di sekitar Kuala Lumpur

    GrabBike mula beroperasi di sekitar Kuala Lumpur

    Bermula 1 Januari lalu, Dego Ride menjadi penyedia khidmat e-hailing motosikal pertama yang memulakan operasi setelah ia diluluskan oleh kerajaan dan kini ia disertai pula oleh GrabBike. Daripada percubaan kami untuk menggunakan GrabBike, ia tertera hanya untuk kawasan sekitar KLCC, Bukit Bintang, Pudu dan Chow Kit.

    Bukan setakat satu pilihan, GrabBike turut disediakan dengan satu lagi pilihan khas iaitu untuk penumpang dan juga penunggang wanita. Daripada pemerhatian kami, kedua-dua pilihan untuk GrabBike ini masih ditawarkan pada harga yang sama.

    Bayaran asas adalah RM3.70, berserta yuran servis RM0.30 untuk tiga kilometer pertama, manakala jika destinasi pengguna adalah lebih daripada itu, hingga 5.5 km, caj RM0.55 bagi setiap kilometer dikenakan. Sekiranya lebih lagi daripada 5.5 km, pengguna perlu membayar tambahan RM1 bagi setiap kilometer.

    Kami cuba menempah khidmat GrabBike ini dari KLCC ke TREC, Kuala Lumpur dan kos yang tertera adalah RM5. Jika dibandingkan dengan pilihan kereta biasa JustGrab, ia adalah lebih murah RM3 (JustGrab mengenakan cas RM8 untuk destinasi yang sama).

    Sebagai perbandingan lagi, Dego Ride pula mengenakan bayaran asas RM3 untuk perjalanan sejauh 3 km, dan tambahan RM1 bagi 1 km seterusnya. Untuk GrabBike, harga yang dikenakan juga dinyatakan mungkin meningkat pada waktu permintaan tinggi dan bergantung kepada waktu serta lokasi.

     
     
  • 10 video paling popular di paultan.org/bm untuk 2019

    10 video paling popular di paultan.org/bm untuk 2019

    Sebelum ini kami sudah menunjukkan kepada anda 10 artikel paling popular untuk tahun 2019. Dalam artikel itu juga kami ada nyatakan bagaimana prestasi laman web kami meningkat dari 9.5 juta pelawat pada tahun 2018, kepada 15 juta pada tahun 2019 – semuanya dengan sokongan daripada anda dan terima kasih kami ucapkan.

    Selain daripada artikel bertulis, kami juga cuba menyajikan anda dengan video berkenaan kereta atau motosikal terkini sama ada di dalam atau luar negara. Setelah tahun 2019 berakhir, kami dapat memerhati video manakah yang mendapat paling banyak tontonan melalui semua platform yang ada.

    10. ULASAN VIDEO: Modenas Kriss 110 2019 di Malaysia – RM3,377

    Video ini baru sahaja disiarkan pada penghujung bulan November yang lepas, tetapi sudah mendapat 140,000 tontonan. Ia adalah ulasan daripada kami berkenaan Modenas Kriss 110 2019, setelah mengujinya selama beberapa hari.

    Motosikal ini menampilkan gaya serba baru untuk Kriss, manakala enjin pula adalah unit 110 cc 6.6 hp yang digabungkan bersama kotak gear empat kelajuan. Dijual pada harga RM3,377 tidak termasuk insurans, Kriss 110 2019 diletakkan sebagai sebuah kapcai mampu milik dengan kelengkapan yang diberi juga adalah asas sahaja.

    9. TINJAUAN AWAL: Proton Saga 2019 – dari RM32,800

    Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Proton Saga akhirnya diberikan facelift yang pertama dan dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu. Perubahan yang diberi bukan setakat pada penampilan, malah kotak gear juga ditukar kepada unit automatik empat kelajuan keluaran Hyundai.

    Banyak lagi bahagian yang dinaik taraf pada Saga ini, termasuklah sistem keselamatan, di mana ia boleh didapati dengan kawalan kestabilan elektronik, ABS dan dua beg udara. Keseluruhannya ada tiga varian, dengan harga antara RM32,800 hingga RM39,800. Video ini mendapat 155,000 tontonan.

    8. Axia rosak kalau pakai minyak RON97? Mitos RON95 vs RON97

    Video ini kami buat bagi mengelakkan orang ramai salah faham berkenaan video yang tular mengatakan kereta berkapasiti kecil seperti Perodua Axia akan rosak sekiranya menggunakan petrol RON 97. Video penjelasan kami ini mendapat 168,000 tontonan.

    Apa yang lebih penting untuk diketahui sebelum memilih petrol RON 95 atau RON 97 adalah nisbah mampatan enjin dan bukan kapasitinya. Kami juga pernah menyiarkan satu artikel berkenaan ujian beza menggunakan petrol RON 95 dan RON 97 pada Proton Saga, dan anda boleh membacanya di sini.

    7. ULASAN VIDEO: GPX Racing Demon 150GR dan 150GN di Malaysia – dari RM9k

    Pengeluar dari Thailand, GPX Racing telah membuat kemunculan di Malaysia dengan pelancaran beberapa model menarik termasuklah Demon 150 GR dan GN. Dalam video yang mendapat 174,000 tontonan ini, anda boleh melihat penerangan kami selepas mengujinya di dalam litar.

    Beza antara dua model ini cumalah penampilan, tetapi kedua-duanya adalah motosikal bersaiz kecil seperti ‘fun bike‘ yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc dan berat sekitar 130 kg. Kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api lapan liter, rim 14 inci, tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, panel paparan LCD monochrome, lampu siang, lampu LED di belakang dan juga pengecas USB 5 volt.

    6. ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G di Malaysia – RM83,888

    Sebelum ini, UMW Toyota memang ada memasarkan Yaris di dalam pasaran Malaysia, tetapi disebabkan ia adalah unit import sepenuhnya (CBU) dan harganya agak tinggi, ia kurang popular. Namun pada tahun 2019, Yaris kembali dalam versi CKD dengan harga bermula RM70,888.

    Video yang melihat lebih dekat varian G paling tinggi ini mendapat 188,000 tontonan, dan kami turut menyertakan maklum balas selepas memandunya. Sebagai makluman, Yaris yang kita terima ini adalah versi ASEAN, yang berbeza dengan Yaris pasaran Amerika Syarikat dan Yaris Eropah.

    5. RON100 vs RON95 di Malaysia – mampukah Petron Blaze 100 memberikan lebih hp dan Nm?

    Ini adalah satu lagi video berkenaan penggunaan bahan api dan kesannya kepada kenderaan. Istimewanya kali ini kami mengisi petrol RON 95 dan RON 100 keluaran Petron pada kenderaan yang sama, kemudian melihat bezanya pada prestasi.

    Ujian yang kami buat melibatkan tujuh buah kenderaan berbeza jenis dan juga sebuah motosikal, dan catatan prestasinya didapati melalui ujian dyno. Setakat ini video tersebut telah mencatat 198,000 tontonan dan anda juga boleh menontonnya sendiri untuk melihat keputusannya.

    4. TINJAUAN AWAL: Perodua Axia 2019 – varian Style baru, VSC, ASA 2.0, RM24k-RM43k

    Perodua Axia diberikan facelift pada bulan September lalu dan dalam video yang sudah mendapat 261,000 tontonan ini, kami melihat beberapa varian yang ditawarkan dan perbezaan di antaranya. Kesemuanya ada enam varian dengan harga bermula RM24,090.

    Enjin Axia facelift ini masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm), tetapi peningkatan yang lebih menarik adalah pada bahagian keselamatan, di mana ia boleh dilengkapi dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, sama seperti SUV Aruz.

    3. TINJAUAN AWAL: 2019 Perodua Aruz SUV di Malaysia – RM73k-RM78k

    Video berkenaan Perodua Aruz ini berada di kedudukan ketiga dengan tontonan sebanyak 269,000 dan ia juga bukan sesuatu yang pelik kerana berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Google, SUV tersebut turut berada dalam senarai 10 carian tertinggi di Malaysia.

    Aruz menjadi penanda kemunculan semula Perodua dalam segmen SUV selepas Nautica dan Kembara sebelum ini, dan ia ditawarkan dalam dua varian yang berharga RM72,900 dan RM77,900. Kedua-duanya masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS dan 136 Nm tork.

    2. Daihatsu “SUV Kompak Baru” — bakal jadi SUV Perodua D55L 2020 nanti?

    Video ini kami buat semasa berkunjung ke Tokyo Motor Show 2019, di mana Daihatsu ada mempamerkan sebuah SUV yang masih belum diberi nama. Walaubagaimanapun, ada ura-ura yang mengatakan ia bakal digunakan sebagai asas untuk SUV baru Perodua yang lebih kecil daripada Aruz. Mungkin dengan berita sebegitu video ini mencatat 329,000 tontonan.

    Walaupun masih belum mempunyai nama, perincian teknikal SUV ini sudah disiarkan termasuk enjin yang menggunakan unit petrol tiga-silinder 1.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama CVT yang memacu kuasa ke roda hadapan.

    1. ULASAN VIDEO: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) review + Dyno + Drag race di Malaysia

    Rasanya, anda juga tidak akan terkejut dengan video Yamaha Y15ZR yang berjaya mencatat tontonan paling tinggi iaitu 910,000. Bukan setakat maklum balas pengalaman bersama motosikal ini, kami turut menyediakan laporan kuasa sebenar Y15 V2 ini atas mesin dyno serta ‘drag race‘ dengan NVX155.

    Kami tahu skuter tersebut bukanlah saingan sebenar Y15 tetapi ia dibuat sebagai sesuatu yang berlainan dan tidak terlalu serius. Jika dibandingkan dengan Y15 sebelumnya, perubahan utama model V2 ini adalah pada bahagian lampu, meter serta beberapa bahagian kecil lain.

     
     
  • Jualan kereta baharu di Jepun menurun kerana cukai naik; golongan muda tidak berminat memiliki kereta

    Jualan kereta baharu di Jepun menurun kerana cukai naik; golongan muda tidak berminat memiliki kereta

    Nikkei Asian Review melaporkan bahawa jualan kereta baharu di Jepun menurun buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun berikutan kerajaan negara itu menaikkan kadar cukai pada suku keempat 2019. Untuk tahun lalu, sekitar 5.2 juta kenderaan telah dijual di Jepun berbanding 5.27 juta unit berjaya dijual pada tahun 2018.

    Ia berikutan cukai penggunaan yang naik dari 8% kepada 10% pada 1 Oktober lalu, dan terus menyebabkan jualan pada bulan tersebut jatuh 25% berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Prestasi jualan pada September 2019 turut jatuh 13% berbanding September 2018, manakala data untuk Disember masih belum diumumkan tetapi turut dijangka mencatatkan penurunan.

    Trend ini dijangka akan terus sama pada tahun ini. Persatuan Pengeluar Tayar Automobil Jepun menjangkakan hanya sebanyak 5.1 juta kenderaan akan dijual sepanjang tahun 2020, turun dari rekod 5.2 juta unit pada tahun lalu.

    Untuk tahun 2020, pelbagai model genarasi baharu arus perdana seperti Honda Fit (Jazz) dan Toyota Yaris bakal masuk ke pasaran, walau bagaimanapun dengan kuasa membeli pengguna yang lemah tidak akan menaikkan permintaan, menurut persatuan tersebut.

    Laporan ini turut menyebut bahawa pasaran automotif Jepun kini dalam fasa transformasi memandangkan trend untuk berkongsi kenderaan kini sedang meningkat naik, dan golongan muda juga semakin tidak berminat untuk memiliki kereta. Perkhidmatan perkongsian kenderaan merekodkan 1.2 juta pengguna pada tahun 2019, atau meningkat 3.5 kali ganda berbanding tahun 2014, menurut Yayasan Galakkan Mobiliti Peribadi dan Pengangkutan Ekologi Tokyo.

    Persatuan Pengedar Automobil Jepun pula menjangkakan penurunan ini akan mengambil masa yang lama, di mana permintaan terhadap kereta baharu akan turun lebih 30% bermula tahun 2018 hingga 2040 nanti, dengan jumlah hanya sekitar 3.47 juta pada tahun berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Januari 2020: RON97 naik 2 sen

    Harga minyak 4-10 Januari 2020: RON97 naik 2 sen

    Minggu pertama 2020 – bertarikh 4 hingga 10 Januari – menyaksikan kenaikan harga runcit bagi petrol RON97 sebanyak 2 sen seliter iaitu daripada RM2.63 seliter kepada RM2.65 seliter.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.35 seliter dan RM2.43 seliter. Ini menunjukkan kenaikan berbanding minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.33 seliter, manakala diesel yang berada pada paras RM2.39 seliter.

    Harga minyak 4-10 Januari 2020: RON97 naik 2 sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 4 hingga 10 Januari adalah berjumlah RM128.24 juta.

    Sepatutnya Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dilaksanakan mulai Januari 2020. Namun demikian, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan bahawa perlaksanaannya akan ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu yang bakal diumumkan nanti.

    Untuk makluman lain, mulai 1 Januari 2020 juga, petrol RON 95 di seluruh negara telah dipertingkatkan dari gred Euro 2M kepada Euro 4M. Stesen minyak termasuk Shell, Petronas, Petron dan Caltex telah pun mengumumkan penjualan petrol RON 95 Euro 4M itu.

     
     
  • JPJ Perlis dapat bos baharu – Fatimah terima pelantikan sebagai pengarah negeri wanita pertama

    JPJ Perlis dapat bos baharu – Fatimah terima pelantikan sebagai pengarah negeri wanita pertama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pelantikan Fatimah Mohamed Ali Piah sebagai Pengarah JPJ Perlis, berkuat kuasa semalam. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Unit Integriti JPJ. Dengan pelantikan ini sekaligus memahat sejarah baharu dalam organisasi penguatkuasaan ini dengan menerima Pengarah JPJ Negeri wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan.

    Fatimah menggantikan penyandangnya, Shahrul Azhar bin Mat Dali yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen Operasi JPJ dengan sesi serah tugas disempurnakan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya.

    Dengan pengalaman selama 25 tahun dalam JPJ, beliau memulakan tugas sebagai pembantu penguatkuasa gred 17 pada tahun 1994. Kemudian beliau telah dinaikkan pangkat ke Gred 29 pada tahun 1999 dan seterusnya ke Gred 41 pada tahun 2009.

    Malah beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya ialah Ketua JPJ Cawangan Gua Musang, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ketua Unit Aduan dan Siasatan Ibu Pejabat, Ketua Unit Pengukuhan Integriti Ibu Pejabat. Ini sedikit sebanyak menjadikan beliau matang dalam membuat keputusan dan berkredibiliti untuk menyandang jawatan pengarah negeri wanita yang pertama.

    Berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat, UPM dan Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Sistem Maklumat, UiTM, Fatimah berazam untuk mencurahkan segala bakti kepada Jabatan Pengangkutan Jalan terutamanya JPJ Perlis. Ini bagi memastikan JPJ terus mengorak langkah maju ke hadapan sebagai agensi penguatkuasa yang terulung di Malaysia.

     
     
  • Aprilia RS660 sah akan tiba di Malaysia hujung 2020

    Aprilia RS660 sah akan tiba di Malaysia hujung 2020

    Semasa majlis tontonan istimewa RSV4 X di Kuala Lumpur semalam, ada satu berita baik untuk penggemar motosikal di Malaysia. Ketua bahagian pemasaran Piaggio Asia Pasifik, Nicola Capello telah memberitahu model RS660 akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

    Model sports kelas pertengahan ini cuma baru ditunjukkan di pameran EICMA November lalu, dan ia juga masih belum dilancarkan untuk jualan di mana-mana pasaran lagi. Walaubagaimanapun, ramai yang menunggu kerana ia adalah penanda kepada kemunculan semula Aprilia dalam segmen tersebut.

    RS660 banyak mewarisi gaya rekaan daripada RSV4, dan digerakkan oleh enjin dua silinder selari 660 cc yang mampu menghasilkan sehingga 100 hp serta berat badan cuma 169 kg. Walaupun nampak agresif, Aprilia mendakwa RS660 masih sesuai untuk dibawa atas jalan biasa dengan pemegang yang diletakkan atas daripada steering plate dan tempat letak kaki yang tidak terlalu menolak penunggang ke hadapan.

    Aprilia RS660 sah akan tiba di Malaysia hujung 2020

    Casis motosikal ini dijadikan lebih ringan dengan penggunaan kerangka serta lengan ayun aluminium, manakala suspensi pula terdiri daripada fork 41 mm Kayaba yang boleh dilaras di hadapan serta monoshock di belakang. Brek adalah daripada Brembo, dengan unit cakera berkembar 320 mm serta angkup empat piston di hadapan.

    Selain daripada pendikit ride-by-wire, RS660 juga didatangkan terus dengan pelbagai sistem elektronik termasuk Aprilia Traction Control, Aprilia Wheelie Control, Aprilia Cruise Control, Aprilia Quick Shift (naik dan turun), Aprilia Engine Brake, Cornering ABS serta pilihan lima mod tunggangan (tiga untuk atas jalan biasa dan dua lagi untuk atas litar). Panel instrumen menggunakan unit TFT yang boleh disambung dengan aplikasi telefon pintar.

    Sudah tentu, harganya masih tidak diberitahu, dan kami juga tidak dapat memberikan sebarang anggaran kerana di negara luar juga ia masih belum dijual. Yang pasti, ia adalah unit import sepenuhnya (CBU).

     
     
  • Aprilia RSV4 X buat penampilan istimewa di Malaysia

    Aprilia RSV4 X buat penampilan istimewa di Malaysia

    Khas bagi menyambut ulang tahun model RSV4 yang kesepuluh dan projek mereka yang berhasil memenangi tujuh kejuaraan dalam WSBK, Aprilia telah mengeluarkan sebuah model istimewa yang dinamakan sebagai RSV4 X. Hanya 10 unit sahaja yang dibuat dan ia dijual pada harga 39,900 Euro (RM183k).

    Sudah tentu, dalam masa yang singkat sahaja selepas penjualannya diumumkan Mac tahun lalu, motosikal ini habis dijual dan salah satunya dimiliki oleh pelumba legenda, Max Biaggi. Beliau singgah ke Malaysia untuk mencuba RSV4 X ini di Litar Sepang hujung minggu ini, dan ia adalah penampilan pertama RSV4 X di Asia.

    RSV4 X sebenarnya adalah sebuah model yang menggunakan asas daripada RSV4 1100 Factory, yang dijual pada harga RM159,900 di Malaysia, tetapi ia dijadikan lebih ringan dan berkuasa oleh Aprilia Racing melalui program Factory Works. Ia juga cuma boleh digunakan di dalam litar.

    Enjin V4 1,100 cc asal ditala khas seperti enjin perlumbaan dan dipasang dengan intake camshaft, valve return spring, caps, bucket tappet serta profail cam baru. Sistem kemasukan udara dijadikan lebih lancar dengan penapis Sprint Filter manakala ekzos pula adalah unit gentian karbon berserta paip titanium oleh Akrapovic.

    Hasilnya motosikal ini boleh mengeluarkan kuasa 225 hp dan ia digabungkan dengan berat yang cuma 165 kg hasil daripada penggunaan bahan serba ringan seperti gentian karbon dan aluminium pada bahagian seperti fairing, pelindung tayar serta laluan udara ke angkup brek dan penapis. Rim adalah unit magnesium keluaran Marchesini.

    Aprilia RSV4 X juga didakwa menjadi motosikal jualan awam pertama di dunia yang menggunakan kotak gear dengan kedudukan neutral di bawah gear satu yang dipanggil sebagai Aprilia No Neutral (ANN) serta angkup brek billet Brembo GP4-MS.

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – tempahan sudah dibuka

    Dah tengok brosur Perodua Bezza facelift 2020 yang bocor semalam? Pagi ini pihak Perodua sendiri telah mengumumkan bahawa tempahan untuk sedan segmen-A tersebut sudah dibuka, dan turut menyiarkan video teaser pendek menampilkan pemain bola sepak, Safee Sali.

    Harga dan varian nampaknya sama seperti yang tersebar sebelum ini – Bezza ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan model asas Bezza 1.0 GX Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 GX Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980. Pembelian model ini datang sekali dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

    Kesemua varian Bezza 2020 akan hadir standard dengan lampu hadapan LED, skirt sisi dengan warna badan, penderia undur serta sistem brek ABS bersama EBD. Bezza juga kali ini datang dengan sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga kawalan cengkaman (TRC), tetapi hanya untuk model pertengahan Bezza X dan model tertinggi Bezza AV menerima sistem keselamatan aktif ini.

    Perodua Bezza 2020 – tempahan sudah dibuka

    Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom dan juga rim aloi bersaiz 15-inci. Walau bagaimanapun, hanya Bezza AV yang diberikan cermin sisi boleh lipat berkuasa.

    Bezza 2020 akan ditawarkan dengan enam warna – Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown sedia ada, bersama dua warna baharu iaitu Garnet Red (untuk varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey.

    Menerusi video yang disiarkan, Bezza 2020 nampaknya diberikan perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

    Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan pemadanan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

    Tidak dapat dilihat dengan jelas apa perubahan besar pada bahagian dalaman melalui video berkenaan. Rekaan asas papan pemuka masih lagi nampak sama, tetapi menurut Perodua, Bezza 2020 hadir dengan panel meter diberikan pencahayaan putih yang lebih jelas dari sebelum ini.

    Tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama.

     
     
  • Caltex mula jual RON95 Euro 4M di semua stesennya

    Caltex mula jual RON95 Euro 4M di semua stesennya

    Sehari sebelum 2020 mengambil alih dekad ini, Caltex Malaysia mengumumkan petrol RON 95 Euro 4M telah pun mula dijual di kesemua 440 stesen minyaknya di seluruh negara.

    Ia adalah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan seperti mana yang telah diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di mana mulai Januari 2020, petrol RON95 berkualiti tinggi dengan spesifikasi standard bahan bakar Eropah EURO4M (E4M) mula dijual di stesen minyak seluruh negara.

    Shell Malaysia merupakan syarikat pertama yang mengumumkan penjualan RON 95 Euro 4M ini minggu lalu, tetapi hanya di lokasi terpilih sahaja. Walau bagaimana pun, mulai 1 Jan lalu, bahan api FuelSave 95 Euro 4M telah boleh didapati semua stesen minyaknya.

    Manakala Petronas dan Petron juga masing-masing turut mengumumkan perkara yang sama beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu. Walau bagaimana pun, sehingga kini tiada pula pengumuman rasmi daripada BHPetrol mengenai Infiniti RON 95, tapi dipercayai ia juga telah mengambil langkah yang sama kerana ia telah pun digazetkan oleh kerajaan.

    Spesifikasi bahan api Euro 4 ini mengandungi kandungan sulfur sebanyak 50 parts per million (ppm) iaitu angka ini kurang separuh daripada kandungan sama yang terdapat pada petrol RON 95 dengan piawaian Euro 2M sebelum ini. Sekaligus memberikan emisi kenderaan yang lebih rendah.

    Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan harga bagi RON 95 akan diapungkan mulai Januari 2020. Walau bagaimana pun, perkara tersebut termasuk Program Subsidi Petrol (PSP) telah ditangguhkan sehingga tarikh yang dimuktamadkan oleh kabinet kelak.

    Justeru, buat masa ini, kita masih boleh menikmati harga yang sama untuk RON 95 Euro 4M seperto Euro 2M, iaitu RM2.08 seliter sehinggalah PSP mula dilaksanakan.

     
     
  • Brosur Perodua Bezza 2020 bocor – harga bermula RM36k-RM50k, ASA 2.0, VSC, TRC dan Lampu LED

    Brosur Perodua Bezza 2020 bocor – harga bermula RM36k-RM50k, ASA 2.0, VSC, TRC dan Lampu LED

    Tempoh hari, kita sudah pun melihat imej Perodua Bezza facelift 2020 yang sedang diagihkan ke pengedar-pengedar, dan kali ini kami menerima pula brosur model kemaskini berkenaan yang memaparkan bukan sahaja harga, malah kelengkapan untuk setiap varian.

    Sedikit berbeza dari model sedia ada yang hadir dalam lima varian, Bezza 2020 ditawarkan dalam hanya empat varian, bermula dengan model asas Bezza 1.0 GX Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 GX Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980 – model 1.3L dengan transmisi manual kini digugurkan.

    Dari segi penawaran, nampaknya kesemua varian Bezza akan hadir standard dengan lampu hadapan LED, skirt sisi dengan warna badan, penderia undur serta sistem brek ABS bersama EBD. Bezza juga kali ini datang dengan sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga kawalan cengkaman (TRC), tetapi hanya untuk model pertengahan Bezza X dan model tertinggi Bezza AV menerima sistem keselamatan aktif ini.

    Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama.

    Brosur Perodua Bezza 2020 bocor – harga bermula RM36k-RM50k, ASA 2.0, VSC, TRC dan Lampu LED

    Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom dan juga rim aloi bersaiz 15-inci. Walau bagaimanapun, hanya Bezza AV yang diberikan cermin sisi boleh lipat berkuasa.

    Dalam brosur tersebut turut memaparkan Bezza akan ditawarkan dengan enam warna – dua adalah warna baharu, salah satu daripadanya digelar Garnet Red.

    Kami masih belum dapat imej penuh luaran dan dalaman Bezza facelift ini. Tetapi berdasarkan spyshot sebelum ini, Bezza 2020 nampaknya diberikan perubahan ketara pada bahagian muka – menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, bersama bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus/kemasan liang udara sisi yang direka lebih bersegi dan agresif.

    Rekaan lampu belakang masih lagi nampak sama, tetapi bampar pada bahagian ini kelihatan lebih ‘sibuk’ dengan pemadanan kemasan untuk reflektor yang besar dan nampak seperti liang udara palsu seakan pada Axia facelift dan Myvi, serta kemasan seakan diffuser juga jauh lebih besar dari sebelum ini.

    Pada bahagian sisi, dapat dilihat kemasan skirt sisi juga berubah bentuk, dan ia kini diberikan set rim aloi dua-tona dengan rekaan baharu. Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010.

    Kami jangkakan tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama.

     
     
  • Proton daftar 11,117 unit pada Dis 2019 – 100,821 unit terjual tahun lalu, jualan tertinggi Saga dan X70

    Proton daftar 11,117 unit pada Dis 2019 – 100,821 unit terjual tahun lalu,  jualan tertinggi Saga dan X70

    Proton telah mengumumkan angka prestasi jualan untuk Disember 2019, dengan menyaksikan sejumlah 11,117 unit berjaya terjual, iaitu melonjak daripada 9,643 unit pada November. Malahan angka yang dicatatkan pada Disember menjadikannya sebagai bulan terbaik dalam prestasi jualannya sepanjang 2019, bahkan ini merupakan kali pertama Proton berjaya menjual melebihi 11,000 unit kereta sebulan sejak Julai 2014.

    Pencapaian penjualan untuk bulan Disember sangat membantu Proton dalam merealisasikan sasarannya sebanyak 100,000 unit untuk tahun 2019. Pengeluar kereta nasional pertama negara ini mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 100,821 unit (pasaran domestik + eksport), meningkat sebanyak 55.7% berbanding 2018 dan ini kali pertama Proton mencatatkan rekod melebihi 100,000 unit sejak 2015.

    Sekaligus meletakkan Proton sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 dalam kalangan jenama automotif di Malaysia. Pegangan pasaran pula dianggarkan berada pada 16.7%, angka tertinggi sejak 2014.

    Bagi prestasi jualan mengikut model, Saga menduduki carta teratas. Dengan jualan pada Disember mencapai 3,892 unit, dan jualan keseluruhan sepanjang 2019 adalah sebanyak 38,144 unit. Manakala SUV X70 pula berada di tangga kedua, dengan jualan keseluruhan sebanyak 26,331 unit. Malahan Persona juga mencatat jualan memberangsangkan dengan mencapai 21,876 unit.

    “X70 dan Saga menjadi pendorong utama di atas pertumbuhan jualan Proton yang cemerlang tahun 2019. Kami berasa terharu dengan kedudukan X70 sebagai model paling popular dan ingin berterima kasih kepada semua pelanggan kami di atas sokongan mereka.

    “Bagi Saga pula, dengan mendapat lebih 41,000 tempahan dan mungkin lebih lagi di masa hadapan, ia kekal sebagai produk utama Proton dan merupakan pilihan paling popular dalam kalangan pelanggan tanpa mengira usia, status dan kuasa pembeli, menjadikannya sebuah kereta yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Walau bagaimana pun, Proton tidak memaklumkan angka jualan untuk Iriz dan Exora. Namun demikian, Proton memaklumkan, jualan bagi Iriz meningkat sebanyak 97% sejak ia diperkenalkan pada April lalu. Sementara itu, MPV Exora pula turut menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 40% pada tahun lalu.

     
     
  • 10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Hari ini merupakan hari kedua kita berada dalam ‘tahun futuristik’ yang kita gambarkan pada era 80’an dan 90’an dahulu – tahun 2020. Walau bagaimanapun, ini hari pertama kami bekerja semula kerana semalam adalah hari cuti untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Tahun 2019 merupakan tahun yang sangat mencabar untuk rata-rata rakyat Malaysia dengan iklim ekonomi yang sukar di duga. Tetapi, dengan cabaran yang semakin sengit ini membuatkan kami lebih kuat berusaha, dan hasilnya, 2019 adalah antara tahun paling cemerlang kami di paultan.org/bm selepas dijenamakan semula dari infokereta.com bermula pada awal tahun 2016.

    Sepanjang tahun lalu, team paultan.org/bm telah menghasilkan 2,458 artikel untuk bacaan anda. Menerusi artikel-artikel berkenaan, pengguna kami telah naik sehingga mencecah 4.6 juta, berbanding 3.3 juta pada tahun 2018, menyaksikan peningkatan sebanyak 37%.

    Jumlah berkenaan membawa kepada 15 juta pelawat hadir ke laman sesawang kami bagi membaca pelbagai info terkini berkenaan dunia automotif sepanjang 2019, naik 53% dari 9.5 juta pelawat pada tahun 2018.

    Dengan rasa rendah diri, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua pembaca yang budiman kerana sentiasa menyokong usaha kami bagi menyampaikan apa yang kami tahu dalam lapangan industri automotif tempatan dan antarabangsa sepanjang kewujudan laman paultan.org versi Bahasa Melayu ini. InsyaAllah, dengan dorongan dan momentum yang anda berikan, kami akan berusaha lagi untuk 2020 dan tahun-tahun mendatang. Sekali lagi, Terima Kasih!

    Dalam hantaran kali ini, kami senaraikan 10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk tahun 2019:

    10. Proton Saga 2019 dilancarkan di Malaysia

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Kedudukan Perodua Bezza sebagai sedan segmen-A tahun lalu agak goyah setelah kehadiran Saga 2019 yang menerima pelbagai kemaskini. Jadi tidak hairanlah berita pelancaran model ini tersenarai dalam kedudukan 10 teratas artikel paling popular 2019.

    Selain dari perubahan dari segi kosmetik, Saga facelift ini menerima perubahan besar dari pada unit transmisi – kotak gear CVT dari Punch sebelum itu yang menerima pelbagai kritikan telah diganti dengan kotak gear empat-kelajuan automatik yang dibekalkan oleh Hyundai.

    9. Perodua Axia facelift 2019 dilancarkan dengan tambahan varian Style

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Perodua Axia merupakan kereta paling mampu milik dalam pasaran. Dan nampaknya, berita berkenaan hatchback versi facelift ini menerima kunjungan yang lebih tinggi dari Saga 2019.

    Untuk Axia baru tersebut, selain menerima pelbagai kemaskini untuk varian atas seperti sistem kestabilan elektronik dan sistem bantuan pemanduan A.S.A 2.0, Perodua juga memperkenalkan varian baharu yang digelar Style, tampil dengan kit badan yang membuatkannya kelihatan seperti SUV.

    8. Pandu Uji Proton Saga 2019

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Seminggu selepas Proton Saga 2019 dilancarkan, editor kami Hazril Hafiz berpeluang untuk memandu sedan berkenaan dalam satu sesi yang dijalankan oleh Proton.

    Nyata orang ramai tidak sabar nak tahu bagaimana rasa Saga yang telah menerima pelbagai penambahbaikkan tersebut, dan artikel berkenaan menjadi artikel nombor lapan paling popular sepanjang 2019.

    7. Mitos “cara betul untuk menggunakan butang penghidup enjin”

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Teknologi baharu yang tampil pada kereta-kereta terkini sentiasa direka untuk lebih memudahkan pengguna. Tetapi ada saja pelbagai mitos macam mana nak gunakan teknologi-teknologi tertentu.

    Jadi dengan tersebarnya pelbagai dakwaan macam mana cara yang betul untuk guna butang penghidup enjin, kami tampil dengan artikel untuk menjelaskan perkara sebenar.

    6. Perodua Aruz dilancarkan

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Trend penghasilan SUV semakin hari semakin menjadi-jadi kerana mendapat permintaan tinggi dari pasaran. Jadi bila Perodua hadir dengan sebuah SUV, dah tentu ia menjadi sesuatu yang hangat.

    Mana taknya, dah la rupa sama dengan Toyota Rush, harga lagi murah, boleh naik tujuh orang pula tu.

    5. Perlu ke ‘skru camber’ ditukar setiap kali buat wheel alignment?

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Kami pasti kebanyakkan dari anda bila pergi sahaja buat penjajaran roda (wheel alignment) mesti ada pekerja yang mengesyorkan agar ‘skru camber’ ditukar bagi membolehkan sudut camber suspensi anda dilaras kembali.

    Perlu ke buat semua ni? Kami rungkaikan semuanya bersama teori teknikal berkenaan perkara tersebut dalam artikel ini, dan ia telah menjadi artikel kelima paling popular pada tahun 2019.

    4. Enjin Perodua Axia akan rosak kalau guna petrol RON 95?

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Hah? Betul ke? Ini bukan dakwaan kecil. Perodua Axia kereta untuk golongan marhaen, takkan nak kena isi petrol RON 97 yang memang mahal sekarang ni?

    Jadi untuk menjelaskan kekeliruan ini, kami tampil dengan satu artikel istimewa untuk memberi penjelasan yang lebih tepat.

    3. Risalah Yamaha LC135 V6 diedar sebelum pelancaran

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Walaupun sudah berada sangat lama dalam pasaran, Yamaha 135 LC masih mempunyai jumlah peminat yang cukup ramai. Bila risalah untuk model kemaskini 135 LC V6 tersebar, kami naikkan satu artikel dan kemudian menjadi artikel nombor tiga paling popular sepanjang tahun lepas.

    2. Harga Yamaha Y15ZR V2 diumumkan

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Selain dari RX-Z, Yamaha Y15ZR V2 adalah antara motosikal yang paling banyak diperkatakan tahun lalu, dengan pelbagai cerita dan kontroversi. Jadi bila kami siarkan artikel berkenaan pengumuman harga untuk ‘YSuku’ V2 ini, dah tentu ia menjadi antara artikel paling popular tahun lepas.

    1. PTPTN cadang sekat pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan untuk peminjam yang culas membayar balik pinjaman

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm untuk 2019; jumlah pembaca kami meningkat, terima kasih semua!

    Janji nak hapus, tapi macam tiada harapan. Pulak tu ada pula cadangan untuk menyekat peminjam-peminjam PTPTN yang culas membayar ini dari memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan. Cadangan yang mengarut, dan tak hairan kenapa artikel kami berkenaan isu ini menjadi artikel paling popular pada tahun 2019.

     
     
  • Genesis GV80 – gambar rasmi SUV pertama didedah

    Genesis GV80 – gambar rasmi SUV pertama didedah

    Setelah sekian lama, akhirnya Genesis mengeluarkan gambar pertama untuk SUV pertama mereka yang dinamakan sebagai GV80. Kenderaan mewah bersaiz besar ini akan ditawarkan dengan tetapan tempat duduk tiga baris, dan menggunakan asas daripada model konsep yang pernah ditunjukkan tiga tahun dulu.

    Melihat kepada gambar gelap yang didedahkan, kenderaan ini sememangnya banyak menggunakan gaya seperti kereta konsep tersebut. Gril depan dengan motif jalur bersilang diapit oleh lampu utama mendatar yang bertingkat seterusnya memberikan ia gaya yang tersendiri. Bahagian bawah bampar pula kelihatan seakan BMW 7 Series G12.

    Dari tepi, anda boleh melihat jalur melengkung yang bersambung dari hud depan sehinggalah ke belakang. Fender pula lebih kembung dengan terdapat sirip di hadapan. Bukaan tingkap pula kelihatan semakin mengecil ke belakang dan garisnya bersambung dengan spoiler.

    Genesis GV80 – gambar rasmi SUV pertama didedah

    Masuk pula ke dalam, ciri minimalis yang digunakan dikata mendapat inspirasi daripada ruang terbuka yang digunakan dalam seni bina Korea Selatan. Papan pemuka dibahagikan kepada dua oleh jalur melintang yang bersambung dengan corong udara, sementara di tengah pula terdapat pengawal pendingin hawa jenis sentuh dan pemilih gear jenis pusing seperti Jaguar. Di atas papan pemuka terdapat skrin yang lebar untuk sistem infotainmen.

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, selain GV80 akan ditawarkan secara standard dengan pacuan roda belakang manakala pacuan empat roda pula disediakan sebagai pilihan tambahan. SUV ini dijangka mendapat khidmat daripada enjin V6 3.3 liter twin turbo sama seperti Kia Stinger, dengan kemampuan 365 hp dan 510 Nm tork. Jualan akan bermula di Korea Selatan hujung bulan ini.

     
     
  • Gambaran awal litar MotoGP di Lombok, Indonesia

    Gambaran awal litar MotoGP di Lombok, Indonesia

    Pada tahun 2021, Indonesia akan dimasukkan di dalam kalendar MotoGP, dengan perlumbaan akan diadakan di litar baru Mandalika di Lombok. Litar yang terletak atas tanah berkeluasan 133.1 hektar ini masih lagi dalam pembinaan namun MotoGP melalui laman Instagram telah menunjukkan grafik 3D bagaimana ia akan kelihatan nanti.

    Jarak satu pusingan litar ini adalah 4.32 km, dengan terdapat 19 selekoh. Apabila tiada perlumbaan di litar tersebut, ada bahagiannya akan digunakan sebagai jalan dan lebuh raya awam. Kos pembangunannya adalah USD 1 bilion (RM4.08 bilion).

    Litar ini boleh menampung sebanyak 150,000 penonton, dan antara kemudahan lain yang disediakan adalah seperti ruang suite untuk 7,700 orang, 40 paddock, pusat persidangan dan pameran, serta pusat membeli-belah berhampirannya.

     
     
  • Beli alat ganti atas talian dari luar negara – hati-hati dengan duti import dan cukai, hingga 40 peratus

    Beli alat ganti atas talian dari luar negara – hati-hati dengan duti import dan cukai, hingga 40 peratus

    Dalam zaman serba mudah sekarang, kita boleh melakukan pembelian atas talian bukan sahaja daripada platform tempatan, tapi juga luar negara. Semuanya bergantung kepada kita untuk menimbang sama ada laman tersebut boleh dipercayai atau tidak, dengan harapan barang tersebut akan sampai secara selamat.

    Ini sekaligus memberikan sedikit ketenangan kepada pemilik kenderaan yang susah untuk mendapatkan alat ganti dari dalam negara kerana boleh mendapatkannya dari seluruh dunia. Ini termasuklah juga saya yang memiliki KTM Enduro 690 tahun 2015. Setakat alat ganti asal pengeluar memang boleh didapati daripada pengedar rasmi KTM di Malaysia, tapi untuk aksesori sedikit sukar.

    Sedikit cerita tentang motosikal itu, sebelum ini saya memang sudah menggunakan penapis udara dan ekzos aftermarket manakala ECU pula telah ditala untuk dijadikan sesuai dengan pakej tersebut. Walaubagaimanapun, setelah hampir tiga tahun digunakan, bahagian gentian karbon pada ekzos tersebut telah pecah dan perlu ditukar. Saya akhirnya membuat keputusan untuk membeli sahaja ekzos baru yang dibuat daripada stainless steel pula. Ekzos asal sudah tidak sesuai dengan pemetaan ECU.

    Beli alat ganti atas talian dari luar negara – hati-hati dengan duti import dan cukai, hingga 40 peratus

    Untuk unit aftermarket, setelah beberapa minggu mencari di dalam Malaysia, saya cuma menjumpai unit Akrapovic yang berharga lebih RM7k untuk slip-on sahaja. Ini terlalu jauh daripada bajet, dan saya beralih kepada atas talian untuk unit yang lebih mampu milik. Dipendekkan cerita, saya membuat keputusan untuk membeli unit jenama Arrow daripada satu laman web yang berpusat di Itali dengan harga 349.56 Euro (sekitar RM1,600).

    Pembelian dilakukan pada 15 November 2019, dan pada 19 November, melalui no penjejak (tracing number) saya dapat tahu ia sudah mula dipos menggunakan khidmat Poste Italianne. Sudah tentu, dalam hati terasa tidak sabar menunggu ia tiba tapi pada 2 Disember saya dapati terdapat masalah di mana bungkusan tersebut sangkut di pusat pertukaran antarabangsa Malaysia.

    Awalnya saya cuma bersangka mungkin ia sekadar untuk pemeriksaan, tetapi lepas dua minggu masih tiada pergerakan, saya membuat keputusan untuk terus ke hab antarabangsa Pos Malaysia di KLIA. Ternyata barang tersebut ada di situ. Sebelum boleh diambil, saya diarahkan oleh pegawai Pos Malaysia untuk ke kaunter Kastam terlebih dahulu.

    Beli alat ganti atas talian dari luar negara – hati-hati dengan duti import dan cukai, hingga 40 peratus

    Di situ saya disuruh untuk membuka bungkusan dan menyatakan apa di dalamnya. Kemudian, mereka memberitahu ada duti import serta cukai yang perlu dibayar. Saya sudah menjangkakan perkara ini dan yang lebih penting adalah berapa. Setelah mengambil kira jenis barang, pegawai tersebut memberitahu duti import adalah 25 peratus dan cukai SST pula 10 peratus. Ia dikira daripada jumlah keseluruhan barang dalam Ringgit Malaysia, setelah dibundarkan kepada RM1,600.

    Secara keseluruhannya, untuk barang tersebut dilepaskan, saya perlu membayar duti import RM400 (25% x RM1,600) dan SST RM200 (10% x (RM1,600 + RM400)). Jadi kesimpulannya, jumlah keseluruhan barang saya itu termasuk duti dan cukai adalah RM2,200. Harga RM1,600 yang saya bayar awalnya kepada laman web Eropah itu adalah harga dengan diskaun, tetapi apabila sudah dicampurkan dengan cukai ini, harganya seperti kembali kepada asal. Walaupun begitu, ia masih adalah unit yang termurah dalam pasaran.

    Beli alat ganti atas talian dari luar negara – hati-hati dengan duti import dan cukai, hingga 40 peratus

    Jadi, melalui pengalaman ini, kami mahu mengingatkan anda bahawa apabila membeli barang alat ganti atas talian dari luar negara, masukkan sekali kos duti import dan cukai ini supaya anda tahu harga sebenar untuk barang tiba kepada anda. Jangan sampai nanti setelah membeli barang tersebut, dan ia sangkut di kastam, anda tidak sanggup pula untuk membayar cukai kerana terlalu mahal. Kalau anda tidak bayar, barang juga tidak boleh diambil.

    Anda sebenarnya boleh melihat tarif duti import dan cukai ini melalui laman web kastam, dengan mencari Kod HS barang tersebut. Setakat yang kami perhatikan, untuk alat ganti kenderaan, ia boleh pergi antara lima peratus hingga 40 peratus. Kemudiannya, ada lagi tambahan 10 peratus untuk cukai SST. Jadi, bergantung kepada anda lah sama ada sanggup atau tidak untuk membayar cukai dan duti ini.

     
     
  • ANIH jangka 10k transaksi RFID sehari direkodkan di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong untuk 2020

    ANIH jangka 10k transaksi RFID sehari direkodkan di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong untuk 2020

    Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANIH Berhad menjangkakan 10,000 transaksi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) direkodkan bagi tempoh sehari di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong pada tahun ini.

    Menurut Pengarah Eksekutif ANIH, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong sudah pun dilaksanakan mulai 1 Januari 2020, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah membantu melancarkan lagi aliran trafik di dua plaza tol berkenaan.

    “Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod RFID di dua plaza tol ini selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow (MLFF) di lebuh raya yang menjadi aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna di masa hadapan.

    ANIH jangka 10k transaksi RFID sehari direkodkan di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong untuk 2020

    “Persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong bersedia dengan sistem kutipan baharu itu,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    RFID menjadi kaedah baharu pembayaran tol secara elektronik di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong di samping mod pembayaran sedia ada iaitu menerusi kad Touch n Go (TNG) dan SmartTAG bagi memberi kemudahan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

    Manakala di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang turut dikendalikan oleh ANIH, kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2020.

    ANIH jangka 10k transaksi RFID sehari direkodkan di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong untuk 2020

    Sistem tol terbuka bermaksud bayaran dibuat di plaza tol yang dilalui pengguna, manakala sistem tol tertutup ialah sistem tol masuk dan keluar dengan bayaran dibuat mengikut jarak laluan dan dibayar semasa keluar sahaja.

    Nik Fauzi turut berkata, bagi mempersiapkan syarikat untuk berdepan peningkatan jumlah kepadatan kenderaan di lebuh raya serta untuk menyenangkan pengguna membuat transaksi pembayaran tol, syarikat melihat pelaksanaan RFID ini tepat pada masanya.

    “Ia membantu mempercepatkan lagi proses bayaran tol seterusya mengurangkan kesesakan di Plaza Tol Gombak dan Bentong, khususnya pada musim perayaan,” katanya.

    Sepanjang tempoh percubaan bagi projek perintis RFID sehingga 31 Disember 2019, ANIH merekodkan sejumlah 151,238 pengguna RFID di Lebuhraya KLK dan menjangka jumlah berkenaan akan meningkat sejajar dengan peningkatan maklum balas positif kesan daripada faedah yang ditawarkan menerusi mod RFID.

     
     
  • Tunggu keputusan kerajaan untuk pembelian 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord – Lim

    Tunggu keputusan kerajaan untuk pembelian 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord – Lim

    Beberapa hari sebelum Tahun Baharu 2020, kecoh seketika bila kerajaan dikatakan bakal membeli kenderaan mewah untuk kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Ia melibatkan pembelian 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri, manakala 3,000 unit Honda Accord pula untuk pegawai kanan kerajaan.

    Isu ini menjadi pendebatan di kalangan netizen di laman media social, yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan ini, memandangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menyeru rakyat agar berjimat cermat. Malahan ekonomi negara juga acapkali dilaungkan sebagai ‘kurang memberangsangkan’.

    Malah beberapa syarikat besar juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan tender sebagai pengendali rangkaian kenderaan rasmi kenderaan selepas syarikat Spanco Sdn Bhd yang sebelum ini mengendalikannya, telah tamat kontrak pada hujung 2019. Syarikat besar terbabit termasuklah Naza Group, Berjaya Group, Sime Darby, DRB-Hicom, Samling Group, Comos dan Go Auto.

    Tunggu keputusan kerajaan untuk pembelian 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord – Lim

    Walau bagaimana pun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, perkara ini masih belum diputuskan oleh kerajaan, terutamanya pemberian kontrak kepada syarikat yang bakal mengendalikannya.

    “Itu (kontrak kenderaan mewah) nantilah, kita berpandukan kepada (keputusan) Kabinet. Tunggu mesyuarat Kabinet,” ujar Lim seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan pemberian kontrak kenderaan itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

    Bagaimanapun tambahnya, Kabinet sudah pun membincangkan mengenai kaedah terbaik yang dapat memberikan penjimatan kepada kerajaan yang antara lain adalah memberikan elaun kenderaan atau menyediakan kereta rasmi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026