Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ akan saman secara berasingan panel cermin gelap yang melebihi had, pemilik kenderaan tidak terlepas

    JPJ akan saman secara berasingan panel cermin gelap yang melebihi had, pemilik kenderaan tidak terlepas

    Jika anda menggelapkan cermin utama dan cermin depan kedua-dua sisi pada kenderaan melebihi had yang dibenarkan, anda mungkin akan disaman secara berasingan bagi tiga cermin yang berbeza itu. JPJ telah mengeluarkan amaran bahawa pengguna yang melanggar peraturan cermin gelap ini boleh berdepan dengan saman berasingan bagi setiap satunya.

    Bukan itu sahaja. Menurut Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, saman berkenaan akan turut dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan terbabit walaupun ia dipandu oleh orang lain ketika ditahan, lapor Harian Metro.

    “Bagi kesalahan cermin gelap, kami akan mengeluarkan sama berasingan bagi setiap kesalahan itu. Contohnya, sekiranya pelaku melakukan tiga kesalahan kerana cermin gelap melebihi had dibenarkan bagi cermin utama, tingkap sisi kanan dan tingkap sisi kiri, tiga saman akan dikenakan,” jelas beliau.

    JPJ akan saman secara berasingan panel cermin gelap yang melebihi had, pemilik kenderaan tidak terlepas

    “Sekiranya pemandu ketika ditahan itu bukan pemilik kenderaan, maka pemilik juga akan dikenakan tindakan, menjadikan keseluruhannya enam saman dikeluarkan semuanya – tiga bagi pemandu, tiga lagi kepada pemilik,” ujar beliau lagi selepas selesai sebuah operasi penguatkuasaan cermin gelap khas di negeri itu.

    Sebanyak 781 notis saman dikeluarkan, termasuk 338 saman, bagi tempoh dua hari operasi itu berlangsung. Lima buah kenderaan turut disita dalam operasi yang dijalankan di tiga likasi berbeza itu, melibatkan kerjasama polis dan Jabatan Imigresen. Sebahagian besar kesalahan cermin gelap itu dilakukan oleh kenderaan persendirian, terutama kereta mewah.

    Peraturan terkini cermin gelap bagi cermin utama dan cermin tingkap sisi di depan ditetapkan perlu mematuhi kadar penembusan cahaya (VLT) masing-masing 70% dan 50%, sementara cermin belakang tidak dihadkan. Kepada pengguna yang perlu menggelapkan lagi cermin seperti yang dinyatakan itu boleh berbuat demikian melalui permohonan khas yang dikenakan kos.

     
     
  • Tindakan saman pemandu yang tak guna kerusi keselamatan kanak-kanak demi kepentingan bersama

    Tindakan saman pemandu yang tak guna kerusi keselamatan kanak-kanak demi kepentingan bersama

    Seperti yang semua sedia maklum, mulai 1 Januari 2020 ini, pemandu yang membawa penumpang kanak-kanak atau/dan bayi perlulah menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan. Kerajaan juga telah mengumumkan tindakan saman akan dikuatkuasakan selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan kerusi berkenaan mulai Januari ini.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tindakan itu perlu dilakukan supaya pengguna terutama ibu bapa sedar akan kepentingan penggunaan CRS untuk keselamatan kanak-kanak.

    “Jika kita tidak kuatkuasakan undang-undang yang ada, pasti tidak akan berkesan. Jadi perlu ada titik permulaan penguatkuasaan iaitu selepas enam bulan pendidikan kesedaran tamat. Selepas tempoh itu jika masih ada yang tidak ikut undang-undang sudah pasti akan dikenakan tindakan saman. Jika tiada tindakan, tidak guna ada undang-undang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Menurut Loke, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan.

    Tindakan saman pemandu yang tak guna kerusi keselamatan kanak-kanak demi kepentingan bersama

    “Kita bukan ambil pendekatan yang keras, bukan mula 1 Januari 2020 kita saman, kita tidak buat seperti itu. Cuma kita mahu masyarakat faham mengenai kepentingan CRS. Kempen dan peraturan yang dibuat ini untuk keselamatan dan demi melindungi nyawa anak mereka sendiri. Jadi ibu bapa perlu faham dan walaupun sedikit membebankan, tetapi ia untuk melindungi nyawa,” katanya.

    Tambahnya lagi, ketika ini pihaknya dari semasa ke semasa sedang berusaha untuk mengurangkan kos CRS bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

    Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang boleh menjadi penaja CRS untuk diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

    “Kita tidak dapat bagi bantuan kepada semua, sebab terlalu ramai kanak-kanak di Malaysia ini jadi kita cuba usahakan sediakan subsidi kepada hanya mereka yang memerlukan sahaja,” katanya.

    Walau bagaimana pun, pada hujung November lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar mengumumkan bahawa kelonggaran akan diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai. “Khusus untuk keluarga yang besar, saya boleh laporkan mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tidak membolehkan CRS dipasang. Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” ujarnya di Dewan Rakyat.

     
     
  • Honda Airblade 2020 diperkenal di Vietnam – RM7.3k

    Honda Airblade 2020 diperkenal di Vietnam – RM7.3k

    Selepas Winner X, Honda sekali lagi melalukan kejutan di Vietnam dengan melancarkan sebuah skuter serba baru Airblade 2020. Airblade baru ini sebenarnya adalah model generasi kelima dengan mempunyai penampilan yang diubah sepenuhnya, tambahan pilihan enjin 150 cc (sebelum ini 125 cc) dan pelbagai lagi ciri.

    Di Vietnam, untuk setiap versi Airblade 2020 (125 cc atau 150 cc), ia disediakan dalam dua pilihan versi iaitu Special dan Standard, dengan beza pada grafik serta brek sama ada CBS atau ABS (one channel). Harganya pula adalah antara 41.19 juta Dong (RM7,330) hingga 56.39 juta Dong (RM10,035).

    Pada bahagian hadapan, Airblade 2020 mempunyai muka iras seperti Winner X, dengan bentuk lampu LED yang seakan sama, namun ia mempunyai jalur DRL lebih panjang ke atas. Lampu belakang juga menggunakan unit LED, yang terletak dalam satu unit bersama lampu penunjuk arah.

    Untuk paparan meter, unit analog sebelum ini diganti dengan unit digital LCD baru yang nampak ringkas dan lebih kemas. Ia juga datang dengan sistem tanpa kunci, pengecas USB, ruang simpanan 22.7 liter di bawah tempat duduk (boleh menempatkan dua helmet) dan sistem Idling Stop.

    Kedua-dua enjin yang ditawarkan pada Airblade 2020 ini adalah unit satu silinder suntikan bahan api penyejukan cecair dengan masing-masing mampu memberikan kuasa 11.3 hp dan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 11.68 Nm dan 13.3 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Kelengkapan lain pada Airblade 2020 adalah termasuk rim 14 inci (dengan tayar tanpa tiub saiz yang berbeza antara versi 125 cc dan 150 cc), tangki bahan 4.4 liter, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang (tiada tabung).


     
     
  • Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

    Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

    Pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) 2019 telah pun berakhir di Sepang semalam, dan selepas 10 pusingan serta 30 perlumbaan, pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya menjadi juara dunia dalam kategori pasukan, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, dan Münnich Motorsport Honda di tempat ketiga dengan ketinggalan 52 mata.

    Ini bermakna, Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, dan menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

    Dalam kategori pemandu, pelumba pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse Norbert Michelisz dinobatkan sebagai juara dunia, diikuti oleh Esteban Guerrieri yang memandu Honda Civic Type R TCR dari pasukan Münnich Motorsport.

    Pemandu berpengalaman Cyan Racing, Yvan Muller berada di tempat ketiga, manakala juara WTCC 2017 juga masih memandu untuk Cyan Racing, Thed Bjork berada di tempat keempat secara keseluruhan – prestasi konsisten kedua-dua pemandu ini membolehkan pasukan yang berpengkalan di Sweden tersebut berjaya meletakkan mereka sebagai juara kategori pasukan.

    Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

    Cyan Racing menempuh perlumbaan yang sangat mencabar dalam perlumbaan di Sepang yang berlangsung hujung minggu lalu. Selepas berjaya mendominasi perlumbaan di Macau sebelumnya, Yvan Muller tiba di Malaysia dengan penalti berat yang cukup tinggi – 130 kg lebih berat dari kereta paling ringan – ini adalah sebahagian undang-undang Balance of Performance (BoP) WTCR yang memerlukan pemenang perlumbaan sebelumnya diberikan berat tambahan bagi memastikan perlumbaan ini tidak didominasi oleh satu-satu pasukan dalam satu musim.

    Ini menyebabkan Muller hanya mampu mencatatkan masa ke-16 terpantas dalam sesi kelayakan pertama, dan ke-13 terpantas dalam sesi kedua. Thed Bjork pula hanya mampu mencatatkan masa ke-28 antara 30 kereta yang bertanding (hanya satu petak di hadapan pelumba motoGP negara, Hafizh Syahrin) pada sesi pertama, dan ke-19 pada sesi kedua.

    Walau bagaimanapun, hujan yang turun sepanjang perlumbaan satu, dua dan tiga di Sepang semalam memberikan kelebihan kepada ‘pakar hujan’ Yvan Muller. Pada perlumbaan pertama, Muller berjaya memotong 10 kereta di hadapan bagi menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 bagi mengutip 11 mata.

    10 mata lagi dikutip oleh Muller di perlumbaan kedua setelah sekali lagi berjaya berada di tempat ke-6. Muller bagaimanapun tidak berjaya mengutip sebarang mata di perlumbaan ketiga setelah hanya berada di tempat ke-11, tetapi Thed Bjork berjaya menyumbang 9 lagi mata tambahan untuk pasukan setelah berjaya mendapat tempat ke-7.

    Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

    “Projek Lynk & Co 03 telah disiapkan dalam tempoh memecah rekod, bermula dari perancangan awal hingga kereta disiapkan dalam masa kurang dari 25 minggu, dengan hampir kesemua unit dari setiap negara kumpulan (Geely) memberikan sumbangan. Kami sangat berbangga dan gembira untuk menyaksikan Cyan Racing dinobatkan dengan gelaran juara hari ini, dan melakukannya dengan standard semangat kesukanan yang tinggi bermula perlumbaan pertama dan seterusnya,” kata Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski.

    Bagi mereka yang masih belum mengetahui, Lynk & Co adalah divisi mewah Geely, seperti Lexus dari Toyota. Cyan Racing pula adalah rakan teknikal Volvo Polestar dan telah berlumba bersama sejak sekian lama – Thed Bjork telah bergelar juara Scandinavian Touring Car Championship (STCC) dari 2013 hingga 2015, dan juara dunia World Touring Car Championship (WTCC) 2017 – semuanya dengan Volvo S60 Polestar Cyan Racing.

    Namun pada 2018, pelbagai perkara telah berlaku – FIA telah mengubah WTCC kepada WTCR di mana pengeluar perlu beralih dari jentera TC1 kepada jentera TCR dan Volvo belum membangunkan sebarang jentera TCR, manakala Polestar telah dipisahkan dari Volvo bagi menjadi sebuah jenama pengeluar kereta sport dengan teknologi elektrifikasi.

    Nama Cyan Racing tidak muncul sepanjang musim WTCR 2018, tetapi mereka sebenarnya masim berlumba dalam pasukan Yvan Muller Racing dengan Hyundai i30 N TCR, dipandu Yyan Muller dan Thed Bjork – juga berjaya menjadi juara kategori pasukan untuk musim berkenaan.

    Sedan Lynk & Co 03 hanya diperkenalkan dalam pasaran pada September 2018, manakala projek membangunkan kereta lumba TCR berkenaan bermula Oktober tahun yang sama, dan ia perlu siap sebelum bermulanya WTCR musim 2019. Ia diasaskan dari Lynk & Co 03+, dalam spesifikasi produksi menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40), dan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter Drive-e menghasilkan 254 hp/350 Nm sama seperti yang terdapat pada model-model T5 Volvo.

    Menurut Murdzevski, kereta lumba ini masih menggunakan kerangka produksi, dan menggunakan enjin yang sama – ia masih menggunakan komponen dalaman yang sama sepenuhnya seperti model produksi, cuma diberikan pengecas turbo lebih besar bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm!

    Kereta ini berjaya disiapkan dalam masa yang cukup singkat dan ia mula membuat ujian awalan di litar Mantorp, Sweden dan Estoril, Portugal pada Disember 2018, kemudian mula berlumba pada pusingan pertama WTCR 2019 di litar antarabangsa Moulay El Hassan, Maghribi April lalu.

    Selain dari jentera perlumbaan sebenar ini, pasukan berkenaan turut menghasilkan versi konsep untuk kegunaan jalan raya Lynk & Co 03 Cyan Concept (seperti Volvo S60 Polestar Concept sebelumnya), dengan enjin 2.0 liter turbo yang sama, tetapi menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm!

    Kereta berkenaan kemudiannya berjaya mencatatkan rekod kereta empat pintu terpantas di litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife Ogos lalu dengan catatan 7 minit 20.143 – 4 saat lebih laju dari rekod kereta empat-pintu sebelum ini, Jaguar XE SV Project 8 – dipandu oleh Thed Bjork.

     
     
  • Honda S2000 edisi ulang tahun ke-20 dan Civic EK9 Type R akan buat penampilan di Tokyo Auto Salon

    Honda S2000 edisi ulang tahun ke-20 dan Civic EK9 Type R akan buat penampilan di Tokyo Auto Salon

    Bahagian Modulo di Honda telah mengumumkan barsian kenderaan pertama mereka yang akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2020. Ada dua model yang dimaksudkan, yang bakal menjadikan pameran berkenaan lebih menarik – iaitu model S2000 dan model generasi pertama Honda Civid EK9 Type R.

    Bagi model roadster S2000, ia bukan sembarangan versi, yang akan ditampilkan ialah S2000 20th Anniversary Prototype, yang menjadi akan mempamerkan peralatan kustom untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan. Kereta berkenaan diasaskan daripada S2000 AP1, dan menggunakan enjin F20C 2.0 liter NA VTEC empat-silinder yang menghasilkan janaan sehingga 250 PS dan 217.7 Nm.

    Walaupun sekali pandang ia hanya kelihatan seperti sebuah model stock dan standard sahaja, kereta ini diberikan bampar aero yang menuruti spesifikasi edisi ulangtahun ke-20. Ini diserikan lagi dengan skirt sisi dan spoiler. Keseluruhan badanya menggunakan warna Grand Prix White, dengan warna hitam untuk bahagian seperti bingkai jendela dan cermin, serta rim Yokohama Advan RZ2 17-inci.

    Honda S2000 edisi ulang tahun ke-20 dan Civic EK9 Type R akan buat penampilan di Tokyo Auto Salon

    Lain-lain kelengkapan termasuklah kerusi bucket merah serta suspensi yang diperbaharui. Belum diketahui sama ada kelengkapan berkenaan akan ditawarkan kepada pelanggan S2000, tetapi dijangka kebarangkalian untuk itu tetap ada.

    Bersama S2000, Honda juga akan mempertontonkan EK9 Civic Type R kustom yang dikenali dengan nama Civic Cyber Night Japan (CNJ) Cruiser 2020. Unit yang dipamerkan ini menjadi terjemahan moden kepada versi aslinya dahulu, dan menampilkan penggunaan kit badan yang lebih ketara, lampu utama besar dan rim 17-inci daripada Insight terbaru.

    Selebihnya, kami akan bawakan perincian lanjut berkaitan pameran ini sebaik sahaja ia dibuka pada 10 Januari 2020 nanti. Terus perhatikan ruang ini untuk kemaskini.

     
     
  • Proton X70 terima lebih 200 tempahan melalui Shopee

    Proton X70 terima lebih 200 tempahan melalui Shopee

    Sekarang ini platform membeli-belah secara dalam talian turut memudahkan urusan untuk membeli kenderaan. Malah Proton turut mengambil inisiatif ini dengan menjual SUV X70 menerusi Shopee sempena dengan ulang tahun pertamanya sejak dilancarkan pada 12.12.2018. Lebih 200 unit tempahan dalam tempoh beberapa hari ia dijual melalui platform e-dagang terbabit sejak mula dibuka pada 12.12.2019.

    Menurut Proton, terdapat insentif khas ditawarkan di mana pelanggan yang menggunakan Shopee boleh membuat tempahan dengan bayaran hanya RM99, berbanding bayaran tempahan seperti biasa iaitu sebanyak RM1,000. Bagi 50 pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan kereta mereka sebelum 31 Disember 2019, mereka akan menerima baucar Shopee sebanyak RM2,000 dan tambahan promosi yang ditawarkan Proton bagi bulan ini.

    “Aktiviti perniagaan pada hari ini telah berubah secara drastik daripada apa yang diguna pakai dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang lalu. Proton perlu bergerak seiring dengan perubahan ini untuk kekal relevan dan dalam pada masa yang sama kami juga menyusun strategi untuk menambah tarikan pelanggan melalui peningkatan jumlah pusat 3S/4S. Malahan Proton juga perlu menggunakan teknologi yang ada bagi memacu mobiliti perniagaan.

    Proton X70 terima lebih 200 tempahan melalui Shopee

    “Kempen bersama Shopee ini adalah contoh yang baik kerana ia mudah dan senang untuk pengguna tetapi turut akan menghubungkan pelanggan dengan rangkaian kami untuk mendapatkan perkhidmatan selepas jualan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Sebenarnya ini bukan kali pertama Proton menggunakan platform tempahan dalam talian untuk pelanggan. Sebelum dilancarkan pada 12 Disember tahun lalu, pelanggan boleh melakukan tempahan X70 secara dalam talian bermula September tahun tersebut yang menjadikan tempahan pra-pelancaran diterima lebih 10,000 unit. Kempen yang sama turut digunakan sewaktu pelancaran model-model Proton yang lain pada 2019 yang telah dilaksanakan dengan jayanya membuktikan lagi kepentingan menggunakan saluran dalam talian.

    “Proton mula menggunakan platform tempahan dalam talian sejak akhir tahun 2018 dan dalam beberapa tahun akan datang, kami akan mengembangkan lagi penggunaan ini sebagai salah satu daripada platform jualan kami. Melalui pelbagai platform transaksi dan keselamatan dalam talian yang telah dinaik taraf yang kini telah diterima secara meluas, akan tiba masa di mana permohonan pembiayaan juga boleh dipohon dan diluluskan secara dalam talian jadi Proton ingin menjadi antara yang pertama menggunakan teknologi baharu ini,” tambah Dr Li Chunrong.


    Manakala Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho pula berkata, “Kami amat berbesar hati menerima tawaran daripada pembuat kereta Malaysia pertama untuk melakukan projek besar ini. Ini merupakan pengalaman baharu dan mengujakan apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan sebuah jenama yang mempercayai kelebihan dalam industri e-dagang.

    “Kami amat menantikan untuk bekerjasama dengan Proton bagi mengumpul dan berkongsi idea untuk memperkukuh lagi pengalaman pembelian pelanggan. Kami akan bersama-sama meneroka landskap e-dagang masa kini untuk melakukan lebih banyak perkara yang belum pernah dilakukan lagi, di samping turut mencipta gaya hidup baharu di kalangan pengguna automotif.”

    Disebabkan tawaran semasa bagi X70 mendapat sambut hangat, Proton telah menambah penawaran produknya untuk memasukkan model Iriz, Exora, Persona dan Saga melalui platform yang sama.

     
     
  • Lebuhraya Sungai Besi dari KM11.0 hingga KM11.3 ditutup secara berkala sehingga 12 Jan 2020

    Lebuhraya Sungai Besi dari KM11.0 hingga KM11.3 ditutup secara berkala sehingga 12 Jan 2020

    MMC-GAMUDA telah memaklumkan Lebuhraya Sungai Besi dari KM11.0 hingga KM11.3 (arah Sungai Besi) ditutup sepenuhnya secara berkala mulai hari ini (16 Dis 2019) sehingga 12 Januari 2020.

    Penutupan penuh sepanjang 300 meter itu bermula 11 malam hingga 5 pagi berikutan terdapat kerja-kerja pemasangan kekotak segmen (SBG) dan sebarang kerja berkaitan.

    Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengguna jalan raya yang ingin ke arah Sungai Besi akan dilencongkan ke Lebuhraya Sungai Besi (arah Kuchai Lama) untuk menggunakan aliran kontra yang telah disediakan. Manakala pengguna yang ingin ke Central Residence pula perlu membelok ke kiri selepas aliran kontra tamat. Pemandu yang ingin ke Kuchai Lama boleh menggunakan dua lorong yang akan disediakan.

    Syarikat terbabit turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda trafik dan pengawal bendera yang bertugas.

     
     
  • Proton Saga dan X70 sumbang 90% daripada jumlah keseluruhan jualan – eksport mahu ditingkatkan

    Meskipun jumlah rasmi masih belum dikeluarkan, Proton sudah menganggap jualan X70 bagi tahun 2019 satu kejayaan. Sepanjang tahun pertama jualan SUV ini, ia sudah mencatat 26,000 unit, iaitu kurang sedikit berbanding sasaran yang ditetapkan, tetapi CEO syarikat itu, Li Chunrong masih berpuas hati dengan hasilnya.

    “Kami sudah menjual 26,000 unit X70 dalam tempoh masa satu tahun yang lepas dan walaupun tidak mencapai sasaran 30,000 unit yang ditetapkan, ia masih dianggap berjaya,” kata beliau kepada Channel News Asia awal minggu ini.

    Beliau turut memberitahu Saga facelift juga mencatat prestasi jualan yang baik bagi Proton tahun ini, dengan menjadi penyumbang 70% daripada jumlah jualan keseluruhan. Sejak dilancarkan pada bulan Ogos lalu, model tersebut telah mencatat lebih 35,000 tempahan dan jualannya telah mencecah lebih 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut. Dengan X70 pula menyumbang kepada 19%, jumlah gabungan jualan dua model ini hampir mencecah 90% daripada keseluruhan jualan kenderaan Proton.

    Sebelum ini, Li juga pernah menyatakan Proton sekarang meletakkan sasaran untuk bersaing secara terus dengan Toyota dan Honda pada aspek kualiti dan penjenamaan, dan mahu menjadi “jenama antarabangsa” menjelang tahun 2027. Untuk mencapai sasaran itu, eksport memainkan peranan yang penting.

    Proton Saga dan X70 sumbang 90% daripada jumlah keseluruhan jualan – eksport mahu ditingkatkan

    Beliau mengatakan, Thailand yang mengeluarkan dua juta kenderaan setiap tahun mengeksport satu juta daripadanya. “Separuh daripadanya adalah untuk eksport, sementara eksport Indonesia pula pada 30%. Sementara itu bagi Malaysia, jumlah eksport sekarang cuma 3%,” kata Li.

    Beliau menambah bagi Proton, prestasi eksport terbaik adalah pada thaun 2005, di mana syarikat itu mengeksport 20,000 buah kenderaan dalam masa satu tahun. “Tapi pada tahun 2017, jumlah ini berkurang menjadi cuma 200 buah kenderaan satu tahun. Kenapa? Sebab produk,” kata beliau.

    Dalam masa dua tahun yang lepas, Proton telah berjaya meningkatkan jumlah eksport kepada 1,000 unit, tetapi Li memberitahu ini tidak cukup. “Sebaik kami melancarkan model yang dinaik taraf tahun hadapan, eksport kami akan meningkat dan sasaran diletakkan pada 5,000 buah kenderaan setahun,” kata Li.

    Buat masa sekarang, pasaran eksport terbesar Proton adalah Mesir, di mana ia menjual model Saga dan Exora panduan sebelah kiri. Proton juga bercadang mahu meningkatkan eksport ke Pakistan, di mana mereka bekerjasama dengan Alhaj Automotive untuk membina kilang pemasangan di negara itu.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

    PANDU UJI: Toyota Corolla 1.8L generasi ke-12 – pakej kuasa sama, tapi ada kelebihan pada keseimbangan

    Toyota sudah menggunakan nama Corolla pada model keluarannya agak lama, iaitu sejak tahun 1960-an lagi. Sejak dari itu, model ini telah melalui pelbagai evolusi, dan meninggalkan kesan kepada ramai orang. Sehinggakan pada satu masa, Corolla pernah mencatat jumlah jualan yang lebih tinggi daripada Beetle oleh Volkswagen.

    Di negara kita sendiri, kalau disebut Corolla, mungkin ramai yang sukar untuk memberi gambaran kereta yang dirujuk, tetapi kalau anda sebut siri seperti KE, AE, SE, LE, SEG dan Trueno mungkin baru tercetus semula dalam fikiran, ini semua adalah model Corolla.

    Malah model-model awal sehingga Corolla generasi keenam boleh dikatakan masih dicari-cari oleh ramai peminat kereta sehingga kini mungkin kerana ciri pemanduannya, mekanikal yang ringkas serta keseronokan yang boleh diperolehi apabila memandu.

    Walaubagaimanapun, apabila memasuki model generasi kelapan dan seterusnya, semangat pemanduan yang ditawarkan pada model Corolla seperti berkurang dan dijadikan lebih kepada keselesaan seperti kereta kebanyakan. Bermula daripada generasi ini juga model Corolla lebih dikenali sebagai Altis di negara kita.

    Sekarang, Corolla sudah memasuki generasi ke-12 dan tanggapan awal yang terhasil adalah ia sebuah model yang lebih sporty. Ia pertamanya muncul di Amerika Syarikat pada bulan Mac tahun 2018, dan diperkenalkan dalam versi hatchback. Kemudiannya muncul pula versi wagon Touring Sports dan sedan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Produksi Proton X70 CKD di Tanjung Malim bermula – turut akan dieksport ke pasaran luar seperti UK

    Produksi Proton X70 CKD di Tanjung Malim bermula – turut akan dieksport ke pasaran luar seperti UK

    Proton hari ini secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan bagi SUV segmen-C X70 di fasiliti baharu mereka di Proton City, Tanjung Malim, Perak. Turut hadir di majlis perasmian ini termasuk YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, An Conghui.

    Kilang baharu yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 billion ini akan menghasilkan Proton X70 2020 bagi menggantikan model CBU dari China yang mula dijual dalam negara sejak dilancarkan pada 12 Disember tahun lalu. Ia juga akan memasang model-model baharu akan datang yang akan dihasilkan bersama Geely, bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut akan dieksport ke pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang lain.

    Antara negara yang dirancang untuk pasaran eksport ini termasuk Brunei, Thailand, Australia, Afrika Selatan, Amerika Selatan dan United Kingdom. Kereta yang ditunjukkan hari ini nampak sama dengan model CBU sebelum ini, kecuali logonya kini telah ditukar dengan logo baharu. Proton masih belum mendedahkan sebarang spesfikasi model CKD ini, tetapi dikhabarkan berberapa perubahan akan dilihat pada bahagian dalaman seperti sistem pintu tailgate berkuasa.

    Produksi Proton X70 CKD di Tanjung Malim bermula – turut akan dieksport ke pasaran luar seperti UK

    Ia juga berkemungkinan besar masih menggunakan enjin 1.8 liter turbo berkuasa 181 hp yang sama, namun dengan tork 15 Nm lebih besar menjadi 300 Nm, serta akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Apa pun, model ini akan dilancarkan sedikit masa lagi, dan spessifikasinya akan diketahui ketika itu.

    “Hari ini Proton sekali lagi mencatalkan sejarah dengan mengambil satu langkah kehadapan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global. Melalui pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malim, kami telah mengambil langkah besar untuk menonjolkan kebolehan kami kerana itu adalah impian yang kami ingin kecapi buat masa ini.

    “Kilang baharu ini bukan sahaja akan menghasilkan produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely telapi ia juga akan berfungsi menjadi pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan kerana kami akan mula mengeksport ke negara-negara di seluruh dunia,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    “Proton telah melakukan pelbagai transformasi yang kelara sejak dua tahun lalu. Pengalaman perkongsian antara kami telah menghasilkan persefahaman yang mendalam dan kami berbesar hati untuk membantu PROTON merealisasikan aspirasi globalnya. Kami akan terus menyokong PROTON berkembang di pasaran Malaysia dan di rantau Asean secara meluas dan pasaran luar lingkaran Asean,” kata An Conghui pula.

    Produksi Proton X70 CKD di Tanjung Malim bermula – turut akan dieksport ke pasaran luar seperti UK

    Sebelum kilang ini beroperasi, Proton terlebih dahulu telah membangunkan vendor-vendornya dengan menghubungkan mereka dengan vendor-vendor Geely di China bagi memastikan komponen yang dihasilkan di sini mempunyai kualiti yang sama. Ia melibatkan perjanjian dengan pelaburan berjumlah RM263 juta dan peluang pekerjaan sebanyak 1,084 pekerjaan di mana komuniti pembekal telah bersiap sedia mewujudkan satu barisan komponen teknolagi tinggi untuk Prolon X70 dan model-model yang akan dihasilkan pada masa hadapan.

    “Dengan adanya pembuatan Proton X70 dan model-model lain di masa hadapan di kilang Tanjung Malim ini, Proton telah membantu membangunkan komuniti pembekal. Ini adalah penting kerana mereka merupakan tunjang di dalam industri automotif Malaysia dan penyumbang utama kepada ekonomi. Melalui pengenalan pelbagai teknologi baharu yang sekaligus membantu mengembangkan kecekapan industri dan di masa hadapan, kerajaan berharap ini akan membuka peluang Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi peneraju dalam pembekalan komponen automotif,” kata Datuk Darell Leiking.

    “Bagi Proton, dengan adanya pembekal tempatan akan membantu Syarikat menghasilkan model-model kereta di masa depan yang lebih sesuai seiring dengan kehendak dan keperluan pembeli kereta di Malaysia. Melalui pelbagai pelan pengembangan perniagaan dan komitmen mereka untuk membangunkan pembekal tempatan, banyak syarikat dan pengguna di Malaysia juga akan mendapat faedah secara keseluruhan,” tambahnya.

     
     
  • Harga minyak 14-20 Disember: RON97 kekal

    Harga minyak 14-20 Disember: RON97 kekal

    Buat dua minggu berturut-turut, juga melibatkan minggu bertarikh 14 hingga 20 Disember 2019, harga bagi petrol RON97 dilaporkan kekal iaitu RM2.64 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol RON 95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Malahan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Kementerian Kewangan memaklumkan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.34 dan RM2.32 seliter. Ini bermakna ia mengalami penurunan harga bagi produk petrol RON95, namun kenaikan harga untuk diesel. Di mana pada minggu sebelum ini, petrol RON95 berharga RM2.36 seliter, manakala diesel pula RM2.29 seliter.

    Harga minyak 14-20 Disember: RON97 kekal

    Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 14 hingga 20 Disember 2019 adalah berjumlah RM111.44 juta.

     
     
  • Proton akui kini bersaing dengan Honda dan Toyota daripada segi kualiti, bukan lagi Perodua

    Proton akui kini bersaing dengan Honda dan Toyota daripada segi kualiti, bukan lagi Perodua

    Proton berkata daripada segi kualiti dan penjenamaan, Perodua bukan lagi pesaing paling dekatnya. Kini, pengeluar kereta nasional pertama itu mensasarkan untuk menyaingi dua jenama Jepun yang terkemuka iaitu Toyota dan Honda.

    Menurut CEO Proton Dr.Li Chunrong, dengan pencapaian dalam mempertingkatkan kualiti, syarikat ini memutuskan untuk bersaing dengan pemain industri di peringkat global. Dalam temubual secara eksklusif dengan Channel News Asia baru-baru ini, beliau berkata, sebelum ini Proton memang berhadapan dengan isu kualiti, namun kini, tidak lagi.

    “Ia (isu kualiti) memang masalah utama dalam Proton sebelum ini, di mana syarikat ini tidak memiliki sumber (untuk mendapatkan material yang lebih berkualiti). Walau bagaimana pun,kini dengan kepakaran dan sumber daripada Geely, ditambah dengan pengalaman Proton sebagai pengeluar kereta nasional, kami berjaya mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti. Dengan posisi produk kami yang baharu, pesaing kami kini ialah Honda dan Toyota,” ujarnya.

    Proton akui kini bersaing dengan Honda dan Toyota daripada segi kualiti, bukan lagi Perodua

    Li berkata bahawa beliau sedang meneliti Proton untuk memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang lebih baik dalam pembangunan kenderaan supaya ia boleh membuat peralihan daripada membina “kereta asas” kepada “kereta mewah,” yang merupakan sebahagian daripada rancangan 10 tahun yang telah dibayangkan untuk jenama itu.

    Tambahnya, usaha pemulihan sejak dua tahun lalu telah mendorong Proton melangkau lebih jauh melebihi rakan pesaingnya dari segi kedudukan pasaran, jika bukan dalam angka. “P

    Beliau berkata usaha pemulihan sejak dua tahun lalu telah mendorong Proton jauh melebihi rakan tempatannya dari segi kedudukan pasaran, jika tidak dalam angka. “Perodua bukan lagi pesaing kami. Mengapa? Kerana kedudukan produk yang berbeza. Saga kami jauh lebih baik daripada Bezza mereka,” dakwanya.

    Li berkata kepercayaan umum terhadap jenama ini telah ditambahbaik sejak SUV X70 diperkenalkan pada tahun lalu, dan ia jelas dengan permintaan yang kukuh terhadap model Saga facelift yang dilancarkan Ogos lalu. Laporan ini menambah kedudukan syarikat ini yang agak membimbangkan sejak beberapa tahun, dijangka mampu mengaut keuntungan pada tahun hadapan.

     
     
  • Mazda MX-5 ND terima beberapa peningkatan di Jepun

    Mazda MX-5 ND terima beberapa peningkatan di Jepun

    Mazda MX-5 telah pun menerima beberapa peningkatan di negara kelahirannya, Jepun – bagi model tahun 2020. Pertama kali dipertontonkan pada tahun ini di Tokyo Motor Show, model yang ditambah baik ini boleh ditempah di sana mulai 5 disember lalu, dan akan memasuki pasaran lain pada masa akan datang.

    Salah satu perubahan terbesar ialah ia hadir dengan kemasan warna baharu Polymetal Grey Metallic, yang pertama kali diperkenalkan menerusi Mazda 3. Roadster ini juga menerima sentuhan kemasan baharu Silver Top termasuk warna kelabu untuk bahagian soft top, perumah cermin sisi yang sama warna dengan badan berbanding hitam dan roda aluminium 16-inci dengan kemasan berkilat.

    Sebagai alternatif, Mazda turut menyenaraikan aloi aluminium Rays 16-inci sebagai pilihan dengan mengurangkan berat yang tidak sepatutnya sekitar 3 kg. Lain-lain pilihan termasuk brek hadapan Brembo dan sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara.

    Mazda MX-5 ND terima beberapa peningkatan di Jepun

    Untuk barisan MX-5 yang lain, model hardtop RF kini didatangkan dengan kulit upholstery Nappa dengan warna Burgundy bersama jahitan kelabu cair. Sementara itu, pilihan kulit upholstery Tan dan Hitam juga diberikan, dan pelanggan juga boleh memilih plat ambang pintu keluli tanpa karat.

    Dengan penambahan peningkatan ini, semua model turut menerima key fob berwajah baharu (yang turut digunakan oleh Mazda 3), ditambah dengan fungsi pengesan pejalan kaki pada waktu malam untuk sistem Sokongan Brek Bandar Pintar Termaju.

    Tiada perubahan di bawah bonetnya, model dengan soft top tetap dipadankan dengan enjin SkyActiv-G 1.5 liter naturally-aspirated dengan kuasa 132 PS dan 152 Nm, sementara versi RF pula dengan unit 2.0 liter (184 PS/205 Nm). Kedua-dua enjin menyalurkan kuasanya ke roda belakang menerusi transmisi automatik atau manual enam-kelajuan.

     
     
  • Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

    Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

    Jika anda seorang pelumba Touring Car di Amerika Syarikat, dan tidak mampu untuk membeli jentera perlumbaan Honda Civic Type R TCR yang dihasilkan JAS Motorsport dari Itali, ini ada satu pilihan yang jauh lebih mampu milik – Honda Civic Type R TC yang dibangunkan oleh divisi perlumbaan Honda Amerika iaitu Honda Performance Development (HPD).

    Apa beza Type R TCR dan Type R TC ini? Pertama adalah enjinnya. Berbanding jentera TCR yang menerima enjin rombakan penuh dari JAS Motorsport, Civic Type R TC ini masih menggunakan enjin K20C1 ‘standard kilang’ sama seperti FK8 produksi. Namun bagi membolehkan ia bertanding dalam pelbagai kategori dan perlumbaan, HPD menghasilkan sistem bagi memudahkan pasukan untuk menala enjin tersebut untuk menjana kuasa bermula 270 hingga 330 hp.

    Untuk memastikan enjin berkenaan mampu bertahan dalam perlumbaan, ia turut dilengkapkan dengan pelbagai liang udara tambahan, radiator lebih efektif dari CSF dan juga penyejuk minyak pelincir tambahan. Sistem ekzos juga diubahsuai dengan pemadanan downpipe dari Borla, manakala tangki petrol asal ditukar dengan tangki 60-liter Pyrotect yang diluluskan FIA, membolehkan petrol diisi semula dengan cepat menerusi sistem aliran tinggi.

    Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

    Kedua adalah transmisi. Jika Civic Type R TCR JAS Motorsport menerima kotak gear sequential dari X-Trac, Civic Type R TC HPD ini pula masih menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan asal yang sama seperti Type R FK 8 yang dijual di bilik pameran. Namun HPD telah melakukan sedikit rombakan terhadap kotak gear tersebut – ia diberikan gear tiga dan empat yang lebih kuat, manakala LSD asal ditukar menggunakan LSD dari Cusco.

    Untuk suspensi pula, kereta lumba ini dibekalkan dengan penyerap hentak perlumbaan boleh laras dari Bilstein bersama spring dari Eibach, serta pelbagai penambahbaikkan lain dibuat oleh HPD. Rim asal 19-inci tidak lagi digunakan, dan ia digantikan dengan rim aluminium 18-inci dari Forgestar.

    Bagi menghentikan kereta ini pula, cakera standard hadapan digantikan dengan cakera berdiameter 350 mm Girodisc, dicengkam oleh angkup empat-omboh dari Brembo. Sistem brek ini disejukkan oleh sistem aliran udara yang dihasilkan HPD, dan dibantu hos braided dari Goodridge dan modulator ABS HPD. Brek belakang pula masih dibiarkan standard.

    Honda Civic Type R TC – jentera lumba sebenar ‘mampu milik’ dari HPD, harga bermula RM372k

    Bahagian luaran jentera dari HPD ini juga tidak menerima kit aerodinamik ekstensif seperti pada jentera binaan JAS Motorsport. Kebanyakkan komponen asal masih dikekalkan, kecuali gril hadapan diberikan unit dengan aliran udara lebih banyak, penutup hud enjin dari material FRP bersama liang tambahan dari J’s Racing dan juga spoiler belakang digantikan dengan spoiler GT bersama sayap boleh laras dari APR Performance.

    Seperti jentera lumba lain, segala peralatan tidak diperlukan dalam kabin seperti karpet dan tempat duduk belakang telah dibuang. Ia dilengkapkan dengan set rollcage penuh yang dikimpal terus pada kerangka badan, sistem pemadam api, tempat duduk perlumbaan lengkap dengan tali pinggang enam-poin dari OMP serta roda stereng perlumbaan dengan boss kit mudah-buka.

    Turut kelihatan pada kokpit Honda Civic Type R TC ini adalah sistem data logger perlumbaan iaitu AIM MXP 1.2 dan juga Motec C125. Honda Civic Type R TC ini boleh anda miliki pada harga bermula US$89,900 atau sekitar RM372k (model standard Civic Type R FK8 dijual pada harga US$36,300 atau sekitar RM150k pada pasaran Amerika Syarikat).

    Walau bagaimanapun, dengan harga yang jauh lebih murah dari Civic Type R TCR JAS Motorsport (bermula US$172k atau sekitar RM712k) yang boleh berlumba dalam mana-mana acara TCR di seluruh dunia termasuk kejohanan WTCR, jentera binaan HPD ini hanya boleh berlumba terhad hanya di Amerika dalam kejohanan seperti SRO Touring Car Americas TC, SCCA T2 dan NASA ST3.

    HPD turut mengumumkan bahawa pasukan L.A Honda World Racing adalah pelanggan pertama yang membeli Civic Type R TC tersebut, mempertaruhkan dua jentera dalam siri perlumbaan SRO TC America untuk musim 2020.

     
     
  • TnG eWallet boleh diguna untuk bayar parkir tepi jalan

    Selepas ini, agaknya tak ada lagi sebab untuk anda tak membayar kadar parkir letak kereta di tepi jalan. Meter jauh, tak ada duit syiling dan sebagainya tidak lagi boleh dijadikan alasan kerana Touch n Go eWallet kini menyediakan keadah pembayaran parkir tanpa tunai melalui aplikasi berkenaan, yang sah untuk digunakan pada kawasan letak kenderaan dibawah selengaraan lima majlis perbandaran tempatan.

    Ini termasuklah kawasan yang berada di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

    Untuk menggunakan TNG eWallet bagi tujuan parkir tepi jalan, anda terlebih dahulu perlu menekan ikon “Parking” di bawah seksyen “Services” pada paparan utama dan masukkan nombor pendaftaran kenderaan anda serte maklumat yang diperlukan. Kemudian, pilih kawasan parkir yang berkaitan, diikuti dengan tempoh masa meletak kenderaan, dan seterusnya membuat bayaran.

    Aplikasi berkenaan akan menghantar peringatan kepada anda sekiranya jumlah bayaran/masa untuk parkir berkenaan hanya berbaki 15 minit. Anda boleh memanjangkan tempoh berkenaan melalui servis yang sama. Lebih memudahkan, pengguna tidak perlu mempamerkan tiket parkir, jadi tak perlulah berpatah balik ke kenderaan anda sekiranya perlu menambah masa parkir berkenaan.

    Servis ini memang sangat menyenangkan. Tetapi, bagaimana pegawai petugas tahu anda telah membayar tempoh parkir berkenaan sedangkan tiada tiket untuk dirujuk? Menurut tinjauan oleh Lowyat.net, pegawai bertugas hanya perlu memasukkan nombor pendaftaran kenderaan anda ke dalam peranti yang digunakan untuk mengetahui sama ada anda telah membuat bayaran melalui sistem berkenaan atau tidak. Mudah dan cekap kan?

    Lebih banyak lokasi akan disertakan nanti, memandangkan TNG kini sedang bekerja dengan majlis perbandaran tempatan yang lain untuk sistem yang sama. Jika anda pernah mencuba servis Touch n Go eWallet ini, boleh kongsikan pengalaman anda dengan kami.

     
     
  • Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

    Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

    Selepas A5 dan S5 2020 diperkenalkan September lalu, Audi memperkenalkan pula versi prestasi RS5 Coupe dan Sportback, yang menjadikan barisan model tersebut lengkap. Ia masih dikuasakan oleh enjin V6 TSI 2.9 liter twin turbo yang sama, dengan kuasa 450 PS dan 600 Nm untuk memberi pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan laju maksimum 280 km/j.

    Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui kotak gear automatik lapan kelajuan khas RS, dan ditala untuk memberikan penukaran gear yang lebih pantas dan agresif. Pedal penukar gear di belakang stereng juga sekarang dijadikan lebih besar. Untuk gandar belakang, pemilik boleh mendapatkan differential jenis sport, yang boleh mengagihkan tork antara tayar secara aktif.

    Kedua-dua RS5 Coupe dan Sportback mendapat suspensi sport RS secara standard, sementara Dynamic Ride Control (DRC) dengan penstabil roll dan pitch hidraulik ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Suspensi DRC ini boleh dilaras pada tiga tahap, dan mempunyai injap yang mengawal minyak dalam penyerap, sekaligus boleh mengubah karekter kawalan kereta.

    Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

    Audi Drive Select disediakan secara standard dan datang dalam dua mod iaitu RS1 dan RS2. Melaluinya, pemandu boleh melaras sendiri tindak balas enjin, transmisi, penyerap, stereng, differential serta bunyi enjin mengikut tahap yang dimahukan.

    Melihat kepada rekaan, bahagian luar jelas menggunakan asas daripada A5 dan S5 facelift, dengan menampilkan grafik DRL LED baru pada lampu utama jenis LED (LED matrix dengan lampu laser disediakan sebagai pilihan tambahan dan khas untuk RS5 sahaja), gril Singleframe lebih pendek serta bukaan udara yang berbentuk unik.

    Diffuser belakang juga telah direka semula dengan kini menggunakan corak honeycomb, berbanding bentuk sirip ringkas sebelum ini. Barangan tambahan lain adalah termasuk bumbung gentian karbon yang mengurangkan berat kenderaan sebanyak empat kilogram, dan rim 19 inci yang datang secara standard.

    Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

    Untuk meningkatkan lagi penampilannya, pelanggan diberi pilihan rim 20 inci yang boleh didapati dalam tiga rekaan, warna angkup brek kelabu atau biru (standard adalah hitam atau merah) serta cakera brek hadapan jenis karbon seramik. Selain daripada itu, terdapat juga pilihan pakej kemasan hitam berkilat, aluminium matte serta karbon.

    Pada bahagian dalam, peningkatan paling jelas adalah skrin sesentuh MMi 10.1 inci dengan maklum balas akustik, yang dipusingkan sedikit untuk menghadap pemandu. Ia boleh dinaik taraf kepada unit MMI Navigation Plus, yang menampilkan sistem operasi MIB 3 terbaru syarikat itu, dan mempunyai skrin khas RS dengan tambahan paparan data pemanduan lain.

    Di hadapan pemandu, terdapat Audi Virtual Cockpit 12.3 inci baru tetapi pemilik mungkin mahu menaik taraf kepada Audi Virtual Cockpit Plus dengan beberapa paparan lain serta grafik khas untuk model RS. Head-up display yang disediakan sebagai pilihan tambahan juga datang dengan grafik RS.

    Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

    Pada bahagian lain, kebanyakannya adalah sama seperti sebelum ini, dengan papan pemuka serta corong pendingin hawa yang dikekalkan. Walaubagaimanapun, seperti A4 facelift, rekaan konsol tengah adalah baru dan tombol pemilih bulat yang diletakkan depan tombol gear sebelum ini diganti dengan ruang barangan kecil.

    Tempat duduk sport model RS ini dibalut dengan gabungan kulit dan Alcantara secara standard, tetapi pemilik masih boleh memilih kulit Nappa sekiranya mahu. Selain daripada itu, Audi juga ada menyediakan pakej dengan kemasan merah atau kelabu. Untuk sistem bantuan pemandu, ia sama sahaja dengan A5 dan S5. Harganya di Eropah adalah 83,500 euro (RM386k).

     
     
  • Diskaun saman trafik hingga 50% sempena Krismas

    Anda ada saman trafik tertunggak? Bila nak bayar? Hah! Inilah masa yang paling tepat untuk anda melunaskan segala tunggakan saman trafik yang ada sebab sempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas ini, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bayaran pelbagai jenis saman trafik (saman terpilih).

    Berdasarkan poster yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi PDRM, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan mengadakan tawaran diskaun sehingga 50% pada 24 dan 26 Disember ini, dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang, di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur

    Bagaimanapun saman-saman yang tidak layak mendapat diskaun ialah saman kemalangan, saman berstatus NC (No Compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman ops selamat tahun semasa dan saman berstatus mahkamah dan juga saman berkaitan lori.

    Tawaran itu juga adalah bersempena Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya.

     
     
  • Jenama helmet American Bell Racing kini milik OMP

    Jenama helmet American Bell Racing kini milik OMP

    Pengeluar barangan-barangan keselamatan perlumbaan dari Itali, OMP Racing mengumumkan bahawa mereka telah membeli dan kini memiliki jenama helmet ikonik Amerika – American Bell Racing.

    “Ini merupakan pembelian paling penting dalam sejarah OMP selama 46-tahun, dan ini menandakan satu revolusi dalam lapangan kelengkapan keselamatan sukan permotoran. OMP dan Bell adalah dua jenama ikonik yang kaya dengan sejarah inovasi,” kata CEO dan Presiden serta CEO untuk kedua-dua jenama yang telah disatukan ini, Paolo Delprato.

    Walaupun kini kedua-dua jenama berkenaan bernaung di bawah satu payung, masih belum ada perubahan operasi diumumkan. Ibu pejabat dan fasilit R&D OMP di Ronco Scrivia, Genoa, Itali serta fasiliti OMP America di Miami dan Florida akan beroperasi seperti biasa.

    Begitu juga fasiliti R&D dan produksi Bell di Sakhir, Bahrain serta Bell Racing Amerika di Illinois; Speedway, Indiana; dan Mooresville, North Carolina juga tiada apa-apa perubahan operasi. Ini bermakna penyatuan dua jenama tersebut tidak menjejaskan tenaga kerja mereka.

    Bell Racing terkenal dengan pengeluaran helmet perlumbaan dan barangan-barangan keselamatan lain terutamanya untuk penunggang-penunggang motosikal. OMP Racing pula lebih menyerlah dalam dunia perlumbaan empat roda dengan kelengkapan seperti suit perlumbaan, tempat duduk, roda stereng, tali pinggang keselamatan dan banyak lagi.

     
     
  • Perodua Tweckbot tawar pemeriksaan percuma di KK pada 21-22 Dis sempena Krismas, Tahun Baharu

    Perodua Tweckbot tawar pemeriksaan percuma di KK pada 21-22 Dis sempena Krismas, Tahun Baharu

    Perodua Tweckbot yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma bakal mengambil bahagian dalam Program Keselamatan Jalanraya Perodua sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu, bertempat di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 hingga 22 Disember ini.

    Program berkenaan akan dianjurkan di ITCC Mall, Penampang, dari jam 10 pagi hingga 5 petang, membolehkan para pelanggan menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa oleh pasukan Perodua Tweckbot. Bahkan pelanggan yang hadir juga berpeluang menerima baucer diskaun sebanyak 20% untuk aksesori dan alat ganti terpilih Perodua, dengan menebusnya di mana-mana pusat servis Perodua bertauliah.

    Seperti biasa, pemeriksaan ini meliputi lebih 50 poin merangkumi bahagian enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, roda stereng berkuasa, klac, tayar, suspensi dan komponen elektronik.

    Perodua Tweckbot tawar pemeriksaan percuma di KK pada 21-22 Dis sempena Krismas, Tahun Baharu

    “Menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang bakal tiba, ramai yang akan menggunakan jalan raya untuk bercuti serta melawat keluarga dan sahabat handai. Oleh itu, keadaan kenderaan anda amatlah penting pada masa ini, lebih-lebih lagi di Malaysia Timur di mana jarak perjalanan adalah jauh.

    “Pasukan Perodua Tweckbot akan memeriksa kenderaan anda dan memberikan laporan keadaan secara percuma. Semasa menunggu, kakitangan kami akan mempelawa anda untuk menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Setakat ini, Perodua Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan sejak pengenalannya pada 2011.

     
     
  • Tesla ubah tempoh pengeluaran Cybertruck – varian tertinggi pada 2021, versi asas ditangguh ke 2022

    Tesla ubah tempoh pengeluaran Cybertruck – varian tertinggi pada 2021, versi asas ditangguh ke 2022

    Dengan pengenalan model Cybertruck oleh Tesla sebelum ini, khabarnya jumlah tempahan bagi trak pikap elektrik berkenaan sangat-sangat menggalakkan. Terbaru, Business Insider melaporkan yang Tesla telah menganjakkan tempoh pengeluaran bagi barisan model trak berkenaan.

    Dalam penawarannya yang paling murah, varian Cybertruck dengan motor tunggal serta pacuan roda belakang (dijual pada harga US$39,900 atau RM166,360) dianjakkan pengeluarannya setahun, dan dijangka akan dikeluarkan lewat 2022 nanti. Manakala bagi varian paling tinggi dengan harga US$69,900 (RM291,500), dilengkapi tiga motor serta pacuan semua roda sebaliknya telah dipercepatkan ke tahun 2021, setahun lebih awal daripada pengumuman sebelum ini.

    Ini sama dengan pendekatan pengeluaran yang dilakukan terhadap sedan Tesla Model 3, yang turut menyaksikan varian paling tinggi diperkenalkan terlebih dahulu berbanding varian paling asas. Laporan berkenaan juga menyebut Tesla kini telah menerima sekurang-kurangnya 250,000 bayaran pra-tempahan (US$100 atau RM415 setiap satu) sejak diperkenalkan November lalu.

    Tesla ubah tempoh pengeluaran Cybertruck – varian tertinggi pada 2021, versi asas ditangguh ke 2022

    Sebelum pelancarannya, Tesla memaklumkan yang Cybertruck ini lebih berkeupayaan berbanding Ford F-150. Tidak dijelaskan ketika itu versi F-150 mana yang dirujuk, tetapi di dalam sebuah demonstrasi yang dijalankan itu, jangkaanya ialah Ford F-150 dari varian twin-cab Supercrew dengan enjin 3.5 liter EcoBoost V6 yang datang dengan kemampuan menunda sehingga 13,000 lb atau 5,902 kg.

    Sebagai bandingan, Tesla Cybertruck didakwa mempunyai kemampuan menunda sehinga 6,350 kg, dan boleh menampung beban sehingga 1,590 kg. Memetik kata Elon Musk sendiri, versi Cybertruck yang lebih kecil mungkin akan diperkenalkan di masa hadapan, walaupun kebarangkalian itu akan berlaku bukanlah dalam masa tedekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026