Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Waze memperkenalkan ciri paparan kadar tol – untuk pengguna rancang perjalanan agar lebih efisien

    Waze memperkenalkan ciri paparan kadar tol – untuk pengguna rancang perjalanan agar lebih efisien

    Waze telah pun memperkenalkan satu lagi fungsi untuk pengguna aplikasinya iaitu paparan kadar tol bagi laluan yang disarankan (sekiranya laluan terbabit melibatkan tol). Ini membolehkan pengguna mengetahui lebih awal mengenai kadar tol yang harus dibayar mengikut laluan yang Waze sarankan sebelum memulakan perjalanan. Malah ia turut memberikan peluang kepada pengguna untuk lebih bersedia dengan baki yang ada pada kad tambah nilai Touch n’ Go, SmartTag mahu pun e-Wallet.

    Menurut Waze, informasi mengenai kadar tol ini telah dibantu oleh para sukarelawannya yang terdiri daripada penggunanya sendiri. Moriah Royz, Pengurus Produk Waze berkata, “Kami amat berterima kasih dengan komuniti sukarelawan kami yang mengumpulkan segala informasi yang diperlukan.

    “Sehingga kini, Waze masih berusaha untuk mengurangkan masa yang pengguna peruntukkan dalam trafik – malah sentiasa cuba memberikan perkhidmatan terbaik untuk membantu pengguna menjimatkan kos sebaik mungkin dengan menyalurkan pilihan berhubung laluan, waktu jangkaan tiba dan kos bagi kadar tol sepanjang perjalanan.”

     
     
  • Audi RS Q8 guna enjin V8 4.0L, kuasa 600 PS, 800 Nm

    Audi RS Q8 guna enjin V8 4.0L, kuasa 600 PS, 800 Nm

    Inilah dia, SUV Audi paling hebat, dikenali sebagai RS Q8. Menurut pengeluar dari Jerman itu, RS Q8 adalah SUV pertama mereka yang dapat memecahkan rekod catatan masa 0-100 km/j di bawah empat saat, dan ia adalah hasil penggunaan enjin V8 petrol 4.0 liter biturbo yang ditala untuk menghasilkan 600 PS dan 800 Nm tork.

    Jumlah ini cuma 50 PS dan 50 Nm kurang berbanding Lamborghini Urus, tapi tak langsung tak bermakna RS Q8 ini perlahan. Kuasa yang dihantar kepada semua tayar (Quattro) melalui kotak gear automatik lapan kelajuan boleh membawa kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, 0-200 km/j dalam 13.7 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Sama seperti model RS yang lain, enjin V8 ini dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang mempunyai belt alternator-starter disambung kepada crankshaft. Melalui sistem ini 12 kW dapat dijana semula dan ia disimpan dalam bateri lithium ion kompak. Sistem ini juga membenarkan enjin ditutup selama 40 saat waktu meluncur, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api hingga 0.8 liter bagi setiap 100 km.

    Audi RS Q8 guna enjin V8 4.0L, kuasa 600 PS, 800 Nm

    Membantu lagi kecekapan penggunaan bahan api, enjin ini dilengkapi dengan sistem Cylinder On Demand (COD), di mana waktu enjin tidak terlalu terbeban, hanya empat silinder sahaja yang akan berfungsi. Bila perlu, barulah kesemua lapan silinder akan bergerak.

    Pada kebanyakan masa, kuasa RS Q8 lebih banyak pergi kepada roda belakang, dengan nisbah pembahagian 40:60. Sekiranya terdapat gelinciran, kuasa sehingga 70% boleh dihantar kepada roda hadapan, dan hingga 85% kepada roda belakang. Differential Quattro Sport turut dipasang secara terus, untuk membahagikan tork antara dua roda belakang mengikut keperluan (Active Torque Vectoring).

    SUV prestasi ini juga mendapat suspensi udara sport adaptif khas untuk model RS, dengan penyerap boleh dikawal dan boleh naik dan turun sehingga 90 mm. All-Wheel Steering juga datang standard. Pada kelajuan rendah, roda belakang boleh membelok sehingga lima darjah kepada arah bertentangan dengan roda hadapan, manakala pada kelajuan tinggi, ia boleh membelok sehingga 1.5 darjah kepada arah sama dengan roda hadapan.

    Audi RS Q8 guna enjin V8 4.0L, kuasa 600 PS, 800 Nm

    Keseluruhannya terdapat lapan mod pemanduan pada SUV ini – Comfort, Auto, Efficiency, Allroad, Offroad dan dua mod boleh diubah iaitu RS1 dan RS2. Dua mod terakhir ini boleh diaktifkan melalui butang RS-Mode yang terdapat pada roda stereng, dan melalui semua mod ini, respon enjin, transmisi, stereng, suspensi, bunyi enjin dan pendingin hawa akan berubah.

    Untuk bahagian luar, ia menggunakan kit badan khas RS yang lebih agresif, dengan gril hitam, lampu utama Matrix LED, spoiler belakang, skirting dengan klip diffuser, dua muncung ekzos bujur, rim 22 inci dengan tayar 295/40 dan brek cakera 420 mm dengan angkup 10 piston di hadapan. Pilihan warna badan kesemuanya ada sembilan.

    Bahagian dalam juga lebih sporty dengan balutan Alcantara hitam, kemasan Aluminum Spectrum, Virtual Cockpit serta tempat duduk RS yang dibalut kulit Valcona. Melalui pakej tambahan RS Design pula, anda akan mendapat jahitan kontras pada kebanyakan bahagian.

     
     
  • Renault Koleos kini di M’sia – standard dan Signature, dari RM180k, ditawarkan dengan program langganan

    Renault Koleos kini di M’sia – standard dan Signature, dari RM180k, ditawarkan dengan program langganan

    TC Euro Cars, pemegang fracias bagi jenama Renault di Malaysia telah mengumumkan Renault Koleos facelift akhirnya berada di pasaran Malaysia secara rasmi, selepas ia dipertontonkan di Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran Paultan.org awal bulan ini.

    Menawarkan dua varian – kemasan standard dan Signature – Koleos facelift ini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) masing-masing RM179,888 dan RM189,888. Pelanggan yang menempah juga bakal mendapat ganjaran untuk ‘trade-in’, dan Koleos baharu ini juga didatangkan dengan pakej servis percuma untuk lima-tahun atau 100,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu. Selain itu, waranti pengeluar selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had juga diberikan.

    Kedua-dua varian Koleos ini dijanakan oleh enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa sehingga 171 PS pada 6,000 rpm dan tork 226 Nm pada 4,400 rpm. Ia turut dipadankan dengan X-Tronic CVT yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan, dan penggunaan bahan apinya dianggarkan sekita 8.1 l/100 km.

    Terdapat beberapa perbezaan berbanding dengan kenderaan yang dipertontonkan di PACE 2019; Koleos facelift menerima roda 19-inci dengan tayar 225/55 untuk varian Signature, serta tiada pembesar suara Bose. Varian Signature juga menerima bumbung matahari panoramik, sementara model standard hadir dengan roda 18-inci dibaluti tayar 225/60.

    Dua warna sedia ada Universal White dan Black Metallic masih ditawarkan, dengan tambahan warna baharu iaitu Amethyst Black, Millesime Red, dan Ultra Silver. Ciri standard untuk dalamannya pula termasuklah sistem infotainmen R-Link 2 dengan skrin sesentuh 8.7-inci bersama fungsi skrin sesentuh kapasitif serta Android Auto dan Apple CarPlay.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan ketersambungan audio auxiliary 3.5 mm dan USB, slot kad SD dan punca kuasa 12-voltan dengan Bluetooth untuk fungsi audio dan telefon. Pengesan suara juga didatangkan dengan fungsi telefon. Tempat duduk upholstery kulit untuk kedua-dua varian dengan warna hitam untuk model standard dan coklat bagi Signature yang ditambah kemasan krom satin.

    Bagi ciri keselamatan, ia didatangkan dengan dua beg udara hadapan adaptif, dua beg udara sisi untuk penumpang hadapan dan dua cagak ISOFIX, pengehad bebanan dan pretensioning untuk tali pinggang keledar, sistem amaran titik buta, kawalan cengkaman dan kestabilan, bantuan brek, EBD dan bantuan mula mendaki, pengesan parkir hadapan, belakang dan sisi serta kamera pandangan belakang.

    Di samping pembelian secara pemilikan konvensional, TC Euro Cars turut menawarkan skim Langganan Renault dengan dua pelan – Tetap atau Tukar. Pelan untuk Tetap menawarkan Koleos dengan kadar bayaran dari RM2,299 sebulan untuk durasi antara satu atau dua tahun, dengan kos bagi cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan ditampung menerusi pelan terbabit. Sementara untuk pelan Tukar pula yang ditawarkan untuk Captur crossover untuk model asas dari RM1,999 sebulan, dengan pilihan untuk mempertingkatkannya kepada Koleos atau Megane RS 280 Cup.

    GALERI: Renault Koleos facelift dipertontonkan di PACE 2019

     
     
  • Elon Musk dakwa 146,000 unit Tesla Cybertruck telah ditempah dalam masa 48-jam selepas didedahkan

    Elon Musk dakwa 146,000 unit Tesla Cybertruck telah ditempah dalam masa 48-jam selepas didedahkan

    Baru sahaja didedahkan berberapa hari lalu, pemilik jenama Tesla, Elon Musk mendakwa trak pikap elektrik Tesla Cybertruck telah ditempah sebanyak 146,000 unit.

    Menurut Musk dalam akaun Twitter peribadinya, angka berkenaan diterima tidak sampai 48 jam selepas trak pikap tersebut didedahkan tempoh hari. Beliau turut menyatakan bahawa angka itu agak membanggakan kerana ia dicapai tanpa sebarang pengiklanan dan pengiktirafan berbayar.

    Hanya deposit bernilai US$100 diperlukan untuk menempah Cybertruck berkenaan. Trak pikap seakan kapal angkasa ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu motor tunggal pacuan belakang berharga US$39,900 (RM166,360), dua-motor pacuan semua roda berharga US$49,500 (RM206,400) dan tiga-motor pacuan semua roda berharga US$69,900 (RM291,500) Pembeli juga ditawarkan dengan opsyen tambahan sistem pemanduan-sendiri dengan kos ekstra US$7,000 (RM29,200).

    Elon Musk dakwa 146,000 unit Tesla Cybertruck telah ditempah dalam masa 48-jam selepas didedahkan

    Dari keseluruhan jumlah tempahan tersebut, 42% atau 61,320 orang pembeli memilih model dengan dua-motor elektrik, 41% atau 59,860 orang memilih model dengan tiga-motor elektrik, dan 17% atau 24,820 orang selebihnya memilih model dengan motor elektrik tunggal.

    Cybertruck ini didakwa mampu beroperasi dengan jarak gerak melebihi 800 km untuk satu cas bateri penuh, manakala versi asas sahaja mampu mencapai jarak gerak lebih 400 km.

    Tesla juga menyatakan bahawa ia mampu mengangkut bebanan sehingga 1,590 km (atau 3,500 lbs) dan kapasiti menunda sehingga 6,350 kg (14,000 lbs). Seperti juga model-model Tesla lain, Cybertruck ini juga menjanjikan prestasi tidak masuk akal – pecutan dari 0-60 bsj (96 km/j) hanya dalam 2.9 saat!

    Elon Musk dakwa 146,000 unit Tesla Cybertruck telah ditempah dalam masa 48-jam selepas didedahkan

    Rekaan Cybertruck ini telah mencetuskan pelbagai pandangan ketika didedahkan kerana kelihatan berbucu dan sangat mengarut. Hampir kesemua panel badan trak pikap ini menggunakan material Ultra-Hard 30X Cold-Rolled yang tahan hentakan serta tahan calar, manakala setiap cermin menggunakan kaca lapisan berperisai.

    Walau bagaimanapun, agak memalukan kerana ketika demonstrasi yang dibuat ketika pendedahan trak pikap ini, sebiji bola logam telah dilemparkan pada bahagian tingkap telah meretakkan kaca berperisai tersebut, sekaligus membuktikan material yang digunakan ternyata bukanlah yang terbaik. Namun demikian, Elon Musk pantas mengatakan kelemahan tersebut akan diatasi.

    Elon Musk dakwa 146,000 unit Tesla Cybertruck telah ditempah dalam masa 48-jam selepas didedahkan

    Ciri lain yang ditampilkan pada Tesla Cybertruck ini termasuk suspensi udara yang boleh dilaras sendiri (merendahkan dan menaikkan kenderaan sekitar 100 mm di mana-mana arah untuk akses yang lebih mudah), ruang dalaman berkapasiti 2,831 liter, storan berkunci yang dilindungi penutup tonneau yang didakwa oleh Tesla mampu menampung kekuatan lebih jitu jika ditegakkan.

    Ruang kabin trak pikap ini hadir dengan enam tempat duduk yang selesa, dengan ruang storan tambahan di bawah tempat duduk barisan kedua. Peralatan lain yang turut diberikan dalam kabin termasuklah skrin sesentuh utama di bahagian tengah bersaiz 17-inci termaju dengan antara muka pengguna yang boleh dilaraskan, serta bekalan kuasa dan pemampat udara on-board bagi memudahkan aktiviti perkhemahan di dalam hutan.

     
     
  • S1K 2019 – Proton Iriz R3 dan Wak Tempe kekal juara, Saga R3 kedua, Jazz Honda M’sia Racing Team ketiga

    S1K 2019 – Proton Iriz R3 dan Wak Tempe kekal juara, Saga R3 kedua,  Jazz Honda M’sia Racing Team ketiga

    Setelah bertarung hampir sembilan jam dengan cuaca panas terik hingga ke hujan pada sebelah malam, Proton Iriz R3 yang dipandu oleh Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe bersama Mitchell Cheah berjaya menjadi juara keseluruhan dan juga kategori tertinggi M Production dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000 KM 2019 yang berlangsung semalam.

    Dengan kemenangan ini, Proton Iriz R3 dan Farique Hairuman berjaya mengekalkan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut dan tahun ketiga berturut-turut untuk pasukan Proton R3 sendiri.

    Manakala pasangan pemandu Farique pada tahun lalu iaitu Syafiq Ali tahun ini bergandingan dengan Admi Shahrul untuk mengemudi Proton Saga R3, berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat kedua bagi menguatkan dominasi pasukan Proton R3 di podium S1K 2019.

    Tempat ketiga pula menjadi milik satu lagi pasukan rasmi pengeluar – Honda Jazz pasukan Honda Malaysia Racing Team (HMRT) yang dipandu oleh bekas pemandu British Formula 3, Farriz Fauzy dan Aaron Lim, tertinggal 3-lap di belakang pendahulu perlumbaan.

    Toyota Vios dari pasukan Wing Hin Motorsport yang dipandu pasangan Boy Wong dan Dannies Ng menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala satu lagi jentera HMRT iaitu Honda City yang dipandu pasangan adik-beradik Tengku Djan Ley dan Tengku Ezan bersama Afiq Mohamad pada satu ketika seperti pasti untuk menaiki podium di tempat ketiga, tetapi hanya berpuas hati di tempat keenam kerana masalah suspensi yang dihadapi.

    Trio pemandu wanita yang dibentuk dari program MSF-R3 Ladies Driver Search iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna yang memandu Proton Saga R3 turut melakukan kejutan – walaupun bermula pada petak ke-26, mereka berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh!

    Selain dari Proton R3 dan HMRT, S1K untuk kategori M Production tahun ini turut disertai oleh satu lagi pasukan rasmi pengeluar iaitu Toyota Gazoo Racing Malaysia. Pasukan berkenaan mempertaruhkan sebuah Toyota Vios, dan dipandu oleh ketua pegawai UMW Toyota Motorsport Akio Takeyama, juara GT Jepun kelas GT500 dengan pasukan Esso Ultraflo Supra pada tahun 2002 Akira IIda dan bintang tempatan William Ho.

    Pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia berkenaan berjaya menamatkan perlumbaan pada percubaan pertama mereka di S1K ini, namun hanya terpaksa berpuas hati di tempat ke-12.

     
     
  • Kami bandingkan kos selenggara Toyota Hilux, Ford Ranger & Mitsubishi Triton untuk 5 tahun pertama

    Kami bandingkan kos selenggara Toyota Hilux, Ford Ranger & Mitsubishi Triton untuk 5 tahun pertama

    Kalau dulu trak pikap hanya digunakan untuk kerja-kerja berat, sekarang nampaknya kenderaan sebegini semakin diterima sebagai kenderaan gaya hidup seakan sebuah SUV. Jangan terkejut jika anda terjumpa dengan sebuah trak pikap lengkap dengan rim dan tayar yang lebih besar, tetapi tidak sekali pun pernah jejak ke jalan off-road – ia memang wujud.

    Buat anda yang berminat untuk turut serta dalam trend ini, tentunya tertanya-tanya, berapa kos untuk ‘menyara’ trak pikap ni? Jauh beza ke dari kereta atau SUV biasa? Di sini kami senaraikan untuk anda kos penyelenggaraan untuk tiga trak pikap paling popular dalam pasaran iaitu Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton.

    Semua perkara yang kami senaraikan ini adalah kos servis untuk lima-tahun pertama atau 100,000 km. Kami juga memilih varian tertinggi untuk kesemua model iaitu Toyota Hilux 2.8L (RM140,088 untuk Black Edition), Mitsubishi Triton Adventure X 2.4L (RM137,900) dan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo (RM144,888 untuk Wildtrak). Kesemua model ini adalah dari versi transmisi automatik, dan dipadankan dengan sistem 4WD.

    Walau bagaimanapun, ada perkara yang tidak boleh bandingkan terus, misalnya sela masa antara servis di mana Hilux perlu diselenggara setiap 5,000 km atau tiga-bulan kerana hanya menyarankan penggunaan minyak enjin jenis mineral, manakala Triton dan Ranger pula adalah setiap 10,000 km atau enam bulan kerana disarankan untuk menggunakan minyak enjin jenis sintetik sepenuhnya.

    Kami bandingkan kos selenggara Toyota Hilux, Ford Ranger & Mitsubishi Triton untuk 5 tahun pertama

    Bendalir transmisi automatik (ATF) atau orang kita selalu panggil minyak gear juga berbeza di mana Hilux perlu ditukar setiap 80,000 km, Triton pula pada 100,000 km. Untuk Ranger yang dilengkapi kotak gear dengan 10-kelajuan pula, anda tidak akan jumpa dalam jadual lima-tahun pertama kerana ia hanya perlu ditukar setiap 250,000 km, dengan kos penukaran RM721.10.

    Jadi berdasarkan jadual yang kami buat di atas berdasarkan jadual rasmi yang diterbit oleh setiap pengeluar, Triton Adventure X menampilkan jumlah keseluruhan yang paling rendah antara ketiga-tiganya dengan jumlah RM5,903, diikuti oleh Toyota Hilux 2.8L dengan kos RM6,427. Manakala untuk Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo pula, kos sebanyak RM7,347 perlu dikeluarkan dalam tempoh berkenaan walaupun tanpa kos menukar minyak gear.

    Apa yang kami nampak, kos untuk menyelenggara ketiga-tiga trak pikap ini adalah lebih kurang sama sahaja, memandangkan harga untuk ketiga-tiganya berada dalam liga RM100,000 ke atas.

    Juga, perbandingan ini juga hanya tertumpu kepada penyelengaraan semata-mata, tidak termasuk kos pemilikan lain seperti cukai jalan – pemilik Ford Ranger 2.0L tentunya membayar premium yang jauh lebih rendah dari pemilik Toyota Hilux 2.8L.

    Klik untuk besarkan

    Namun jika buat perbandingan berkenaan perlindungan waranti, sudah tentu kemenangan berpihak kepada Mitsubishi Triton kerana Mitsubishi Motors Malaysia memberikan waranti pengeluar selama lima-tahun/200,000 km, berbanding Hilux dengan lima-tahun/150,000 km dan Ford Ranger pula adalah tiga tahun/100,000 km.

    Semasa menghimpunkan semua data ini, berberapa perkara telah menarik perhatian kami. Jadual yang disediakan oleh Mitsubishi adalah yang paling komprehensif berbanding semua kerana ia menyenaraikan setiap servis yang perlu dibuat dan komponen yang perlu ditukar pada setiap poin.

    Harga yang disenaraikan untuk Triton sentiasa lebih tinggi dari Hilux (ada dua sesi perbezaan mencecah RM1,000), tetapi anda perlu ingat Hilux perlu dihantar ke pusat servis sekali ganda lebih cepat dari Triton, dan Hilux juga mempunyai satu sesi yang mencecah RM1,247 iaitu pada 80,000 km yang turut termasuk kos menukar ATF.

    Pemilik Ford Ranger mungkin tidak terasa perbezaan harga antara servis kerana harga setiap sesi tersebut boleh dikata pada purata hampir sama iaitu antara RM571 hingga RM928. Manakala pemilik Hilux perlu lebih peka untuk kos servis seterusnya kerana ada servis yang perlu anda bayar dengan harga serendah RM117, dan ada servis yang mencecah RM1,247 – mungkin akan menjadi kejutan untuk anda jika tidak bersedia.

    Jadual penyelenggaraan rasmi setiap model – Toyota Hilux (atas kiri), Mitsubishi Triton (atas kanan) dan Ford Ranger (bawah). Klik untuk besarkan

    Juga ingin kami ingatkan sekali lagi, apa yang kami dedahkan ini adalah berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh pengeluar. Jika anda mahukan perincian lebih teliti, anda boleh menghubungi pusat servis bertauliah setiap jenama tersebut.

    Kesimpulannya, jika anda tertanya-tanya kos selenggara antara tiga trak pikap ini yang mana paling murah, data yang kami kumpulkan ini menunjukkan Mitsubishi Triton adalah pemenangnya – tambahan pula ia dilindungi waranti yang paling lama.

    Namun sudah tentu, keputusan dan kepuasan untuk memiliki sesebuah kenderaan bukan hanya bergantung pada kos servis dan selenggara; jadi tepuk dada, dan tanya selera serta jangan lupa semak juga baki akaun bank.

     
     
  • Tesla Cybertruck diperkenal – pikap elektrik futuristik dengan jarak 800 km, 0-96 km/j dalam 2.9 saat

    Tesla Cybertruck diperkenal – pikap elektrik futuristik dengan  jarak 800 km,  0-96 km/j dalam 2.9 saat

    Tesla telah mendedahkan trak pikap semua-elektrik, dengan penggayaan yang boleh disifatkan sebagai serba futuristik. Sesuai dengan nama yang diberi, Cybertruck, ia ditampilkan dengan setiap komponen yang direka untuk melambangkan keunggulan dan ketahanan yang padu.

    Ciri utama yang ditampilkan termasuklah struktur keluli tahan karat Ultra-Hard 30X Cold-Rolled pada bahagian badannya, serta lapisan kaca berperisai – Tesla mendakwa bahawa komposit lapisan kaca dan polimer ultra kuat yang digunakan mampu menyerap dan mengalihkan daya impak untuk meningkatkan prestasi toleransi kerosakan.

    Walau bagaimana pun, agak memalukan apabila dalam majlis pelancarannya, sebiji bola logam telah dilemparkan pada pikap berkenaan dan menyebabkan bahagian kaca berperisai berkenaan retak, sekaligus membuktikan material yang digunakan ternyata bukanlah yang terbaik. Namun demikian, Elon Musk pantas mengatakan kelemahan tersebut akan diatasi.

    Cybertruck ini didakwa mampu beroperasi sehingga jarak melebihi 800 km bagi pengecasan tunggal, dengan versi asas mampu mencapai jarak lebih 400 km.

    Ia juga mampu mengangkut bebanan sehingga 1,590 km (atau 3,500 lbs) dan kapasiti menunda sehingga 6,350 kg (14,000 lbs). Dan pastinya Tesla mahu pikap ini memiliki prestasi yang menguja, lantas ia dipastikan mampu mencapai pecutan dari titik pegun hingga 96 km/j dalam hanya 2.9 saat, setaraf dengan supercar.

    Elemen rekaannya ditampilkan dengan suspensi udara yang boleh dilaras sendiri, di mana sistem ini boleh merendahkan dan menaikkan kenderaan sekitar 100 mm (empat inci) di mana-mana arah untuk akses yang lebih mudah, dengan ruang dalaman berkapasiti 2,831 liter, storan berkunci yang dilindungi penutup tonneau yang didakwa oleh Tesla mampu menampung kekuatan lebih jitu jika ditegakkan.

    Di dalamnya, ruang kabin disertakan dengan enam tempat duduk yang selesa, dengan ruang storan tambahan di bawah tempat duduk barisan kedua. Senarai kit lain termasuklah skrin sesentuh sentral 17-inci termaju dengan antara muka pengguna yang boleh dilaraskan, on-board berkuasa dan pemampatan udara, sesuai untuk mereka yang menyertai ekspedisi berkhemah dengan trak ini.

    Cybertruck ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Single Motor Rear-Wheel Drive, Dual Motor All-Wheel Drive, dan Tri Motor All-Wheel Drive. Di US, harganya bermula dari US$39,900 (RM166,360) untuk Single Motor, sementara untuk Dual Motor bermula dari US$49,500 (RM206,400). Varian tertinggi Tri-Motor berharga US$69,900 (RM291,500), dan tambahan untuk pilihan pemanduan-sendiri dengan kos ekstra US$7,000 (RM29,200).

    Tesla berkata, pelanggan pertama akan menerima Cybertruck ini pada akhir 2021, dengan produksi bagi versi Tri Motor AWD dijangka bermula akhir 2022.

     
     
  • Fasiliti pengecasan pantas DC 40kW oleh Vision Motors Sport di Lembah Klang – penggunaan percuma

    Fasiliti pengecasan pantas DC 40kW oleh Vision Motors Sport di Lembah Klang – penggunaan percuma

    Untuk pemilik kenderaan elektrik yang berada di sekitar Lembah Klang, ini ada satu lagi fasiliti pengecasan pantas DC telah dibuka di Kampung Sungai Kayu Ara. Fasiliti ini dikendalikan oleh Vision Motor Sports dan ditawarkan penggunannya secara percuma. Unit yang berada di fasiliti ini merupakan pengecas wallbox Exicom Harmony yang menyokong Combined Charging System (CCS) Type 1/Type 2 dan pengecas standard CHAdeMo, dengan kuasa sehingga 40 kW.

    Model yang disenaraikan boleh menggunakan fasiliti ini termasuklah BMW i3s, Nissan Leaf (generasi pertama dan kedua, menerusi port CHAdeMO), dan Tesla. Walau bagaimana pun, model Renault Zoe generasi pertama dan kedua tidak boleh menggunakan unit DCFC, hanya versi generasi ketiga sahaja yang menyokong keupayaan CCS.

    Pada dasarnya, unit DC yang merupakan pengecas pantas tidak boleh digunakan untuk mana-mana model Mercedes-Benz atau BMW plug-in hbrid seperti BMW X5 xDrive40e dan 330e F30, yang menggunakan unit AC, tetapi tidak lama lagi, premis ini juga akan memasang pengecas AC, iaitu unit Type 2 22 kW yang diperbuat oleh Exicom, sekaligus membolehkan model kenderaan berkenaan turut boleh dicas di sini.

    Fasiliti pengecasan baharu ini pastinya menjadi perhatian buat pemilik BMW i3s (menerusi CCS) dan Leaf (menerusi CHAdeMo) yang tinggal berdekatan dengan Vision Motor Sports kerana menyediakan kemudahan alternatif untuk mengecas kenderaan mereka di tempat awam.

    Bagi model Leaf, ia menawarkan pengecasan yang lebih pantas selain pilihan lain menggunakan unit wallbox berkuasa 6.6 kW di pusat pengedaran Nissan yang dikendalikan oleh ETCM. Di mana Leaf baharu berkeupayaan menerima sehingga pengecasan 50 kW menerusi unit CHAdeMo, dengan pengecasan penuh sekitar sejam sahaja.

    Fasiliti pengecasan pantas 40 kW Dc kendalian Vision Motor Sports ini menyertai sebahagian kecil stesen pengecasan DC di seluruh negara, termasuklah ABB Malaysia (Subang Jaya), Nichicon (Bandar Baru Bangi) dan PLUS (Ayer Keroh R&R).

     
     
  • Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

    Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

    Anda dah tahu kenapa Mellors Elliot Motorsport (MEM) memilih Proton Iriz sebagai jentera untuk projek R5 mereka. Anda juga dah tahu kenapa Iriz R5 tersebut disumbatkan dengan enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evo X yang dikecilkan dari 2.0 liter kepada 1.6 liter. Tetapi adakah anda tahu sejauh mana penglibatan Proton sendiri dalam projek R5 ini? Adakah mereka sekadar membekalkan kerangka Iriz kepada MEM?

    Berbeza dari kategori AP4 seperti Mitsubishi Xpander AP4 atau Toyota C-HR AP4 di Asia Tenggara yang boleh dihasilkan oleh mana-mana bengkel, kategori R5 yang sah digunakan untuk semua kejohanan rali seliaan FIA termasuk kategori WRC2 dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) perlu dihasilkan dengan syarat homologasi yang sangat ketat.

    Di sini penglibatan Proton sendiri terhadap projek R5 tersebut sangatlah penting bagi memastikan Iriz berkenaan menerima homologasi penuh dari FIA. Menurut pengasas dan prinsipal pasukan MEM Chris Mellors, pada peringkat awal Proton bukan sahaja membekalkan kereta kepada mereka, malah segala data-data rekaan dari sistem CAD diberikan sepenuhnya bagi memudahkan mereka memahami sepenuh rekaan asas Iriz tersebut.

    Kemudian, segala kerja-kerja pembangunan kereta ini adalah dipantau oleh FIA. Menurut Chris, proses homologasi buat masa sekarang adalah jauh lebih sukar berbanding sebelum ini. Segala dokumentasi untuk setiap komponen yang dihasilkan perlu lengkap dengan segala maklumat seperti model dan lukisan CAD serta maklumat seperti dimensi dan berat perlu ditunjukkan kepada badan penyelaras berkenaan.

    Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

    Gambar setiap komponen juga perlu dirakamkan dengan betul sehinggakan mereka terpaksa menyediakan satu studio khas yang lengkap dengan peralatan fotografi untuk mengambil gambar setiap komponen tersebut kerana FIA begitu terperinci untuk setiap aspek.

    Tambahan pula, tidak seperti pasukan-pasukan ‘works‘ rasmi seperti Volkswagen dan Skoda yang bukan sahaja mempunyai kakitangan yang ramai, malah dekat dengan ibu pejabat jenama masing-masing, MEM adalah sebuah pasukan yang jauh lebih kecil, serta terpaksa berhubung secara jarak jauh dengan kilang membuat Iriz yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

    Faktor-faktor ini yang melambatkan proses homologasi kerana mereka sentiasa perlu berhubung. Ini kerana untuk langkah pertama sebelum kereta ini dibina, proses homologasi perlu dijalankan kepada kerangka asas kereta itu sendiri. Untuk ini MEM dan FIA perlu turun sendiri ke kilang Proton Tanjung Malim untuk memastikan Iriz memang sebuah model produksi yang dijual di bilik pameran dan ia dihasilkan sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun di kilang berkenaan.

    Kemudian barulah kerja-kerja untuk mentransformasi sebuah Iriz biasa ke Iriz R5 dijalankan, dan dari masa ke masa FIA akan melawat proses pembangunan setiap komponen dan memberitahu apa yang boleh, apa yang perlu diperbetulkan dan apa yang perlu dibuat semula. Dalam masa yang sama mereka memastikan setiap perkara asas yang tidak boleh disentuh contohnya geometri suspensi hadapan sentiasa dipatuhi oleh MEM.

    FIA juga akan memastikan bahawa MEM menggunakan peralatan yang diluluskan oleh mereka, terutamanya komponen suspensi dan gandar sistem 4WD sebelah belakang di mana komponen-komponen tersebut adalah dari jenis yang sama digunakan oleh setiap jentera R5 yang menerima kelulusan FIA.

    Menerusi pembangunan ini, MEM turut akan menyalurkan segala maklumat dan pengetahuan yang mereka perolehi kepada Proton, dan input tersebut akan digunakan oleh Proton untuk pembangunan model-model akan datang yang lebih baik, sama seperti apa yang dilakukan oleh pasukan Proton R3.

    Setelah kereta ini siap dan setiap komponen yang telah dipadankan pada kereta tersebut diluluskan oleh FIA, badan penyelia sukan permotoran dunia berkenaan turun semula ke kilang Proton Tanjung Malim. Mereka sekali lagi melihat proses produksi Iriz di kilang tersebut, dan memeriksa kesemua nombor casis yang direkodkan adalah benar, dan sekali lagi memeriksa adakah Iriz dibuat dengan jumlah sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun.

    Dan selepas itu, wakil-wakil dari FIA tersebut pergi semula ke ibu pejabat MEM di UK untuk sekali lagi memeriksa setiap komponen pada kereta tersebut. Akhirnya selepas tiga tahun, Proton Iriz R5 menerima kelulusan homologasi penuh pada bulan Mac tahun ini.

    Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

    Ramai yang ingat Iriz R5 ini hanya digunakan oleh MEM kan? Sebenarnya program R5 MEM ini sama sahaja dengan program R5 pengeluar lain seperti Volkswagen Polo GTI R5 dan Skoda Fabia R5, di mana jentera ini turut dijual kepada pasukan-pasukan persendirian yang berminat.

    Setelah sah menerima kelulusan homologasi berkenaan, MEM mula menyiapkan berberapa Iriz R5 yang ditempah oleh pelanggan, antaranya unit pertama yang dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan untuk juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, Eugene Donnelly, yang kemudiannya berjaya dinobatkan sebagai juara kategori RC2 nasional dan tempat keempat keseluruhan di Cork 20 International Rally 2019 Oktober lalu.

    Berapa pula harganya? Selain dari menetapkan syarat-syarat teknikal, FIA juga mensyaratkan harga jualan kereta tersebut tidak boleh melebihi 198,000 euro, atau sekitar RM913k. Chris tidak menyebut harga sebenar Iriz R5 ini, tetapi tentunya jika anda berminat mungkin boleh berunding bagi mendapatkan harga lebih rendah dari harga siling yang dinyatakan tadi.

    Mahal? Tidak sebenarnya jika anda bandingkan dengan jentera kelas tertinggi WRC yang dijual pada harga jauh lebih tinggi. Dan kalau nak merasa juga, Iriz R5 sebenarnya boleh anda pandu secara digital dalam permainan video WRC 8 yang dilancarkan pada September lalu.

    Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

    Kami juga sempat bertanya kepada Chris, selain dari unit-unit yang telah dijual sekarang dan kebanyakkannya beraksi di rali-rali nasional sekitar Eropah, di mana lagi boleh kita jangka untuk melihat aksi Iriz R5 ini? Menurut Chris, Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pastinya akan menarik lebih banyak perhatian kerana Proton berasal dari Malaysia, dan buat masa sekarang berberapa pasukan dari Australia dan New Zealand menyatakan minat mereka untuk membeli kereta tersebut.

    Walau bagaimanapun, Chris menegaskan bahawa untuk masuk ke WRC dalam kategori WRC2 adalah fokus utama pasukannya sekarang. Tiada kata putus boleh disebutkan buat masa ini, tapi mungkin berberapa pengumuman akan dibuat mengenainya dalam tempoh berberapa bulan dari sekarang.

    Jelas semua? Ok, sekarang ada yang tertanya-tanya macam mana boleh bermula hubungan antara MEM dengan Proton ni? Kami dengar cerita tersebut dari mulut Chris tempoh hari sambil meremang-remang bulu roma. Kalau anda nak tahu apa ceritanya, baca artikel seterusnya pada PAUTAN INI.



     
     
  • Harga minyak 23-29 Nov: RON 97 turun empat sen

    Harga minyak 23-29 Nov: RON 97 turun empat sen

    Bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 November 2019 menyaksikan harga runcit petrol RON97 turun sebanyak empat sen, menjadi RM2.66 seliter berbanding RM2.70 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu tersebut efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Kementerian Kewangan berkata berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.36 dan RM2.27 seliter. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada kadar RM2.40 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel pada kadar RM2.25 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 23 hingga 29 November ini berjumlah RM111.56 juta.

     
     
  • Mercedes-AMG GLS63 X167 ditunjukkan – 612 PS, teknologi mild hybrid, 7-tempat duduk, 0-100 km/j 4.2s

    Mercedes-AMG GLS63 X167 ditunjukkan – 612 PS, teknologi mild hybrid, 7-tempat duduk, 0-100 km/j 4.2s

    GLE 63 bukanlah SUV bersaiz besar yang paling berkuasa yang diperkenalkan oleh Mercedes-AMG di Los Angeles Auto Show yang sedang berlangsung. Ni hah ada satu lagi model SUV besar dari keluarga yang sama, GLS 63, walau bagaimana pun, semua bahagian mekanikalnya masih sama seperti GLE 63.

    Namun SUV tujuh-tempat duduk ini dipadankan dengan enjin AMG 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan hamburan kuasa yang menguja; 612 PS dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork 850 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm.

    Ia juga digandingkan dengan sistem EQ Boost mild hybrid 48-voltan, yang digunakan untuk penjana penggunaan bersepadu dengan menambah lagi 22 PS dan 250 Nm untuk rangsangan lebih jitu di bawah kuasa pendikitannya. Ini bermakna, ia membolehkan GLS 63 mampu dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam hanya 4.2 saat.

    Mercedes-AMG GLS63 X167 ditunjukkan – 612 PS, teknologi mild hybrid, 7-tempat duduk, 0-100 km/j 4.2s

    Sistem mild hybrid ini mampu meningkatkan prestasi – ia juga mampu memulihkan tenaga kinetik, membolehkan SUV ini dipacu walau enjin dimatikan dan melancarkan fungsi start/stop automatik, dan juga membantu kawalan kelajuan melahu, bagi menjimatkan bahan api. Walau bagaimana pun, GLS 63 masih menggunakan bahan api pada kadar 11.9 liter setiap 100 km pada gabungan kitaran NEDC.

    Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik AMG Speedshift TCT sembilan-kelajuan, serta sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ yang mengagihkan tork dari pemanduan belakang sepenuhnya ke belakang-hingga-hadapan dalam nisbah 50:50. Malah ia juga didatangkan dengan suspensi udara AMG Ride dengan Sistem Pemanduan Adaptif (ADS+).

    Ketinggian pengendalian juga direndahkan sebanyak 10 mm pada kelajuan melebihi 120 km/j (dengan mod Sport dan Sport+) dan dipertingkatkan sehingga 55 mm dalam mod Trail dan Sand. SUV ini juga didatangkan dengan sistem penstabilan olengan AMG Active Ride Control 48-voltan, bersama stereng berkuasa sport AMG speed-sensitive dan sistem brek prestasi tinggi dengan cakera hadapan 400 mm, diapit dengan kaliper enam-omboh.

    Mercedes-AMG GLS63 X167 ditunjukkan – 612 PS, teknologi mild hybrid, 7-tempat duduk, 0-100 km/j 4.2s

    Ciri luaran yang ditampilkan termasuklah gril Panamericana trapezoidal AMG dengan kepingan menegak, bersama corong pengambilan udara yang diinspirasikan dari sayap jet. Hujung belakangnya pula menerima diffuser besar dengan dua corong ekzos segi empat serta roda aloi 12-inci secara standard dan pilihan sehingga diameter 23-inci.

    Di dalamnya didatangkan dengan tempat duduk hadapan AMG upholstery balutan kulit Nappa bersama roda stereng AMG dengan pilihan kawalan untuk beberapa larasan preatasi. Seperti GLS standard, model AMG juga ditawarkan sama ada enam- atau tujuh-tempat duduk – dengan kerusi ‘captain’ untuk barisan tempat kedua – bersama tempat duduk dengan fungsi haba panas untuk barisan tempat duduk ketiga.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Malaysia sertai perlumbaan Sepang 1000km (S1K)2019 hujung minggu ini

    Toyota Gazoo Racing Malaysia sertai perlumbaan Sepang 1000km (S1K)2019  hujung minggu ini

    Pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia sahkan bahawa mereka akan menyertai perlumbaan ketahanan Sepang 1000km yang berlangsung hujung minggu ini. Pasukan tersebut akan membariskan tiga orang pemandu iaitu ketua pegawai UMW Toyota Motorsport Akio Takeyama, juara GT Jepun kelas GT500 dengan pasukan Esso Ultraflo Supra pada tahun 2002 Akira IIda dan bintang tempatan William Ho.

    Selain dari pasukan rasmi ini, sembilan lagi Vios yang dibawa dari siri perlumbaan one make Vios Challenge TGR Malaysia turut akan menyertai perlumbaan selama sembilan-jam atau 181-lap di Litar Antarabangsa Sepang itu berkenaan.

    Toyota Gazoo Racing Malaysia sertai perlumbaan Sepang 1000km (S1K)2019  hujung minggu ini

    Antaranya adalah pasukan Wing Hin Motorsport yang disertai oleh ‘otai’ Saga Cup dan juara kelas Super Sporting TGR musim kedua, Boy Wong bersama pemandu kelas Sporting Dannies Ng. Manakala penunggang Moto GP negara Hafizh Syahrin akan berpasangan dengan pemandu single seater Alister Yoong dan bintang remaja dalam TGR Badley Benedict Anthony – ketiga-tiga mereka memandu Vios pasukan HI REV SIC Dream Chaser.

    S1K tahun ini nampaknya bakal menyaksikan tiga pasukan rasmi pengeluar berentap dalam gelanggang sama – Tengku Djan Ley akan memandu Honda City pasukan Honda Malaysia Racing Team, manakala seorang lagi pelumba TGR dalam kelas Super Sporting, Syafiq Ali seperti biasa akan mewakili pasukan Proton R3, tetapi tahun ini dia tidak berganding dengan Farique Hairuman di dalam Iriz, sebaliknya bertanggung jawab untuk mengemudi Saga bersama Admi Shahrul.

     
     
  • Mitsubishi Triton 4×4 Adventure dianjurkan di JB pada 23-24 Nov ini – pandu uji, menang hadiah menarik

    Mitsubishi Triton 4×4 Adventure dianjurkan di JB pada 23-24 Nov ini – pandu uji, menang hadiah menarik

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal menganjurkan acara Mitsubishi Triton 4×4 Adventure bertempat di Linear Park, Desa Tebrau, Johor Bahru pada 23-24 November ini dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Tiada sebarang bayaran tiket masuk dikenakan, malah pengunjung berpeluang memandu uji trak pikap Triton baharu merentasi beberapa laluan mencabar.

    Menurut MMM, antara laluan mencabar yang menanti kunjungan peserta ialah The Devil’s Angle di mana ia melibatkan pemanduan di cerun bukit bagi memahami fungsi Kawalan Menurun Bukit yang terdapat pada Triton baharu. Selain itu, laluan berlumpur pula direka bagi menguji sistem Mitsubishi Motors Super-Select 4WD II dan mod pemanduan off-road dan cabaran Log and Roll untuk merasai sistem suspensi dan keselesaan di dalam kabin Triton baharu ini.

    Bukan itu sahaja, pengunjung Triton 4×4 Adventure ini juga boleh mengambil bahagian dalam Mitsubishi Agility Challenge untuk menguji pengendalian Triton baharu. Untuk memenangi cabaran ini, peserta perlu melengkapkan kesemua cabaran termasuk pemanduan slalom, selekoh tajam, ujian maneuvering dan cabaran parkir dengan ruang yang sempit, dengan jangka masa yang paling pendek.

    Markah akan diberikan setiap kali peserta dapat melengkapkan cabaran, dan para pemenang berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM700 setiap hari. Selain itu, beberapa hadiah menarik juga menanti pengunjung yang menyertai sesi pandu uji, antaranya iPhone 11 dan wang tunai bernilai RM800. Manakala 100 peserta terawal pula bakal menerima minuman Boba Tea dari The Alley. Dan pelanggan yang membayar yuran tempahan sebanyak RM300 untuk mana0mana model Mitsubishi bakal menerima tumbler eksklusif Ralliart.

    MMM turut memaklumkan, pelanggan yang menempah dan mendaftar Mitsubishi Triton VGT Adventure X, Triton VGT AT Premium dan Triton VGT MT Premium boleh memilih sama ada kadar pinjaman sehingga 0.88% daripada Maybank atau pun Public Bank sahaja, atau rebat tunai. Tawaran ini sah sehingga 31 Disember 2019. Promosi terkini untuk Triton baharu adalah seperti di bawah.

    Mitsubishi Triton 4×4 Adventure dianjurkan di JB pada 23-24 Nov ini – pandu uji, menang hadiah menarik

     
     
  • Hyundai Ioniq facelift 2020 tiba di Amerika Syarikat

    Hyundai Ioniq facelift 2020 tiba di Amerika Syarikat

    Selepas diperkenalkan di Korea awal tahun ini, trio Hyundai Ioniq facelift – Hybrid, Plug-in Hybrid dan Ioniq Electric – kini tiba di Amerika Syarikat, diperkenalkan ketika berlangsungnya Los Angeles Auto Show 2019. Model kemaskini ini bukan sahaja tampil dengan rupa sedikit berbeza, ia turut menampilkan tingkat taraf pada unit janakuasa.

    Untuk model elektrik sepenuhnya, ia menerima bateri dengan kapasiti lebih besar – meningkat dari 28 kWj kepada 38.3 kWj. Ini membolehkan jarak geraknya meningkat kepada 274 km, melangkaui jarak gerak Nissan Leaf iaitu 241 km (jarak gerak adalah berdasarkan ujian EPA Amerika).

    Pengecas dengan hubungan jenis Type 2 pada Ioniq Electric ini juga dipertingkat dari 6.6 kW kepada 7.2 kW, dan ia kini turut boleh menggunakan stesen pengecas pantas 100 kW DC (menerusi hubungan CCS), menawarkan caj 80% hanya dalam masa 54 minit.

    Bagi model Hybrid dan Plug-In Hybrid, enjin petrolnya masih menggunakan unit sama iaitu enjin Kappa 1. liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 105 PS/147 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik EcoShift enam-kelajuan.

    Namun kedua-dua model ini diberikan peningkatan pada sistem elektrifikasinya. Model Hybrid kini diberikan motor elektrik 43.5 PS/170 Nm yang menerima suapan kuasa dari bateri lithium-ion 1.56 kWj (240 volt). Manakala versi PHEV pula digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 60.5 PS/170 Nm, menerima tenaga dari bateri lithium-ion 8.9 kWj (360 volt), dan diberikan pengecas onboard 3.3 kW.

    Walau bagaimanapun, kuasa gabungan pada kedua-dua model ini masih kekal sama iaitu 141 PS/265 Nm. Menurut Hyundai versi Hybrid mampu untuk bergerak dengan hanya kuasa elektrik dengan kelajuan maksima 120 km/j, manakala PHEV pula menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 52 km (berdasarkan standard WLTP).

    Hyundai Ioniq facelift 2020 tiba di Amerika Syarikat

    Dari segi rekaan, model 2020 ini diberikan berberapa perubahan. Yang ketara adalah gril hadapan di mana versi Hybrid dan PHEV menerima gril bercorak mesh baharu, manakala model Ioniq Electric diberikan gril tertutup yang lebih menyerlah. Selain itu, ia turut tampil dengan warna baharu iaitu Stellar Silver dan Electric Shadow dan pelbagai rekaan rim baharu dengan saiz sehingga 17-inci.

    Pada bahagian dalaman, Ioniq diberikan sistem hiburan dengan skrin berdiri sendiri bersaiz 10.25-inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta boleh dihubungkan serentak kepada dua telefon pintar menerusi hubungan Bluetooth. Walau bagaimanapun, varian lebih rendah hanya diberikan skrin bersaiz 8-inci, tetapi masih mempunyai sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk keselamatan pula, Ioniq dibekalkan standard dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan seperti Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengelak bersama Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Lampu Tinggi.

    Pembeli boleh menambah sistem keselamatan mereka dengan pilihan sistem Bantuan Mengikut Lorong, Cruise Control Pintar dengan fungsi Stop & Go, Amaran Pelanggaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (standard untuk model PHEV dan Electric, opsyen untuk Hybrid). Hyundai Ioniq facelift 2020 akan dijual pada harga bermula US$23,000 (RM96k).

     
     
  • Honda Accord terima lima-bintang ASEAN NCAP

    Honda Accord terima lima-bintang ASEAN NCAP

    Honda Accord generasi ke-10 telah pun dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang daripada ASEAN NCAP hasil ujian pelanggaran yang dilakukan pada Julai lalu. Sedan ini menerima sejumlah 91.79 daripada 100 markah keseluruhan, termasuk ujian impak hadapan, ujian impak sisi dan penilaian ciri keselamatan.

    Menjadi satu-satunya model Honda yang diuji pada tahun ini, Accord turut menerima markah sebanyak 49.07 untuk Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP), 23.28 bagi Pelindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) dan 19.44 untuk Teknologi Bantuan Keselamatan (SATs).

    Accord baharu telah pun diperkenalkan di peringkat ASEAN di Thailand pada Mac lalu, diikuti dengan Indonesia pada Julai, Filipina pada September, manakala Singapura dan Vietnam pula Oktober lalu, malah difahamkan ia juga bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi. Honda berkata, jualan di Thailand menunjukkan keberangsangan dengan menerima 6,300 tempahan sehingga Oktober.

    Di samping rekaan semula bahagian luaran, perubahan terbesar yang dilakukan adalah bagi penjana kuasa baharunya – 2.0 liter dan 2.4 liter naturally-aspirated yang akan digantikan dengan 1.5 liter turbo dan 2.0 liter hibrid. Enjin 1.5 liter VTEC Turbo adalah sama dengan Civic dan CR-V, dengan hamburan kuasa sehingga 187 hp (190 PS) dan tork 243 Nm dari 1,500 hingga 5,500 rpm.

    Honda Accord terima lima-bintang ASEAN NCAP

    Untuk Accord Hybrid, sistem Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive) digabungkan dengan enjin 2.0 liter naturally-aspirated i-VTED dengan dua motor elektrik. Enjin kitaran-Atkinson ini mampu memberikan kuasa sehingga 145 hp dan 175 Nm, sementara gabungan e-motor memberikan output 184 hp dan 315 Nm, menjadikan keseluruhan kuasa mencecah 215 hp.

    Seperti model semasa, Accord baharu ini juga dilengkapi dengan Honda Sensing yang merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW) dan Adaptive Cruise Control (ACC), dengan sistem terakhir itu bekerjasama dengan Low Speed Follow (LSF).

    Lain-lain ciri keselamatan termasuk enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSA, Bantuan Mula Mendaki, Honda LaneWatch dan kamera pandangan belakang pelbagai-sudut.

    GALERI: Tokyo Motor Show 2019 – Honda Accord versi Jepun

     
     
  • Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

    Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

    Pada Tokyo Motor Show (TMS) tahun ini, Daihatsu telah mendedahkan Daihatsu Rocky generasi baharu yang juga versi produksi dari model konsep Daihatsu DN Trec yang muncul pada TMS 2017. Dan disebabkan Rocky dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti SUV segmen-B yang sedang dibangunkan oleh Perodua dikenali dengan kod D55L, ramai yang membuat kesimpulan dua model tersebut mungkin adalah kembar seperti Daihatsu Terios dan Perodua Aruz.

    Dalam masa yang sama, Perodua juga sebenarnya sedang membangunkan MPV baharu bagi menggantikan Perodua Alza yang sudah berada 10-tahun dalam pasaran, dikenali dengan kod D27A. Sekarang kami tertanya-tanya, adakah formulasi MPV baharu ini sama dengan D55L iaitu versi produksi untuk model konsep terkini yang didedahkan oleh Daihatsu?

    Untuk kes ini, model konsep yang kami maksudkan adalah Daihatsu DN Multisix, iaitu MPV konsep yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 dan TMS 2017 dua bulan kemudian. Jadi untuk mengagak bagaimana agaknya ‘Perodua Alza’ generasi baharu nanti, seperti biasa pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin menghasilkan satu imej digital bagi memudahkan kita membayangkannya.

    Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

    DN Multisix sebenarnya telah menampilkan rupa yang nampak seperti hampir dengan model produski tanpa elemen-elemen yang mengarut atau melebih-lebih. Untuk muka, Theo masih mengekalkan bentuk kluster lampunya yang tajam dan nipis tersebut dan hanya mengubah gril hadapan dengan memberikan elemen rekaan seperti gril Aruz.

    Muka DN Multisix berkenaan juga tampil dengan elemen “X” yang kuat seperti yang diperkatakan oleh ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren sebelum ini. Oleh itu, bentuk asas bampar hadapan masih dikekalkan oleh Theo dan dia hanya merubah bentuk lampu kabus dan kemasan perumahnya agar nampak lebih realistik sebagai model produksi.

    Kemudian pada bahagian sisi, kamera sisi dan pembuka pintu jenis rata pada DN Multisix telah digantikan dengan peralatan yang lebih logik untuk sebuah MPV produksi marhaen iaitu cermin sisi dan pembuka pintu jenis konvensional. Rim konsep juga telah digantikan dengan rim yang nampak lebih produksi dengan kemasan dua-tona.

    Model konsep Daihatsu DN Multisix

    Di belakang pula lampu bersaiz kecil pada model konsep tersebut diubah dengan unit yang lebih tebal dengan elemen rekaan seperti Daihatsu Rocky bersama perkataan “Alza” yang nampak seakan dicop ke dalam panel pintu tailgate tersebut.

    Menurut Daihatsu, model konsep DN Multisix dihasilkan dengan dimensi 4,310 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,695 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,620 mm. Jika dibandingkan dengan Alza sekarang, versi konsep ini adalah 90 mm lebih panjang, 75 mm lebih tinggi tetapi mempunyai lebar yang sama. Nampak logik sebagai Alza generasi baharu kan?

    Apa perkembangan projek D27A ini sebenarnya? Tidak seperti Proton yang kita senang untuk nampak menguji model-model akan datang mereka di jalan raya awam, Perodua pula lebih bijak untuk menyimpan rahsia. Namun baru-baru ini ada pembaca kami terserempak Perodua menguji MPV baharu ini di sekitar Genting Highland dengan menjadikan Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga sebagai kayu ukur, tetapi model berkenaan ‘bersembunyi’ di sebalik badan Toyota Avanza yang kelihatan sedikit pelik.

    Perodua Alza D27A 2021 – imej bayangan dihasilkan

    Perodua Alza generasi baharu ini berkemungkinan akan berkongsi platform dengan Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu, memandangkan dua model tersebut juga sudah berada lebih kurang 13-tahun dalam produksi. Tambahan pula, enjin siri NR yang digunakan dalam Avanza sekarang sememangnya dihasilkan oleh Perodua menerusi kilang enjin mereka yang terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

    Malah jika dilihat trend pembangunan model-model baharu Toyota-Daihatsu-Perodua buat masa sekarang, mereka kini tidak lagi mengambil asas-asas model JDM, sebaliknya menghasilkan kenderaan-kenderaan baharu yang lebih sesuai dengan pasaran ASEAN, contohnya kembar Toyota Agya/Daihatsu Ayla/Perodua Axia dan Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz.

    Perodua juga mungkin akan menggunakan kekuatan divisi R&D mereka sekarang bagi menghasilkan rekaan badan atas yang berbeza dari versi Toyota dan Daihatsu, seperti apa yang telah didemonstrasikan pada Perodua Myvi generasi terkini.

    GALERI: Model Konsep Daihatsu DN Multisix di GIIAS 2017

     
     
  • Mercedes-AMG GLE63 V167 – 612 PS/850 Nm dari enjin V8 4.0 liter biturbo dan hibrid EQ Boost!

    Mercedes-AMG GLE63 V167 – 612 PS/850 Nm dari enjin V8 4.0 liter biturbo dan hibrid EQ Boost!

    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;Kraftstoffverbrauch kombiniert 11,5 l/100 km, CO2-Emissionen kombiniert 262 g/km*
    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;combined fuel consumption 11.5 l/100 km, combined CO2 emissions 262 g/km*

    Selepas setahun diperkenalkan, kini SUV ‘bagak’ GLE generasi V167 mula hadir dengan varian paling berkuasanya iaitu Mercedes-AMG GLE 63 4Matic+. Tidak seperti model ’63’ yang lain, AMG mula menampilkan teknologi elektrifikasi buat pertama kali menerusi model ini, dengan teknologi hibrid ringkas EQ Boost Mercedes.

    Seperti biasa, model ’63’ pastinya akan menerima enjin paling besar buat masa sekarang iaitu M177 4.0-liter V8 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 571 PS bermula 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 750 Nm bermula 2,250 hingga 5,000 rpm. Ini membolehkan SUV bersaiz besar ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa empat saat.

    Kalau rasa tak cukup laju, anda boleh pilih Mercedes-AMG GLE 63 S, yang dibekalkan enjin sama tetapi menerima talaan kuasa 612 PS dan tork maksima 850 Nm. Versi ini mampu untuk melakukan pecutan yang sama dalam masa 3.8 saat! Kedua-dua versi berkenaan menerima transmisi yang sama iaitu kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift TCT 9G.

    Mercedes-AMG GLE63 V167 – 612 PS/850 Nm dari enjin V8 4.0 liter biturbo dan hibrid EQ Boost!

    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;Kraftstoffverbrauch kombiniert 11,5 l/100 km, CO2-Emissionen kombiniert 262 g/km*
    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;combined fuel consumption 11.5 l/100 km, combined CO2 emissions 262 g/km*

    Untuk sistem hibrid ringkas EQ Boost, kedua-duanya menerima kelengkapan yang sama iaitu starter-generator 48-volt bersepadu yang akan memberikan kuasa tambahan 22 PS/250 Nm ketika memecut. Unit tersebut turut mampu untuk memulihkan tenaga kinetik, membolehkan kereta tersebut ‘berlayar’ dengan enjin petrol dimatikan sepenuhnya, serta memberikan fungsi start/stop automatik enjin yang lebih lancar.

    Buat pertama kali, motor elektrik tersebut turut berfungsi bersama kawalan kelajuan melahu bagi memberikan kadar penggunaan petrol yang lebih jimat. Walaupun dibekalkan dengan sistem sedemikian dan juga fungsi nyah aktif silinder, enjin gergasi ini masih mencatatkan penggunaan petrol sebanyak 11.4 liter setiap 100 km (11.5 untuk GLE 63 S) dalam kitaran gabungan NEDC.

    Dalam keadaan biasa, kuasa dari enjin hanya akan dihantar ke gandar belakang, tetapi dalam situasi tertentu tork turut akan disampaikan ke gandar hadapan dengan jumlah bervariasi menerusi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+.

    Mercedes-AMG GLE63 V167 – 612 PS/850 Nm dari enjin V8 4.0 liter biturbo dan hibrid EQ Boost!

    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;Kraftstoffverbrauch kombiniert 11,5 l/100 km, CO2-Emissionen kombiniert 262 g/km*
    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;combined fuel consumption 11.5 l/100 km, combined CO2 emissions 262 g/km*

    Walaupun ia sebuah SUV, LSD elektronik masih diberikan pada gandar belakang bersama sistem torque vectoring menerusi sistem brek yang digelar sebagai Electronic Traction System (4ETS). Bagi memberikan respon stereng yang lebih progresif, kereta ini menerima sistem stereng sport sensitif kelajuan AMG yang boleh dipilih dalam mod Basic, Advanced, Pro dan Master.

    Untuk suspensi, GLE 63 datang standard dengan sistem udara AMG Ride Control+ bersama penyerap hentak adaptif ADS+, yang akan merendahkan SUV ini 10 mm lebih rapat ke bumi ketika kelajuan melebihi 120 km/j (terus diturunkan jika pemandu memilih mod Sport, Sport+ dan Race), serta menaikkan badan kereta 55 mm lebih tinggi jika memilih mod Sand.

    Sistem penstabil olengan AMG Active Ride Control yang beroperasi dengan sistem 48-volt turut tampil sebagai ciri standard pada GLE 63 ini. Menurut Mercedes-AMG, sistem janaan elektrik tersebut memberikan respon yang lebih cepat dari sistem hidraulik.

    Mercedes-AMG GLE63 V167 – 612 PS/850 Nm dari enjin V8 4.0 liter biturbo dan hibrid EQ Boost!

    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;Kraftstoffverbrauch kombiniert 11,5 l/100 km, CO2-Emissionen kombiniert 262 g/km*
    Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+;combined fuel consumption 11.5 l/100 km, combined CO2 emissions 262 g/km*

    GLE 63 ini masih menerima sentuhan sama dengan model lain bagi mentransformasi rupanya dari sebuah SUV mewah ke sejenis binatang buas. Ia diberikan gril hadapan Panamericana, bampar hadapan dengan rekaan seakan sayap jet bersama liang udara besar dan juga diffuser agresif pada bampar belakang yang turut menempatkan empat tip ekzos.

    Pembeli boleh memilih pelbagai rekaan rim yang ditawarkan dari saiz 20-inci hingga 22-inci. Untuk sistem brek pula ia datang standard dengan angkup enam omboh di hadapan dengan cakera komposit. Kalau rasa tak cukup mahal, anda boleh memilih untuk memadankan cakera brek dari material karbon seramik.

    Dalam kabin juga sama, di mana SUV ini hadir dengan tempat duduk AMG yang dibalut kulit Nappa, roda stereng AMG Performance bersama pedal penukar gear (model S dibalut dengan gentian mikro Dinamica), pedal aloi, serta peralatan AMG lain seperti kemasan bendul sisi dan karpet kaki.

    Lagi sekali, kalau anda rasa Mercedes-AMG GLE 63 ini tak cukup mahal, anda boleh membuang duit lagi untuk mendapatkan kemasan-kemasan gentian karbon dan juga kawalan akses terus ke larasan prestasi tinggi pada roda stereng.

     
     
  • Kia Seltos diperkenalkan – 1.6 T-GDI, AWD, dari RM92k

    Kia Seltos diperkenalkan – 1.6 T-GDI, AWD, dari RM92k

    Kia Motors America akhirnya telah mendedahkan Seltos serba baharu, SUV segmen-B yang diposisikan antara Soul dan Sportage. Di pasaran US, ia ditawarkan dengan lima varian bermula LX, EX, S 2.0L, S 1.6T, dan SX. Harganya belum disahkan, tetapi harga asasnya bermula dari US$22,000 (RM92k), dengan penghantaran pertama bakal bermula pada Q1 2020.

    Bagi pilihan penjana kuasanya, model paling murah ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan output 146 hp dan tork 179 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT, kebiasaannya dikenali sebagai CVT).

    Untuk S 1.6T dan SX, ia dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter turbocharged dengan hamburan kuasa 175 hp dan tork 264 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh-kelajuan secara standard. Turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan – Normal, Eco, Sport – untuk kedua-dua varian, dengan setiap satunya menawarkan pemetaan spesifik untuk enjin dan transmisi.

    Kia Seltos diperkenalkan – 1.6 T-GDI, AWD, dari RM92k

    Kesemua model dipadankan dengan topang MacPherson di hadapan, tetapi berbeza suspensi belakang – varian pacuan roda-hadapan menerima palang torsion untuk belakang, sementara model pacuan semua-roda dengan larasan multi-link. Sistem AWD pula lebih kurang sama seperti yang ada pada Telluride, dan didatangkan dengan centre locking differential untuk menawarkan pacuan off-road yang lebih baik.

    Bergantung pada varian, senarai kelengkapan termasuklah lampu utama LED “Crown Jewel” sepenuhnya, bampar hadapan dan belakang yang sporty, lapisan gerbang roda hitam dan plat skid perak, saiz roda sehingga 18-inci dan penutup roda di bahagian tengah berwarna merah.

    Di dalamnya, kluster instrumen menampilkan paparan pelbagai-info digital tujuh- atau 3.5-inci, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, sistem bunyi premium Bose lapan-speaker dengan paten fraktal, pencahayaan mood yang boleh bertukar warna dan tahap nada bunyi mengikut intensiti, corong udara belakang, port pengecasan USB di belakang dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci yang pertama dalam segmennya dengan skrin-terpisah dan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

    Lain-lain ciri termasuklah alas pengecas telefon pintar, dua port USB di hadapan, sambungan multi-Bluetooth yang boleh disambung dengan dua telefon pintar, dan sistem telematik UVO Connect yang berfungsi menerusi aplikasi telefon pintar, menawarkan arahan kawalan dan notifikasi sistem.

    Manakala untuk aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu termaju “Kia Drive Wise” ditawarkan secara pilihan dan didatangkan dengan sistem termasuk Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Pemanduan Lebuhraya, Amaran Ketibaan Lorong dan sistem Bantuan Kekal Lorong.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan Bantuan Mengikut Lorong, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Kepekaan Penumpang Belakang (bagi mengingatkan pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang untuk kanak-kanak atau haiwan peliharaan), Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi stop/go dan juga Bantuan Keluar Selamat.

     
     
  • Volkswagen ID. Space Vizzion – kuasa 335 hp, tork 659 Nm, jarak gerak 590 km dan 0-100 km/j dalam 5.4 saat

    Volkswagen ID. Space Vizzion – kuasa 335 hp, tork 659 Nm, jarak gerak 590 km dan 0-100 km/j dalam 5.4 saat

    Volkswagen telah mendedahkan model konsep ID. ketujuh, yang dipanggil sebagai ID. Space Vizzion. Ia hadir selepas model ID pertama yang telah menjadi ID.3, ID. Crozz, ID. Buzz, ID. Vizzion, ID. Buggy dan ID. Roomzz. Model baru ini dibina atas platform Modular Electric Drive Matrix (MEB) dan menggunakan bentuk badan wagon, tapi Volkswagen mendakwa ia boleh memberi ruang seperti sebuah SUV.

    Pada bahagian lantai ID. Space Vizzion ini terdapat pek bateri dengan kapasiti 82 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 590 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Kuasa keseluruhan yang mampu dihantar kepada semua roda (AWD) adalah 335 hp dan tork 659 Nm, tetapi terdapat satu lagi versi yang mempunyai kuasa 275 hp and 500 Nm, dan menggunakan pacuan roda belakang sahaja. Versi 335 hp boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.

    Pakej kuasa elektrik yang digunakan pada ID. Space Vizzion membenarkan rekaan yang fleksibel, jadi pereka dan jurutera Volkswagen telah mengambil peluang untuk meningkatkan ciri aerodinamik serta memaksimakan jarak perjalanan yang mampu ditawarkan oleh pek bateri tersebut. Dimensi kenderaan ini adalah 4,958 mm panjang, 1,897 mm lebar dan 1,529 mm tinggi, dengan jarak roda 2,965 mm, menjadikannya hampir seperti Audi A6 Avant.

    Volkswagen ID. Space Vizzion – kuasa 335 hp, tork 659 Nm, jarak gerak 590 km dan 0-100 km/j dalam 5.4 saat

    Pada ID. Space Vizzion ini, udara yang datang dari hadapan akan masuk pada bukaan antara lampu utama, dan pergi ke atas bumbung melalui bonet yang rendah. Bampar hadapan juga menyampaikan udara ke luar dan belakang kenderaan.

    Nama Space yang digunakan pada kenderaan ini merujuk kepada ruang bahagian dalamnya, di mana menurut Volkswagen lebih sama seperti kereta premium dengan jarak roda yang panjang, berbanding model kelas pertengahan. Kebanyakan bahagian di dalam dibalut dengan kulit buatan manusia yang dinamakan sebagai AppleSkin (menggunakan bahan buangan daripada proses pengeluaran jus epal).

    Tiada kemasan krom yang digunakan pada ID. Space Vizzion ini, dan bahagian berkilat yang anda nampak itu sebenranya menurut Volkswagen menggunakan cat yang cuma kelihatan seperti krom.

    Volkswagen ID. Space Vizzion – kuasa 335 hp, tork 659 Nm, jarak gerak 590 km dan 0-100 km/j dalam 5.4 saat

    Paparan informasi dibahagi kepada dua iaitu sistem head-up display AR yang memaparkan informasi asas kepada pemandu, manakala ciri lain seperti hiburan, keselesan, fungsi atas talian dan tetapan kenderaan boleh dilihat pada skrin sesentuh 15.6 inci yang terletak di tengah. Sebagai tambahan, pemandu juga boleh informasi tambahan melalui jalur lampu interaktif pada A-pillar yang dipanggil sbagai ID. Light.

    Sama seperti model konsep yang lain, ID. Space Vizzion ini memberi petunjuk awal kenderaan yang akan dikeluarkan untuk pasaran nanti, di mana bagi ID. Space Vizzion ini, ia adalah untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Model konsep ID. Vizzion dan ID. Space Vizzion akan masuk ke dalam pasaran sebagai ID. 5.

     
     
  • Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

    Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

    Setelah mempamerkan prestasi tidak memberangsangkan dan berberapa drama timbul antara pasukan dan pemandu utamanya, Sebastien Ogier dalam musim ini, Citroen akhirnya membuat pengumuman bahawa mereka akan menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia FIA (WRC) bermula musim hadapan. Ini bermaksud untuk musim 2020, hanya tiga jenama yang akan terus bersaing; dua dari Asia iaitu Hyundai dan Toyota, serta Ford dari Eropah.

    Dengan keputusan ini, jentera Citroen C3 WRC yang sepatutnya digunakan sehingga akhir musim 2020 hanya sempat digunakan selama dua musim. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara ini, CEO Citroen Linda Jackson berterima kasih kepada pasukan Citroen Racing untuk ‘kesungguhan dan komitmen’ yang telah dicurahkan mereka.

    “Sebahagian dari DNA Citroen adalah berhubung rapat dengan rali dan kita berbangga sebagai antara jenama yang paling banyak menempa nama dalam sejarah WRC dengan 102 kemenangan dan lapan kali dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar,” katanya.

    Walaupun pasukan utama sudah tidak bertanding, Citroen masih terlibat dalam program perlumbaan pelanggan dalam sukan rali, menerusi jentera C3 R5 yang dibekalkan kepada pasukan-pasukan persendirian.

    Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

    “Terhasil dari pengalaman dan kompetensi pasukan PSA Motorsport, aktiviti perlumbaan pelanggan Citroen akan diperkasa pada 2020, dengan sokongan dan komitmen yang diperkuat kearah C3 R5 pelanggan di seluruh dunia,” jelas Jackson.

    Beliau turut menambah bahawa dengan pengunduran dari WRC ini membolehkan Citroen memperkuatkan fokus mereka terhadap strategi jenama, dengan pelancaran kereta-kereta berteknologi elektrik generasi baharu untuk tahun 2020.

    Langkah ini juga menyaksikan dua pemandu mereka, Ogier dan Esapekka Lappi bebas dari sebarang kontrak dan bebas untuk menerima tawaran dari mana-mana pasukan. Untuk Ogier, ini kali kedua pasukan yang sedang disertainya menarik diri dari WRC – kali pertama apabila Volkswagen membuat perkara yang sama pada penghujung musim 2016.

    Cuma bezanya, karier Ogier berada dipuncak ketika bersama VW dengan rekod juara empat-tahun berturut-turut dipegang waktu itu. Namun ketika bersama Citroen, pelbagai masalah dihadapi menyebabkan kejuaraan yang dipegang selama enam-tahun berturut-turut kini telah dirampas oleh Ott Tanak dari pasukan Toyota Gazoo Racing, dan Ogier terperosok di tempat ketiga tahun ini.

    Ada laporan juga yang menyebut antara faktor Citroen menarik diri dari WRC adalah kerana Ogier merancang untuk menamatkan kontraknya lebih awal, dan mereka tidak mempunyai pemandu utama yang boleh menjanjikan kejuaraan untuk musim hadapan.

    “Apabila mereka kata tiada lagi pemandu lain yang ada, pada saat ini, saya rasa tidak dihormati untuk rakan sepasukan lain dalam sukan ini,” kata Ogier kepada portal Autosport dan menyifatkan komunikasi sentiasa menjadi masalah dalam pasukan Citroen.

    Autosport turut bertanya kenapa Ogier membuat keputusan untuk meninggalkan Citroen lebih awal, jawapan pelumba Perancis itu:”Satu dari perkara utama yang mendorong kepada keputusan ini adalah perkembangan rentak pembangunan kereta dan kelajuan kereta berkenaan, adalah tidak cukup”.

    “Tahun ini juga, kami tidak dapat bersetuju bahawa pembangunan yang di bawa tidak cukup dan prestasi kami adalah di bawah berbanding pesaing lain dan ini bukan hanya saya yang cakap – semua orang yang memandu kereta ini, saya rasa, akan rasa benda yang sama.”

    Turut dilaporkan, Ogier akan berpindah ke pasukan Toyota untuk musim hadapan untuk mengisi tempat yang dikosongkan oleh Ott Tanak setelah pemandu dari Estonia tersebut mengesahkan kontraknya bersama pasukan Hyundai selama dua-tahun bermula musim hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026