Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Triton Athlete 2019 diperkenalkan di Thailand – rupa lebih agresif, bermula RM158k

    Mitsubishi Triton Athlete 2019 diperkenalkan di Thailand – rupa lebih agresif, bermula RM158k

    Mitsubishi secara rasmi telah memperkenalkan trak pikap Triton Athlete 2019 untuk pasaran Thailand sebagai bukan sahaja model paling sporty, malah ia adalah varian tertinggi untuk pasaran berkenaan. Seperti model Athlete terdahulu, versi dengan muka Dynamic Shield ini turut menampilkan ciri-ciri yang direka unik hanya untuknya.

    Bermula pada bahagian luar, Triton Athelete ini tampil lebih garang dengan kemasan-kemasan perak dan krom seperti pada gril, bampar dan skid plate semuanya digantikan dengan kemasan berwarna hitam berkilat. Muka varian ini juga diberikan perkataan ‘Mitsubishi’ yang dicetak kedalam ada kemasan di bawah logo ‘Tiga Berlian’ hadapan.

    Bukan sahaja pada muka, malah Triton Athlete turut mendapat kemasan berwarna hitam pada running board, pelekat badan sisi istimewa, penutup cermin sisi, bumbung, sports bar, bampar belakang dan juga rim. Hanya tiga warna ditawarkan untuk model ini iaitu Sunflare Orange, White Diamond dan Jet Black Mica (model berwarna hitam ini hadir dengan pelekat badan kelabu).

    Mitsubishi Triton Athlete 2019 diperkenalkan di Thailand – rupa lebih agresif, bermula RM158k

    Kelengkapan luaran lain, model Athlete ini dilihat hampir sama dengan Triton Adventure X pasaran Malaysia iaitu lampu hadapan projektor bi-LED bersama lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik dan rim 18-inci dengan tayar 265/60R18.

    Pada bahagian kabin pula, Triton Athlete diberikan upholsteri kulit berwarna perang-hitam bersama sulaman ‘Athlete’ pada perehat badan. Balutan-balutan kulit pada panel pintu dan roda stereng pelbagai fungsi pula menerima jahitan kontras dengan benang oren.

    Lagi sekali, kelengkapan dalaman Triton Athlete ini adalah hampir sama dengan Adventure X, diberikan suis penghidup enjin, panel meter berkontras tinggi bersama paparan pelbagai info berwarna, slot penyimpan telefon pintar dan port usb di belakang bersama liang penghawa dingin yang mengitar semula udara dari kabin hadapan menggunakan kipas blower sendiri, dan boleh dikawal dengan empat-kelajuan berbeza.

    Mitsubishi Triton Athlete 2019 diperkenalkan di Thailand – rupa lebih agresif, bermula RM158k

    Ia juga diberikan amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa serta skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara dan sokongan Apple CarPlay bersama Android Auto.

    Unit janakuasa juga tidak berubah di mana ia masih ditawarkan dengan enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD.

    Untuk sistem keselamatan pula, Triton Athlete masih kekal diberikan antara sistem termaju dalam kelasnya iaitu tujuh beg udara SRS, Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS).

    Mitsubishi Triton Athelete pasaran Thai ini juga hadir dengan dua versi iaitu Double Cab 4WD Athlete 6AT dijual pada harga 1,146,000 baht (RM158k) dan Double Cab Plus Athlete 6AT berharga 1,035,000 baht (RM143k). Model yang paling mahal tersebut menerima ciri tambahan seperti pendingin hawa dua-zon, pedal penukar gear, sistem navigasi, enam pembesar suara (berbanding empat), kawalan menurun bukit (HDC) dan juga butang mod pemanduan off-road.

     
     
  • LRT Bukit Jalil, tiga laluan bas Rapid KL dilanjutkan perkhidmatan sehingga jam 1 pagi pada 20 Nov ini

    LRT Bukit Jalil, tiga laluan bas Rapid KL dilanjutkan perkhidmatan sehingga jam 1 pagi pada 20 Nov ini

    Sempena perlawanan bola sepak di antara pasukan Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada malam ini (19 Nov) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit akan melanjutkan waktu perkhidmatan di Stesen LRT Bukit Jalil sehingga jam 1.00 pagi pada 20 Nov 2019.

    Manakala Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

    Bukan itu sahaja, tiga laluan bas Rapid KL akan dilanjutkan perkhidmatan di mana bas terakhir akan berlepas pada jam 1 pagi. Laluan yang dilanjutkan adalah 652 Stesen LRT Awan Besar Bt 3 Jln Klang Lama, T580 Stesen LRT Awan Besar TPM via Stesen LRT Bukit Jalil dan T582 Stesen LRT Awan Besar LRT Salak Selatan menerusi Bukit Jalil.

    Untuk mengelak dari kesesakan di jalanraya, Rapid KL menyarankan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke stadium pada hari tersebut, serta menggunakan kad Touch ‘N Go atau beli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan yang lebih lancar. Para pengguna perkhidmatan awam pada malam ini juga dinasihatkan untuk menjaga keselamatan masing-masing, dan sila berhubung dengan petugas stesen sekiranya memerlukan bantuan.

    Walau bagaimanapun, bagi yang ingin memandu pada malam perlawanan itu nanti, mereka boleh meletakkan kenderaan mereka di stesen-stesen LRT berdekatan dengan stadium yang menyediakan perkhidmatan parkir, antaranya Stesen LRT Muhibbah, Stesen LRT Awan Besar serta Stesen LRT Sri Petaling.

     
     
  • ‘Kereta terbang’ akan buat ujian pertama Khamis ini

    ‘Kereta terbang’ akan buat ujian pertama Khamis ini

    Dalam diam-diam, rupanya projek “kereta terbang” yang pernah diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof sebelum ini khabarnya akan melakukan sesi pandu uji (atau “penerbangan cubaan”) yang pertama Khamis ini.

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh menteri terbabit ketika menjawab satu soalan daripada YB Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar, BN) di Dewan Rakyat semalam, seperti dilaporkan oleh Berita Harian. Menurut Redzuan, ujian itu akan diadakan di Subang Khamis ini dan beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang untuk menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan.

    ‘Kereta terbang’ akan buat ujian pertama Khamis ini

    Kereta terbang dikenali sebagai ‘Vector’ itu adalah dron yang dikuasakan oleh empat motor menggunakan bateri litium-ion dan boleh menampung beban antara 150 hingga 200 kilogram dan boleh memuatkan dua orang penumpang. Model skalanya pertama kali membuat kemunculan di LIMA 2019 di Langkawi, pada bulan Mac lalu.

    Redzuan juga berkata, beliau sendiri akan menaiki “kereta terbang” itu ketika sesi ujian berkenaan berlangsung. Semoga selamat semuanya. Ramai yang teruja untuk melihat perkembangan projek “kereta terbang” ini?

     
     
  • JCB Fastrac Two – Traktor terpantas di dunia, 247.5 km/j dengan enjin diesel 7.2 liter, 1,000 hp/ 2,500 Nm!

    Pembuat jentera berat dari British, JCB telah mencatatkan rekod dunia baharu; traktor yang digelar sebagai JCB Fastrac Two binaan mereka telah disahkan sebagai traktor paling laju di dunia oleh pihak Buku Rekod Dunia Guinness setelah berjaya mencatatkan kelajuan purata 135.91 batu sejam atau 218.7 km/j!

    Rekod tersebut dilakukan di Lapangan Terbang Elvington, York yang terletak di England, dengan JCB Fastrac Two tersebut dipandu oleh pelumba yang juga pengacara TV, Guy Martin. Pihak Guinness mensyaratkan rekod ini mengambil kelajuan purata dari dua percubaan pada satu laluan lurus (pergi dan balik), dan dalam salah satu percubaan berkenaan, traktor berkenaan berjaya mencatatkan kelajuan maksima 153.771 batu sejam atau 247.5 km/j!

    Fastrac Two ini sebenarnya telah memecah rekod JCB sendiri iaitu JCB Fastrac yang mencatatkan kelajuan maksima 103.6 batu sejam (166.7 km/j) di tempat yang sama Jun lalu. Traktor berkenaan dijana oleh enjin diesel enam-silinder 7.2 liter yang menghasilkan 1,000 hp dan tork maksima 2,500 Nm!

    JCB Fastrac Two – Traktor terpantas di dunia, 247.5 km/j dengan enjin diesel 7.2 liter, 1,000 hp/ 2,500 Nm!

    Kotak gear CVT automatik yang biasa digunakan oleh JCB dalam traktor produksi mereka telah digantikan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dari ZF yang biasa digunakan pada lori. Kemudian, badannya diringankan lagi bersama elemen aerodinamik yang mendapat sentuhan dari Williams Advanced Engineering, iaitu entiti yang sama disebalik pasukan F1 Williams.

    JCB Fastrac Two ini adalah kesinambungan dari Fastrac asal. Bagi mendapatkan kelajuan seperti yang dicatatkan kali ini, Fastrac Two direka dengan ciri aerodinamik yang lebih baik, dan ia kini 10% lebih ringan dari sebelumnya.

     
     
  • Volkswagen akan lancar 75 EV, 60 hibrid menjelang 2029 – RM276b dibelanjakan dalam tempoh 5 tahun

    Volkswagen akan lancar 75 EV, 60 hibrid menjelang 2029 – RM276b dibelanjakan dalam tempoh 5 tahun

    Volkswagen Group mahu mengatur langkah yang lebih besar di masa hadapan dengan merancang untuk melabur sejumlah €60 billion (RM275.7 bilion) dalam mobiliti elektrik, hibridisasi dan digitalisasi menjelang lima tahun akan datang bermula tahun 2024.

    Perkara ini diumumkan dalaman mesyuarat lembaga pengarah syarikat konglomerat ini pada minggu lepas, berbeza dengan apa yang dirancangkan pada tahun lalu iaitu pelaburan hanya sejumlah €33 billion (RM151.7 bilion) untuk digunakan dalam mobiliti elektrik sahaja.

    Namun pengeluar kenderaan Jerman ini telah mengambil keputusan untuk memperkenalkan 75 model kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2029, bersama dengan 60 model kenderaan hibrid. Ini bermakna dianggarkan sebanyak lapan model EV dan enam model hibrid bakal diperkenalkan setiap tahun.

    Volkswagen akan lancar 75 EV, 60 hibrid menjelang 2029 – RM276b dibelanjakan dalam tempoh 5 tahun

    Perancangan ini dibuat untuk menjual 26 juta EV termasuk enam juta hibrid sepanjang tempoh tersebut. Daripada angka 26 juta, sekitar 20 juta pula bakal dibangunkan dengan Modular Electric Drive Matrix (MEB) baharu, yang merupakan model elektrik secara komersil syarikat ini, termasuk ID.3. Manakala enam juta lagi akan menggunakan High Performance Platform (PPE) seperti Porsche Taycan.

    Volkswagen juga telah mengesahkan SUV bersaiz kecil yang dinamakan sebagai ID.4, telah bersedia untuk dipertontonkan tahun ini di Frankfurt Motor Show, dan dijangka akan memulakan produksi di kilang pemasangan Emden di Jerman pada tahun 2022.

     
     
  • Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan livery terkini – bakal berentap di S1K 2019

    Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan livery terkini – bakal berentap di S1K 2019

    Hari ini, Proton menerusi divisi sukan permotoran Proton R3, telah memperkenalkan livery jentera lumba terbaharunya yang bakal menunjukkan taring dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini. Jika sebelum ini, model Saga, Iriz dan Suprima S yang menjadi pilihan untuk ditransformasikan sebagai jentera lumba pasukan Proton R3, untuk musim S1K kali ini, jentera Suprima S ‘direhatkan’ dan tugas tersebut diambil alih oleh Saga baharu. Ini bermakna, dua model Saga dan satu Iriz bakal dikemudi oleh barisan pelumba hadalan Proton R3 dalam S1K 2019.

    Menurut Gary Lee selaku team principal bagi pasukan Proton R3, jentera Saga dengan livery atau rekaan grafik badan baharu ini akan dikendalikan oleh pelumba Admi Shahrul yang bergilir-gilir memandunya bersama Syafiq Ali. Sementara jentera Iriz R3 sedia ada pula akan dikendalikan oleh Fariqe Hairuman dan Mitchell Cheah.

    Manakala Saga R3 sedia ada pula bakal dikendalikan oleh pasukan pelumba wanita Proton R3, yang turut diperkenalkan hari ini iaitu Nurul Husna Nasharuddin, Leona Chin dan juga Faye Kusairi.

    Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan livery terkini – bakal berentap di S1K 2019

    Bagi jentera Saga dengan livery baharu, rekaan tersebut telah disempurnakan oleh Azham Zainol yang memenangi tempat pertama dalam peraduan “Proton Design for Speed” yang dianjurkan oleh Proton pada Ogos lalu. Bukan sahaja rekaan livery tersebut menjadi penghias luaran badan jentera lumba Saga baharu ini, Azham turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000. Selain itu, beliau bersama pemenang di tempat kedua iaitu Xhan Wen Bin dan Muhammad Hafiz Sakarani yang memenangi tempat ketiga juga bakal menerima pas VIP ke Paddock Proton R3 pada perlumbaan tersebut, dan majlis penyampaian hadiah turut akan diadakan pada 23 November ini di SIC.

    Walau pun dengan livery baharu, jentera lumba Saga tersebut masih menerima penjana kuasa dan talaan yang sama seperti mana dua jentera lumba yang lain. Menurut regulasi kategori MTC, jentera yang bertanding perlulah dibina dari kereta produksi empat tempat duduk, menggunakan enjin asal tetapi boleh diubahsuai, dengan kapasiti 1,401 cc hingga 1,600 cc, tanpa pengecas turbo.

    Menurut Gary, untuk veris perlumbaan, sama seperti jentera lumba Proton R3 yang lain, Saga ini juga masih menggunakan enjin yang sama iaitu enjin S4PH Twin Cam 16 injap Proton dengan spesifikasi 1.6 liter NA. Walau bagaimana pun, untuk menyesuaipadankan dengan prestasinya bagi menggempur litar lumba, enjin berkenaan telah dirombak semula mengikut citarasa dan kepakaran Proton R3, namun ia tidak dapat didedahkan sepenuhnya. Rahsia katanya.


    Namun demikian, ukuran silinder bagi enjin masih dikekalkan dimensinya dengan 76 mm bagi bore dan 88 mm untuk stroke. Selain itu, sistem ekzos, sistem kemasukan udara spesifikasi bagi aci sesondol, aci engkol telah diubahsuai. Kalau dilihat di dalam kokpit, terdapat sistem pengurusan enjin Motec M800 bersama sistem Data Logger ADL Dash 2.

    Menurut Gary, kos untuk mengubahsuai enjin ini dianggarkan sekitar RM60,000 (tambah lagi RM60k untuk ubah suai bahagian transmisi), dan ‘jantung’ jentera lumba ini boleh menghasilkan kuasa lebih kurang 200 hp. Gary turut berkata, bukan mudah untuk mengekstrak kuasa tambahan dari enjin standard tanpa ‘mengusik’ kapasiti silinder dan menggunakan pengecas turbo. Justeru, pasukannya harus memerah kepala dan tenaga dalam mengolah enjin standard tersebut bagi menyesuaikannya dengan pelumbaan, dan hasilnya jumlah kuasa yang boleh dicapai adalah hampir sekali ganda berbanding model standard.

    Bukan setakat itu sahaja, enjin yang diubahsuai perlu ‘dicipta’ agar mampu bertahan lama. Dalam perlumbaan S1K misalnya, kesemua kereta tersebut dihenyak dengan putaran setinggi 7,000 hingga 8,000 rpm dalam perlumbaan sejauh sekitar 1,000 km. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan, lengkap bersama LSD 1.5 hala.

    Proton R3 tayang jentera lumba Saga baharu dengan rekaan livery terkini – bakal berentap di S1K 2019

    Kelengkapan lain yang turut dipadankan pada kerangka jentera lumba ini termasuk roda stereng dari Momo, tempat duduk perlumbaan Recaro TS-G lengkap dengan tali pinggang keledar 5-poin Beltnick bersama pedal box dari Willwood. Di belakang, tangki petrol asal ditukar kepada tangki perlumbaan 60 liter dari ATL yang turut hadir dengan sistem pengisian semula jenis Dry-Break.

    Ia juga masih menggunakan konfigurasi suspensi yang sama seperti model-model standard – topang McPherson pada bahagian hadapan, manakala di belakang sistem torsion beam. Ia juga harus mengikut undang-undang MTC yang menetapkan bahawa konfigurasi sistem tersebut perlu kekal sama dengan versi produksi sebenar.

    Namun penyerap hentak asal telah ditukar, menggunakan sistem Ohlins TTX dan geometri pada suspensi berkenaan boleh dilaras bagi disesuaikan dengan keadaan litar dan karekter yang dimahukan oleh pemandu.

    Untuk sistem brek pula, jentera lumba ini menggunakan sistem perlumbaan lengkap dari Alcon menampilkan cakera 294 mm bersama angkup empat-silinder di hadapan dan cakera 295 mm dengan angkup dua omboh di belakang. Ia turut dibina dengan sistem aliran udara untuk menyejukkannya, dan pemandu boleh melaras agihan kuasa membrek antara hadapan dan belakang hanya dari dalam kabin.

    Angkup dan cakera brek berkenaan berselindung di sebalik set rim asli Proton R3 dengan saiz 15-inci X 7jj. Ia dibalut dengan tayar yang diwajibkan oleh penganjur perlumbaan iaitu Yokohama Advan Neova AD08 bersaiz 195/50R15.

    Kalau diikutkan rekod yang pernah dicipta oleh pasukan Proton R3 sebelum ini, jentera Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman bergandingan dengan Syafiq Ali pernah menjuarai S1K 2018. Malah tahun sebelum itu, jentera Suprima S R3 bernombor 82 yang dipandu oleh Admi Shahrul dan James Veerapan turut menjadi juara S1K 2017.

    Jadi, adakah untuk S1K 2019 ini, kejayaan tersebut bakal berjangkit untuk pasukan Proton R3 kali ini? Dengan gandingan pelumba yang berbeza dan paling istimewa Proton R3 turut menghantar pasukan pelumba wanita untuk memberikan persaingan yang sengit buat pelumba lelaki yang lain. Tak sabar betul nak tunggu S1K 2019 hujung minggu ini!

     
     
  • Ford Mustang Mach-E didedahkan – SUV elektrik jana 439 hp/839 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, jarak 600 km

    Ford Mustang Mach-E didedahkan – SUV elektrik jana 439 hp/839 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, jarak 600 km

    Selepas buat ramai orang ternanti-nanti, Ford akhirnya mendedahkan SUV elektrik sepenuhnya dengan prestasi tinggi, Ford Mustang Mach-E. Walaupun menumpang nama Mustang – yang terkenal sebagai kereta prestasi dengan enjin petrol – Ford yakin bahawa model EV ini akan mampu menawarkan bukan sahaja gaya, tetapi sensasi prestasi pemanduan yang sama seperti model lagenda itu.

    Mach-E boleh didapati dengan sistem pacuan belakang ataupun semua roda, disumbangkan oleh penggunaan dua motor. Khabarnya, SUV ini mampu menawarkan paling kurang 254 hp dan 420 Nm tork dengan hanya satu motor serta bateri lithium-ion 75.7 kWh yang lebih kecil.

    Jika memilih kapasiti bateri yang lebih besar, 98.8 kWh, janaan kuasa akan melonjak kepada 281 hp. Ford memaklumkan jarak perjalanan menurut kiraan WLTP akan mencecah 600 km bagi varian ini. Kedua-dua model berkenaan akan memecut dari 0-100 km/j dengan masa di bawah lapan saat, sementara bagi varian AWD dengan bateri 75.7 kWh dan janaan 254 hp/565 Nm pula boleh mencapai kelajuan itu dalam masa sekitar enam saat – jika ini dibuktikan, maka ia akan dapat mengatasi kepantasan versi paling asas Porsche Macan.

    Ford Mustang Mach-E didedahkan – SUV elektrik jana 439 hp/839 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, jarak 600 km

    Bagi model dengan bateri 98.8 kWh pula, ia akan menjadi sebanyak 332 hp (lebih banyak dari Mustang EcoBoost). Dalam bentuknya dalam penawaran paling tinggi pula, bagi versi GT, Ford mensasarkan agar model ini mampu menawarkan kuasa sebanyak 439 hp dan 830 Nm.

    Dua varian GT akan ditawarkan. Paling asas, ia hadir dengan kemampuan pecutan 0-100 km/j dalam masa di bawah empat saat, menjadikannya lebih pantas daripada Porsche Macan Turbo. Turut ada ialah versi Performance Edition yang boleh memecut untuk kelajuan sama dalam masa sekitar 3.5 saat.

    Tersimpan di bawah lantai Mach-E ialah bateri sejukan cecair di dalam pelindung kedap dan kalis air, serta mampu menyerap hentakan ketika kemalangan. Stesen pengecas Ford Connected Charging akan menambah sekitar 62 km jarak untuk sejam mengecas (bagi model 98.9 kWh pacuan belakang) melalui soket domestik 250 volt. Pengecas mobil yang disertakan sekali pula akan menambah 14 km sejam melalui outlet kuasa yang sama.

    Ford Mustang Mach-E didedahkan – SUV elektrik jana 439 hp/839 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, jarak 600 km

    Ford memaklumkan, syarikat itu akan turut menawarkan beberapa piliha pengces dan menyediakan FordPass Charging Network kepada pemilik – dengan 12,500 stesen penecas di Amerika Syarikat. Di Eropah misalnya, Ford bekerjasama dengan NewMotion untuk memanfaatkan rangkaian 125,000 stesen pengecas sedia ada syarikat itu di 21 buah negara.

    Mach-E memiliki kadar puncak untuk pengecasan sebanyak 150 kW menggunakan kuasa DC, yang menurut Ford boleh memberikan 93 km jarak hanya dalam masa 10 minit mengecas. Sementara untuk mengecas versi standard 75.7 kWh pacuan belakang dari 10% ke 80% dalam masa kira-kira 38 minit.

    Untuk pemanduan, gandar hadapan dan belakang versi AWD mampu untuk dipacu secara bersendirian disebabkan penggunaan dua motor berasingan. Ini memberikan peningkatan dari sudut pecutan dan pengendalian. Ford juga telah membuat talaan agar sistem berkenaan meningkatkan cengkaman, dan telah menguji Mach-E dalam keadaan basah dan bersalji untuk tujuan itu.

    Tiga mode pemanduan disediakan, iaitu Whisper, Engage and Unbridled. Ini akan memberikan maklumbalas prestasi, stereng dan paparan instrumen yang berbeza bagi setiap satu pilihan. Untuk pilihan prestasi, angkup brek aluminium Flexira Brembo ada ditawarkan. Model GT juga dilengkapi dengan penyerap hentak MagneRide.

    Dari segi rekaan, walaupun Mach-E merupakan SUV, ia tetap meminjam beberapa sentuhan dari model coupe dan convertible Ford. Antaranya gril Mustang yang luas (walaupun tanpa bukaan udara), serta lampu utama yang kurus dengan DRL tiga jalur. Bahagian bonet juga jelas memiliki pengaruh Mustang.

    Di dalam, papan pemuka lebih ringkas – dengan corong pendingin udara yang lebar. Sebuah kawalan adalah melalui skrin sentuh menegak 15.5-inci yang menggunakan antaramuka sistem infotainmen SYNC – siap dengan kawalan suara, Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem bunyi menggunakan pembesar suara Bang & Olufsen. Kapasiti ruang barangan ialah 402 liter dan boleh ditambah sehingga 1,420 liter dengan melipat tempat duduk.

     
     
  • Polis ambil tindakan terhadap pemilik yang pinjamkan kenderaan kepada warga asing tanpa lesen memandu

    Polis ambil tindakan terhadap pemilik yang pinjamkan kenderaan kepada warga asing tanpa lesen memandu

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran tegas terhadap pemilik kenderaan yang meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah sehingga menyebabkan kemalangan.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata pemilik kenderaan berdepan beberapa tindakan termasuk ditahan dan digantung lesen memandu serta akan dikenakan hukuman lebih berat sekiranya kenderaan milik mereka terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa.

    “Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa kes kemalangan membabitkan pemandu warga asing meminjam kenderaan penduduk tempatan sehingga melibatkan kematian pengguna jalan raya lain. Saya nak beri amaran tegas kepada pemilik kenderaan, mereka perlu bertanggungjawab sekiranya kenderaan mereka yang dipandu terlibat dengan kemalangan serta jangan sesekali meminjamkan atau membenarkan warga asing tanpa lesen sah memandu kenderaan anda.

    “Sekiranya terlibat dengan kemalangan, pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan tegas seperti ditahan atau digantung lesen memandu. Selain itu, pemandu juga boleh didakwa mengikut kesalahan kanun jenayah iaitu dengan cuai mendatangkan kematian (jika sesuai). Kita memandang serius dengan kes-kes seperti ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Baru-baru ini, di Pulau Pinang, terdapat dua kes kemalangan berasingan yang melibatkan seorang mangsa meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah selepas dilanggar oleh dua warga asing, masing-masing dari China dan Vietnam. Mangsa yang meninggal dunia dipercayai telah dirempuh kereta dipandu seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk. Manakala seorang lelaki tempatan yang cedera parah pula dilanggar oleh warga Vietnam ketika mangsa yang juga pemandu lori sampah syarikat pembersihan sedang mencuci bahagian belakang kenderaan itu yang diparkir di bahu jalan.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2019 buat kemunculan sulung di Thailand – muka lebih garang

    Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2019 buat kemunculan sulung di Thailand – muka lebih garang

    Akhirnya, Mitsubishi telah mendedahkan versi facelift kembar hatchback dan sedan segmen-A mereka – Mirage dan Atrrage – secara rasmi di Thailand. Setelah pelancaran rasminya ini, kedua-dua model ini bakal dipertontonkan di Thailand International Motor Expo 2019 bermula 28 November nanti.

    Mirage generasi keenam ini bukanlah model baharu dalam pasaran. Model ini mula muncul pada tahun 2011, kemudian diberikan fasa facelift buat kali pertama pada tahun 2015. Facelift kali kedua ini pula menampilkan muka yang menerima elemen rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi yang lebih agresif.

    Jika sebelum ini Mirage dan Attrage tampil dengan muka sedikit berbeza antara satu sama lain, kali ini kedua-duanya diberikan muka seiras. Walau bagaimanapun, dengan rekaan asas hadir sekitar lapan tahun dahulu, kedua-dua model tersebut tidak tampil dengan muka yang tajam dan nipis seperti MPV/SUV Mitsubishi Xpander atau SUV segmen-B Eclipse Cross.

    Ia lebih mirip kepada sedan yang hanya dijual di China dan Taiwan iaitu Grand Lancer, dengan lampu hadapan LED kombinasi pelbagai mentol lebih tebal. Tetapi kemasan krom berbentuk ‘X’ pada muka dan juga gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah menzahirkan DNA rekaan signatur berkenaan.

    Seperti juga satu lagi model lama yang diberikan facelift iaitu SUV segmen-B ASX, kluster lampu belakang Mirage dan Atrrage masih lagi sama tetapi menampilkan rekaan grafik LED yang berbeza.

    Mirage juga hadir dengan spoiler bumbung yang lebih besar serta bampar belakang lebih agresif bersama reflektor menegak dan juga sirip seakan diffuser di bahagian bawah. Attrage pula tidak diberikan spoiler tetapi bahagian bampar turut menerima rekaan reflektor dengan konsep sama, bersama diffuser lebih lebar.

    Juga tiada perubahan dilihat pada bahagian sisi kecuali set rim 15-inci dengan rekaan baharu – Attrage diberikan rim kemasan perak, manakala Mirage nampak lebih agresif dengan rim kemasan diamond cut dua-tona. Model yang disegarkan ini turut menampilkan tambahan warna baharu iaitu Sand Yellow untuk Mirage serta White Diamond untuk kedua-dua model sedan dan hatchback.

    Masuk ke kabin, sekali lagi tiada perubahan ketara dilihat pada rekaan. Tetapi bagi membolehkan kedua-dua model ini kekal relevan dalam pasaran, Mirage diberikan upholsteri gabungan fabrik dan kulit, manakala Attrage pula menerima balutan kulit sintetik. Tempat duduk kedua-dua model ini turut menerima paip jalur dan jahitan benang kontras pada bahagian sisi.

    Sistem hiburan juga dikemaskini dengan sistem Smartphone Display Audio (SDA), terdiri dari skrin sesentuh tujuh-inci yang menyokong fungsi Apple Carplay dan Android Auto. Perubahan lain yang diberikan termasuk penggunaan kemasan gentian karbon palsu pada penal instrumen dan panel suis tingkap, dan juga perehat tangan hadapan yang kini diberikan material sentuhan lembut.

    Walaupun ada model kereta Eco Thailand Fasa dua lain yang kini telah beralih kepada enjin 1.0 liter turbo seperti Nissan Almera generasi kedua, Mirage dan Attrage masih kekal dengan enjin sama – 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 78 hp/100 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2019 – imej muka Dynamic Shield bocor sebelum dilancarkan

    Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2019 – imej muka Dynamic Shield bocor sebelum dilancarkan

    Dua minggu lalu, Mitsubishi telah mengumumkan bahawa kembar segmen-A hatchback Mirage dan sedan Attrage versi facelift 2019 akan membuat kemunculan rasminya di Thailand pada hari ini. Tetapi sebelum majlis pelancarannya, imej kedua-dua model tersebut telah pun bocor di internet.

    Kesemua gambar ini telah disiarkan oleh portal automotif Thailand iaitu headlightmag.com. Seperti teaser yang disiarkan sebelumnya, Mirage dan Attrage kini telah menerima muka signatur Dynamic Shield terbaru Mitsubishi. Jika sebelum ini Mirage dan Attrage tampil dengan muka sedikit berbeza antara satu sama lain, kali ini kedua-duanya diberikan muka seiras.

    Namun muka pasangan ini menerima lampu hadapan yang tidak direka senipis muka-muka Dynamic Shield pada model-model lain seperti trak pikap Triton dan juga MPV/SUV Xpander. Tetapi kemasan krom berbentuk ‘X’ pada muka dan juga gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah menzahirkan DNA rekaan signatur berkenaan.

    Seperti juga satu lagi model lama yang diberikan facelift iaitu SUV segmen-B ASX, kluster lampu belakang Mirage dan Atrrage masih lagi sama tetapi menampilkan rekaan grafik LED yang berbeza.

    Mirage juga hadir dengan spoiler bumbung yang lebih besar serta bampar belakang lebih agresif bersama reflektor menegak dan juga sirip seakan diffuser di bahagian bawah. Attrage pula tidak diberikan spoiler tetapi bahagian bampar turut menerima rekaan reflektor dengan konsep sama, bersama diffuser lebih lebar.

    Mitsubishi Mirage dan Attrage facelift 2019 – imej muka Dynamic Shield bocor sebelum dilancarkan

    Mitsubishi Mirage generasi ke enam ini bukanlah baharu dalam pasaran. Ia telahpun diperkenalkan sejak tahun 2011, dan telah menerima facelift kali pertama pada tahun 2015. Mirage dan Attrage dikelaskan sebagai Kereta Eco Fasa 2 di Thailand, dan model baharu ini dijangka masih dijana oleh enjin 1.2 liter tiga-silinder yang sama, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan.

    Undang-undang untuk Kereta Eco Fasa 2 ini mensyaratkan kereta berkenaan perlu beroperasi dengan menghasilkan emisi CO2 tidak melebihi 100 g/km dengan ekonomi bahan api sekurang-kurangnya 23.25 km/l, serta kesemua varian perlu dilengkapi ABS/EBD/BA/VSA secara standard.

    Kemaskini: Mitsubishi Mirage dan Attrage sudah didedahkan secara rasmi di Thailand dan perinciannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Malaysia perkenalkan enam lagi kemudahan ‘Body & Paint’, jumlah keseluruhan 28 pusat ketika ini

    Honda Malaysia perkenalkan enam lagi kemudahan ‘Body & Paint’, jumlah keseluruhan 28 pusat ketika ini

    Honda Malaysia terus menambahbaik khidmat lepas jualannya untuk pelanggan di Malaysia dengan membuka enam lagi kemudahan pusat badan dan cat kenderaan (Body & Paint, BP) baru tahun ini. “Honda Malaysia komited untuk menyediakan khidmat lepas jualan yang lebih baik untuk keselesaan pelanggan dengan menambah bilangan pusat BP berkenaan.

    “Sehingga hari ini, kami memiliki 28 pusat BP yang beroperasi. Kami percaya dengan penambahan pusat berkenaan, ia dapat membantu Honda Malayasia untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi serta menawarkan khidmat lepas jualan yang berkualiti kepada pelanggan. Misalnya dengan tenaga kerja mahir dan persekitaran yang kondusif untuk tujuan itu,” ujar CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    “Selain itu, Produk-produk berkualiti juga akan digunakan di pusat-pusat berkaitan. Sebagai contoh, waterborne paint, sebuah produk mesra alam serta penggunaan alat ganti tulen Honda yang diiktiraf oleh Honda Motor Corporation. Kami juga berkerja dengan lebih rapat bersama pengedar untuk memberikan pengalaman terbaik dari sudut khidmat lepas jualan,” tambah beliau.

    Pusat-pusat BP menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam bentuk pemeriksaan kenderaan, baik pulih kenderaan yang kemalangan, mengecat, pemeriksaan kualiti selepas penyelenggaraan dan servis-servis lain, termasuk penyediakan dokumen terlibat untuk tuntutan insurans.

    Prestasi jualan Honda Malaysia juga menunjukkan peningkatan di dalam penerimaan bagi khidmat lepas jualan. Setakat Oktober 2019, sebanyak 36,000 kes diterima di semua pusat BP berkenaan, menjadikannya 40% lebih banyak bagi tempoh sama tahun lalu. Senarai pusat-pusat BP Honda Malaysia adalah seperti berikut:

     
     
  • Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

    Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

    Anda perasan tak jika kita memandu pada awal pagi atau ketika waktu malam, enjin kereta anda akan terasa lebih berkuasa dan memberikan respon yang lebih baik? Adakah ini hanya perasaan, atau ia sememangya terjadi? Jawapannya, ya memang pada waktu-waktu seperti itu, enjin kereta anda menghasilkan sedikit lebih berkuasa dari biasa. Tapi, apa penjelasan teknikal berkenaan hal ini?

    Sebelum saya terangkan kenapa perkara ini terjadi, ingat lagi teori bagaimana enjin berfungsi dalam artikel bertajuk “Kenapa keluar wap atau air menitik dari tip ekzos?” sebelum ini? Kalau tak ingat, mari saya ulang kembali teori berkenaan.

    Enjin berfungsi kerana berlakunya letupan pada kebuk pembakaran yang akan menyebabkan pergerakan turun-naik omboh (piston) untuk memusingkan aci engkol (crankshaft), kemudian kuasa putaran berkenaan dipindahkan ke kotak gear dan akhir sekali ke roda untuk menggerakkan kereta.

    Kenapa enjin rasa lebih ‘power’ bila dipandu pada waktu malam, awal pagi atau ketika cuaca sejuk?

    Untuk mendapat letupan berkenaan, tiga unsur diperlukan iaitu udara, bahan api (dalam konteks kali ini, khusus kita perkatakan tentang petrol), dan juga percikan api dari palam pencucuh (spark plug). Petrol tidak boleh meletup sendiri jika tidak ada dua lagi unsur lain, dan unsur utama yang diperlukan oleh petrol dari udara untuk meletup adalah oksigen – lebih banyak oksigen, lebih kuat letupan yang dihasilkan.

    Secara teori lagi, ketika suhu rendah kadar oksigen dalam udara adalah tinggi; inilah sebab mengapa enjin anda akan terasa lebih bertenaga ketika memandu pada malam, awal pagi dan ketika cuaca sejuk. Sebenarnya bukan hanya lebih ‘power’, kadar penggunaan bahan api juga adalah lebih cekap dan ekonomi jika anda memandu pada waktu-waktu sebegini.

    Dengan teori ini jugalah mengapa enjin-enjin yang dibekalkan dengan pengecas turbo diberikan unit intercooler. Dengan intercooler, udara yang disedut dari pengecas turbo dapat disejukkan terlebih dahulu bagi menambah kandungan oksigen dalam udara sebelum ia masuk ke kebuk pembakaran.

    Malah ada jentera lumba – kereta-kereta perlumbaan drag biasanya – menggantikan unit intercooler berkenaan dengan ais kering bagi mendapatkan udara yang jauh lebih sejuk. Bagi enjin-enjin tanpa pengecas turbo pula, banyak kit-kit ‘cold air intake‘ dihasilkan oleh pembuat-pembuat barangan aftermarket berprestasi tinggi dan dijual dalam pasaran.

    Kit berkenaan biasanya akan datang dengan penuras udara berprestasi tinggi bersama kotak angin khas berfungsi sebagai pelindung haba bagi mengelakkan udara panas dalam ruang enjin berada sekitar penuras udara tersebut. Ada juga kit tersebut yang datang sekali dengan saluran udara dengan ‘mulut’ yang diletakkan pada bampar atau gril hadapan.

    Selain dari faktor kadar oksigen yang lebih tinggi ini, satu lagi faktor mengapa anda rasa enjin lebih berkuasa ketika sejuk adalah kerana sistem penghawa dingin. Ini kerana ketika dalam keadaan suhu lebih rendah, suhu kabin yang anda laras akan lebih cepat dicapai oleh sistem penghawa dingin, dan ketika itu pemampat akan dimatikan dengan cara klac magnetik diputuskan dari memutarkan pemampat berkenaan dengan lebih kerap.

    Dengan pulley yang berputar tanpa memusingkan sekali pemampat, enjin ada akan berfungsi tanpa beban seolah-olah sistem penghawa dingin berkenaan matikan, sekaligus ‘melepaskan’ sedikit kuasa kuda yang sebelum itu digunakan untuk memutarkan pemampat penghawa dingin tersebut dan memberikan kuasa tambahan pada roda.

    Sekarang jelas kenapa anda rasa enjin anda rasa lebih ‘sedap’ dipandu ketika waktu sejuk? Tapi sehingga kini, penulis masih lagi belum tahu apa penjelasan kenapa enjin rasa lebih power lepas kita basuh kereta.

     
     
  • VIDEO: Kawasaki Z H2 dan Ninja ZX-25R di TMS 2019

    Sewaktu Tokyo Motor Show 2019, pengeluar motosikal tidak begitu meriah dengan pengenalan model baru, kecuali Kawasaki yang menunjukkan kepada dunia buat pertama kali secara langsung dua model hebat Z H2 dan juga Ninja ZX-25R.

    Z H2 adalah sebuah motosikal naked yang dikuasakan enjin empat silinder supercharge sama seperti Ninja H2, dengan kuasa 200 PS pada 11,000 rpm, dan tork yang lebih tinggi iaitu 137 Nm pada 8,500 rpm, berbanding Ninja H2 yang mencatat 133.5 Nm pada 10,500 rpm. Melihatnya di depan mata anda akan dapat aura sama seperti Z1000 tetapi semestinya ia boleh memecut lebih pantas.

    Model Ninja ZX-25R yang diletakkan di sebelahnya menarik perhatian lebih ramai penunggang biasa. Ia adalah sebuah motosikal sports permulaan 250 cc, dengan gaya Ninja yang sudah biasa dilihat, tetapi menggunakan enjin empat silinder sebaris. Tetapan enjin seperti ini pernah digunakan oleh Kawasaki sebelum ini tetapi sudah ‘hilang’ agak lama.

    Saksikan video di atas dan kami ada tunjukkan sedikit apa yang boleh dilihat pada dua motosikal ini memandangkan ia diletakkan di atas pentas yang berpusing di kawasan pameran.

    GALERI: Kawasaki Z H2

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R

     
     
  • VIDEO: Honda Jazz 2020 di Tokyo Motor Show 2019

    Honda buat pertama kalinya menunjukkan kepada dunia Jazz 2020 semasa Tokyo Motor Show 2019. Ini adalah model generasi keempat bagi Jazz, dan melibatkan banyak perubahan terutamanya penampilan luar dan dalam. Kami juga berada di sana dan dalam video ini kami lakukan tinjauan awal terhadap lima varian yang ditampilkan.

    Jazz baru ini cuma akan memasuki pasaran Jepun pada bulan Februari 2020, sementara Honda Malaysia pula setakat ini masih tidak mahu mendedahkan bila ia akan tiba di Malaysia. Seperti biasa, kami jangkakan Malaysia cuma akan menerimanya selepas negara jiran seperti Thailand.

    Perincian teknikal Jazz baru ini juga masih belum didedah sepenuhnya, tetapi ia diberitahu mempunyai versi hibrid yang menggunakan sistem i-MMD baru dengan dua motor elektrik untuk menggantikan sistem i-DCD sebelum ini. Untuk padanan enjinnya, kami menjangkakan khidmat unit 1.5L i-VTEC yang sama.

    Saksikan video ini dan anda akan dapat melihat lebih jelas apa perubahan yang dilakukan pada Jazz baru generasi keempat ini.

    GALERI: Honda Jazz 2020 di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Harga minyak 16-22 November – RON97 naik 13 sen

    Harga minyak 16-22 November – RON97 naik 13 sen

    Naik minggu lepas, naik lagi tinggi untuk tempoh seminggu ke hadapan. Begitulah ceritanya dengan harga runcit terbaru untuk 16-22 November nanti. Selepas naik 1 sen minggu lalu, harga petrol RON 97 akan naik lagi 13 sen untuk minggu depan, menjadikan harga jualannya RM2.70 seliter.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Harga minyak 16-22 November – RON97 naik 13 sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah sebanyak RM2.40 seliter dan RM2.25 seliter. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.27 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.28 seliter.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 16 November 2019 sehingga 22 November 2019 adalah berjumlah RM120.58 juta.

     
     
  • Proton Iriz R5 – kenapa guna enjin 4B11T Evolution X?

    Proton Iriz R5 – kenapa guna enjin 4B11T Evolution X?

    Minggu lalu kami telah menyiarkan artikel berkenaan mengapa Mellors Elliot Motorsport (MEM) memilih Proton Iriz untuk projek R5 mereka, seperti apa yang diberitahu oleh pengasas dan prinsipal pasukan MEM sendiri iaitu Chris Mellors. Dan bagi yang dah baca, sudah tentu tidak sabar mahu mengetahui mengapa pula Iriz R5 berkenaan dijana oleh enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancar Evolution X yang dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bukan?

    Menurut Chris, FIA tidak mensyaratkan sesebuah kereta rali R5 itu dijana oleh enjin yang sama seperti model produksi. Malah kereta-kereta rali R5 dari pengeluar lain juga tidak menggunakan enjin yang sama dengan enjin pada model-model yang dijual di bilik pameran. Apa yang mustahak, ia perlulah mempunyai kapasiti maksima 1.6 liter dan menggunakan restrictor pada pengecas turbo yang sama untuk semua pasukan.

    Apa yang sesebuah pasukan itu perlukan adalah komponen asas sesebuah enjin iaitu blok dan juga kepala silinder. Secara teorinya, tiada masalah untuk MEM menghasilkan enjin Campro S4PH Proton dengan kuasa dan ketahanan yang sama dihasilkan enjin 4B11T yang digunakan sekarang kerana komponen-komponen dalaman enjin berkenaan seperti omboh, aci engkol, sleeve silinder dan sebagainya adalah dibuat sendiri oleh mereka menggunakan material gred perlumbaan.

    Proton Iriz R5 – kenapa guna enjin 4B11T Evolution X?

    Sebagai bukti, enjin Campro berkenaan telah dihasilkan dengan formula hampir sama oleh pasukan Proton R3 di Malaysia bagi disumbatkan ke dalam badan Iriz, Saga dan Suprima S pasukan tersebut untuk perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000 km (S1K), yang bukan sahaja tahan, malah menghasilkan lebih dari 200 hp tanpa pengecas turbo dan masih mengekalkan dimensi omboh yang sama seperti model produksi sebenar.

    Namun atas berberapa masalah, mereka perlu menggunakan enjin Mitsubishi berkenaan. Pertama adalah kedudukan injap dan liang ekzos pada kepala silinder yang terletak pada bahagian hadapan. Jika enjin S4PH berkenaan digunakan, pengecas turbo juga terpaksa diletakkan pada bahagian hadapan.

    Ini akan menyebabkan mereka terpaksa membina sistem paip ekzos yang jauh lebih rumit dan panjang kerana ia perlu di bina merentasi kotak gear sebelum ke bahagian belakang – seperti yang anda tahu, jentera R5 tersebut mempunyai sistem pacuan semua roda yang dilengkapi transfer case untuk menghantar kuasa ke roda belakang, dan kotak gear tersebut adalah lebih besar dari biasa.

    Proton Iriz R5 – kenapa guna enjin 4B11T Evolution X?

    Ia akan bertambah rumit kerana kedudukan enjin kereta rali lazimnya perlu diserengkan 25 darjah kebelakang bagi mendapatkan pembahagian berat yang lebih baik.

    Dengan pengecas turbo diletakkan pada bahagian belakang pada enjin 4B11T tersebut, MEM dapat menghasilkan sistem ekzos yang jauh lebih ringkas, lebih pendek dan lebih ringan. Malah haba yang dihasilkan oleh pengecas turbo dapat dialirkan terus ke belakang tanpa perlu melalui enjin terlebih dahulu bagi memberikan suhu bekerja yang lebih stabil kepada enjin tersebut.

    Menurut Chris, bagi menurunkan kapasiti 2.0 liter pada enjin 4B11T kepada 1.6 liter, mereka menghasilkan sleeve silinder yang lebih kecil bagi memuatkan omboh yang lebih kecil. Dengan enjin 1.6 liter ini, ia bukan sahaja memenuhi syarat dalam undang-undang R5 FIA, malah turut boleh mengaitkannya dengan Iriz produksi yang sememangnya mempunyai model 1.6 liter dijual dalam pasaran.

    Sekarang jelas kenapa MEM menggunakan enjin Evo dan bukan Campro? Ok, persoalan seterusnya, adakah Proton di Malaysia terlibat dalam pembangunan Iriz R5 berkenaan? Ini akan kami jawab pada artikel seterusnya yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.


     
     
  • Ferrari Roma diperkenalkan – coupe dengan 620 PS

    Ferrari Roma diperkenalkan – coupe dengan 620 PS

    Sesuai dengan nama yang diberikan, model terbaru Ferrari Roma telah diperkenalkan di ibu kota Itali berkenaan – sebuah kereta dengan reka bentuk coupe yang menawan. Model ini juga menandakan peralihan penawaran Ferrari daripada model-model yang ada sebelum ini, dan menjadi sebuah model serta baru, bukan lanjutan atau versi lain bagi mana-mana model.

    Coupe yang menggunakan enjin V8 yang terletak di depan, dan Ferrari menyifatkan kereta ini sebagai “2+”; dua tempat duduk dengan sedikit baki ruang di belakang untuk meletak barang. Roma juga tampil dengan garis badan serta rekaan yang lebih mementingkan estetika, sedikit lari daripada perhatian terhadap sisi aerodinamik yang diberikan tumpuan pada model-model lain.

    Wajahnya bagaimanapun meminjam elemen daripada Monza SP1 dan SP2, dengan bahagian lampu utama dibahagikan oleh DRL melintang, mengapit rekaan gril yang besar. Garis bumbungnya juga kelihatan rendah, beralun dan bergaya yang boleh dilihat terus dilanjutkan ke belakang serta lengkung tayar. Rekaan belakangnya juga menggunakan lampu rekaan rata dan bukannya rekaan bulat. Imej “garang” bahagian belakang disudahi dengan rekaan diffuser besar dengan corong ekzos berkembar.

    Ferrari Roma diperkenalkan – coupe dengan 620 PS

    Sentuhan ringkas yang elegan diteruskan pada bahagian dalam; skrin sentuh di tengah dalam tataan menegak. Ini diikuti juga pada bahagian kawalan kedudukan gear dengan shifter manual. Roma dilengkapi dengan paparan panel instrumen digital bagi pemandu dan penumpang, serta stereng dengan bahagian yang sensitif terhadap sentuhan.

    Kuasa pula dijana oleh enjin F154 3.9 liter turbocas berkembar dari Portofino, dengan tambahan 20 PS menjadi 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan 760 Nm antara 3,000 dan 5,750 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lapan-kelajuan klac berkembar dari Stradale.

    Dengan berat kering 1,472 kg – 200 kg lebih ringan berbanding Portofino – Roma mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan laju 200 km/j yang boleh dicapai dalam masa 9.3 saat serta laju maksimum 320 km/j.

     
     
  • Triumph keluarkan teaser Tiger 800 Rally dan GT baru

    Triumph keluarkan teaser Tiger 800 Rally dan GT baru

    Setiap tahun, Triumph Motorcycles adalah antara pengeluar motosikal yang kerap memberikan pembaharuan kepada model mereka. Walaupun begitu, model adventure kelas pertengahan mereka yang berada di pasaran sekarang iaitu Tiger 800 sudah berusia hampir dua tahun.

    Masa untuk ia diberi peningkatan nampaknya sudah tiba kerana Triumph baru sahaja mengeluarkan satu teaser motosikal yang mereka panggil sebagai Tiger 900 Rally dan GT. Kami masih tidak pasti sama ada ini adalah satu varian tambahan bagi Tiger 800 sekarang ataupun model pengganti.

    Gambar yang dikeluarkan itu agak gelap, dan apa yang boleh dilihat, model ini mempunyai lampu LED yang lebih kecil serta perincian seperti kepak. Di bahagian tepi pula terdapat dua lampu LED tambahan sementara bahagian atas tangki juga kelihatan lain. Dalam teaser itu Triumph memberitahu model baru ini akan diperkenalkan pada 3 Disember ini.

    Model Tiger 800 yang berada di pasaran sekarang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 800 cc dengan kuasa 95 PS dan tork 79 Nm. Ia disediakan dalam beberapa pilihan varian termasuk XR, XRx, XRT, XC, XCx dan XCA. Kelengkapan di antara varian adalah berbeza dan ia boleh datang dengan fork dan monoshock WP yang boleh dilaras, Cruise Control, Traction Control, pilihan mod tunggangan, brek Brembo serta panel instrumen TFT.

    Melalui model baru ini, memandangkan namanya sudah ditukar kepada Tiger 900, kami menjangkakan peningkatan kuasa serta beberapa aspek lain yang menjadikan setanding atau mungkin lebih berbanding pesaing jenama lain.

     
     
  • Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Seperti yang kami laporkan minggu lalu, Nissan Almera generasi baharu kini sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dan Thailand merupakan pasaran pertama yang menerimanya. Di negara tersebut, Almera hadir dengan lima varian iaitu S, E, EL, V dan VL, namun kesemuanya diberikan enjin 1.0 liter turbo bagi membolehkannya diiktiraf sebagai Kereta Eco Thai Fasa kedua, serta menerima kelengkapan keselamatan yang agak maju.

    Model pasaran Thailand ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi pasaran Amerika Syarikat yang digelar Nissan Versa, didedahkan pada April lalu. Berbanding model sebelum ini yang kelihatan serba tak kena, model generasi kedua ini tampil jauh lebih kacak.

    Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Beralih ke sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Perbezaan rupa luaran antara Almera dan Versa di Amerika boleh dilihat pada bahagian belakang di mana model pasaran Thailand dalam varian tertinggi VL diberikan diffuser pada bampar dengan kemasan gentian karbon palsu bersama emblem ‘turbo’ yang dilekat pada penutup but.

    Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Untuk perbezaan rupa antara varian pula, model paling rendah S, E dan EL diberikan lampu hadapan halogen, manakala dua varian tertinggi V dan VL diberikan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi. Namun hanya model VL hadir standard dengan lampu kabus LED.

    Model S juga hanya diberikan rim besi 15-inci, manakala model E pula dibekalkan rim yang sama tetapi hadir dengan penutup plastik. Varian EL, V dan VL nampak lebih kemas dengan pemadanan rim aloi 15-inci.

    Masuk ke kabin, kesemua varian Almera Thailand diberikan roda stereng jenis rata di bawah dengan larasan jenis teleskopik. Model S dan E diberikan upholsteri tempat duduk fabrik manakala EL, V dan VL juga menerima balutan fabrik tetapi hadir dengan kemasan kelabu dan jalur beige.

    Bagi model S datang tanpa sistem hiburan (hanya kemasan plastik diletak di tengah papan pemuka), manakala E dan EL diberikan radio tanpa skrin dengan hubungan Bluetooth dan emapt pembesar suara. Ketiga-tiga varian paling rendah ini diberikan sistem pendingin hawa manual, paparan meter analog bersama paparan MID.

    Manakala untuk V dan VL diberikan sistem pendingin hawa automatik, sistem infotaimen Nissan Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama enam pembesar suara, balutan kulit berwarna beige merentangi papan pemuka serta paparan meter separa digital dengan skrin TFT Fine Vision bersaiz 7-inci.

    Seperti yang disebutkan tadi, kesemua varian diberikan unit janakuasa yang sama iaitu enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, yang menghasilkan kuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Tiada transmisi manual ditawarkan, di mana kesemua model diberikan kotak gear Xtronic CVT automatik dengan sistem D-Step Logic.

    Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Untuk sistem keselamatan pula, kesemua varian Almera Thailand didatangkan standard dengan dua-beg udara pada bahagian hadapan, brek ABS bersama sistem EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik (VDC), dan juga bantuan mula mendaki (HSA).

    Model EL, V dan VL pula diberikan sistem amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan brek kecemasan automatik pintar (IEB), manakala versi V dan VL ditambah dengan monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM) serta pengesan objek bergerak (MOD). Hanya model tertinggi VL diberikan tambahan beg udara sisi dan tirai (enam secara keseluruhan), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Untuk pasaran Thai, Almera ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Storm White, Black Star, Gun Metallic, dan Brilliant Silver. Ia dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM69,585) untuk varian paling rendah S hingga 639,000 baht (RM87,799) bagi versi tertinggi VL.

    Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

    Nissan Thailand juga menawarkan pelbagai aksesori yang dibahagikan kepada tiga pakej. Pertama adalah pakej Sport iaitu kemasan-kemasan luaran dengan elemen gentian karbon pada perumah lampu kabus hadapan, kemasan sisi bawah badan, kemasan merentangi penutup but belakang dan juga spoiler but ‘ekor itik’.

    Kedua adalah pakej Utiliti A menampilkan karpet kaki berkembar (dengan lapisan karpet getah di bawah) dan juga tray untuk meletak barang basah pada ruang kargo belakang. Yang terakhir adalah Utiliti B, membariskan peralatan seperti plat bendul pintu aloi, tip ekzos krom dengan tulisan ‘Nissan’, serta visor untuk kesemua kerangka tingkap pintu.

     
     
  • Jorge Lorenzo umum bersara dari perlumbaan MotoGP

    Jorge Lorenzo umum bersara dari perlumbaan MotoGP

    Bagi kebanyakan pelumba lain, perlumbaan MotoGP di Valencia adalah perlumbaan terakhir bagi mereka untuk musim ini, tapi bagi bekas juara dunia lima kali, Jorge Lorenzo, ia adalah yang terakhir dalam karier. Semalam beliau mengumumkan persaraan daripada perlumbaan motosikal premier itu namun tidak menyatakan perancangan seterusnya.

    Sebab utama Lorenzo membuat keputusan tersebut adalah kerana kecederaan dan kita sendiri boleh menyaksikan betapa susahnya beliau bergelut pada musim 2019 ini dengan masalah tersebut dan juga jentera RC213V Honda sebagai rakan sepasukan Marc Marquez.

    “Saya selalu fikir ada empat waktu yang penting dalam karier seorang pelumba. Waktu perlumbaan pertama, waktu kemenangan pertama, waktu kejuaraan pertama dan waktu mereka bersara. Seperti yang mungkin anda sudah boleh jangka, hari itu sudah tiba untuk saya. Saya mahu umumkan ini adalah perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP, dan selepas ini saya akan bersara dari perlumbaan profesional,” kata Lorenzo waktu sidang akhbar di Valencia.

    Jorge Lorenzo umum bersara dari perlumbaan MotoGP

    Keadaan waktu sidang akhbar agak emosional kerana di hadapan beliau adalah bukan sahaja para wartawan, tetapi juga keluarga MotoGP yang lain termasuk pelumba-pelumba. Beliau turut mengimbas kembali perjalanan dalam MotoGP ini, dengan sembilan tahun bersama Yamaha, kemudian beralih kepada Ducati dan seterusnya kepada Honda.

    “Selepas satu demi satu kemalangan, segalanya menjadi semakin sukar untuk saya, walaupun saya dah cuba untuk mengatasinya. Saya faham, sekiranya saya tak mampu bersaing untuk sesuatu yang besar, kejuaraan ataupun paling tidak satu kemenangan, saya tidak akan dapat mendapat motivasi untuk meneruskan kerjaya ini, terutamanya pada tahap ini. Saya perlu memberitahu saya rasa sangat bersimpati kepada Honda terutamanya Alberto yang telah memberi kepercayaan dan peluang kepada saya,” tambah Lorenzo.