Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • EICMA 2019: Triumph Bobber TFC – seluruh bahagian dipertingkat dengan barang prestasi, terhad 750 unit

    EICMA 2019: Triumph Bobber TFC – seluruh bahagian dipertingkat dengan barang prestasi, terhad 750 unit

    Selepas Thruxton dan Rocket, Triumph Motorcycles kini memperkenalkan pula Bobber versi TFC (Triumph Factory Custom) yang diubah suai dengan kelengkapan prestasi serta perincian lain yang lebih premium. Model ini hanya akan dihasilkan sebanyak 750 unit untuk seluruh dunia.

    Jika dibandingkan dengan Bobber Black, model TFC ini lima kilogram lebih ringan, hasil penggunaan panel gentian karbon termasuk penghadang lumpur hadapan dan panel tepi, serta lampu penunjuk arah yang juga boleh bertindak sebagai lampu belakang. Barangan ini juga menyumbang kepada rupa lebih menarik, bersama cat khas, yoke jenis billet bersama nombor keluaran, tempat duduk kulit serta rangka dan lengan ayun yang diwarnakan hitam.

    Bukan setakat gaya, prestasi Bobber TFC juga dipertingkat dengan enjin yang kini mempunyai 10 PS dan 4 Nm tork lebih berbanding Bobber biasa. Enjin dua silinder 1,200 cc HT ini juga sekarang boleh dipaksa 500 rpm lebih tinggi, kepada 7,500 rpm. Melengkapkan naik taraf enjin ini adalah sistem ekzos Arrow dengan muncung gentian karbon pada kedua-dua sisi dan tambahan mod Sport, menjadikan kesemuanya ada tiga mod tunggangan.

    Bagi memastikan prestasi yang menyeluruh, bahagian suspensi dan brek juga dipertingkat dengan antara komponen terbaik dalam pasaran iaitu fork dan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya, serta set berkembar brek cakera dengan angkup Brembo M50 dan master cylinder Brembo MCS di hadapan.

    Setiap pembeli Bobber TFC juga akan menerima pek penyerahan khas yang termasuk sijil pemilikan mengikut nombor motosikal dan ditandatangani sendiri oleh CEO Triumph, Nick Bloor, buku binaan motosikal kustom khas, kain pelindung motosikal Bobber TFC, fail dokumen TFC serta beg kulit TFC.

     
     
  • PLUS diminta kaji semula langkah penutupan lorong tambah nilai TNG, pengguna tidak setuju – Azmin

    PLUS diminta kaji semula langkah penutupan lorong tambah nilai TNG, pengguna tidak setuju – Azmin

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menamatkan perkhidmatan tambah nilai Touch n’ Go (TnG) di semua lorong keluar plaza tol kendaliannya bermula 5 Nov lalu. Walau bagaimana pun, langkah PLUS ini dikatakan tidak dipersetujui oleh segelintir penggunannya dan ia turut mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Saya kira, pandangan pengguna penting untuk diberikan perhatian kerana kemudahan yang disiapkan (di lebuh raya) itu adalah untuk memberikan keselesaan kepada mereka. Langkah menutup lorong tambah nilai itu mungkin keputusan yang diambil pihak pengurusan PLUS.

    Saya berharap pengurusan PLUS dapat meneliti semula keputusan itu dengan mengambil kira pandangan pengguna lebuh raya, dan mereka harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Kelmarin, akhbar yang sama melaporkan, pelbagai pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap langkah PLUS menghentikan perkhidmatan tambah nilai kad TnG di semua lorong keluar plaza tol miliknya. Malahan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya perkhidmatan itu diteruskan bagi kemudahan pengguna, sehinggalah khidmat tambah nilai secara dalam talian menerusi e-wallet diaktifkan di semua lebuh raya milik PLUS.

    Maklumbalas daripada PLUS pula menyatakan, masalah tidak akan timbul sekiranya pengguna membuat persediaan awal, selain penutupan lorong tambah nilai hanya membabitkan lorong keluar plaza tol.

     
     
  • Nissan Almera generasi baharu akan dilancarkan di Thailand minggu depan, bakal terima enjin 1.0L turbo?

    Bulan lalu, kita sudah nampak kelibat Nissan Almera generasi baharu di Malaysia – di atas lori pengangkut kelihatan akan di bawa keluar dari negara di Cargo Village KLIA. Ini satu lagi perkhabaran bahawa model berkenaan semakin hampir dengan kita – Nissan Thailand telah menyiarkan video teaser bersama satu lama mikro, dan mengikut countdown timer yang disertakan, ia akan dilancarkan di sana minggu hadapan!

    Nissan Almera generasi baharu ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat April lalu, dikenali dengan nama Nissan Versa pada pasaran berkenaan. Ia dihasilkan dari platform Pakatan Renault Nissan Common Modular Family (CMF-B), yang turut menjadi asas kepada hatchback Nissan March dan Renault Clio.

    Berbanding model sedia ada yang mempunyai rekaan yang agak pelik, Almera generasi terkini ini menampilkan rupa sebuah sedan yang lebih bergaya, dengan badan yang lebih lebar serta bumbung yang nampak lebih rendah.

    Ia juga menerima rekaan muka dengan lampu yang tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang dan gril signatur “V-Motion” Nissan, manakala pada tiang-C diberikan kemasan hitam dan lampu yang lebih tajam pada bahagian belakang. Bahagian kabin juga menerima rekaan yang lebih mendatar dan nampak lebih lebar dan rendah berbanding model sebelumnya.

    Di Amerika Syarikat, Versa tidak lagi diiktiraf sebagai kereta paling mampu milik dan dijual pada harga bermula USD 14,370 hingga USD 18,240 (sekitar RM60k hingga RM76k). Ia dijana enjin HR16DE 1.6 liter NA berkuasa 122 hp/154 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT, serta menerima kelengkapan seperti skrin besar pada paparan instrumen, skrin sesentuh dengan sokongan Apple CarPlay, butang penghidup enjin dan juga sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360.

    Berbalik pada model ASEAN yang akan dilancarkan di Thailand minggu hadapan, setakat ini tiada sebarang perincian rasmi didedahkan. Namun dalam laporan portal negara berkenaan, Headlightmag, Almera bakal ditawarkan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS/144 Nm, bersama kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual.

    Nissan Almera generasi kedua yang dijumpai di KLIA

    Ini untuk membolehkan Almera berkenaan diiktiraf sebagai Kereta Eco Thai Fasa 2 di mana undang-undang itu mensyaratkan kereta berkenaan perlu beroperasi dengan menghasilkan emisi CO2 tidak melebihi 100 g/km dengan ekonomi bahan api sekurang-kurangnya 23.25 km/l.

    Jika apa yang dilaporkan ini benar, maka Almera bakal berhadapan terus dengan Honda City generasi baharu yang dijangka turut akan didedahkan di Thailand, sebagai kereta Eco Thai Fasa 2 dengan enjin 1.0 liter turbo!

    Ketika sesi pandu uji media Nissan X-Trail facelift pada Mei lalu, ETCM telah mengesahkan bahawa Almera generasi baharu ini akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan, dan akan diikuti dengan crossover Nissan Kicks dan juga sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu.

    Namun tiada lagi sebarang bayangan spesifikasi yang akan diterima untuk pasaran tempatan, dan tidak mustahil Almera baharu dengan kod casis N18 ini akan terus dijana oleh enjin HR15DE 1.5 liter NA dari model sedia ada, yang menghasilkan 102 PS/139 Nm.

    GALERI: Nissan Versa 2020 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • EICMA 2019: Kymco RevoNEX – motosikal naked elektrik dengan enam gear, klac dan mod tunggangan

    EICMA 2019: Kymco RevoNEX – motosikal naked elektrik dengan enam gear, klac dan mod tunggangan

    Selepas teaser dikeluarkan sebelum ini, akhirnya Kymco RevoNEX muncul depan khalayak ramai di pameran EICMA 2019. Ia adalah sebuah motosikal elektrik dengan gaya naked, yang dibangunkan dengan tumpuan penting kepada kepuasan penunggang dan menyediakan kejutan tersendiri.

    Biasanya motosikal elektrik cuma mempunyai satu gear atau menggunakan transmisi automatik seperti skuter, tapi RevoNEX muncul dengan transmisi enam kelajuan serta klac di tangan. Ciri ini dikatakan memberi lebih rasa kepada penunggang seperti motosikal biasa, tetapi masih memudahkan kerana apabila mahu memulakan pergerakan daripada berhenti, mereka masih boleh memasukkan gear tanpa menarik klac (sesuatu seperti klac Rekluse).

    Kemudiannya, RevoNEX juga menyediakan empat mod tunggangan iaitu Poised yang lebih senyap (untuk kegunaan di kawasan perumahan), Assertive untuk kegunaan dalam bandar, Bold untuk tunggangan lebih bersemangat dan Extreme untuk kegunaan atas litar. Mod yang dipilih akan terpapar pada skrin TFT yang digunakan, dan skrin ini juga dilihat boleh disambungkan dengan sistem navigasi.

    RevoNEX diberitahu akan berada di pasaran pada tahun 2021, dan perincian teknikalnya setakat ini masih belum didedahkan sepenuhnya. Walaupun begitu, beberapa catatan prestasi telah didedahkan seperti 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan 0-205 km/j (laju maksimum) dalam 11.8 saat. Motor elektrik yang digunakan juga dipanggil sebagai Active Acoustic Motor, mampu mengeluarkan bunyi yang lebih kuat.

    Kelengkapan lain yang dapat dilihat berada pada RevoNEX ini adalah seperti suspensi yang boleh dilaras, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, cakera tunggal serta angkup Brembo di belakang, sistem kawalan cengkaman dan quickshifter.

     
     
  • Hyundai tampil 13 kereta elektrifikasi menjelang 2022

    Hyundai tampil 13 kereta elektrifikasi menjelang 2022

    Hyundai telah umumkan perancangan syarikat itu untuk memperkenalkan 13 buah kereta dengan teknologi elektrifikasi menjelang tahun 2022. Barisan terbaru itu akan terdiri daripada enam kereta sedan dan tujuh SUV – semua ini akan menggunakan sama ada sistem janaan petrol-hibrid, plug-in hybrid atau elektrik sepenuhnya.

    Model-model akan datang berkenaan termasuklah Ioniq Electric yang dikemaskini, Ioniq Hybrid dan Ioniq Plug-In Hybrid; ketiga-tiga model ini akan diperkenalkan ketika Los Angeles Auto Show hujung bulan ini. Kemudian, barisan pengenalan terbaru Hyundai ini akan turut disertai oleh sedan Sonata Hybrid serba baru (dengan bumbung solar) tahun depan, sementara baki sembilan lagi model akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

    Naib Presiden bahagian Produk, Korporat dan Perancangan Digital Hyundai Motor Amerika, Mike O’Brien berkata; “Dengan peralihan industri automotif dalam memenuhi keperluan pengguna dan pasaran, serta alam sekitar yang pelbagai, kami akan terus menyediakan pilihan alternatif terkini di dalam barisan produk yang kami keluarkan.”

    “Barisan produk akan datang dari Hyundai akan menepati keperluan pengguna yang berfikiran ke hadapan serta mesra alam dalam pemilihan kenderaan peribadi mereka,” tambah beliau.

     
     
  • Sebahagian penjimatan subsidi petrol digunakan untuk tambah baik pengangkutan awam – Saifuddin

    Sebahagian penjimatan subsidi petrol digunakan untuk tambah baik pengangkutan awam – Saifuddin

    Penjimatan yang dapat dilaksanakan menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) dapat disalurkan bagi menampung kos infrastruktur dan keperluan rakyat yang lain, antaranya pengangkutan awam. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebahagian daripada penjimatan daripada program terbabit boleh digunakan untuk menambahbaik dan menyediakan pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar.

    “Saya bersetuju dengan pandangan Dr Muhammed Abdul Khalid (Penasihat Ekonomi Perdana Menteri) bahawa pengangkutan awam di kawasan luar bandar harus diberi lebih perhatian. Malah ia bagi memastikan semua lapisan masyarakat meraih manfaat daripada subsidi pengangkutan kerajaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Muhammed berdasarkan pemerhatian beliau bahawa program subsidi petrol sebelum ini tidak memanfaatkan semua golongan dalam kumpulan B40.

    Sebahagian penjimatan subsidi petrol digunakan untuk tambah baik pengangkutan awam – Saifuddin

    Sebelum ini Dr Muhamed yang juga merupakan ahli ekonomi telah menasihati kerajaan agar tidak membelanjakan wang awam untuk mengurang atau menghapuskan tol dan memberi subsidi petrol kerana beliau percaya inisiatif itu tidak akan memberi faedah kepada semua dalam kumpulan B40. Baginya, wang negara itu perlu diperuntukkan untuk menyedia dan meningkatkan pengangkutan awam di kawasan luar bandar, kerana ini akan membantu lebih ramai rakyat miskin.

    Menurut Saifuddin, menerusi Belanjawan 2020, pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar juga diberi perhatian dengan peruntukan subsidi kepada pengusaha bas bagi menyokong sambungan ‘last-mile’.

    Malahan, katanya, PSP juga mampu mengelak ketirisan dengan menyelamatkan peruntukan subsidi pengangkutan daripada diberi kepada penyeludup petrol, warga asing dan golongan T20 yang menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin serta tangki minyak besar. Pada masa sama, penerima subsidi petrol daripada golongan B40 dan M40 sedia ada terus dilindungi melalui pemberian subsidi petrol kepada mereka menggunakan kaedah yang lebih bersasar.

     
     
  • Jentera lumba sebenar Nissan Skyline GT-R KPGC10 ‘Hakosuka’ untuk dilelong di Tokyo Auto Salon 2020!

    Jentera lumba sebenar Nissan Skyline GT-R KPGC10 ‘Hakosuka’ untuk dilelong di Tokyo Auto Salon 2020!

    Nissan Skyline GT-R generasi pertama dengan kod casis KPGC10, atau lebih dikenali sebagai ‘Hakosuka’ adalah antara model yang agak sukar untuk ditemui – kebanyakkan yang masih wujud adalah dari versi GT-X dengan enjin single cam siri-L, dan bukan GT-R asli dengan enjin enam-silinder DOHC S20. Dia punya tahap ‘rare‘ membuatkan bukan semua orang dapat membelinya walaupun mempunyai duit yang banyak.

    Ok, ini ada satu peluang keemasan untuk memiliki Hakosuka GT-R – sebuah dari model tersebut akan dilelong pada acara BH Auction ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 pada bulan Januari nanti; dan bertambah rare, ini bukan GT-R biasa tetapi adalah jentera lumba GT-R sebenar yang berlumba di Japanese GP pada era 70’an dahulu, dibina oleh Nissan Prince Sports Corner!

    Apa yang lagi istimewa, kereta ini adalah milik lagenda KPGC10 GT-R, Shigeru Watanabe iaitu pemilik GT-R Service Watanabe. Menurut BH Auction, kereta ini dalam keadaan bersedia untuk berlumba dengan komponen-komponen asli, dan ia sentiasa diselenggara oleh encik Watanabe sendiri sejak dibeli dahulu.

    Jentera lumba sebenar Nissan Skyline GT-R KPGC10 ‘Hakosuka’ untuk dilelong di Tokyo Auto Salon 2020!

    Sebelum ia di lelong di Makuhari Messe pada 10 Januari 2020 nanti, Hakosuka GT-R ini akan dibawa untuk diprebiu terlebih dahulu di Fuji Speedway ketika berlangsungnya perlumbaan Super GT X DTM pada 23 hingga 24 November ini, dan di Warehouse Terrada pada 14 dan 15 Disember nanti.

    Harga? BH Auction masih lagi belum mengumumkan berapa harga anggaran kereta ini akan di bida nanti. Tapi dah tentu ia tidak murah – pada lelongan BH Auction di Tokyo Auto Salon 2019 Januari lalu, sebuah Hakosuka GT-R standard telah berjaya di jual pada harga lebih dari RM650K!

     
     
  • MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

    MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

    Pengenalan MINI Clubman F54 facelift hari ini turut menyaksikan ketibaan dua lagi model John Cooper Works (JCW) iaitu MINI Clubman dan juga MINI Countryman. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo dengan kuasa 302 hp pada 5,000 hingga 6,250 rpm dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin JCW sama sebelum ini, ia mencatat peningkatan 74 hp dan 100 Nm tork.

    Dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, Clubman JCW boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat (sebelum ini 6.3 saat) manakala Countryman JCW pula boleh melakukannya dalam masa 5.1 saat (sebelum ini 6.6 saat). Laju maksimum kedua-duanya dihadkan pada 250 km/j.

    Peningkatan prestasi ini datang daripada perubahan yang dilakukan pada enjin itu sendiri termasuk penggunaan pengecas turbo yang lebih besar, crankshaft yang diperkuat serta saluran udara yang dibuat semula. Untuk memastikan ia dapat bertahan, sistem penyejukan juga dipertingkat.

    Dua model ini juga mendapat sistem ekzos sport khas untuknya, serta sistem brek sport yang direka semula dengan angkup yang lebih besar. Pada bahagian luar, antara perubahannya adalah bampar serta gril bawah yang direka semula, serta splitter yang lebih besar pada spoiler hadapan. Bukaan udara yang lebih besar pada bahagian tepi bampar menambahkan kecekapan sistem penyejukan.

    Sama seperti Clubman biasa, versi JCW ini juga mendapat rekaan gril honeycomb serta lampu LED yang baru. Pada bahagian belakang, bampar serta lampu LED dengan pencahayaan Union Jack direka semula manakala muncung ekzos juga sudah bertambah besar – kini 95 mm. Countryman JCW juga mendapat kemasan pada bampar dengan bukaan udara di bahagian tepi untuk menyejukkan enjin baru ini, bersama muncung ekzos 85 mm.

    Kedua-dua model JCW ini menggunakan rekaan rim yang sama, iaitu unit JCW Circuit Spoke 19 inci dan kedudukannya dijadikan lebih rendah dengan penggunaan suspensi sport JCW. Bagi Countryman JCW, ia mendapat tambahan sistem suspensi adaptif.

    MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

    Pada bahagian dalam, kedua-dua model JCW baru ini menggunakan balutan kulit Carbon Black Dinamica, kemasan plastik Piano Black serta lampu suasana yang boleh ditukar kepada 12 warna. Selain lencana JCW pada tepi pintu, model ini juga datang dengan bumbung panoramik.

    Kelengkapan standard lain yang diberikan pada kedua-dua varian adalah termasuk head-up display serta skrin 8.8 inci Navigation System dengan fungsi pembahagi skrin yang membolehkan dua peta dipaparkan pada masa sama. Turut diberi adalah sistem bunyi Harman Kardon 360-watt, pintu but elektrik, pendingin hawa automatik dua zon serta Comfort Access.

    Sistem sambungan kereta ini turut dipertingkat dengan kini mempunyai kad SIM 4G binaan dalam dan MINI Connected App yang membenarkan penggunaan fungsi kawalan jauh, Apple CarPlay, Concierge serta MINI Online.

    Pada sistem keselamatan dan bantuan pemandu terdapat beg udara depan dan sisi untuk dua tempat duduk hadapan, empat beg udara kepala, Park Distance Control depan dan belakang serta kamera pandangan belakang. Sama seperti Clubman biasa, kereta ini masih tidak dilengkapi dengan Autonomous Emergency Braking.

    Untuk warna, pilihan yang disediakan untuk Clubman JCW adalah Rebel Green, White Silver, Midnight Black dan Chili Red manakala untuk Countryman JCW adalah Rebel Green, Light White, Midnight Black dan Chili Red.

    MINI Clubman John Cooper Works dijual pada harga RM358,888 manakala Countryman John Cooper Works dijual pada RM378,888 tidak termasuk insurans. Kedua-duanya juga datang dengan jaminan empat tahun tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

    GALERI: MINI Clubman John Cooper Works

    GALERI: MINI Countryman John Cooper Works

     
     
  • AD: Jimat sehingga RM2,500, kadar faedah serendah 2.24% dengan Promosi Istimewa Hujung Tahun Perodua!

    AD: Jimat sehingga RM2,500, kadar faedah serendah 2.24% dengan Promosi Istimewa Hujung Tahun Perodua!

    Tahun 2019 hampir melabuhkan tirainya, dan ini bermaksud musim cuti kini semakin hampir. Ramai daripada anda akan bersedia untuk perjalanan jauh ke kampung halaman masing-masing untuk meluangkan masa dengan insan yang tercinta, dan dengan Promosi Istimewa Hujung Tahun Perodua, anda boleh menikmati perjalanan dengan kualiti signatur Perodua dan penjimatan bahan api – bersama dengan penjimatan tambahan yang signifikan!

    Sepanjang bulan November, semua varian SUV Perodua Aruz akan ditawarkan dengan penebusan tunai RM2,500, manakala Perodua Bezza 1.0 GXtra auto dan manual serta 1.3 Premium X manual akan diberikan pengurangan harga sebanyak RM2,020. Sementara itu, Perodua Axia GXtra akan diberikan rebat RM1,000. Bukan itu sahaja – dari sekarang hingga 31 Disember, kadar faedah istimewa serendah 2.24% akan ditawarkan pada Perodua Aruz*.

    Dan jika anda mencari kenderaan pramilik, Perodua turut menawarkan Promosi Kenderaan Pramilik Hujung Tahun Perodua, menawarkan rebat sehingga RM2,000 dan hadiah misteri hanya di bilik pameran Perodua Kuala Lumpur di Jalan Pahang. Perodua turut menjalankan Jelajah Hujung Tahun merentasi Semenanjung Malaysia bermula 7 November hingga 7 Disember, dengan pelbagai tawaran dan aktiviti yang menarik.

    AD: Jimat sehingga RM2,500, kadar faedah serendah 2.24% dengan Promosi Istimewa Hujung Tahun Perodua!

    Lokasi dan tarikh untuk Jelajah Hujung Tahun Perodua, klik untuk besarkan

    Jadi apa tunggu lagi? Segera ke bilik pameran berhampiran anda dan dapatkan kereta baharu sebelum bermulanya tahun baharu! Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perodua.

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • EICMA 2019: BMW F900R, F900XR – model roadster dan sport touring dengan enjin dua silinder 895 cc

    EICMA 2019: BMW F900R, F900XR – model roadster dan sport touring dengan enjin dua silinder 895 cc

    Walaupun sudah mempunyai model sport touring S1000XR di dalam pasaran, BMW Motorrad telah memperkenalkan satu lagi model yang mempunyai karekter sama, tapi dengan enjin lebih kecil iaitu F900 XR di pameran EICMA 2019. Asas yang sama juga digunakan pada satu lagi model baru F900 R, yang merupakan penyambung generasi bagi F800 R.

    Kedua-dua F900 XR dan F900 R menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 895 cc, yang sebenarnya adalah enjin yang dipertingkat daripada enjin 853 cc pada F850 GS. Enjin baru ini mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,750 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan penunggang boleh memilih mod tunggangan Rain dan Road.

    Sekiranya dua mod ini tidak mencukupi, pemilik boleh mendapatkan pakej tambahan Riding Mode Pro, yang memberikan dua lagi tambahan mod tunggangan serta sistem Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Dynamic Brake Control (DBC) dan Engine Drag Torque Control (MSR).

    Walaupun dua motosikal ini berkongsi banyak ciri yang sama, keduanya mempunyai karekter yang berbeza di mana F900 XR adalah sebuah motosikal sport touring manakala F900 R pula adalah sebuah roadster naked. Pada F900 XR anda boleh melihat ia menyediakan keadaan tunggangan yang lebih tegak serta panel badan yang disesuaikan untuk perjalanan jauh termasuk penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

    F900 R pula mempunyai panel badan yang lebih minimum dan bahagian belakang yang lebih kurus. Kedua-duanya menggunakan tangki bahan api plastik, dengan kapasiti masing-masing 13 liter untuk F900 R dan 15.5 liter untuk F900 XR.

    Bahagian lain yang berbeza adalah suspensi, di mana F900 XR menggunakan fork USD hadapan dengan jarak gerak 170 mm di hadapan dan monoshock 172 mm di belakang sementara F900 R pula menggunakan suspensi dengan jarak gerak 135 mm di hadapan dan 142 mm di belakang. Dalam keadaan standard ia tidak boleh dilaras, tetapi pemilik diberikan pilihan suspensi pelarasan elektronik Dynamic ESA sebagai tambahan.

    Barangan lain yang datang secara standard pada dua model ini adalah semua lampu jenis LED, skrin TFT 6.5 inci dengan ciri BMW Connectivity, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, ASC serta brek ABS. Ciri tambahan yang dijual berasingan pula termasuk Adaptive Cornering Light, Keyless Ride, Shift Assistant Pro, Intelligent Emergency Call, ABS Pro dan Intelligent Emergency Call.

    Sekiranya motosikal dalam keadaan standard ini dirasakan belum cukup sesuai, anda juga boleh memilih pelbagai lagi aksesori lain dalam katalog BMW Motorrad seperti tempat duduk yang lebih rendah, beg barangan dan pelbagai lagi. F900 R ditawarkan dalam warna Blackstorm Metallic, San Marino Blue Metallic dan Hockenheim Silver Metallic/Racing Red manakala F900 XR pula dalam warna Light White, Galvanic Gold Metallic dan Racing Red.

    GALERI: BMW F 900 XR 2020

    GALERI: BMW F 900 R 2020

     
     
  • Daihatsu Rocky – barisan aksesori asli turut dilancar

    Daihatsu Rocky – barisan aksesori asli turut dilancar

    Serentak dengan pengenalan rasmi SUV segmen-B Daihatsu Rocky di Jepun, seperti biasa jenama pembuat kereta kompak berkenaan turut hadir dengan barisan aksesori yang akan membuatkan hati peminat-peminatnya tidak keruan. Untuk Rocky, Daihatsu telah menyiapkan tiga kit badan dengan tema berbeza – Elegance, Powerful, dan Sporty – serta kelengkapan-kelengkapan lain untuk bahagian dalaman.

    Kita mulakan dengan kit Sporty iaitu kit pada Rocky berwarna merah, di mana set kit badan berkenaan hadir dengan empat bahagian yang boleh ‘ditampal’ terus pada badan SUV ini, terdiri dari lip hadapan, skirt sisi, lip belakang dan juga spoiler belakang. Kit Sporty ini dijual pada harga hampir 200,000 yen (RM7.6k), namun buat masa sekarang ia ditawarkan dengan diskaun 10%, untuk kesemua pakej.

    Pelanggan juga boleh memilih aksesori luaran lain, termasuk kemasan hitam berkilat pada untuk perumah lampu kabus hadapan dan belakang, serlahan jalur merah pada gril hadapan dan kemasan tailgate belakang, penutup tangki petrol gentian karbon, dan juga rim enam-jejari 16-inci kemasan hitam.

    Daihatsu Rocky – barisan aksesori asli turut dilancar

    Untuk bahagian dalaman, pakej Sporty ini turut menawarkan serlahan-serlahan merah yang boleh dilihat pada sekeliling pemegang dan panel dalaman pintu, perumah tuil penukar gear dan juga pada upholsteri hitam yang membaluti kesemua tempat duduk.

    Beralih ke pakej Powerful (pada Rocky berwarna putih), ia diberikan kit badan yang nampak lebih lasak dengan kemasan skid plate palsu di hadapan dan belakang, tetapi tidak diberikan sekali dengan spoiler. Ia dijual pada harga 170,000 yen (RM6.5k) sebelum pembeli menambah aksesori tambahan lain seperti kemasan plastik hitam pada bonet, rak bumbung bersama kotak kargo, lampu nyalaan siang LED biru dan juga rim lima-jejari berkembar 16-inci dalam kemasan hitam berkilat atau matte.

    Secara asasnya untuk bahagian dalaman, pakej Powerful ini adalah hampir sama dengan Sporty, kecuali serlahan-serlahan merah diganti dengan warna oren. Manakala untuk uphlosteri pula ia menggunakan bahan fabrik dengan gabungan tiga warna iaitu kelabu hitam dan oren.

    Daihatsu Rocky – barisan aksesori asli turut dilancar

    Manakala untuk kit terakhir iaitu Elegence, ia adalah kit yang paling mahal dengan harga hampir 260,000 yen (RM9.9k). Kit badan ini diberikan kemasan krom pada lima komponen utama iaitu pada lip hadapan, skirt sisi, lip belakang, gril utama dan juga kemasan pintu tailgate belakang.

    Jika anda rasa tidak cukup krom, lebih kos perlu dikeluarkan untuk memilik komponen krom tambahan iaitu pada pembuka pintu, penutup cermin sisi, kemasan fender, perumah lampu kabus hadapan dan belakang serta pada rim 16-inci dua-tona.

    Pada kabin pula, upholsteri pada pakej ini kelihatan sama dengan pakej Sporty tetapi serlahan merah digantikan dengan warna putih. Kemasan lain seperti pada panel dalaman dan pemegang pintu, serta perumah tuil penukar gear pula hadir dengan kemasan hitam berkilat.

    Selain dari tiga pakej ini, Daihatsu turut menawarkan pelbagai aksesori lain yang cukup banyak untuk membezakan Rocky anda dengan Rocky jiran sebelah, dengan barangan seperti jalur vinyl, pelindung pembuka pintu, visor pintu, karpet kaki, pelindung roda stereng, tray bawah tempat duduk, kemasan bendul pintu, suis penghidup enjin berwarna, tempat duduk kanak-kanak dan juga tray pengatur untuk but belakang.

    Bukan itu sahaja, jika anda berminat dengan lampu berwarna warni, tidak perlu mendapatkan peralatan ‘cap ayam’ di kedai-kedai aksesori kerana Daihatsu turut menawarkan mentol LED berwarna warni dalam katalog aksesori asli ini. Disebabkan ia peralatan original, kesemua komponen ditawarkan dengan waranti selama tiga tahun.

     
     
  • Daihatsu Rocky kini dijual di Jepun, harga dari RM59k

    Daihatsu Rocky kini dijual di Jepun, harga dari RM59k

    Daihatsu telah pun mendedahkan SUV Rocky di Tokyo Motor Show 2019 lalu. Dan seperti yang semua sedia maklum, Toyota juga telah menghasilkan model rebadged bagi Rocky yang diberi nama Raize yang didedahkan kelmarin, yang turut berada di pasaran Jepun. Kedua-dua SUV ini memiliki berat 90kg, dengan dimensi berukuran 3,995 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,620 mm tinggi, dan jarak rodanya pula 2,525 mm – yang besar sedikit berbanding Perodua Myvi.

    Rocky dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan pembinaan monocoque (tidak seperti Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Perodua Aruz yang menggunakan casis ladder frame) menggunakan plat keluli tegangan tinggi untuk meningkatkan ketegarannya, dan turut dipadankan dengan suspensi topang MacPherson untuk hadapan dan palang torsion di belakang.

    Enjin 1.0 liter turbocharged tiga-silinder adalah standard untuk semua varian, menawarkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama D-CVT. Ia turut memberikan angka penjimatan bahan api WLTP sekitar 18.6 km per liter dengan pacuan roda-hadapan dan 17.4 km per liter untuk varian pacuan-semua roda dengan Dynamic Torque Control.

    Daihatsu Rocky kini dijual di Jepun, harga dari RM59k

    Daihatsu Rocky juga sarat dengan aspek kselamatan. Bagi spesifikasi tertinggi bakal menerima Daihatsu Smart Assist untuk sistem bantuan pemandu, termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, kawalan kelajuan adaptif semua-kelajuan dan Erroneous Start Prevention Function hadapan dan belakang dengan kawalan brek, bersama sistem Bantuan Parkir Panorama Pintar yang membantu stering dan pandangan yang lebih optimum ketika parkir.

    Untuk rekaan luarannya, Rocky ditampilkan identiti yang agak berbeza dengan Raize, termasuk gril haksagon besar bersama kepingan mendatar, corong pengambilan asimetrik yang rendah, lampu kabus persegi, dan juga lampu nyalaan siang LED posisi menegak (hanya untuk model yang lebih mahal). Tapi rekaan di belakang memang mirip dengan Raize.

    Rekaan roda juga berbeza, dengan saiz 17-inci yang paling besar. Terdapat lapan warna luaran yang bakal ditawarkan iaitu Black Mica Metallic, Laser Blue Crystal Shine, Mustard Yellow Mica Metallic, Fire Quartz Red Metallic, Natural Beige Mica Metallic, Shining White Pearl, Bright Silver Metallic, dan Compano Red. Tiga warna pilihan yang terakhir itu didatangkan dengan kemasan dua-tona, di mana bumbungnya berwarna hitam metalik.


    Di dalamnya pula, memang banyak persamaan dengan Raize, tetapi ada sesetengah kemasan dan pastinya lencana adalah unik untuk Daihatsu. Ruang di antara tempat duduk hadapan dan belakang juga adalah sama iaitu berukuran 900 mm, dan bahagian but menampilkan dua tingkat yang menawarkan kapasiti sehingga 369 liter.

    Rocky ditawarkan dengan empat varian untuk pasaran Jepun, bermula dengan varian asas L yang ditawarkan pada harga 1.55 juta yen (RM59k), Rocky X (1.68 juta yen/RM64k), Rocky G (1.82 juta yen/RM69k) dan Rocky Premium berharga dua juta yen (RM76k). Kesemua model turut menerima AWD sebagai pilihan. Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Rocky juga mungkin bakal menjadi model rebadge bagi Perodua Kembara akan datang, jadi mari kita teliti perbandingannya dengan Geely Binyue, atau yang juga dikenali sebagai Proton X50.

    GALERI: Toyota Raize 2019

     
     
  • EICMA 2019: Husqvarna Norden 901 Concept didedah

    EICMA 2019: Husqvarna Norden 901 Concept didedah

    Husqvarna Motorcycles hadir ke pameran EICMA 2019 dengan membawa beberapa model baru, tapi yang menjadi perhatian adalah model adventure/touring pertama mereka iaitu Norden 901 Concept. Memandangkan model ini masih lagi sebuah konsep, perincian teknikalnya masih belum didedahkan sepenuhnya.

    Apa yang diberitahu, Norden 901 menggunakan enjin dua silinder selari 889.5 cc yang ditala khas untuk kegunaan jelajah dan mampu menghasilkan prestasi cemerlang atas jalan biasa dan offroad. Model yang ditunjukkan menggunakan rim 19 inci di hadapan, dan 18 inci di belakang, dengan tayar pelbagai guna.

    Ergonomik motosikal ini dijadikan selesa dan memberikan keyakinan kepada penunggang. Apa yang boleh dilihat, motosikal ini mempunyai suspensi WP yang boleh dilaras, pelindung tangan, tempat duduk lebar untuk dua orang serta penghadang angin tinggi di bahagian hadapan yang terletak di atas lampu bulatnya.

    Selain daripada itu, Norden 901 Concept juga dipasang dengan aksesori yang menjadikannya lebih lasak seperti penghadang bahagian bawah enjin, besi pelindung di bahagian tepi, pelindung cakera brek serta beg barangan belakang dan tepi. Panel meter pula menggunakan dua unit digital seperti tablet dan terdapat soket sambungan USB.

    Husqvarna tidak memberitahu bila versi produksi motosikal ini akan berada di pasaran, tetapi sekiranya ia menjadi realiti, pastinya agak menarik kerana segmen adventure/touring sekarang kelihatan seperti mendapat banyak perhatian daripada pengguna.

     
     
  • Ford Ranger RTR muncul di SEMA 2019 – rupa lebih garang, suspensi FOX 2.0 dan sistem ekzos cat-back

    Ford Ranger RTR muncul di SEMA 2019 – rupa lebih garang, suspensi FOX 2.0 dan sistem ekzos cat-back

    Selain dari Mustang RTR dan F-150 RTR, Ford kini tampil dengan satu lagi model RTR dalam rangkaian mereka iaitu trak pikap Ford Ranger RTR, didedahkan ketika berlangsungnya acara SEMA 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

    Menurut Ford, Ranger RTR ini boleh dibeli di laman rtrvehicle.com bermula serta merta, dan ia juga dijual secara global menerusi pengedar Ford terpilih seluruh dunia. Pelanggan juga boleh membina Ranger RTR ini berasaskan hampir semua varian yang ditawarkan pada pasaran Amerika Syarikat.

    Ranger RTR hadir dengan pakej penggayaan signatur RTR dan juga pakej Tactical Performance. Oleh itu, ia dipadankan dengan gril signatur RTR bersama lampu LED, set fender flare bersama liang pada fender hadapan yang berfungsi sebagai kemasukan udara sebenar terus ke sistem induksi enjin dan juga pakej grafik RTR.

    Ford Ranger RTR muncul di SEMA 2019 – rupa lebih garang, suspensi FOX 2.0 dan sistem ekzos cat-back

    Untuk pengendalian pula, sistem suspensi asal akan ditukar kepada kit suspensi FOX 2.0 bersama tayar Nitto Ridge Grappler yang membaluti rim off-road RTR Tech 6.

    Tidak seperti model di Malaysia yang dijana enjin 2.0 liter turbodiesel, Ranger pasaran Amerika Syarikat menerima enjin petrol turbo empat-silinder 2.3 liter EcoBoost yang dikongsi bersama Ford Mustang, tetapi ditala dengan kuasa sedikit kurang iaitu 270 hp/420 Nm – tiada perubahan untuk versi RTR ini tetapi ia menerima sistem ekzos berprestasi tinggi jenis cat-back.

    “Saya sangat teruja berkenaan membawa gaya, tumpuan terhadap perincian dan penambahbaikkan kepada prestasi RTR Vehicle kepada Ford Ranger baru,” kata pelumba Drift dan juga presiden RTR, Vaughn Gittin Jr.

    Untuk pelanggan di Amerika Syarikat, pakej luaran, dalaman dan prestasi Ranger RTR termasuk pemasangan di pengedar Ford adalah USD$9,800 (RM41k). Pelanggan juga boleh memilih ciri pilihan lain seperti RTR Leather Package untuk bahagian dalaman dan juga gril RTR tanpa light bar LED.

    Apa pendapat anda? Mana lebih best? Ranger RTR ini atau Ranger Raptor yang boleh dibeli terus di bilik pameran Ford Malaysia?

     
     
  • MINI Clubman F54 facelift dilancar – Cooper S, RM299k

    MINI Clubman F54 facelift dilancar – Cooper S, RM299k

    Model facelift bagi MINI Clubman F54 hari ini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam versi Cooper S dengan harga RM298,888 tidak termasuk insurans, bersama jaminan selama empat tahun tanpa had batuan, servis berkala percuma dan program bantuan tepi jalan lima tahun.

    Perubahan pada bahagian luar kenderaan ini adalah termasuk pada rekaan gril serta lampu utama dan lampu kabus LED. Pada keliling lampu utama bulatnya, terdapat lingkaran lampu putih yang bertindak sebagai lampu siang, dan juga boleh bertukar warna utama untuk menjadi lampu penunjuk arah. Warna merah Indian Summer Red yang ditawarkan pada Clubman facelift ini juga adalah baru.

    Sebagai sebuah model varian Cooper S, Clubman baru ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter MINI TwinPower Turbo yang sama, dengan kuasa 192 hp dan 280 Nm tork, tetapi ia dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan baru. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 7.2 saat dan laju maksimum adalah 228 km/j.

    MINI Clubman F54 facelift dilancar – Cooper S, RM299k

    Melalui padanan kuasa baru ini, Clubman baru juga dilengkapi dengan fungsi Start/Stop, mod Sport serta meluncur tanpa kesan engine braking apabila pedal minyak dilepaskan. Dengan ciri ini, penggunaan bahan api boleh dijimatkan sehingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

    Rekaan keseluruhan bahagian dalam tidak berubah, tetapi sekarang ia menggunakan kemasan kulit MINI Yours Walknappa pada stereng dan tempat duduk (berwarna Carbon Black). Penyandar kepala juga mempunyai cetakan Union Jack dan suasana diserikan lagi dengan lampu biru pada beberapa bahagian. Sistem bunyi adalah daripada Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

    Satu lagi peningkatan baru pada Clubman ini adalah skrin sesentuh 6.5 inci resolusi tinggi dengan sistem navigasi dan MINI Connected dengan teknologi 4G SIM binaan dalam. Melaluinya, pengguna juga boleh menggunakan ciri Intelligent Emergency Call dan MINI TeleServices.

    Aplikasi MINI Connected yang boleh disambungkan kepada sistem infotainmen ini telah dikemas kini untuk menawarkan servis digital seperti Concierge Service, Apple Carplay dan MINI Online. Antara fungsi yang boleh digunakan adalah menghantar info navigasi dari telefon ke kereta, menunjukkan lokasi, tahap minyak serta status kenderaan, dan membunyikan hon atau menyalakan lampu dari jauh.

    MINI Clubman F54 facelift sudah boleh dilihat di pusat pameran bermula hari ini dan ditawarkan dalam warna British Racing Green, Pepper White, Thunder Grey, Melting Silver, Starlight Blue dan Indian Summer Red.

     
     
  • Mitsubishi Attrage dan Mirage facelift – teaser rasmi disiar, bakal muncul di Thailand 18 November ini

    Mitsubishi Attrage dan Mirage facelift – teaser rasmi disiar, bakal muncul di Thailand 18 November ini

    Baru minggu lepas kami menyiarkan imej spyshot Mitsubishi Mirage versi facelift terbaharu dikesan sedang di uji di Thailand, dan hari ini kami menerima emel dari Mitsubishi sendiri yang mengumumkan bahawa hatchback berkenaan bersama kembar sedannya iaitu Attrage dengan muka baharu akan didedahkan pada 18 November ini, juga di Thailand.

    Serentak dengan pengumuman tersebut, Mitsubishi turut menyiarkan imej teaser kedua-dua model berkenaan – seperti imej yang terdedah sebelum ini, sedan dan hatchback segmen-A itu kini diberikan muka signatur ‘Dynamic Shield’ terbaharu Mitsubishi seperti pada trak pikap Triton dan juga MPV/SUV Xpander.

    Walau bagaimanapun, muka pasangan ini menerima lampu hadapan yang tidak direka senipis muka-muka Dynamic Shield pada model-model lain. Namun kemasan krom berbentuk ‘X’ pada muka dan juga gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah menzahirkan DNA rekaan signatur berkenaan.

    Mitsubishi Mirage 2011 (kiri) dan model facelift 2015 (kanan)

    Mitsubishi Mirage generasi ke enam ini bukanlah baharu dalam pasaran. Ia telahpun diperkenalkan sejak tahun 2011, dan telah menerima facelift kali pertama pada tahun 2015. Mirage dan Attrage dikelaskan sebagai Kereta Eco Fasa 2 di Thailand, dan model baharu ini dijangka masih dijana oleh enjin 1.2 liter tiga-silinder yang sama, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan.

    Undang-undang untuk Kereta Eco Fasa 2 ini mensyaratkan kereta berkenaan perlu beroperasi dengan menghasilkan emisi CO2 tidak melebihi 100 g/km dengan ekonomi bahan api sekurang-kurangnya 23.25 km/l.

    Apa yang dilakukan Mitsubishi terhadap Mirage dan Attrage ini sama seperti pada ASX, dimana model yang telah berada dalam pasaran sejak 2010 itu diberikan satu lagi facelift baharu pada tahun ini, dengan elemen Dynamic Shield yang sama.

     
     
  • EICMA 2019: BMW R18 /2 Concept tunjuk potensi kerangka asas serta enjin boxer 1,800 cc yang baru

    EICMA 2019: BMW R18 /2 Concept  tunjuk potensi kerangka asas serta enjin boxer 1,800 cc yang baru

    BMW Motorrad sekarang ini mempunyai sebuah enjin boxer dua silinder 1,800 cc baru yang perincian teknikalnya masih belum didedahkan sepenuhnya. Bagi menunjukkan potensi enjin ini, mereka telah membangunkan struktur asas, dan menghasilkan beberapa model konsep.

    Dua daripadanya dibuat dengan kerjasama Revival Cycles dari Amerika Syarikat dan Custom Works Zon dari Jepun, manakala satu lagi, iaitu R18 Concept dibangunkan oleh BMW Motorrad sendiri dan ditunjukkan kepada awam Mei lalu. Kini, tiba masa untuk satu lagi model daripada BMW Motorrad yang menggunakan enjin ini, iaitu R18 /2 Concept.

    Sementara R18 lebih kepada gaya klasik yang elegan, R18 /2 ini pula menggabungkan gaya dari masa lampau dan masa hadapan, untuk menghasilkan sebuah cruiser prestasi. Tempat duduknya masih lagi satu, tetapi dengan fairing di hadapan dan fender pendek di belakang. Kebanyakan panel badan dicat dengan warna Candy Apple Red Metallic, dan tona warnanya boleh berubah bergantung kepada cahaya.

    Penggunaan rim 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang menurut BMW menghasilkan gaya dragster yang dinamik, dan motosikal ini juga dipasang dengan barangan prestasi seperti brek daripada Brembo serta sistem ekzos stainless steel yang dibuat khas oleh Hattech.

    Menurut BMW Motorrad, R18 /2 ini menunjukkan betapa fleksibelnya enjin serta suspensi yang asas ini sebagai satu platform permulaan untuk projek kustom dan betapa senangnya untuk mencapai pelbagai gaya melaluinya. Daripada maklumat yang ada sebelum ini, model sebenar hanya akan diperkenalkan pada tahun 2020.

     
     
  • HKS dedahkan kit badan lebar GR Supra di SEMA 2019

    HKS dedahkan kit badan lebar GR Supra di SEMA 2019

    Jun lalu penala ‘old-timer’ Jepun, HKS telah mendedahkan jentera drift GR Supra A90 untuk Nobuteru Taniguchi yang menggunakan kit badan lebar dari Tra-Kyoto Rocket Bunny. Kini semasa berlangsungnya SEMA 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat, penala tersebut memperkenalkan pula kit badan lebar rekaan mereka sendiri untuk Toyota Supra generasi baharu berkenaan.

    Kit badan rekaan HKS ini nyata lebih ‘clean‘ dengan elemen-eleman yang nampak menampilkan aspek lebih aerodinamik seperti jentera-jentera time attack siri ‘Tsukuba Record Breaker’ (TRB) mereka. Supra HKS ini diberikan spoiler bawah bampar yang begitu lebar dan kemudian bersambung dengan panel overfender kiri dan kanan.

    Tidak seperti kit Rocket Bunny yang nampak lebih bulat, overfender kit HKS ini menampilkan rekaan lebih bersegi pada penghunjung fender yang kelihatan seakan mengalirkan udara dari bampar hadapan. Rekaan sama diberikan pada overfender pada ruang roda belakang, dan ia turut ditambah dengan splitter udara di atas serta satu lagi di bawah yang bersambung dengan diffuser pada bampar belakang.

    HKS dedahkan kit badan lebar GR Supra di SEMA 2019

    Rekaan ‘ekor itik’ asal pada pintu tailgate ditutup dengan spoiler ‘ekor itik’ yang lebih besar, dan tidak cukup dengan itu spoiler GT bersaiz gergasi turut dipadankan dengan disangkut pada ruang nombor pendaftaran bampar belakang.

    Badan kereta ini dirapatkan lagi ke permukaan bumi dengan penggunaan set suspensi lengkap boleh laras HKS Hipermax. Ia kemudian dilengkapkan dengan pemadanan rim Advan Racing GT 19-inci berwarna putih sama seperti Supra D1 Taniguchi, dan di balut dengan tayar Yokohama Advan.

    Selain itu, Supra ini turut menerima peralatan aftermarket lain seperti penuras udara jenis drop-in dan muffler dari HKS, pad brek dari Endless dan juga tempat duduk bucket dari Bride. Ok, sekarang mana anda rasa lagi handsome? Kit dari Rocket Bunny atau HKS ini?

     
     
  • EICMA 2019: Honda CB4X Concept ganti CB500X?

    EICMA 2019: Honda CB4X Concept ganti CB500X?

    Selain CBR1000RR-R, Honda juga ada membawa sebuah motosikal konsep baru ke EICMA 2019 iaitu CB4X Concept. Ia adalah satu eksperimen rekaan oleh Valerio Aiello dan pasukannya yang bekerja di pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Rome, Itali.

    Tema yang digunakan adalah “keseronokan tujuh hari seminggu”, di mana motosikal ini menggabungkan elemen Sport, Touring dan Crossover. Ideanya adalah supaya pemilik dapat menggunakannya dalam kawasan urban pada hari-hari biasa dan bila hujung minggu, mereka boleh pergi menjelajah.

    Banyak garisan-garisan tajam digunakan pada panel badan CB4X Concept ini, sementara bahagian hadapannya menggunakan fairing seperti motosikal sports. Pemegang terletak tinggi dengan terdapat pelindung di hujung, sementara penghadang angin pula dikatakan boleh dilaras.

    EICMA 2019: Honda CB4X Concept ganti CB500X?

    Tiada perincian teknikal yang dikeluarkan untuk motosikal ini tetapi kita boleh melihat manifold ekzosnya mempunyai persamaan seperti model siri 650 Honda sekarang yang menggunakan enjin empat silinder sebaris. Rim adalah 17 inci manakala kelengkapan lain yang boleh dilihat adalah termasuk lengan ayun single sided, ekzos SC Project, brek Brembo serta suspensi Ohlins.

    Rekaan ini mungkin nampak terlalu moden bagi motosikal produksi Honda, tetapi anda boleh melihat Yamaha juga sudah beralih ke arah ini dengan Tracer 700 yang juga baru didedahkan di EICMA 2019. Itu belum termasuk pengeluar dari Eropah seperti MV Agusta dan lain-lain. Mungkinkah terdapat keberanian pada Honda untuk menggunakan rekaan ini pada model produksi?

     
     
  • Infiniti bakal lancar lima kereta baharu menjelang 2022 – termasuk barisan kenderaan elektrifikasi dan hibrid

    Infiniti bakal lancar lima kereta baharu menjelang 2022 – termasuk barisan kenderaan elektrifikasi dan hibrid

    Infiniti telah mengumumkan perancangan untuk melancarkan lima kereta baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan yang pertamanya merupakan versi coupe bagi QX50 yang dijangka pada pertengahan 2020. Menurut Automotive News, crossover coupe tersebut, digelar QX55, dijangka akan menerima garisan bumbung sloping yang diinspirasikan dari QX70 generasi pertama (atau dikenali sebagai Infiniti FX).

    Ia akan berkongsi enjin yang sama seperti QX50 iaitu 2.0 liter turbocharged empat-silinder, dan QX55 ini dijangka menerima elemen rekaan yang unik termasuk bahagian hadapan yang disemak semula serta rekaan gril baharu. Ia dibuat istimewa untuk pelanggan yang inginkan utiliti penting tapi dalam masa yang sama mahukan penggayaan bagi komponen kereta, ujar pengarah perancangan produk syarikat Tim Franklin kepada penerbitan terbabit. “Ia juga disasarkan untuk keluarga kecil dan individu bujang yang mahukan ruang, dan untuk gaya,”tambahnya lagi.

    Selain itu, QX60 facelift, model terlaris Infiniti di US buat masa ini, juga akan dilancarkan,. Peningkatannya termasuk gril radiator yang besar, bumbung dwi-tona, dan skrin 12.3-inci – satu untuk kluster instrumen, dan satu lagi untuk sistem infotainmen.

    Ketua perancangan dan strategi produk global Infiniti, Eric Rigaux berkata, “Secara keseluruhannya, penggayaan (QX60) lebih dramatik berbanding dengan apa (model semasa) kita ada hari ini. Gayanya lebih kepada SUV tapi lebih menyerlah.”

    Dalam pertengahan tempoh itu juga, Infiniti akan melancar tiga kenderaan elektrifikasi – crossover dan dua sedan. Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada strategi elektrifikasi “dua penjana kuasa, satu platform” Infiniti. Syarikat ini juga akan melancarkan kereta berasaskan teknologi lanjutan Nissan ePower, yang menggunakan enjin petrol untuk mengecas bateri onboard lithium-ion yang menggerakkan kereta itu.

    Difahamkan, QS50 yang bakal menggunakan e-Power akan dijanakan oleh enjin turbo mampatan pembolehubah (VC-Turbo) dan ia akan menyalurkan kuasa kepada bateri yang menggerakkan dua motor elektrik. Sistem itu juga akan digandingkan dengan AWD, dan kemungkinan juga akan diperkenalkan menerusi konsep QX Inspiration pada awal tahun hadapan. Dengan pengecasan penuh, julat pergerakan elektrik tulen dikatakan berada di bawah 500 km.