Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chevrolet Corvette Stingray Convertible C8 diperkenal

    Chevrolet Corvette Stingray Convertible C8 diperkenal

    Selepas satu bulan Chevrolet Corvette Stingray C8 dilancarkan, sekarang ia mendapat versi bumbung boleh buka secara elektik pula. Harga untuk model baru ini US$7,500 (RM31,384) lebih mahal berbanding versi coupe (dengan bumbung yang boleh dibuka secara manual) yang dijual pada harga US$59,995 (RM251,055).

    Pada bahagian mekanikal, varian baru ini sama sahaja dengan varian coupe, dan ia masih dikuasakan oleh enjin V8 NA 6.2 liter LT2 yang mampu menghasilkan 495 hp dan 637 Nm tork. Transmisi pula adalah unit automatik klac berkembar lapan kelajuan, tetapi catatan prestasi tidak didedahkan.

    Untuk menggunakan bumbung yang terbahagi kepada dua ini, keseluruhan bahagian belakang telah direka semula untuk memuatkan pelindung bahagian atas serta penghadang angin kaca yang boleh dilaras secara elektronik. Penutup bahagian enjin kaca pula diganti dengan besi biasa yang berlubang.

    Chevrolet Corvette Stingray Convertible C8 diperkenal

    Menurut Chevrolet, bumbung varian Convertible ini boleh digunakan pada kelajuan sehingga 48 km/j, mempunyai enam motor dan boleh dibuka dan ditutup dalam masa 16 saat. Satu perkara menarik, tidak seperti biasa, Stingray Convertible ini masih mempunyai ruang simpanan yang sama dengan versi coupe, walaupun dengan bumbung dibuka. Dalam keadaan standard bumbungnya akan diwarnakan sama seperti badan, tapi ada juga pilihan kemasan Carbon Flash metalik.

    Selain bahagian yang dinyatakan tadi, semuanya kelihatan sama seperti versi coupe, termasuklah spoiler belakang yang merupakan sebahagian daripada pakej Z51 Performance. Beberapa bahagian lain seperti casis, spring dan penyerap turut ditala semula untuk memastikan prestasi yang hampir sama seperti versi coupe.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 23,476 unit pelbagai model untuk tukar inflator beg udara Takata

    Honda Malaysia panggil balik 23,476 unit pelbagai model untuk tukar <em>inflator</em> beg udara Takata

    Honda Malaysia telah mengumumkan satu lagi panggilan balik yang melibatkan sejumlah 23,476 unit yang terdiri daripada model Accord, City, Civic, CR-V, Insight, Jazz dan Stream yang pernah terlibat dengan kempen panggilan balik sebelum ini akibat inflator beg udara Takata yang bermasalah. Syarikat ini berkata, ini adalah langkah pencegahan dan tidak melibatkan sejumlah kenderaan yang dipanggil balik, dan untuk mengganti beg udara yang bermasalah itu.

    Model yang terjejas yang tersenarai dalam jadual di bawah (satu untuk inflator beg udara hadapan pemandu dan satu lagi melibatkan inflator beg udara penumpang hadapan), dan pelanggan yang terlibat digesa untuk menggantikan komponen tersebut secepat mungkin. Penggantian beg udara yang bermasalah ini adalah percuma dan kos penukarannya ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia sendiri.

    Klik untuk besarkan

    Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan oleh Honda Malaysia dan boleh menghantar kenderaan masing-masing di mana-mana 95 pusat servis Honda yang bertauliah untuk pemeriksaan dan penggantian komponen. Honda Malaysia turut menambah telah mempunyai 100% ketersediaan stok bagi komponen ganti yang boleh didapati dalam tempoh waktu pendek untuk memastikan proses penukaran berjalan lebih lancar untuk kenderaan yang terbabit.

    Setakat 1 Oktober 2019, Honda Malaysia telah menggantikan lebih 249,000 unit inflator beg udara hadapan pemandu, iaitu merangkumi 91% kadar penyelesaian. Sementara itu, kadar penyelesaian bagi inflator beg udara pemandu dan penumpang hadapan pula telah melebihi 537,000 unit atau 89% selesai. Walau bagaimana semua model semasa yang masih dalam jualan tidak terlibat dengan panggilan balik ini.

    Pemilik boleh menyemak status panggilan balik kenderaan masing-masing menerusi laman web rasmi Honda Malaysia atau pun VINCHECKER, selain menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020.

    Menerusi siaran akhbar yang diedarkan, Honda Malaysia menyeru agar semua pelanggan yang terjejas untuk segera melakukan penggantian inflator beg udara ini kerana ia mungkin akan meletup sekiranya berlaku sebarang insiden dan kebarangkalian boleh mendatangkan risiko terhadap pemandu dan penumpang terbabit.

     
     
  • Mitsubishi MI-Tech dan Super Height K-Wagon Concept akan dibawa ke Tokyo Motor Show 2019

    Mitsubishi MI-Tech dan Super Height K-Wagon Concept akan dibawa ke Tokyo Motor Show 2019

    Bulan lepas Mitsubishi telah mengumumkan bakal membawa sebuah model konsep SUV PHEV ke Tokyo Motor Show 2019, dengan satu gambar teaser disiar. Sekarang, satu lagi gambar dikeluarkan, dan nama model konsep itu didedah, iaitu MI-Tech. Selain model ini, Mitsubishi juga akan membawa satu lagi model konsep yang dipanggil sebagai Super Height K-Wagon.

    Melalui gambar yang disiarkan, MI-Tech boleh dilihat mempunyai badan terbuka tanpa bumbung dan pintu. Tempat duduk pula cuma ada dua dan ia menggunakan muka Dynamic Face yang sudah menjadi identiti jenama itu, lengkuk roda yang lebar, bonet menggelembung serta dua bonjolan di belakang siap dengan kipas.

    Ia mungkin digunakan untuk menyampaikan udara sejuk kepada penggerak kereta ini, namun perinciannya masih belum didedahkan. Apa yang diketahui, kereta ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik penuh dan beberapa mod hibrid.

    Mitsubishi MI-Tech dan Super Height K-Wagon Concept akan dibawa ke Tokyo Motor Show 2019

    Selain daripada itu, ia juga akan dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda, yang dipanggil sebagai Quad Motor dengan Dual Motor Active Yaw Control (AYC) – dua motor dipasang pada kedua-dua gandar hadapan dan belakang (semuanya ada empat motor). Pada bahagian dalam pula informasi akan dipantulkan pada cermin hadapan yang disokong dengan sistem AR, serta pelbagai lagi sistem bantuan aktif lain.

    Pergi pula kepada satu lagi model konsep Super Height K-Wagon, ia mempunyai rekaan yang lebih pelik, dengan bentuk kotak yang memberi lebih fokus kepada ruang. Antara yang boleh dilihat pada model ini adalah muka Dynamic Shield, lengkuk roda yang lebih jelas serta rim yang kecil.

     
     
  • Volvo S60 2019 bakal dilancarkan di Malaysia

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mula menguar-uarkan kedatangan S60 generasi ketiga menerusi laman web rasmi dan media sosial, malah sesiapa berminat sudah boleh membuat pendaftaran menerusi ruang yang disediakan. Sebelum ini, VCM pernah berkata sedan ini bakal dilancarkan pada suku ketiga 2019, tapi sekarang dah masuk suku ke-empat, walau terlajak dari jangka masa yang dirancang, tapi mungkin juga ia akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini.

    Buat masa ini, perincian mengenai varian yang ditawarkan dan harganya masih belum didedahkan. Namun dijangka ia akan disertai varian T6 AWD, dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo dan supercharged empat-silinder dengan kuasa 310 hp dan 400 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik sumber-Aisin lapan-kelajuan.

    Kalau ikut pasaran global, S60 juga ditawarkan dengan dua enjin plug-in hybrid, termasuk unit T6 Twin Engine AWD (340 hp/590 Nm) dan T8 Twin Engine AWD (390 hp/640 Nm), yang turut ditawarkan oleh V60. Baru-baru ini, S60 station wagon T8 AWD Inscription pernah dikesan di Malaysia, walau bagaimana pun tidak diketahui adakah model tersebut akan dilancarkan bersama versi sedan.

    Kami juga menjangka kumpulan pertama S60 (dan V60) akan tiba dengan unit import sepenuhnya (CBU) sebelum unit pemasangan tempatan (CKD) dipasang di kilang pemasangan di Shah Alam bagi memenuhi pasaran domestik dan dieksport ke Thailand. Seperti S90, XC90 dan XC60 sebelum ini, varian T5 (254 hp dan 350 Nm) juga akan menyertai barisan ini jika ia dilaksanakan. Apa pun, kita hanya akan mengetahui lebih banyak perincian mengenai S60 ini apabila ia dilancarkan di pasaran tempatan kelak.

    GALERI: Volvo S60 R-Design 2019

     
     
  • Mazda CX-5 CKD dilancar di Malaysia – lima varian, tambahan enjin 2.5L Turbo baru, harga dari RM137k

    Mazda CX-5 CKD dilancar di Malaysia – lima varian, tambahan enjin 2.5L Turbo baru, harga dari RM137k

    Selepas dipertontonkan awal bulan lalu, Mazda CX-5 versi kemas kini tahun 2019 sudah pun dilancarkan secara rasmi dalam lima varian iaitu 2.0 2WD Mid (RM137k), 2.0 2WD High (RM154k), 2.5 2WD High (RM164k), 2.2D 2WD High (RM169k), dan 2.5 4WD High (RM178k). Semuanya dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah (CKD).

    Enjin paling berkuasa untuk CX-5 baru ini adalah unit 2.5 liter turbo (pada varian 2.5 4WD High), membolehkan ia menghasilkan kuasa setinggi 228 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula seawal 2,000 rpm. Untuk pilihan diesel pula, ia kekal dengan enjin SkyActiv-D 2.2 liter turbodiesel empat-silinder yang menghasilkan 188 hp pada 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 2,000 rpm.

    Untuk varian lain, ia masih kekal dengan unit penjana sama. Oleh itu, semua versi 2.0L dijana unit SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Begitu juga varian 2.5 2WD High, unit penjana SkyActiv-G 2.5 liter tanpa turbo masih digunakan, menghasilkan 192 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 258 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Mazda CX-5 CKD dilancar di Malaysia – lima varian, tambahan enjin 2.5L Turbo baru, harga dari RM137k

    Semua enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan lengkap dengan sistem i-Stop. Ciri Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga dipasang standard untuk semua varian. Semua varian 2.0 akan menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar 225/65R17, manakala yang lebih tinggi lain diberikan rim 19-inci dibaluti tayar 225/55R19.

    Kelengkapan standard untuk semua varian adalah termasuk lampu utama LED automatik dengan lampu belakang, lampu kabus dan DRL juga LED – kecuali pada varian 2.0 2WD yang hadir dengan DRL mentol biasa. Varian paling rendah juga tiada ciri sistem tanpa kunci, tiada pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik dan tiada sensor parkir (empat di depan dan empat di belakang).

    Masuk ke kabin, kelengkapan yang ditawarkan termasuk butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa dua-zon, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold serta roda stereng dengan suis pelbagai-fungsi. Selain itu, sistem infotainmen Mazda Connect juga adalah standard, dengan skrin sentuh tujuh-inci, Commander Control, enam pembesar suara dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mazda CX-5 CKD dilancar di Malaysia – lima varian, tambahan enjin 2.5L Turbo baru, harga dari RM137k

    Selain varian paling asas, semua model lengkap dengan tempat duduk larasan elektrik (10-hala untuk pemandu, dengan fungsi memori; enam-hala untuk penumpang), balutan kulit, serta kemasan kayu – varian 2.0 GL 2WD pula menerima kemasan berwarna gunmetal.

    Perbezaan lain antara varian ialah seperti pada bahagian kluster instrumen, dengan varian 2.0 menerima meter analog dan skrin LCD TFT 4.6-inci, sementara bagi varian 2.5 dan 2.2D pula menerima meter kelajuan digital menerusi skrin tujuh-inci Active Driving Display. Pilihan paling asas akan menerima kamera undur dan bukannya kamera 360-darjah seperti pada varian lain.

    Kelengkapan keselamatan pula hampir sama bagi semua varian; antaranya termasuk enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA) dan Isofix. Bagaimanapun, bagi ciri keselamatan maju, ada beberapa perbezaan penawaran. Varian paling asas tidak dilengkapi dengan ciri canggih ini.

    Misalnya, varian 2.0 2WD dan 2.5 2WD datang dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Smart City Brake Support Forward (SCBS F) – bagaimanapun, hanya model 2.5L yang menerima Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support Reverse (SCBS R).

    Tambahan lain bagi varian 2.5 4WD dan 2.2D 4WD pula ialah Adaptive LED Headlights (ALH), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS); tiada ciri Mazda Radar Cruise Control (MRCC) ditawarkan.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5 Turbo GLS AWD 2019

     
     
  • VW Beetle untuk dimenangi menerusi peraduan ‘Win the Icon’ – pandu uji, muat naik foto di Instagram

    VW Beetle untuk dimenangi menerusi peraduan ‘Win the Icon’ – pandu uji, muat naik foto di Instagram

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan penganjuran peraduan menerusi Instagram, “Win the Icon”, yang berlangsung mulai 1 Oktober hingga 30 November 2019. Peraduan itu dianjur berdasarkan kepada tagline Volkswagen, ‘Better experienced than explained’ dan hadiah utamanya memang cukup menarik iaitu sebuah Volkswagen Beetle 1.2 TSI baharu dan keputusan peraduan ini akan diumumkan pada Disember 2019.

    Untuk menyertainya, anda hanya perlu memandu uji sebuah model Volkswagen di mana-mana pengedar sah, rakamkan pengalaman itu ke dalam satu video berdurasi seminit dan letakkan kapsyen video yang paling kreatif bermula dengan ayat… “Kisah #BetterExperiencedThanExplained saya ialah…”.

    Kemudian tag @VolkswagenMalaysia di dalam posting tersebut. Apa pun, sila pastikan profil Instagram anda boleh diakses oleh orang ramai. Manalah tahu anda bertuah menjelang hujung tahun ini dan Beetle tersebut mungkin menjadi milik anda. Good luck!

     
     
  • MyCC cadangkan saman RM86.8 juta terhadap Grab

    MyCC cadangkan saman RM86.8 juta terhadap Grab

    Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mencadangkan saman berjumlah RM86.8 juta terhadap Grab Inc, Grab Car Sdn Bhd dan MyTeksi Sdn Bhd (Grab) kerena secara kolektif telah melanggar Akta Persaingan 2010, lapor The Star.

    Di bawah akta berkenaan, sesebuah syarikat dilarang terlibat di dalam sebarang perlakuan yang menjurus kepada salah guna kedudukan dominan, baik secara berasingan mahupun kolektif, walaupun untuk menjadi sebuah syarikat monopoli atau pemain utama bukanlah satu kesalahan, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Selesai siasatannya, MyCC mendapati bahawa Grab telah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan klausa penyekat kepada pemandu-pemandu, menghalang mereka daripada mempromosi dan penyediakan khidmat pengiklanan bagi pesaing-pesaing Grab di dalam pasaran penyedia perkhidmatan e-hailing dan pengiklanan media transit.

    CEO MyCC, Iskandar Ismail mencadangkan denda harian berjumlah RM15,000 dari tarikh hari ini bagi cadangan berkenaan sekiranya Grab gagal mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan seperti yang diarahkan oleh suruhanjaya itu. “Mereka mempunyai 30 hari untuk membentangkan pembelaan diri dan sehingga tarikh itu, denda RM15,000 akan dikenakan secara berterusan,” jelas Iskandar.

    MyCC cadangkan saman RM86.8 juta terhadap Grab

    “Kami sudah selesaikan siasatan. Ini tindakan yang dicadangkan, belum muktamad lagi. Grab perlu diberikan peluang untuk membela diri, dan selepas itu baru kita putuskan sama ada memang berlaku perlanggaran akta atau sebaliknya,” ujar beliau. Semua keputusan akhir akan ditentukan selepas mendengar pembelaan daripada pihak Grab terlebih dahulu.

    MyCC, yang bernaung di bawah KPDNHEP, sedang melihat untuk meminda undang-undang bagi memperkukuhkan bidang kuasanya ke atas perkara-perkara yang melibatkan penggabungan syarikat-syarikat perniagaan. Beliau menambah, siasatan itu telah dimulakan berikutan penggabungan antara Grab dan Uber pada Mac 2018, yang menyaksikan Uber mempunyai pegangan kepentingan 27.5% di dalam Grab selepas penjualan perniagaan Uber di Asia Tenggara.

    Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) sebelum itu telah mengeluarkan sama berjumlah US$9.5 juta (RM39.3 juta ketika itu) enam bulan selepas itu, dan mengarahkan Uber menjual kenderaan dari perniagaan sewaan tempatannya kepada mana-mana pesaing yang membuat tawaran berpatutan. Sementara Grab pula diperintahkan untuk menggugurkan syarat eksklusifnya dengan pemandu.

     
     
  • Honda CT125 antara motosikal yang akan ditunjukkan kepada dunia buat kali pertama di Tokyo Motor Show

    Honda CT125 antara motosikal yang akan ditunjukkan kepada dunia buat kali pertama di Tokyo Motor Show

    Untuk bahagian kereta, kita sudah tahu Honda akan menunjukkan kali pertama Jazz generasi baru di Tokyo Motor Show (TMS) 2019 yang akan berlangsung hujung bulan ini, tetapi bagi bahagian motosikal pula, mereka baru mendedahkan beberapa model yang akan dibawa ke sana.

    Sebagai tambahan kepada model semasa mereka, Honda akan membawa beberapa model motosikal baru, dengan tiga daripadanya ditunjukkan kali pertama kepada dunia iaitu Benly e dan Gyro e untuk kegunaan komersial, dan lebih menarik adalah CT125 yang akan dijual kepada umum sebagai tambahan untuk model retro kapasiti rendah mereka seperti Super Cub 125 dan Monkey.

    CT125 dibina dengan inspirasi daripada model klasik Trail 110 tahun 80-an, tetapi menggunakan asas moden daripada MSX125. Jadi, enjinnya juga sama seperti MSX125, Super Cub 125 dan Monkey iaitu unit satu silinder suntikan bahan api dengan kuasa sekitar 9 hp pada 7,500 rpm dan 9.98 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Seperti yang boleh dilihat pada gambar, CT125 menggunakan gaya ala scrambler dengan ekzos yang lebih tinggi dan pelindung berlubang, rangka yang terdedah, brek cakera depan dan belakang, tempat meletak barang di belakang, satu panel meter bulat serta rim jenis spoked.

    Selain motosikal yang disebutkan ini, Honda juga akan menampilkan model Africa Twin 2020 serta ADV 150 buat kali pertama di Jepun waktu TMS 2019. Africa Twin 2020 baru sahaja didedahkan di Eropah minggu lalu manakala ADV 150 pula didedahkan kali pertama di Indonesia Julai lalu.

     
     
  • PEKEMA tawar kursus Diploma Profesional dengan kerjasama UTMSPACE – turut dibuka kepada awam

    PEKEMA tawar kursus Diploma Profesional dengan kerjasama UTMSPACE – turut dibuka kepada awam

    Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mempunyai pusat pembelajaran mereka sendiri yang dikenali sebagai PEKEMA Learning Centre. Kini, ia telah dinamakan semula sebagai PEKEMA Academy Sdn Bhd dan menyediakan platform sebagai pusat latihan dan perundingan bersepadu untuk ahlinya.

    Melangkah lebih ke hadapan, PEKEMA Academy juga sekarang menawarkan tiga kursus Diploma Profesional, yang diadakan dengan kerjasama UTMSPACE iaitu Diploma Profesional Kecekapan Diagnostik Auto, Diploma Profesional Perunding Jualan Auto dan Diploma Profesional Strategi dan Perancangan Perniagaan.

    Walaupun asalnya dibuka untuk ahli PEKEMA, pemegang AP dan juga pemegang francais, kursus Diploma Profesional ini bagaimanapun sekarang juga dibuka kepada orang awam. Ia memberi peluang kepada mereka yang sudah bekerja dalam industri untuk mendapatkan Diploma yang berkaitan dengan masa yang lebih fleksibel berbanding kursus Diploma biasa di institusi pengajian lain.

    PEKEMA tawar kursus Diploma Profesional dengan kerjasama UTMSPACE – turut dibuka kepada awam

    Kursus yang ditawarkan oleh PEKEMA Academy ini akan bermula pada Januari 2020, dengan sasaran minimum 30 orang peserta dan yuran bawah RM10,000. Semua kursus ini akan mengambil masa setahun untuk lengkap, tetapi pengajaran cuma dilakukan pada hujung minggu dan lebih memberikan fokus kepada praktikal.

    Tenaga pengajar pula datang daripada warga PEKEMA sendiri yang mempunyai pengalaman luas dalam industri automotif, dan disertai oleh fasilitator dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk beberapa topik pembelajaran tertentu. Apabila lengkap, sijil itu akan dikeluarkan oleh UTMSPACE dan mendapat pengiktirafan daripada UTM serta Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Setakat ini UTMSPACE sudah mempunyai 27 “rakan kongsi pusat kerjasama” dari bermacam industri untuk menyediakan kursus seperti ini, namun PEKEMA Academy adalah yang pertama untuk industri automotif.

     
     
  • GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

    GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

    Mazda CX-5 2.5L turbo petrol telah didedahkan sekitar yang sebulan lalu, dan tempahannya juga sudah mula dibuka, namun sehingga kini ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Seperti yang telah diumumkan sebelumnya, varian baharu ini adalah serentak dengan kemaskini keseluruhan CX-5 untuk barisan model 2019, dan ia adalah sebagai model gantian untuk varian turbodiesel 2.2L GLS AWD, dimana versi diesel tersebut hanya ditawarkan dalam versi 2WD.

    Ini menjadikan CX-5 masih boleh dipilih dalam lima varian. Ia bermula dengan model asas 2.0 GL 2WD akan dijual pada harga jangkaan RM134,721 jika anda memilih warna solid atau RM138,500.20 untuk pilihan warna lain (kecuali warna premium yang perlu penambahan RM3,000 untuk semua varian).

    Model 2.0 GLS 2WD pula dijual pada harga jangkaan RM154,753.20, manakala 2.5 GLS 2WD berharga RM166,470.40. Satu-satunya varian diesel iaitu 2.2D 2WD GLS bakal dijual pada harga RM170,294.80. Untuk model baharu ini, varian tertinggi adalah model 2.5 Turbo GLS AWD, menerima enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter Turbo berkuasa 228 hp/420 Nm dijual pada harga RM176,899.40. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

    Untuk pilihan warna, hanya Artic White hadir sebagai pilihan warna solid biasa, manakala Jet Black, Meteor Grey, Sonic Silver dan Deep Crystal Blue adalah warna metalik. Pilihan warna metalik premium pula terdiri dari Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake White Pearl. Setiap pembelian Mazda CX-5 2019 ini akan diberikan tempoh jaminan lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma.

    Varian baharu 2.5L Turbo GLS AWD ini diberikan 2.5 liter lengkap dengan pengecas turbo, membolehkan ia menghasilkan kuasa setinggi 228 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 420 Nm pada bermula seawal 2,000 rpm. Manakala untuk pilihan diesel, ia kekal dengan enjin SkyActiv-D 2.2 liter turbodiesel empat-silinder menghasilkan 188 hp pada 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 2,000 rpm.

    Manakala untuk varian lain, ia masih kekal dengan unit penjana sama. Oleh itu, semua versi 2.0L dijana unit SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Begitu juga varian 2.5 GLS 2WD, unit penjana SkyActiv-G 2.5 liter tanpa turbo masih digunakan, menghasilkan 192 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 258 Nm pada takat 4,000 rpm.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

    Semua enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan lengkap dengan sistem i-Stop. Ciri Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga dipasang standard untuk semua varian. Semua varian 2.0 akan menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar 225/65R17, manakala yang lebih tinggi lain diberikan rim 19-inci dibaluti tayar 225/55R19.

    Kelengkapan standard untuk semua varian termasuk lampu utama LED automatik dengan lampu belakang, lampu kabus dan DRL juga LED – kecuali pada varian 2.0 GL 2WD yang hadir dengan DRL mentol biasa. Varian paling rendah juga tiada ciri sistem tanpa kunci, tiada pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik dan tiada sensor parkir (empat di depan dan empat di belakang).

    Masuk ke kabin, kelengkapan yang ditawarkan termasuk butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa dua-zon, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold serta roda stereng dengan suis pelbagai-fungsi. Selain itu, sistem infotainmen Mazda Connect juga adalah standard, dengan skrin sentuh tujuh-inci, Commander Control, enam pembesar suara dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain varian paling asas, semua model lengkap dengan tempat duduk larasan elektrik (10-hala untuk pemandu, dengan fungsi memori; enam-hala untuk penumpang), balutan kulit, serta kemasan kayu – varian 2.0 GL 2WD pula menerima kemasan berwarna gunmetal.

    Perbezaan lain antara varian ialah seperti pada bahagian kluster instrumen, dengan varian 2.0 menerima meter analog dan skrin LCD TFT 4.6-inci, sementara bagi varian 2.5 dan 2.2D pula menerima meter kelajuan digital menerusi skrin tujuh-inci Active Driving Display. Pilihan paling asas akan menerima kamera undur dan bukannya kamera 360-darjah seperti pada varian lain.

    Kelengkapan keselamatan pula hampir sama bagi semua varian; antaranya termasuk enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA) dan Isofix. Bagaimanapun, bagi ciri keselamatan maju, ada beberapa perbezaan penawaran.

    Varian paling asas tidak dilengkapi dengan ciri canggih ini. Misalnya, varian 2.0 GLS 2WD dan 2.5 GLS 2WD datang dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Smart City Brake Support Forward (SCBS F) – bagaimanapun, hanya model 2.5L yang menerima Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support Reverse (SCBS R).

    Tambahan lain bagi varian 2.5L Turbo AWD dan 2.2D GLS AWD pula ialah Adaptive LED Headlights (ALH), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS); tiada ciri Mazda Radar Cruise Control (MRCC) ditawarkan.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5 Turbo GLS AWD 2019

     
     
  • Audi Centre Setia Alam mula beroperasi – fasiliti empat tingkat, tampil identiti korporat terkini

    Audi Centre Setia Alam mula beroperasi – fasiliti empat tingkat, tampil identiti korporat terkini

    Audi telah membuka pusat 3S baharu di Setia Alam, dengan keluasan hampir 60,000 kaki persegi dan turut menampilkan konsep binaan Audi Terminal. Fasiliti 4S setinggi empat tingkat ini turut menampilkan identiti korporat terkini, termasuk untuk bahagian Jualan, Servis, Alat Ganti dan ruang Body & Paint.

    Menurut Audi, kelengkapan yang digunakan adalah menepati standard yang ditetapkan oleh Audi AG. Sempena dengan pembukaannya, orang ramai dijemput untuk ke Audi Centre Setia Alam Open Haus pada 4-5 Oktober ini. Beberapa model terkini Audi akan dipamerkan, dan pelbagai promosi serta hadiah menarik bakal diberi.

    Ketua Jabatan Audi Malaysia, Markus Schuster berkata, ” Tahun ini, kami telah mengembangkan portfolio model kami di Malaysia termasuk barisan SUV terkini, dari kompak Q2 hinggalah ke saiz penuh Q8. Kami juga memperkenalkan sedan premium terkini, termasuklah Audi A6, A7 Sportback dan Audi A8. Kerjasama dengan rakan kongsi kami, diharap kami dapat terus memberikan pengalaman dan pemilikan terbaik untuk para peminat Audi.”

    Pengarah urusan Rimau International, Masamitsu Kokoi berkata, “Pembukaan Audi Centre Setia Alam ini merupakan kejayaan bagi kami sebagai pengedar Audi di Malaysia dan ini merupakan kerjasama pertama kami di luar pasaran negara kami. Dengan kapasiti yang meningkat bagi fasiliti baharu jenama ini, kini kami mampu memberikan kelengkapan yang lebih baik untuk para pelanggan/”

    Audi Centre Setia Alam terletai di No. 22A, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, Seksyen U13, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Pusat servis dibuka dari Isnin hingga Sabtu, dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, sementara bilik pameran jualan pula beroperasi setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi pengedar di talian 03-33626555.

     
     
  • Proton tawar faedah tambahan sehingga RM3k untuk pembeli X70 – melibatkan pembelian pada Okt sahaja

    Proton tawar faedah tambahan sehingga RM3k untuk pembeli X70 – melibatkan pembelian pada Okt sahaja

    Semalam Proton mengumumkan prestasi jualannya yang terkini, dan susulan dengan pengumuman tersebut, pengeluar kereta nasional pertama ini turut memaklumkan penawaran faedah tambahan bagi mereka yang membeli SUV X70 pada Oktober 2019 ini.

    Ini termasuklan pakej insurans yang disubsidi bernilai sehingga RM1,000 sekiranya anda menginsuranskan X70 baharu anda dengan panel insurans Proton, dan juga mendapat insentif lebihan bernilai sehingga RM2,000.

    Secara standard, setiap pembelian X70 turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had, lima kali servis buruh percuma dan lima-tahun pakej data Internet (1 GB sebulan).

    Buat masa ini, X70 ditawarkan dengan empat varian – Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD – dengan harga antara RM99,800 dan RM123,800 atas jalan tanpa insurans.

    Semua varian dilengkapi enjin petrol 1.8 liter pengecas turbo yang mampu menghamburkan output sehingga 184 PS dan tork 285 Nm, dengan menyalurkan kuasanya ke roda hadapan atau semua-roda menerusi transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
  • RRJ Capital tawar RM3 bilion beli PLUS M’sia – tol akan turun 20%; konsesi tambah 20 tahun lagi

    RRJ Capital tawar RM3 bilion beli PLUS M’sia – tol akan turun 20%; konsesi tambah 20 tahun lagi

    RRJ Capital – syarikat swasta yang berpangkalan di Hong kong, diterajui rakyat Malaysia – telah menawarkan tunai sebanyak RM3 bilion untuk membeli PLUS Malaysia, bagi membolehkan mereka mengambil 100% kepentingan pada syarikat konsesi lebuhraya tersebut.

    Buat masa sekarang, PLUS Malaysia dimiliki oleh UEM Group (subsidiari dari Khazhanah) dengan pegangan saham 51% dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan saham 49%. Syarikat tersebut bertanggungjawab dalam operasi dan juga penyelenggaraan untuk lebuhraya sejauh 957 km dalam portfolio PLUS.

    Dalam laporan oleh The Edge dan Reuters, jika tawaran tersebut diterima, RRJ turut akan mengambil alih kepentingan kedua-dua syarikat dalam pinjaman tidak terjamin boleh tukar boleh tebus (RCULS) yang dikeluarkan oleh Projek Lebuhraya Usahasama (PLUS), iaitu subsidiari penuh PLUS Malaysia.

    RRJ turut menyatakan bahawa sekiranya mereka berjaya dalam tawaran ini, kadar tol sepanjang lebuhraya kendalian PLUS Malaysia akan diturunkan sebanyak 20%. Tetapi, dalam cadangan tersebut turut menyatakan bahawa tempoh konsesi turut akan dipanjangkan dengan tambahan 20-tahun, yang akan tamat pada 2038, tanpa kenaikan tol secara berperingkat.

    RRJ Capital tawar RM3 bilion beli PLUS M’sia – tol akan turun 20%; konsesi tambah 20 tahun lagi

    Perincian lain yang turut dinyatakan adalah urusniaga ini akan menamatkan komitmen ganti rugi kerajaan sedia ada kepada PLUS Malaysia kerana menangguhkan kadar kenaikan tol. Ini akan membolehkan kerajaan tidak perlu untuk membayar RM2.7 bilion kepada PLUS Malaysia dari 2020 hingga 2025 di bawah perjanjian kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, kerajaan masih lagi perlu menjadi penjamin kepada berberapa hutang PLUS, yang kini berjumlah sekitar RM30 juta.

    “RRJ kini bersedia untuk bergerak cepat dengan penasihat kewangan dan teknikal kami bagi mula berunding dan usaha yang wajar dilakukan sekiranya tawaran yang kami cadangkan ini diterima,” kata RRJ dalam suratnya bertarikh 25 September.

    Dokumen tersebut turut menyatakan RRJ akan memperkenalkan teknologi dan sistem terkini, yang kini digunakan oleh negara seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat. Ini termasuk sistem kutipan tol elektronik seperti EZPASS di AS, yang tidak memerlukan sebarang pondok tol.

    Rancangan lain yang dinyatakan termasuk penggunaan data besar serta kecerdasan buat­an (A.I) bagi mengkaji sistem trafik untuk mengurangkan kesesakan trafik, sistem kadar tol berbeza antara waktu puncak dan bukan puncak, laluan laju khas untuk kereta yang lebih dari dua atau tiga penumpang, dan sistem kadar berkembar elektronik yang akan mengenakan kadar tol lebih tinggi kepada kereta lebih premium.

    “Ada berberapa cadangan untuk lebuhraya bertol. Khazanah sendiri telah menghantar berberapa cadangannya kepada kerajaan. Yang penting, terpulang kepada kerajaan untuk menilai cadangan-cadangan tersebut dan membuat keputusan apa yang terbaik untuk negara dan rakyat,” kata jurucakap Khazanah kepada Reuters.

    RRJ Capital tawar RM3 bilion beli PLUS M’sia – tol akan turun 20%; konsesi tambah 20 tahun lagi

    Sebelum ini, perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dilaporkan berkata Khazanah akan menjual aset yang ‘tidak digunakan’ oleh kerajaan sebagai langkah untuk mendapatkan dana untuk membayar hutang negara.

    “Terdapat kawalan ke atas industri tertentu tetapi soal pembabitan kerajaan dalam perniagaan, kami sentiasa percaya bahawa kerajaan tidak patut terbabit dalam perniagaan. Kami tidak bagus dalam perkara itu,” kata Tun ketika ditanya adakah Khazanah akan terus menjual sahamnya dalam syarikat berkait kerajaan dalam satu dialog yang berlangsung di New York baru-baru ini.

    RRJ bukan satu-satunya syarikat yang membuat tawaran untuk memiliki PLUS Malaysia. Maju Holdings turut menghantarkan cadangan yang sama dengan tawaran RM3.5 bilion di mana RM2 bilion dalam bentuk tunai dan baki RM1.5 bilion lagi adalah pampasan kepada kerajaan.

    Dalam tawaran Maju Holdings ini, mereka memberikan pilihan empat senario iaitu penurunan kadar tol sebanyak 25% bersama tambahan konsesi selama 10-tahun, penurunan 30% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 15-tahun, penurunan 33% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 20 tahun atau penurunan 36% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 30-tahun.

    Juga terdapat rundingan cadangan kerajaan yang dilaporkan oleh NST, bagi mengambil alih 15 lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara Selatan yang diuruskan oleh PLUS dengan jumlah RM43 bilion menerusi terbitan kertas hutang kepada konsesi-konsesi lebuhraya.

     
     
  • Data jualan kenderaan Ogos 2019 ikut jenama – teratas milik Perodua, Proton terus catat pertumbuhan positif

    Data jualan kenderaan Ogos 2019 ikut jenama – teratas milik Perodua, Proton terus catat pertumbuhan positif

    Ogos 2019 menunjukkan data jualan kenderaan di Malaysia dengan corak yang berbeza-beza. Perodua masih kekal teratas walaupun hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7% sahaja berbanding Julai. Ini disumbangkan oleh angka jualan sebulan sebanyak 20,070 unit. Setakat ini, sepanjang 2019, Perodua telah menjual keseluruhan kenderaan sebanyak 161,776 unit.

    Proton pula, walaupun kekal ditempat kedua, memperlihatkan pertumbuhan yang lebih tinggi, iaitu 6.3% berbanding bulan sebelumnya. Syarikat ini menjual sebanyak 9,127 unit kenderaan (8,590 unit pada Julai). Namun, angka jualan keseluruhan setakat ini ialah 61,235 unit – masih jauh di belakang Perodua.

    Selain Honda, dua lagi jenama utama Jepun pada kedudukan teratas sebaliknya merekodkan penurunan. Honda berjaya menjual sebanyak 7,577 unit, naik hanya 0.6% berbanding bulan Julai. Sementara itu, jualan Toyota pula sedikit menurun; 5,415 unit berbanding 5,660 unit bagi Julai; turun 4.3%. Nissan pula menurun lebih ketara, iaitu sebanyak 14.8% – sepanjang Ogos hanya mencatatkan jualan 1,707 unit.

    Data jualan kenderaan Ogos 2019 ikut jenama – teratas milik Perodua, Proton terus catat pertumbuhan positif

    Lain pula ceritanya dengan beberapa jenama ini, yang lebih bernasib baik. Mitsubishi misalnya mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 19.6%, sementara Volkswagen merekodkan peningkatan sehingga 50.3%. Hyundai pula selesa dengan peningkatan 43.2% berbanding Julai. Peratusan kenaikan tertinggi yang dicatatkan ialah oleh Renault dengan 229.4%. Kia pula tidak bernasib baik, jualan menurun sebanyak 23.1% dengan angka hanya 200 unit.

    Dari jenama premium, Lexus agak bernasib baik kerana mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 55.4%. Lain-lain jenama pula terpaksa berpuas hati walaupun memperlihatkan sedikit penurunan; Mercedes-Benz turun 1.5%, BMW turun 23.7% dan Porsche pula turun 42.9%. Untuk data jualan jenama-jenama lain, sila rujuk statistik yang disediakan.

    Data jualan kenderaan Ogos 2019 ikut jenama – teratas milik Perodua, Proton terus catat pertumbuhan positif

     
     
  • EV pertama M’sia bakal muncul pada Q1 2021 – MIER

    EV pertama M’sia bakal muncul pada Q1 2021 – MIER

    Sementara kita menanti berita terkini mengenai kereta nasional ketiga yang sedang dibangunkan oleh DreamEdge, nampak gayanya pembangunan untuk kenderaan elektrik (EV) lebih ke hadapan. Seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Reserve, EV pertama Malaysia dijangka akan diperkenalkan pada suku pertama (Q1) 2021, dengan mensasarkan produksi sebanyak 50,000 unit untuk pasaran domestik dan global.

    Menurut pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Kamal Salih, pembangunan projek berkenaan telah selesai di peringkat pelan peniagaan dan kini sedang mengenalpasti tanah yang sesuai untuk dibangunkan kilang pengeluarannya. Tambahnya lagi, EV berkenaan akan dibangunkan berdasarkan teknologi Jepun, namun tidak mendedahkan butiran penuh mengenainya.

    Bagi projek EV ini, ia telah pun diluluskan oleh pejabat Perdana Menteri, dijangka akan dilancarkan pada pertengahan Oktober. “Pada mulanya, ia dijadualkan dilancarkan pada 15 Oktober, tapi mungkin akan ditunda memandangkan kami ada dua lagi projek besar untuk didedahkan iaitu pusat data nasional dan juga projek sisa tenaga. Pemaju projek akan mendedahkan dua prototaip untuk EV tersebut pada pelancarannya,” ujar Kamal.

    EV pertama M’sia bakal muncul pada Q1 2021 – MIER

    Lakaran SUV elektrik Mimco Alif

    Pada Julay lalu, syarikat Elenvi Otomotif dilaporkan merancang untuk membangunkan EV di Malaysia, dan projek ini memperuntukkan sebanyak RM5 bilion menerusi dana persendirian. Ia akan digunakan untuk membina kilang pemasangan EV di tapak seluas 161.87 hektar di Taman Perindustrian Enstek, Negeri Sembilan.

    Laporan awal turut mendedahkan garis masa pelancaran yang lebih kurang sama seperti apa yang dilaporkan oleh TMR. Walau bagaimana pun, Kamal berkata tontonan pertama untuk EV berkenaan dijangka berlangsung Oktober ini.

    Ini bukanlah satu-satunya projek yang mensasarkan pemasangan EV buatan tempatan. Malah pada Julai lalu, Alam Perkasa Consortium (APC) dikatakan merancang untuk menjadi pengeluar kereta baharu yang dipanggil Malaysian International Motor Company (Mimco), juga melibatkan pelaburan sebanyak RM5 bilion menerusi dana persendirian. Syarikat itu berkata pihaknya mensasarkan untuk memperkenalkan kereta pertamanya, SUV elektrik Alif, di Geneva Motor Show 2020, sebelum dilancarkan pada 2022, dengan sasaran jualan global sebanyak 60,000 unit setahun.

     
     
  • Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

    Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

    World Time Attack Challenge (WTAC) – perlumbaan yang menampilkan format catatan masa terpantas di atas litar semata-mata adalah sinonim dengan jenama-jenama penala tidak rasmi dan juga pengeluar peralatan aftermarket berprestasi tinggi. Divisi perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N nampaknya telah memecahkan tradisi berkenaan dengan menjadi pasukan rasmi pengeluar pertama di dunia yang menyertai cabaran tersebut.

    Hyundai N mempertaruhkan model i30 Fastback untuk bertanding dalam kelas Clubsprint pada WTAC 2019 yang akan berlangsung di Sydney Motorsport Park, Australia bermula 18 hingga 19 Oktober ini. Kategori tersebut adalah untuk kereta-kereta produksi dengan ubahsuai minimal, dan Hyundai N bakal menguji berberapa peralatan berprestasi tinggi baharu pada kereta berkenaan yang bakal digunakan untuk model-model produksi akan datang.

    Projek ini akan diterajui oleh pasukan Hyundai N Australia, dan turut menerima sokongan dari jurutera dan pereka dari ibu pejabat unit R&D mereka yang terletak di Namyang, Korea Selatan. Keputusan untuk menyertai WTAC 2019 diambil setelah pasukan yang sama telah menyertai Targa Tasmanian Tarmac Rally dengan i30 N Hatchback yang dikemudi oleh pasangan Brendan Reeves dan Rhianon Gelsomino yang berjaya menduduki tempat ke-6 dalam kategori GT2, menewaskan kereta-kereta sport yang lebih mahal dan lebih berprofil tinggi.

    Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

    Dalam keadaan standard, i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 275 PS/300 Nm, dan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan. i30 N Fastback yang dibangunkan untuk WTAC 2019 masih lagi menggunakan enjin asal, selari dengan undang-undang kategori Clubsprint. Namun ia telah diberikan unit pengeces turbo dan juga intercooler baharu serta talaan semula terhadap kotak komputer enjin bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Kereta yang turut menerima sistem ekzos baharu dengan bunyi yang lebih agresif ini telah diuji di litar lumba tempatan dan juga di atas mesin dynometer bagi memastikan ia menghasilkan kuasa paling optimum, tetapi masih lagi mempunyai tahap ketahanan tinggi walaupun komponen-komponen dalaman enjin masih lagi standard dan tidak diusik.

    Pada bahagian luaran, jentera WTAC Hyundai ini mengenakan bonet hadapan gentian karbon dan juga rim forged OZ Racing dari model edisi terhad i30 N Project C yang didedahkan baru-baru ini. Tidak cukup dengan itu, ia turut menerima kit aerodinamik seperti spoiler bawah bampar hadapan yang lebih besar dan juga spoiler GT belakang bersaiz gergasi seperti jentera-jentera WTAC yang lain.

    Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

    Kit aerodinamik tersebut direka oleh Dr Sammy Diasinos dari Dynamic Aero Solution, pakar aerodinamik dari Australia yang mempunyai pengalaman selama enam-tahun dalam Formula 1 dan turut menghasilkan kit aero untuk juara-juara WTAC sebelum ini. Menurut Dr Diasinos, spoiler hadapan pada i30 ini mampu menghasilkan downforce 250 kg pada kelajuan 200 km/j, dan 450 kg pada spoiler belakang pada kelajuan sama.

    Pada bahagian dalaman pula, kereta lumba ini menerima roda stereng balutan Alcantara juga dari i30 N Project C, dan juga kelengkapan perlumbaan lain seperti papan pemuka yang telah ‘dikosongkan’, tempat duduk bucket penuh perlumbaan dengan tali pinggang keselamatan, serta rollcage penuh.

    Kategori Clubsprint ini juga tidak membenarkan ia disertai oleh pemandu professional. Oleh itu, kereta ini akan dipandu oleh staf dalaman Hyundai sendiri iaitu Tim Rodgers, seorang pakar dalam divisi Perancangan dan Pembangunan Produk Hyundai Australia, yang turut akan membantu dalam proses ujian komponen baharu yang digunakan.

    GALERI: Hyundai i30 N Fastback versi standard

     
     
  • Proton kini berjaya lepasi angka jualan keseluruhan 2018, Saga kembali jadi sedan segmen A terlaris

    Proton kini berjaya lepasi angka jualan keseluruhan 2018, Saga kembali jadi sedan segmen A terlaris

    Setakat penghujung bulan September 2019, Proton mendakwa syarikat itu telah berjaya menjual sejumlah 70,330 unit kenderaan yang telah didaftarkan bagi pasaran domestik dan eksport. Angka berkenaan juga telah mengatasi angka jualan keseluruhan bagi tahun lalu, yang hanya mencatatkan 64,744 unit terjual.

    Bukan itu sahaja; selari dengan perkembangan terbaru ini, Proton juga telah mencapai pegangan saham tertinggi dalam tempoh 66 bulan terakhir. Pada September 2019, Proton mencatatkan jualan sebanyak 8,934 unit (domestik dan eksport), mewakili lonjakan pertumbuhan sebanyak 97% jika dibandingkan dengan jualan pada Ogos 2019 yang mencatatkan 4,524 unit. Angka ini kemudiannya menyumbang kepada peningkatan kadar pegangan dalam pasaran Proton dengan anggaran mencecah 20.2% – tertinggi bagi tempoh 66 bulan sebelum ini.

    Model paling laris sepanjang bulan September 2019 pula ialah Saga; sebanyak 3,994 unit telah diserahkan bulan lalu, dan menjadi jumlah serahan tertinggi model Proton untuk tahun 2019. Angka itu juga bermaksud Saga kini merupakan sedan segmen A pilihan terlaris di Malaysia, kedudukan yang berjaya diraih semula selepas hampir tiga tahun tidak diduduki.

    Proton kini berjaya lepasi angka jualan keseluruhan 2018, Saga kembali jadi sedan segmen A terlaris

    “Dengan jumlah yang melebihi volume jualan keseluruhan untuk tahun 2018 yang berjaya dicapai dalam tempoh hanya sembilan bulan sahaja pada 2019 ini, Proton yakin untuk mensasarkan angka jualan terbaik sejak tahun 2015. Apa yang lebih penting adalah Saga telah kembali di kedudukan nombor satu dalam segmennya. Meskipun baru dilancarkan kurang dua bulan lalu, sambutan daripada rakyat Malaysia terhadapnya sangat positif,” jelas CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    Selain itu, Proton X70 juga mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di dalam segmennya. Untuk meraikan prestasi positif itu, Proton kini memberi tawaran tambahan kepada pembeli sepanjang bulan Oktober. Selain tawaran sedia ada seperti servis buruh percuma selama lima tahun, jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun serta pakej data Internet selama 5 tahun yang ada di dalam setiap unit, terdapat juga tawaran pakej insurans bersubsidi dan insentif overtrade bernilai sehingga RM2,000 menanti pembeli.

     
     
  • Mitsubishi sertai #TetrisChallenge – tayang Triton Adventure X dengan kit yang dipertingkat untuk M’sia

    #TetrisChallenge kini menjadi fenomena di dalam media sosial dan memang ramai yang mengambil bahagian termasuklah Mitsubishi Motors Malaysia yang mempamerkan persembahan tersendiri, malah turut menampilkan Triton yang ditunjukkan dari bahagian atas – menunjukkan contoh menarik tentang kegunaan trak pikap.

    Ia menggambarkan kelebihan pengangkutan untuk orang yang berniaga, yang gemar melakukan cabaran dan seorang yang kreatif, dengan mempamerkan kelengkapan yang disarankan, malahan Triton tersebut dikesan turut dilengkapi dengan beberapa pelekat baharu seperti yang ditunjuk dalam foto tersebut. Menerusi laman web jenama terbabit, turut mendedahkan varian tertinggi Adventure X telah dipertingkatkan dengan beberapa ciri baharu.

    Ini termasuklah pelekat luaran baharu, bersama “flying” sports bar, perakam video digital, monitor sekeliling (ARM), dan sistem audio baharu yang masih boleh digunakan bersama Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Turut dikekalkan termasuklah tempat duduk upholstery kulit, larasan kuasa bagi tempat duduk pemandu, pedal penukar gear, lampu utama projektor bi-LED, lampu nyalaan siang LED dan bilah pengelap cermin automatik.

    Malah ada juga ciri tambahan untuk senarai kit bagi Adventure X sedia ada, merangkumi Forward Collision Mitigation (AEB untuk kenderaan dan pejalan kaki), Blind Spot Warning dengan Lane Change Alert, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (hadapan dan belakang), lampu tinggi auto, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar penumpang hadapan, sensor hadapan dan belakang serta tujuh beg udara.

    Penjana kuasa untuk Adventure X masih sama, dengan enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 PS dan tork 430 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem Super Select 4WD-II. Harga yang dipamerkan menerusi laman web Mitsubishi Motors Malaysia untuk Triton Adventure X yang disemak semula ini ialah RM137,900 untuk Semenanjung Malaysia. Empat warna luaran masih kekal seperti sebelum ini – Jet Black Mica, White Diamond, Graphite Gray dan Sterling Silver.

     
     
  • Yamaha MT-25 dinaik taraf di Indonesia – lebih garang

    Yamaha MT-25 dinaik taraf di Indonesia – lebih garang

    Yamaha telah melancarkan versi baru bagi MT-25, yang dinaik taraf dengan beberapa ciri baru. Paling jelas sudah tentu adalah penampilannya, yang dari depan sudah menggunakan unit lampu LED projector berbentuk lebih garang seperti MT-15.

    Kemudiannya, panel badan bahagian hadapan serta tangkinya turut diperkemas, dan kini mempunyai bukaan udara di sisi. Lampu-lampu lain seperti penunjuk arah dan lampu belakang juga sekarang sudah menggunakan sistem LED yang lebih runcing.

    Sedikit lagi naik taraf prestasi yang diberikan pada model ini adalah suspensi hadapan, di mana ia kini menggunakan unit USD berwarna hitam dan lebih tegap. Suspensi belakang pula masih lagi menggunakan monoshock biasa. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Bahagian enjin tidak diusik dan ia masih menggunakan unit dua silinder selari berkapasiti 250 cc DOHC suntikan bahan api, yang digabungkan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perincian lain motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, brek cakera depan dan belakang, berat 165 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Model ini ditawarkan di Indonesia dalam tiga warna dengan harga bermula 53.9 juta rupiah (sekitar RM16k).

     
     
  • BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    Demi memenuhi kehendak pelanggan SUV yang dahagakan kuasa, BMW telah mendedahkan X5 M dan X6 M, yang mana kedua-duanya boleh didapati dengan versi Competition yang lebih berkuasa.

    Di bawah bonet model standard Sports Activity Vehicle (SAV) dan Sports Activity Coupe (SAC) versi prestasi ini terdapat enjin V8 4.4 liter twin turbo S63B44T4 sama seperti M5 dan M8. Untuk X5 M dan X6 M ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 PS (591 hp) pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

    Kuasa ini dihantar kepada semua empat roda melalui transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic dan sistem pacuan semua roda M xDrive serta Active M Differential. Sistem ini menghantar lebih banyak kuasa kepada roda belakang, dan pemandu tidak boleh menukarnya kepada mod 2WD seperti M5 dan M8.

    Untuk catatan prestasi, X5 M dan X6 M boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa cuma 3.9 saat, dan 0-200 km/j dalam masa 13.5 saat. Laju maksimum kedua-duanya adalah sama iaitu 250 km/j tapi dengan pakej tambahan M Driver’s, ia boleh pergi kepada 290 km/j.

    Sementara itu, versi Competition pula mempunyai kuasa sebanyak 625 PS (617 hp) – tork maksimum masih sama iaitu 750 Nm – dan membantu mengurangkan lagi waktu pecutan 0-100 km/j sebanyak 0.1 saat dan 0.3 saat untuk pecutan 0-200 km/j.

    Untuk memadankan kereta dengan kuasa ini, gandar hadapan dan belakang dipasang dengan kinematik dan elastokinematik khas untuk model M, manakala pakej pendakap pula meningkatkan ketegaran badan. Ia kemudiannya dilengkapkan pula dengan suspensi adaptif yang boleh dilaras kepada tiga mod (Comfort, Sport dan Sport Plus), Active Roll Stabilisation serta stereng M Servotronic.

    Pada bahagian brek, pemilik akan menerima set angkup enam piston dan cakera 395 mm berliang di hadapan manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston terapung dan cakera 380 mm. Sistem brek ini menggunakan actuator elektrik, jadi pemandu boleh memilih dua tetapan rasa brek iaitu Comfort dan Sport.

    BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

    Model baru X5 M dan X6 M ini mempunyai gaya yang agresif, dengan bukaan udara yang besar di hadapan, gril kidney khas untuk M dengan dua jalur hitam, sirip M pada panel tepi, lengkuk roda yang lebar, cermin sisi lebih aerodinamik serta dua pasang muncung ekzos. Versi Competition dapat dikenali melalui warna hitam yang digunakan pada bahagian-bahagian tersebut.

    Pelanggan juga boleh memilih penutup enjin dan pelindung cermin yang dibuat daripada gentian karbon, manakala untuk X6 M dan X6 M Competition, ia boleh didapati dengan spoiler belakang yang dibuat daripada bahan sama. Pilihan warna untuk model ini ada banyak, termasuk tiga warna khas model M dan pelbagai lagi barangan pilihan BMW Individual termasuk rim antara 21 hingga 22 inci.

    Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang menunjukkan ini adalah model M, bermula dengan roda stereng yang mempunyai butang M (M1 dan M2), tombol gear khas M, tempat duduk sports, data berorientasikan prestasi untuk sistem Live Cockpit Professional, head-up display serta butang mod M.

    Pakej Driving Assistant datang secara standard pada kenderaan ini, termasuk Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Collision Prevention. Ia juga boleh dinaik taraf kepada pakej Driving Assistant Professional yang akan memberikan Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi aktif, Lane Change Assistant, Evasion Assistant, Emergency Stop Assistant, Crossroads warning, Wrong-way Warning dan Front Cross Traffic Alert.

    Sistem bantuan standard lain adalah termasuk Active Guard Plus, Lane Departure Warning, Parking Assistant denga Active Park Distance Control dan Reversing Assistant. Ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada Parking Assistant Plus yang memberikan pandangan atas, panorama, 3D dan Remote 3D.

    GALERI: BMW X5 M Competition F95

    GALERI: BMW X6 M Competition F96

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026