Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Michelin Pilot Street 2 dilancar – tayar untuk motosikal kapasiti rendah dan sederhana, saiz 10 hingga 17 inci

    Michelin Pilot Street 2 dilancar – tayar untuk motosikal kapasiti rendah dan sederhana, saiz 10 hingga 17 inci

    Pengguna motosikal kapasiti rendah dan sederhana kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Michelin melancarkan model Pilot Street 2 untuk pasaran Malaysia. Ini adalah model tayar yang menggantikan Pilot Street dalam pasaran sekarang, dengan harga dalam lingkungan yang sama.

    Pilot Street 2 datang dalam dua jenis bunga iaitu satu yang berlongkang di tengah dan hanya boleh digunakan pada roda hadapan sahaja manakala satu lagi mempunyai rekaan bunga berlainan dan boleh digunakan untuk tayar hadapan dan belakang. Pilihan saiz pula adalah untuk rim 10, 14, 16 dan 17 inci, dengan profail paling kecil 90/90, hingga paling besar 150/60.

    Jika dibandingkan dengan model Pilot Street sebelum ini, Pilot Street 2 mempunyai kelebihan pada bahan silika yang digunakan, dan juga rekaan bunganya. Ia menyumbang kepada prestasi atas jalan basah yang lebih baik dan dengan rekaan sama masih mampu memberikan prestasi yang meyakinkan atas jalan kering.

    Dalam ujian TUV yang dilakukan oleh Michelin dengan membandingkan dua model pesaing terdekatnya, Pilot Street 2 mencatat jarak perjalanan 25% lebih jauh dan mampu mencatat masa pusingan di litar 4.4 saat lebih laju. Ujian ini dilakukan menggunakan motosikal yang sama.

    Bagi yang bermata tajam anda pasti dapat melihat bunga Pilot Street 2 yang digunakan pada tayar hadapan mungkin nampak seperti terbalik. Tetapi sebenarnya ia memang begitu, dan tayar ini mempunyai dua arah pusingan yang berbeza, bergantung sama ada ia digunakan pada roda belakang atau roda hadapan.

    Michelin Pilot Street 2 akan mula berada di pengedar sah Michelin bermula bulan hadapan, namun setakat ini mereka masih belum dapat mengeluarkan harga sebenarnya. Apa yang diberitahu, harganya masih dalam lingkungan yang sama seperti Pilot Street 2, tetapi kini memberikan lebih nilai kepada pengguna.

     
     
  • Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Empat tahun yang lepas, Porsche memperkenalkan sebuah model pameran yang dipanggil sebagai Mission E Concept. Sekarang, ia telah berkembang dan membangun menjadi sebuah model elektrik penuh pertama jenama itu, dan versi produksinya telah pun didedah dalam dua varian iaitu Turbo dan Turbo S.

    Untuk menjadikan pelancarannya lebih istimewa, Porsche †elah melakukannya di tiga lokasi yang melambangkan sumber tenaga di tiga benua secara serentak iaitu Niagara Falls di Amerika Syarikat sebagai lambang air, tapak gugusan panel solar Neuhardenberg di Berlin, Jerman sebagai lambang solar dan ladang kincir Pinatan Island di Fuzhou China sebagai lambang kuasa angin.

    Walaupun namanya dipanggil Turbo, Taycan ini tidak mempunyai unit turbo sebenar dan Porsche menggunakan nama itu sekadar sebagai tanda untuk membezakan antara varian model elektrik ini. Dua varian yang didedahkan awal ini mungkin adalah varian paling tinggi dan kemudiannya mungkin akan diikuti oleh varian S dan GTS. Taycan Turbo dan Turbo S kedua-duanya dikuasakan oleh sepasang motor permanent magnet synchronous – satu untuk setiap gandar.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Pada Taycan Turbo S, sumber elektrik ini mampu menghasilkan 625 PS, atau 761 PS dalam mod overboost apabila fungsi Launch Control diaktifkan, dengan tork 1,050 Nm. Hasilnya, kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat, 0-160 km/j dalam masa 6.3 saat dan 0-200 km/j dalam masa 9.8 saat. Laju maksimum adalah 260 km/j dan mengikut ujian WLTP, varian Turbo S boleh memberi jarak gerak antara 388 km hingga 412 km.

    Tetapan yang digunakan pada varian Turbo juga menghasilkan 625 PS, tetapi apabila menggunakan mod Launch Control ia cuma boleh menghasilkan kuasa overboost 680 PS manakala tork pula pada 850 Nm. Varian Turbo boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat, 0-160 km/j dalam 6.9 saat dan 0-200 km/j dalam 10.6 saat. Laju maksimum adalah 260 km/j manakala jarak gerak pula antara 381 km hingga 450 km.

    Kedua-dua varian Turbo dan Turbo S menggunakan bateri 93.4 kWh, dengan kapasiti mengecas maksimum 270 kW. Untuk Turbo S, pengecasan AC pada kadar 11 kW akan mengambil masa sembilan jam dari kosong hingga penuh, manakala apabila menggunakan sumber DC 50 kW, pengecasan selama 31 minit dapat memberikan perjalanan sejauh 100 km dan mengambil masa 93 minit untuk mengecas bateri dari 5% ke 80%. Pengecasan menggunakan sumber DC 270 kW selama 5.5 minit pula boleh memberikan jarak gerak 100 km dan mengambil masa 22.5 minit untuk mencapai tahap 80%, daripada 5%.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Sekarang kepada Taycan Turbo pula. Pengecasan AC pada kadar 11 kW akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh, dari kosong manakala apabila menggunakan sumber DC 50 kW, ia akan dapat memberikan jarak gerak 100 km selepas dicas 28 minit, dan 93 minit untuk meningkatkan kuasa bateri dari 5% ke 80%. Untuk mendapatkan jarak gerak 100 km menggunakan pengecas 270 kW pula akan mengambil masa cuma lima minit manakala untuk meningkatkan kuasa dari 5% ke 8% akan mengambil masa mengecas 22.5 minit.

    Mengikut ujian NEDC, Taycan Turbo mempunyai penggunaan elektrik bercampur 26.9 kWh/100 km manakala Taycan Turbo S pula 26.0 kWh/100 km; dah tentu, kereta ini tidak mempunyai sebarang pembebasan karbon dioksida. Melihat kepada dimensi kenderaan, kebanyakan ukuran untuk dua varian ini adalah sama termasuk panjang 4,963 mm, jarak roda 2,900 mm dan lebar 1,966 mm.

    Walaubagaimanapun varian Turbo adalah lebih tinggi, dengan ukuran 1,381 mm sementara Turbo S cuma 1,378 mm. Kemudiannya, menimbulkan sedikit pertanyaan, Turbo yang merupakan varian lebih rendah berbanding Turbo S mempunyai jarak roda kiri dan kanan yang lebih lebar berbanding Turbo S iaitu 1,702 mm di depan dan 1,667 mm di belakang (1,690 mm dan 1,655 mm pada Turbo S).

    Berat Turbo S adalah 2,295 kg dan Turbo pula 2,305 kg. Untuk ruang simpan barangan, kedua-duanya adalah sama untuk Turbo dan Turbo S iaitu 81 liter di depan dan 366 liter di belakang, dengan tahap bebanan 75 kg.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Dipadankan bersama motor elektrik Taycan adalah transmisi dua kelajuan untuk gandar belakang dan satu kelajuan untuk gandar hadapan. Casis pula terdiri daripada suspensi udara adaptif dengan spring udara yang dikawal oleh Porsche Active Suspension Management (PASM), double wishbone aluminium di hadapan dan multi-link aluminium di belakang. Rear-axle steering datang secara standard pada Turbo S dan dijual sebagai tambahan bagi Turbo.

    Untuk bahagian brek, Turbo S menggunakan sistem Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) yang terdiri daripada angkup monobloc 10 piston dan cakera 420 mm di hadapan, serta angkup empat piston monobloc dan cakera 410 mm di belakang. Rim adalah 21 inci dengan tayar 265/35 di hadapan dan 305/30 di belakang.

    Sementara itu, model Turbo pula menggunakan sistem brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) yang terdiri daripada angkup monobloc 10 piston serta cakera 415 mm di hadapan dan angkup monobloc empat piston serta cakera 365 mm di belakang, yang tersembunyi di sebalik rim 20 inci yang dibalut tayar 245/45 di hadapan dan 285/40 di belakang.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Untuk casis Taycan ini, Porsche menggunakan sistem 4D Chassis Control, di mana semua sistem casis dianalisa dan disamakan dengan waktu sebenar. Menurut Porsche, penjanaan semula kuasa pada Taycan adalah jauh lebih besar berbanding model pesaingnya, dengan ujian yang dibuat menunjukkan 90% penggunaan brek harian adalah dijalankan oleh motor elektrik sahaja tanpa mengaktifkan brek hidraulik biasa.

    Pada bahagian dalam, Taycan menggunakan suasana yang lebih moden, dengan tiada lagi tolok analog, kecuali jam Sport Chrono di atas papan pemuka sebagai satu ciri tradisi bersama butang pemula di bahagian kiri roda stereng. Mod pemanduan mengikuti model Porsche semasa, dengan pilihan empat mod iaitu Range, Normal, Sport dan Sport Plus. Satu lagi mod Individual adalah untuk tetapan yang boleh diubah oleh pemandu.

    Di hadapan pemandu terdapat panel paparan melengkung 16.8 inci dan ia mempunyai penapis polarize untuk mengelakkan silau. Empat mod paparan boleh dipilih iaitu Classic, Map, Full Map dan Pure yang paling ringkas. Tiada butang kawalan untuk bahagian ini dan ia boleh diubah dengan arahan suara yang dimulakan dengan ‘Hey Porsche’.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Tetapan untuk kenderaan pula boleh diubah menggunakan skrin 10.9 inci yang berada di bahagian tengah, termasuk navigasi, telefon, media, ciri keselesaan serta fungsi Porsche Connect. Sistem kawalan suara yang diperelok menjadikan akses lebih pantas.

    Terdapat juga satu lagi skrin untuk penumpang hadapan, di mana mereka boleh membuat perubahan tanpa mengganggu pemandu. Pada konsol tengah juga terdapat satu panel sesentuh 8.4 inci untuk kawalan terus pendingin hawa dan boleh mengesan tulisan tangan. Kawalan pendingin hawa penumpang belakang menggunakan panel sesentuh 5.9 inci lain.

    Bahagian dalam Taycan datang dalam pelbagai pilihan kemasan termasuk yang dibuat daripada bahan tanpa kulit sepenuhnya yang dipanggil sebagai Race-Tex. Bahan gentian mikro ini dibuat daripada campuran gentian polyester kitar semula, dan penghasilannya di kilang menggunakan 80% kurang CO2.

    Porsche Taycan diperkenalkan – model elektrik penuh dengan kuasa hingga 761 PS dan 1,050 Nm tork

    Pelapik lantai pula menggunakan gentian kitar semula Econyl, yang dibuat daripada barangan seperti jaring nelayan kitar semula. Pilihan kulit biasa dan Club Leather masih disediakan, dengan warna yang eksklusif untuk Taycan sahaja adalah termasuk Black-Lime Beige, Blackberry, Atacama Beige dan Meranti Brown.

    Tempahan untuk Taycan telah dibuka di Amerika Syarikat dengan harga US$187,610 (RM786,596) untuk Turbo S dan US$153,510 (RM643,625) untuk Turbo. Varian yang mempunyai kuasa lebih rendah akan diperkenalkan kemudian, dimulakan dengan Taycan Cross Turismo pada hujung tahun 2020.

     
     
  • Toyota Corolla Altis 2019 bakal dilancarkan di Indonesia minggu hadapan, Malaysia selepas itu?

    Toyota Corolla Altis 2019 bakal dilancarkan di Indonesia minggu hadapan, Malaysia selepas itu?

    Toyota Corolla generasi ke-12 sudah pun tiba di ASEAN menerusi Thailand, dengan pelancaran Corolla Altis 2019 awal minggu ini. Selepas ini, ia akan tiba pula di Indonesia – menurut portal negara berkenaan, Autonetmagz, jemputan pelancarannya sudah pun diterima dari Toyota Astra Motor yang akan berlangsung minggu hadapan iaitu pada 12 September 2019.

    Tiada sebarang petunjuk spesifikasi apa yang akan diterima Indonesia, namum spekulasi berlegar ia akan ditawarkan dengan barisan enjin yang sama seperti di Thailand iaitu dua enjin NA – 1.6 liter 1ZR-FBE berkuasa 125/156 Nm dan 1.8 liter 2ZR-FBE berkuasa 140 PS/177 Nm dengan kotak gear CVT.

    Disebabkan crossover Toyota C-HR Hybrid sudahpun berada di pasaran Indonesia, Corolla Altis juga mungkin akan ditawarkan dalam versi hibrid kerana kedua-dua digerakkan unit janakuasa sama – gandingan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm, secara keseluruhan menghasilkan kuasa 122 PS.

    Dari segi penggayaan luaran, Corolla Altis pasaran ASEAN ini adalah lebih seiras dengan Corolla Sedan pasaran Eropah, dan ia tidak agresif seperti model pasaran Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, ia masih kelihatan jauh lebih garang berbanding Altis generasi sedia ada.

    Toyota Corolla Altis 2019 bakal dilancarkan di Indonesia minggu hadapan, Malaysia selepas itu?

    Namun seperti pasaran lain, Corolla tersebut adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA), tetapi masih mengekalkan nama Corolla Altis bagi pasaran rantau ini.

    Kabin model pasaran ASEAN ini pula tidak menampilkan perubahan ketara dengan model pasaran global lain. Ia masih diberikan papan pemuka dengan rekaan berlapis, bersama skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah.

    Selain itu, Altis 2019 ini turut diberikan ciri lain seperti paparan head-up bersaiz besar, paparan meter kelajuan digital tujuh-inci, liang pendingin hawa kabin belakang, skrin sesentuh utama lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga kualiti material yang lebih baik dari sebelumnya.

    Dari segi saiz pula, Altis 2019 hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda Altis baharu ini masih kekal 2,700 mm.

    Toyota Corolla Altis 2019 bakal dilancarkan di Indonesia minggu hadapan, Malaysia selepas itu?

    Di Thailand, varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM137,500). Model hibrid pula hadir dengan tiga varian di mana versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid dan varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

    Model hibrid paling mahal tersebut turut hadir dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik serta sistem pemantau tekanan tayar. Manakala kesemua varian dilengkapi standard dengan tujuh-beg udara dan sistem kestabilan elektronik.

    Jika dilihat trend sebelum ini, selepas pengenalan di Thailand dan Indonesia, ia mungkin akan dilancarkan di Malaysia selepas itu. Jadi apa pendapat anda? Bolehkah Corolla Altis 2019 menggugat raja sedan segmen-C di Malaysia iaitu Honda Civic generasi ke-10?

    GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 pasaran Thailand

     
     
  • Proses urus niaga LKM perlu diteliti semula untuk elak ketirisan, JPJ rugi RM50j antara Jan-Ogos 2019 – Loke

    Proses urus niaga LKM perlu diteliti semula untuk elak ketirisan, JPJ rugi RM50j antara Jan-Ogos 2019 – Loke

    Semalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan pihaknya mengalami ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) mencecah RM50 juta bagi tempoh dari Januari sehingga Ogos 2019, yang melibatkan Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi. Isu ini dikesan melibatkan urusniaga LKM di lokasi berkenaan yang dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kegunaan di kawasan Semenanjung Malaysia.

    Rekod JPJ juga mendapati lebih 50% urus niaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Pulau Labuan dan Langkawi melibatkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar kawasan wilayah tersebut. Justeru, JPJ menubuhkan pasukan khas dengan objektif mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu berkenaan.

    Susulan isu berkenaan, Kementerian Pengangkutan mengesahkan sedang meneliti inisiatif baharu yang bersesuaian termasuk menggunakan sistem maklumat dan teknologi sedia ada bagi proses urus niaga LKM. Menurut menterinya, Anthony Loke, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan JPJ bagi memastikan agar mekanisme yang dipilih itu nanti tidak membebankan rakyat terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

    Proses urus niaga LKM perlu diteliti semula untuk elak ketirisan, JPJ rugi RM50j antara Jan-Ogos 2019 – Loke

    “Kita akan lihat inisiatif-inisiatif lain seperti mengintegrasi sistem maklumat kastam dengan sistem mySIKAP dan juga pindaan untuk memperketat undang-undang bagi membuat penguatkuasaan dan pendakwaan kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui LKM di luar kawasan mereka,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Loke berkata perkara itu sedang diteliti pasukan petugas khas yang ditubuhkan JPJ dan kementerian dan pada masa yang sama akan memastikan isu ketirisan itu ditangani tanpa menyusahkan pemandu dan pemilik kenderaan.

    “Sementara kita membuat kajian ini saluran untuk memperbaharui cukai jalan masih berjalan seperti biasa,” tambah Loke lagi.

    Dalam pada itu, JPJ memaklumkan urusniaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin adalah berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ dan rakan niaga yang lain. Pada 30 Ogos lalu, JPJ mengumumkan urusan memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan dengan enjin 2,000 cc dan ke atas di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi tidak lagi boleh dilakukan di pejabat pos, sebaliknya perlu ke cawangan JPJ atau UTC untuk berbuat demikian.

     
     
  • Honda e – versi produksi sebenar didedah; kereta elektrik 154 PS/315 Nm, pacuan roda belakang

    Honda e – versi produksi sebenar didedah; kereta elektrik 154 PS/315 Nm, pacuan roda belakang

    MASS PRODUCTION HONDA E REVEALED AND SET TO DEBUT AT FRANKFURT

    Kereta elektrik produksi pertama Honda iaitu Honda e bakal didedahkan sepenuhnya pada Frankfurt Motor Show 2019, dan sebelum itu Honda telah menyiarkan terlebih dahulu gambar awalan unit produksi sebenar kereta tersebut bersama pelbagai lagi perincian hatchback EV comel ini.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Honda e adalah versi produksi model konsep Honda Urban EV yang dihasilkan seolah-olah kelahiran semula Honda Civic generasi pertama, dijana oleh motor elektrik sepenuhnya yang didedahkan juga di Frankfurt pada tahun 2017. Versi produksi ini pula nampaknya hampir serupa dengan Honda e Prototype yang muncul di Geneva awal tahun ini.

    Bukan sahaja bahagian luar, malah pada bahagian kabin versi produksi ini juga sama dengan model prototaip sebelumnya – dilengkapi dengan lima skrin; dua skrin utama untuk pemandu dan penumpang bersaiz 12.3-inci, manakala tiga skrin lagi adalah untuk memaparkan visual dari kamera sisi dan tengah yang kesemuanya menggantikan fungsi cermin pandang belakang konvensional.

    Honda e – versi produksi sebenar didedah; kereta elektrik 154 PS/315 Nm, pacuan roda belakang

    MASS PRODUCTION HONDA E REVEALED AND SET TO DEBUT AT FRANKFURT

    Kereta ini juga dilengkapi dengan servis-servis terhubung dan pelbagai aplikasi, termasuk sistem bantuan peribadi Honda Personal Assistant yang boleh dioperasikan dengan arahan suara (diaktifkan dengan memanggil “OK Honda”). Aplikasi telefon [intar My Honda+ turut disertakan bagi membolehkan anda mengawal pelbagai fungsi termasuk boleh digunakan sebagai kunci digital.

    Honda menawarkan dua varian kuasa untuk Honda e produksi ini iaitu 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS). Kedua-duanya versi ini digerakkan dengan motor elektrik yang memacu roda belakang. Menurut Honda lagi, kereta ini dibekalkan dengan kadar tork maksima 315 Nm, dan ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa sekitar 8 saat. Dalam perincian sebelum ini, ia turut disahkan mempunyai agihan berat sempurna 50:50.

    Kuasa dibekalkan menerusi bateri lithium-ion 35.5 kWj yang diletakkan pada lantai kereta ini. Honda mendakwa bahawa ia dapat memberikan jarak perjalanan sejauh 220 km dengan satu caj penuh. Dengan pengecaj pantas menerusi sambungan CCS2, bateri tersebut boleh mencapai 80% penuh hanya dalam masa 30 minit. Ia juga boleh dicaj dengan pengecaj AC dengan sambungan Type 2, namun Honda masih belum mendedahkan masa mengecaj menerusi cara ini.

    Pelanggan di UK, Jerman dan Norway kini sudah pun boleh menempah kereta elektrik ini secara atas talian, manakala untuk negara Eropah lain, pendaftaran minatnya juga sudah dibuka menerusi laman-laman rasmi Honda di negara masing-masing. Honda masih belum mendedahkan sebarang petunjuk harga, tetapi ada khabar angin yang mengatakan bahawa Honda e akan dijual pada harga sekitar 40,000 euro (RM185,170).

     
     
  • Kerajaan anjur program khas tukar lesen memandu Malaysia untuk individu yang miliki lesen luar negara

    Kerajaan anjur program khas tukar lesen memandu Malaysia untuk individu yang miliki lesen luar negara

    Kerajaan bakal menganjurkan program khas untuk peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara asing yang ingin membuat pertukaran lesen memandu di Malaysia.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kelulusan khas akan diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan peraturan yang ditetapkan antaranya individu berkenaan harus mempunyai lesen penuh memandu negara asal yang masih sah dan berkuatkuasa.

    “Lesen memandu asal mereka akan ditukarkan kepada lesen percubaan (lesen P) di Malaysia untuk tempoh percubaan selama dua tahun dan mereka diwajibkan untuk memenuhi semua syarat-syarat yang sama dikenakan kepada pemegang lesen P yang lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Sambungnya lagi, ia adalah untuk memastikan individu berkenaan mempunyai kompentensi untuk memandu dan mendidik mereka untuk mematuhi semua peraturan jalan raya di negara ini serta mengambil kira bahawa budaya pemanduan adalah berbeza di antara negara terutamanya pemanduan kenderaan sebelah kiri.

    Kerajaan anjur program khas tukar lesen memandu Malaysia untuk individu yang miliki lesen luar negara

    “Bagi peserta atau warganegara Malaysia yang diberikan lesen memandu dalam kalangan negara bukan penjanji kepada sebarang triti atau perjanjian dengan Malaysia, mereka akan diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja. Perkara ini amat diperlukan bagi memastikan tahap pemahaman mereka ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini mungkin berbeza dengan negara berkenaan,” ujarnya lagi.

    Untuk peserta MM2H, lesen memandu mereka akan dibatalkan sekiranya didapati melanggar mana-mana syarat program, telah dibatalkan dari program MM2H dan didapati bersalah melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini, jelas Loke.

    Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, garis panduan, keperluan dokumen dan perincian pelaksanaan dasar itu kini sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh dua bulan.

    “Kita menyasarkan dasar ini dapat dikuatkuasakan seawal November, maka JPJ mempunyai tempoh dua bulan untuk melakukan segala pindaan terhadap garis panduan dan memperincikan sebarang syarat yang diperlukan bagi memudahkan semua pihak yang ingin mendapatkan kemudahan ini,” katanya.

     
     
  • Isuzu bakal perkenalkan model D-Max 1.9L Ddi Blue Power di Malaysia – ini apa yang kami tahu setakat ini

    Isuzu bakal perkenalkan model D-Max 1.9L Ddi Blue Power di Malaysia – ini apa yang kami tahu setakat ini

    Isuzu Malaysia akhirnya bakal memperkenalkan model trak pikap D-Max yang dilengkapi enjin 1.9 liter Blue Power baru pada 18 September ini. Perkara berkenaan dikongsikan ketika sesi pandu uji media bagi model terbaru berkenaan yang berlangsung di Krabi-Phuket, Thailand yang sedang kami sertai ketika ini.

    Enjin baru RZ4E-TC 1.9 liter berkenaan, yang terlebih dahulu diperkenalkan untuk pasaran Thailand sejak 2015, bakal menggantikan pilihan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter yang digunakan sebelum ini. Bagaimanapun, janaan kuasa yang dihasilkan oleh enjin yang berkapasiti lebih kecil ini sebenarnya lebih banyak, dengan angka 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm pada 1,800-2,600 rpm berbanding enjin 2.5 liter lama yang menghasilkan sebanyak 136 PS/320 Nm.

    Masih kekal dengan sistem suntikan jenis commonrail dengan empat-silinder dan pengecas turbo VGS, unit enjin terbaru ini bagaimanapun kini 56 kg lebih ringan berbanding unit yang digantikannya. Dengan enjin baru ini telah memberikan banyak kelebihan kepada prestasi keseluruhannya; 10% lebih berkuasa serta mencatatkan peningkatan tork sebanyak 9%.

    Isuzu bakal perkenalkan model D-Max 1.9L Ddi Blue Power di Malaysia – ini apa yang kami tahu setakat ini

    Jika ini belum mengujakan anda, bagaimana pula dengan penjimatan bahan api yang didakwa 19% lebih baik (berdasarkan ujian di Thailand) yang mampu dicapai oleh unit terbaru berkenaan? Ini sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan; Isuzu D-Max seolah-olah ingin menjadikan versi facelift terbaru yang akan diperkenalkan ini sangat cekap dari aspek penjimatan, baik bagi kos pemilikan serta penyelenggaraannya.

    Satu lagi pembaharuan yang dilakukan ialah pengenalan sistem transmisi automatik enam-kelajuan terbaru dengan kendalian Sequential Shift dan juga versi manualnya. Ia memberikan nisbah yang lebih rapat bagi memanfaatkan sifat enjin baru berkenaan bagi memberikan maklum balas pemanduan yang lebih cekap dan responsif. Kotak gear ini juga menampilkan ciri dua gear overdrive pada kedudukan gear kelima dan keenam.

    Dari segi keselamatan, selain daripada ciri yang telah ditawarkan sebelum ini seperti ABS dan EBD, dua beg udara SRS, Brake Assist, Bantuan Mula Mendaki (HSA), kawalan kestabilan serta kawalan cengkaman, penawaran terbaru ini juga turut menerima satu ciri tambaha terbaru; kawalan menuruni curam (hill decent control, HDC).

    Isuzu bakal perkenalkan model D-Max 1.9L Ddi Blue Power di Malaysia – ini apa yang kami tahu setakat ini

    Bagi Isuzu D-Max 1.9L Blue Power terbaru ini, bukan hanya aspek mekanikal yang menerima pembaharuan dan peningkatan. Rekaan dan penampilannya juga diberik sedikit sentuhan baru yang lebih segar. Sebagai contoh, rekaan bahagian gril telah dikemaskini. Lampu utama pula menggunakan jenis projektor bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED. Kemasan krom disekeliling lampu kabus juga baru.

    Selain itu, rim 18-inci yang digunakan juga diberikan rekaan baru. Cermin sisi kini akan terlibat secara automatik sebaik sahaja kenderaan dikunci, dan bahagian sisi ini disudahi dengan pembaharuan dari segi pelekat hiasan yang digunakan. Di belakang, tiada pembaharuang ketara yang diberikan kecuali pelekat hiasan baru serta bahagian lencana baru digunakan. Namun, turut ditawarkan sebagai pilihan ialah ciri tailgate assist yang akan meringan dan memudahkan lagi pengguna untuk menutup pintu ruang barangan di belakang (truck bed).

    Isuzu bakal perkenalkan model D-Max 1.9L Ddi Blue Power di Malaysia – ini apa yang kami tahu setakat ini

    Bahagian dalam juga tidak ketinggalan untuk menerima beberapa kemaskini. Antaranya ialah penggunaan material soft touch di beberapa tempat seperti pada papan pemuka dan perehat lengan, serta menampilkan kemasan hitam lainnya. Untuk penumpang belakang, terdapat juga pertambahan satu slot USB untuk memudahkan peranti dicas. Terakhir, tidak lupa juga rekaan tempat duduk baru yang menggabungkan material kulit dan fabrik untuk lebih keselesaan.

    Ini maklumat awal yang sudah disahkan sebelum pelancaran rasmi Isuzu D-Max 1.9L Blue Power untuk pasaran Malaysia. Terus perhatikan ruang ini kerena kami akan membawakan kemaskini maklumat berkaitan, serta laporan dan video pandu uji model ini dari semasa ke semasa.

     
     
  • Pengunjung beli Mercedes-Benz GLC di paultan.org PACE 2018 menang cabutan bertuah bernilai RM25k

    Pengunjung beli Mercedes-Benz GLC di paultan.org PACE 2018 menang cabutan bertuah bernilai RM25k

    Sudahlah cukup gembira dengan kereta baru, kemudian ia ditambah lagi dengan percutian mewah yang bernilai RM25,000. Itulah yang terjadi kepada Ng Leong Teck apabila beliau dinamakan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah di acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) 2018, dikuasakan oleh Petron Blaze 100 Euro 4M.

    Ng datang ke PACE 2018 kerana berminat dengan sebuah kenderaan lain, tetapi beliau telah diyakinkan oleh seorang sahabat untuk membeli Mercedes-Benz GLC 200 daripada pengedar jenama itu, Hap Seng Star. Menariknya, kawan Ng juga membeli SUV yang sama.

    Ng adalah satu daripada 100 pelanggan pertama yang menempah kereta di PACE, yang sekaligus melayakkan beliau menerima baucar minyak Petron RM500, baucar perincian kenderaan Kuziq Glanz RM500, baucar basikal elektrik mini Stigo RM500 dan baucar Self-Healing Paint Protection Film Door Cups oleh Llumar yang berharga RM500.

    Pengunjung beli Mercedes-Benz GLC di paultan.org PACE 2018 menang cabutan bertuah bernilai RM25k

    PACE 2018 berlangsung dari 3 hingga 4 November tahun lalu di Setia Alam Convention Centre, dengan mencatat jumlah pengunjung hampir 20,000 orang. Kebanyakan pengunjungnya adalah pembaca laman we paultan.org, kerana 90% daripada pemasaran, promosi serta publisiti yang dibuat adalah melalui platform Driven iaitu paultan.org dan CarBase.my.

    Sepanjang dua hari PACE 2018 berlangsung, 214 buah kereta berharga lebih RM50 juta berjaya dijual dengan 180 daripadanya adalah kereta baru dan 34 kereta terpakai. Hap Seng Star menjual 79 buah Mercedes-Benz manakala Wheelcorp Premium yang merupakan pengedar BMW dan MINI menjual 54 buah kenderaan.

    Kebanyakan kenderaan yang terjual di PACE 2018 adalah sedan SUV premium, tetapi model lain yang termasuk dalam senarai adalah seperti beberapa Volkswagen Golf R, Mercedes-AMG dan BMW 740Le plug-in hybrid. Jumlah kenderaan yang terjual adalah satu kali ganda lebih tinggi daripada sasaran dan 70% pembeli menamakan paultan.org sebagai rujukan utama untuk segala informasi berkenaan automotif.

    Pengunjung beli Mercedes-Benz GLC di paultan.org PACE 2018 menang cabutan bertuah bernilai RM25k

    Selain daripada jualan, jenama premium juga memilih PACE 2018 untuk membuat pengenalan serta pra tonton model baru. SUV Audi Q2 dan Audi Q5 generasi kedua membuat penampilan pertamanya di acara ini, bersama juga SUV Jaguar E-Pace dan sedan Volkswagen Arteon.

    “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Mr Ng atas kemenangan hadiah utama ini, dan kami berharap beliau dapat menikmatinya sepenuh mungkin, sama seperti beliau menikmati kereta baru beliau! Kami sangat terkejut dengan hasil PACE 2018 kerana ia melebihi sasaran jumlah pengunjung serta juga jualan kenderaan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan, dan harapnya tahun ini ia juga akan sama berjaya,” kata ketua bahagian pengisian Driven, Hafriz Shah.

    Tahun ini PACE akan berlangsung sekali lagi di Setia Alam Convention Centre 2 hingga 3 November. Hadiah utama cabutan bertuah untuk tahun ini bernilai RM25,000 dan pengunjung juga boleh menikmati pelbagai lagi tawaran menarik lain sewaktu acara berlangsung. Teruskan bersama kami!

     
     
  • BMW Elite M Card diperkenalkan untuk pemilik BMW M di Malaysia dengan pelbagai ganjaran ditawarkan

    BMW Elite M Card diperkenalkan untuk pemilik BMW M di Malaysia dengan pelbagai ganjaran ditawarkan

    Demi menghargai para pemilik kenderaan BMW M Performance di negara ini, BMW Malaysia telah menawarkan BMW Elite M Card dengan pelbagai manfaat M-specific yang eksklusif. Ia juga adalah kesinambungan tawaran BMW Privileges Elite Card yang sebelum ini dinikmati oleh pemilik-pemilik jentera BMW.

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Menerusi pengenalan BMW Elite M Card, kami ingin terus memperkayakan khidmat bertaraf dunia yang diunjurkan oleh BMW. Para pemilik kini boleh menikmati pelbagai ganjaran yang disediakan menerusi program keistimewaan ini dengan hanya menjadi sebahagian daripada famili BMW M.”

    Menerusi BMW Elite M Card, pemiliknya dapat menikmati acara-acara ‘M Track’ di peringkat tempatan dan serantau pada harga eksklusif. Pemegang kad ini juga boleh memanfaatkan diskaun tambahan bagi acara ‘BMW Driver Training’ serta barangan ‘BMW lifestyle’.

    Selain itu, pemiliknya juga bakal diberikan keutamaan bagi janji temu servis dan ‘Reception at the Car’ (RATC) di kesemua cawangan BMW M Service serta wakil pengedar BMW M, termasuk diskaun istimewa bagi pengguna setia BMW M serta laman khas menerusi aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+.

    Tawaran lain yang masih diteruskan seperti mana BMW Privileges Card termasuk waranti tanpa had perbatuan selama 5-Tahun serta Program Servis Berjadual Percuma, waranti tayar selama 2-Tahun/24 Bulan termmasuk servis ‘Run Flat Tyre’, Program Bantuan Tepi Jalan serta Hotline Kemalangan, aplikasi mudah alih ‘BMW Group Loyalty+’ – ‘BMW White Card’ dan program keahlian ‘BMW Excellence Club’ serta Servis Dalam Talian BMW.

     
     
  • Mazda CX-5 2.5L Turbo 2019 ditampilkan di Malaysia

    Mazda CX-5 2.5L Turbo 2019 ditampilkan di Malaysia

    Seperti yang kami laporkan semalam, Mazda CX-5 2019 telah pun dibuka tempahannya mulai hari ini. Malah ia juga telah mula dipertontonkan, ini termasuklah untuk varian pengecas turbo yang dikenali sebagai 2.0L Turbo AWD seperti dalam foto ini. Buat masa ini, tiada pengumuman rasmi mengenai harganya, tetapi kami dimaklumkan model SUV ini akan kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) dan akan ditampilkan dengan lima varian dalam barisan CX-5.

    Semestinya varian 2.5L Turbo AWD menjadi tumpuan kali ini. Kuasanya dijanakan oleh enjin 2.5 liter turbo empat-silinder SkyActiv-G berkuasa 230 PS pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, bersama sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Bagi kelengkapannya, ia didatangkan dengan roda 19-inci (bersama tayar 225/55), unit LED untuk lampu utama dan lampu belakang (sebelum ini dengan lampu nyalaan siang LED), kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik (dengan fungsi penahan auto), material kulit uphosteri, dan tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa dan fungsi memori bagi ketetapan larasan.

    Mazda CX-5 2.5L Turbo 2019 ditampilkan di Malaysia

    Malah ia turut didatangkan dengan suis kawalan baharu untuk pendingin hawa – masih dengan sistem dwi-zon bersama corong udara di belakang – paparan kluster instrumen digital tujuh-inci dengan dail analog (seperti Mazda 3 baharu), serta paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Untuk infotainmen, sistem Mazda Connect kini turut disokong dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk aspek keselamatan, varian 2.5L Turbo AWD dilengkapi enam beg udara (hadapan, sisi dan tirai), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HLA), ABS, EBD, Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS).

    Menurut jurujual yang bertugas di pameran Mazda di Sunway Pyramid di mana model ini dipertontonkan, varian CX-5 petrol lain yang akan ditawarkan termasuklah 2.0 2WD GL, 2.0 2WD GLS dan unit tanpa-turbo 2.5L 2WD GLS. Sementara varian diesel pula tinggal 2.2D 2WD GLS, manakala versi pacuan semua-roda telah digugurkan.

    Spesifikasi untuk varian lain masih belum didedahkan, namun dijangka akan lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan sebelum ini, cuma mungkin ada penambahan sedikit. Kami akan membawakan lebih banyak informasi mengenai CX-5 2019 apabila ia dilancarkan kelak, jadi harap bersabar.

     
     
  • Nissan Juke baharu didedah – lebih besar dan ringan

    Nissan Juke baharu didedah – lebih besar dan ringan

    Selepas hampir 10 tahun diperkenalkan, akhirnya Nissan Juke memasuki generasi kedua, dan model terbaru telah pun didedahkan di persada antarabangsa. Walaupun Juke ini tidak masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi, di negara luar ia mendapat sambutan hangat, dengan jualan hampir satu juta unit di Eropah sahaja.

    Menurut Nissan, Juke baru ini dicipta untuk menarik pemandu Eropah, yang mengambil penting rekaan, teknologi dan prestasi, sebagai tambahan kepada praktikaliti dalam segmen crossover. Tambah pengeluar Jepun itu lagi, model baru ini disasarkan untuk “mencipta semula segmen itu sekali lagi” dan akan “menyeronokkan untuk dipandu” hasil daripada tahap prestasi dan teknologi baru.

    Walaupun sudah lebih matang, anda masih boleh kenal dengan Juke sebaik melihatnya. Ia sekarang duduk atas platform “crossover coupe” CMF-B yang dibangunkan bersama sekutu Renault, Nissan dan Mitsubishi, serta digunakan untuk Renault Captur terbaru. Dimensinya adalah 4,210 mm panjang dan 1,800 mm lebar, iaitu 85 mm lebih panjang dan 170 mm lebih lebar.

    Nissan Juke baharu didedah – lebih besar dan ringan

    Walaupun begitu, ia sekarang duduk 30 mm lebih rendah dan mempunyai jarak roda 105 mm lebih panjang, sekaligus menjelaskan bentuknya yang lebih dinamik dan konvensional. Badan yang lebih besar ini juga memberikan ruang kabin lebih besar – Nissan memberitahu ruang kelegaan kaki bertambah 58 mm, ruang kepala bertambah 11 mm dan ruang simpanan boleh memuatkan 422 liter – peningkatan yang banyak berbanding 354 liter sebelum ini.

    Selain daripada itu, ia juga lebih ringan 23 kg, hasil daripada penggunaan besi berkekuatan tinggi dan turut menyumbang kepada platform lebih tegar, seterusnya memberi stabiliti, prestasi serta kemampuan selekoh yang lebih baik, selain kawalan yang lebih meyakinkan.

    Tanda rekaan unik Juke seperti lampu utama bulat yang duduk di bawah DRL serta bumbung warna hitam masih dikekalkan, dan sekarang ia pertama kali menggunakan rim 19 inci. Lampu DRL model baru ini menggunakan LED, dan ia datang secara standard dengan bentuk Y di dalamnya. Warna di dalam gambar ini dipanggil sebagai Sunset Shade dan termasuk dalam pilihan 11 warna yang disediakan.

    Nissan Juke baharu didedah – lebih besar dan ringan

    Untuk bahagian kokpit, Nissan memberitahu posisi tempat duduk telah diperelok, keluasan tempat duduk belakang ditambah dan butang kawalan serta ruang simpanannya lebih mesra pengguna. Papan pemuka, trim pintu serta penyandar kaki menggunakan bahan lembut baru, manakala tempat duduk itu sendiri dibina dengan monoform sporty secara standard dan didatangkan dengan pilihan balutan Alcantara atau kulit.

    Juke baru ini dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.0 liter turbo DIG-T yang dipadankan dengan sama ada kotak gear manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan (berserta paddle shift), mampu menghasilkan kuasa 117 PS. Mod pemanduan ada tiga iaitu Eco, Standard dan Sport. Menurut laporan Autocar, Juke tidak akan datang dengan pilihan enjin diesel, tetapi warga Eropah boleh menjangka ketibaan model petrol 1.5L yang lebih berkuasa dan seterusnya versi Nismo.

    Diangkat sebagai model Nissan yang mempunyai paling banyak sambungan, Juke dilengkapi dengan teknologi Intelligent Mobility, yang memberikan fungsi ProPILOT buat pertama kali padanya. Melalui fungsi yang direka untuk penggunaan dalam satu lorong di lebuh raya ini, perjalanan jauh serta trafik sesak menjadi lebih mudah bagi pemandu.

    Kelengkapan keselamatan yang berada pada kenderaan ini termasuk Intelligent Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Traffic Sign Recognition, Intelligent Lane Intervention, Rear Cross Traffic Alert, dan Blind Spot Intervention – baru bagi Nissan dan segmen ini.

    Untuk sistem hiburan, sistem NissanConnect baru pada model ini mempunyai sambungan Apple CarPlay serta Android Auto, dan skrin sesentuh lapan inci. Pemandu juga boleh menggunakan navigasi TomTom dengan maklumat trafik langsung atau mengaktifkan WiFI dalam kenderaan. Aplikasi NissanConnect Services pula membenarkan pemilik memeriksa status kunci kenderaan, tekanan angin tayar serta tahap minyak enjin melalui telefon pintar.

    Satu lagi tambahan, Juke baru juga didatangkan dengan Google Assistant yang membolehkan fungsi kunci pintu kenderaan, lampu serta destinasi navigasi diubah dengan arahan suara. Sistem pembesar suara Bose Personal Plus lapan pembesar suara disediakan sebagai pilihan termasuk dua pembesar suara UltraNearfield yang dibina dalam penyandar kepala hadapan.

     
     
  • SPYSHOT: Geely Binyue – model asas Proton X50 dijumpai sedang diuji atas Lebuh Raya Pantai Timur

    SPYSHOT: Geely Binyue – model asas Proton X50 dijumpai sedang diuji atas Lebuh Raya Pantai Timur

    Nampaknya ada lagi orang yang telah terserempak dengan Geely Binyue, sedang diuji atas jalan di Malaysia. Kali ini di Lebuh Raya Pantai Timur, oleh pembaca kami, Hannis Farhan. SUG segmen B Geely ini telah menarik perhatian, dan ramai yang memuji gaya, kelengkapan serta penawaran enjinnya.

    Ramai yang memanggil model ini sebagai Proton X50, dan ia akan diambil sebagai model SUV kedua pengeluar tempatan ini. Dengan harga yang betul, ia boleh menjadi lebih popular berbanding X70. Berdasarkan rekaan diffuser serta empat muncung ekzosnya, unit prototaip dalam gambar ini mungkin dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo.

    Walaubagaimanapun, ia tidak datang dengan spoiler besar seperti Binyue biasa yang dilancar di China, dan dipasang dengan unit lebih kecil seperti pada model plug-in hybrid. Rim seperti menggunakan tona dua warna manakala kedudukan stereng pula tidak diketahui kerana cerminnya begitu gelap.


    Lakaran kemungkinan rupa Proton X50

    Geely Binyue dibina atas platform Modular Architecture Segmen B (BMA), dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm. Di China, pilihan enjin pula ada dua iaitu 1.0 liter turbo berkuasa 135 hp/205 Nm dan 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 174 hp/255 Nm.

    Model yang mungkin tiba di pasaran kita adalah yang menggunakan enjin 1.5L turbo, yang dibangunkan bersama dengan Volvo dan dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Selain enjin ini, Binyue juga didatangkan dalam versi PHEV, yang menggunakan padanan enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 255 hp dan 415 Nm tork.

    Antara ciri menarik SUV ini adalah ia diberikan pelbagai sistem bantuan pemandu, dengan mendapat pengiktirafan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

     
     
  • BMW M4 Edition ///M Heritage didedah – hanya 750 unit

    BMW M4 Edition ///M Heritage didedah – hanya 750 unit

    Sempena dengan German Touring Car Masters 2019 (Deutsche Tourenwagen Masters atau DTM) yang bakal singgah di Nürburgring, BMW mendedahkan model edisi terhad baharu berasaskan M4, yang bakal bersaing dalam siri perlumbaan sebagai M4 Turbo DTM.

    BMW menggelarkannya sebagai M4 Edition ///M Heritage dan hanya diproduksi sebanyak 750 unit yang bakal dijual di pasaran global antara November 2019 dan April 2020. Seperti nama yang diberi, model ini akan meraikan kegemilangan barisan M bagi BMW sebagai jentera lumba, jadi warna luarannya juga mencerminkan warna popular lencana jenama ini iaitu biru muda, biru gelap dan merah.

    Pelanggan berpeluang untuk memilih dari tona Laguna Seca Blue, Velvet Blue dan Imola Red, dengan kemasan gentian karbon pada bumbungnya serta jaluran hiasan dengan warna BMW M yang disepadukan dengan komposit CFRP, menggunakan proses pembuatan khas. Sentuhan unik lain yang turut ditampilkan termasuklah roda aloi ringan forged M 20-inci dengan rekaan jejari bintang bersama kemasan Orbit Grey matte.

    Untuk dalamannya pula, ia dilengkapi dengan tempat duduk M balutan kulit sepenuhnya serta rekaan bicolour yang mengikut pemilihan warna luaran.

    Kereta dengan kemasan warna Laguna Seca Blue hadir dengan jahitan Silverstone/Hitam pada tempat duduk, sementara kereta berwarna Velvet Blue pula didatangkan dengan tempat duduk Velvet Blue dan Jingga. Untuk kereta berwarna Imola Red pula, tempat duduknya ditampilkan dengan warna Merah dan Hitam, dengan jahitan kontras kuning dan merah.

    Lain-lain peningkatan estetik termasuklah perkataan “///M Heritage” – dalam warna turquoise, jingga atau merah – pada hadapan perehat kepala, bersama rekaan jaluran kemasan karbon dalaman eksklusif untuk model ini, juga dengan warna BMW M. Jaluran kemasan dalaman dan ambang pintu juga tertera perkataan “Edition ///M Heritage” dan “1/750” sebagai peringatan eksklusiviti model ini.

    Tidak perubahan mekanikal dilakukan, model edisi terhad ini menerima enjin yang sama S55 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder dan juga M4 Competition Package. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 450 PS (444 hp) dan tork 550 Nm, yang digabungkan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau dwi-klac tujuh-kelajuan.

     
     
  • Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

    Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

    Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Toyota Corolla generasi ke-12 kini secara rasmi telah mendarat di ASEAN, atau secara spesifiknya ia telah dilancarkan di Thailand semalam. Seperti pasaran lain, Corolla tersebut adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA), tetapi masih mengekalkan nama Corolla Altis bagi pasaran rantau ini.

    Corolla Altis 2019 di Thailand ini menerapkan rupa dari Corolla Sedan pasaran Eropah, yang kelihatan lebih ‘sopan’ berbanding model pasaran Amerika Syarikat dengan rekaan lebih agresif. Walau bagaimanapun jika dibandingkan dengan model generasi ke-11, Altis ini jelas nampak lebih garang.

    Bermula dengan Corolla ini juga nampaknya Toyota mula membawa jenama Gazoo Racing terhadap model-model lebih sporty dari bilik pameran bagi pasaran ASEAN, yang sebelum ini lebih dominan dengan jenama Toyota Racing Development (TRD). Untuk itu, varian paling sporty ESport pada model sebelumnya telah digantikan dengan varian GR Sport pada Corolla Altis 2019 ini.

    Corolla Altis GR Sport pasaran Thailand menampilkan kit badan yang terdiri dari gril hadapan kemasan hitam bersama serlahan kemasan krom tebal seakan Camry SE pasaran Amerika Syarikat, skirt sisi gabungan warna badan dan hitam, diffuser pada bawah bampar belakang serta rim aloi tujuh-jejari 17-inci.

    Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

    Kabin model pasaran ASEAN ini pula tidak menampilkan perubahan ketara dengan model pasaran global lain. Ia masih diberikan papan pemukan dengan rekaan berlapis, bersama skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah.

    Selain itu, Altis 2019 ini turut diberikan ciri lain seperti paparan head-up bersaiz besar, paparan meter kelajuan digital tujuh-inci, liang pendingin hawa kabin belakang, skrin sesentuh utama lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga kualiti material yang lebih baik dari sebelumnya.

    Dari segi saiz pula, Altis 2019 hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda Altis baharu ini masih kekal 2,700 mm.

    Enam varian Corolla Altis baharu ditawarkan di Thailand dengan tiga pilihan unit janakuasa. Untuk varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G, ia dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport pula dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM137,500).

    Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

    Tiga varian selebihnya adalah dikuasakan dengan unit janakuasa petrol hibrid, dengan versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid. Manakala varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

    Model-model dari versi 1.6 liter dijana oleh enjin petrol empat silinder 1ZR-FBE berkuasa 125 PS pada takat 6,050 rpm dan tork maksima 156 Nm pada 5,200 rpm. Versi yang dijana enjin 1.8 liter pula menerima enjin 2ZR-FBE berkuasa 140 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 177 Nm bermula 4,000 rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

    Manakala untuk model-model hibrid, ia menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS.

    Model asas akan diberikan perincian standard seperti lamu hadapan halogen, lampu belakang LED, rim aloi 15-inci, tempat duduk fabrik dengan larasan manual di hadapan dan hubungan Bluetooth. Varian 1.6G dan model asas Hybrid pula dibekalkan dengan rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, pendingin hawa automatik dengan liang kabin belakang dan juga penderia undur.

    Toyota Corolla Altis 2019 dilancarkan di Thai – tawar varian GR Sport dan Hybrid, bermula RM114k-RM151k

    Model GR Sport dan Hybrid Mid pula dibekalkan dengan lampu hadapan automatik LED, cermin hadapan akustik, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, skrin sesentuh lapan-inci dan kamera undur.

    Manakala model paling mahal Hybrid High menerima ciri seperti rim aloi 17-inci, lampu kabus LED, sistem navigasi, sistem telematik T-Connect, meter kelajuan digital, paparan HUD, Nanoe ioniser, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa dan juga pelindung matahari berkuasa pada cermin belakang.

    Untuk keselamatan pula, semua varian hadir standard dengan tujuh-beg udara dan sistem kestabilan elektronik. Model GR Sport pula menerima tambahan sistem pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

    Walau bagaimanapun, hanya model Hybrid High menerima pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik. Versi tertinggi ini juga dipadankan dengan sistem pemantau tekanan tayar.

     
     
  • Proton jual 9,127 unit kenderaan pada Ogos 2019 – 10k unit tempahan Saga dalam tempoh kurang sebulan

    Proton jual 9,127 unit kenderaan pada Ogos 2019 – 10k unit tempahan Saga dalam tempoh kurang sebulan

    Proton kian mampu melebarkan senyuman dan memperhebatkan lagi langkah agresifnya dengan mencatatkan jualan memberangsangkan sepanjang bulan Ogos 2019 iaitu cecah 9,127 unit kenderaan. Sekaligus mewakili 17.6% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Ogos, menjadikan keseluruhan pegangan pasaran Syarikat untuk tahun ini sebanyak 15.3%.

    Malahan, Proton turut menguasai 36% bagi pertumbuhan jumlah keseluruhan jualan dari tahun ke tahun – tertinggi antara lima jenama terkemuka – walaupun TIV menurun sebanyak 5.8% berbanding tahun 2018. Dengan mencatat kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia, Proton kini berada di kedudukan yang tepat untuk mengatasi keseluruhan jualannya pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit. Jumlah keseluruhan jualan sehingga akhir Ogos lalu mencecah sebanyak 61,396 unit.

    “Proton sangat berterima kasih di atas penerimaan pelanggan terhadap pelbagai penawaran yang diberikan oleh kami. Syarikat telah mencatatkan pertumbuhan jualan terbaik berbanding lima jenama terkemuka pada tahun ini dan meskipun TIV Malaysia telah menurun sebanyak 5.8%, pertumbuhan jualan sebanyak 36% menunjukkan kami kini berada di landasan yang betul.

    Proton jual 9,127 unit kenderaan pada Ogos 2019 – 10k unit tempahan Saga dalam tempoh kurang sebulan

    “Melalui inisiatif seperti pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S serta penambahbaikan khidmat pelanggan dan kualiti produk yang ditetapkan untuk tahun ini, kami yakin akan dapat mengakhiri 2019 dengan kedudukan yang kukuh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

    Selain SUV Proton X70 yang membantu melonjakkan jualan Proton tika ini, Saga 2019 yang baru dilancarkan pada 6 Ogos lalu, kini telah menerima tempahan melebihi 10,000 unit. Dikhabarkan, tempahan menerusi platform dalam talian Proton turut mencecah lebih 1,000 unit. Terdorong dengan sambutan luar biasa itu, Proton melanjutkan tempoh tempahan bagi model tersebut menerusi dalam talian sehingga 17 September ini, dan pelanggan masih berpeluang menempahnya dengan hanya RM9.90.

    Proton Saga 2019 ditawarkan dalam tiga varian, iaitu Standard MT, Standard AT dan juga Premium AT. Ia turut menawarkan harga yang lebih mampu milik dengan ciri yang lebih berbaloi – varian Standard MT dijual pada harga RM32,800, diikuti Standard AT pada harga RM35,800. Manakala bagi varian paling lengkap pula, Premium AT, ia dijual pada harga RM39,800 – harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

     
     
  • Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

    Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

    Sebelum adanya Toyota Alphard dan Vellfire, Toyota Estima (juga dikenali sebagai Previa) terlebih dahulu menambat hati rakyat Malaysia dan menjadi penanda aras bagi model-model MPV mewah lain di sini satu ketika dahulu. Malah walaupun dengan kehadiran Alphard dan Vellfire, Estima masih mempunyai pengikutnya tersendiri dengan bentuk badan lebih bujur seakan telur/bola ragbi, berbanding berkotak seperti pesaingnya.

    Berita sedih untuk peminat Estima, Toyota telah mengumumkan bahawa produksi MPV ini akan ditamatkan oleh kilangnya di Jepun bermula bulan hadapan. Pemasangan model generasi ketiga itu akan dihentikan tanpa sebarang pengganti, memandangkan permintaannya yang semakin berkurangan.

    Toyota Estima generasi pertama telah diperkenalkan ke pasaran bermula pada tahun 1990, dan ia terus bertahan sehingga tahun 1999. Ia kemudian digantikan dengan model generasi kedua bermula pada tahun 2000 dan dijual sehingga tahun 2005. Model generasi ketiga yang dijual buat masa sekarang telah pun diperkenalkan buat pertama kali pada 2006 dan pernah mencapai angka jualan 100,000 unit setahun. Selepas 13-tahun, ia tidak lagi kompetitif – menjadikannya antara sebab mengapa pengeluarannya akan dihentikan bulan hadapan.

    Produksi Toyota Estima sah ditamatkan bulan hadapan

    Estima yang yang hadir dengan tujuh-tempat duduk turut menghadapi masalah dari segi segmentasi. Untuk mereka yang mahukan MPV tujuh tempat duduk, pilihan seringkali berpihak kepada Toyota Wish dan Noah kerana harga yang lebih murah. Estima walaupun mempunyai saiz yang hampir sama dengan Alphard dan Vellfire, ia seringkali ‘kalah’ kerana kelengkapan yang kurang mewah jika dibandingkan dengan dua MPV lebih terkini berkenaan.

    Dengan pemberhentian produksi Estima di Jepun ini, bermakna penjualan Estima ini turut akan dihentikan di seluruh dunia kerana ia tidak dipasang di mana-mana kilang Toyota lain luar dari negara berkenaan. Mei lalu, setelah Toyota Granvia (Toyota Majesty di Thailand) – van Hiace yang diberikan kelengkapan seakan Alphard/Vellfire – diperkenalkan di Australia, Toyota turut mengumumkan bahawa ia akan menggantikan tempat Toyota Tarago (nama Estima di Australia) di pasaran tersebut.

    Dengan pengumuman ini juga, khabar angin yang menyatakan Toyota telah menghasilkan Estima generasi keempat berdasarkan platform TNGA bersama dimensi yang lebih besar adalah kekal sebagai khabar angin semata-mata.

     
     
  • Hyundai i10 2019 didedah – enjin sama, teknologi lain

    Hyundai i10 2019 didedah – enjin sama, teknologi lain

    Ingat lagi dengan Hyundai i10? Untuk model generasi ketiga yang akan ditunjukkan secara rasmi di Frankfurt minggu depan, i10 hadir dengan penampilan dan semangat baru yang sangat berbeza. Wajah baru, pilihan kotak gear berbeza tetapi dengan enjin yang sama seperti sebelum ini.

    Sedikit sebanyak reka bentuknya pernah dilihat pada Gran i10 Nios yang didedahkan dahulu untuk pasaran India. Ia tampil dengan rekaan gril baru yang menonjol, lengkap dengan lampu nyalaan siang tetapi masih menggunakan lampu utama projektor serta bukaan udara kecil dengan lampu kabus.

    Hyundai i10 2019 didedah – enjin sama, teknologi lain

    Dilihat dari sisi, i10 terbaru ini lebih berisi, dengan lengkuk tayar yang ketara. Garis lengkung pada tingkap juga membuatkan kereta kompak ini kelihatan sedikit panjang. Warna bumbung pula berbeza daripada warna badan, sama ada merah atau hitam dan tak ada landasan pada bumbung. Bahagian belakang kereta ini juga menampilkan rekaan menarik dan moden.

    Ruang dalaman sama seperti versi Nios. Antaranya ia hadir dengan skrin sentuh infotainmen lapan-inci yang bersekali dengan kluster instrumen. Papan pemuka pula hadir dengan corak haneycomb yang digunakan juga pada bahagian panel yang lain. Dari segi dimensi, i10 baru ini 20 mm lebih lebar dan rendah dari yang lama disebabkan pertambahan pada jarak antara roda. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 252 liter; bukaan pintunya juga lebih luas untuk lebih mudah memasukkan barangan besar.

    Hyundai i10 2019 didedah – enjin sama, teknologi lain

    Ciri dan kelengkapan baru yang ditambah adalah seperti Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar dan pilihan untuk telematik BlueLink Hyundai. Dari segi ciri keselamatan, i10 baru ini menerima ciri brek autonomous dengan pengesan pejalan kaki, amaran perhatian pemandu serta pengesan papan tanda dan lampu tinggi automatik.

    Piliha enjin pula ialah unit 1.0 liter tiga-silinder (67 PS/96 Nm) dan juga unit 1.2 liter empat-silinder (84 PS/118 Nm) – dengan ciri Start/Stop. Kotak gear manual lima-kelajuan masih dikekalkan, tetapi transmisi automatik empat-kelajuan akan digantikan dengan versi lima-kelajuan yang lebih ringan dan kurang geseran komponen.

     
     
  • SPYSHOT: Isuzu D-Max generasi ke-3 sedang diuji

    SPYSHOT: Isuzu D-Max generasi ke-3 sedang diuji

    Trak pikap Isuzu D-Max generasi kedua sudah pun berada sekitar tujuh tahun dalam pasaran global, dan kini nampaknya model generasi baharu sedang dibangunkan oleh Isuzu bagi menggantikan model sedia ada. Unit prototaip awalan D-Max generasi ketiga ini dijumpai oleh jurugambar pengintip kami, dilihat sedang diuji di Eropah.

    Dengan hampir keseluruhan badannya dilitupi pelekat penyamaran, prototaip D-Max berkenaan nampak seakan masih menggunakan lampu hadapan dan belakang model generasi kedua, tetapi bampar hadapannya mungkin diberikan unit yang berbeza.

    Model tersebut dikhabarkan akan terus dijana enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder bagi pasaran Eropah, manakala pasaran lain juga dijangka akan mengekalkan pilihan enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter empat silinder turbodiesel yang diberikan sistem pengecas turbo geometri bervariasi (VGT).

    SPYSHOT: Isuzu D-Max generasi ke-3 sedang diuji

    Enjin 1.9 liter tersebut sudah pun diperkenalkan pada D-Max facelift 2015 sehingga sekarang, menghasilkan 150 hp/350 Nm dan dipadankan sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik. Manakala enjin 3.0 liter pula sememangnya telah muncul dari awal dengan bekalan kuasa 177 hp/380 Nm, dipadankan dengan pilihan transmisi sama da lima-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

    Model generasi baharu ini kelak dijangka akan menerima sistem-sistem keselamatan dan bantuan pemanduan lebih baik. Buat masa sekarang, D-Max pasaran Malaysia sudahpun dilengkapkan dengan dua-beg udara, sistem ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang.

    D-Max generasi ketiga ini juga akan menjdi asas kepada trak pikap Mazda BT-50, yang tidak lagi akan dibina bersama Ford Ranger untuk generasi seterusnya. Jadi, selepas ini Mazda BT-50 tidak akan lagi dihasilkan di kilang AutoAlliance Thailand (AAT) di Rayong, tetapi akan dipasang di fasiliti Isuzu Thailand.

    Isuzu D-Max generasi ketiga ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2020, dan akan diikuti Mazda BT-50 selepas itu.

     
     
  • Mercedes-Benz bakal pasang A35, GLB, EQC di China

    Mercedes-Benz bakal pasang A35, GLB, EQC di China

    Mercedes-Benz telah mengumumkan bakal memasang tiga model di China dengan fasiliti hasil kerjasama antara BAIC Motor, pada tahun ini, dan model berkenaan ialah AMG A 35 L, GLB crossover dan crossover elektrik EQC. Langkah tersebut mematuhi peraturan tempatan yang memerlukan pengeluar kenderaan untuk memperkembangkan pengeluaran kenderaan elektrik, laporan Automotive News.

    Malah EQC bakal menjadi crossover elektrik mewah pertama yang dipasang secara tempatan di China. Manakala A 35 L pula bakal menjadi model pertama AMG yang juga dipasang di sana (sebelum ini model AMG yang berada di pasaran berkenaan diimport dari Jerman). Untuk GLB pula, ia menjadi crossover ketiga yang menjalani pemasangan tempatan di sana, selepas GLA dan GLC.

    Dengan produksi tempatan sekarang, Mercedes-Benz juga boleh mengelak membayar tarif kepada pihak kastam China, namun demikian bilakah ketiga-tiga model berkenaan bakal memulakan jualan di sana masih belum dipastikan. Selain itu, barisan sedan A-Class, C-Class dan E-Class juga dipasang di Beijing.

    Untuk separuh pertama 2019, Beijing Mercedes-Benz (syarikat kerjasama) telah menghantar sekitar 282,000 unit kenderaan pemasangan tempatan di China, meningkat 12% berbanding tempoh yang sama pada 2018. Syarikat ini juga memasang tiga model van dengan BAIC di Fuzhou, iaitu Vito, Sprinter dan V-Class.

     
     
  • Bugatti Chiron raja pecut terbaru, rekod 490.484 km/j

    Bugatti Chiron raja pecut terbaru, rekod 490.484 km/j

    Bugatti datang lagi dengan kereta paling laju, Chiron. Dalam ujian terbaru di litar ujian Ehra-Lessien, pemandu penguji syarikat itu, Andy Wallace berjaya memandu hypercar berkenaan mencecah rekod kelajuan baru dunia dengan laju maksimum 490.484 km/j (304.773 mph)! Ini pengeluar yang pertama dapat memecah angka sebelum ini, 482.803 km/j (300 mph).

    Percubaan yang memecahkan rekod ini disahkan oleh Technical Inspection Association (TÜV) dari Jerman, meletakkan Chiron ditempat teratas berbanding jentera-jentera lain seperti SSC Ultimate Aero (412.282 km/j atau 256.18 mph purata dua-hala), Hennessey Venom GT (435.111 km/j atau 270.49 mph laju maksimum) dan Koenigsegg Agera RS (457.939 km/j atau 284.55 mph laju maksumum, 477.188 km/j atau 277.87 mph purata dua hala).

    Sekali pandang, macam tak boleh percaya Chiron dapat rekod baru ini. Sebabnya, ia masih menggunakan versi standard, memandangkan versi modifikasi memang sedang diusahakan oleh Bugatti bersama Dallara dan Michelin sejak enam bulan lalu.

    Bugatti Chiron raja pecut terbaru, rekod 490.484 km/j

    Pertama sekali, kereta ini 25 cm lebih panjang berbanding Chiron Sport standard, guna untuk memberikannya bentuk badan yang lebih aerodinamik dan kurang rintangan angin. Bahagian “ekor” yang panjang juga membolehkan rear wing dan brek udara digugurkan.

    Untuk janaan kuasa, Bugatti menggunakan unit enjin W16 8.0 liter quad-turbo yang diberi talaan baru. Kuasa yang terhasil pula ialah 1,578 hp, kekal dengan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar dan sistem pacuan semua roda.

    Selepas memperkemas aspek kecekapan aerodinamik kereta ini, antara perkara lain yang turut dilakukan ialah mengeluarkan tempat duduk penumpang serta beberapa langkah pengurangan berat yang lain. Antara barangan yang ditambah pula adalah seperti tempat duduk keselamatan dan sangkar anti-roll, serta beberapa sistem komputer.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026