HANOI, 28 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memandu uji kereta VinFast, buatan Vietnam model SUV LUX SA (A) 2.0 semasa mengadakan lawatan ke Hoa Lac Hi-Tech Park hari ini.???–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA???
Ingat lagi kereta jenama Vietnam iaitu VinFast yang diperkenalkan secara rasmi tahun lalu? Ketika lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara tersebut awal minggu ini, beliau turut dijemput untuk melawat fasiliti VinFast yang terletak di Hoa Lac Hi-Tech Park, Hanoi.
Dalam lawatan tersebut, Tun berkesempatan untuk memandu uji SUV premium LUX SA2.0, dan beliau juga diperkenalkan kepada versi sedan LUV A2.0 dan juga model hatchback kompak VinFast Fadil, lapor Bernama.
Sebelum diperkenalkan di Vietnam tahun lalu, LUX A2.0 dan SA2.0 terlebih dahulu telah membuat kemunculan di Paris Motor Show 2019. Kedua-dua model tersebut masing-masing diasaskan dari sedan BMW 5 Series F10 dan juga SUV BMW X5 F15. Ia turut jana enjin BMW N20 2.0 liter empat-silinder petrol dengan dua talaan – 176 PS/300 Nm dan 231 PS/350 Nm.
Sedan LUX A2.0 akan ditawarkan dengan kedua-dua talaan enjin, manakala versi SUV hanya hadir dengan enjin 231 PS sahaja. Kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF. Model-model mewah ini dijangka akan mula dijual di Vietnam tahun ini.
HANOI, 28 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memandu uji kereta VinFast, buatan Vietnam model SUV LUX SA (A) 2.0 semasa mengadakan lawatan ke Hoa Lac Hi-Tech Park hari ini.???–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA???
VinFast Fadil pula adalah model rebadge dari Vauxhall Viva/Opel Karl, iaitu model yang diasaskan dari Chevrolet Spark. Hatchback ini juga telah didedahkan pada November tahun lalu, dan ia dijana oleh enjin petrol 1.4 liter empat-silinder berkuasa 98 hp/128 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT.
VinFast adalah subsidiari dari Vingroup, iaitu syarikat swasta terbesar di Vietnam. Jenama tersebut sebelum ini turut telah mendedahkan rancangan mereka untuk menghasilkan model-model lain termasuk kereta elektrik yang akan dibangunkan sendiri dengan kerjasama firma kejuruteraan Jerman iaitu EDAG, serta bas elektrik dengan sokongan Siemens.
Awal bulan ini juga, VinFast telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan 1,500 unit Fadil untuk servis ride-hailing FastGo Viet Nam. Kedua-dua syarikat tersebut turut bersetuju untuk menggunakan sedan LUX untuk perkhidmatan pengangkutan mewah pada masa hadapan.
Model pertama yang dibina menggunakan Subaru Global Platform, Impreza GK/GT, kini telah berusia tiga tahun dan sudah tiba masanya ia memerlukan suntikan yang lebih segar. Dan tepat pada masanya, sedan dan hatchback segmen-C ini kini telah ditampilkan dengan model facelift dan dipasarkan di negara kelahirannya sendiri, Jepun, dengan peningkatan imej yang minima dan menampilkan beberapa kit ekstra.
Hanya bahagian wajah hadapan model ini yang diberikan suntikan lebih segar dengan penambahan bampar baharu. Rekaan ringkas dengan corong pengambilan udara bersama krom berbentuk-L serta gril yang lebih nipis menjadi pilihan bagi model facelift kali ini. Lampu utama LED juga ditampilkan dengan rekaan semula dengan tambahan lampu tinggi adaptif, sementara lampu belakang model hatchback hadir dengan imej ‘smoked’. Ia juga hadir dengan roda aloi baharu.
Bahagian dalaman juga ada sedikit perubahan, dengan kemasan umpama gentian karbon pada panel pintu menggantikan ciri hitam berkilat pada model sebelumnya. Ciri tambahan termasuklah kamera parkir hadapan baharu, fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin pintu serta cermin sisi penumpang juga akan dicondongkan secara automatik apabila diundurkan.
Subaru turut menambah EyeSight Touring Assist iaitu pemanduan semi-autonomous sebagai ciri standard untuk semua variannya. Syarikat ini berkata, ia mampu menambah baik “kualiti pemanduan” bagi kereta berkenaan, tetapi tidak memperincikan butiran spesifik tentang apa yang telah diubahnya.
Lain-lain ciri untuk model ini masih kekal, termasuk menggunakan penjana kuasa yang sama dengan enjin FB naturally-aspirated empat-silinder – unit 1.6 liter mampu memberikan 115 PS pada 6,200 rpm dan tork 148 Nm pada 3,600 rpm, sementara 2.0 liter suntikan-terus pula dengan 154 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ciri standard lain termasuklah terus menggunakan Symmetrical All-wheel Drive.
Di antara tahun 1955 dan 1956, sekumpulan enam anak muda dari Universiti Oxford dan Cambridge di United Kingdom memulakan Ekspedisi Timur Jauh (juga menerima jolokan “The First Overland”), menaiki dua buah Land Rover Series 1. Dua kenderaan itu dinamakan “Oxford” dan “Cambridge”, terlibat di dalam perjalanan pertama ikut jalan darat yang berjaya merentas jarak 10,000 batu dari London ke Singapura.
64 tahun kemudian, ditahun 2019, seorang daripada kumpulan asal anak muda itu, Tim Slessor yang kini berusia 87 tahun, disertai oleh seorang pembikin filem Alex Bescoby, 31, akan sekali lagi menghidupkan dan memandu Land Rover Series 1 1955 yang sama untuk menjejak kembali laluan itu.
Tetapi kali ini, mereka akan melakukan perjalanan “pulang”; dari Singapura ke London – dan diberi jolokan “The Last Overland”, sebagai simbolik melengkapkan kitaran penuh perjalan yang dimulakan dahulu. Mereka akan merentas tiga benua benua dan lebih 20 negara – sasarannya ialah untuk tiba di London dalam tempoh 100 hari. Antara lokasi yang akan direntas ialah Myanmar, banjaran Himalaya, utara Turki, China, Uzbekistan, Iran dan Bulgaria.
Dan, Isnin lalu, selepas sehari mereka memulakan perjalanan dari Kota Singa, Land Rover Series 1 1955 “Oxford” ini singgah sebentar di Kuala Lumpur untuk berkongsi projek yang ingin diusahakan itu. Unit asli berkenaan dibangunkan dan diberikan “nyawa” semula dari keadaan terabainya sebelum ini. Kenderaan itu kemudiannya diangkut ke Singapura dari London, sebelum didedahkan di bilik pameran Jaguar Land Rover di Singapura pada 30 Mei 2019.
“Sudah lama berlalu untuk kali terakhir saya memandu Land Rover ‘Oxford’ ini. Untuk melihatnya sekali lagi kini, itu amat menyentuh hati saya. Namun, nasihat daripada pakar selepas melihat keadaannya, mereka yakin kami tidak akan dapat menamatkan perjalanan ini. Itu membuatka saya lebih teruja dan bersungguh,” ujar Tim Slessor.
Di Malaysia, mereka akan bertandang ke Cameron Highlands sebagai kunjungan hormat kepada sebuah lokasi yang masih banyak Land Rover Series I hingga III boleh dilihat. Ekspedisi ini bergerak menuju Pulau Pinang pada 27 Ogos 2019, sebelum meneruskan baki perjalanan 97 hari mereka menuju London. Mereka akan turut disertai oleh beberapa lagi individu pakar penasihat untuk menguruskan risiko yang mungkin didepani sepanjang perjalanan. Semoga berjaya!
The First Overland (1955) & The Last Overland (2019)
Bagi memenuhi keperluan pengguna, Mercedes-Benz telah memperkenalkan varian prestasi bagi model GLB yang dinamakan sebagai Mercedes-AMG GLB 35 4Matic. SUV ini boleh didapati dalam tetapan lima tempat duduk atau tujuh tempat duduk, dan menggunakan enjin M260 yang sama dengan model A 35.
Enjin ini merupakan unit petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 306 PS (302 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm, dan 400 Nm tork antara 3,000 hingga 4,000 rpm. Turut dipasang pada model ini adalah sistem pacuan semua roda 4Matic, dengan bezanya, ia menggunakan transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT lapan kelajuan, dan bukannya unit tujuh kelajuan seperti pada A 35.
Pada aspek prestasi, SUV ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan mencecah laju maksimum 250 km/j. Apabila dipandu seperti biasa, penggunaan bahan api boleh pergi serendah 7.5 liter bagi setiap 100 km (mengikut kitaran NEDC), manakala pembebasan CO2 pula berada serendah 171 gram bagi setiap kilometer.
Bagi menjadikan ia boleh bertahan dengan kelajuan tinggi di selekoh dan mengatasi olengan badan, suspensi biasa pada GLB 35 ini telah dipertingkat dengan knuckle stereng, transverse control arm pada gandar depan dan pemegang roda gandar belakang yang direka semula. Sistem AMG Ride Control didatangkan sebagai pilihan tambahan, dan melaluinya pemilik akan mendapat penyerap jenis adaptif dan boleh ditukar kepada tiga mod – Comfort, Sport dan Sport+.
Bagi mod pemanduan pula, AMG Dynamic Select menyediakan pilihan mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Sistem ini juga menampilkan pengawal kelincahan AMG Dynamics, yang mempunyai dua mod iaitu Basic dan Advanced, yang diaktifkan bergantung kepada mod pemanduan.
Kelengkapan mekanikal lain yang berada pada kenderaan ini adalah termasuk stereng kuasa elektromekanikal yang sensitif kepada kelajuan dengan nisbah boleh ubah, serta sistem brek yang dinaik taraf dengan cakera berliang berukuran 350 mm serta angkup empat piston di hadapan, manakala di belakang menggunakan cakera 330 mm dan angkup satu piston.
Melihat kepada rekaan, GLB 35 menggunakan asas AMG Line tetapi dipasang dengan gril Panamericana yang sudah sinonim dengan model AMG. Barangan khas lain untuknya adalah splitter di hadapan, diffuser di belakang bersama empat muncung ekzos serta spoiler bumbung AMG.
Rim AMG 19 inci berwarna kelabu diberikan secara standard, tetapi terdapat tiga lagi pilihan rim yang berukuran antara 19 hingga 21 inci. Turut disediakan sebagai pilihan adalah pakej AMG Night yang memberikan kemasan hitam serta muncung ekzos krom gelap.
Pada bahagian dalam kemasan merah menampakkan ciri sporty model ini, dan ia digunakan sebagai penyeri pada tempat duduk yang dibalut dengan kulit buatan Artico/Dinamica serta tali pinggang keledar. Pada beberapa bahagian lain terdapat kemasan gentian karbon dan roda stereng standard padanya boleh dinaik taraf kepada roda stereng AMG Performance.
Perkhidmatan ride-hailing atau pun teksi motosikal seperti Go-Jek yang dijalankan di Indonesia, menjadi isu yang agak panas juga dibincangkan tatkala ini. Cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, ini turut menerima pelbagai kritikan dari banyak pihak termasuk Blue Taxi dan MyCar.
Walau bagaimana pun, jemaah Menteri yang bersidang pada pada 21 Ogos lalu telah bersetuju supaya perkhidmatan ride-hailing ini dibenarkan untuk melaksanakan Proof Of Concept (POC) di Malaysia. Namun demikian, keputusan tersebut hanya akan dimuktamadkan setelah kajian terhadap aspek-aspek penting lain dikaji terlebih dahulu.
Maka, untuk itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan kajian bagi mengenal pasti tahap penerimaan pengguna jalan raya terhadap kebolehlaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini. Ia meliputi aspek keselamatan jalan raya, perundangan, aliran trafik, ekonomi, keselamatan sosial, kesihatan, budaya serta peralihan mod pengangkutan.
Kajian yang bertajuk ‘Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya Terhadap Kebolehlaksanaan Perkhidmatan Teksi Motosikal’ yang bermula pada 29 Ogos hingga 7 September ini, dilakukan secara atas talian menerusi PAUTAN INI.
Kumpulan sasaran bagi kajian ini adalah kepada penunggang motosikal dan kajian ini bagi menyuarakan pendapat dan pandangan tentang pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia. Malah, MIROS akan membentangkan hasil pendapat orang ramai kepada Kementerian Pengangkutan bagi merangka mekanisme pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.
Jadi, jangan lupa untuk menyertai kajian ini kerana hanya kurang 15 minit sahaja untuk melengkapi segala jawapan yang diperlukan. Kalau setakat kecam sana sini, pun tak berbaloi jugakan.
Seperti juga Proton Saga, rata-rata yang lahir pada era 70’an dan 80’an pasti ada pengalaman dengan Perodua Kancil bukan? Jika bukan anda sendiri atau ada ahli keluarga yang memiliki, sekurang-kurangnya anda mesti pernah memandu kereta kecil berkenaan ketika berada di sekolah memandu untuk mengambil lesen D.
Sedar tak sedar, Kancil sebenarnya sudahpun berumur 25-tahun hari ini – ia muncul secara rasmi pada 29 Ogos 1994, saya sendiri ketika itu baru darjah dua, dan masih lagi terngiang-ngiang lagu “Wooo uh oh uh oh yeahh…Sebijak Anda” yang dinyanyikan ketika iklan kereta ini dimainkan di televisyen tempatan.
Seperti ramai yang tahu, Kancil adalah produk pertama dari Perodua, dan diasaskan dari Daihatsu Mira L200, iaitu Mira generasi ketiga pada pasaran domestik Jepun (JDM). Penubuhan Perodua itu sendiri telah diilhamkan oleh orang yang sama melahirkan Proton iaitu Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohammed, dan idea ini dilontarkan buat pertama kali pada lawatannya ke Jepun pada tahun 1991.
Buat permulaan, projek kereta nasional kedua ini digelar sebagai M2, dan idea tersebut hadir kerana Tun M mahukan sebuah lagi kereta nasional yang lebih kecil dan lebih mampu untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia berbanding Proton Saga, dihasilkan dengan kerjasama Daihatsu Jepun. Projek ini kemudiannya diumumkan secara rasmi dengan tertubuhnya Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd atau Perodua pada tahun 1993.
Setahun selepas itu, muncullah Perodua Kancil secara rasmi dalam pasaran. Unit Kancil berwarna merah yang anda lihat dalam foto di atas adalah unit pertama sebenar yang keluar dari kilang Perodua di Rawang, dan ia kini terus dipamerkan di ibu pejabat jenama tersebut.
Ketika itu, Kancil hanya ditawarkan dengan varian dijana enjin tiga-silinder 660 cc. Dengan sepasang lampu kaca hadapan, gril dengan logo ‘kancil lompat’ bersama bampar-bampar yang tidak diwarnakan, serta rim 12-inci dengan lebar hanya 4jj dibaluti tayar 155/70R12, Kancil ini dijual dengan harga hanya sekitar RM25,000.
Dengan bayaran bulanan lebih mahal sedikit dari sebuah motosikal kapcai, rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah, orang bujang yang baharu sahaja mula berkerja, serta pelajar-pelajar kolej mula mengubah mod pengangkutan mereka. Walaupun bersaiz kecil dan juga kuasa enjin hanya 31 PS berserta kotak gear manual empat kelajuan, Kancil masih mampu memuatkan empat orang dewasa, boleh membawa barang yang lebih banyak, selesa dan mempunyai penghawa dingin serta tidak perlu berteduh sekiranya hari hujan berbanding menggunakan motosikal.
Sekitar lima bulan selepas itu iaitu pada Januari 1995, Kancil EZ (disebut E-Zee/easy atau mudah) pula diperkenalkan dalam pasaran. Seperti namanya, model EZ ini diberikan kotak gear automatik tiga kelajuan. Dah la kecil, gear auto pula, apa lagi alasan seorang makwe untuk tidak memandu sebuah Kancil?
Dalam masa yang sama, Perodua turut memberikan rupa yang lebih ‘siap’ untuk varian GX 660 manual sedia ada dengan mewarnakan bampar hadapan dan belakang mengikut warna badan, dan dibekalkan dengan ciri seperti pengunci gear, kemasan pelindung sisi dan juga aksesori keselamatan seperti kit rawatan kecemasan. Model tertinggi Kancil ketika ini dengan warna metalik hanya dijual pada harga sekitar RM30k.
Pada 1995 juga Perodua telah menghasilkan model edisi terhad yang digelar Kancil Era. Model ini hadir dengan warna dua tona – badan hitam dan warna perak pada kawasan bampar dan kebawah (termasuk bawah pintu), spoiler di sekeliling cermin belakang seakan spoiler Mira L2 TR-XX, reflektor yang merentangi pintu tailgate belakang, rim aloi Enkei berwarna perak 12-inci, pelekat ‘Kancil Era’ pada pintu belakang, dan pelbagai lagi.
Dua tahun selepas pengenalan model asal, Kancil kemudiannya ditawarkan dalam versi yang dijana oleh enjin 850 cc – ini tidak ada pada model-model Mira JDM kerana had kapasiti enjin untuk undang-undang K-Car Jepun adalah 660 cc. Model dengan enjin sedikit lebih besar ini masih menggunakan sistem karburator, menjana 37 PS atau 6 PS lebih berkuasa dari model 660 cc.
Model 850 ini turut hadir dengan versi GX manual dan EZ automatik, tetapi untuk GX ia dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Selain dari enjin yang lebih berkuasa, Kancil 850 ini turut dibezakan dengan satu ciri lebih mewah dari 660 iaitu tingkap berkuasa elektrik pada pintu depan.
Kancil juga telah dieksport ke UK pada tahun 1997. Digelar Perodua Nippa d inegara berkenaan, dijual pada harga £5,000 sekaligus menjadikan ia sebagai kereta termurah di UK pada era tersebut. Ketika itu, antara kereta kecil yang popular adalah Ford Fiesta, dijual pada harga bermula £7,475 hingga £13,165
Dengan harga membolehkan lebih ramai orang membeli kereta, telah menyebabkan satu lagi ‘revolusi’ dalam budaya berkereta di Malaysia – trend mengubahsuai mula masuk tahap lebih ke akar umbi. Saya ingat lagi bagaimana banyak Kancil yang dimiliki oleh golongan yang lebih muda mula diubahsuai secara asas – spring standard di potong untuk merendahkan badan, kemudian penutup tayar (wheel cap) plastik bersaiz 13-inci ‘diikat’ pada rim besi 12-inci asal bagi memberikan ilusi bahawa ia menggunakan rim lebih besar dengan tayar lebih nipis. Ini sudah cukup untuk anda bergelar seorang ‘Mat Kereta’ ketika itu.
Diasaskan dari Daihatsu Mira L200, memberikan satu lagi kelebihan buat Kancil – kegilaan terhadap budaya ubahsuai K-Car dari Jepun mula berjangkit ke dalam masyarakat Malaysia. Daihatsu bukan sahaja menghasilkan model asas Mira untuk penggunaan dalam bandar di Jepun, malah turut membina model-model berprestasi menggunakan enjin 660 cc dengan pengecas turbo dan juga lambakan varian serta edisi-edisi istimewa seperti Parco, TRXX, Felix The Cat, Hello Kitty, dan pelbagai lagi. Industri kereta potong atau ‘halfcut’ yang dibawa dari Jepun menyumbang kepada meriahnya modifikasi Kancil di Malaysia ketika itu (masih lagi bertahan dan menjadi kegilaan sehingga kini!).
Sebenarnya Mira L200 hanya diproduksi dari tahun 1990 hingga 1994 di Jepun. Ia kemudiannya digantikan dengan Mira L500 sehingga tahun 1998. Namun dengan asas yang tidak banyak beza, barang-barang dari L500 seperti muka Mira TR-XX Avanzato R (L512) turut popular untuk disumbatkan ke badan Kancil.
Selepas produksi L500 tamat pada 1998 dan digantikan dengan Mira L700 (ia kemudian di bawa oleh Perodua ke Malaysia sebagai Kelisa pada 2001), Kancil masih lagi bertahan dalam pasaran Malaysia. Pada Ogos 1997, Kancil facelift telah diperkenalkan buat pertama kali.
Model tersebut menampilkan rupa lebih segar dengan gril hadapan lebih besar, bampar hadapan baharu dengan lampu isyarat membelok lebih bulat, kemasan jalur baharu pada bampar belakang, dua washer jet untuk membersihkan cermin depan (hanya satu sebelum itu) lampu belakang dengan lensa signal berwarna putih dan penutup roda dengan rekaan baharu. Pada bahagian dalaman pula, Kancil facelift ini nampak lebih baik dari sebelumnya dengan diberikan upholsteri baharu.
Model kemaskini berkenaan masih tampil dengan dua pilihan enjin, tetapi untuk model 660 cc, kotak gear empat-kelajuan manual telah digantikan dengan unit lima-kelajuan manual. Model 850 pula tampil dengan kelengkapan lebih baik seperti cermin sisi boleh laras baharu, tempat duduk dengan perehat kepala boleh turun-naik dan juga meter dengan latar belakang putih.
Ia kemudian dikemaskini lagi pada tahun 2000 – kali ini disertakan dengan gril yang direka semula, kemasan pelindung sisi badan, dan juga bampar yang di cat hanya separa bagi diselaraskan dengan pelindung sisi baharu tersebut. Model 850 pula menerima cermin pandang sisi larasan elektrik.
Selepas itu, Kancil masih terus bertahan dalam produksi di mana pada September 2002, ia diberikan perubahan rupa yang agak besar. Model berkenaan diberikan muka dengan pipi, lampu hadapan dan lampu signal hadapan yang lebih bulat – diberi gelaran ‘Kancil Mata Belalang’ oleh masyarakat Malaysia – mungkin diinspirasikan oleh Daihatsu Opti. Elemen lebih bulat turut diberikan pada bahagian belakang menerusi rekaan pintu tailgate, lampu dan bampar belakang baharu.
Perubahan menyeluruh turut dapat dilihat pada bahagian kabin, di mana papan pemuka baharu Kancil tersebut menampilkan panel meter yang dialihkan pada bahagian tengah seakan Toyota Vios generasi kedua, dan juga liang-liang penghawa dingin berbentuk bulat. Panel-panel pintu pula menerima kemasan plastik tanpa balutan upholsteri.
Ketika dilancarkan, ia hadir dengan dua varian iaitu 660 EX dan 850 EX – kedua-duanya dilengkapi kotak gear manual lima-kelajuan dan sistem karburator seperti model sebelumnya. Model automatik hanya hadir pada tahun 2003 digelar EZi, di mana abjad ‘i’ berkenaan bermaksud injection, iaitu sistem suntikan bahan api elektronik yang menggantikan karbutor, hanya untuk model auto.
Ketika Kancil baharu ini diperkenalkan, Perodua sudahpun memproduksi Kancil lebih dari 470,000 unit. Kancil Mata Belalang berwarna biru yang anda lihat pada gambar di atas adalah unit yang turut kini dipamerkan di ibu pejabat Perodua, dan ia sebenarnya Kancil yang ke-500,000 keluar dari kilang, siap pada 11 April 2003.
Namun setelah 15-tahun berada dalam pasaran, produksi Kancil akhirnya telah ditamatkan pada bulan Julai 2009 dengan jumlah keseluruhan yang dihasilkan adalah 722,223 unit. Tetapi, ini bukan bermaksud Perodua tidak lagi menghasilkan model asas yang boleh dibeli dengan bayaran bulanan sedikit lebih mahal dari motor kapcai, kerana tugas tersebut terus disandang oleh Perodua Viva.
Perodua Viva sebenarnya sudah masuk ke pasaran bermula pada Mei 2007. Ia turut diasaskan dari Daihatsu Mira iaitu generasi ke-enam atau dikenali dengan kod casis L250. Seperti juga kancil, Viva ditawarkan dengan harga yang sangat mampu milik – model paling ‘kosong’ Viva 660BX ditawarkan dengan harga hanya RM25,000 pada Julai 2009. Versi yang dijual tanpa radio ini diberikan harga lebih murah pada 2014 iaitu RM22,000 ketika Perodua mula mahu memperkenalkan Perodua Axia.
Selain dari versi asas ini, Viva turut hadir dengan varian-varian lain seprti 850EX manual, 1.0SX Standard manual, 1.0EZ Standard auto, 1.0SXi Premium manual and 1.0EZi Premium auto.
Viva yang anda lihat pada galeri gambar berwarna Ozzy Orange yang kami tampilkan ini adalah dari versi 1.0 Siri-S yang dijual pada harga RM35,200 (kemudian diturunkan kepada RM29,900 pada Jun 2014), yang hadir dengan kotak gear auto, stereng berkuasa, tempat duduk pemandu dengan pelaras ketinggian, sistem stereo yang boleh memainkan fail MP3/WMA, dan pelbagai lagi.
Perodua Viva kemudiannya digantikan dengan Perodua Axia pada September 2014. Berbanding model-model sebelum ini yang mempunyai saudara JDM, Axia dihasilkan dengan kembar model-model Daihatsu yang direka khas untuk Asia Tenggara iaitu Toyota Agya dan Daihatsu Ayla yang boleh anda temui di pasaran Indonesia.
Walaupun ia bukan berasaskan model JDM, Axia sebenarnya dihasilkan lebih sesuai dengan pasaran tempatan. Pertama sekali, ukurannya kini tidak lagi terikat kepada undang-undang K-Car Jepun, dan ia boleh dibina lebih besar dengan dimensi penuh hatchback segmen-A.
Kemudian, tiada lagi enjin 660 cc atau 850 cc pada Axia, di mana kesemua varian dibekalkan dengan enjin sama dan ia jauh lebih maju. Enjin 1KR-DE tiga-silinder pada model ini bukan sahaja hadir dengan kapasiti lebih besar iaitu 1.0 liter, malah ia turut pada dengan mekanisma dan teknologi terkini seperti sistem suntikan petrol elektronik dan juga aci sesondol berkembar.
Enjin twin-cam 12-injap tersebut berupaya menghasilkan 66 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 90 Nm pada 3,600 rpm, atau sekali ganda lebih berkuasa dari enjin 660 cc Kancil generasi pertama. Axia juga tidak dijual dengan bampar dan pembuka pintu yang tidak diwarnakan, namun untuk model asas 1.0L E dengan kotak gear lima kelajuan manual, ia dijual pada harga lebih kurang Kancil 20 tahun sebelumnya iaitu hanya RM24,600!
Pada awal 2017, Axia diberikan fasa facelift kali pertama – ia bukan hanya menerima muka baharu yang hampir sama dengan abangnya, Perodua Myvi, malah enjin 1KR pada model kemaskini tersebut turut menerima peningkatan dengan sistem injap bervariasi VVT-i. Sistem berkenaan menghasilkan kuasa 1 hp/1 Nm lebih tinggi dari versi sebelumnya, tetapi apa yang paling penting ia mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 22.5 km/l untuk versi manual, berbanding 21.6 km/l sebelum itu.
Bagi model tertinggi Axia, ia juga dilengkapkan dengan pelbagai ciri yang sebelum ini hanya diberikan pada model-model lebih besar dan lebih mahal seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan dan hubungan telefon pintar Smartlink pada sistem infotainmen – secara tidak langsung memberikan tekanan pada pengeluar lain untuk menawarkan sistem yang sama pada harga lebih rendah dari sebelum ini.
Selain sambutan ulang tahun Kancil yang 25-tahun hari ini, sebenarnya Axia bakal muncul dengan satu lagi fasa facelift yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan. Seperti yang telah diumumkan ketika menyiarkan teaser model tersebut (tempahannya juga mula dibuka), Axia 2019 ini bakal menerima sistem-sistem yang jauh lebih canggih seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan juga sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 seperti Perodua Aruz, yang menawarkan sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB).
Satu lagi berita gempar, Axia 2019 ini juga akan menampilkan satu varian baharu yang digelar Axia Style. Ia bukan varian yang berkonsep lebih sporty seperti biasa, tetapi ia dihasilkan seakan crossover seperti apa yang dilakukan terhadap model-model seperti Volkswagen CrossPolo, Hyundai i20 Active, Honda WR-V dan satu contoh yang boleh kita lihat di Malaysia adalah Volvo V40 Cross Country (maksud penulis adalah konsepnya, bukan bermakna ia sama kelas).
Jadi, model ini akan menerima kemasan-kemasan ‘pelindung’ berwarna hitam di bahagian sisi bawahnya, bersama kemasan berwarna perak pada bawah bampar hadapan dan belakang seakan skid plate, serta perincian lain seperti roda yang lebih besar, rel bumbung palsu dan sebagainya. Anda boleh baca segala perincian Perodua Axia 2019 tersebut pada PAUTAN INI.
Apa yang menarik lagi, Axia 2019 ini masih menampilkan harga hampir sama dengan ‘Kancil Pekak’ 25 tahun lalu – model Standard E akan dijual pada harga bermula RM24,090. Untuk Axia dengan segala macam benda diberikan, sudah tentulah harganya lebih mahal – model Advance akan dijual pada harga RM43,190.
Eh, kejap. Kita masih lagi boleh beli hatchback dengan spesifikasi asas berharga sekitar RM25k, dan Perdana Menteri kita masih lagi Tun Dr. Mahathir Mohammed – kita dalam tahun berapa sebenarnya ni?
Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila melihat kenderaan ini? Ia gambar yang dimanipulasi? Skrin anda ada masalah? Sebenarnya tidak. Ini adalah BMW X6 Vantablack, yang menggunakan bahan istimewa Vantablack dicipta oleh Surrey NanoSystems. Model ini nanti akan dibawa ke Frankfurt Motor Show 2019.
Hitam yang anda lihat pada kenderaan ini dipanggil sebagai hitam yang paling hitam di dunia, di mana bahan warna tersebut menyerap 99.96% cahaya, seterusnya memberikan penampilan dua dimensi seperti kita melihat ke dalam lubang hitam gelap gelita. Varian VBx2 daripada bahan ini sebenarnya dibangunkan untuk kegunaan bangunan dan benda saintifik lain, dan ia boleh disemburkan pada permukaan untuk menghasilkan satu lapisan baru.
BMW X6 G06 yang dilihat dalam gambar ini adalah satu-satunya kenderaan dalam dunia yang menggunakan cat Vantablack VBx2, dan beberapa bahagian lain menjadi lebih menyerlah seperti gril kidney Iconic Glow serta sistem lampu asalnya.
Vantablack generasi pertama sebenarnya sudah diperkenalkan pada tahun 2014, dan kewujudannya pernah menjadi tular. Lima huruf pertama pada namanya membawa maksud Vertically Aligned Nano Tube Array iaitu matriks yang diperbuat daripada karbon.
Setiap tiub nano karbon ini mempunyai panjang 14 hingga 50 mikrometer, dengan diameter 20 nanometer, menjadikan ia 5,000 kali ganda lebih nipis daripada rambut manusia. Apabila disusun secara menegak, sekitar satu bilion tiub nano boleh mengisi ruang satu sentimeter persegi, dengan hampir keseluruhan cahaya yang kena pada permukaan ini akan diserap dan ditukarkan kepada haba.
Teknologi ini asalnya juga dibangunkan untuk digunakan pada komponen untuk angkasa, memandangkan bahagian yang disalut dengannya tidak akan memantulkan kembali cahaya terang daripada matahari, seterusnya memudahkan pemerhatian kepada bahagian lain di angkasa.
Pengguna Lebuhraya Maju Expressway (MEX) bakal menikmati tol percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung Ahad ini.
Menurut MAJU Expressway Sdn Bhd, tol percuma bagi semua kelas pengguna lebuh raya itu akan bermula 12 tengah malam 30 Ogos sehingga 11.59 malam 31 Ogos ini. Ia bertujuan menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah ini dan boleh dinikmati semua kelas pengguna lebuh raya yang dianggarkan lebih 142,000 pengguna.
Untuk maklumat terkini mengenai tol percuma itu serta laporan trafik, pengguna boleh melayari laman Twitter dan Facebook MEXTraffic atau hubungi hotline 03-83159111.
Sebelum membuat penampilan pertama di khalayak ramai waktu Frankfurt Motor Show bulan hadapan, Mercedes-Benz telah mendedahkan lebih awal GLE Coupe C167 serba baru. Ia telah direka semula sepenuhnya, dan sekarang duduk atas platform Modular High Architecture (MHA) yang sama seperti GLE baru.
SUV ini akan tiba di wakil pengedar Mercedes-Benz di Jerman tahun depan, dalam dua varian iaitu GLE 350 d 4Matic Coupe dan GLE 400 d 4Matic Coupe sebagai permulaan. Ia juga kemudiannya akan disertai oleh versi petrol yang fokus lebih kepada prestasi iaitu Mercedes-AMG GLE 53 4Matic+ Coupe.
Selain daripada itu, beberapa lagi model petrol yang lebih ringkas akan menyusul, dan pengeluar dari Jerman itu turut menyatakan mereka sedang menyiapkan penjana plug-in hybrid untuk GLE, yang berkemungkinan bakal digunakan juga pada GLE Coupe.
Kedua-dua varian diesel GLE Coupe menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo OM656, yang dipadankan bersama transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Pada 350d, enjin ini berkemampuan 272 PS (268 hp) dan 600 Nm tork manakala pada 400 d ia mampu menghasilkan 330 PS (326 hp) and 700 Nm.
Dalam keadaan standard, GLE Coupe datang dengan suspensi biasa, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada suspensi udara Airmatic. Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga menyediakan pilihan naik taraf E-Active Body Control yang menggunakan sistem elektrikal 48 volt, dan membenarkan pelarasan spring serta penyerap pada semua roda.
Badan GLE Coupe yang direka semula ini mempunyai panjang 4,939 mm (+39 mm), lebar 2,010 mm (-7 mm) dan tinggi 1,737 mm (+18 mm). Kemudiannya, walaupun jarak roda telah bertambah 20 mm menjadi 2,935 mm, ia masih lagi kurang 60 mm berbanding GLE.
Daripada aspek rekaan, garisan bumbung seperti coupe masih lagi dikekalkan, tetapi cermin hadapan dijadikan lebih rata supaya nampak lebih dinamik. Bahagian hadapan menyerupai GLE dengan gril radiator diamond yang mempunyai satu jalur melintang, dan diapit oleh lampu utama LED penuh yang lebih bersudut dan mempunyai DRL di dalamnya. Model yang menggunakan pakej AMG Line seperti dalam gambar mendapat bukaan udara lebih lebar dan bintik pada gril berwarna krom.
Dari tepi, anda boleh melihat kemasan keliling lengkuk roda diwarnakan sama dengan badan bagi versi AMG Line, tetapi dalam keadaan standard ia sebenarnya berwarna hitam. Pilihan rim pula disediakan dari yang bersaiz 19 inci hingga 22 inci.
Pada bahagian belakang, garis bahu model ini nampak lebih jelas, manakala lampu barunya menggunakan grafik yang lebih unik, seperti SUV lain Mercedes-Benz termasuk GLE dan GLC. Bahagian bampar juga adalah baru dengan lekuk yang pergi sehingga ke tepi, pelindung bawah krom serta dua muncung ekzos bersepadu.
Masuk ke dalam, GLE Coupe menggunakan rekaan yang sama seperti GLE termasuklah papan pemuka dari atas hingga ke bawah. Paling menonjol sudah tentu adalah Widescreen Cockpit yang terdiri daripada dua skrin 12.3 inci dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang sekarang sudah mempunyai ciri servis streaming muzik Amazon secara terus, serta beberapa fungsi lain seperti kawalan suara dan pelbagai sambungan.
Badan GLE Coupe yang direka semula ini turut meningkatkan keluasannya, di mana Mercedes-Benz mendakwa bukaan pintunya bertambah 35 mm, manakala ruang barangan pula bertambah 60 liter apabila semua tempat duduk dibaringkan, menjadi 1,790 liter secara keseluruhan. Apabila tegak, ruang yang disediakan adalah 655 liter. Bukaan untuk melihat luar kenderaan turut diperbaiki dan panel bumbung boleh buka menjadi lebih besar (pilihan tambahan).
Versi AMG bagi GLE Coupe ini mendapat pakej kuasa sama seperti GLE iaitu terdiri daripada enjin enam silinder petrol turbo 3.0 liter, transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift TCT 9G, sistem pacuan semua roda 4Matic serta sistem elektrikal 48-volt yang disambung dengan unit EQ Boost starter-alternator.
Sistem ini menambah 22 PS (21 hp) dan 250 Nm tork lagi untuk tempoh yang pendek, dan menjadikan keseluruhan kuasanya menjadi 435 PS (429 hp) dan 520 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.3 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.
Untuk memberikan padanan dengan kuasa ini, GLE 53 Coupe turut didatangkan dengan AMG Dynamic Select (berserta AMG Dynamics) dan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan penstabil olengan serta lima mod iaitu Comfort, Sport, Sport+, Trail dan Sand. Kuasa membrek datang daripada cakera 400 mm serta angkup dua piston di hadapan dan cakera 345 mm dan angkup satu piston di belakang.
Antara ciri visual yang unik bagi model AMG ini adalah gril hadapan Panamericana dengan lambang Mercedes-Benz yang mempunyai dua bulatan serta diffuser belakang dengan empat muncung ekzos. Bahagian dalam pula mendapat kemasan kontras warna merah, beberapa bahagian yang dibuat daripada gentian karbon dan roda stereng AMG Performance. Sistem MBUX pada model ini turut mendapat paparan khas AMG serta AMG Track Pace.
Kerajaan negeri Selangor yang bercadang untuk membina sebuah litar lumba permotoran di Gombak, telah pun mengenal pasti kawasan yang bersesuaian. Ia terletak di kawasan tanah seluas 16.4 hektar di Sungai Tua, daerah berkenaan dan kini pihak kerajaan negeri dalam proses untuk mewartakan tanah tersebut.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sedang berbincang dengan pemaju mengenai perkara berkenaan, dan perbincangan itu bukan hanya berkisar kepada soal pembinaan fizikal litar semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek pengoperasiannya.
“Setakat ini ada dua orang menemui saya dan kita dah bawa kepada jawatankuasa terbabit untuk melihat perkembangannya,” katanya seperti yang disiarkan oleh Bernama.
Beliau berkata cadangan membina Litar Sungai Tua itu adalah salah satu usaha bagi melengkapkan kekurangan yang ada di Litar Lumba Antarabangsa Sepang, terutamanya dari segi pembangunan, dan litar baharu itu juga akan dijadikan litar pertengahan antara Litar Sepang dan juga Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (LLRKS).
“LLRKS ini dibina untuk pelumba motosikal yang baru dan sebelum mereka pergi ke tahap yang lebih tinggi (di Litar Sepang), pelumba perlu melalui tahap sebelumnya, iaitu Litar Sungai Tua,” katanya.
Pada November lalu, Amirudin telah mengumumkan cadangan membina litar lumba berkenaan dan akan menyediakan tanah seluas 20 hektar di Gombak. Litar lumba tersebut akan dibina dengan kaedah Public Private Partnership, ujar Amiruddin dalam pembentangan Bajet Selangor 2019.
Litar berkenaan dikatakan bakal mampu memuatkan kapasiti tempat duduk untuk 1,000 penonton. Selain itu, fasiliti yang bakal disediakan termasuklah paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan. Pembinaan bagi litar itu juga akan melibatkan perbincangan dengan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan besar diadakan di litar ini
Di Malaysia sebenarnya terdapat sebuah syarikat pengeluar kenderaan mewah, yang dikenali sebagai Bufori Motor Car, dan beroperasi di Kepong, Kuala Lumpur. Kali terakhir mereka memperkenalkan model baru adalah hampir 10 tahun yang dulu, melalui model yang dipanggil sebagai Geneva.
Sejak itu, tiada lagi model baru dan mereka cuma sibuk dengan menyiapkan tempahan Geneva serta satu lagi model yang kini sudah sampai ke penghujung hayatnya iaitu La Joya. Selain pengeluaran model sendiri, Bufori juga ada membuat kerja ubah suai untuk pelbagai jenis kenderaan lain yang dihantar oleh pelanggan.
Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, Bufori mungkin agak senyap, tapi ada sesuatu yang sedang dibangunkan. Pada tahun hadapan mereka akan memperkenalkan sebuah model sports GT untuk pasaran dan ia ditunjukkan awal melalui model prototaip Bufori CS ini. 10 tahun dulu, Bufori ada memperkenalkan kereta lumba yang juga menggunakan nama CS, tapi selain penampilan, ia tiada persamaan langsung dengan kereta yang anda lihat ini.
Sebagai sebuah prototaip, beberapa bahagian masih akan diubah sebelum model ini memasuki fasa pengeluaran. Wakil kami sudah menyaksikan sendiri versi yang akan dijual kepada pasaran, dan ia memang nampak berbeza. Jarak roda juga dipanjangkan untuk meningkatkan ergonomik kabin.
Model prototaip ini mempunyai panjang 4,555 mm, lebar 1,950 mm dan jarak roda 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Porsche 911 992 terbaru adalah 36 mm lebih pendek dan kurang lebar 98 mm. Bahagian rim menggunakan unit 19 inci, dengan tayar 235/35 di hadapan dan 255/35 di belakang.
Tidak dinafikan, rekaan Bufori CS ini bukanlah untuk semua orang. Ia berlainan berbanding kereta biasa, dengan kesemua lampunya berbentuk bulat kecil, manakala gril hadapan pula beralun seperti misai. Melihat kepada bentuknya anda boleh terbayang banyak model seperti Subaru BRZ/Toyota GT 86, BMW Z4 ataupun TVR. Walaupun begitu, kedudukan serta bentuk keseluruhannya masih nampak elok.
Sewaktu sesi penggambaran ini, rakan sekerja kami, Danny Tan sempat duduk di dalam Bufori CS, dan beliau memberitahu bahagian dalam memang memerlukan perubahan. Konsol tengah itu terlalu besar hingga menolak kaki, manakala tempat duduk pula rasa sporty dengan penggunaan unit lumba binaan gentian karbon oleh Sabelt. Pelapiknya juga tidak begitu empuk. Di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 7.0 inci untuk sistem infotainmen.
Bagi yang banyak memerhati dunia kereta, anda mungkin boleh perasaan pengaruh pada bahagian dalam Bufori CS ini. Ia menggunakan banyak elemen dari model kenderaan Fiat Chrysler Automobile seperti Jeep, termasuk tombol gear, panel instrumen serta pengawal pendingin hawa dan lampu. Walaubagaimanapun, penukar gear akan ditukar kepada tombol jenis pusing atau tekan, bagi model produksi.
Di bawah hud model prototaip ini terdapat enjin V6 3.6 liter NA yang juga datang daripada FCA, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 320 hp. Menurut Bufori, model produksi bagaimanapun nanti akan mempunyai sistem supercharger, dengan sasaran kuasa sekitar 500 hp.
Kemudiannya akan terdapat satu lagi model di atas Bufori CS ini, yang dipanggil sebagai CS8 dan menggunakan enjin Hemi V8 6.4 liter supercharged, yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 750 hp dan 1,000 Nm tork. Sebuah kereta yang dibuat di Kepong dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 320 km/j!
Dengan kuasa seperti ini, bahagian lain turut dipertingkat, dengan penggunaan brek Brembo enam piston di hadapan dan empat piston di belakang serta suspensi double wishbone boleh laras sepenuhnya di semua empat bucu. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan dan keselamatan moden seperti ABS, EBD, ESC, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring, minimum dua beg udara dan kamera undur.
Untuk model prototaip ini, ia menggunakan badan carbon-kevlar serta casis stainless steel, sementara model produksi nanti keseluruhannya akan menggunakan carbon-kevlar. Ia ringan tetapi kuat, dan Bufori mensasarkan berat keseluruhan bagi CS8 terletak di bawah 1,400 kg.
Seperti yang diberitahu tadi, Bufori CS versi produksi akan melihatkan lebih banyak perubahan, dan bahagian hadapannya juga akan dijadikan lebih agresif. Badan yang lebih besar nanti juga boleh memuatkan rim sehingga 20 inci (untuk CS8), manakala ekzos juga mungkin akan menggunakan empat muncung bagi melepaskan asap daripada enjin V8.
Sudah tentu, harganya setakat ini masih belum didedahkan, tapi anda rasa berapa? Bagaimana kalau RM850k untuk versi V6 3.6L supercharged dan RM1.2 juta untuk versi V8 6.4L? Anda juga perlu ingat ini adalah kereta buatan tangan dengan badan serta casis carbon-kevlar. Sebagai rujukan, Porsche 911 Carrera S 992 (berenjin enam silinder 3.0L dan kuasa 450 PS/530 Nm) dijual pada harga RM1.15 juta di Malaysia.
Biarpun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak, namun Malaysia bertegas untuk meneruskan projek kereta terbang pertama yang sedang dibangunkan di Jepun dan kini dilaporkan telah 85% siap.
“Kami terbuka menerima mana-mana pendapat untuk membangunkan projek ini. Biarpun banyak pihak yang mengkritik hebat termasuklah pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Prof Phillip Alston baru-baru ini. Mungkin PBB juga mempunyai pandangannya tersendiri,” ujar Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof seperti yang disiarkan oleh Bernama.
Baru-baru ini Alston berkata projek tersebut tidak praktikal dilaksanakan di Malaysia, dengan alasan negara ini sering terdedah kepada ribut dan kenderaan itu akan menggunakan terlalu banyak bahan bakar fossil. Tambahnya lagi, projek kereta itu membazirkan sumber dan masa bagi Malaysia yang sepatutnya membuat persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini mula terasa.
Sambung Redzuan lagi, “Projek ini adalah inisiatif swasta. Jika anda lihat pada seluruh eko sistem industri itu sendiri, saiznya adalah kira-kira USD500 bilion seantero dunia, ini industri besar yang kita harus terlibat dan sokong.”
Mungkinkah isu teksi motosikal seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini bakal mengulangi ‘haba panas’ isu perkhidmatan e-hailing seperti Grab? Modus operandi yang sama cuma berbeza medium kenderaannya. Dan isu yang paling panas diperkatakan adalah berhubung keselamatan selain soal agama/syariah.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, keputusan kabinet membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing ini dilihat dari isu keselamatan secara menyeluruh kerana kajiannya nanti akan turut merangkumi aspek yang berkaitan dengan lain-lain perkhimatan penghantaran menggunakan motosikal.
Katanya, walaupun ada pihak yang menyuarakan rasa bimbang dan membantah keputusan itu, tetapi kementeriannya melihat ia dari sudut bahawa ini merupakan satu peluang untuk membuat satu kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara menunggang motosikal dengan selamat.
“Ini termasuk penunggang motosikal yang terlibat dengan penghantaran makanan, dokumen dan sebagainya yang selama ini memang mereka tidak ada dikawal. Contohnya penunggang motosikal yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan yang telah ada dalam negara sejak sekian lama, dan tidak pernah ada kerangka keselamatan bagi mengawal mereka.
“Banyak aduan diterima menyatakan mereka ini menunggang motosikal dengan laju dan dalam keadaan merbahaya, kerana dikatakan hendak mengejar masa. Itu sebabnya setakat ini tidak ada apa-apa kerangka keselamatan dan peraturan yang mengawal penunggang motosikal ini. Jadi, apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing ini, kita akan mengambil peluang ini untuk merangka satu peraturan baharu,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Oleh demikian, pihak Kementerian Pengangkutan akan membincangkan perkara ini bersama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita akan menggunakan peluang ini untuk mengawal selia dengan lebih baik dan kita harap ini akan dapat mengubah sikap penunggang motosikal ini,” tambahnya lagi.
Dua model SUV Peugeot iaitu 3008 dan 5008 telah berada sekitar 1-2 tahun dalam pasaran Malaysia, namun ia sebelum ini adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU). Hari ini, pengedar jenama Perancis itu di sini, Nasim Sdn Bhd kini telah membawa model yang dipasang secara tempatan (CKD) Peugeot 3008 Plus dan 5008 Plus secara rasmi pada pasaran Malaysia.
Kedua-dua model ini dipasang oleh kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) yang juga bertindak sebagai hab pemasangan Peugeot di Asia Tenggara menerusi kerjasama yang telah di tandatangani antara Naza Group dan Groupe PSA. Bulan lalu, stok Peugeot 3008 THP dari kilang yang terletak di Gurun, Kedah itu telah pun mula dieksport ke Filipina.
Untuk model CKD 3008 Plus dan 5008 Plus ini, kedua-duanya ditawarkan dengan dua varian iaitu Active dan Allure. Ia juga menampilkan rupa yang sama seperti sebelum ini di mana 3008 hadir dengan konfigurasi lima tempat duduk manakala 5008 diberikan tujuh-tempat duduk.
Peugeot 3008 dan 5008 untuk semua varian hanya hadir dengan satu pilihan janakuasa iaitu enjin 1.6 liter empat-silinder petrol THP (Turbo High Pressure) berkuasa 165 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,400 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Quickshift bersama pedal penukar gear, dan hanya memacu roda hadapan.
Gandingan ini membolehkan kedua-dua model berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 8.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 205 km/j. Menurut Peugeot lagi, penggunaan bahan api untuk kedua-dua model ini juga sama iaitu 7L/100 km berdasarkan ujian NEDC. Pemandu turut diberikan lima mod pemanduan menerusi sistem Advanced Grip Control.
Bahagian luaran, kedua-duanya turut menerima kelengkapan yang sama. Varian asas Active diberikan lampu hadapan halogen automatik dengan lampu isyarat membelok LED sequential, lampu belakang dengan grafik LED “cakaran singa”, lampu kabus hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, penderia parkir belakang serta kamera undur.
SUV 3008 hadir standard dengan rim aloi 18-inci “Detroit”, manakala 5008 pula diberikan rim 18-inci “Los Angeles”. Dengan saiz rim yang sama, kedua-duanya juga diberikan tayar yang sama iaitu 255/55R18.
Masuk ke kabin, 3008 dan 500b menerima Peugeot i-Cockpit yang terdiri dari paparan meter digital dengan skrin 12.3-inci dan juga skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci. Untuk sistem infotainmen, skrin utama berkenaan turut dilengkapi sokongan Apple CarPlay dan sistem audio 3D Arkamys.
Perincian lain yang turut diterapkan pada semua SUV ini adalah sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang untuk kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, upholsteri fabrik berwarna hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-hala dengan memori (hanya enam-hala tanpa memori untuk penumpang), cruise control dan pengehad kelajuan.
Untuk keselamatan pula, SUV-SUV Perancis ini hadir standard dengan enam beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofik, sistem pemantau tekanan tayar, kawalan menurun bukit, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS, EBD dab BA, serta sistem-sistem bantuan pemanduan aktif seperti ESP, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan Anti-Skid Regulation (ASR).
Untuk membezakan spesifikasi, varian Allure ditambah dengan lampu hadapan LED-penuh, lampu kabus hadapan dan belakang LED, penderia parkir hadapan, upholsteri kulit hitam “Claudio”, lampu suasana kabin dan bukaan pintu tailgate belakang tanpa sentuhan tangan. Baru untuk model Allure CKD ini adalah bumbung suria panaromik berkuasa.
Model tertinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemandua seperti Bantuan Kekal Lorong, Amaran Perhatian Pemandu, Sistem Informasi Had Laju, Pemantau Titik Buta, sistem navigasi dalam sistem infotainmen, dan cermin pandang belakang dengan fungsi auto-dimming.
Kedua-dua model ditawarkan dalam empat warna iaitu Nera Black, Pearl White, Amazonite Grey dan Aster Grey. Namun hanya 3008 diberikan pilihan warna Metallic Copper, manakala hanya 5008 ditawarkan dengan warna Emerald Crystal.
Peugeot 3008 Active dijual pada harga bermula RM150,888, manakala varian Allure pula dijual pada harga RM163,888. Bagi Peugeot 5008 Active pula ia dijual pada harga bermula RM166,888 dan versi tertinggi Allure berharga RM179,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia termasuk waranti lima-tahun/120,000 km, pakej servis percuma tiga-tahun, Peugeot Assistance 24-Jam serta akses percuma ke SkyLounge Subang Skypark.
Pada 21 Ogos lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kabinet telah bersetuju secara prinsipnya untuk membenarkan perkhidmatan ride-hailing motosikal seperti GoJek untuk beroperasi di negara ini.
Walau bagaimana pun, terkini, menteri yang sama berkata, kerajaan tidak mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan untuk pelaksanaan perkhidmataan berkenaan. Sebaliknya inisiatif yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu baru pada peringkat cadangan untuk diperhalusi dari semua sudut, termasuk undang-undang. Malahan, setakat ini, beliau mengesahkan belum ada kertas Jemaah Menteri yang membenarkan pelaksanaan Go-Jek di Malaysia.
“Itu (cadangan pelaksanaan) adalah perkara dibangkitkan (dalam mesyuarat Kabinet) sama ada kita boleh mewujudkan GoJek. Secara prinsip, konsensus Kabinet tidak menghalang dengan syarat tertentu. Sebagai contoh, kita tidak boleh meletak GoJek di lebuh raya PLUS, justeru ia perlu diperhalusi secara prinsip.
“Kita tidak akan melaksanakannya secara mudah, perlu ada undang-undang dan peraturan. Begitu juga kawasan mana sesuai dan sama ada ia digunakan untuk menghantar makanan atau membawa penumpang. Itu semua perlu diteliti,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Mengenai rungutan pelbagai pihak meliputi pemandu teksi terhadap cadangan pelaksanaan GoJek, Mohd Redzuan berkata, keputusan dibuat kelak akan mengambil kira pandangan secara keseluruhan.
Beliau turut menjelaskan isu mengenai teksi, katanya, tumpuan diberikan kepada pembangunan perkhidmatan itu supaya menepati kehendak pengguna, termasuk dari aspek keselesaan.
“Jika sebut mengenai e-hailing, memang banyak (pemandu) teksi yang merintih. Perkara ini akan dilihat dan kita boleh membantu persatuan teksi untuk bersaing dengan perkhidmatan e-hailing. Saya rasa ada kaedah sedang dikaji supaya kita memberi peluang sama kepada pemandu teksi. Mereka perlu diberi perhatian, termasuk peningkatan dari segi perkhidmatan dan penampilan,” katanya.
Setelah banyak jenama yang mencatatkan penurunan jualan sepanjang Jun 2019, statistik untuk bulan Julai seakan membawakan sedikit kelegaan kepada pengeluar-pengeluar kenderaan untuk pasaran tempatan; banyak jenama utama yang memperlihatkan peningkatan semula terhadap jumlah jualan masing-masing.
Di tempat pertama, Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 24.2% atau bersamaan angka 19,924 unit. Lebih menarik sebenarnya ialah perkembangan di tempat kedua; Proton masih kekal di situ sejak beberapa bulan sebelum ini, tetapi kali ini Proton telah merampas tempat kedua keseluruhan sekali, setakat ini. Proton mencatatkan kenaikan 12.8% untuk Julai 2019, atau 8,590 unit manakala secara keseluruhan setakat ini telah berjaya mencatatkan jualan 52,108 unit.
Honda yang berada ditempat ketiga pula menyaksikan peningkatan yang agak ketara, iaitu sebanyak 39.9%, iaitu 7,534 unit. Bagaimanapun, untuk angka keseluruhan setakat ini, Honda dengan angka 51,794 unit telahpun dipintas oleh Proton – Honda kini jatuh ke tempat ketiga keseluruhan. Tiga lagi jenama utama pengeluar Jepun masing-masing mencatatkan pertumbuhan; Toyota (+8.4%), Nissan (+33%) dan Mazda (+22.5%).
Lain-lain jenama seperti Ford juga memperlihatkan pertumbuhan sebanyak 52.4% (menjadi 503 unit) dan Subaru dengan peningkatan 21.2% (menjadi 234 unit). Bagaimanapun, Volkswagen tidak berkongsi nasib sama selepas mencatatkan penurunan sebanyak 25.9%, begitu juga dengan Kia yang menyusut 13.9% serta Renault yang menurun 86.4%. Bagi Renault, bulan Jun menampakkan peningkatan drastik kerena disumbangkan oleh program langganan kenderaan yang diperkenalkan; kini reaksi pasarannya kembali kepada normal.
Bagi jenama premium pula, BMW terus mendahului walaupun mencatatkan penurunan 1.1% jualannya pada Julai. Ini diikuti oleh Mercedes-Benz (+8.7%), Volvo (+9%), Mini (+22.2%) dan Lexus (+4.8%). Jenama sportscar ternama,Porsche pula mencatatkan peningkatan jualan yang luar biasa, dengan kenaikan 266.7%, dengan jualan 77 unit untuk bulan lalu.
Kia Picanto GT Line yang diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia Januari lalu menjadi model yang agak unik dan menarik juga untuk diperhatikan. Dengan penawaran paling lengkapnya, ia memberikan nilai tersendiri kepada mereka yang mengintai untuk mencari kereta paling sesuai dari segmen B – saiz kompak dengan pakej keseluruhan yang sedikit lebih tinggi berbanding kebiasaan dalam pasaran ketika ini.
Secara visual, varian GT-Line ini hadir dengan kelainan rekaan pada bampar depan dan belakang – lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dan dibalut tayar 195/45. Lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling badan dan juga dua muncung ekzos di belakang.
Di dalam, Picanto GT-Line menggunakan roda stereng yang rata di bahagian bawah, serta tempat duduk balutan kulit. Peningkatan lain yang ada padanya adalah termasuk sunroof, panel instrumen Supervision, pendingin hawa automatik, perehat lengan di depan, cermin solek berlampu, cruise control dan sistem tinjauan tekanan tayar.
Model ini menggunakan enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan. Kia Picanto GT-Line ini juga ada dilengkapi dengan ciri brek kecemasan automatik (AEB). Selain itu, ia turut hadir dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, ABS dan bantuan mula mendaki (HSA).
Bagaimanapun, minggu ini, harganya diumumkan naik sedikit berbanding harga pengenalan sebelum ini, menjadikan harga jualannya kini ialah RM59,888; RM2,000 lebih tinggi berbanding harga terakhir sebelumnya.
Ini disebabkan oleh penyelarasan kadar duti eksais terbaru yang dikenakan ke atasnya, bersama beberapa lagi model dan varian tertentu dalam barisan penawaran Kia di Malaysia. Melihat kepada apa yang ada pada kereta kompak ini, adakah anda akan mempertimbangkannya berbanding Perodua Myvi?
Dalam keadaan asal, Mercedes-AMG A35 W177 4Matic boleh dianggap cukup berpotensi, dengan kuasa sebanyak 306 hp dan 400 Nm tork (tetapi sedikit tenggelam kerana sudah wujud A45 yang lebih berkuasa). Walaubagaimanapun bagi Brabus, mereka rasa itu tidak cukup. Jadi, mereka mengeluarkan pakej talaan sendiri untuk model tersebut.
Pakej yang dinamakan sebagai B35S ini termasuk dengan modul elektronik PowerXtra, yang dapat meningkatkan kuasa daripada enjin 2.0 liter turbo M260. Bersama dengan tekanan boost lebih tinggi, suntikan bahan api prestasi tinggi dan pemetaan pembakaran khas, enjin ini sekarang boleh menghasilkan 350 hp dan 460 Nm tork (meningkat 44 hp dan 60 Nm).
Walaupun dengan peningkatan sebegitu, mungkin ada yang masih tidak puas. Oleh itu, Brabus menyediakan satu lagi pakej iaitu PowerXtra +. Dalam pakej ini kenderaan akan dipasang dengan ekzos stainless steel, sekaligus meningkatkan lagi 15 hp menjadi 365 hp. Ini cuma kurang 22 hp berbanding model A45 asas dan membenarkan B35S memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sementara laju maksimum masih lagi 250 km/j.
Ekzos Brabus ini boleh dipilih dengan beberapa jenis muncung termasuk daripada gentian karbon, dan ia masih keluar di lubang yang sama di bampar tanpa sebarang pengubahsuaian. Ia juga boleh dibeli secara berasingan, sama seperti kit aerodinamik yang termasuk spoiler pada bampar hadapan.
Pada bahagian lain, kenderaan ini mempunyai tambahan pada bukaan udara di bampar untuk menyampaikan angin secara lebih cekap, spoiler belakang yang besar serta rim 19 inci warna hitam yang dibalut dengan tayar Pirelli P Zero. Di dalam pula terdapat pedal aluminium, penukar gear di stereng Brabus Race serta pilihan balutan kulit Brabus Mastik atau Alcantara.
Pada akhir Jun lalu, Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019. Ia turut disertai oleh Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) bersama beberapa agensi kerajaan serta bukan kerajaan, dan disasarkan untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya kecurian kenderaan serta bagaimana untuk mengelakkannya dari terjadi.
Baru-baru ini pula, VTREC telah mendedahkan, di Malaysia, sebuah kenderaan dilaporkan hilang dalam setiap 40 minit. Hasil kajian yang dibuat tahun lepas berdasarkan tuntutan insurans yang diterima itu mendapati sebanyak 13,340 unit kenderaan dicuri sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu, 60% melibatkan motosikal.
Pengarah VTREC Datuk Ooi Win Juat berkata kadar kecurian kenderaan itu bagaimanapun berjaya dikurangkan hasil kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta melalui pelbagai tindakan proaktif dalam memperketatkan ekosistem pentadbiran dan transaksi kenderaan.
Klik untuk besarkan
“Dalam tempoh empat tahun dari 2014 hingga 2018, statistik PDRM dan PIAM menunjukkan persamaan dari segi penurunan kadar kecurian kenderaan iaitu dalam lingkungan 50%. Walaupun ada penurunan tetapi harus sentiasa mengawasi supaya trend seperti ini berterusan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Beliau turut berkata, pihaknya akan terus membantu dengan menjalankan kempen kesedaran kepada pemilik kenderaan untuk melakukan pencegahan supaya kenderaan mereka tidak terdedah untuk dicuri.
“VTREC akan berusaha mendapatkan penglibatan masyarakat untuk memainkan peranan dalam membanteras jenayah curi kenderaan terutama dari segi pencegahan,” ujarnya lagi dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC yang berlangsung semalam.
VTREC juga pernah mendedahkan senarai 10 kenderaan paling banyak dicuri untuk suku pertama tahun 2019. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Proton Wira masih lagi kekal sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dari Januari hingga Jun 2019, dengan sejumlah 127 unit dilaporkan telah hilang. Ia diikuti oleh satu lagi model cash cow dari Proton, Iswara dengan laporan 82 unit telah dicuri dalam tempoh yang sama.
Tempat ketiga jatuh kepada satu lagi kereta ikonik Malaysia iaitu Perodua Kancil. Dalam tiga bulan terawal tahun ini, sebanyak 70 buah Kancil telah dilaporkan dicuri. Selain itu, Toyota Hilux masih kekal sebagai model bukan nasional paling banyak dicuri di Malaysia untuk suku pertama tahun ini. Dalam tempoh tiga bulan berkenaan, sebanyak 52 buah Hilux telah dilaporkan hilang kerana dicuri.
Senarai ini diikuti oleh Perodua Myvi di tangga kelima (49 unit), Proton Waja di tempat keenam (41 unit) dan Proton Saga di kedudukan ketujuh (40 unit). Satu lagi kenderaan komersial yang popular iaitu Nissan Vannete berada di tempat lapan dengan laporan sebanyak 36 unit telah dicuri. Dua model sedan popular dari Honda iaitu Civic dan City menghuni tempat kesembilan dan kesepuluh, dengan sedan segmen-C berkenaan mencatatkan kecurian sebanyak 28 unit, dan 28 buah City dilaporkan dicuri sepanjang tempoh yang sama.
Livery perlumbaan atau rekaan grafik badan adalah sesuatu yang ikonik pada sesebuah jentera lumba. Rekaan-rekaan era 70’an dan 80’an seperti “John Player Special” pada kereta-kereta F1 Lotus atau “Martini Racing” pada kereta rali Lancia sentiasa mekar dalam ingatan peminat-peminatnya sehingga sekarang.
Nah, ini peluang anda untuk mencurahkan idea kepada sebuah kereta lumba; sayap perlumbaan Proton iaitu Proton R3 kini telah mengumumkan pertandingan “Proton Design for Speed” iaitu pertandingan rekaan livery, di mana mereka akan menggunakan rekaan pemenang untuk kereta lumba Proton Saga mereka yang menyertai perlumbaan Sepang 1000 KM tahun ini!
Pertandingan ini dibuka untuk semua rakyat Malaysia yang memilik myKad, dan anda boleh menghantar karya anda bermula semalam (26 Ogos) dan penyertaan akan ditutup pada 22 September nanti. Rekaan anda perlulah dibuat menggunakan templat yang perlu anda muat turun pada PAUTAN INI.
Anda boleh menghantar seberapa banyak karya yang anda mahu menerusi e-mel kepada [email protected]. Rekaan tersebut boleh dihantar dalam format jpeg, png atau PDF dengan saiz maksimum 25 MB yang telah dimuat naik pada Google Drive, WeTransfer dan sebagainya.
Kesemua penyertaan perlulah disertakan dengan nama penuh dan nombor myKad, nombor telefon untuk dihubungi, alamat e-mel dan penerangan ringkas terhadap rekaan yang dihasilkan. Proton akan menghantar balasan kepada anda dalam masa dua hari bekerja untuk pengesahan penyertaan anda telah diterima.
Selain dapat melihat rekaan anda pada Proton Saga R3 yang bertarung di S1K 23 November nanti, pemenang juga akan menerima hadiah wang tunai; RM3,000 untuk tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga. Kesemua pemenang juga akan menerima pas VIP ke Paddock Proton R3 pada perlumbaan tersebut, dan majlis penyampaian hadiah turut akan diadakan di sana.