Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Kami dah bandingkan kos servis mengikut jadual penyelenggaraan yang dikeluarkan oleh pengeluar masing-masing untuk Proton Saga 2019 dan saingan terusnya, Perodua Bezza. Jadi bagaimana pula kos servis untuk Saga baharu yang menggunakan transmisi 4AT ini berbanding model sebelumnya yang menggunakan CVT?

    Proton Saga facelift 2019 ini diberikan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional (4AT) yang dibekalkan oleh Hyundai (juga digunakan pada Kia Picanto) bagi menggantikan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain pada model asal. Perbandingan kos servis ini kami buat berdasarkan jadual penyelenggaraan yang dikeluarkan oleh Proton sendiri, untuk tempoh lima-tahun atau 100,000 km.

    Jadual trsebut kami ambil dari laman web rasmi Proton dan ia juga terdapat dalam aplikasi mudah alih MyProton, dan apa yang dipaparkan adalah berdasarkan apa yang disiarkan dalam laman web pengeluar pada waktu artikel ini ditulis, serta harga sebenar mungkin boleh berubah.

    Apa yang kami lihat dalam kedua-dua jadual, kos servis untuk kedua-dua model ini adalah hampir sama memandangkan kebanyakkan komponen mekanikal termasuk suspensi dan enjin 1.3L VVT adalah diambil terus dari versi sebelum ini. Perbezaan yang paling nyata adalah pada servis 60,000 km/36-bulan di mana minyak transmisi perlu ditukar.

    Proton Saga 2019: Perbandingan kos servis 4AT, CVT

    Klik untuk besarkan

    Minyak untuk transmisi automatik 4AT (ATF) nampaknya lebih mahal dengan harga RM216.80, berbanding lima liter minyak untuk CVT (CVTF) yang berharga RM165.03. Walau bagaimanapun, untuk CVT, penapis minyak dalam kotak gear tersebut juga perlu ditukar setiap kali minyak CVTF ditukar, dan penapis berkenaan sahaja berharga RM156.12.

    Secara keseluruhan kos servis untuk Proton Saga AT pada servis 60,000 km adalah RM626.70, atau RM105,17 lebih murah dari Saga CVT dengan jumlah keseluruhan RM731.87. Dalam tempoh lima-tahun/100,000 km, kos menservis Saga AT adalah RM3,002.42, atau sekitar RM100 lebih murah dari Saga CVT dengan jumlah RM3,107,59 dalam tempoh sama.

    Ingin diingatkan sekali lagi bahawa perbandingan ini hanyalah melibatkan servis penyelenggaraan mengikut jadual, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh yang lebih bergantung pada penggunaan individu seperti pad brek, penyerap hentak, bateri atau tayar.

    Harga untuk model baharu ini juga sebenarnya lebih murah dari model sebelum ini, di mana model Standard 1.3L AT 2019 dijual pada harga RM35,800, atau sekitar berberapa ratus ringgit lebih rendah dari model Executive CVT sebelumnya, manakala model Premium 1.3L AT 2019 dijual pada harga RM39,800, atau lebih kurang RM2,000 lebih murah berbanding Saga 1.3L Premium CVT sebelum ini.

     
     
  • McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Pada Disember 2018, McLaren telah mendedahkan model baharu bagi generasi kedua barisan Super Series mereka iaitu 720S Spider dan ini adalah versi convertible bagi 720S coupe yang diperkenalkan pada Mac tahun yang sama. Hari ini, McLaren Kuala Lumpur telah memperkenalkannya secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    720S Spider dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo M840T dan mampu menghamburkan kuasa sehingga 720 PS dan tork 770 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan SSG yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang, sama seperti versi coupe.

    Gandingan unit penjana kuasa ini mampu mendorong 720S Spider untuk dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 341 km/j. Walau bagaimana pun kelajuan maksimum itu hanya boleh dicapai dengan bumbung tertutup, dan jika terbuka, ia hanya mampu mencecah 325 km/j sahaja. Untuk pecutan 0-200 km/j, model Spider ini lebih lambat 0.1 saat iaitu 7.9 saat, berbanding versi coupe. Sama seperti coupe, Spider turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan – Comfort, Sport dan Track.

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Menurut McLaren, 720S Spider yang pernah dinobatkan sebagai 2019 World Performance Car of the Year mempunyai berat secara keseluruhan mencecah 1,332 kg iaitu 49 kg lebih berat berbanding versi coupe. Walau bagaimana pun masih 88 kg lebih ringan berbanding pencabar terdekatnya, Ferrari 488 Spider. Peningkatan berat ini adalah disebabkan ia menggunakan struktur gentian karbon Monocage II-S, yang turut mempunyai struktur penyokong tetap yang bertindak sebagai pelindung penumpang sekiranya jentera terbalik.

    Selain daripada itu, kekuatan struktur ini juga memberi makna ia tidak perlu sebarang pendakap lain walaupun bumbung dibuka. Kenaikan berat ini juga kebanyakannya datang daripada peralatan untuk melipat bumbung tersebut, dan menurut McLaren, ia boleh beroperasi dalam masa yang paling pantas dalam kelasnya, iaitu 11 saat untuk naik dan turun, dan boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

    Bagi aspek rekaannya, selain bumbungnya yang sememangnya jauh berbeza dengan model coupe, cermin belakangnya pula boleh diturunkan secara elektronik dan memiliki buttress baharu. Selain itu, spoiler belakang aktifnya boleh dinaik dan diturunkan dengan pemetaan yang berbeza bagi memberikan ciri aerodinamik yang lebih optimum.

    Pada bahagian hadapan, perumah lampunya, selain menempatkan lampu utama dan lampu siang LED, turut mempunyai laluan udara ke bahagian tepi kereta. Bahagian bawah di depannya juga mempunyai penapis udara anti-lift untuk menjadikan jentera lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

    McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

    Bagi 720S Spider ini, ia dipadankan dengan roda aloi baharu Lightweight 10-jejari yang dibaluti tayar Pirelli P ZERO, yang direka secara khas dengan kerjasama McLaren Technology Partner, untuk memberikan keseimbangan prestasi yang optimum, lebih mencengkam dan pemanduan yang lebih selesa dalam apa jua corak jalan.

    Untuk bahagian dalamannya, ia mengadaptasikan ciri yang ada pada versi coupe, ini termasuklah rekaan tanpa bingkai untuk menempatkan sistem Retractable Hard Top (RHT), yang memberikan akses yang lebih sofistikated bersama material yang lebih elegan untuk kemasannya. Sistem engsel pintu baharu dan posisi topang gas juga sama bagi kedua-dua versi coupe dan Spider.

    Selain itu, ia turut menampilkan Central Infotainment Screen resolusi tinggi 8.0-inci yang memaparkan data dan fungsi kenderaan. Ia turut turut memaparkan fungsi audio, media, navigasi, kawalan suhu dan lain-lain ciri, yang boleh dicapai dengan ‘hard key’ untuk kawalan yang lebih mudah.

    Untuk pasaran Malaysia, 720S Spider ini turut ditawarkan dengan tiga spesifikasi yang sama dengan Coupe, bersana kemasan Performance dan Luxury selain model standard. Dua warna baharu turut diperkenalkan iaitu Belize Blue dan Aztec Gold, selain Memphis Red dan Supernova Silver yang pertama kali dilancarkan menerusi pengenalan McLaren 12C. 720S Spider ini hanya ditawarkan secara terhad sebanyak tiga unit sahaja untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,218,000 (tanpa cukai dan pilihan lain).

     
     
  • Proton Saga 2019 – lebih 4,000 tempahan diterima selepas seminggu dilancarkan, purata 500 unit sehari!

    Proton Saga 2019 – lebih 4,000 tempahan diterima selepas seminggu dilancarkan, purata 500 unit sehari!

    Baru seminggu dilancarkan, Proton Saga facelift 2019 nampaknya tidak menunggu lama untuk menambat hati rakyat Malaysia – menurut pengarah pemasaran Proton, Cheng Seng Fook, model paling mampu milik dalam barisan model syarikatnya itu kini menerima lebih dari 4,000 tempahan sejak dilancarkan selasa minggu lalu.

    Cheng pada mulanya enggan mendedahkan angka terkini tempahan untuk model tersebut ketika sesi pandu uji media Proton Saga facelift 2019 semalam, tetapi setelah ditanya, beliau menjelaskan bahawa secara purata sekitar 500 unit telah ditempah setiap hari!

    Beliau juga mengakui bahawa angka tempahan tersebut adalah melebihi jumlah produksi Saga, tetapi menurutnya tempoh menunggu tidak akan menjadi isu. “Tidak semua tempahan akan diterjemahkan [kepada jualan], terutamanya untuk model entry-level,” katanya menjelaskan bahawa pembeli kereta pertama selalunya akan bermasalah dengan pinjaman bank.

    Proton Saga facelift 2019 bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar dengan pemadanan gril signature baharu infinite weave Proton, malah ia turut menerima kotak gear 4AT baharu dari Hyundai bagi menggantikan kotak gear CVT automatik sebelum ini, serta menerima ciri lebih premium seperti skrin ‘terapung’ serta pelapik bumbung dari material Tricot.

    Proton Saga 2019 1.3L Premium AT

    Proton Saga 2019 1.3L Standard AT

     
     
  • Honda Breeze – SUV berasaskan CR-V dengan muka seakan Accord generasi baharu, hanya untuk China

    Honda Breeze  – SUV berasaskan CR-V dengan muka seakan Accord generasi baharu, hanya untuk China

    Anda dah lihat Geely Boyue Pro kan? Jadi mungkin anda mungkin dapat bayangkan trend pasaran di China bagaimana sebuah model itu boleh dijual serentak dengan dua muka yang berbeza. Gambar yang anda lihat di atas ini adalah Honda Breez – SUV segmen-C yang diasaskan dari Honda CR-V tetapi diberikan muka serta perincian lain yang berbeza, khas untuk pasaran China.

    Untuk pengetahuan anda juga, Honda di China dikendalikan oleh dua syarikat berbeza di mana CR-V dipasang dan dijual oleh Dongfeng Honda, manakala Breeze ini pula dihasilkan dan diedarkan oleh Guangzhou Honda.

    Seperti yang anda boleh lihat, bahagian sisi SUV ini masih lagi sama seperti CR-V. Tetapi pada bahagian muka, Breez diberikan muka dengan ‘jendul’ yang lebih besar, terhasil dari rekaan gril krom solid wing dengan kemasan seperti menusuk kedua-dua belah lampu hadapan baharu, dan sekali imbas ia mirip Honda Accord generasi kesepuluh.

    Rupa Breeze ini turut diolah semula pada bahagian belakang. Kluster lampu belakang pada bahagian atas dihitamkan sepenuhnya membuatkan lampu tersebut nampak lebih melintang. Selain dari grafik LED dalam yang berbeza sepenuhnya, kluster lampu pada pintu tailgate juga direka lebih nipis.

    Bampar belakang turut direka semula dengan reflektor yang lebih nipis, manakala kedua-dua tip ekzos diberikan kemasan trapezoid yang nampak lebih sporty dengan perisa Eropah.

    Secara keseluruhan, rekaan semula pada muka membuatkan Breeze mempunyai dimensi panjang 4,634 mm berbanding CR-V hanya 4,585 mm. Walau bagaimanapun, dimensi lain kekal sama seperti CR-V iaitu 1,855 mm lebar, 1,679 mm tinggi dan jarak roda 2,660 mm.

    Unit janakuasa Breeze juga kekal sama dengan CR-V iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan 193 PS/243 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Honda Breeze ini sebenarnya hanya akan masuk ke pasaran China pada suku keempat tahun ini, menurut laman CarNewsChina. Foto yang didedahkan ini adalah dari varian tertinggi ‘Black Edition’ yang menampilkan lebih banyak kemasan hitam, manakala foto varian lebih rendah dan juga bahagian dalamannya belum lagi disiarkan.

     
     
  • Treler Need For Speed Heat di siar – tampil Polestar 1 sebagai watak utama, bakal berada di pasaran Nov ini

    Pembuat permainan video, Electronics Art (EA) telah menyiarkan treler untuk saga permainan video Need For Speed terbaharu yang digelar Need For Speed Heat.

    Menerusi video treler berdurasi 1 minit 54 saat berkenaan, boleh disimpulkan bahawa edisi ke-24 Need For Speed ini masih perlu dimainkan dalam mod cerita, dan anda bukan sahaja perlu mengubahsuai kereta dan berlumba secara haram di jalan raya, malah turut perlu berhadapan dengan ancaman polis – trend yang telah dimulakan sejak Need For Speed:Underground pada 2003.

    Apa yang menarik, ‘watak utama’ seperti BMW M3 GTR dalam Need For Speed Most Wanted (2005) kini diambil alih oleh model hibrid GT-Coupe – Polestar 1, yang sebenarnya hanya akan mula diproduksi menjelang hujung tahun ini.

    Polestar 1 adalah model pertama Polestar setelah dipisahkan sebagai jenama penala untuk Volvo, dan kini bergerak sendiri sebagai pengeluar kereta berprestasi tinggi. Ia diasaskan dari platform Scalable Platform Architecture (SPA) sama seperti Volvo S90, dan menggunakan unit janakuasa petrol hibrid yang hampir menyerupai janakuasa T8 Twin Engine sedan tersebut.

    Jadi, rupa luaran Polestar 1 ini terutama pada bahagian muka dan belakang adalah seiras dengan S90, tetapi ia tampil dengan badan Coupe dua pintu dengan sebahagian besar badan kereta ini dibina dengan material polimer diperkukuh gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic atau CFRP).

    Kereta sport ini dijana enjin petrol suapan turbo dan supercharger memacu roda hadapan, dan dua buah motor elektrik bersama set gear planetari bebas pada kedua-dua roda belakang – dapat dikawal menerusi sistem agihan Torque Vectoring. Gabungan kesemua keseluruhan unit janakuasa tersebut akan menghasilkan 600 hp dan tork maksima gergasi 1,000 Nm.

    Tak sabar nak main siri baharu Need For Speed ini? Tunggu dulu kerana EA mengumumkan bahawa ia hanya akan berada di pasaran bermula 8 November 2019, tetapi pra-tempahnya kini boleh dibuat di laman rasmi syarikat tersebut.

    GALERI: Polestar 1

     
     
  • Uncle Chia pengumpul Hot Wheels terbanyak di Malaysia – lebih 10,000 unit bernilai sekitar RM300,000!

    Uncle Chia pengumpul Hot Wheels terbanyak di Malaysia – lebih 10,000 unit bernilai sekitar RM300,000!

    Tiada yang menghairankan jika anda lihat orang dewasa terbongkok-bongkok membelek kad-kad kereta die-cast Hot Wheels di pasaraya-pasaraya, kerana hobi mengumpul kereta mainan tiga-inci ini boleh dikatakan sudah dikategorikan sebagai mainstream buat masa sekarang, sebaris dengan hobi-hobi lain seperti fotografi mahupun memancing.

    Lihat sahaja dengan sesi-sesi TT yang dijalankan saban minggu di Lembah Klang seperti TT ‘Lebai Dolah’ di Shah Alam dan TT JAM di Restoran Jamal Mohamed di belakang Wisma FAM (tidak lagi diadakan kerana pelbagai masalah), betapa ramainya orang dewasa bersesak-sesak di kawasan sempit hanya kerana kereta mainan kecil ini.

    Namun tahukah anda siapa pengumpul Hot Wheels paling banyak di Malaysia buat masa sekarang? Individu berkenaan bukanlah remaja mahupun belia, tetapi seorang ‘Uncle’ bernama Chia Joon Hock yang kini berumur 65-tahun!

    Uncle Chia pengumpul Hot Wheels terbanyak di Malaysia – lebih 10,000 unit bernilai sekitar RM300,000!

    Nak tahu berapa banyak kereta Hot Wheels yang telah Uncle Chia kumpul? Bukan seribu-dua, tapi kini telah mencecah lebih dari 10,000 buah! Bagi menyimpan kesemua kereta tersebut, Uncle Chia telah menyewa sebuah rumah hanya untuk menyimpan kesemua koleksinya ini.

    Setiap pengumpul Hot Wheels ada cerita tersendiri bagaimana mereka mula terjebak dengan hobi ini – antaranya adalah untuk mengenang zaman kanak-kanak, dan ada juga bermula hanya kerana terikut-ikut dengan kawan. Bagi Uncle Chia pula, semua ini bermula pada tahun 2003 setelah menerima hadiah dari abangnya berupa sebuah Ferrari dalam skala 1:18.

    Model itu diletakkan di atas meja dan dia kemudian mula obses dengan setiap perincian replika Ferrari tersebut. Selepas itu, Uncle Chia mula ‘memburu’ model-model kereta kecil di kedai-kedai 7-11, dan kemudian dia mula terjebak untuk membeli Hot Wheels di ‘syurga hobi’, Amcorp Mall Petaling Jaya setiap hujung minggu.

    Uncle Chia pengumpul Hot Wheels terbanyak di Malaysia – lebih 10,000 unit bernilai sekitar RM300,000!

    Cerita berkenaan Uncle Chia ini sebenarnya telah pun sampai ke ibu pejabat Hot Wheels di Amerika Syarikat. Jadi, selepas memenuhi undangan ke Art of Speed (AOS) 2019 bagi mendedahkan koleksi Japan Historic 3 hujung bulan lalu, Ketua Pereka Hotwheels (segmen premium dan pengumpul) Steve “Van” Vandervate turut mengambil kesempatan sementara berada di Malaysia untuk bertemu sendiri dengan Uncle Chia.

    Buat masa sekarang, keseluruhan koleksi Uncle Chia ini dianggarkan bernilai sekitar RM200,000 hingga RM300,000. Menurutnya, lebih RM100,000 telah dibelanjakan bagi mendapatkan model-model Hot Wheels tersebut, bukan sahaja dibeli dari penjual tempatan, malah turut diperolehi dari seluruh dunia – dari Indonesia, Jepun dan Amerika sendiri.

    Dari kesemua koleksi tersebut, model yang paling bernilai adalah Nissan Skyline R32 dari koleksi Sweet Rods Premium Series untuk pasaran Jepun yang kini bernilai RM800 – ya, untuk sebuah Hot Wheels dengan saiz tiga-inci dan bukan model lebih terperinci dengan skala lebih besar.

    Obsesnya Uncle Chia dengan Hot Wheels boleh digambarkan bagaimana dia boleh membezakan setiap unit kereta kecil tersebut berdasarkan perbezaan variasi kecil seperti rekaan pada rim, tayar dan juga bonet.

    Ditanya kenapa beliau begitu meminati Hot Wheels, Uncle Chia tidak mampu menggambarkannya dengan kata-kata. “Minat. Hanya itu perkataannya. Saya suka semuanya berkenaan model-model ini. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk duduk dan memerhatinya. Saya sangat sayang semuanya dan tidak akan memilih mana satu yang paling disukai. Setiap kali saya ambil satu, saya tak sedar terus ambil yang lain, lepas itu yang lain, dan yang lain!” katanya.

    “Koleksi ini… hobi… membuatkan saya rasa muda! Ia membuatkan saya mengenali ramai kawan setiap tahun, dari setiap peringkat umur. Kanak-kanak… dewasa… kami semua bersama-sama jatuh cinta dengan Hot Wheels!” kata Uncle Chia lagi

     
     
  • LLM mahu lebuhraya dilebarkan – itu bukan penyelesaian masalah trafik, kata pakar jurutera

    LLM mahu lebuhraya dilebarkan – itu bukan penyelesaian masalah trafik, kata pakar jurutera

    Boleh dikatakan setiap kali tibanya musim perayaan, peningkatan trafik di kebanyakan lebuhraya utama acapkali berlaku. Daripada tempoh empat ke lima jam jika ikut perjalanan bukan waktu puncak, ia boleh meningkat sehingga lebih 12 jam jika waktu puncak. Penulis sendiri pernah berhadapan dengan tempoh perjalanan yang memeritkan iaitu hampir 13 jam hanya untuk pulang ke Shah Alam dari Kedah, yang kebiasaanya mengambil masa kurang daripada lima jam jika bukan musim perayaan. Malah hujung minggu lalu sewaktu cuti Aidiladha yang serentak dengan cuti sekolah, ada juga kawan-kawan yang terpaksa ‘berumahtangga’ dalam kenderaan antara 15-21 jam, sebelum sampai ke kampung halaman di Kelantan.

    Fenomena ini seakan dianggap ‘biasa’ apabila tiba musim perayaan yang sering kali serentak dengan cuti sekolah, biarpun masih banyak rungutan kedengaran daripada pengguna lebuhraya termasuklah masalah untuk menggunakan tandas di kawasan R&R kerana tidak dapat berhenti langsung di kawasan berkenaan sama ada terlalu sesak dengan kenderaan atau ia ditutup oleh pengendalinya.

    Justeru, untuk mengelakkan situasi sebegitu bertambah buruk, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pihaknya dalam perbincangan dengan PLUS untuk melebarkan jalan utama dan lebuhraya agar aliran trafik lebih lancar pada musim perayaan. Menurut laporan yang disiarkan oleh New Straits Times, Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah berkata, laluan utara-selatan sepatutnya dilebarkan bagi menampung lebih banyak kenderaan.

    “Jalan raya tetap sama dan tidak ada peruntukan bagi konsesi jalan raya untuk melebarkannya. Kami cuba berunding dengan mereka, dengan rancangan untuk melebarkan lagi jalan raya, yang melibatkan laluan utara-selatan kerana aliran lalu lintas di situ lebih sesak, terutama semasa musim perayaan,” katanya.

    LLM mahu lebuhraya dilebarkan – itu bukan penyelesaian masalah trafik, kata pakar jurutera

    Dalam laporan berasingan yang disiarkan oleh penerbitan berkenaan, beberapa pakar pula berkata idea terbabit memerlukan lebih banyak buah fikiran, untuk menjadikannya lebih relevan dan pastinya tidak melibatkan kos yang besar. Antara alternatif yang boleh dicadangkan, termasuklah meningkatkan tahap pengangkutan awam.

    “Kita tidak boleh berkata melebarkan jalan akan menyelesaikan masalah kesesakan. Itu kurang tepat. Memang ia bagus untuk memiliki jalan yang lebih lebar bagi menampung aliran trafik pada masa hadapan, tetapi bagaimana pula pada bukan waktu puncak (bukan pada musim perayaan)?,” ujar pakar kejuruteraan trafik Dr Law Teik Hua.

    Sambungnya lagi, tidak perlu untuk melebarkan jalan bagi menampung trafik. Ia memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama untuk berbuat demikian. “Agak membazir untuk berbuat demikian. Apa kata kita gunakan sumber yang ada untuk melabur bagi mempertingkatkan lagi pengangkutan awam? Kita perlu memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan fasiliti awam bagi memenuhi permintaan,” ujarnya.

    LLM mahu lebuhraya dilebarkan – itu bukan penyelesaian masalah trafik, kata pakar jurutera

    Sementara itu, profesor Universiti Putra Malaysia Dr Wong Shaw Voon pula berkata, satu kajian mengenai pelebaran jalan perlu dilakukan bagi menentukan sama ada ia benar-benar keperluan, dan kawasan yang berkenaan harus dikenalpasti dengan teliti. Katanya lagi, jika projek melebarkan jalan itu dilakukan di kawasan yang sering kali berlaku kesesakan trafik, ada kemungkinan di lokasi lain pula yang mengalami peningkatan trafik yang lebih tinggi.

    “Ia akan menyebabkan kesesakan trafik lebih teruk. Saya sarankan agar pihak berkenaan mengkaji terlebih dahulu sebelum mengimplementasikan projek berkenaan. Ini termasuklah kajian mengenai perubahan dinamik trafik. Kesesakan trafik tidak boleh diselesaikan dengan hanya melakukan projek melebarkan jalan di kawasan yang salah. Ia mungkin boleh menambahkan masalah,” ujarnya.

    Dalam isu yang berkaitan, Law memuji langkah kerajaan untuk melarang kenderaan berat pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan, namun ia memberikan cabaran buat pemilik peniagaan terbabit.

    “Kenderaan komersil yang membawa poduk segar atau lain-lain produk adalah untuk memenuhi permintaan (terhadap barangan terbabit). Musim perayaan merupakan antara masanya untuk mendapatkan barangan tersebut. Begitu juga dengan produk bahan api seperti petrol dan diesel, ia sangat diperlukan terutamanya pada musim perayaan. Jadi kenderaan berat yang membawa barangan keperluan termasuk bahan api tidak sepatutnya termasuk dalam larangan ini,” jelasnya lagi.

     
     
  • ETCM panggil semula lagi 11,971 Grand Livina, X-Gear dan Navara (D40) untuk tukar modul beg udara Takata

    ETCM panggil semula lagi 11,971 Grand Livina, X-Gear dan Navara (D40) untuk tukar modul beg udara Takata

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dan Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS) telah mengumumkan bahawa panggilan balik berkenaan modul inflator beg udara penumpang Takata yang dilakukan sebelum ini, disambung lagi untuk beberapa model lain.

    Selepas penelitian yang dilakukan oleh Nissan Motor Company, syarikat pengedar di Malaysia ini telah memutuskan 11,971 unit lagi kenderaan yang terdiri daripada model Grand Livina, X-Gear dan Navara (D40) turut dimasukkan dalam senarai. Sebelum ini juga sudah ada panggilan balik untuk model yang disebutkan, iaitu pada Januari tahun lepas dengan melibatkan 98,216 unit kenderaan.

    Syarikat ini juga mengeluarkan kenyataan bahawa Navara NP300 yang dilancarkan di Malaysia pada tahun 2015, serta model-model semasa lain yang dijual oleh mereka tidak terlibat dalam panggilan semula ini.

    ETCM panggil semula lagi 11,971 Grand Livina, X-Gear dan Navara (D40) untuk tukar modul beg udara Takata

    Pemilik kenderaan yang terlibat akan diberitahu melalui surat dan disarankan untuk menghubungi pusat servis TCEAS yang terdekat untuk membuat temu janji. Untuk menjadikannya lebih mudah untuk pelanggan, beberapa pusat servis terpilih akan mempunyai masa operasi yang lebih panjang serta dibuka setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum.

    Untuk maklumat selebihnya, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-3838 yang disediakan oleh syarikat ini. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan kepada pemilik berkenaan upah dan barang yang ditukar untuk panggilan semula ini.

    ETCM panggil semula lagi 11,971 Grand Livina, X-Gear dan Navara (D40) untuk tukar modul beg udara Takata

    Sehingga bulan Jun 2019, TCEAS telah menukar modul inflator beg udara penumpang Takata untuk 99,760 buah kenderaan Nissan dan ini bersamaan dengan 56% daripada jumlah keseluruhan yang terlibat. Bagi yang belum, ETCM dan TCEAS menggesa mereka melakukannya dengan segera.

    Memikirkan kenderaan yang terlibat ini sudah berusia beberapa tahun dan mungkin sudah bertukar tangan, pemilik sekarang boleh memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat dengan melihat kepada jadual di atas. Ataupun, anda boleh pergi ke laman web Nissan dan memasukkan nombor VIN kenderaan untuk memastikan ia terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini.

     
     
  • Punca kemalangan di M’sia 80% kerana sikap – JKJR

    Kebelakangan ini, kita seringkali dihidangkan dengan berita-berita samseng jalanraya yang lebih gemar menyelesaikan masalah dengan keganasan berbanding dengan cara yang lebih matang. April lalu, seorang pekerja stor dirakam memecahkan cermin hadapan sebuah Perodua Axia hanya kerana di hon, dan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha baru-baru ini perkara lebih tragis berlaku apabila seorang pengurus bank, Syed Muhammad Daniel Syed Syakir meninggal dunia dalam pertelingkahan yang bermula hanya kerana kemalangan kecil.

    Jelas sekali, perkara sebegini hanya boleh kita elakkan dengan mengubah sikap. Jadi untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya sikap sabar ketika dijalan raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia telah menyiarkan satu video untuk menyampaikan mesej mereka.

    Video tersebut memaparkan bagaimana dua orang yang terlibat dalam kemalangan kerana seekor kambing, melempiaskan kemarahan mereka dengan cara lebih berfaedah iaitu dengan menyabit rumput dan menebang pokok pisang yang telah mati di tepi jalan. JKJR turut menyampaikan mesej berbunyi “Manfaatkan tenaga anda. Jangan Jadi samseng jalanan” pada akhir video tersebut.

    Dalam hantaran video ini di laman facebook rasmi mereka, JKJR turut mendedahkan punca atau faktor utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Menurut agensi di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu, 80% punca kemalangan adalah faktor manusia (sikap), 13% disumbangkan oleh faktor jalan raya, dan selebihnya adalah disebabkan kenderaan.

    Macam biasa, apa-apa hal rakyat Malaysia akan menyalahkan pihak lain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini berbanding mengubah sikap supaya tidak mementingkan diri sendiri seperti tidak menggunakan signal dan buat pusingan-U sesuka hati bukan?

    Percayalah, selagi kita sendiri tidak mulakan perubahan seperti memandu secara difensif, menghormati antara satu sama lain, perkara seperti ini akan terus berlaku.

     
     
  • BMW M8 Competition diguna sebagai peronda MotoGP

    BMW M8 Competition diguna sebagai peronda MotoGP

    BMW M telah menyediakan kereta peronda rasmi untuk perlumbaan MotoGP sejak tahun 1999. Jika anda perasan semasa pusingan perlumbaan di Red Bull Ring Austria minggu lepas, modelnya telah ditukar dari M5, kepada yang terbaru, M8. Ia bukanlah M8 biasa, malah adalah menggunakan asas M8 Competition.

    “BMW M8 dan M8 GTE telah dibangunkan sekali, dan semua intipati lumba ini membezakan M8 dengan model lain. Sebab itulah kami rasa logik untuk memilih M8 Competition sebagai kereta peronda MotoGP. Malah bagi versi produksi pun, model ini sesuai digunakan di litar,” kata presiden BMW M, Markus Flasch.

    M8 Competition datang dengan enjin yang paling berkuasa pernah dibangunkan untuk kereta BMW M, iaitu unit V8 4.4 liter twin turbo S63 (sama seperti M8 biasa). Walaubagaimanapun, model Competition ini ditala untuk menghasilkan lebih kuasa iaitu 625 hp (berbanding 600 hp bagi model biasa), dan 750 Nm tork antara 1,800 dan 5,800 rpm (berbanding 5,600 rpm). Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan xDrive AWD. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.2 saat dan apabila menggunakan M Driver’s Package ia boleh mencapai laju maksimum 305 km/j.

    Untuk kereta peronda MotoGP ini, M8 tersebut dipasang lagi dengan semua barangan dalam katalog BMW M Performance Parts (boleh dipasang pada kereta produksi). Antara kelengkapannya adalah seperti sistem ekzos titanium, muncung ekzos gentian karbon, alas kaki, pelindung enjin gentian karbon, diffuser belakang gentian karbon, roda stereng M Performance (dengan kemasan gentian karbon dan pedal penukar gear), gril tepi gentian karbon, side skirt gentian karbon dan pelekat khas.

    Memandangkan kereta ini mempunyai tugas penting, kelengkapan lumba dan keselamatan lain perlu dipasang seperti kunci bonet khas, pam penyedut bahan api, suis utama bateri, lampu utama boleh berkelip, lampu LED atas bumbung, lampu LED terang di gril hadapan, tempat duduk Recaro dengan tali pinggang Schroth, roll cage, pemadam api, tayar Michelin Cup dan sayap belakang daripada kereta lumba M8 GTE.

     
     
  • Jaguar I-Pace ‘dipertontonkan’ di laman web JLRM – petanda bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

    Jaguar I-Pace ‘dipertontonkan’ di laman web JLRM – petanda bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

    Kenderaan elektrik pertama Jaguar, I-Pace, telah pun mula ‘dipertontonkan’ di laman web rasmi pengedarnya, Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM). Adakah ini bermakna I-Pace bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia? Jika benar, sudah pasti ia menjadi perkhabaran gembira buat mereka yang menantikannya.

    Jaguar I-Pace pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mac tahun lalu, malah telah berjaya menarik perhatian ramai sehingga beberapa kali dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Dunia termasuklah Kereta Tahunan Jerman 2019, Kereta Tahunan Eropah 2019 dan Kereta Tahunan Dunia 2019.

    Dibina menggunakan asas aluminium khas, I-Pace mempunyai struktur badan tegar yang mempunyai kekuatan kilas paling kuat antara semua model Jaguar iaitu 36 kNm/darjah. Bateri lithium-ion 90 kWh (dengan 432 sel) diletakkan di atas lantai kenderaan, memberikan jarak pergerakan sehingga 480 km dalam kitaran WLTP.

    Bateri pada kenderaan ini menyampaikan kuasa kepada dua motor elektrik, yang diletakkan satu bagi setiap gandar, seterusnya menghasilkan pacuan semua roda. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 400 PS dan 696 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa cuma 4.8 saat.

    Jaguar I-Pace ‘dipertontonkan’ di laman web JLRM – petanda bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

    Pengecasan pantas juga disediakan pada I-Pace, dengan menggabungkan Combined Charging System standard dengan penyambung Type 2. Untuk mendapatkan kuasa 80%, dari kosong, ia hanya memerlukan masa 40 minit, manakala dengan pengecasan selama 15 minit sahaja, pengguna boleh mendapatkan jarak penggunaan 100 km. Sekiranya tidak bergegas, pengecasan di rumah menggunakan soket dinding AC 7 kW akan mengambil masa 10 jam untuk penuh.

    SUV elektrik ini turut menawarkan ruang dalaman yang boleh dianggap agak besar. Ini adalah hasil daripada penggunaan rekaan bahagian dalam yang lebih ke depan dan susunan pek kuasanya. Jarak antara rodanya adalah 2,990 mm, panjang keseluruhan 4,682 mm, dan penumpang di belakang boleh menikmati ruang kaki 890 mm dan ruang kepala 968 mm. Mereka yang duduk di depan mendapat 1,013 mm ruang kepala dan 1,040 mm ruang kaki.

    Kelengkapan yang membantu aspek praktikaliti juga banyak pada kenderaan ini, termasuk ruang simpanan 10.5 liter di bahagian tengah, di belakang, serta tempat letak tablet dan laptop di bawah tempat duduk. Ruang barangan di but dicatat pada 656 liter, dan apabila tempat duduk dilipat rata, ia boleh menjadi 1,453 mm.

     
     
  • Enam kriteria utama kerajaan untuk memilih syarikat kereta nasional ketiga didedahkan oleh CEO MARii

    Enam kriteria utama kerajaan untuk memilih syarikat kereta nasional ketiga didedahkan oleh CEO MARii

    Minggu lalu, DreamEdge telah disahkan sebagai syarikat peneraju untuk mengendalikan projek kereta nasional ketiga. Persoalannya, apakah kriteria kerajaan bagi untuk memilih syarikat tersebut?

    Menurut CEO Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) Datuk Madani Shahri, sesebuah syarikat itu perlu memenuhi enam kriteria bagi dipilih sebagai peneraju projek ini. “Enam kriteria ini adalah lebih penting berbanding perkataan ‘nasional’. Kita boleh tukar perkataan nasional tersebut kepada syatikat kereta Malaysia atau syarikat kereta Madani atau syarikat kereta Anthony,” kata Madani sambil berseloroh kepada salah seorang wakil kami, Anthony Lim.

    “Perkataan ‘nasional’ tersebut sebenarnya tiada sebarang maksud, apa yang penting adalah untuk memenuhi enam kriteria tersebut,” tegasnya lagi.

    “Kriteria pertama adalah ‘menggunakan dana swasta’ tanpa menggunakan sebarang wang kerajaan. Kedua ekuiti dari Malaysia perlu lebih besar – syarikat Malaysia. Ketiga, rantaian bekalan syarikat berkenaan perlulah 75% minimum,” kata Madani, menjelaskan bahawa vendor dan pengedar kereta tersebut adalah termasuk dalam rantaian bekalan. “Keempat, tenaga kerja. Kami hanya membenarkan 2% tenaga kerja asing, 98% perlulah rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

    Menurutnya lagi, kriteria kelima untuk syarikat tersebut adalah perlu menghasilkan kereta yang “selari dengan definisi kenderaan generasi seterusnya seperti dalam Dasar Automotif Nasional (NAP).” Semak semula terhadap NAP dilaporkan sedang dipantau pada Jun tahun lalu dan dijangka akan diumumkan pada suku pertama tahun ini. Namun ia masih tidak diumumkan dan dikatakan akan berlaku pada suku ketiga 2019 – sekarang kita sudahpun berada pada suku ketiga tahun ini.

    Datuk Madani tidak memperincikan dengan lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan ‘kenderaan generasi seterusnya’ itu, tetapi sebelum ini dilaporkan bahawa definisi tersebut akan didedahkan pada awal 2022 dan implentasinya akan bermula pada 2025.

    Kriteria terakhir adalah sumbangan yang signifikant terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Secara asasnya, yang terbaik adalah membuat kesemua R&D di Malaysia. Walau bagaimanapun, kami berikan pengecualian khas sekarang untuk platform, kerana kami tahu bahawa platform adalah sesuatu yang pembuat kereta berkongsi. Selain dari platform, ia boleh dibuat di Malaysia. Itu minimum,” jelasnya.

    Selain dari pengumuman perlantikan DreamEdge untuk projek ini, turut diumumkan bahawa model mock up kereta berkenaan akan didedahkan hujung bulan ini, kemudian prototaip sebenar akan muncul pada Mac 2020, sebelum ia dilancarkan secara rasmi dalam pasaran pada Mac 2021.

    Enam kriteria utama kerajaan untuk memilih syarikat kereta nasional ketiga didedahkan oleh CEO MARii

    Kereta berkenaan akan menerima sokongan teknologi dari Daihatsu Jepun – ia adalah sekadar urusniaga perniagaan tanpa melibatkan kerjasama ekuiti untuk diberikan kepada jenama dari Jepun tersebut.

    Model apa yang akan dihasilkan? Menurut DreamEdge, ia adalah “model eksklusif dengan pendekatan baharu dalam segmentasi. CEO syarikat tersebut Khairil Adri Adnan turut menjelaskan bahawa ia adalah sedan segmen-B yang lebih besar dari biasa (sebelum ini ia disebut sebagai sedan segmen-C), dijana oleh enjin pembakaran dalam (ICE) biasa atau unit janakuasa hibrid.

    Tiada kilang khas akan dibuat, sebaliknya ia akan dipasang secara kontrak dengan kilang-kilang pemasangan kereta sedia ada di Malaysia. Siapa sebenarnya DreamEdge ini? Kenali syarikat tersebut dalam artikel pada PAUTAN INI.

     
     
  • Proton Saga 2019 vs Perodua Bezza – kami banding kos servis keduanya bagi tempoh 5 tahun/100,000 km

    Proton Saga 2019 vs Perodua Bezza – kami banding kos servis keduanya bagi tempoh 5 tahun/100,000 km

    Minggu lepas Proton telah melancarkan Saga facelift terbaru, yang bersaing terus dengan Perodua Bezza. Dengan harga yang bermula RM32,800 (tanpa insurans) untuk varian paling asas, ia tentunya satu pilihan yang menarik, tetapi ada yang mahu mengetahui kos penyelenggaraannya.

    Untuk itu, kami telah mengumpulkan maklumat berkenaan perkara ini, dan anda sekarang boleh melihat dengan lebih mudah berapakah kos untuk menjaga dua model sedan ini. Maklumat yang anda lihat ini boleh didapati daripada laman web Perodua serta aplikasi MyProton.

    Untuk menjadikan perbandingan ini wajar dan adil juga, kami cuma akan mengambil Bezza varian 1.3 liter kerana itulah kapasiti enjin sama yang digunakan bagi Saga baru untuk semua varian yang ditawarkan.

    Proton Saga 2019 vs Perodua Bezza – kami banding kos servis keduanya bagi tempoh 5 tahun/100,000 km

    Klik untuk besarkan

    Untuk transmisi pula, Bezza 1.3L ditawarkan dengan unit manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan bagi varian Premium X, manakala varian Advance paling tinggi pula cuma datang dengan transmisi automatik empat kelajuan. Saga juga mempunyai pilihan transmisi yang sama, tetapi unit empat kelajuannya adalah baru dan menggantikan unit CVT yang digunakan sebelum ini. Hanya varian Standard ditawarkan dengan transmisi manual dan automatik manakala varian Premium cuma datang dengan transmisi automatik.

    Berdasarkan maklumat yang diperolehi ini, secara keseluruhannya Saga adalah lebih murah untuk dijaga berbanding Bezza dalam tempoh lima tahun/100,000 km, tak kiralah transmisi apa pun yang dipilih. Walaubagaimanapun, perbezaannya tidaklah begitu besar, dengan yang paling tinggi adalah RM92.97 bagi versi automatik.

    Melihat kepada jadual servis berkala mengikut barang, anda dapat menyaksikan penapis udara serta palam pencucuh Saga perlu ditukar lebih kerap berbanding Bezza. Walaupun begitu, kos penukaran barang ini dalam tempoh 100,000 km bagi Saga masih lagi lebih murah berbanding Bezza kerana enjin 1NR-VE Bezza menggunakan palam pencucuh iridium manakala Saga menggunakan palam pencucuh biasa.

    Proton Saga 2019 vs Perodua Bezza – kami banding kos servis keduanya bagi tempoh 5 tahun/100,000 km

    Proton Saga 2019 1.3L AT dan MT; klik untuk besarkan

    Bezza juga menggunakan penapis udara lebih mahal, yang perlu ditukar dalam selang masa 40,000 km dan 80,000 km, atau setiap 20,000 km sekiranya anda memilih jadual servis penyelenggaraan Pro Care (pilihan tambahan) yang disediakan oleh Perodua.

    Mahu juga dinyatakan di sini bahawa minyak transmisi automatik Bezza perlu ditukar pada 40,000 km dan 80,000 km, manakala Saga pula cuma perlu melakukan perkara yang sama pada 60,000 km. Tetapi, jumlah dua kali penukaran pada Bezza adalah kurang berbanding penukaran satu kali pada Saga.

    Untuk versi manual pula, minyak transmisi Bezza adalah lebih murah berbanding Saga, meskipun ia perlu dtukar dua kali sepanjang 100,000 km. Pada bahagian lain, Saga juga memerlukan penukaran penapis minyak setiap 30,000 km dan penukaran tali sawat FEAD, sementara pada Bezza ia tidak perlu dilakukan.


    Perodua Bezza 1.3L AT (kiri), MT (kanan); klik untuk besarkan

    Kos penyelenggaraan Bezza sebenarnya boleh jadi lebih tinggi sekiranya anda memilih pakej Pro Care, yang termasuk penukaran minyak brek, palam pencucuh serta penapis udara lebih kerap. Perodua juga menyarankan penjajaran semula tayar serta servis pendingin hawa pada tempoh masa tertentu, di mana untuk Saga ia tidak dinyatakan.

    Anda juga perlu tahu bahawa masih ada beberapa lagi faktor yang tidak diambil kira di sini seperti penggunaan bahan api serta bahan lusuh lain seperti pad brek, penyerap hentak, bateri serta tayar yang berbeza antara dua model ini, serta cara penggunaan pemilik masing-masing.

    Dengan semuanya telah ditunjukkan di sini, apakah pendapat anda berkenaan kos penyelenggaran Saga dan Bezza? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen. Angka yang ditunjukkan adalah berdasarkan apa yang terpapar dalam laman web pengeluar pada waktu artikel ini ditulis, dan harga sebenar mungkin boleh berubah.

     
     
  • Acura Type S kembali – TLX Type S Concept didedah

    Acura Type S kembali – TLX Type S Concept didedah

    Selain dari Type R, satu ketika dulu Honda turut terkenal dengan menghasilkan model-model Type S sebagai model yang lebih sporty dari versi standard terutamanya menerusi divisi mewah meraka iaitu Acura. Kini, nama tersebut telah kembali menerusi sebuah model konsep digelar Type S Concept yang akan membuat kemunculan di The Quail, a Motorsport Gathering pada 16 Ogos ini, sebelum ke Pebble Beach Concours d’Elegance Concept Lawn pada hari Ahad.

    Menurut Acura, Type S Concept ini adalah langkah asas bagi membolehkan mereka kembali dengan “Precision Crafted Performance” yang turut dicanangkan ketika pengenalan NSX generasi baharu. Jenama tersebut turut mengesahkan bahawa model konsep ini adalah prebiu kepada Acura TLX generasi kedua versi Type S.

    Dari 2001 hingga 2008, empat model Acura Type S telah dihasilkan untuk pasaran Amerika Utara – 3.2CL Type S 2001-2003, 3.2TL Type S 2002-2003, RSX Type S (Integra DC5) 2002-2006 dan TL Type S (kembar kepada Accord Euro R CL7) 2007-2008. Secara asasnya, varian Type S ini bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih sporty, malah turut diberikan enjin lebih berkuasa serta tingkat taraf pada sistem suspensi dan brek.

    “Kemunculan semula Type S merupakan instrumental dalam misi kami bagi mengembalikan Acura kepada asas prestasinya. Dari mengembalikan NSX hingga ke memenangi perlumbaan peringkat tertinggi kereta sport Amerika Utara dan memperkenalkan semula generasi baharu bermula denga RDX, kami menghidupkan semula Acura dengan asas asli nilai jenama kami, satu demi satu,” kata Jon Ikeda, naib presiden dan pegawai jenama Acura.

    Acura Type S kembali – TLX Type S Concept didedah

    Menurut Acura, “Precision Crafted Performance” pada model konsep ini diserlahkan menerusi bentuk badan dan juga stance kereta tersebut, menampilkan garis bayangan badan yang berkuasa ekspresif, namum masih menampilkan rekaan yang bersih.

    Type S Concept ini menampilkn elemen baharu dalam rekaan Acura termasuk lampu hadapan empat ‘mata batu permata’ LED, gril Diamond Pentagon dan lampu nyalaan siang “Chicane” (juga bertindak sebagai lampu isyarat membelok) serta lampu belakang , kesemuanya diinspirasikan dari kereta lumba prototaip Acura ARX-05.

    Muka yang agresif ini diteruskan pada bahagian sisi dengan pelbagai permukaan badan dan diseimbangkan dengan garis-garis yang tajam, menghasilkan impresi bahawa setiap permukaan yang berubah adalah seiring dengan aliran ke belakang, menurut Acura. ‘Otot-otot’ pada ruang roda belakang menyerlahkan lagi lebar kereta ini.

    Bahagian belakang direka dengan ekor yang tajam, bersama spoiler karbon forged yang dibina bersepadu. LED “Chicane” juga diberikan pada lampu belakang, manakala pada bahagian bawah bampar diberikan diffuser bersaiz besar yang turut menempatkan empat tip ekzos bulat bersaiz besar.

    Selain itu, ia turut menerima komponen aero lain yang diperbuat dari karbon forged iaitu splitter udara hadapan dan belakang, bendul sisi, dan kemasan pada rim 21-inci. Karbon forged tersebut dihasilkan dengan menggabungkan lapisan-lapisan karbon sehingga mencapai kekuatan karbon tenun tradisional. Model konsep ini juga dilengkapkan dengan brek Brembo dengan angkup empat-omboh.

    Akhir sekali, badan kereta ini menerima warna Double Apex Blue Pearl yang dihasilkan menerusi aplikasi pigmen nano. Warna ini adalah sempena untuk memperingati model-model Type S dengan warna biru, termasuk TL Type S 2007-2008. Kereta ini direka oleh Acura Design Studio di Califronia, dan menurut jenama tersebut, dua model baharu Type S akan diperkenalkan dalam tempoh dua tahun mendatang.

     
     
  • DreamEdge inisiatif kerajaan, bukan pilihan peribadi – kata PM berkenaan pemilihan syarikat peneraju itu

    DreamEdge inisiatif kerajaan, bukan pilihan peribadi – kata PM berkenaan pemilihan syarikat peneraju itu

    Minggu lepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking telah mendedahkan bahawa syarikat penyedia khidmat kejuruteraan digital Malaysia, DreamEdge dilantik sebagai syarikat peneraju kepada projek kereta nasional terbaru. Beliau juga memberitahu syarikat ini dipilih kerana mempunyai model perniagaan yang dipercayai oleh kerajaan boleh berjaya.

    “Mereka telah mempersembahkan usul mereka kepada perdana menteri dan beliau telah yakin, selagi ia menggunakan dana swasta dan digerakkan oleh pakar daripada DreamEdge,” kata Darell.

    Melalui laporan terbaru daripada Bernama, semalam perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa pemilihan DreamEdge sebagai tonggak utama untuk projek kereta nasional terbaru ini bukanlah pilihan peribadi beliau, tetapi adalah satu inisiatif kerajaan.

    Mahathir sebelum itu diminta memberikan komen berkenaan kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyatakan kerajaan telah berbohong dengan mengatakan projek ini tidak melibatkan dana awam. Menurut Wee, 53% pegangan dalam DreamEdge adalah milik VentureTech, iaitu satu syarikat yang dimiliki oleh kerajaan.

    DreamEdge inisiatif kerajaan, bukan pilihan peribadi – kata PM berkenaan pemilihan syarikat peneraju itu

    “Benda sudah pun berlaku, saya sudah tiada apa nak dikatakan lagi,” ujar Mahathir berkenaan kenyataan Wee. Merujuk kepada pegangan itu pula, beliau memberitahu beliau menjangkakan sebegitu kerana DreamEdge sebelum ini sudah “melakukan banyak benda dan nampak berkemampuan,” jadi ada jabatan dalam kerajaan yang mahukan bahagian mereka.

    Beliau juga menegaskan kembali bahawa kereta nasional baru adalah perlu, demi merangsang industri automotif Malaysia yang sekarang tidak begitu bagus, dan memastikan negara tidak ketinggalan di belakang. “Jadi, kita perlu mengambil langkah ke hadapan ini,” kata beliau.

    Mahathir juga menambah bahawa dunia sekarang semakin meninggalkan enjin pembakaran dalaman biasa dan bergerak kepada hibrid dan elektrik; jadi kereta nasional baru juga perlu mengikuti langkah tersebut.

    “Sekiranya anda mahu mempunyai kereta ketiga, ia patut sekurang-kurangnya mampu menghasilkan model hibrid. Ini maksudnya ia dipacu oleh bateri tetapi masih mempunyai enjin untuk mengecas semula bateri tersebut. Ini juga mungkin boleh membawa kereta tersebut sehingga 1,000 batu. Jadi, kita bergerak ke arah itu,” jelas beliau.

    DreamEdge inisiatif kerajaan, bukan pilihan peribadi – kata PM berkenaan pemilihan syarikat peneraju itu

    Mahathir turut menyatakan bahawa perniagaan kereta tidak statik, dan projek ini akan memberi peluang kepada warga Malaysia untuk belajar. “Industri kejuruteraan sendiri mesti berkemampuan untuk mengikuti perkembangan baru dan sekarang kita menggunakan pelbagai peranti automatik, kita bercakap dengan kereta dan kereta itu bercakap kembali kepada kita,” kata beliau.

    Semasa pengumuman pelantikan DreamEdge sebagai peneraju, CEO syarikat itu, Khairil Adri Adnan telah memberitahu mereka sedang mempertimbang untuk menghasilkan sebuah kereta sedan segmen B plus, dengan menggunakan teknologi hibrid sebagai model pertama. Di dalam majlis yang sama, beliau turut menyebut bahawa model berkenaan akan dilancarkan pada bulan Mac 2021.

     
     
  • Subaru Forester 2019 – teaser mula ditayang menerusi laman web tempatan, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Subaru Forester 2019 –  teaser mula ditayang menerusi laman web tempatan, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    TC Subaru telah pun mula menayangkan teaser bagi Subaru Forester 2019 menerusi laman web rasminya. Ini bermakna SUV segmen-C ini bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi, walau pun sebelum ini ia pernah dikhabarkan akan diperkenalkan Julai lalu.

    Untuk Forester 2019 ini, ia bakal ditampilkan dengan sistem bantuan pemanduan EyeSight untuk varian tertinggi 2.0i-S ES, menjadikan Forester sebagai model Subaru kedua di Malaysia yang menerima teknologi ini selepas Outback yang telah pun dilancarkan. Senarai untuk sistem ini termasuklah Pre-Collision Braking & Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert.

    Berdasarkan risalah yang pernah dikongsikan sebelum ini, tiga varian akan ditawarkan – 2.0i-L, 2.0i-S dan 2.0i-S ES – yang kesemuanya dijanakan oleh enjin petrol FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus bahan api. Enjin boxer ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    2.0i-S ES juga menjadi satu-satunya varian yang menerima Bantuan Menukar Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Paparan Pandangan Tepi dan Pengesan Titik Buta. Buat masa ini, belum ada lagi harga rasmi, tetapi berdasarkan sumber yang kami peroleh mendedahkan harga anggarannya sekitar RM165k untuk model spesifkasi penuh.

    Untuk kit keselamatannya didatangkan secara standard termasuk Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Penvektoran Tork Aktif, bantuan brek, ABS, EBD, penahan kenderaan auto, pengesan undur, isyarat berhenti kecemasan, cagak Isofix dan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu).

    SUV ini yang dibangunkan dengan Subaru Global Platform baharu, mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu pertambahan 30 mm menjadi 2,670 mm, memberikan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang belakag. Ruang but secara maksimum boleh mencapai sehingga 2,155 liter dengan tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan (meningkat sehingga 40 liter) dan maksimum bagi bukaan tailgate lebih lebar sebanyak 135 mm.

    Klik untuk besarkan

    Merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, kesemua varian hadir dengan active grille shutter dan lampu utama LED automatik, tetapi hanya varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES didatangkan dengan fungsi respon stereng dan pelarasan auto, serta lampu nyalaan siang LED. Kedua-dua varian ini juga menerima lampu kabus LED dan roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55, dengan pilihan asas 17-inci dengan tayar 225/60.

    Untuk dalamnya pula, kesemua varian didatangkan dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci, kawalan suhu dwi-zon, paparan kluster instrumen, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci dan butang push/start, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, akses kod PIN dan roda stereng pelbagai-fungsi.

    Ciri spesifik untuk varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES pula termasuklah pedal aluminium dan liftgate berkuasa. Manakala Special X-Mode iaitu versi yang dipertingkatkan dari X-Mode biasa ditampilkan dengan mod ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’, yang tidak lagi memerlukan suis manual untuk mematikan kawalan cengkaman.

    GALERI: Subaru Forester 2.0-S EyeSight 2019 (spesifikasi Thailand)

     
     
  • JPJeBid diperluaskan ke Sarawak mulai 24 Sept ini

    JPJeBid diperluaskan ke Sarawak mulai 24 Sept ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) akan diperluaskan ke Sarawak pula, mulai 24 September ini. Menurut pengarah JPJ Sarawak, JPJeBid akan mula digunakan bagi siri bidaan nombor pendaftaran kenderaan baharu QCK bagi Samarahan dan QS dengan hujung L bagi Sibu dan selepas itu bagi Kuching dan Miri dengan siri nombor pendaftaran kenderaan baharu yang akan diumumkan nanti.

    “Orang ramai dan syarikat di negeri ini yang mempunyai rekod di dalam Sistem MySikap dan berminat membida nombor pendaftaran kenderaan baharu terbabit hanya perlu mendaftar di mana-mana cawangan JPJ bagi mendapatkan ID awam yang membolehkan mereka menyertai bidaan sistem itu,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 dan bagi nombor menarik pula harga minimumnya adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150,” katanya.

    Bagi nombor popular pula, harga minimum ialah RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40 manakala nombor biasa, harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15.

    Projek perintis sistem ini bermula pada dengan siri plat FC untuk Putrajaya, dengan format baharu ini turut diadaptasikan untuk kegunaan Kuala Lumpur dengan VDN pada Jun lalu. Kemudian ia diperkenalkan pula di Kedah dengan siri plat KET pada awal Julai 2019. Selepas itu, ia turut dilaksanakan di Pulau Pinang yang dimulakan dengan siri pendaftaran PPC pada 2 Ogos lalu.

     
     
  • Subsidi minyak bersasar diperingkat akhir kemaskini

    Subsidi minyak bersasar diperingkat akhir kemaskini

    Subsidi minyak bersasar untuk kelompok B40 yang berpendapatan rendah kini dalam proses akhir untuk diperhalus dan diperincikan lagi sebelum pengumumannya dibuat. Ini maklumbalas daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilaporkan Bernama.

    “Walaupun ia sepatutnya dilaksanakan pada suku pertama tahun ini, ia akhirnya dalam fasa akhir sebelum diumumkan,” ujar beliau, dengan penjelasan bahawa terdapat pelbagai aspek yang perlu disemak terlebih dahulu, termasuk data penerima, untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja akan menerimanya. Antara semak-silang yang perlu dijalankan turut melibatkan data dari program Bantuan Sara Hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabantan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

    Selesai semua ini, kertas cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada kabinet untuk mendapatkan kelulusan, dan pengumuman rasmi akan dimaklumkan selepas itu, berkaitan perlaksanaannya. Ketika Bajet 2019, kerajaan mengumumkan bahawa kereta di bawah 1,500 cc ke bawah dan motosikal 125 cc ke bawah masing-masing akan menerima subsidi petrol RON 95, terhad kepada 100 liter setiap bulan dan 40 liter sebulan bagi motosikal.

     
     
  • MINI 60 Years Edition dilancar di Malaysia – RM256k

    MINI 60 Years Edition dilancar di Malaysia – RM256k

    MINI Malaysia telah melancarkan model MINI 60 Years Edition, dalam satu varian sahaja iaitu Cooper S 3 Door Hatchback. Model ini dikeluarkan dalam jumlah terhad sebagai menandakan ulang tahun mereka yang ke-60, dan hanya 60 unit sahaja yang dibawa masuk ke Malaysia.

    Ada dua pilihan warna luar untuk model ini, iaitu British Racing Green yang dibuat khas untuk model ini, bersama bumbung dan cermin sisi berwarna Pepper White, manakala satu lagi adalah warna Melting Silver yang dipadankan bersama bumbung serta cermin sisi Jet Black.

    Bahagian unik lain yang boleh didapati pada model ini adalah termasuk jalur berwarna hitam atas bonet dengan pinstripe Aspen White dan British Oak, serta lencana 60 tahun pada sirip udara di tepi. Kemudiannya, lampu yang terdapat pada cermin sisi boleh memantulkan logo 60 tahun kepada permukaan lantai.

    MINI 60 Years Edition dilancar di Malaysia – RM256k

    Untuk kelengkapan, model ini dipasang dengan pakej 60 Years Chili, yang termasuk semua lampu iaitu lampu utama, lampu kabus, lampu penunjuk arah serta lampu belakang yang menggunakan sistem LED. Ia juga dipasang dengan rim 17 inci khas dua tona.

    Pada bahagian dalam MINI 60 Years Edition menggunakan balutan kulit Dark Maroon dengan jahitan kontras berwarna hijau, serta beberapa lagi lencana dan tanda 60 tahun di bahagian lain seperti tepi tempat duduk, tepi pintu dan roda stereng.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah seperti skrin sesentuh 6.5 inci, pengawal pendingin hawa automatik, sambungan Apple CarPlay, kamera pandangan belakang, pengesan jarak depan dan belakang, cruise control dengan fungsi membrek, Performance Control, Comfort Access serta pakej MINI Excitement yang termasuk lampu suasana pilihan 12 warna.

    Bahagian enjin tidak diubah, di mana ia masih menggunakan unit empat silinder 2.0 liter TwinPower Turbo daripada BMW yang mampu menghasilkan 192 hp dan 280 Nm setelah dipadankan bersama transmisi DCT Steptronic tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat manakala laju maksimum pula adalah 235 km/j.

    Harga untuk MINI 60 Years Edition Cooper S 3 Door adalah RM255,888 tidak termasuk insurans. Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya juga, mereka yang membeli model edisi khas ini dari sekarang hingga 31 Ogos akan menerima perlindungan di bawah program 60 Months MINI Service + Repair Inclusive.

    Ini memberikan pemilik servis berkala percuma selama 60 bulan atau 80,000 km (yang mana tiba dahulu) dan jaminan 60 bulan tanpa had batuan. Jika anda membeli selepas 31 Ogos, ia cuma datang dengan jaminan dan servis berkala percuma selama empat tahun tanpa had batuan.

     
     
  • MG Extender – pikap rebadge Maxus T70 dari China dilancarkan di Thai; 2.0L turbodiesel, 161 hp/375 Nm

    MG Extender – pikap rebadge Maxus T70 dari China dilancarkan di Thai; 2.0L turbodiesel, 161 hp/375 Nm

    Jenama ikonik British – MG – yang kini dimiliki oleh syarikat China iaitu SAIC, telahpun mendedahkan dan melancarkan trak pikap baharu mereka digelar MG Extender di Thailand. Trak pikap tersebut bukanlah di bina sendiri oleh MG, sebaliknya adalah model rebadge dari satu lagi jenama di bawah SAIC iaitu Maxus, dan dalam kes ini Extender diasaskan dari Maxus T70.

    Tiada perubahan ketara antara MG Extender dan Maxus T70. Pada bahagian luaran, kedua-dua model tersebut hanya dibezakan dengan logo – kesemua logo Maxus telah diubah simbol MG, dan emblem serta pelekat ‘Extender’ di tampal pada tempat-tempat sepatutnya.

    Di Thailand, Extender ditawarkan dalam dua bentuk badan iaitu Grand Cab dan Double Cab. Ia juga menampilkan aspek mekanikal yang sama, dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 161 hp/375 Nm. Dalam versi asal Maxus, T70 turut hadir dengan enjin sama tetapi dengan talaan kuasa 215 hp/480 Nm.

    Enjin tersebut digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan, mengikut pilihan pembeli. Model asas hanya akan memacu roda belakang, manakala varian lebih tinggi menerima sistem 4WD.

    Perincian lain yang turut dipadankan pada trak pikap ini termasuk lampu hadapan LED, tempat duduk balutan kulit, panel dalaman sentuhan lembut, kamera undur dan juga skrin sesentuh bersaiz 10-inci untuk sistem infotaimen. MG Extender juga hadir dengan Amaran Keluar Laluan sebagai salah satu ciri keselamatan yang diterapkan.

    MG Extender dijual pada pasaran Thailand dengan harga bermula 549,000 baht (RM75k) untuk versi Grand Cab, dan bermula 759,000 baht (RM103k) untuk model Double Cab.

    Kita di Malaysia tidak menerima MG Extender mahupun Maxus T70. Namun pengedar jenama tersebut di sini, Weststar Maxus telah pun membawa trak pikap Maxus T60, iaitu versi sebelum T70 yang dijana enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder turbodiesel menjana 150 hp /360 Nm.