Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • AOS 2019: Proton Wira 1.8 EXi DOHC dan Satria GTi – pahlawan jalan dan litar buatan Malaysia era 90’an

    AOS 2019: Proton Wira 1.8 EXi DOHC dan Satria GTi – pahlawan jalan dan litar buatan Malaysia era 90’an

    Walaupun boleh dianggap masih lagi ‘baru’ dalam industri automotif dan tidak lama seperti Jepun atau Eropah yang telah menceburi industri ini sekitar 70-100 tahun yang lalu, tidak dapat dinafikan Proton mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak kuat, dan ia diakui sendiri oleh rakan kongsi baharunya, iaitu Geely.

    Dengan penyertaannya dalam dunia rali sejak era 80’an dan juga pernah memiliki Lotus, Proton pernah menghasilkan model-model jalanan yang berbisa untuk digunakan seharian, mahupun dibawa ke litar pada hujung minggu. Antaranya adalah dua lagenda 90’an ini – Proton Wira 1.8L Limited C99 dan juga hot-hatch Proton Satria GTi.

    Ketika berlangsung acara Art of Speed 2019 hujung minggu lalu, dua buah contoh yang hampir standard ini di bawa ke ruang pameran No Equal Neat Fest Modern Classic Showcase di Dewan C, Maeps, dan kedua-duanya duduk sebaris dengan hero-hero 90’an lain seperti Mitsubishi Lancer Evolution III dan Subaru Impreza WRX STI GC8.

    AOS 2019: Proton Wira 1.8 EXi DOHC dan Satria GTi – pahlawan jalan dan litar buatan Malaysia era 90’an

    Kita mulakan dengan Wira ‘Tiang gol’ dahulu. Model ini dihasilkan Proton dari tahun 1995 hingga 1997, dan ia hadir ke bilik pameran kerana Proton mahukan sebuah Wira yang boleh bertanding dalam kategori Group N3, iaitu kelas produksi 1.6L-2.0L NA 2WD dalam mana-mana rali di bawah seliaan FIA. Menurut undang-undang FIA, Proton perlu menghasilkan model yang sama seperti jentera lumba sebenar mereka sekurang-kurangnya 2,500 buah untuk dijual kepada orang awam untuk melayakkan mereka bertanding dalam kategori tersebut.

    Jadi walaupun rupa Wira ini secara asasnya lebih kurang sama seperti model-model biasa, tetapi di bawah kulitnya, versi 1.8L limited ini sebenarnya memang kereta lumba jalanan. Sambungan-sambungan badan pada kerangkan kereta ini telah dikimpal dua kali dan juga bar tambahan dalam pintu hadapan bagi memberikan ketegaran badan yang lebih tinggi.

    Ia dijana oleh enjin 4G93P 1.8 liter DOHC tanpa turbo dari Mitsubishi berkuasa 140 PS dan tork maksima 167 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Kemudian Proton memberikan pelbagai aksesori istimewa dari pengeluar-pengeluar berjenama seperti roda stereng tiga jejari dan tombol gear balutan kulit Momo, tempat duduk hadapan Recaro dan juga rim aloi 14-inci lima jejari dari AAC.

    Bahagian luaran model 1.8L ini boleh dibezakan dengan penambahan lampu kabus pada bampar hadapan, dan juga spoiler ikonik ‘tiang gol’ di but belakang. Walau bagaimanapun, unit yang dipamerkan ini kekurangan emblem ‘1.8 EXI DOHC’ yang sepatutnya berada di bawah lampu isyarat membelok pada fender kiri hadapan.

    Dari 2,500 unit produksi Wira 1.8 ini, Proton sebenarnya telah menghasilkan 50 unit Wira 1.8 DOHC RS yang dibina sama konsep seperti Mitsubishi Lancer 1.8 RS dan Lancer Evolution RS. Model tersebut tidak mempunyai aksesori fancy dari Momo dan Recaro, tetapi ia diberikan kotak komputer enjin dengan talaan lebih agresif serta tidak mempunyai rev-cut dan speed cut.

    Ideanya adalah untuk dijual kepada pasukan-pasukan lumba – selepas ianya dibeli, tempat duduk hadapan dan belakang boleh ditanggalkan untuk digantikankan dengan tempat duduk perlumbaan sebenar di hadapan, buang segala karpet, pasang rollcage dan sistem suspensi perlumbaan yang boleh dilaras, kemudian ia boleh terus di bawa ke litar atau SS rali tanpa mengusik enjin!

    AOS 2019: Proton Wira 1.8 EXi DOHC dan Satria GTi – pahlawan jalan dan litar buatan Malaysia era 90’an

    Namun anda jangan salah faham, homologasi Wira ini bukanlah untuk membolehkan Karamjit Singh untuk berlumba dengan Lancer Evolution III, V, VI dan VII Group N4. Ini kerana sebagai sekutu Mitsubishi Ralliart dalam dunia rali, Mitsubishi sebenarnya telah menolong Proton dengan mendaftarkan Evo dengan tiga nama kepada FIA iaitu Lancer Evolution, Carisma GT (untuk pasaran Eropah) dan Proton PERT (seolah-olah memang Evo dijual di Malaysia dengan nama Proton PERT!).

    Beralih ke Satria GTi pula, ia diproduksi oleh Proton bermula pada tahun 1998 hingga 2005. Sama seperti Wira 1.8 tadi, kerangka Satria GTi ini turut dihasilkan dengan cara yang sama. Kehadiran model ini dalam pasaran seolah-olah mahu ditunjukkan Proton apa yang telah mereka capai setelah membeli Lotus pada tahun 1996, sama seperti Proton Perdana V6 yang juga tampil pada tahun 1998.

    Oleh itu, Satria GTi diberikan talaan pengendalian terus dari Lotus, dan ia turut hadir dengan imej jenama kereta sport British berkenaan, menampilkan bampar hadapan dan belakang lebih agresif, overfender dengan rivet diserlahkan, spoiler bumbung lebih besar, dua tip ekzos berbentuk empat-segi, serta rim aloi 16-inci pelbagai jejari.

    AOS 2019: Proton Wira 1.8 EXi DOHC dan Satria GTi – pahlawan jalan dan litar buatan Malaysia era 90’an

    Juga sama seperti Wira 1.8, ia diberikan tempat duduk Recaro Enjoy, tetapi tidak menerima tombol gear dan stereng dari Momo, sebaliknya diberikan tombol dan set pedal aloi, serta roda stereng empat jejari. Ia masih dijana oleh enjin 4G93P 1.8 liter DOHC berkuasa 140 PS/167 Nm digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Unit yang dipamerkan kali ini bagi saya antara contoh Satria GTi yang terbaik kerana masih lagi tampil dengan rim asal. Sukar untuk kita jumpa Satria GTi dalam keadaan standard sekarang kerana banyak yang telah diubahsuai bukan sahaja menggunakan rim aftermarket, malah enjinnya telah ditukar dengan enjin 4G93T dari Mitsubishi Lancer GSR atau RS, menampilkan pengecas turbo untuk kuasa yang lebih liar.

    Malah Satria GTi juga mempunyai harga pasaran yang tinggi dan stabil kerana ia bukan sahaja model dengan jumlah terhad dihasilkan Proton, malah diakui mempunyai potensi yang cukup tinggi untuk di bawa ke litar. Oleh sebab itu juga, anda mungkin tidak senang duduk jika membeli kereta ini kerana ia cukup digemari oleh pencuri kereta!

    GALERI: Proton Wira 1.8 EXi DOHC

    GALERI: Proton Satria GTi

     
     
  • AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    Bagi kaki-kaki YSuku yang selalu mengikuti perkembangan kolompok yang dikenali sebagai Geng Tayar Besar (GTB), motosikal ini agaknya tidak memerlukan pengenalan panjang. Ini mungkin motosikal “paling popular” dari kelompok berkenaan, dan kerap menjadi tumpuan orang-ramai serta dijadikan rujukan peminat-peminatnya.

    Ketika dipamerkan hujung minggu lalu di acara Art of Speed 2019, pemiliknya, Rudy Norman, 37, sempat berkongsi sedikit sebanyak cerita tentang motosikal ini. “Apa yang saya cuba buat dengan motosikal ni, antaranya ialah guna komponen superbike. Contohnya, swingarm yang diambil dari Kawasaki ZX-6,” jelas Rudy.

    “Fork depan pula saya dapatkan dari aftermarket, tapi kena buat modifikasi bahagian “T” yang diambil dari Yamaha R25. Rim depan ini pun pelik sikit, saya guna saiz 16-inci sebab nak muatkan tayar gemuk saiz 120 yang kena special order. Belakang pula guna rim dari motosikal Aprilia 250 cc dengan tayar saiz 180,” tambah Rudy.

    AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    Menurut beliau lagi, perkara yang paling sukar dilakukan ialah untuk pasang swingarm superbike ke badan kapcai. “Antaranya saya kena potong dan kimpal balik untuk buat tapak bagi suspensi monoshock yang digunakan,” tambahnya. Sebuah fuel regulator pula jelas kelihatan tak jauh dari pelana. Rudy menambah; “Sebabnya, sekarang saya guna dua penyuntik bahan api, satu yang biasa dan satu lagi ketika rpm tinggi, dan regulator yang ada ini untuk saya pantau tekanannya.”

    Sejak dua tahun lalu membeli dan mula mengubahsuai motosikal ini, ia telah berubah daripada sebuah motosikal yang harga asalnya sekitar RM8,000 kepada sebuah “Monster” yang setakat ini telah menelan belanja sekitar RM35,600 untuk segala modifikasi yang telah dilakukan ini.

    “Seminggu selepas beli dulu, saya dah mula ubahsuai. Waktu itu, banyak kekalkan komponen asal. Tapi, bila nak dapatkan lebih prestasi, banyak bendalah nak kena tukar,” jelas Rudy. Ubahsuai terbaru yang dilakukan terhadap “kapcai-superbike” ini ialah dengan melibatkan penukaran dry clutch yang menelan kos sekitar RM2,000 serta sistem ekzos carbon fibre dengan belanja sekitar RM3,600.

    Apa yang membuatkan Rudy tergerak untuk membuat ubahsuai yang menelan kos tinggi ini? “Senang cerita, kiranya saya terjebak dan tersangkutlah dengan modifikasi YSuku ini,” jelasnya sambil diiringi ketawa. Tetapi, seperti kebiasaan mereka yang terjebak sama dalam hobi seperti ini, kepuasan adalah balasannya, walaupun susah untuk dijelaskan kepada orang lain.

    Namun, bagi Rudi, ada satu lagi perkara yang sukar digambarkan dengan kata-kata berlaku ke atas motosikalnya. “Saya sempat bawa motosikal ini untuk berjumpa Valentino Rossi, dan beliau ada turunkan tandatangan pada motosikal ini,” ujarnya, menunjuk pada satu bahagian pada coverset depan, sedikit di bawah lampu utama.

    “Sekali dah mula, susah nak berhenti. Tapi rasanya lepas ini macam dah tak ada apa lagi yang nak dibuat. Rasa nak berhenti pun ada, sebab dah banyak sangat belanjakan duit,” katanya lagi sambil ketawa besar. Tetapi, disebabkan minat ini juga, beliau turut menawarkan khidmat ubahsuai secara kecil-kecilan kepada mereka yang berminat untuk melalukan ubahsuai yang sama terhadap motosikal. Anda sanggup berhabis duit untuk buat modifikasi motosikal seperti ini?

     
     
  • Grab akan bayar balik lebihan komisen yang diambil

    Grab akan bayar balik lebihan komisen yang diambil

    Grab memaklumkan syarikat itu akan membuat bayaran balik kepada pemandu-pemandunya bagi mana-mana lebihan komisen yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini. Sebilangan pemandu Grab memprotes dan menyatakan bahawa syarikat itu sebelum ini telah mengambil lebih daripada 20% komisen daripada mereka, yang merupakan angka maksimum potongan tambang yang boleh diambil oleh Grab, lapor The Star.

    Sejumlah lebihan bayaran sekitar 5% dikenakan – selain peratusan komisen maksimum berkenaan – kepada pemandu yang menerima tempahan perjalanan secara manual. Di dalam satu memo yang dikeluarkan syarikat itu, bayaran balik berkenaan akan dibuat pada 5 Ogos nanti. “Bagi menepati peraturan, kami akan membayar balik jumlah 5% bagi tempahan secara manual berkenaan bagi setiap tugasan bukan secara automatik yang dilakukan selepas 11 Julai lalu. Kami akan menjelaskan bayaran ini pada 5 Ogos,” jelas memo berkenaan.

    Grab menjelaskan, alasan mereka mengenakan caj tambahan 5% kepada pemandu adalah kerana “hampir 20% pemandu memilih untuk menerima tugasan/perjalanan secara manual. Untuk itu, caj 5% berkenaan diperkenalkan untuk mengimbangi pemandu lain setiap kali sesebuah tugasan diabai atau dibatalkan. Ia penting untuk mengurangkan situasi di luar jangka dan mengekalkan jumlah antara penawaran dan permintaan yang stabil dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.”

    Menurut Grab lagi, pihaknya akan membayar balik 5% yang terlibat kepada semua pemandu yang membuat pilihan penerimaan tempahan secara manual melalui aplikasi berkenaan selepas tarikh 11 Julai. “Ini bermakna, semua pemandu selepas ini akan diwajibkan untuk menerima tempahan tugasan secara automatik,” jelas jurucakap Grab.

     
     
  • Pusat 2S Toyota di Pandamaran, Klang mula dibuka

    Pusat 2S Toyota di Pandamaran, Klang mula dibuka

    UMW Toyota Motor dan PS Otomobil telah membuka pusat 2S yang baru dipertingkatkan terkini, bertempat di Pandamaran, Klang. Kemudahan berkenaan merangkumi 19 ruang servis yang lengkap dengan peralatan diagnostik dan “Special Service Tools”.

    Pusat servis berkenaan, yang bertujuan untuk menampung keperluan pelanggan di sekitar Pandamaran, Bukit Tinggi, Bandar Botanik dan lain-lainnya, turut menyediakan ruang menunggu berhawa dingin yang selesa. Premis berkenaan terletak di PT 7420 Jalan Kim Chuan, Pandamaran, 42000 Klang, Selangor.

    Presiden Toyota Motor, Ravindran K. berkeata; “PS Otomobil telah menjadi rakan niaga kami sejak 2015 dan sejak itu telah menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan. Kami berbesar hati melihat perkembangan perniagaan mereka dengan naik taraf dan peningkatan terkini yang dicapai untuk memperkayakan lagi khidmat lepas jualan di sini. Ini mencerminkan falsafah Pelanggan Didahulukan yang dipegang oleh Toyota supaya pelanggan lebih selesa.”

     
     
  • GALERI: Yamaha Y15ZR, R25 dan R6 Petronas Sprinta

    Ketiga-tiga motosikal Yamaha-Petronas Sprinta edisi khas yang anda lihat ini sebenarnya ialah hadiah yang ditawarkan untuk pertandingan Petronas Sprinta Bonanza 2019. Habuan bulanan kepada pemenang bertuah ialah sebuah Yamaha Y15ZR, seperti yang telah diserahkan April lalu kepada pemenangnya.

    Tetapi, jangan bersedih. Rasanya belum terlambat kalau masih ada yang nak mencuba nasib, kerana pertandingan itu akan berlangsung sehingga 30 September nanti. Selain daripada enam buah Y15ZR yang ditawarkan itu, ada juga dua lagi hadiah utama untuk direbut; Yamaha R25 dan juga R6 seperti yang anda lihat di dalam galeri ini.

    Info lanjut berkaitan penyertaan pertandingan in bolehlah dirujuk di web mymesra.com.my. Sementara itu, boleh belek galeri ketiga-tiga motosikal ini untuk melihat ketelitian dan perincian kerja cat serta kelainan yang ditampilkan khas untuk sesiapa saja yang berminat. Teringin nak dapat sebuah?

    Yamaha Y15ZR Petronas Sprinta

    Yamaha R25 Petronas Sprinta

    Yamaha R6 Petronas Sprinta

     
     
  • Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Harley-Davidson Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model cruiser prestasi terbaru, FXDR 114. Ini merupakan pertambahan terbaru bagi barisan model Harley-Davidson Softail di Malaysia. Model ini dijual pada harga bermula dari RM122,500. Bagi unit yang didaftarkan sebelum 30 November 2019, pelanggan layak menerima muffler Screamin’ Eagle Titanium serta baucar alatan menunggang bernilai RM4,200.

    FXDR 114 menjadi model kesepuluh keluaran Harley-Davidson yang menggunakan platform softail yang pertama kali diperkenalkan pada 2018. Menjadi kelebihan model ini ialah tumpuan yang diberikan terhadap menghasilkan motosikal yang lebih ringan.

    FXDR menggabungkan penggunaan enjin Milwaukee-Eight 114 V-Twin 1,868 cc dengan komponen aluminium dan komposit untuk mencapai tujuan itu. Enjin berkenaan menghasilkan tork sebanyak 158 Nm pada 3,500 rpm dengan talaan ekzos 2-kepada-1 baru. Sebagai contoh, bahagian swingarm memberikan pengurangan berat sebanyak 4.62 kg (atau 43% lebih ringan) berbanding komponen sama yang diperbuat daripada besi pada model Softail lain.

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Tangki minyak dengan kapasiti 16.7 liter yang dipanjangkan untuk disesuaikan dengan profil rekaannya, diikuti dengan kedudukan pelana untuk penunggang tunggal. Ia menampilkan penggunaan suspensi belakang monoshock dengan teknologi omboh-bebas dalaman serta ciri gegelung tunggal – dengan tombol talaan hidraulik pra-bebanan.

    Fork depan terbalik dengan diameter 43 mm bertindak untuk “mengeraskan” lagi kendalian bahagian depan bagi memberikan respon lebih jitu kepada penunggang. Sistem brek depan pula menggunakan cakera 300 mm, serta turut dilengkapi ciri ABS sebagai standard. Tayar pula menggunakan unit Michlein Scorcher 11 di depan (120 mm) dan belakang (240 mm). Paparan maklumat tunggangan pula adalah melalui skrin digital.

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Selain itu, motosikal ini juga didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan Daymaker LED dengan lampu halo LED. Sistem tanpa kunci Harley-Davidson Smart Security System dan slot pengecas USB ditawarkan sebagai ciri standard.

    FXDR ditawarkan dalam enam pilihan warna; Vivid Black, Black Denim, Indsutrial Grey Denim, Wicked Red Denim, Bonneville Salt Denim dan Rawhide Denim dan boleh didapati dikeempat-empat bilik pameran pengedar Harley-Davidson Malaysia bermula hari ini.

     
     
  • AOS 2019: Hot Wheels Japan Historic 3 buat kemunculan sulung global di M’sia – 5 model baru

    AOS 2019: Hot Wheels Japan Historic 3 buat kemunculan sulung global di M’sia – 5 model baru

    Seperti yang diumumkan semalam, pembuat kereta die-cast 3-inci dari Amerika Syarikat, Hotwheels mendedahkan siri koleksi antara yang menjadi rebutan di seluruh dunia – Japan Historic – yang terbaharu iaitu Japan Historic 3 (JH3) buat pertama kali untuk peringkat dunia di acara Art of Speed 2019 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

    Lima model lagenda JDM yang membarisi koleksi Japan Historic 3 ini adalah trak pikap Datsun Sunny GB120 “Sanitora”, Honda City Turbo II “Bulldog” 1985, model sport wankel rotary dari Mazda iaitu Mazda Cosmo Sport 1968, Nissan Skyline RS R30 dan Nissan Silvia generasi pertama dengan kod casis CSP311 yang diperkenalkan pada tahun 1965.

    Walaupun ada casting yang pernah dihasilkan sebagai model mainline seperti Honda City Turbo II dan Nissan Skyline RS R30, keseluruhan barisan koleksi JH3 ini adalah baharu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, koleksi Japan Historic 3 ini hanya akan dijual bermula tahun hadapan, dan harga pun masih belum diumumkan.

    Seperti yang anda boleh lihat, hanya dua buah kereta yang nampaknya sudah menghampiri rupa lengkap – Nissan Silvia dan Nissan Skyline – dengan bahagian dalaman yang sudah diwarnakan dan dilengkapi dengan tayar-tayar getah ‘Real Rides’ istimewa Hotwheels yang kelihatan lebih realistik. Pakej kad istimewa untuk siri ini juga masih belum didedahkan.

    Apa yang menarik, Hotwheels Malaysia turut membawa dua buah kereta sebenar dari koleksi terbaharu ini, yang menampilkan rupa yang sama dengan model JH3 iaitu Nissan Skyline RS dan juga Honda City Turbo II.

    Tetapi jika anda perasan, Skyline yang ditampilkan ini bukanlah dari model R30, sebaliknya model lebih baharu R31. Kereta tersebut juga sebenarnya diterbangkan khas dari Brunei semata-mata untuk pelancaran ini. Manakala City Turbo II, ia menampilkan rupa sebenar model yang akan tampil pada JH3 nanti.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Persona 2019 lebih mempersona – harga lebih murah, tapi berbaloikah penawarannya?

    PANDU UJI: Proton Persona 2019 lebih mempersona – harga lebih murah, tapi berbaloikah penawarannya?

    Seperti ramai sedia maklum, sejak Proton memilih Geely sebagai rakan strategik, pengeluar kereta nasional ini ternyata makin gigih mengatur pelbagai langkah dan strategi demi memastikan produk keluarannya mampu berdaya saing dalam pasaran. Lihat saja kemunculan X70, memang boom! dan kini memonopoli pasaran bagi segmen SUV di Malaysia.

    Walau bagaimana pun, pengenalan terhadap model facelift Iriz dan Persona tidak dipandang enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Proton mahu memastikan, pengeluaran bagi kedua-dua model facelift berkenaan menepati kehendak dan citarasa pelanggan, sekaligus membantu memperkukuhkan kedudukannya di pasaran automotif tempatan.

    Sebelum ini, kami pernah mengulas mengenai sesi pandu uji Iriz 2019, jadi tak adillah rasanya kalau kami tidak berbuat demikian untuk Persona 2019. Untuk anda yang mungkin mahu membeli kereta dengan bajet yang sederhana, ulasan ini mungkin boleh dijadikan panduan dalam membuat pilihan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Radio adalah salah satu ciri yang kadang kala agak ‘gagal’ untuk seorang peminat kereta lama bagi mengekalkan imej retro dalam kabin kereta mereka. Ramai yang saya sendiri jumpa, mereka hanya memasang radio lama di tempat asal sebagai dummy, manakala pemain yang lebih moden disembunyikan di dalam glove box bagi mendapatkan bunyi yang lebih sedap.

    Produk baharu dari Blaupunkt ini mungkin akan menyelesaikan masalah abang-abang old school di luar sana – ini adalah pemain single-DIN Bremen SQR 46 DAB, yang dihasilkan dengan bentuk seakan pemain kaset Blaupunkt Breman SQR 46 yang popular ketika era 80’an.

    Blaupunkt Bremen SQR 46 DAB ini menampilkan semua suis dan butang sama seperti pemain retro sebenar, malah ia turut mempunyai slot seakan boleh dimasukkan kaset (ingat lagi tak bentuk kaset macam mana?).

    Namun disebaliknya, Bremen SQR 46 DAB ini sebenarnya menggunakan teknologi yang sama seperti pemain-pemain audio terkini. Pemain berkuasa 50-watt ini diberikan fungsi Bluetooth yang boleh dihubungkan ke telefon pintar bersama sistem radio digital DAB+.

    Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Manakala ‘slot kaset’ pada mukanya pula bukanlah untuk anda memainkan kaset kumpulan Iklim ataupun kompilasi Fresh Giler, ia sebenarnya menyembunyikan port USB, port aux 3.5 mm dan juga slot kad SD bagi membolehkan anda memainkan muzik dari sumber-sumber lebih moden seperti MP3 dan WMA.

    Paparan yang diberikan kini membolehkan pemilik memilih sendiri warna yang dimahukan pada skrin dan juga pencahayaan pada setiap butang dan suis. Unit kawalan jauh turut diberikan bersama mikrofon tambahan untuk membolehkan pemandu menjawab panggilan telefon dengan lebih jelas, dan ia turut menyokong fungsi suis kawalan pada roda stereng.

    Walaupun rupa pemain Bremen SQR 46 DAB ini tidak secanggih pemain moden dengan skrin sesentuh, ia bakal dijual dengan harga yang tidak murah – €449 atau sekitar RM2,060 – akan mula masuk ke pasaran bermula bulan hadapan.

     
     
  • Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Minggu lalu harga RON 97 naik 10 sen. Untuk tempoh seminggu ke hadapan, harga runcit bahan api berkenaan akan lebih rendah, kali ini turun 11 sen seliter. Ini menjadikan harga jualan bagi RON 97 turun daripada RM2.67 seliter kepada RM2.56 seliter, bermula tengah malam ini.

    Dan, bagi petrol RON 95, seperti biasa ia masih dikekalkan dengan harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula lebih mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

    Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Menurut kenyataan oleh Kementerian Kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON 95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.31 seliter.

    Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu, di mana harga runcit produk petrol RON 95 berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel pada RM2.37 seliter. Untuk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 Julai 2019 hingga 2 Ogos 2019 ialah berjumlah RM90.48 juta.

     
     
  • Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Kia khabarnya sudah memulakan pembangunan sebuah trak pikap yang baru, bertujuan untuk menyaingi model-model popular seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton, seperti dilaporkan oleh CarAdvice. Trak pikap buatan jenama Korea itu dikatakan bakal berkongsi platform dengan trak pikap Hyundai, dan akan masuk pasaran paling lewat pada 2022.

    Jika khabar angin ini benar, trak pikap berkenaan akan menjadi pelengkap dan merapatkan jurang barisan kenderaan yang ditawarkan oleh Kia dalam pasaran ketika ini. Berdasarkan laporan yang sama, pegangan pasaran bagi trak pikap di Australia ialah 20% – bermakna sebelum ini Kia dan Hyundai tidak dapat merebut jualan dalam pasaran berkenaan yang mungkin boleh memberikan nilai keuntungan yang banyak setiap tahun kerena kedua-duanya tidak mempunyai model trak pikap.

    Di Australia, jualan Kia terus berkembang walaupun keadaan pasaran perlahan, menduduki tangga keenam keseluruhan di dibelakang Ford. Tambahan model trak pikap sudah tentu akan membantu jenama ini meningkatkan lagi kedudukannya. Ketika ini, hanya SsangYong Musso sahaja model keluaran Korea yang ditawarkan di sana.

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Ketua Kia Australia, Damien Meredith berkata; “Menariknya, memang ada perbualan tentang ini (dengan KMC). Masih terlalu awal untuk mengulasnya, tetapi dalam jangka masa yang tidak terlalu lama ke depan, jenama ini akan memiliki sebuah trak ringan di Australia.”

    Meredith juga telah membuat permintaan untuk mendapatkan trak single-cab dan double-cab sekaligus untuk pasaran di sana, begitu juga dengan enjin diesel dan petrol, serta pacuan roda belakang atau empat-roda. Model itu dijangka akan menerima talaan suspensi yang spesifik untuk pasaran di sana, dengan ujian turut akan melibatkan cuaca panas yang panjang.

    Kia Australia mensasarkan antara lapan hingga 10% pegangan pasaran, berdasarkan jualan kenderaan 4×2 dan 4×4 yang dijual tahun lalu, bersamaan sekitar 20,000 unit. Ini akan menjadi lonjakan yang besar untuk jumlah keseluruhan jualannya; tahun lalu, jenama itu menjual sebanyak 59,000 unit kenderaan penumpang dan SUV.

     
     
  • AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    Malaysia menerusi acara Art of Speed (AOS) telah diberi penghormatan oleh Hotwheels untuk mendedahkan siri koleksi antara yang menjadi rebutan di seluruh dunia – Japan Historic – yang terbaharu iaitu Japan Historic 3 (JH3) ketika berlangsungnya AOS 2019 di MAEPS, Serdang esok.

    Apa model yang akan membarisi koleksi JH3 ini? Ia masih lagi belum diumumkan, namun apa yang kami tahu ia masih terdiri dari lima buah model lagenda JDM, dan tidak ada satu pun model dari JH1 dan JH2 di bawa ke siri terbaharu ini. Hotwheels Malaysia turut membayangkan antara kereta yang akan tampil dalam siri JH3 ini adalah “kereta pertama buatan Jepun yang dihasilkan untuk perlumbaan jalanan”, dan juga “kereta buatan tangan yang rare dari era 1960’an”.

    Untuk rekod, koleksi JH1 keluaran 2016 dibarisi oleh Datsun Bluebird 510 SSS Wagon, Nissan Skyline KPGC110 ‘Kenmeri’ GT-R, Nissan Skyline KGC10 ‘Hakosuka’ GT-X, Toyota 2000 GT dan Mazda RX-3. JH2 keluaran 2018 pula terdiri dari Datsun Bluebird 510 sedan, Mazda RX-3, Nissan Fairlady 240Z, Nissan Laurel 2000 SGX dan Nissan Skyline C210.

    Boleh dijangka, barisan model untuk siri JH3 ini akan hadir dengan pakej kad dengan grafik istimewa, warna dan ‘tampo’ badan khas serta dilengkapi dengan tayar getah ‘Real Rides’ Hotwheels.

    Kedua-dua Hotwheels JH1 dan JH2 mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dan dimiliki bukan sahaja peminat Hotwheels, malah menjadi rebutan peminat-peminat model-model klasik JDM sebenar. Koleksi ini juga dilihat dijual semula dengan harga berkali ganda dari harga asal kerana permintaan yang sangat tinggi.

    Selain itu, gerai Hotwheels di AOS 2019 turut akan dihadiri oleh Ketua Pereka Hotwheels (segmen premium dan pengumpul) Steve “Van” Vandervate yang diterbangkan terus dari Amerika Syarikat.

    “Saya tak sabar untuk berjumpa dengan peminat Hotwheels kami di Malaysia, dan juga ahli Hotwheels Club Malaysia serta pengumpul setia,” kata Steve.

    GALERI: Hotwheels Japan Historic

    GALERI: Hotwheels Japan Historic 2

     
     
  • Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Kerana jumlah keuntungannya yang jatuh mendadak, pengeluar automotif dari Jepun, Nissan terpaksa memberhentikan 12,500 orang pekerjanya di seluruh dunia, lebih tinggi dari apa yang dijangka sebelum ini, lapor Reuters.

    Awal minggu ini, syarikat tersebut dilaporkan sedang bersedia untuk memberhentikan sekitar 10,000 orang tenaga kerjanya kerana masalah yang dihadapi. Dengan pengumuman baharu ini bermaksud Nissan selepas ini akan beroperasi dengan tenaga 139,000 orang atau berkurang 9% dari sebelumnya.

    Nissan mencatatkan kejatuhan sebanyak 98.5% kepada 1.6 bilion yen (RM60.5 juta) untuk suku pertama tahun ini. Ia dikatakan berpunca dari kenaikan harga bahan mentah, tukaran mata wang asing yang tidak menentu, dan juga usaha-usaha untuk menghasilkan produk bagi memenuhi undang-undang semasa yang memakan kos tinggi.

    Selain langkah untuk mengurangkan tenaga kerja ini, Nissan turut akan mengurangkan operasi produksi mereka terutamanya untuk kereta-kereta kompak serta jenama bajet mereka iaitu Datsun. Menurut CEO Nissan, Hiroko Saikawa, langkah ini akan menyaksikan barisan produk mereka berkurangan sekitar 10%, dan 14 dari keseluruhan fasiliti mereka seluruh dunia akan terkesan. Produksi turut akan dikurangkan sebanyak 10% sehingga 2023.

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    “Kami kini sedang fokus di mana kami membuat pelaburan untuk menghasilkan kereta kompak di bawah rancangan Power 88,” kata Saikawa ketika membentangkan prestasi suku pertama 2019 syarikatnya. Rancangan Power 88 tersebut telah diumumkan pada 2011 dan ia bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan Nissan secara global dengan melebarkan segmen produk dan meningkatkan penampilan jenama dalam pasaran seperti Rusia dan India.

    Dalam Power 88, tidak kurang dari 51 model baharu dirancang untuk dilancarkan, yang turut membabitkan penawaran barisan model yang lebih luas untuk peringkat global, dihasilkan dari platform-V mereka.

    Pada Mei lalu, Nissan telah mengumumkan pengurangan produksi untuk lapan fasiliti mereka termasuk Sepanyol dan Indonesia di mana hatchback Nissan March dan model-model Datsun dihasilkan. Nissan turut memasang model-model kompak di Mexico, Rusia, Perancis dan Thailand, namun tiada pengumuman spesifik berkenaan lokasi atau skala pengurangan yang terlibat.

    Nissan kini sedang menghadapi masalah di berberapa pasaran pentingnya, terutama di Amerika Syarikat. Jualan global mereka jatuh 4.4% kepada 5.52 juta unit pada tahun fiskal 2018. Penurunan tersebut disumbangkan oleh kejatuhan 9.3% jualan di Amerika Syarikat dan penurunan 14.9% di Eropah.

    Atas skandal yang memalitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sebelum ini, Nissan turut mempunyai masalah hubungan dalam rakan pakatannya iaitu Renault. Mereka juga gagal dalam usaha untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobile.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Tempoh enam bulan pertama 2019 telah pun berlalu. Dan seperti biasa, adalah menarik untuk menilai prestasi industri automotif bagi tempoh berkenaan. Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi bulan Jun 2019 yang telah dikeluarkan menjadi “pelengkap” bagi data untuk tempoh separuh pertama ini.

    Keseluruhannya, jumlah keseluruhan industri (TIV) telah meningkat kepada 296,334 unit, naik 2.29% daripada 289,714 unit yang dijual pada 2018. Ini sesuatu yang menggalakkan, memandangkan MAA mensasarkan untuk mencapai angka 600,000 unit bagi tempoh penuh setahun – walaupun suasana pasaran untuk separuh kedua juga masih samar-samar, terutamanya tempoh tiga bulan “cuti cukai” seperti tahun lalu.

    Mari kita lihat pecahan ikut jenama pula. Perodua terus berada di atas, dengan peningkatan 4% dari 117,098 unit kepada 121,782 unit, kemungkinan didorong oleh jualan SUV Aruz. Syarikat ini juga mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 41.1%; naik sedikit daripada angka 40.4% pada 2018. Berbeza pula dengan Honda; angkanya menurun sehingga 13.81%, dari 51,354 unit ke 44,260 unit. Pegangan pasarannya juga berkurangan, dari 17.7% kepada 14.9%.

    Proton pula sedang menikmati perkembangan yang sangat positif; jumlah jualannya mencatatkan peningkatan tinggi sehingga 60.55%, dari 27,106 ke 43,518 unit bagi tempoh sama dengan tahun lalu. Ini membolehkan mereka memintas Toyota, dan menghampiri Honda yang berada dikedudukan kedua dengan perbezaan hanya 742 unit. Pegangan pasarannya juga meningkat dari 9.4% ke 14.7%.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Toyota pula tidak banyak berubah, pengurangan hanya sebanyak 458 unit atau 1.44% dengan catatan 31,251 unit terjual. Ini menjadikan pegangan pasarannya sedikit menurun, dari 10.9% ke 10.5% ketika ini. Nissan juga mengikut jejak yang sama; jualan turun sebanyak 12.94% kepada 10,383 unit, dengan pegangan pasaran juga menguncup dari 4.1% ke 3.5%.

    Bagi segmen premium, Mercedes-Benz terus mengatasi BMW, tetapi tidak terlalu jauh – hanya 614 unit yang menjadi pemisah. Mercedes-Benz mencatatkan angka 5,649 unit, manakala BMW 5,035 unit. Bagaimanapun, kedua-dua jenama berkenaan menjual kurang kenderaan tahun ini. Cuma, Mercedes-Benz mencatatkan pengurangan yang lebih banyak, iaitu 18.72%. Pegangan pasaran masing-masing ialah 1.9% dan 1.7%.

    Sebaliknya, jenama lain yang mencatatkan pertumbuhan positif ialah seperti Volvo (+60.56% jualan), Renault (+41.59%) dan MINI (+4.36%). Tetapi lain ceritanya dengan Subaru (-42.41%), Lexus (-36%) dan Hyundai (-31.57%). Untuk perincian lanjut berkenaan prestasi separuh pertama 2019 dan perbezaannya dengan 2018 bagi setiap jenama, sila rujuk jadual di bawah.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

     
     
  • Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim telah memaklumkan, terdapat beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup atau dilencongkan esok, 27 Julai, bagi menjayakan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah.

    Jalan-jalan yang bakal terlibat termasuklah Jalan Barat, Jalan Merah Chagar, Jalan Awan Kecil dan sekitar Technology Park Malaysia.

    Menurut Mazlan, dijangkakan seramai 85,000 penonton akan berada di stadium terbabit dan PDRM akan menempatkan 1,375 polis untuk menjaga keselamatan dan mengawal aliran trafik di jalan sekitarnya.

    “Bagi sesiapa yang bakal berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok, sila patuhi arahan trafik. Kalau boleh, datang awal dan gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta,” ujarnya sambil menegaskan kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan yang menghalang lalu lintas, bakal disaman atau kenderaan tersebut akan ditunda.

     
     
  • Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Pembuat peralatan berprestasi tinggi untuk sistem transmisi dan suspensi dari Jepun, Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco telah mengumumkan mereka kini dalam fasa akhir pembinaan kereta rali dengan spesifikasi AP4 diasaskan dari SUV segmen-B, Toyota C-HR.

    Jentera berkenaan agak unik kerana tidak banyak SUV digunakan untuk perlumbaan rali kategori tersebut (Mitsubishi Indonesia telah menghasilkan jentera rali Xpander AP4, tetapi masih dalam bentuk konsep), dan dipercayai jentera rali pertama diasaskan dari sebuah model yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Menurut Cusco, kereta ini masih menggunakan enjin 8AR 2.0 liter dengan suapan pengecas turbo binaan Toyota Racing Development (TRD) dan kotak gear sequential lima-kelajuan dari Drenth, sama seperti jentera rali Yaris AP4 Cusco sebelum ini.

    Namun, kerangka C-HR ini telah dibina semula oleh Cusco, dilengkapkan dengan rollcage penuh serta peralatan perlumbaan lain yang memenuhi undang-undang AP4. Cusco turut memadankan sistem suspensi serta gandar belakang rekaan mereka sendiri kepada Toyota C-HR AP4 ini.

    Mungkin disebabkan ruang roda C-HR ini sememangnya sudah besar, tiada pengubahsuaian ekstrem dilakukan pada bahagian tersebut seperti hatchback biasa. Sistem suspensi dengan jarak pergerakan tinggi nampaknya diletakkan dengan selesa pada ruang roda yang nampak hampir standard tersebut – mungkin ini salah satu kelebihan untuk membina kereta rali berasaskan model crossover.

    Kereta ini bukan hanya dibina untuk digunakan oleh pasukan rasmi Cusco World Rally Team dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC), malah ia turut akan dijual kepada pasukan lain yang berminat. Sesi shakedown dan juga ujian terhadap C-HR AP4 berkenaan telahpun bermula bulan ini, dan harga sebuah kereta rali lengkap tersebut akan diumumkan kemudian.

    Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia adalah kategori dengan tahap yang sama dengan kategori R5 dan dibuat khas hanya untuk APRC, tetapi tidak boleh bertanding dalam WRC. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

    Secara asasnya, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm, serta berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Namun disebabkan C-HR ini menggunakan enjin 2.0L, ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.

     
     
  • BMW X2 M35i – harga rasmi diumum, dari RM398,800

    BMW X2 M35i – harga rasmi diumum, dari RM398,800

    BMW Malaysia telah mengemaskini senarai harga 2019, dan mendedahkan harga rasmi bagi BMW X2 M35i F39, yang pertama kali dipertontonkan di negara ini pada Mei lalu dan dijadualkan akan mula berada di bilik pameran pada bulan ini. Model X2 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM398,800, tanpa insurans, tidak banyak beza dengan harga anggaran yang diumumkan pada majlis pra-tontonnya.

    X2 M359 ini dijanakan oleh oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 306 hp dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan xDrive AWD dengan launch control. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 250 km/j.

    Untuk bahagian casis, X2 M35i dipadankan dengan suspensi adaptif M Sport yang mempunyai dua mod, manakala pada gandar hadapan terdapat differential mekanikal M Sport untuk memastikan cengkaman yang baik. Peningkatan lain adalah termasuk talaan stereng serta brek yang lebih besar iaitu cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang dengan angkup M berwarna biru. Untuk spesikasi Malaysia, ia turut ditampilkan dengan roda aloi Style 721M 20-inci dengan warna Cerium Grey, dibaluti tayar runflat Pirelli P-Zero 225/40.

    Penggayaan luarannya diserlahkan dengan pakej M Sport, yang ditambah beberapa kemasan lain. Ini termasuk kemasan Cerium Grey untuk gril dan perumah cermin sisi dengan dua muncung ekzos berdiameter 10cm di belakang yang disambung pada sistem ekzos M Performance dengan kawalan injap.

    Di dalamnya juga dihadirkan pakej M Sport, dengan tempat duduk M Sport (dan tali pinggang keledar dengan jaluran M) sebagai pilihan. Ciri bagi kit standard termasuk sistem Navigation Plus dengan skrin sesentuh 8.8-inci, paparan head-up dan sistem audio Harman Kadron 12-pembesar suara 360 watt. Dengan harga hampir cecah RM400k, brek kecemasan sendiri (AEB) tidak disertakan pada X2.

    Seperti mana barisan model BMW yang lain, X2 M35i turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad dengan program servis berjadual percuma dan juga program waranti tayar selama dua-tahun.

     
     
  • AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    Festival yang meraikan budaya kustom di Malaysia, Art of Speed kembali lagi hujung minggu ini. Seperti biasa, PETRONAS bertindak menjadi penaja utama acara ini bagi tiga tahun berturut-turut. Dan, untuk menyuntik kelainan bagi penganjurannya kali ini, model-model Hot Wheels edisi terhad yang di”kustom”kan oleh bakat tempatan, Krome Bandits akan ditawarkan kepada pengunjung.

    Cuma ada 200 unit kenderaan sahaja yang akan disediakan, termasuk Mazda RX-7, Honda Civic Type R, Ford Mustang Shelby GT500 dan Lamborghini Reventón Roadster. Semua ini akan ditawarkan kepada pemegang Kad Mesra, berdasarkan aturan siapa cepat, dia dapat. Unit misteri berkenaan akan dijual pada harga RM200 sebuah, dengan seorang pembeli hanya layak untuk mendapatkan dua unit bagi setiap transaksi. Sudah tentu edisi ini akan cepat habis, jadi datang awal ke booth PETRONAS nanti.

    Tetapi, bukan itu sahaja. PETRONAS juga akan menawarkan Kad Hadiah bernilai RM30 yang akan dijual ketika acara, dengan 1,000 pembeli terawal akan memenangi tiket masuk General Pass ke Art of Speed. Pelanggan juga berpeluang untuk memenangi tiga lagi model kustom Hot Wheels, kali ini model Mercedes-AMG GT. Setiap pembelian juga akan dikira sebagai satu penyertaan untuk cabutan bertuah.

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    PETRONAS turut menawarkan baucar minuman percuma dari Tealive bagi 1,500 pengunjung terawal yang mendaftar untuk Kad Mesra, sementara pemegang kad sedia ada akan berpeluang untuk membeli dua minuman Tealive pada harga RM10 di acara ini.

    Turut akan ditampilkan ialah Setel, aplikasi e-bayaran bagi pembelian minyak di stesen PETRONAS yang pertama seumpamanya di Malaysia. Pengunjung yang memuat turun aplikasi Setel di booth, dan menambah nilai minimum RM50, layak untuk mencuba nasib di pusingan roda hadiah “Setel and Confirm Win”, dan berpeluang untuk memenangi pulangan tunai minyak sehingga RM100. Setel kini boleh digunakan di semua stesen PETRONAS di Lembah Klang. Nikmati pulangan tunai minyak sebanyak 10%* ketika anda memuat turun aplikasi Setel dan beli minyak 3x di PETRONAS dengan Setel! *Tertakluk kepada terma dan syarat.

    Selain itu, PETRONAS dengan kerjasama Cycle & Carriage Bintang akan mempamerkan Mercedes-Benz A 250 dengan rekaan grafik khas “Move Like Never Before”. Pengunjung berpeluang memenangi Kad Hadiah PETRONAS bernilai RM30 dengan cara menaikkan gambar mereka bersama kereta berkenaan ke Instagram dan lengkapkan keterangan gambar seperti berikut; “PETRONAS Primax dengan Pro-Drive merupakan petrol terbaik untuk saya kerana…”

    AD: PETRONAS di Art of Speed 2019 – beli Hot Wheels kustom edisi terhad dan banyak lagi dengan Kad Mesra!

    Kemudian, jangan lupa untuk sertakan juga tanda #PETRONAS #Primax95 #movelikeneverbefore. Pastikan akaun anda boleh diakses secara terbuka dan jangan lupa untuk mengimbas kod QR pada kereta berkenaan atau di booth untuk mendaftar.

    Mari semua berkunjung dan memeriahkan lagi Art of Speed 2019 hujung minggu ini, 27-28 Julai (Sabtu, 10 pg-11 mlm; Ahad, 10 pg-7 mlm) bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Art of Speed.

     
     
  • Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    Selepas mengambil alih pemerintahan daripada parti Barisan Nasional yang tewas dalam PRU14, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Ogos lalu. Faktor utama pembatalan projek mega itu disebabkan ia melibatkan kos pembinaan yang begitu besar iaitu mencecah RM65.5 bilion, sedangkan dalam masa yang sama negara turut menanggung bebanan kewangan yang meruncing.

    Walau bagaimana pun, pada April lalu, Tun Mahathir memaklumkan projek ECRL ini boleh diteruskan tapi kena banyak melakukan perubahan dalam perancangan termasuk mengecilkan skalanya. Rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak khususnya China memandangkan projek tersebut menerima pembiayaan daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa syarikat dari China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC), yang akan bertanggungjawab membina laluan kereta api.

    Selepas sembilan bulan ditangguhkan, kini kerajaan telah membuat keputusan muktamad untuk meneruskan projek ECRL ini, dengan kos yang dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak 33% iaitu RM21.5 bilion. Malah hari ini, projek tersebut telah dilancarkan semula oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di tapak terowong Dungun, Terengganu, iaitu salah satu lokasi stesen yang bakal dibina.

    Menurut Loke, projek ECRL yang ditambah baik kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2% daripadanya mengalami perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun dikenali sebagai Seksyen A dan jajaran baharu keseluruhan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dikenali sebagai Seksyen C.

    Projek ECRL dilancarkan semula – kos RM44b, jajaran sepanjang 640 km, 20 stesen penumpang dan kargo

    “Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab pula yang dikenali sebagai Seksyen B sepanjang 223 kilometer adalah 34.8 peratus daripada keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terbabit dengan sebarang perubahan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambahnya lagi, perubahan jajaran itu dilakukan berikutan faktor kos dan tanah tidak sesuai untuk pembangunan ECRL. Tiga terowong akan dibina dalam projek itu iaitu Terowong Dungun di Bukit Bauk sepanjang 871 meter, Terowong Paka (1,104 meter) dan Terowong Kuantan sepanjang 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor, Terengganu.

    “Fokus utama bertumpu kepada reka bentuk dan kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 kilometer di 23 lokasi serta kerja awalan untuk jambatan sepanjang 39.03 kilometer di 65 lokasi di sepanjang 223 kilometer jajaran dari Dungun ke Mentakab, yang tidak mengalami perubahan jajaran.

    “Perkara membabitkan penambahan stesen memerlukan perbincangan lanjut dua kerajaan, Malaysia dan China, ia bukan boleh dilakukan begitu saja. Kita jangan melihat kepada jumlah stesen, tetapi lihat kepada bagaimana kita menambah nilai projek bagi manfaat ekonomi, pelaburan dan pembangunan di kawasan jajaran,” ujarnya lagi.

    Projek ECRL yang baharu akan melalui 20 stesen dengan 14 stesen stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk kargo saja. Dijangka siap pada tahun 2026, projek ini juga dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

     
     
  • Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Sebelum ini Ford telah mengumumkan bahawa gabungan penala Van-Sport dan pasukan M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford) iaitu MS-RT telah pun dianugerahkan sijil Pengubahsuai Kenderaan Berkelayakan (QVM) oleh Ford, membolehkan syarikat tersebut menjual Ford MS-RT Transit Custom yang lebih sporty di pengedar sah Ford, serta aksori yang dihasilkan tidak akan menjejaskan waranti dari pengeluar.

    Sebenarnya bukan hanya MS-RT yang memperolehi sijil QVM tersebut, ia turut di miliki sebuah lagi syarikat dari UK iaitu Wellhouse. Tidak seperti MS-RT, Wellhouse tidak terlibat dalam apa-apa sukan permotoran, tetapi mereka adalah pakar untuk mentransformasikan sebuah van biasa kepada sebuah Campervan.

    Jadi apa yang akan jadi sekiranya MS-RT dan Wellhouse bergabung? Ini hasilnya – Fort Transit Custom MS-RT Campervan. Seperti yang anda boleh lihat, campervan istimewa ini dihasilkan dari Ford Transit Custom standard dari versi jarak roda panjang.

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Ia kemudiannya dipadankan dengan kit badan lengkap MS-RT yang diinspirasikan dari jentera rali Ford Fiesta WRC binaan M-Sport, terdiri dari gril dan juga bampar hadapan baharu bersama lampu kabus bersepadu, diffuser hadapan, fender flare bagi menampakkan badannya lebih lebar, diffuser belakang dan juga spoiler belakang.

    Bukan setakat itu, lampu hadapan xenon, pilihan rim 18-inci dari OZ Racing dan tip ekzos berkembar asli MS-RT juga turut dipadankan. Bagi melengkapkan rupanya, van berwarna kelabu ini turut menerima grafik badan istimewa.

    Tugas untuk menyiapkan campervan ini terutamanya pada bahagian kabin kemudian disudahkan oleh Wellhouse, di mana syarikat berkenaan membina dapur penuh, tempat duduk mewah dengan uphlosteri balutan kulit putih dan Alcantara dengan jahitan serlahan biru. Wellhouse turut menghasilkan bumbung yang boleh ditinggikan menggunakan Starlit Alcantara.

    Ford Transit Custom dari MS-RT dan Wellhouse – campervan gaya rali tempahan khas berharga RM395k

    Tiada pengubahsuaian dilakukan terhadap enjin dan transmisi dimana Transit Custom MS-RT Campervan ini masih dijana enjin turbodiesel 2.0 liter empat-silinder EcoBlue berkuasa 170 PS/405 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Hanya sebuah sahaja model istimewa ini dihasilkan dan dijual pada harga £77,000 (RM395k), dan ia adalah permintaan seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Steve.

    Sedikit latar belakang Steve, dia adalah peminat setia Ford British dan mula belajar untuk menala enjin Ford klasik seperti Kent dan Pinto seawal umur 11-tahun. Selepas mendapat lesen memandu, Steve membeli Ford Escort Mk I sebagai kereta pertama, dan kemudian memilik pelbagai lagi model seperti Cortina, Sierra dan pelbagai lagi model Escort.

    Steve juga pernah membina sebuah jentera rali sebenar Ford Escort Mk II yang dijana enjin 2.0 liter Cosworth BDG. Setelah puas berlumba dengan kereta tersebut, Steve mengambil keputusan untuk menjualnya dan membeli campervan ini.

    “Saya berharap untuk berseronok dengan menyertai berberapa acara Ford dan acara motosikal – setelah treler yang saya tempah untuk mengangkat motosikal klasik saya siap – dan saya tidak sabar untuk mengembara dalam negara untuk mencari pengembaraan baharu,” kata Steve.